:: @ AL-BAKISTANI @ :: |
Posted: 25 Jul 2011 06:44 AM PDT Kemuliaan Ramadhan tidak dipertikaikan lagi. Ia adalah bulan yang diturunkan padanya panduan hidup manusia, iaitu Al-Quran. Firman Allah; شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ Maksudnya; "bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil)" (Al-Baqarah : 185) Jika kehebatan Nabi Muhammad SAW berbanding para Nabi yang lain berpuncakan Nabi SAW merupakan Nabi akhir zaman; Nabi Muhammad SAW diberikan Al-Quran yang kemukjizatannya tidak setara dengan kitab-kitab yang lain, kerana Al-Quran tidak mungkin diselewengkan berbanding kitab-kitab para nabi yang lain, maka tidak hairanlah bulan Ramadhan adalah bulan yang hebat disebabkan sekian bulan yang ada, hanya bulan Ramadhan sahaja dipilih oleh Allah SWT sebagai bulan yang diturunkan padanya Al-Quran. Sekiranya kehebatan Hang Tuah diangkat berbanding pahlawan-pahlawan melayu yang lain disebabkan keris Tamingsari, maka tidak hairan bulan Ramadhan adalah bulan yang mulia kerana ia adalah satu-satunya bulan yang terdapat padanya malam lailatul Qadar. MAQASID PUASA Setiap hukum itu mempunyai maqasidnya tersendiri. Sebagai muslim, adalah satu kemestian bahawa mereka mengetahui maqasid dan rahsia-rahsia terhadap sesuatu kandungan hukum yang telah disyariatkan oleh Allah SWT. Ibnu Taimiyyah ada berkata; من فهم حكمة الشارع كان هو الفقيه حقَّاً Maksudnya; "Barangsiapa yang memahami hikmah pensyariat, maka dia adalah orang yang sebenar-benar faqih[1]" Sepertimana dalam jinayah syariah, ia mengandungi maqasid, mencegah dari pelaku jenayah dari mengulangi jenayah yang telah dilakukan, dan mencegah orang lain dari meniru jenayah yang telah dilakukan oleh penjenayah. Juga, hendak memadamkan perasaan dendam dalam diri ahli keluarga mangsa jenayah, makanya begitujuga Puasa, mempunyai maqasidnya tersendiri. Sepertimana maqaasid dalam ekonomi Islam itu mesti mempunyai unsur "taawun" iaitu tolong menolong dan "rifqah" iaitu kasih sayang antara satu manusia dengan manusia yang lain, maka begitujuga puasa, ia mempunyai maqasid yang amat perlu didalami. Yang pastinya, maqasid yang wujud dalam sesuatu hukum Islam itu adalah untuk kebaikan manusia itu sendiri. Perkara ini diperjelaskan oleh para ulama-ulama yang muktabar. Imam Al-Baidhawi berkata; إنَّ الاستقراء دلَّ على أنَّ الله ـ سبحانه ـ شرع أحكامه لمصالح العباد Maksudnya; "Sesungguhnya kajian telah membuktikan bahawa sesungguhnya Allah SWT mensyariatkan hukum-hukum-Nya untuk kebaikan hamba (manusia)[2]" Makanya, puasa juga mempunyai tujuan-tujuan yang sebenarnya member kebaikan kepada manusia itu; sama ada di dunia ataupun di akhirat. Ibnu Qayyim ada berkata; والمقصود:أنَّ مصالح الصوم لمَّا كانت مشهودة بالعقول السليمة ، والفطر المستقيمة ، شرعه الله لعباده رحمة بهم ، وإحساناً إليهم ، وحمية لهم وجُنَّة Maksudnya; "Sesungguhnya maslahah puasa, ia dapat dibuktikan dengan akal yang cergas, dengan fitrah yang segar. Ia disyariatkan oleh Allah kepada hamba-Nya (manusia) sebagai rahmat (kasih sayang), kebaikan, penjaga dan perisai kepada manusia[3]" Di sini dipaparkan beberapa maqasid syariah disebalik kewajipan berpuasa. Antaranya adalah seperti berikut; Pertama : memastikan ketaqwaan manusia itu kepada Allah Allah SWT berfirman dalam al-Quran; يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ Maksudnya; "Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa" (Al-Baqarah : 183) Setiap manusia itu dikurniakan oleh Allah SWT nafsu, sepertimana Allah SWT kurniakan kepada manusia itu fitrah. Nafsu manusia itu tidak boleh dibuang, tetapi boleh dikawal atau di control. Untuk mengawal kehendak nafsu syahwat tersebut, caranya dengan berlapar dengan tidak makan dan tidak minum. Ibnu Rajab Al-Hanbali pernah berkata; من علامات الإيمان حيث يكره المؤمن ما يلائمه من شهواته إذا علم أنَّ الله يكرهه Maksudnya; "Sebahagian dari tanda-tanda keimanan itu adalah seorang mukmin itu membenci apa yang disukai oleh syahwatnya. Iaitu, apabila dia mengetahui bahawa Allah tidak menyukainya[4]" Kedua : mendidik manusia menjadi amanah Ketika kita mandi, seorang pun tidak tahu kalau kita minum air. Tetapi, kita tetap tidak minum tanpa diketahui oleh orang ramai. Ia menggambarkan bahawa, secara tanpa disedari, Allah SWT telah mencampak perasaan amanah kita kepada Allah SWT ketika kita berpuasa. Sabda Nabi SAW, bahawa Allah SWT ada berfirman; كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ Maksudnya; "Setiap amalan anak adam itu untuk dirinya kecuali puasa. Kerana sesungguhnya ia dilakukan untuk-Ku, dan aku akan memberi balasan kepadanya[5]" Ketiga : mendidik jiwa Berdasarkan sejarah penciptaan manusia, telah terbukti bagaimana dendam Syaitan amat berdendam dengan anak-anak adam. sejak dari penciptaan Adam lagi, Syaitan sudah berjanji hendak mengganggu anak adam. Semua berpunca, Allah menyuruh semua makhluk sujud kepada Adam sejurus penciptaan Adam, tetapi kesombongan dan takabbur Iblis menyebabkan dia engkar dari melakukan sujud kepada Adam. Firman Allah; قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِنْهُ خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِينٍ Maksudnya; "Berkata (Iblis), Aku lebih baik daripadanya (Adam). Kamu (Allah) ciptakan aku daripada api, dan kamu mencipta dia daripada tanah" (Surah Sad : 76) Ekoran tindakan Iblis itu, menyebabkan Allah murka dengan tindakan Iblis tersebut, menyebabkan Iblis dimurkai oleh Allah. Firman Allah; وَإِنَّ عَلَيْكَ لَعْنَتِي إِلَى يَوْمِ الدِّينِ Maksudnya; "(berkata Allah) sesungguhnya ke atas kamu laknat-Ku sehingga hari kiamat nanti" (Surah Sad : 78) Iblis dicampak ke dalam neraka. Semuanya berpunca kemurkaan Allah lantaran kedegilan dan keegoan Iblis untuk sujud kepada Adam. Pun begitu, Iblis masih tidak berpuas hati. Dia berusaha lagi untuk memprotes terhadap Adam A.S. justeru, Iblis meminta izin dari Allah untuk menganggu Adam, juga anak adam, supaya mereka tersasar dalam menjalani kehidupan di dunia. Allah SWT mengizinkan tindakan Iblis itu, tetapi Allah menyatakan bahawa Iblis tidak akan berjaya menyesatkan anak-anak adam yang ikhlas dalam semua urusannya. Firman Allah; قَالَ فَبِعِزَّتِكَ لَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ * إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ Maksudnya; "berkata (Iblis), dengan kemuliaan-Mu, pasti aku akan menyesatkan mereka (anak-anak adam) semuanya * melainkan hamba-hamba-Mu yang ikhlas" (Surah Sad : 82-83) Dari ini, kita dapat melihat bagaimana usaha hendak menyesatkan anak-anak adam itu dilakukan oleh Iblis. Segala ruang yang ada, digunakan oleh Iblis untuk menyesatkan anak adam tersebut. Menyesatkan itu, sama ada menyesatkan mereka terus dengan berpaling dari ayat-ayat Allah sehingga mereka menjadi kafir, munafiq dan Fasiq. Ataupun, menyesatkan itu bermaksud melalaikan mereka daripada mengingati Allah dalam urusan harian, seperti ketika beribadat; solat, puasa, zakat, haji, sedekah, jimak, bermusafir dan banyak lagi. Kesungguhan dalam usaha Iblis tersebut, dinyatakan oleh Nabi SAW dalam satu hadis, bahawa Nabi SAW bersabda; إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنْ الْإِنْسَانِ مَجْرَى الدَّمِ Maksudnya; "Sesungguhnya Syaitan berjalan dalam manusia di perjalanan darah[6]" Namun begitu, dengan kehadiran Ramadhan yang ketika mukmin berpuasa. Allah SWT telah menutup laluan bagi Syaitan untuk bertindak terhadap manusia dengan cara menggari mereka. Sabda Nabi SAW; إِذَا دَخَلَ شَهْرُ رَمَضَانَ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ Maksudnya; "Apabila telah masuk bulan Ramadhan, dibuka pintu-pintu langit, dikunci pintu-pintu neraka dan digari para syaitan[7]" Keempat : Ingat kepada orang susah Orang yang berpuasa, mengajar kepada orang yang kaya dan berkemampuan untuk mengingati sama kesusahan orang lain. Ekoran itu, ada sebilangan ulama salaf terdahulu pernah ditanya, "kenapakah disyariatkan puasa?". Jawab mereka; ليذوق الغني طعم الجوع فلا ينسى الجائع. Maksudnya; "untuk orang kaya itu merasai rasa kelaparan, dan tidak melupakan orang yang lapar[8]" Mengenangkan perkara itu, tidak hairan nabi SAW amat menggalakkan orang yang berkemampuan bahawa mengadakan majlis berbuka puasa dengan menjemput orang-orang yang susah agar berbuka bersama. Sabda Nabi SAW; مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا Maksudnya; "Barangsiapa memberi makan berbuka puasa kepada orang yang berpuasa, baginya pahala seumpamanya, tanpa dikurangkan sendikitpun pahala puasanya itu[9]" Kelima : mendidik agar menjadi jiwa yang sabar Kita dapati, memang dengan tidak makan itu dapat mendidik agar manusia itu menjadi golongan yang sabar. Sabda Nabi SAW; لِكُلِّ شَيْءٍ زَكَاةٌ وَزَكَاةُ الْجَسَدِ الصَّوْمُ Maksudnya; "Setiap sesuatu itu adalah zakatnya (pembersih). Dan zakat bagi jasad (tubuh badan) adalah puasa" Dalam sebilangan riwayat ditambah bahawa Nabi SAW berkata; الصِّيَامُ نِصْفُ الصَّبْرِ Maksudnya; "Puasa itu adalah setengah dari kesabaran[10]" Kesabaran berjaya terhasil dengan didikan puasa. Kita dapati, dalam sejarah perang Talut terhadap Jalut, sebelum Talut menghantar bala tenteranya berperang, beliau telah mendidik agar rakyatnya berlapar. Kisah itu, dinukilkan dalam Al-Quran, bahawa Allah SWT ada berfirman; فَلَمَّا فَصَلَ طَالُوتُ بِالْجُنُودِ قَالَ إِنَّ اللَّهَ مُبْتَلِيكُمْ بِنَهَرٍ فَمَنْ شَرِبَ مِنْهُ فَلَيْسَ مِنِّي وَمَنْ لَمْ يَطْعَمْهُ فَإِنَّهُ مِنِّي إِلَّا مَنِ اغْتَرَفَ غُرْفَةً بِيَدِهِ فَشَرِبُوا مِنْهُ إِلَّا قَلِيلًا مِنْهُمْ Maksudnya; "Maka tatkala Thalut keluar membawa tentaranya, ia berkata: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan suatu sungai. Maka siapa di antara kamu meminum airnya; bukanlah ia pengikutku. Dan barangsiapa tiada meminumnya, kecuali menceduk seceduk tangan, maka dia adalah pengikutku." Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka" (Al-Baqarah : 249) Keenam : mendidik agar manusia mampu menjaga waktu Apabila seseorang itu berpuasa, waktu yang selalunya dijaga adalah dua, iaitu ketika bersahur dan berbuka. Tidak dinafikan, ia berfaktorkan makan, tetapi waktu itu amat rapat dengan waktu untuk menunaikan solat; iaitu solat subuh dan maghrib. Mula-mula mereka bangun untuk makan sahur, tetapi sedikit sebanyak mengajar mereka bangun awal untuk menunaikan solat subuh berjemaah, juga untuk menunaikan solat tahajud. Begitulah juga ketika waktu maghrib. Kesimpulan Ramadhan tidak lama lagi menjenguk. Ia merupakan peluang bagi mukmin untuk mengejar pahala. Jika ia dilakukan dengan sebaik-baiknya, ia menghasilkan ganjaran yang amat berharga di akhirat kelak. Jika dilalaikan, ia merupakan satu kerugian yang sukar untuk mendapat gantinya. Mudah-mudahan kita menjadikan Ramadhan kali ini sebagai peluang untuk mendapatkan pahala yang banyak. Amin ya Rabb Al-'Alamin. [1] Bayan Ad-Dalil fi Butlan Al-Tahlil : 351. [2] Al-Minhaj : 233. [3] Zad Al-Maad : 2/30. [4] Lataif al-Maarif : 288. [5] Al-Bukhari : 5472 [6] Al-Bukhari : 1897 [7] al-bukhari : 1766. [8] Lataif Al-Maarif : 314 [9] At-Tirmizi : 735. [10] Ibnu Majah : 1735. |
You are subscribed to email updates from :: @ AL-BAKISTANI @ :: To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan