bumiperak |
KELANTAN: Modal atas angin semata-mata Posted: 02 Jul 2011 10:02 PM PDT PETALING JAYA: Seorang exco kanan kerajaan negeri Kelantan menyifatkan dakwaan Perdana Menteri bahawa tapak stesyen teksi Pasir Puteh yang beroperasi sekarang telah dijual oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) sebagai modal atas angin semata-mata. Dalam satu kenyataan media semalam, Dato' Husam Musa berkata, selain itu, Datuk Seri Najib Tun Razak juga menyebut tapak itu telah dirampas oleh Kerajaan Negeri melalui PKINK. Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Najib bahawa beliau (Najib) berjanji akan menyediakan pejabat baru kepada Persatuan Pemandu Teksi Jajahan Pasir Puteh setelah kononnya kerajaan PAS Kelantan merampas tapak perhentian teksi di bandar Pasir Puteh itu dan menjualnya kepada sebuah syarikat swasta. Ucapan Perdana Menteri semalam dipetik oleh Bernama di bawah tajuk "PM Janji Beri Pejabat Baru Untuk Persatuan Kereta Sewa Pasir Puteh". Menurut Husam, yang juga Naib Presiden PAS, kenyataan Najib tersebut tidak berasas sama sekali kerana PKINK pada sebarang masa tidak pernah menjual tapak berkenaan, bahkan disediakan percuma untuk perkhidmatan teksi di Pasir Puteh. "Walaupun sebelum ini, PKINK mengenakan sedikit bayaran ke atas persatuan pemandu teksi Pasir Puteh, tetapi kini, bagi tujuan kebajikan ahli persatuan tersebut, PKINK tidak mengenakan sebarang bayaran," jelas beliau. Katanya, apa yang berlaku ialah ada pihak tertentu pernah memohon untuk membeli tapak berkenaan bagi kemudiannya diserahkan kepada pihak lain untuk dimajukan tetapi permohonan tersebut telah ditolak oleh PKINK bagi mengekalkan kedudukan tapak teksi tersebut. Husam berkata, Najib atau sesiapa sahaja boleh menunjukkan bukti atas dakwaan mereka. Sudah tentu Najib tidak mampu berbuat demikian kerana isu ini adalah modal atas angin semata-mata. "Selaku rakyat Malaysia, saya merasa malu atas salah maklumat yang disampaikan kepada pemimpin terpenting negara ini sehingga Perdana Menteri menyebut sesuatu yang tidak berasas dalam ucapan beliau. "Saya menggesa agar Perdana Menteri menyemak pihak yang telah memberikan maklumat tidak bertapis seperti itu bagi mengelak kenyataan yang sama berulang, yang boleh menjejaskan kredibiliti beliau," ujar beliau. Tiada isu besar di Kelantan Selain itu katanya, ia juga menunjukkan Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai isu besar di Kelantan yang boleh dibangkitkan sehingga maklumat tidak berasas pun terpaksa dijadikan modal. "Saya yakin, jika Perdana Menteri sanggup menggunakan maklumat atas angin seperti itu, tentulah dalam isu yang lain juga beliau mudah membeli maklumat bakul sampah, termasuk dalam isu himpunan menuntut pilihan raya yang bersih dan adil pada 9 Julai ini," tegas beliau. Ujarnya, "isu yang lebih besar seperti rampasan wang royalti minyak Kelantan tidak pula disebut. Isu-isu janji pilihan raya Pengkalan Pasir, Manek Urai dan Galas yang belum selesai juga tidak disebutkan. "Saya yakin kerajaan negeri bersedia memberikan tapak berkenaan untuk dimajukan dengan kemudahan yang lebih baik jika kerajaan pusat serius untuk memajukannya. Mengenai kononnya majlis Perdana Menteri di Pasir Puteh dihadiri oleh puluhan ribu rakyat jelata, amat malang kerana lawatan yang penting seperti itu hanya dimeriahkan oleh kerahan paksa pelajar sekolah dan kakitangan kerajaan. "Buktinya, semuanya 'dipakaikan' baju merah yang dibekalkan terlebih dahulu. Tidak ada tanda kedatangan sukarela atas pilihan sendiri tetapi datang 'berjemput' siap 'beruniform'. "Lebih menggelikan hati bila bangunan rasmi pejabat kerajaan persekutuan di Wisma Persekutuan telah 'ditawan' oleh BN dengan dipenuhi oleh bendera parti itu," tambah beliau. Husam berkata, ternyata, kedatangan Perdana Menteri telah mencemarkan lagi konsep pemisahan antara parti dan kerajaan. "Jika inilah sikap BN yang terus menggunakan premis, harta dan kerajaan untuk kepentingan parti mereka tanpa segan silu, ia perlu terus ditolak oleh rakyat yang cintakan amalan politik yang telus, bersih, amanah dan amalan politik kepartian yang melampau," katanya. |
You are subscribed to email updates from BUMI PERAK To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan