Kerabu Bersuara ® |
- Syabas TG Guru Haji Hadi! Seru Rakyat Turun Serta Bersih 2.0 Nanti
- Bersih 2.0: Hishammuddin janji siasat ugutan bunuh Ambiga
- Walaupun diancam bunuh, Bersih tetap diteruskan- Ambiga
- Gambar Majlis Penyerahan Tugas SUK Negeri Kelantan Yang Baru
- Penyelesaian Isu Bazar Tok Guru : DPPNK Rakam Tahniah Kepada Kerajaan Negeri Kelantan
- Isu dua KP JKR: Kesatuan dakwa prosedur silap
- IRF: Ibrahim Ali kurang ajar
- Belajarlah dari Lee Lam Thye
- Negara Berkebajikan – Tawaran Pas kepada rakyat Malaysia.
Syabas TG Guru Haji Hadi! Seru Rakyat Turun Serta Bersih 2.0 Nanti Posted: 23 Jun 2011 02:33 AM PDT Hadi mahu ahli, penyokong PAS sertai Bersih 2.0 KUALA LUMPUR, 23 Jun — Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengarahkan semua ahli dan penyokong PAS agar menyertai Himpunan Bersih 2.0 yang dianjurkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), 9 Julai ini di ibu negara. Menurut Presiden PAS itu, perhimpunan yang dianjurkan itu mempunyai matlamat murni dan perlu disokong semua pihak. "Saya menyeru semua ahli dan penyokong PAS menyertai Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil," katanya kepada Harakahdaily hari ini. Difahamkan PAS mempunyai sekitar sejuta ahli. Bagaimanapun beliau mengingatkan ahli dan penyokong parti akan tidak menimbulkan kekacauan yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta kerosakan harta benda. "Setiap ahli PAS yang menyertainya jangan sekali-kali membawa senjata. Saya juga suka mengingatkan ahli-ahli PAS agar jangan bermusuhan dengan pihak polis," katanya. Tegas Hadi, sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini, ia disebabkan provokasi yang dilakukan pihak tertentu dan bukan peserta Himpunan Bersih 2.0. "Sebaliknya, kejadian tersebut pasti dilakukan oleh pihak lain, termasuk oleh pihak Umno dan BN (Barisan Nasional), atau provokasi yang dilakukan oleh pihak polis sendiri seperti yang telah berlaku dalam siri perhimpunan-perhimpunan aman yang diadakan sebelum ini. "Oleh itu yang perlu dikawal oleh pihak polis dalam perhimpunan itu adalah pihak-pihak yang membuat provokasi dan bukan polis sendiri yang membuat provokasi," tegasnya. Justeru kata Ahli Parlimen Marang ini, Umno-BN sepatutnya tidak perlu takut dengan Himpunan Bersih 2.0 kerana ia hanya satu perhimpunan aman menuntut pilihan raya bersih dan adil yang harus dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). "Pilihan raya yang tidak bersih itu tidak boleh dibiarkan kerana ia pasti akan menimbulkan kemarahan rakyat. Itulah yang perlu dibantah dan itulah matlamat Perhimpunan Bersih 2.0. "Matlamat tersebut sememangnya sesuatu yang baik sebab itulah PAS menyokong langkah yang diadakan oleh Bersih untuk mengadakan perhimpunan itu bagi menuntut pilihanraya yang bersih dan adil," katanya. Selain itu, tambah Hadi sepatutnya Umno-BN harus sama-sama menyokong Himpunan Bersih 2.0 kerana ia juga akan memberi manfaat kepada parti pemerintah itu pada pilihan raya umum ke-13. "Semua negara demokrasi yang maju di dunia ini tidak menghalang perhimpunan aman yang diadakan oleh rakyatnya. Malah ia akan dikawal dan diberikan kerjasama dengan baik oleh pihak keselamatan selagi perhimpunan itu tidak mengganggu ketenteraman awam. "Malah di negara-negara demokrasi maju di dunia ini, pihak pemerintah sendiri turut mengambil manfaat dari demonstrasi aman yang diadakan bagi mendengar suara rakyat untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Umno dan kerajaan BN juga sepatutnya bersikap seperti itu demi kepentingan negara," ujar beliau. Beliau juga menegaskan Himpunan Bersih 2.0 tidak akan menjejaskan mata pencarian peniaga sebaliknya berkata ia akan "memberi keuntungan besar" kepada mereka. Himpunan Bersih 2.0 menuntut lapan perkara yang harus dilaksanakan SPR dalam memastikan ketelusan dalam sistem pilihan raya dan ia termasuk membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimumu 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor. Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007. Selain Bersih, Perkasa dan Pemuda Umno turut akan mengadakan perhimpunan balas membantah penganjuran Himpunan Bersih 2.0 yang akan berarak ke Istana Negara dari tiga lokasi berbeza. |
Bersih 2.0: Hishammuddin janji siasat ugutan bunuh Ambiga Posted: 23 Jun 2011 02:20 AM PDT Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani KUALA UMPUR, 23 Jun — Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata polis akan menyiasat ugutan bunuh yang diterima Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan dan beberapa anggota pertubuhan kerajaan itu. Hishammuddin berkata ugutan sedemikian sangat serius mengambil kira persekitaran semasa — menjelang penganjuran Himpunan Bersih 2.0 bulan depan. "Saya akan ke Bukit Aman dengan segera selepas ini dan akan meminta polis memastikan bahawa SMS yang disebarkan dan dari mana datangnya (SMS itu) bukan satu ugutan. "Banyak perkara dihantar menerusi SMS. Saya juga menerima ugutan bunuh tetapi dalam keadaan Bersih, kita kena ambil ugutan khusus ini dengan lebih serius," kata beliau kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini. Ambiga, bekas presiden Majlis Peguam menerima ugutan menerusi teks mesej yang turut dihantar kepada pemberita pagi ini dan juga kepada beberapa anggota Bersih 2.0. |
Walaupun diancam bunuh, Bersih tetap diteruskan- Ambiga Posted: 23 Jun 2011 12:56 AM PDT KUALA LUMPUR: Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini akan tetap diteruskan meskipun beliau dan pimpinan Pakatan Rakyat berdepan ancaman bunuh. Menurutnya, beliau tidak gentar menghadapi ancaman tersebut namun sedikit kecewa dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab yang mengugutnya. "Saya kecewa seorang rakyat Malaysia yang lain tergamak membuat ugutan begini namun selagi polis menjalankan siasatan, saya tiada berasa takut," kata Ambiga. "Tentang himpunan Bersih, tiada perubahan," kata Ambiga kepada wartawan selepas selesai membuat laporan polis di Balai Polis Travers berhubung ancaman bunuh menerusi SMS yang diterimanya semalam. Menurut Ambiga, beliau menerima SMS yang mengancam akan membunuhnya kira-kira jam 9.30 malam. Selain beliau, enam lagi individu menerima ugutan sama. Mereka adalah Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN, Latheefa Koya; Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin; Ahli Jawatankuasa Bersih, Maria Chin Abdullah; pensyarah universiti dan aktivis masyarakat, Wong Chin Huat; dan Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee. Ahli Majli Pimpinan Pusat KEADILAN, Latheefa Koya yang turut menerima ugutan bunuh berkenaan kira-kira jam 12.30 pagi semalam menyifatkan ia sebagai tindakan terdesak pihak tertentu yang mahu menggagalkan Bersih 2.0. "Ini tindakan terdesak malah mereka juga menggunakan kata-kata kesat berbaur perkauman dalam ugutan mereka. "Kami akan tetap turun (ke jalan raya) 9 Julai ini," kata Latheefa. Beliau bersama-sama peguam dari pertubuhan Lawyers For Liberty kini giat menjalankan bengkel untuk mendidik peserta-peserta himpunan tersebut. "Mereka perlu dilengkapkan dengan pengetahuan bagaimana berurusan dengan polis dan juga salah guna kuasa polis pada himpunan 9 Julai ini," kata Latheefa. |
Gambar Majlis Penyerahan Tugas SUK Negeri Kelantan Yang Baru Posted: 23 Jun 2011 12:28 AM PDT Datuk Seri Setia Raja Datuk Mohd Aiseri Alias menyerah tugas kpd Setiausaha Kerajaan Negeri ke 16 disaksikan Menteri Besar dan exco negeri. .Satu Gandingan Mantap demi kesejahteraan rakyat Kelantan. SUK Negeri yang baru ialah Datuk Dr. Haji Zainuddin Haji Ibrahim, berkelulusan PhD ( Environment Planing) UPM 2008.. Lahir 7.12.1953. |
Penyelesaian Isu Bazar Tok Guru : DPPNK Rakam Tahniah Kepada Kerajaan Negeri Kelantan Posted: 23 Jun 2011 12:19 AM PDT 1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) merakamkan tahniah kepada kerajaan negeri Kelantan di atas penyelesaian isu Bazar Tok Guru dengan berlakunya proses pengundian lot-lot perniagaan yang melibatkan peniaga-peniaga Pasar Lama MPKB pada 22 Jun 2011 yang juga merupakan bakal peniaga di Bazar Tok Guru. Isu ini juga dianggap selesai apabila Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB, Abdul Salim Ahmad memohon maaf secara terbuka dengan kerajaan negeri Kelantan di atas segala polemik yang berlaku selama ini. 2. DPPNK juga melihat penyelasaian isu ini sebgai satu penyelesaian yang terbaik di dalam situasi 'menang-menang' (win win situation) khususnya apabila kerajaan negeri Kelantan sudi memenuhi sebahagian tuntutan para peniaga Pasar Lama MPKB kerajaan dengan meluluskan cadangan untuk membuang sebanyak 26 gerai dengan nilaian lebih RM2 juta. DPPNK melihat keputusan tersebut sebagai keputusan yang terbaik yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri di dalam memenuhi kebajikan bakal peniaga Bazar Tok Guru sekalipun berdepan dengan hambatan kewangan dan undang-undang yang sedia ada. 3. Justeru, dengan permohonan maaf dari Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB itu, DPPNK melihat ia sebagai satu kegagalan UMNO dan Barisan Nasional yang kelihatan bersungguh-sungguh memanipulasi isu ini sehingga sampai kepada peringkat menabur janji yang bukan-bukan. Ini termasuklah siri-siri lawatan hampir setiap hari pemimpin-pemimpin mereka semenjak tercetusnya isu ini. Begitu dengan usaha para 'blogger upahan' yang begitu bersungguh-sungguh melakukan pelbagai usaha untuk menjatuhkan imej kerajaan negeri Kelantan di dalam isu ini. 4. Sehubungan dengan itu, DPPNK mencabar UMNO dan Barisan Nasional menunjukkan pula kesungguhan mereka membela peniaga Melayu dengan memastikan para peniaga Arked Uda mendapat pembelaan yang sewajarnya. Sekian, terima kasih. Yang menjalankan tugas, AHMAD FADHLI BIN SHAARI, Ketua Penerangan, Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan Bertarikh : 23 Jun 2011 |
Isu dua KP JKR: Kesatuan dakwa prosedur silap Posted: 22 Jun 2011 09:38 PM PDT Oleh G Manimaran dan Syed Mu'az Syed Putra KUALA LUMPUR, 23 Jun — Pelantikan bekas ketua pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Seri Ir Judin Abdul Karim sebagai Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berkuat kuasa 1 Mei lalu, didakwa bercanggah dengan prosedur peminjaman kakitangan awam yang ditetapkan pekeliling perkhidmatan 2008. "Prosedur pelantikan ketua pengarah yang baru dan pertukaran ketua pengarah (sedia ada) ke CIDB tidak betul, sebab belum wujud kekosongan sedangkan ketua pengarah yang baru sudah dilantik," kata Yang Dipertua Pertubuhan Profesional JKR Zulkifli Ahmad ketika dihubungi The Malaysian Insider pagi ini. Ditanya maksud tidak wujud kekosongan, Zulkifli berkata, jawatan ketua pengarah 'masih kekal' sebab penyandangnya — Judin — tidak meletakkan jawatan atau mengosongkan kedudukannya. Selain itu kata beliau, surat pelantikan ke jawatan baru dan pertukaran Judin ke CIDB tidak dikeluarkan lagi. "Apa yang kami tahu, Datuk Seri Judin hanya ditawarkan satu jawatan baru, tawaran sahaja bukannya pelantikan baru, dan beliau juga telah menolak jawatan baru itu... jadi beliau kekal di bilik yang sama dan tidak ke CIDB (sebagaimana dilaporkan sebelum ini)," katanya. Pelantikan Judin itu juga dikatakan tidak mengikut prosedur kerana pekeliling 2008 menetapkan peminjaman pegawai memerlukan persetujuan tiga pihak iaitu pihak peminjam dalam kes ini CIDB, penyedia (JKR) dan pegawai yang terbabit terlebih dulu sebelum dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan dirujuk kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang kemudian mengemukakan cadangan serta mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong. Perkembangan terbaru ini didakwa mencetuskan kerumitan dalam pengurusan JKR, yang sesetengah pihak mendakwa wujud kerana tekanan politik di Kementerian Kerja Raya. Berikutan itu, Majlis Bersama Jabatan Pihak Pekerja (MBJ-JKR) menuntut supaya Cuepacs, selaku badan induk kesatuan sekerja awam, berunding dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya ia diselesaikan berasaskan prosedur dan pekeliling itu bagi memelihara maruah serta kredibiliti pegawai sektor awam. Timbalan Presiden Cuepacs Azih Muda ketika dihubungi memberitahu, "kita sedia maklum akan perkara itu dan kita akan mengadakan mesyuarat tertinggi Cuepacs petang ini di ibu pejabat Cuepacs di Kuala Lumpur." "Dalam mesyuarat itu nanti kita akan putuskan pendirian kita dan bagaimana cara untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku ini. Buat masa sekarang, saya tidak boleh nak cakap apa-apa, kita tunggu mesyuarat dulu," katanya kepada The Malaysian Insider. Dalam suratnya kepada Cuepacs, yang dipetik Berita Harian hari ini, gabungan lima kesatuan sekerja dalam JKR itu juga berharap Najib dan SPA dapat menamatkan konflik pelantikan Ketua Pengarah JKR yang sudah berlarutan hampir dua bulan. Mesyuarat bersama MBJ-JKR di Langkawi semalam turut mengambil ketetapan supaya Cuepacs yang memayungi 1.2 juta kakitangan sektor awam, menjadi orang tengah menamatkan konflik berkenaan. "Baru-baru ini berlaku pertukaran Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Judin Abdul Karim ke CIDB tanpa persetujuan beliau. Perkara ini menjadi gawat apabila pengganti beliau sudah pun dilantik ketika jawatan berkenaan belum dikosongkan," menurut surat itu. Semalam, beberapa akhbar dan The Malaysian Insider melaporkan seolah-olah wujud dua ketua pengarah di JKR. Perkara itu turut dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar di Parlimen kelmarin. Laporan media yang memetik Ketua Pengarah JKR yang baru Datuk Mohd Noor Yaacob berkata, isu dua nakhoda satu kapal tidak timbul dalam JKR kerana beliau sudah menjalankan tugas secara rasmi sejak dilantik pada 1 Mei lalu walaupun Judin enggan mengosongkan biliknya. Mohd Noor yang sebelum itu memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya II berkata, beliau mula menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah sejajar dengan surat pelantikan yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan. Pada 28 April lalu, Mohd Sidek mengumumkan Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan Mohd Noor sebagai Ketua Pengarah Kerja Raya mulai 1 Mei menggantikan Judin yang dilantik sebagai Ketua Eksekutif CIDB pada tarikh yang sama. MBJ-JKR juga berharap Cuepacs mengambil tindakan susulan memperbetulkan keadaan, sekali gus memastikan proses pertukaran dan peminjaman pegawai dilaksanakan dengan betul serta telus mengikut prinsip dan lunas yang digariskan pekeliling perkhidmatan 2008. "Kami juga amat berharap SPA yang sepatutnya sebuah badan bebas bagi menjaga kepentingan perkhidmatan awam, berperanan secara bijaksana dan sewajarnya bagi menangani masalah itu. "Senario yang sedang berlaku dalam JKR mudah-mudahan tidak merebak ke kementerian, jabatan atau agensi lain. Kemurnian tindakan yang diambil secara berhati-hati dan berhemah dengan menghormati hak penjawat awam perlu, seiring dengan konsep 1Malaysia," menurut surat tersebut. Selain Zulkifli, surat kepada Cuepacs ditandatangani Naib Presiden Kesatuan Perkhidmatan Teknikal Semenanjung Malaysia Sumardi Ali, Setiausaha Gabungan Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan Wilayah Persekutuan Hashim Mahmud dan Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja JKR dan Air Sayuti Dollah dan Katoman Sukiman mewakili Kesatuan Pembantu Am Pejabat Perkhidmatan Awam Semenanjung Malaysia. |
Posted: 22 Jun 2011 07:00 PM PDT Oleh Dr Ahmad Farouk Musa Kami membaca berita tentang Ibrahim Ali daripada PERKASA mendakwa kononya akan mempertahankan keamanan dan menghalang BERSIH 2.0 daripada mengadakan perhimpunan pada 9 haribulan Julai dengan penuh rasa marah dan kesal. Tindakan dungu membakar dan memijak gambar Pengerusi BERSIH 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan merupakan suatu penghinaan yang sungguh menjelikkan. Tambahan pula menggelarkan beliau dengan panggilan "wanita Hindu" adalah bersifat kurang ajar dan jelas menggambarkan sikap biadab Presiden PERKASA itu sendiri. Kami ingin menyatakan dengan jelas bahawa perhimpunan yang dirancang adalah dipelopori oleh masyarakat madani tanpa sebarang perintah daripada mana-mana parti politik. Tuntutan telah pun disampaikan bahawa kami menuntut pilihanraya yang bebas dan adil serta demokrasi liberal yang tulen. Untuk bertahun lamanya kita telah melihat pengaturan undi dan penentuan sempadan pilihan raya yang memberi kelebihan kepada pihak tertentu (gerimander). Tidak lupa juga liputan media yang berat sebelah dan mendiamkan sebarang kritikan ke atas parti pemerintah. Tidak pernah ada 'lapangan permainan' politik yang sama rata dan kita telah lelah melihat pelbagai gangguan politik. Amalan rasuah yang menjijikkan begitu tersebar luas sehingga seakan-akan telah membudaya di dalam masyarakat. Inilah masanya untuk perubahan, dan biarlah BERSIH 2.0 menjadi pemangkin kepada perubahan itu. Ancaman Presiden PERKASA bahawa apa-apa pun boleh terjadi pada hari tersebut dan masyarakat Tiong Hua hendaklah membeli makanan tambahan untuk disimpan di rumah tidak akan melunturkan semangat kami untuk berarak demi demokrasi. Keputusan pilihanraya terkini di Sarawak jelas menunjukkan tiada sebarang perubahan telah dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya untuk memastikan sebuah pilihanraya yang bebas dan adil seperti yang dijanjikan. Dengan itu kami telah membuat keputusan bahawa satu-satunya cara untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kebejatan sistem yang ada sekarang adalah dengan mengadakan satu perhimpunan aman. Hak untuk berhimpun adakah hak asasi yang termaktub di dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia 1948 (Artikel 20) dan Kovenan Antarabangsa Hak-hak Sivil and Politik 1966 (Artikel 21). Kepada saudara Muslim yang berniat untuk terus berkecuali dan tidak mahu ambil peduli dengan tindakan angkuh yang tidak menghormati prinsip-prinsip demokrasi, kami ingin mengingatkan bahawa tindakan berdiam diri hanya akan memperkukuhkan pemerintahan kuku besi yang korup, dan tiada perubahan akan dapat dilihat dengan hanya berdoa untuk perubahan tanpa sebarang usaha. "Sesungguhnya, Tuhan tidak akan merubah keadaan sesuatu kaum melainkan mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka sendiri" [Qur'an 13:11] Sekiranya demokrasi itu mencambahkan "semangat penentangan", maka sebenarnya ia telah pun menjadi sebahagian daripada sejarah dan budaya umat Islam. Imam-imam kepada mazhab-mazhab fekah utama dalam Islam bersungguh-sungguh memprotes daripada mazhab mereka dijadikan mazhab rasmi negara pada zaman itu. Ramai telah dipenjarakan akibat kritikan terhadap pemerintah di zaman mereka. Kita adalah pewaris kepada tradisi ini, yang membekalkan umat Islam hari ini dengan khazanah idea-idea yang demokratik. Rejim kuku besi haruslah diajar bahawa cukuplah apa yang telah mereka lakukan selama ini. Ayuh hadir pada 9 haribulan Julai, baik lebatnya hujan ataupun teriknya mentari, kita akan berada di sana, berarak untuk kebebasan dan demokrasi. Penulis adalah Pengerusi dan Pengarah, Islamic Renaissance Front (IRF) |
Posted: 22 Jun 2011 06:00 PM PDT Oleh Haji Abdul Subky Latif Sekalian pemimpin tertinggi PKR yang meninggalkan parti itu atas sendiri dan berbagai sebab mencerca parti itu dan pemimpinnya khususnya Datuk Seri AnwarIbrahim. Antara mereka itu adalah pengikut Anwar sejak dalam Abim dan dapat rezeki dari Anwar. Dan antara mereka juga guru-guru universiti. Anwar itu seoleh-oleh tak elok langsung. Antara pemimpin PAS dulu begitu juga. Ustaz-ustaz belaka. Mereka cerca PAS secukup-cukupnya. Biasalah bagi setengah suami yang menceraikan isterinya, tak betul belaka jandanya. Tetapi tidak begitu pula bagi Lee Lam Thye, bekas pemimpin DAP yang dilihat pintar dan lincah apabila dia meninggalkan partinya menjelang pilihan raya umum 1990. Dia adalah seorang pemimpin yang seangkatan dengan Lim Kit Siang dan kehebatannya hampir menyamai Kit Siang. Ada pandangan kiranya Kit Siang berundur, Lam Thye salah seorang calon yang layak menggantikannya. Amat menggemparkan apabila dia meninggalkan DAP. Tetapi tidak pernah dia membuat kenyataan buruk tentang partinya dulu dan rakan-rakannya. Orang-orang DAP pun tidak pula memburuk-burukkannya. Semua tahu Lee Lam Thye mendapat banyak kemudahan dan peluang dari kerajaan. Kita tidak tahu apakah dia seorang yang kaya raya. Tetapi dipercayai dia adalah seorang hartawan yang tidak menonjol. Sekalian yang keluar PKR dan keluar PAS tidak keluar saja melainkan mereka dipeercayai mendapat sesuatu dari Umno dan kerajaan. Banyak mana mereka dapat itu adalah masalah mereka. Untuk mendapat semua itu mereka sanggup mencerca bekas partinya dan pemimpin yang mereka sokong dulu. Bahkan mereka sanggup menjadi jurucakap untuk memburukkan parti yang mereka pernah sertai dan pemimpin yang pernah mereka puja. Tetapi orang percaya Lee Lam Thye dapat jauh lebih banyak dari yang mereka dapat. Bahkan Lee Lam Thye mendapat kedudukan dan penghormatan yang jauh lebih baik dari sekalian yang mencerca parti dan rakan-rakannya. Pantang ada kegiatan kerajaan, mereka muncul di kaca TV memuji kerajaan begitu dan begini dan menjunjung tinggi semua pemimpin kerajaan dan parti yang memerintah yang mereka pernah tentang dan cerca semasa bersama pembangkang dulu. Tetapi Lee Lam Thye kalau muncul di kata TV dan membuat kenyataan dhttp://yayasan1malaysia.org/blog/wp-content/uploads/2011/03/6.jpgalam media, dia adalah bagi menyatakan sesuatu tentang kegiatannya dan kebaikan badan yang kerajaan amanahkan kepadanya. Dia diberi peranan dalam kegian PLKN. Kenyataannya tentang PLKN adalah tentang rancangan sudah berjalan dan apa yang perlu dijalankan baik menambah baik perjalanannya. Tidak pernah dia mengangkat melangit kerajaan yang mengatakan latihan itu dan tidak pula memuji-muji menteri yang memberi penghormatan kepadanya. Sehingga ini Lee Lam Thye adalah seorang yang dihormati oleh semua pihak dalam masyarakat. Malah dia lebih dihormati dari setengah menteri MCA. Menteri-menteri baik Melayu dan bukan Melayu tidak terlepas dari cacat celanya. Rakyat menilai prestasi dan penampilan mereka. Setakat ini tidak ada yang memberi pandangan negatif tentangnya, pada hal dia adalah seorang pembangkang yang banyak dan lama mengkritik kerjaan dan Umno. Tidak ada yang merasakan dia telah diperalatkan oleh pemimpin BN bagi memburukkan partinya. Inilah bezanya bekas pemimpin DAP ini dengan lain-lain bekas pembangkang yang meninggalkan parti. Tidaklah bererti meninggalkan pembangkang itu tidak betul belaka. Tetapi biasanya orang yang meninggalkan pembangkang dan menjadi penyokong tegas parti yang memerentah tidak diberi penghormatan tinggi oleh masyarakat bahkan mereka tidak dipercayai oleh setengah pemimpin dan penyokong kerajaan. Antara mereka diberi layanan menggalakkan selama mereka berguna bagi memburukkan parti yang ditinggalkannya. Mereka dapat merebut peluang kebendaan untuk sementara dan diberi jawatan baik, tetapi antara mereka ada yang tidak dikendaki lagi. Tetapi Lee Lam Thye terus diberi penghormatan. Dan dia terus tidak dapat digunakan untuk memburukkan parti dan bekas rakan-rakannya. Inilah yang orang politik perlu belajar dari Lee Lam Thye. Sesiapa yang hendak melompat dari pembangkang ke pihak kerajaan, contohinya sesuatu dari Lee Lam Thye.M/I |
Negara Berkebajikan – Tawaran Pas kepada rakyat Malaysia. Posted: 22 Jun 2011 04:10 PM PDT Oleh Dr.Syed azman Syed ahmad, Muktamar Pas kali ke-57 baru ini memaparkan ucapan dasar Presiden Pas Dato Sri Abdul Hadi Awang yang bertemakan 'Membangun Negara Berkebajikan'. Ia pada kali ini lebih menjurus kepada tawaran Pas kepada rakyat Malaysia bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang. Paling menarik adalah penerimaan dari pelbagai kalangan pihak yang memberi reaksi positif terhadap tawaran 'negara berkebajikan' Pas kepada seluruh rakyat Malaysia. Ia dianggap sebagai ucapan yang bijak dan tepat pada masanya, terutama apabila rakyat sedang berhadapan dengan bebanan kenaikan kos hidup dan masalah ekonomi yang berpunca daripada salahurus, kelemahan serta ketidaktelusan pemerintahan Umno/BN. Ucapan dasar 'Membangun Negara Berkebajikan' ini bagi saya, adalah bertepatan dengan perjuangan Pas yang berkonsepkan amal kebajikan, di mana seluruh kegiatan yang dilaksanakan adalah berteraskan kepada kebajikan. Saya amat bersetuju dengan ucapan Presiden Pas yang menyatakan bahawa, "Tema ini berpaksikan kepada pegangan kita, bahawa Islam yang difahami oleh kita adalah sempurna yang merangkumi seluruh cara hidup manusia, roh dan jasad, individu, keluarga dan masyarakat, hubungan dengan Allah, diri manusia dan makhluk yang lain. Islam yang terkandung di dalamnya seluruh cara hidup manusia dalam aspek politik, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan dan sebagainya". Bagi saya ini ada suatu langkah positif bagi membetulkan imej negatif Pas yang sejak sekian lama berhadapan dengan polimik penafsiran dan perlaksanaan istilah "negara Islam" yang di lihat telah menyukarkan Pas bergerak lebih jauh ke depan dalam masyarakat majmuk Malaysia. Negara Islam yang digambarkan seringkali dikaitkan dengan perlaksanaan hukum hudud, potong tangan bagi pencuri dan hukuman rejam sampai mati bagi mereka yang berzina dengan gambaran bagi menakut-nakutkan kalangan bukan Islam dari mendekati perjuangan Pas. Saya amat bersetuju dengan pandangan Presiden Pas ketika di soal tentang apakah Pas telah meninggalkan perjuangan menegakkan 'negara Islam' dengan tawaran baru 'negara berkebajikan' ini. Beliau menyatakan bahawa; "Apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama saja, tak laksana, tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam Al-Quran. Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan". Bagi saya, polimik menegakkan istilah 'negara Islam' di kalangan aktivis parti Islam dan gerakan Islam lebih merupakan suatu retorik dan perdebatan yang tidak berkesudahan. Ada kalangan yang melihat politik Islam dengan gambaran yang terlalu ideal terutamanya dalam perlaksanaan melaksanakan 'negara Islam' sehinggakan ia menjadi satu khayalan yang tidak berpijak di bumi nyata. Malahan disebabkan istilah ini, ada kalangan mereka yang sanggup bermusuh, bahkan menuduh pihak lain tidak benar-benar memperjuangkan Islam serta telah menggadai prinsip perjuangan dek kerana gagal menegakkan 'negara Islam' atau 'daulah islamiyyah'. Secara umumnya, tiada dalam Islam istilah 'negara Islam' atau 'Islamic state' secara spesifik seperti yang disangka oleh sesetengah pihak. Ia lebih merupakan satu istilah yang muncul ketika kebangkitan umat Islam menghalau penjajah. Bagi saya, seperti yang diungkapkan oleh Presiden Pas bahawa perjuangan politik Islam bukanlah perjuangan menegakkan jenama 'negara Islam' itu semata-mata, tetapi ia lebih kepada tanggungjawab menegak prinsip-prinsip keadilan dan ketelusan dalam memerintah serta menjaga kebajikan rakyat seperti yang digariskani oleh ajaran Islam. Yang penting adalah bagaimana kita mengisi setiap ruang kuasa yang ada dengan perlaksanaan yang tidak bertentangan dengan Islam. Kini penekanan Pas terhadap usaha melahirkan negara berkebajikan telah memberi nafas baru kepada Pas. Seperti yang telah digariskan oleh Pas sejak sekian lama negara berkebajikan didefinisikan sebagai; "Sebuah negara yang mengutamakan kebajikan dan keselesaan rakyat sebagai agenda utama pembangunan negara". Negara berkebajikan mementingkan pembangunan, tetapi matlamat nya ialah kesejahteraan rakyat kebanyakan. Dan antara cirri-ciri negara berkebajikan adalah seperti berikut; 1) Tujuan utama pembangunan adalah bagi manfaat dan kebajikan rakyat awam 2) Kerajaan adalah "guardian" atau Penjaga (ibu-bapa) kepada rakyat 3) Penekanan kepada kecemerlangan moral dan nilai keinsanan (Ethic and human centric) 4) Kebendaan adalah modal, pembangunan insan adalah matlamat 5) Kesaksamaan asas di kalangan semua rakyat dipastikan, kecemerlangan individu di galakkan 6) Kebajikan rakyat adalah tanggungjawab negara 7) Rakyat sejahtera, negara makmur Bagi saya ini adalah tawaran terbaik Pas kepada rakyat Malaysia menjelang pilihan raya Umum ke-13 akan datang. Perjuangan Pas yang menjamin keadilan, keamanan serta memelihara rakyat dari munkar dan menegakkan kebaikan mesti diagendakan segera oleh semua pimpinan serta pendokong Pas. Dan inilah prinsip utama sebuah pemerintahan Islam yang adil dan saksama yang mampu menjamin kesejahteraan rakyat pelbagai kaum dan agama demi menyelamatkan Malaysia yang tercinta ini. |
You are subscribed to email updates from Kerabu Bersuara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan