Kelab Greenboc |
- Perhimpunan BERSIH Tetap Diteruskan. Terengganu Hantar 50,000, Perak 30,000
- Di Kuantan, Ada Iblis - Sudah Beristeri Empat Tapi Masih Merogol Anak Jirannya
- Salakan Anjing Beritahu Ada Mayat Bayi Terapung Di Sungai
- Sistem Komputer Digodam: Menunjukkan BN Boleh Tumbang Bila-bila Masa
- Kerana Percaya GPS, Kenderaan Tenggelam Masuk Tasik
- Lelaki Mati Minum Berbalang Air Dalam Rawatan Bomoh Di Marang
- Barbican: Apa Autoriti UKM Ganti JAKIM Halalkan Barbican?
- Apabila Penggodam Berjaya Mencuri Data Pelancongan Sabah...
- FELDA Ada Potensi Besar Jatuh Bangkrap, Pinjam Wang KWSP RM6 Billion
- Waspada: Tonton TV Tingkat Diabetes
- Apabila Jamil Khir & Ng Yen Yen Menipu Di Parlimen...
Perhimpunan BERSIH Tetap Diteruskan. Terengganu Hantar 50,000, Perak 30,000 Posted: 16 Jun 2011 11:30 PM PDT Bersih promosi demokrasi telus SHAH ALAM – Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) tetap diadakan bagi mempromosi tuntutan demokrasi dan pilihan raya bebas serta adil yang menjadi harapan seluruh rakyat. Presidennya, Datuk S Ambiga berkata, perhimpunan Bersih 2.0 diharap berjalan dengan lancar dengan kerjasama penuh daripada pihak polis. Menurutnya, beliau berharap supaya perhimpunan itu akan berlangsung secara aman dan tidak berakhir dengan keganasan seperti sebelum ini. "Saya akan menghadapi sebarang hukuman yang akan dikenakan berikutan perhimpunan ini, jika apa yang berlaku selepas ini adalah sebaliknya. "Tetapi, jika Bersih 2.0 mendapat kerjasama polis pasti ia akan berjalan lancar," katanya kepada Sinar Harian, semalam. Beliau berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini perlu bersama-sama memperjuangkan agenda itu untuk membentuk masyarakat madani dan membantu menyalurkan suara rakyat ke peringkat sepatutnya. "Sekiranya ada pihak meremehkan kepentingan masyarakat madani Malaysia, membuktikan mereka menindas suara rakyat yang cuba dibangkitkan. "Semua pihak sama ada ahli politik dan rakyat mempunyai hak menikmati kebebasan yang dinamik dan telus ini," katanya Menurutnya, Bersih 2.0 yang dilancarkan pada 10 November tahun lalu hanya terdiri daripada ahli-ahli golongan masyarakat madani. Katanya, perhimpunan kali ini adalah satu inisiatif yang dipimpin masyarakat madani dan kami telah menjemput golongan-golongan lain, termasuk semua parti politik yang ada. -SH
|
Di Kuantan, Ada Iblis - Sudah Beristeri Empat Tapi Masih Merogol Anak Jirannya Posted: 16 Jun 2011 09:50 PM PDT Ayah nafsu liar dihukum, lucah melampau, rogol anak jiran KUANTAN: Walaupun sudah mempunyai empat isteri dan 15 anak, nafsu seks melampau seorang buruh akhirnya membawa padah apabila dihukum penjara 22 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas mengaku salah atas dua tuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap anaknya dan merogol anak jirannya. Tertuduh berusia 45 tahun dari Kampung Razali, Batu 4, Jalan Gambang, di sini dihukum penjara empat tahun selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen 2 atas tuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap anak perempuannya berusia 11 tahun, di sebuah rumah di Kampung Jaya Gading, di sini, pada 2009. Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun dan sebatan. Hakim Fathiyah Idris menjatuhkan hukuman terbabit selepas mengambil kira kesan kepada kanak-kanak berkenaan, selain kepentingan awam. Pendakwaan kes dilakukan Hidayatul Syuhada Shamsudin. Tertuduh yang kemudian dihadapkan ke Mahkamah Sesyen 1, mengaku salah atas tuduhan merogol anak jirannya berusia 11 tahun di kawasan semak berhampiran jambatan Kampung Seri Damai, di sini antara jam 1.30 petang hingga 2.30 petang, pada 26 Mei lalu. Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara tidak lebih 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. Hakim Noradidah Ahmad kemudian menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan tiga sebatan atas kesalahan dilakukannya. Mengikut fakta kes, tertuduh mengambil kanak-kanak terbabit pulang dari sekolah dan dalam perjalanan pulang ke rumah, tertuduh mengubah laluan dan membawa mangsa ke kawasan semak di Kampung Seri Damai sebelum merogolnya. Tertuduh turut memberikan mangsa sedikit duit dan mengarahkannya tidak memberitahu kejadian yang berlaku kepada orang lain. Bagaimanapun, mangsa memaklumkan kejadian menimpanya kepada keluarga sebelum tertuduh ditahan pada 8 Jun lalu. Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah meringankan hukuman atas alasan perlu menyara keluarga yang ramai serta berjanji tidak mengulangi perbuatan sama. Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah memohon hukuman berat dijatuhkan terhadap tertuduh sebagai pengajaran. Ulasan GB Ini betul-betul nafsu iblis. Isteri dah empat orang, tapi tak cukup-cukup sehingga merogol anak jirannya. |
Salakan Anjing Beritahu Ada Mayat Bayi Terapung Di Sungai Posted: 16 Jun 2011 09:00 PM PDT Kuala Lumpur: Seorang lelaki terkejut apabila mendapati 'objek' terapung yang disangka anak patung di dalam Sungai Segambut di sini, semalam sebenarnya mayat bayi lelaki yang cukup sifat dipercayai dibuang. Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, penternak kambing dikenali sebagai Azmi, 40, berkata dia memeriksa 'objek' itu selepas diminta berbuat demikian oleh seorang pekerja pembersih sampah yang menemuinya. "Saya terkejut apabila mendapati mayat bayi lelaki dalam keadaan telentang itu sudah kembung manakala kepalanya kemik selain masih bertali pusat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian. Menurut Azmi, dia tidak menyangka salakan sekumpulan anjing yang berkumpul di tepi sungai terbabit sejak malam kelmarin, rupanya petanda kejadian terbabit. "Malam tadi (kelmarin) ketika mahu menutup kandang kambing, saya ternampak beberapa ekor anjing menyalak ke arah sungai seolah-olah ternampak sesuatu yang pelik. "Namun, saya tidak memeriksa lanjut kerana beranggapan mungkin kumpulan anjing itu terserempak dengan biawak atau ular yang sering ditemui di perangkap sampah itu," katanya. Azmi berkata, sepanjang tinggal di kawasan itu sejak setahun lalu, ia kejadian pertama membabitkan penemuan mayat bayi di sungai yang terletak di belakang Masjid Al-Qurtubi, Taman Sri Segambut. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan menerima laporan dan hasil siasatan awal, polis percaya mayat bayi berkenaan dihanyutkan dari hulu sungai lebih 24 jam sebelum itu. Katanya, mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan. -HM Ulasan GB Kes buang bayi nampaknya semakin menjadi-jadi dan seperti sudah tidak terbendung lagi. Apabila sistem kehidupan sudah hancur akibat arus hedonisma maka gejala tidak sehat seperti perlakuan seks bebas di kalangan para remaja menjadi penyumbang terbesar kepada kes buang bayi ini. Penyelesesaiannya ialah membetulkan kembali di akar umbi masalah iaitu menyangkut persoalan "sistem" dimana selagi Islam itu tidak diletakkan ditempatnya yang wajar, sebagai nizamul-hayah maka selagi itulah bukan saja masalah yang ada tidak dapat diselesaikan, malah akan bertambah-tambah pelbagai gejala negatif yang dibawa bersama oleh arus hedonisma tersebut. |
Sistem Komputer Digodam: Menunjukkan BN Boleh Tumbang Bila-bila Masa Posted: 16 Jun 2011 07:05 PM PDT Penggodam uji strategi: Pakar KUALA LUMPUR: Pakar teknologi maklumat (IT) tempatan berpendapat serangan terhadap laman web kerajaan sejak malam kelmarin, hanya strategi percubaan kumpulan penggodam terbabit sebelum mereka melancarkan 'perang sebenar' yang lebih serius tanpa memberi sebarang amaran awal pada masa depan. Jururunding Keselamatan di sebuah syarikat IT di ibu negara, Hazrul Hamzah, berkata kumpulan penggodam terbabit dipercayai ada muslihat tertentu kerana sanggup memaklumkan secara terbuka menerusi internet mengenai tarikh dan masa mereka akan melakukan serangan berkenaan. "Kumpulan penggodam terbabit pasti tahu bahawa pihak kerajaan sudah tentu akan mengambil segala langkah yang mampu untuk mematahkan serangan berkenaan, justeru, dipercayai mereka tidaklah sebodoh itu. "Serangan setakat ini dipercayai hanya untuk menguji serta menjadikan kerajaan leka seolah-olah sudah berjaya mematahkannya, sebelum mereka menggodam dan melakukan kerosakan yang jauh lebih serius tanpa amaran terlebih dulu pada suatu masa nanti. "Selain itu, kumpulan penggodam terbabit juga sudah berjaya mendapat publisiti meluas yang dikehendaki untuk menyampaikan mesej kepada kerajaan bahawa mereka membantah tindakan kerajaan mengenakan tapisan terhadap internet dan menyekat 10 laman perkongsian fail. "Mereka jelas berpegang teguh kepada prinsip kebebasan mendapatkan maklumat," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam. Sebanyak 51 laman web dengan domain .gov.my diserang sejak jam 11.30 malam kelmarin sehingga pagi semalam menyebabkan sekurang-kurang 41 daripadanya mengalami gangguan pada tahap berbeza. Serangan itu dikesan berlaku lebih awal daripada ancaman sekumpulan penggodam antarabangsa menggelar diri mereka 'Anonymous' untuk menyerang portal kerajaan www.malaysia.gov.my melalui 'Operation Malaysia' pada jam 3.30 pagi semalam. Hazrul berkata, 'Anonymous' boleh disifatkan sebagai sebuah organisasi tersusun dan disertai ramai penggodam antarabangsa yang memiliki kepakaran tinggi dalam bidang IT. "Justeru, kerajaan diharap jangan cepat berasa lega apabila dapat mematahkan serangan 'Anonymous' kali ini, sebaliknya mesti mengambil tindakan segera untuk mempertingkatkan keselamatan rangkaian internet kerajaan sebelum mereka melancarkan serangan sebenar pada bila-bila masa yang tidak diketahui," katanya. -BH Ulasan GB Inilah akibat apabila di zaman IT, para pemimpin Malaysia pula buta IT. Masing-masing menteri kononnya ada facebook, ada twitter, ada blog, tetapi rupa-rupanya semuanya dikendalikan oleh orang lain yang diupah. Sedangkan diri sendiri buta kayu mengenai teknologi maklumat. Belajar tak mahu, tapi bercakap mengenai sistem teknologi maklumat macamlah merekalah yang paling handal. Walaupun sudah diberikan "amaran awal" beberapa hari, namun sistem keselamatan komputer negara tidak berupaya untuk menghalang penggodam dari menceroboh sehingga akhirnya kerajaan dimalukan apabila lebih 50 lamanweb telah gagal diakses pada hari semalam. Serangan semalam menunjukkan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia atau ringkasnya MAMPU jelas hanya gempak pada nama dan strategi, tetapi terdedah fakta yang mereka tidak mampu dan kosong pada isi serta kebolehan di bidang teknologi maklumat. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia pula hanya gah menghabiskan wang berjuta ringgit mengedarkan netbook-netbook percuma tetapi dari sudut ilmu, kesemuanya hampas. Yang kaya hanyalah pembekal-pembekal komputer bersama-sama syarikat-syarikat kroni yang makan persen. Maaflah, kasar bunyinya ulasan GB, tetapi itulah hakikatnya. Ia memberikan signal yang amat jelas: Jika sistem komputer kerajaan oleh diserang sebegitu mudah walaupun telah diberi amaran, ia menunjukkan bahawa kerajaan yang ada hanya gah di zahir tetapi kosong di dalamnya dan justerunya boleh diserang dan ditumbangkan pada bila-bila masa. |
Kerana Percaya GPS, Kenderaan Tenggelam Masuk Tasik Posted: 16 Jun 2011 05:30 PM PDT Washington - Sebuah kenderaan utiliti sukan tenggelam di dalam sebuah tasik dekat Taman Mercer Slough di sini kelmarin selepas seorang daripada tiga wanita yang memandu kenderaan itu mengikut laluan yang ditunjukkan menerusi Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS). GAMBAR menunjukkan kenderaan utiliti sukan ditarik keluar dari dalam tasik. Kejadian itu berlaku pada awal pagi semasa mereka tersesat dalam perjalanan untuk kembali ke sebuah hotel. Pemandu kenderaan tersebut menyangka dia memandu di atas jalan raya semasa mengikuti arah panduan menerusi GPS. Namun, kenderaan itu bergerak memasuki sebuah tasik. Ketiga-tiga wanita itu menggigil selepas mereka berjaya keluar dari kenderaan tersebut yang kemudian tenggelam ke dalam tasik berkenaan. Sebuah trak tunda tiba di tempat kejadian pada kira-kira pukul 5 pagi namun kenderaan tersebut sudah tenggelam ke dalam tasik. Ia kemudian ditarik keluar dari tasik tersebut dengan menggunakan trak penunda itu. - Agensi Ulasan GB GPS itu bagus, tetapi kena waspada dan gunakanlah akal waktu menggunakannya. Bukan kena ikut 100% jika tak mahu kejadian seperti di atas berlaku. |
Lelaki Mati Minum Berbalang Air Dalam Rawatan Bomoh Di Marang Posted: 16 Jun 2011 03:20 PM PDT Kuala Terengganu - Seorang lelaki yang mempunyai masalah mental meninggal dunia selepas menerima rawatan daripada seorang bomoh wanita warga Thailand di Pulau Rusa, Marang, di sini malam tadi. Gambar fail. Lelaki berumur 26 tahun itu dihantar ke rumah bomoh berkenaan oleh bapanya untuk berubat pada 7.45 malam, dan bomoh wanita berusia 43 tahun itu, kemudian memaklumkan bahawa pesakit itu terkena buatan orang. "Semasa rawatan, bomoh itu menyuruh mangsa meminum beberapa balang air sebelum menyumbat mulutnya dengan hos sehingga mangsa tidak sedarkan diri. Setelah itu, bomoh tersebut memberitahu bahawa dia telah berjaya mengeluarkan penyakit mangsa dan menyuruh bapa mangsa membawa anaknya itu ke hospital," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K. Manoharan kepada pemberita hari ini. Bagaimanapun, sebaik dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini pada 12.30 tengah malam, lelaki itu disahkan telah meninggal dunia. Ekoran laporan yang dibuat oleh bapa mangsa pada 2.15 pagi, polis menyerbu rumah bomoh itu tetapi dia bersama suaminya, yang berusia 33 tahun dan berasal dari Rantau Panjang, Kelantan, telah melarikan diri. Manoharan berkata dalam serbuan itu polis merampas beberapa barang yang digunakan untuk merawat mangsa. Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai wanita itu supaya menghubungi mana-mana balai polis. - Bernama |
Barbican: Apa Autoriti UKM Ganti JAKIM Halalkan Barbican? Posted: 16 Jun 2011 08:15 AM PDT Ujian UKM sahkan Barbican bebas alkohol KUALA LUMPUR – Keputusan ujian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sebuah makmal swasta di sini mendapati minuman jenama Barbican bebas daripada elemen alkohol. UJIAN pengesanan halal UKM mendapati produk Barbican bebas daripada elemen alkohol baru-baru ini. Pengarah Suria Wholesaler Sdn. Bhd., Ahmad Al Yateem berkata, laporan itu diterima pada 7 Jun selepas syarikat itu menghantar sampel minuman edaran pihaknya ke UKM pada 1 Jun lalu. "Perkembangan positif ini membuktikan Barbican bebas alkohol dan selamat diminum oleh pengguna beragama Islam. "Saya harap orang ramai terutama pengguna yang beragama Islam tidak perlu bimbang lagi untuk meminum Barbican," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam. Media sebelum ini melaporkan, syarikat tersebut menjadi syarikat kedua selepas Malaysia Iranian Corporation Sdn. Bhd. yang tampil menegaskan bahawa produk edaran mereka bebas alkohol dan boleh diminum oleh pengguna beragama Islam. -kosmo Ulasan GB JAKIM sebelum ini telah menyatakan bahawa status "halal" untuk bir bernama BARBICAN belum diputuskan lagi. Tetapi sebuah akhbar tempatan hari ini telah menyatakan "keputusan ujian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sebuah makmal swasta di sini mendapati minuman jenama Barbican bebas daripada elemen alkohol". Kita merasakan ada seuatu yang tidak kena di situ di mana yang dihantar adalah "sampel minuman edaran pihaknya". Bukan pemeriksaan rambang ke atas minuman berkenaan. Sesiapa pun boleh hantar sample yang berbeza dengan minuman yang diedarkan kepada orang ramai! Kedua, mengapa tidak tunggu pengesahan JAKIM? Ketiga mengapa begitu cepat mengeluarkan kenyataan "Saya harap orang ramai terutama pengguna yang beragama Islam tidak perlu bimbang lagi untuk meminum Barbican"? Isu ini perlu diselesaikan segera. JAKIM perlu bertindak dan pihak-pihak yang selain JAKIM sekalipun berstatus universiti, masih boleh menimbulkan keraguan kerana apa autoriti yang ada padanya untuk mengesahkan minuman berkenaan halal? |
Apabila Penggodam Berjaya Mencuri Data Pelancongan Sabah... Posted: 16 Jun 2011 06:00 AM PDT Data Pelancongan Sabah bocor selepas digodam Di sebalik jaminan polis bahawa tidak ada data yang akan bocor dalam serangan ke atas laman web kerajaan malam semalam, satu set data pengguna didakwa berjaya dicuri dari laman Pelancongan Sabah dan disiarkan di Internet. Data 392 akaun pengguna laman itu kemudian dimuat-naikkan ke sebuah portal bebas yang tidak dikenali. Ia turut memuatkan emel pengguna, nama pertama dan akhir pengguna dan juga kata laluan mereka yang telah dipadamkan. Sementara itu, The Star/Asia News Network melaporkan laman yang digodam itu dikesan awal pagi ini oleh ketua pegawai eksekutif syarikat berkenaan. "Sebahagian daripada laman web itu didapati telah dipadamkan apabila saya melayarinya," kata Dhillon Andrew Kannabhiran, yang mengetuai Hack In The Box (M) Sdn Bhd. "Saya baru pulang dari lawatan luar negara," kata portal itu. Laman Pelancongan Sabah telah dihentikan seketika. F-Secure Corporation (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat perisian keselamatan komputer mengesahkan perkara itu. Ulasan GB Baru pagi tadi GB sudah ulas perkra ini di sini, dan nampaknya menjadi kenyataan. Petikan: Kita khuatir pencerobohan yang berlaku bukan sekadar pengambil-alihan skrin utama, tetapi yang lebih membahayakan pihak penceroboh telah dapat mengakses pengkalan data dan kemudian mencuri maklumat-maklumat berharga dari pengkalan data berkenaan. Yang didedahkan ialah Data Pelancongan Sabah, tetapi GB yakin masih banyak pengkalan data yang telah dicuri terutama apabila pengkalan data yang diceroboh menggunakan MySql. Kredibiliti polis sendiri tergugat apabila memberikan jaminan palsu kononnya tidak ada data yang akan bocor dalam serangan ke atas laman web kerajaan malam semalam. |
FELDA Ada Potensi Besar Jatuh Bangkrap, Pinjam Wang KWSP RM6 Billion Posted: 16 Jun 2011 05:20 AM PDT Felda hari ini mengaku membuat pinjaman RM6 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja namun menegaskan agensi itu tidak bermasalah membayar semula pinjaman itu. Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Maslan memberitahu Parlimen, Felda mencatat keuntungan RM1.197 bilion tahun lalu dan dan nilai keseluruhan syarikat itu adalah RM19.18 bilion. Bagaimanapun Ahmad Maslan tidak dapat memberi penjelasan kenapa, Felda perlu membuat pinjaman RM6bilion jika kedudukan kewangannya kukuh. Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kerajaan Umno-BN menyatakan sama ada RM6 bilion itu digunakan oleh anak syarikat Felda, Felda Global Ventures untuk melabur dalam syarikat milik asing. Pelaburan itu, menurut Anwar, menyebabkan Felda menanggung kerugian berkumpul RM500 juta dari tahun 1997 hingga tahun lalu. Malah katanya hal ini mengakibatkan timbul pelbagai persoalan mengenai kelemahan dalam pengurusan dana Felda dan apakah pinjaman yang dibuat bertujuan untuk menampung kerugian agensi terbabit. "Siapa yang beri kebenaran? Adakah Menteri Kewangan dirujuk dan apa jadi dengan pemimpin-pemimpin korporat yang terlibat dalam kes ini? "Kalau anda terus bergolak dengan undang-undang dan secara berterusan membuat keputusan bertanggungjawab, Felda akan diterima. "Dan saya persoalkan keputusan untuk mengambil kerja konsultant. Tidak ada rekod dari segi pengalaman atau kepakaran dalam pelaburan dan teknologi urus niaga perindustrian," ujar beliau. Ahmad sebelum ini gagal untuk memberikan jawapan kepada Anwar kerana tidak mempunyai maklumat penuh mengenainya. Pinjaman RM6 bilion oleh Felda itu didedahkan oleh Pengerusi Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman pada bulan lalu, namun ia tidak disahkan oleh Felda sehingga kenyataan Ahmad hari ini. Tahun lalu, Ahmad mengaku, juga di Parlimen, bahawa rizab Felda susut daripada lebih RM4 bilion pada tahun 2004 kepada RM1.35 bilion tahun 2009. Peneroka Felda dilihat sebagai "simpanan tetap" Umno ketika pilihanraya dan sebarang kritikan terhadap pengurusan Felda sering mengundang tindakan padah daripada pemerintah. Tahun lalu, lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan diharamkan dan disaman kerana mendakwa Felda mungkin bangkrap jika terus menanggung kerugian akibat pemborosan dan pelaburan yang tersasar. Sementara itu, Anwar turut menyangkal keterangan Ahmad kononnya Felda mencatatkan keuntungan tinggi, sebaliknya ujar beliau, agensi itu mampu memperoleh keuntungan berlipat ganda sekiranya pengurusan lebih telus. Ini kerana menurutnya, peneroka berhak untuk menikmati lebih banyak keuntungan memandangkan harga kepala sawit dan getah dunia melambung tinggi. Jelas beliau, aset dan keuntungan Felda keseluruhan perlu dibandingkan dengan pencapaian anak syarikat agensi kerajaan itu. "Untung yang sepatutnya RM5 bilion jadi RM1 bilion, itu harus dipertanggungjawabkan. Yang kita bangkitkan mengapa pilih syarikat Amerika (Syarikat) yang dipertikai. Mengapa terima mudah kerugian RM500 juta? Jawab menteri, "peneroka tidak dibebankan". Ini jawapan tidak tepat. "Keuntungan itu pulangnya kepada peneroka. Kalau untung RM5 bilion maknanya untung peneroka. Kalau untung RM5 bilion jadi RM1 bilion kena persoalkan kerana itu hak peneroka yang patut mendapat keuntungan sebegitu rupa. Tetapi (menteri) boleh jawab dengan begitu yakin dan boleh beritahu kepada kampung di Felda yang kita untung," katanya lagi. -tvsnews Ulasan GB Ahmad Maslan tidak dapat memberi penjelasan kenapa, Felda perlu membuat pinjaman RM6bilion jika kedudukan kewangannya kukuh. Yang nyata selama ini, rakyat melihat, FELDA dijadikan "penyedia dana" untuk UMNO-BN. Cukup menghairankan KWSP boleh membenarkan pinjaman sebegitu besar kepada FELDA yang berada di ambang kebangkrapan sedangkan wang KWSP adalah milik rakyat. Kita tidak tahu asas penilaian pelaburan yang digunapakai oleh KWSP meluluskan pinjaman kepada FELDA sedangkan sudah dimaklumkan bahawa rizab Felda susut daripada lebih RM4 bilion pada tahun 2004 kepada RM1.35 bilion tahun 2009. RM6 bilion itu digunakan oleh anak syarikat Felda, Felda Global Ventures untuk melabur dalam syarikat milik asing dan pelaburan itu, telah menyebabkan Felda menanggung kerugian berkumpul RM500 juta dari tahun 1997 hingga tahun lalu. KWSP perlu jawab dan bertanggungjawab kepada rakyat selepas ini. |
Waspada: Tonton TV Tingkat Diabetes Posted: 16 Jun 2011 03:45 AM PDT Mereka yang menghabiskan lebih banyak masa di hadapan televisyen lebih berisiko untuk mendapat penyakit diabetes dan jantung, walaupun menonton hanya dua jam sehari, menurut satu kajian. Setiap hari, penduduk Amerika Syarikat menghabiskan purata kira-kira lima jam menonton televisyen, manakala penduduk Australia dan Eropah antara 3.5 jam hingga 4 jam sehari, kata penyelidik yang diketuai Frank Hu, di Sekolah Perubatan Harvard. "Mesejnya mudah. Mengurangkan masa menonton TV adalah satu langkah penting untuk mengurangkan risiko diabetes dan penyakit jantung," kata Hu. Mereka yang duduk di hadapan televisyen kurang melakukan senaman dan banyak memakan makanan tidak sihat, katanya. "Kombinasi gaya hidup duduk, diet tidak sihat dan kegemukan mencetuskan 'satu pembiakan sempurna bagi diabetes jenis kedua dan penyakit jantung." Ini bukan kajian pertama dikaitkan dengan masa menonton televisyen yang mempunyai kesan penyakit. Kebanyakan kajian mendapati kaitan yang kuat kepada obesiti dan satu laporan pada 2007 mendapati lebih banyak masa televisyen dikaitkan dengan tekanan darah tinggi di kalangan kanak-kanak obes. Dalam kajian terbaru yang disiarkan dalam Journal of the American Medical Association, Hu dan rakannya meneliti lapan kajian untuk melihat kaitan antara masa menonton televisyen dan penyakit, yang secara keseluruhan meliputi lebih 200,000 penduduk untuk tempoh purata 7 hingga 10 tahun. Hu dan rakannya mendapati bagi setiap dua jam sehari masa menonton televisyen, risiko untuk mendapat penyakit diabetes meningkat 20 peratus, manakala penyakit jantung meningkat 15 peratus. Setiap dua jam sehari masa menonton televisyen meningkatkan risiko mati sebanyak 13 peratus. Berdasarkan keputusan itu, Hu dan rakannya menganggarkan di kalangan sekumpulan 100,000 orang, sekiranya mereka mengurangkan masa menonton televisyen sebanyak dua jam boleh menghalang 176 kes diabetes baru, 38 kes kematian akibat kardiovaskular dan 104 kematian pramatang, setiap tahun. – Reuters |
Apabila Jamil Khir & Ng Yen Yen Menipu Di Parlimen... Posted: 16 Jun 2011 02:30 AM PDT Murtad: 2 versi penjelasan menteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menafikan laporan portal berita mengenai 135 kes permohonan murtad diluluskan bagi tempoh 2000 hingga 2010. Beliau menegaskan bahawa sehingga kini belum ada satu pun kes murtad yang diluluskan oleh Mahkamah Syariah, lapor Bernama. Jamil Khir menjelaskan 135 kes itu dipohon di bawah murtad tetapi setelah diteliti oleh Mahkamah Syariah mereka didapati tidak sah masuk Islam, sekali gus tidak timbul soal (mereka) murtad. "Timbul kekeliruan di sini, contohnya seseorang itu memohon untuk kedudukannya sebagai Islam, tetapi kemudian mahu kembali ke agama asalnya, setelah disiasat, mahkamah mendapati dia bukan Islam, jadi tidak timbul soal murtad. "Sama juga untuk pasangan berkahwin yang hendak daftar untuk perceraian, tetapi mahkamah mendapati mereka berkahwin secara tidak sah di Thailand kerana tiada saksi dan wali, jadi tidak timbul soal perceraian," katanya kepada Bernama pada Rabu. Malaysiakini kelmarin melaporkan jumlah permohonan untuk murtad adalah 686 manakala permohonan yang diluluskan adalah 135 orang. Jawapan di parlimen Laporan itu dibuat berdasarkan jawapan Jamil Khir yang menjawab pertanyaan lisan anggota parlimen Bakri Er Teck Hwa di parlimen kelmarin. Soalan itu berbunyi: "Tuan Er Hwa [Bakri] minta perdana menteri menyatakan jumlah permohonan murtad bagi penganut Islam dan berapakah permohonan yang diluluskan mengikut negeri dari tahun 2000 - 2010 serta tindakan Jabatan Agama Islam untuk menangangi gejala murtad." Sementara jawapan Jamil Khir pula berbunyi: "Permohonan menukar status agama oleh orang Islam di Mahkamah Syariah dari tahun 2000 hingga 2010 adalah berjumlah 863 kes. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 168 kes telah diluluskan." Jamil Khir juga memberikan statistik lengkap yang menyatakan jumlah permohonan dan kelulusan mengikut negeri. Bagaimanapun perangkaan yang dibekalkan kepada Dewan Rakyat itu tidak selaras dengan jumlah yang dikira. Mengikut kiraan Malaysiakini, jumlah permohonan untuk murtad adalah 686 manakala permohonan yang diluluskan pula adalah 135 orang. -mk Yen Yen claims Facebook pages free, contradicts reply in Parliament Ulasan GB Menteri-menteri yang kenyataannya berbelit-belit umpama lidah biawak yang bercabang. Di parlimen lain, di luar parlimen lain. Lebih menyedihkan ia melibatkan juga seorang Menteri yang menjaga hal-ehwal ugama Islam. Kedua-dua menteri ini patut dirujuk ke Jawatan Khas Parlimen supaya tindakan diambil. Tetapi malangnya di Malaysia, hanya wakil rakyat pembangkang saja yang biasanya diheret ke J/K Parlimen sedangkan mereka dari parti kerajaan, walau pun menipu di parlimen tetapi tidak dikenakan tindakan. |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan