Ahad, 12 Jun 2011

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Fitnah seks: Umno guna peluru busuk, kata isteri Mat Sabu

Posted: 12 Jun 2011 09:53 PM PDT

Fitnah seks : Musuh sengaja tembak peluru busuk kata isteri Mat Sabu

KUALA LUMPUR, 13 Jun — Isteri timbalan presiden PAS Mohamad Sabu, Normah Alwi kecewa dan sedih ada pihak "luar" membangkitkan balik fitnah lama melibatkan suaminya sebelum dan selepas muktamar parti itu baru-baru ini.

"Ya, cerita itu muncul kembali sebelum dan selepas muktamar (PAS) terbaru ini. Memang saya amat kecewa, sedih bila suami kembali difitnah, diperkata," kata Normah dipetik Sinar Harian hari ini.

Dalam temu bual dengan ditemani Mohamad (gambar) yang mesra dikenali "Mat Sabu", Normah berkata, musuh politik timbalan presiden itu "sengaja menembak peluru busuk."

"Mereka menggunakan benda sebegini kerana mereka sendiri bergelumang dengan perkara jijik.

"Mereka sebenarnya tiada isu untuk menjatuhkan suami saya," kata beliau.

Mohamad menang kerusi nombor dua itu dalam percubaan kali kedua pada pemilihan pusat 3 Jun lalu.

Beliau menewaskan penyandang jawatan Nasharudin Mat Isa dan seorang lagi calon Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Normah, 56, juga berkata kemenangan Mohamad kali ini adalah anugerah Allah.

"Kemenangan akan datang tidak pernah saya bayangkan atau fikirkan.

"Kami juga tidak pernah berbincang sehingga ke tahap itu," kata Normah menjawab soalan kemungkinan Mohamad akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 dan bergerak ke depan dalam politik selepas ini.

Mohamad pernah menjadi Ahli Parlimen sebelum ini.

"Malah setahu saya bercita-cita menjadi presiden PAS sekalipun suami saya tidak pernah.

"Jika apa yang anda katakan itu berlaku, saya akan terima dan jalani kehidupan seadanya. Beraksi mengikut sepatutnya," kata beliau lagi.

Mohamad pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dua kali iaitu dari 1984 hingga 1986 dan 1987 hingga 1989.

Kes khalwat pada tahun 1995, sebelum pilihan raya umum ketika itu, muncul lebih "panas" daripada peristiwa-peristiwa lain yang pernah dilalui suami Normah itu.

Beliau telah dibebaskan daripada tuduhan itu.

The Malaysian Insider membawa laporan pagi tadi memetik penganalisis politik meramalkan serangan video seks ke atas Mohamad, pemimpin kedua dari Pakatan Rakyat, akan memberi kesan buruk ke atas parti pesaing mereka.

Minggu lalu, Ahli Parlimen PKR Zuraida Kamaruddin mendedahkan ada menerima satu VCD menerusi peti suratnya, yang tertera gambar Mohamad dengan kata-kata "Skandal Seks Mat Sabu", dan satu kepala surat palsu bersama logo PAS selain risalah berkaitan video seks didakwa melibatkan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pemimpin-pemimpin PAS mendakwa Umno di belakang perkembangan terbaru itu.

Kata mereka, Umno kelihatan terdesak untuk menyerang PAS dan komponen Pakatan Rakyat susulan keputusan pemilihan pusat parti Islam itu.

Penganalisis politik James Chin dari Universiti Monash berkata, serangan terbaru menggunakan video seks tidak akan membawa impak sama sekali memandangkan kebanyakan rakyat Malaysia sudah pun "penat" dengan taktik sedemikian.

"Strategi menjelang pilihan raya umum ialah ada kumpulan orang yang dibayar untuk menyerang Pakatan Rakyat," katanya - The Malaysian Insider

Umno jadikan rakyat bahan eksperimen lucah

Posted: 12 Jun 2011 09:41 PM PDT

AMPANG: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menyifatkan kerajaan menjadikan rakyat sebagai bahan eksperimen politik lucah oleh Umno Barisan Nasional (BN) ekoran terbaru fitnah skandal seks Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pula diedar.

Walaupun dua laporan sudah dibuat, Ketua AMK Ampang, Hamsah Djabir berkata, polis masih berdiam diri berhubung pengedaran video lucah bagi memenuhi kepuasan pemerintah.

"Sampai bila polis mesti berdiam diri? Kini bukan sahaja Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadikan mangsa tetapi juga pimpinan PAS (Mat Sabu). Tidak mustahil selepas ini, pimpinan DAP pula.

"Adakah polis hendak menunggu sehingga pilihan raya, baru umum hasil siasatan?," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ekoran pengedaran video seks yang berleluasa sejak dua hari lalu, Hamsah menyifatkan perkara itu sebagai penghinaan kepada kuasa rakyat yang sebenarnya 'majikan' di negara ini.

"Respon kepada laporan polis Zuraida Kamaruddin, Ketua Cabang Ampang dan respon pimpinan PAS berkenaan penyebaran VCD Fitnah Anwar dan fitnah skandal seks Mat Sabu selama dua hari ini, adalah penghinaan kepada kuasa rakyat.

"Minggu lepas sahaja salah seorang ahli AMK Ampang terima VCD sama di pusat beli belah, dan kini ia dipos terus ke rumah Yang Berhormat pula. Penyebaran ini sudah melampau," ujarnya.

Beliau mewakili AMK Ampang memberi amaran keras dan tidak gentar dengan penyebaran video lucah, malah sudah bersiap sedia menghalang politik lucah yang mencemarkan pengundi Ampang.

"Amaran kepada dalang penyebaran: Kami (AMK Ampang) sudah bersedia dengan permainan perang saraf kotor begini. Barisan pertahanan akan kami ampuhkan. Barisan serangan akan kami perkuatkan.

"Kami tidak gentar dan sentiasa bersedia menghalang politik lucah secara habis-habisan dari terus mencemarkan pengundi di Ampang," kata beliau.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=15143

Mengapa Mahathir enggan 'bersara' walaupun sudah bersara?

Posted: 12 Jun 2011 07:29 PM PDT

oleh Abdul Manan Abd Razak

13 JUN – Telah hampir 10 tahun Tun Dr Mahathir Mohamad bersara daripada jawatan perdana menteri setelah 22 tahun menjawat jawatan eksekutif tertinggi di negara ini sejak 1981.

Pada peringkat awalnya rakyat diperlihatkan akan kehebatan seorang pejuang Melayu sepertimana dalam bukunya The Malay Dilemma dan kritikan pedasnya terhadap perdana menteri ketika itu Tunku Abdul Rahman yang menyaksikan mereka tidak sehaluan dan Mahathir pernah diletakkan di luar UMNO satu masa dulu.

Anehnya kedua-dua mereka berasal dari bandar yang sama di utara Semenanjung dan saling mengenali antara satu sama lain. Mahathir juga pernah bertanding dan tewas dalam pilihan raya setelah meletak jawatan sebagai pegawai perubatan yakni doktor walau pun dibimbangi oleh isterinya. Masa itu jasa Mahathir amat disanjung tinggi disebabkan kemurahan hatinya yang kerap memberi perkhidmatan percuma menerusi kliniknya Maha Klinik.

Setelah zaman perdana menteri Tun Abdul Razak, Mahathir mula menjejak kaki ke kabinet sehinggalah menjadi perdana menteri pada 1981.Pada awal pentadbiran bersama timbalan Tun Musa Hitam, pelbagai program dilancarkan 2M, Bersih-Cekap-Amanah, Kepimpinan Melalui Teladan, Dasar Pandang ke Timur telah dipropagandakan kepada rakyat. Dasar pengswastaan diperkenalkan dan pelbagai projek mega dilancarkan yang banyak memberi menafaat kepada rakyat jika dipandang secara kasar dan untuk kejayaan jangka pendek.

Industri seperti Perwaja Steel, Hicom, Proton, TV3, Empangan Bakun, PSCI, PLUS, ASTRO, Indah Water Konsortium, Jambatan Pulau Pinang dan banyak lagi projek mendadak dilancarkan di samping kemunculan tokoh-tokoh korporat Melayu, Cina, India yang bersifat payung terjun. Ada yang gagal dalam bidang maslng-masing lalu diperkenalkan pula "pak sanggup" Danaharta.

Di sinilah timbulnya kroni, rasuah, salah guna kuasa, penindasan terhadap rakyat, kezaliman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, sikap double standard, kekebalan perdana menteri, campur tangan politik terhadap PDRM, ATM, perbankan, peguam negara, kehakiman, SPRM, SPR dan jabatan-jabatan kerajaan.

Di samping itu timbul juga perebutan kontrak untuk anak-anak pemimpin termasuklah anak-anak perdana menteri dan kabinetnya yang kaya-raya. Milik siapakah Crest Petroleum, Scomi Group, Tongkah Holding, Cahaya Mata Sarawak, Konsortium Perkapalan Bhd,dan ribuan lagi syarikat milik mereka atas nama proksi?

Bagi Mahathir, anak-anaknya dan kroninya adalah manjaannya. Gagal saja dalam perniagaan bukan ditegur ataupun diadili, tapi diberi lagi peluang dengan bantuan bank dan lain-lain agensi kerajaan.

Di sinilah impak golongan ini yang tidak memiliki daya juang dan daya tahan yang kukuh untuk menempuh globalisasi dan persaingan terbuka. Rakyat dijadikan pelanggan tetap yang dipaksa membayar tol, cukai LHDN, bil perubatan, yuran pengajian, bil elektrik, bil air, petrol, disel, gas yang kenaikannya keterlaluan dan membebankan disamping lain-lain bayaran saman yang menghukum.

Di manakah pembelaan terhadap rakyat? Penghantaran wang haram ke luar negara oleh kroni membuktikan golongan ini semakin terdesak atas perbuatan yang diasaskan oleh Mahathir.

Kini Mahathir hanya pandai bermain isu perkauman, tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya di mana kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain telah bersatu menentang dasar perintis Mahathir yang membangunkan negara secara kronisme, rasuah, salahguna kuasa, zalim dan menindas rakyat.

Oleh kerana takutkan tembelang pecah dan niat BN untuk terus berkuasa hingga bila-bila,Mahathir dilihat meneruskan perjuangan terhadap UMNO walau pun telah beberapa kali berada di luar parti.

Apakah agenda Mahathir untuk anak-anak,kroni, kaum, parti atau pun negara dan dunia? Mahathir saja yang boleh jawab. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. – Roketkini.com

Serangan terhadap Mat Sabu - Tidak akan membawa impak, rakyat Malaysia 'dah penat'

Posted: 12 Jun 2011 05:34 PM PDT

KUALA LUMPUR, 13 Jun — Penganalisis-penganalisis politik meramalkan serangan video seks ke atas timbalan presiden baru PAS Mohamad Sabu, melibatkan pemimpin kedua dari Pakatan Rakyat (PR), akan memberi kesan buruk ke atas parti pesaing mereka.

Pengarah Centre for Policy Initiatives Dr Lim Teck Ghee berkata, lebih banyak taktik kotor dan usaha mengaibkan dari kedua-dua sebelah perikatan akan muncul memandangkan persekitaran politik semakin "panas" di sebalik spekulasi bahawa pilihan raya umum semakin dekat.

"Ini satu lagi usaha kotor bertujuan merosakkan imej parti-parti politik khususnya seorang pemimpin PAS.

"Memandangkan parti yang memperoleh manfaat adalah Umno, publik akan meragui parti memerintah," katanya kepada The Malaysian Insider.

Kata beliau, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) sudah pasti akan menafikan mereka bertanggungjawab manakala media dikawal perikatan itu akan menggunakan isu berkenaan untuk terus melakukan serangan.

"Oleh itu, terserah kepada pemimpin-pemimpin dalam masyarakat untuk mengecam tindakan ini dan mendedahkan pihak-pihak yang mahu mendapatkan manfaat daripadanya," kata beliau.

Minggu lalu, Ahli Parlimen PKR Zuraida Kamaruddin menerima satu VCD menerusi peti suratnya, yang tertera gambar Mohamad dengan kata-kata "Skandal Seks Mat Sabu", dan satu kepala surat palsu bersama logo PAS selain risalah berkaitan video seks didakwa melibatkan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pemimpin-pemimpin PAS mendakwa Umno di belakang perkembangan terbaru itu.

Kata mereka, Umno kelihatan terdesak untuk menyerang PAS dan komponen Pakatan Rakyat susulan keputusan pemilihan pusat parti Islam itu.

Mohamad menewaskan Nasharudin Mat Isa dan seorang lagi calon Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Penganalisis politik James Chin dari Universiti Monash berkata, serangan terbaru menggunakan video seks tidak akan membawa impak sama sekali memandangkan kebanyakan rakyat Malaysia sudah pun "penat" dengan taktik sedemikian.

"Strategi menjelang pilihan raya umum ialah ada kumpulan orang yang dibayar untuk menyerang Pakatan Rakyat," katanya.

Kata beliau, kebanyakan rakyat sudah membuat keputusan dan pihak yang belum berbuat demikian semakin mengecil.

Chin berkata beliau menjangkakan banyak lagi taktik murahan seperti itu, contohnya video seks Anwar, skandal melibatkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan juga isu membabitkan bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik akan dibangkitkan menjelang pilihan raya umum ke-13.

". . . tetapi ia akan membawa kesan buruk ke atas (makan diri) mereka," katanya.

Pandangan itu disetujui oleh penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian sambil berkata, pengundi atas pagar juga tidak berminat dengan isu-isu tersebut.

"Tindakan bergantung pada isu yang sama hanya akan merosakkan parti masing-masing dan dalam kes ini selepas Mat Sabu menang, kemungkinan mahu menghantar mesej bahawa beliau tidak layak secara moral memegang jawatan itu," katanya.

Beliau menjangkakan lebih banyak taktik akan digunakan untuk memikat persepsi dan sentimen pengundi kawasan luar bandar.

"Ia cara murahan untuk mendapatkan undi dalam landskap politik semasa," kata beliau sambil menambah, parti-parti politik perlu menggunakan pendekatan sofistikated untuk memenangi hati pengundi kawasan luar bandar. -TMI

PAS tukar Pesuruhjaya di lima negeri

Posted: 12 Jun 2011 05:13 AM PDT

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 12 Jun — Selangor dan Terengganu merupakan dua daripada lima negeri menyaksikan ditukar pesuruhjaya PAS, dilihat terdiri daripada kalangan profesional.

Melaka, Sabah dan Negeri Sembilan turut berubah tampuk pimpinan.

Pengumuman barisan Kabinet baru PAS dan negeri-negeri dibuat presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja pusat kali pertama petang ini susulun muktamar tahunan minggu lalu.

Di Selangor, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru Dr Abd Rani Osman dilantik sebagai pesuruhjaya PAS yang baru menggantikan Datuk Dr Hasan Ali, yang merupakan Exco Kerajaan Negeri manakala di Terengganu Ahli Parlimen Kuala Terengganu Mohd Abdul Wahid Endut menggantikan Datuk Harun Taib.

Harun merupakan Ketua Dewan Ulama PAS.

Di Melaka, Adly Zahari dilantik sebagai pesuruhjaya PAS menggantikan Abdul Ghani Abd Rahman sementara di Negeri Sembilan, Adun Paroi Mohd Taufek Abd Ghani diangkat menerajui parti itu menggantikan Zulkefly Mohamad Omar dan di Sabah Aminuddin Ali pula dilantik pemimpin nombor satu negeri di bawah bayu itu menggantikan Muhamad Abdullah.

The Malaysian Insider difahamkan kedua-dua Abd Rani dan Mohd Abdul Wahid merupakan golongan profesional. Begitu juga lantikan baru di Melaka, Sabah dan Negeri Sembilan.

Pemilihan pusat PAS yang berlangsung 3 Jun lalu menyaksikan calon kalangan profesional mengatasi kumpulan ulama.

Ini termasuklah jawatan timbalan presiden, tiga kerusi naib presiden dan 12 daripada 18 kerusi jawatankuasa kerja pusat.

Pesuruhjaya PAS di negeri-negeri lain dikekalkan iaitu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Kelantan), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Pahang), Abu Bakar Hussain (Perak), Datuk Seri Azizan Abdul Razak (Kedah), Salleh Man (Pulau Pinang), Hashim Jasin (Perlis), Mohd Nor Mohamad (Wilayah Persekutuan), Adam Ahid (Sarawak) dan Datuk Dr Mahfodz Mohamed (Johor).

Datuk Mustafa Ali kekal memegang jawatan setiausaha agung, buat penggal kedua sementara Tuan Ibrahim diangkat sebagai ketua penerangan yang baru menggantikan Idris Ahmad.

Mustafa akan dibantu tiga penolong setiausaha agung iaitu Datuk Takiyuddin Hassan, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Ahmad Sabki Yusuf.

Hadi berkata keputusan itu diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat yang diadakan itu.

"Semua lantikan ini berkuat kuasa serta-merta dan setiausaha agung akan menghantar surat kepada mereka. Ia dibuat berdasarkan perlembagaan PAS di mana presiden boleh melantik jawatan tertentu dengan persetujuan jawatankuasa kerja pusat.

"Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa kerja PAS pusat kali pertama hari ini," katanya.

Sementara itu, untuk jawatankuasa kerja PAS pusat yang dilantik ialah bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa, Idris, Asmuni Awie, Anuar Tahir, bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Zulkefly Mohammed Omar dan Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus menjadikan keseluruhan jawatan itu seramai 25 orang - TMI

Peringatan kepada isteri ... Jangan lupa tanggungjawab !

Posted: 12 Jun 2011 03:01 AM PDT

Antara isteri taat, main kayu tiga atau poligami

Oleh Kucing Jantan

BRO senyum sendirian apabila membaca polemik mengenai penubuhan Kelab Isteri Taat. Bro tak mau ambil tahu siapa yang tubuhkan dan apa motifnya.

Walaupun Bro menolak sekeras-kerasnya seruan agar isteri melayan suami seperti 'pelacur kelas pertama' tetapi Bro bersetuju sangat dengan penubuhan kelab ini.

Mahu tak mahu kaum perempuan kena mengakui bahawa ramai di kalangan isteri sekarang sudah tidak taat kepada suami. Banyak kes yang berlaku bagaimana si suami menangkap si isteri curang dengan lelaki lain.

Bro dapat banyak cerita bagaimana perempuan yang bergelar isteri mengadakan hubungan sulit dengan rakan-rakan sepejabat. Bukan fasal si suami di rumah tu tak baik tetapi kerana si isteri tu yang tidak boleh kawal nafsu, nampak sikit lelaki kacak dan pandai pula 'mengayat' lemah longlai si isteri orang itu.

Masa tu tak kira dosa pahala dah, balik kat rumah mula la buat perangai, bila si suami suruh layan sikit jawapan diberi letih la, penat la, badan tak sihat la tetapi masa kat pejabat dok menggatal dengan lelaki lain, ok pula.

Sebab itulah Bro sokong kelab tersebut sebab mereka yang menubuhkan kelab berkenaan dah sedar betapa ramainya isteri yang semakin tak taat.

Jangan la dok bagi alasan kononnya kelab tu bertujuan nak pastikan si suami tak cari perempuan lain. Bagi Bro kalau pun lelaki nak kahwin apa masalahnya?

Bukankah Islam membenarkan si suami berkahwin empat selagi dia berdaya zahir dan batin. Bro tak faham la kenapa perempuan emosi sangat bab suami nak kahwin lain ni.

Poligami dibenarkan oleh Islam maknanya Allah SWT mengizinkannya, jadi buat apa yang kita susah payah dok pening kepala nak bertengkar setuju ke tidak.

Sebagai perempuan reda sahajalah ketentuan Illahi, kalau suami kita hendak berkahwin lain, tidak payah hendak gaduh-gaduh.

Kalau nanti si suami tidak jalankan tanggungjawabnya dengan betul dan adil, biarlah dia jawab dengan Tuhan.

Tak payah dok berdebat setuju atau tak setuju, bagi Bro perempuan yang tentang poligami ni sebenarnya tak faham hukum hakam agama dan yang Bro pelik tu ada antara mereka belum pun berkahwin.

Jadi Bro tak faham macam mana dia tahu poligami tu akan menyusahkan kaum wanita, setiap perkara yang dibenarkan oleh Allah SWT pasti ada kebaikan, cuma manusia yang tak tahu melaksanakannya.

Daripada dok sibuk-sibuk fasal poligami tu lebih baik tumpu perhatian kepada nasib wanita yang tak berkahwin macam mereka.

Bagaimanapun dalam bab poligami ni, Bro percaya kalau si isteri tu baik dan melayan suami dengan sempurna, Bro percaya si suami tidak akan berkahwin lain tidak kira la muncul perempuan lawa macam mana sekali pun yang datang menggoda.

Bila si suami berkahwin lain ia ada dua sebab, pertama mungkin si isteri membosankan dan kedua, kerana pintu hatinya sudah terbuka untuk menerima cinta baru.

Jadi janganlah perempuan nak mengamuk tak tentu fasal bab poligami dan isteri kena taat ni. Memang perempuan zaman sekarang tak macam zaman dulu, banyak langkah kawalan dan peringatan perlu diberikan supaya mereka tidak terbabas.

Kebebasan yang diberikan oleh suami kadang kala menyebabkan mereka lupa batas sebagai seorang isteri biarpun mereka berjawatan besar. Tetapi kena ingat setinggi mana pun kedudukan mereka, syurga tetap di bawah telapak kaki suami.

Oleh itu apabila Kelab Isteri Taat ini ditubuhkan, janganlah anggap mereka hendak mencari publisiti sebaliknya mereka hendak memberi peringatan kepada kaum perempuan apa yang sepatutnya mereka utamakan.

Perempuan yang risau kononnya kelab seumpama itu akan disalahgunakan oleh lelaki, sebenarnya takut dengan bayang-bayang sendiri.

Kalau pun ada lelaki yang cuba menyalah gunakannya itu bukan salah lelaki tetapi salah perempuan kenapa cepat sangat mereka terpengaruh atau lentok bila 'diayatkan' lelaki.

Bro bukannya nak tuduh tetapi inilah hakikat yang berlaku di sekeliling kita. Sebab itulah bila ada usaha hendak meningkatkan ketaatan seorang isteri, kita kena sokong.

Lagi pun Bro percaya setiap perkahwinan itu perlu sentiasa diberikan nafas baru terutamanya dalam soal hubungan suami isteri. Janganlah bila dah beranak pinak maka kasih sayang dan cinta antara suami isteri pun luntur.

Sebaliknya banyak perkara perlu dilakukan supaya biar pun sibuk mana pun kehidupan kita, hubungan suami isteri itu perlu sentiasa dijaga dan dipelihara.

Tetapi yang selalu Bro tengok perempuan bila dah ada anak mula nak lupa tanggungjawab layan suami, bila tidur malam pun nak peluk anak aje, si suami yang 'kesejukan' tak diendahkan.

Kesudahannya rumah tangga jadi muram dan tidak ceria, bila si suami jatuh cinta dengan perempuan lain mula la nak mengamuk.

Jadi nasihat Bro kepada kaum perempuan, apabila berlaku sesuatu dalam rumahtangga kita, jangan tuding jari kepada orang lain tetapi kajilah diri sendiri untuk mengetahui di mana silapnya yang memungkinkan cinta si suami beralih arah.

Kadang kala si suami bukannya hendak main kayu tiga tetapi sekadar untuk memberi peringatan kepada si isteri supaya jangan lupa tanggungjawabnya.

PAS berubah Umno gelabah - Datuk Mohd Ariff Sabri

Posted: 12 Jun 2011 02:15 AM PDT

12 JUN — Kenapa isu gabungan antara PAS dan Umno jadi rebut-ribut? Muhyidin Yassin kata, Umno tetap akan berusaha mencapai permuafakatan dengan PAS untuk menubuhkan kerajaan perpaduan. Orang tidak mahu, kita masih terkinja kinja. Hidung tidak mancung, pipi di sorong sorong.

Bukan apa, kata Muhyidin kerana kepentingan bangsa Melayu. Ketua penerangan Umno Ahmad Maslan menyambung nafsu inginkan permuafakatan. Bahkan Maslan memberi huraian keatas perkara tersebut.

Tapi ada sesuatu yang tidak kena dengan kenyataan Maslan. Dia run down tokoh Umno yang disebut nya sebagai veteran. Siapakah yang di maksudkan oleh Maslan? Dr Mahathir Mohamad kah? Tengku Razaleigh Hamzah kah? Atau Hussein Onn kah yang ketika itu Perdana Menteri dan presiden Umno? Wahai ahlil nujum, cuba enta kasi cerita la.

Maslan tidak boleh sebut dia tidak tahu hujung dan pangkal. Kalau tidak tahu, kena baca lah wak. Tokoh yang paling tidak suka PAS ketika itu ialah Dr Mahathir dan Dr Mahathir kata Maslan, di anggap sebagai sifu nya. Sifu ketika bila? Ketika Maslan berumur belasan tahun? Maslan masih merangkak?

Ini penyakit besar budaya politik Umno. Kamu mahu memperjuangkan sesuatu matlamat, objektif atau sesuatu perkara ialah dengan menjatuhkan orang lain. Yang paling celaka, ialah menjatuhkan sesama sendiri. AJK hentam AJK lain.

Ahli Umno dari satu kumpulan memburukkan Adun dan melakukan angkara durjana. Presiden hentam timbalan Presiden. Timbalan Presiden komplot sana sini. Ini budaya Umno. Peningkatan kareer di lakukan diatas pemusnahan orang lain. Budaya politik inilah yang menjadi penghalang terbesar perpaduan antara PAS dan Umno.

Mari kita selidik motif yang berbeza antara dua parti orang Melayu ini. Mengenai wadah perjuangan dan perbezaan falsafah perjuangan, tidak perlu kita huraikan.

Kita tanya soalan yang asas. Apa perlu PAS bersekutu dengan Umno? Adakah dengan jalan itu, PAS mentahkihkan atau affirm keMelayuan nya? Saya rasa tidak. Orang Melayu yang berada dalam PAS tidak hilang Melayu nya sama seperti orang Melayu dalam Umno tidak hilang kebangsaan nya.

Jadi, jika sama sama Melayu, apa perlu menggunakan slogan bersatu Melayu itu sebagai tarikan untuk bersekutu? Jadi, alasan keBangsaan sebagai penyebab bersekutu tidak boleh di pakai. PAS tidak memerlukan Umno untuk register keMelayuan mereka.

Adakah ianya bertujuan mengekalkan kuasa Melayu? Jika itu matlamat nya, ianya alasan tidak kukuh. Sebab, PAS yakin boleh menjadi pilihan alternative kepada Umno.

Dan PAS sudah pun menunjukkan bahawa mereka bersedia mengambil tempat Umno. Bagaimana? Dengan melakukan transformasi dalam saf kepimpinan nya. Transformasi yang di lakukan bersifat penstrukturan semula untuk berperang sebenar nya.

Walaupan kumpulan yang di sebut sebagai kumpulan Erdogan telah menguasai pimpinan PAS pada satu peringkat, PAS mempunyai suatu badan untuk mengawasi keghairahan pimpinan barisan depan parti tersebut.

Umno juga melakukan penstrukturan semula dalam pimpinan nya — tapi sekadar mengalih pemimpin lama dan yang tidak mendapat mandate rakyat sebagai penyandang jawatan. Ini transformasi main main.

Kali ini Kabinet kerajaan Umno di penuhi dengan senator dan mereka yang tewas dalam pilihanraya. Bagaimana kita mencerminkan harapan dan hasrat rakyat, jika mereka yang di tolak terus di jadikan pemimpin kerajaan?

Ketika Umno kuat, tidak pernah timbul ura ura mahu bergabung dengan PAS. Rata-rata nya, Umno mahu orang Melayu percaya bahawa mereka hanya selamat jika bernaung di bawah Umno. Umno jurubicara rakyat. Umno menjuarai orang Melayu dan kepentingan mereka.

Demikian lah kepercayaan yang di asak kedalam benak bangsa Melayu. Apakah punca kepercayaan demikian? Sudah sememang nya begitu jawapan nya. Itu sebab nya Umno itu Melayu dan Melayu itu Umno.

Lama kelamaan setelah 50 tahun lebih memerintah, laungan tersebut semakin kosong. Penjuaraan Umno keatas orang Melayu serta kepentingan mereka, menjadi longgar. Penyebutan dan pengucapan kalimah "Melayu" masih kedengaran, itu tidak di sangsipun. Tapi Melayu macama mana dan kepentingan Melayu mana yang Umno juara kan? Jawapan yang tersangat di permudahkan, sudah sememang nya begitu tidak dapat lagi di pertahankan.

Jadi kalau kita cari punca punca nya, tidak ada hujjah yang rasional kenapa survival bangsa Melayu mesti bergantung kepada Umno. Hanya sudah memang begitu. Umno tidak lagi boleh bertahan atas jenama nya sahaja. Kualiti kepimpina, wawasan nya, prinsip perjuangan nya hari ini di pertontonkan kepada dunia untuk di adili.

Kepercayaan yang bersandar diatas landasan yang tidak rasional akan runtuh apabila kesedaran rakyat meningkat. Bagaimana? Apabila masyarakat maju dalam pendidikan, dalam pergaulan, dalam penglaman dan dalam interaksi dengan warga dunia.

Apatah lagi dalam zaman tidak berbatasan hari ini, pengetahuan dan maklumat yang meningkatkan kesadaran social termasuk kesedaran politik, melajukan lagi keruntuhan pegangan tidak rasional.

Ini kesilapan Umno yang terbesar. Yakni membeku dengan fikiran bahawa rakyat begitu mudah di indoktrinasi dengan arahan arahan. Lalu rakyat di lihat hanya sebagai digits dan angka. Kesilapan yang lebih besar ialah keengganan Umno melakukan adaptasi dan memperakui bahawa hari ini mereka berdepan dan berususan dengan masyarakat yang berfikiran rasional.

Jadi mengapa hari ini Umno mahu bergabung dengan PAS dan mahu mengujudkan kerajaan perpaduan? Tidak dapat tidak, ianya menimbulkan syak bahawa Umno sudah merasa cemas akan kehilangan kuasa. Hasrat mahu bergabung dengan PAS timbul bila Umno merasa cemas.

Adakah kita sanggup begabung dengan PAS jika mereka letakkan syarat biarlah mereka yang mengetuai kerajaan? Jika kita sanggup, maka orang akan menterjemahkan tindakan kita itu sebagai benar benar mendahulukan kepentingan bangsa Melayu.

Jika kita tidak sanggup, maka lebih baik berhenti bercakap mengenai bergabung dengan PAS. Orang tahu juga, lama kelamaan, kepentingan sebenar kita ialah menjamin kita kekal berkuasa. Lebih baik, kita tumpukan usaha kepada mentransformasikan parti kita.

Adalah kita berani menggantikan pimpinan Umno yang sudah lapuk? Ganti sebahagian besar ketua bahagian? Menetapkan bahawa hanya mereka yang memenangi kerusi parlimen sahaja yang di lantik jadi anggota Kabinet?

Jika kita tidak sanggup, maka kita harus angkat tangan, tabik kesediaan PAS mentransformasi parti mereka. — ariffandaspan.blogspot.com

* Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz ialah bekas Adun Pulau Manis (2004-2008).

Gadis 18 tahun kahwin 11 kali

Posted: 12 Jun 2011 12:12 AM PDT

2011/06/12
JAKARTA: Dalam usia baru 18 tahun, Fitriasih dilaporkan sudah mengahwini sebanyak 11 kali dalam tempoh 11 bulan lalu, dengan lelaki Arab yang berbeza dalam satu-satu masa. Namun ketika ditanya apa yang menyebabkan beliau mempunyai rekod sedemikian, remaja terbabit hanya akan menjawab beliau terdesak berikutan masalah kemiskinan. Fitriasih adalah seorang daripada ramai wanita yang terbabit dalam perkahwinan kontrak di mana lelaki Islam akan membayar sejumlah wang untuk bernikah dengan wanita tempatan dalam tempoh singkat sebelum menceraikan mereka.

Perkahwinan dikenali sebagai nikah siri itu didakwa diiktiraf di bawah hukum Islam tetapi tidak di bawah undang-undang negeri. Ini bermakna si isteri tidak boleh membuat tuntutan perundangan terhadap kekayaan atau harta suaminya selepas mereka mengakhiri perkahwinan berkenaan.

Perkahwinan yang tidak didaftarkan itu sering kali disalah gunakan oleh lelaki yang hanya mahu menjalinkan hubungan seks selain perkahwinan pertama mereka tetapi tidak mahu bertanggungjawab penuh sebagai seorang suami, kata pakar.

Amalan berkenaan juga digunakan kebanyakan lelaki Indonesia yang mahu mengamalkan poligami tetapi gagal mendapatkan persetujuan isteri pertama, kata Maria Ulfa Anshori, ketua sayap wanita Nahdlatul Ulama, kumpulan Islam terbesar Indonesia kepada akhbar Indonesia, Jakarta Globe.
Sebelum beliau ditahan Rabu lalu dalam satu serbuan pelacuran oleh pihak berkuasa di Puncak, Fitriasih meraih pendapatan lumayan dengan berkahwin dan bercerai lelaki Asia barat dengan mendapat bantuan seorang orang tengah dipanggil Mami.

Perkahwinan terbabit biasanya bertahan antara seminggu hingga lima minggu dan Fitriasih menerima sejumlah Rp 5 juta (RM1,772) seminggu bagi 'tugas isteri' yang dipikulnya. Daripada jumlah itu 20 peratus diserahkan kepada Mami yang mengendalikan tawaran dan rundingan.

"Saya mempunyai seorang 'orang tengah'. Beliau memberi tunjuk ajar kepada saya," kata Fitriasih ketika ditahan di pejabat daerah Cisarua di Jawa Barat untuk soal siasat.

Tugasan terakhir Fitriasih katanya adalah menunggu seorang 'unta' - terma yang digunakan orang tengahnya bagi pelanggan Arab - di Tjokro Villas di kampung Ciburial berhampiran Bandung.

Katanya, beliau sepatutnya mengahwini seorang lelaki Arab dalam satu majlis diuruskan seorang guru agama dipilih oleh Mami.

"Saya sekadar mengulangi apa yang dikatakan guru agama itu. Ia adalah ijab kabul," kata Fitriasih. "Saya tidak tahu dari mana beliau berasal. Saya hanya tiba di tempat yang dijanjikan Mami. Majlis itu biasanya diadakan di sebuah villa atau sebuah apartmen di mana tetamu Arab itu akan tinggal.

"Ia biasanya dilakukan di Jakarta. Sebaik saja berkahwin kami akan terus ke Puncak. Untuk berkomunikasi dengan mereka, saya boleh bercakap sedikit bahasa Arab dan Inggeris," katanya. – Agensi

Gambit tak sekebal Namawee

Posted: 11 Jun 2011 11:24 PM PDT

Gambit seorang Melayu. Budak ini baru belajar berlakon tapi kini sudah jadi pengarah. Pengarah klip video lucah yang dilakonkan oleh seorang pelakon Melayu dan perempuan bukan Melayu. Klip video lucah di youtube ini membuatkan nama Malaysia berada di peta dunia. Malaysia sudah dikenali antara negara pembuat video lucah.

Ada orang tanya, kenapa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan atas Gambit? Siti kata, jangan risau tak lama lagi kenalah tu. Dia mesti kena punya. Tengoklah macammana pelajar Aswara yang kena tindakan hanya menghantar komen dalam facebook mengenai isu bakar gereja.

Siti mengingatkan mereka, Gambit tidak sekebal Namawee, seorang budak Cina yang pernah membuat klip video menghina Negaraku. Bagi Siti, Namawee sangat kebal, tidak diambil tindakan walaupun beberapa remaja di Batu Buruk, Terengganu kena tindakan undang-undang kerana membakar bendera Jalur Gemilang.

Selepas isu menghina Negaraku dan dia bebas, Namawee buat perangai sekali lagi mengenai isu seorang guru besar di Johor. Isu klip video yang sangat perkauman itu akhirnya senyap begitu saja. Sampai hari ini Namawee tidak dikenakan apa-apa tindakan. Khabarnya tidak ada akta untuk ambil tindakan atas Namawee. Siti pun tak faham dengan kepala pihak yang ada kuasa tentang perkara ini. Adakah mata dan telinga telah dilekatkan gam gajah?

Kerana itu kepada mereka yang mahu tindakan diambil atas Gambit, jangan risau Gambit bukan Namawee yang sangat "istimewa" kepada negara ini. Ingat, Gambit bukan Namawee yang memburukkan nama Malaysia ke seluruh dunia menerusi klip video Negarakuku.

Maka sudah pastilah Gambit akan dikenakan tindakan. Mungkin kena gam. Tapi kalau Gambit tanya, kenapa dia kena gam tapi filem Anu Dalam Botol tak kena gam, susah juga nak dijawab. Kalau Gambit tanya, kenapa dia tak boleh tapi Namawee boleh, lagi susah nak jawab. Akhir sekali semua langsung tak nak jawab. Kalau ditanya kepada Siti, jawapannya kita mengamalkan sikap double standard atau pilih kasih atau pilih bulu atau lebih tepat lagi tidak berani menegakkan keadilan bahawa yang salah tetap salah.

Misalnya Namawee mendapat hasil daripada sikap pilih kasih kita. Gambit pula mungkin akan mendapat bala biarpun perbuatan Namawee memberi kesan yang jauh lebih buruk. Sekarang siapa yang berani cakap lagi isu budak Namawee itu lagi kecuali Siti. Sebabnya orang lain yang diberi kuasa nak jaga perut masing-masing takut kebuluran.

Namawee, gua tabik sama lu. Bolehlah buat perangai lagi. Kalau tak ada duit, pinjamlah duit kerajaan. Kepada Gambit, undang-undang tak kira siapa...Opps tengok keadaan jugalah.

SITI JARUM: Ahhh....

Tiada ulasan: