Blog-list Malaysia |
- IGP benar MP lawat wakil rakyat Sg Siput
- Suhakam: Siasatan awam dakwaan keganasan polis
- Anwar pengkhianat negara - Musa Hassan
- Kisah Tauladan Seorang Bekas Polis FRU!
- Krisis politik: Mesir pecat 700 pegawai kanan polis
- BERSIH 2.0 di Kaherah Mesir
- Doktor, pakar bedah kecam tembak gas ke hospital
- Kenapa PAS bersama BERSIH yang dipimpin AMBIGA?
- ‘Agih peruntukan negara ikut peratusan cukai’
- 709-This is Our Land
- Dr Asri: ‘Islam tak beri pemerintah lesen lakukan apa sahaja’
- Bersih: 4 dibebas selepas 5 hari ditahan
- Hina Negaraku: Lembaga pengarah UMT tunggu laporan
- Utusan Buat Lawak Bodoh Bila Tuduh Media Asing Dan Internet Buat Cerita Bohong
- Nurul: Kami tak ingin seperti Mesir
- Hidup Lagi Rupanya Noh Omar??
IGP benar MP lawat wakil rakyat Sg Siput Posted: 13 Jul 2011 10:58 PM PDT KUALA LUMPUR, 14 Julai — Polis membenarkan ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat melawat wakil rakyat Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar di Bukit Aman esok susulan permintaan dibuat kelmarin, kata Lim Guan Eng hari ini. Setiausaha Agung DAP berkata, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar telah memberi kebenaran kepada tiga ahli Parlimen untuk melawat Jeyakumar di ibu pejabat polis di Bukit Aman. Lim membuat permohonan selepas sembilan ahli Parlimen tidak dibenarkan bertemu dengan wakil rakyat penggal pertama itu, yang kini ditahan di bawah Ordinan Darurat, di Institut Jantung Negara. "Saya telah mengemukakan permohonan kepada Tan Sri Ismail untuk melawat YB Dr Michael Jeyakumar (gambar) pada 12 Julai, beliau membalas surat pada 13 Julai (semalam) dan memberitahu bahawa YB Dr Michael Jeyakumar telah pun keluar dari Institut Jantung Negara. "Dalam suratnya, Tan Sri Ismail juga mengatakan bahawa pihak polis membenarkan lawatan ke atas YB Dr Michael Jeyakumar di Bukit Aman," katanya. Jeyakumar telah dibenarkan keluar IJN petang semalam dan masih ditahan polis bersama lima pemimpin Parti Sosialis Malaysia yang lain. Lawatan ke atas beliau akan diadakan esok, kata Lim dalam satu kenyataan pagi ini. Bagaimanapun lawatan terhad kepada tiga ahli Parlimen sahaja, kata Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang. Sehubungan itu, ahli Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang dari DAP, Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) dan R Sivarasa (PKR-Sivarasa) akan melawat Jeyakumar. Dipetik dari TMI | ||
Suhakam: Siasatan awam dakwaan keganasan polis Posted: 13 Jul 2011 09:47 PM PDT Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini mengumumkan ia akan mengadakan siasatan awam terhadap dakwaan keganasan polis sewaktu perhimpunan BERSIH 2.0 Sabtu ini. Bagaimanapun, ia sedang mengkaji bidang rujukan siasatan tersebut yang akan diumumkan kemudian. Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee mengumumkan demikian selepas menerima memorandum dari peserta perhimpunan BERSIH yang diketuai ahli jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0, Marina Chin Abdullah. - mkini | ||
Anwar pengkhianat negara - Musa Hassan Posted: 13 Jul 2011 08:26 PM PDT KUALA LUMPUR 13 Julai - Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai seorang pengkhianat negara yang perlu dikenakan tindakan tegas. Ini ekoran kenyataannya kepada media Indonesia bahawa Malaysia sudah mendekati revolusi selepas perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), pada Sabtu lalu. Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, kenyataan Anwar itu terang-terangan menunjukkan Ketua Pembangkang tersebut ingin melihat negara ini mengalami kehancuran dan huru-hara. "Mengapa dia perlu berkata begitu (revolusi) sedangkan dia sendiri yang mengadakan perhimpunan haram Bersih. Ini jelas bahawa dia seorang pengkhianat negara. "Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan sepatutnya tidak teragak-agak lagi untuk mengambil tindakan tegas terhadap beliau yang ingin melihat negara ini huru-hara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Seorang lagi bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor memberitahu, kaedah yang digunakan pihak tersebut dalam mewujudkan kekecohan merupakan pendekatan yang ditinggalkan komunis. Menurutnya, sejak 1960-an, perhimpunan haram dan demonstrasi jalanan merupakan pendekatan yang diguna pakai oleh pihak komunis dan pengikutnya untuk menentang kerajaan. "Dua pendekatan itu adalah Agitasi (agitation) propaganda dan Agitasi politik. Kedua-dua pendekatan ini juga digunakan oleh puak di Malaysia yang mahu jatuhkan kerajaan. "Saya tidak mahu menyebut siapa yang menggunakan pendekatan ini, tetapi saya yakin individu itu pasti akan tahu siapa dirinya yang telah melakukan pengkhianatan terhadap negara," tegasnya. -Utusan- | ||
Kisah Tauladan Seorang Bekas Polis FRU! Posted: 13 Jul 2011 06:28 PM PDT Petang semalam..selepas balik dari Ipoh…aku singgah kat Masjid Ridzuaniah, Kuala Kangsar untuk sembahyang Maghrib. Masa aku masuk masjid… Imam dah sujud rakaat pertama. tapi ada sorang tu…nak kata tua, tak berapa tua sangat. Lebih kurang aku jugak. Tinggal lagi…janggut aku dah putih…misai dia masih hitam. Dia dok berjalan dari hujung masjid..sampai hujung sini. Biaq pi la kat dia. Aku masuk saf bila imam bangkit rakaat kedua. Tapi orang tua tu tak sembahyang juga. Bila imam bagi salam rakaat ketiga, aku bangkit sambung rakaat ketiga, sebab aku miss rakaat pertama. Masa tu…tiba-tiba orang tua tu mai duduk sebelah aku. Tak betui kot!! Bila imam baca doa..dia angkat tangan punya tinggi. Khusyuk dan tawadduq! Aku tengok dia menangis..meleleh air mata. Macam Tok Guru Nik Aziz! Selesai imam baca doa..taqabbalallahu minkum…dia terus bangkit pi salam dengan imam. Dia cium tangan imam tu…imam tu pun senyum. Dia salam dengan semua orang sambil menangis…tapi orang lain semua senyum!! Dia mai salam dengan aku…masa tu baru aku tau apa yang dia cakap…."saya minta maaf banyak-banyak." Apa salah dia? Aku terus keluar masjid…takut selipar hilang. Baru nak sarung selipar…aku dengar orang menjerit.."hoi..tak payah salam dengan muslimat….depa dah maafkan dah!" Rupa-rupanya dia nak salam dengan muslimat kat belakang. Aku tanya kat sorang jemaah yang keluar masjid tu.."sapa tu?" "Polis pencen…tak betui dah!!" jawab sahabat tadi. Aku tak jadi masuk kereta…aku perati orang tua tu dari jauh. Nak kata gila…aku tengok pakaian dia masih kemas. Kain pelikat dia masih bersih. Baju melayu dia siap dengan butang. Kopiah putih dia tak ada taik lalat. Interesting! Dia duduk kat atas tangga masjid. menangis tersedu-sedu. Lepas sorang-sorang jemaah keluar masjid..ada yang duduk dalam masjid tunggu isyak. Mana yang keluar dok tepuk belakang orang tua tu…"sabor Yop!"..kata depa. Bila dah tak ada orang…aku pi kat orang tua. Bagi salam. Dia jawab salam aku. "Waalaikum salam. huk..huk..huk." Tak gila pun! "Ada apa-apa yang boleh saya tolong abang?" aku tanya dia. Dia bangkit dan terus peluk aku. Seriau! "Abang mintak maaf banyak-banyak adik..abang dah banyak buat dosa kat semua orang." Tiba-tiba dia berhenti menangis. "Pasai apa abang tak sembahyang tadi…tapi doa punya baguih!" aku tanya. "Abang ni polis dik…memang kami tak boleh sembahyang…kena jaga orang sembahyang!" Senafas saja dia menjawab dengan fasih! "Pasai apa tak tengok saja orang lain berdoa?" aku tanya. "Yang tu kena buat!! yang tak angkat tangan orang bukan islam saja." dia jawab. Aku tak tau la dia ni mazhab mana. "Yang dok pi mintak maaf kat semua orang pasai apa?" "Sebab dulu…lepas baca doa abang pukui orang. Yang tangkap Badrul Amin baca doa tu abang la. Mana yang melawan kami terajang. Mana yang bangkit kami pukui. Tak kira la lelaki ka…perempuan ka..kami balun semacam saja." Macam mana jemaah lain kata dia ni tak betui? apa yang dia cakap semua betui! "Abang ni masih kerja polis ka?" "Tak….medikal bod. Dah dua tahun" dia kata. Aku tak pernah kerja gomen…aku tak tau apa dia. Tapi aku buat-buat tau la. "Abang nak pi mana lepaih ni?" aku tanya. "Nak ambik anak…dah lama dia tak balik." dia kata. "Nak ambik kat mana?" aku tanya. Dia diam… "Dah berapa lama tak jumpa anak?" aku tanya. "Kamu layan orang macam tu…kamu pun jadi macam dia!" Haji Rahman, Che'gu kat Idrissiah cakap kat aku masa dia keluar dari masjid. Aku tinggalkan orang tua tu. Ikut Haji Rahman…dia ngajak aku minum di Rahmaniah…dekat masjid tu. "Dulu dia tu FRU…orang sembahyang…dia tak sembahyang. Orang baca doa..dia tadah tangan. Habih orang sembahyang…dia pukui orang sembahyang" Haji Rahman bercerita. "Nak dijadikan cerita…anak dia pun kena pukui. Anak dia belajor kat universiti…ikut orang sembahyang kat Kampung Baru. Bila anak dia kena pukui…anak dia mula fobia tengok FRU. Bila tengok bapak dia..dia mula takut. Last-last tak pernah balik kerumah.Sampai sekarang. Tu pasai dia merayau dari satu masjid kesatu masjid cari anak dia." kata Hj. Rahman. "Ooooo!!!" Habih tu..yang dia pi minta maap kat semua orang pasai apa?" " Dulu dia jaga orang demo…main belasah saja. Sekali tu orang belasah dia balik. masa dia belasah orang..dia tak kenai. Tapi orang kenai dia. Bila dia balik Bendang Kering…orang balas balik. Sebab orang yang dia pukui masa demo tu bebudak kampung dia jugak. Empat hari koma…bila sedor…jadi macam tu la." Cerita Hj. Rahman. "Tapi masa baca doa tadi… aku tengok dia sampai menangis. Mesti dia paham kot?" aku tanya. "Yang tu dia minta ampun kat Tuhan. Sebab Tuhan bagi dia akal..tapi dia tak pakai. Dulu…bila kita tanya dia pasai apa dia pukul orang…dia kata dia ikut arahan. Betui tak betui…dia tak peduli. Dia ikut arahan…bukan ikut Tuhan. Tuhan kata..jangan menzalimi orang lain. Dia kata …dia ikut arahan Mahathir. Dia lebih takut kat Mahathir dari takut kat Tuhan!" Kami pun sampai kat Restoran Rahmaniah. "Mamak Zamree!! Teh tarik satu!" Dipetik dari sini | ||
Krisis politik: Mesir pecat 700 pegawai kanan polis Posted: 13 Jul 2011 06:11 PM PDT KAHERAH, 14 Julai — Hampir 700 pegawai kanan polis Mesir dibuang kerja ekoran insiden membunuh penunjuk perasaan ketika kebangkitan rakyat negara itu menggulingkan Presiden Hosni Mubarak awal tahun ini. Menteri Dalam Negeri Mansour Essawy berkata seramai 505 jeneral dan 164 pegawai biasa akan ditamatkan perkhidmatan mereka mulai 1 Ogos ini. Tindakan itu diambil ekoran protes yang berterusan di Dataran Tahrir di sini, menggesa kerajaan mempercepatkan tindakan ke atas anggota polis dan pegawai-pegawai Hosni yang berasuah. Pihak tentera juga mengesahkan bahawa pilihan raya September ini akan ditangguh. "Diputuskan bahawa (pilihan raya Parlimen) akan diadakan Oktober atau November," kata seorang pegawai majlis tentera dipetik laporan BBC. Laporan stesen TV Mesir berkata seramai 37 pegawai yang dipecat turut berhadapan dengan tuduhan membunuh penunjuk perasaan. Lebih 800 penunjuk perasaan terbunuh ketika kebangkitan rakyat selama 18 hari yang membawa kepada Hosni meletakkan jawatan pada 11 Februari. Dipetik dari TMI | ||
Posted: 13 Jul 2011 09:03 AM PDT 9 Julai,Kaherah,Mesir - Suasana di Dataran Hayyu Asyier,Kaherah tempat dimana kebanyakkan kompleks yang menempatkan pelajar-pelajar Malaysia di sini bertukar riuh rendah apabila kebanyakkan pelajar-pelajar Malaysia hari ini berhimpun untuk satu suara dan satu matlamat iaitu menyatakan sokongan padu terhadap perhimpunan BERSIH 2.0 di Malaysia. Perhimpunan yang disertai hampir 300 mahasiswa/wi Al-Azhar dari seluruh Mesir itu termasuk mahasiswa/wi perubatan Al-Azhar itu, mula berhimpun jam 4 petang(waktu tempatan). Perhimpunan tersebut mula meriah dan bersemangat apabila kebanyakkan mahasiswa/wi Azhar tiba di dataran tersebut setelah selesai solat Asar. Hampir seluruh mahasiswa/wi Azhar pada masa itu mengenakan pakaian kuning dan ada juga yang mengenakan pakaian tema baju BERSIH 2.0 dalam menyokong seratus peratus perhimpunan BERSIH 2.0 di Kuala Lumpur. Perhimpunan ini juga telah dilaksanakan di beberapa buah negara yang lain seperti Australia,New York, Hong Kong dan beberapa negara lain lagi. Jurucakap SUARA iaitu satu pertubuhan di bawah PMRAM(NGO di Mesir), Ust Mohd Firdaus bin Mazlan berkata, perhimpunan kali ini bertujuan menyatakan sokongan padu terhadap BERSIH 2.0 yang menuntut keadilan dalam pilihanraya ke-13 nanti. Beliau juga melarang mahasiswa/wi Azhar pada ketika itu untuk membuat demontrasi secara keterlaluan dan cukup sekadar menandatangani pada banner yang telah disediakan untuk diwarkan kepada masyarakat di Malaysia betapa mahasiswa/wi Malaysia di Mesir juga prihatin kepada keadaan di Malaysia. Turut dipaparkan adalah mahasiswa/wi Malaysia di Mesir sempat mengambil gambar sempena perhimpunan beramai-ramai tersebut. Dalam pada itu, beberapa hari sebelumnya, mahasiswa/wi di Mesir khususnya di Kaherah telah pun membuat perhimpunan kecil di tempat yang sama tetapi perhimpunan ini telah berarak ke tempat lain seperti di Hayyu Sabie' untuk menwar-warkan perhimpunan besar-besaran yang sama dan di tempat yang sama pada 9 Julai nanti.
Perhimpunan tersebut(9 Julai) berakhir dengan bacaan doa untuk kesejahteraan di Malaysia khususnya dan di serata dunia dan diaminkan oleh semua mahasiswa/wi yang berada disitu. Perhimpunan tersebut berakhir pada jam 5.15 petang(waktu tempatan). Dipetik dari huseinrider.blogspot.com | ||
Doktor, pakar bedah kecam tembak gas ke hospital Posted: 13 Jul 2011 08:30 AM PDT KUALA LUMPUR, 13 Julai: Sekumpulan doktor terkenal hari ini mengeluarkan satu kenyataan mengutuk cara pihak berkuasa mengendalikan perhimpunan aman Bersih, terutamanya tindakan polis yang menembak gas pemedih mata ke dalam kawasan Hospital Tung Shin dan Hospital Bersalin di Jalan Pudu Sabtu lalu. Menyatakan bahawa hospital sepatutnya menjadi 'santuari yang selamat untuk semua' dan 'tempat yang dikhaskan untuk perlindungan' bahkan semasa masa perang, sebelas doktor dan pakar bedah, ada yang di antaranya berkhidmat di hospital berkenaan telah mengutuk keras tindakan polis yang memasuki kawasan hospital untuk memburu para pendemo aman yang lari lintang-pukang akibat serangan polis. "Apa yang lebih memeranjatkan dan disaksikan ramai ialah serangan tanpa provokasi dalam kawasan hospital dan penahanan beberapa peserta yang hanya masuk ke hospital untuk mengelak serangan pemedih mata dan air," kata mereka dalam satu kenyataan yang diemelkan ke Harakahdaily. Kenyataan tersebut merupakan reaksi pertama daripada kumpulan doktor selepas polis menafikan bahawa anggota mereka ada menembak gas pemedih mata dalam kawasan hospital. Ini diikuti dengan sidang akhbar Menteri Kesihatan, Liow Tiong Lai yang mendakwa bahawa polis sememangnya tidak menembak gas pemedih mata dan air asid ke dalam kawasan Hospital Tung Shin dan menyerang dakwaan para peserta Bersih 2.0 yang menyaksikan perkara tersebut dengan mata sendiri sebagai tidak benar. Pelbagai bukti video walaubagaimanapun telah menolak penafian polis dan Liow dengan memaparkan dengan jelas bahawa gas pemedih mata sememangnyat telah ditembak ke dalam kawasan Hospital Tung Shin, ditambah dengan satu laporan Majlis Peguam Negara yang mencatitkan pengamatkannya pada perhimpunan aman Julai 9 yang mengesahkan bahawa insiden tersebut berlaku. Kenyataan yang ditandatangani oleh Dr Musa Nordin, Dr Sheikh Johari Bux, Dr Ng Kwee Boon, Dr Ng Swee Choon, Dr Ronald Macoy, Dr David Quek, Dr Mary Cardozo, Dr. Farouk Musa, Dr. Mazeni Alwi, Dr Pixie Low dan Dr Steve Wong turut mengecam pihak berkuasa yang tidak tahu malu dalam menafikan insiden tersebut dengan pelbagai bukti dan saksi yang jelas terpampang di depan mata. "Ia adalah menjijikkan bahawa pihak berkuasa yang diamanahkan untuk mengurus negara dan melindungi yang lemah dan memerlukan, tanpa malu dinafikan secara umum, kejadian-kejadian walaupun tidak terkira banyaknya foto, video, dan pengakuan saksi mata tentang apa yang sudah jelas kepada semua pemerhati bebas," kata mereka. Walaupun mereka menyatakan bahawa mereka tidak mahu menyertai polemik selepas perhimpunan aman besar-besaran yang dipanggil oleh kumpulan Bersih yang menuntut pembaharuan pilihan raya, para doktor tersebut di mana ada beberapa orang yang bertugas di hospital-hospital yang terlibat semasa kejadian itu, berkata mereka bersedia untuk menyediakan afidavit bersumpah "jika perlu, kepada kebenaran insiden". Kenyataan itu juga mengingatkan para pemegang jawatan awam untuk menunaikan tugas mereka dengan "integriti moral, maruah, dan ketelusan". "Kegagalan mereka untuk berbuat demikian akan menimbulkan keraguan orang ramai terhadap kecekapan dan kredibiliti mereka dan juga merosakkan imej orang-orang di pejabat tinggi," tegas mereka. Sumber - Harakahdaily | ||
Kenapa PAS bersama BERSIH yang dipimpin AMBIGA? Posted: 13 Jul 2011 06:53 AM PDT Bersih dan Ambiga — Zulkifli Sulong 13 JULAI — Anak saya salah seorang ahli jawatankuasa kecil penganjur Himpunan Sejuta Belia yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan. Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek kebetulan sahabat lama saya. Namun, kerana arah tuju dan cara penganjuran perhimpunan itu, anak saya telah menarik diri dari jawatankuasa itu pada minggu kedua menjelang hari perhimpunan itu. "Mereka cuba tarik belia dengan hiburan, bukan dengan minda," katanya. Kerana penglibatannya dalam program itu, ramailah rakan-rakannya dari kalangan ini, penyokong agenda Umno. Apabila datang isu Bersih 2.0, anak saya secara main-main dan bergurau meletakkan statusnya di Facebook, dia akan menyertai semua program anjuran Bersih itu. Rupanya, ia telah memanggil rakan-rakannya dalam jawatankuasa 1 Juta Belia untuk membuat komen-komen menarik tentang isu Bersih. (Perhimpunan 1 Juta Belia yang dihadiri tidak sampai 100,000 belia)Antara komennya adalah "kenapa menyokong Bersih yang diketuai oleh Datuk S Ambiga itu." Lalu dikaitkanlah Ambiga adalah peguam Lina Joy dan penyokong IFC (Inter Faith Commision). Sebenarnya inilah isu Bersih di kalangan Umno dan penyokong tegar mereka sebenarnya. Ia tidak ada bezanya dengan apa yang dibawa ke minda para anggota keselamatan yang bertugas di hari 9 Julai lalu. Ramai peserta Bersih yang ditangkap disumpah seranah oleh para rakan-rakan polis kononnya padan dengan muka kamu kerana mengikut telunjuk Ambiga yang Hindu itu dan cuba memurtadkan umat Islam itu. Sekali pandang, kita yang berfikiran waras akan tergelak mendengar hujjah itu. Tetapi kerana kesian kepada mereka yang sudah terperangkap dengan indoktrinasi ini, kita perlu memahamkan mereka apakah sebenarnya yang berlaku dan pemikiran bagaimanakah yang benar. Baca seterusnya disini | ||
‘Agih peruntukan negara ikut peratusan cukai’ Posted: 13 Jul 2011 06:46 AM PDT DUN SELANGOR SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Persekutuan perlu mengagihkan peruntukan negara secara adil dengan mengambil kira peratusan cukai yang dikutip mengikut setiap negeri. Khalid berkata kegagalan Kerajaan Persekutuan mengagihkan peruntukan itu menyebabkan perbezaan jurang agihan di setiap negeri adalah besar. "Kerajaan Persekutuan sekarang dalam tempoh 30 tahun ini tidak amalkan satu sistem agihan untuk tentukan sumber rakyat diseluruh negara. Sebab itu jurang agihan sumber di negeri-negeri sangat besar. "Setiap agihan ini perlu mengambil kira jumlah cukai yang dibayar oleh negeri. Agihan itu perlu diberi mengikut pembangunan negeri sama ada negeri itu maju atau tidak," katanya semasa menjawab soalan lisan Hasimah Sidom (BN-Morib) mengenai apakah kerajaan negeri akan memperluas pemberian subsidi pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini. Beliau berkata kerajaan Persekutuan dijangka berbelanja lebih RM20 bilion pada tahun 2011 untuk menampung pelbagai subsidi rakyat berbanding kerajaan Negeri yang berbelanja RM152 juta setahun. Menurut Khalid, pemberian air percuma tidak diterjemahkan sebagai subsidi, namun ia adalah tanggungjawab kerajaan Negeri untuk memberi hak asasi kepada rakyat. "Penyusunan semula air, nilai harta yang dimiliki Selangor sebahagian kecil diterjemah sebagai pemberian air percuma. Harga air sesuai dengan kehendak dan penggunaan. Dua puluh meter pada penggunaanya akan diberi percuma……lebih 20 meter bukan percuma. Lebih banyak guna lebih tinggi kos. Air dan tenaga tidak boleh dianggap sebagai subsidi tetapi ia hak asasi rakyat. Maka air percuma tidak akan diterjemah sebagai subsidi. "Itu sikap kita (kerajaan Negeri) dengan penyusunan industri air di Selangor kerana cara penswastaan yang dibuat sebelum ini tidak ambil kira rakyat. Kerajaan yang mementingkan rakyat akan memberikan hak asasi, dan rakyat ada hak untuk hidup bagi membangunkan keluarga mereka," katanya. Beliau turut mengingatkan ahli Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat agar mengambil sikap baru ke arah pembangunan negara Malaysia dengan mengambil kira asas kebajikan rakyat. | ||
Posted: 13 Jul 2011 05:50 AM PDT | ||
Dr Asri: ‘Islam tak beri pemerintah lesen lakukan apa sahaja’ Posted: 13 Jul 2011 05:28 AM PDT KUALA LUMPUR, 13 Julai – Dalam pandangan dilihat menyentuh kesan perhimpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Putrajaya telah mempergunakan pemimpin agama untuk mempertahankan kuasa sebagaimana disaksikan di rantau Timur Tengah. Bekas mufti Perlis (gambar) berkata pemerintah di Timur Tengah yang sebahagian besarnya adalah "korupsi dan zalim" mempergunakan pemimpin agama untuk membela mereka. "Mereka (pemimpin agama) memahami nas-nas al-Quran dan Hadis secara literal dan menganggap urusan muamalat dan siasah sama seperti ibadat khusus yang tidak boleh dilakukan pembaharuan dan tokok tambah," kata tokoh agama yang memperlihatkan pendirian progresif. Tenaga akademik dari Universiti Sains Malaysia ini memberitahu, keadaan itu wujud apabila kelompok terbabit mentafsir hadis-hadis politik secara literal, yang seakan-akan Islam memberikan 'lesen' besar kepada pemerintah untuk melanyak rakyat dan rakyat pula diikat kaki, tangan dan mulut dengan nas-nas agama dari bertindak atau membantah. "Lebih hodoh lagi, hanya nas-nas yang 'kelihatan' propemerintah sahaja yang dibaca, diforumkan, diwar-war dalam pelbagai saluran sedangkan nas-nas yang memberikan amaran terhadap kezaliman pemerintah tidak pula dicanangkan," kata beliau. Di Malaysia kata Asri, "kita dapat melihat fonomena ini semasa isu demonstrasi panas baru-baru ini dalam masyarakat." "Di sini bukan bertujuan menyokong atau menentang demonstrasi aman, tetapi sekadar ingin membincangkan kefahaman sesetengah pihak mengenai hadis-hadis berkaitan," kata beliau dalam satu kenyataan. Sabtu lalu, ribuan rakyat Malaysia telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 anjuran Bersih 2.0 untuk menuntut transformasi pilihan raya yang perlu dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Gabungan 62 pertubuhan bukan kerajaan dan disokong Pakatan Rakyat mengemukakan lapan tuntutan yang perlu dilaksanakan iaitu membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor. Lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Bersih 2.0 dan Pakatan Rakyat ditahan. Jelas Asri, tindakan berbentuk keganasan tidak boleh dilakukan terhadap rakyat sekiranya tiada pententangan dilakukan termasuk perkara yang boleh menyebabkan kerosakan yang lebih besar. "Hadis tentang taat dan patut sekali pun dirampas harta dan dipukul itu, ia merujuk kepada keadaan di mana jika penentangan dilakukan akan menyebabkan kerosakan yang lebih besar seperti pemerintah akan membunuh atau memusnah orang lain yang tidak bersalah sedang kita tidak mampu memberikan sebarang kesan kepada mereka. "Ini terutama di zaman dahulu yang terkenal dengan penumpahan darah. Begitu juga di bawah rejim-rejim yang zalim yang hanya merugikan para penentang dan negara secara umumnya," katanya. Jelas beliau, keadaan kini sudah berubah yang mana setiap negara terikat dengan peraturan antarabangsa terutamanya mengenai hak asasi manusia. Namun, katanya, apabila dunia berubah negara-negara terikat dengan peraturan antarabangsa mengenai hak asasi rakyat. "Juga, apabila negara-negara itu meletakkan dalam perlembagaan mereka tentang hak-hak rakyat, dalam ertikata lain membantah pemerintah dalam negara demokrasi aman itu adalah sesuatu yang tidak boleh dianggap menentang negara kerana diiktiraf dan dijamin oleh perlembagaan negara dan persetujuan antarabangsa," katanya. "Maka, konteks Hadis sudah berbeza," kata Asri sambil menambah, "Islam bukanlah agama yang memberikan lesen kepada pemerintah untuk berbuat apa sahaja dan rakyat wajib mendiamkan diri." Oleh itu tegas beliau, jangan bawa tafsiran zaman Abbasiyyah ke zaman yang sudah berubah. Dengan mengambil contoh daripada Hadis, Asri berkata "Rasulullah sendiri sebagai pemerintah membenarkan diri Baginda dibalas." Tegas beliau, pemerintah tidak dibenarkan sama sekali untuk bertindak sewenang-wenangnya apatah bertindak ganas terhadap rakyat. "Jika pemerintah itu diberikan wewenang untuk memukul dan mengambil tanpa dipersoalkan, apakah ertinya sesuatu pemerintahan itu? "Apakah mereka seperti penzalim dan perompak berlesen yang dilindungi oleh nas-nas agama? Maha Suci Allah dari menurunkan agama yang seperti itu," katanya. Dipetik dari TMI | ||
Bersih: 4 dibebas selepas 5 hari ditahan Posted: 13 Jul 2011 03:58 AM PDT BENTONG, 13 Julai: Empat penyokong PAS yang ditahan polis di sini Jumaat lalu atas dakwaan membawa senjata untuk ke perhimpunan Bersih 2.0 dibebaskan tanpa syarat pagi tadi. Hakim Mahkamah Sesyen Bentong membuat keputusan membebaskan Mohd Azri Shamsuddin, Ahmad Kamal Shamsuddin, Mohd Asli Abdullah dan Yusri Yusof setelah pihak pendakwa menarik balik pertuduhan. Keputusan yang diumumkan jam 10 pagi oleh peguam tertuduh Ahmad Nizam Hamid dan Harris Abdullah itu telah disambut laungan takbir dan tahmid oleh kaum keluarga serta penyokong di luar nahkamah Turut berada di mahkamah ialah Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Cabang PKR Bentong Mohd Nor Hasan dan kira-kira 80 orang penyokong. Kesemua mereka selepas itu mengadakan Solat Sunat Syukur di Masjid Ketari dan kenduri kesyukuran di Felda Mempaga. Menurut peguam Harris, keempat mereka pada mulanya ditahan atas kesalahan Seksyen 47 dan 50 Akta Pertubuhan. Bagaimanapun semasa dibawa ke mahkamah Isnin lalu, mereka didakwa atas Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958. "Semalam pihak pendakwa memohon untuk reman selama tiga hari, namun setelah berhujah dengan peguam pembela hakim hanya membenarkan sehari. Pagi ini dibebaskan," katanya. Sementara itu Mohd Asli ketika menceritakan penangkapan mereka, Jumaat lalu beliau memandu kereta 'Storm' dari Jengka dan mengikut jalan Bentong lama untuk ke Kuala Lumpur. Sampai di kawasan berhampiran kolam air panas Bentong, kenderaannya telah ditahan oleh polis yang membuat sekatan jalan raya. "Semasa menggeledah kereta saya, polis mendapati antaranya parang dan pisau yang selama ini saya gunakan untuk ke kebun. Lalu kami dibawa ke balai dan bermalam di lokap selama lima malam," terangnya. - HRKH | ||
Hina Negaraku: Lembaga pengarah UMT tunggu laporan Posted: 13 Jul 2011 03:37 AM PDT KUALA TERENGGANU 13 Julai – Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT) masih menunggu laporan berhubung kes individu yang dikatakan pelajar institusi itu, menghina lagu Negaraku menerusi laman sosial Facebook, baru-baru ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri yang juga ahli Lembaga Pengarah UMT Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pihaknya sedang menunggu laporan lengkap daripada universiti itu berhubung perkara itu. "Sekiranya betul ia melibatkan pelajar UMT maka kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya. "Kita kecewa dengan apa yang berlaku, tidak kira sama ada dilakukan oleh pelajar atau pun individu lain," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Katanya laporan sudah dibuat pendaftar UMT di Balai Polis Gong Badak berhubung perkara itu. - Bernama | ||
Utusan Buat Lawak Bodoh Bila Tuduh Media Asing Dan Internet Buat Cerita Bohong Posted: 13 Jul 2011 03:01 AM PDT PETALING JAYA: Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak lagi memberi muka kepada akhbar asing dan portal berita yang menurutnya menyokong pembangkang. Menurut akhbar itu, media asing terutama portal pembangkang di negara ini begitu berani membuat laporan yang tidak benar kerana begitu yakin kerajaan melalui KDN tidak akan mengambil tindakan. Akhbar itu mendakwa, dua portal berita tempatan Malaysiakini dan The Malaysian Insider sealiran dengan akhbar luar membuat laporan palsu mengenai perhimpunan Bersih Sabtu lalu. Utusan Malaysia dalam rencana pengarang hari ini mendakwa kedua-dua portal itu membuat banyak laporan palsu ketika perhimpunan Bersih berlangsung bertujuan untuk memburukkan kerajaan di mata masyarakat dan mencemarkan Malaysia di pentas antarabangsa. Katanya, sikap tidak beretika dan melampau media-media berkenaan tidak harus dibiarkan dan langkah Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mendedahkan bukti apa sebenarnya berlaku pada Sabtu lalu amat dialu-alukan. "KDN tidak harus lagi berlembut dengan media-media seumpama itu yang dalam setiap laporan mereka tidak ada yang baik mengenai kerajaan dan Malaysia. "Dalam soal ini kita tidak mahu lagi mendengar hujah atau amaran tetapi kesudahannya tiada tindakan tegas diambil," lapor Utusan Malaysia. Menurut akhbar itu, kalaupun kerajaan cuba 'berbaik-baik' dengan mereka dengan memberikan maklumat dan fakta yang tepat dan sahih, mereka tidak akan menggunakannya. Sebaliknya mereka akan mencari fakta lain yang boleh memburuk-burukkan imej kerajaan dan Malaysia serta tetap mendengar putar belit pembangkang. Bagaimanapun, melihat rakaman media asing Al-Jazeera tentang perhimpunan Bersih 2.0, ternyata kalimah mereka gunakan adalah realistik. Ahli perhimpunan disifatkan sebagai pembantah kepada perjalanan pilihan raya yang disaluti amalan tidak demokratik kerana undang- undang pilihan raya yang tidak adil. "Lalu dianggapkan urusan perhimpunan sebagai saluran untuk menuntut Najib menggubal undang-undang pilihan raya yang adil. "Ia jauh berbeza dengan laporan media lokal yang terlampau negatif untuk Bersih 2.0, malah turut mengundang persepsi, betapa media tersebut kuat dikontrol oleh penguasa Umno-Barisan Nasional. "Meskipun semua pengamal media boleh menyifatkan orientasi media itu sudah melanggar etika pemberitaan kerana sarat dengan kandungan kepalsuan, pembohongan dan pemfitnahan melampau," kata Wan Nik Wan Yusoff, pengkaji politik di pejabat Menteri Besar Kelantan . Misalnya akhbar Berita Harian telah menggunakan 'imej jadian' dengan mempamerkan lagak seorang pemuda seumpama pemuda Palestin sedang melontar batu ke arah polis Israel. Ala media Israel "Ia suatu ciptaan, bukan realiti tentang perhimpunan Bersih 2.0. Mana ada lagak pemuda sebegitu! Ia suatu teknik kepalsuan ala media Israel (Yahudi) yang bertujuan mencemarkan misi perhimpunan Bersih 2.0," tambahnya. Beliau berkata, media lokal itu juga turut mesra pembohongan apabila dikesan telah mengabaikan fakta sebenar tentang perhimpunan Bersih 2.0. Di antaranya meletakkan status Bersih 2.0 sebagai gagal dan menyiarkan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang kononnya ahli perhimpunan hanya sekitar 5,000 atau 6,000 orang sahaja. "Sedangkan dalam lembaran akhbar sama turut mengesahkan lebih 1,600 telah ditangkap. Jika benar gagal, kenapa perlu tangkap sampai hampir dua ribu orang,? soal Wan Nik. Menurutnya, pembohongan paling tidak berperikemanusiaan turut disiarkan melalui kenyataan Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berhubung pengakuan di sebalik kematian pemandu teksi, Baharudin Ahmad. "Kematian beliau dikatakan akibat sakit jantung, sedangkan ahli keluarganya mendakwa arwah tidak pernah mengidap sakit jantung. Apakah kepakaran polis telah mengambil alih kepakaran seorang doktor? Hanya media yang sewel seumpama media lokal tersebut sahaja yang mengiktiraf kenyataan polis sebagai benar," tegasnya. "Satu lagi, amatlah malang apabila media lokal tersebut sudah menjadi mata pedang yang membunuh watak akibat mainan fitnah yang dihamburkan kepada masyarakat. Ia berkaitan dengan laporan terhadap (Ketua Pembangkang) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dicap sebagai petualang, penderhaka dan pengacau. "Ia suatu fitnah besar. Maka lagak media lokal itu seumpama hakim yang pendek akal kerana mengecap Anwar dengan niat mematikan wataknya sebagai politikus yang berprinsip. "Termasuklah juga menyiarkan pandangan yang anti Bersih 2.0, kononnya Sasterawan Negara, A. Samad Said sebagai seorang yang bijak telah digambarkan semacam watak yang pendek akal kerana boleh bersama-sama Datuk S Ambiga menuntut lapan perkara ke arah pilihan raya yang adil," ujarnya. | ||
Nurul: Kami tak ingin seperti Mesir Posted: 13 Jul 2011 02:23 AM PDT PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, perhimpunan jalanan mungkin tidak berlaku lagi kerana tidak mahu apa yang berlaku di Mesir atau Syria berlaku di negara ini. "Kami ni masih cintakan Malaysia. Dan apa pun masalah yang dibuat oleh Barisan Nasional (BN), bila kami menang, tentu kami yang akan mewarisinya. "Semangat kami adalah semangat memperbaiki keadaan," katanya dalam temubual dengan akhbar Jawa Pos. Beliau ditanya mengenai perhimpunan Bersih di Kuala Lumpur Sabtu lalu bagi menuntut pilihan raya adil dan bersih. Kata Nurul Izzah, anak sulung pemimpin pembangkang utama Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pihaknya memang melihat proses transisi di Indonesia, Mesir dan beberapa negara lainnya. "Kami mengambil pelajarannya. Tapi, penerapannya di Malaysia akan kami sesuaikan sendiri," tegasnya. Tetapi Nurul Izzah yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, pihaknya memang tidak ingin kehilangan momentum rakyat dari perhimpunan tersebut. Kekalkan momentum Beliau akan menyegerakan bertemu dengan para pemimpin lain untuk membincangkan bagaimana hendak mengekalkan momentum rakyat itu. "Ini momentum yang sangat berharga dan sudah ada kemalangan jiwa (kematian) Baharuddin (Ahmad). Kami tak menyia-nyiakannya. Program ceramah, sokongan di internet, akan kami imbangi juga dengan aksi demonstrasi. Tapi ingat bahwa tetap yang kami depankan adalah 'peaceful rally' (aksi damai)," katanya. Nurul Izzah meyakinkan masyarakat Malaysia akan meneruskan perjuangan dan tidak akan berhenti hanya setelah diberi janji-janji. "Not enough." Harus ada bukti kukuh bahawa pelaksanaan pilihan raya nanti terjamin kebersihan dan keadilannya," tambahnya. Beliau berkata, beliau dan warga Malaysia menuntut perubahan sistematik di bidang politik Malaysia, terutama dalam hal pilihan raya. Tuntutan ini, katanya bukan tuntutan yang mengada-ada kerana orang tahu bahawa pilihan raya di Malaysia kurang adil. Dipetik dari MToday | ||
Posted: 13 Jul 2011 02:14 AM PDT Noh: Ambiga 'cucuk hidung' MP Pakatan Menteri Pertanian dan Asas Tani Datuk Seri Noh Omar menyifatkan pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) Datuk S Ambiga "lebih hebat" daripada ahli parlimen Pakatan Rakyat. Dengan sinis, Noh berkata, ahli parlimen Pakatan "macam lembu dicucuk hidung" dengan mengikut kata-kata Ambiga, antaranya dalam cadangan mengadakan 'Sabtu kuning' setiap minggu. "Nampaknya, Ambiga ini lebih hebat daripada ahli-ahli parlimen (Pakatan). Bagi saya, Ambiga buat macam itu, dia menghina ahli-ahli parlimen pembangkang yang ada pada hari ini. "Kerana dalam parlimen, ramai ahli parlimen (Pakatan). Kalau sebagai ahli parlimen berbagai cara, mereka boleh menyuarakan lapan perkara, yang mereka tidak puas hati. "Sepatutnya tugas ahli parlimen, tapi apa ahli parlimen buat," katanya ketika diminta mengulas saranan Ambiga supaya rakyat memakai apa-apa sahaja yang berwarna kuning sebagai sokongan berterusan kepada lapan tuntutan BERSIH. Kenyataan Noh itu bagaimanapun dilihat bertentangan dengan pandangan Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan dalang sebenar di sebalik perhimpunan itu. Perdana menteri pada 10 Julai dilaporkan berkata, perhimpunan Sabtu lalu merupakan rancangan terdesak ketua pembangkang untuk memanipulasi rakyat bagi meraih sokongan. |
You are subscribed to email updates from BlogList Malaysia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan