Sabtu, 4 Jun 2011

kalam Perantau

kalam Perantau


Kabinet PRU ke-13 PAS diterima rakyat?

Posted: 04 Jun 2011 06:25 PM PDT

Oleh: Shuhaimi Al-Maniri

Kali ini agak lama saya tidak menulis dalam akhbar Siasah ini. Jika saya menulis, tentu saya tidak akan lari dari menyentuh tentang pemilihan PAS. Seingat saya, hanya satu artikel sahaja saya menulis tentang Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 dan Pemilihan PAS secara sepintas lalu sahaja.

Sekarang ini semua pihak termasuk semua parti-parti politik mula sibuk membuat ramalan bilakah tarikh pilihanraya umum ke-13 akan diadakan. Malah sesetengah parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang telah menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan parti masing-masing kecuali PKR (akhir tahun 2010) dan PAS (pada 3-5 Jun, 2011) untuk membuat persiapan menghadapi pilihanraya tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mengiyakan atau menafikan akan mengadakan PRU ke-13 pada 11.11.11 tapi masih berlegar kepada permainan angka seolah-olah dia cuba bermain teka-teki berdasarkan angka-angka tertentu mengenai tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Najib dalam temubual dengan sebuah rangkaian radio tempatan yang disiarkan secara langsung baru-baru ini menceritakan signifikan angka 11 dalam hidupnya. Katanya, nombor itu timbul dalam beberapa peristiwa penting dalam hidupnya.

Diantaranya Najib menjadi Menteri Besar Pahang yang ke-11 (1982-1986) dan merupakan Orang Kaya Indera Shah Bandar yang ke-11. Sementara, ayahandanya, Tun Razak Hussein lahir pada 11 Mac 1922, ibunya Tun Rahah Noah lahir pada 11 Jun 1933, hari lahir anak pertama beliau juga pada 11 haribulan, dan Umno ditubuhkan pada 11 Mei 1946.

Analisa Pemilihan PAS

Pasca Pemilihan, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberitahu media ketika diminta mengulas tentang keputusan pemilihan PAS 2011 bahawa beliau telah mendapat kabinet pilihanraya.  Kita akan lihat sama ada kabinet PAS kali ini yang penuh dengan professional menggantikan ulamak akan memaukau rakyat atau tidak untuk memilih PAS menggantikan UMNO dalam PRU-13 nanti untuk menuju ke Putrajaya? 

Seperti dilaporkan dalam HarakahDaily, “Tengok kepada AJK PAS Pusat, lapan di kalangan ulamak,  dua doktor, dan selebihnya jurutera dan pemimpin masyarakat,” katanya yang ditemani timbalan presiden yang baru, Mohammad Sabu dan tiga Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub.

Dalam pemilihan kali ini, satu kejutan telah dilakukan oleh perwakilan PAS bilamana mereka menobatkan Hj. Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS yang secara tidak langsung memecah rekod kepimpinan PAS apabila beliau menjadi timbalan presiden pertama dari kalangan bukan ulama selepas konsep kepimpinan ulama diperkenalkan PAS pada tahun 1983.

Mohamad menang pada pemilihan kali ini apabila mendapat 420 undi berbanding Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (399) dan Nasharudin Mat Isa (224). Pada pemilihan 2009, Nasharudin mendapat 480 undi diikuti Husam dengan 281 undi dan Mohamad 261 undi.
Jika dilihat pada kedua-dua keputusan pertandingan Timbalan Presiden ini, ternyata Husam seorang strategis politik yang hebat, bila kawasan Kubang Kerian yang dipimpinnya mencalonkan Mohamad Sabu, saingannya untuk kerusi Timbalan Presiden pada 2009 sebagai calon Timbalan Presiden pada kali ini dan beliau hanya bertanding Naib Presiden di saat-saat akhir.

Ternyata percaturan Husam dan Mat Sabu berjaya kali ini berbanding dengan pemilihan 2009. Pada saya tidak susah untuk perwakilan untuk mengembalikan beliau semula kepada salah satu daripada 3 kerusi Naib Presiden dan meletakkan Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden, bila perwakilan kerana mereka "keliru" sama ada untuk memilih Nasharuddin Mat Isa atau Tuan Ibrahim untuk meneruskan tradisi yang dipegang sebelum ini.

Subky Latif, seorang pengamat politik terkenal tanahair ketika mengulas perkara ini menyebut,  Mohamad Sabu umpama akar selepas rotan (ulama yang sesuai) tidak ada tetapi ‘akar ini akar tunjang yang menjalar merata’. Katanya, “Ulama tak menang kerana tidak ada yang sesuai umpama rotan tidak ada, jadi akar yang menjadi pilihan…tetapi Mohamad Sabu ini umpama akar tunjang yang cabangnya merayap merata,”

Bagi kerusi Naib Presiden pula, Salahudin Ayub mendapat 753 undi, Husam Musa (660), Mahfuz Omar (616), Idris Ahmad (491), Nik Mohd Amar (321) dan Nizar Jamaluddin (217). Kehadiran Ustaz Idris Ahmad, Ketua Penerangan PAS  dan Mohd Amar Nik  Abdullah (Exco Kerajaan Kelantan) serta Mohd Nizar Jamaluddin (bekas Menteri Besar Perak)  tidak cukup untuk menyakin perwakilan bagi meletakkannya sebagai Naib Presiden PAS.

Mohd Amar juga tidak bernasib baik kerana masih ada Husam Musa juga calon dari Kelantan. Beliau dilihat masih dibelakang Husam bagi politik PAS peringkat nasional. Jika tiada Husam,yang turut bertanding kerusi Naib Presiden, peluang beliau mungkin lebih baik.

Walaupun Idris Ahmad seorang ulamak muda yang dinamik serta dilihat seorang yang 'perfom' sebagai Ketua Penerangan PAS, beliau gagal untuk mengikut jejak bekas Ketua Penerangan PAS apatah lagi bagi menyaingi kewibawaan Datuk Mahfuz Omar, yang mempertahankan kedudukan Naib Presiden bagi penggal kedua.

Sementara Sallehuddin Ayub pula dilihat sebagai  'Mr nice guy' yang berjaya memukau perwakilan PAS setelah Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat tidak dapat mempertahankan prinsip awalnya untuk tidak bertanding kerusi Timbalan Presiden dan hanya mempertahankan kerusi Naib Presiden yang telah disandangnya.

Pemerhati politik melihat, Ir Nizar telah melepaskan peluang keemasannya untuk mencuba kerusi menjadi Naib Presiden PAS ketika popularitinya memuncak pada pemilihan 2009. Pada tahun itu, jika beliau menyertainya, peluangnya adalah lebih baik dari pada 2011 ini ketika ahli PAS telah melupai kehebatan bekas Menteri Besar Perak tersebut.

Sementara bagi 18 kerusi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sesi 2011-2013 tiada muka baru kecuali Abdul Wahid Endut, Ahli Parlimen Kuala Terengganu dan Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam serta Ustazah Nuridah Salleh, bekas Ketua Muslimat PAS. Keputusan penuh adalah seperti berikut :1) Mazlan Aliman (804), 2) Dr Mohd Hatta Md Ramli (765), 3) Datuk Kamarudin Jaafar (739), 4) Hanipa Maidin (735), 5) Datuk Seri Azizan Abdul Razak (721), 6) Dr Zulkefly Ahmad (702), 7) Dr Mujahid Yusof Rawa (651), 8) Khalid Samad (643), 9) Abdul Ghani Shamsuddin (579), 10) Amiruddin Hamzah (576), 11) Abdul Wahid Endut (556), 12) Abu Bakar Chik (527), 13) Datuk Mohd Amar Abdullah (470), 14) Dr Siti Mariah Mahmud (445), 15) Datuk Mahfodz Mohamed (449), 16) Datuk Hassan Ali (437), 17) Abdul Ghani Abd Rahman (430), 18) Nuridah Salleh (416)

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah


Tiada ulasan: