Ahad, 26 Jun 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Pakai T-shirt Bersih ditangkap - KDN belilah mesin pengimbas, periksa seluar dalam sekali.

Posted: 25 Jun 2011 04:16 PM PDT

Beberapa jam yang lepas saya mendapat panggilan talipon memberitahu saya yang Khairul Anwar Ahmad Zainudin, dari AMK PKR telah ditahan oleh Polis kerana memakai baju-Bersih dan nampaknya rally yang dirancang Bersih ini memang memberi kesan kepada rakyat kali ini. Jikalah benar rakyat tidak bersetuju dengan tuntutan Bersih untuk mengadakan pilihanraya secara adil dan saksama tidak mungkin Polis mengambil tindakan terhadap sesiapa yang memakai baju-T Bersih.

Ini merupakan satu tindakan yang agak keterlaluan dan ini membuatkan orang ramai merasakan tidak lagi merasakan hidup secara bebas yang lazim diamalkan oleh rakyat negara yang bebas dan demokratik. Jika tekanan terhadap rakyat dilakukan sampai sedemikian rupa ini menunjukan secara terang yang pihak yang sedang memegang kuasa itu sudah tidak berkeyakinan lagi akan diberi mandat oleh yang yang memilih.

Takkan lah dengan memakai baju T Bersih sudah menjadi kesalahan. Kenapa hendak menekan sampai ketahap ini. Rakyat akan merasakan kebencian terhadap kita dengan lebih teruk lagi dan kita juga yang akan menerima kesannya. Kita boleh melakukan apa-apa tindakan yang munasabah untuk mempertahankan apa yang kita dapat dari rakyat, tetapi jika kita terpaksa menekan sebegini rupa semata-mata untuk mengekang desakan rakyat ini sudah melampaui batas yang bermoral.

Kita hendakan kesinambungan sokongan rakyat, tetapi jika rakyat benar-benar tidak lagi mahu memberikan mandate kepada kita, ia tidak bermakna kita ada kuasa secara moral dan undang-undang menekan manusia sehingga kepada pakaian yang kita pakai. Kita telah mendesak rakyat supaya tidak menyokong rally yang bakal di adakan pada 9hb Julai nanti. Kita tidak mengeluarkan permit untuk penganjuran itu. DAN sekarang mereka dicegah memakai baju T Bersih itu merupakan satu tindakan yang 'autocratic' yang tidak ada batasnya.

Jika kita hendak menjadikan pakaian yang bersimbulkan gerakan rakyat dan parti-parti politik maka kita juga mesti melakukan larangan terhadap mereka yang memakai baju UMNO, PKR, PAS, DAP, MCA dan mana-mana parti politik dan pertubuhan NGO yang lain.

Presiden Marcos merupakan seorang dictator tetapi dalam pemerintahannya masih ada dua tiga saluran TV yang terang-terang menentang kerajaan. Saluran itu terus beroperasi dan Marcos dictator itu tidak pula menangkap dan menahan mereka yang mengendalikan saluran TV itu.

Jadi kita boleh bertanya kepada diri kita sekarang ini. Jika diktator Marcos boleh membiarkan saluran TV beroperasi dengan agak bebas, apa pula hendak kita katakan terhadap pemimpin kita yang begitu takut dan marah untuk mendengar rungutan rakyat? Bukankah ianya lebih teruk dari pemerintahan dictator?

Jika kita bermaruah jangan lah kita tunjukan sifat 'perongos' kita sehinggakan menelik dan meneliti pakaian dan 'attire' yang dipakai rakyat. Bersih bukannya parti politik dan NGO ini hanya mahukan perjalanan pilihanraya dijalankan dengan seadil adilnya. Seruan ini sepatutnya disokong oleh UMNO sendiri kerana sebagai parti yang mengaku sebagai parti yang bermaruah melakukan sesuatu dengan 'transparent' sepatutnya menjadi pakaian hidup kita.

Cukup-cukuplah menyalahkan pihak lain kerana kita sudah jatuh sokongan ramai. Tentu ada sebabnya yang kita ini di tolak dan dipersoalkan oleh orang ramai. Oleh kerana kita mempunyai jiwa yang fakir, kita sentiasa mendengar dan melihat segala tindakan rakyat dengan 'suspicion' yang begitu melampau.

Kepada NGO bersih saya ada pandangan untuk saudara/i fikirkan. Jika memakai baju-T Bersih itu merupakan kesalahan saya cadangkan supaya Bersih menjual seluar dalam yang ada logo Bersih pula.

Kita mungkin akan terjumpa pihak Polis menelanjangkan rakyat ditepi jalan jika mereka (polis) mensyaki mereka yang memakai seluar dalam Bersih. Saya cadangkan Datuk Ambiga memakai 'panty' Bersih. Kita tengok bagaimana Ambiga akan di telanjangkan oleh pihak dan merampas seluar dalam yang beliau pakai itu. Saya juga mencadangkan Kementerian Dalam Negeri membeli mesin pengimbas untuk memeriksa siapa yang memakai singlet atau seluar dalam yang berlogokan Bersih.

Dengan tindakan yang dilakukan terhadap mereka yang memakai baju T Bersih di Shah Alam semalam kita sudah menunjukan satu 'attribute' yang nyata sebagai pihak yang mempunyai jiwa yang terlalu fakir.

Tidak hairanlah kita melihat apa yang tidak sepatutnya berlaku pada hari ini berlaku dengan jelas. Pemimpin yang elok itu mesti ada setidak-tidaknya sedikit sifat 'gentleman' dan akan menerima dengan hati yang terbuka apa-apa yang di pilih oleh rakyat.

Jangan kita sampai begitu takut sehinggakan melakukan perkara-perkara yang tidak wujud di dalam masyarakat yang bertamaddun. Firaun telah membunuh semua kanak-kanak lelaki yang dilahirkan kerana ahli nujum telah memberitahu Firaun yang ketika itu akan lahir seorang kanak-kanak (Musa) yang akan menentang kekuasaannya.

Akhirnya Musa lahir juga dan mengalahkan firaun di lautan Merah.

http://aspanaliasnet.blogspot.com/2011/06/pakai-t-shirt-bersih-akan-ditangkap.html

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Flottilla LLFG (2) – Penglibatan Saya (Bahagian II)

Posted: 25 Jun 2011 03:55 PM PDT

Alhamdulillah, saya telah selesai melakukan umrah pada awal pagi hari Khamis. Seterusnya pada malam itu juga, setelah selesai solat waktu di depan Kaabah, saya telah menunaikan solat sunat istikharah agar dikurniakan petunjuk dalam soal penglibatan saya dalam program LL4G (2).

Sebenarnya, semenjak peristiwa Mavi Marmara semasa Flotilla LL4G (1), saya telah memaklumkan kepada beberapa orang sahabat bahawa saya amat ingin menyertai misi yang serupa sekiranya ianya diadakan sekali lagi. Pada awal tahun ini satu misi ke Gaza melalui Raffa dikalangan ahli Parlimen sedunia hendak diadakan dan saya telah memberi nama saya untuk menyertainya. Malangnya ianya dibatalkan kerana suasana tidak selamat disebabkan serangan udara tentera Israel terhadap penduduk Gaza dilakukan pada ketika itu.

Kemudian, pada bulan Mei, ada pula permintaan untuk ahli Parlimen PAS menyertai Flotilla (2) dan saya dengan segera memberikan nama saya. Malangnya suasana berubah dengan 'politiking' oleh pihak yang berkenaan. Oleh yang demikian, dihadapan Kaabah, saya memohon petunjuk supaya dapat memilih di antara apa yang dikatakan oleh hati, yang ingin sangat untuk pergi, dan akal yang menyedari agenda terselindung disebalik misi ini. Agenda yang semakin hari semakin ketara.

Setelah selesai solat istikharah 2 rakaat, saya bergegas balik ke Hotel dan tidur kerana keletihan disebabkan perjalanan yang agak jauh dari Jazan. Esoknya, pada jam 3 lebih pagi saya dikejutkan alarm telefon. Apabila bangun, secara tiba-tiba saya teringat bagaimana sepenjang tempoh ini, pihak LL4G tidak pernah pun menelefon atau menghantar e-mail kepada saya berhubung misi ini. Walaupun semua maklumat peribadi telah saya maklumkan kepada mereka, saya tidak pernah mendapat panggilan dari mereka. Sehingga saya juga yang menelefon untuk bertanya, pada awal Jun, samada nama saya disenaraikan atau tidak sebagai salah seorang sukarelawan.

Saya bangun dengan seberapa segera, mengambil wudhu' kerana ingin menunaikan solat subuh pagi pagi hari Jumaat itu di Masjidil Haram. Sambil mengambil wudhu' bermacam-macam persoalan terhadap misi ini telah timbul dalam pemikiran saya, termasuk pembatalan ucapan Tuan Haji Mohd. Sabu pada malam pelancaran, penafian tekanan politik oleh pihak penganjur serta layanan 'acuh tak acuh' terhadap penglibatan saya dalam misi kali ini. Mungkin barangkali penyertaan saya bukan agenda utama mereka.

Semua ini bermain di dalam pemikiran saya dan sambil bergerak kearah Masjidil Haram, saya sempat juga membaca sms yang datang bertalu di telefon saya. Ada satu lagi NGO Islam menarik diri dari misi tersebut namun nama mereka tetap disebut dan tidak digugurkan. Mengikut sms tersebut, NGO yang tetap bersama hanyalah Aman Malaysia dan Ihsan (Pekida). Teringat pula saya akan kata-kata pujangga, "kita tidak boleh memilih waktu kita mati, tetapi kita boleh memilih ingin mati bersama siapa". Sahabat-sahabat yang asal sudah menarik diri, yang tinggal tidak kelihatan serupa.

Perasaan saya terhadap misi ini menjadi semakin jelas. Ianya sebuah misi yang mempunyai agenda terselindung dan walaupun misi itu sendiri adalah baik, agenda terselindung ini mampu merosakkan segala-galanya. Sekiranya sebelum apa-apa lagi ianya sudah diselaputi penipuan dan pembohongan, demi agenda politik yang terselindung, apa jaminan ianya tidak akan diputar-belit dengan lebih dahsyat lagi selepas ini? Maka tiada sebab saya perlu terlibat dalam misi yang sebegini rupa.

Selepas selesai solat subuh, saya melakukan tawaf sunnat dan selepas itu, sambil duduk berehat di dalam Masjidil Haram, saya menghantarkan sms kepada sahabat-sahabat yang telah menghubungi saya semenjak posting "Flotilla 2, Lifeline for Gaza (LL4G) dan Penglibatan Saya" di dalam blog ini; bahawa saya menarik diri dari misi ini.

Sekembali saya ke Malaysia minggu depan, saya akan berbincang dengan sahabat-sahabat NGO yang lain dan sekiranya berpeluang, kami akan ke Gaza melalui Raffa untuk menyampaikan bantuan. Mungkin tidaklah 'high-profile' sepertimana Flotilla LL4G, tetapi insyaAllah bertunjangkan dengan niat yang ikhlas, tanpa sebarang agenda yang terselindung kecuali mengharap keredhaan ilahi.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Bersih ancam keselamatan alasan tangkap peserta

Posted: 25 Jun 2011 03:41 PM PDT

Tangkapan dan sekatan terhadap pemimpin politik dan individu dikaitkan dengan perhimpunan kedua Bersih telah dimulakan oleh pihak berkuasa dengan penahanan timbalan ketua pemuda PKR, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan sekumpulan aktivis PSM.

Pakatan Rakyat dan aktivis Bersih melihat tangkapan itu memulakan tindakan pihak berkuasa terhadap perancang dan peserta gerakan itu.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengatakan demonstrasi bersar-besaran yang dirancang pada 9 Julai nanti merupakan satu ancaman kepada keselamatan negara.

Alasan itu dilihat cukup untuk dijadikan asas lagi tangkapan dibuat, sebagai langkah preemtif untuk menghalang perhimpunan diadakan.

Penyokong-penyokong Umno termasuk Perkasa telah menunjukkan amaran kepada orang ramai dan penganjur, mengaitkan perhimpunan itu dengan pelbagai kemungkinan buruk.

Walau bagaimanapun, pada masa sama, tidak ada lagi tangkapan dilakukan terhadap pemimpin-pemimpin pemerintah dan kumpulan-kumpulan penyokong seperti Perkasa.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah menolak gesaan menteri dalam negeri agar tidak mengadakan perhimpunan pada 9 Julai nanti, dan bertegas untuk mengadakan demonstrasi bersama Pemuda Umno.

Penyokong-penyokong pemerintah kini meningkatkan usaha menjejaskan Bersih supaya dilihat sebagai sebahagian rancangan yang tidak sehaluan dengan kepentingan orang Melayu.

Peribadi tokoh-tokoh terlibat dalam Bersih 2.0 turut dikaitkan untuk memainkan sentimen orang Melayu.

Mesej tersebut ditujukan kepada orang Melayu, yang menjadi sebahagian peserta demonstrasi sama pada penghujung 2007.

Kenyataan-kenyataan amaran dan tangkapan awal oleh polis juga dilihat ditujukan kepada orang ramai supaya sekurang-kurangnya berfikir dua kali sebelum hadir ke Kuala Lumpur untuk menyertai demonstrasi Bersih kedua nanti.

Pada masa ini, laporan polis menentang perhimpunan Bersih sudah mencapai 700 laporan, yang dibuat dipercayai oleh mereka yang dipengaruhi Umno dan penyokong parti pemerintah.

Pelbagai grafik anti-Bersih kini turut muncul di blog-blog pro-Umno, yang ada di antaranya menyertakan kalimah Allah dalam skrip Arab, dengan mendakwa rancangan demonstrasi itu nanti bertentangan dengan agama.

http://siasahdaily.blogspot.com/2011/06/bersih-ancam-keselamatan-alasan-tangkap.html


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Tiada ulasan: