Khamis, 16 Jun 2011

SIASAH

SIASAH


Kontroversi kartun hangatkan lagi pertembungan PAS dengan Perkasa, Utusan

Posted: 16 Jun 2011 07:00 AM PDT

Ketika demonstrasi Bersih pada 7 Julai memanaskan suhu politik negara ekoran amaran-amaran kepada penganjur, kes kartun diterbitkan Utusan Malaysia meningkatkan lagi pertembungan yang telah sedia hangat.

Esok Pemuda PAS dijadual menyerahkan memorandum kepada Utusan di pejabatnya di Kuala Lumpur menuntut akhbar itu memohon maaf kepada umat Muslim.

PAS menganggap kartun disiarkan akhbar itu semalam sebagai menghina Islam, pandangan yang turut disuarakan Persatuan Ulama Malaysia dalam satu kenyataan semalam.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam satu kenyataan dilapor media menyamakan tindakan Utusan Malaysia menyiarkan kartun itu dengan sebuah akhbar Denmark yang mencetuskan kontroversi global ekoran penyiaran karikatur Nabi Muhammad S.A.W. dan kartun lain berkaitan Islam.

Akhbar tersebut, Jyllands-Posten pada 2005 menerbitkan beberapa karikatur dan kartun memaparkan Nabi Muhammad S.A.W. dan gambaran lain yang dikaitkan dengan Islam, termasuk terorisme dan layanan terhadap wanita.

Pertembungan PAS dengan kumpulan Melayu berhaluan kanan Perkasa dan akhbar dikuasai Umno itu meningkat lagi dengan tercetusnya kontroversi kartun itu.

PAS dan parti-parti pembangkang berperang mulut dengan pemerintah dan kumpulan-kumpulan pro-Umno menjelang perhimpunan Bersih kedua yang dijadual 9 Julai nanti.

Utusan Malaysia menjadi akhbar utama melaporkan berita dan menerbitkan komentar menentang perhimpunan itu.

Perkasa dilapor berpendapat kartun itu tidak menghina Islam tetapi sekadar menyindir pihak yang mendakwa rakaman video tidak boleh dijadikan bukti dalam kes melibatkan zina dan rogol.

Isu pembuktian itu tercetus ekoran penyebaran rakaman video yang dikatakan memaparkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita.

Isu berhubung ketulenan dan kebolehgunaan rakaman itu sebagai bukti dalam kes zina menjadi pertikaian hebat melibatkan pelbagai kumpulan, paling utama parti-parti pembangkang dengan kumpulan-kumpulan propemerintah.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dilapor sebagai berkata rakaman video itu sebagai "besi" yang tidak mempunyai pancaindera dan oleh itu tidak boleh menjadi saksi.

Mengulas isu sama, Zulkifli Noordin dalam satu tulisan panjang di blognya meningkatkan lagi kritikan terhadap PAS yang didakwa semakin berkompromi dengan perjuangan Islam.

Tiada ulasan: