Ahad, 19 Jun 2011

PERAKITE

PERAKITE


Al Fatihah: Pak Uda atau Zami Ismail meninggal dunia

Posted: 19 Jun 2011 05:09 AM PDT

Pak Uda atau Zami Ismail, 67, meninggal dunia di IJN pagi ini (Had 19 Jun 2011).

Pelakon yang popular menerusi sitcom "Pi Mai Pi Mai Tang Tu" meninggal dunia 10.30 pagi, selepas seminggu dimasukkan ke IJN ekoran masalah jantung, kata anak kedua Allahyarham, Ahmad Yamashita, 25.


"Jenazah arwah ayah akan dikebumikan di tanah perkuburan Tapah Road, Perak sepertimana pesanan arwah,  iaitu selepas solat Asar," katanya.

Allahyarham meninggalkan isteri Hanizan Ibrahim dan sembilan orang anak termasuk pelakon Mohd Saopi atau dikenali sebagai Opie dan pengarah filem dan drama Mohd Latiff atau Hitler.

Opie ketika ditemui menyifatkan ayahnya sebagai seorang yang tekun dan komited dalam setiap tugas yang diberikan. 

"Saya dan adik-beradik yang lain pernah melarang ayah jangan ke lokasi penggambaraan, namun ayah tetap pergi secara senyap-senyap tanpa pengetahuan kami," katanya.
Pengarah filem dan drama, Othman Hafsham pula berkata watak Pak Uda yang dilakonkan Allahyarham adalah tunggak kepada sitcom "Pi Mai Pi Mai Tang Tu" sekitar 1980-an yang menjadi siri sitcom yang diminati ramai penonton selama 18 tahun. 

Allahyarham turut berlakon hampir 20 buah filem termasuk dua filem yang belum ditayangkan iaitu "Husin Mon Dan Jin Pakai Toncit" dan "Shh… Dia Datang".Zami pernah memenangi anugerah Pelakon Komedi Terbaik dalam Festival Filem Malaysia Ke-9 pada tahun 1991.  Al Fatihah.

Kerajaan Negeri Kelantan haramkan Utusan Malaysia

Posted: 18 Jun 2011 04:43 PM PDT

Kerajaan PAS Kelantan hari ini mengharamkan akhbar Utusan Malaysia daripada membuat liputan acara yang melibatkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuatkuasa serta merta.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Fadzli Shaari, berkata keputusan itu dibuat berikutan penyiaran karikatur yang disifatkan menghina agama Islam berhubung isu rogol dan zina, yang disiarkan dalam akhbar berkenaan.

Katanya, surat rasmi oleh Pejabat Menteri Besar dan Pejabat Urusetia DUN akan dikeluarkan dalam masa terdekat mengenai perkara itu. 

utusan malaysia 15062011 cartoon hina islam"Tindakan itu akan berterusan sehinggalah pihak akhbar berkenaan memohon maaf secara rasmi atau menarik balik penyiaran karikatur berhubung isu itu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Semalam, PAS melancarkan kempen 'Boikot Utusan Malaysia' kerana mendakwa akhbar itu menghina agama Islam menerusi karikatur berkenaan.

Pada 15 Jun lalu, Utusan menyiarkan karikatur yang dilukis oleh Miki yang membuat dua perbandingan situasi mengenai kaedah pelaksanaan hukuman jenayah rogol.

Lakaran pertama mengambarkan seorang gadis yang mendakwa dirinya dirogol dan dikatakan mempunyai bukti dalam bentuk rakaman video telefon tetapi ditolak oleh "tok penghulu" kerana tidak mempunyai empat saksi.

Mangsa politik

Dialog yang dikatakan menghina Islam adalah: "Peralatan itu tak boleh jadi saksi, sebab dia tak ada telinga dan tak ada mata! Dia hanya Besi."

Lakaran kedua itu pula menunjukkan lukisan gadis yang sama membawa aduan berkenaan kepada seorang anggota polis yang menerima duan itu.

Dialognya berbunyi "Bagus...Alat itu pun boleh jadi bukti!"

NONESementara itu, Kelab Wartawan Kelantan Darul Naim hari ini membidas kerajaan PAS Kelantan kerana menjadikan media sebagai mangsa politik dengan mengharamkan Utusan membuat liputan pada majlis rasminya.

Timbalan Presidennya Mohd Harris Hazri Abdul Halim berkata tindakan itu tidak melambangkan PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan demokrasi.

"Seharusnya PAS Kelantan lebih bersikap terbuka kerana rakyat perlu mengetahui hal pentadbiran kerajaan melalui akhbar Utusan. Perkara ini tidak wajar dipolitikkan dengan PAS menunjukkan kuasa mereka dan mengharamkan wartawan di Kelantan. Apa dosa mereka?," katanya.

Mohd Harris berkata tindakan PAS tersebut adalah tidak adil bagi wakil Utusan di Kelantan yang tidak terbabit dengan penyiaran karikatur berkenaan.

"Ini bukan salah wartawan Utusan Malaysia di Kelantan, mereka bukannya pelukis karikatur itu tetapi ianya dilakukan oleh ibu pejabat mereka di Kuala Lumpur. Apakah rasional diharamkan mereka membuat liputan majlis kerajaan negeri," katanya.

Tiada ulasan: