Nuffnang

Pengikut

Kelab Greenboc

sumber :-

Kelab Greenboc


Jemaah Islamiah: Kenyataan Menteri BN Bercanggah

Posted: 26 Jun 2011 01:00 AM PDT

Ada bukti ideologi dan gerakan JI bertapak di M'sia'

TAMPIN (Negeri Sembilan): Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin menegaskan bahawa kerajaannya mempunyai bukti wujudnya ideologi dan gerakan fahaman pelampau Jemaah Islamiah (JI) bertapak di Malaysia, sebagaimana yang dilaporkan media.

Tan Sri Muhyiddin berkata kerajaan Malaysia memandang serius ancaman tersebut kerana kumpulan itu dianggap berbahaya, bukan sekadar sebagai pelampau agama, malah dalam beberapa hal, dianggap sebagai kumpulan pengganas.

'Sebagaimana yang dimaklumkan pihak berkuasa, ada bukti-bukti dan ia telah dinyatakan dalam media.

'Kumpulan ini menyalahgunakan Islam dan melatih mereka menjadi pejuang jihad.

'Ini jihad yang menyimpang dan membahayakan keselamatan negara,' kata beliau kepada pemberita selepas meninjau ladang ternakan lembu di Pusat Fidlot Nasional, Gemas, dekat sini, kelmarin.

Tan Sri Muhyiddin, yang diminta mengulas gerakan jihad yang memesongkan pemikiran pelajar sekolah agama dan maahad untuk membenci kerajaan, menambah bahawa pihak berkuasa mengetahui perkara itu dan sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh.

'Mungkin pihak sekolah dan maahad tidak sedar perkara ini berlaku atau sengaja tidak sedar bahawa tempat pendidikan dan pengajian mereka itu digunakan bagi tujuan tidak baik ini,' ujarnya.

Justeru, katanya, kerajaan Malaysia mahu jihad yang menyimpang itu dicegah daripada berlarutan sehingga boleh membahayakan negara itu.

'Kalau sudah jelas kes itu ada, tindakan bersesuaian sepatutnya boleh diambil pihak berkuasa keselamatan.

'Pihak berkuasa boleh bekerjasama dengan kerajaan negeri terbabit atau pihak berkuasa yang menjaga perihal sekolah dan maahad ini,' tambah beliau.

Ditanya sama ada isu JI itu melibatkan maahad atau sekolah di beberapa negeri, Tan Sri Muhyiddin berkata, setakat yang diketahuinya, hanya tempat tertentu sahaja yang menjalankan kegiatan tersebut.

'Kami haruslah ke tempat itu, tengoklah gerakannya. Tempat lain, tiada dalam pengetahuan saya,' tegasnya.

Akhbar Utusan Malaysia baru- baru ini melaporkan bahawa ideologi kumpulan ekstremis seperti JI disebarkan di kalangan pelajar sekolah di negeri itu.

Malah, para pelajar seolah-olah dipupuk dengan sikap membenci kerajaan, selain mereka diperlukan berbaiah dan melakukan demonstrasi sebagai persediaan menentang kerajaan. - UM


Malaysia bukan sasaran militan
June 11, 2011

Hishammuddin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa keadaan keselamatan negara ketika ini cukup terkawal, dan berkata Malaysia mempunyai hubungan yang cukup erat dengan agensi risikan antarabangsa dalam hal itu.

PENDANG, 11 Jun (Bernama) — Malaysia bukan sasaran serangan kumpulan militan, walaupun anggota kumpulan itu mungkin berada di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa keadaan keselamatan negara ketika ini cukup terkawal, dan berkata Malaysia mempunyai hubungan yang cukup erat dengan agensi risikan antarabangsa dalam hal itu.

"Sebenarnya, Malaysia bukan negara sasaran mereka…mungkin mereka ada di negara kita, tetapi bukan sebagai sasaran… setakat inilah.

"Kita ambil tindakan proaktif dan pencegahan. Maklumat yang kita peroleh bukan hanya dalaman agensi kita, tetapi juga daripada agensi antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Pendang di Kompleks Umno Paya Mak Inson hari ini.

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan penahanan seorang anggota kumpulan militan warga Indonesia, Agus Salim, 34, Isnin lepas, yang dipercayai bersubahat dengan Mas Selamat Kasturi, pemimpin rangkaian Jemaah Islamiah (JI) Singapura, yang ditahan di Johor pada April 2009.

Gerakan Islam

Hishammuddin berkata gerakan militan bukan hanya berkisar kepada agama Islam sahaja kerana ancaman keganasan dalam dunia tanpa sempadan kini amat serius, dan ada satu kes mungkin akan diumumkan, yang tidak ada kena mengena dengan Islam, namun ia juga berkaitan dengan militan.

Sehubungan itu, katanya, beliau sering menekankan bahawa masalah warga asing, pekerja asing, pendatang asing tanpa izin, penyeludupan dadah dan penyeludupan senjata, malah pekerja asing yang datang secara halal, mempunyai kaitan dengan jenayah merentasi sempadan.

"Sebab itu, biometrik diperkenalkan baru-baru ini, dan ada juga dua, tiga sistem lain untuk kita buat tapisan…supaya sekurang-kurangnya kita dapat kenal pasti di mana mereka berada, sama ada mereka berada di sini dalam keadaan sah atau buat benda-benda lain yang lebih serius," katanya.

Mengenai cadangan mengadakan perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang dijadualkan di Kuala Lumpur pada 9 Julai ini, Hishamuddin berkata tindakan itu boleh menjejaskan keselamatan kerana pihak yang tidak bersetuju mungkin akan berdemonstrasi bagi membantah perhimpunan itu.

"Bersih boleh mengundang kepada kehadiran pihak-pihak yang tidak bersetuju dan boleh membawa kepada perkara yang lebih serius. Polis dan kementerian akan pantau..jangan huru hara negara kita. Kalau dua pihak itu bertembung boleh jejaskan keadaan.

Demonstrasi

"Akhirnya rakyat sendiri akan tolak kerana jejaskan aktiviti harian mereka. Tiap-tiap kali demonstrasi orang ramai akan marah…orang nak berniaga, nak pergi kerja, nak hantar anak ke sekolah," katanya.

Mengulas penubuhan Kelab Taat Suami di kalangan isteri berpoligami daripada Global Ikhwan Sdn Bhd, yang dikaitkan dengan kumpulan al-Arqam, Hishammuddin berkata polis dan kementeriannya sedang menyiasat perkara itu.

Beliau berkata laporan awal menunjukkan mereka tidak menjejaskan keselamatan negara.

"Kalau tindakan kumpulan itu melanggar undang-undang, atau lebih serius boleh menjejaskan keselamatan negara, polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata Jabatan Pendaftaran Negara perlu melihat ciri keselamatan dan menjamin kerahsiaan maklumat dalam MyKad berikutan jenayah siber yang semakin meningkat. -Bernama


Ulasan GB

Dua kenyataan yang bercanggah. TPM kata kononnya Ada bukti ideologi dan gerakan JI bertapak di M'sia sedangkan Menteri KDN kata, Malaysia bukan sasaran serangan kumpulan militan, walaupun anggota kumpulan itu mungkin berada di negara ini.

Apakah TPM, Muhyiddin, bercakap mengikut seleranya tanpa merujuk fakta sebenar?

Kita minta dibuktikan Maahad mana yang ada menyebarkan fahama JI di dalam negara ini kerana tuduhan beliau itu telah disebarluaskan oleh media antarabangsa yang menyebabkan para pelabur bakal menjauhkan diri dari negara ini.


BERNAMA Hasut Rakyat Benci Ambiga, Tak Hairan Ada SMS Ugutan Bunuhnya

Posted: 25 Jun 2011 11:30 PM PDT

Orang Melayu mesti selidiki siapa Ambiga

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia, terutama orang Melayu diminta meneliti siapa sebenarnya Datuk Ambiga Sreenevasan sebelum mengikut telunjuknya yang meminta rakyat supaya mengadakan perhimpunan haram pada 9 Julai ini.

Penganalisis politik berpendapat orang Melayu harus melihat kembali sejarah tindak-tanduk Ambiga yang pernah menimbulkan kemarahan umat Islam, terutama orang Melayu di negara ini sebelum secara membuta tuli mengikut kehendak dan telunjuknya.

Bekas Presiden Majlis Peguam itu adalah orang yang bertanggungjawab menerima memorandum menuntut pelaksanaan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) pada 21 Ogos 2001. Majlis Peguam menerima memorandum untuk menuntut pelaksanaan 14 tuntutan IFC yang jelas sekali bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kes Lina Joy yang murtad, Ambiga mempertikaikan pelaksanaan hukum syariah di bawah Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan dengan menyatakan kebebasan beragama turut termaktub kepada semua penganut agama Islam.

Beliau turut mengadakan forum mengenai memeluk agama Islam pada 9 Ogos 2008 yang membincang dan mempertikaikan secara terbuka Perkara 121 (1A). Biarpun mendapat bantahan orang Islam, Majlis Peguam yang diterajui Ambiga tetap meneruskan forum itu.

Justeru penganalisis politik berpendapat tindak tanduk Ambiga memperlihatkan diri beliau sebagai seorang yang tidak menghormati undang-undang dan Perlembagaan dan dengan itu orang Melayu terutamanya harus memikirkan semula hasrat untuk menyertai perhimpunan haram 9 Julai yang diketuainya.

Penganalisis politik bebas dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datin Paduka Dr Ramlah Adam, berkata sebagai seorang peguam, Ambiga sudah tentu arif mengenai undang-undang dan Perlembagaan negara.

"Ambiga tahu sekiranya penganjuran sesuatu perhimpunan tidak mendapat permit polis, maka perhimpunan itu tidak boleh dilakukan. Kita tidak faham kenapa dia tetap juga mahu meneruskan perhimpunan haram itu, walaupun mendapat bantahan pelbagai pihak," katanya.

Tegasnya keperluan untuk menganjurkan perhimpunan haram itu juga tidak jelas kerana jika penganjur ingin menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mereka boleh menggunakan saluran betul seperti membuat kenyataan di surat khabar dan media elektronik, bukannya mengadakan demonstrasi haram.

Pemerhati politik dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Zainal Kling pula menyifatkan semua golongan yang terbabit dalam penganjuran perhimpunan haram itu adalah tidak layak dan tidak patut menjadi pemimpin, termasuk Ambiga.

Katanya, mereka terlampau mengikut parti politik tertentu yang memperjuangkan ideologi politik masing-masing sedangkan mereka sendiri pun tidak 'bersih'.

"Mereka sebenarnya lebih baik melakukan tunjuk perasaan sebagai parti politik dan bukan sebagai NGO.

"Jadi orang akan faham maksud dan matlamat mereka (pemimpin politik), terutama orang awam mengenai kacau bilau dalam parti masing-masing seperti PKR yang tidak bersih, DAP yang selalu bermaharajalela atau autokratik dan PAS yang tidak mengikut atau sudah lari daripada perjuangan asal mereka," katanya.

Zainal turut menyifatkan tujuan perhimpunan haram itu adalah semata-mata untuk melindungi 'kekotoran'' yang sedang berlaku dalam parti pembangkang.

"Mereka sedang cuba melahirkan keadaan kacau-bilau, huru-hara dan anarki yang semua ini berniat memberi isyarat buruk di mata dunia dan mereka meniru taktik yang sedang dilakukan oleh negara yang menghadapi huru-hara," katanya.

Rakyat patut mengambil iktibar dan memerhati perilaku serta taktik parti pembangkang yang menggunakan politik semata-mata untuk kepentingan kekuasaan mereka sendiri, katanya. – BERNAMA

Ulasan GB

Tidak hairan mengapa terdapat sms ugutan bunuh terhadap Ambiga. Ia adalah kerana wartawan BERNAMA sendiri mengapi-apikan melalui tulisan di atas yang cuba untuk menghasut rakyat membenci pengerusi perhimpunan Bersih 2.0 tersebut.

Jika berlaku sesuatu yang tidak diingini ke atas Ambiga, BERNAMA perlu dipertanggungjawabkan kerana menghasut.

Jika mahu ditinjau pungutan suara dari rakyat negara ini samada perlu atau tidak, bancian di bawah membuktikan 99% rakyat Malaysia menyokong perhimpunan BERSIH diteruskan. Anda mahu kata apa lagi?



Bilangan Golongan Pengkid Negara Membimbangkan

Posted: 25 Jun 2011 10:00 PM PDT

Pikat 1,600 jadi ahli

KUALA LUMPUR: Merisaukan apabila satu laman web pengkid mampu menarik lebih 1,600 ahli dari seluruh negara dengan segelintir daripadanya secara terang-terangan mendakwa gemar menjalin hubungan sejenis, seolah-olah menggambarkan kegiatan itu semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Golongan songsang ini tanpa segan silu memaparkan nama dan nombor telefon bimbit masing-masing dalam laman web berkenaan supaya mudah dihubungi mereka yang berminat.

Tidak cukup dengan itu, ada antara mereka sanggup mengajak pasangan yang baru dikenali daripada laman web berkenaan untuk mengadakan seks rambang dengan rakan mereka.

Pemerhatian Metro Ahad mendapati kebanyakan gadis yang menyertai laman cari teman berkenaan terdiri daripada lingkungan umur 19 hingga 30 tahun.

Profil kebanyakan gadis terbabit menunjukkan mereka berpelajaran tinggi, menuntut di universiti terkenal tempatan dan ada juga yang bekerja serta mempunyai jawatan bertaraf eksekutif di beberapa syarikat besar.

Hasil pemerhatian itu juga mendapati, kelompok songsang ini menjadikan laman web berkenaan sebagai tempat untuk meluahkan perasaan selain membuka ruang untuk ahli baru mendaftarkan diri.

Wartawan yang melakukan penyamaran turut mendaftarkan diri dalam laman web berkenaan. Malah, siasatan yang dilakukan berjaya membawa wartawan bertemu dua gadis yang mengaku pengkid dan lesbian.

Gadis yang ditemui mengaku laman web berkenaan menjadi tumpuan golongan bernafsu songsang mencari kenalan dan bertukar-tukar pasangan. Selain itu, tidak kurang juga yang cuba mencari 'cinta sejati' daripada kaum sejenis.

Malah, selain portal berkenaan, mereka turut menyertai pelbagai 'kelab' lesbian dan pengkid di alam siber itu. Pemerhatian wartawan turut mendapati pasangan lesbian mahupun pengkid lebih mesra, penyayang dan saling mengambil berat antara satu sama lain.

Ikuti kisah gadis pengkid dan lesbian ini menerusi penyamaran yang dilakukan wartawan.


> AYISH, 23:

MENURUT Ayish, dia mula menyertai laman web berkenaan sejak tujuh bulan lalu bagi memudahkannya berjumpa dan berkenalan dengan kaum sejenis.

"Sejak menyertai laman web berkenaan, saya sudah berjumpa dengan 10 gadis yang masing-masing meminati pengkid. Malah, ada antaranya pernah menjadi teman wanita dan tidak kurang juga 'skandal'.

"Jika di luar sana, pasti sukar untuk mendekati gadis. Lagipun, nanti orang pandang serong pula. Tetapi dengan laman web berkenaan, semuanya secara terbuka dan mereka yang menyertainya mempunyai minat yang sama," katanya.

Menjelaskan mengapa dia beralih arah kepada pengkid dan meminati kaum sejenis, Ayish berkata, dia mencari cinta sejati daripada mereka yang sudi memberinya.

Ini kerana dia ditinggalkan teman lelakinya yang bernafsu songsang hingga mula berpaling kepada wanita gara-gara 'patah hati' dengan lelaki.

"Saya mula mengubah perwatakan sejak di bangku sekolah lagi. Waktu itu, saya mempunyai seorang teman lelaki. Selepas bertahun-tahun bercinta, akhirnya dia mengakui dirinya gay dan lebih meminati kaum lelaki. Kerana kecewa dengan kenyataan itu, saya mula membenci lelaki. Sejak itu, saya cuba membalas perbuatannya dan lama kelamaan, perasaan saya semakin menebal terhadap kaum sejenis.

"Sejak itu juga, saya mula menukar penampilan seperti lelaki, memakai bengkung, memotong rambut dan mencari gadis yang sudi berkenalan serta memadu kasih. Selama menjadi pengkid, saya mempunyai ramai teman wanita dan kebanyakannya dicari menerusi laman web sama," katanya.

Bagaimanapun, katanya, semuanya tidak bertahan apabila hubungan mereka sering putus di tengah jalan.

"Sebab itu, saya mahukan seorang gadis yang betul-betul boleh mengisi kekosongan dalam hati ini. Saya mahu gadis yang benar-benar mencintai saya. Saya juga tidak pasti sampai bilakah saya akan jadi seperti ini. Kerana lelaki, saya yang merana. Kalau nak diikutkan, saya memang mahu berubah.

"Begitupun, saya hanya akan berubah jika teman lelaki saya yang dulu berubah. Selagi dia tidak ke pangkal jalan dan mengenepikan nafsunya, saya juga tidak akan melakukan perkara sama," katanya.

> SHIMA, 26:

BAGI Shima, dia lebih gemar menjadi lesbian kerana tidak perlu menukar penampilan seperti seorang lelaki selain dapat memadu kasih dengan kaum sejenis ataupun lelaki.

Menurutnya, dia mula terbabit dengan kegiatan songsang itu ketika masih menuntut di bangku sekolah.

Ini kerana, katanya, bercinta dengan gadis lebih menyeronokkan berbanding lelaki.

"Kebanyakan kenalan yang saya temui bermula daripada laman web berkenaan. Sejak menyertainya tiga tahun lalu, saya mempunyai ramai kenalan lesbian dan pengkid.

"Bagaimanapun, saya lebih gemarkan wanita yang berperwatakan ayu dan manja. Saya tidak berapa meminati pengkid kerana mereka lebih cenderung meniru gaya kaum lelaki.

"Bagi saya, seorang wanita lebih mengambil berat, penyayang dan memahami hati serta perasaan saya. Sebab itu, saya rasa bahagia setiap kali bersama dengan wanita yang saya sukai," katanya.

Menurut Shima, dia pernah mempunyai teman lelaki dan pada masa sama mempunyai kawan rapat yang juga seorang gadis.

Ketika sedang hangat bercinta, katanya, dia sering kecewa dengan layanan teman lelaki namun si gadis pula lebih banyak membantu ketika dalam kesusahan.

"Diam-diam, kami mula menjadi akrab dan kemudian menaruh perasaan terhadap satu sama lain. Sejak itu, saya mula gemar menjalinkan hubungan dengan kaum sejenis. Tidak ada lelaki yang dapat memahami perasaan wanita. Kami mahukan belaian yang lembut dan romantik tetapi kebanyakan lelaki lebih kasar dan sentiasa mengambil ringan mengenai sesuatu perkara.

"Lagipun, jika saya menjadi lesbian, saya boleh merasa 'nikmat' bersama gadis lesbian atau pengkid. Malah, saya juga boleh mempunyai teman lelaki.

"Terus terang, laman web seperti ini memberi peluang kepada golongan seperti kami berjumpa antara satu sama lain dan berkenalan. Malah, sepanjang tiga tahun mengikuti laman web berkenaan, saya sudah menemui ramai kenalan lesbian dan ada antaranya pernah menjadi kekasih," katanya.

Bagi Shima, tidak salah menjadi pengkid dan lesbian kerana ia membabitkan perasaan dan hati seseorang itu.

"Lagipun, jangan pandang golongan seperti kami ini sebelah mata. Rata-ratanya, lesbian dan pengkid mempunyai pendidikan tinggi dan kerjaya yang hebat.

"Mungkin juga disebabkan perkara ini, saya lebih cenderung memilih wanita sebagai teman kerana tidak mahu menerima pelbagai tekanan lain. Buat buat masa ini saya lebih gemar bersama 'teman wanita' berbanding lelaki. Tengoklah nanti jika saya bertemu dengan lelaki yang benar-benar memahami hati dan perasaan saya, baru saya akan berubah kembali," katanya. -hm

Himpunan BERSIH: Polis Terus Ugut Untuk Tangkap, Petanda BN Akan Kalah Teruk PRU 13

Posted: 25 Jun 2011 08:30 PM PDT

Waran tangkap jika gagal beri penjelasan

IPOH: Polis akan memohon waran tangkap ke atas penganjur yang bercadang mengadakan perhimpunan haram 9 Julai ini jika mereka gagal hadir memberikan penjelasan berhubung perancangan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, berkata pihak berkuasa sebelum ini sudah memanggil semua penganjur terbabit untuk direkodkan keterangan mengikut Seksyen 275 Kanun Keseksaan iaitu percubaan mengadakan perhimpunan haram, tanpa mengira fahaman politik atau kaum tetapi ada yang meminta penangguhan atas alasan sibuk.

"Kita akan gunakan kuasa diperuntukkan mengikut seksyen itu. Bukan saja Datuk Ambiga Sreenevasan (bekas Presiden Majlis Peguam), tetapi yang lain juga termasuk Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali dan Pemuda UMNO," katanya selepas merasmikan majlis penutup Hari Inovasi Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini semalam.

Beliau berkata, jika penganjur perhimpunan enggan memberi kerjasama dan tidak hadir walaupun sudah dipanggil memberi keterangan berhubung kes itu, polis akan mengeluarkan notis mengikut Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah dan jika mereka masih berdegil, boleh memohon waran tangkap.

"Bagaimanapun kita masih memberi tempoh dan notis berkenaan belum dikeluarkan kerana mahu memberi peluang kepada mereka datang memberi keterangan dan bekerjasama dengan polis," katanya sambil menambah setakat kelmarin, 1,248 laporan polis diterima dari seluruh negara bagi membantah perhimpunan haram berkenaan.

Di KUALA LUMPUR, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, mengulangi peringatannya supaya orang ramai tidak menyertai perhimpunan haram terbabit yang hanya akan menimbulkan masalah kepada ketenteraman awam.

"Saya memantau keadaan ini, sudah beratus-ratus laporan kita terima yang tidak menyokong perhimpunan ini yang saya lihat boleh mengundang kepada ketegangan ketenteraman awam. Sebagai rakyat bertanggungjawab, janganlah kita membuat pilihan yang boleh menyebabkan ketegangan dalam negara kita," katanya. -BH


Tangkap Bukan Penyelesaian Terbaik: KSU KDN

Putrajaya: Tindakan untuk terus menangkap pihak yang terbabit dalam perhimpunan haram 9 Julai ini bukan merupakan jalan penyelesaian yang terbaik, sebaliknya kerajaan mengambil pendekatan untuk memberi informasi supaya orang ramai tahu mengenai akibatnya.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam, berkata senario pada zaman ini sudah berubah, di mana rakyat tidak boleh lagi menerima tindakan tangkapan oleh pihak berkuasa tanpa sebarang amaran.

"Jadi kita maklumkan kepada orang awam tentang apa yang berlaku. Tangkap-tangkap bukan jalan penyelesaian. Bolehkah kamu terima jika kami terus menangkap kamu," katanya selepas majlis dialog pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesukarelawanan dengan beliau di KDN di sini, hari ini.

Mahmood diminta mengulas mengenai gesaan sesetengah pihak yang mahu KDN mengambil tindakan tegas terhadap penganjur perhimpunan haram tersebut dan tidak terlalu berlembut dengan mereka.

Beliau berkata, kerajaan juga akan meneliti lebih 1,000 laporan polis yang dikemukakan yang membantah perhimpunan tersebut serta akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Mengulas majlis dialog tersebut, beliau berkata, ia adalah yang pertama seumpamanya pernah diadakan dan akan diteruskan bagi menyelaras pergerakan NGO di negara ini serta meminta pandangan dan idea daripada mereka dalam usaha memajukan negara.

Mahmood berkata, kerajaan juga sedang mempertimbang untuk mewujudkan majlis permuafakatan bagi menyelaras dan memberi sebarang bantuan yang diperlukan oleh NGO tersebut serta menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh mereka.

Mengikut rekod, katanya, terdapat lebih 119,000 NGO di negara ini dengan lebih 30 juta ahli dan lebih 40,000 daripada jumlah NGO itu merupakan NGO kesukarelawanan.

Beliau turut menafikan bahawa perjumpaan itu adalah langkah kerajaan untuk menguasai NGO terbabit sebaliknya kerajaan tidak mempunyai niat lain selain untuk menyatukan NGO berkenaan yang turut akan menjimatkan kos, masa dan tenaga mereka.

Seramai 100 pemegang jawatan daripada 40 NGO kesukarelawanan dari seluruh negara menghadiri perjumpaan itu. - BERNAMA


Ulasan GB

Dua senario yang bertentangan.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam semalam menegaskan bahawa "tangkapan" bukan penyelesaian terbaik, sedangkan Polis bertegas nak gunakan tangkapan.

KSU KDN mengakui bahawa senario pada zaman ini sudah berubah, di mana rakyat tidak boleh lagi menerima tindakan tangkapan oleh pihak berkuasa tanpa sebarang amaran, tetapi bagi polis yang terikat dengan cara dan mentaliti lapok masih terus menggunakan kaedah ugutan untuk menangkap penganjur perhimpunan aman.

Saya yakin kesan daripada tindakan polis ini akan mendapat tentangan hebat daripada majoriti rakyat. Ianya akan dimanifestasikan melalui kertas undi di dalam pilihanraya nanti.

Sepertimana yang bekas Tun Dr Mahathir Mahathir yang cuba lepas tangan begitu sahaja tanggungjawab politiknya dalam "Operasi Lalang" pada tahun 1987, dalam satu wawancaranya yang dibukukan dalam Doctor M: Operation Malaysia - Conversations with Mahathir Mohamad, oleh Tom Plate.

Mahathir mendakwa penangkapan pada 26 Oktober 1987 adalah keputusan polis, dan beliau hanya menerima keputusan itu. Malah, TDM mendakwa konon dirinya pernah berjumpa dan menjamin kepada pembangkang sebelum "Operasi Lalang", bahawa mereka tidak akan ditangkap.

Apa yang berlaku selepas Operasi Lalang?

Keputusan pilihanraya umum ke 8 pada tahun 1990 Barisan Nasional kalah teruk dimana undi popular BN adalah yang terrendah selepas PRU 1969 iaitu hanya memperolehi 53.4% dan jumlah kerusi parlimen yang dimenangi BN pada ketika itu merosot dengan teruk buat kali pertama sehingga ke paras hanya 70%.

Hal yang sama berulang dimana tangkapan dilakukan terhadap pserta BERSIH 1.0 pada 2007. Pada 9 Disember 2007, Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu telah ditahan oleh polis Perak diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, SAC II Ismail Yatim.

Kereta Naza Ria Mohamad Sabu ditahan berhampiran Pasar Raya Tesco di Kepala Batas, Seberang Perai, Pulau Pinang. Beliau dalam perjalanan pulang dari majlis perkahwinan anak perempuannya di Sunway City, Tambun, Perak. Mohamad Sabu dipercayai terlibat dalam perhimpunan Bersih pada 10 November 2007. Rumah Mohamad Sabu terletak di Guar Petai, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Tian Chua yang merupakan Ketua Penerangan KeADILan turut ditahan di bawah Akta Polis, Seksyen 27(5)(a), di Johor Bahru, jam 5.15 petang pada 9 Disember 2007 kerana menjadi penggerak perhimpunan Bersih.

Apa yang berlaku pada PRU 2008?

Pertama kali di dalam sejarah BN gagal memnguasai majoriti 2/3 parlimen sehingga begitu ramai menteri kabinet kecundang dan terkangkang untuk mempertahankan parlimen masing-masing!


Polis perlu menghormati keputusan rakyat. Satu undian telah dilakukan dalam bahasa Inggeris seperti ini, "What is your view on the proposed Bersih 2.0 rally in July 9?" yang bermaksud "Apakah pandangan anda berkenaan pelaksanaan himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini?"

Keputusan yang dapat diambil sehingga 21 Jun lalu menunjukkan 99% pengundi yang terdiri dari 1,312,917 pengundi mengatakan himpunan patut diteruskan. Manakala hanya 1% pengundi pula yang terdiri dari 14,222 pengundi mengatakan himpunan perlu dibatalkan.

Justeru itu, jika polis ingin melihan BN kalah teruk di dalam PZRU13 ini, kamu boleh terus ugut dan tangkap rakyat yang telah menyuarakan hati nurani mereka bahawa BERSIH TETAP DITERUSKAN.

KSU KDN perlu panggil Ketua dan Timbalan Ketua Polis Negara menghadapnya untuk diberikan kaunseling sebelum nasi menjadi bubur!

107 Penghidap Talasemia Dikesan Di Perlis

Posted: 25 Jun 2011 07:30 PM PDT

Kangar — Sebanyak 107 penduduk Perlis dikesan menghidap Talasemia selepas mereka menjalani ujian saringan darah sepanjang tahun lalu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu.

Beliau berkata, angka itu adalah 3.3 peratus daripada 3,262 penduduk yang menjalani ujian saringan pada 2010.

"Talasemia adalah sejenis penyakit genetik sel darah merah yang boleh diwarisi daripada ibu bapa, dan penghidapnya menanggung kesakitan untuk menjalani pemindahan darah setiap bulan," katanya ketika berucap merasmikan kem Klinik Kesihatan Kangar sempena sambutan Hari Talasemia 2011 di Taman Datuk Jaafar di sini hari ini.

Beliau berkata, jika pesakit adalah kanak-kanak, maka ibu bapa terpaksa mengawal emosi dan fizikal mereka selain menanggung beban kewangan untuk merawat penyakit itu.

"Saya berbangga dengan ibu bapa yang sanggup berkorban terhadap anak-anak yang menghidap penyakit ini, dan saya juga berharap orang ramai mengambil sedikit masa untuk menjalani ujian saringan Talasemia, kerana sedikit pergorbanan darah kita akan memelihara masa depan anak-anak kita," katanya. — Bernama


APA ITU TALASEMIA?

Talasemia atau dalam bahasa Inggerisnya Thalassaemia adalah penyakit kecacatan darah. Thalassaemia merupakan keadaan yang diwarisi, iaitu diwariskan dari keluarga kepada anak. Kecacatan gen menyebabkan haemoglobin dalam sel darah merah menjadi tidak normal. Mereka yang mempunyai penyakit Thalassaemia tidak dapat menghasilkan haemoglobin yang mencukupi dalam darah mereka. Haemoglobin adalah bahagian sel darah merah yang mengangkut oksigen daripada paru-paru keseluruh tubuh. Semua tisu tubuh manusia memerlukan oksigen. Akibat kekurangan sel darah merah yang normal akan menyebabkan pesakit kelihatan pucat kerana paras hemoglobin (Hb) yang rendah (anemia).

Sel darah merah bertugas membekalkan oksijen kepada tisu dalam badan manusia. Kekurangan sel darah merah bagi membekalkan oksijen akang mengakibatkan pesakit talasemia berasa lesu, tidak bermaya, dan mungkin sesak nafas sekiranya paras hemoglobin semakin menurun.

Mereka yang mengidap Thalassaemia tidak mampu membekalkan seluruh sel tubuh mereka denga bekalan oksigen yang mencukupi akibat kekurangan haemoglobin dalam sel darah merah. Tisu yang ketiadaan oksigen gagal berfungsi dengan baik. Dengan itu tubuh mereka menjadi lemah, gagal berkembang dengan baik, dan mereka boleh menjadi sakit teruk.

Pesakit talasemia biasanya mempunyai paras hemoglobin yang rendah iaitu kurang daripada 10g/dl.

Jenis Talasemia

Terdapat dua jenis talasemia iaitu:

Talasemia minor : Talasemia minor merujuk kepada mereka yang mempunyai kecacatan gen talasemia tetapi tidak menunjukkan tanda-tanda talasemia
atau pembawa.

Talasemia major : Talasemia major merujuk kepada mereka yang mempunyai baka talasemia sepenuhnya dan menunjukkan tanda-tanda talasemia.

Pembawa Malaysia

Biasanya penghidap Talasemia tidak menunjukkan apa-apa tanda atau masalah kesihatan. Pengesanan hanya boleh menurunkan gen talasemia kepada anak-anaknya. Sekiranya salah seorang ibu atau bapa adalah pembawa, keadaan berikut boleh berlaku. Peratusan risiko untuk setiap kehamilan;
50% kemungkinan adalah pembawa
50% kemungkinan adalah normal
Tiada anak yang menghidap talasemia(talasemia major)

Pesakit Talasemia

Sekiranya kedua-dua ibu dan bapa adalah pembawa keadaan berikut boleh berlaku;
25% kemungkinan anak mereka adalah pesakit talasemia
50% kemungkinan anak mereka adalah pembawa
50% kemungkinan anak mereka adalah normal

Tanda dan Gejala Penyakit Talasemia

Biasanya kanak-kanak pembawa Talasemia kelihatan normal semasa dilahirkan. Walau bagaimanapun, mereka akan mula mengalami masalah anemia yang serius apabila mencapai usia di antara 13 hingga 18 bulan.
Keadaan diri pucat, sentiasa lemah, dan resah.
Anemia yang serius boleh menyebabkan kesukaran bernafas.
Jaundis.
Perut buncit disebabkan pembengkakan hati dan limpa.
Tumbesaran terbantut.
Perubahan pembentukan tulang muka, pipi, dan rahang yang tidak normal(tandalewat).

Rawatan Penyakit Talasemia

Pesakit perlu menjalani transfusi darah berterusan setiap bulan.
Transfusi darah berterusan akan menyebabkan pengumpulan zat besi di dalam organ penting badan seperti hati, jantung, dan kelenjar endokrin yang akhirnya merosakkan fungsi organ-organ tersebut.
Rawatan penyingkiran zat besi berlebihan perlu dilakukan dengan suntikan ubat Desferrioxamine.
Pemindahan sum-sum tulang sekiranya ada penderma yang sesuai di kalangan keluarga.



Pelatih Ditbotakkan Satu Kesilapan, Menteri Minta Maaf

Posted: 25 Jun 2011 06:30 PM PDT

Pelatih dibotakkan satu kesilapan

ALOR SETAR: "Saya bagi pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat meminta maaf kepada keluarga Hizyaty Othman. Saya percaya apa yang berlaku adalah kesilapan yang tidak disengajakan," kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung mengenai kes Hizyaty Othman, 28, dan beberapa pelatih wanita lain yang dibotakkan ketika mendaftar diri untuk menjalani latihan di Akademi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai di Marang, Terengganu, bulan lalu.

Chor yang juga Ahli Parlimen Alor Setar, berkata beliau juga sudah mengarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat menjalankan siasatan dalaman berhubung kejadian itu dan jika perlu, ambil tindakan terhadap pegawai yang bertanggungjawab.

Akhbar semalam melaporkan Hizyaty, bekas pelatih bomba wanita kecewa dengan tindakan Akademi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai yang membotakkan kepalanya serta 18 pelatih wanita lain ketika mereka mendaftar diri untuk menjalani latihan di kem itu pada 2 Mei lalu.

Hizyaty dari Taman Berjaya, di sini, berkata dia amat terkejut dengan tindakan membotakkan kepala pelatih perempuan, tidak seperti apa yang dinyatakan dalam peraturan kursus yang diterima mereka sebelum melaporkan diri di akademi itu.

Chor berkata, tindakan menggunting rambut adalah berkait dengan peraturan yang bukan hanya dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat tetapi turut dilaksanakan pada anggota beruniform yang lain.

Beliau berkata, bagi pelatih wanita Jabatan Bomba dan Penyelamat, rambut mereka akan digunting sehingga enam milimeter panjang kerana sebagai anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, wanita yang berambut panjang mungkin sukar untuk menjalankan tugas yang membabitkan aktiviti fizikal.

"Ini kes pertama saya terima aduan seperti ini. Ini jelas tunjukkan perkara itu bukan sentiasa berlaku dan ia mungkin tidak disengajakan," katanya kepada pemberita dalam sidang media, di sini, semalam. -HM

"Bir Halal" - Majlis Fatwa Kebangsaan Akan Putuskan Statusnya

Posted: 25 Jun 2011 05:50 PM PDT

Keputusan 'Bir Halal' ditangan Majlis Fatwa Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Keputusan berkenaan isu "bir halal" hanya akan dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAKIM, Mat Ali Sarbini.

Beliau berkata, sehinggalah Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa mengenainya, bir berkenaan itu adalah haram untuk diminum oleh umat Islam.

Beliau berkata, ketika ini sampel bir berkenaan masih berada di makmal-makmal universiti tempatan untuk dikaji perincian kandungannya termasuk alkohol.

"(Keputusan) belum (ada) lagi. Masih dalam peringkat penyelidikan. Oleh kerana makmal ini mempunyai giliran-gilirannya, jadi banyak benda-benda yang perlu diberikan keputusan yang menjadi perhatian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ketua Pengarah JAKIM, Othman Mustapha merasmikan mesyuarat agung Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) kali ke-16 di Kompleks Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) di Brickfields hari ini.

Isu bir halal timbul sejak 28 Mei lalu selepas akhbar melaporkan penjualan bir berkenaan di pasaran semakin popular di kalangan umat Islam di negeri Johor dan penjualannya dikesan oleh Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ).

Pada 29 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dilaporkan berkata, umat Islam tidak dibenarkan meminum bir berkenaan kerana kandungan alkohol bir berkenaan sebanyak 0.5 peratus iaitu melebihi paras alkohol yang dibenarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan iaitu 0.01 peratus.

Minuman yang diimport dari sebuah negara Islam di Timur Tengah itu banyak terdapat di kafe-kafe di negara ini dan dijual antara RM3 hingga RM5 sebotol.

Mat Ali berkata, pada bulan depan JAKIM akan mengedarkan naskhah Al-Quran dalam bentuk Braille kepada Jabatan Agama Islam Negeri bagi diagihkan kepada sekolah-sekolah orang cacat penglihatan di negeri masing-masing.

Beliau turut berkata, bantuan yang diberikan kepada orang cacat penglihatan bukan sahaja meliputi bantuan Al-Quran dalam bentuk Braille tetapi juga meliputi bantuan-bantuan lain termasuklah kewangan.

Pada majlis itu, Mat Ali menyerahkan dua naskhah Al-Quran Braille berharga RM500 sebuah sumbangan Malaysia Building Society Berhad (MBSB) kepada dua ahli Pertis. - BERNAMA

300 Peguam Telah Bersedia Bantu Peserta BERSIH

Posted: 25 Jun 2011 04:40 PM PDT

300 peguam sertai himpunan Bersih 2.0

SHAH ALAM, 25 Jun: Rakyat tidak bimbang untuk hadir dalam Himpunan Bersih 2.0 kerana lebih 300 peguam sedia membantu mereka jika berlaku sebarang tangkapan.

Untuk tujuan itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia telah menggerakkan bilangan peguam yang ramai kali ini memandangkan sambutan terhadap Bersih amat menggalakkan.

Ketua Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Negeri Selangor, Peguam Zainal Said berkata, ramai dalam kalangan peguam telah memberikan komitmen untuk hadir 9 Julai depan.

"Jangkaan kehadiran rakyat dalam Bersih 2.0 ini amat menggalakkan dan kita mempunyai kemampuan untuk menggerakkan seberapa ramai peguam yang kebanyakannya telah memberi komitmen," tegasnya.

Zainal juga adalah Exco JUHAM Dewan Pemuda PAS Malaysia merangkap Ketua Pemuda PAS Kawasan Kota Raja.

Beliau ditemui ketika memberikan khidmat nasihatnya kepada seorang Pemuda PAS Shah Alam ditahan polis hanya kerana memegang baju Bersih 2.0 berwarna kuning malam tadi.

Musfari Azmi, 27, ditahan jam 11.30 malam sebaik selesai mesyuarat sukaneka di Padang Jawa, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, dekat sini.

Sekitar jam 2 pagi beliau dibebaskan dan diraikan oleh sahabat pemuda pula dalam satu majlis ringkas berhampiran Pejabat Pemuda PAS Shah Alam, di Seksyen 7.

Turut serta adalah Setiausaha PAS Selangor, Peguam Mohd Khairuddin Othman, Timbalan YDP PAS Shah Alam, Haji Azli Yusof, Ketua Pemuda kawasan, Mohd Hilmi Radzuan dan Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS Shah Alam, Jefri Zain.

Menurut Musafri, ketika beliau keluar sebaik selesai mesyuarat persiapan menganjurkan sukaneka di cawangan mereka, empat anggota polis berpakaian awam menahannya.

Mengikut Musafri Azmi, 27, beliau mengakui tidak biasa dengan tindakan polis cawangan khas (SB), terus menahan sebaik mengenal pasti terdapat lapan unit baju Bersih di tangannya.

Bendahari Pemuda Padang Jawa Petaling sambil berseloroh berkata kepada pihak polis ketika disoal siasat, tidak berbaloi beliau ditahan dari 11.30 malam hingga 210 pagi hanya kerana hendak menjual lapan helai baju yang hanya untung RM3.

Seriusnya, beliau sempat berhujah dengan anggota polis tentang sahnya Himpunan Bersih kerana Malaysia adalah sebuah negara demokrasi.

Lalu, jelasnya, mereka meminta beliau menghuraikan pula apa definisi demokkrasi dan menyatakan apa itu Bersih serta tuntutan lapan perkara.

Lebih dari itu, ujarnya, soalan pihak polis lebih terarah kepada siapa pengedar baju dan penggerak Bersih.

Sementara itu, Peguam Khairuddin mendesak pihak polis agar bertindak mengikut undang-undang sedia ada kerana jika betul tindakan mereka, baharu rakyat dapat menerimanya dengan baik.

"Malang bila kita minta di bawah undang-undang mana pemuda kita ditahan, mereka tidak dapat menjelaskannya dengan baik dan terperinci.

"Kerana itu, saya juga menyeru rakyat agar hadir beramai-ramai dalam Himpunan Bersih 9 Julai kerana pihak polis tidak mempunyai hak untuk menahan sesiapa pun kerana himpunan kita aman," tegasnya.

Pakar Perlembagaan Malaysia, Dr Abdul Aziz Bari menyatakan polis tidak boleh membuat penghakiman awal berhubung himpunan itu dan jika dilakukan juga, jelas mereka menentang undang-undang.

Paling teruk apabila ia bertentangan dengan hak yang dijamin dalam perlembagaan negara .

Katanya, mengikut Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, polis tiada sebarang hak melarang perhimpunan aman yang dijamin.

"Hatta mahkamah juga tidak boleh melakukannya," kata pensyarah undang-undang UIAM itu.

Sebelum itu, pihak polis juga menahan Timbalan Ketua AMK Pusat, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin atau Jonah di Uptown Shah Alam ketika menanti makanan sampai, minta kad pengenalan, digari dan dibawa ke IPD sama.

Beliau menyerahkan kepada Peguam Latheefa Koya yang turut hadir untuk mengambil tindakan undang-undang kerana menahan beliau kerana memakai baju Bersih tanpa sebarang alasan kukuh.

Pihak polis mengawal jalan masuk ke Uptown sejak jam 7 malam hingga jam 4 pagi kerana ada iklan di facebook menyatakan satu majlis Pra Bersih akan dilancarkan di situ.

Kawasan pentas yang selalunya diadakan program karaoke dan juga ceramah agama sebulan sekali itu ditalimerahkan oleh pihak keselamatan. IBH

WASPADA: Biskut Perisa Cicak

Posted: 25 Jun 2011 07:40 AM PDT

Johor Bharu - Seorang pendandan rambut terkejut apabila menyedari biskut gandum jenama terkemuka kegemarannya mengandungi bangkai cicak.

Insiden menjijikkan itu berlaku ke atas, Ooi Ai Ling, 28, yang sedang enak menikmati minum petang di rumahnya di Jalan Dedap, Taman Johor Jaya di sini pada Isnin lalu.

Katanya, biskut terbabit dibelinya di sebuah pasar raya di Taman Johor Jaya pada 6 Jun lalu, yang dengan jelas mempamerkan tarikh luput pada 25 Oktober 2011.

"Saya membeli dua kotak biskut terbabit dan hanya membuka salah satu daripadanya Isnin lalu. Ketika sedang enak memakan beberapa keping biskut tersebut, saya terkejut apabila terlihat bangkai cicak terlekat padanya.

"Saya rasa loya melihat cicak tersebut dan terus muntah, sejak itu saya mengalami muntah-muntah selama empat hari berturut-turut,"
katanya pada sidang akhbar di rumah Kelab Akhbar Cina Selatan di sini, semalam.

Ai Ling berkata, dia sering membeli biskut jenama berkenaan sejak lebih empat tahun lalu.

Menurutnya, akibat sering muntah selepas insiden tersebut, dia telah membuat pemeriksaan di sebuah klinik di Johor Jaya semalam dan disahkan mengalami keracunan makanan.

"Saya pelik bagaimana cicak berkenaan boleh ada dalam biskut berkenaan dan kini, saya serik untuk membeli biskut jenama itu.

"Saya serik untuk membeli biskut jenama tersebut dan akan lebih berhati-hati selepas ini apabila membeli apa-apa produk makanan kerana takut insiden yang sama berulang," katanya.

Dia juga telah mengadukan perkara tersebut kepada MCA bahagian Gelang Patah dan turut membuat satu laporan polis di balai polis Taman Johor Jaya Rabu lalu.

Sementara itu, Pembantu Khas Menteri Besar Johor, Low Teh Hian berkata, beliau akan membawa mangsa untuk bertemu dengan pengurus pasar raya terbabit bagi mendapatkan penjelasan sebelum mengambil sebarang tindakan.

"Kami perlu tahu bagaimana boleh ada cicak dalam biskut tersebut dan kami juga tidak menolak kemungkinan untuk mendapatkan ganti rugi buat mangsa yang disahkan mengalami keracunan makanan," katanya. -SH

Tangkap Bukan Penyelesaian Terbaik: KSU KDN

Posted: 25 Jun 2011 05:30 AM PDT

Putrajaya: Tindakan untuk terus menangkap pihak yang terbabit dalam perhimpunan haram 9 Julai ini bukan merupakan jalan penyelesaian yang terbaik, sebaliknya kerajaan mengambil pendekatan untuk memberi informasi supaya orang ramai tahu mengenai akibatnya.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam, berkata senario pada zaman ini sudah berubah, di mana rakyat tidak boleh lagi menerima tindakan tangkapan oleh pihak berkuasa tanpa sebarang amaran.

"Jadi kita maklumkan kepada orang awam tentang apa yang berlaku. Tangkap-tangkap bukan jalan penyelesaian. Bolehkah kamu terima jika kami terus menangkap kamu," katanya selepas majlis dialog pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesukarelawanan dengan beliau di KDN di sini, hari ini.

Mahmood diminta mengulas mengenai gesaan sesetengah pihak yang mahu KDN mengambil tindakan tegas terhadap penganjur perhimpunan haram tersebut dan tidak terlalu berlembut dengan mereka.

Beliau berkata, kerajaan juga akan meneliti lebih 1,000 laporan polis yang dikemukakan yang membantah perhimpunan tersebut serta akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Mengulas majlis dialog tersebut, beliau berkata, ia adalah yang pertama seumpamanya pernah diadakan dan akan diteruskan bagi menyelaras pergerakan NGO di negara ini serta meminta pandangan dan idea daripada mereka dalam usaha memajukan negara.

Mahmood berkata, kerajaan juga sedang mempertimbang untuk mewujudkan majlis permuafakatan bagi menyelaras dan memberi sebarang bantuan yang diperlukan oleh NGO tersebut serta menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh mereka.

Mengikut rekod, katanya, terdapat lebih 119,000 NGO di negara ini dengan lebih 30 juta ahli dan lebih 40,000 daripada jumlah NGO itu merupakan NGO kesukarelawanan.

Beliau turut menafikan bahawa perjumpaan itu adalah langkah kerajaan untuk menguasai NGO terbabit sebaliknya kerajaan tidak mempunyai niat lain selain untuk menyatukan NGO berkenaan yang turut akan menjimatkan kos, masa dan tenaga mereka.

Seramai 100 pemegang jawatan daripada 40 NGO kesukarelawanan dari seluruh negara menghadiri perjumpaan itu. - BERNAMA

Ulasan GB

Sekalipun KSU KDN menyatakan tangkap bukan jalan yang terbaik, tapi bagi polis, tangkapan terus dilakukan.

Semalam beberapa pemimpin AMK dan PAS ditangkap.

Saya suka mencadangkan agar pois tangkap 1 juta rakyat yang mengundi menyokong perhimpinan BERSIH diadakan di dalam satu bancian oleh akhbar The Star Online baru-baru ini.

Ingat, anda boleh menangkap jasad-jasad rakyat, tetapi anda tidak akan mampu menahan hati nurani rakyat.

10 Maut, 7 Disambar Petir Di Vietnam

Posted: 25 Jun 2011 04:20 AM PDT

Hanoi: Sekurang-kurangnya 10 terbunuh, iaitu tujuh daripada mereka disambar petir dalam kejadian ribut beberapa hari lalu dan hujan lebat di utara Vietnam.

Jawatankuasa kawalan banjir dan ribut, berkata mereka yang terbunuh disambar petir ketika sedang bekerja di sawah padi, selain banjir Rabu lalu meragut sekurang-kurangnya satu nyawa. Demikian diberitakan AFP

Katanya, tiga yang lain dilaporkan hilang, dua terbunuh dan 60 cedera susulan ribut yang melanda bandar pelabuhan di utara Haiphong pada malam Khamis lalu (waktu tempatan), selain memusnahkan lebih 1,000 kediaman.

Pihak berkuasa memperingatkan penduduk atas ancaman tanah runtuh di wilayah pegunungan.

Di daerah ini, sekira 200 milimeter hujan dilaporkan turun setiap hari sejak Rabu 22 Juni lalu.

Setiap tahun ratusan nyawa diberitakan terbunuh pada setiap kali ribut melanda yang disertai hujan deras yang menimpa negara tersebut.

Mati, Hidup Balik, Mati Semula...

Posted: 25 Jun 2011 03:00 AM PDT

Wanita mati selepas tersedar di majlis pengebumian sendiri

KAZAN (Russia): Seorang wanita mati akibat serangan sakit jantung berpunca daripada kejutan besar dialami apabila tersedar di majlis pengkebumian yang diadakan untuknya.

Fagilyu Mukhametzyanov bagaimanapun tersedar ketika anggota keluarganya menangis di sekitar kerandanya yang terbuka.

Wanita berusia 49 tahun itu menjerit apabila menyedari mereka bersiap sedia untuk mengebumikannya.

Dia dikejarkan ke hospital. Doktor kemudian mengisytiharkan dia mati akibat sakit jantung.

Suaminya, Fagili, 51, berkata: "Matanya berkedip-kedip dan kami serta-merta menghantarnya ke hospital.

"Bagaimanapun, dia hanya hidup untuk 12 minit lagi sebelum mati semula. Kali ini, dia pergi selama-lamanya." Fagili berhasrat menyaman hospital berkenaan.

"Saya sungguh marah dan mahukan jawapan. Isteri saya ketika kali pertama dibawa ke hospital tidak mati tetapi mereka berkata dia mati.

Mereka sepatutnya boleh menyelamatkannya," kata Fagili.

Jurucakap hospital berkata: "Kami sudah memulakan siasatan." - AP

Comments (0)

BLOG - BLOG PAKATAN RAKYAT