Khamis, 26 Mei 2011

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Terkini: Mustapa Maklumkan Hasil Kajian Panel Pakar Bebas Tentang Isu Aspek Keselamatan Dan Kesihatan Lynas Di Ketahui Hujung Bulan Depan

Posted: 26 May 2011 03:13 AM PDT

KUALA LUMPUR, 26 Mei - Hasil kajian panel pakar bebas mengenai aspek keselamatan dan kesihatan terhadap pembinaan kilang memproses nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang dijangka diketahui hujung bulan depan. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed (foto) berkata panel pakar itu akan menjalankan kajian secara menyeluruh mengenai projek itu dan juga perbincangan dengan pihak berkepentingan. Beliau menjelaskan panel pakar itu terdiri daripada empat pakar dari Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan lima pakar dunia dalam bidang berkenaan. "Panel pakar ini akan menjalankan kajian bermula 29 Mei sehingga 3 Jun ini," katanya pada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Agensi di Kuala Lumpur, Khamis. Skop kajian yang akan dilakukan panel pakar itu meliputi pengangkutan, radiasi, perlindungan penilaian keselamatan, sisa buangan dan menutup kilang dan memulihkan alam sekitar. Mustapa berharap sesetengah pihak tidak mempolitikkan isu pembinaan kilang itu sehingga hasil kajian diketahui. "Saya harap isu ini tidak dipolitikkan dan harap pihak tertentu tidak membuat andaian mengenai hasil kajian oleh panel pakar terbabit kerana mereka pakar dalam bidang masing-masing," katanya.

[Mustapa juga menjemput orang ramai yang mempunyai pendapat mengenai projek itu untuk menghantar pandangan masing-masing melalui e-mail dan surat bertulis kepada kementeriannya.
Pembinaan kilang bernilai RM700 juta oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat Lynas Corporation dari Australia, di kawasan perindustrian Gebeng itu menimbulkan kontroversi kerana didakwa bakal menghasilkan radiasi yang boleh memudaratkan kesihatan orang ramai. Soalannya, apakah cukup dengan menghantar email dan surat bertulis sahaja?. Kenapa tidak dibuat sessi dialog agar rakyat boleh bertanya terus kepada pakar-pakar yang berkenaan. Ini kerana yang takutkan isu tersebut ialah rakyat Kuantan. Semua panel terbabit akan balik ke negara masing-masing selepas ini. Bukankah yang akan menanggung risiko ialah rakyat. Maka itu, apakah kita boleh percaya dengan kenyataan pakar-pakar terbabit].

Kontroversi: Blogger Cucumatkilau Tawarkan Diri Mahu "Bertanding" Bagi Kerusi Dewan Undangan Negeri Pahang Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 Ini!

Posted: 25 May 2011 10:11 PM PDT

KUANTAN, 26 Mei - Belum pun ada pengumuman rasmi bilakah tarikh Pilihanraya Umum Ke-13 bakal berlangsung, namun politik Pahang dihebohkan dengan kenyataan rasmi Blogger Cucumatkilau (foto) yang menawarkan diri untuk bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihanraya itu nanti. Kenyataan yang dibuat bersempena dengan hari ulangtahun beliau ke-40 itu sungguh mengejutkan, kerana inilah kali pertama seorang rakyat Malaysia berbuat demikian. Umum mengetahui, kebiasaannya calon-calon parti bertanding baik pembangkang mahu pun kerajaan, hanya akan ditentukan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti terbabit beberapa hari menjelangnya Hari Pencalonan. Namun, apa yang diumumkan oleh blogger terbabit adalah sesuatu yang diluar jangkaan sama sekali. Apakah motif dan tindakan tersebut, masih sukar untuk difahami. Namun bagi Cucumatkilau (CMK) keputusan yang beliau buat itu adalah atas kerelaan dan keikhlasan hati serta tiada paksaan daripada mana-mana pihak. "CMK mahu bersuara membela rakyat secara lebih agreasif lagi. Jalan terbaik ialah menawarkan diri walau pun CMK kini tidak berparti sebenarnya. Ada yang mengatakan CMK gila kuasa dan memilih jalan yang salah untuk meneruskan perjuangan. Tapi mereka juga harus ingat, akibat tidak memaklumkan keputusan mahu menawarkan diri sejak dari awal lagilah akhirnya nama CMK tercicir dalam senarai calon Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam pemilihan 2010 yang lalu. CMK dipersalahkan oleh pimpinan tertinggi PKR Pahang, kerana tidak memaklumkan secara rasmi hasrat tersebut. Sedangkan CMK sudah mewar-warkannya di dalam Facebook dan blog CMK sendiri. Mungkin kesilapan itu menyebabkan CMK akhirnya gagal untuk membantu memperkasakan "Media Baru" parti secara lebih praktikal lagi. Lantaran itu juga, CMK tidak mahu melakukan kesilapan buat kali yang kedua", kata satu kenyataan beliau dalam blog peribadinya.

[Soalnya sekarang, ramai yang tertanya-tanya beliau mahu bertanding atas tiket parti apa?. Umum mengetahui blogger terbabit pernah bertanding sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi DUN Kemayan (foto) pada Pilihanraya Umum Ke-12 lalu. Bahkan pada tahun 2004 (PRU-11) juga beliau pernah diwar-warkan sebagai calon PKR DUN Lepar, tetapi dikeluarkan selepas berlaku krisis Keadilan Bahagian Paya Besar ketika itu. Paling mengejutkan beliau juga telah mengumumkan pengundurannya dari PKR pada bulan Februari 2011 yang lalu atas hasrat untuk menjadi aktivis bebas. Kini beliau bergerak aktif sebagai aktivis dan sering terlibat dalam program rakyat seperti isu bantahan Lynas dan banyak lagi. Ramai yang menjangkakan beliau keluar PKR dan akan sertai UMNO ketika itu. Namun jangkaan itu meleset dan beliau lebih agreasif dalam menjuarai isu-isu rakyat. Terbaru beliau kabarnya akan melancarkan blog anti Lynas awal Jun ini. Maka itu, ramai yang tertanya-tanya atas tiket parti apakah beliau akan bertanding pada PRU-13 ini. Daripada maklumat dalaman yang dikenal pasti blogger terbabit juga telah menyenaraikan beberapa DUN yang menjadi pilihannya iaitu DUN Chenor, DUN Kuala Sentul, DUN Pulau Tawar dan DUN Semambu. Tidak pula diperolehi maklumat beliau mahu kekal di DUN Kemayan yang ditandingi pada PRU-12 lalu. Sebelum ini beliau juga ada menyatakan hasrat untuk menentang PM Najib Razak di Parlimen Pekan. Namun, persoalannya apakah hasratnya itu akan menjadi kenyataan?. Ikuti kenyataan penuh tentang hasrat beliau tersebut di SINI].

Isu Lynas: Lantikan 'Panel Pakar Antarabangsa', Fuziah 'Ingatkan Kerajaan Malaysia' Patuhi Kod Keselamatan 'IAEA' Dalam Skop Kerja Penilaian !

Posted: 25 May 2011 09:28 PM PDT

KUALA LUMPUR 26 Mei - Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh (foto) mengingatkan panel pakar Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang dilantik kerajaan Malaysia supaya mematuhi kod keselamatan IAEA dalam skop kerja penilaian mereka. Fuziah melalui kenyataan medianya berkata, ini berikutan pakar-pakar tersebut telah diamanahkan oleh kerajaan Malaysia untuk membuat penilaian terhadap Lynas Advanced Material Plant (LAMP) dari 29 Mei hingga Jun ini. "Kenyataan bahawa kerajaan Malaysia mengguna khidmat IAEA untuk menilai berhubung bahan berbahaya dan penggunaan material yang mengandung aktiviti radioaktif akan menjadi isu utama."Namun sekali lagi persoalannya adalah apakah ia mengikut piawaian keselamatan yang akan digunakan sebagai penanda aras," ujarnya. Menurut Fuziah yang juga Naib Presiden PKR, warga Kuantan memiliki hak untuk mengetahui standard yang digunakan, iaitu sama ada menggunakan piawaian negara China, Australia atau pun piawai IAEA antarabangsa. "Panel pakar IAEA berkemungkinan adalah mereka yang pro nuklear dalam kapasiti mereka. Namun peranan mereka adalah sebagai penilai, bukannya menjadi 'promoter' untuk 'tugas tertentu' di Kuantan," kata Fuziah. Jelas Fuziah, beliau turut mengingatkan bahawa operasi di LAMP jauh lebih rumit dibandingkan dengan Loji Lynas di Mount Weld, Australia. "Apa yang menarik perhatian ialah, AELB (Lembaga Pelesenan Tenaga Atom) masih belum melakukan kritikan PEIA (Penilaian Awal Kesan Alam Sekitar) terhadap LAMP. "PEIA terhadap LAMP diterima oleh Jabatan Alam Sekitar Pahang pada 20 Januari 2008 dan diluluskan 3 minggu kemudian, iaitu pada 15 Februari 2008. Saya hairan mengapa terlalu mudah bagi JAS Pahang untuk meluluskan projek berisiko tinggi seperti ini?"Ini mengukuhkan pandangan saya bahawa kerajaan Malaysia tidak berupaya untuk memantau atau menguatkuasakan undang-undang keselamatan untuk industri seperti LAMP," kata Fuziah Salleh lagi.

[Dalam pada itu Fuziah berkata, Lynas pernah menggunakan piawaian negara China dalam permohonan terdahulu kepada kerajaan Terengganu pada 2007, untuk pembinaan projek itu. "Ini memperkuatkan hujah saya bahawa Lynas menggunakan piawaian yang berbeza ketika di Australia dan Malaysia. "Lynas juga mengambil kesempatan dari kelemahan penguatkuasaan di Malaysia untuk mengemukakan cadangan menggunakan piawaian negara China. Menurut Fuziah lagi, panel penilai itu perlu memikirkan kesan terhadap 700,000 penduduk di Kuantan dan Kemaman, Terengganu dalam jarak 30 kilometer dari projek itu. "Seluruh dunia akan melihat dengan penuh teliti bahawa panel penilai akan melakukan pemantauan dengan telus dan penuh tanggungjawab. "Mereka perlu bertanggungjawab kepada nyawa 700,000 manusia di Zon Industri Gebeng yang dibina tanpa zon penampan ini. Panel penilai perlu bertanggungjawab kepada rakyat, terlebih dahulu daripada menjawab kepada kerajaan," kata Fuziah Salleh].

Panas: Najib Dan Menteri Felda Ahmad Maslan Di Desak Berikan Penjelasan Laporan Kenapa Agensi Tersebut Pinjam Duit KWSP Sebanyak RM6 Billion

Posted: 25 May 2011 09:11 PM PDT

SHAH ALAM 26 Mei - Perdana Menteri, Najib Razak dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan didesak memberi penjelasan terhadap laporan bahawa, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) memohon pinjaman RM6 billion dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Bekas Timbalan Menteri Dr Tan Kee Kwong (foto) berkata pinjaman itu, jika disahkan, menimbulkan lebih banyak persolanan mengenai kedudukan kewangan FELDA yang sebelum ini mengalami penurunan simpanan rizab dari RM4.08 bilion pada 2004 kepada hanya RM1.35 bilion pada tahun 2009. Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan aliman semalam mendedahkan Felda terpaksa mengambil pinjaman RM6 billion daripada KWSP. Mazlan mengemukakan beberapa dokumen minit mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan Rancangan Felda Nitar 2, Mersing Johor, untk mensabitkan dakwaannya itu. "Felda sepatutnya untung tiap- tiap tahun sekurang- kurangnya RM 2 billion jadi jika dikira selepas 10 tahun sepatunya Felda untung RM 20 billion, habis wang itu sudah pergi mana? Sebab itu kita, Mazlan Aliman dan pemimpin Pakatan Rakyat meminta Felda untuk beri penjelasan," katanya. Dr Tan berkata Felda sepautunya mencatat keuntungan kira- kira RM20 bilion ringgit dalam tempoh 10 tahun lalu, namun hasil itu diselubungi dengan pelbagai tanda tanya. Justeru Tan berkata PKR dan Pakatan Rakyat sebelum ini, mencadangkan sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja ditubuhkan bagi menyiasat status kewangan Felda, namun cadangan tersebut ditolak oleh pihak pemerintah.

["Sepatutnya untuk seluruh warga Felda termasuk keluarga dan warga peneroka lebih kurang 110 ribu buah keluarga, sepatutnya satu siasatan khas ditubuhkan, bila kita cakap ada masalah tapi mereka nafikan," katanya. Dr Tan berkata masalah Felda hanya bermula setelah agensi itu diletakkan di bawah penjagaan Datuk Seri Najib Razak. "Sebelum ini Felda di bawah Tan Sri Raja Alias sehingga 2004/2005 memang tiada masalah, semua masalah kewangan Felda bermula apabila Najib ambil alih," katanya. Jika benar dakwaan ini maka ia mengesahkan maklumat yang didedahkan oleh ANAK sebelum ini bahawa Felda sebenarnya memang sudah muflis. Cuma, akibat terdesak kerajaan terpaksa menutup kelemahan itu bagi mengaburi mata rakyat. Apapun, perkembangan terbaru ini membuktikan segalanya yang dibongkar itu benar belaka].

Edisi Sukan: Malaysia Menempah Laluan Berduri Pada Suku Akhir 'Piala Sudirman' Bila Gagal Jadi Juara Kumpulan Akibat Tewas Kepada Indonesia

Posted: 25 May 2011 09:01 PM PDT

KUALA LUMPUR 26 Mei - Malaysia menempah laluan berduri pada suku akhir badminton Piala Sudirman apabila gagal muncul juara Kumpulan B selepas kalah tipis 2-3 kepada Indonesia dalam perlawanan sengit di Qingdao, China. Walaupun dua kali mendahului 1-0 dan 2-1, namun Indonesia berjaya menyamakan kedudukan 1-1 dan 2-2, sebelum mengesahkan kemenangan menerusi beregu campuran, Fran Kurniawan-Pia Zebadiah Bernadet yang menundukkan pasangan muda negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying 21-18, 21-15. Menamatkan cabaran selaku naib juara kumpulan bermakna Malaysia berpotensi menentang pilihan utama dan juara tujuh kali, China, bergantung kepada undian yang bakal dijalankan Persekutuan Badminton Dunia (BWF). Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menghadiahkan mata sulung negara menerusi selepas menang mudah 21-15, 21-17 ke atas Alvent Yulianto-Mohamad Ahsan, namun Adri yanti Firdasari menyamakan kedudukan 1-1 dengan menumpaskan Lydia Cheah 21-8, 21-12 dalam perseorangan wanita. Jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei meletakkan pasukan negara 2-1 di depan apabila menundukkan Dionysius Hayom Rumbaka 21-8, 21-8 tetapi Indonesia kembali menyamakan kedudukan 2-2 selepas Greysa Polii-Meliana Jauhari mengalahkan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui 21-23, 14-21, sebelum Peng Soon-Liu Ying tunduk dalam penentuan perlawanan beregu campuran.

Isu Air: Syabas JBA Pahang, Sebahagian Kawasan Yang Di Landa Masalah Terputus Bekalan Berjaya Di Pulihkan Oleh Pihak Mereka Lewat Malam Tadi

Posted: 25 May 2011 12:15 PM PDT

KUANTAN, 26 Mei - Selepas hampir 24 jam ketiadaan air, maka lewat malam tadi banyak kawasan yang mengalami gangguan telah mula menerima semula bekalan air. Justeru itu orang ramai yang ditemui amat gembira dengan perkembangan tersebut. Tambahan pula ada diantara mereka yang sudah seharian tidak mandi akibat keputusan air. Makluman yang diterima bekalan air mula diperolehi bermula awal petang lagi. Cuma, airnya agak perlahan akibat tekanan yang rendah. Namun, ia sudah cukup memberi kelegaan kepada mereka yang ditemui. Rata-rata diantara mereka mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang yang mengotakan janji mereka untuk menyelesaikan masalah tersebut malam tadi. Apa yang menarik untuk diperkatakan, ada yang berkata "Ini baru bekalan air terputus sehari, sduah kecoh. Bayangkan kalau radioaktif Lynas yang tersebar .. pasti lebih haru biru dibuatnya". Apapun, orang ramai diharap dapat berjimat cermat menggunakan air selepas ini. Malah, mereka yang mempunyai bil-bil tunggakan wajarlah membuat bayaran segera untuk membolehkan kemudahan ini dipertingkatkan lagi pada masa yang akan datang. Menurut seorang petugas JBA yang ditemui berkata "Bila tiada air bising, tapi bila ada air ramai yang tak bayar. Mujurlah JBA masih berlembut dalam hal ini. Bayangkan kalau Kerajaan Negeri pula yang tarik balik subsidi yang diberikan". Beliau turut menasihatkan agar orang ramai dapat bertimbangrasa dalam hal-hal dan masalah seperti ini. Tekanan yang diberikan kepada pihak JBA menyebabkan ramai diantara mereka yang terkilan dan kecewa. Tidak wajar mereka dituduh dengan berbagai tohmahan, sedangkan mereka sendiri cuba berusaha untuk memperbetulkan keadaan ini.

[Apapun, kami ucapkan syabas dan tahniah kepada pihak JBA Pahang yang bertungkus lumus untuk membaikpulih segala kerosakan teknikal yang berlaku. Difahamkan, awal pagi tadi masing-masing boleh tersenyum lega apabila kembali dapat mandi seperti biasa. Rupa-rupanya agak bermasalah juga bila air tiada. Itu baru sehari, bayangkan kalau terjadi untuk tempoh yang lama. Maka sudah pasti ia akan lebih menyulitkan orang ramai sebenarnya. Satu ikhtibar yang perlu diambil ialah kerosakan yang diluar jangka ini jelas sekali menyebabkan keadaan yang tidak menentu di bandar Kuantan. Bayangkan jika insiden yang sama berlaku kepada kilang Lynas apabila beroperasi kelak. Bukankah keadaan yang lebih parah dari ini akan berlaku kelak. Justeru itu ambillah pengajaran atas apa yang berlaku ini. Selamatkan rakyat].

Tiada ulasan: