Seorang lelaki nekad melarikan diri dengan menuruni bumbung sebuah bangunan dalam keadaan bogel selepas sebuah lokasi aktiviti maksiat diserbu polis dalam satu operasi cegah kegiatan tidak bermoral di China. Gambar ini dirakamkan oleh beberapa jurugambar dan menjadi "hangat" selepas dimuatnaikkan di internet pada 26 April lalu.
Menurut sumber gambar, kelibat lelaki ini berjaya dikesan ekoran bunyi bising di kawasan kediamannya. Beberapa orang lelaki termasuk lelaki bogel ini serta beberapa orang wanita yang dipercayai pelacur bertempiaran lari apabila sebuah tempat pelacuran diserbu polis - dipercayai di tingkat bawah sebuah bangunan di Changchun di daerah Jilin.
Kebanyakan mereka berjaya membalut tubuh masing-masing dengan tuala atau seluar pendek, namun sebahagiannya terpaksa berlari dalam keadaan bogel.
P/s: Lawak sungguh! Moralnya, tidak kiralah apa agama/bangsa anda, jangan terlibat dalam aktiviti maksiat!
Seorang bapa, Lu Tan menyeret seorang anak lelakinya keluar dari sebuah kafe internet di Hechi, China selepas membogelkannya, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Dia menyerbu kafe internet itu sebelum menyeret anaknya di hadapan rakan-rakannya kerana berang anaknya enggan mematuhi nasihat yang diberikannya. Sebelum itu, Tan dikatakan telah bertindak membuang komputer di rumahnya kerana anaknya menghabiskan masa sepanjang hari dengan bermain komputer.
Seorang saksi berkata: "Dia (Tan) memukul budak itu yang menangis meminta belas kasihan. Namun, bapa budak itu mahu memberitahu semua orang bahawa anaknya tidak mendengar nasihat dan menyeretnya ke rumah setelah membogelkan dia dengan kedua-dua tangannya diikat."
Dia menyatakan beberapa anggota polis tidak bertindak campur tangan walaupun selepas mereka dihubungi untuk membantu budak tersebut.
Saksi itu menjelaskan bahawa budak berkenaan didakwa mencuri wang untuk digunakan bagi melayari internet.
Tan berkata, dia bertindak memukulnya kerana tidak mahu kehidupan dia dirosakkan oleh internet. Menurutnya, ibu budak itu meninggal dunia semasa dia berumur sembilan bulan.
"Saya sudah membesarkannya. Saya bekerja keras untuk membiayai keluarga," kata Tan.
Tiba-tiba blog kaki fitnah no. 1 meminta pihak berkuasa menangkap kaki fitnah elit dan menahannya di ISA. Begitu banyak jurublog UMCO menulis tulisan berunsur fitnah dan caci maki, mengapa dia hanya berminat "menghentam" jurublog elit ini?
Apa sebab lain jurublog kaki fitnah no. 1 ini menghentam kaki fitnah elit ini?
Yang saya perasan kaki fitnah yang menggelarkan dirinya jurublog nyamuk ini pernah menghentam jurublog elit yang sama dalam beberapa isu terutamanya isu yang membabitkan skandal Rais Yatim. Dua orang jurublog elit UMCO yang mula-mula menyentuh isu itu dihentam cukup-cukup oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka jurublog nyamuk termasuklah jurublog kaki fitnah no. 1 ini. Bukan setakat tulisan, malah poster dan banner dicipta untuk mempersenda dan mengutuk dua orang jurublog elit UMCO. Semuanya mahu menjadi pembela Rais.
Jadi dalam isu ini, tulisan kaki fitnah no. 1, iaitu "Negara Kristian - Tangkap Sumbat Dalam ISA Si Bigdog Ini" selain cuba/kononnya "menyuarakan perkara yang benar" sudah tentu tulisannya kali ini adalah poin terbaik untuk menghentam jurublog elit itu. Maklumlah, hit blognya kini setara dengan portal berita perdana yang lain. Pengaruhnya pun sudah cukup kuat di ruangan maya berbanding dengan jurublog elit ini. Manalah tahu dapat menjadi Panglima Perang Cyber UMCO.
P/s: Lagi pelik, banyak juga pelayar internet berminat membaca tulisan berunsur lucah, fitnah, carut, makian di blog kaki fitnah no. 1 ini! Mahu berkongsi "saham"kah?
Dari satu segi, isu Kristian Agama Rasmi ini jelas menunjukkan sikap double standard kerajaan. Jika isu sensitif ditimbulkan oleh jurublog PR, tengah malam pun polis sanggup menyerbu rumah jurublog yang terlibat, namun apabila isu sensitif membabitkan agama dan perpaduan kaum ditimbulkan oleh jurublog UMCO, apa tindakan polis? Dalam hal yang lain, apa tindakan polis terhadap blog-blog pro-UMCO yang menyiarkan video lucah? Sampai sekarang tiada tindakan tegas diambil!
Sebuah permainan komputer atas talian melancarkan misi terbaharu, iaitu senario misi pasukan elit menggempur tempat persembunyian Osama kira-kira SEMINGGU selepas beliau dibunuh oleh tentera AS.
Berdasarkan senario permainan itu, sepasukan elit tentera tiba ke kawasan persembunyian Osama dengan menaiki Black Hawk. Episod 107 permainan itu yang diberi nama KumaWar dibina berdasarkan perkembangan terkini peperangan menentang keganasan ciptaan AS.
Para pemain akan mengetuai pasukan elit menggempur Osama berdasarkan lokasi dan tempat persembunyiannya di Abbottabad, Pakistan. Pemain akan melancarkan serangan untuk "membunuh" Osama.
Permainan komputer atas talian secara percuma ini telah beroperasi sejak tujuh tahun lalu. Pada masa ini, lebih 20 juta pengguna menggunakan permainan ini di seluruh dunia.
P/s: Sudahlah dibunuh tanpa diberi peluang membela diri, mayatnya didakwa dihumban ke laut, dihina oleh orang Islam dan dimaki oleh orang bukan Islam, kali ini "dirinya" dipersenda di dunia permainan komputer.(Saya menulis begitu jika Osama itu benar-benar pejuang Islam tulen.) Untuk bacaan lanjut, sila rujuk The Sun.
SEJAK dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang ke-29 pada 13 September 2010, inilah buat pertama kalinya Sultan Muhammad V memberikan wawancara khas kepada para wartawan media cetak dan media elektronik.
Wawancara khas itu telah berlangsung di Istana Negeri, Kubang Kerian, Kota Baru pada Rabu, 4 Mei 2011 pada lebih kurang jam 5.30 petang dalam suasana penuh protokol tetapi tetap mesra.
Wawancara itu juga diadakan bersempena dengan pelancaran Yayasan Sultan Kelantan yang akan dilangsungkan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) minggu hadapan.
Sebanyak 12 wakil media termasuk dari Mingguan mStar dan The Star telah dijemput untuk menemuramah Sultan Muhammad V yang hadir segak menggenakan sut coklat muda ala Nehru.
Baginda Sultan juga sentiasa memulakan bicara dengan terlebih dahulu melafazkan Bismillahirrahmanirrahim dan Asalamualaikum kepada pertanyaan wartawan muslim dan salam sejahtera kepada wartawan bukan Islam.
Dan sebelum memulakan wawancara baginda terlebih dahulu bertanya sama ada perbualan yang akan berlangsung itu hendak menggunakan dialek Kelantan ataupun bahasa rasmi.
Sepanjang wawancara itu yang berlangsung selama lebih 45 minit, baginda hanya membahasanya dirinya sebagai 'saya' bukannya 'beta' sebagaimana lazim digunakan di dalam istana.
Berikut adalah petikan wawancara bersama Tuanku Sultan Muhammad V:
> Perkara pertama yang terlintas di dalam fikiran sebaik sahaja menaiki takhta Kesultanan Kelantan: Perkara pertama ialah untuk memilih nama rasmi yang akan dipakai selaku Sultan iaitu Sultan Muhammad V dan perkara kedua ialah untuk menukar seruan "Daulat Tuanku" yang lazim digunakan sebelum ini kepada seruan "Allahu Akhbar". Pada pandangan saya, inilah yang paling sesuai kerana secara tidak langsung siapa yang melafazkannya akan memperolehi pahala. Itulah yang terbaik untuk rakyat saya.
> Mengapa memilih menggunakan gelaran Sultan Muhammad V sebagai gelaran rasmi: Kerana kalau kita tengok dalam sejarah salasilah negeri Kelantan, Sultan yang terakhir, menggunakan gelaran Sultan Muhammad Ke-IV. Jadi kalau nama saya sendiri sudah Muhammad, secara semula jadinya itulah pilihan pertama saya. Dan setelah berfikir semasak-masaknya itulah pada fikiran saya yang terbaik... Insya-Allah.
> Bilakah akan ditabal secara rasmi selaku Sultan Kelantan: Saya fikir, bukan perkara ini tidak pernah berlaku (tidak melangsungkan upacara pertabalan). Misalnya untuk senang diterima, kita ambil dalam hal Almarhum Sultan Johor yang lepas, baginda tidak pernah ditabal walaupun menjadi Sultan Johor untuk lebih 23 tahun jika tidak silap saya. Jadi soal pertabalan ini adalah lebih kepada formaliti jika hendak dibandingkan dengan keperluan. Sebab saya fikir, ini bukan hendak glorify atau bermegah-megah atau hendak membesar-besarkan diri kita sendiri tetapi ini lebih soal tanggungjawab. (Nota: Untuk makluman pembaca, Sultan Muhammad telah dimasyurkan secara rasmi pada 13 September 2010 sebagaimana yang dituntut oleh perlembagaan negeri. Soal pertabalan hanyalah merupakan satu adat yang terpulang kepada Sultan sama ada ingin menyegerakannya atau mengadakannya pada satu tarikh yang difikirkan sesuai.)
> Tentang hubungan dengan ayahanda, bonda dan adinda-adinda pada masa ini: Jawapan yang terbaik kepada soalan ini pada saya ialah "Alhamdulillah..."
> Perasaan tentang perhatian seluruh negara yang tertumpu kepada isu-isu yang melingkari Istana Kelantan: Saya rasa jawapan yang paling sesuai ialah kita tidak boleh nak fikir sangat (hal ini) sebab jika kita terlalu memikirkan sangat, nanti otak kita akan sesak (jammed) jadi kita kena reda, kita tunggu dan kita lihat apa yang berlaku itu, jika kita fikir ia sudah takdir, maka kita lihatnya sebagai takdir. jika kita hendak fikir banyak sangat why? why? why?...akhirnya kita tidak akan terfikir kerana otak manusia atau data base otak manusia tak akan dapat memikirkan kenapa ini semua terjadi.
> Rahsia tidak kekok untuk berada bersama-sama rakyat, duduk dan makan bersama malah menyembelih lembu bersama-sama rakyat dalam majlis-majlis keramaian: Kalau kita buat sesuatu perkara yang kita suka seperti sesetengah orang suka menyanyi, sesetengah orang suka makan, tengok tv, akhirnya ia akan menjadi senang untuk kita. Misalnya jika kita suka makan nasi lemak, kita makan sepuluh bungkus pun tidak ada hal.
> Rahsia mudah didekati oleh rakyat dan tidak kekok memberi bantuan peribadi: Bagi saya senang sahaja sebab jika kita perhatikan sewaktu ayahanda saya menjadi Sultan, tidak ada satu yayasan dibuat atas namanya. Jadi saya fikir mengapa tidak ada (yayasan). Jadi itu yang mendorong saya untuk memberi sumbangan peribadi kepada rakyat jelata. Sebab tidak ada yayasan di atas nama ayahanda saya yang dapat saya gunakan untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat (Nota: sebaik sahaja diangkat menjadi Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V telah menubuhkan sebuah yayasan yang diberi nama Yayasan Sultan Kelantan yang tujuannya adalah untuk menjaga kebajikan, pendidikan dan keagamaan rakyat di bawah jajahannya.)
> Mengenai perancangan Yayasan Sultan Kelantan dalam membantu rakyat: Kita anggarkan kita akan dapat mengutip antara RM5 hingga RM6 juta (untuk dana awal). Selepas itu anggota lembaga pemegang amanah akan memutuskan cara untuk menyalurkan wang tersebut. Apa yang penting ialah untuk menentukan supaya program baru untuk mengumpul dana dapat dirancang dengan baik agar wang dana itu tidak habis. Jika wang dana tidak mencukupi atau kehabisan ini bermakna hanya segelintir pihak sahaja yang berpeluang mendapat faedah daripada dana ini. Matlamat yayasan ini ialah untuk membantu seseorang itu berdikari supaya dia sendiri dapat menguruskan dirinya selepas itu tanpa bantuan lagi. > Pandangan tentang isu pembangunan yang dihadapi oleh rakyat dan negeri Kelantan: Masalah negeri Kelantan saya nampak adalah tentang soal kekurangan infrastruktur asas dan tidak semaju seperti mana negeri Selangor atau Johor. Jadi kalau negeri-negeri ini banyak lebuhraya dan jalan baru dibina akhirnya kampung-kampung kecil dan bandar-bandar kecil yang berada di sekitar kawasan yang memiliki kemudahan infra seperti jalan raya dan sebagainya akan menerima pembangunan secara tidak langsung. Ini kerana, saya selalu ke mana-mana menggunakan kereta, jadi saya dapat tengok bagaimana kawasan yang mempunyai jalan besar dan utama akan turut membangun dan kampung itu tidak mati. Tetapi jika tidak ada jalan dan pembangunan ekonomi susah hendak sampai ke situ, ia akan mati termasuklah masyarakat kerana mereka tidak ada kesempatan untuk turut membangun kerana tiadanya komunikasi dengan dunia luar. Di Kelantan itu yang paling ketara...
> Tentang prinsip-prinsip asas dan perubahan utama yang akan dilaksanakan: Prinsip saya ialah kita sebagai pemerintah haruslah aktif membuat tinjauan kerana hanya dengan meninjau kita akan mendapat gambaran sebenar (keadaan di bawah) dan dapat ambil tindakan sewajarnya serta dapat memberi keutamaan kepada yang mana perlu mendapat perhatian terlebih dahulu.
> Tentang tahap kemajuan ekonomi dan pembangunan sosial negeri Kelantan: Seperti mana yang saya katakan di awal wawancara tadi, tidak ada bandar di dunia ini dapat bangun tanpa ada infrastruktur asas seperti jalan, hospital, lapangan terbang. Saya bukannya hendak campur politik tetapi apa yang saya maksudkan di sini ialah kalau hendak bangunkan sesuatu kita perlu buat kajian fisibiliti terlebih dahulu. Contohnya macam saya balik (dari sesuatu majlis) dengan kereta saya dapat lihat sendiri kesesakan lalu lintas yang teruk kearah pusat bandar (Kota Baru) bila ada cuti am. Mengapa sesak? Kerana jalan tidak luas atau tidak cukup tetapi kereta banyak. Mengapa kereta banyak? Sebab pada waktu cuti umum orang Kelantan di luar Kelantan balik bercuti ke Kelantan. Jadi kalau kita buat lebuh raya dan buat tol sudah pastinya kita akan dapat menjana pendapatan kerana ramai yang balik ke Kelantan menggunakan kereta. Akhirnya hasil (wang) akan berpusing dan ini akan merancakkan ekonomi termasuk hasil pendapatan rakyat. Bila ini berlaku ia akan menyenangkan hati rakyat – tidak kiralah sama ada ekonominya ke, kesejahteraan dia ke, atau kesihatan dia ke, asalkan rakyat senang. Dan apa sahaja yang akan menyenangkan rakyat kita sokong. Jadi kita tidak hendak menyalahkan mana-mana pihak. Cuma bila kita buat perbandingan contoh Kelantan dengan Terengganu, Kelantan dengan Pahang, Kelantan dengan Johor atau Selangor, Wilayah Persekutuan, kita akan tahu jawapannya kedudukan kita di mana.
> Mengenai impak aktiviti politik kepada perpaduan rakyat: Sistem politik ini, bagi saya selagi ia tidak bercanggah dengan agama dan kita tidak memburuk-burukkan orang lain dalam ceramah tidak mengapa. Bagaimanapun ia bergantung atas diri masing-masing. Misalnya atas pentas ceramah, kalau sesetengah orang itu mulutnya laser, akan keluar perkataan-perkataan yang tidak elok tetapi kalau orang itu jenis orang baik, tak akan keluar kata-kata buruk ke atas orang lain. Jadi kita sendiri kena tahu bila hendak tekan brek (had). Kalau saya sendiri nak cakap apa-apa pun siapa boleh halang saya cakap tapi kita sendiri kena tahu bila hendak brek. Sebagai manusia kita kena tahu had kita di mana. Jika tidak, kita akan menjadi seperti sebuah kereta api yang out of control yang akhirnya akan terbalik.
[MK] Ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin mempersoalkan tindakan seorang penulis blog yang memadamkan semua posting berhubung artikel kontroversinya "konspirasi negara Kristian".
Shamsul Yunus, yang menulis di blog Marahku, adalah antara dua penulis yang dipetik oleh akhbar milik Umno, Utusan Malaysia dalam laporannya yang menuduh DAP berkemungkinan bersekongkol dengan paderi untuk menjadikan Kristian agama rasmi persekutuan dan membolehkan penganut agama itu dilantik sebagai perdana menteri.
"Sebuah blog yang 'mendedahkan' isu negara Krstian telah memadamkan entri berkenaan. Mengapa?" soal Khairy pada laman mikro-blognya di Twitter.
"Jika penulis blog itu memadamkan pautan itu kerana beliau menyedari apa yang ditulis adalah tidak benar, maka ia sudah terlambat. Kerosakan telah dilakukan. Bagaimanapun, saya menunggu hasil siasatan," tulisnya lagi.
Blog Shamsul di marahku. blogspot.com didapati kosong sejak semalam. Semua posting juga didapati telah dipadamkan.
Utusan memetik postingnya yang berjudul "Agong under threat? DAP wants to make Christianity the official religion of Malaysia?" yang membidas DAP kerana cuba meminda perlembagaan persekutuan bagi membolehkan penganut agama Kristian menjadi perdana menteri.
Namun artikel berkenaan masih boleh dibaca di bebeberapa laman lain yang telah menyalinnya.
Namun, seorang lagi penulis blog pro-Umno yang dipetik oleh Utusan - Zakhir Mohamed, yang menulis di Bigdog.com, masih menulis dan meneruskan isu berkenaan di blognya.
Utusan memetik tulisannya yang berjudul"Making Christianity the official religion?" yang mendakwa 35 paderi pada satu majlis yang dianjurkan oleh ahli parlimen DAP Jelutong mengambil ikrar untuk menjadikan Kristian agama rasmi Malaysia.
P/s: Sifirnya mudah. Kalau artikel itu benar, masakan jurublog itu memadamkan artikel itu. Jadi, sudah jelas artikel itu hanyalah fitnah. Jika difikir logik akal pun, dakwaan itu langsung tidak masuk akal!!!
Namun yang menariknya, di laman blog pencacai yang lain, blog Marahku ini dikatakan telah disabotaj dan diserang oleh pihak yang kononnya penyokong PR. Walhal, pelbagai pihak yakin empunya blog memadamkan artikel itu menyedari isu ini tidak logik dan bertindak mereka-reka cerita untuk "cover line".
Ibu dakwa anak trauma suspek yang juga anggota polis masih bebas
[BH] KUALA LUMPUR: Tiga kanak-kanak termasuk dua beradik yang menjadi mangsa rogol dan cabul bapa saudaranya sejak tiga tahun lalu berada dalam keadaan trauma selepas mengetahui suspek masih bebas dan tidak dikenakan sebarang tindakan oleh pihak berkuasa.
Mangsa dua beradik yang ketika itu berusia enam dan sembilan tahun dikatakan dicabul manakala seorang lagi saudaranya dirogol beberapa kali di rumah neneknya di Seksyen 14, Petaling Jaya dekat sini, pada Disember 2008 oleh lelaki itu yang juga seorang anggota polis.
Ibu dua beradik yang hanya mahu dikenali sebagai Maria, 28, berkata sikap anaknya berubah selepas kejadian itu dan sering menggigil serta menangis.
Maria yang berkerja sebagai seorang perunding di Petaling Jaya berkata, keadaan bertambah buruk apabila anaknya meningkat dewasa dan mengetahui perogolnya itu masih bebas dan tidak diambil tindakan.
Beliau berkata, walaupun sudah membuat laporan polis serta dipanggil beberapa kali untuk menjalani prosiding perbicaraan mahkamah sejak tiga tahun lalu, beliau kesal kerana tiada tindakan diambil ke atas suspek selain hanya ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan.
"Siasatan polis dan pemeriksaan doktor yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sah menunjukkan dia adalah perogol dan mencabul kehormatan ketiga-tiga kanak-kanak ini. Mengapa penjenayah masih dibiarkan bebas?," katanya kepada pemberita pada sidang media di Bangsar di sini, semalam.
"Saya sebagai ibu hanya inginkan keadilan dari pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap suspek mengikut undang-undang supaya anak saya gembira seperti kanak-kanak lain," katanya kepada pemberita pada sidang media di Bangsar di sini, semalam.
Maria yang berasal dari Kelantan juga memohon supaya Jabatan Pendakwa Raya dapat mempercepatkan prosiding perbicaraan mahkamah untuk menyelesaikan kes ini kerana beliau sudah menghabiskan ribuan ringgit sepanjang menjalani kes itu.
Mengulas lanjut, Maria berkata, pada Disember 2008, ketiga-tiga kanak-kanak itu sering mengadu mengalami kesakitan di bahagian alat sulit mereka.
Selepas dipujuk ibu bapa, mereka mengakui dicabul dan dirogol beberapa kali oleh bapa saudara mereka.
Berang dengan tindakan itu, beliau dan ibu bapa mangsa yang dirogol membuat laporan polis sebelum lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.
Bagaimanapun, katanya suspek dibebaskan dengan jaminan RM6,000 dan diarah tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwa.
15 diletakkan dalam senarai menunggu Sekolah Harapan dan Rumah Harapan
[BH] JASIN: Sejak ditubuhkan pada awal September 2010, Sekolah Harapan dan Rumah Harapan (SHRH) Melaka sudah menerima 49 remaja hamil dan bilangannya dijangka meningkat kerana permohonan terus bertambah.
Pengerusi Lembaga SHRH, Datuk Ab Rahaman Ab Karim berkata, sepanjang tempoh itu, 28 bayi dilahirkan dengan semua diambil oleh keluarga ibu mereka.
Katanya, sehingga kini, 35 remaja menghuni rumah kebajikan berkenaan dengan sebahagiannya sudah melahirkan anak, manakala bakinya sedang menunggu masa untuk bersalin.
Mereka datang dari seluruh negara dan berusia antara 14 hingga 18 tahun, iaitu 14 dari Johor, masing-masing lapan dari Melaka dan Pahang, masing-masing lima dari Negeri Sembilan dan Kelantan, Terengganu (3), Kuala Lumpur (2) dan masing-masing seorang dari Selangor; Perak dan Sarawak.
Ab Rahaman berkata, setakat ini, 15 orang dalam senarai menunggu untuk memasuki rumah kebajikan berkenaan berikutan jumlah penghuni pada masa ini sudah mencapai bilangan maksimum.
"Kita minta mereka bersabar kerana kerajaan negeri mungkin menimbang untuk menambah kapasiti dan kemudahan sekolah itu, selain bercadang meningkatkan penerimaan penghuni sehingga 50 orang pada satu masa," katanya.
Ab Rahaman berkata, tahun ini, kos mengurus dan pembangunan sekolah itu dijangka membabitkan kira-kira RM1.1 juta berbanding RM547,171 tahun lalu.
SHRH terletak di Jalan Pegawai dan beroperasi dari jam 8 pagi hingga jam 4 petang di bangunan lama milik Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dengan kos baik pulih RM100,000 dan mempunyai empat kelas, masing-masing sebuah bilik komputer, bilik mesyuarat serta pejabat pentadbiran.
Orang ramai ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama JAIM, Rahimin Bani di talian 019-6671564 atau 06-2881534.
[BH] KOTA KINABALU: Akibat terlalu marah selepas melihat isterinya menaiki kereta dengan seorang lelaki, seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dipercayai melepaskan sekurang-kurangnya dua das tembakan ke arah kereta berkenaan, di Kilometer 25, Jalan Kota Kinabalu-Papar, di Kinarut, dekat sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, anggota polis berpangkat lans koperal berusia 30-an itu dipercayai melepaskan tembakan dengan menggunakan pistol dan mengenai badan kereta itu.
Bagaimanapun, isterinya berusia lewat 20-an dan lelaki, dipercayai teman lelaki isterinya yang juga anggota PGA bertugas di Tawau tidak cedera.
Sebelum kejadian, suspek dipercayai menaiki motosikal dalam perjalanan pulang dari Markas PGA di Kinarut selepas selesai bertugas syif malam.
Ketika melalui jalan berkenaan, suspek dipercayai terserempak dengan isterinya yang memandu kereta Proton Waja bersama lelaki terbabit yang duduk di tempat duduk bahagian depan.
Suspek kemudian membuat pusingan 'U' dan mengejar kereta berkenaan sebelum dipercayai mengarahkan isterinya memberhentikan kereta.
Bagaimanapun, isteri suspek memecut kereta ke arah bandar raya ini, menyebabkan suspek berang lalu mengejarnya sebelum dipercayai melepaskan sekurang-kurangnya dua das tembakan.
Isterinya kemudian memandu ke Balai Polis Kinarut, sebelum membuat laporan polis. Tidak lama selepas itu, suspek turut tiba di balai polis berkenaan untuk membuat laporan polis sebelum menyerah diri.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Senior Asisten Komisioner Omar Mammah, berkata polis merampas sepucuk pistol dipercayai digunakan suspek untuk melepaskan tembakan dan menahan suspek.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan