Kelab Greenboc |
- Tragedi Ulu Bendul: Mayat Nurshaza Sakinah Belum Ditemui
- Anak Kartika Sari Ditemui Lemas Di Sungai Perak
- Peluang Mat Sabu Cerah Untuk Timb Presiden PAS
- Sepatutnya Awie Bersyukur Kerana Bob Lokman Diberi Hidayah Oleh Allah
- Mahathir Cuba Bangkitkan Kebencian Melayu Terhadap PAS
- Kaki Wanita Digonggong Anjing
- Saya Puji Rais Jika Beliau Melakukan Sumpah Laknat Beliau Tak Rogol Amahnya - Mutalib
- Siapa Bermain Api, Dia Yang Terbakar Nanti!
- Tiga Ulama Diarah Turun Dari Pesawat Amerika
- Osama Pernah Berlatih Judo Di Taiwan
- Biskop Mahu Kerajaan Ambil Tindakan Ke Atas Utusan
- Madonna Putus Cinta Sama Kekasih Islamnya, Brahim
- Banglo Empat Tingkat Tengku Adnan Terbakar
Tragedi Ulu Bendul: Mayat Nurshaza Sakinah Belum Ditemui Posted: 09 May 2011 12:30 AM PDT Pasukan Smart Sertai Gerakan Mencari Nur Syaza Di Ulu Bendul Gambar: Belum putus asa: Wan Azleela Wan Abdullah (depan) menyertai gerakan mencari mayat anak bongsunya, Nurshaza Sakinah Said Ahmad, 2, yang lemas dalam kejadian fenomena 'kepala air' di Hutan Lipur Ulu Bendul dekat Kuala Pilah, Selasa lalu. - Foto Owee Ah Chun KUALA PILAH: Gerakan mencari Nur Syaza Sakinah Said Ahmad, 2, yang masih hilang selepas dihanyutkan arus deras di Hutan Lipur Ulu Bendul dekat sini Selasa lepas, diteruskan pagi ini. Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Jaafar Baba berkata gerakan itu kini melibatkan 140 anggota pelbagai agensi termasuk Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (Smart) serta unit anjing K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat. "Gerakan mencari ini dibahagikan kepada dua kumpulan dan pencarian hari ini dilakukan bermula dari tempat mangsa hanyut di hutan lipur itu sehingga sejauh kira-kira 6 kilometer menyusuri sungai," katanya ketika dihubungi. Katanya usaha mencari turut dilakukan dengan mengorek kawasan berpasir di tebing sungai untuk mengesan mangsa yang dikhuatiri tertimbus. Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, Nur Syaza Sakinah bersama dua kakaknya, Nur Syaza Alisa,5, dan Nur Syaza Azira, 3, hanyut dibawa arus deras atau fenomena 'kepala air' ketika sedang mandi di kawasan perkelahan tersebut. Bapa tiga beradik berkenaan, Said Ahmad Ibrahim, 28, dan kenalan wanitanya, Alwani Abu Hassan, 19, sempat diselamatkan oleh orang ramai. Mayat Nur Syaza Alisa dan Nur Syaza Azira ditemui Rabu lepas. -BERNAMA
|
Anak Kartika Sari Ditemui Lemas Di Sungai Perak Posted: 08 May 2011 11:50 PM PDT Sungai Siput: Mayat anak sulung bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi, yang dilapor hilang dua hari lalu, ditemui terapung di Sungai Perak di sini awal hari ini. Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Supt Azman Salim, berkata mayat Muhammad Azfar Mohamad Afandi, 9, ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada 1 pagi tadi, kira kira satu kilometer dari tempat mangsa dipercayai terjatuh. "Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat dan dijangka dituntut keluarganya tengah hari ini untuk dikebumikan di Kampung Jawang, Karai," katanya ketika dihubungi. Azman berkata, kanak-kanak itu disedari hilang oleh keluarganya pada 12 tengah hari Jumaat lalu ketika tinggal di inap desa milik keluarga mereka di sini yang terletak berhampiran sungai tersebut. Katanya, gerakan mencari dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), RELA dan penduduk kampung dilakukan sejurus menerima laporan kehilangannya. - BERNAMA
|
Peluang Mat Sabu Cerah Untuk Timb Presiden PAS Posted: 08 May 2011 10:20 PM PDT Mat Sabu dahului pencalonan KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Sabu mendahului senarai pencalonan jawatan timbalan presiden apabila memperoleh 70 pencalonan daripada 133 kawasan parti itu yang sudah bermesyuarat berbanding penyandang, Nasharudin Mat Isa yang mendapat 39 pencalonan. Lebih mengejutkan Nasharudin yang juga Ahli Parlimen Bachok gagal memperoleh sebarang pencalonan daripada 13 kawasan di Kelantan yang sudah mengadakan mesyuarat agung. Satu lagi kawasan, iaitu Bachok dijadual bermesyuarat pada 21 Mei ini, seminggu selepas tarikh akhir pencalonan dikemukakan. Selain Nasharudin dan Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, empat lagi pemimpin tertinggi parti turut memperoleh pencalonan bagi jawatan nombor dua parti itu. Mereka ialah Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang memperoleh 17 pencalonan, diikuti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dengan lima pencalonan, manakala seorang lagi Naib Presiden, Salahuddin Ayub dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin masing-masing memperoleh satu pencalonan. Sumber memberitahu, jumlah pencalonan terkini itu memberi gambaran awal Nasharuddin mengesahkan akan mempertahankan jawatan bagi penggal ketiga, bakal berdepan laluan sukar berikutan jumlah pencalonan jauh lebih rendah berbanding pencabar terdekatnya. Malah, ketiadaan pencalonan daripada semua kawasan di Kelantan kecuali Bachok memberi mesej awal beliau ditolak ahli peringkat kawasan, khususnya di negeri itu. PAS akan mengadakan pemilihan parti pada Muktamar Tahunan ke-57 di Taman Melewar, awal bulan depan yang akan dihadiri 1,100 perwakilan daripada 179 kawasan dengan 15 Mei ditetapkan sebagai tarikh akhir untuk kawasan mengemukakan pencalonan. Baki 45 kawasan tidak termasuk Bachok, dijangka mengemukakan pencalonan sebelum tarikh tutup 15 Mei ini. Pencalonan juga diterima daripada Majlis Syura Ulama, Dewan Ulama, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda. Mat Sabu bertanding merebut jawatan sama pada pemilihan 2009, membabitkan persaingan tiga penjuru antara beliau, Nasharuddin dan Datuk Husam Musa. Sumber turut memaklumkan sehingga kini, Mat Sabu memperoleh enam pencalonan daripada 13 kawasan di Kelantan, termasuk Kubang Kerian, empat di Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan (dua daripada 13 kawasan), Kedah (lapan daripada 15 kawasan), Perak (13 daripada 24 kawasan), Pulau Pinang (lima daripada 13 kawasan), Selangor (empat daripada 22 kawasan), Perlis (dua daripada tiga kawasan), Melaka (dua daripada enam kawasan), Sabah (lima daripada lapan kawasan), Johor (15 daripada 26 kawasan), Pahang (tiga daripada 14 kawasan) dan Sarawak (satu daripada lima kawasan). Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, berkata kawasan yang mahu mengadakan mesyuarat agung selepas 15 Mei tidak boleh menghantar pencalonan dan tiga kawasan dikenal pasti termasuk Bachok dan Seremban mungkin lewat bermesyuarat. Pencalonan jawatan Timbalan Presiden PAS # Mohamad Sabu - 70 pencalonan # Nasharudin Mat Isa - 39 pencalonan # Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man - 17 pencalonan # Datuk Seri Azizan Abdul Razak - 5 pencalonan # Salahuddin Ayub - 1 pencalonan # Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin - 1 pencalonan Ulasan GB Seperti yang GB utarakan sebelum ini, GB terbuka. Sesiapa pun berhak bertanding. Di dalam konteks semasa, rasanya perlukan "adjustment" terhadap barisan kepimpinan untuk menghadapi PRU13. Dan pencalonan yang agak banyak yang diterima oleh Mohd Sabu untuk jawatan Timbalan Presiden menampakkan ahli-ahli PAS seluruh negara mengharapkan perubahan dan untuk memenuhi keperluan adjustment tersebut. Selamat maju jaya kepada Mohd Sabu. |
Sepatutnya Awie Bersyukur Kerana Bob Lokman Diberi Hidayah Oleh Allah Posted: 08 May 2011 08:30 PM PDT Usah melenting TERGERAK di hati saya untuk memberi sedikit ulasan apabila membaca laporan akhbar ini bertajuk 'Bob usah hipokrit, riak' yang disiarkan pada 30 April lalu. Awie nampaknya begitu marah dengan Bob Lokman yang dikatakan kerap menyerang dunia hiburan selepas bersara daripada bidang itu baru-baru ini. Kemarahan Awie ini berikutan kenyataan Bob Lokman dalam satu portal hiburan mengenai pengundurannya daripada dunia seni disebabkan tidak lagi mempercayai dunia hiburan yang dianggapnya hipokrit dan mempunyai unsur tidak baik. Saya tidak membaca portal berkenaan tetapi, saya percaya, niat dan tujuan Bok Lokman apabila memberi kenyataan itu hanyalah untuk berdakwah. Ini selari dengan tugas baru beliau iaitu untuk berdakwah. Saya rasa Awie tidak perlu melenting dengan teguran Bob itu. Anggaplah Bob Lokman sudah menerima hidayah daripada Allah ketika usianya memasuki penghujung. Sepatutnya kita sebagai rakan artis bersyukur kerana Bob Lokman diberi hidayah oleh Allah dan berdoa kepada Allah supaya giliran kita pula diberi hidayah. Saya bukanlah lulusan agama untuk mengulas kenyataan Bob Lokman yang menyatakan dunia hiburan tidak boleh dipercayai dan mempunyai unsur tidak baik. Anda yang berada dalam golongan artis boleh menilai sendiri, nilailah daripada cara hidup kita, cara pergaulan kita, cara berpakaian kita, cara makan dan minum kita, cara ketrampilan diri kita apakah selari dengan tuntutan Islam. Tak perlulah saya huraikan dengan lebih lanjut tetapi itu mungkin apa yang dikatakan unsur tidak baik yang dimaksudkan Bob itu. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: "Barang siapa antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika ia tak sanggup, maka dengan lidahnya. Dan jika tak sanggup juga, maka dengan hatinya, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman." – Hadis Riwayat Muslim. Awie berkata, sebagai artis, beliau akan menjalani kehidupan seperti sedia ada dan sebagai umat Islam akan sampai masa untuk beralih arah kerana itu sebahagian daripada kehidupan. Komen saya, apakah Awie pasti apabila sampai masa Awie juga akan beralih arah? Apakah beralih arah atau berubah ini sebahagian daripada kehidupan? Adakah Awie bermaksud semua yang jahat akan jadi baik suatu masa nanti? Jika ini anggapan Awie, anda memang tersilap. Tidak semua orang diberikan hidayah oleh Allah. Mengenai Bob Lokman yang memilih jalan berdakwah apakah Awie tidak suka? Bob Lokman memilih jalan kedua dalam hadis Rasulullah itu kerana beliau dikurniakan Allah petah berkata-kata dan saya pula hanya berupaya dengan jalan ketiga menegur dengan hati, itulah iman saya yang lemah. Namun, saya sentiasa berdoa semoga Allah tetap dan tingkatkan iman saya. POKCU HET, Bagan Serai, Perak -HM |
Mahathir Cuba Bangkitkan Kebencian Melayu Terhadap PAS Posted: 08 May 2011 07:30 PM PDT Dr M selar PAS PAS kini tidak lagi fokus memperjuangkan Islam sebaliknya lebih kepada berjuang mempertahankan DAP, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Katanya, pemikiran orang Melayu dalam parti itu telah jauh berubah berbanding semasa PAS di bawah kepimpinan bekas Yang Dipertuanya Allahyarham Prof Burhanuddin Al Helmi dan bekas Presiden Allahyarham Datuk Asri Muda. Beliau berkata, ketika ini pemimpin dan anggota PAS sanggup bermati-matian mempertahankan DAP walaupun sebelum ini Pengerusi DAP Karpal Singh menyanggah gagasan penubuhan negara Islam seperti yang dikehendaki parti itu. "Sampaikan Nik Aziz (Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) sekarang bukan main lagi pertahankan DAP, dulu tengok DAP pun tak boleh bila DAP kata langkah mayat kami dulu kalau hendak tubuh negara Islam. "Tetapi sekarang ini orang PAS pula kata langkah mayat aku kalau hendak dera Karpal Singh...suasana dah terbalik," katanya semasa berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Cheras di Dewan Utama, Pusat Rekreasi Cheras di Kuala Lumpur, hari ini. Bekas presiden Umno itu berkata perpecahan di kalangan orang Melayu hari ini juga dimulakan oleh PAS apabila ulamak yang asalnya dalam Umno bertindak keluar parti dan menubuhkan PAS setelah tidak berpuas hati kerana tidak diberikan tempat. "Puncanya orang Umno yang pandai bahasa Inggeris diberi tempat, mereka golongan yang pandai bahasa Arab tetapi tidak pandai bahasa Inggeris merasa tidak diberi tempat," katanya. Dr Mahathir juga menyelar tindakan Nik Aziz yang gemar memutar belit ayat al-Quran dan berbohong demi untuk mengekalkan kuasa. Menteri Besar Kelantan itu dakwa Dr Mahathir sanggup berkata dengan memetik ayat al-Quran bahawa tidak salah orang Islam berpecah dua. Beliau berkata, atas landasan itulah, Umno dari dulu lagi menyangkal yang PAS memperjuangkan Islam dan keadaan itu makin ketara apabila semakin banyak pembohongan yang dibuat oleh pemimpin PAS itu. - Bernama Ulasan GB Kalaulah hendak dibangkitkan penghinaan yang TDM lakukan terhadap Islam mungkin ruang di blog ini tidak mencukupi. Mahathir mengutuk ulama', merasakan diri sebagai ulama' al kabir Beliau menghina ulama', menghina pandangan Tuan Hj. Ishak Baharum bekas Mufti Selangor yang dipecat, menghina Dr. Harun Din seorang ulama' yang disegani. Beliau menempelak pandangan ulama' dalam isu menutup aurat, pertandingan ratu cantik dengan menyatakan ulama' mentafsir Al Quran untuk kepentingan diri dan ianya bersalahan dari ajaran Islam. Selagi tafsir atau fatwa ulama' menggugat Mahathir, selagi itulah fatwa tersebut kononnya bertentangan dengan ajaran Islam. Apakah Mahathir itu layak memberi fatwa dan menjadikan dirinya sorang diktator satu ketika, tetapi juga ulama' Al Kabir. Menghina hukum Islam serta memberi fatwa baru Beliau mempermainkan hukum hudud dengan menempelak bahawa negara Islam yang mengamalkan hudud akan menyebabkan orang Islam semuanya kudung. Beliau juga mempermainkan hukum Allah ini dalam lawak jenakannya. Tidak berupaya melaksanakannya pada masa ini bolehlah dimaafkan tetapi menolak dan mempersendakan Hukum Allah ini adalah melampau dan wajib diperangi. Menghina Nabi Muhammad sallalhu'alihi wassalam. Beliau mempermainkan sunnah Rasulullah. Beliau membuat jenaka dengan janggut Nabi. Beliau mempermainkan pakaian ummat Islam yang dipakai Nabi dan para sahabat dengan menyatakan itu pakaian Arab dan bukan Islam. Berikut ialah petikan kenyataan-kenyataan Mahathir: (Kenyataan Tun Dr. Mahathir kepada wartawan pada 3hb Mac 1994 di Nilam Puri, Kelantan Darul Naim): Hukum rejam kepada penzina adalah primitif (Ucapan Tun Dr. Mahathir pada 30 April 1992 di perjumpaan Ketua2 UMNO bahagian Johor). Saya nak tahu siapakan di antara ahli2 Pas yang sanggup memotong tangan orang jika hudud dilaksanakan di Kelantan. Barangkali Nik Aziz akan melakukannya. Jika benar kita nak tengok apa yang berlaku selepas hukum itu nanti. (Ucapan Tun Dr. Mahathir pada 14 Ogos 1994 di Pasir Mas Kelantan). Sukar dilaksanakan hukum syarak kerana masyarakat Malaysia bukan seratus peratus Islam. (Ucapan Tun Dr. Mahathir pada 3 Mac 1994 di Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri, Kelantan). Apakah hukum hudud mesti dilaksanakan juga walau apa pun keadaan sehingga mendatangkan mudarat kepada orang Islam. Apakah dalam keadaan Islam sudah lemah, hukum2 yang boleh melemahkan lagi orang Islam mesti dilaksanakan? – Ucapan Tun Dr. Mahathir pada 3 Mac 1994 di Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri, Kelantan) (Ucapan Tun Dr. Mahathir pada 3 Mac di Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri, Kelantan) Hudud tidak boleh dilaksanakan kerana sukar mendapat saksi yang tidak fasik. - (Tun Dr. Mahathir Mohamad, temubualnya dengan media massa, 14 Julai 1992) "Apabila hukum rejam batu sampai mati kepada penzina dan potong tangan kepada pencuri, nescaya ramailah rakyat Islam yang mati dan kudung tangan.Ini sangat memalukan ummat Islam, kerana orang bukan Islam akan sempurna sifatnya dan boleh meneruskan kerja." (Tun Dr. Mahathir Mohamad, ucapannya di Pusat Bahasa Nilam Puri, Kelantan, 3 Mac1994. "Saya cabar Kelantan laksana hukum hudud di depan orang bukan Islam." (Tun Dr. Mahathir Mohamad, ucapannya di Pusat Bahasa Nilam Puri, Kelantan, 3 Mac 1994) Hudud tidak boleh dilaksanakan kerana sukar mendapat saksi yang tidak fasik (Tun Dr. Mahathir Mohamad, ucapannya di Pasir Mas, 14 Ogos 1994). "Al-Quran perlu ditafsirkan semula untuk disesuaikan dengan keadaan masa kini." (Tun Dr. Mahathir Mohamad, temubualnya dengan media massa selepas sidang Majlis Tertinggi UMNO, 1994). "Saya akan mempastikan bahawa negeri-negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional tidak akan melaksanakan hukum hudud." (Tun Dr. Mahathir Mohamad, ucapannya di Pasir Mas, Kelantan, 14 Ogos 1994). "Kerja yang paling sesuai bagi Tok Guru (ulama') ialah mengajar, bukan mentadbir." (Tun Dr. Mahathir Mohamad, ucapannya di Pasir Mas, Kelantan, 14 Ogos 1994). "Sukar dilaksanakan hukum syarak kerana masyarakat Malaysia bukan seratus peratus Islam". (Tun Dr. Mahathir Mohamad, ucapannya di Pasir Mas, Kelantan, 14 Ogos 1994). "Kita (Kerajaan Pusat) akan ambil tindakan jika Kelantan meneruskan usaha melaksanakan hudud." (Tun Dr. Mahathir Mohamad, kenyataannya kepada wartawan, 30 April 1992). "Bukan kerana dengan melaksanakan hukum hudud saja kita boleh menjadi Islam. Kita tengok banyak negara Islam yang tidak melaksanakan hukum hudud, tetapi tidak bermakna mereka tidak Islam." (Tun Dr. Mahathir Mohamad, temubualnya dengan wartawan, 18 Ogos 1991. "Perlaksanaaan hukum hudud boleh menyebabkan umat Islam menjadi mundur kerana tidak boleh bersaing dengan orang bukan Islam apabila orang Islam dipotong tangannya dan dilakukan hukum hudud yang lain, sedangkan orang bukan Islam tidak dikenakan." (Tun Dr. Mahathir Mohamad, bercakap kepada wartawan, 24 April 1992) . "Jika mereka hendakkan sangat hukum hudud, mereka kenalah cuba hukum mereka sendiri atau mahkamah mereka sendiri. Mereka seronok nak potong tangan orang, seolah-olah jika tidak potong tangan, tidak Islam. Sekarang kita nak tengoklah mereka boleh buat atau tidak." (Dr. Tun Dr. Mahathir Mohamad, ucapannya di Papar, Sabah, 2 Mei 1992). "Bagaimana kita boleh maju kalau orang Islam sudah tidak ada tangan dan kaki? Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa-bangsa lain, kalau sifatnya sudah tidak cukup? Hukum hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama." (Dr. Tun Dr. Mahathir Mohamad, ucapannya di Pasir Mas, Kelantan, 14 Ogos 1994). "Melaksanakan hukum hudud sehingga melemahkan orang Islam sehingga menjadi masyarakat kucar kacir dan ditindas oleh orang lain tidaklah secucuk dengan ajaran Islam." (Tun Dr. Mahathir Mohamad 2/5/92) 'Bagaimana kita boleh maju kalau orang Islam rakyat Islam yang mati dan kudung sudah tiada tangan dan kaki. Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa-bangsa lain kalau sifatnya sudah tidak cukup. Hukum Hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama'. Memang Mahathir mudah lupa! |
Posted: 08 May 2011 05:35 PM PDT Kaki kanan yang digonggong anjing peliharaan seorang peniaga kuih memberi petunjuk kepada penemuan mayat seorang wanita dipercayai dibakar sehingga rentung di tapak pembuangan sampah berdekatan sebuah sekolah rendah di Batu Kawah, pagi semalam. Mayat wanita tidak diketahui identiti itu ditemui kira-kira 50 meter dari tempat kaki kanannya dilarikan anjing terbabit sambil menyalak ke arah tuannya yang secara kebetulan baru pulang dari berniaga, kira-kira jam 7 pagi. Sebelum penemuan itu, wanita peniaga kuih berusia 50-an itu baru masuk ke rumah sewanya dan pelik apabila mendengar anjing peliharaannya menyalak tidak seperti kebiasaan. Difahamkan, peniaga terbabit dikatakan pada mulanya tidak mempedulikan salakan anjingnya, namun hatinya tergerak untuk mengetahui punca sebenar sebelum menghampiri tempat haiwan itu berada. NGERI... kaki kanan milik seorang wanita yang digonggong anjing. Sebaik menghampiri anjingnya, dia terkejut melihat haiwan itu menggonggong kaki kanan yang tercabut dari paras lutut dalam keadaan rentung, namun tiada anggota badan ditemui di lokasi berkenaan. Menurut sumber, wanita terbabit terus memanggil seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) yang secara kebetulan berada tidak jauh dari tempat kejadian sebelum menghubungi polis. "Sebaik tiba, usaha mencari anggota badan mangsa berjaya ditemui selepas Unit Anjing Pengesan diarahkan bergegas ke lokasi kejadian. "Seorang penduduk memberitahu ternampak kepulan asap beberapa hari lalu, namun tidak menyangka kejadian seumpama ini berlaku. "Ini kerana penghuni menyangka ada penduduk membakar tayar kira-kira jam 11 malam. Namun, pada masa sama, penduduk turut hairan kerana pembakaran berlaku lewat malam," kata sumber berkenaan. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Fauzi Bujang ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat terbabit. Katanya, siasatan awal mendapati kaki kanan bercerai daripada anggota badan mangsa dipercayai digonggong anjing sebelum dibawa ke lokasi penemuan itu. "Pemeriksaan ke atas mayat terbabit tidak menemui sebarang dokumen peribadi, namun hanya mengesahkan mayat terbabit adalah wanita. "Polis masih menjalankan siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya. -hm |
Saya Puji Rais Jika Beliau Melakukan Sumpah Laknat Beliau Tak Rogol Amahnya - Mutalib Posted: 08 May 2011 04:20 PM PDT Nilai Saman Rais Hanya 1 Sen? Oleh: MUTALIB M.D DAKWAAN Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Rais Yatim membuat 'substitute servis' kerana gagal menemui saya untuk menyerahkan saman peribadi adalah satu 'pembohongan' di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Amelia Tee Hong Geok Abdullah dan sekaligus menghina mahkamah. Rais sedia maklum bahawa saya menghadiri Persidangan Blogger Malaysia-Asean di Kuala Lumpur pada 23 hingga 25 April 2011 di Kuala Lumpur, namun beliau mencari publisiti murahan dan enggan menghadiri Persidangan berkenaan sekalipun beliau adalah menteri yang bertanggung jawab terhadap warga 'blogger'; sedangkan majlis berkenaan dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak. Berita kehadiran saya telah dimuatkan dalam blog Rocky Bru dan juga Sabahkini.net yang sering dipantau 24 jam oleh Rais dan kuncu-kuncunya, tetapi Rais mengelak untuk berhadapan dengan saya dan musuh ketatnya, Rocky Bru @ Datuk Ahiruddin Atan (Penasihat Blog House Malaysia selaku penganjur persidangan berkenaan). Blogger seluruh dunia mengutuk Rais kerana enggan menghadiri Persidangan Blogger Malaysia-Asean yang julung kalinya diadakan di Malaysia sedangkan 300 blogger menghadiri persidangan berkenaan menunggu kehadiran beliau kerana kes saya mendapat liputan meluas media. Memandangkan saya tidak menerima saman secara peribadi dan 'substitute service' tidak dimaklumkan kepada saya; sedangkan sebelum ini peguamnya telah menghantar salinan saman melalui email, maka saya tidak menghadiri perbicaraan berkenaan kelmarin. Sebaliknya Rais telah menggunakan media dengan mengumpan 'envelop journalist' untuk menyiarkan berita tersebut dengan menggembar gemburkan akan memasuki penghakiman terhadap saya jika saya tidak hadir, tetapi Pesuruhjaya Kehakiman, Amelia Tee Hong Geok Abdullah menetapkan 23 Mei 2011 untuk pengurusan kes tersebut. Setelah berbincang dengan Peguam, saya berpendirian tidak akan melayan saman Rais kerana pihaknya telah dibuat melalui 'subtitute service' secara salah sedangkan mereka boleh menemui saya di mana-mana dan pada bila-bila masa untuk menyampaikan saman berkenaan; termasuk pada hari Persidangan Blogger Malaysia-Asean di Kuala Lumpur. Jika perlu, peguam saya akan memfailkan permohonan untuk mengenepikan saman pemula yang difailkan Rais melalui peguamnya, Norhani Nordin kerana kesnya masih dalam siasatan polis dan tindakan Rais menyaman saya dibimbangi subjudis kepada siasatan polis. Memandangkan kes yang dihadapi Rais adalah kes jenayah iaitu Seksyen 376, Kanun Keseksaan, maka saya hanya akan melayan saman Rais jika Peguam Negara mengatakan hasil daripada siasatan polis, ekoran laporan yang dibuat Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) sebagai 'No Case To Answer' atau 'No Further Action'; barulah akan berhadapan dengan Rais di mahkamah. Tindakan Rais meremehkan proses mahkamah dan mengganggu siasatan polis menunjukkan beliau cuba mengalih perhatian dunia terhadapnya dengan menuding jari terhadap saya kononnya memfitnah beliau secara 'solo' dan bukannya Migrant Care, Tenaganita atau Rocky Bru. Bagi saya, sama ada Rais berjaya dalam permohonannya untuk memasuki kehakiman di Mahkamah Tinggi pada 23 Mei kelak, tidak penting kerana bagi saya nilai Menteri ini hanya 1 Sen dan nilai itulah yang akan saya bayar kepada beliau jika beliau berjaya dalam permohonan liciknya kelak. Walaupun syiling 1 sen tidak lagi laku di pasaran selepas 1 April 2008, namun nilainya masih diperakui Bank Negara kerana masih terdapat lebih 4.5 bilion keping wang syiling satu sen di pasaran. Saya tertarik dengan kenyataan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Mohd. Nor Mashor yang berkata, pemansuhan penggunaan wang syiling 1 sen dapat menjimatkan wang kerajaan sehingga RM14 juta setahun kerana kerajaan terpaksa menanggung kos sebanyak 4.2 sen bagi mengeluarkan sekeping syiling satu sen. Oleh itu amat wajar bagi Rais menerima wang hadiah 1 Sen daripada saya jika beliau berjaya memasuki kehakiman kerana itulah taraf beliau sebagai 'Menteri Kabinet' yang meletakkan undang-undang ditangan sendiri dan menjadikan Mahkamah sebagai alat untuk melampiaskan 'nafsu kabasi' demi menyelamatkan kedudukannya sebagai menteri yang dituduh melakukan jenayah merogol amahnya empat tahun lalu. Namun saya memuji tindakan Rais jika beliau sanggup melakukan 'Sumpah Laknat' bahawa beliau tidak merogol amahnya, Robengah; kerana trend berkenaan telah diterima secara meluas masyarakat Jahiliyah di Malaysia! -sabahkini
Ulasan GB Namun saya memuji tindakan Rais jika beliau sanggup melakukan 'Sumpah Laknat' bahawa beliau tidak merogol amahnya, Robengah; kerana trend berkenaan telah diterima secara meluas masyarakat Jahiliyah di Malaysia! Itu bahananya UMNO tak mahu laksanakan qazaf tetapi lebih gemarkan sumpah laknat, bak kata blogger Mutalib, trend berkenaan telah diterima secara meluas masyarakat Jahiliyah di Malaysia! Kini pemimpinnya sendiri terpentong ke batang hidung. Kalau tak mahu jalankan qazaf, apa lagi, ikut cara Eskay, bersumpah laknatlah kamu kerana demikian kehendak dan tuntutan masyarakat jahiliyah yang menyokong kamu. Ada berani? |
Siapa Bermain Api, Dia Yang Terbakar Nanti! Posted: 08 May 2011 08:35 AM PDT Utusan bermain api KUALA LUMPUR, 8 Mei: Gempar seluruh negara apabila akhbar Utusan Malaysia beberapa hari yang lalu seperti menyalakan api ketegangan antara agama ketika mencetus persoalan agama rasmi negara dengan spekulasi kononnya ada pihak tertentu yang berjuang untuk menjadikan kristian sebagai agama rasmi di negara ini. Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, suatu fakta yang diketahui umum bahawa Perlembagaan negara telah memeteri Islam sebagai agama rasmi negara ini sementara ummat Islam pula masih menjadi golongan majoriti biarpun Malaysia adalah sebuah negara majmuk. Justeru itu, katanya Islam tidak sewajarnya tergugat dan ummat Islam tidak selayaknya membenarkan Islam digugat. Jelasnya, PAS sebagai sebuah wadah perjuangan Islam di dalam negara ini pastinya tidak lebih rendah usahanya untuk memperjuang, mempertahan dan menegakkan Islam berbanding Umno dan Barisan Nasional. Katanya, kegigihan serta kesungguhan PAS berjuang serta berkorban demi melihat Islam tegak dan berdaulat di dalam negara ini nyata tidak boleh dipertikai merentasi rekod dan sejarah perjuangannya. "Sungguhpun PAS menyertai 'kerjasama politik' bersama parti-parti rakan kompenan Pakatan Rakyat (PKR dan DAP), namun PAS tidak pernah mengendurkan pedatinya untuk terus memacu perjuangan Islam, jauh sekali untuk berubah arah meninggalkan prinsip perjuangan yang didokong selama ini," tegasnya. Malah, tambahnya pacuan semakin kencang ke arah menguasai negeri bahkan negara agar bebas dari cengkaman pengaruh dan kuasa Umno juga Barisan Nasional yang menjadi punca Islam dilihat lemah serta terdedah kepada ancaman setelah lebih 50 tahun mereka memerintah, mengurus dan mentadbir negara. Beliau berkata, andainya Islam hari ini dilihat terancam dan penganutnya pula lemah pegangan agama adalah menjadi tanggungjawab semua melewati peranan dan tugas yang sayugianya dilaksanakan. Katanya lagi, sementara kerajaan selaku pemegang amanah rakyat untuk menjaga agama, negara dan warganya mestilah mengambil tanggungjawab dengan penuh keinsafan melepasi jangkauan sempadan kepentingan politik dan parti. "Saya melihat spekulasi yang ditimbulkan oleh Utusan Malaysia kononnya terdapat pihak tertentu yang berusaha untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara ini adalah berpunca dari kelemahan dan kegagalan Umno sebagai parti utama dalam Barisan Nasional menunaikan amanah yang digalaskan kepada mereka selaku pemerintah," ujarnya. Menurutnya lagi, lebih 50 tahun rakyat memberi kepercayaan dan mandat kepada Umno mewakili Barisan Nasional untuk memimpin dan mentadbir negara khasnya untuk melindungi agama Islam dan kesejahteraan rakyat. Beliau menambah, malang sungguh, malang seribu kali malang apabila Islam bukan sahaja tidak semakin kuat dan utuh tetapi dikesan umum bahawa ia semakin susut dan merosot. "Jika Umno berjaya dan mampu menjaga agama Islam ini dengan baik dan menjadikan ianya semakin hari semakin kuat dan hebat, saya percaya dan yakin spekulasi untuk menjadikan kristian sebagai agama rasmi negara ini tidak akan timbul," ujarnya. Bahkan, katanya dalam masa yang sama, penganut-penganut agama selain Islam akan terasa aman dan selesa untuk mengamal serta menganut agama mereka. Tambahnya, spekulasi yang dicetuskan oleh Utusan Malaysia ini bukan sahaja menampakkan kelemahan dan kegagalan ketara Umno dan Barisan Nasional selaku pemerintah, ia juga berpotensi menyalakan api ketegangan antara agama. "Pastinya situasi ini akan menggugat keamanan negara dan rakyat yang sepatutnya memperolehi hak hidup aman dan sejahtera," katanya. Menurutnya, spekulasi itu sangat tidak bertanggungjawab. Beliau berkata, selain dari potensi menggugat keamanan, spekulasi sedemikian juga dilihat umum sebagai usaha meraih perhatian politik murahan sekaligus percubaan nekad untuk menyembunyikan kelemahan dan ketidakupayaan mereka menjaga agama suci ini. -HD
Ulasan GB Siapa yang bermain api itu? Utusan Malaysia. Maka usah khuatir, dia sedang membakar dirinya sendiri. Samalah untuk parti yang mendokongnya, UMNO, dan pemimpin mereka yang menjadi dalangnya..... p/s dengar cerita ada rumah pemimpin UMNO terbakar hari ini... |
Tiga Ulama Diarah Turun Dari Pesawat Amerika Posted: 08 May 2011 07:30 AM PDT Washington - Tiga orang ulama, termasuk seorang tokoh Muslim kelahiran AS, yang akan menghadiri persidangan mengenai Islamofobia diturunkan dari pesawat domestik AS kerana kekhuwatiran mengenai keselamatan. Demikian kata ketiga ulama tersebut ketika akan melakukan penerbangan pada Sabtu (7/5). Dua orang ulama naik satu pesawat dari Memphis, Tennessee, menuju Charlotte, North Carolina, pada Jumaat (6/5). Tapi, keduanya dipaksa kembali ke terminal sehingga "pemeriksaan tambahan" dapat dilakukan ke atas diri mereka. "Kami melakukan langkah pengamanan dan keselamatan secara sungguh-sungguh. Peristiwa itu kini sedang dilakukan penyelidikan," kata jurucakap Atlantic South Airlines (ASA), Jarek Beem. Ia menambahkan kedua lelaki tersebut diterbangkan dengan pesawat berikutnya. ASA sedang menyelidiki kejadian tersebut. ''Kami dengan tulus meminta maaf atas ketidakselesaan yang mungkin ditimbulkan oleh kejadian ini,'' kata Beem. Imam Al-Amin Abdul-Latif, kelahiran AS dari Long Island, juga dilarang naik pesawat American Airlines dari New York ke Charlotte pada Jumaat malam. Ia diberi tahu agar kembali ke bandar udara LaGuardia untuk naik pesawat pada Sabtu pagi. "Tapi, kemudiannya dia dilarang lagi naik pesawat tanpa penjelasan," kata anak lelaki Abdul-Latif, Abu Bakr Abdul-Latif, kepada AFP. "Pagi ini kami pergi ke syarikat penerbangan dan agen tiket memberi tahu ayah saya bahawa syarikat penerbangan tersebut tak mengizinkan dia terbang naik pesawat syarikat itu. Itu lah kata-kata perempuan agen tersebut." "Tak ada dapat ayah saya lakukan," kata anaknya, yang pergi ke persidangan Charlotte tanpa ayahnya. Masudur Rahman, warga tetap AS dari India dan mantan imam Memphis yang mengajarkan bahasa Arab di University of Memphis, mengatakan bahawa beliau dan seorang ulama lagi, warga tetap AS dari Mesir yang mengenakan pakaian Islam dari pundak sampai mata kaki, dikeluarkan dari pesawat ASA 5452 dan diwajibkan menjalani pemeriksaan keselamatan baru. "Tapi, ketika kami kembali memasuki pesawat, penyelia Delta mengatakan,'Maaf, pilot tak mengizinkan kalian masuk'," kata Rahman. Delta berunding lama dengan pilot pesawat, lalu memberi tahu Rahman. Dia diberitahu bahawa sebagian penumpang mungkin merasa tak selesa dengan kehadiran mereka di pesawat tersebut. "Saya kira mereka tentu saja sedih dengan besarnya ketidak-selesaan mereka. Tapi, kalian tahu bahawa mereka mengerti apa yang sedang terjadi di dunia dan terutama sangat sensitifnya keadaan setelah terkorbannya Usama bin Ladin," kata Ibrahim Hooper dan Council on American-Islamic Relations kepada CNN. |
Osama Pernah Berlatih Judo Di Taiwan Posted: 08 May 2011 06:30 AM PDT TAIWAN - Jauh sebelum menjadi pemimpin Alqaidah, Osama bin Ladin merupakan sosok pemuda yang serius dan fokus. Osama sempat berlatih Judo. Menurut pelatih judo Taiwan papan atas, Jimmy Wu, kepada Reuters dalam sebuah wawancara di tepian gelanggang di pusat kota Taichung, Taiwan menyatakan bahawa Osama berdiri dan memilih keluar dari Judo bukan hanya kerana tingginya, tapi kerana sikapnya yang serius, konservatif, Katanya lagi, Osama merupakan murid judo-nya di Arab Saudi. Saat itu ia melatih pasukan judo Arab Saudi kebangsaan pada 1981 hingga 1991. Bin Ladin, Wu kemudian hanya mengenalnya dengan sebutan 'Osama', menghadiri kelas di pusat judo sementara masih seorang mahasiswa. Dia terlalu tinggi untuk judo, dan Wu mengatakan ia menyarankan dia melawan olahraga, tapi dia berkeras begitu, Wu menerimanya. "Aku tidak tahu nama bin Laden kemudian," kata Wu. "Setelah 9 / 11 (serangan di New York dan Washington), saya diundang ke seminar, dan beberapa bekas siswa saya di sana mengatakan 'oh Jimmy, Osama, sekarang dia pahlawan kita'. Aku terkejut dan saya mencari beberapa gambar dan aku berkata 'oh orang ini' dan saya mulai memiliki beberapa memori tentang dia." Wu kepada Reuters menunjukkan foto-foto Osama dengan ciri-ciri tinggi kurus, berjanggot, anak muda serius dengan pel rambut hitam yang ia katakan adalah Osama. Osama menghadiri pelajaran dua sampai tiga kali seminggu tetapi Wu tidak pernah melihatnya lagi setelah 1984. -republika |
Biskop Mahu Kerajaan Ambil Tindakan Ke Atas Utusan Posted: 08 May 2011 05:30 AM PDT Presiden pertubuhan Biskop Katolik Malaysia, Tan Sri Datuk Murphy Nicholas Pakiam berkata laporan akhbar Utusan Malaysia berhubung agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi persekutuan merupakan laporan yang tidak berasas dan tidak bertanggungjawab. Murphy Nicholas menjelaskan, wartawan dan pengarang akhbar berkenaan tidak mengambil langkah sewajarnya bagi mengesahkan dakwaan yang dipetik daripada tulisan blog tersebut. "Jelas sekali laporan sebegini akan memberi kesan mewujudkan (keadaan) ketidakharmonian agama dan mengapi-apikan kebencian ke atas agama Kristian. "Kami menyeru kepada pihak berkuasa dan polis supaya segera menjalankan siasatan menyeluruh ke atas perkara ini bagi memastikan sumber kepada fitnah tersembunyi, provokatif dan berniat jahat (ini)," katanya dalam satu kenyataan. Tambahnya, penganjur bagi pertemuan berkenaan – National Evangelical Christian Fellowship (NECF) – telah menafikan dakwaan penulis blog yang dipetik akhbar itu. "NECF seterusnya menjelaskan bahawa pertemuan itu hanya meliputi topik kepemimpinan beretika dan tidak ada agenda agenda (bersifat) penderhakaan seperti didakwa penulis blog dan laporan berita," katanya lagi. Dakwaan berkenaan dilaporkan akhbar Utusan Malaysia dan pertemuan itu didakwa dijalankan semalam di Pusat Kristian Katolik, Pulau Pinang manakala satu syarahan umum akan diadakan pada hari ini.
Ulasan GB Apa yang rakyat dapat perhatikan, di zaman Najib dan Muhyiddin ini, kedua-dua pemimpin ini seperti menggalakkan berlaku perpecahan kaum di kalangan rakyat dengan membiarkan akhbar Utusan memainkan isu perkauman sempit dan sentimen keagamaan. Tiada sebarang tindakan diambil walaupun akhbar berkenaan telah berkali-kali mencetuskan isu kontroversi yang menyebabkan api perkauman begitu bersemarak. Rakyat boleh menilai dan pilihanraya umum nanti pastikan UMNO dihukum. |
Madonna Putus Cinta Sama Kekasih Islamnya, Brahim Posted: 08 May 2011 04:00 AM PDT Madonna, kekasih putus cinta kerana berbeza akidah Hubungan cinta antara penyanyi Madonna, 52, dengan kekasihnya, Brahim Zaibat, 24, berakhir selepas sembilan bulan, lapor akhbar, semalam. Seorang teman rapat Brahim mengesahkan pemuda itu kini bersendirian. "Brahim tidak mempunyai apa-apa hubungan lagi dengan Madonna. Tiada apa lagi yang perlu dikatakan," kata rakannya. Brahim kini dipercayai berada di kediaman keluarganya di Lyon, Perancis. Menurut sumber terdekat perpisahan pasangan itu disebabkan perbezaan kepercayaan antara kedua-duanya. "Keluarga Brahim tidak mahu dia menghadiri perjumpaan Kabalah dan ingin dia mengekalkan kepercayaannya sebagai Muslim. "Hubungan mereka mula menjadi hambar dan mereka tidak lagi berjumpa selepas itu," kata sumber itu. Pasangan itu bertemu September, tahun lalu, dan selalu muncul bersama di beberapa restoran mewah di sekitar London. - Agensi
|
Banglo Empat Tingkat Tengku Adnan Terbakar Posted: 08 May 2011 02:15 AM PDT Rumah Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Taman Duta di Kuala Lumpur nyaris musnah apabila tingkat atas rumah banglo empat tingkat itu terbakar awal hari ini. Tengku Adnan berkata kebakaran dipercayai berpunca dari bilik anak lelakinya, Tengku Mohd Hafiz, 15, apabila pendingin hawa di bilik tersebut mengalami kerosakan sehingga mengeluarkan percikan api. "Ketika kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu anak saya sedang tidur tetapi terjaga setelah terkena percikan api dari pendingin hawa berkenaan. "Kemudian anak saya terus berlari ke bilik saya yang berada di tingkat yang sama bagi memaklumkan kejadian tersebut," katanya kepada pemberita di tempat kejadian. Tengku Adnan berkata sejurus selepas itu, beliau terus mengejutkan kesemua 15 orang penghuni di dalam rumah tersebut termasuk anggota keluarga dan pembantu rumah supaya keluar menyelamatkan diri sebelum menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat. "Semua penghuni rumah berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan," katanya. Sementara itu, Timbalan Penguasa Bomba dan Penyelamat Sentul, Halim Mustafa berkata enam jentera dengan 46 anggota dari balai Hang Tuah, Sentul, Sri Hartamas, Jinjang memgambil masa setengah jam untuk mengawal kebakaran. Halim berkata bagaimanapun hanya bumbung dan tingkat empat sahaja yang musnah manakala tingkat satu hingga tiga tidak terjejas. "Api di bumbung dan tingkat empat banglo yang berusia hampir 25 tahun itu merebak dengan cepat kerana strukturnya yang diperbuat dengan kayu namun tingkat bawahnya sempat diselamatkan," katanya. Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan, katanya. - Bernama |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan