DIALOG RAKYAT |
- Demo : Beri Tarikh Baru Kepada Pemuda Umno, Kata Mat Sabu
- Talam dua muka: Satu Malaysia, Dua UMNO
- Memorandum: Salahguna Kuasa Polis terhadap Manivanan A/L Poonga
- Pemuda PAS berdepan Utusan esok
- Muka baru bakal kuasai PAS Melaka
- Mahkamah arah pertemuan dengan Najib didedah
- Mufti: Ramai mualaf yang pohon murtad
- Cybersecurity: Serangan siber dijangka berterusan
- BERSIH alu-alukan demo Pemuda Umno
- Forum media sosial tersasar, Malaysiakini 'diserang'
- 10,000 penduduk mahu MRT bawah tanah
- 90% penggodam rakyat tempatan, kata menteri
- Kalau SPR terima cadangan, Himpunan Bersih tidak diadakan
- Siapa peduli RON 97 turun 10 sen
- Pemuda Umno, Perkasa boleh berhimpun hari lain
- Kita lawan sistem p’raya kotor, bukan polis
- Anak mahu suruhanjaya bebas siasat Felda
- Kajian Pew: Ramai pengguna Facebook kongsi isu politik
- Wanita PKR buat laporan SPRM ketirisan Yayasan Selangor era BN
- Soi Lek: Standard pendidikan susut punca terlalu ramai dapat A dalam SPM
- Bantahan besar jika Utusan enggan mohon maaf
- Hak berhimpun: Polis perlu guna pendekatan mesra
- PAS: Langkah Pemuda Umno ‘iktiraf’ Bersih, Khairy lupa diri
- Karikatur: Utusan perlu mohon maaf kepada umat Islam, kata Abim
- Himpunan Bersih 2.0 canggah nilai Islam, dakwa YDP Yadim
Demo : Beri Tarikh Baru Kepada Pemuda Umno, Kata Mat Sabu Posted: 17 Jun 2011 05:17 AM PDT Ditulis oleh Afix Redzuan Beliau yang ditemuramah Tv Selangor berkata, Pemuda Umno tidak seharusnya turut serta melakukan demonstrasi pada hari sama yang dirancang oleh Bersih 2.0, jika hanya berhasrat untuk melakukan provokasi pada perhimpunan aman itu. "Ini menghairankan kita kalau benar mereka mengatakan pilihan raya kita bersih, buatlah pada hari lain. Ini sebab Pemuda Umno menganggap polis berada di pihak mereka. Sepatutnya polis tidak menyebelahi mana-mana pihak dan menjaga keselamatan rakyat. Sepatutnya polis menasihat Pemuda Umno buat pada hari lain. "Tapi pemilihan (tarikh) sengaja ditimbulkan provokasi dan mereka (Umno) menganggap polis adalah Umno dan Umno adalah polis. Ini satu kesilapan tanggapan. Dan barangkali mereka beranggapan begitu seolah-olah mereka ada jaminan polis tidak akan mengganggu mereka," katanya. Malah Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu menambah, pihaknya mengalu-alukan mana-mana pihak yang merasakan pilihan raya di negara ini diadakan dengan adil dan bersih supaya menyertai himpunan Pemuda Umno. Ujar beliau lagi, masih belum terlambat untuk pihak polis membuktikan kepada rakyat bahawa agensi kerajaan itu tidak menyebelahi mana-mana pihak pada himpunan itu nanti. " (Perhimpunan ini) tidak ancam keselamatan negara. Kita sudah mempuat perhimpunan terdahulu, hakim Bersih 2007 memutuskan perhimpunan itu aman dan kami yang didakwa dibebaskan. Bahkan tempat yang tiada tembakan gas di Masjid Negara ke Istana Negara, satu pasu bunga pun tidak terbalik," katanya. Pergerakan Pemuda Umno Malaysia memutuskan untuk mengadakan perhimpunan pada tarikh dan tempat yang sama dengan perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara pada 9 Julai depan sebagai sokongan kepada sistem pilihan raya sedia ada yang didakwa adil dan bersih. Sebelum ini, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) juga mengumumkan akan menganjurkan perhimpunan pada masa dan tempat yang sama. Bersih 2.0 merupakan gabungan 63 badan bukan kerajaan yang mempunyai kepentingan dalam mempromosikan demokrasi dan pilihan raya yang bebas serta adil di Malaysia. Pada asalnya, keahlian gabungan Bersih yang menganjurkan perhimpunan pada tahun 2007 terdiri daripada pihak-pihak NGO dan parti-parti politik. Namun kini, Bersih 2.0 yang dilancarkan pada 10 November 2010 hanya terdiri daripada ahli-ahli dari golongan masyarakat madani. Jawatankuasa Induk Bersih 2.0 terdiri daripada 14 individu yang mewakili pelbagai badan NGO di Malaysia yang menuntut SPR supaya membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, masa berkempen minima 21 hari, mengukuhkan institusi awam, menghentikan budaya rasuah serta menghapuskan politik kotor yang berlaku di negara ini. | ||
Talam dua muka: Satu Malaysia, Dua UMNO Posted: 17 Jun 2011 03:41 AM PDT Desas-desus bahawa PRU-13 bakal diadakan pada pertengahan tahun ini agak kencang sebelum ini. Tetapi, susulan daripada kenaikan harga minyak, gula, elektrik dan sebagainya, kemungkinan ini semakin menipis. Ada yang mengatakan bahawa Najib dan Muhyiddin berbeza pandangan dalam hal ini - Muhyiddin berharap PRU diadakan secepat mungkin, Najib pula mahu menanti peluang dan masa yang lebih baik. Hujah ini ada asasnya yang objektif pada tahap tertentu. Sokongan pengundi Cina belum kembali ke BN, malah sokongan bumiputera bukan Islam di Malaysia Timur terhadap BN mulai goyah. Seandainya PRU diadakan sekarang, amat sukar untuk BN memperolehi majoriti dua pertiga. Sungguhpun majoriti dua pertiga dimenangi BN, besar kemungkinan ia ditunjangi kerusi UMNO - maka wujudlah sebuah kerajaan yang didominasi sepenuhnya Melayu, dengan bumiputera Malaysia Timur sebagai sampingannya. Keputusan sebegini memperlihatkan kegagalan Najib dalam garis politik "1Malaysia"-nya, lantas beliau kehilangan modal untuk meneruskan program transformasi ekonominya. Justeru itu, jikapun Najib tidak digulingkan sejurus selepas PRU-13, beliau juga akan menjadi PM yang tempang. Maka adegan gandingan Mahathir-Muhyiddin untuk menggulingkan Abdullah Ahmad Badawi akan berulang. Perwatakan Mahathir tiada gantiannya, malah Muhyiddin pada ketika itu adalah orang rapat Abdullah pada asalnya. Kini, siapa pula "Muhyiddin" yang baru? Ada yang teka Naib Presiden dengan undi tertinggi, Ahmad Zahid Hamidi yang kini menyandang jawatan Menteri Pertahanan. UMNO semakin berkocak. Pada tahap tertentu, ia adalah persaingan antara dua garis politik. Pertama, mahukah UMNO mengambil kedudukan pertengahan untuk mengembalikan undi bukan Melayu yang hilang secara mendadak pada tahun 2008? Kedua, mahukah UMNO melaksanakan reformasi ekonomi, untuk mengurangkan defisit kerajaan dan meningkatkan persaingan di antarabangsa? Kedua-dua pendekatan ini bersamaan dengan penafian terhadap dasar dan garis politik UMNO yang lalu - sebagaimana keterbukaan politik secara terhad oleh Abdullah Ahmad Badawi yang menyinggung sayap kanan dan mereka yang berkepentingan dalam UMNO, termasuk Mahathir Mohamad. Sesiapa yang berada di kedudukan Najib terpaksa berbuat demikian. Jikalau tidak, pemerintahan UMNO bakal berdepan dengan cabaran dari dalam dan luar, sehingga memberi laluan kepada Anwar, PKR dan Pakatan Rakyat untuk menjadi pengganti. Namun, siapa-siapa yang tidak berada pada kedudukan Najib tetapi berhasrat untuk memanjat tangga kuasa akan tergoda untuk menarik sokongan sayap kanan dalam UMNO. Oleh yang demikian, gagasan "1Malaysia" Najib sering terhantuk dalam UMNO - bukan sahaja Muhyiddin secara terang-terang mendakwa dirinya mendahulukan identitinya sebagai Melayu daripada Malaysia, malah sepupu Najib, iaitu Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein juga membela sayap kanan ketika bangkitnya isu demonstrasi kepala lembu dan khabar angin penubuhan"Negara Kristian". Talam dua muka: Strategi UMNO Menurut wartawan yang dipecat dari Utusan Malaysia, Hata Wahari, Utusan dikawal secara terus oleh Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung, Ketua Penerangan UMNO. Oleh itu, pendekatan Utusan yang ektrem bukan kerana sabotaj Muhyiddin, tetapi adalah strategi "talam dua muka" UMNO. Satu mukanya berdepan dengan golongan Melayu sayap kanan, sementara satu lagi ditujukan kepada bukan bumiputera, Melayu yang berada di pertengahan dan pengundi Malaysia Timur. 【Baca: Hata Wahari: Ruang kebebasan hilang selepas Najib memerintah】 Slogan "1Bumi, 1Melayu" yang dilaungkan Utusan Malaysia, disahut PERKASA adalah wajah yang bertentangan dengan "1Malaysia". Mungkin kita boleh menganggap ia dua wajah UMNO, satu berwajah hitam dan satu lagi berwajah putih. Secara tradisionalnya, bukan Melayu kini cenderung untuk menyokong pembangkang. Maka, KPI untuk "1 Malaysia" oleh Najib/ UMNO berwajah putih tidaklah setinggi mana. Sokongan bukan Melayu tidak perlu melebihi 50%, tetapi hanya dengan pengembalian sokongan pada tahap tertentu, ditambah dengan persempadanan kawasan pengundian yang licik, cukup untuk mengembalikan majoriti dua pertiga BN - maka ia dikira prestasi yang unggul. Seandainya satu atau dua negeri Pakatan Rakyat dirampas, terutamanya Selangor, maka ia dikira kemenangan besar-besaran. UMNO yang berwajah hitam (Mahathir, Muhyiddin, Utusan Malaysia, PERKASA dsb) mempunyai pertimbangan dirinya. Seandainya UMNO yang berwajah putih (1Malaysia) berjaya, maka jasanya dipahat dengan nama Najib. Maka Najib mempunyai asasnya - dengan "amanah rakyat" yang diberikan - untuk menjalankan pembaharuan dalaman, yang bakal menyinggung mereka yang berkepentingan. Pertimbangan UMNO yang berwajah hitam adalah bagaimana menambah dominasi UMNO terhadap kerajaan. Maka serangan mereka terhadap "bukan Melayu" bukan sekadar cara mereka mendapat undi Melayu, tetapi juga matlamat mereka. UMNO yang berwajah dua ini mempunyai perhitungan yang berbeza. Walaupun kedua-duanya menyasarkan majoriti dua pertiga, tetapi "dua pertiga" mereka berbeza. UMNO yang berwajah putih menyasarkan dua pertiga yang memiliki kerusi bukan Melayu yang mencukupi, untuk mengekalkan Najib pada kedudukan PM-nya. Untuk UMNO yang berwajah hitam pula, dua pertiganya perlu dimenangi dengan kerusi UMNO yang terbanyak, meskipun terpaksa mengorbankan parti komponennya. Pada hakikatnya, seandainya parti komponen mempunyai prestasi yang terlalu baik, ia mungkin mengimbangi UMNO berwajah hitam. Apakah realitinya sekarang? Biar kita asingkan dulu 57 kerusi dari Malaysia Timur. BN mungkin hanya memenangi kira-kira 40 kerusi di Malaysia Timur, seandainya dikira mengikut pilihan raya negeri Sarawak. Justeru itu, seandainya BN mahu mengembalikan majoriti dua pertiga (148 kerusi), maka BN perlu memenangi 108 kerusi di Semenanjung, iaitu 23 kerusi lebih banyak daripada 85 kerusi yang sedia ada (bilangan kerusi BN selepas PRU 12 dan PRK selepasnya). UMNO berwajah hitam lebih mendominasi Dari sudut UMNO berwajah hitam, memainkan isu perkauman dan agama membolehkan BN untuk menawan 37 kawasan hitam Pakatan Rakyat, walaupun pada masa yang sama mungkin kehilangan 25 kawasan hitam BN yang mempunyai satu pertiga pengundi Cina dalam kawasan. Namun, untung bersihnya adalah 12 kerusi. Paling penting, daripada 34 kawasan hitam Pakatan Rakyat, 25-nya ditanding UMNO. Untuk kawasan hitam BN yang mempunyai satu pertiga pengundi Cina - UMNO hanya bertanding 10 kerusi. Maksudnya, UMNO menang bersih 15 kerusi, maka kerusinya di Semenanjung akan bertambah dari 64 kepada 79. Seandainya UMNO menang kesemua 14 kerusi di Sabah, maka UMNO memiliki 93 kerusi - hanya kekurangan 19 kerusi untuk memerintah dengan majoriti mudah. Dengan 79 kerusi UMNO di Semenanjung, ditambah pula 18 kerusi yang dimenangi parti komponen seperti MCA, dan 40 kerusi dari Malaysia Timur, maka BN akan memenangi 137 kerusi. Walaupun belum menjangkau dua pertiga, namun UMNO, khususnya UMNO berwajah hitam semestinya lebih dominan. MCA gagal melakukan apa-apa walaupun bertebal muka untuk masuk ke dalam kabinet. MCA menyedari bahawa nasib dirinya bergantung kepada UMNO yang berwajah putih, maka mengugut untuk tidak masuk ke dalam kabinet seandainya kalah dalam PRU. Namun demikian, seandainya pengundi Cina menyokong UMNO berwajah putih semata-mata untuk mempertahankan perwakilan orang Cina/bukan Melayu, apa pula kesudahannya? MCA akan menang 12 lagi kawasan bahaya, MIC dua dan MIC satu, ditambah dengan 18 sebelum ini - maka ketiga-tiga parti ini menyumbang 33 kerusi, dan BN akan memperolehi 152 kerusi - melebihi majoriti dua pertiga! Selagi UMNO teruskan permainan talam dua muka, apakah yang boleh dilakukan komponen parti BN dalam parlimen yang mempunyai 93 kerusi UMNO (42%) , dan 70 kerusi pembangkang (32%)? Apakah empat orang Menteri MCA boleh menandingi kuasa penafian yang ada pada satu pertiga kerusi Pakatan Rakyat? *Wong Chin Huat ialah pengkaji politik dan kolumnis MerdekaReview. Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 3 Jun 2011. | ||
Memorandum: Salahguna Kuasa Polis terhadap Manivanan A/L Poonga Posted: 17 Jun 2011 03:36 AM PDT
Ketua Polis Negeri Perak YDH DCP DATO' MOHD SHUKRI BIN DAHLAN Salahguna Kuasa Polis terhadap Manivanan A/L Poonga Kami dari pihak Parti Keadilan Rakyat negeri Perak ingin membawa kes ini ke perhatian pihak tuan kerana menurut maklumat yang diterima oleh pihak kami, pihak polis telah melakukan sesuatu penyelewengan yang amat serius dalam penahanan Manivanan A/L Poonga. Manivanan telah ditahan oleh pihak polis sejak 7 Mei 2011, dan masih belum dibebaskan sehingga hari ini. Menurut seksyen 117 Kanun Acara Jenayah (Akta 593), tidak kira apapun kes jenayah yang terlibat, seseorang suspek tidak boleh ditahan lebih daripada 14 hari. Namun, pihak polis telah menggunakan taktik "tukar gari" untuk menahan Manivanan lebih daripada satu bulan. Selain itu, ibu bapa Manivanan juga mengadu bahawa mereka telah saksikan bagaimana seorang inspektor yang bernama Nirmala memukul anak mereka. Kelakuan ini jelas menyalahi undang-undang Negara kita. Berikut adalah maklumat yang diterima oleh pihak kami: Kronologi: 1. Pada 7 Mei 2011, pada pukul 4.30 pagi Manivanan A/L Poonga dan seorang kawannya telah ditangkap oleh beberapa anggota polis di rumah sewa yang bertempat di Tanjung Malim. Anggota polis telah memasuki rumah dan membawa keluar Manivanan dan seorang kawannya tanpa diketahui apa sebab penangkapan tersebut. Mereka ditangkap dan dibawa ke Balai Slim River. 2. Selepas satu minggu penahanan itu, pihak polis menelefon ibu Manivanan dan memberitahu ibunya bahawa anaknya telah dibawa ke Balai Jelapang. 3. Pada 23 Mei 2011, Manivanan telah dibawa ke Mahkamah Ipoh. Ibu bapanya yang turut hadir ke mahkamah diberitahu bahawa anaknya ditahan kerana terlibat dalam kes bunuh di bawah Seksyen 302. Pada hari yang sama Ibu bapa Manivanan telah pergi ke IPD Ipoh untuk berjumpa dengan Inspektor Nirmala dari B Team. Apabila sampai di pejabat, ibu bapa Manivanan ternampak Ins. Nirmala memukul Manivanan melalui cermin bilik. Bapa Manivanan mengetuk pintu dengan kuat supaya Ins. Nirmala berhenti memukul anaknya tetapi Ins Nirmala mengarah ibu bapa Manivanan turun ke bawah. Pada masa itu ibu Manivanan telah pengsan. 4. Pada 25 Mei 2011 ibu dan bapa saudara Manivanan pergi ke IPD Ipoh untuk berjumpa dengan Ins. Nirmala. Namun, menurut Ins. Nirmala, mereka tidak dibenarkan berjumpa dengan Manivanan kerana dicaj dibawah Seksyen 302. 5. Selepas satu minggu, bapa Manivanan mendapat panggilan telefon bahawa anaknya telah dihantar ke Balai Bercham. 6. Dua hari kemudian, polis telah menelefon ibu Manivanan dan memberitahu bahawa anaknya akan dihantar ke Melaka Tengah (Lokap: 06-2838334) kerana beliau ada kes samun di kawasan itu. 7. Pada 13 Jun 2011, bapanya pergi ke Balai Melaka Tengah untuk berjumpa dengan Manivanan. Manivanan memberitahu bahawa beliau tidak bersalah namun akibat paksaan dan seksaan pihak polis, Manivanan telah mengaku sebanyak tujuh tuduhan ke atasnya. Manivanan dimaklumkan akan dihadap ke mahkamah pada 19 Jun 2011. Justeru itu, pihak kami mendesak pihak tuan agar bertindak segera untuk: a) Bebaskan Manivanan atau mendakwa beliau ke mahkamah. Sekian, terima kasih. *Memorandum daripada Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Negeri Perak kepada Ketua Polis Negeri Perak. | ||
Pemuda PAS berdepan Utusan esok Posted: 17 Jun 2011 03:33 AM PDT Abdul Rahim Sabri Pemuda PAS akan menghantar memorandum bantahan kepada pihak pengurusan Utusan Malaysia di ibu pejabatnya di Cheras berhubung penyiaran kartun yang dianggap menghina Islam. Ketua Pemudanya Nasrudin Hasan akan mengetuai delegasi 10 orang dewan itu yang mahu bertemu dengan pihak akhbar berkenaan bagi mendapatkan penjelasan berhubung lanjut. "Kita akan menyerahkan memorandum supaya mereka mengambil tindakan terhadap pelukis karikatur itu. Kita mahu minta penjelasan mengapa ia boleh terlepas atau tidak ditapis atau ia mengikut kehendak pihak tertentu," kata setiausahanya Khairul Faizi Ahmad Kamil (kiri). Beliau memberitahu Malaysiakini, pihaknya juga akan menuntut Utusan memohon maaf dan menarik balik penyiaran kartun itu. Semalam akhbar milik Umno itu pada halaman 15 menyiarkan kartun bertajuk 'Kekeliruan Kes Rogol' karya Miki. Lakaran pertama mengambarkan seorang gadis yang mendakwa dirinya dirogol dan dikatakan mempunyai bukti dalam bentuk rakaman video telefon tetapi ditolak oleh "tok penghulu" kerana tidak mempunyai empat saksi. Lakaran kedua itu pula menunjukkan lukisan gadis yang sama membawa aduan berkenaan kepada seorang anggota polis yang menerima aduan berkenaan. Khairul Faizi berkata, delegasi pada jam 9 pagi esok dijangka diiringi 100 ahli dan penyokong parti itu dari sekitar Lembah Kelang. Sementara itu, Nasrudin (kanan) dilaporkan berkata, sekiranya desakan mereka itu tidak dihiraukan, Pemuda PAS akan mengadakan bantahan lebih keras melalui demonstrasi besar-besaran. "Karikatur itu jelas mempersendakan hukum dan agama Islam, apabila ia dilukis dengan memberi mesej dan gambaran hukum Islam sangat lemah sedangkan hukum Islam itu datangnya dari Allah, sifatnya adil dan pelaksanaannya sudah terbukti berkesan," beliau dipetik sebagai berkata kepada Harakahdaily. Tegasnya, penyiaran kartun sebegitu merupakan kesalahan besar yang tidak boleh dibiarkan. | ||
Muka baru bakal kuasai PAS Melaka Posted: 17 Jun 2011 03:29 AM PDT Sofi Wahab PAS Melaka akan membentuk kabinet atau jawatankuasanya yang baru Sabtu ini bagi membolehkannya bergerak lebih aktif mendepani cabaran. Pesuruhjaya PAS Melaka yang baru, Adly Zahari dijangka akan melantik beberapa muka baru untuk menjadi timbalan pesuruhjaya 1, 2 dan 3. Nama-nama yang akan dipertimbangkan termasuk Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin Kamaruddin Sidek, Yang Dipertua PAS Tangga Batu Mohd Nor Omar dan Timbalan Yang Dipertua PAS Masjid Tanah Imran Abdul Rahman. Untuk jawatan setiausaha perhubungan pula, Adly dijangka mengekalkan penyandang jawatan penggal lalu Harun Mohamed yang juga merupakan yang dipertua PAS Kota Melaka. Sementara jawatan ketua penerangan pula dijangka diamanahkan kepada muka baru kerana penyandangnya sekarang Sofi Wahab lebih berminat untuk menjadi ahli jawatankuasa biasa sahaja. Beliau telah dua penggal memegang jawatan tersebut. Beberapa pimpinan peringkat kawasan seperti Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin Azrin Abdul Majid, Ketua Penerangan Tangga Batu Nordin Md Dahan dan Ketua Penerangan Bukit Katil Yusof Wahab boleh dilantik untuk menggalas jawatan tersebut. Keyakinan tinggi Azrin dan Yusof merupakan bekas ketua Dewan Pemuda PAS negeri Melaka. Husni Balis pula dijangka dikekalkan sebagai bendahari negeri untuk penggal yang keempat. Beliau dilihat masih mampu menguruskan kewangan PAS negeri dalam bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti. Namun begitu Adly masih mempunyai pilihan lain, antaranya Timbalan Yang Dipertua Tangga Batu Rafie Ahmad dan Ab Rahhim Idris boleh diketengahkan sebagai bendahari. Adly juga dijangka melantik pengarah pilihan raya yang baru bagi menggantikan Mejar (B) Jasme Tompang. Antara yang dikatakan layak memegang jawatan tersebut ialah pemimpin veteran PAS negeri Hassan Md Dahan, setiausaha jentera pilihan raya negeri sekarang Bahiki Ismail dan Pengarah Majis Tindakan Dun Ayer Molek Mustafa Ali. Beberapa orang ahli jawatankuasa tambahan akan dilantik bagi melengkapkan kabinet PAS Melaka, selaras dengan perlembagaan yang memperuntukan kuasa kepada pesuruhjaya untuk melantik ahli jawatankuasa tambahan. Beberapa nama mungkin dipertimbangkan antaranya Yusof Rahmat, Hassan Md Dahan, Dr Khatijah Jumangat, Aminuddin Abdul Jalil dan Dr Hamzah Awang. Beberapa pimpinan PAS pelbagai peringkat yang ditemui melahirkan keyakinan yang tinggi kepada kabinet yang akan dibentuk. Gabungan ulama, profesional, aktivis Ahli jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Melaka Mahani Othman berkata barisan jawatankuasa yang dilantik itu mestilah terdiri daripada mereka yang berkebolehan, berwibawa dan boleh diharapkan untuk menghadapi pilihan raya umum dengan baik. "Kabinet baru yang akan dibentuk itu sudah pasti akan menggabungkan golongan ulama, profesional dan aktivis dalam PAS. "Ini sejajar dengan langkah yang diambil oleh PAS Pusat yang memilih dan melantik kabinetnya dengan gabungan ketiga-tiga golongan itu dalam parti," katanya ketika ditemui semalam. Setiausaha PAS Kawasan Bukit Katil Ramii Dalip menaruh keyakinan tinggi terhadap Adly yang menurutnya mampu membawa perubahan kepada PAS Melaka. "Beliau sudah pasti akan melantik saf kepimpinan yang dirasakan mampu untuk memacu perjuangan PAS di negeri Melaka ini lebih-lebih lagi Melaka merupakan satu-satunya negeri yang tiada kerusi PAS di DUN. "Dalam ucapannya pada ceramah di Kota Melaka tiga hari lalu, pesuruhjaya melahirkan keyakinan tinggi bahawa rakyat negeri Melaka akan berubah dengan syarat semua jentera bekerja kuat bag mengubah minda rakyat," ujar Ramli ketika ditemui. Adly dilantik sebagai pesuruhjaya PAS Melaka oleh jawatankuasa pusat PAS awal minggu ini bagi menggantikan Abdul Ghani Abdul Rahman. Beliau sebelum ini merupakan timbalan pesuruhjaya dan setiausaha perhubungan PAS Melaka. | ||
Mahkamah arah pertemuan dengan Najib didedah Posted: 17 Jun 2011 03:24 AM PDT BERNAMA Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Felda dan syarikat pelaburannya supaya bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Datuk Dr Tan Kee Kwong mendedahkan butir-butir lanjut berhubung pertemuan yang dikatakan melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan dua yang lain dalam satu tuntutan terhadap beliau. Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof membuat keputusan itu di dalam kamar dengan dihadiri peguam Cheng Mai yang mewakili mewakili Felda dan syarikat pelaburannya Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd dan Ho Kok Yew bagi pihak Tan. Mengikut rekod mahkamah, Zabariah turut menetapkan tiga hari bermula 7 Julai untuk mendengar perbicaraan permohonan Felda dan Felda Global yang memfailkan saman malu RM200 juta terhadap Dr Tan atas artikel yang memfitnah diterbitkan dalam akhbar "Suara Keadilan" tahun lalu. Pada 25 Jan lalu kedua-dua pihak itu telah memfailkan saman tersebut dan mendakwa bahawa kata-kata fitnah itu diterbitkan dalam sebuah artikel muka depan berjudul "Kontroversi" dan artikel lanjutan di muka tiga, di bawah tajuk "Bina Bangunan RM662 juta Hanya Libatkan Tiga individu". Mereka mendakwa artikel tersebut telah memfitnah mereka kerana kata-kata tersebut memberi makna tersirat bahawa pemerolehan dan pembinaan Menara Felda di Segitiga Emas di Kuala Lumpur adalah untuk faedah kroni. Mereka berkata bahawa kata-kata itu bermakna bahawa transaksi bangunan Felda telah menyebabkan kerugian kepada mereka dan menyebabkan plaintif menghadapi penghinaan di khalayak awam. Mereka memohon antara lain ganti rugi RM200 juta serta injunksi untuk menyekat Dr Tan dari terus bercakap atau menerbitkan kata-kata serupa. | ||
Mufti: Ramai mualaf yang pohon murtad Posted: 17 Jun 2011 03:22 AM PDT Norain Saleh Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid memberitahu, banyak permohonan untuk keluar Islam dibuat oleh golongan mualaf yang baru memeluk Islam. "Yang ramai itulah dia, (orang yang) bertukar kepada Islam," katanya ketika ditanya sama ada majoriti yang memohon menukar agama terdiri daripada saudara baru. Beliau bagaimanapun tidak mempunyai butiran terperinci berhubung pendedahannya itu. Malaysiakini kelmarin melaporkan, permohonan untuk murtad adalah 686 manakala permohonan yang diluluskan oleh Mahkamah Syariah bagi seluruh negara adalah 135 orang antara tahun 2000 hingga 2010. Laporan itu berdasarkan statistik yang diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Dewan Rakyat yang menyatakan permohonan menukar status agama oleh orang Islam adalah 863 kes dan sebanyak 168 diluluskan. Bagaimanapun perangkaan yang dibekalkan itu tidak selaras dengan jumlah yang dikira. Lebih memeningkan lagi, menteri berkenaan pada petang Rabu, dipetik Bernama sebagai menafikan jawapan yang diberikannya kepada Dewan Rakyat itu. Bernama melaporkan Jamil Khir berkata sehingga kini belum ada satu pun kes murtad yang diluluskan oleh Mahkamah Syariah. Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Tamyes turut melahirkan kebimbangannya berhubung peningkatan bilangan permohonan murtad yang ramai. "Bukan saya seorang saja (bimbang), semua berasa bimbang. Saya harap golongan tertentu (yang ingin murtad) jelas matlamat (mereka) yang sebenar," kata Tamyes. Ramai yang dari Hindu Sehubungan itu, beliau mencadangkan semua pihak, terutamanya penguatkuasa agama menggandakan usaha membenteras gejala itu dengan menggiatkan usaha dakwah. "Semua pihak (berusaha) bukan hanya pihak penguatkuasa sahaja. Orang ramai termasuk ibu bapa dan masyarakat kena berusaha," katanya. Beliau juga mengingatkan, seseorang yang ingin menganut agama Islam perlulah dengan kerelaan hati dan bukannya kerana paksaan bagi mengelakkan masalah pada kemudian hari. "Kalau begitu, dia (saudara baru) akan komited (berpegang pada Islam)," katanya lagi. Sementara itu, seorang pegawai penasihatan akidah di Jabatan Mufti Selangor, M Daruddin Taib @ Hassan memberitahu, di negeri itu, kebanyakan kes murtad melibatkan kaum India. "Kita (jabatan mufti) menggunakan panel (yang dianggotai orang) Hindu yang masuk Islam (untuk kes sebegitu), saya tak boleh bertutur bahasa Tamil," katanya. Namun menurut beliau, terdapat juga kes lain yang melibatkan pelbagai latar belakang. "Macam-macamla latar belakang. Ada yang lahir dan dibesarkan oleh keluarga yang bukan beragama Islam," katanya. Katanya lagi, ada yang memohon untuk bertukar kepada Islam kerana ingin berkahwin dengan orang Islam namun kegagalan perkahwinan mendorong mereka kembali ke agama asal. | ||
Cybersecurity: Serangan siber dijangka berterusan Posted: 17 Jun 2011 03:19 AM PDT BERNAMA Serangan terhadap beberapa laman web berkaitan kerajaan dijangka berterusan beberapa hari lagi, kata ketua pegawai eksekutif Cybersecurity Malaysia Lt Kol. (B) Husin Jazri.Beliau berkata penyerang siber menyasarkan aplikasi web yang diketahui ramai terdedah kepada kaedah serangan, mempunyai kata laluan lemah dan menyalahtatarajah. "Cybersecurity, melalui Pasukan Respons Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT), mendapati wujud peningkatan ketara dalam kegiatan berkaitan keselamatan siber dalam tempoh 24 jam lepas. "Berdasarkan pemerhatian kami, serangan yang dilakukan akan menjejaskan kerahsiaan, integriti maklumat dan kewujudan laman web. Ini seterusnya boleh menjejaskan kegiatan perniagaan sesebuah organisasi," katanya dalam kenyataan. Oleh itu, Cybersecurity menasihati semua pemilik sistem supaya sentiasa bersiap siaga dan mengambil langkah perlu untuk melindungi laman web masing-masing. Awal pagi semalam, serangan dikenali sebagai 'Operation Malaysia' dilakukan oleh sebuah kumpulan antarabangsa menggunakan nama 'Anonymous' yang menjejaskan 51 laman web termasuk http://malaysia.gov.my dan http://sabahtourism.com. Serangan siber juga dipercayai dilakukan kumpulan lain berikutan pengesanan modus operandi berbeza seperti yang digunakan oleh sebuah kumpulan tempatan yang menggelarkan dirinya sebagai Dragon Force, yang lebih gemar melumpuhkan laman sesuatu web dan menghiasi laman itu dengan imejnya. Pengurus operasi BubTech Sdn Bhd Mazniezan Iqram Mat Zain berkata kumpulan Anonymous cuba mempamerkan kemarahannya terhadap tindakan Kerajaan Malaysia menyekat laman web perkongsian fail kerana ia melanggar Akta Hakcipta 1987. "Kumpulan ini patut sedar bahawa kerajaan hanya menyekat akses ke laman web berkenaan, tetapi ia masih boleh dicapai melalui sumber terbuka penyedia proksi seperti OpenDNS. "Sebenarnya, apa yang cuba dilakukan oleh kerajaan ialah untuk memerangi kegiatan pelanunan dan menghalang laman web berkenaan daripada berkongsi secara haram fail yng mengandungi lagu, filem dan fail," katanya. | ||
BERSIH alu-alukan demo Pemuda Umno Posted: 17 Jun 2011 03:17 AM PDT Jimadie Shah Othman BERSIH mengalu-alukan keputusan Pemuda Umno untuk turut sama berhimpun dan berarak pada masa dan tempat yang sama dengan mereka pada 9 Julai ini. Anggota jawatankuasa pemandu BERSIH Maria Chin Abdullah berkata, pihaknya tidak akan cuba menghalang pergerakan itu kerana setiap pihak mempunyai hak berhimpun. "Kami tidak akan cuba hentikan mereka. Mereka mempunyai hak berhimpun dan begitu juga kami. "Kami menghormati hak masing-masing. Mereka hendak berhimpun atau berjalan, itu hak mereka," katanya. Malam tadi, Pemuda Umno memutuskan berhimpun 'berdamping' dengan BERSIH bagi menyokong sistem pilihan raya sedia ada. Butiran lanjut bagaimanapun belum diumumkan. Sebelum ini, PERKASA juga mengumumkan akan menganjurkan perhimpunan pada masa dan tempat yang sama. Jika semuanya menjadi kenyataan, tiga kumpulan tersebut dijangka bertembung pada hari berkenaan. Kumpulan itu 'sebenarnya sama' Ditanya sama ada pihaknya beranggapan bahawa tindakan itu merupakan provokasi, Maria berkata: "Perhimpunan kami aman. Kalau ada provokasi, bukan datang daripada kami. Kami tidak keluarkan sebarang kenyataan (provokasi) dan menegaskan menolak keganasan." Mengulas berhubung kemungkinan berlaku pertembungan antara pihaknya dengan Pemuda Umno dan PERKASA, Maria secara berseloroh menyifatkan kedua-dua kumpulan itu "sebenarnya sama." Dalam perkembangan berkaitan, Maria memberitahu sebanyak 2,000 kemeja-t rasmi BERSIH berwarna kuning akan mula diedarkan pada Ahad ini sewaktu pelancaran perhimpunan itu di ibu negara. Menurut Maria, ia akan dijual dengan harga RM15 setiap satu. Akan diedarkan juga pengikat kepala BERSIH dan risalah menjelaskan lapan tuntutan mereka beserta satu risalah berhubung persempedanan semula kawasan pilihan raya, tambah Maria. Selain ucapan wakil NGO yang menyokong perhimpunan itu, majlis tersebut juga akan menayangkan dokumentari ringkas berhubung pembelian undi dalam pilihan raya, termasuk kejadian dalam pilihan raya Sarawak baru-baru ini. "Kami undang semua wakil parti politik tidak kira daripada pembangkang dan kerajaan untuk memberikan sokongan," katanya lagi. | ||
Forum media sosial tersasar, Malaysiakini 'diserang' Posted: 17 Jun 2011 03:12 AM PDT Aidila Razak Panel bagi membincangkan kempen politik melalui media sosial hilang plotnya apabila politik partisan mendominasi Sidang Blogger Dunia dan Media Sosial semalam. Di sebalik kehadiran beberapa ahli panel antarabangsa dari United Kingdom dan Filipina, fokus perbincangan setiap kali merujuk kepada politik Malaysia dengan segelintir peserta menjadikan moderator majlis itu yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini Premesh Chandran sebagai sasaran mereka. Penulis blog Mahaguru58, Zainol Abideen, menggunakan peluang sesi soalan untuk menuntut jawapan mengapa blognya dikeluarkan dari seksyen Blog Utama di laman web Malaysiakini. Dakwanya blognya dikeluarkan selepas beliau menjadi "kritikal kepada Pakatan Rakyat." Beliau juga meluahkan rasa tidak puas hatinya berhubung polisi Malaysiakini kerana membiarkan "pengulas tanpa nama yang tidak mempunyai keberanian mendedahkan identiti mereka" membuat ulasan yang dianggap "sensitif kepada agama orang ramai". Penulis blog yang mendakwa dirinya mewakili Gabungan Penulis Blog Islam juga membidas pendirian sidang pengarang Malaysiakini yang dikatakannya terlalu banyak memaparkan perkara negatif sehingga menakutkan pelabur. Walaupun komen Zainol (kanan) mendapat tepukan daripada peserta, namun tweet secara langsung sidang itu yang dipaparkan pada skrin gergasi di pentas menunjukkan tidak kurang juga yang membidas ketaksuban Zainol. Ada yang mempertikaikan tulisannya "Christians in Malaysia are starting to get out of hand" dan mencadangkan dada dan dahi mereka di-tatoo bagi mengelakkan mayat mereka daripada dirampas. Chandran kemudiannya menjelaskan polisi editorial Malaysiakini iaitu memberi ruang kepada golongan tertindas meluahkan kebimbangan serta keprihatinan mereka. Selain itu, katanya Malaysiakini juga mendedahkan segala penyelewengan kerajaan dan salah guna dana awam. . Pembaca yang memberi komen berbaur perkauman juga akan disekat dan digantung setelah diberi amaran sebanyak tiga kali. Menurutnya Malaysiakini juga memaparkan blog bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times Datuk A Kadir Jasin dan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang sudah tentu tidak boleh dikatakan sebagai pro-Pakatan. Prem berkata meskipun Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap kandungan blog berkenaan, namun portal berita itu akan mengeluarkan blog tertentu jika kandungannya didapati menghasut. | ||
10,000 penduduk mahu MRT bawah tanah Posted: 17 Jun 2011 03:07 AM PDT Fadzly Esa Lebih 10,000 penduduk Damansara di ibu negara membantah pembinaan keretapi Aliran Transit Massa (MRT) yang membina landasan atas melintasi kawasan kejiranan mereka. Bantahan itu dinyatakan melalui petisyen yang diusahakan oleh Gabungan persatuan penduduk dan rukun tetangga Lembah Klang yang dikumpulkan dalam tempoh tiga bulan terkini. Menariknya mereka tidak menolak terus kemudahan MRT, sebaliknya mahu ia dibina di bawah tanah, seperti yang dilaksanakan di negara maju. Gabungan itu mewakili tujuh persatuan penduduk dan rukun tetangga Damansara menyerahkan petisyen penduduk Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Damansara Utama, Damansara Kim, Mutiara Damansara dan Kota Damansara. Petisyen itu diserahkan oleh Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Utama, Lim See Meng kepada Pengurus pegawai perhubungan awam dan media Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Leong Shen Li di Plaza Sentral, hari ini. Ditemui selepas penyerahan petisyen itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) Mohd Hatim Abdullah berkata penduduk tidak pernah membantah pembinaan MRT, malah menyokong usaha ini. 'Jangan sampai penduduk berdemo' "Itulah harapan besar kita, bina bawah tanah. Kalau boleh untuk kali pertama ini, buatlah yang betul, biar mahal tidak mengapa kerana ia untuk cucu cicit kita, ia sudah terbukti di London. "Kalau kita fikir MRT bawah tanah di London sudah menjangkau 200 tahun, walaupun kos mahal, ia lebih praktikal, kalau MRT dibina di atas, kamu boleh bayangkan susah nak bina kerana mesti lalu lintas akan menjadi sesak," katanya. Ditanya tindakan mereka sekiranya permintaan itu tidak dipenuhi kerajaan, Mohd Hatim menggesa kerajaan berfikir secara terperinci sebelum menolak cadangan tersebut. Menurutnya, memandangkan lebih 10,000 tandatangan dikumpul daripada penduduk, kerajaan tidak wajar menolak cadangan tersebut. "Takkan kita nak merusuh, itu boleh berlaku, kita memang nak MRT tetapi jangan sampai ke tahap penduduk pergi berdemonstrasi, halang jalan dan sebagainya," kata ahli perniagaan itu. Mengulas lanjut, Mohd Hatim berkata sekiranya kerajaan tidak mahu mendengar suara hati penduduk, kerajaan perlu memikirkan secara terperinci apakah tindakan penduduk selanjutnya selepas itu. SPAD: Bukan cadangan baru "Itu persoalan saya, saya tidak boleh cakap apa-apa, kalau saya nak bantu kerajaan untuk menenangkan hati penduduk, saya tidak tahu bagaimana caranya. "Sekarang ini saya pengerusi persatuan penduduk, dua tahun lagi tak tahu siapa pengerusi, mungkin pengerusi muda lebih agresif daripada saya.Jadi kita harap kerajaan fikir secara terperinci apa yang kita cadangkan ini diterima, itu sahajalah harapan kita," katanya. Sementara itu, Leong pula berkata, kesemua maklum balas akan dinilai dengan mendalam dan akan dikemukakan kepada kerajaan sebelum keputusan akhir mengenai penjajaran dan lokasi stesen diputuskan. Menurutnya, cadangan membina MRT bawah tanah bukannya perkara baru dan pernah disuarakan oleh persatuan penduduk TTDI dan Bandar Utama dan NGO sebelum ini. "Kita akan usulkan cadangan ini kepada kerajaan dan biar pucuk pimpinan tertinggi memutuskan apa yang terbaik untuk rakyat," katanya. | ||
90% penggodam rakyat tempatan, kata menteri Posted: 17 Jun 2011 02:59 AM PDT MALAYSIA KINI Kerajaan persekutuan yakin sebahagian besar penggodam yang menyerang laman web kerajaan dan agensinya dilakukan oleh rakyat tempatan.Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Maximus Ongkili berkata hasil siasatan awal menunjukkan kira-kira 90 peratus serangan dikenalpasti dijalankan oleh penggodam tempatan. Katanya daripada jumlah 200 laman web di negara ini yang diserang sejak tengah malam Rabu lalu, 60 adalah milik kerajaan dan agensinya. Dakwa Ongkili lagi sebahagian besar daripadanya sudah berjaya dipulihkan. Beliau, bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah yang terbabit dengan penggodaman itu dan berkata akan menyerahkan perkara itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan polis untuk bertindak. | ||
Kalau SPR terima cadangan, Himpunan Bersih tidak diadakan Posted: 17 Jun 2011 02:57 AM PDT
| ||
Siapa peduli RON 97 turun 10 sen Posted: 17 Jun 2011 02:55 AM PDT
| ||
Pemuda Umno, Perkasa boleh berhimpun hari lain Posted: 17 Jun 2011 02:52 AM PDT
| ||
Kita lawan sistem p’raya kotor, bukan polis Posted: 17 Jun 2011 02:50 AM PDT
| ||
Anak mahu suruhanjaya bebas siasat Felda Posted: 17 Jun 2011 02:48 AM PDT
| ||
Kajian Pew: Ramai pengguna Facebook kongsi isu politik Posted: 17 Jun 2011 02:46 AM PDT LAPORAN — Reuters WASHINGTON — Walaupun wujud tanggapan bahawa rangkaian sosial Facebook boleh memudaratkan pengguna, tetapi hasil kajian terbaru menunjukkan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi itu digunakan untuk meningkatkan nilai kesejahteraan sosial termasuk perbincangan mengenai isu-isu politik. Kajian kendalian Pusat Penyelidikan Pew menunjukkan ramai di kalangan pengguna Facebook mudah percaya, mempunyai ramai kenalan dan lebih banyak bercakap soal politik. "Terdapat spekulasi luas mengenai impak penggunaan laman sosial ke atas kehidupan sosial dan kebanyakannya memusat pada kemungkinan bahawa laman-laman ini memudaratkan hubungan para pengguna dan menjauhkan mereka daripada menyertai (persekitaran sebenar) dunia," kata penulis utama laporan kajian Keith Hampton. "Kami telah menemui keputusan sebenar, mereka yang menggunakan rangkaian sosial seperti Facebook sebenarnya mempunyai lebih ramai teman rapat dan ramai di antara mereka lebih suka terlibat dalam aktiviti sosial dan politik," katanya. Malah kajian itu juga menunjukkan seramai 2,255 orang dewasa menggunakan laman sosial seperti Facebook, MySpace, LinkedIn dan Twitter. Kajian itu menunjukkan perubahan menyeluruh sedang berlaku dalam hubungan sosial, dengan 47 peratus orang dewasa menggunakan rangkaian sosial, meningkat daripada 26 peratus pada 2008 ketika kajian yang sama dilakukan. Pengguna-pengguna Facebook mendaftar masuk dalam akaun masing-masing atau 47 peratus lebih tinggi berbanding laman web lain dan lebih daripada tiga kali pengguna anti-Internet merasakan ramai yang boleh dipercayai. Pengguna-pengguna Facebook lebih aktif semasa pilihan raya Amerika Syarikat (AS). Daripada kalangan pengguna Facebook, dua dan lebih lebih suka menyertai perhimpunan politik atau mesyuarat dan 43 peratus berkata mereka akan mengundi, kata laporan itu. Kajian itu juga berkata sokongan emosi dan persahabatan antara pengguna Facebook bersamaan dengan separuh sokongan AS terhadap pasangan atau rakan yang tinggal bersama. "Rangkaian sosial telah menjadi semakin penting seperti nyawa mereka sendiri," kata pengarang bersama laporan itu Lee Rainie. "Rakyat menggunakan rangkaian sosial untuk terus berhubung dengan rakan-rakan mereka dan juga kenalan jauh," tambah Rainie. "Ia jelas bahawa dunia rangkaian individu akan terus bertukar sebagai platform dan pengguna akan terus berkembang," katanya. | ||
Wanita PKR buat laporan SPRM ketirisan Yayasan Selangor era BN Posted: 17 Jun 2011 02:43 AM PDT THE MALAYSIAN INSIDER SHAH ALAM — Exco Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan ketirisan aset Yayasan Selangor antara tahun 1991 sehingga 2008. Exconya, Salamah Ismail berkata laporan itu dibuat terhadap Yayasan Selangor membabitkan aset bernilai RM594 juta dan 50 kondominium milik yayasan berkenaan. Laporan Bernama Online menyebut, Salamah dilihat memasuki pejabat SPRM Selangor di Wisma PKPS di sini bersama seorang pembantunya kira-kira 10 pagi dan keluar semula setengah jam kemudian. Ketika ditemui pemberita kemudian, Salamah berkata laporan itu adalah susulan pendedahan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin kelmarin menerusi sebuah laman portal berita milik kerajaan Selangor yang mendakwa berlaku ketirisan oleh kerajaan negeri sebelum ini. | ||
Soi Lek: Standard pendidikan susut punca terlalu ramai dapat A dalam SPM Posted: 16 Jun 2011 09:53 PM PDT KUALA LUMPUR — Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mendakwa standard pendidikan yang semakin merosot telah menyumbang kepada kelahiran begitu ramai pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun gagal meneruskan kecemerlangan di peringkat pengajian tinggi. Beliau berkata kini "begitu mudah" untuk pelajar yang mengambil peperiksaan SPM mendapat gred A+ tetapi banyak majikan kecewa dengan tahap kualiti pendidikan. "Standard pendidikan kita semakan merosot ke selatan, bukan ke utara," katanya dalam temu bual Breakfast Grille yang disiarkan menerusi saluran BFM hari ini. "Kita boleh menghasilkan pelajar mendapat keputusan cemerlang dengan memperoleh semua A+, tetapi kajian pasaran menunjukkan mereka tidak memenuhi pencapaian itu," katanya lagi. Dr Chua (gambar) berkata "tidak boleh" menilai pelajar berdasarkan keputusan SPM sambil merujuk kepada pelajar yang mendapat tajaan biasiswa dalam bidang perubatan bahawa pencapaian mereka sangat rendah walaupun memperoleh keputusan baik dalam peperiksaan peringkat kebangsaan. Beliau menegaskan sudah tiba masa bagi Putrajaya mengkaji semula keperluan tenaga kerja sebagai keutamaan semasa memberi biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk bidang perubatan, farmasi dan sains veterinar yang sudah ketinggalan zaman. Putrajaya sepatutnya menumpukan perhatian untuk membantu pelajar dalam bidang-bidang kritikal seperti teknologi hijau, pengurusan teknologi maklumat, perkilangan dan perkhidmatan awam, demikian bekas menteri kesihatan ini. "Pelajar tidak harus memilih kursus yang mereka mahukan di universiti," kata Dr Chua lagi. Beliau menambah ruang yang lebih besar perlu diberi kepada Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin dalam sistem pendidikan bagi memastikan bakal graduan mempunyai kepelbagaian untuk memenuhi pasaran. Walaupun Putrajaya membahagikan 500 biasiswa tempatan daripada 12,000 biasiswa JPA minggu lalu, namun ramai pelajar cemerlang lain kecewa kerana tidak dibiayai kerajaan. Selasa lalu, MCA mengumumkan akan menubuhkan tabung pinjaman berjumlah RM30 juta kepada semua kaum memandangkan kerajaan tidak boleh menampung bilangan pelajar mendapatkan biasiswa di peringkat pengajian tinggi. Bagaimanapun Dr Chua menegaskan, tabung itu bukan untuk bersaing dengan biasiswa JPA yang menjadi polemik baru-baru ini antara parti mewakili orang Cina dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu tetapi perbalahan itu berterusan. Disebabkan perbahalahan itu, biasiswa JPA yang diperuntukkan setiap tahun sebanyak 1,500 kepada pelajar yang menyambung pengajian ke luar negara yang mana hanya 20 peratus dinilai berdasarkan kecemerlangan yang diperoleh. Sementara itu, 900 biasiswa diagihkan mengikut kuota kaum, Sabah dan Sawarak mendapat 75 pemberian biasiswa manakala 10 peratus lagi kepada pelajar yang memerlukan. | ||
Bantahan besar jika Utusan enggan mohon maaf Posted: 16 Jun 2011 09:52 PM PDT
| ||
Hak berhimpun: Polis perlu guna pendekatan mesra Posted: 16 Jun 2011 09:45 PM PDT
| ||
PAS: Langkah Pemuda Umno ‘iktiraf’ Bersih, Khairy lupa diri Posted: 16 Jun 2011 09:43 PM PDT THE MALAYSIAN INSIDER KUALA LUMPUR — Dewan Pemuda PAS pusat mendakwa keputusan Pemuda Umno yang turut mahu menganjurkan satu perhimpunan bagi memperkukuh sistem demokrasi pada 9 Julai ini sebagai satu sokongan tersirat kepada agenda utama Bersih 2.0 yang mahukan pemulihan demokrasi dilakukan. Semalam, Pemuda Umno mengumumkan pihaknya juga mahu menganjurkan satu perhimpunan bagi memperkukuh sistem demokrasi pada 9 Julai ini — hari Himpunan Bersih 2.0 akan diadakan. Bagaimanapun sayap Umno itu tidak akan menyertai Himpunan Bersih 2.0, kata ketuanya Khairy Jamaluddin. Perkara tersebut diputuskan pada mesyuarat Exco Pemuda Umno semalam. Dalam reaksinya hari ini, Ketua Penerangan Pemuda PAS Riduan Mohd Nor berkata, tindakan sayap pemuda parti saingan mereka itu sekali gus dilihat sebagai tindakan memperlekehkan ketidakmatangan organisasi Umno dan Perkasa sendiri, yang sebelum ini beria-ria membuat laporan polis kononnya mendakwa Himpunan Bersih 2.0 sebagai ancaman kepada warga Kuala Lumpur dan kestabilan negara. "Dengan begitu banyaknya laporan polis dibuat, akhirnya Pemuda Umno membuat keputusan yang boleh dianggap seperti menjilat ludah sendiri dan menempelak organisasi Umno-Perkasa. "Rakyat tidak lupa bagaimana ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin pada 2007 pernah mengelarkan rakyat yang menyertai Himpunan Bersih sebagai 'beruk-beruk di jalanan'," kata beliau. Riduan berkata kini beliau sendiri mahu turun ke jalanan atas alasan mahu memperkukuhkan demokrasi dan "mungkin dia sudah sedar siapa dirinya." Riduan menambah, alasan beliau itu juga membuktikan bahawa "adanya kepincangan dalam sistem demokrasi negara, adanya kecacatan yang harus diperbaiki." "Dan, begitu banyak masalah yang belum diselesaikan hingga Pemuda Umno pun mahu berhimpun. "Tidak kisahlah kalau mereka hanya mahu berhimpun kalangan puak-puak mereka sahaja di PWTC dan bukannya bersama rakyat," kata beliau sambil menambah, keputusan Pemuda Umno itu menunjukkan rakyat sudah mendapat signal bahawa ia sendiri jelas tidak berpuas hati dengan sistem demokrasi yang ada. Sehubungan itu kata Riduan, pihaknya akan mengerah semua ahli Pemuda PAS dalam dan luar negara bagi menyertai Himpunan Bersih 2.0 sebagai tanda solidariti bersama rakyat. "Dewan Pemuda PAS pusat mengajak rakyat turun beramai-ramai pada 9 Julai ini untuk menyatakan bantahan kepada sistem demokrasi yang lemah dan pincang ini. "Hanya rakyat yang mampu membuat perubahan ini," katanya. | ||
Karikatur: Utusan perlu mohon maaf kepada umat Islam, kata Abim Posted: 16 Jun 2011 09:42 PM PDT KUALA LUMPUR — Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa Utusan Malaysia memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam berhubung penyiaran karikatur bertajuk "Kekeliruan Kes Rogol" dalam akhbar milik Umno itu, yang didakwa menghina Islam. Presidennya Dr Muhd Razak Idris menegaskan karikatur itu yang disiarkan dalam Utusan Malaysia semalam mengandungi unsur-unsur yang menghina perundangan Islam. "Dalam hal ini, kita mahu Utusan Malaysia memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam di atas penyiaran karikatur yang kalau kita lihat mengandungi unsur-unsur kejahilan terhadap perundangan Islam dan hukum syariat. "Ini tidak seharusnya berlaku dalam masyarakat dan tidak juga harus dilakukan oleh organisasi media yang memperjuangkan Melayu dan Islam," katanya kepada The Malaysian Insider. Selain itu, jelas beliau, pelukis karikatur ini seolah-olah jahil tentang Islam dan perlu bertaubat selain berjanji tidak akan mengulangi perkara sama. "Saya rasa pelukis itu jelas begitu jahil dengan hukum agama dan saya menyeru kepada dia agar bertaubat dan tidak lagi melakukan tindakan yang menunjukkan kejahilan dalam hal-hal agama. "Jadi saya minta, selepas ini mana-mana kartun yang mahu disiarkan harus disemak dulu oleh mereka yang pandai agama kerana kita tidak mahu undang-undang ini dilihat sebagai menzalimi mangsa rogol, dalam kartun ini ia digambar macam itu," katanya. Kelmarin, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Dewan Pemuda PAS Kelantan mengecam penyiaran karikatur itu sambil menyifatkan ia menghina Islam dan mahu penerbit dan pelukis karikatur itu didakwa. Tegas Muhd Razak, karikatur karya "Miki" itu menggambarkan perundangan Islam tidak boleh menuntut keadilan bagi mangsa rogol. Tambah beliau, apa sahaja bahan bukti boleh dibawa ke mahkamah dan mangsa rogol berhak mendapat pembelaan yang sah. "Dalam sudut perundangan Islam, ada prosedur-prosedur yang harus dipatuhi, kartun ini mempunyai unsur penghinaan apabila menggunakan undang-undang Islam dan kaedah pembuktian yang dilihat tidak mampu memberi keadilan kepada mangsa. "Sebagai contoh dalam kes rogol dan mengikut kefahaman saya mangsa boleh membawa kes ini ke mahkamah dengan membawa bukti yang dimiliki yang akan dinilai di mahkamah," katanya. Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Nik Mat pula menyifatkan Utusan Malaysia sebagai "Denmark Malaysia" kerana menyiarkan karikatur yang menghina syariat Islam. Beliau berkata demikian dengan merujuk kepada akhbar Denmark yang pernah menyiarkan karikatur yang menghina Islam dengan menerbitkan kartun Nabi Muhammad memakai serban yang bentuknya mirip sebutir bom. Menurut Muhd Razak, sistem perundangan Islam dilakukan penghakiman dalam mahkamah dan bukan secara terbuka. "Kartun ini dilihat tidak wajar dan prosedur Islam, pembuktian harus dinilai oleh orang yang tepat dan memahami perundangan Islam, bukan sekadar seperti dalam kartun ini yang hanya menunjukkan kejahilan. "Dan, ingin saya tegaskan prinsip perundangan Islam sebetulnya perlu dibawa ke sistem penghakiman dan ia tidak boleh dilakukan secara terbuka. "Jadi ia sudah jelas, Utusan Malaysia harus memohon maaf, karikatur ini memaparkan kejahilan terhadap prosedur perundangan Islam seolah-olah undang-undang Islam menolak keadilan kepada mangsa rogol," katanya. | ||
Himpunan Bersih 2.0 canggah nilai Islam, dakwa YDP Yadim Posted: 16 Jun 2011 09:41 PM PDT KUALA LUMPUR — Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Datuk Aziz Jamaludin Mhd Tahir mendakwa Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini bertentangan dengan nilai dan etika Islam. Selain itu menurut beliau, perhimpunan aman anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) merupakan satu helah untuk mengheret rakyat ke dalam kancah politik yang lebih besar. "Usaha itu merupakan percubaan pemimpin tersebut untuk menguji pengaruh, dan kerana itu sanggup menipu lebih ramai rakyat kononnya, sistem yang pernah memberikan kemenangan kepadanya dulu dan sedikit peluang berkuasa sebagai tidak boleh dipertahankan, ia perlu dirombak dan diberikan jaminan baru sesuai dengan keperluan mereka. "Pemimpin sedemikian merupakan orang yang tidak mempunyai jiwa perjuangan yang besar, mereka berminat mengadakan rusuhan kerana mempunyai agenda politik yang lebih besar," katanya dalam satu tulisan disiarkan dalam Utusan Malaysia hari ini. Aziz Jamaluddin juga menyifatkan penganjuran Himpunan Bersih 2.0 yang turut disertai Pakatan Rakyat, badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat sebagai satu bentuk anarkisme yang berlaku kali kedua dalam negara selepas 2007. "Wujud pendapat umum seolah-olah merusuh di jalan raya bagi membangkitkan rasa tidak puas hati mengenai sesuatu perkara sebagai natijah daripada prinsip demokrasi. "Maka, usaha Bersih untuk menganjurkan perhimpunan jalanan pada 9 Julai ini seharusnya dilihat sebagai suatu bentuk anarkisme yang kembali ingin dibudayakan dalam masyarakat Malaysia," katanya. Himpunan Bersih kali pertama diadakan pada 2007, beberapa bulan sebelum pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan Pakatan Rakyat berjaya menawan lima buah negeri dan memenangi 82 kerusi Parlimen. Menurut beliau, dalam Islam perjuangan yang bersifat anarkisme tidak sesuai dengan tuntutan agama malah diharamkan kerana boleh memudaratkan termasuk dari aspek fizikal dan psikologi. "Dengan berbuat demikian, perjalanan urusan harian di kawasan terbabit akan terganggu manakala rempuhan orang ramai akan menyebabkan terhentinya kegiatan ekonomi. "Apa yang akan berlaku ini pada hakikatnya adalah satu musibah dan ini akan menimpa siapa sahaja. Bagi merungkaikan kekusutan yang berlaku dalam masyarakat ini, Islam mencadangkan agar setiap daripada kita mengamalkan rasa keinsanan yang tinggi, iaitu kembali berdoa kepada Allah SWT. "Jangan sekali-kali kita pisahkan doa dengan persatuan dan kerja keras, kerana hal itu hanya akan membuat doa kita sia-sia. Dari keadaan inilah semakin terasa betapa pentingnya manfaat doa atau berdoa bagi kita," kata Aziz Jamaluddin. Selain Bersih, Perkasa dan Pemuda Umno turut akan mengadakan perhimpunan serentak pada 9 Julai. Justeru tegas Aziz Jamaluddin, rakyat harus menolak daripada menyertai perhimpunan itu kerana ia akan menimbulkan lebih banyak keburukan dan konflik. "Jika ada pemimpin yang ditangkap atas tuduhan merancang dan mengetuai rusuhan, namanya akan menjadi lebih besar walaupun imej tersebut sebenarnya dicipta dalam semangat anarkisme dan bertentangan dengan sifat-sifat keinsanan yang dibentuk oleh Islam melalui perantaraan kemurnian akhlak. "Jadi rakyat bukan sahaja tidak sepatutnya menyokong anarkisme yang ingin dibawa oleh pemimpin tersebut," katanya. Langkah Bersih mengadakan perhimpunan itu mendapat respon negatif daripada NGO dan juga pimpinan Barisan Nasional (BN). Terbarum Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perhimpunan itu akan memberi kesan negatif kepada negara dan menyekat pembangunan ekonomi. Selain itu, beliau juga berkata perhimpunan itu tidak menggambarkan prinsip demokrasi selain tidak mewakili keseluruhan rakyat. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan