Selasa, 21 Jun 2011

PakSupir..

PakSupir..


Bersih dan kebebasan berhimpun - Amin Ahmad

Posted: 21 Jun 2011 02:07 AM PDT

Frederic Bastiat, seorang ahli ekonomi dan penggubal dasar di Perancis pada abad ke-19 pernah mengungkapkan: "Nyawa, kebebasan dan harta benda tidak wujud kerana manusia membuat undang-undang. Sebaliknya, sebenarnya nyawa, kebebasan dan harta benda telah sedia wujud dan mendorong manusia membuat undang-undang".

Reformasi Pilihan Raya di Malaysia

Pada 10 November 2007, satu perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) telah diadakan di Kuala Lumpur dan saya terlibat menyertainya. Perhimpunan ini diadakan bertujuan menyampaikan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong di Istana Negara dengan empat tuntutan utama iaitu:

Semakan semula daftar pemilih yang lengkap untuk memastikan segala kesalahan dibetulkan.

Penggunaan dakwat kekal untuk mencegah pengundian berulang.

Pemansuhan undi pos, kecuali kepada para diplomat serta pengundi di luar negara.

Akses media yang adil kepada semua pihak dalam Pilihan Raya supaya semua parti politik boleh menjelaskan dasar dan manifesto mereka kepada rakyat, khususnya para pengundi di Malaysia.

Selain daripada empat tuntutan utama ini yang bersifat jangka pendek, BERSIH turut menggariskan sejumlah tuntutan jangka panjang berkaitan sistem dan pentadbiran pilihan raya, penamaan calon dan parti, kempen pilihan raya, media, kerajaan sementara, daftar pemilih dan juga proses pengundian (rujuk bm.bersih.org/?page_id=53 untuk maklumat penuh).

Sehingga kini, semua tuntutan ini seperti tidak diendahkan. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang pada mulanya mahu memperkenalkan dakwat kekal dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada tahun 2008 telah membatalkan keputusan tersebut pada saat akhir dengan alasan bahawa terdapat laporan polis yang menyatakan ada pihak telah menyeludup dakwat kekal untuk penyelewengan Pilihan Raya. Akibatnya, dakwat kekal bernilai RM3 juta yang didakwa telah dibeli oleh SPR tidak digunakan dan menyebabkan satu lagi pembaziran dana awam. Dalam kenyataan SPR kemudiannya, mereka mahu menggunakan sistem biometrik tetapi ia akan memakan masa dan belanja sebelum dapat dilaksanakan. Alasan yang bersifat dolak-dalik ini tidak wajar dibuat. Sepatutnya laksanakan sahaja apa yang mudah dan dapat dibuat sementara menunggu sesuatu yang sukar dapat dilaksanakan kemudiannya.

Justeru pada 9 Julai 2011 nanti, BERSIH akan menganjurkan perhimpunan kedua yang dinamakan BERSIH 2.0 untuk memanjangkan 7 tuntutan iaitu:

Pendaftaran pemilih secara automatic sebaik sahaja mereka mencecah usia layak mengundi.

Reformasi kepada sistem undi pos untuk para pengundi di luar bandar.

Penggunaan dakwat kekal untuk mengelakkan pengundian berulang.

Akses media yang adil kepada semua parti politik yang bertanding.

Tempoh kempen minima selama 21 hari.

Hak untuk badan bebas memantau proses pilihan raya dengan kebebasan untuk bertindak bagi menguatkuasa perkara berhubung kesalahan pilihan raya.

Menghapuskan rasuah pilihan raya.

Saya fikir semua tuntutan ini adalah sederhana. Penyertaan saya semasa perhimpunan pertama dahulu adalah sebagai tanda solidariti kepada semua tuntutan tersebut kerana berpendapat ada kelemahan dalam Sistem Pilihan Raya di Malaysia dan ia tentunya boleh diperbaiki demi masa depan sebuah kehidupan bernegara yang lebih baik. Ini penting kerana negara kita mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen.

Berdasarkan pemahaman saya, demokrasi bermaksud pemerintahan daripada rakyat untuk rakyat atau mudahnya rakyat adalah sumber keabsahan sebuah pemerintahan. Maksud ini ditunjukkan oleh satu sistem pilihan raya sebagai cara praktikal untuk menentukan siapa akan melaksanakan kuasa politik dalam negara dan tentunya kepada seluruh penduduk termasuk mereka yang dipilih. Justeru, sebuah Pilihan Raya yang dijalankan mestilah adil dan dilihat adil bermula daripada pendaftaran sebagai pemilih sehingga kiraan dan keputusan rasmi daripada pemilihan tersebut.

Selain itu, pilihan raya juga perlu dibuat secara berkala bagi membolehkan rakyat mempunyai kawalan terhadap pemerintah dan pemerintahan daripada pelbagai salah laku atau kelemahan kerana sumber asal keabsahan pemerintahan ini adalah daripada rakyat. Maka, rakyat berhak untuk membuat pilihan lain sekiranya mereka berpendapat itu lebih baik.

Ini adalah pemahaman demokrasi yang asas dan perlu difahami oleh setiap warganegara Malaysia agar isu-isu berbangkit mengenainya dapat dibincangkan dengan semangat kebebasan dan keadilan, seperti yang terungkap dalam Pemahsyuran Kemerdekaan negara.

Dalam Laporan Indeks Demokrasi yang dibentuk oleh Unit Cendekiawan Economist, Malaysia berada di tangga ke-71 dan dikategorikan sebagai sebuah negara yang pincang amalan demokrasinya, sama seperti puluhan negara lain. Namun, harus menjadi perhatian di sini ialah jumlah mata penilaian yang diberikan untuk ciri proses pilihan raya dan kepelbagaian hanya 6.50 (daripada 10.0 mata penuh). Ini bermaksud, daripada 53 buah negara yang dikategorikan pincang demokrasinya, Malaysia hanya lebih baik daripada Namibia yang mengutip 5.25 mata dalam ciri proses pilihan raya dan kepelbagaian. Ia juga menunjukkan kutipan mata dalam ciri tersebut lebih rendah berbanding sebahagian negara dalam kategori hibrid rejim.

Ini mengukuhkan lagi pandangan bahawa proses pilihan raya di Malaysia perlu diperbaiki.

Meskipun semua tuntutan itu sederhana dan penting dalam konteks sistem kenegaraan, ia lebih banyak dilihat oleh pihak kerajaan dan parti pemerintah sebagai agenda politik yang bertujuan menjatuhkan mereka. Ia seolah-olah satu pengakuan bahawa semua tuntutan itu mempunyai asasnya tersendiri dan kerajaan serta parti pemerintah tidak bersedia memenuhi tuntutan tersebut kerana ia hanya merugikan mereka. Jika benar, itu tentulah tidak dapat diterima kerana jelas sekali kerajaan dan parti pemerintah membelakangi proses demokrasi yang sihat untuk kekal berkuasa. Kerajaan dan parti pemerintah harus sedar bahawa petunjuk demokrasi ini sentiasa akan dipakai dan dipertahankan, terlepas parti mana pun yang berjaya mendapatkan kerusi majoriti dalam pilihan raya. Demokrasi dan petunjuk amalan terbaik pilihan raya tidak wajar dijadikan hak milik mana-mana parti politik atau pihak tertentu. Sebaliknya, ia mesti dijadikan satu prinsip dan petunjuk yang menjadi milik dan amalan bersama.

Selain daripada itu, pertikaian juga muncul berkaitan keperluan mengadakan perhimpunan awam untuk penyerahan memorandum semua tuntutan tersebut. Ini adalah satu pertikaian yang telah lama timbul dan saya fikir ia mesti diselesaikan secara tuntas.

Pertama, saya percaya bahawa hak BERSIH untuk berhimpun dan bergerak ke Istana Negara dengan tujuan menyampaikan memorandum semua tuntutan tersebut perlu dijamin. Jaminan yang sama perlu diberikan kepada Gerak Aman atau Pemuda UMNO sekiranya mereka juga mahu berhimpun. Jaminan ini adalah selaras dengan Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Artikel 20(1) Deklarasi Sejagat tentang Hak Asasi Manusia 1948 dan Perjanjian Antarabangsa Hak Sivil dan Politik 1966.

Beberapa pertikaian wujud dan ia boleh dibincang atau didebatkan untuk memperkaya pemahaman masyarakat tentang Perlembagaan dan idea kenegaraan antaranya:

Perkara 10(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Parlimen boleh dengan undang-undang menggunakan ke atas hak-hak yang diberi oleh perenggan (a) Fasal (1) apa-apa sekatan yang didapatinya perlu dan mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan.

Secara asasnya haruslah difahami di sini bahawa dalam mana-mana aspek perundangan akan sentiasa ada apa yang disebut pengecualian. Ini penting kerana manusia itu bersifat dinamik. Justeru, secara umumnya satu ketetapan diperlukan di samping pengecualian yang boleh diambil atas faktor keadaan. Sebagai contoh, secara umumnya semua orang bebas bekerja dan melakukan pelbagai aktiviti. Namun, Parlimen boleh membuat satu keputusan untuk tidak membenarkan sesiapa bekerja atau melakukan aktiviti lain dengan mengisytiharkan darurat atas faktor tertentu bersabit keselamatan negara misalnya ada ancaman serangan bersenjata oleh pihak tertentu. Oleh yang demikian, peruntukan perlembagaan dalam hal ini perlu dibaca dengan jelas bahawa ketetapan umumnya ialah jaminan kebebasan sementara sekatan ke atasnya adalah berdasarkan situasi – yang dinyatakan sebagai kepentingan keselamatan Persekutuan.

Seksyen 27 Akta Polis 1967 juga digunakan untuk menjustifikasikan tindakan polis semasa perhimpunan berlaku. Akta ini mensyaratkan kelulusan pegawai polis daerah berkenaan jika perhimpunan mahu dibuat dan kelulusan adalah atas budi bicara pihak polis.

Ketika menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Rais Yatim pernah berkata Seksyen 27 Akta Polis 1967 ini tidak wajar dipakai kerana ia boleh mengelirukan undang-undang itu sendiri. Meskipun beliau tidak menjelaskan bagaimana ia boleh mengelirukan, saya fikir ini boleh dilihat dalam konteks bagaimana polis mempunyai lebihan kuasa berbanding Parlimen dalam isu kebebasan asasi dan pengecualiannya. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dalam Laporan Tahunan 2010 telah mencadangkan sejumlah pemansuhan sub-seksyen dalam Akta Polis tersebut di samping mengesyorkan polis menggunakan cara yang sederhana dan tanpa keganasan dalam menangani sebarang perhimpunan aman.

SUHAKAM juga menegaskan hak berhimpun secara aman dan menekankan bahawa polis tidak patut bertindak secara syak wasangka, spekulasi, takut atau imaginasi. Perlu ada bukti jelas bahawa ketidakteraman awam dan kecenderungan ke arah keganasan berlaku.

Dalam kata lain bersabit dua perkara di atas, meskipun kerajaan mempunyai tugas memastikan keamanan dan keselamatan, kebebasan berhimpun tidak harus disekat secara arbitrari (ditentukan sewenang-wenangnya tanpa satu piawaian dan sebab yang munasabah, misalnya berlaku tindakan luar kawal yang memaksa tindakan diambil). Dalam hal kebebasan berhimpun ini, penguatkuasaan Perkara 10(2) memerlukan satu keputusan Parlimen. Selain daripada persoalan di atas, Laporan Kebebasan Berhimpun yang diterbitkan oleh SUHAKAM juga baik untuk dirujuk.

Saya juga tidak mahu meremehkan hujah kemungkinan huru-hara berlaku dan satu situasi tidak aman yang boleh menjejaskan perniagaan kerana sebagai seorang pendokong kebebasan pasaran, tentulah kedua-dua perkara ini tidak baik untuk kesejahteraan pasaran. Justeru, bagaimana perhimpunan ini boleh diteruskan dan persoalan ini dapat diselesaikan?

Saya mahu mencadangkan agar:

Pihak polis bertemu dengan penganjur dan membincangkan isu kawalan keselamatan untuk mencapai kedua-dua objektif – perhimpunan dan penyerahan memorandum serta keamanan. Kedua-dua pihak harus memberikan kerjasama untuk membolehkan ia berjalan dengan lancar.

Satu keputusan boleh diambil misalnya perhimpunan BERSIH 2.0 boleh dibuat di Dataran Merdeka pada jam 10 pagi, bergerak ke Istana Negara dan tamat sebelum jam 12 tengah hari.

Jika ada perhimpunan lain mahu diadakan oleh pihak tertentu misalnya Gerak Aman tau Pemuda UMNO, pihak polis boleh menentukan agar ia tidak mengganggu atau menghalang laluan perhimpunan dan pergerakan BERSIH 2.0 antara jam 9.30 pagi hingga 12.30 tengahari (mengambil kira pergerakan peserta perhimpunan untuk ke lokasi program dan bersurai). Perhimpunan dan pergerakan BERSIH 2.0 juga tidak boleh diadakan di tempat atau laluan perhimpunan lain. Konsep yang boleh diambil sebagai contoh di sini ialah lampu trafik di mana semua pihak diberikan hak pada tempoh waktu tertentu.

Perhimpunan BERSIH 2.0 lebih jelas objektifnya dan bagaimana mencapainya secara aman. Perhimpunan lain juga perlu jelas objektifnya dan bagaimana mencapainya secara aman.

Jika pihak polis boleh menutup jalan untuk laluan tertentu bagi tempoh tertentu semasa acara tertentu, perkara yang sama boleh dilakukan untuk hal ini.

Pihak polis tidak perlu mengadakan sekatan trafik sejauh misalnya sekitar Perhentian Serdang untuk melambatkan pergerakan trafik. Saya percaya dengan makluman laluan perhimpunan BERSIH 2.0 (dan perhimpunan lain, jika ada) pada tempoh tertentu; orang ramai boleh membuat perancangan sendiri tentang kegiatan mereka, sama ada bersifat perniagaan atau tidak.

Jika ada kekacauan timbul, pihak polis boleh menangkap individu atau kumpulan individu yang terbabit sahaja. Ini boleh dilakukan dengan bantuan peserta perhimpunan melalui rundingan awal tadi supaya disiplin perhimpunan dapat diwar-warkan. Selepas proses awal itu dibuat dan masih terdapat peserta yang tidak berdisiplin, jelaslah bahawa individu terbabit mungkin hadir untuk membuat sabotaj. Sepanjang pengalaman menyertai perhimpunan, saya berani katakan bahawa peserta perhimpunan cukup berdisiplin selagi tidak ada gangguan tidak munasabah seperti pancutan air kimia atau gas pemedih mata.

Saya sangat percaya bahawa secara umumnya rakyat Malaysia sangat cintakan keamanan. Namun, itu tidak bermakna keamanan mewajarkan rasuah dan salah guna kuasa dibiarkan. Ketidak-tenteraman awam juga boleh berlaku apabila rasuah dan salah guna kuasa berlaku tetapi didiamkan, malah suara yang menentang kebobrokan ini ditindas.

Banyak negara boleh terus maju dengan jaminan hak asasi rakyat untuk berhimpun dan juga bersuara terus dipelihara. Ada juga negara yang berdepan dengan tuntutan asasi untuk berhimpun dan juga bersuara kerana mereka kemunduran dan ketidaktentuan ekonomi dan politik di sana berlaku akibat rasuah dan salah guna kuasa.

Akhir sekali kepada semua pihak yang saya percaya masing-masing mahu mengatakan mereka bertujuan baik, meminjam pertanyaan W.S. Rendra: "Maksud baik kamu untuk apa? Maksud baik kamu untuk siapa?"

Amin Ahmad ialah Felo di Institut for Democracy and Economic Affairs (IDEAS)

Bancian 'Star' - 99% sokong himpunan BERSIH

Posted: 21 Jun 2011 01:59 AM PDT

Sejumlah 99 peratus daripada lebih sejuta responden menyokong perhimpunan BERSIH pada 9 Julai ini dalam bancian yang dijalankan oleh The Star Online.

Jumlah sebenar bilangan responden tidak dapat disahkan apabila portal berita berkenaan menghentikan banciannya kira-kira tengahari tadi.

NONEMenurut skrin yang dirakamkan oleh seorang pengguna Facebook, jumlah responden mencecah 1.3 juta pada jam 12.25 tengah hari berbanding 527,330 yang dicatatkan pada jam 6.11 pagi ini, yang dirakamkan menerusi laman Google Cache.

Soalan yang dikemukakan berbunyi 'Apa pandangan anda berhubung perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai?, 1,312,917 responden menjawap 'Ia sepatutnya dibenar diteruskan' pada 12.25 tengahhari.

Manakala pilihan satu lagi - 'Ia harus dibatalkan' - hanya dipilih oleh 14,222 responden.

Tiada ulasan: