Khamis, 2 Jun 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Pilihan Kerabu Bersuara Untuk Calon Pemilihan Mukhtamar PAS

Posted: 05 Jun 2011 05:00 AM PDT

Admin Kerabu Bersuara bersetuju dengan pilihan blog Siasah Daily berkaitan pencalonan muktamar PAS pada kali ini. Anda nilaikan la sendiri pilihan ini.

Ini adalah sekadar pandangan peribadi team kami dan tidak mewakili mana-mana pihak. Selamat Bermuktamar Dari Team Kami untuk anda.

TIMBALAN PRESIDEN

Mohamad Sabu

Mohamad mempunyai beberapa kelebihan mengatasi dua calon lain, Nasharudin Mat Isa dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; populariti, pengalaman dalam parti dan politik nasional, dan rekod prestasi yang baik. Mohamad disenangi dalam parti dan dalam kalangan massa, pernah ditahan di bawah ISA, konsisten dalam pendirian dan jarang sekali, sekiranya ada, dilihat sebagai gagal. Beliau turut aktif dalam isu pekerja dan mempunyai hubungan baik dengan pertubuhan bukan kerajaan. Kemampuannya boleh dimanfaatkan pada masa PAS akan menempuhi pilihan raya umum yang dijangka tidak lama lagi. Mohamad memenuhi kelayakan dan kemampuan sebagai pemimpin gerakan Islam, termasuk hubungan yang baik dengan gerakan-gerakan Islam global, ciri yang setara dengan penyandang, Nasharudin dan tidak dilihat pada Tuan Ibrahim.

NAIB PRESIDEN

1. Salahuddin Ayub

Ketiga-tiga calon mempunyai kelebihan pengalaman, populariti dan prestasi yang agak baik. Salahuddin Ayub, walaupun banyak terlibat dengan politik kenyataan akhbar dan bermain selamat, mempunyai kelebihan pengalaman dan hubungan baik dengan rakan Pakatan Rakyat, ciri yang penting dalam menghadapi pilihan raya. Beliau juga pemimpin yang selesa bergerak di peringkat nasional. Sebahagian besar kelebihan beliau ialah kualiti relatif berbanding beberapa calon lain dalam senarai.

2. Husam Musa

Datuk Husam Musa terpalit dengan kedudukan beliau sebagai salah seorang orang kuat kem Erdogan, dan pernah menunjukkan bercita-cita tinggi untuk menduduki kedudukan tinggi dalam parti. Tetapi, beliau telah menunjukkan prestasi cemerlang sebagai naib presiden sebelum bertanding sebagai timbalan presiden. Kenyataan-kenyataan beliau merupakan antara yang terbaik, mengulas dan menangani isu-isu termasuk kewangan dan ekonomi, yang jarang sekali ditangani pemimpin lain dalam parti. Husam mempunyai wajah yang mampu meningkatkan imej parti di peringkat nasional dan boleh diberikan peluang sekali lagi.

3. Idris Ahmad

Selain kedudukan sebagai tokoh berpendidikan agama yang popular dalam kalangan ahli parti dan aktivis, Idris Ahmad juga mempunyai kedudukan yang sesuai untuk mengimbangi komposisi naib presiden. Mempunyai kebolehan ceramah yang masih diperlukan untuk menyampaikan mesej parti. Mempunyai pengalaman peringkat nasional dan mendaki dalam organisasi PAS bermula dari bawah, termasuk pernah aktif dalam Pemuda. Merupakan pekerja parti yang setia dan berkemampuan serta mempunyai hubungan baik dengan akar umbi.

TIMBALAN KETUA PEMUDA

Suhaizan Kayat

Suhaizan Kayat telah membuktikan kemampuan dan mempunyai kualiti kepimpinan di peringkat nasional dalam Dewan Pemuda. Beliau malah mendapat sokongan ramai untuk bersaing merebut jawatan ketua Pemuda. Gandingan Suhaizan yang berciri aktivis dengan ketua Pemuda kini memberi harapan untuk membuat lonjakan kepada Pemuda PAS. Kualiti beliau mengatasi calon-calon lain dan sesuai berada di kerusi timbalan ketua Pemuda yang tidak menunjukkan keberadaan dalam politik Pemuda dan parti sejak sepenggal lalu.

NAIB KETUA PEMUDA

Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob

Mempunyai pengalaman panjang dalam Pemuda PAS, yang disertai secara aktif sejak menamatkan pengajian pada 1999. Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob memegang jawatan ketua Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS sejak kembali dari pengajian di United Kingdom setahun lalu, dan berjaya menjadikan lajnah tersebut antara yang paling aktif dalam Pemuda, walaupun dengan sumber yang terhad. Mempunyai kualiti populariti dan kemampuan akademik dan aktivisme untuk berperanan sebagai salah seorang penggerak Pemuda PAS.

:Sumber:

:Keputusan Semasa:

1. Timbalan Ketua Dewan Pemuda

Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz

2. Naib Ketua Dewan Pemuda

Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob

Kenyataan Balas Kickdefella Terhadap Tomahan Blog Umno Berkaitan Isu Bayaran Husam

Posted: 02 Jun 2011 03:00 PM PDT

Kenyataan Saya Membalas Tomahan Blogger-Blogger

K E N Y A T A A N M E D I A



"I have long feared that my sins would return to visit me… and the cost is more than I can bear" – Benjamin Martin dari filem The Patriot.

Sejak 1hb Jun 2011, terdapat berita-berita yang tidak tepat telah disiarkan oleh beberapa laman blog di internet serta mencabar saya untuk tampil dan memberi pengakuan. Saya cuba untuk bertahan dan tidak memberi sebarang kenyataan kerana saya tidak mahu terbabit di dalam sebarang permainan politik terutama menjelang pemilihan pucuk pimpinan Parti Islam SeMalaysia, esok.

Semalam, sahabat saya saudara Kamarulzaman Bin Abdullah telah membuat penafian di The Malaysian Insider bagi pihak majikannya. Pagi ini YB Dato' Haji Husam Bin Musa sendiri telah membuat penafian dari India.

Oleh yang demikian saya merasakan ini adalah isyarat bagi saya turut membersihkan nama baik keluarga dan saya yang sedikit sebanyak tercemar akibat tulisan-tulisan tersebut.

Dakwaan bahawa saya telah bertemu dan menerima wang sejumlah RM300,000 di Republik Rakyat China daripada YB Dato' Haji Husam baru-baru ini adalah tidak tepat.

Semenjak 9 November 2009, Dato' Husam dan saya tidak pernah bertemu, melainkan berbual di telefon dan bertukar-tukar pesanan ringkas. Pada 10hb Novermber 2009, kontrak saya di Perbadanan Menteri Besar Kelantan telah ditamatkan dan semenjak itu saya tidak lagi berkhidmat secara rasmi dengan Dato' Husam.

Pada 18hb November 2009, saya telah bertemu dengan seorang individu yang mewakili pihak Dato' Husam. Persoalan pampasan untuk saya telah dibincangkan. Saya memohon pihak Dato' Husam menjelaskan berberapa kos tertunggak yang berjumlah RM50,000.

Tengahari tersebut, saya dimaklumkan oleh individu itu bahawa Dato' Husam bersetuju untuk menyelesaikan kos tertunggak itu. Saya juga ditanya sekiranya saya bersetuju dengan pampasan berjumlah RM300,000. Dengan rasa bersyukur saya bersetuju.

Pada 15hb Disember 2009 saya berlepas ke Singapura dan terus ke Republik Rakyat China di atas urusan penggambaran. Saya pulang ke Singapura pada 22hb Disember 2009. Itu adalah kunjungan terakhir saya ke Republik Rakyat China hingga ke hari ini.

Saya yakin, maklumat inilah yang telah digunakan oleh pihak-pihak tertentu dan diolah menjadi satu cerita hebat untuk disalurkan kepada sahabat-sahabat siber saya, kononnya saya bertemu Dato' Husam di Republik Rakyat China dan traksaksi dibuat di sana; kononnya pada minggu lepas.

Mereka yang menyalurkan maklumat ini adalah amat tidak bertangunggjawab dan dari sumber yang saya terima, ianya datang dari seorang individu dari luar Kelantan yang berkait rapat dengan seorang calon yang bertanding bersama Dato' Husam bagi merebut jawatan Naib Presiden PAS.

Saya tidak berhasrat mengambil sebarang tindakan terhadap sahabat-sahabat siber saya. Saya juga tidak akan memohon mereka meminta maaf kepada saya. Sebagai seorang blogger, saya sentiasa sedar cabaran yang kita hadapi.

Syed Azidi Syed Abdul Aziz

Kickdefella


2hb Jun 2011

Puak Umno Sangat Tidak Suka Husam Menang Naib Presiden PAS? Fitnah Disebar!

Posted: 02 Jun 2011 07:59 AM PDT

Kickdefella: Saya tak pernah temu Husam di China

Oleh G. Manimaran

SHAH ALAM, 2 Jun — Pemblog Syed Azidi Syed Abdul Aziz menegaskan, beliau tidak pernah bertemu dengan Datuk Paduka Husam Musa sejak akhir 2009, lebih-lebih lagi di China sebagaimana didakwa blog-blog pro-Umno, malah tidak pernah menerima RM300,000 untuk berkempen membantu beliau pada pemilihan PAS kali ini.

"Dakwaan bahawa saya telah bertemu dan menerima wang sejumlah RM300,000 di Republik Rakyat China daripada YB Datuk Haji Husam baru-baru ini adalah tidak tepat," kata beliau dalam penjelasan yang disiarkan menerusi blognya malam ini.

Syed Azidi yang turut dikenali sebagai Kickdefella berkata, semenjak 9 November 2009, Husam dan beliau tidak pernah bertemu, melainkan berbual menerusi telefon dan bertukar-tukar pesanan ringkas.

"Pada 10 Novermber 2009, kontrak saya di Perbadanan Menteri Besar Kelantan telah ditamatkan dan semenjak itu saya tidak lagi berkhidmat secara rasmi dengan Datuk Husam," katanya.

"Pada 10 Novermber 2009, kontrak saya di Perbadanan Menteri Besar Kelantan telah ditamatkan dan semenjak itu saya tidak lagi berkhidmat secara rasmi dengan Datuk Husam," katanya.

Katanya, pada 18 November 2009, beliau telah bertemu dengan seorang individu yang mewakili pihak Husam di mana persoalan pampasan untuk dirinya telah dibincangkan.

"Saya memohon pihak Datuk Husam menjelaskan berberapa kos tertunggak yang berjumlah RM50,000. Tengah hari tersebut, saya dimaklumkan oleh individu itu bahawa Datuk Husam bersetuju untuk menyelesaikan kos tertunggak itu.

"Saya juga ditanya sekiranya saya bersetuju dengan pampasan berjumlah RM300,000. Dengan rasa bersyukur saya bersetuju," katanya lagi.

Kemudian, kata Syed Azidi, pada 15 Disember 2009 beliau telah berlepas ke Singapura dan terus ke China di atas urusan penggambaran.

"Saya pulang ke Singapura pada 22 Disember 2009. Itu adalah kunjungan terakhir saya ke China hingga ke hari ini," katanya lagi.

Kata Syed Azidi, beliau yakin maklumat itu yang telah digunakan oleh pihak-pihak tertentu dan diolah menjadi satu cerita hebat untuk disalurkan kepada sahabat-sahabat sibernya kononnya telah bertemu dengan Husam di China dan transaksi dibuat di sana kononnya pada minggu lepas.

"Mereka yang menyalurkan maklumat ini adalah amat tidak bertangunggjawab dan dari sumber yang saya terima, ia datang dari seorang individu dari luar Kelantan yang berkait rapat dengan seorang calon yang bertanding bersama Datuk Husam bagi merebut jawatan Naib Presiden PAS.

"Saya tidak berhasrat mengambil sebarang tindakan terhadap sahabat-sahabat siber saya. Saya juga tidak akan memohon mereka meminta maaf kepada saya. Sebagai seorang blogger, saya sentiasa sedar cabaran yang kita hadapi," katanya. lagi.

Sementara itu, Husam dalam kenyataan SMS kepada The Malaysian Insider lewat petang ini berkata, "mengenai kononnya saya ada berbual melalui telefon dengan beliau kebelakangan ini, juga adalah palsu."

"Rekod telefon saya dan beliau boleh disemak. Namun saya akui beliau ada menghantar beberapa mesej seminggu dua yang lalu memaklumkan beliau menulis mengenai kenaikan harga minyak dan saya membalasnya sekali dengan berkata tahniah.

"Syed Azidi telah beberpa kali menimbulkan sensasi tetapi setiap kali sensasi itu berlalu, kredibiliti beliau semakin pudar," katanya lagi.

Dalam penjelasan kepada The Malaysian Insider yang dibawa pagi tadi, Husam sendiri menafikan dakwaan kononnya beliau ada bertemu dengan Syed Azidi bagi mendapatkan bantuannya berkempen pada pemilihan PAS pusat yang berlangsung sekarang.

"Saya tak jumpa dia (Syed Azidi) di China, di Jepun atau di Antartika pun... itu (dakwaan) seratus peratus palsu, yang datang dari blog-blog picisan ," kata Husam.

Husam, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, yang bertanding semula kerusi naib presiden berkata, beliau sudah beberapa kali mengunjungi China sempena lawatan kerja tetapi tidak sama sekali bertemu dengan Syed Azidi.

Malah kata Husam, beliau juga tidak mendapatkan bantuannya menghadapi pemilihan parti kali ini.

Syed Azidi meletakkan jawatan pegawai perhubungan awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) akhir 2009.

Salah satu blog pro-Umno mendakwa pihaknya ada mendengar kononnya Syed Azidi menerima bayaran sebanyak RM300,000 daripada "orang Husam".

"Saya cuba juga risik sana sini tapi tiada siapa yang boleh mengesahkannya. Malam tadi perkara berkenaan mula kecoh di Twitter dan Facebook. Kalau dah kecoh, mungkinlah itu semua ada asasnya," kata blog rbfonline yang turut menyenaraikan lima persoalan bagi Syed Azidi.

Sambil melihat ia sebagai usaha jahat menjelang setiap kali pemilihan, Husam berkata, tindakan-tindakan seperti itu perlu ditangani.

Kenyataan Balas Husam Musa Berkaitan Isu Dengan Syed Azidi

Posted: 02 Jun 2011 07:39 AM PDT

Bodohnya nak sedekah kepada Syed Azidi - Husam

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 Jun: AJK PAS Pusat, Datuk Husam Musa (gambar) menafikan beliau memberikan duit sebanyak RM350,000 kepada seorang blogger, Kickdefella atau nama sebenarnya, Syed Azidi.

"Adalah bodoh untuk saya mensedekahkan wang sebesar itu kepada orang seperti beliau sedangkan saya sendiri tidak pernah mempunyai wang sebanyak itu sepanjang hayat," kata Husam dalam kenyuataannya kepada Harakdaily.

Husam mengulas kenyataan Syed Azidi yang disiarkan Utusan Online yang mengaku menerima wang sebanyak itu dari wakil Husam di China.

Kenyataan itu ekoran dakwaan para blogger Umno kononnya Husam memberikan duit sebanyak itu kepada Syed Azidi untuk membantu kempen beliau menjelang muktamar ini.

Selain isu memberi wang kepada Syed Azidi, hampir semua blogger Umno menyerang Husam menjelang pemilihan kali ini.

Husam bertanding naib presiden PAS dan baru pulang dari India dan China untuk urusan kerajaan negeri Kelantan.

Berikut kenyataan penuh Husam:.

"Saya merujuk kepada kenyataan Syed Azidi yang disiarkan Utusan online dan dijangka akan disiarkan edisi cetak Utusan besok.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan kehairanan saya terhadap minat Utusan yang terlalu nyata untuk mencampuri pemilihan PAS sejak 2008 yang lalu.

"Mengenai dakwaan Syed Azidi, saya merasa hairan dakwaan ini dikeluarkan pada hari terakhir sebelum pemilihan PAS esok hari di mana saya ikut bertanding.

"Adakah kerana beliau tahu bahawa dakwaan palsu beliau akan berhadapan dengan tindakan undang-undang dan bagi mengelakkan tindakan seperti itu, ia dibangkitkan pada saat akhir seperti ini.

"Sampai hari ini saya tidak mempunyai wang sebanyak itu dalam akaun saya dan adalah bodoh untuk saya mensedekahkan wang sebesar itu kepada orang seperti beliau sedangkan saya sendiri tidak pernah mempunyai wang sebanyak itu sepanjang hayat.

"Mengnenai kononnya saya ada berbual melalui talipon dengan beliau kebelakangan ini, juga adalah palsu. Rekod talipon saya dan beliau boleh disemak.

"Namun saya akui beliau ada menghantar beberapa mesej seminggu dua yang lalu memaklumkan beliau menulis mengenai kenaikan harga minyak dan saya membalasnya sekali dengan berkata tahniah.

"Syed Azidi telah beberapa kali menimbulkan sensasi tetapi setiap kali sensasi itu berlalu, kredibiliti beliau semakin pudar."

Siti Zailah dinobat Ketua Muslimat

Posted: 02 Jun 2011 06:00 AM PDT

Hazayani Zakaria

SHAH ALAM, 2 Jun: Pemilihan Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) bagi sesi 2011/2013 menyaksikan Siti Zailah Mohd Yusof menang jawatan Ketua DMPP menewaskan penyandang sebelumnya, Nuridah Salleh.

Perkara tersebut diumumkan timbalan pengerusi jawatankuasa pemilihan PAS Pusat, Datuk Mutalib Embong sebentar tadi.

Bagi jawatan timbalan ketua pula dimenangi Dr. Siti Mariah Mahmud menewaskan pencabarnya Wan Hasrina Wan Hassan.

Manakala jawatan naib ketua kekal dengan Mumtaz Md Nawi menewaskan tiga pencabar lain iaitu Mastura Mohamad, Normala Sudirman dan Dr. Najihatussalehah Ahmad.

Berikut adalah senarai Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat untuk Sesi 2011/2013:

Pengerusi Tetap
1. Nor Hashimah Deraman

Timbalan Pengerusi Tetap
Fatimah Ismail

KETUA
Siti Zailah Mohd Yusof, YB

TIMBALAN KETUA
1. Siti Mariah Mahmud, Dr

NAIB KETUA
Mumtaz Mohd Nawi

JAWATANKUASA KERJA
1. Aiman Athirah Al-Jundi
2. Halimah Ali, Dr. YB
3. Asiah Ali, Dr.
4. Aida@Nurul Huda Yusof Rawa
5. Wan Ubaidah Omar, YB
6. Kartini Ahmad
7. Mastura Mohamad
8. Normala Sudirman
9. Azizah Khatib Mat
10. Rosni Adam
11. Najihatussolehan Ahmad, Dr.
12. Siti Aisyah Ghazali, YB

Pemeriksa kira-kira
1. Basmatul 'Uyun Yusof
2. Normilan Mamat

Keputusan penuh pemilihan Dewan Pemuda PAS

Posted: 02 Jun 2011 05:30 AM PDT

Harakahdaily

SHAH ALAM, 2 Jun: Berikut adalah senarai Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat untuk Sesi 2011/2013:

Pengerusi Tetap: Ustaz Misbahul Munir Haji Masduki

Timbalan Pengerusi Tetap: Ustaz Kamal Ashaari

Ketua: Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi

Timbalan Ketua: Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz

Naib Ketua: Raja AlHiss Raja Yaakob

Ahli Jawatankuasa:
1) Ustaz Riduan Mohd Noor
2) Khairul Faizi Ahmad Kamil
3) Ustaz Ahmad Baihaqi Atiqullah
4) Adram Musa
5) Kamaruzzaman Mohamad
6) Ustaz Ahmad Fadley Shaari
7) Ustaz Mohd Khairul Abdul Hadi
8) Ustaz Nazri Chik
9) Yusni Mat Piah
10) Hamzan Sany
11) Syed Qadir
12) Ustaz Mohd Noor Hamzah

Tahniah Untuk Nik Abduh Nik Abdul Aziz

Posted: 02 Jun 2011 04:44 AM PDT

Pemuda PAS: Anak Nik Aziz No 2, Hadi pula exco

Oleh G Manimaran


SHAH ALAM, 2 Jun – Anak lelaki Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Mohd Abduh dipilih sebagai timbalan ketua Dewan Pemuda PAS pusat yang baru dengan menewaskan tiga calon lain termasuk penyandangnya Azman Shapawi Abdul Rani.

Dalam persaingan empat penjuru kali ini, Nik Abduh memperoleh 260 undi manakala Azman Shapawi menerima 94, Mohd Firdaus Jaafar (193) dan Suhaizan Kaiat (107).

Seramai 655 perwakilan layak mengundi pada pemilihan kepimpinan Dewan Pemuda PAS kali ini berbanding dua tahun lalu ekoran pengenalan sistem baru perwakilan.

Sebelum ini, Nik Mohd Abduh merupakan ahli jawatankuasa kerja pergerakan itu.

Ketua Pemuda Nasrudin Hassan at-Tantawi telah mempertahankan kerusinya tanpa cabaran.

Dalam pada itu, Raja Ahmad Al-Hiss Raja Yaacob memperoleh 421 undi memenangi saingan kerusi naib ketua.

Beliau menewaskan Mohd Nasir Zakaria yang mengumpulkan 228 undi.

Dua belas ahli jawatankuasa kerja pusat sayap itu ialah Riduan Mohamad Nor, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Ahmad Baihaki Atiqullah, Mohd Adram Musa, Kamaruzaman Mohamad, Ahmad Fadhli Shaari, Khalil Abd Hadi, Mohd Nazri Chik, Mohd Yusni Mat Piah, Mohd Sany Hamzan, Mohd Nor Hamzah dan Syed Abdul Kadir Syed Hussin Aljoofre.

Sultan Nasihat Media Amal Etika Kewartawanan Berhemah

Posted: 02 Jun 2011 02:10 AM PDT

SHAH ALAM 2 JUN - Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi peringatan kepada pengamal media di negara ini supaya bersikap profesional dalam menyampaikan sesebuah berita dan tidak mengenepikan etika kewartawanan untuk menyampaikan maklumat yang tepat kepada pembaca.

Baginda juga menasihati supaya media massa mahupun elektronik lebih menumpukan kepada berita-berita yang mempunyai nilai pendidikan, motivasi dan kemanusiaan di samping memberikan informasi berguna kepada pembaca.

Tuanku bertitah demikian sebelum berkenan mencemar duli merasmikan bangunan ibu pejabat baru Kumpulan Media Karangkraf yang terletak di Seksyen 15, Shah Alam.

Dalam titah ucapannya, baginda mahu Kumpulan Karangkraf yang turut menerbitkan akhbar Sinar Harian supaya terus komited melaporkan berita yang sahih.

" Beta berharap akhbar ini akan terus mengekalkan profesional dan beretika dalam melaporkan setiap berita dengan tepat dan cepat,"titah baginda.

Turut mengiringi ke bawah dulu tuanku ke majlis berkenaan ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad, ahli-ahli Exco, Teresa Kok, Ronnie Liu, dan Datuk Dr Hassan Ali.

Kira-kira 1,000 tetamu jemputan hadir bagi memeriahkan majlis perasmian bangunan ibu pejabat baru Kumpulan Media Karangkraf ini.

Baginda juga berkenan melawat ke bahagian percetakan untuk melihat proses penerbitan majalah, akhbar dan buku yang dihasilkan Karangkraf oleh Ketua Eksekutif Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Selain di bahagian percetakan, baginda juga turut melakukan tinjauan di Karangkraf Mall yang menghimpunkan kesemua majalah dan buku yang dicetak oleh syarikat ini.

Kumpulan Media Karangkraf merupakan sebuah syarikat penerbitan dan percetakan milik penuh orang Melayu.

Syarikat ini telah beroperasi selama 33 tahun dan kini menjadi penerbit terbesar negara dengan 27 judul majalah, dan sebuah akhbar iaitu Sinar Harian.

Selain majalah dan akbar, Karangkraf turut mempunyai bahagian buku yang terdiri dari syarikat-syarikat Alaf 21 Sdn Bhd, Buku Prima Sdn Bhd, dan Karya Bistari Sdn Bhd yang menghasilkan buku-buku ilmiah dan novel.

Hanya satu puak dalam PAS

Posted: 02 Jun 2011 01:00 AM PDT

Panah Hijau

Sebuah akhbar harian Inggeris asyik sahaja menggunakan istilah 'puak Erdogan' bila merujuk kepada sekumpulan pemimpin PAS yang bukan ulama. Nama ahli-ahli 'puak Erdogan' ini pun ada disenaraikan dalam akhbar harian tersebut.

Para pemberita akhbar harian Inggeris ini menulis bahawa kononnya puak ini adalah agresif dan mempunyai matlamat dan halatuju yang berlainan dari puncak pimpinan parti PAS seolah-olah puak ini adalah satu puak baru yang wujud untuk mengancam cara pentadbiran dan organisasi dalam PAS.

Sebagai pemerhati politik selama lebih dari dua dekad, saya disini ingin mengatakan bahawa perjuangan PAS adalah konsisten dan tidak pernah berganjak dari perlembagaannya cuma sekarang pendekatannya adalah berlainan sedikit iaitu bersesuaian dengan era Politik Baru yang merangkumi perjuangan untuk keadilan bagi semua pihak tanpa mengira agama atau bangsa.

Oleh itu, tidak wujud sama sekali 'puak Erdogan' dalam PAS tetapi hanyalah golongan profesional yang bukan ulama. Golongan profesional ini mempunyai idea-idea baru yang kukuh untuk memantapkan parti supaya PAS dapat meraih sokongan dari semua lapisan masyarakat dan idea-idea baru ini adalah perlu dan relevan untuk perjuangan PAS pada masa kini.

Pada masa ini apabila BN kuat memainkan sentimen perkauman, parti PAS lah yang merupakan parti yang berani mengambil langkah untuk memadamkan api sentimen perkauman dan meredakan keadaan.

Dalam isu penggunaan kalimah Allah dan peristiwa-peristiwa yang berlaku selepas keputusan Mahkamah Tinggi tersebut, PAS telah berani menonjolkan pendirian yang teguh berasaskan kepada ajaran Islam sementera pihak UMNO diam membisu seribu bahasa.

Dalam zaman perjuangan PAS kali ini dimana PAS berjuang bersama dengan PKR dan DAP atas wadah Pakatan Rakyat, perwira-perwira PAS digalakkan menggunakan idea-idea baru yang innovatif untuk menghadapi cabaran yang semakin sengit dari pihak musuh dimana fitnah dan politik durjana digunakan oleh pihak musuh dengan sewenang-wenangnya.

Untuk mengharungi cabaran ini, pemimpin-pemimpin PAS, ahli-ahli dan penyokong serta rakan-rakan PAS mestilah sama-sama menyumbang idea dan menggembeleng tenaga, tidak kira dari kumpulan ulama ataupun bukan ulama.

Janganlah terpedaya dengan media arus perdana yang hanya bertujuan melaga-lagakan para pemimpin dalam PAS kerana itulah hasrat terpendam mereka.

Rakyat Malaysia mestilah tahu bahawa hanya wujud 1 puak sahaja dalam PAS, iaitu puak yang akan bekerja bertungkus-lumus untuk menjadikan BN sebagai puak pembangkang.

Justeru itu, harapan saya adalah supaya pemimpin-pemimpin ulama dan profesional sama-sama akan diberi peluang untuk mengetuai bala tentera di medan pertempuran Pilihanraya Umum Ke-13 nanti.

PANAH HIJAU
2hb Jun 2011

Pertembungan PAS dan Umno pertembungan akidah

Posted: 02 Jun 2011 12:30 AM PDT

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 2 Jun: Pertembungan antara PAS dan Umno perlu difahami dengan jelas oleh setiap pihak sebagai bukan hanya sekadar pertembungan politik, tetapi adalah pertembungan akidah.

Oleh itu, para ulama dalam PAS di semua peringkat perlu memainkan peranan dengan berkesan bagi menerangkan perkara itu bukan hanya kepada ahli-ahli PAS, tetapi juga kepada orang ramai di seluruh negara.

Perwakilan Dewan Ulama PAS Terengganu, Hamzah Ngah berkata, realiti itu tidak perlu disembunyikan oleh ulama PAS apabila ditanya oleh seseorang tentang perbezaan antara PAS dan Umno.

Menurut beliau, sebalik perbezaan itu perlu dinyatakan dengan jelas dan tegas agar difahami setiap pihak, selaras dengan perjuangan PAS untuk Islam, manakala Umno atas dasar nasionalis.

Namun dalam hubungan ini, beliau kesal kerana terdapat ulama PAS di peringkat kawasan sendiri enggan menjelaskan perkara itu dengan mengatakan terpulanglah kepada kefahaman sendiri untuk menanggapinya.

"Begitu juga jika ditanya tentang kepentingan mendaftar diri untuk menjadi pengundi, ada ulama di kawasan hanya memberikan jawapan seperti itu, pada hal ia perlu dicantas terus dengan menjelaskan perbezaan pertembungan antara PAS dan Umno sebagai pertembungan akidah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan ucap utama pada Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat Ke-50 di Dewan Datuk Haji Fadzil Mohd Noor di Taman Melewar, di sini, hari ini.

Bagi mengatasi perkara itu, beliau menyarankan agar para ulama bukan sekadar memilkii pelbagai ilmu, tetapi juga memiliki sifat keberanian untuk menyatakan kebenaran dan melakukan perubahan.

Sejajar dengan itu, beliau menegaskan penolakan PAS untuk bersatu dengan Umno BN sememangnya tepat kerana kerjasama PAS dengan Pakatan Rakyat ternyata jauh lebih menguntungkan PAS dan umat Islam dari sudut dakwah dan pelbagai sudut lain.

Sementara itu, perwakilan Dewan Ulama PAS Kedah, Mohd Lutfi Ariffin berkata, kejayaan PAS dan Pakatan Rakyat memerintah di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang merupakan satu cabaran penting kepada para pemimpin dan ahli-ahli PAS agar tidak terpedaya dengan kemewahan hidup.

Beliau berharap agar kemenangan itu pula jangan menimbulkan kepuakan dalam PAS.

Manakala perwakilan Dewan Ulama PAS Perlis, Idris Yaakub berkata, kemenangan yang sebenar bagi umat Islam adalah berpegang kepada ajaran Allah.

Perwakilan Dewan Uilama PAS Johor, Ustaz Arif Salim Osman mengingatkan golongan ulama agar memainkan peranan derngan berkesan kepada masyarakat dengan ilmu yang dimiliki kerana ia merupakan amanah Allah kepada mereka.

Manakala perwakilan Dewan Ulama PAS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ustaz Mohd Nazmio Kamaruddin berharap agar PAS mewujudkan Majlis Penyelidikan dengan segera bagi kepentingan seluruh ahlinya.

Perwakilan Dewan Ulama PAS Perak, Muhammad Nuri Al-Amin Endut pula meregaskan kekuatan Islam antara lain terletak pada prinsip.

Oleh itu, beliau berharap agar para pemimpin dan ahli-ahli PAS terus cekal dengan prinsip perjuangan Islam bagi membolehkan PAS terus maju mendepani pelbagai cabaran.

Perwakilan Dewan Ulama PAS Pahang dalam ucapannya menyarankan agar rakyat Pahang mengKelantankan Pahang dengan antara lain melakukan pengusaan terhadap masjid dengan mengimartahkan masjid.

Selain itu, beliau juga berharap agar rakyat Pahang turut mencontohi negeri Kelantan menerusi keilmuan dengan berusaha memperbanyakkan pusat penyebaran ilmu di negeri itu.

Nik Aziz: Saya ada pilihan sendiri tapi tak mahu dedah elak kecoh

Posted: 01 Jun 2011 10:30 PM PDT

Oleh Zulaikha Zulkifli


SHAH ALAM, 2 Jun — Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempunyai pilihannya sendiri berhubung calon yang sesuai untuk dipilih pada pemilihan parti itu kali ini.

Pemilihan ketiga-tiga sayap berlangsung hari ini manakala peringkat pusat sempena muktamar yang bermula esok.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, walau siapa pun pilihannya, semua keputusan terletak pada tangan perwakilan untuk menentukan pemenang.

"Saya ada pilihan saya. Tapi tak bolehlah beritahu pada orang lain. Kalau saya beritahu kecohlah nanti," kata beliaua pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS 2011 di sini hari ini.

Pemilihan kali ini tumpuan beralih kepada timbalan presiden yang menyaksikan saingan tiga penjuru manakala naib presiden pula disaingi enam calon.

Calon yang akan bertanding jawatan nombor dua parti adalah penyandangnya Nasharudin Mat Isa, yang dicabar Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan ahli jawatankuasa kerja Mohamad Sabu.

Dalam pada itu, tiga kerusi naib presiden ditandingi Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub yang masing-masing merupakan penyandang jawatan, dua Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa dan Datuk Mohd Amar Abdullah, bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan Ketua Penerangan Idris Ahmad.

Jawatan ketua Dewan Muslimat disaingi Nuridah Salleh dan Siti Zailah Yusoff manakala Nasrudin Hassan mengekalkan kedudukannya.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga mengekalkan jawatannya.

Menjawab soalan mengenai pemberian ruang kepada Muslimat bertanding pada pilihan raya akan datang, Nik Aziz berkata, semua keputusan terletak pada jawatankuasa pilihan raya.

"Terletak pada parti. Kita akan bagi ruang kepada orang yang ada bakat, aktif dan kita lihat penampilan diri dia.

"Bilangan kerusi akan ditambah atau tidak, itu terletak pada mesyuarat," katanya.

Gambar Ustaz Azhar Idrus Menerima Plak Semasa Muktamar Pemuda

Posted: 01 Jun 2011 10:03 PM PDT

http://a1.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc6/253952_213136432052565_206268379406037_665859_3865466_n.jpg

Teks Ucapan Perasmian Muktamar Muslimat Kali Ke 51 : PERSIAPAN UNTUK KE PUTRAJAYA

Posted: 01 Jun 2011 09:55 PM PDT

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم

Firman Allah SWT yang bermaksud : Allah membuat isteri Nuh dan isteri Luth sebagai perumpamaan bagi orang-orang kafir. keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang saleh di antara hamba-hamba Kami; lalu kedua isteri itu berkhianat kepada suaminya (masing-masing), Maka suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikitpun dari (siksa) Allah; dan dikatakan (kepada keduanya): "Masuklah ke dalam Jahannam bersama orang-orang yang masuk (jahannam)". Dan Allah membuat isteri Fir'aun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika ia berkata: "Ya Rabbku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam firdaus, dan selamatkanlah Aku dari Fir'aun dan perbuatannya, dan selamatkanlah Aku dari kaum yang zhalim. 12. Dan (Ingatlah) Maryam binti Imran yang memelihara kehormatannya, Maka kami tiupkan ke dalam rahimnya sebagian dari ruh (ciptaan) kami, dan dia membenarkan kalimat Rabbnya dan Kitab-KitabNya, dan dia adalah termasuk orang-orang yang taat.

• Terima kasih kepada pengerusi majlis

• Yang Berbahagia al-Fadhilah Ustazah Nuridah binti Salleh, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat dan saf kepimpinan Dewan Muslimat PAS Pusat

• Yang Berbahagia Wakil Dewan Harian PAS Pusat

• Seluruh ahli-ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat

• Yang diraikan tetamu-tetamu jemputan khususnya khususnya kepimpinan wanita Pakatan Rakyat

• Ketua-ketua Dewan Muslimat Negeri-negeri bersama ahl-ahli jawatankuasanya

• Para perwakilan

• Muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi syukur kita panjatkan kepada Allah SWT yang telah memberikan kita kesempatan untuk bersama-sama berada di dalam majlis perasmian muktamar tahunan Dewan Muslimat PAS Pusat untuk kali ke 51 pada malam ini. Saya mengucapkan terima kasih kerana dijemput untuk menyampaikan ucapan seterusnya merasmikan muktamar ini. Sekalung tahniah kepada Dewan Muslimat PAS Pusat di atas kejayaan mengadakan agenda tahunan ini sekaligus melepasi usia setengah abad dengan bermuktamar untuk kali ke-51 pada hari ini, alhamdulillah. Saya utuskan dua rangkap rangkap pantun sebagai pembuka kepada ucapan saya pada malam ini :

Pulang petang gadis sekawan,

Anak Telosan di Padang Rata

Hamba datang kerana tuan

Untuk berpesan sepatah kata

Datang berteduh di pinggir rimba

Mencari kawan di tengah dangar,

Tinggi sungguh harapan hamba,

Agar tuan sudi mendengar

MENYERTAI PAS SATU IBADAH

Para perwakilan, pemerhati serta hadirin yang dikasihi sekalian.

Saya ingin mulakan ucapan ini dengan mengingatkan kita semua bahawa perjuangan kita Parti Islam Semalaysia (PAS) ini merupakan satu ibadah di medan siasah dan dakwah pasti akan diganjari oleh Allah SWT dengan kebaikan insya-allah. Perlulah diingatkan PAS adalah Gerakan Islam yang menyertai pilihanraya dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Biarpun ruang demokrasi itu kian sempit namun perjuangan untuk membebaskan umat Islam dari kepungan jahiliyah moden ini berpandukan syara' mesti diteruskan walau dengan apa cara sekalipun.

Justeru, penyertaan dan penglibatan msulimat bersama PAS dalam pilihanraya bukanlah didorong oleh inginkan kemenangan pilihanraya sebaliknya ia didokong oleh prinsip syariat Islam agar mengisi ruang sistem bernegara dan menggantikan sekularisme yang menjadi anutan kerajaan yang ada pada hari ini. Sesungguhnya penyertaan PAS dalam seluruh kegiatan politik dakwah hari ini adalah bertujuan ke arah memenuhi tuntuan pengabdian diri kita kepada Allah SWT. Maka muslimat juga bertanggungjawab memastikan matlamat, objektif, strategi dan seluruh aktiviti mestilah berlandaskan al-Quran, al-Sunnah dan prinsip berjemaah.

Saya menyatakan perkara ini sebagai satu penegasan agar PAS mampu berdepan dengan penjajahan pemikiran dan gelombang sekular yang datang dengan pelbagai warna, ada yang biru dan ada yang merah. Walau apa jua warna sekalipun, ia tetap merupakan gelombang jahiliyyah yang mesti ditolak. Maka mantapkanlah perjuangan kita sebagai satu ibadah demi mengembalikan kesemua aspek kehidupan manusia ke bawah naungan redha Allah SWT.

Firman Allah SWT :

قُلْ إِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، لاَ شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ

- سورة الأنعام، أية 162-163

Yang bermaksud : Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.

MUSLIMAH SEBAGAI NADI JEMAAH

Para perwakilan, pemerhati serta hadirin yang dikasihi sekalian.

Penglibatan golongan muslimah di dalam gerakan politik dakwah merupakan sumbangan besar di sisi Islam. Mereka adalah sayap pengimbang di dalam perjuangan menegakkan agama Allah SWT. Sebagaimana seekor burung tidak mungkin terbang dengan sebelah sayapnya, demikian juga sebuah jemaah yang berentap di pentas demokrasi seperti di Malaysia, sudah tentu berfungsi dengan baik dengan adanya sayap yang bernama muslimah.

Di dalam sejarah, pernah wujud golongan wanita yang mengkhianati perjuangan suci suami-suami mereka. Ayat yang telah saya bacakan di awal ucapan tadi menceritakan bagaimana kisah dua orang wanita iaitu isteri Nabi Lut dan isteri Nabi Nuh alaihimassalam yang telah menolak dakwah suami mereka dan menjadi penentang utama terhadap risalah yang dibawa oleh suami mereka. Lalu Allah SWT mencampakkan mereka ke dalam neraka. Begitu juga tidak kurang kisah para isteri yang terus menerus berdiri di atas jalan yang benar sekalipun ditentang hebat oleh suami mereka seperti kisah Asiah isteri kepada Firaun.

Oleh yang demikian, menjadi satu tanggungjawab muslimah pada hari ini untuk menjadi wirawati dan pejuang yang berjiwa Asiah di zaman Firaun dan bukannya menjadi petualang dan pengkhianat seperti isteri Nabi Lut dan isteri Nabi Nuh. Demikian pula bagaimana hebatnya saiyidatina Khadijah binti Khuwailid sebagai muslimah pertama yang menyahut seruan Iman dan Islam menyokong perjuangan suci suaminya iaitu Rasulullah SAW sehingga sentiasa dikenang-kenang baginda sepanjang hayat.

Sabda Rasulullah SAW :

لا والله ما أبدلني خيرًا منها، آمنت بي حين كفر الناس، وصدقتني إذ كذبني الناس، وواستني بمالها إذ حرمني الناس، ورزقني منها الولد دون غيرها من النساء – رواه أحمد

Yang bermaksud : Tidak demi Allah, tidaklah Dia menggantikan untukku wanita yang lebih baik darinya (yakni Khadijah), dia beriman denganku ketika manusia mengkufuri aku, dia membenarkan aku ketika manusia menolakku, dia menolongku dengan hartanya ketika manusia memencilkan aku dan Allah mengurniakan zuriat kepadaku daripadanya dan tidak daripada wanita yang lain.

Selain Khadijah, kita juga sering mendengar nama-nama seperti, saiyidatina Aisyah RA sebagai gedung ilmu dan pusat sumber maklumat, Ummu Ammarah Nusaibah binti Ka'ab yang bermati-matian di medan Uhud dan Sumaiyah Ali Yaasir sebagai orang yang pertama mendapat gelaran syahidah. Demikian juga wirawati seperti Khaulah binti Azwar yang tangkas di medan perang dan juga pengarang syair yang hebat. Kesemuanya membuktikan peranan muslimah adalah begitu luas, bukan sekadar di dalam rumahnya semata-mata.

Apa yang penting golongan muslimah sudah melakar sejarah yang begitu hebat maka muslimat PAS diharapkan turut mencipta sejarah bagi meneruskan peranan beralaskan iman dan taqwa kepada Allah SWT.

PAS MENGHARGAI PERANAN MUSLIMAH

Para perwakilan, pemerhati serta hadirin yang dikasihi sekalian.

Di dalam PAS, Dewan Muslimat telah diberikan peranan yang cukup penting di dalam menjayakan perjuangan. Justeru, Dewan Muslimat telah melahirkan ramai tokoh pejuang. PAS pernah memberikan amanah kepada almarhumah Khadijah Mohd Sidik untuk bertanding di dalam pilihanraya umum 1959. Beliau memenangi kerusi tersebut di dalam pertembungan tiga penjuru menentang Perikatan dan Front Sosialis. Di dalam pilihanraya tersebut, PAS juga telah menurunkan Fatimah Bahari sebagai calon bagi Dun Terentang, Negeri Sembilan namun beliau tewas. Pada pilihanraya 1964, sekali lagi PAS meletakkan Khatijah Sidek bertanding dan kali ini di dalam dua kerusi sekaligus iaitu Parlimen Johor Timor dan Dun Plentong, Johor.

Selepas pilihanraya 1964, PAS mengambil keputusan untuk tidak meletakkan calon ekoran permainan politik kotor UMNO dan Perikatan pada masa itu. Amalan politik samseng, buas dan ganas menyebabkan PAS berpendirian bahawa wanita kurang selamat untuk diletakkan sebagai calon. Sehinggalah pada pilihanraya 2004, PAS mula meletakkan semula calon wanita apabila melihat politik samseng yang diamalkan oleh Barisan Nasional mula kendur dan berkurangan.

Justeru, kita saksikan di dalam pilihanraya umum 2008 yang lepas, seramai 13 orang calon Muslimat PAS diberikan kepercayaan untuk bertanding di seluruh negara. Alhamdulillah, hasilnya enam orang calon kita telah menang dan masing-masing seorang diberikan amanah pula untuk menggalas jawatan sebagai ahli exco kerajaan negeri di Kelantan, Kedah dan Selangor. Selain itu, buat kali pertama juga di dalam pilihanraya umum yang lepas, kita menyaksikan kemunculan seorang calon yang diiktiraf mewakili Kelab Penyokong PAS yang sekarang dikenali sebagai Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) adalah dari kalangan wanita iaitu Cik Kumutha Raman, yang bertanding di Dun Tiram, Johor.

Sementara itu, antara sumbangan bermakna PAS Kelantan kepada Dewan Muslimat PAS ialah melantik pimpinan muslimat sebagai ahli Dewan Negara iaitu sebagai Senator. Ia bermula dengan Ustazah Jamilah Ibrahim diikuti dengan Ustazah Noraizah Mohd Nor, Ustazah Siti Zailah Yusof, Hajah Wan Ubaidah Omar dan sekarang Hajah Mumtaz Mohd Nawi.

Alhamdulillah, kini mulut-mulut luas yang suka melemparkan tohmahan buruk terhadap PAS kian sempit. Bahkan PAS boleh dianggap lebih terkedepan daripada UMNO apabila menyaksikan kerusi Naib Presiden pernah ditandingi oleh seorang Muslimat PAS. Demikian juga dengan siri pilihanraya kecil selepas pilihanraya umum 2008, kita pernah membariskan calon wanita di DUN Tenang pada saat Pergerakan Wanita UMNO masih gagal menampilkan calon mereka di dalam pilihanraya kecil.

Para perwakilan, pemerhati serta hadirin yang dikasihi sekalian.

Hakikatnya, pemberian kerusi di dalam pilihanraya bukanlah menjadi ukuran sebenar kejayaan perjuangan muslimat. Apa yang lebih diharapkan, Dewan Muslimat PAS hendaklah konsisten dalam menjuarai pelbagai program politik dakwah. Natijahnya, Muslimat hendaklah berperanan sebagai penggerak masyarakat memacu kemenangan PAS di dalam meraih kemenangan terdekat pada pilihanraya umum ke 13 nanti.





PENGALAMAN KELANTAN MENJAGA KEBAJIKAN GOLONGAN MUSLIMAH



Para perwakilan, pemerhati serta hadirin yang dikasihi sekalian.



PAS bersama Pakatan Rakyat insya-allah, jika diberikan peluang mentadbir negara pastinya akan memperkenalkan dasar-dasar yang lebih membela kebajikan wanita berbanding dengan apa yang ada pada hari ini. Wanita bukan bahan untuk eksploitasi dan diperalatkan semata-mata, tetapi untuk dihargai dan diberikan perlindungan sewajarnya.

Cita-cita ini sedang dijalankan di Kelantan. Kami memperkenalkan dasar-dasar mesra dan cakna wanita seperti cuti bersalin sehingga 60 hari daripada 40 hari sebelumnya yang akhirnya ditiru tanpa segan malu oleh pihak-pihak yang mengaku cerdik dan pandai. Kita juga merubah cuti bekerja kepada dua hari seminggu bagi memberikan ruang kepada wanita menumpukan perhatian kepada keluarga dan juga memendekkan masa bekerja kepada sehingga jam 3.00 petang pada bulan Ramadhan.

Selain itu, kita perkenalkan bantuan dan skim pembelaan untuk golongan armalah (ibu tunggal), memastikan golongan wanita tidak dieksploitasi dengan melarang gambar wanita yang mendedahkan aurat ditayangkan di papan-papan iklan dan dalam masa yang sama tidak menghalang wanita terlibat dengan aktiviti kebudayaan dan kesukanan. Di Kelantan juga, kita mendahului penganjuran Nisa' Games iaitu temasya sukan khusus untuk golongan wanita dan merupakan sukan wanita yang pertama di Malaysia. Alhamdulillah.

Pada kesempatan ini juga, sukalah saya mengulangi tekad kerajaan Kelantan untuk terus istiqomah melaksanakan sistem kewangan Islam. Selain berjaya menggerakan sistem perbankan tanpa riba dan pajak gadai ar-rahn, kita juga telah memperkenalkan mata wang syariah dinar dan dirham berasaskan emas dan perak. Alhamdulillah, kita telah mendapat persetujuan dari 20,000 pemilik kedai di seluruh negara yang sanggup menerima mata wang dinar dan dirham sebagai tukaran untuk mendapatkan barangan mereka. Sebagai tanda sokongan dari warga Dewan Muslimat PAS sekalian, saya mencadangkan agar setiap daripada kita seharusnya mempunyai sekurang-kurangnya sekeping dinar atau dirham di dalam poket masing-masing. Maka dengan ini, sebagai tanda kejayaan tersebut, saya bersedia menyumbangkan tiga dinar emas dan tiga dirham perak pada nilai hari ini untuk Tabung Pilihanraya Muslimat PAS Pusat, alhamdulillah.

PERSIAPAN UNTUK KE PUTRAJAYA

Para perwakilan, pemerhati serta hadirin yang dikasihi sekalian.

Saya juga ingin mengambil kesempatan pada kali ini untuk menggesa agar Muslimat PAS dapat mempersiapkan diri untuk berjuang menuju Putrajaya. Firman Allah SWT :

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ – سورة الأنفال : 60

Yang bermaksud : Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhm.

Hari ini, pada saat UMNO dan Barisan Nasional dilihat semakin hampir dengan ambang kejatuhannya, PAS semakin dilihat berpotensi untuk menggantikan UMNO. Disiplin, thiqah, dan keteguhan pimpinan dan ahli-ahli PAS adalah syarat yang perlu dipatuhi. Atas syarat inilah, kerajaan PAS di Kelantan mampu bertahan walaupun dengan majoriti satu kerusi sahaja. Prestasi ini dipandang tinggi oleh rakan-rakan kita di dalam Pakatan Rakyat. Tinggal lagi adakah kita bersedia menerima persepsi setinggi itu dan bersiapkan kita sebagai parti yang akan berada di Putrajaya kelak? Dalam hal ini, saya melihat Dewan Muslimat PAS Pusat boleh memainkan peranannya yang tersendiri.

Apa yang utama dalam siap siaga itu ialah Ahli-ahli Dewan Muslimat sewajarnya melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran yang perlu untuk bersaing di peringkat nasional. Muslimat tidak boleh lagi menganggap diri mereka hanya sebagai pelengkap kepada golongan lelaki di dalam medan juang, tetapi mereka juga perlu berperanan sebagai tiang seri yang menongkat istana perjuangan. Muslimat bukanlah langsir yang menghiasi jendela semata-mata dan ditukar ganti apabila selesai digunakan. Hari ini, pada saat dunia berkembang pesat dengan segala arus kemodenan, muslimat perlu dilihat berketrampilan menguasai pelbagai bidang ilmu dan bahasa agar dilihat mampu bersaing dengan pergerakan wanita dari parti-parti lain.

Saya melihat Dewan Muslimat PAS pada hari ini semakin menarik minat pelbagai latar belakang untuk turut bersama dengan perjuangan ini. Tidak dilupakan, msulimat perlu kepada generasi pelapis. Sedekad ini saya menyaksikan ada perbezaan berikutan kehadiran pelbagai latar belakang dan bakat baru. Maka saya mengharapkan agar golongan senior di dalam Dewan Muslimat dapat membimbing bakat-bakat baru agar memahami perjuangan PAS dan terus istiqomah membantu bahtera PAS sampai ke pantai destinasinya. Kepelbagaian ini saya ibaratkan sebagai sejambang bunga yang menampilkan pelbagai jenis bunga dan wangian yang berbeza. Ia sama sekali tidak mencacatkan jambangan bunga bahkan ia menambahkan seri dan menaikkan perhatian orang yang memerhati. Muslimah ibarat bunga yang sedang berkembang mekar di jambangan yang namanya jihad, insya-allah jika dibajai dan dijaga bunga ini, wangiannya akan terus kekal semerbak sepanjang zaman.

Para perwakilan, pemerhati serta hadirin yang dikasihi sekalian.

Akhir kata, saya berharap agar muktamar pada kali ini dapat berjalan dengan lancar dan membuahkan hasil yang terbaik untuk perjuangan PAS. Saya juga dimaklumkan bahawa akan berlaku pertandingan untuk jawatan-jawatan utama di dalam Dewan Muslimat pada kali ini. Harapan saya agar pertandingan berlaku secara adik beradik dan penuh harmoni dan semangat ukhuwwah. Bagi saya, pertandingan sebagai jalan meraih pahala dan rahmat Allah SWT. Semoga para perwakilan dapat membuat pilihan yang paling tepat untuk memilih pemimpin yang dapat menjalankan amanah sebaik yang mungkin di dalam mengemudi Dewan Muslimat PAS Pusat ini terus maju ke hadapan dalam arena politik tanah air.

Demikianlah amanah yang dapat saya sampaikan di dalam majlis ini. Saya berdoa agar kita semua dapat mengambil manfaat daripada apa yang telah saya sampaikan. Apa yang paling penting, ikhlaskanlah usaha kita kerana Allah. Semoga setiap usaha yang kita lakukan kesemuanya dikira amalan yang baik dan menndapat ganjaran di sisi Allah SWT. Saya sudahi dengan :

أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته



TEKS UCAPAN

YANG AMAT BERHORMAT TUAN GURU DATUK BENTARA SETIA

AL-MURSYIDUL AM PAS

DI MAJLIS PERASMIAN

MUKTAMAR DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT KALI KE-51

PADA : 29 JAMADIL AKHIR 1432H / 2 JUN 2011 (KHAMIS)

JAM : 8.30 PAGI

BERTEMPAT DI : DEWAM JUBLI PERAK, KOMPLEKS SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI, SHAH ALAM, SELANGOR DARUL EHSAN.

Panas! Datuk Misbun Haji Sidek Masuk PAS?

Posted: 01 Jun 2011 04:13 PM PDT

http://a2.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc6/251488_10150196375627312_303331692311_7629782_134509_n.jpg


Inilah kejutan kedua yang dilakukan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia setelah yang pertama di himpunan 30K yang membawa masuk Bob Lokman. kali ini lebih ramai seperti Chairil Anwar bekas penyerang Hoki Kebangsaan, Ustaz Azhar Idrus pendakwah bebas terkenal tanahair, Radhi Mat Din bekas penyerang bola sepak negara dan malangnya Misbun Sidek tidak dapat hadhir last minit untuk menaikan rating kejutan kedua ini. Selain mereka, anugerah tokoh anak muda juga diberi kpd ialah Dr Abdul Basit Abd Rahman dan Bob Lokman

Tiada ulasan: