Ahad, 12 Jun 2011

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Harga bahan api dikurang jika Pakatan kuasai Putrajaya, janji Anwar

Posted: 12 Jun 2011 07:12 AM PDT

KUALA LUMPUR, 12 Jun — Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan mengurangkan harga bahan api dalam tempoh 24 jam sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan persekutuan.

"Pemimpin-pemimpin Umno boleh mengatakan apa sahaja (mereka) mahukan," kata Anwar pada satu ceramah di Brickfields di sini hari ini.

"Saya pernah menjadi menteri kewangan. Saya tidak mahu menjanjikan perkara-perkara yang mustahil," katanya lagi.

Pentadbiran Najib baru-baru ini menaikkan tarif elektrik selain mengurangkan subsidi diesel bagi kapal-kapal perikanan laut dalam dan sembilan kelas kenderaan komersial.

Putrajaya sejak tahun lalu memperkenalkan dasar pelarasan subsidi yang membawa kepada kenaikan harga bahan api dengan harga RON97 diapungkan secara berperigkat-peringkat.

Sejak awal tahun ini harga RON97 sudah naik empat kali.

Umno takut hilang kuasa jika pilihan raya adil, kata Anwar

Posted: 12 Jun 2011 07:11 AM PDT

June 12, 2011

KUALA LUMPUR, 12 Jun — Datuk Seri Anwar Ibrahim menuduh Umno takut untuk mengadakan pilihan raya bebas dan adil ketika spekulasi mengenai pilihan raya umum ke-13 akan diadakan dalam setahun ini semakin meningkat.

Anwar melahirkan pendirian ini ketika barisan pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan membuat persiapan untuk mengadakan Himpunan Bersih 2.0 awal bulan depan.

Media milik Umno dan pemimpin Umno-BN mengkritik penganjuran himpunan itu.

"Mengapa tidak Umno (mahu) mengadakan pilihan raya bebas dan adil?" kata Anwar pada satu ceramah di Brickfields di sini hari ini.

"Jika mereka mengadakan pilihan raya yang adil dan bebas, mereka bimbang akan kalah," kata Ketua Umum Pakatan Rakyat ini.

Anwar menuduh media yang dikawal kerajaan mewakili persekitaran "yang tidak adil dan rasuah".

Beliau juga menekankan bahawa rakyat hanya mahukan hak-hak yang termaktub di bawah perlembagaan untuk merasai pilihan raya yang adil dan bebas.

"Kini pilihan raya tidak adil dan tidak bebas," kata Ketua Umum PKR ini.

"Kami tidak minta undi tambahan bagi kaum India, keistimewaan tambahan bagi orang Melayu. Kami hanya menuntut apa yang dijanjikan oleh negara (bagi setiap rakyat)," katanya lagi.

Dalam ucapannya Anwar juga mengecam Barisan Nasional (BN) kerana menghalang Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan daripada memasuki Sarawak sebelum pilihan raya negeri April lalu.

Katanya, Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan ada mengundang beliau untuk sama-sama memantau pilihan raya umum di negara itu hari ini.

"Beliau yakin adanya pilihan raya bebas dan adil (di Turki). Di sini, bukan sahaja pihak luar, ketua Bersih juga tidak dibenarkan memantau pilihan raya. Bermakna ada sesuatu untuk disembunyikan," kata Anwar.

Himpunan Bersih tetap diteruskan, kata Ambiga dan PAS

Posted: 12 Jun 2011 05:00 AM PDT

KUALA LUMPUR, 12 Jun — Datuk Ambiga Sreenavesan dan pemimpin PAS menegaskan Himpunan Bersih 2.0 bulan depan tetap diteruskan walaupun dibantah banyak pihak termasuk dari Barisan Nasional (BN).

Utusan Malaysia, akhbar milik Umno hari ini menggesa rakyat agar memboikot perhimpunan itu dan memetik Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah memberi amaran bahawa "boleh mengakibatkan huru-hara apabila berlaku pertembungan antara kumpulan penyokong dan penentang demonstrasi jalanan.

"Pembangkang adalah normal. Ini adalah negara demokratik," kata Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 Ambiga kepada The Malaysian Insider.

"Dalam pemerhatian saya ramai menuntut kami agar mengadakannya. Terdapat banyak rasa tidak puas hati... seperti ketika (pilihan raya) Sarawak, tidak gembira tentang rasuah dan tidak gembira mengenai institusi-institusi yang tidak bebas," katanya.

Ambiga, bekas presiden Majlis Peguam, menyifatkan perhimpunan itu sebagai "himpunan aman rakyat."

Ketika ditanya mengenai kemungkinan Bersih 2.0 akan dikenakan tindakan keras dari polis, Ambiga berkata "rancangan ini belum muktamad lagi . . . kami mahu mendesak pihak berkuasa mengubah pandangan terhadap himpunan."

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata rakyat akan menyokong himpunan Bersih selagi kerajaan tidak memenuhi tuntutan NGO itu semasa kali pertama pada 2007.

Himpunan Bersih pertama yang disertai parti-parti politik beberapa bulan sebelum pilihan raya umum 2008.

"Apabila pilihan raya diadakan dengan tidak adil, ia akan jadi seperti yang berlaku di Timur Tengah. Saya tidak mahu apa yang berlaku di Timur Tengah terjadi di sini," kata Mohamad.

Protes besar-besaran berlaku di negara-negara Timur Tengah yang telah berjaya menjatuhkan kerajaan autokratik di Mesir dan Tunisia yang dituduh mengamalkan rasuah.

"Perubahan berlaku di Singamura . . . mereka (pembangkang) dapat akses dengan media," kata Mohamad atau lebih dikenali sebagai "Mat Sabu" merujuk pilihan raya Singapura baru-baru ini.

Pakatan Rakyat dan aktivis-aktivis parti bersedia menggerakkan himpunan itu pada bulan depan, kali pertama diadakan pada 2007 difahamkan kira-kira 50,000 orang telah berkumpul di ibu negara, bagaimanapun disuraikan dengan gas pemedih mata dan meriam air oleh polis.

Menurut Mohamad, PAS akan menggerakkan ratusan ribu orang pada himpunan kali ini sebelum pilihan raya diadakan dijangkakan dalam tempoh terdekat.

Pada himpunan Bersih 2007, rekod perubahan berlaku apabila Pakatan Rakyat berjaya menawan lima negeri dan memenangi 82 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum 2008.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Datuk Paduka Husam Musa berkata laporan muka depan Utusan Malaysia itu adalah "liputan terbaik", menunjukkan lebih ramai rakyat akan menyokong himpunan itu.

Hadi : Beri PR Mandat Tegakkan Negara Berkebajikan

Posted: 12 Jun 2011 04:23 AM PDT



Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggesa pengundi memberikan Pakatan Rakyat mandat menawan Putrajaya untuk membolehkan gagasan itu menubuhkan sebuah Negara Berkebajikan dalam erti kata sebenar dan bukan acuan mengikut Umno yang menghalalkan amalan rasuah dan penyelewengan kuasa.

Beliau menegaskan kritikan-kritikan pemimpin utama Umno terhadap Negara Berkebajikan yang diperjuangkan oleh PAS hanya menyerlahkan kecetekan mereka mengenai politk dalam konteks Islam.

Beliau berkata tidak timbul soal PAS mengabaikan perjuangannya atau pun perlembagaan yang berasaskan ajaran Al-Quran.

"Itu kenyataan (orang) yang tak membaca apa dia politik Islam, insyaAllah saya akan menulis sebuah buku negara berkebajikan, di mana apa yang kita bentangkan adalah berlandaskan kepada perlembagaan PAS yang menjadikan panduan Quran hadis, ulama," kata beliau selepas mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS petang tadi.

"Konsep kebajikan yang dimaksudkan bukan sahaja kebajikan masyarakat yang difahami mereka yang tak faham politik Islam termasuklah kebajikan yang tak mengerjakan yang haram, antaranya meninggalkan rasuah bukan sahaja kerana SPRM tapi kerana perintah Allah swt," tambah beliau.

"Beri peluang kepada kita 5 tahun dan kita akan tunjuk apa dia yang boleh kita lakukan," kata Hadi

Perdana Menteri Najib Razak, mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan Abdullah Badawi masing-masing mengkritik PAS kerana memperjuangkan penubuhan sebuah Negara Berkebajikan yang dianggap memesong daripada perjuangan parti itu sebelum ini.

Malah Najib berkata perubahan itu kononnya memberi kemenangan kepada rakan PAS dalam Pakatan iaitu DAP, manakala Abdullah menyifatkan konsep negara berkebajikan dipakai untuk menarik pengundi bukan Islam.

Hadi berkata segala kritikan itu hanya menunjukkan Umno semakin gusar dengan cabaran PAS dalam menghadapi pilihanrnaya umum akan datang.

"Itu menandakan mereka terasa kepanasan dengan konsep yang kita bentangkan, mereka tak tahu selama ini dan sudah banyak cuba nak ikut kita, yang terbaru mahu tubuhkan sayap ulama UMNO."

Hadi berkata konsep negara berkebajikan yang sudah pun diamalkan di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat menunjukkan penerimaan bukan Islam terhadap Islam, sesuatu yang gagal dilaksanakan oleh Umno.

"Sebahagiannya kita telah berjaya merealisasikan melalui kerajaan negeri yang kita perintah seperti di Kelantan, Kedah dan pernah di Terengganu dan Perak. Penyertaan kita dalam kerajaan campuran, di Kedah, Selangor dan Pulau Pinang di mana hasilnya kita telah berjaya melakukan perubahan sikap di kalangan bukan orang Islam yang melihat Islam dari dekat apa yang gagal ditunjukkan oleh UMNO."

Menurut beliau, meskipun pelbagai kekangan diletakkan oleh Putrajaya terhadap kerajaan negeri yang ditadbir PR, gagasan itu menunjukkan kemampuannya untuk mentadbir secara telus dan mendokong konsep negara berkebajikan.

"(Cuma sekarang) jangan mereka cabuli sistem federalisma dengan menekan negeri-negeri yang kita menang dalam pilihan raya sehingga tidak menghormati konsep federalisma, campur urusan negeri, pentadbiran, sekat pelabur dan sebagainya. (Saya harap mereka) memberi peluang kepada media untuk kita beri penjelasan yang sewajarnya kepada rakyat, saya bersedia untuk menjadi tetamu kepada media untuk membuat penjelasan," kata beliau

IPP-Rakyat Harus Tahu, Kata Pemimpin Pelapis Umno,PR

Posted: 12 Jun 2011 04:19 AM PDT




Kedua-dua parti - Umno and Pakatan Rakyat, iaitu PAS dan PKR - bersetuju supaya Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) didedahkan kepada umum demi kepentingan negara.

Ahli panel forum subsidi dari ketiga-tiga parti terbabit berkata paling tidak pun, PPA itu didedahkan kepada sebuah panel pakar atau ahli parlimen.

Forum anjuran Dewan Pemuda PAS, diadakan di Kuala Lumpur pagi ini dan disertai oleh exco Pemuda Umno, Ahmad Zaki Zahid (kanan); pengarah strategik PKR, Rafizi Ramli and ahli jawatankuasa Pemuda PAS, Mohd Zuhdi Marzuki.

Ahmad Zaki bersetuju PPA dikaji semula dan didedahkan sekiranya itulah kehendak rakyat.

Sekurang-kurangnya, bentuk sebuah panel pakar atau ahli parlimen untuk mengkaji PPA, katanya, sambil menambah isu berhubung pengeluar tenaga bebas (IPP), telah menjadi satu isu 'emosional'.

Ahmad Zaki turut menyokong gesaan ahli parlimen Gua Musang MP dan bekas menteri kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah semalam supaya suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan untuk mengkaji PPA.

Sementara itu, Mohd Zuhdi (kanan) pula berkata, semua dokumen syarikat kaitan kerajaan yang membabitkan kepentingan awam, mestilah diumumkan dan telus.

Gesaan supaya PPAs didedahkan kepada umum semakin mendapat sokongan banyak pihak.

Manakala Rafizi (kanan), seorang tokoh korporat yang pernah
bersama Petronas dan Pharmaniaga, menjadi tumpuan apabila beliau mendedahkan angka-angka sensasi dan kemahirannya berpidato.

Beliau mendakwa, YTL Corporation, dengan hanya memiliki sebuah IPP, memberi dividen berjumlah RM1.9 bilion pada 2009 sedangkan TNB hanya memberi RM900 juta dividen.

Bila Utusan Cuba MengIslamkan Umno...

Posted: 12 Jun 2011 12:18 AM PDT


KOMENTAR : Sokong bawa rebah. Sepatutnya sebagai akhbar milik Umno, Utusan Malaysia bijaksana untuk memelihara kepentingan politik dan maruah Umno. Namun oleh kerana pimpinan Umno sendiri malas berfikir tanggungjawab untuk menjaga nama baik parti itu sendiri , tugas itu diserahkan kepada mereka yang kurang arif dan golongan yang mempunyai agenda sendiri di akhbar berkenaan.

Bayangkan betapa murahannya politik Umno apabila ada pengarang Utusan sendiri yang mengakui bahawa Islam umno memang banyak kelemahannya. Mungkin didorong oleh hasrat untuk memperagakan kewibawaan dan ketrampilan analisis politiknya, Utusan secara rasmi menyarankan Umno supaya menubuhkan sayap ulamanya sendiri.

Jalan ini telah dirintis oleh PAS, seteru politik Umno. Bagaimanapun pada pengamatan yang kabur pengarang Utusan, PAS dilihat seolah-olah telah mengenepikan golongan ulama dan lantas membuat rumusan peranan ulama dalam PAS sudah tidak releven lagi. Oleh itu, tanpa segan silu, Utusan menyarankan supaya Umno segera mengambil kesempatan politik daripada keadaan ini dan menubuhkan sayap ulamanya.

Apa yang agak melucukan ialah, Utusan mahu beberapa pemimpin PAS yang disyaki tertarik dengan pendekatan politik Umno supaya dijemput menerajui Dewan Ulama Umno yang mahu ditubuhkan ini.

Di sini jelas kedangkalan pengarang Utusan. Jika Umno teruja dengan saranan ini dan melaksanakannya, ia akan menjadi satu pengakuan bahawa Umno selama ini memang yakin bahawa ulama mesti diberi peranan lebih besar dalam mengemudi keperluan politik parti. Atau, dengan perkataan lain, Umno mengakui pengertian Islamnya selama ini lompong dan cacat. Sebab itu, ia memerlukan pimpinan dan panduan ulama.

Dalam nafas yang sama sekaligus ia adalah pengakuan bahawa Umno memang selama ini tidak memberi tempat wajar kepada pandangan Islam dalam tindak tanduk politiknya. Lantas, apabila PAS dilihat kurang mengambil berat soal input agama dalam politik kerana kononnya berkiblatkan kemenangan pilihanraya dan menakluki kuasa memerintah, maka Umno layak (kata Utusan) untuk mengambil alih usaha meletakkan ulama di tempat yang lebih wajar dalam sistem politik negara!

Lebai malang betul Umno ini. Orang-orang yang dianggap panglima komunikasinya di Utusan kini menjadi musuh yang mengaibkan lagi maruah parti itu. Sudahlah rumusan yang mereka (Utusan) buat mengenai muktamar PAS lalu silap, malah cadangan yang dilontarkan kepada majikannya pula cuma menambah contengan arang di muka Umno.

Cadangan itu juga menemplak bahawa memang selama ini Biro Agama Umno memang tidak mempunya ketrampilan, ilmu dan juga wibawa yang cukup ampuh untuk menafsirkan tuntutan Islam dalam politik. Dalilnya, Utusan mencadangkan supaya ulama-ulama yang terpinggir dari PAS dinobatkan sebagai pengemudi jalan agama bagi Umno pula!

Memang tidak sukar difahami mengapa Utusan bersikap demikian. Yang jelasnya, perubahan besar yang berlaku kepada pemikiran politik terkini PAS hingga membariskan golongan profesional memimpin pengurusan parti sebenarnya adalah hasil kempen Utusan sendiri. Dengan membuat pelbagai andaian, sindiran dan ramalan bahawa golongan ulama akan menyapu bersih pimpinan PAS dan menwar-warkan formula Kerajaan Perpaduan akan melindungi nasib Melayu dan Islam di Malaysia, ia sebenarnya menakutkan golongan yang kurang mesra dengan ulama dalam Umno sendiri.

Malah tahniah harus diberikan kepada Utusan kerana berkempen untuk golongan profesional PAS secara efektif kerana dengan memomokkan pimpinan ulama PAS seolah-olah lemah dan akan tunduk serta mahu bekerjasama ke arah Kerajaan Perpaduan dengan Umno.

Maka menjelang muktamar yang baru lalu, perwakilan PAS teruja untuk membuktikan bahawa ulama bukanlah mesti diukur dari insitusi mana mereka menimbu ilmu tetapi ciri-ciri ulama harus dihayati oleh semua barisan pimpinannya. Hatta lahirlah barisan profesional dalam badan pengurusan PAS.

Enggan mengaku pendekatan politik Islam PAS lebih syumul atau komprehensif berbanding Islam tempelan dalam Umno (yang hanya meletakkan Islam di peringkat biro dalam soal pemikiran politik parti), kini Utusan mengesyorkan Umno supaya mempertingkatkan komitmen Islamnya dengan mempunyai sayap ulamanya sendiri.

Umat Islam yang komited pada ajaran agama akan sentiasa berdoa agar Umno benar –benar mengutamakan pandangan ulama dalam keputusan dan tindakan politik mereka. Ini kerana lantaran kabur mengenai pemikiran dan konsep keadilan, kesamarataan insan di hadapan Allah dan juga erti Negara Berkebajikan, Umno selama ini meletakkan taraf dan pandangan ulama sebaris dengan Biro Kebudayaannya sahaja.

Syor Utusan ini benar-benar menyerlahkan betapa dangkalnya pemikiran politik Islam Umno. Adakah dengan meletakkan ulama dalam satu sayap setaraf Pemuda, Wanita atau Puteri dan Puteranya, Umno tiba-tiba akan berjaya mengubah persepsi dan pemikiran rakyat terhadapnya?

Namun sebelum sampai ke tahap itu, yang perlu dipersoalkan ialah, apakah pemimpin Umno hari ini akan serasi dengan pandangan ulama dalam membuat keputusan politik mereka?

Bolehkah dibayangkan betapa Presiden,Ttimbalan Presiden dan ahli Majlis Tertinggi Umno akan akur kepada pandangan ulama bahawa Anwar Ibrahim patut diberi peluang membela diri dengan melaksanakah hukum qazaf terhadap Saiful Bukhari yang jelas tidak ada beliau saksi diliwat?

Begitu juga dengan Datuk Trio – Rahim Thamby Chik, Shazryl Eskay Abdullah dan Shuib Lazim – patutkan mereka dihukum qazaf serta disebat 80 kali kerana menuduh Anwar berzina dan menyebarkan video seks lucah?

Atau, adakah Utusan hendak mengatakan bahawa tahap kefahaman Islam pemimpin Umno selama ini memang kabur dan lebih buruk lagi memang tidak mengikuti ajaran Islam? Sebab itu, agaknya, Utusan tergamak mencadangkan supaya dewan Ulama Umno ditubuhkan supaya dapat "menunjukkan jalan yang benar" kepada pemimpin Umno?

Syor utusan memang berbaur politik. Ia cuba mencadangkan Umno supaya mengambil kesempatan politik daripada apa yang berlaku dalam PAS bagi mencatat satu kemenangann politik. Malangnya, ia menemplak Umno sendiri yang menjadi tauke mereka sebagai "kurang beragama" dan perlu bimbingan Dewan Ulama.

Anggaran 5 hingga 7 peratus pengundi Melayu-Islam akan termakan dengan kelongsong politik bahawa Umno kini lebih Islamik kerana ada Dewan Ulamanya sendiri, adalah satu khayalan, kerana dalam soal Islam selama ini gelagat pemimpin Umno ibarat "cakap tak serupa bikin". Rasa lebih meloya dan benci mungkin lebih menebal terhadap Umno.

Bak syor Utusan "Satu Melayu, Satu Bumi" sebelum ini, syor kali ini membuktikan bahawa yang paling kuat mengejek Umno sekarang ini ialah juak-juak yang dilantiknya sendiri untuk melakar kempen memburukkan seteru Umno. Ternyata wartawan-wartawan upahan ini bukan sahaja terhad imaginasi mereka malah semakin jauh dihanyut arus politik lucah yang mereka cipta sendiri.

PAS: BERSIH Cerminkan Azam Rakyat Mahu PRU Adil

Posted: 12 Jun 2011 12:16 AM PDT




SHAH ALAM 12 JUN : Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyelar pandangan wadah milik UMNO, Mingguan Malaysia apabila menyifatkan perhimpunan BERSIH 2.0 adalah sebagai tindakan 'kotor' anjuran Pakatan Rakyat bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Malah tegas beliau, perhimpunan Bersih yang dianjurkan menggambarkan tuntutan dan kebangkitan rakyat yang mahukan sebuah pilihan raya yang bersih dan adil.

"Pandangan Utusan itu adalah pandangan yang terlalu jauh ketinggalan zaman, yang tidak subur dalam konteks demokrasi kerana apa yang Bersih tuntut adalah satu perhimpunan aman yang kita mahu perjelaskan tentang satu fenomena pilihan raya yang adil dan bersih."

Jelasnya himpunan BERSIH juga bertujuan "membersihkan" kredibiliti Suruhanjaya Pilihanraya supaya tidak terpalit dengan persepsi yang boleh menjejaskan kewibawaannya sebagai satu badan di bawah nangan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian memberitahu TV Selangor bahawa pihak penganjur memberi jaminan perhimpunan ini akan berjalan dengan aman tanpa sebarang ketegangan yang boleh mencetuskan huru-hara sekiranya pihak keselamatan memberikan kerjasama yang baik.

Perhimpunan Bersih pada tahun 2007 di Dataran Merdeka disertai oleh 100, 000 orang. Kali ini penganjur Bersih berhasrat menghimpunkan 300,000 peserta bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

Ada pihak meramalkan pilihanraya umum ke 13 akan diadakan sewal bulan depan atau selewat-lewatnya Mac tahun depan.

Hasrat penganjur Bersih menimbulkan kegusaran kepada Putrajaya dan beberaka kumpulan pro-Umno membuat laporan polis mendesak perhimpunan itu dibatalkan.

"Ia satu tekanan yang telah berjaya kita berikan kepada pihak kerajaan untuk kita galas satu pilihan raya yang adil dan bersih, jadi ini merupakan satu respon yang menujukkan mereka bimbang terhadap kebangkitan rakyat semakin menuntut hak mereka untuk melihat satu pilihan raya yang benar-benar menepati ciri-ciri sebuah negara yang mengamalkan demokrasi."

Beliau turut kecewa dengan kenyataan yang dilemparkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menyifatkan perhimpunan tersebut boleh mengakibatkan huru-hara.

"Satu pandangan yang saya rasa tidak sepatutnya lahir daripada seorang Menteri seperti Hishamuddin, dia tidak boleh menuduh perkara itu tanpa perhitungan yang adil. Ini jelas menunjukkan sikap terdesak beliau bila kita mahu mengadakan satu perhimpunan yang aman tetapi dia telah buat kenyataan yang memberikan kesalahan sebelum perhimpunan itu diadakan."

Tiada ulasan: