SIASAH |
Kepimpinan baharu PAS cetus debat peranan ulama Posted: 04 Jun 2011 12:22 PM PDT Pelbagai bacaan muncul ekoran kemenangan besar pemimpin-pemimpin yang bukan berpendidikan agama dalam pemilihan PAS dalam muktamar tahun ini. Banyak pihak melihat perkembangan ini sebagai persediaan PAS untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Presiden parti itu sendiri, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan kepimpinan yang baru dipilih ialah "kabinet pilihan raya PAS." Hal ini turut diperhatikan oleh pengkaji politik Dr Bridget Welsh dari Sekolah Sains Sosial, Universiti Pengurusan Singapura, yang menyifatkan pemimpin baru dipilih itu sebagai satu "pasukan bekerja." "Pemimpin-pemimpin yang baru dipilih itu merupakan satu pasukan bekerja, bekerja keras, mempunyai semangat aktivisme dan keazaman melonjakkan PAS dan gabungan pembangkang," kata Welsh kepada SiasahDaily. Menurutnya, pasukan ini akan memberi semangat baharu kepada PAS dan membawa parti itu keluar daripada "perasaan tewas" yang dialami. "Mereka membawa satu situasi menang-menang kepada PAS, dan meletakkan parti itu setara dengan DAP, serta menguatkan lagi dialog dengan PKR," katanya. Pemerhati politik Malaysia dan Asia Tenggara itu menyifatkan pasukan baharu yang memenangi pemilihan jawatan-jawatan tertinggi parti itu sebagai "teras generasi reformasi" yang menghargai kepentingan gabungan Pakatan Rakyat. Mengulas isu peranan dan sikap ulama yang menjadi perhatian dalam pemilihan kali ini, Welsh menegaskan hal itu tidak boleh dilihat secara simplistik. "Bukan semua ulama itu sama. Tetapi wujud sekelompok ulama dari negeri tertentu yang kurang berkemampuan untuk memahami kepelbagaian rakyat Malaysia, malah dalam PAS sendiri," ujarnya. Jelasnya, perkembangan ini bakal menjadikan peranan ulama mengalami perubahan-perubahan daripada peranan yang dilihat pada masa kini. Keperluan perubahan peranan ulama ini turut dilihat oleh ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS, Riduan Mohamad Nor. Menurutnya, ulama tidak boleh lagi hanya menjadi ulama fiqh seperti yang dilihat pada masa kini, tetapi perlu meningkatkan pemahaman bidang lain termasuk sains sosial dan isu-isu berkaitan politik semasa. "Seperti disebut presiden dalam ucapan dasar, ulama tidak sepatutnya mempunyai ilmu tetapi tidak faqih dan tidak mempunyai dimensi pemikiran selain daripada bidangnya," kata Riduan dalam satu wawancara ringkas dengan SiasahDaily. Menurutnya, keputusan pemilihan muktamar kali ini menunjukkan bahawa perwakilan telah menghantar mesej kepada ulama yang dilihat tidak memenuhi prestasi yang diharapkan. Jelas Riduan lagi, ramai ulama gerakan Islam di beberapa negara Islam menunjukkan kepentingan dan keperluan ulama yang turut berperanan sebagai intelektual mencakupi bidang yang lebih luas. Menurutnya, pendidikan tahap tinggi di pusat-pusat pengajian yang tidak tertakluk kepada dualisme pendidikan, atau pemisahan pendidikan agama dengan bidang lain perlu dicontohi. Beliau memberi contoh pemimpin gerakan Islam Sudan, Hassan al-Turabi yang menerima pendidikan tinggi di Sorbonne, Perancis, tetapi diterima kedua-dua golongan berpendidikan tradisional dan kontemporari. Walau bagaimanapun, beliau tidak melihat PAS sebagai sepenuhnya gagal dalam hal ini, kerana pernah mempunyai pemimpin seperti Dr Burhanuddin al-Helmi yang bukan agamawan tetapi mewakili semua golongan dalam parti. "PAS tidak gagal dalam hal ini, tetapi apa yang kita ada sekarang masih tidak mencukupi." |
Mohamad Sabu menang timbalan presiden PAS, hangatkan debat kepimpinan ulama Posted: 03 Jun 2011 07:38 PM PDT Mohamad Sabu disahkan memenangi jawatan timbalan presiden PAS untuk penggal 2011-2013, menewaskan penyandang Nasharudin Mat Isa dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Mohamad mendapat undi tertinggi , 420, Nasharudin memperolehi 224 manakala Tuan Ibrahim mendapat 399 undi. Naib pula dimenangi dua penyandang Salahuddin Ayub, Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Husam Musa. Perubahan kepimpinan ini meletakkan semua timbalan dan naib presiden bukan daripada kalangan agamawan atau ulama, mencetuskan persoalan tentang konsep kepimpinan ulama yang menjadi ikutan banyak pihak dalam parti itu. Ini merupakan kali kedua Mohamad mencabar jawatan timbalan presiden selepas tewas pada 2009 dalam persaingan melibatkan penyandang dan Husam. Kemenangan Mohamad ini meletakkan tokoh bukan agamawan di kedudukan nombor dua PAS, kedudukan yang dilihat bakal pengganti presiden. Perkembangan ini dijangka akan menghangatkan lagi debat berhubung konsep kepimpinan ulama, yang dijadikan hujah untuk memastikan kedudukan timbalan sentiasa dipegang agamawan. Beberapa tokoh PAS, Ketua Dewan Ulama Datuk Harun Taib dan Subky Abdul Latif menyatakan sokongan terbuka terhadap calon agamawan untuk jawatan timbalan presiden menjelang pemilihan kali ini. Mohamad walau bagaimanapun berpendapat kepimpinan ulama tidak semestinya bermakna jawatan tertinggi, tetapi Majlis Syura Ulama. Mohamad mendapat sokongan dipercayai sebahagian besarnya berdasarkan kemampuannya menggerak massa dan peranan yang dikaitkan dengan peranan semasa pilihan raya umum akan datang. Beliau pernah memangku jawatan ketua pemuda, menjawat jawatan naib presiden dan menjadi ahli Parlimen. Demonstrasi Bersih pada 2007 yang dikaitkan sebagai penyumbang kemenangan besar pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-12 digerakkan sebahagian besarnya oleh Mohamad. |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan