Khamis, 23 Jun 2011

:: @ AL-BAKISTANI @ ::

:: @ AL-BAKISTANI @ ::


Cheng Ho International Food Festival [Husam Musa]

Posted: 23 Jun 2011 07:03 AM PDT



Hebahan Umum...

[wacana buku] Demokrasi dan Islam

Posted: 23 Jun 2011 02:41 AM PDT

oleh : Nabil Amir


Demokrasi dalam Al-Quran, Hadis dan Tradisi, oleh Al-Mustaqeem Mahmod Radhi. Kuala Lumpur: Middle-Eastern Graduates Centre, 2006. Dengan Kerjasama Konrad Adenauer Foundation. Hh. xi + 48. RM 4.00.

Buku kecil ini cuba mengungkapkan idealisme Islam tentang demokrasi bagi menjawab dan meleraikan konflik dan pembenturan antara pemikiran politik Islamis dan sekularis. Ia merumuskan antara lain kesejajaran Islam dan demokrasi kerana nilai yang didengungkan oleh keduanya itu mendukung dan mempertahankan tatanan sosial yang adil dan terbuka.

Buku ini adalah salah satu daripada siri 'Isu-Isu Semasa Dalam Risalah' ditulis bagi 'menampilkan sisi-sisi yang cerah dalam agama dan menyelak seluas mungkin dimensi kemanusiaan risalah agama' (halaman iix). Ia merupakan olahan kepada buku Al-Quran-Hadis dan Demokrasi yang dihasilkan oleh Sukron Kamil dan diterbitkan oleh Pusat Bahasa dan Budaya UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta.

Istilah demokrasi berakar dari bahasa Yunani purba, dari gabungan perkataan Greek demos, rakyat dan kratein, untuk memerintah, yang telah membentuk istilah demokratia yang bermaksud 'pemerintahan rakyat' (halaman 7). Menurut penulis, ungkapan ini diilhamkan oleh Herodotus pada kurun ke 5 (SM). Ia mengambil kerangka pemerintahan yang tercipta di Athens yang menzahirkan corak hubungan yang ideal, yang mempertahankan paksi demokratik, dan partisipasi politik.

Pemikiran John Locke (1637-1704) diketengahkan dalam bab ketiga yang membicarakan antara lain hujahnya dalam Two Treatises on Government yang cukup berkesan dalam melahirkan teori pentingnya 'kontrak sosial' yang memberikan hak mutlak kepada insan untuk 'hidup secara bebas, merdeka, meraih keadilan dan pemilikan", (halaman 16). Ini diperkukuh dengan hujah Rousseau (1712-1778) dalam The Social Contract yang menuntut legitimasi masyarakat sivil dan pembentukan pakatan sosial yang berkeupayaan mentadbir hala tuju politik yang sistematik.

Demokrasi dicapai di Amerika pada kurun ke-18 dan kemuncaknya pada kurun ke-19 dengan cetusan pemikiran yang dirumuskan oleh empat pemikir penting: Thomas Jefferson, Abraham Lincoln, John Stuart Mill dan Alexis de Tocqueville (Democracy in America). Pemikiran yang diungkapkan oleh keempat tokoh ini menegaskan dasar humanis dan personalis, dan deklarasi moral yang komprehensif.

Bab keempat membahaskan tiga aliran yang dipertahankan dalam mazhab politik Islam: menerima demokrasi secara mutlak, menolak sepenuhnya, menerima prinsipnya dan melihat terdapat perbezaannya dengan Islam. Pertimbangan pertama diwakili oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi dan Ayatollah Khomeini yang memandang kesamaan demokrasi dengan Islam dan kerana tanggungjawab semua untuk berperanan dan menentukan masa depan negara dan Islam (halaman 22).

Pandangan kedua diwakili oleh Syeikh Fadhallah Nuri, Sayyid Qutb, Ali Benhadji dan Tabatabaie yang memutuskan bahawa faham demokrasi tidak berakar dari ajaran Islam (halaman 23). Pandangan terakhir yang cuba menyeimbangkan keduanya diwakili oleh Abu'l-A'la al-Mawdudi yang mengilhamkan teori 'teo-demokrasi', kerajaan demokratik berlandaskan agama, yang mengisytiharkan bahawa kedaulatan mutlak hanya tertakluk pada Tuhan, dengan penganugerahan kuasa pada rakyat sebagai khalifah. Menurutnya amalan pemerintahan Islam adalah berasaskan pada prinsip tauhid, risalah dan khalifah yang membezakannya dengan demokrasi konstitusional.

Bab kelima menyingkap hujah dan nas al-Qur'an dan al-sunnah tentang intisari dan tafsiran demokrasi. Ia mengungkapkan konsep al-Qur'an tentang prinsip syura, ijma', ijtihad, amanah, musawah, 'adl dan bai'at dan tradisi al-sunnah yang menjelaskan kepentingan amar ma'ruf nahi munkar, proses menandatangi perjanjian Madinah, dan riwayat sejarah yang menukilkan tentang konsep participatory government yang diusahakan (halaman 34).

Topik terakhir merumuskan praktis demokrasi yang kukuh dalam tradisi Islam yang diperlihatkan dalam zaman khalifah al-Rashidun dan warisan politik Islam yang dipertahankan dalam dinasti Umayyah dan Abbasiyyah di Baghdad, Andalus dan Turki Uthmaniyyah. Sistem politik Islam ini diiktiraf oleh pengkaji oriental seperti Max I. Dimont dan Bernard Lewis. Jaringan politik Islam kontemporari turut menyaksikan transisi penting ke arah demokrasi yang ditunjangi oleh Turki, dan Indonesia, dan quasi-demokrasi yang ditegakkan di Mesir, Maghribi, Emiriyah Arab Bersatu, Jordan dan Tunisia.

Ringkasnya, pencapaian buku ini yang terbaik adalah dalam menangkis hujah pemerintah Islam seperti di Saudi dan kelompok fundamentalis dan Islamis yang menolak kesejajaran Islam dengan demokrasi (compatibility of Islam and democracy), kerana ruang perbahasan dan hujah yang dikemukakan telah menzahirkan kekuatan demokrasi sebagai landasan politik Islam yang ideal.

Ia menjadi penanda aras yang penting dalam sistem pemerintahan, yang berpaut pada semangat dan manhaj Islam yang tulen, dan perlaksanaan tatakelola dan tatatadbir yang bersih. Ketika rakyat melihat kebobrokan sistem otokrat, despotik, dan kuasa feudal yang mutlak, maka peralihan dunia dan transisi massa kepada syura, menyerlahkan kekuatan dan pengaruh demokrasi yang makin berkembang dan diraikan di seluruh dunia.

***

Demokrasi Haram? Menjawab Hizbut Tahrir, oleh Wan Ji Wan Hussin. Sungai Buloh: Sekolah Pemikiran As-Syatibi, 2011. Hal. 73. RM 9.00.



Buku Demokrasi Haram? Menjawab Hizbut Tahrir ini dihasilkan oleh Ustaz Wan Ji Wan Hussin sebagai jawapannya kepada tentangan Hizbut Tahrir terhadap sistem demokrasi yang diterima pakai di Malaysia. Ia merupakan nota jawapannya kepada Ustaz Abu Hamzah, salah seorang tokoh penting gerakan Hizbut Tahrir di Malaysia ketika wacana debat yang mengemukakan tema "Absahkah Demokrasi dalam Islam" dipentaskan di Bangi (17 April 2011).

Cabarannya terhadap Abu Hamzah, adalah berdasarkan keyakinannya akan pengaruh dan kekuatan prinsip-prinsip demokratik dalam rangkaian politik semasa. Wacana yang dianjurkan ini adalah lanjutan kepada perbincangan dan pertukaran fikiran dan pendapat secara bebas antara "yang menyokong atau membangkang demokrasi" (halaman 2) yang diwacanakan di laman sosial Facebook.

Ustaz Wan Ji mencetuskan pandangan dan pemikiran haraki yang merangkul semangat Islam yang praktis dalam menjawab tentangan terhadap demokrasi. Menurutnya "demokrasi tidak boleh diharamkan secara mutlak dengan alasan Nabi SAW tidak lakukan…dalam usaha menjatuhkan regim,…menggunakannya adalah dibenarkan (halaman 73).

Demokrasi diiktiraf oleh Ikhwan al-Muslimun, Hamas, PAS dan gerakan Islam yang lain sebagai falsafah politik yang ideal yang memperjuangkan kebebasan dan keadilan, menolak penindasan dan kezaliman, dan mengangkat maruah dan kemuliaan insan (karamah insaniyyah).

Amalan demokrasi yang melantarkan asas politik yang kukuh ini didukung oleh negara-negara Islam serantau sebagai prinsip dan sistem yang terbaik setakat ini yang berjaya menumpaskan pengaruh komunisme, totalitarianisme dan membungkam faham feudalisme. Ia merupakan gagasan politik yang penting yang diperjuangkan oleh pemikir dan intelektual Muslim seperti Dr Burhanuddin al-Helmi, Ahmad Boestamam, Dr Zulkifli Muhammad dan Ustaz Fadzil Noor.

Berbeza dengan falsafah klasik, demokrasi moden menggagaskan tiga asas penting dalam rangka pemerintahan, dengan pemberian mandat kepada badan legislatif (tafwidh), ekskutif (tanfiz) dan referendum rakyat sebagai paksi yang kuat dalam pakatan demokrasi.

Perkembangan demokrasi di seluruh dunia dengan kedudukannya yang penting dan pengaruhnya yang autoritatif telah melahirkan pengiktirafan terhadap kekuatannya dari seluruh kalangan, walaupun tidak menzahirkan praktis demokrasi yang komprehensif.

Jurucakap Hizbut Tahrir Indonesia, Ismail Yusanto dalam makalahnya yang berjudul "Ilusi negara demokrasi" menulis: "Dalam praktiknya, demokrasi tidaklah seragam di berbagai-bagai negara, termasuk di Amerika dan di Eropah… hanya dinisbatkan pada katagori-katagori demokrasi yang sangat artifisial, jauh dari subtansi demokrasi sendiri. Pemilu damai, transparansi, kebebasan, persamaan dan lain-lain hanyalah ketagori sangat teknis dan prosediral" (Demokrasi Kulit, hh. 6-7).

Pandangan ini menyerlahkan kenyataan sebenar tentang negara demokrasi, seperti perjuangan menegakkan demokrasi pancasila di Indonesia, dan demokrasi berparlimen di Malaysia, yang relatifnya tidak memperuntukkan kuasa mutlak kepada rakyat, kerana tertakluk pada pancasila dan perlembagaan.

Demokrasi dirangka dengan asas moral yang utuh dan pertimbangan akhlak yang jelas yang menggarap tuntutan kebebasan dan keadilan dan kesamaan hak dan peluang rakyat. Kesetaraannya dengan fikrah Islam ini memungkinkan tokoh-tokoh demokrat di dunia Islam seperti Muhammad Natsir, dan Rashid Ghanuochi menganjurkan 'demokrasi Islam', yang mempertahankan nilai demokrasi dan Hakimiyyah Allah, dan tradisi Ahl al-Hil wa al-'Aqd yang fundamental (halaman 7).

Fatwa dan komentar Ulama tentang demokrasi, turut dimuatkan dalam bab ini dari rangkuman pandangan Syaikh Muhammad al-Ghazali (1917-96) dalam karyanya "Al-Islam wa'l-Dimuqratiyyah", Abu'l-A'la al-Mawdudi (1903-1979), Dr Yusuf al-Qardawi (1926-) dalam "Fi Fiqh al-Daulah", Hasan Turabi (1932-) dalam "Al-Islam wa al-Dimuqratiyah", dan Rashid al-Ghanoushi (1941-) dalam "Al-Hurriyyah al-'Ammah fi al-Daulah al-Islamiyyah". Dalam karyanya ini, Ghanoushi mengungkapkan idea dan pemikiran klasiknya tentang demokrasi: "Demokrasi bukan sekadar proses pemindahan kuasa kepada rakyat dan juga bukan satu deklarasi keluhuran perlembagaan bagi sesebuah negara.

Peri pentingnya demokrasi adalah berpaksi kepada kemuliaan insan (dignity of man). Manusia mempunyai hak-hak yang dapat mempertahan kemuliaan diri, menjamin hak untuk berpartisipasi dalam pentadbiran awam, dan dalam masa yang sama manusia dapat membuat tekanan dan mempengaruhi penguasa-penguasa, dan terjamin selamat dari sebarang tekanan dan kezaliman."

Bab kedua melakarkan hubungan antara demokrasi dan hukum. Ia membahaskan aliran fiqh Islam yang ditunjangi oleh tiga mazhab pemikiran, al-Zahiri, Mu'attilah (neo-mu'tazilah) dan pertengahan (moderat) (yang dinukil dari kitab Turuq al-Kasyf 'an Maqasid al-Syar'i oleh Dr Nu'man Jughaym (halaman 15). Perbincangan teks yang dikemukakan memberikan penjelasan hukum dan kaedah fiqh yang digariskan dalam mazhab dan menzahirkan hujah fuqaha Islam seperti Imam al-Nawawi dalam Sharh Sahih Muslim, Imam al-Mawardi dalam Al-Hawi al-Kabir dan Imam al-Ghazali dalam al-Mustasfa min 'ilm al-Usul yang menghuraikan kedudukan nas dan perkaitannya dengan maqasid syarak, masalih al-'ibad (kemaslahatan), ta'lil, ma'alat al-af'al (implikasi), dan ijtihad.

Perbahasan hukum dan pengelasannya kepada tasyri' (pensyariatan) dan tanfiz (pelaksanaan) diungkapkan dalam fasal ketiga. Penulis mengutip pendapat dan fatwa ulama muktabar seperti Imam Hanafi, Imam Malik (kitab al-Mudawwanah), Imam as-Syatibi (al-I'tisam), Imam al-'Izz b. Abd al-Salam (Qawa'id al-Ahkam fi Masalih al-Anam), Ibn Qudamah (al-Mughni), dan Imam Hanbali (al-Qawa'id) tentang teori tasyri' dan tanfiz dengan penzahiran hujah dan pengemukaan dalil yang kukuh tentang tanfiz yang ditentukan atas pertimbangan maslahah.

Demokrasi diputuskan dalam kategori tanfiz dan syura seperti dijelaskan dalam kitab al-Imamah al-'Uzma oleh Imam 'Abdullah b. 'Umar al-Damiji yang meletakkan prinsip syura sebagai sandaran hukum yang penting dalam syariat berhubung dengan urusan pertahanan dan perang, perkara yang tidak diputuskan oleh nas dan yang diterangkan oleh nas tetapi berkait dengan ijtihad.

Perbincangannya diperkukuh dengan ulasan ustaz Fathi Yakan tentang keutamaan parlimen sebagai medan untuk mengkritik dan menilai pemerintah (hisbah), menyatakan sokongan kepada dasar Islam, memberikan pandangan secara terbuka, dan sebagai mimbar dakwah (halaman 28), di mana pemimpin Hizb Tahrir sendiri pernah menjadi wakil parlimen di wilayah Syria (Sayyid 'Abd al-Rahman al-Maliki), Jordan (Ahmad al-Da'ur) Tripolis (Sayyid Osman Safi) dan Beirut (Sayyid Ali Fakhruddin).

Dalam kenyataan yang diutarakannya Ustaz Fathi menjelaskan: "Sungguh menghairankan apabila pada ketika ini sesetengah anggota Hizb Tahrir membuat kenyataan yang melarang mencalonkan seseorang menyertai dewan parlimen, walhal mereka pernah melakukan berkali-kali di beberapa negara" (halaman 28, Apabila YB bercakap dalam Parlimen, hal. 147).

Bab ketiga membicarakan kekuatan daulah Islam, dan kaedah dan perencanaannya dalam tradisi Islam. Penulis mengungkapkan faedah dan keuntungan yang diraih dari sistem demokrasi, antara lain keupayaan menyingkirkan kezaliman, membanteras kemungkaran, melaksanakan Islam menurut kemampuan, dan menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim (halaman 32).

Negara Islam dibina dan direalisasikan dengan tertewasnya pemerintah autokrat yang ditumpaskan dengan kekuatan jihad. Kaedah militer ini didukung oleh sebahagian pemikir mu'tazilah dan ahl al-sunnah. Justeru, sekiranya dengan bertempur dan menumpahkan darah dianjurkan, maka memanfaatkan kaedah yang aman dan saluran demokrasi lebih layak dan rasional untuk dipakai (halaman 33). Dan untuk mencapai keadilan dan demokrasi, usaha yang sekuat mungkin untuk melaksanakan islah harus dimulakan, dengan menolak penindasan dan kezaliman dan mengiktiraf asas dan prinsip negara demokratik.

Bab kelima merupakan jawapan dan responnya kepada Hizbut Tahrir tentang persoalan yang dibangkitkan berhubung konsep dan kenyataan demokrasi di Malaysia. Keabsahan demokrasi sebagai sistem pemerintahan yang mempertahankan keadilan dan harakat dan darjat insan diperjuangkan sebagai aspek penting dalam maqasid Islam. Perbincangannya digarisbawahi dengan hujah dan kekuatan dalil dan keterangan nas yang tuntas.

Pendapat Hizbut Tahrir terhadap demokrasi antara lain: ia merupakan produk Barat, istilah demokrasi dicipta oleh karakter yang bukan Islam, demokrasi lahir dari pemikiran sekular, demokrasi adalah hadarah (tetap), bukan madaniyyah (perubahan), justeru pilihanraya (madaniyyah) diluluskan, dan demokrasi ditolak, kebenaran tidak dirujuk kepada suara majoriti, syariah dilaksanakan tanpa perlu mandat umum, berdakwah tidak semestinya perlukan saluran demokrasi, demokrasi yang diperjuangkan oleh Amerika telah dimanipulasi dan disabotaj di Afghanistan dan Iraq, kerajaan yang ditegakkan oleh Khalifah Mu'awiyyah adalah sistem khilafah dan bukan dinasti monarki, demokrasi haram secara qat'i (muktamad) dan bukan dalam lingkungan ijtihad, kejayaan dalam dakwah tidak perlukan demokrasi untuk mencapainya, manhaj Nubuwwah tidak mengambil demokrasi sebagai landasan politiknya, demokrasi tidak seperti politik Islam walau terdapat ciri kesamaannya, demokrasi adalah sistem yang ditunjangi oleh penipuan dan kepalsuan, matlamat tidak menghalalkan cara dan pilihanraya di Malaysia menerima wang taruhan (seakan perjudian).

Sebagai respon dan tangkisannya kepada hujah yang dikemukakan oleh Ustaz Abu Hamzah, Ustaz Wan Ji dengan keyakinan yang jitu mengenengahkan hujahnya:

Syariat umat yang datang sebelum kita dapat diangkat dan dimanfaatkan sekiranya tidak bertentangan dengan kaedah dan nas syarak yang sarih.
Saydina 'Umar pernah menukarkan nama pajak yang dikenakan kepada kaum Yahudi Bani Tughlub dari jizyah kepada zakat (halaman 38).
Demokrasi lahir di Yunani pada abad ke 5 SM. Sejarah dan faham sekular hanya dikenali di Eropah setelah demokrasi berkembang.
Madaniyyah dan Hadarah tidak mempengaruhi hukum, kerana karakter dan budaya Islam yang liberal dan universal tidak terikat pada pandangan sivil atau peradaban yang terhad.
Demokrasi yang diamalkan dalam negara Islam adalah dari sudut pelaksanaan (tanfiz), yang berpaut pada aliran dan tuntutan politik kontemporer.
Kejayaan Islam di Afghanistan di bawah pemerintah Taliban, masih perlukan kebijaksanaan Amirul Mukminin, Maula 'Umar untuk memberi mandat dan menyusun rencana dan strategi pentadbiran. Menyerahkan urusan negara yang bersifat zanni (andaian) dan ijtihadi (dalam ruang ijtihad) kepada keputusan dan kebijaksanaan rakyat adalah langkah yang wajar dan berani.
Dakwah hendaklah disempurnakan dengan seluruh kekuatan dan keupayaan yang mungkin. Menyertai demokrasi adalah upaya untuk menerapkan undang-undang syariah dalam sistem pemerintahan.
Pertimbangan syarak menetapkan sekiranya sesuatu urusan yang nilai kebaikannya mengatasi keburukan, maka urusan itu dipandang baik dan dapat mengalahkan kejahatannya.
Khilafah Islamiyah adalah pemerintahan Islam dengan kejayaannya mentadbir kerajaan tanpa mengira ia bercorak demokrasi atau monarki.
Untuk menetapkan sesuatu sebagai haram qat'i, harus dikemukakan dalil yang qat'i al-dilalah (dalil yang muktamad). Dalam hal ini, demokrasi diputuskan harus oleh ijtihad Ulama.
Sekiranya ruang demokrasi itu membenarkan dan memungkinkan kerja dakwah dijalankan, maka harus terlibat untuk menyampaikan Islam.
Manhaj Nubuwwah merangkul semua aliran dan kaedah fiqh yang umum, dan politik demokrat diiktiraf "selama tidak bercanggah dengan nas yang zahir dan khafi" (halus) (halaman 52).
Demokrasi tidak bercanggah dengan prinsip dan idealisme Islam yang pluralis dan inklusif, dalam mengambil hikmah yang ditemui.
Penipuan tidak menghalang keterlibatan dan kerjasama dalam politik. Ini diperkuat dengan hadith Nabi (saw) yang bermaksud: "Perang adalah tipu daya" (al-Bukhari, 2803).
Kemusykilan tentang wang taruhan ini dalam mazhab fiqh diistilahkan sebagai 'Urbun (deposit hangus). Prinsip 'Urbun dibenarkan dalam mazhab Hanbali berdasarkan ijma' Sahabat dan Ulama Maliki tidak mengharuskannya. Dalil yang dikemukakan dalam bab 'urbun yang menegah dan mengharuskannya masih dipertikaikan oleh Ulama.
Perbahasan yang ditampilkan dalam buku ini telah memperlihatkan pandangan hukum yang jelas tentang keabsahan demokrasi dan kekuatannya dalam mengangkat dan memugar kebebasan rakyat. Dengan penzahiran yang jitu dan hujah yang mengesankan, buku ini bakal meraih pengaruh yang besar sebagai teras penting dalam pemikiran dialog peradaban, dan landasan yang kukuh dalam adab al-ikhtilaf yang dipertahankan dalam warisan Islam.

Perbandingan

Kedua-dua karya ini pada asasnya mempertahankan demokrasi sebagai sistem politik yang berhasil menegakkan nilai dan prinsip politik yang adil dan demokratik.

Berbanding buku Demokrasi dalam Al-Quran, Hadis dan Tradisi karya al-Mustaqeem yang membahaskan falsafah dan sejarah demokrasi dan pembenturannya dalam tradisi pemikiran, buku Demokrasi Haram? Menjawab Hizbut Tahrir oleh Ustaz Wan Ji ini ditulis bagi mematahkan hujah yang dikemukakan oleh Hizbut Tahrir yang mengharamkan amalan demokrasi yang dipertahankan di Malaysia. Tulisannya menyerlahkan kekuatan dalam corak perbahasan yang kritis yang mengaitkan pemikiran klasik dengan kefahaman moden dan diperkukuh dengan fikrah dan hujah kontemporer.

Buku Demokrasi Haram ini juga agak klasikal dengan rujukan yang komprehensif kepada kitab-kitab klasik seperti al-Bidayah wal Nihayah, al-Isti'ab fi Ma'rifat al-Ashab, Hasyiah al-Sindi, al-Ta'lil al-Maqasidi, Zad al-Ma'ad fi Hady Khayr al-'Ibad (saw) dan sebagainya.

Sementara buku Demokrasi dalam Al-Quran, Hadis dan Tradisi karya Al-Mustaqeem ini lebih menfokuskan kepada perbincangan hukum dan kefahaman demokrasi dalam perkembangan sejarah yang menzahirkan aliran pemikiran yang lebih ringkas dan konsisten. Ia merangkul dan merumuskan ide dan kerangka fikir filasuf dan politikus penting di Amerika seperti John Stuart Mill, John Locke, Abraham Lincoln dan hujah idealog Islam seperti Yusuf al-Qaradawi, Ruhullah Khomeini dan Abul A'la al-Mawdudi dalam membahas dan merungkai aliran dan sejarah demokrasi yang monumental. Buku ini ditulis dalam rangka menggarap dan meluaskan ufuk pemikiran dan pandangan tentang kemampuan dan keupayaan demokrasi untuk mempertahankan referendum dan idealisme rakyat.

Pada dasarnya, kedua karya ini telah mengungkapkan hujah dan pandangan yang setara yang menyingkap dan menghuraikan tanggapan dan pemikiran Islam tentang demokrasi. Kupasan dan perbandingan yang menarik tentang kebijakan politik telah berhasil menangkis serangan yang dihadapkan dari pencabar dan penghujahnya. Peralihan kepada demokrasi ini juga tidak menafikan iltizam untuk menggerakkan idealisme khilafah, seperti dicadangkan oleh Hizbut Tahrir.

Karya Al-Mustaqeem juga adalah respon dan tangkisan kepada hujah yang diketengahkan oleh kelompok fundamentalis tentang keabsahan gerakan reformasi dan demokrasi. Kedua penulisan ini telah mengangkat dan memperlihatkan kekuatan nas dan ijma' dalam merungkai ikhtilaf tentang kesan dan kedudukan demokrasi dalam peradaban dan pemikiran Islam.

...

Nabil Amir, seorang penyelidik di Universiti Islam Antarabangsa.

sila klik

Tiada ulasan: