Sabtu, 14 Mei 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Erti persabahatan Pakatan

Posted: 13 May 2011 05:00 PM PDT

13 MEI — Semua orang tahu PAS, DAP dan PKR tidak akan berganjak dari prinsip perjuangan masing-masing. Itu soal dasar parti. Komponen sekular MCA, Gerakan dan beberapa lagi parti dalam Barisan Nasional yang menolak Ketuanan Melayu pun masih boleh bersahabat dengan Umno walau pun dalam senyuman pahit.

Perbezaan ketara di antara PAS yang berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah sebagai dasar politik dan DAP yang memperjuangkan demokrasi sosial bersifat sekular telah menjadi bahan kepada musuh politik mereka Umno untuk mengapikan permusuhan.

Yang tidak ditonjolkan oleh media arus perdana milik Umno dan Barisan Nasional ialah kesefahaman PAS, DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat yang berpegang kepada dasar bersama untuk menegakkan keadilan melalui demokrasi tulen yang menentang rasuah, salah guna kuasa, politik perkauman dan mempergunakan agama untuk kepentingan politik.

Sebaliknya apa yang sibuk digerakkan oleh kempen perang saraf Umno ialah mencipta fitnah dan pembohongan untuk menimbulkan syak wasangka sesama anggota komponen Pakatan Rakyat.

Tohmahan kononnya DAP terlibat dalam usaha sulit untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara telah dijelmakan sebagai berita oleh Utusan Malaysia yang semata-mata memetik tuduhan liar blogger pro-Umno tanpa usul periksa.

Setelah beberapa hari isu ini dibangkitkan, ada kalangan pemimpin Umno sendiri yang mula menjauhkan diri daripada taktik kotor itu. Namun ia tidak akan menghentikan serangan propaganda Umno dan konco-konconya terhadap Pakatan Rakyat.

Serangan-serangan ini telah dimulakan sejak Umno dikejutkan dengan kekalahan beberapa negeri serta kehilangan majoriti dua pertiga Parlimen dalam pilihan raya umum 2008. Untuk menutup kelemahan diri, para pemimpin Umno cepat-cepat menuding jari menyalahkan orang lain.

Apabila isu konspirasi agama rasmi dibangkitkan, para penyebar fitnah menyangka ia adalah kejayaan besar untuk memecahbelahkan perpaduan Pakatan tanpa menyedari kesan jangka panjang hasutan sedemikian terhadap keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama.

Apa yang mereka tidak jangkakan ialah reaksi PAS dalam menangani pembohongan itu. Bukan sahaja para pemimpin PAS tidak berdiam diri, malah mereka berdiri teguh bersama DAP untuk mematikan serangan fitnah yang tidak munasabah itu.

Datuk Seri Abdul Haji Awang mengulangi pendirian Pakatan untuk terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan serta kebebasan mengamalkan agama-agama lain dengan aman.

Dalam kenyataannya, Presiden PAS itu menyatakan: "Tekad ini adalah suatu ikrar yang terpahat dalam polisi bersama Pakatan Rakyat. Oleh yang demikian hiruk-pikuk yang dilemparkan oleh media tertentu bertujuan untuk membakar semangat rakyat terutamanya di kalangan orang Melayu beragama Islam, bahawa Malaysia akan menuju ke arah negara Kristian, adalah suatu pemberitaan yang sangat tidak beramanah".

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar pula menuntut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussien dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana menyokong laporan tidak berasas Utusan.

"Pada hal berita yang disiarkan oleh Utusan Malaysia itu bukannya berita benar. Perkara itu dinafikan sendiri oleh golongan paderi dan DAP. Berita itu ternyata bersifat provokasi yang boleh menimbulkan suasana huru-hara di dalam negara."

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mazlan Aliman yang membuat laporan polis terhadap berita palsu Utusan itu pula menganggapnay sebagai satu agenda yang didalangi UMNO yang sengaja mahu meniupkan api permusuhan antara masyarakat Islam dan bukan Islam.

"Mereka tahu bukan Islam tidak menyokong BN, mereka terpaksa untuk mendapat simpati dari pengundi Melayu," katanya.

Suara Mazlan mewakili kebanyakan pemimpin dan ahli PAS yang sudah pun menghidu perang saraf Umno yang mahu memecahbelahkan perpaduan Pakatan.

Apabila Datuk Seri Najib Razak mencadangkan supaya PAS meninggalkan Pakatan atas alasan "adakah DAP boleh perjuangkan Islam?", Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menyatakan:

"Kita ada Perlembagaan, agama rasmi adalah Islam dengan raja-raja adalah ketua... jadi tak timbul soal ini…kerajaan negeri Pulau Pinang (yang dipimpin oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng) juga tidak pernah mengabaikan soal berkaitan dengan Islam... tiada apa-apa masalah."

Isu agama dan kaum akan terus dilontarkan oleh konco-konco Umno; tambahan pula menjelang muktamar agung PAS yang akan menyaksikan pemilihan kepimpinan parti pada Jun depan.

Ada kalangan Umno yang masih mengharapkan "wakil-wakil Umno" dalam PAS akan tunduk kepada hasrat untuk membawa keluar PAS dari Pakatan. Bagi mereka, hanya cara itu dapat menguburkan Pakatan melalui politik pecah dan perintah.

Namun, para pemimpin dan ahli PAS diingatkan oleh oleh AJK PAS Pusat Mohamad Sabu supaya berhati-hati dalam menghadapi tipu muslihat Umno yang semakin terdesak sejak kebelakangan ini.

"Kalau PAS keluar Pakatan Rakyat, BN akan memerintah sehingga hari kiamat sebab dia tahu kalau PAS bersama Pakatan Rakyat ini sahaja yang boleh menggugat BN.

"Sebab itu BN tiada jalan lain, jadi terpaksa mencari apa sahaja jalan bagi memastikan PAS keluar daripada Pakatan Rakyat, ini kerana BN bimbang kekuatan PAS dalam Pakatan Rakyat... tambahan yang boleh kalahkan Umno adalah PAS," katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insider.

Pendirian sebeginilah yang menggusarkan pucuk pimpinan Umno; jarum hasutan mereka gagal mengubah pendirian kepimpinan PAS. Persahabatan erat PAS dan DAP dengan kerjasama PKR menyukarkan Umno dan konco-konconya untuk percaya kepada tohamahan-tohmahan perkauman serta keagamaan sempit.

Mungkin Umno tersalah jangka bahawa komponen-komponen Pakatan tidak akan membantu satu sama lain kerana pentingkan diri sendiri, dalam apa yang sering digambarkan oleh media arus perdana sebagai pakatan rapuh.

Yang nyata, formula Pakatan yang saling membantu serta mempertahankan sahabat dalam perkara-perkara yang benar dan baik sudah terbukti berjaya.

Jika pergeseran sesama sendiri dapat dikendurkan; jika perebutan kerusi dan jawatan dikurangkan; jika syak wasangka dileburkan; tidak mustahil kemantapan Pakatan akan dapat dipertingkatkan lagi.

Wan Hamidi is a veteran journalist who has a penchant for rock music.

Kes berkenaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia — Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj

Posted: 13 May 2011 04:30 PM PDT

13 MEI — Reaksi akhbar melayu kepada pandangan saya yang bahasa Inggeris wajar dijadikan bahasa pengajian tinggi adalah seperti yang dijangkakan. Mereka terdiri dari golongan berkelulusan sekolah-sekolah Melayu.

Sebaliknya, mereka yang berkelulusan sekolah bahasa Inggeris, secara keseluruhannya bersetuju dengan saya, walaupun mereka sendiri lebih selesa untuk tetap berdiam diri. Ini adalah kerana anak-anak lelaki dan perempuan mereka berpendidikan luar negeri. Dahulunya, sebahagian besar pelajar yang memenuhi syarat untuk masuk ke universiti luar negeri dimasukkan secara terus dari sekolah di Malaya.

Komen-komen golongan berpendidikan Melayu tidak cukup relevan bila mereka membandingkan kedudukan di sini dengan yang berlaku di Indonesia. Mereka lupa bahawa Indonesia memiliki penduduk sekitar 135 juta, dan 90% merupakan bangsa Melayu Indonesia tetapi seratus peratus bercakap dalam bahasa Indonesia (Melayu).

Selanjutnya, latar belakang pembelajaran dan pendidikan mereka bergantung sepenuhnya dalam bahasa Indonesia (Melayu), dan bukan Belanda.

Memang mudah bagi Indonesia untuk memulakan dengan bahasa mereka sendiri, sistem Kerajaan mereka sendiri, dan cara hidup mereka sendiri.

Tetapi, bagi kita, tradisi kehidupan adalah berbeza. Kita bermula dengan dasar British dan seluruh pentadbiran serta pendidikan berpusat sepenuhnya dari sistem pendidikan British.

Indonesia sebaliknya bertempur dengan penjajah mereka dan secara keseluruhan terpaksa memisahkan diri dari Belanda. Selain itu rakyatnya memendam kebencian pahit dengan perbuatan kerajaan Belanda. Mereka memenangi kemerdekaan dengan kekerasan di ambang revolusi menggulingkan Belanda. Ramai diantara mereka yang telah pupus di medan perang menggerakkan kemerdekaan.

Kita mencapai kemerdekaan secara perlembagaan, dan seterusnya, meminta bantuan British agar mendidik dan melatih orang-orang kita untuk mengambil alih negara dan memberikan kerajaan terbaik kepada masyarakat. Hakikatnya, kita dapat menikmati kemajuan, kesejahteraan dan keamanan, yang negara lain tidak pernah menikmati di rantau ini. Nasib kita bertahan agak lama, sehingga tercetusnya rusuhan 13 Mei 1969.

Melayu hanya terdiri dari 48% penduduk Malaysia dan kita tidak boleh, walaubagaimana yang kita inginkan berlakunya sesuatu, melakukannya dengan sesuka hati. Kita perlu mencari perantaraan yang aman untuk menyenangkan semua orang yang telah menerima negara ini sebagai rumah mereka, dan itu adalah tugas kita untuk menjadikannya objek kesetiaan mereka juga.

Kecuali yang dapat menikmati arus perkembangan dan langkah progresif, tiada negara yang akan menikmati keamanan.

Kenyataan diatas menunjukkan yang pendidikan amat penting bagi sesebuah negara seperti Malaysia. Kecuali kita dapat menilai situasi dan mengetahui apa yang baik, kita mungkin rugi dalam jangkamasa panjang. Mungkin "race" berkaitan dengan perlumbaan untuk kehidupan aman damai, lebih penting lagi dengan negara seperti Malaysia, yang bermasyarakat majmuk, berbilang kaum, hanya akan dapat menikmati kedamaian jika berjaya menyertai "race" ini.

Setiap rakyat di negara ini harus berbangga dengan bahasa Malaysia dan meningkatkan usaha untuk mendalaminya dengan cemerlang, bukan sahaja sekadar dalam pertuturan tetapi dengan pembacaan dan penulisan. Sebuah negara tanpa bahasa adalah negara tanpa roh dan tanpa jiwa. Jika kita berbangga sebagai seorang rakyat Malaysia, maka kita haruslah berbangga dengan bahasa kebangsaan kita. Jikalau tidak, pengakuan setia hanyalah cakap kosong.

Tidak ada orang rasional yang akan irihati dengan rancangan kerajaan untuk melaksanakan kedua bahasa tersebut: Itulah yang dapat saya pelajari dari pengalaman. Orang Melayu juga perlu bantuan kerajaan - maka wujudnya Rancangan Malaysia kita. Mereka yang telah menikmati rancangan tersebut sekarang senang-wenang dan berpuas hati. Akan tetapi kita tidak sepatutnya mendokong dasar ini terlalu lama, rancangan ini tidak boleh disalahgunakan seperti merompak Peter untuk membayar Paul. Mereka yang dianiaya oleh dasar ini tidak akan memberikan kerjasama mereka, dan tanpa bantuan dari bukan Melayu, yang telah mendirikan perniagaan besar dan memajukan perdagangan, segala apa yang dibuat dan sebagaimana baik ia dilaksanakan untuk membantu Melayu, tidak akan berjalan lancar, namun mengundang kritikan dan kebencian.

Pendidikan, di peringkat apa pun, boleh meninggikan atau meruntuhkan seseorang, dengan cara yang sama ia boleh meninggikan atau meruntuhkan negara. Para pemimpin kita menyedari hal itu. Dan mereka semua memastikan yang anak-anak mereka menerima pendidikan yang terbaik. Sebaliknya, anak –anak di kampung tidak mempunyai peluang yang sama; objektif saya ialah untuk memberikan pendidikan yang sebaik mungkin. Saya telah menyatakan yang apabila otak lincah tidak digunakan dengan sebaiknya, ia menjadi sumber bahaya kepada masyarakat dan negara.

Sekarang, bahayanya tidaklah begitu ketara, tetapi saya berasa yang sebelum situasinya menjunam, Kerajaan seharusnya bertindak dengan mendirikan suruhanjaya untuk meninjau dasar pendidikan kita.

Kita harus mengembalikan keyakinan kepada pelbagai bangsa di sini yang telah menempatkan kepercayaan implisit mereka kepada kita Melayu. Eksperimen yang telah dijalankan di sekolah belum terbukti berjaya, dan jika kita sedar sekarang, kita mungkin dapat memperbetulkannya. Hal ini sangat penting untuk negara dan kita wajar menelitinya secepat mungkin.

Masalahnya, sesetengah orang yang keras kepala, berdolak-dalik daripada melihat fakta-fakta objektif. Oleh sebab inilah yang menjadikan kita lemah, dan kelemahan sebeginilah yang membuat kita terpaksa tunduk kepada penjajahan.

Seseorang pelajar yang tamat persekolahan Melayu pada usia dua belas tahun akan mencapai sedikit kredit untuknya. Apa yang mampu dicari adalah pekerjaan yang sesuai dengan pendidikannya, dan tidak ada banyak pekerjaan atau yang menawarkan hasil lumayan untuknya.

Saya war-warkan usaha untuk membentuk Bahasa Jiwa Bangsa sebagai satu kempen berslogan yang dicetak pada poster dan ditampal di dinding di seluruh negeri. Tentunya hal ini menunjukkan minat saya untuk memberikan insentif kepada semua untuk belajar bahasa Malaysia dan membuktikan kesetiaan mereka kepada negara ini.

Pada masa yang sama, saya mengesyorkan yang bahasa Inggeris harus dijadikan, di masa hadapan yang berlanjutan, sebagai bahasa pengajian tinggi. Hal ini dihargai oleh ramai, kecuali mereka yang bersikap "the-fox-and-sour-grapes" serigala dengan buah anggur atau "the-dog-in-the-manger" orang yang menyimpan apa yang mereka sendiri tidak inginkan untuk menghalang orang lain daripada menggunakannya. Merekalah yang membuntukan jalan orang lain agar tidak diberi peluang mendapatkan pendidikan yang baik walhal mereka sendiri belum.

Malaysia adalah baru, dan ia ingin terus maju ke hadapan tanpa mengambil langkah mundur. Kemajuan pesat yang berkembang di dunia ini mendesak agar kita mengikuti peredarannya.

Idea-idea baru terbentuk setiap hari dan prestasi baru direkodkan. Peristiwa di dunia ini memang tidak terputus.

Segalanya di dunia ini berubah. Amatlah silap jika kita bayangkan yang kita dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada negara kita, hanya dengan sentimen dan emosi, dan ia bukanlah lebih bijaksana untuk mengikuti cara negara-negara lain yang masih mundur.

Tugas kita adalah untuk memberikan yang terbaik mungkin kepada masyarakat dan membantu mereka yang datang selepas kita, bahagia dan negara kita aman makmur. Bolehkah kita menjustifikasikan yang dengan pendidikan meleset, kita dapat mengikuti kemajuan, tetapi kurang pencapaiannya untuk negara baru kita?

Separa pendidikan langsung bukan pendidikan.

Rakyat di negara ini terdiri daripada tiga kaum utama - Melayu, Cina dan India. Kesemuanya memiliki bahasa tersendiri; mereka bermuafakat yang oleh kerana mereka rakyat Malaysia, Bahasa Malaysia dijadikan bahasa kebangsaan, yang Jiwa Bangsa, yang Jiwa Negara.

Akan tetapi, bahasa Inggeris masih perlu dikuasai, bahasa yang akan memberikan mereka pendidikan yang mereka terajui. Dalam menguasainya, Melayu tidak bermula dari tangga yang kebelakang, orang lain juga perlu mempelajarinya, iaitu belajar apa yang sama asing bagi mereka.

Bahasa Inggeris boleh menjadi titik pemahaman dan kemesraan antara kaum di samping memberi mereka peluang untuk menggunakan minda mereka dengan sebaiknya.

Kemerdekaan sahaja tidak memadai melainkan ia membawa makna. Saya inginkan rakyat Malaysia berjalan di kaki bumi ini dengan megah. Saya ingin melihat yang miskin berkesempatan untuk memanjat tangga kejayaan setaraf dengan anak-anak-anak orang kaya juga pembesar-pembesar, dan tidak ketinggalan kerana kemiskinan atau kurang peluangnya.

Saya bukan seorang yang mengelak tanggung jawab, apa yang dikatakan haruslah diperkatakan untuk kebaikan rakyat majmuk Malaysia dan saya tidak gentar untuk menyatakan apa yang sebenar. Pengkritik saya tidak akan berada di tempat mereka di saat ini jika negara kita tidak dibebaskan.
* Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj was Malaysia's first prime minister.

* Petikan dari Buku, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, "The case for English and Malay". Viewpoints, Bab 32, ms 192-200. Kuala Lumpur: Heinemann Educational Books (Asia) Ltd., 1978. Diterjemahkan dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia oleh Tunku Munawirah Putra April 2011.

Pemuda ‘upahan’ Umno ganggu ceramah Anwar di Melaka

Posted: 13 May 2011 03:46 PM PDT

MELAKA: Yang Melayu membentang tikar dan duduk. Yang Cina mahupun India, ada berdiri dan ada yang duduk di bangku kecil yang dibawa dari rumah.

Tiga gaya berbeza namun satu matlamat sama – mendengar ceramah Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka hadir Ceramah Perdana Tawan Melaka PRU-13, 'Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia' di Pejabat Pas Kawasan dan Unit Peti Undi Bukit Katil dan walaupun ia berlangsung di markas PAS, ceramah itu menarik khalayak pelbagai kaum.

Pengerusi Majlis Pimpinan Melaka merangkap Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin memulakan ceramah dengan memohon maaf kerana hadirin terpaksa bersusah payah untuk hadir ke ceramah.

Di mana ada ceramah Anwar, di situ lambakan sekatan jalan raya

Secara berjenaka, beliau menyatakan Bukit Katil adalah kawasan 'paling selamat' di Melaka kerana banyak sekatan jalan raya pada malam ini.

"Polis sekarang adalah pencegah ceramah, bukan lagi pencegah jenayah," sindir beliau.

Beliau berkata, lokasi asal yang dijadual di Paya Rumput terpaksa dipindah ke Bukit Katil kerana satu lubang besar digali untuk menghalang orang mendengar ceramah.

"Ia mengingatkan saya kepada Perang Khandaq (peperangan pada zaman Rasulullah ketika menyebar Islam)," kata Shamsul.

Shamsul kemudian meningkatkan 'suhu' ucapan dengan menyegarkan ingatan hadirin kepada penganiayaan terhadap Anwar.

"16 Mei ini, Datuk Seri (Anwar) tak perlu dipanggil bela diri sebab sepanjang perbicaraan tiada bukti Anwar terhadap pertuduhan yang dikenakan," katanya.

Beliau sempat berjenaka dengan berpesan kepada hadirin agar 'memasang' niat betul apabila menonton atau membaca media kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) supaya mudah terpengaruh dengan putar belit mereka.

"Kalau baca Utusan atau tengok TV3, kena pasang niat. 'Sahaja aku tengok TV3 atau baca Utusan tak mahu percaya apa yang dilapor," katanya dengan disambut gelak tawa.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Abdullah Sani kemudian mengambil tempat untuk berceramah tetapi ucapannya kerap diganggu sekumpulan kira-kira 20 penyokong Umno yang berteriak 'Hidup Saiful' dan 'Anwar b*b*' dari seberang jalan.

Biarpun kekangan dibuat bagi menghalang rakyat mendengar amanat Anwar, ribuan pasti hadir

Sebaik sahaja Anwar mengambil tempat untuk berceramah, beliau menempelak penyokong Umno itu.

"Bayar RM50, tolong jerit pada ceramah. Jangan jadi hamba orang rasuah. Kerja tidak ada. Pendidikan, tidak ada. Yang ada RM50, upah jerit. Dalam Quran, disebut 'keldai'," katanya disambut sorakan gemuruh.

Anwar turut menempelak Puteri Umno yang pernah menyamakan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dengan pemimpin ajaran sesat, Ayah Pin.

"Orang begini jahil, angkuh, bodoh. Paling saya menyampah dengan orang macam ini," kata Anwar.

Berucap lebih lanjut, Anwar berkata, walaupun berhadapan dengan pelbagai dugaan, beliau bersyukur ke mana-mana beliau pergi, sokongan tetap diberi.

"Hari-hari dicerca, mana-mana saya pergi sokongan tetap ada. Maknanya, bukan semua rakyat bodoh," katanya.

Dalam ucapan, Anwar juga menjelaskan, isu jam Omega tidak diteruskan polis dan Umno kerana jam yang diserahkan Eskay kepada polis sebenarnya 'dibeli' beliau pada 2004, sewaktu masih dalam penjara.

Beliau juga sempat berkongsi pengalamannya dipujuk Ahli Lembaga Pengarah Bank Baraqa untuk tinggal di luar negara sewaktu berkunjung ke Bahrain baru-baru ini.

"Tak payah duduk di situlah (Malaysia), kami tengok (dugaan yang dihadapi Anwar) kami pun tak tahan," cerita Anwar yang tetap mahu meneruskan perjuangan demi rakyat Malaysia.

"Rakyat tidak cerca saya, yang cerca saya pemimpin Umno," kata Anwar.

Tiada ulasan: