Jumaat, 27 Mei 2011

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Seperti yang Dijangka, Tarif Elektrik NAIKKKKKK!!!!

Posted: 27 May 2011 02:40 AM PDT


Seperti yang dijangkakan sebelum ini, kerajaan melalui Majlis Ekonomi Negara (NEC) hari ini meluluskan kenaikan dalam tarif elektrik tetapi butirannya hanya akan diumumkan Isnin depan lapor Malaysia Kini.

NEC yang bermesyuarat di Putrajaya hari ini dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan dihadiri oleh beberapa anggota jemaah menteri.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Peter Chin dijadualkan mengadakan sidang media pada jam 4 petang Isnin bagi membuat pengumuman rasmi.

Sejak beberapa minggu lalu, anggota jemaah menteri berulang-kali mengingatkan rakyat supaya bersedia menghadapi kenaikan tarif elektrik dalam usaha kerajaan mengurangkan subsidi negara.

Pada Rabu lalu, kabinet menangguhkan keputusan untuk menaikkan harga bahan api kerana bimbang tindakan itu akan menimbulkan kemarahan rakyat.

Sepanjang 18 bulan lalu, kerajaan telah meningkatkan harga gula lebih 58 peratus dan membenarkan harga petrol RON97 mencatatkan paras tertingginya pada RM2.90 seliter. 

Gadis Penan Terus Diperkosa Pembalak. Polis dan Kerajaan Negeri Sarawak Dibidas.

Posted: 27 May 2011 02:17 AM PDT


Saya petik:
[MK] Polis dan kerajaan negeri Sarawak hari ini dibidas Wanita PKR kerana kegagalan mereka bertindak bagi menyelesaikan kes-kes gadis dan wanita Penan dirogol oleh pembalak di kawasan sekitar Baram yang berterusan.

Kes terbaru membabitkan seorang gadis berusia 20 tahun yang berulang-kali dirogol oleh pembalak Indonesia sejak awal tahun ini, kata naib pengerusi Wanita PKR Voon Shiak Nie di Kuching.

"Gadis itu mengenali lelaki Indonesia di kampungnya di Ulu Baram, di mana dia bekerja sebagai pembalak. Adalah dilaporkan dia memujuk gadis tu mengikutnya ke Miri dengan alasan mencari kerja.

"Sebalik gadis itu dirogol berulang-kali," kata Voon sambil menambah nahawa laporan polis telah dibuat di balai Miri pada Isnin lalu.

Voon berkata gadis malang itu juga mendakwa terdapat kes rogol yang hampir sama membabitkan wanita lain di kampungnya itu.

Hanya selepas Ketua Wanita PKR dan ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin mendedahkan kes berkenaan di Parlimen pada sesi yang lalu dan membuat laporan polis, barulah Kementerian wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat bersedia membuat siasatan.

Pasukan penyiasat yang ditubuhkan kementerian yang mendedahkan sisatan mereka tahun lalu berkata hanya ada 14 kes rogol.

Voon berkata Wanita PKR cuba menyerahkan laporan pasukan penyiasat itu kepada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Alfred Jabu, yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal Penan tetapi beliau enggan menerimanya.

Skandal Scorpene: Peguam Perancis akan Datang ke Malaysia

Posted: 26 May 2011 11:39 PM PDT


Saya petik:
[KD] KUALA LUMPUR: Peguam Perancis yang mewakili Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dijangka tiba ke Kuala Lumpur lewat Jun atau Julai untuk memberi taklimat mengenai perkembangan terbaru skandal pembelian dua kapal selam Scorpene.

Suaram mewakili rakyat Malaysia memfailkan aduan terhadap DCNS pada Disember 2009, di mahkamah Paris kerana aktiviti rasuah dalam urusan pembelian berkenaan.

Suaram juga mengesyaki wang sogokan berjumlah ratusan juta di sebalik transaksi berkenaan, yang butirannya cuba disembunyikan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut laporan Malaysia Chronicles, peguam berkenaan akan memberi taklimat kepada warga Malaysia di beberapa tempat.

Namun tidak dapat dipastikan samada peguam Joseph Brehem yang tiba ke sini April tahun lalu akan turut hadir.

Akhbar Suara Keadilan baru-baru ini mendedahkan dua lagi bayaran komisen berjumlah RM32.5 juta, selain RM493 juta yang didedah lebih awal dalam proses pembelian dua kapal selam Scorpene.

Dua komisen itu terbongkar selepas pihak berkuasa Perancis memperoleh dokumen hasil serbuan ke atas DNCS, syarikat yang membina dan menjual kapal selam kepada negara ketiga termasuk Malaysia.

Sebelum ini, sebuah laman web Perancis, Rue89 mendedahkan, syarikat Perancis, Armaris tidak pernah membayar Perimekar RM493 juta, sebaliknya dibayar kerajaan Malaysia sendiri.

Perimekar Sdn Bhd adalah syarikat milik isteri Abdul Razak Baginda, Mazlinda Makhzan. Abdul Razak merupakan kenalan rapat Najib yang terlepas dari kes pembunuhan kejam warga Monggolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Perjanjian pembelian dua kapal selam Scorpene bernilai berbillion dollar itu dimeterai Najib ketika menjadi Menteri Pertahanan pada 2002.

Pada April tahun lalu, seorang ahli perundangan Perancis, Joseph Breham memfail aduan di mahkamah Perancis berhubung skandal pembelian dua kapal selam Scorpene kepada kerajaan Malaysia.

Pengarah Urusetia Suaram, Cynthia Gibrael turut mendedahkan dua tiket penerbangan yang disahkan atas nama Abdul Razak dan Altantuya, ke Malta, sebenarnya melibatkan seorang lagi individu ketiga.

"Siasatan mendapati Gifen- sebuah subsyarikat kepada DCNS berpengkalan di Malta, berperanan sebagai pembuat bayaran. Mereka jumpa bayaran e-tiket melibatkan Razak baginda, Altantuya dan seorang lagi," kata Cynthia.

P/s: Najib mula berdebar!


Mengapa Polis Masih Mahu Berteka Teki tentang Pelaku Video Seks?

Posted: 26 May 2011 08:50 PM PDT

Saya petik:
Pelaku video seks sudah dipanggil

[UM] KUALA LUMPUR 26 Mei – Polis masih menjalankan siasatan berhubung rakaman video seks didakwa membabitkan pemimpin parti pembangkang yang pertama kali didedahkan pada 21 Mac lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar juga mengakui, pihaknya telah memanggil pelaku terbabit untuk membantu siasatan namun enggan mengulas lanjut tentang perkara itu.

Beliau juga enggan mendedahkan siapa pelaku tersebut.

"Seperti yang diberitahu Ketua Polis, Tan Sri Ismail Omar baru-baru-baru ini, kita telah kenal pasti dan sedang menyiasat. Itu termasuklah memanggil dia bagi membantu penyiasatan," katanya.

Bagaimanapun, Khalid memberitahu, tindakan lanjut tidak dilakukan kerana tiada sebarang maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara setakat ini.

"Kita menanti keputusan Pejabat Peguam Negara untuk tindakan susulan terhadap pelaku dan juga mereka yang mendedahkan video itu," jelasnya.

P/s: Siapa pelakon video tersebut? Dalam kenyataan polis, mereka tidak mengesahkan bahawa DSAI bukan pelaku yang dimaksudkan. Dalam kenyataan yang diberikan, polis mendakwa sudah memanggil pelaku untuk disoal siasat. Anwar Ibrahim pun turut dipanggil untuk disoal siasat. Kalau benar konspirasi ini mahu ditamatkan, sudah tentu mereka mendedahkan siapa pelakunya. Adakah konspirator masih mencari ruang dan peluang untuk menjayakan konspirasi ini?

Gara-gara Pikat Isteri Orang, Telinga Lelaki Putus Kena Toreh

Posted: 26 May 2011 07:30 PM PDT


Saya petik:
[TMI] NIBONG TEBAL, 27 Mei — Seorang lelaki berusia 47 tahun cedera parah apabila kedua belah telinganya dipotong kerana dipercayai menjalinkan hubungan sulit dengan isteri orang.

Lelaki yang bekerja sebagai peniaga daging khinzir itu dipercayai diserang dengan menggunakan senjata tajam hingga mengakibatkan kedua-dua telinganya terputus.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Shafien Mamat dipetik Bernama Online berkata mangsa ditemui terbaring oleh anaknya dalam longkang berhampiran rumah mereka di Taman Kasawari, Simpang Ampat pada 8 pagi semalam.

"Hasil siasatan mendapati kejadian itu berpunca akibat perasaan cemburu berikutan mangsa dipercayai telah menjalin hubungan sulit dengan isteri orang," katanya.

Polis telah menahan seorang lelaki berusia 46 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori kira-kira dua jam kemudian selepas gerakan mencari suspek giat dijalankan setelah identiti lelaki itu dikenal pasti.

Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Kanak-Kanak 12 Tahun Cuba Tikam Wanita. Mengapa?

Posted: 26 May 2011 06:50 PM PDT

Saya petik:

Suspek dipercayai alami gangguan perasaan akibat jadi mangsa buli

[BH] SHAH ALAM: Akibat sering menjadi mangsa buli, seorang kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun yang dipercayai mengalami tekanan perasaan bertindak di luar jangkaan apabila menikam seorang wanita dalam kejadian di Pangsapuri Sri Era, Desa Latania, di sini, semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa, Azlina Ahmad, 24, menerima 14 jahitan di tangan dan dagu ketika cuba menepis pisau lipat disyaki senjata yang digunakan kanak-kanak terbabit. 

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan.

Difahamkan kanak-kanak terbabit turut membuat laporan polis kononnya diugut seorang lelaki yang mahu membunuh bapanya jika dia tidak membunuh mangsa.

Bagaimanapun, selepas disoal siasat, kanak-kanak itu mengakui mengalami tekanan perasaan kerana sering dibuli di sekolah.

Ibu bapa kanak-kanak terbabit bergegas mengambil anak mereka di sekolah sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 15 di sini.
 
Difahamkan, pisau lipat yang digunakan kanak-kanak itu untuk menikam mangsa turut ditemui bapanya di semak berhampiran lokasi kejadian.

Sementara itu, Azlina berkata, ketika kejadian dia sedang memanaskan enjin kereta untuk ke tempat kerja sebelum didatangi kanak-kanak itu yang dikenali dengan nama 'adik' bertanyakan sama ada mengenali sesiapa yang boleh mengurut kaki ibunya yang sakit.

"Semalam (kelmarin) pun dia bertanyakan soalan sama kepada saya. Ketika itu, saya menjawab mungkin kakak saya boleh membantu mencari tukang urut. Ketika berbual, saya melihat dia mengeluarkan sesuatu dari poket belakang.

"Saya terkejut apabila dia mengeluarkan pisau dan cuba menikam saya. Mujur ketika itu saya berada di dalam kereta dengan cermin pintu kereta tertutup separuh," katanya ketika ditemui, di sini.

Azlina berkata, dia bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius sebelum memecut kereta kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

"Saya kemudian menghubungi abang ipar saya, Amin Olah, 28, untuk memberitahu mengenai kejadian ini sebelum dia menghantar saya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, untuk rawatan," katanya yang tinggal bersama kakaknya, Zuraina Ahmad, 29, sejak setahun lalu. 



Pelajar 13 Tahun Cederakan Pelajar Lain

Posted: 26 May 2011 06:15 PM PDT


Saya petik:
Telinga pelajar cedera akibat serangan dalam kelas
[BH] KUALA TERENGGANU: "Saya hampir pengsan melihat darah berlumuran pada telinga kiri dan baju sekolah dipakai anak bongsu ketika dia pulang ke rumah," kata Fatimah Ngah, 54, dari Kampung Bukit Kandis, Bukit Tunggal, di sini berhubung kecederaan telinga anaknya dipercayai dipukul seorang pelajar, petang kelmarin.

Fatimah berkata, anaknya, Abdul Rahman Abdul Ghani, 13, pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah menengah di kawasan itu, pulang ke rumah kira-kira jam 2.30 petang bersama abangnya, Mohd Khairul, 25, dalam keadaan berlumuran darah di telinga kiri untuk mengambil kad pengenalan bagi mendapat rawatan.

Beliau berkata, Abdul Rahman memaklumkan dia dipukul dan ditendang seorang daripada sekumpulan pelajar yang datang ke kelas sementaranya sebelum waktu persekolahan sesi petang bermula.

"Tendangan itu menyebabkan Abdul Rahman terdorong ke belakang dan ketika hendak terjatuh, bahagian kiri mukanya tersangkut pada bucu cermin tingkap, menyebabkan luka besar pada telinga kirinya," katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Mangsa bagaimanapun, tiada di rumah ketika itu kerana ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan susulan selepas difahamkan menerima tujuh jahitan di telinga kirinya.

Difahamkan polis sudah menahan seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun pagi semalam untuk membantu siasatan.
Bapa mangsa, Abdul Ghani Ismail, 64, berkata pengurusan sekolah perlu mengambil tindakan wajar supaya masalah disiplin di sekolah itu dapat diperbaiki.

P/s: Disiplin pelajar semakin kronik!


Mesir Buka Laluan di Sempadan Rafah, Kurangkan Tekanan Penduduk Gaza

Posted: 26 May 2011 05:45 PM PDT


Menurut berita AFP, Mesir akan membuka lintasan sempadan Rafah setiap hari mulai esok dalam usaha mengurangkan tekanan penduduk Palestin di Semenanjung Gaza yang dikenakan sekatan Israel, kata agensi berita MENA, semalam.

Penduduk Palestin boleh membuat perjalanan pergi balik ke Gaza melalui Rafah, satu-satunya lintasan tidak melalui Israel, mengikut peraturan ditetapkan sebelum sekatan diperketat pada 2007.

"Mesir akan membuka sempadan setiap hari dari jam 9 pagi hingga 5 petang waktu tempatan, kecuali pada Jumaat dan cuti umum.

"Wanita semua peringkat umur dikecualikan daripada visa, begitu juga lelaki yang berusia kurang 18 tahun atau melebihi 40 tahun," kata agensi itu. 


Laporan Doktor Dakwa Anjing Cuba Selamatkan Kanak-kanak daripada Lemas

Posted: 26 May 2011 05:00 PM PDT

Laporan sebelum ini.

Saya petik:

Mangsa meninggal kerana lemas

[BH] KOTA KINABALU: Kanak-kanak lelaki tiga tahun yang mati 14 jam selepas ditemui dalam parit dengan muka tersembam dan berlumuran darah dengan kesan cakaran di Kampung Matan, Ranau, bukan mati akibat gigitan atau dibaham anjing.

Sebaliknya, polis percaya berdasarkan laporan perubatan Mohd Raqib Mohd Rasili terjatuh ke dalam parit itu cuba diselamatkan anjing bapa saudaranya. 

Laporan bedah siasat juga mengesahkan kanak-kanak itu meninggal akibat lemas selepas terjatuh ke dalam parit sedalam setengah meter dalam kejadian jam 7.30 pagi kelmarin.

Difahamkan, Mohd Raqib yang menghidap asma, mengalami kesukaran bernafas sebaik terperangkap di parit itu, menyebabkan kerosakan di otaknya kerana terputus bekalan oksigen.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Suhaimi Hasim, berkata laporan perubatan dari Hospital Ranau mengesahkan mangsa mati akibat lemas, bukan meninggal kerana digigit anjing.

"Keluarga mangsa belum membuat laporan polis mengenai kejadian itu tetapi kita menerima pengesahan laporan perubatannya.

"Berdasarkan kesan dan corak gigitan di tubuhnya, ada kemungkinan mangsa cuba diselamatkan anjing berkenaan selepas terjatuh ke dalam parit, bukan dibaham," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Dalam kejadian itu, Mohd Raqib yang tinggal bersama bapa saudaranya dikatakan bermain dengan anjing itu sambil menuju ke rumah bapanya yang berjarak kira-kira 20 meter.
 
P/s: Daripada dilabel pesalah kini anjing itu dianggap hero. 

Tiada ulasan: