Khamis, 16 Jun 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Pengarah Ditamas: Khir Toyo minta saya berbohong kepada SPRM

Posted: 16 Jun 2011 04:30 AM PDT

TERKINI

SHAH ALAM – Saksi utama kes rasuah Dr Mohd Khir Toyo hari ini mendakwa bekas menteri Besar itu telah menggesa beliau agar berbohong kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tidak melibatkannya.

Dalam keterangannya, Pengarah Ditamas Sdn Bhd Shamsuddin Hayroni berkata Dr Khir (gambar) ada meminta agar tidak melibatkan beliau ketika memberikan keterangan kepada SPRM dua tahun lalu.

"Banyak kali, saya dijanjikan bahawa kes ini akan diselesaikan dan beliau (Dr Khir) dan saya tidak akan didakwa," kata Shamsuddin di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

"Apabila saya pergi ke SPRM, saya percaya saya cuma (jadi) seorang saksi... apabila SPRM datang dengan kertas tuduhan di mahkamah, Datuk Seri Khir Toyo memberitahu saya 'jangan risau Shamsuddin. Kita boleh selesaikan ini'," kata beliau.

Shamsuddin dalam suara tersekat-sekat memberitahu, dia tidak mahu mengaibkan sesiapa sebelum Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki mencelah dan memberitahu bahawa "ini bukan forum untuk memberi ucapan."

"Saya dituduh dan saya tidak tahu mengapa saya didakwa," kata ahli perniagaan berusia 55 tahun itu.

Apabila Shamsuddin yang berpakaian hitam berkata, dia digesa oleh Dr Khir agar tidak mengaitkan beliau, bekas menteri besar itu menggeleng kepala sebagai tanda tidak bersetuju dengan keterangannya.

Semalam, Shamsuddin yang berkata dia telah diminta memaklumkan SPRM pada 2009 bahawa dia menjual rumah agamnya dan dua bidang tanah di Seksyen 7 di sini untuk menampung kerugian dialami, hari ini berkata itu tidak benar.

Ahli perniagaan itu berkata dia memaklumkan SPRM bahawa dia telah melantik seorang artis landskap Nasir Ismail untuk mengubah suai rumahnya, tetapi semalam menekankan bahawa individu itu sebenarnya dilantik oleh Dr Khir.

Kata Shamsuddin, dia tidak memberitahu SPRM bahawa dia menjual hartanahnya kepada seorang, yang menerajui negeri paling kaya selama lapan tahun, di bawah harga pasaran.

Peguam Dr Khir, Kamarul Hisham Kamaruddin berkata, "adakah anda bersetuju bahawa anda telah memberi satu kenyataan palsu (kepada SPRM pada 2009) yang merupakan satu kesalahan jenayah di bawah Akta SPRM?"

"Kenyataan ini adalah kerana tekanan daripada Datuk Seri Khir Toyo," jawab Shamsuddin, sambil menambah SPRM tidak memaksanya memberikan kenyataan palsu.

Siti Nurhaliza Bersama Lima Selebriti Serah Borang Askar Wataniah

Posted: 16 Jun 2011 04:27 AM PDT



Siti Nurhaliza (kanan) mengisi borang untuk menjadi askar wataniah di Kementerian Pertahanan, Khamis. Foto The Star: Azhar Mahfof

KUALA LUMPUR: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin merupakan antara artis yang menyerahkan borang penyertaan dan menerima kelengkapan pakaian seragam sebagai simbolik beliau menyertai Rejimen Askar Wataniah.

Selebriti lain yang turut menyertai pasukan tersebut adalah pelakon Shaheizy Sam, Intan Ladyana, penerbit filem David Teo, penyanyi Ana Raffali dan penyanyi Aizat.

Penyerahan uniform itu dilakukan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Kementerian Pertahanan, di sini, Khamis.

Menurut Siti, program ini bukan sahaja membantu menguatkan mental dan fizikalnya tetapi mampu meningkatkan jati dirinya sebagai seorang sukarelawan.

"Saya pernah menyertai latihan ketenteraan yang lasak sebelum ini untuk sebuah program televisyen tetapi menyertai askar wataniah lebih berbeza dan memerlukan senaman yang lebih," katanya pada majlis tersebut.



Zahid Hamidi bersalam dengan Siti Nurhaliza sambil diperhatikan rakan-rakan artis iaitu (dari kanan) Intan Ladyana, Ana Raffali dan Shaheizy Sam.

Dia bersedia untuk melakukan latihan pada bila-bila masa bergantung kepada kesesuaian jadual kariernya.

Malah dia lebih seronok jika ramai peminatnya turut serta menyertai askar wataniah.

Sementara Ana Raffali berkata angan-angannya menjadi kenyataan apabila ditawarkan melibatkan diri dalam rejimen itu.

"Saya pernah berangan-angan untuk menjadi askar tetapi angan itu tidak dapat diteruskan kerana kekangan masa dan tidak tahu prosedurnya.

"Setelah mendapat tawaran daripada Kementerian Pertahanan, saya terus menerimanya," katanya yang pernah memegang jawatan koperal sewaktu menyertai kadet remaja sekolah.

Tanpa berselindung, Ana akui dia pernah mengidap asma. Bagaimanapun, padanya masalah kesihatan tidak akan menghalang dirinya untuk menyumbang sesuatu kepada negara.

Aizat pula begitu teruja untuk menyertai pelbagai jenis latihan seperti kawad kaki, menembak, mengendalikan senjata seperti bom dan M-16 setelah mendengar cerita daripada kawannya yang merupakan seorang anggota tentera di Singapura.

Sementara Shaheizy Sam menyertai askar wataniah demi meneruskan cita-cita arwah ayahnya dan mempelajari lebih banyak ilmu ketenteraan yang menyeronokkan.

Selain selebriti berkenaan, anak sulung Zahid Hamidi iaitu Nurul Hidayah,34, yang juga pengacara rancangan Inspirasi Ramadan di RTM turut menyertai pasukan itu.

Bersih 2.0 Tetap Diteruskan – Nasrudin

Posted: 16 Jun 2011 04:26 AM PDT

PETALING JAYA: Pemuda PAS pada Khamis menegaskan Himpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) akan tetap diadakan pada 9 Julai ini biarpun polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.

Ketuanya, Nasrudin Hassan Tantawi, Pakatan Rakyat tidak akan gentar dengan sebarang ancaman daripada pihak berkuasa kerana mereka menuntut sebuah sistem pilihan raya yang telus dan adil.

"Biar 1,000 laporan polis mereka lakukan, mereka tidak mungkin mampu memadam semangat anak muda yang menuntut keadilan dan ketelusan dalam sistem demokrasi negara ini.

"Justeru keadilan dan ketelusan tersebut juga menjadi sebahagian daripada tuntutan Islam," katanya dalam entri terbaru blognya di sini pada Khamis.

Menurut Nasrudin, sekiranya sistem pilihan raya dilaksanakan secara adil dan bersih tanpa manipulasi pihak tertentu sudah pasti Pakatan Rakyat mampu menang di lapan buah negeri pada pilihan raya umum 2008 .

"Antara kepincangan demokrasi yang diamalkan dalam negara kita Malaysia ialah tindakan mereka yang mahu menghalang hak rakyat berhimpun secara aman seperti Bersih 2.0," katanya.

Justeru, Nasrudin berkata pihak berkuasa khususnya polis tidak perlu risau dengan penganjuran Bersih 2.0 kerana ia akan dilaksanakan secara aman tanpa sebarang provokasi.

"Selayaknya pihak berkuasa mengambil langkah mengawal perhimpunan itu sebagaimana mereka boleh mengawal perhimpunan dan perarakan puluhan ribu manusia pada hari sambutan Hari Kemerdekaan, Malam Citrawarna dan sebagainya," katanya.

Beliau turut menempelak sikap Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa) yang mahu mengadakan perarakan pada hari dan tempat yang sama.

"Saya hairan kenapa Perkasa atau lainnya mahu mengadakan perhimpunan pada hari yang sama dan tempat yang sama?

"Ertinya merekalah yang mahu mencetus provokasi dan suasana tidak aman bukan pihak Bersih 2.0," katanya.

Sebelum ini Bersih dijadualkan mengadakan demonstrasi kedua bagi menuntut sistem pilihan raya yang adil pada 9 Julai ini.

Sehubungan itu Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali turut mengumumkan bahawa pertubuhan itu akan turut mengadakan perhimpunan pada hari yang sama bertujuan menghalang demonstrasi Bersih.

Pada Rabu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi amaran bahawa pihak polis tidak berkompromi dengan mana-mana kumpulan yang akan menyertai perhimpunan haram di ibu negara pada 9 Julai depan.

Hishammuddin berkata, polis akan bertindak secara adil kepada dua kumpulan - Bersih dan Perkasa yang dijangka akan mengadakan demonstrasi pada tarikh yang sama.

Bekas Presiden Dan Pemimpin SUPP Mesti Letak Jawatan Beramai-Ramai

Posted: 16 Jun 2011 04:23 AM PDT

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kepimpinan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) termasuk presidennya Tan Sri Dr George Chan, mestilah meletakkan jawatan secara beramai-ramai untuk memberi laluan kepada pemimpin muda baru bagi mengeluarkan parti ini daripada krisis terburuknya sejak ia ditubuhkan.

Bekas presiden SUPP Tan Sri Dr Wong Soon Kai berkata pemimpin parti sekarang mesti juga mengadakan Persidangan Perwakilan Tiga Tahun (TDC) secepat mungkin untuk memilih pemimpin baru.

"Parti itu hendaklah bertindak segera kerana ia adalah suatu perkara yang dianggap hidup dan mati untuk parti berkenaan. Tidak ada sebab pemimpin sekarang untuk terus memegang jawatan dan berjuang bagi kerusi kosong di kalangan mereka.

"Untuk menyelamatkan parti, mereka mestilah memikirkan apa yang terbaik untuk parti sebaliknya berjuang di kalangan mereka bagi jawatan tertinggi parti," katanya dalam temu bual yang disiarkan oleh The Borneo Post pada Khamis.

Beliau juga berkata bahawa SUPP, yang ditubuhkan pada 1959, kalah teruk pada pilihan raya negeri 16 April lepas disebabkan pengundi muda lebih peka dengan isu terkini dan berazam untuk perubahan.

SUPP, parti komponen Barisan Nasional (BN) kedua terbesar di Sarawak selepas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kalah 13 daripada 19 kerusi yang ditandingi, pencapaian terburuk dalam sejarah parti berusia 52 tahun itu.

"Dahulu, semua persatuan Cina, termasuk pelbagai suku dan sekolah Cina sentiasa di belakang SUPP. Kini itu bukan lagi bagi SUPP.

"Jadi untuk menghidupkan semula parti itu, pemimpin SUPP hendaklah menggunakan semua cara untuk mendekati pemimpin akar umbi bagi mendapatkan penyelesaian dalam menyelamatkan parti tersebut sebelum terlambat," kata beliau.

Bagaimanapun, Dr Wong yang meninggalkan SUPP pada 1996 dalam temu bual itu enggan menjawab soalan siapa yang sepatutnya mengetuai parti tersebut jika pemimpin sekarang mengundurkan diri dengan hanya mengatakan beliau tidak dapat mengatakan kerana beliau tidak lagi berada dalam parti.

Dr Wong, 83, seorang pakar perubatan adalah timbalan ketua menteri dan berkhidmat sebagai presiden SUPP dari 1990 hingga 1996. Beliau meletakkan jawatan sebagai presiden parti setelah dikalahkan oleh calon DAP Wong Ho Leng, yang kini pengerusi DAP Sarawak, untuk kawasan pilihan raya negeri Bukit Assek pada pilihan raya negeri 1996.

Kekalahan Dr Wong, yang suatu ketika dianggap adalah salah seorang ahli politik yang hebat di Sarawak, di tempat kelahirannya mengakibatkan tamparan kuat kepada parti itu dan akhirnya membawa pada berakhirlah karier politik beliau.

Dr Chan, yang mengambil alih daripada Dr Wong sebagai presiden parti dan timbalan ketua menteri juga dikalahkan oleh pendatang baru DAP Ling Sie Kiong, seorang peguam berumur 28 tahun di kawasan pilihan raya negeri Piasau pada pilihan raya negeri baru-baru ini.

Berikutan dengan kekalahan itu, Dr Chan meletakkan jawatan tetapi jawatankuasa kerja pusat (CWC) parti meminta beliau untuk kekal sehingga akhir tahun ini kerana SUPP dijadual mengadakan pemilihan bagi anggota jawatankuasa baru.

Dewan Rakyat Kecoh Isu Buku Jingga

Posted: 16 Jun 2011 04:22 AM PDT

KUALA LUMPUR: Suasana Dewan Rakyat pada Khamis kecoh yang menyaksikan 'perang mulut' antara wakil pembangkang dan kerajaan terutama selepas isu Buku Jingga dibangkitkan seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Pembangkang dilihat mula tidak senang duduk apabila Datuk Ismail Abdul Mutalib (BN-Maran) mempersoalkan mengenai janji-janji yang dibuat kepada rakyat menerusi Buku Jingga yang diperkenalkan mereka terutamanya berkaitan nasib Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan(Felda).

Belum sempat Ismail menghabiskan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan, beberapa Ahli Parlimen pembangkang mencelah tanpa menggunakan sebarang peraturan mesyuarat sebagai tanda protes apabila isu Buku Jingga dibangkitkan.

"Belum jadi kerajaan lagi, kalau sudah jadi kerajaan nanti lepas pilihan raya ke-13 kita akan laksanakan... kita akan buktikan," kataTian Chua (PKR-Batu).

Sementara itu Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) yang turut 'tercuit' dengan isu berkenaan bangun bagi memberi penjelasan sambil turut kedengaran suara-suara beberapa Ahli Parlimen pembangkang lain mempertahankan Buku Jingga.

"Tuan Speaker, Maran tanya tetang Buku Jingga... ia buku kami, jadi biar kami di sebelah sini yang jawab kalau beliau tak faham," katanya mencelah.

'Perang mulut' itu berlanjutan hampir 10 minit hingga memaksa Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengarahkan semua Ahli Parlimen duduk termasuk Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,Datuk Ahmad Maslan yang sepatutnya menjawab soalan tambahan mengenai Buku Jingga tersebut.

Bagaimanapun arahan Pandikar itu tidak dihiraukan oleh Ahli Parlimen yang masih bertelagah mengenai isu berkenaan.

"Ahli-ahli Yang Berhormat, sila duduk. Kalau ada lagi yang berdiri selepas ini saya akan arah keluar dewan.

"Ingin saya ingatkan sesi ini ialah untuk tanya soalan yang berkaitan dengan soalan asal iaitu berkaitan pinjaman Felda... kalau tak ada kaitan, Timbalan Menteri tak perlu jawab," katanya tegas.

Terdahulu, isu Buku Jingga dikaitkan apabila Ahmad menjawab soalan asal Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta kerajaan menjelaskan mengenai kedudukan terkini kewangan Felda, kewajaran Felda meminjam lebih RM6 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja(KWSP) dan prestasi pelaburan hasil daripada pinjaman itu.

Menjawab soalan itu Ahmad berkata, kedudukan terkini kewangan Felda berada dalam keadaan kukuh dengan jumlah aset semasa sebanyak RM19.18 bilion.

"Itupun aset seperti tanah seluas 341,000 hektar dinilai ikut harga kos, bukan nilai semasa.

"Kalau ikut nilai semasa, maka jumlah aset Felda adalah lebih tinggi," katanya.

Muhyiddin Mahu Pengajur Perhimpunan Bersih Fikir Kesan Terhadap Negara Dan Rakyat

Posted: 16 Jun 2011 04:19 AM PDT

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu penganjur dan individu yang berhasrat menyertai perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) supaya berfikir semasak-masaknya kesan perhimpunan itu kepada kerajaan, negara dan rakyat, sekiranya ia diadakan.

Beliau berkata rakyat bimbang perhimpunan itu boleh menimbulkan satu keadaan ketidaktenteraman kerana akan berlaku pertembungan dua pihak yang bersetuju dan tidak bersetuju dengan penganjuran perhimpunan itu.

"Polis terima banyak aduan dan ini boleh mencetuskan keadaan yang tidak selamat bagi negara, polis takkan keluarkan permit maka ianya satu pergerakan haram dan menyalahi undang-undang.

"Perhimpunan itu pastinya tidak akan didukung oleh seluruh rakyat, mungkin sekelompok sahaja atau ada pihak lain yang menumpang," katanya ketika diminta mengulas mengenai rancangan untuk mengadakan perhimpunan itu buat kali kedua pada 9 Julai ini.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Denggi Asean 2011 dan pelancaran semula Komunikasi untuk Perubahan Tingkahlaku (COMBI) peringkat kebangsaan di sini, hari ini, Muhyiddin berkata pihak tersebut tidak mengambil kira soal keamanan negara yang dicapai kini tetapi hanya memikirkan soal kepentingan politik dan puak-puak mereka sahaja. "Pelbagai tuduhan dan isu akan timbul, pelbagai perkara yang tidak menyenangkan akan dibangkitkan, negara yang aman nak kita kekalkan dalam keadaan yang baik, ekonomi sudah berkembang, tetapi mereka tidak ambil kira soal itu," katanya.

Perhimpunan kali kedua itu dirancang untuk diadakan pada 9 Julai ini di sini termasuk di Sabah dan Sarawak bagi menuntut pilihan raya lebih bersih dan adil termasuk pembersihan senarai undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal dan akses media bebas dan adil.

Pada 2007, Bersih menggunakan slogan "Gelombang Kuning" telah menganjurkan perhimpunan haram bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di Jalan Tuanku Syed Putra, atas alasan sama.

Perhimpunan yang bermula di Dataran Merdeka itu bagaimanapun gagal mencapai sasaran mengumpul 100,000 peserta, apabila hanya disertai beberapa ribu orang.

Demonstrasi jalanan itu bagaimanapun telah menggugat ketenteraman awam selain menyebabkan kesesakan di lokasi-lokasi utama di ibu negara.

Ketika diminta mengulas mengenai tindakan nelayan dan pemilik bot yang melancarkan mogok apabila tidak ke laut sebagai bantahan terhadap kenaikan harga diesel berkuatkuasa bulan ini, Muhyiddin berkata mereka sepatutnya tidak bertindak terburu-buru.

"Ini kerana ia boleh menjejaskan penangkapan ikan yang boleh memberi kesan kepada bekalan ikan pada negara, tentunya kesan panjang ia tidak baik, apa yang boleh kita bantu, kita akan bantu mereka," katanya.

Muhyiddin berkata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar telahpun meneliti perkara itu dan perkara ini akan dibawa ke kabinet.

Bersih 2.0: Pemuda PAS tidak gentar dan akan hadir ke perhimpunan !

Posted: 16 Jun 2011 04:17 AM PDT

Oleh Nasrudin Hassan


Biarpun berhadapan dengan ugutan dan halangan, langkah derap Dewan Pemuda PAS Malaysia memobilisasi kebangkitan rakyat guna mendesak satu sistem demokrasi yang adil dan pilihanraya yang telus, sekali - kali tidak terjejas semata - mata kerana tindakan nakal pihak tertentu termasuk UMNO dan Perkasa.

Biar 1000 laporan polis yang mereka lakukan, mereka tidak mungkin mampu memadam semangat anak muda yang menuntut keadilan dan ketelusan dalam sistem demokrasi negara ini justeru keadilan dan ketelusan tersebut juga menjadi sebahagian daripada tuntutan Islam.

2. BERSIH 02 adalah manifestasi dari kebangkitan anak muda yang mula bosan dan kecewa dengan sikap kerajaan UMNO dan BN mempermainkan rakyat dan mempersenda sistem demokrasi. Kepincangan demokrasi ala malaysia ini masih ketara, apabila pihak Pakatan Rakyat terus dikekang daripada mendapat hak yang sama untuk akses dengan media sedang Barisan Nasional sepenuhnya memanipulasi media arus perdana [seperti RTM] untuk memberi maklumat satu hala atau sebelah pihak kepada rakyat. Laporan kajian Kebebasan Media 2011 oleh Freedom House, kedudukan Malaysia jatuh ke tangga 143 daripada 196 negara. Manakan tidak ....

Kementerian dalam negeri [ KDN ] gagal meluluskan permohonan permit Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan Hata Wahari menerbitkan akhbar harian "Utusan Rakyat"

Sehingga kini hasrat DPP Malaysia mahu melihat lahirnya sebuah akhbar harian "Purnama" yang dimohon permitnya lebih sedekad yang lalu masih tidak kesampaian.

Begitulah nasib yang menimpa Harakah, Suara Keadilan dan Rocket. Bukan sahaja tidak dibenarkan terbit secara harian, ianya terhad untuk ahli sahaja dan terus menerima tekanan dari pelbagai sudut.

3. Undi pos pula akan terus menjadi tali hayat Barisan Nasional agar mereka terus berkuasa dan mampu melangsungkan tradisi "membelasah" rakyat dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Lihat sahaja laporan Global Financial Integrity yang mendakwa sebanyak RM 889 bilion tiris dan mengalir keluar dalam tempoh lapan tahun antara 2000 - 2008. Begitu juga laporan Ketua Audit Negara yang terbaru, sebanyak RM 28 bilion telah tiris dalam perbelanjaan dana awam.

4. Undi pos juga akan terus menjadi sandaran Barisan Nasional untuk terus kekal berkuasa lalu membuli rakyat dengan kenaikan harga minyak, kenaikan harga barang, kenaikan tarif bil elektrik, saman ekor serta "membelenggu" anak muda dengan lingkaran hutang PTPTN. Undi pos adalah satu makenisme yang paling strategik untuk mengekalkan survival kuasa politik Barisan Nasinoal sedang ia tidak lagi relevan dalam sistem demokrasi moden hari ini.

5. Sebahagian mereka menempelak hasrat BERSIH 02 kononnya tidak lagi relevan kerana Pakatan Rakyat telah memenangi 4 buah negeri dan hampir menguasai keseluruhan kerusi di Wilayah Persekutuan. Menang di 4 buah negeri bukan bermakna kami telah berpuas hati dengan tahap ke"bersihan" sistem pengendalian pilihanraya dalam negara ini. Saya percaya, jika pilihanraya benar - benar dikendalikan sebersih - bersihnya dari sebarang manipulasi dan sistem demokrasi dilangsungkan dengan telus dan adil, Pakatan Rakyat mampu menang sekurang - kurangnya di 8 buah negeri pada pilihanraya umum 2008 yang lalu malah berkemungkinan besar mampu memperolehi simple majoriti bagi menguasai parlimen.

6. Antara kepincangan demokrasi yang diamalkan dalam negara kita Malaysia ialah tindakan mereka yang mahu menghalang hak rakyat berhimpun secara aman seperti Himpunan BERSIH 02. Setelah mendengar janji daripada penganjur BERSIH 02 bahawa ia akan dilangsungkan secara aman, mereka masih mengugut rakyat agar tidak menyertai himpunan tersebut. Selayaknya pihak berkuasa mengambil langkah mengawal himpunan BERSIH 02 sebagaimana mereka boleh mengawal himpunan dan perarakan puluhan ribu manusia pada hari sambutan kemerdekaan, malam citrawarna dan sebagainya.

7. Pihak berkuasa juga sayugianya menghalang hasrat pihak - pihak lain selain BERSIH 02 yang terlebih dahulu telah mengisytiharkan hasrat menganjurkan himpunan pada hari yang sama dan di tempat yang sama, kerana ia adalah satu bentuk provokasi yang boleh mencetus ketidaktenteraman suasana himpunan tersebut. Saya hairan kenapa Perkasa atau lainnya mahu mengadakan himpunan pada hari yang sama dan tempat yang sama ? Ertinya merekalah yang mahu mencetus provokasi dan suasana tidak aman bukan pihak BERSIH 02.

8. Andai mereka mahu menduga pengaruh, mereka boleh menganjurkan himpunan serupa pada 10 hb Julai iaitu sehari selepas BERSIH 02 atau pada 8 hb Julai iaitu sehari sebelumnya. Kenapa mereka begitu terdesak mahu mengadakan himpunan mereka pada hari yang sama ? mereka marah rakyat mahu sertai BERSIH 02 kerana himpunan itu kononnya demontrasi jalanan yang sia - sia, tetapi mereka juga mahu menganjurkan himpunan untuk menunjukkan bantahan mereka terhadap BERSIH 02 ! Alangkah dangkalnya mereka berfikir !

9. Benarkan dahulu rakyat menyertai BERSIH 02 pada 9 hb Julai untuk membantah sistem pengendalian demokrasi dan pilihanraya yang pincang dalam negara ini. Maka keesokkan harinya, bolehlah mereka pula berhimpun untuk membantah himpunan BERSIH 02 jika mereka tidak berpuas hati atau kiranya mereka kurang sabar, boleh sahaja mereka berhimpun pada 8 hb Julai untuk melahirkan bantahan mereka dan benarkan BERSIH 02 berlangsung dengan aman tanpa sebarang provokasi pada 9 hb Julai 2011. Apakah kerajaan UMNO dan BN perlu diajar sedemikian rupa erti demokrasi ?

10. Saya mengharapkan anak - anak muda tidak terpengaruh dengan taktik kerajaan Barisan Nasional dan proksi - proksi mereka yang cuba mengugut untuk membatalkan BERSIH 02 justeru itulah yang akan meletakkan Barisan Nasional terus selesa menghadapi pilihanraya umum ke 13 secara berat sebelah dan tidak telus. Insyaallah, Dewan Pemuda PAS Malaysia dan seluruh warganya akan terus berada di saf hadapan memimpin kebangkitan anak muda bersama rakan - rakan dari Angkatan Muda Keadilan dan DAPsy.

Memimpin Kebangkitan Anak Muda

Nasrudin bin Hassan

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Konvoi belum start lagi… 2 Penjara sudah disiapkan ?

Posted: 16 Jun 2011 04:12 AM PDT

Oleh Saiful bahri

Presiden mengarahkan 300K peserta Bersih pada 9 Julai ini. Nampaknya Umno-BN dah kecut perut. Setiap media memainkan peranan untuk provokasi agar rakyat tidak menghadirkan diri.

Ibrahim Ali nampaknya awal-awal hunus keris kontotnya mengajak bertempur. Pihak polis pun dah mengayat pelbagai akta untuk menjampi agar walk 4 justice gagal.

Tetapi adakah ianya memberi kesan? Bahkan provokasi itu sendiri merupakan iklan besar-besaran kepada semua lapisan rakyat. Pengumuman usul dalam muktamar yang dibawa oleh Timbalan Presiden Mat Sabu hanya dihadiri oleh pimpinan Pas sahaja. Ramai rakyat tak tahu pun… tetapi apabila media memberi ulasan dan larangan, menteri dalam negeri pun tumpang semangkok, nak dibawa usul dalam parlimen, digambar-gemburkan demikian rupa… itu adalah promosi percuma. Timakasih Umno-BN.

Kekadang mereka lupa, majoriti yang hadir demo itu onak-anak muda. Kalau dengar kata Ibrahim Ali nak bertempur, Hah!!! Lagilah mereka nak pergi. Kalau demo takde gas FRU.. bagi mereka tak seronok, mereka dah lama mengidam nak hidu gas ni… bayangkanlah kalau keluar 300k rakyat ke medan K.Lumpur tu.. sapa berani tahan???
Cukup ke anggota polis? Cukup ke penjara nak muatkan mereka semua?

Belum Berlayar, Israel Sudah Siapkan Dua Penjara Bagi Aktivis Freedom Flotilla 2

Tentera rejim Zionis Israel meningkatkan latihannya untuk mencegah masuknya konvoi Freedom Flotilla 2 ke Jalur Gaza.

Seperti dilaporkan media yang dipetik berita radio Israel menyatakan, berbagai unit tentera telah meningkatkan latihannya dan telah mengadakan gabungan tenaga. Pihak Israel juga telah mengosongkan dua penjara untuk menampung aktivis konvoi Freedom Flotilla 2 jika mereka berhasil ditangkap.

Konvoi Freedom Flotilla 2 terdiri dari 12 kapal dari 50 negara dan membawa lebih dari 1000 aktivis pendokong rakyat Palestine serta bantuan kemanusiaan. Konvoi bantuan kemanusiaan ini akan berangkat menuju Jalur Gaza akhir Jun ini.

Sementara itu, pada Mei 2010 tentera Israel dengan brutal menyerbu konvoi Freedom Flotillah pertama dan menembak mati sembilan warga Turki. Tetapi ia tidak mematahkan semangat juang untuk kebebsan Palestine. Bahkan semangat mereka semakin tinggi.

Selamat Datang peserta BERSIH 2.0 … masa inilah nak hidu gas pun…

Najib pun tak berani buat pilihan raya tahun ini !

Posted: 16 Jun 2011 04:06 AM PDT

Oleh Dinsman


Kemana-mana pergi orang masih lagi bercakap pasal kemenangan angkatan baru dalam PAS yang diketuai Mat Sabu. Suasana dan moodnya agak lain macam sedikit. Tak tahu kenapa! Terasa macam semua orang bergembira dengan kemenangan angkatan atau kumpulan baru ini. Entah saya yang terasa begitu kerana saya memang sukakan orang-orang ini, atau memang betul ada suasana dan mood yang begitu, tak dapatlah nak dipastikan.


Tapi tengoklah ucapan Tok Guru Nik Aziz sendiri malam itu di Taman Melewar. Jelas dan terang menampakkan kegembiraannya menyambut kemenangan Mat Sabu, hingga dibandingkannya dengan panglima perang Islam Khalid Ibn Walid dan graduan yang pulang dari Mesir, bagi menegaskan yang Mat Sabu lebih memahami Islam daripada mereka.

Malah Tok Guru Nik Aziz juga mengatakan dengan kemenangan Mat Sabu ini orang-orang Umno akan tak lena tidur. Begitu besar sekali impaknya.

Maka ketika berbual-bual di sebuah restoran dengan kawan-kawan orang filem dan drama, (kebetulan mereka ada yang sedang meninjau lokasi untuk filem baru mengenai fenomena rock 80-an, dan ada kawan yang sedang merancang sebuah videoklip atau dokumentari pendek kempen pilihanraya PR), saya mengatakan: "Dengan kemenangan Mat Sabu dan angkatan baru PAS ini, Najib tak akan berani buat pilihan raya dalam tahun ini."

"Mana dia nak berani," sambut seorang pengarah filem dari Melaka, yang kebetulan juga ahli PAS, "itu yang baru menang semua tu samseng PAS tu!"

Nah! Mat Sabu, Salahuddin, Husam, Mahfuz, Mazlan Aliman dan Dr Hatta itu diistilahkan-nya sebagai "samseng PAS". Tapi kita jangan terkejut. Ini istilah di kalangan rockers dan orang-orang filem angkatan baru. Pengertiannya baik dan positif

Maksudnya ialah orang-orang yang berani, handal, cerdik, ikhlas, tak takut ditangkap, pernah ditahan ISA, pernah masuk penjara, tak teragak-agak untuk mengambil keputusan yang agresif, atau turun berdemonstrasi di jalanraya.

Itulah imejnya bagi golongan seniman yang agresif itu. Bagi golongan rakyat kebanyakan pula mereka itu adalah pemimpin-pemimpin yang berjiwa rakyat. Mereka adalah pejuang rakyat yang telah terbukti sanggup berkorban demi kepentingan rakyat

Begitulah, nampaknya PAS pasca-muktamar 57 ini sedang memasuki satu era baru, yang menjanjikan beberapa harapan baru. Bukanlah Mat Sabu, Salahuddin, Husam dan Mahfuz yang membawa PAS memasuki era baru ini, tetapi ahli-ahli PAS yang memilih mereka itulah yang secara ramai-ramai telah membuat keputusan berani untuk melakukan perubahan.

Mereka telah memilih satu angkatan pimpinan yang mereka percaya mampu untuk membuat perubahan. Bukan soal label ulama atau professional yang menjadi pertimbangan. Hal itu mereka letak sebelah dulu buat masa ini, kerana ada perkara yang lebih penting daripada itu. Seperti saya katakan dalam keluaran lalu: Realiti politik hari ini.

Pengalaman dalam pilihan raya umum yang lalu dan dalam beberapa pilihan raya kecil, serta berita-berita yang mendedahkan kerja-kerja jahat pihak Umno-BN yang mengkhianati dasar dan prinsip-prinsip demokrasi dan keadilan, seperti memberi kerakyatan sewenang-wenang kepada pendatang asing semata-mata untuk mendapatkan undi mereka, dan sebagainya – itu semua yang mencorakkan sikap dan pemikiran rakyat, khasnya ahli-ahli PAS, bahawa yang diperlukan hari ini adalah tokoh-tokoh yang memiliki sifat-sifat mirip 'samseng' seperti Umar al-Khattab yang agresif itu, untuk mengubah keadaan.

Syabas ahli-ahli PAS!

Sekarang muktamar telah selesai. Pemilihan sudahpun dibuat. Yang menang bergembiralah sekejap kerana menang. Tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan sedang menanti. Manakala yang kalah pula tak perlu bersedih, kecuali kalau anda mempunyai niat dan kepentingan peribadi seperti kebanyakan pemimpin Umno. Harap-harap tidaklah ya! Ruang untuk berjuang dan berbakti sedikit pun tak berkurang kerana kekalahan itu.

Alhamdulillah, di sini PAS menunjukkan satu perbezaan yang besar dan jelas dibandingkan dengan Umno. Kematangan dan kewajaran berpolitik dalam Islam. Ada had dan batas-batasnya. Makanya pimpinan PAS tidak pernah bimbang untuk menghadapi pemilihan, padahal di pihak Umno mereka sanggup menunda agenda pemilihan pimpinan mereka kerana bimbang ia akan menjejaskan gerakkerja pilihan raya.

Di sini saja pun boleh dinilai ciri-ciri keIslaman PAS dan ciri-ciri keIslaman Umno (kerana masih ada orang Melayu yang percaya Islam Umno itu lebih baik daripada Islam PAS). Dan di sini juga sepatutnya orang-orang Umno memperhatikan ciri-ciri politik PAS dan mengapa PAS tidak memisahkan politik dengan agama.

Ada perbezaan antara ciri-ciri politik PAS dengan ciri-ciri politik Umno, dan perbezaan itu boleh dilihat dalam cara mereka menghadapi dan melalui proses pemilihan pemimpin. Dalam PAS mereka melakukannya kerana kepentingan agama, dan berdasarkan nilai dan peraturan yang ditetapkan oleh Islam. Bukannya kerana kepentingan peribadi atau untuk merebut peluang membuat harta dan kekayaan material.

Tetapi apakah dalam Umno mereka mengadakan pemilihan pemimpin kerana kepentingan agama, dan menghadapi serta melalui prosesnya berdasarkan nilai dan peraturan yang ditetapkan oleh Islam?

Jawapannya adalah tidak. Sebab itulah mereka tidak pernah memahami kenapa PAS tidak mahu memisahkan politik dengan agama. Ini adalah asas perbezaannya. Dan agak menghairankan di kalangan ilmuan Islam kita pun masih ramai yang menyokong supaya politik di negara ini hendaklah dipisahkan dari agama.

Mereka memahami politik itu dengan fahaman dari Barat. Itulah masalahnya. Pemikiran masih tidak merdeka daripada pengaruh Barat. Tetapi cubalah fakir – wajarkah orang Islam berfikir dengan pemikiran Barat yang menolak Islam?

Dan sekarang kita mempunyai "samseng-samseng PAS" ini sebagai pemimpin, bagi menghadapi golongan yang masih enggan berfikir dengan pemikiran Islam itu, dan enggan menerima hakikat yang rakyat negara ini sudah menolak kepimpinan mereka, dengan bergantung pada undi-undi 'hantu' yang pelbagai jenis itu.

Kalau istilah 'samseng' ini pun akan dimanipulasi oleh mereka, ingatlah suatu ketika dulu kita pernah kecoh sekejap dengan isu "Tuhan samseng", ekoran mereka itu tidak memahami fikiran kita, disebabkan mereka berfikir ikut pemikiran Barat, sedangkan kita berfikir mengikut pemikiran Islam seperti yang terdapat dalam Quran dan Sunnah.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my

Himpunan Bersih: Petekma bantah dakwa pendapatan terjejas

Posted: 16 Jun 2011 04:04 AM PDT

Timbalan Presiden Petekma Syahrir Abdul Aziz berkata, pendapatan para pemandu akan terjejas dan mengalami kerugian besar sekiranya perhimpunan itu diteruskan.



KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma) hari ini membuat laporan polis terhadap Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Datuk Ambiga Sreenevasan dan himpunan yang bakal diadakan pada 9 Julai ini.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini oleh empat wakil persatuan itu petang tadi.

Timbalan Presiden Petekma Syahrir Abdul Aziz berkata, pendapatan para pemandu akan terjejas dan mengalami kerugian besar sekiranya perhimpunan itu diteruskan.

Oleh itu beliau yang mewakili persatuan itu mendesak supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein bertindak tegas ke atas penganjur perhimpunan terbabit.

Menurutnya, beliau tidak mahu perkara yang sama berulang sepertimana Himpunan Bersih 1.0 pada 2007.

"Walk of Democracy" ini akan mengakibatkan kesesakan lalu lintas sehingga menyebabkan perkhidmatan pengangkutan awam mengalami kerugian kerana orang awam mengalami kesulitan untuk mendapatkan teksi. Periuk nasi kami akan terjejas sama.

"Kami mahu PDRM dan Menteri Dalam Negeri mengambil tindakan tegas terhadap pihak penganjur supaya peristiwa Bersih 1.0 pada 2007 lalu tidak akan berulang.

"Bersih 1.0 menyebabkan huru-hara dan kemusnahan harta benda yang teruk pada masa itu ," katanya kepada pemberita di luar balai polis berkenaan.

PUPTEM buat laporan polis esok

Presiden Persatuan Usahawan Pemilik Teksi Eksekutif Malaysia (PUPTEM), Azmi Mohd Yatim yang ditemui berkata, laporan polis susulan akan dibuat oleh persatuan itu berhubung perkara sama di IPD Cheras esok.

Mengulas mengenai himpunan Bersih, Azmi berharap agar ia dibatalkan supaya tidak menjejaskan pendapatan mereka.

Semalam dilaporkan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata polis tidak akan mengeluarkan permit untuk perhimpunan Bersih atau kumpulan lain yang menentang perhimpunan itu.

Khalid berkata, keputusan dibuat kerana perhimpunan itu bukan sahaja akan menggugat keamanan, tetapi juga mencetuskan kekacauan.

Menurut beliau, polis menerima 418 laporan dari para peniaga, ejen pelancongan dan individu yang membantah perhimpunan itu diadakan di Kuala Lumpur pada tarikh 9 Julai.

Malah Khalid dilaporkan meminta penganjur perhimpunan tersebut membatalkannya kerana menurut beliau, ia akan mengancam keselamatan negara.

Utusan fitnah lagi, memang layak untuk binatang ini

Posted: 16 Jun 2011 04:00 AM PDT

PASPB


SHAH ALAM : ADUN Sekinchan Ng Suee Lim membuat satu laporan polis terhadap Utusan Malaysia berhubung dakwaan media kawalan Umno itu menyiarkan berita palsu yang boleh mencetuskan perbalahan antara DAP dan PAS.

Katanya, ini kerana laporan Utusan Malaysia Selasa lalu yang berjudul "Pengguguran Hasan Ali disambut baik DAP" jelas mempunyai niat jahat dan merupakan 'fitnah' yang sengaja diadakan akhbar terbabit.

Malah, laporan Utusan itu juga adalah rekaan semata-mata untuk merosakkan kredibiliti beliau sebagai seorang wakil rakyat sekali gus menjejaskan hubungan baiknya dengan Exco Selangor itu.

"Kenyataan yang dikeluarkan Utusan Malaysia pada Selasa (14 Jun) lalu yang bertajuk 'Pengguguran Hasan Ali disambut baik DAP' adalah fitnah jenayah dan merupakan satu pembohongan besar, malah ia adalah rekaan semata. Kerana saya tidak pernah di temuramah atau dihubungi oleh mana-mana wartawan Utusan," katanya.

"Artikel Utusan ini jelas berunsur fitnah dan bertentangan dengan tatacara kewartawanan," tegasnya kepada Tvselangor.

Menurut Ng Suee Lim, kenyataan Utusan Malaysia itu juga memperlihatkan tindakan terdesak Umno-Barisan Nasional(BN) untuk meraih sokongan rakyat yang kian terhakis menjelang pilihan raya ke 13 yang dijangka tidak lama lagi.

"Laporan Utusan ini jelas menunjukkan mereka (Umno-BN) terdesak dan ketandusan isu atau 'bankrup politik', sehinggakan terpaksa menggunakan berita-berita palsu untuk menarik perhatian masyarakat demi memecahbelahkan hubungan baik Pakatan Rakyat," ujarnya.

Utusan Malaysia Selasa lalu menyiarkan artikel bertajuk "Pengguguran Hasan Ali disambut baik DAP" dengan mendakwa pemimpin DAP itu berkata keputusan berkenaan akan memperkukuhkan hubungan antara parti komponen Pakatan Rakyat di Selangor.

Laporan tersebut turut memetik Ng berkata, tindakan itu dibuat berikutan Dr Hasan yang juga Exco Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri itu didakwa tidak membantu dalam usaha mengukuhkan parti pembangkang di negeri ini.

Tegas Ng Suee Lim, laporan Utusan Malaysia itu tidak akan mengganggu-gugat hubungan baiknya dengan Dr Hassan Ali kerana Exco Selangor itu sangat mengenali dirinya secara peribadi.

"Saya rasa dia ( Dr Hasan Ali ) sangat jelas dengan agenda rasmi Utusan Malaysia yang cuba melaga-lagakan hubungan baik pemimpin Pakatan Rakyat.

Tambah Ng Suee Lim, pihaknya juga turut mendesak polis melakukan siasatan segera serta menuntut Utusan Malaysia membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung dakwaan terbabit, dan sekiranya gagal berbuat demikian tindakan undang-undang akan diambil.

"Saya minta polis buat siasatan segera.Saya tuntut Utusan mengeluarkan permohonaan maaf secara terbuka. Ini jelas bertentangan dengan etika media," katanya.

Facebook RM 1.8 juta, Laman Web RM 1.4 juta, e-mel RM 50 juta : UMNO cipta projek untuk kroni belasah duit rakyat ?

Posted: 16 Jun 2011 03:58 AM PDT

PASPB

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjdtF0Azx6QoDt2teGypIwYC2860BXM11Judy4DJcGjEXb8gNQ_AzW8H_7dgLUOLo5IyU_saGuIJfR0qI5PK5Nay-Kg10bgrmjUib51E0dgOuD2VW5M6iEFuN5qbBqesSUk7QXRVsk27cus/s1600/duit2.jpg
Subsidi petrol, diesel dan gas serta gula telah dikurangkan. Kadar tariff elektrik dinaikkan. Cukai GST sedang dipertimbang untuk dilaksanakan. Semuanya kerana kerajaan mendakwa kononnya mahu menjimatkan perbelanjaan.

Tetapi mengapa ini pula yang dilakukan?

Satu laman rangkaian sosial Facebook untuk Kementerian Pelancongan dibina dan diselenggara dengan belanja RM1.8 juta;
Satu laman web 1pengguna bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dibina dan diselenggarakan dengan belanja RM1.4 juta; dan
Projek e-mel 1Malaysia yang menelan belanja RM50 juta.

Tidak diketahui pula bagaimana kementerian-kementerian, jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan lain membelanjakan wang hasil sumber negara dan wang pembayar cukai negara untuk laman-laman internet yang amat murah penyelenggaraannya.

Rakyat mengharapkan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat meminta kerajaan menjelaskan dengan terperinci perbelanjaan masing-masing dalam usaha mereka menyertai perlumbaan membina dan menyelenggara laman-laman web dan rangkaian sosial.

Semalam, Ketua Pemuda DAP Anthony Loke merangkap Ahli Parlimen Rasah telah mempertikaikan langkah Kementerian Pelancongan yang membazirkan RM1.8 juta bagi membina dan menyelanggara laman Facebook kementerian tersebut.

"Semakan terakhir saya mendapati ada hanya 20,308 peminat di laman Facebook kementerian.

"Secara bandingan laman Facebook 'Visit Penang', yang mana kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang tidak membelanjakan satu sen pun tetapi mendapat 100,000 peminat. Kenapa belanja RM1.8 juta?" katanya dalam siding Dewan Rakyat.

Beliau berkata tidak munasabah jika tidak ada seorang pun di kementerian itu yang mampu mengemas kini akaun Facebook sehingga kerajaan terpaksa memberi kontrak kepada pihak ketiga.

Dalam jawapan kepada persoalan itu, Timbalan Menteri Pelancongan Datuk James Dawos Mamit hanya menjelaskan bahawa kontrak RM1.8 juta itu diberikan kepada Impact Creations Sdn Bhd, untuk selama tiga tahun iaitu bermula 2011 hingga 2013.

Awal bulan Jun ini, portal 1pengguna milik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dikatakan kena godam.

Mudah sekali digodam laman itu yang bernilai RM1.4 juta yang bertujuan mempamer maklumat harga barangan pengguna.

Pada April lalu pula, kerajaan mempromosikan e-mel 1Malaysia yang dikatakan milik swasta Tricubes Bhd yang mengendalikannya dengan kos RM50 juta bagi perkhidmatan selama 10 tahun.

Walau pun ia dikatakan perkhidmatan percuma, sama seperti e-mel Yahoo atau Google, jabatan atau agensi kerajaan yang menggunakan khidmat itu perlu membayar 50 sen bagi setiap e-mel yang dihantar.

Bayangkan berapa ribu e-mel dihantar oleh jabatan dan agensi kerajaan setiap hari?

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara telah mengkritik projek itu yang akan merugikan rakyat melalui perbelanjaan jabatan dan agensi kerajaan menggunakan e-mel berkenaan.

Tentunya rakyat ingin tahu dengan jelas dan telus belanja setiap jabatan dan agensi kerajaan yang membina dan menyelenggara laman-laman internet mereka.

Ini hanya belanja kerja-kerja internet. Berapa banyak pula pembaziran dan ketirisan pentadbiran kewangan dalam hal-hal "pembangunan", "projek" dan banyak lagi program-program yang tidak menjadi keperluan atau keutamaan rakyat. – Roketkini.com

Saya tak malu digelar ahli politik jalanan: Chegubard

Posted: 16 Jun 2011 03:55 AM PDT

Roketkini.com

Wawancara eksklusif dengan pemimpin muda PKR Badrul Hisham Shahrin atau lebih dikenali dengan nama Chegubard. Beliau juga adalah Ketua Cabang PKR Rembau dan pernah menjadi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR.


Saudara dikenali sebagai ahli politik yang suka berdemonstrasi, ada yang menggelar saudara sebagai ahli politik jalanan. Apa komen saudara?

Pertama sekali, konotasi pada gelaran itu boleh saja menjadi negatif atau positif, tetapi bagi saya, saya tak kisah orang nak gelar saya apa. Kita kena faham, latar belakang saya sejak dari sekolah yang aktif dalam banyak organisasi belia dan kebudayaan. Sebagai orang muda, kita perlu ada semangat perlawanan dan semangat radikalisme, malah saya dibantu dengan bahan-bahan bacaan dan buku-buku aliran kiri. Contohnya 'Motorcycle Diaries' karya Che Guevara, kisah tentang (pemimpin kemerdekaan Indonesia) Bung Hatta, Tan Melaka dan sebagainya. Saya baca semua itu ketika di sekolah menengah lagi. Saya tak nafikan saya pernah terfikir nak jadi macam Che Guevera. Akhirnya reformasi 1998, Anwar Ibrahim dilihat sebagai ikon bagi orang muda, tiba-tiba ia menyentak, gerakan itu diwajahkan dengan wajah kebangkitan rakyat yang pada akhirnya saya tersebut ke dalam arus gerakan reformasi.

Hakikatnya ketika itu, saya tak pernah pun berjumpa dan mempunyai hubungan dengan Anwar Ibrahim. Saya memilih untuk turun ke jalanraya kerana (ketika itu) tidak ada banyak pilihan lain, bukan kerana kita sengaja pilih untuk tujuan suka-suka. Ketika itu, itu menjadi trend, itu jiwa orang muda dengan imaginasi-imaginasi perlawanan, ia 'cool'. Tidak mudalah mereka jika tidak turun ke jalan raya. Akhirnya kita mengikut struktur parti apabila ia ditubuhkan. Pada masa itu Parti Keadilan Nasional, ia merupakan parti politik yang pertama saya sertai. Saya tak pernah menyertai mana-mana parti politik sebelum itu.

Ketika itu saya sedang mengajar (sebagai guru), momentum pada masa itu sebenarnya ialah kelompok muda yang tak punya kepentingan politik, yang hanya ingin melihat, ini kesempatan terbaik untuk mengubah negara. Kes Anwar, semua elemen kerajaan digunakan untuk menangani kes itu. Maka anak muda telah bersatu hingga keadaan itu mengangkat Anwar sebagai ikon dan simbolik pada perlawanan itu.

Apa yang kita boleh buat? Hinggalah parti (PKR) vakum bila tangkapan ISA dibuat ke atas pemimpin parti, saya betul-betul aktif ketika ISA 10 (2001), ketika itu keadaan bagai tiada harapan untuk menang. Maka kita lah yang sama-sama membina parti ini sebagai orang kecil, kena ingat saya masuk Keadilan bukan sebagai pimpinan besar, saya tidak disambut dan dirai, kita hanya budak yang gantung bendera, yang bersama lari di tepi jalan bagi memastikan isu Anwar terus hidup, untuk menarik perhatian orang ramai dan bermain dengan simpati rakyat. Kita 'attract media', pada masa itu cukup dengan sekadar 'mainstream media' melaporkan ada 10 orang ditangkap berdemonstrasi, itu kejayaan kita pada ketika itu dalam keadaan parti yang vakum, susah ada yang lari dan sebagainya. Saya tidak rasa ralat jika digelar pejuang jalan raya hanya kerana pada masa itu saya tiada pilihan. Saya tidak dilatih di dalam kelas-kelas atau sekolah politik, saya tak dilatih di hotel-hotel dalam kursus politik. Saya matang di jalan raya, saya dilatih erti perjuangan dari lokap-lokap polis dan saya tak pernah menyesal dan ralat kerana hari ini saya dapat merasakan latihan yang saya dapat itu membuatkan saya faham derita raktyat yang sebenarnya.


Maka saudara terus mengetuai demonstrasi seterusnya?

Ia membawa kepada fasa kedua, selepas pilihan raya umum 2008, semua orang memikirkan untuk ubah 'stail' politik dan pendekatan. Bagi saya orang muda ini isunya ialah perlawanan. Kalau kita nak pergi kepada orang muda yang teknokrat dan sebagainya, UMNO sudah menangani perkara ini sudah lama dan berjaya, saya melihat perlawanan itu perlu 'real' dan secara fizikal. Ini imaginasi orang muda, ia perlu dikekalkan.

Contohnya isu Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil), sama ada kita sedar atau tidak antara impak keputusan PRU 2008 adalah kerana himpunan Bersih 2007. Kalaulah selepas PRU 2008 kita teruskan demo dan kempen yang sama dengan menggunakan kekuatan rakyat secara fizikal untuk turun ke jalan raya bertujuan untuk memperbetulkan sistem pilihanraya, mungkin hari ini keadaannya sudah berubah. Tetapi oleh kerana pada ketika itu (selepas PRU 2008) kita memikirkan perlu ada pendekatan lain, yang lebih profesional dan sebagainya. Akhirnya baru hari ini kita kembali nak bercakap semula tentang Bersih, ia agak tertinggal dan janggal. Dan, sekali lagi saya tidak malu digelar sebagai ahli politik jalanan hanya kerana kita merupakan penyambung survival. Ia dilihat lebih 'real' dan berkesinambungan.

Kepercayaan saya satu sahaja, usaha menggembleng rakyat untuk turun ke jalan raya tidak harus berhenti. Siapa juga yang jadi kerajaan atau pemerintah, mereka harus berhadapan dengan kuasa rakyat. Benda ini juga dipelajari oleh UMNO-BN, walau pun usaha mereka di atas 'fake ground', tetapi apa yang penting, mereka (UMNO-BN) secara tidak langsung sudah mengiktiraf strategi politik mobilisasi rakyat ini. Dalam pada itu, kita sebagi pelopor tidak harus meninggalkan 'ground' kekuatan kita ini.

Apa yang sebenarnya berlaku sewaktu pemilihan PKR 2010?

Saya bercakap soal prinsip, jika kita tidak boleh bercakap, maka parti ini akan gagal. Tapi saya yakin, jika saya dalam UMNO, sudah lama saya kena tending. Maksudnya dalam PKR masih ada ruang untuk memprotes. Cuma mungkin cara saya yang agak radikal dan penerimaan parti yang agak perlahan, itu yang melihatkan agak kontra yang begitu banyak. Saya tak ketepikan semua parti politik menghadapi masalah politiking dalaman, nama pun dah parti politik. Bagi saya mudah saja, kita bercakap mengenai demokrasi, proses pemerkasaan, hokum; dan kita harus melakukan itu. Saya tertarik dengan ungkapan 'perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata'. Jika ditanya, adakah isu tersebut tiada penyelesaian? Saya jawab, ada penyelesaiannya.


Secara prinsipnya, saudara tiada masalah dengan pelaksanaan pemilihan secara demokrasi langsung dalam PKR?

Dari aspek membuka ruang demokrasi, saya menyokong, malah ketika kaedah ini hendak digubal saya berada dalam Majlis Pimpinan Tertinggi PKR dan memang saya menyokongnya. Tetapi malangnya mungkin ada pihak yang berkepentingan melihat ada ruang untuk memanipulasi beberapa kelemahan di mana kita tak bersedia. Itu saja yang saya suarakan dan saya yakin saya bercakap berdasarkan bukti dan fakta. Ada yang saya tak puas hati? Ya ada, namun biarlah ia dilalui dan diselesaikan di dalam parti. Cuma cara mana kita menangani komen dan teguran itu.

Apa saranan saudara?

Jika bercakap tentang PRU, kita minta SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) bebas, buka ruang kempen, bagi masa kempen yangg adil, benda ini maknanya apa? Adakah kita dalam parti benar-benar berani dan bersedia untuk buka ruang demokrasi? Maksud saya ialah kita sedang bercakap satu benda yang dalam negara ini kita tak pernah lakukan. Benda ini ibarat eksperimen. Soalnya (dalam parti) kita hendak atau tidak? Berani atau tidak?

Dalam proses demokrasi yang lebih besar pula, umpamanya pilihan raya kerajaan tempatan, apa yang boleh kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat lakukan?

Mengenai pemilihan di peringkat kerajaan tempatan, soal dasarnya masih sama, adakah kita berani dan bersedia untuk melaksanakannya? Contohnya, adakah kita bersedia jika ada kerusi yang menang itu dari kalangan politik yang condong kepada UMNO-BN? Jika kita bersedia, silakan. Maknanya kita sudah cukup terbuka.

Jika kembali kepada asas, perubahan itu harus datang dari pendidikan politik kepada rakyat. Berapa ramai rakyat yang bersedia untuk menyertai pilihan raya kerajaan tempatan? Berapa ramai yang sedar kepentingan itu kerana mereka adalah pembayar cukai dalam kawasan tersebut. Begitu juga dalam parti. Berapa ramai ahli yang sedar bahawa mereka boleh memilih presiden, berapa ramai ahli yang sedar bahawa undi mereka tidak ada orang boleh ganggu, atau berapa ramai yang sedar mereka harus memilih ke mana parti hendak dibawa?

Persoalan dalam tuntutan Bersih, kita desak PRU diumumkan lebih awal. Itu kita minta dengan kerajaan pusat. Kita seharusnya bersikap berani dan 'gentlemen'. Kita kena buat, contohnya, pada 2013, pada tarikh sekian, kita akan bubar kerajaan negeri Selangor atau jika itu terlalu awal, kita boleh pinda peraturan atau perlembagaan dengan memasukkan fasal, pilihan raya perlu diumumkan 6 bulan lebih awal. Kita tunjuk kita berani dan kita dah buat, rakyat akan tengok kita.

Chegubard bersama Dr Boo Cheng Hau sewaktu PRN Sarawak 2011

Saya rasa PR ini kukuh tapi dari segi ikatan itu masih lemah kerana ia masih berdasarkan isu. Di peringkat tertentu, di tempat-tempat tertentu keadaan berbeza. Ada negeri yang ikatan Pakatannya kuat tetapi di peringkat cabang lemah. Ada negeri di peringkat Parlimen, bahagian atau kawasan kukuh tapi di peringkat negerinya lemah, hingga tak wujud langsung sekretariat Pakatan Rakyat. Saya lihat suasanan ini tidak sihat. Ia perlu ditangani segera, jika ini tidak dilakukan, menjelang PRU akan datang, saya lihat ada sedikit lopong ruang yang patut kita 'explore' tapi kita tertinggal dan kita berdepan dengan PRU dalam keadaan ada lagi senjata-senjata yang tidak kita gunakan sepenuhnya.

Contoh beberapa kawasan yang masih lemah?

Tidak adil jika saya beri contoh tempat dengan menyebut secara spesifik. Tetapi hakikatnya benda ini wujud kerana pembawaan masing-masing. Contohnya, ada tempat yang masih merasakan mereka harus dapat kerusi tersebut, ada tempat yang merasakan mereka mempunyai tokoh yang lebih layak. Ada juga tempat yang masih terkesan dengan pemecahan masyarakat mengikut kaum dengan menganggap ini kelompok Cina, ini kelompok Melayu atau kelompok kaum tertentu. Ia masih dibawa (fahaman ini). Tetapi ini amat minima, kita kena faham kekuatan sebenar kita, kenapa kita bergabung? Kerana kita punya kekuatan yang berbeza. Setiap parti mempunyai keistimewaan-keistimewaan tertentu. Itu kepelbagaian dan itu kekuatan kita.

Pandangan saudara terhadap Pakatan Rakyat dari aspek pencapaian dan pentadbiran?

Bila bercakap tentang kesepakatan PR, persoalannya ialah, sebagai contoh, susah sangatkah di Pulau Pinang untuk kita memberi kerusi exco kepada PAS hanya sekadar menghormati PAS sebagai parti komponen PR? Dan susah sangatkah di Kedah untuk kita memberi kerusi exco kepada DAP sebagai penghormatan sebagai parti komponen PR dan menarik DAP supaya terus berkubu di Kedah dan mempertahankan Kedah sebagai kerajaan PR. Jika kita nak bercakap soal kesepakatan, benda ini pun kita tak dapat tangani, maka kita bermasalah.

Apa yang istimewa dengan Pakatan Rakyat?

Kita kena faham keistimewaan PR. Pada 2008, tiada PR tetapi selepas PRU 2008, kita nak bina kerajaan di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan, ia perlu gabungan semua. Maka itu PR lahir. Rakyat di semua negeri-negeri ini telah memaksa PR dilahirkan. PR adalah hasil dari desakan rakyat yang bangkit. Ini merupakan sejarah yang harus diangkat. Jadi apakah cabaran besar PR? Cabaranya ialah pilihan raya yang akan datang, 2011 atau 2012, yang bakal dihadapi sebagai kerajaan PR, ini cabaran pertamanya.

Kerana itu saya balik kepada asas tadi, kita kena berdepan BN sebagai jentera PR, di setiap tempat perlu ada PAS, DAP dan PKR yang kuat. Dalam maksud persefahaman dan jentera. Jika di sesebuah kawasan PAS kuat, PAS kena bantu memperkukuhkan PKR atau DAP di kawasan itu. Contohnya di Permatang Pauh, PKR kuat di kawasan itu dan perlu lihat PAS atau DAP juga perlu kuat di situ. Kita akan jadi PR yang benar-benar kuat dan bersedia untuk memerintah negara.


Apa peranan yang saudara ingin ambil?

Pertama sekali, jika bercakap soal demokrasi atau kematangan politik, saya ingin katakan, kita seperti baru saja merdeka semalam. Kenapa? Kerana kita tidak memberi penumpuan membina kesedaran orang muda dalam aspek politik kenegaraan. Kerana itu perjuangan saya jelas. Sejak tahun 2007 kita menubuhkan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM). Tujuan pertama ialah kita ingin menggarap imaginasi radikal anak muda. Anak muda yang tidak radikal ialah anak muda yang sebenarnya gagal, dia tidak cool, tidak muda.

Kedua, sasaran saya ialah membina sebuah negara, saya akan berjuang seluruh kudrat yang saya ada untuk membina sebuah negara yang menjadi tempat yang ada daya saing berdasarkan kopitensi rakyat yang sebenarnya. Kerana itu, apa pun yang berlaku dalam politik, ia tak menggugat langsung semangat saya, kerana matlamat saya jelas, kita org muda bermain dengan masa dan kita tidak harus rasa kecewa. Selagi saya tak dapat ruang untuk menunaikan harapan saya, saya tak akan undur walau setapak.

Kerajaan BN ikut nasihat DAP

Posted: 16 Jun 2011 03:48 AM PDT

Roketkini.com


KUALA LUMPUR – Setelah didesak oleh DAP, kerajaan Barisan Nasional berjanji akan menjalankan siasatan terhadap dakwaan dua wanita Singapura yang dibogelkan dan diarah mencangkung serta melakukan ketuk ketampi sewaktu ditahan oleh Jabatan Imigresen minggu lalu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata satu siasatan akan diadakan melibatkan pihak polis, pihak penjara dan pihak ketiga selain Jabatan Imigresen untuk mencari punca berlakunya peristiwa itu.

Beliau turut mengakui bahawa ketuk ketampi bogel bukan satu amalan lazim atau standard operating procedure (SOP) bagi pegawai imigresen untuk memaksa sesiapa yang disyaki sebagai pendatang tanpa izin.

Dua wanita berkenaan telah memberitahu media Singapura bahawa mereka dimalukan sedemikian rupa kerana kesilapan tidak cop pasport sewaktu memasuki Johor Bahru.

Akhbar Straits Times Singapura semalam telah dipetik sebagai menyatakan bahawa berkata kementerian luar negara itu mahu Jabatan Imigresen Malaysia menyiasat dan menyediakan maklumat lengkap berkenaan aduan dua wanita itu

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Teresa Kok berkata tindakan Jabatan Imigresen amat memalukan dan menakutkan pelancong-pelancong dari luar negara.

"Hishammuddin mesti menjelaskan apa sebenarnya SOP Jabatan Imigresen dalam menangani orang yang disyaki pendatang tanpa izin dan menerangkan mengapa dua wanita berkenaan dipaksa ketuk ketampi bogel walau pun mereka telah datang menyerah diri berikutan kesilapan masuk ke Malaysia tanpa cop pasport.

"Malah, jabatan itu juga telah sedar kesilapan yang dilakukan dan telah membebaskan kedua-dua wanita itu tanpa sebarang tuduhan. Kejadian ini membuka semula persoalan pada tahun 2005 di mana di mana polis telah memaksa seorang suspek wanita ketuk ketampi bogel yang belum terjawab sehingga sekarang," kata Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh.

Naib Pengerusi DAP M. Kula Segaran pula telah mendesak kerajaan supaya menyelesaikan isu itu dengan baik kerana perbuatan Jabatan Imigresen telah memalukan serta menghina martabat wanita.

"Anda tidak boleh buat begini. Mengapa wanita-wanita itu diperlukan dengan begitu memalukan?" tambahnya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mengesahkan bahawa kerajaan Malaysia tidak membenarkan Presiden Sudan Omar al-Bashir menghadiri Dialog Langkawi di Putrajaya yang bermula Ahad ini.

Beliau bagaimana pun menjelaskan kerajaan tidak menghalang kehadiran Presiden Zimbabwe Robert Mugabe menghadiri forum itu. Ini adalah kerana Mugabe tidak dianggap melakukan apa-apa kesalahan sedangkan Omar sedang menghadapi tuduhan jenayah kemanusiaan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), tambahnya.

Kula Segaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat telah mendesak kerajaan supaya tidak membenarkan kedua-dua pemimpin dari Afrika itu atas tindakan mereka melanggar hak asasi dengan menindas rakyat sendiri di negara masing-masing.

Beliau juga telah mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat pada Selasa lalu untuk membantah kehadiran kedua-dua pemimpin kuku besi itu.

Suara Keadilan pertahan kredibiliti laporan

Posted: 16 Jun 2011 03:46 AM PDT


KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Suara Keadilan sebagai sebuah akhbar yang menjunjung etika kewartawanan, mempertahan kredibiliti laporan bertajuk 'Kerajaan Perpaduan Terkubur: Umno Putih Mata' yang diterbitkan minggu lalu.

Pada kenyataan media hari ini, Editor Suara Keadilan, Fazallah Pit berkata pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu memberi kenyataannya kepada Suara Keadilan untuk diterbitkan bagi keluaran Suara Keadilan edisi 19.

"Wartawan Suara Keadilan ada menghubungi pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Shamsul Adabi Mamat yang bersetuju memberi pandangannya bagi penerbitan pada 7 Jun 2011 dalam Suara Keadilan 19," katanya.

Beliau juga menolak dakwaan kononnya akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang diterbit secara tidak berkala, memanipulasi atau memutar belit kenyataan pensyarah berkenaan.

"Suara Keadilan sentiasa menjunjung etika kewartawanan dan sama sekali tidak memanipulasi atau memutar belit kenyataan yang diberi Shamsul Adabi," katanya pada satu kenyataan media, hari ini.

Malaysiakini semalam yang memetik laporan Bernama, dengan tajuk 'Pensyarah: Suara Keadilan putar belit kenyataan saya' melaporkan Shamsul Adabi Mamat membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya dan mendakwa akhbar itu memutar belit kenyataannya.

Shamsul dipetik sebagai berkata laporan polis itu dibuat untuk membersihkan namanya memandangkan beliau tidak mengeluarkan kenyataan seperti dilapor.

KEADILAN pertikai RM63.9 juta untuk khimat rundingan ETP

Posted: 16 Jun 2011 03:44 AM PDT

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: KEADILAN mempertikai tindakan kerajaan Barisan Nasional membelanjakan sejumlah RM63.9 juta untuk khidmat rundingan bagi promosi rancangan induk kerajaan seperti pelan Transformasi Kerajaan/ Ekonomi (G/ETP).

Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution berkata, jumlah yang didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon itu semalam, terlalu tinggi untuk dibelanjakan.

Katanya, dalam keadaan Barisan Nasional terpaksa membentangkan permohonan peruntukan tambahan sebanyak RM13 bilion pada sidang kali ini, jumlah itu adalah satu bentuk pembaziran yang tidak boleh dimaafkan.

"Jumlah RM63.9 juta ini hampir sama dengan peruntukan membiayai pengumuman Barisan Nasional menaikkan gaji segelintir guru-guru besar dan pentadbir sekolah sebagai tindakbalas kepada janji Pakatan Rakyat memberikan imbuhan RM500 sebulan setiap seorang guru seperti terkandung di dalam Buku Jingga.

"Peruntukan bagi kenaikan gaji guru-guru besar hanyalah RM80 juta setahun, berbanding RM63.9 juta yang dibelanjakan kepada beberapa firma perunding sahaja," kata Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang.

Menurut Saifuddin, kegilaan berbelanja besar untuk menggaji perunding tersebut, melambangkan sikap BN yang tidak menghargai sumbangan penjawat awam dantidak berkeyakinan dengan kebolehan pimpinan sektor awam menambahbaik sistem pentadbiran sedia ada.

Katanya, keputusan utama membabitkan perkhidmatan awam kini bergantung kepada maklumbalas dan cadangan perunding, sedangkan pengalaman dan kefahaman pimpinan sektor awam lebih mendalam mengenai selok-belok budaya dan motivasi penjawat awam.

"Kaedah yang diambil oleh pentadbiran Dato' Seri Najib Tun Razak ini akan membantutkan usaha menaiktaraf mutu dan kecekapan perkhidmatan awam negara," katanya.

Kelemahan agensi Kementerian Belia dan Sukan punca rasuah bola

Posted: 16 Jun 2011 03:37 AM PDT

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad Kassim berkata isu rasuah sukan termasuk rasuah bola sepak yang melanda negara baru-baru ini, berpunca dari kelemahan agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Beliau berkata demikian dalam perbahasan Rang Undang-undang Institut Sukan Negara (Pindaan) 2011 yang dibacakan buat kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.

"Gejala negatif ini merebak kerana kelemahan agensi itu sendiri. Nama negara dan ahli sukan yang lain akan rosak," katanya sambil mempersoalkan samada pindaan undang-undang tersebut turut mengambil kira aspek latihan rohani kepada pegawai agensi berkaitan.

Ahmad mengulas arena sukan bola sepak negara dikejutkan dengan laporan media mengenai dakwaan rasuah melibatkan pemain dan pegawai pasukan bola sepak Piala Presiden Negeri Sembilan, baru-baru ini.

"Yang paling kecewa sudah tentu peminat sukan dan keseluruhan rakyat Malaysia," ujarnya.

Dalam pada itu beliau mempersoalkan peranan anak syarikat milik KBS yang menganjurkan kejohanan dengan peruntukan kerajaan.

"Apabila satu institusi ditubuhkan di bawah akta Syarikat dengan kapasiti Sendirian Berhad, entiti itu mempunyai autoriti tertentu.

"Bagaimana KBS mengawal perbelanjaan yang mencecah jutaan ringgit daripada sebarang kerugian? Apakah KBS akan melakukan 'bail-out'?, soalnya.

Ia berhubung pendedahan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dalam soalan bertulisnya semalam, menuntut kerajaan menyatakan tindakan yang diambil berikutan kelewatan Sukom Ninety Eight Berhad menutup laporan kewangan Sukan Komanwel 1998.

Ahmad mempersoalkan samada syarikat di bawah agensi kerajaan bersaing untuk mendapat tender secara terbuka, atau melalui runding terus.

"Apakah Menteri menggunakan budi bicara dan memberinya kepada syarikat kroni?

"Apa yang dibimbangi ialah dengan lobi kerajaan, kontrak mudah diperolehi walaupun tender belanjanya lebih mahal," jelas Ahmad Kassim.

Permohonan semakan MP Sg.Siput Didengar 7 Julai Ini

Posted: 16 Jun 2011 03:34 AM PDT

TVS NEWS




KUALA LUMPUR : Permohonan Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. D Jeyakumar untuk mencabar keputusan kerajaan kerana didakwa gagal memberi peruntukan pembangunan bernilai RM1 juta untuk kes yang diwakilinya, akan didengar pada 7 Julai ini oleh Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan Kuasa-kuasa Khas) di sini.

Hakim Abang Iskandar Abang Hashim menetapkan tarikh itu selepas menemui peguam B.Mahaletchumi yang mewakili Jeyakumar, dan Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dan Shamsul Bolhassan bagi pihak Peguam Negara.

Pada 25 Februari lalu, Hakim Datuk Aziah Ali memberikan kebenaran kepada Jeyakumar selaku pemohon untuk memulakan tindakan tersebut setelah menolak bantahan Peguam Negara.

Pada 29 Oktober tahun lalu, Jeyakumar, 52, memfailkan permohonan bagi memperoleh pengisytiharan bahawa peruntukan khas kawasan Parlimen mesti dbekalkan dan disediakan kepada semua ahli Parlimen secara saksama.

Dalam permohonannya, Jeyakumar daripada Parti Sosialis Malaysia, menamakan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri, Pengarah Pembangunan Perak dan kerajaan sebagai responden, selepas Pejabat Pengarah Pembangunan Perak menolak permohonannya mendapatkan dana untuk

disumbangkan kepada SMJK Shin Chung, SJK Methodist dan Rumah Anak Yatim Nurul Ihsan selain dana bagi projek kecil untuk perkampungan Orang Asli.

Beliau memohon perintah supaya kesemua responden itu menjelaskan bidang kuasa masing-masing dalam mengagihkan dana daripada Peruntukan Khas Kawasan Pilihan Raya dan menyatakan prosedur pengagihan peruntukan itu sejak 2008.

Sementara itu, mahkamah menetapkan 19 Julai ini untuk mendengar permohonan Pejabat Peguam Negara bagi menggantung perintah Mahkamah Tinggi pada 25 Februari lalu yang membenarkan Jeyakumar mencabar keputusan kerajaan sehingga pelupusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Ustaz Ghani : Utusan Pandang Rendah Kaedah Pengadilan Dalam Islam

Posted: 15 Jun 2011 11:41 PM PDT

TVS NEWS



SHAH ALAM : Karikatur berjudul "Kekeliruan Kes Rogol" yang disiarkan Utusan Malaysia semalam merupakan sebuah karya yang merendahkan martabat keadilan dalam agama Islam, kata Pengerusi Sekretariat Ulama Asia, Ustaz Ghani Shamsuddin.

Menurut Ustaz Ghani, Islam merupakan sebuah agama yang menitikberatkan soal keadilan kepada umatnya dan kaedah-kaedah yang digunapakai tidak ada tolok bandingnya serta tidak harus menjadi pertikaian mana-mana pihak.

Justeru ujarnya, media seharusnya mengalas amanah dan jujur dalam berkarya sama ada dalam bentuk penulisan mahupun karikatur sebagai bahan bacaan rakyat agar tidak memesongkan fikiran mereka daripada fakta sebenar.

"Trend seumpama ini seolah-olah jelas menghina dan memandang rendah kepada kaedah-kaedah Islam, ini adalah trend yang sangat buruk dan mencerminkan betapa khianatnya parti ini dalam tugas yang sepatutnya menobatkan serta menjunjung titah perintah Allah.

"(Namun malangnya) inilah trend media massa yang dimiliki oleh parti nasionalis Melayu yang memang tidak memberi apa-apa martabat kepada syariat Islam, tidak menghargainya walaupun mereka mengatakan mereka adalah perjuang Islam tetapi mereka tidak berjuang atas dasar Islam,"tegas Ustaz Ghani.

Karikatur kontroversi itu disiarkan pada muka surat 15 Utusan Malaysia semalam yang memaparkan dua situasi aduan mangsa rogol yang berbeza.

Situasi pertama, mangsa rogol telah mengemukakan aduan kepada jabatan agama, dengan jelas dialog pada karikatur tersebut mengambarkan jabatan agama menolak aduan wanita tersebut kerana mangsa gagal mengemukakan empat orang saksi dan rakaman video tidak laku untuk mengadili kes rogol tersebut.

Sementara itu dalam situasi kedua, mangsa telah membuat laporan polis dan pegawai polis yang bertugas itu dengan tegas mengatakan kes tersebut layak diadili dengan menyifatkan rakaman video adalah antara bukti yang kuat.

Tambah Ustaz Ghani lagi, gambaran yang cuba diberikan oleh utusan Malaysia dalam karikatur itu jelas sekali bertentangan dengan hukum Islam sebenar.

"Dalam konteks kes individu yang dirogol, masih ada hakim-hakim yang bijak mencari bahan bukti dalam mencari kebenaran sesuatu dakwaan itu, sekirannya tidak sabit hukum yang paling keras, sekurang-kurangnya akan disabit hukuman ta'zir," jelas beliau.

Mengulas lanjut kedangkalan Utusan Malaysia itu, Ustaz Ghani menasihatkan akhbar-akhbar lain di negara ini agar matang dan tidak lunak memperkasakan politik sempit sesebuah parti sehingga sanggup menghina kesucian Islam.

Tambahnya, karya seumpama itu tidak akan membawa apa-apa kebaikan kepada golongan pembaca sebaliknya hanya meniup api kemarahan umat Islam.

"Jadi kalau ada mana-mana media Melayu yang gagal memartabatkan kebenaran Islam, itu bermakna mereka telah gagal menggalas amanah Allah, Rasul dan umat Islam," katanya.

Ustaz Ghani yang dihubungi TvSelangor turut menasihatkan pelukis karikatur itu untuk lebih menghargai bakat yang dikurniakan untuk berkarya ke arah kebaikan dan memberi manfaat dalam membina minda masyarakat.

"Kepada pelukis kartun, beliau harus lebih beramanah terhadap Allah serta memikirkan pengaruh dan kesan dari setiap karyanya itu, ingatlah bahawa tiada satu zarah kebaikan pun yang terlepas untuk dihitungkan begitu juga dengan setiap zarah kejahatan yang pasti tidak akan terlepas dari pengadilan Allah,"katanya.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menyifatkan akhbar milikan Umno itu sebagai "Denmark Malaysia" kerana menghina syariat Islam sepertimana pada 2008, apabila negara itu pernah menerbitkan kartun Nabi Muhammad memakai serban yang bentuknya mirip sebutir bom.

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Dewan Pemuda PAS Kelantan juga semalam menyifatkan ia menghina Islam dan mahu penerbit dan pelukis karikatur itu didakwa.

Rangkaian Mat Sabu terus kuasai PAS Selangor?

Posted: 15 Jun 2011 11:29 PM PDT

Jimadie Shah Othman


Selepas rombakan jawatankuasa pusat Ahad lalu, mata kini tertumpu kepada PAS Selangor yang akan membentuk 'kabinet' barunya tanpa tokoh kontroversi Datuk Dr Hasan Ali sebagai pesuruhjayanya.

Menurut Dr Abd Rani Osman yang baru dilantik ke jawatan itu, pemilihan jawatankuasa baru antara agenda penting yang akan dibincangkan dalam mesyuarat pertama PAS Selangor sesi baru pada Isnin ini.

"Kita akan putuskan timbalan (pesuruhjaya) baru," katanya yang menyerahkan perkara itu bulat-bulat kepada mesyuarat untuk memutuskannya.

"Saya tidak mahu dictate (kuasai) mesyuarat."

NONESelepas penyingkiran beberapa tokoh penting PAS negeri oleh Dr Hasan (tengah) pada November 2008, keputusan itu amat dinantikan.

Ia penting bagi melihat sama ada tindakan itu menguatkan rangkaian Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dalam hierarki negeri.

Menariknya, perwatakan Dr Abd Rani dilihat mirip kepada Mohamad yang dilihat sebagai tokoh "pendamai" antara dua kumpulan berbeza pendapat yang sering dirujuk sebagai Erdogan dan pro-ulama.

Khalid ke jawatan lama?

Bagaimanapun, tokoh sebegini dilihat didokong kuat kumpulan Erdogan yang mendorong kepada penguasaan besar dalam kepimpinan tertinggi parti itu dalam pemilihan parti awal bulan ini.

Lobi melobi dan cakap-cakap bagaimanapun sudah kedengaran sejurus selepas selesai muktamar ke-57 parti itu pada 6 Julai lalu.

NONEWalaupun gagal dipilih menggantikan Hasan, akar umbi PAS terus berdebar menunggu sama ada ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad (bersongkok) akan dibawa masuk kembali mengisi jawatan lamanya sebagai timbalah pesuruhjaya II.

Tiga timbalan pesuruhjaya PAS negeri sekarang adalah ahli akademik Dr Osman Sabran, exco kerajaan Selangor Iskandar Abdul Samad dan anggota parlimen Hulu Langat Dr Che Rosli Che Mat.

Walaupun tidak jelas kecenderungan mereka, Khalid sendiri pernah berpandangan ketiga-tiga pemimpin itu dilihat pasukan "serasi" kepada Dr Hasan.

Pada November 2008, Khalid dan ketua penerangan PAS Selangor ketika itu Saari Sungip dilucutkan jawatan oleh Dr Hasan yang difahamkan "kepanasan" dengan kritikan berhubung isu agama dan kaum dalam pentadbiran negeri.

Cabaran besar

Tempat Khalid digantikan Dr Che Rosli dan setiausaha akhbar presiden PAS ketika itu dan Roslan Shahir Mohd Sharir (bawah, kanan) pula menggantikan Saari.

roslan sms shahir mohd shahirRombakan drastik tersebut dilihat sebagai usaha mengukuhkan kedudukan aliran pro-ulama yang mana Dr Hasan dilihat antara pemimpin pentingnya.

Menurut sumber-sumber PAS, kecuali jawatan setiausaha perhubungan negeri yang kini disandang Khairuddin Othman, hampir semua jawatan lantikan masih tidak jelas akan kekal atau tidak.

Khairuddin walaupun dilihat sealiran dengan Dr Hasan, beliau dikatakan tiada masalah untuk dikekalkan ekoran prestasi baiknya selama ini.

Bagaimanapun, menurut amalan biasa PAS, Dr Hasan berkemungkinan besar dilantik kembali dalam jawatankuasa negeri dan sekurang-kurangnya diberikan tugas sebagai anggota jawatankuasa.

Sementara itu, nama lain yang paling disebut-sebut layak dilantik sebagai timbalan pesuruhjaya adalah exco kerajaan negeri Dr Halimah Ali.

Jika terpilih, exco pendidikan negeri itu bakal menjadi wanita pertama dilantik ke jawatan itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Dr Abd Rani nampaknya sedar pada cabaran sebenar dihadapinya yang bukan semata-mata berdepan dengan Umno sebagai musuh politik mereka.

"Cabaran kita berdepan Umno dan BN memang besar, tetapi pada saya, cabaran lebih besar untuk satukan saf kita," kata Dr Abd Rani.

Walaupun enggan dilihat menyebelahi mana-mana pihak Dr Abd Rani difahamkan lebih senang bergandingan dengan Khalid dan Saari sebagai "orang yang bekerja".

Dr Abd Rani juga menghadapi tugas berat menukar imej PAS Selangor yang mencetuskan pelbagai kontroversi sebelum ini, antaranya dalam isu larangan penjualan arak di negeri itu.

Data Pelancongan Sabah bocor selepas digodam

Posted: 15 Jun 2011 11:11 PM PDT

Kuek Ser Kuang Keng




Kuek Ser Kuang Keng


Di sebalik jaminan polis bahawa tidak ada data yang akan bocor dalam serangan ke atas laman web kerajaan malam semalam, satu set data pengguna didakwa berjaya dicuri dari laman Pelancongan Sabah dan disiarkan di Internet.

NONEData 392 akaun pengguna laman itu kemudian dimuat-naikkan ke sebuah portal bebas yang tidak dikenali. Ia turut memuatkan emel pengguna, nama pertama dan akhir pengguna dan juga kata lauan mereka yang telah dipadamkan.

Sementara itu, The Star/Asia News Network melaporkan laman yang digodam itu dikesan awal pagi ini oleh ketua pegawai eksekutif syarikat berkenaan.

NONE"Sebahagian daripada laman web itu didapati telah dipadamkan apabila saya melayarinya," kata Dhillon Andrew Kannabhiran, yang mengetuai Hack In The Box (M) Sdn Bhd.

"Saya baru pulang dari lawatan luar negara," kata portal itu.

Laman Pelancongan Sabah telah dihentikan seketika.

F-Secure Corporation (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat perisian keselamatan komputer mengesahkan perkara itu.

Bahaya menabur fitnah

Posted: 15 Jun 2011 11:05 PM PDT

KHEU Brunei Darussalam

Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benarnya iaitu dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi mukmin yang sejati dan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. Amin Yarabbal Alamin.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana melimpahkan nikmat yang tidak terkira banyaknya kepada kita. Di antara nikmat yang utama yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata'ala kepada hambanya ialah lidah. Lidah mempunyai kebaikan dan manfaat yang amat banyak, bagi mereka yang menjaga dan menggunakannya ke arah tujuan yang sebenar seperti berzikir kepada Allah Subhanahu Wata'ala, membaca Al-Quran, berdakwah menyeru manusia ke arah mentaati perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya dan memberi nasihat serta teguran yang berguna kepada sesama manusia. Sesungguhnya lidah itu merupakan nikmat yang amat berharga kerana itu kita hendaklah menjaga dengan sebaik-baiknya, jangan sampai disalahgunakan seperti membuat fitnah.

Namun dalam era kemajuan sains dan teknologi ini, manusia bukan sahaja menyebar fitnah menggunakan lisan, tetapi juga melalui kecanggihan teknologi maklumat, samada melalui media cetak mahupun media elektronik. Tujuan kemudahan itu dicipta adalah untuk memudahkan kita melihat, mendengar dan menyebarkan apa jua berita dan maklumat tentang keadaan yang berlaku di sekeliling kita, samada apa yang berlaku di dalam negeri mahupun di luar negeri. Oleh itu kita hendaklah menggunakan kemudahan-kemudahan tersebut dengan baik dan bijaksana. Namun apa yang membimbangkan pada masa ini terdapat segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab dan menyalahgunakannya untuk menyebarkan berita-berita yang tidak benar, khabar-khabar angin apatah lagi yang mengandungi unsur-unsur fitnah.

Ahli jumaat yang dirahmati Allah,

Kita perlu mengetahui fitnah itu adalah satu perkara yang buruk dan boleh menjejaskan maruah seseorang. Fitnah ialah tuduhan, khabar, kisah dan lain-lain yang diadakan atau dibuat-buat untuk memburukkan seseorang dan memfitnah pula ialah membuat fitnah dan mengada-adakan sesuatu untuk memburuk-burukkan sesuatu pihak yang dilakukan samada dengan perkataan atau tulisan atau isyarat dan gerakan dan sebagainya, samada perkara itu sememangnya suatu keaiban atau kekurangan mahupun bukan. Orang yang membuat fitnah itu dikatakan juga sebagai orang yang membawa mulut atau mengadu domba.

Adapun perbuatan fitnah itu hukumnya adalah haram dan termasuk dalam perkara dosa-dosa besar. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Qalam ayat 10-11 tafsirnya:

"Dan janganlah kamu menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina, yang suka mencaci, lagi yang suka menyabarkan fitnah hasutan".

Diriwayatkan daripada Huzaifah Radiallahu Anha, beliau mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam bersabda maksudnya:

"Tidak masuk syurga orang yang suka memfitnah (mengadu domba)".

Daripada dalil-dalil tersebut jelas menunjukkan bahawa fitnah itu adalah suatu perkara yang sangat dilarang dan perlu dijauhi. Oleh yang demikian, kita hendaklah memelihara diri dan keluarga kita dari perbuatan menabur fitnah. Maka apabila disampaikan kepada kita suatu berita yang memburuk-burukkan orang lain, maka kita hendaklah memelihara diri kita daripada mendengarnya dan menghebah-hebahkannya kepada orang lain.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Memang tidak dapat dinafikan, dalam kehidupan kita berkeluarga, berjiran dan bermasyarakat, sememangnya kita tidak dapat mengelakkan diri dari mendengar berita-berita atau cerita-cerita yang diperbualkan ketika bertemu, samada ketika berada di majlis-majlis keramaian seperti majlis perkahwinan, majlis kenduri atau di kedai-kedai makan dan sebagainya. Dalam hal sedemikian, jika kita mendengar perbualan yang boleh mendatangkan dosa seperti cerita yang direka-reka, memburukkan orang lain, memfitnah dan sebagainya, maka kita hendaklah berusaha mengelakkan diri kita daripadanya, seperti tidak membenarkan atau mempercayai apa yang disampaikan itu kerana orang yang membawa fitnah itu adalah termasuk dalam golongan orang-orang yang fasik dan berita yang dibawa oleh mereka itu tidak boleh dipercayai.

Selain itu, kita sepatutnya melarang orang yang membawa fitnah itu daripada meneruskan perbuatannya dan menasihatinya serta menerangkan kepadanya bahawa perbuatannya itu adalah salah di sisi agama. Janganlah pula cerita yang disampaikan oleh orang yang memfitnah itu membuatkan kita terdorong untuk menyelidiki dan mencari-cari samada benar atau sebaliknya. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al-Hujuraat ayat 21, tafsirnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakkan dari sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain".

Ahli jumaat yang dirahmati Allah,

Ketahuilah bahawa tidak ada orang yang suka dirinya diperkatakan atau menjadi bahan cerita orang, apatah lagi cerita itu tidak berasas, tidak benar dan hanyalah fitnah semata-mata. Oleh itu jika mendengar sesuatu cerita, berita atau khabar-khabar angin, maka hendaklah orang yang mendengar cerita, berita atau khabar-khabar angin itu tidak menceritakan atau memanjang-manjangkan lagi apa yang telah diceritakan kepadanya. Sebagaimana kita tidak suka diri kita diperkatakan orang, sepatutnya kita tidak juga memperkatakan tentang orang lain.

Jika difikirkan, apakah kebaikan yang boleh diperolehi daripada perbuatan-perbuatan sedemikian? Ia tidak lain hanyalah mengembirakan orang yang berhati busuk. Sedangkan sebenarnya mereka itu telah diperdaya oleh syaitan sehingga mereka menjadi kabur, lalu merasakan apa yang mereka lakukan seolah-olah tidak salah tetapi sebenarnya adalah buruk dan berdosa besar. Perkara ini bukan sahaja dilarang oleh agama islam, bahkan undang-undang dalam bernegara juga menegahnya dan boleh diambil tindakan, lebih-lebih lagi jika fitnah itu boleh menggugat keselamatan dan keharmonian dalam beragama, bermasyarakat dan bernegara, begitu juga dengan perbuatan mereka-reka dan menyebarkan khabar angin, baik dilakukan secara individu atau kumpulan, yang bertujuan untuk memfitnah atau mengaibkan maruah atau martabat mana-mana pihak, maka dalam hal ini, perbuatan tersebut akan diambil tindakan oleh pihak-pihak yang berkenaan sebagai langkah dalam memastikan keharmonian dan kententeraman awam.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sebagai bahan renungan, pernah berlaku suatu perisriwa di zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam, yang lebih dikenalkan dalam kitab-kitab 'Sirah' Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam sebagai 'Hadisul Ifkhi', bila mana terjadinya fitnah ke atas isteri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam iaitu Sayidatina Aisyah Radiallahu Anha.

Dalam peristiwa tersebut, Sayidatina Aisyah Radiallahu Anha telah difitnah oleh orang-orang 'munafik' yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul, dan beberapa orang di kalangan Muslimin telah terpengaruh dengan cerita fitnah yang disebarkan itu. Mereka menabur fitnah mengatakan bahawa Sayidatina Aisyah Radiallahu Anha telah berlaku curang atau membuat hubungan sulit dengan seorang sahabat yang terkenal jujur dan amanah iaitu Safwan bin Al-Muathal. Akhirnya Allah Subhanahu Wata'ala menurunkan ayat Al-Quran sebagai penjelasan bersihnya Sayidatina Aisyah Radiallahu Anha di atas fitnah yang dilemparkan ke atasnya.

Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al-Nuur ayat 19, tafsirnya:

"Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebahnya tuduhan-tuduhan buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman,mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan ingatlah Allah mengetahui segala perkara sedang kamu tidak mengetahui yang demikian".

Muslimin yang berbahagia,

Membuat fitnah itu dipandang berat dan berat dan dilarang oleh agama islam sebab ia boleh menimbulkan permusuhan dan permusuhan pula boleh menimbulkan kepada perpecahan dan huru-hara. Fitnah adalah tuduhan yang tidak benar dan tidak berasas dan perbuatan itu mendatangkan azab diakhirat kelak. Ingatlah! Bahawa semua anggota tubuh badan termasuk lidah akan menjadi saksi di depan penghakiman Allah Subhanahu Wata'ala pada hari kiamat.

Akhirnya peliharalah diri dari perbuatan fitnah dan menaburnya. Didiklah diri kita, keluarga kita dan masyarakat dengan saling menasihati dan tegur menegur terhadap perbuatan yang membawa kepada dosa dan maksiat, apatah lagi membawa kepada dosa-dosa besar seperti membuat dan menabur fitnah. Semoga dengan sedemikian, kita dapat menikmati kehidupan yang aman tenteram, dan sentiasa mendapat petunjuk, hidayah dan berkat dari Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Yarabal Alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah Ayat 191 tafsirnya:

"Dan ingatlah bahawa angkara fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan".

(Teks khutbah Jumaat di atas dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam yang dibacakan di seluruh masjid negara itu pada 10 Jun lalu. Rujuk: http://www.religious-affairs.gov.bn/index.php?ch=bm_info&pg=bm_info_khutbah&ac=464)

PUM gesa dakwa pelukis kartun hina Islam

Posted: 15 Jun 2011 11:04 PM PDT

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) memandang serius penyiaran kartun di dalam Utusan Malaysia disiarkan pada yang secara jelas menghina ulama dan Islam.

"Perkara ini tidak harus dibiarkan," ujar Yang Dipertua PUM, Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, PUM meminta supaya para Mufti juga turut menegur Utusan yang menyiarkan kartun yang menghina hukum hakam agama.

Beliau berkata, sepatutnya akhbar menjadi alat perpaduan dan menimbulkan kesedaran, bukan menambah pergeseran dan perpecahan umat.

PUM juga, katanya meminta supaya Majlis Fatwa Kebangsaan membuat pendirian berhubung dengan perkara itu.

Tambahnya, kartun seperti itu dilihat cuba memperlekehkan pandangan alim ulama dan memberikan tanggapan negatif kepada Islam.

"Perkara sebegini sepatutnya mereka mendapatkan pandangan cerdik pandai dalam bidang agama sebelum mengeluarkan sesuatu bahan.

"Kita syorkan supaya pelukis dan penerbit kartun ini didakwa atas penghinaan ke atas Islam," katanya lagi.

Beliau menambah, PUM juga menyarankan agar pihak kerajaan mengadakan lebih banyak konvensyen nasional bagi menyelesaikan isu-isu dalam kalangan umat Islam sekarang yang kebanyakkan masyarakat Islam sekarang dilihat kurang berpengetahuan agama.

Kepimpinan baru PAS Terengganu lebih mantap

Posted: 15 Jun 2011 11:02 PM PDT

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: PAS Terengganu akan membentuk kabinetnya atau jawatankuasanya yang baru dalam masa terdekat bagi membolehkannya bergerak lebih aktif mendepani cabaran.

Sehubungan itu, satu mesyuarat khas berhubung perkara itu akan diadakan paling lewat Sabtu ini, bagi membolehkan barisan kepimpinan PAS yang mantap dapat dibentuk segera di negeri itu.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut (gambar) berkata, kabinet baru PAS Terengganu yang akan dibentuk itu adalah kabinet pilihanraya.

Menurut beliau, ini kerana barisan kabinet yang akan dibentuk itu adalah untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Katanya, sejajar dengan itu, barisan jawatankuasa itu adalah tertdiri daripada mereka yang ternyata berkebolehan, berwibawa dan boleh diharapkan untuk PAS Terengganu menghadapi PRU Ke-13 dengan baik.

"Kabinet baru yang akan dibentuk itu adalah gabungan golongan ulama, profesional dan aktivis dalam PAS.

"Ini sejajar dengan langkah yang diambil oleh PAS Pusat yang memilih dan melantik kabinetnya dengan gabungan ketiga-tiga golongan itu dalam parti," katanya ketika ditemui di lobi bangunan Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, demi kepentingan tertentu, beliau tidak mahu menjelaskan nama-nama calon barisan kabinet baru yang akan dibentuknya itu.

"Saya akan memanggil mesyuarat khas bagi membincangkan perkara itu pagi Sabtu ini di Markas Tarbiyah PAS Kuala Terengganu.

"Sebaik sahaja selesai mesyuarat itu, saya akan mengadakan sidang akhbar di tempat yang sama. Jadi saya bercadang untuk mengumumkan nama-nama barisan kabinet itu pada sidang akhbar itu," katanya.

Untuk membentuk kabinet barunya itu, beliau mengakui mengalami kerumitan walaupun Terengganu sememangnya mempunyai ramai calon yang berkelayakan.

"Memang Terengganu mempunyai ramai calon yang berkelayakan. Tapi ada ramai calon yang berkelayakan juga turut menyebabkan saya pening kepala kerana ia menyebabkan saya menjadi serba salah untuk membuat pemllihan.

"Sebab itulah saya tak mahu mengumumkannya sekarang. Saya mahu membuat pemilihan hasil dari rumusan dalam mesyuarat yang akan diadakan Sabtu ini kerana itulah langkah terbaik yang patut dibuat," jelasnya.

Perlantikan terhadap beliau sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu oleh Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, turut mengejutkan beliau kerana ia di luar jangkaannya sama sekali.

"Pada hal di Terengganu masih ramai lagi orang yang berkelayakan untuk dilantik sebagai pesuruhjaya. Saya tidak menyangka sama sekali Presiden akan melantik saya untuk melaksanakan amanah ini," katanya.

Beliau berjanji akan melaksanakan amanah yang diberikan itu dengan baik bersama rakan-rakannya, bagi membolehkan PAS Terengganu terus maju seperti yang diharapkan oleh seluruh rakyat Terengganu khasnya dan Malaysia amnya.

Utusan musuhi umat Islam di sebalik topeng Melayu

Posted: 15 Jun 2011 11:02 PM PDT

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Penyiaran kartun menghina Islam semalam menunjukkan wajah sebenar Utusan Malaysia yang dipelopori oleh Umno yang sebenarnya bersikap memusuhi umat Islam dan menyelinap di sebalik topeng Melayu Islam.

"Ia juga menunjukkan Umno sebenarnya tunduk dengan kemahuan MCA yang jelas menolak hukum-hukum Islam," katanya Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil (gambar).

Katanya, cetakan Utusan Malaysia semalam bukan sekadar memberi persepsi buruk bagi pembaca malah menghina hukum Islam yang jelas telah termaktub di dalam Al-Quran.

Baginya, bermotifkan sebagai satu penjelasan bertajuk "KEKELIRUAN KES ROGOL", Utusan Malaysia sangat jahat apabila membenarkan sebuah karikatur yang menatijahkan imej negatif kepada agama Islam.

"Dewan Pemuda PAS Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ini dan menggesa supaya tindakan tegas diambil ke atas Utusan Malaysia dan sekaligus menggantung akhbar yang kononnya mewakili suara orang Melayu itu," ujarnya.

Katanya, karikatur itu dilihat berniat memburukkan Islam apabila ia dilukis dengan memberi mesej dan gambaran hukum Islam sangat lemah sedangkan hukum Islam itu datangnya dari Allah, sifatnya adil dan pelaksanaannya sudah terbukti berkesan.

Tambahnya, ia juga menggambarkan kolotnya Islam dengan seorang lelaki berjubah dan berserban menyelesaikan masalah berbanding dengan anggota polis, sekaligus menghina seluruh umat Islam.

Selain itu, ujarnya ia cuba mengelirukan umat Islam dengan memperlihatkan hukum zina secara permukaan (surface) sedangkan hukum itu masih ada perinciannya dan untuk menjatuhkannya tidak semudah itu.

Justeru, pihaknya menasihati Utusan Malaysia serta mana-mana individu agar lebih bersikap amanah di dalam menyiarkan sesuatu untuk paparan awam apatah lagi di dalam isu agama kerana silap langkah ia boleh menjatuhkan aqidah.

Beliau menambah, sekiranya di dalam Utusan Malaysia mempunyai pegawai agamanya yang tersendiri, Dewan Pemuda PAS Malaysia merasa amat malanglah dirinya kerana tidak menyekat tindakan-tindakan seperti ini.

"Dewan Pemuda PAS Malaysia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan lebih tegas sekiranya Utusan Malaysia tidak menarik balik kenyataannya dan meminta maaf secara terbuka kepada umat Islam seluruhnya kerana telah mencalar kemuliaan agama Islam," tegasnya.

Tiada ulasan: