Khamis, 9 Jun 2011

shalehudin

shalehudin


Umno akai second hand...!!!

Posted: 09 Jun 2011 11:00 AM PDT

Rakyat Didahulukan....Apakah Yang Kita Dah Dapat ?
Oleh: Iqbal

Bangsa Umno ni memang ada akai tapi yang terpakai... akai second hand... kahkahkah...

Sejak slogan yang dianggap keramat oleh Najib dalam memikat hati rakyat , aku tertanya-tanya apa dia yang telah diberi oleh najib kepada rakyat sesuai dengan slogannya ini ? Rasanya tak ada apa benda pun yang kita (rakyat ) dapat untuk membukti bahwa dia (najib) mengotakan apa yang dilaungkan...RAKYAT DI DAHULUKAN.

Sebagai rakyat , sebenarnya apakah yang kita harapkan ? Pertama tentunya pendapatan kita yakni gaji. Apakah najib dah naikkan gaji kakitangan awam untuk menunjukkan bakwa dia benar-benar prihatin dengan nasib kakitangan nya ? Gaji yang kita nikmati dan elaun2 yang diwujudkan adalh sumbangan Dollah (walaupun dia tidak menjaja slogan rakyat didahulukan). Malah baru-baru ini najib menaikkan gaji guru sekolah menengah ke gred yang lebih tinggi dan buat buta bahwa yang ramai adalah guru sekolah rendah.Tetapi golongan yang ramai ini tidak diberi perhatian oleh najib. APAKAH INI RAKYAT DIDAHULUKAN?

keduanya ialah keperluan rakyat untuk menruskan kehidupannya. Makna rakyat perlu membeli keperluan hariannya untuk dirinya dan juga keluarga. Apakah najib telah menurunkan harga barang-barang keperluan harian ? Lihat saja harga minyak petrol semakin naik. Kesannya barang2 harian telah meningkat tinggi.Dia memang tak pernah meninjau harga bawang ,cili,ikan dan sayur dipasar-pasar. Lihat hargabarang ini . Hadiah kepada rakyat hanyaLAH AMARAN KEPADA PARA PENIAGA JANGAN NAIKKANHARGA BARANG. Subsidi itulah simbol bahwa RAKYAT DIDAHULUKAN. Malang si pemukul canang RAKYAT DIDAHULUKAN telaj dan akan menarik subsidi sedikit demi sedikit. Jadi dimanakah slogannya dilaksanakan ?

Mulai bulan 1 Jun tarif elektrik dinaikkan lagi. Ingat najib naik RM40-RM50 sebulan sudah cukup membuat kita mengeluh. Nasi campur saja RM6 -RM7 sepinggan. Apa nak suruh kita makan berlaukkan garam ke ? Anehnya subsidi untuk IPP tidak diusik langsung sebaliknya subsidi untuk rakyat yang menaikkan umno jadi pemerintah , itu yang najib dengki sangat.APA BENDANYA RAKYAT DIDAHULUKAN ?

Kenaikan kos hidup menimbulkan kesan sampingan . Pertama kualiti hidup yakni dari sudut penyediaan makanan untuk keluarga akan terjejas. Majoriti rakyat tak mampu menikmatimakan2 yang berkhasiat kerana harganya mahal. Ini akan membawa rakyat kembali semula kezaman Jepun dahulu. Oleh kerana makanan tak berkhasiat kebanyakan rakyat lemah otaknya dan kemetot saiznya. Sedang si najib bukan main beranga-angan nak jadikan negara ini negara maju. TAKKAH DIA APAKAH CIRI-CIRI NEGARA MAJU ?

Kedua kesihatan majoriti rakyat akan terjejas. Ini kerana rata-rata (khususnya yang tinggal dibandar-bandar besar) akan membuat kerja tamb ahan untuk menambahkan pendapatan. Bermakna mereka kurang berehat. Balik kerja pukul 5 petang , sambung kerja sampingan hingga larut malam.Rumah tangga juga kan jadi tunggang langgang kerana anak-anak terbiar. Dan ini akan menimbulkan pula gejala sosial dikalangan remaja. INIKAH DIA RAKYAT DIDAHULUKAN ?

Yang ketiga menggalakkan kakitangan awam khususnya dikalangan penguatkuasa untuk melakukan rasuah.

Jelas slongan RAKYAT DIDAHULUKAN HANYA SLOGAN KOSONG. Ibarat memukul tin kosong , bisingnya bukan main.

Rakyat kena kelentong SOKMO.

HIDUP UMNO !!!!!!!!!!!!

Kod rahsia Pekida? Saman, jangan tak saman...

Posted: 09 Jun 2011 09:00 AM PDT

Dedah Perkara Sulit, Pekida Mahu Saman Farid Kamil & Syamsul
Oleh KEMALIA OTHMAN

PETALING JAYA: Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) berhasrat menyaman penerbit dan pengarah filem Kongsi dan KL Gangster kerana mendedahkan beberapa perkara sulit yang digunakan dalam pertubuhan tersebut melalui filem mereka.

Ketua Ahli Majlis Negeri Pekida Wilayah Persekutuan, Shikin Begum berkata antara dialog dalam kedua-dua filem berkenaan telah menggunakan kata kunci pertubuhan tersebut yang selama ini dianggap rahsia.

"Kami melihat filem Kongsi dan yang terbaru ini KL Gangster telah melampaui batas apabila menggunakan kata laluan dan kod rahsia Pekida.

"Mereka juga telah membuka banyak rahsia Pekida dengan menerbitkan filem bercorak gengster yang sebenarnya hanya memalu dan menjatuhkan martabat bangsa Melayu sendiri," ujarnya ketika dihubungi mStar Online di sini, Khamis.

Antara babak dalam filem Kongsi

Shikin berkata, pihaknya kecewa kerana penerbit filem tersebut iaitu Skop Production dan Metrowealth yang tidak sensitif dengan perkara melibatkan pertubuhan tersebut.

Kedua-dua filem itu juga dilihat telah menjejaskan imej masyarakat Melayu apabila mengaitkan golongan Melayu dalam kumpulan gengster.

"Saya kecewa kerana kedua-dua pengarah iaitu Farid Kamil dan Syamsul Yusof tidak sensitif dengan perkara ini. Jika mereka mahu menghasilkan filem seumpama itu, mereka harus meminta nasihat kami terlebih dahulu.

"Mereka seperti mempermainkan perjuangan pertubuhan ini dan tidak menghormati kami sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO). Kami sedar ramai yang masih tidak tahu perjuangan Pekida namun mereka seharusnya ada rasa hormat," ujarnya kesal.

Tambahnya, dia memahami kedua-dua pengarah muda ini mempunyai perjuangan dalam memeriahkan industri filem tanah air, namun tidak seharusnya mengambil jalan dengan menjatuhkan imej pertubuhan tersebut.

"Kedua-dua filem itu bukan sahaja tidak menghormati kami, malah memberi pandangan buruk kepada masyarakat tentang perjuangan sebenar Pekida.

"Kami pada awalnya berdiam, namun kemunculan filem KL Gangster membuatkan kami seperti dicabar untuk bangkit mendapatkan penjelasan selain mengambil tindakan," jelasnya.

Sehubungan itu, pihaknya akan merujuk perkara berkenaan kepada Pengerusi, Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM), Datuk Husin Shafie bagi mendapatkan penjelasan sebenar dan menuntut agar filem yang sedang ditayangkan itu ditarik balik serta merta selain dilakukan penapisan semula.

Pertemuan itu kata Shikin telah diaturkan di pejabat LPFM di Putrajaya, Jumaat (hari ini) pada pukul 4 petang.

Tentu bangsa Umno bangga ngan berita nih...

Posted: 09 Jun 2011 08:00 AM PDT

Punya hebat rumah ahli Umno ni atau lebih tepat lagi tempat bersemayamnya keluarga bekas MB Selangor Dr Mohd Khir Toyo... bagaikan sebuah resort peranginan bertaraf lima belas binatang bintang lagi... haha...

Kabarnya bekas MB Selangor Dr Mohd Khir Toyo telah menggunakan duit hasil dari cabut giginya dan sedikit saja duit gajinya sebanyak RM6.5 juta bagi mengubah-suai rumahnya daripada rekabentuk asal Itali tropikal kepada konsep Bali. Jangan heran kerana ini telah didedahkan oleh pereka lanskap yang dipertanggungjawab membuat pengubah-suaian itu, Nasir Ismail, di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Jumlah itu, katanya pada hari ketiga perbicaraan rasuah Khir dibuat dalam bayaran ansuran sebanyak lima kali dan dibayar dengan tunai. Nasir berkata beliau menerima bayarannya sebanyak RM500,000 dalam bentuk tunai daripada Pengarah Syarikat Ditamas Sdn Bhd Datuk Shamsuddin Hayroni dan Khir, yang ketika itu adalah MB Selangor di kediaman rasminya.Khir, yang juga ADUN Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di Shah Alam pada 29 Mei 2007.- [Malaysiakini]

Lihatlah pulak singgahsana seorang lagi ahli Umno yang tidak berpangkat apa apa nih... namun sokongan mereka tidak berbelah bagi... dulu kini selamanya... kahkahkah...

Hanya rakyat yang buta maklumat saja yang masih merayu rayu menyokong Umno nih... hanya rakyat yang bangang tanpa menghiraukan keadaan sekeliling saja yang masih memegang lutut Umno untuk sesuap nasik... kahkahkah....

Rakyat kebanyakan terus merempat ketika pemimpin Umno terus menerus merembat... Haram betoi, repair rumah saja sampai 6.5 juta...

Bagi rakyat yang sedar, JOM UBAH SEBELUM PARAH

Sedap ulasan nih... baca laa...

Posted: 09 Jun 2011 05:30 AM PDT

Scorpene, Altantuya, Inflasi: Tekanan untuk Najib berundur?
Oleh Chen Shaua Fui

Perbicaraan mahkamah berhubung kes pembelian kapal selam oleh kerajaan Malaysia yang didakwa mempunyai gejala rasuah bakal berlangsung di Perancis. Sekali lagi, Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Najib Razak dihantui kes pembunuhan Altantuya, yang didakwa berkait rapat dengan pembelian kapal selam dengan bayaran komisen yang tinggi.

Kini, arus inflasi semakin menderas. Model Ekonomi Baru pula sukar menampakkan keberkesanannya. Najib berdepan dengan perebutan sumber dalam UMNO. Sayap kanan dalam parti mungkin mengambil kesempatan untuk menekan agar Najib berundur - seandainya Najib gagal memulihkan keadaan, lebih-lebih lagi menjadi liabiliti dalam parti - berikutan skandal yang terpalit pada dirinya. Untuk Najib, beliau berdepan dengan pelbagai rintangan - dalam pertimbangannya untuk mengumumkan pilihan raya umum awal sebagai strateginya membalas serangan.

Kes pembunuhan Altantuya

Berkali-kali PKR mengaitkan kes pembelian kapal selam dengan kes pembunuhan wanita Mongolia bernama Altantuya Shaariibuu. Ketiga-tiga orang tertuduh, Razak Baginda, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar didakwa mempunyai hubungan dengan Najib. Razak Baginda, adalah think tank untuk Najib; sementara Ketua Inspektor Azilah dan Koperal Sirul didakwa sebagai pengawal Najib.

Najib terpaksa menjawab isu ini setelah diserang bertalu-talu oleh Anwar Ibrahim dalam PRK Ijok pada tahun 2007. Najib mendakwa dirinya tidak mengenali Altantuya, dan Kementerian Pertahanan membuat kenyataan bahawa wang bernilai 114.96 juta Euro (kira-kira RM535.8 juta) yang dibayar kepada syarikat Perimekar Sdn Bhd bukan "komisen", tetapi kos perkhidmatan koordinasi dan sokongan kepada Pasukan Projek Kapal Selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama enam tahun. Syarikat Perimekar dimiliki isteri Razak Baginda (gambar kanan).

Selepas empat tahun, kes ini hampir melabuh tirai, dengan Razak Baginda dibebaskan, sementara Azilah dan Sirul dijatuhkan hukuman mati. Kedua-dua tertuduh boleh membuat rayuan, namun perbicaraan belum berlangsung sebagaimana yang diketahui buat setakat ini.

Sebelum Najib mengorak langkahnya untuk menjadi PM, beliau dihujani tuduhan daripada Raja Petra Kamaruddin (RPK) dan penyiasat persendirian Balasubramaniam a/l Perumal, yang membuat akuan bersumpah untuk membabitkan Najib dan isterinya Rosmah Mansor dalam kes Altantuya (gambar kiri). RPK melarikan diri ke luar negeri, dan tampil di TV3 pada April 2011 - semasa pilihan raya negeri Sarawak - untuk menafikan bahawa dirinya yang membuat tuduhan terhadap Najib dan Rosmah, sebaliknya hanya mendedahkan maklumat yang diterimanya dari sumber. Bagaimana sekalipun pertikaian selanjutnya tentang "pengakuan" RPK ini, yang penting adalah Najib telah mendakwa bahawa nama dirinya "dibersihkan" lantaran daripada wawancaraTV3 tersebut.

Sejauh manakah impak isu ini, yang dibangkitkan semula selepas empat tahun berlalu?

Perbicaraan bakal bermula di Perancis

Pengarah SUARAM, Cynthia Gabriel berkata kepada MerdekaReview, perbicaraan kes pembelian kapal selam ini akan bermula dalam tempoh sebulan dua akan datang mengikut prosedur mahkamah Perancis. Lebih banyak maklumat dalaman yang terperinci bakal didedahkan pada ketika itu.

Cynthia (gambar kanan) menjelaskan bahawa buat masa kini rakyat gagal memperolehi dokumen-dokumen ini daripada kerajaan Malaysia lantaran daripada Akta Rahsia Rasmi (OSA). Namun, dokumen berkenaan boleh diperolehi daripada Perancis setelah perbicaraan mahkamah bermula, malah hakim boleh memanggil saksi untuk memberi keterangan di mahkamah.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi mendakwa bahawa dirinya sedia memberi keterangan di mahkamah Perancis seandainya dibenarkan kabinet. Bagaimanapun, Cynthia berkata mahkamah di Perancis tidak boleh mewajibkan kehadiran Menteri Malaysia di mahkamah kerana melibatkan isu kedaulatan negara.

Setakat ini belum diketahui apakah maklumat dalaman yang bakal didedahkan. Namun demikian, PKR baru-baru ini mendakwa bahawa ada "pihak ketiga" yang menemani Razak Baginda dan Altantuya dalam lawatan mereka ke Macau. Tanpa menamakan identiti "orang ketiga" itu, PKR mendesak Najib agar menunjukkan passportnya untuk membuktikan dirinya tidak terlibat.

Kita tidak lupa bahawa Najib pernah bersumpah atas nama Allah bahawa dirinya tidak kenal Altantuya - di depan kira-kira 900 orang pemimpin akar umbi UMNO, pada Julai 2008. Seandainya apa-apa bahan bukti dalam mahkamah Perancis menunjukkan bahawa Najib mengenali Altantuya, maka beliau bakal berdepan dengan krisis integritinya.

Najib mungkin menjadi liabiliti UMNO

Di samping itu, Model Ekonomi Baru (MEB) yang diketengahkan Najib mencungkil saraf golongan sayap kanan dalam UMNO, yang menentang hebat rancangan ekonomi tersebut. Najib perlu menjelaskan bahawa ia sekadar "cadangan", selepas bahagian pertama MEB dikemukakan - memperlihatkan rintangan yang dihadapinya dalam parti.

Najib kini tersepit dalam dilema. Politik naungan telah lama berakar umbi dalam UMNO. Najib tidak boleh kembali ke pangkal jalan untuk meneruskan pendekatan perkauman yang ekstrem, pada masa yang sama "Najibnomics"-nya yang tidak meneliti masalah struktur juga gagal mentransformasikan ekonomi negara. Negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 setakat sasaran - realitinya rakyat terus bergelut dalam suasana inflasi yang menekan.

Mereka yang menguasai sumber pada masa yang sama menggenggam kuasa. Perebutan sumber bertambah rancak apabila sumber semakin berkurang. Kenaikan tarif elektrik, pengurangan subsidi untuk bahan api, cukai perkhidmatan yang melonjak dari 5% hingga 6% - segala-gala ini membuat rakyat merasakan bahawa khazanah negara semakin kekosongan dipunggah, dan kerajaan kini perlu menyedut wang dari rakyat.

Zahid Hamidi berpaling tadah?

Kini, pergelutan dalam UMNO sendiri menjadi menarik. Kenyataan Zahid Hamidi yang mendakwa dirinya bersedia untuk memberi keterangan di mahkamah - dengan syarat dibenarkan kabinet - juga menarik. Beliau meletakkan semua beban atas bahu Najib, sebagai Ketua Kabinet - untuk menentukan sama ada beliau boleh atau tidak untuk tampil di mahkamah Perancis.

Zahid (gambar kiri, kanan) dilihat sebagai "orang Najib" dalam pemilihan UMNO pada tahun 2009. Menteri Pertahanan ini kelihatan telah meninggalkan kem Najib. Perlu diingatkan, skandal kapal selam gagal selam, kecurian enjin jet - pendedahan ini memperlihatkan bahawa "ada pihak yang melepaskan khabar" - tentang skandal yang berlaku ketika Najib merangkap jawatan Menteri Pertahanan.

Baru-baru ini Zahid dikatakan calon yang bakal memainkan peranan "Muhyiddin Yassin" dalam usaha menjatuhkan Abdullah Ahmad Badawi - seandainya usaha baru diperlukan untuk menjatuhkan Najib Razak. Ini kerana Najib berdepan dengan cabaran untuk mengembalikan majoriti dua pertiga dalam PRU ke-13, malah kuasa kerajaan negeri Selangor yang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

Cabaran buat Najib

Najib kini perlu berhati-hati untuk membuat percaturannya. Soal selidik yang diumumkanMerdeka Center pada 4 Disember 2010 menunjukkan bahawa sejumlah 59% rakyat tidak berpuas hati dengan prestasi Najib membanteras rasuah. Lebih-lebih lagi, ketiga-tiga kaum menganggap kerajaan Najib perlu mendahulukan isu membanteras rasuah. Apa yang menarik, seandainya perbicaraan kes pembelian kapal selam ini menunjukkan bahawa Najib turut terlibat dalam amalan rasuah - maka beliau semestinya berdepan dengan tekanan rakyat dan UMNO agar beliau berundur.

Nampaknya Najib tidak mempunyai ruang yang lebih selesa. Meskipun Najib dan Timbalannya, Muhyiddin Yassin memainkan peranan berasingan untuk menyasarkan undi dari komuniti berlainan - iaitu Najib dengan 1Malaysia-nya, dan Muhyiddin dengan "Kemelayuan"-nya, tapi jelas, Muhyiddin kelihatan lebih disenangi dalam UMNO.

Dalam keadaan sedemikian, mungkinkah Najib mengambil langkah untuk mempercepatkan pilihan raya umum, menggunakan kuasa yang ada pada Presiden untuk melantik calon, lantas menyingkirkan orang yang tidak taat kepadanya? Dan seandainya beliau berbuat demikian, apakah keadaan seperti PRU ke-12 bakal berulang - iaitu sabotaj daripada peringkat akar umbi kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Presiden UMNO?

Saf pimpinan PAS yang baru lahir dari pemilihan mungkin menjadi faktor pertimbangan Najib. Seandainya PRU diadakan tahun ini, mungkin PAS belum sempat mengatur langkahnya untuk bersedia.

Jikalau dilihat tarikh yang ada, bulan puasa bermula pada akhir Julai, dan masyarakat muslim bakal menyambut Hari Raya pada awal September. Tempoh ini bukanlah tempoh yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya. Jikalau PRU diadakan pada awal Julai, maka Najib perlu mengambil kira kemungkinan rakyat melepaskan kemarahan melalui undi lantaran kenaikan tarif elektrik.

Justeru itu, tempoh antara September hingga Oktober mungkin masa yang sesuai, kerana pantai Timur sering dilanda banjir mulai November.

Menurut pemimpin di akar umbi UMNO, mereka telah bersiap sedia 24 jam untuk PRU sejak dua, tiga bulan yang lalu. Namun tarikh PRU ke-13 kekal menjadi teka-teki.

Untuk Najib, bukan senang untuk mencari satu tarikh yang menjamin kemenangan BN. Kenaikan harga barang, ketegangan hubungan antara sekta dalam UMNO, saf pimpinan baru PAS yang menyuntik semangat kepada Pakatan Rakyat, cetusan isu perkauman dan agama yang mencungkil ketidakpuasan masyarakat... Sehingga bila "suasana baik" boleh dikekalkan dengan Program Transformasi yang direkacipta Najib?

*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disunting dan diterjemah dari teks asal.

Kerana mu BN, semua mahal

Posted: 08 Jun 2011 11:30 PM PDT

Mampukah dibendung "pesta naik harga"?

Harga barang-barang keperluan asas dijangka naik lagi dalam masa terdekat. Itulah cakap-cakap yang kini semakin menjadi lumrah, terutama di kalangan masyarakat bawahan.

Walau pun desas-desus sebegitu bermula dengan spekulasi atau semata-mata khabar angin, ia selalunya tidak terlalu jauh menyalahi hakikat yang benar-benar berlaku kemudiannya.

Sebab itu rakyat ada sebab sangat munasabah untuk percaya dan mengandaikan bahawa harga barangan keperluan harian mereka akan naik dan naik lagi selepas ini. Apatah lagi baru-baru ini telah berlaku kenaikan beberapa bahan utama seperti gula, petrol RON97 dan gas memasak.

Menjadi kelaziman pihak berwajib untuk memuntahkan rasional kononnya kenaikan itu tidak akan memberi kesan kepada harga barangan lain. Dibawakan berbagai hujah dan fakta bagi mengukuhkan andaian bahawa kenaikan bahan bakar dan pemanis itu pada kadar sangat minimal dan tidak sepatutnya menyebabkan berlakunya "pesta naik harga" terutama pada makanan dan minuman.

Kajian simulasi dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi dijadikan bukti. Pegawai tertinggi kementerian mengatakan penyelarasan harga tiga barangan tadi menunjukkan kenaikan hanya antara 0.1 sen hingga tiga senberbanding harga semasa bagi makanan dan minuman seperti teh tarik, roti canai, karipap, mi goreng dan lain-lain seumpamanya.

"Jadi, tidak logik jika ada pengusaha makanan dan minuman menaikkan harga," media memetik kata pegawai kementerian berkenaan.

Itu adalah antara hujah biasa yang diberikan, bertujuan meyakinkan rakyat. Namun, apakah keadaan yang benar-benar berlaku menepati apa yang ditegaskan kerajaan itu?

Berdasarkan laporan media dan pemerhatian dalam masyarakat, tidak sukar kita akui bahawa kenaikan harga barang, terutama makanan dan minuman tetap berlaku. Janji dan keyakinan yang cuba dipertahankan kerajaan setakat ini hanya ibarat janji kosong yang tidak dapat dikuatkuasakan.

Di manakah silapnya sehingga "pesta naik harga" yang sepatutnya tidak berlaku itu tetap berlangsung? Dan para pengusaha makanan dan minuman seakan tidak ada sekelumit kegusaran berdepan undang-undang dan peraturan kerajaan?

Akuilah bahawa punca utama ialah kerana tahap penguatkuasaan sesuatu ketetapan oleh kerajaan amat lemah. Para menteri, timbalan menteri dan pegawai kementerian bertanggungjawab mengawal dan memantau perkara ini seolah-olah hanya tahu menutur dan melontarkan keyakinan di peringkat masing-masing. Tetapi apabila tiba di tahap menguatkuasakannya, ia selalunya menemui kegagalan.

Akhirnya, mahu tidak mahu akan menyusul kenyataan dalam nada 'berlembut' dari pihak kerajaan untuk merasionalkan tuntutan pengusaha menaikkan harga. Kononnya ia tidak dapat dielakkan.

Itulah skrip dan lakonlayar yang sering berulang. Bermula dengan ura-ura kenaikan harga bahan keperluan utama, diikuti pengumuman oleh kerajaan mengesahkan perkara itu. Kemudian ada hujah-hujah merasional kenaikannya beserta jaminan ia tidak akan memberi kesan kepada harga barangan lain.

Bahkan ia disifatkan kenaikan amat minimal dan tidak membebankan pengguna terbanyak. Namun, akhirnya kenaikan harga barangan lain tidak dapat dielakkan juga.

Sebab itu apabila harga gula dan petrol sekali lagi dinaikkan bulan lalu, diikuti kenaikan tarif elektrik minggu lalu, rakyat ada sebab sangat munasabah untuk mengandaikan harga berbagai barangan lain juga bakal naik dalam masa terdekat.

Berdasarkan pengalaman lalu, hujah berbagai pihak mewajarkan tindakan kerajaan itu sepatutnya sudah tidak dilayan. Apa-apa alasan mendakwa ia tidak memberi kesan kepada pengguna berpendatan rendah sebenarnya merendahkan martabat pemikiran rakyat.

Secara logik pun semua orang dapat mencongak bahawa setiap kenaikan harga barangan asas akan tetap memberi kesan kepada produk dihasilkan menggunakan barangan tersebut. Memang bagi pengguna biasa, kenaikan harga gula dan petrol pada nilai minimal. Tetapi bagi pengusaha dan pengilang yang menggunakannya dalam kadar pukal, kenaikan itu amat dirasakan.

Kos pengeluaran barangan oleh pengusaha dan pengilang akan meningkat. Sudah menjadi tabiat bahawa tidak semua mereka bersedia menyerap kenaikan kos operasi itu. Kebanyakan mereka hanya tahu mengaut untung. Jauh sekali untuk memikirkan soal kebajikan pengguna. Maka besar kemungkinan mereka akan memindahkan beban kenaikan kos itu kepada rakyat selaku pengguna.

Logik sama kini menghantui rakyat selepas kerajaan mengumumkan kenaikan tarif elektrik. Biar pun seperti biasa kerajaan mengiringi pengumuman itu dengan jaminan tidak membebankan rakyat, terutama khalayak berpendapatan rendah, kesan tidak langsung dari kitaran penggunaan tenaga oleh pengusaha dan pengilang adalah hakikat yang sudah dijangkakan rakyat.

Justeru, biar pun kerajaan mahu rakyat percaya bahawa tarif baru elektrik kini tidak akan membebankan pengguna domestik yang menggunakan elektrik pada kadar 300 kWj sebulan atau kurang, kesan kenaikan harga barangan lain tetap tidak dapat dielakkan.

Apabila para pengusaha makanan dan minuman di dalam masyarakat menerima barangan asas perniagaan mereka pada harga lebih tinggi, maka rakyat sebagai pengguna pula perlu bersedia untuk sekali lagi berdepan "pesta naik harga".

Umno dah hilang oksijen

Posted: 08 Jun 2011 09:00 PM PDT

Rakyat marhaen boleh tengok dengan jelas kini, Umno ternyata bagai kehilangan oksijen... menggelupor dengan isu negara kebajikan PAS.

Mengapa Umno menggelupor dengan 'negara kebajikan'?

Ia adalah kerana PAS menawarkan penyelesaian kepada rakyat di tengah-tengah kegagalan Umno BN untuk menjaga rakyat marhaen. Sikap Umno dan medianya yang kini terlalu melampau dalam menunjukkan kebimbangan mereka dengan negara kebajikan itu seolah olah dah hilang oksijen.

Bila PAS mengutarakan negara berkebajikan, tak tersangka pula Umno yang mengelupor dengan istilah tersebut, bak kata tok bomoh picit lada hitam pada jari kaki orang masuk hantu. Barangkali memang Umno ini dah lama kena rasuk… Cuma mungkin tak kena cara tiupnya saja.... kahkahkah...

Kini, kita boleh lihat dengan nyata bahawa Umno benar-benar terasa dengan istilah 'negara kebajikan' ini kerana ia memberi ancaman kepada mereka. Maklumlah, PAS menawar sebuah negara berkebajikan di tengah-tengah kegagalan Umno menjaga kebajikan rakyat marhaen demi menjaga hati kroni yang semakin angkuh, sombong dan tamak.

Elok dah, Singh nasihatkan Mamak

Posted: 08 Jun 2011 07:00 PM PDT

Karpal nasihatkan Dr M supaya bertaubat

Pengerusi DAP yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh menggesa mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya berkelakuan seperti seorang negarawan ulung dan menutup mulutnya.

Katanya, Dr Mahathir yang sedang "meniti usia yang senja" sepatutnya menggunakan sisa-sisa kehidupannya supaya bertaubat atas segala salah laku silamnya.

"Dia banyak buat kesalahan (semasa menjadi perdana menteri) dan sepatutnya menggunakan sisa-sisa kehidupannya untuk bertaubat kerana banyak bersalah kepada negara dan rakyat," katanaya.

"...Sebagai perdana menteri, dia sangat degil dan tidak sepatutnya berkelakuan seperti itu."

Karpal berkata Mahathir juga tidak harus lupa bahawa sekitar 2001 di perhimpunan Gerakan, mantan perdana menteri itu telah berkata Malaysia adalah sebuah "negara Islam".

"Kenyataan di blognya itu tak perlu kerana dia sudah berkata demikian, kali pertama pada 2001, kecuali dia sudah lupa," kata Karpal.

Beliau juga mengalu-alukan tindakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu membawa Malaysia ke sebuah negara berkebajikan jika Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya.- Malaysiakini

Politik jalanan Chegubard

Posted: 08 Jun 2011 05:00 PM PDT

Saya tak malu digelar ahli politik jalanan: Chegubard
Oleh: edyesdotcom

Wawancara eksklusif dengan pemimpin muda PKR Badrul Hisham Shahrin atau lebih dikenali dengan nama Chegubard. Beliau juga adalah Ketua Cabang PKR Rembau dan pernah menjadi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR.

Saudara dikenali sebagai ahli politik yang suka berdemonstrasi, ada yang menggelar saudara sebagai ahli politik jalanan. Apa komen saudara?

Pertama sekali, konotasi pada gelaran itu boleh saja menjadi negatif atau positif, tetapi bagi saya, saya tak kisah orang nak gelar saya apa. Kita kena faham, latar belakang saya sejak dari sekolah yang aktif dalam banyak organisasi belia dan kebudayaan. Sebagai orang muda, kita perlu ada semangat perlawanan dan semangat radikalisme, malah saya dibantu dengan bahan-bahan bacaan dan buku-buku aliran kiri. Contohnya 'Motorcycle Diaries' karya Che Guevara, kisah tentang (pemimpin kemerdekaan Indonesia) Bung Hatta, Tan Melaka dan sebagainya. Saya baca semua itu ketika di sekolah menengah lagi. Saya tak nafikan saya pernah terfikir nak jadi macam Che Guevera. Akhirnya reformasi 1998, Anwar Ibrahim dilihat sebagai ikon bagi orang muda, tiba-tiba ia menyentak, gerakan itu diwajahkan dengan wajah kebangkitan rakyat yang pada akhirnya saya tersebut ke dalam arus gerakan reformasi.

Hakikatnya ketika itu, saya tak pernah pun berjumpa dan mempunyai hubungan dengan Anwar Ibrahim. Saya memilih untuk turun ke jalanraya kerana (ketika itu) tidak ada banyak pilihan lain, bukan kerana kita sengaja pilih untuk tujuan suka-suka. Ketika itu, itu menjadi trend, itu jiwa orang muda dengan imaginasi-imaginasi perlawanan, ia 'cool'. Tidak mudalah mereka jika tidak turun ke jalan raya. Akhirnya kita mengikut struktur parti apabila ia ditubuhkan. Pada masa itu Parti Keadilan Nasional, ia merupakan parti politik yang pertama saya sertai. Saya tak pernah menyertai mana-mana parti politik sebelum itu.

Ketika itu saya sedang mengajar (sebagai guru), momentum pada masa itu sebenarnya ialah kelompok muda yang tak punya kepentingan politik, yang hanya ingin melihat, ini kesempatan terbaik untuk mengubah negara. Kes Anwar, semua elemen kerajaan digunakan untuk menangani kes itu. Maka anak muda telah bersatu hingga keadaan itu mengangkat Anwar sebagai ikon dan simbolik pada perlawanan itu.

Apa yang kita boleh buat? Hinggalah parti (PKR) vakum bila tangkapan ISA dibuat ke atas pemimpin parti, saya betul-betul aktif ketika ISA 10 (2001), ketika itu keadaan bagai tiada harapan untuk menang. Maka kita lah yang sama-sama membina parti ini sebagai orang kecil, kena ingat saya masuk Keadilan bukan sebagai pimpinan besar, saya tidak disambut dan dirai, kita hanya budak yang gantung bendera, yang bersama lari di tepi jalan bagi memastikan isu Anwar terus hidup, untuk menarik perhatian orang ramai dan bermain dengan simpati rakyat. Kita 'attract media', pada masa itu cukup dengan sekadar 'mainstream media' melaporkan ada 10 orang ditangkap berdemonstrasi, itu kejayaan kita pada ketika itu dalam keadaan parti yang vakum, susah ada yang lari dan sebagainya. Saya tidak rasa ralat jika digelar pejuang jalan raya hanya kerana pada masa itu saya tiada pilihan. Saya tidak dilatih di dalam kelas-kelas atau sekolah politik, saya tak dilatih di hotel-hotel dalam kursus politik. Saya matang di jalan raya, saya dilatih erti perjuangan dari lokap-lokap polis dan saya tak pernah menyesal dan ralat kerana hari ini saya dapat merasakan latihan yang saya dapat itu membuatkan saya faham derita raktyat yang sebenarnya.

Maka saudara terus mengetuai demonstrasi seterusnya?

Ia membawa kepada fasa kedua, selepas pilihan raya umum 2008, semua orang memikirkan untuk ubah 'stail' politik dan pendekatan. Bagi saya orang muda ini isunya ialah perlawanan. Kalau kita nak pergi kepada orang muda yang teknokrat dan sebagainya, UMNO sudah menangani perkara ini sudah lama dan berjaya, saya melihat perlawanan itu perlu 'real' dan secara fizikal. Ini imaginasi orang muda, ia perlu dikekalkan.

Contohnya isu Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil), sama ada kita sedar atau tidak antara impak keputusan PRU 2008 adalah kerana himpunan Bersih 2007. Kalaulah selepas PRU 2008 kita teruskan demo dan kempen yang sama dengan menggunakan kekuatan rakyat secara fizikal untuk turun ke jalan raya bertujuan untuk memperbetulkan sistem pilihanraya, mungkin hari ini keadaannya sudah berubah. Tetapi oleh kerana pada ketika itu (selepas PRU 2008) kita memikirkan perlu ada pendekatan lain, yang lebih profesional dan sebagainya. Akhirnya baru hari ini kita kembali nak bercakap semula tentang Bersih, ia agak tertinggal dan janggal. Dan, sekali lagi saya tidak malu digelar sebagai ahli politik jalanan hanya kerana kita merupakan penyambung survival. Ia dilihat lebih 'real' dan berkesinambungan.

Kepercayaan saya satu sahaja, usaha menggembleng rakyat untuk turun ke jalan raya tidak harus berhenti. Siapa juga yang jadi kerajaan atau pemerintah, mereka harus berhadapan dengan kuasa rakyat. Benda ini juga dipelajari oleh UMNO-BN, walau pun usaha mereka di atas 'fake ground', tetapi apa yang penting, mereka (UMNO-BN) secara tidak langsung sudah mengiktiraf strategi politik mobilisasi rakyat ini. Dalam pada itu, kita sebagi pelopor tidak harus meninggalkan 'ground' kekuatan kita ini.

Apa yang sebenarnya berlaku sewaktu pemilihan PKR 2010?

Saya bercakap soal prinsip, jika kita tidak boleh bercakap, maka parti ini akan gagal. Tapi saya yakin, jika saya dalam UMNO, sudah lama saya kena tending. Maksudnya dalam PKR masih ada ruang untuk memprotes. Cuma mungkin cara saya yang agak radikal dan penerimaan parti yang agak perlahan, itu yang melihatkan agak kontra yang begitu banyak. Saya tak ketepikan semua parti politik menghadapi masalah politiking dalaman, nama pun dah parti politik. Bagi saya mudah saja, kita bercakap mengenai demokrasi, proses pemerkasaan, hokum; dan kita harus melakukan itu. Saya tertarik dengan ungkapan 'perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata'. Jika ditanya, adakah isu tersebut tiada penyelesaian? Saya jawab, ada penyelesaiannya.

Secara prinsipnya, saudara tiada masalah dengan pelaksanaan pemilihan secara demokrasi langsung dalam PKR?

Dari aspek membuka ruang demokrasi, saya menyokong, malah ketika kaedah ini hendak digubal saya berada dalam Majlis Pimpinan Tertinggi PKR dan memang saya menyokongnya. Tetapi malangnya mungkin ada pihak yang berkepentingan melihat ada ruang untuk memanipulasi beberapa kelemahan di mana kita tak bersedia. Itu saja yang saya suarakan dan saya yakin saya bercakap berdasarkan bukti dan fakta. Ada yang saya tak puas hati? Ya ada, namun biarlah ia dilalui dan diselesaikan di dalam parti. Cuma cara mana kita menangani komen dan teguran itu.

Apa saranan saudara?

Jika bercakap tentang PRU, kita minta SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) bebas, buka ruang kempen, bagi masa kempen yangg adil, benda ini maknanya apa? Adakah kita dalam parti benar-benar berani dan bersedia untuk buka ruang demokrasi? Maksud saya ialah kita sedang bercakap satu benda yang dalam negara ini kita tak pernah lakukan. Benda ini ibarat eksperimen. Soalnya (dalam parti) kita hendak atau tidak? Berani atau tidak?

Dalam proses demokrasi yang lebih besar pula, umpamanya pilihan raya kerajaan tempatan, apa yang boleh kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat lakukan?

Mengenai pemilihan di peringkat kerajaan tempatan, soal dasarnya masih sama, adakah kita berani dan bersedia untuk melaksanakannya? Contohnya, adakah kita bersedia jika ada kerusi yang menang itu dari kalangan politik yang condong kepada UMNO-BN? Jika kita bersedia, silakan. Maknanya kita sudah cukup terbuka.

Jika kembali kepada asas, perubahan itu harus datang dari pendidikan politik kepada rakyat. Berapa ramai rakyat yang bersedia untuk menyertai pilihan raya kerajaan tempatan? Berapa ramai yang sedar kepentingan itu kerana mereka adalah pembayar cukai dalam kawasan tersebut. Begitu juga dalam parti. Berapa ramai ahli yang sedar bahawa mereka boleh memilih presiden, berapa ramai ahli yang sedar bahawa undi mereka tidak ada orang boleh ganggu, atau berapa ramai yang sedar mereka harus memilih ke mana parti hendak dibawa?

Persoalan dalam tuntutan Bersih, kita desak PRU diumumkan lebih awal. Itu kita minta dengan kerajaan pusat. Kita seharusnya bersikap berani dan 'gentlemen'. Kita kena buat, contohnya, pada 2013, pada tarikh sekian, kita akan bubar kerajaan negeri Selangor atau jika itu terlalu awal, kita boleh pinda peraturan atau perlembagaan dengan memasukkan fasal, pilihan raya perlu diumumkan 6 bulan lebih awal. Kita tunjuk kita berani dan kita dah buat, rakyat akan tengok kita.

Chegubard bersama Dr Boo Cheng Hau sewaktu PRN Sarawak 2011

Saya rasa PR ini kukuh tapi dari segi ikatan itu masih lemah kerana ia masih berdasarkan isu. Di peringkat tertentu, di tempat-tempat tertentu keadaan berbeza. Ada negeri yang ikatan Pakatannya kuat tetapi di peringkat cabang lemah. Ada negeri di peringkat Parlimen, bahagian atau kawasan kukuh tapi di peringkat negerinya lemah, hingga tak wujud langsung sekretariat Pakatan Rakyat. Saya lihat suasanan ini tidak sihat. Ia perlu ditangani segera, jika ini tidak dilakukan, menjelang PRU akan datang, saya lihat ada sedikit lopong ruang yang patut kita 'explore' tapi kita tertinggal dan kita berdepan dengan PRU dalam keadaan ada lagi senjata-senjata yang tidak kita gunakan sepenuhnya.

Contoh beberapa kawasan yang masih lemah?

Tidak adil jika saya beri contoh tempat dengan menyebut secara spesifik. Tetapi hakikatnya benda ini wujud kerana pembawaan masing-masing. Contohnya, ada tempat yang masih merasakan mereka harus dapat kerusi tersebut, ada tempat yang merasakan mereka mempunyai tokoh yang lebih layak. Ada juga tempat yang masih terkesan dengan pemecahan masyarakat mengikut kaum dengan menganggap ini kelompok Cina, ini kelompok Melayu atau kelompok kaum tertentu. Ia masih dibawa (fahaman ini). Tetapi ini amat minima, kita kena faham kekuatan sebenar kita, kenapa kita bergabung? Kerana kita punya kekuatan yang berbeza. Setiap parti mempunyai keistimewaan-keistimewaan tertentu. Itu kepelbagaian dan itu kekuatan kita.

Pandangan saudara terhadap Pakatan Rakyat dari aspek pencapaian dan pentadbiran?

Bila bercakap tentang kesepakatan PR, persoalannya ialah, sebagai contoh, susah sangatkah di Pulau Pinang untuk kita memberi kerusi exco kepada PAS hanya sekadar menghormati PAS sebagai parti komponen PR? Dan susah sangatkah di Kedah untuk kita memberi kerusi exco kepada DAP sebagai penghormatan sebagai parti komponen PR dan menarik DAP supaya terus berkubu di Kedah dan mempertahankan Kedah sebagai kerajaan PR. Jika kita nak bercakap soal kesepakatan, benda ini pun kita tak dapat tangani, maka kita bermasalah.

Apa yang istimewa dengan Pakatan Rakyat?

Kita kena faham keistimewaan PR. Pada 2008, tiada PR tetapi selepas PRU 2008, kita nak bina kerajaan di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan, ia perlu gabungan semua. Maka itu PR lahir. Rakyat di semua negeri-negeri ini telah memaksa PR dilahirkan. PR adalah hasil dari desakan rakyat yang bangkit. Ini merupakan sejarah yang harus diangkat. Jadi apakah cabaran besar PR? Cabaranya ialah pilihan raya yang akan datang, 2011 atau 2012, yang bakal dihadapi sebagai kerajaan PR, ini cabaran pertamanya.

Kerana itu saya balik kepada asas tadi, kita kena berdepan BN sebagai jentera PR, di setiap tempat perlu ada PAS, DAP dan PKR yang kuat. Dalam maksud persefahaman dan jentera. Jika di sesebuah kawasan PAS kuat, PAS kena bantu memperkukuhkan PKR atau DAP di kawasan itu. Contohnya di Permatang Pauh, PKR kuat di kawasan itu dan perlu lihat PAS atau DAP juga perlu kuat di situ. Kita akan jadi PR yang benar-benar kuat dan bersedia untuk memerintah negara.

Apa peranan yang saudara ingin ambil?

Pertama sekali, jika bercakap soal demokrasi atau kematangan politik, saya ingin katakan, kita seperti baru saja merdeka semalam. Kenapa? Kerana kita tidak memberi penumpuan membina kesedaran orang muda dalam aspek politik kenegaraan. Kerana itu perjuangan saya jelas. Sejak tahun 2007 kita menubuhkan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM). Tujuan pertama ialah kita ingin menggarap imaginasi radikal anak muda. Anak muda yang tidak radikal ialah anak muda yang sebenarnya gagal, dia tidak cool, tidak muda.

Kedua, sasaran saya ialah membina sebuah negara, saya akan berjuang seluruh kudrat yang saya ada untuk membina sebuah negara yang menjadi tempat yang ada daya saing berdasarkan kopitensi rakyat yang sebenarnya. Kerana itu, apa pun yang berlaku dalam politik, ia tak menggugat langsung semangat saya, kerana matlamat saya jelas, kita org muda bermain dengan masa dan kita tidak harus rasa kecewa. Selagi saya tak dapat ruang untuk menunaikan harapan saya, saya tak akan undur walau setapak. – Roketkini.com

Parti tanpa pejabat... haha...

Posted: 08 Jun 2011 03:00 PM PDT

Ibu pejabat PKR dilelong esok

Regina Lee
Bangunan yang menempatkan ibu pejabat PKR akan dilelongkan esok dan bakal menjadikan parti itu tanpa pejabat.

Bendahari PKR William Leong yang mengesahkan perkara itu berkata lelongan awam akan diadakan di sebuah pejabat di Brickfields Kuala Lumpur, petang esok.

Lelongan akan bermula pada harga RM460,000 hingga RM1 juta bagi setiap unit, bergantung kepada tingkat mana unit itu terletak.

Meskipun Leong pernah memberitahu Malaysiakinibahawa PKR mungkin mempertimbangkan bagi membeli bangunan itu tetapi katanya ia bergantung kepada harga yang ditawarkan itu.

"Ada keputusan dari pucuk pimpinan parti tetapi ia bergantung kepada harga," katanya ketika dihubungi.

Pada masa yang sama, katanya belum ada sesiapa yang memaklumkan kepada PKR bahawa mereka berminat membeli bangunan berkenaan.

Namun kata Leong, seorang peguam parti itu akan dihantar bagi memantau lelongan itu dan membuat bidaan jika perlu.

Buat masa ini PKR menyewa bangunan lima tingkat itu daripada sebuah syarikat dengan sewa bulanan antara "RM10,000 hingga RM20,000".

Bagaimanpun, pemilik bangunan itu dikatakan telah gagal membayar ansuran pinjamannya dan bank mahu melelong 10 rumah kedai milik syarikat berkenaan di Tropicana, Petaling Jaya ini.

Tiada ulasan: