Isnin, 2 Mei 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Husam Cabar Datuk T Jalani Ujian Poligraf

Posted: 02 May 2011 12:45 AM PDT

Anggota Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Husam Musa mencabar trio 'Datuk T' menjalani ujian poligraf bagi mengesan sama ada mereka berbohong atau tidak dalam isu video seks yang mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan berkata, ujian itu perlu dilakukan bagi membolehkan dakwaan mereka itu benar-benar boleh dipercayai dan bukan sekadar tindakan terdesak untuk kepentingan politik murahan.

"Kalau Datuk T betul, saya cadangkan adakan ujian poligraf untuk memastikan mereka tidak berbohong 9mengenai isu video aksi seks). Ujian perlu dilakukan secara terbuka dengan dihadiri panel-panel pakar," katanya ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Johor, di sini.

Selain itu Husam turut mempersoalkan tindakan Datuk Shazrul Eskay Abdullah tidak melaporkan kepada pihak berkuasa agama ketika kejadian seks itu berlaku, sebaliknya mendedahkannya ketika musim pilihan raya Sarawak berlangsung.

"Mengapa ketika kejadian itu berlaku dia (Eskay) tidak panggil penguat kuasa jabatan agama sebab itu lebih mudah kerana mempunyai saksi cukup untuk dakwa si pelaku dalam video itu
," katanya.

Bagaimanapun katanya, isu video seks berkenaan tidak akan menggugat kedudukan dan pengaruh Pakatan Rakyat (PR) kerana tidak mampu untuk mengubah pendirian rakyat terhadap kredibiliti kepimpinan mereka.

"Cabaran boleh ditukar menjadi peluang jika dihadapi dengan tenang dan masalah ini (isu video seks) boleh digunakan untuk bangkitkan sentimen orang Melayu. Tidak mustahil isu ini juga akan tikam UMNO semula," katanya.

Beliau turut menyifatkan pendedahan video aksi seks itu sebagai politik lucah yang diamalkan parti tertentu untuk meraih kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.

"Kejadian yang dirakam dalam video itu berlaku pada malam 21 Februari tetapi pagi keesokannya (22 Februari) Anwar dilihat menghadiri perbicaraan di mahkamah.

"Kemudian rambut individu dalam video itu jauh lebih pendek berbanding rambut Anwar pada 22 Februari. Jika Anwar adalah individu itu, tidak mungkin rambutnya boleh tumbuh panjang dengan begitu pantas dalam masa beberapa jam sahaja.

"Jadi besar kemungkinan bahawa pelakunya merupakan orang berbeza dan ini perlu disiasat dengan lebih terperinci," katanya. -SH

Biarlah Kita Hina Kerana Menuntut Ilmu - Bob Lokman

Posted: 01 May 2011 11:20 PM PDT

Kehinaan yang kita tempuhi dalam perjalanan mencari ilmu tidak mengapa kerana nanti ilmu itu akan memuliakan kita. Saya amat menyukai suasana sebegini.

Di sekolah-sekolah kelolaan PAS sahaja kita akan jumpa, masjidnya lebih besar dari sekolah. Banyak sekolah-sekolah yang didirikan kerajaan, muridnya 3,000 orang tapi suraunya boleh memuatkan Cuma 200-300 orang. Mengambarkan sembahyang bukan suatu agenda penting kerajaan.

Saya mengakui bahawa saya bukan seorang bapa yang berilmu tetapi saya inginkan sistem yang ada boleh mendidik anak saya menjadi seorang yang baik. Tak kisah nanti mereka nak jadi apa, doktor, loyar, polis atau apa sahaja, yang penting mereka mesti kenal Allah."

Itulah antara nasihat yang dilontarkan Saudara Bob Lokman ketika program sepetang bersama Bob sempena Ihtifal Tahunan Muassasah Matla'in Badrain, Jabi petang semalam. Ihtifal yang menjadi agenda kalendar tetap tahunan Muassasah kelmarin 30 April 2011, mengorbankan 6 ekor lembu dan dihadiri ribuan penduduk dari sekitar Besut, Setiu, Pasir Puteh malah ramai tetamu dari kawasan yang lebih berjauhan turut mengunjunginya.

Perkampungan Muassasah Matla'in Badrain di Kampung Pasir Tawar, Jabi yang menempatkan Ma'ahad Tahfiz Wa Ta'alim Matla'in Badrain, kini menjadi tempat menuntut ilmu bagi kira-kira 50 orang pelajar dengan mengamalkan konsep pusat pendidikan bersepadu, tahfiz, agama dan akademik. Sebahagian besar pembiayaannya adalah dari sumbangan orang ramai.

Kehadiran Bob pada petangnya ternyata begitu mengujakan dan beliau diberikan sambutan meriah oleh pengunjung yang tak putus-putus ingin bergambar dan bersalaman dengannya. Kemeriahan majlis pada petangnya turut diserikan lagi dengan kehadiran Dato' Haji Abu Bakar Chik, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu dan Ustaz Mohd Pauzi Muda, Yang Dipertua PAS Kawasan Setiu.

Dato' Abu Bakar Chik pula, dalam ucapannya yang penuh bersemangat di atas kapasitinya sebagai Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat menekankan pentingya institusi pendidikan rakyat ini dipertahankan. Walaupun berdepan dengan kedhaifan prasarana, kekurangan tenaga manusia, infrastruktur yang serba sederhana, isu kebajikan para pelajar dan guru tetapi dengan sokongan semua pihak, kita terus maju ke hadapan. Telah pelbagai mehnah dan tribulasi dilalui, semua ini memantangkan kita.

Berucap mewakili pihak Muassasah, Ahli Lembaga Pengarah Ma'ahad Tahfiz Wa Ta'alim Matla'in Badrain yang juga Ahli Jawatankuasa Lujnah Pendidikan PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim menegaskan tiada ummat yang boleh maju kehadapan sekiranya individu manusia di dalamnya tidak dibina. Bagi pendokong gerakan Islam, Muassasah Matla'in Badrain ini adalah milik dan tanggungjawab kita bersama. Jatuh bangunnya adalah sebahagian maruah perjuangan kita. -drazmanibrahim

Kenderaan Terhumban Dalam Parit, 2 Beranak Maut

Posted: 01 May 2011 09:50 PM PDT

Teluk Intan: "Ketika cuba menyelamatkan mereka, saya melihat pemandu dan kanak-kanak dalam kereta itu kelemasan dan bergelut untuk keluar," kata Mohd Izzaidi Mohd Rosli, 23, saksi kemalangan yang meragut nyawa dua bersaudara, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4.20 petang apabila kenderaan pacuan empat roda dipandu V Menan Raj, 21, terbabas sebelum terhumban ke dalam sebuah parit di Lorong Tokong Siam, Kampung Selabak, Jalan Padang Tembak, dekat sini.

Kejadian ketika hujan lebat itu menyebabkan Menan Raj mati di tempat kejadian akibat lemas selepas terperangkap dalam kenderaan itu, manakala anak saudaranya R Thivaran, 7, menghembuskan nafas terakhir ketika dikejarkan ke Hospital Teluk Intan (HTI).

Dua lagi penumpang yang juga adik beradik Thivaran, R Rajeletchumi, 9, dan R Vimal, 2, dilaporkan kritikal dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HTI manakala abang mereka, R Mugilan, 13, dalam keadaan stabil di hospital sama.

Mohd Izzaidi berkata, sebelum kejadian dia terdengar bunyi geseran tayar sebelum dentuman kuat seperti objek tercampak ke dalam air.

"Saya bersama beberapa ahli keluarga bergegas ke tempat kejadian dan seperti tidak percaya melihat sebuah kenderaan tenggelam dalam parit sedalam kira-kira 2.5 meter itu.

"Sebaik menghampiri kenderaan itu, saya melihat terdapat beberapa mangsa terperangkap di dalamnya bergelut untuk keluar," katanya yang ditemui di tempat kejadian.

Mohd Izaidi bersama beberapa ahli keluarga dan penduduk kampung kemudian terjun ke dalam parit dan berjaya menarik Mugilan keluar dan segera memberikan pertolongan cemas kepadanya.

Menurutnya, mereka kemudian berhempas-pulas membuka pintu kenderaan itu sebelum berjaya mengeluarkan semua mangsa.

"Dalam keadaan kelam-kabut sebelum berjaya mengeluarkan semua mangsa, saya sempat melihat seorang daripada mangsa (Menan Raj) sudah tidak bergerak kerana tersepit di tempat duduk, manakala tiga lagi seperti dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.

"Saya sedih kerana seorang daripadanya disahkan mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi ketika dikejarkan ke hospital. Saya berdoa dua lagi mangsa yang dilaporkan kritikal supaya selamat," katanya.

Sementara itu, bapa kepada keempat-empat penumpang yang juga abang kepada Menan Raj, gagal ditemu bual kerana terlalu sedih atas kejadian malang itu.

Seorang daripada ahli keluarga mangsa yang enggan identitinya disiarkan berkata, semua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Jaya, dekat sini, selepas menjemput Mugilan yang menghadiri kem di sebuah sekolah rendah berdekatan tempat kejadian.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan sedang dilakukan untuk mengenal pasti punca kemalangan.

Najib Jangan Jadi Ketam - Idris Ahmad

Posted: 01 May 2011 08:15 PM PDT

Najib macam ketam minta PAS berpisah dengan DAP

KUALA LUMPUR, 1 Mei: PAS menganggap cadangan Datuk Seri Najib Razak supaya PAS berpisah dengan DAP seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul kerana parti ini tidak sehaluan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, Najib perlu menyelesaikan masalah dalaman BN dahulu.

"Jangan cuba mengalih isu yang sedang melanda BN dengan rakan komponen BN mengenai isu 1Melayu 1Bumi telah menimbulkan kemarahan MCA.

"Apa sudah jadi slogan 1Malaysia tiba-tiba lahir pula gagasan 1Melayu 1Bumi, seolah-olah Umno menduakan suami," ujarnya.

Beliau mengulas alasan Najib bahawa PAS perlu jauh dengan DAP kerana PAS bekerja, yang menang ialah DAP dan PAS perlu berpisah dengan DAP kerana PAS tidak boleh melaksanakan agenda Islam.

"PAS hendak bertanya sejak bila pula Umno iktiraf PAS sebagai sebuah parti Islam," ujarnya.

Katanya, dengan kenyataan Najib sahlah teori yang mengatakan Umno akan bercakap Islam dan Melayu ketika orang Melayu menolak Umno.

"Ketika rakyat tolak Umno, baru mereka sedar, PAS parti orang Melayu. Selama ini merekalah membunuh kontraktor dan ahli perniagaan PAS, berapa ramai aktivis PAS diletakkan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)," katanya lagi.

Tambahnya, terbaru mereka menukar Cikgu Maaruf Mutalib, suami Cikgu Normala bekas calon PAS di Tenang.

"Siapa punya angkara?" soalnya.

Menuutnya, sekarang apabila lemas kerana pelampong Umno, iaitu pengundi bukan Melayu sudah meninggal mereka, baru mereka teringat kepada PAS.

PAS, ujarnya hendak mengingatkan Najib bahawa PAS membayar harga begitu mahal untuk berada bersama Pakatan Rakyat.

Katanya, kejayaan PAS yang menjinakkan orang bukan Islam kepada Islam satu imbuhan yang cukup berharga.

"Hendak harap kepada Umno memberi kefahaman Islam kepada orang bukan Islam di negara ini amat jauh sekali," ujarnya.

Malahan, menurutnya merekalah yang meliarkan orang bukan Islam dengan Islam.

Tambahnya, sikap hipokrit mereka dengan berjumpa pengundi bukan Islam supaya menjauhkan dengan PAS kerana mereka hendak melaksanakan agenda Islam, apabila berjumpa pengundi Islam mereka mendakwa PAS sudah tidak bercakap Islam kerana takut kepada DAP. -HD

Kakitangan Maybank Disyaki Diculik

Posted: 01 May 2011 06:30 PM PDT

Kuala Lumpur: Seorang kakitangan bank, Roslina Awang Kechik, 37 (gambar), dilaporkan hilang sejak 22 April lalu selepas keluar rumah menuju ke pejabatnya di Dataran Maybank, Bangsar.

Suami mangsa, seorang anggota tentera, Sabri Man, 38, berkata isterinya keluar ke tempat kerja dengan menaiki Transit Aliran Ringan jam 7.30 pagi selepas menghantar anak ke sekolah.

Sabri bimbang sesuatu buruk berlaku kepada isterinya kerana mengesan dua pengeluaran wang dilakukan daripada akaun anak perempuannya sehari selepas kehilangan Roslina dibuat di mesin juruwang automatik di Shah Alam.

"Saya curiga kenapa isteri perlu membuat pengeluaran RM3,000 di satu kawasan terpencil serta jauh dari jalan utama dan ini menguatkan lagi tanggapan Roslina mungkin diculik dan berada dalam bahaya," katanya yang datang membuat aduan di Balai Berita di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan menerima laporan kehilangan mangsa dan pihaknya menjalankan siasatan kes itu sebagai kes orang hilang.

Terbukti UMNO Tolak Islam, Maka Sebabnya MCA Boleh Bersamanya

Posted: 01 May 2011 06:00 PM PDT

MCA tolak PAS sertai BN jika kekal dasar Islam

MELAKA, 1 Mei — Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menutup pintu menyertai Barisan Nasional (BN) kepada PAS kecuali ia sanggup menggugurkan prinsip-prinsip negara Islamnya terlebih dahulu.

Dr Chua (gambar) berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedar bahawa partinya tidak akan menerima PAS menukar Malaysia menjadi sebuah negara Islam.

"Pendirian MCA adalah sangat jelas bahawa kami tidak akan menerima PAS dalam usaha mereka menjadikan negara ini negara Islam. Kami tidak akan menerima yang itu dan Perdana Menteri juga memang sedar akan pendirian MCA ini," kata beliau.

"Mereka boleh menyertai BN jika mereka sanggup menggugurkan dasar menjadikan negara ini sebagai negara Islam," kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Semalam, Najib berkata PAS patut keluar Pakatan Rakyat jikapun tidak memutuskan untuk tidak menyertai BN.

Sehubungan itu Perdana Menteri mendakwa PAS tidak pernah untung apa-apa pun dalam Pakatan Rakyat, malah mereka hanyalah menjadi alat kepada DAP.

Najib berkata, pada pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini misalnya, PAS telah bekerja keras, sebaliknya DAP yang dilihat meraih kejayaan daripada usaha keras mereka itu.

"Kita lihat poster di sini (Terengganu) "PAS ganti Umno", realitinya "DAP ganti PAS", di Sarawak (pilihan raya negeri 16 April lepas), PAS berkempen berhempas pulas, akhirnya, yang untung, DAP," kata beliau.

"PAS, cukuplah dalam Pakatan Rakyat, alihlah kepada yang lain, tak masuk BN pun tak apa, tetapi keluarlah dari Pakatan," kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian Pangsapuri Rakyat Pulau Duyong.

Selain itu, Najib yang juga Presiden Umno dilaporkan mempelawa PAS agar menyertai BN dengan berkata, sudah tiba masanya PAS meninggalkan DAP atas alasan ternyata tidak pernah sekalipun memperjuangkan Islam.

"Kenapa buat baik dengan DAP? Adakah DAP boleh perjuangkan Islam?

"Hadi, cukup-cukuplah dengan DAP, tinggalkan DAP, masuk BN," kata Perdana Menteri ketika berucap pada majlis Perjumpaan Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri kawasan Manir di Kampung Pulau Bahagia dekat Kuala Terengganu.

Bagaimanapun hari ini Dr Chua menegaskan, MCA tidak akan menghalang Umno dan PAS daripada mengadakan perbincangan antara satu sama lain.

"Baik, ia adalah baik bagi perpaduan orang Melayu dan Muslim, tiada masalah jika mahu berbincang. Kita tidak boleh menghalang orang daripada berbincang.

"Perdana Menteri dan Umno sangat menyedari tetapi jika mereka mahu bertemu tiada masalah untuk mengadakan pertemuan," kata Dr Chua sambil menambah, dalam negara demokratik, mana-mana pihak boleh mengadakan pertemuan dari dari semasa ke semasa mengenai perkara-perkara yang menyentuh kepentingan bersama.

Pelawaan Najib semalam muncul kira-kira seminggu selepas akhbar milik Umno, Utusan Malaysia melontarkan idea mengenai gerakan "1Melayu, 1Bumi" iaitu kempen untuk menyatukan orang Melayu kononnya bagi mengekang politik perkauman dibawa DAP.

Pelawaan Najib itu bagaimanapun ditolak oleh pemimpin-pemimpin PAS.

Membalas kenyataan Najib itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula menyeru ahli-ahli dan pemimpin Umno supaya meninggalkan parti teras BN itu untuk menyertai PAS jika benar-benar hendak melaksanakan Islam dan menegakkan keadilan bagi semua kaum.

"Jika benar Umno hendak laksanakan Islam dan bertindak dengan penuh keadilan, kuasa sudah ada di tangan mereka hari ini, mengapa mereka tidak laksanakan?" kata beliau dalam satu kenyataan.

Selain Hadi, semalam pemimpin-pemimpin kanan PAS yang lain, antaranya Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali dan Naib Presiden Salahuddin Ayub juga menolak bulat-bulat pelawaan Najib.

Ulasan GB

TERNYATA KINI bahawa UMNO diterima MCA selama ini kerana UMNO menolak dasar Islam.

Jika UMNO melaksanakan dasar Islam, berarti MCA akan tolak UMNO juga.

Ia adalah satu penjelasan yang terang kepada rakyat bahawa apa yang dilakukan oleh UMNO kini disenangi oleh MCA lantaran ketidak-pedulian UMNO terhadap dasar-dasar Islam, maka dengan sebab itu undang-undang dan mahkamah syariah tidak berfungsi selama ini.

Tahniah UMNO kerana mengikut telunjuk dan kehendak MCA yang hampir pupus itu.

Hilal Disebat 80 Kali Walaupun Melihat Zina Dengan Matanya

Posted: 01 May 2011 04:20 PM PDT

Sumpah Eskay adalah sumpah orang jahil – bekas Mufti WP

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato Md Hashim Yahya berkata sumpah yang tidak dilakukan menurut hukum syarak, diumpamakan sebagai kerja-kerja orang jahil.

Beliau diminta mengulas tindakan salah seorang trio datuk T, Shazryl Eskay Abdullah yang melakukan sumpah laknat di sebuah masjid di Sentul kira-kira pukul 4.15 petang tadi.

Ulama terkenal itu berkata, tidak ada peruntukan dalam undang-undang Islam yang membenarkan sumpah seperti yang dilakukan Eskay, berhubung tuduhan seks terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Dalam hukum qazaf, iaitu peruntukan untuk sabitan kes zina dan liwat, pihak yang menuduh perlu membawa empat orang saksi terlebih dahulu.

"Sekiranya gagal membawa empat saksi, yang menuduh itu akan dikenakan hukuman qazaf sebanyak 80 rotan," ujarnya ketika dihubungi Keadilandaily.com.

Bagaimanapun, sumpah li'an iaitu sumpah laknat itu pula katanya, hanya tertakluk antara suami dan isteri sahaja dan tidak ada peruntukan selain itu dalam hukum Islam.

Tambah beliau, seseorang suami yang menuduh isterinya berzina perlu melalui prosedur perbicaraan di mahkamah terlebih dahulu di mana dia perlu mengemukakan empat saksi seperti yang digariskan Islam seperti tidak fasik dan membuat dosa-dosa besar.

Sekiranya tuduhan itu tidak dapat dibuktikan, katanya, mahkamah kemudian akan memerintahkan supaya kedua-duanya melakukan sumpah li'an.

"Mereka yang menuduh isterinya berzina tapi tak dapat bawa empat saksi, maka dibolehkan kedua-duanya bersumpah.

"Kalau tak dapat bawa empat saksi suami dan isteri melakukan zina, dengan perintah mahkamah boleh dilakukan sumpah li'an. Kalau mahkamah panggil untuk kedua-duanya bersumpah, mahkamah akan perintah untuk buang kes itu. Siapa yang bersalah, itu diserahkan kepada Allah untuk menentukan.

"Tetapi ia dengan perintah mahkamah, tak boleh sendiri-sendiri bersumpah. Kalau kedua-duanya bersumpah, yang menuduh tidak kena 80 rotan dan yang dituduh pula tidak kena had zina. Qadi pula akan menjatuhkan fasakh iaitu tidak boleh rujuk sampai bila-bila.

"Kalau bukan arahan mahkamah, apa faedahnya bersumpah. Ia tidak kena dengan hukum syarak," ujar beliau.

Tambah beliau, dalam kes bersumpah yang cuba dilakukan Eskay, ia tidak memberi sebarang ke atas pendakwaan dari sudut sistem perundangan Islam, malah semakin mengelirukan umat Islam.

"Ia tidak memberi kesan apa-apa, tambah mengelirukan umat Islam dan menyebabkan fitnah itu berterusan. Ini menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.

"Ini kerja orang jahil dan tidak ada faedah.

"Kalau sumpah, orang hisap dadah, mencuri dan merompak pun boleh bersumpah dengan begitu mudah dan terlepas dari hukuman," ujarnya.

Beliau mengulangi kisah yang terjadi kepada Hilal Bin Umaiya yang menuduh isterinya berzina dengan Sharik Bin Sahma seperti yang diceritakan dalam surah An Nur, ayat 6.

"Rasulullah kemudian berkata kepada Hilal, sekiranya dia tidak dapat membawa empat saksi, Hilal akan dihukum dengan 80 sebatan, walaupun Hilal mendakwa melihat dengan mata sendiri isterinya melakukan zina," ujarnya.

Video Seks: Hishamuddin Juga Boleh Disaman [updated]

Posted: 01 May 2011 07:45 AM PDT

Video seks: Hishammuddin tetap mahu saman Anwar

KLUANG, 1 Mei — Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, beliau akan meneruskan hasrat memfailkan saman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mengaitkannya dengan video seks yang pelakunya mirip Ketua Pembangkang itu.

Beliau (gambar) berkata, dakwaan Anwar itu perlu dijawab di mahkamah supaya masyarakat tahu kedudukan sebenar isu terbabit.

"Kita bawa ke mahkamah kerana kalau tidak, apa yang disebar melalui luar dan internet orang akan percaya kerana kita tidak jawab," katanya dipetik Bernama Online hari ini.

Naib Presiden Umno ini berkata, tindakan Ketua Umum PKR mengaitkan beliau dengan video seks terbabit semata-mata untuk mengalihkan perhatian masyarakat.

"Itu strategi... dia (Anwar) tidak boleh jawab soalan wartawan, dia alih pandangan kepada orang lain. Kita tidak berdosa, kenapa hendak takut," katanya.

Akhir Mac lalu, Hishammudin melantik peguam Tan Sri Cecil Abraham bagi mewakili beliau dalam memfailkan saman terhadap Anwar.

Anwar dalam laporan beberapa akhbar sebelum ini menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Hishammuddin dan polis terbabit dalam pendedahan rakaman video kononnya aksi beliau mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita tidak dikenali di sebuah hotel di ibu negara 21 Mac lalu.

Najib dan Hishammuddin kemudian menafikan pembabitan mereka dalam rakaman berkenaan.

Ulasan GB

Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Tun Hussein juga boleh disaman kerana membiarkan Datuk T bebas tanpa ditahan oleh pihak berkuasa.

Sedangkan kesalahan Datuk T menerbit, memiliki dan menayangkan video lucah adalah JELAS merupakan kesalahan di bawah undang-undang.

Mengapa polis tidak menahan dan mendakwa Datuk T sehingga sekarang?

Mengapa Menteri Keselamatan Dakam Negeri bertindak secara tidak berkecuali malah dilihat berpihak kepada Datuk T berkenaan dengan membiarkan polis memberikan kawalan keselamatan semasa sumpah laknat dilakukan, malah menyediakan baju kalis peluru kepada mereka dan jelas juga polis bersubahat dengan konspirasi Datuk T berkenaan?

Justeru itu jangan mengugut orang lain jika kementerian sendiri sudah tidak menjalankan tugas dengan adil dan saksama malah dilihat bersekongkol dengan pesalah undang-undang negara.

Malahan, rakyat melalui parlimen berhak untuk meminta Hishamuddin meletakkan jawatannya sebagai menteri yang gagal di dalam menjalankan amanah dan tugasnya sebagai menteri di dalam isu video seks Datuk T ini.

GB mencadang UNDI TIDAK PERCAYA diusulkan untuk menteri yang bernama Hishamuddin Tun Huseein ini.

Eskay Perlu Dijatuhkan Hukuman Qazaf, Disebat 80 Kali Kerana Tiada 4 Saksi

Posted: 01 May 2011 05:50 AM PDT

Perbezaan antara mubahalah dan sumpah biasa

Lafaz sumpah laknat oleh Eskay tidak menepati hukum syarak - Dr Asri

PETALING JAYA: Sumpah ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah bagi membuktikan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam klip video seks bukanlah sumpah laknat (mubahalah) kerana ia tidak menepati hukum syarak.

Menurut mantan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin, mubahalah membawa pengertian berikut:

"Dua pihak berkumpul bersama ahli keluarga kemudian kedua-dua pihak memohon agar Allah swt melaknat sesiapa yang berdusta antara keduanya pada perkara yang mereka berselisih dalam hal agama."

Peristiwa mubahalah disebut dalam Al Quran, ayat 61 Surah Ali Imran, yang bermaksud, "Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka:

"Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu.

"Kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta."

Seorang pakar akidah Ahlu Sunnah Wal Jamaah dan Ilmu Hadis, Abu Syafiq Al-Asy'ary yang menulis di dalam blognya, berkata bahawa sumpah dan mubahalah mempunyai pengertian berbeza.

Kebenaran dalam agama

Pengertian mubahalah adalah seperti yang disebutkan di atas dan dilakukan pada perselisihan tegar antara pandangan kedua-belah pihak pada perkara berkaitan kebenaran dalam agama.

Dalam Surah Al Imran ayat 59 hingga 61, Allah swt berfirman bermaksud:

"Sesungguhnya bandingan (kejadian) Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: "Jadilah engkau!" maka jadilah ia.

"Kebenaran itu datang daripada Tuhanmu, maka jangan sekali-kali engkau menjadi di kalangan mereka yang ragu-ragu.

"Kemudian sesiapa yang membantahmu (Wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka:

"Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, isteri-isteri kami serta isteri-isteri kamu, dan diri kami serta diri kamu.

Kemudian kita memohon kepada Allah serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta."


Sumpah disebut sebagai halaf caranya seperti dimulakan kenyataan seseorang itu dengan dia menyebut perkataan Wallahi atau Billahi atau Tallahi (bersumpah dengan nama Allah) dengan maksud apa yang dinyatakan adalah benar (tanpa ada melaknat pihak yang lain).

Surah An-Nur ayat 4, sepertimana yang tertera di dalam laman sesawang Jabatan Perdana Menteri menyatakan seperti berikut:

Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.

Dalam tafsir Ar Rahman, cetakan 1980, menafsirkan ayat yang sama seperti berikut:

"Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi maka sebatlah mereka delapan puluh sebat dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.

Berdasarkan perlakuan Shazryl yang melafazkan sumpah laknat tanpa membawa empat orang saksi di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul Jumaat lalu maka beliau boleh dijatuhkan hukuman 'Qazaf' iaitu dengan 80 kali sebatan. Sumpah laknat yang dilafazkan oleh Shazyrl bukanlah sumpah mubahalah dan tidak menepati hukum syarak, sebaliknya bersumpah biasa sahaja bagi membuktikan dirinya benar.

Jumaat lalu, di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, Eskay melafazkan sumpah laknat bagi membuktikan bahawa Anwar adalah pelaku dalam klip video seks yang ditayangkan kepada pihak media di Carcosa 21 Februari lalu. -FMT


Sumpah Eskay tidak ikut hukum syarak

PETALING JAYA: KEADILAN menegaskan kaedah yang disarankan oleh salah seorang Trio Datuk T, Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang mahu melakukan sumpah laknat, tidak menepati hukum syarak, kata ketua Penerangannya, Dr Muhamad Nur Manuty.

Menurutnya, tidak ada keperluan untuk Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut sama mengangkat sumpah tersebut, kerana ia perlu terlebih dahulu mengikut hukum yang digariskan dalam Al Quran.

"Sheikh Yusuf al-Qardhawi, seorang ilmuan ternama dunia yang berautoriti dalam bidang syari'ah menjelaskan bahawa orang yang menuduh wajib mengemukakan bukti (4 orang saksi yang adil).

"Ini adalah ketetapan Allah yang tidak boleh dikompromikan dan orang yang tertuduh tidak dituntut untuk bersumpah kerana pada dasarnya setiap manusia itu bersih daripada sebarang tuduhan.

"Jika semua kes jenayah mahu diselesaikan dengan amalan bersumpah, maka tidaklah perlu diwujudkan mahkamah, hakim ataupun polis. Semua pelaku jenayah boleh sewenang-wenangnya melepaskan diri mereka dengan hanya melakukan sumpah," ujarnya.

Menurutnya lagi, sekiranya sumpah digunakan sewenangnya, ia akan memberi akibat kepada sistem kehidupan, malah negara akan turut menjadi porak peranda.

Namun begitu, katanya, itu lah yang dilakukan oleh mereka yang tergolong dari kalangan orang-orang munafik, berdasarkan gambaran Al Quran dalam surah Al-Munafiqun ayat 2 yang bermaksud.

"Mereka (orang-orang munafik) menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan.

Katanya, sifat orang-orang munafiq sememangnya pandai berpura-pura, berlakon dan bijak berkata-kata. Namun begitu, mereka sentiasa dihimpit rasa cemas dan gelabah serta bersifat angkuh dan sombong seperti dinyatakan Allah di dalam ayatnya"(Al-Munafiqun:3-5) yang bermaksud:

"Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati oleh tubuh badan mereka (dan kelakuannya) dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan petah sekalipun kosong). (Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (batang buruk hampas dan kosong).

"Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya dari kebenaran)?

"Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah (bertaubat) supaya Rasulullah meminta ampun (kepada Allah) untuk kamu, mereka (enggan sambil) menggeleng-gelengkan kepalanya dan engkau melihat mereka berpaling (dari bertaubat) serta mereka berlaku sombong angkuh.


Menurut Dr Muhammad Nur, isu yang ditimbulkan oleh Trio Datuk T adalah sebahagian daripada gerakan fitnah yang dilakukan oleh musuh-musuh politik Anwar Ibrahim sejak 12 tahun yang lalu.

"Gerakan fitnah yang semakin menggila sekarang ini adalah manifestasi dari mentaliti tertekan dan kecemasan melampau lantaran sokongan rakyat yang semakin meningkat kepada DSAI dan Pakatan Rakyat sekarang ini.- Keadilandaily


Ulasan GB

1) JELAS, sumpah laknat itu tertolak kerana tidak mengikut peraturan syarak. Yang utama Eskay yang menuduh perlu membawa 4 orang saksi yang tsiqah.

2) Jika gagal bawa saksi, maka beliau perlu disebat 80 kali sebatan.

3) Beliau bersumpah atau pun tidak itu di antara dia dengan Allah.

4) Tugas umat Islam di alam syahadah ialah laksana perintah hukum syariat iaitu Qazaf. Jika tidak seluruh umat Islam berdosa dan mengundang bencana Allah.

Israel Melenting Hamas Dan Fatah Berdamai

Posted: 01 May 2011 05:00 AM PDT

Ramallah: Pemimpin Fatah dan Hamas membuat kejutan apabila mencapai persetujuan semalam untuk berdamai seterusnya membentuk kerajaan perpaduan sementara dan berikrar mengadakan pilihan raya dalam tempoh setahun lagi, langkah yang dikecam Israel sebagai 'melangkah garis merah.'

AZZAM (kanan) bersalaman dengan timbalan ketua Hamas, Mussa Abu Marzuq selepas mencapai persefahaman membentuk kerajaan perpaduan sementara dan mengadakan pilihan raya.Ia mendapat pujian Perdana Menteri Palestin, Salam Fayyad yang berharap dapat menjadi asas untuk segera mewujudkan pentadbiran perpaduan.

Perjanjian antara perunding Fatah dan Hamas itu dicapai di Kaherah kelmarin selepas rundingan berlangsung 18 bulan.

Iran turut menyatakan pujian kerana percaya ia dapat mempercepat perkembangan di Palestin dan mencapai kemenangan besar ke atas Israel sejak dua pergerakan Palestin itu bermusuh pada awal 1990-an.

Israel pula memberi reaksi marah dengan Menteri Luar Luar, Avigdor Lieberman dan Menteri Pertahanan, Ehud Barak memberi amaran bahawa rejim Tel Aviv tidak akan menerima kerajaan Hamas.

"Perjanjian itu satu langkah melepasi garisan merah," kata Lieberman kepada radio tentera Israel sambil memberi amaran mereka akan mengambil tindakan balas manakala Barak berkata tentera Yahudi akan bersikap kuku besi untuk menangani sebarang ancaman dan berikar tidak akan berunding dengan Hamas.'

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula menuntut pemimpun Fatah, Mahmoud Abbas, memilih antara perdamaian dengan Israel atau berdamai dengan Hamas.
Persetujuan itu menetapkan dua pihak berkenaan akan bekerjasama membentuk kerajaan perpaduan daripada ahli politik pilihan dua pergerakan berkenaan sehingga pilihan raya tempatan diadakan, kata ketua perunding Fatah, Azzam al-Ahmad.

Wakil Hamas dan Fatah akan pulang ke Kaherah minggu depan bagi menandatangani dokumen yang turut menetapkan syarat pembebasan tahanan politik dua parti berkenaan. – AF

Isu Sumpah Balas: Kenapa Utamakan Hal Yang Tidak Wajib Berbanding Qazaf Yang Wajib?

Posted: 01 May 2011 04:00 AM PDT

Asri: Sumpah tak wajib tapi Anwar harus balas elak buruk sangka

KUALA LUMPUR, 1 Mei — Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin (gambar) berkata sumpah bukan satu paksaan, tetapi Datuk Seri Anwar Ibrahim sewajarnya melakukan sumpah balas untuk menghilangkan sangkaan buruk ekoran tindakan "Datuk T" kelmarin.

Bagaimanapun beliau tidak bersetuju dengan tindakan ahli perniagaan Datuk Sharyl Eskay Abdullah — salah seorang "Datuk T" melakukan sumpah laknat yang didakwanya hanya bertujuan mendedahkan keaiban orang lain, dalam kes ini Anwar.

"Saya tidak bersetuju Datuk T bersumpah kerana itu hanya bertujuan mendedahkan keaiban orang lain.

"Tapi, oleh kerana mereka dah bersumpah dan menimbulkan buruk sangka kepada pihak yang dituduh, mengapa tidak DSAI (Anwar) bersumpah saja . . . jika beliau tidak salah, apa yang hendak dirisaukan," kata beliau dalam kenyataan ringkas menerusi SMS hari ini.

Pandangan yang hampir sama dilahirkan oleh Mufti Perlis Dr Juanda Jaya semalam.

Asri berkata, melakukan sumpah bukan satu paksaan atau pun kewajiban tetapi dapat mengatasi buruk sangka.

"Sumpah bukan semestinya di mahkamah. Sumpah di mahkamah ada babnya. Sumpah luar mahkamah ada babnya.

"Jika isteri suruh suami bersumpah bahawa dia tidak curang, adakah berdosa atau Allah menghukum jika suami bersumpah dia tidak buat dan memang dia tidak buat. Sumpah macam itu dapat menghilangkan perbalahan," katanya.

Namun tegas beliau, politik negara ini sudah "jijik dah kotor" ekoran perkembangan terbaru ini.

"Isu aib peribadi cuba dijadikan isu rakyat dan negara. Sangat hina. Jika kita usah layan puak-puak ini pun patut," kata beliau.

Shazryl, yang mendedahkan rakaman video seks yang si pelakunya mirip Anwar pada 21 Mac lalu, melakukan sumpah laknat di Masjid Amru al-As di Bandar Baru Sentul di sini petang kelmarin.

Laporan media semalam menyebut, Anwar memutuskan tidak tampil untuk bersumpah laknat berhubung isu video seks itu dan tidak menyahut cabaran Shazryl selepas mendapat nasihat Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan beberapa tokoh agama lain.

Anwar berkata, Nik Aziz menasihat beliau supaya tidak melayan desakan untuk bersumpah laknat kerana tuduhan zina yang dikenakan terhadapnya perlu diselesaikan di Mahkamah Syariah.

"Beberapa bekas mufti seperti bekas Mufti Wilayah Persekutuan dan bekas Mufti Perlis menasihatkan saya dan menyatakan simpati tuduhan zina yang dikenakan terhadap saya.

"Malah, saya turut mendapat simpati ulama dari Indonesia atas tuduhan yang dikenakan terhadap saya," katanya ketika berucap di Dewan Kampung Bukit Seputeh dekat Ampang malam kelmarin.

Oleh itu tegas Ketua Pembangkang itu, beliau tidak akan melayan desakan untuk bersumpah laknat sebaliknya akan terus memperjuangkan keadilan dan membantu rakyat.

Dalam kenyataan semalam, Juanda juga berkata beliau amat setuju Anwar segera bersumpah untuk menafikan tuduhn kotor ke atas beliau walaupun pilihan di tangan beliau sendiri.

"Saya mahu kes ini segera selesai. Ia malukan umat Islam. Saya sekarang di Mekah atas undangan kerajaan (Arab) Saudi dengan mufti-mufti lain," kata beliau.

Juanda menambah, kaedah hukum Islam dalam kes jenayah, pendakwa perlu membawa bukti tuduhan, yang kena dakwa perlu bersumph kalau dia menafikan tuduhan.

"Datuk Eskay tidak patut bersumpah, yang patut bersumpah adalah yang kena tuduh kalau dia nak nafi tuduhan.

"Memadai lafaz, wallahi tuduhan itu palsu. Mahkamah Syariah wajib proaktif putuskan hal ini segera untuk tutup aib umat Islam," kata beliau.

Juanda juga berkata badan kehakiman Islam tidak harus menjadi "penonton saja" dalam kes semasa ini dan semua pihak perlu menjaga imej Islam terutama mereka yeng memperjuangkan Islam. -TMI


Video seks: Mufti gesa Anwar sumpah balas

Mufti Perlis Dr Juanda Jaya mencadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersumpah balas bagi menafikan tuduhan bahawa beliau merupakan pelaku dalam video seks seperti didakwa Datuk T.

"Saya amat setuju Anwar segera besumpah untuk nafikan tuduhn kotor kepada beliau, walaupun pilihan di tangan beliau sendiri," kata Dr Juanda.

Setelah mencabar Anwar bermubahalah, semalam Datuk Shazryl Eskay Abdullah - seorang anggota trio Datuk T - bersumpah laknat di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul.

Beliau ditemani bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Shuib Lazim.

Anwar seperti dijangka tidak hadir sama dalam upacara itu.

Dalam pesanan SMS daripada Mekah, Dr Juanda yang juga mufti termuda di Malaysia berkata, cadangannya itu dibuat kerana mahukan "kes yang memalukan umat Islam" itu selesai segera.

Mahkamah syariah kena proaktif

Bagaimanapun, menurut Dr Juanda lagi, tidak perlu bersumpah laknat dan memadai bagi Anwar dengan menyebut: "Wallahi tuduhan itu palsu!"

Mengulas sumpah ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah semalam, Dr Juanda berpendapat perkara itu tidak patut dilakukan.

"Kaedah hukum Islam dalam kes jenayah, pendakwa kena bawa bukti tuduhan.

"Yang kena dakwa, kena bersumpah kalau dia nafikan tuduhan. Datuk Eskay tidak patut bersumpah,"
katanya.

Dr Juanda juga berkata, mahkamah syariah wajib proaktif dengan memutuskan hal itu segera untuk metutup aib umat Islam.

"Bukan (mereka) jadi penonton saja. Semua pihak kena jaga imej Islam terutama mereka yang perjuangkan Islam," katanya yang kini menghadiri program bersama mufti di seluruh dunia atas undan kerajaan Arab Saudi. -mk


Ulasan GB

Mengapa desak sesuatu yang TIDAK WAJIB, sedangkan Qazaf yang wajib tidak pula ditekankan?

Bukankah itu penyimpangan keutamaan di dalam menetapkan sesuatu yang lebih aula?

Memang Anwar dibolehkan atau tidak melakukan sumpah-balas. Tetapi ia tidak wajib.

Sedangkan QAZAF wajib dilakukan Eskay.

Takut dengan sangkaan buruk ekoran tindakan "Datuk T" kelmarin? Kita bukan hendak mendapatkan restu dan ridha manusia, apatahlagi puak UMNO. Yang penting ialah restu dan redha Allah s.w.t.

Justeru itu tugas umat Islam sekarang ialah PASTIKAN Qazaf itu diletakkan ditempatnya yang lebih wajar dan abadi, bukan sumpah laknat, bukan sumpah-balas.



Kebiadaban Di Hari Pekerja: Polis Tahan 18 Orang Termasuk Ahli Parlimen

Posted: 01 May 2011 02:50 AM PDT

Hari Pekerja: 18 ditahan polis, antaranya MP Sg Siput

Polis menahan 18 individu dalam perhimpunan sempena Hari Pekerja bagi membantah kenaikan harga barang dan menuntut Akta Gaji Minimum dilaksanakan, di sekitar Maju Junction dan Jalan Chow Kit di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Ibrahim berkata, mereka ditahan mengikut Seksyen 27 Akta Polis kerana menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang.

"Mereka ditahan untuk sementara waktu bagi merekodkan keterangan," katanya dipetik Bernama.

Laporan The Star Online menyebut antara yang ditahan ialah Ahli Parlimen Sungai Siput D. Jeyakumar.

Perhimpunan bermula pukul 10.30 pagi disertai hampir 500 pekerja swasta daripada 75 syarikat pelbagai perkhidmatan.

Rata-rata mereka hadir dengan memakai baju berwarna merah dan membawa sepanduk serta kain rentang tertera "kami mahu hak kami", "gaji minimum", "harga barang naik, tapi gaji masih minimum" dan sebagainya.

Suasana pada mulanya terkawal apabila mereka berjalan dari Jalan Chow Kit ke Maju Junction menjadi kecoh apabila mereka yang berhimpun tidak berpuas hati dengan penahanan beberapa rakan mereka, dipercayai ingkar arahan polis supaya bersurai.

Mereka kemudian duduk di pekarangan Menara Tabung Haji sambil membaca protes dan ada yang menyanyikan lagu menuntut hak pekerja.

Selepas selesai melaungkan hak mereka, seorang lelaki dilihat menyampaikan kertas "deklarasi satu Mei 2011" kepada Pesuruhjaya Suhakam James Nagayam, yang berada di lokasi perhimpunan, lapor Bernama.

Nagayam ketika ditemui berkata tuntutan itu akan dibawa ke pihak berkaitan.

Kesemua yang berhimpun bersurai kira-kira pukul 12 tengah hari.

Dalam pada itu, laporan Bernama Online menyebut Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengulangi desakan supaya kerajaan segera melaksanakan enam tuntutan yang diperjuangkan mereka selama ini.

Naib Presiden MTUC, A. Balasubramaniam, berkata, tuntutan itu ialah penetapan gaji minimum RM900 sebulan, mengurangkan waktu bekerja kepada 40 jam daripada 48 jam seminggu dan penetapan usia tamat tempoh perkhidmatan kepada 60 tahun.

MTUC juga menuntut supaya kerajaan memberikan faedah persaraan yang dikira berdasarkan kepada sebulan gaji bagi setiap tahun perkhidmatan pekerja, menghapuskan sistem kerja kontrak dan mewujudkan persekitaran kerja yang selamat termasuk menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja.

"Sempena sambutan Hari Pekerja ini, kita minta kerajaan dapat mengambil tindakan segera (terhadap tuntutan ini). Janganlah dilengah-lengahkan terutama mengenai pelaksanaan gaji minimum.

"Ini kerana berdasarkan statistik kerajaan, masih terdapat sebanyak 34 peratus daripada pekerja menerima gaji rendah iaitu di bawah garis kemiskinan," katanya kepada pemberita pada perhimpunan Hari Pekerja anjuran MTUC bahagian Selangor dan Wilayah Persekutuan di Petaling Jaya hari ini.

Turut hadir ialah bekas Presiden MTUC Syed Shahir Syed Mohamud dan Pengerusi MTUC Selangor dan Wilayah Persekutuan N. Gopal Kishnam.

Balasubramaniam berkata MTUC juga meminta kerajaan mengurangkan pengambilan pekerja asing sebaliknya memberi peluang kepada pekerja tempatan untuk menceburi sektor swasta terutama dalam sektor perkilangan.

"Kita (MTUC) ada terima aduan daripada kesatuan yang menyifatkan majikan mengamalkan diskriminasi terhadap pekerja tempatan dan mengutamakan pekerja asing," katanya.

Beliau juga berkata hanya sembilan peratus daripada pekerja di negara ini yang menyertai kesatuan pekerja.

"Setakat ini jumlah ahli adalah seramai hampir 620,000 orang dari 272 kesatuan, namun yang aktif adalah seramai 530,000 orang," katanya yang turut meminta majikan menganggap kesatuan adalah rakan kepada syarikat dan bukannya sebagai beban.

Kira-kira 400 orang yang mewakili pelbagai kesatuan sekerja menghadiri perhimpunan berkenaan. -TMI


Polis tahan peserta demo hari buruh

Seramai 18 orang, termasuk anggota parlimen Sungai Siput Dr M Jeyakumar Devaraj ditahan dalam perhimpunan sempena hari buruh di ibu negara hari ini.

Selain beliau, turut ditahan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvam ketika cuba berunding dengan pihak polis, dipercayai daripada ibu pejabat polis daerah (IPD) Brickfields.

Jeyakumar ditahan berdekatan Jalan Abdul Rahman dan Jalan Dang Wangi selepas rundingan beberapa minit dengan pihak polis.

Sehubungan tangkapan itu, kira-kira 200 peserta perhimpunan itu berhimpun depan ibu pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dekat Maju Junction di ibu negara.

Mereka tidak mahu berganjak selagi teman-teman mereka tidak dibebaskan. Suasana meriah dengan nyanyian lagi "Internationale" - lagu yang sinonim dengan perjuangan pekerja di seluruh dunia.

Kumpulan itu bagaimanapun bersurai tengah hari tadi dengan sebahagian daripada mereka bertukar arah ke balai polis Dang Wangi dekat Jalan Maharajalela bagi memberikan sokongan kepada rakan mereka yang dibawa ke situ.

Jumlah tangkapan bagaimanapun belum dapat disahkan dengan pihak berkuasa.

Lebih 70 NGO turut serta dalam perhimpunan tradisi setiap 1 Mei itu. Pihak polis tidak mengeluarkan sebarang permit berhimpun.

Bermula jam 10 pagi tadi, berlaku demonstrasi kecil depan Maju Junction-Pejabat Tabung Haji.

Kumpulan itu, termasuk pelajar memakai ikat kepala hitam dengan tulisan "May Day Parade" dan membawa beberapa kain rentang antikapitalis.

Mereka membantah perjanjian perdagangan bebas dan keadaan semasa pekerja. -mk


Ulasan GB

Hanya kerajaan yang biadab kepada rakyat menangkap rakyat di hari kebesaran pekerja!

Tiada ulasan: