Sabtu, 2 Julai 2011

Ajijoi

Ajijoi


Pakatan: Fitnah KDN mahu halang Himpunan Bersih 2.0

Posted: 02 Jul 2011 07:05 AM PDT

Salahuddin berkata tuduhan yang dilemparkan terhadap Bersih adalah fitnah. — Foto fail
KUALA LUMPUR, 2 Julai — Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mencabar Putrajaya membuktikan propaganda yang didakwa dilakukan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) sehingga ia diisytihar pertubuhan haram.

Beliau yang agak terkejut dengan tindakan drastik Kementerian Dalam Negeri melalui Pendaftar Pertubuhan Malaysia menegaskan dakwaan yang dilemparkan terhadap Bersih adalah satu usaha untuk menghalang rakyat menyertai Himpunan Bersih 2.0.

Menurut Pendaftar Pertubuhan Datuk Abdul Rahman Othman, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengisytiharkan Bersih sebagai pertubuhan menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966 berkuat kuasa semalam.

Tegas Salahuddin, dakwaan kononnya Bersih terlibat dengan propaganda yang mengancam keselamatan negara adalah tidak benar sama sekali.

"Saya menganggap itu tidak benar sama sekali kerana apa yang dituntut oleh Bersih tidak keluar daripada kerangka Perlembagaan Persekutuan.

"Sepatutnya tuntutan Bersih ini dikaji dahulu kerana Bersih tidak melakukan sebarang propaganda...jadi saya cabar agar buktikan propaganda yang mengatakan Bersih ini melakukan perkara yang memberi ancaman kepada negara," katanya kepada The Malaysian Insider.

Justeru kata Ahli Parlimen Kubang Kerian ini, tuduhan yang dilemparkan terhadap Bersih yang diketuai Datuk Ambiga Sreenevasan adalah fitnah semata-mata.

"Apa yang mengatakan Bersih bertentangan dengan undang-undang? Propaganda yang dilemparkan ini hanya fitnah semata-mata, malah kita pernah membawa perkara ini di Parlimen, jadi ia tiada masalah.

"Ia sengaja diwujudkan untuk menggagalkan perhimpunan Bersih 2.0 dan ia adalah usaha terdesak yang dilakukan Umno-BN," katanya.

Tindakan drastik yang diambil Putrajaya ini merupakan perkembangan terbaru dalam siri tindakan keras diambil sejak lebih seminggu lalu.

Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai ini menyenaraikan lapan tuntutan pembaharuan sistem pilihan raya, mendapatkan sokongan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun BN dan pertubuhan-pertubuhan yang pro perikatan itu membantah.

Awal minggu ini, Hishammuddin mengumumkan kemeja-T Bersih 2.0 yang dijual dan dipakai adalah bahan haram dan menjalani undang-undang negara.

Malah lebih 100 orang aktivis dan pemimpin politik Pakatan Rakyat telah ditahan. Semalam polis menegaskan pihaknya telah menutup segala bentuk perbincangan dengan sekretariat Bersih.

Dalam kenyataan hari ini juga, Abdul Rahman berkata Kementerian Dalam Negeri telah menyiasat pertubuhan Bersih 2.0 dan mendapati bahawa ia bukan satu pertubuhan berdaftar.

Bagaimanapun kata beliau, Bersih 2.0 memenuhi takrifan pertubuhan yang berdaftar di bawah Jadual 1, Akta Pertubuhan 1966.

Menurut Abdul Rahman, Bersih 2.0 telah bergerak aktif dan mencetuskan suasana gelisah dan kebimbangan masyarakat pelbagai kaum negara ini, menyebarkan propaganda menghasut rakyat bagi tujuan menjatuhkan kerajaan dengan mengedarkan risalah-risalah tertentu dan melalui aktiviti-aktivitinya telah memberi kesan buruk kepada imej negara, bahkan boleh mengancam dan menggugat ketenteraman awam, keselamatan, kemakmuran ekonomi dan kedaulatan negara malahan menjejaskan keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum.

Sementara itu Naib Presiden PKR N. Surendran berkata pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Kementerian Dalam Negeri yang mengisytiharkan Bersih sebagai pertubuhan haram.

"Bagaimana sebuah pergerakan yang menuntut pilihan raya bersih dan adil boleh memberi ancaman kepada keselamatan negara?

"Bagaimana satu perhimpunan aman dalam amalan demokrasi boleh memberi ancaman kepada ketenteraman awam?" soalnya.

Tegas Surendran, Hishammuddin tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan apa-apa arahan yang bermotifkan politik dengan tujuan menghalang kritikan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Kami menuntut agar semua arahan ini dibatalkan segera dan kesemua yang ditahan dibebaskan," katanya.

MP Sg Siput, lima lagi ahli PSM ditahan bawah Ordinan Darurat

Posted: 02 Jul 2011 07:01 AM PDT

KUALA LUMPUR, 2 Julai — Polis menahan semula Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar dan lima lagi ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) selama 60 hari di bawah Ordinan Darurat hari ini, yang membolehkan penahanan tanpa perbicaraan.

Keenam-enam mereka hadir di mahkamah Butterworth pagi ini selepas perintah reman tujuh berakhir.

Mereka ditahan minggu lalu berhubung Himpunan Bersih 2.0 bersama 25 yang lain.

Seorang sudah dibebaskan Ahad lalu.

The Malaysian Insider difahamkan mereka akan dibawa ke Bukit Aman di Kuala Lumpur untuk tindakan susulan.

Seramai 24 yang lain dibawa ke mahkamah hari ini dan mereka diwakili oleh peguam kanan Sulaiman Abdullah, seorang bekas presiden Majlis Peguam.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Setiausaha Agung PSM S Arutchelvan berkata kesemua mereka ditahan sebaik sahaja dibebaskan dari ibu pejabat polis daerah Kepala Batas kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi.

"Ya...ya... mereka enam ditahan di bawah Ordinan Darurat yang bermaksud penahanan tanpa bicara yang bertentangan dengan hak asasi manusia.

"Mereka dibebaskan kira-kira pukul 1.30 tengah hari dan ditahan semula seminit selepas itu, mereka akan dibawa ke Bukit Aman petang ini," katanya dengan nada kecewa ekoran tindakan terbaru yang diambil kepada ahli parti itu.

Ketika ditanya lebih lanjut mengenai tindakan seterusnya daripada pihak parti, Arutchelvan bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Mereka (polis) tidak boleh tahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), jadi mereka gunakan Ordinan Darurat untuk menahan ahli kita.

"Tindakan ini sangat tidak betul dan tidak bertanggungjawab, selain bertentangan dengan undang-undang dan hak asasi manusia," katanya.

Turut ditahan Timbalan Pengerusi PSM M. Saraswathy, ahli jawatankuasa pusat Choo Chon Kai, M. Sugumaran, G Pakialetchumy dan seorang lagi yang hanya dikenali sebagai Babu.

Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam Dan Mencegah Jenayah) 1969.

Sementara itu, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dalam kenyataan yang dikeluarkan membantah sekeras-kerasnya penahanan itu sambil menyifatkan ia bertentangan dengan undang-undang dan hak asasi manusia.

Justeru, Suaram menggesa menggesa kesemua mereka dilepaskan dengan segera dan menuntut akses untuk bantuan guaman kepada mereka selain dibenarkan menemui keluarga masing-masing.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar dipetik Bernama Online berkata mereka yang berumur 25 hingga 58 tahun itu ditahan semula sebaik sahaja mereka dibebaskan selepas tempoh reman terhadap mereka berakhir hari ini.

Bercakap kepada pemberita di Bukit Aman, Khalid berkata mengikut maklumat awal, mereka dikatakan terbabit dengan pihak dari luar negara dan telah diresapi anasir subversif.

Katanya, mereka ditahan untuk membantu siasatan lanjut berhubung maklumat awal yang diterima oleh pihak polis.

Mengikut Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat, polis boleh menahan suspek sehingga 60 hari tanpa perbicaraan.

Khalid berkata polis akan memohon kepada mahkamah supaya baki 24 orang dari kumpulan tersebut disambung reman kerana terdapat sedikit lagi siasatan yang belum selesai.

Katanya, jumlah keseluruhan tangkapan yang berkait dengan Himpunan Bersih 2.0 di seluruh negara berjumlah 150 orang.

Mengenai penahanan anggota exco kerajaan Selangor, Ronnie Liu pada Jumaat kerana didakwa menghasut orang ramai dalam satu ceramah di Hulu Selangor supaya menyertai perhimpunan haram itu, Khalid berkata apa jua tindakan dan aktiviti yang menjurus kepada hasutan supaya orang ramai menyertai Himpunan Bersih 2.0 adalah satu kesalahan.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya sehingga semalam, polis telah menerima sebanyak 2,389 laporan polis berhubung bantahan ke atas Himpunan Bersih 2.0.

Tiada ulasan: