Rabu, 11 Mei 2011

Ajijoi

Ajijoi


Kemana perginya subsidi yang dijimat?

Posted: 11 May 2011 04:34 AM PDT

Oleh Badrul Hisham Shaharin, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia

Harga gula sekali lagi dinaikkan semalam. Regim penguasa cuba mengelirukan rakyat dengan tidak menggunakan perkataan naik harga sebaliknya penyelarasan.

Harga gula akan naik 20 sen kepada RM2.30 sekilogram berkuatkuasa esok (10 Mei). Kenaikan harga gula kali ini kerana regim sudah tidak mampu mengeluarkan RM116.6juta sebagai tanggungjawab memberikan subsidi kepada rakyat.

Langkah sedikit — demi sedikit ini adalah untuk melalikan rakyat agar sehingga satu tahap nanti rakyat akan terbiasa dengan harga pasaran terbuka. Rakyat akan hanyut dalam pasaran terbuka dunia kerana regim sudah tidak mampu melindungi rakyat.

Ini diakui oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Mohd Zain Mohd Dom, yang mengatakan dalam kenyataan pengumuman kenaikan harga gula dengan mengatakan langkah ini adalah selari dengan strategi jangka panjang kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi secara berperingkat-peringkat.

Seperti biasa teknik yang sama "membodohkan rakyat" ialah dengan membandingkan dengan negara jiran. Walaupun perubahan harga runcit dibuat, ia adalah lebih rendah berbanding negara serantau, termasuk Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina.

Beliau malah menyebut harga gula di negara-negara berkenaan sebagai perbandingan. Kali terakhir harga gula naik pada 4 Disember lalu, sejajar dengan kenaikan harga petrol RON95, diesel, Petroleum Gas Cecair (LPG).

Kenaikan yang dikenali sebagai "4-dalam-1" itu menimbulkan kemarahan banyak pihak, termasuk mewujudkan beberapa siri bantahan, terutamanya sekitar Kuala Lumpur. Pada masa itu, harga gula turut meningkat 20sen, menjadikan harganya RM2.10 sekilogram.

Sebelum itu, berlaku juga kenaikan pada 15 Julai tahun lalu dalam kenaikan "5-dalam-1. Selain gula, turut mengalami kenaikan dua gred petrol, diesel, gula dan gas pada masa itu.

Dalam satu lagi kenyataan berasingan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan daripada kenaikan harga gula hari ini untuk menaikkan harga makanan.

Timbalan Ketua Setiausaha kementerian itu Mahani Tan Abdullah berkata kenaikan harga gula tidak boleh dijadikan alasan untuk menaikkan harga makanan memandangkan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen sekilogram adalah minimum.

"Kenaikan ini tidak seharusnya membebankan pengguna dan mereka seharusnya melihat dari sudut positif bahawa pengurangan penggunaan gula dapat mencegah dari penyakit seperti kencing manis," katanya kepada pemberita dan dilaporkan oleh beberapa agensi pemberitaan tempatan.

Selepas ini juga pasti akan ada Kutbah Jumaat yang bertajuk "kurangkan gula dalam minuman tambahkan manis dalam senyuman"

Persoalan

Industri gula ini telah menjadi industri yang dimonopoli oleh kelompok kroni tertentu yang rapat dengan regim. SAMM mendesak agar industri gula ini dibuka dari dimonopoli kelompok tertentu sahaja yang walau apa pun berlaku mereka tetap kaya dan untung.

Persoalan penting kini ialah regim boleh mengumumkan kenaikan tetapi peniaga kecil pasti akan terhimpit dengan kenaikan dan jika menaikkan harga terpaksa berdepan tindakan termasuk saman dari pihak regim yang akhirnya menguntungkan regim lagi dengan berjaya mengutip duit saman. Ini memberi makna regim melindungi kelompok peniaga korporat besar tetapi yang kecil marhaenis akan menjadi kambing hitam untuk disalahkan kerana menaikkan harga dan terus ditindas.

Kedua subsidi untuk mengawal harga sememangnya hak rakyat negara ini. Semangat ini terbina lama kerana ia sebahagian semangat apabila regim menggali dan mengaut keuntungan negara seperti petrolium dan rakyat dipulangkan hak mereka dalam negara yang dianugerah hasil bumi tuhan ini dalam bentuk subsidi.

Namun mutaakhir ini oleh kerana pengurusan negara yang lemah serta membazir, rasuah yang berleluasa dan ketirisan yang melampau maka negara kekurangan wang sebagai tindak balas regim melihat subsidi rakyat sebagai cara paling mudah untuk menampung kelemahan urustadbir mereka.

Bagi kenaikan kali ini, regim hanya boleh menjimatkan RM 116.6 juta sahaja. Apalah nilai ini jika dibandingkan dengan kes - kes ketirisan, rasuah dan wang negara hilang yang dilaporkan (itu belum masuk yang belum terbongkar). Sebenarnya sedikit sahaja wang boleh diselamatkan tidak berbaloi dengan nilai pertambahan kesukaran hidup rakyat.

Persoalan ke tiga ke mana wang penjimatan subsidi ini disalurkan.

Masih terngiang lagi ditelinga ketika Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri Malaysia negara dilanda kenaikan harga minyak yang antara tertinggi dalam sejarah atas alasan kononya untuk memperbaiki taraf pengangkutan awam.

Yang pasti harga minyak naik, wang subsidi kerajaan "selamatkan" juga telah habis tetapi pengangkutan awam meningkatkah tarafnya.... siapa biasa menggunakan komuter pasti paham derita ketika masa kemuncak bersesak dengan warga perbagai negara dengan perbagai bau serta aroma.

Isu kenaikan ini isu besar, regim cuba mengalihkan kegagalan pengurusan ekonomi kepada rakyat. Jika rakyat terus tergula dan akhirnya lali dengan kenaikan ini maka rakyat akan diserahkan terus terdedah ke pasaran harga terbuka. Ketika itu peranan regim kutip cukai dan sebagainya tetapi rakyat tak dilindungi untuk disembelih oleh sistem kapitalis dunia yang kejam.

SAMM menggesa seluruh rakyat supaya bangkit segera sebelum terlambat!


"Saya tukar Daulat Tuanku kepada Allahu Akbar supaya pelafaznya dapat pahala" - Sultan Kelantan

Posted: 11 May 2011 04:25 AM PDT

Sultan Yang Prihatin

SEJAK dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang ke-29 pada 13 September 2010, inilah buat pertama kalinya Sultan Muhammad V memberikan wawancara khas kepada para wartawan media cetak dan media elektronik.

Wawancara khas itu telah berlangsung di Istana Negeri, Kubang Kerian, Kota Baru pada Rabu, 4 Mei 2011 pada lebih kurang jam 5.30 petang dalam suasana penuh protokol tetapi tetap mesra.

Wawancara itu juga diadakan bersempena dengan pelancaran Yayasan Sultan Kelantan yang akan dilangsungkan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) minggu hadapan.

Sebanyak 12 wakil media termasuk dari Mingguan mStar dan The Star telah dijemput untuk menemuramah Sultan Muhammad V yang hadir segak menggenakan sut coklat muda ala Nehru.

Baginda Sultan juga sentiasa memulakan bicara dengan terlebih dahulu melafazkan Bismillahirrahmanirrahim dan Asalamualaikum kepada pertanyaan wartawan muslim dan salam sejahtera kepada wartawan bukan Islam.

Dan sebelum memulakan wawancara baginda terlebih dahulu bertanya sama ada perbualan yang akan berlangsung itu hendak menggunakan dialek Kelantan ataupun bahasa rasmi.

Sepanjang wawancara itu yang berlangsung selama lebih 45 minit, baginda hanya membahasanya dirinya sebagai 'saya' bukannya 'beta' sebagaimana lazim digunakan di dalam istana.

Berikut adalah petikan wawancara bersama Tuanku Sultan Muhammad V:

> Perkara pertama yang terlintas di dalam fikiran sebaik sahaja menaiki takhta Kesultanan Kelantan: Perkara pertama ialah untuk memilih nama rasmi yang akan dipakai selaku Sultan iaitu Sultan Muhammad V dan perkara kedua ialah untuk menukar seruan "Daulat Tuanku" yang lazim digunakan sebelum ini kepada seruan "Allahu Akhbar". Pada pandangan saya, inilah yang paling sesuai kerana secara tidak langsung siapa yang melafazkannya akan memperolehi pahala. Itulah yang terbaik untuk rakyat saya.

> Mengapa memilih menggunakan gelaran Sultan Muhammad V sebagai gelaran rasmi: Kerana kalau kita tengok dalam sejarah salasilah negeri Kelantan, Sultan yang terakhir, menggunakan gelaran Sultan Muhammad Ke-IV.Jadi kalau nama saya sendiri sudah Muhammad, secara semula jadinya itulah pilihan pertama saya. Dan setelah berfikir semasak-masaknya itulah pada fikiran saya yang terbaik... Insya-Allah.

> Bilakah akan ditabal secara rasmi selaku Sultan Kelantan: Saya fikir, bukan perkara ini tidak pernah berlaku (tidak melangsungkan upacara pertabalan). Misalnya untuk senang diterima, kita ambil dalam hal Almarhum Sultan Johor yang lepas, baginda tidak pernah ditabal walaupun menjadi Sultan Johor untuk lebih 23 tahun jika tidak silap saya. Jadi soal pertabalan ini adalah lebih kepada formaliti jika hendak dibandingkan dengan keperluan. Sebab saya fikir, ini bukan hendak glorify atau bermegah-megah atau hendak membesar-besarkan diri kita sendiri tetapi ini lebih soal tanggungjawab. (Nota: Untuk makluman pembaca, Sultan Muhammad telah dimasyurkan secara rasmi pada 13 September 2010 sebagaimana yang dituntut oleh perlembagaan negeri. Soal pertabalan hanyalah merupakan satu adat yang terpulang kepada Sultan sama ada ingin menyegerakannya atau mengadakannya pada satu tarikh yang difikirkan sesuai.)

> Tentang hubungan dengan ayahanda, bonda dan adinda-adinda pada masa ini: Jawapan yang terbaik kepada soalan ini pada saya ialah"Alhamdulillah..."

> Perasaan tentang perhatian seluruh negara yang tertumpu kepada isu-isu yang melingkari Istana Kelantan: Saya rasa jawapan yang paling sesuai ialah kita tidak boleh nak fikir sangat (hal ini) sebab jika kita terlalu memikirkan sangat, nanti otak kita akan sesak (jammed) jadi kita kena reda, kita tunggu dan kita lihat apa yang berlaku itu, jika kita fikir ia sudah takdir, maka kita lihatnya sebagai takdir. jika kita hendak fikir banyak sangat why? why? why?...akhirnya kita tidak akan terfikir kerana otak manusia atau data base otak manusia tak akan dapat memikirkan kenapa ini semua terjadi.

> Rahsia tidak kekok untuk berada bersama-sama rakyat, duduk dan makan bersama malah menyembelih lembu bersama-sama rakyat dalam majlis-majlis keramaian: Kalau kita buat sesuatu perkara yang kita suka seperti sesetengah orang suka menyanyi, sesetengah orang suka makan, tengok tv, akhirnya ia akan menjadi senang untuk kita. Misalnya jika kita suka makan nasi lemak, kita makan sepuluh bungkus pun tidak ada hal.

> Rahsia mudah didekati oleh rakyat dan tidak kekok memberi bantuan peribadi: Bagi saya senang sahaja sebab jika kita perhatikan sewaktu ayahanda saya menjadi Sultan, tidak ada satu yayasan dibuat atas namanya. Jadi saya fikir mengapa tidak ada (yayasan). Jadi itu yang mendorong saya untuk memberi sumbangan peribadi kepada rakyat jelata. Sebab tidak ada yayasan di atas nama ayahanda saya yang dapat saya gunakan untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat (Nota: sebaik sahaja diangkat menjadi Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V telah menubuhkan sebuah yayasan yang diberi nama Yayasan Sultan Kelantan yang tujuannya adalah untuk menjaga kebajikan, pendidikan dan keagamaan rakyat di bawah jajahannya.)

> Mengenai perancangan Yayasan Sultan Kelantan dalam membantu rakyat: Kita anggarkan kita akan dapat mengutip antara RM5 hingga RM6 juta (untuk dana awal). Selepas itu anggota lembaga pemegang amanah akan memutuskan cara untuk menyalurkan wang tersebut. Apa yang penting ialah untuk menentukan supaya program baru untuk mengumpul dana dapat dirancang dengan baik agar wang dana itu tidak habis. Jika wang dana tidak mencukupi atau kehabisan ini bermakna hanya segelintir pihak sahaja yang berpeluang mendapat faedah daripada dana ini. Matlamat yayasan ini ialah untuk membantu seseorang itu berdikari supaya dia sendiri dapat menguruskan dirinya selepas itu tanpa bantuan lagi.

> Pandangan tentang isu pembangunan yang dihadapi oleh rakyat dan negeri Kelantan: Masalah negeri Kelantan saya nampak adalah tentang soalkekurangan infrastruktur asas dan tidak semaju seperti mana negeri Selangor atau Johor. Jadi kalau negeri-negeri ini banyak lebuhraya dan jalan baru dibina akhirnya kampung-kampung kecil dan bandar-bandar kecil yang berada di sekitar kawasan yang memiliki kemudahan infra seperti jalan raya dan sebagainya akan menerima pembangunan secara tidak langsung. Ini kerana, saya selalu ke mana-mana menggunakan kereta, jadi saya dapat tengok bagaimana kawasan yang mempunyai jalan besar dan utama akan turut membangun dan kampung itu tidak mati. Tetapi jika tidak ada jalan dan pembangunan ekonomi susah hendak sampai ke situ, ia akan mati termasuklah masyarakat kerana mereka tidak ada kesempatan untuk turut membangun kerana tiadanya komunikasi dengan dunia luar. Di Kelantan itu yang paling ketara...

> Tentang prinsip-prinsip asas dan perubahan utama yang akan dilaksanakan: Prinsip saya ialah kita sebagai pemerintah haruslah aktif membuat tinjauan kerana hanya dengan meninjau kita akan mendapat gambaran sebenar (keadaan di bawah) dan dapat ambil tindakan sewajarnyaserta dapat memberi keutamaan kepada yang mana perlu mendapat perhatian terlebih dahulu.

> Tentang tahap kemajuan ekonomi dan pembangunan sosial negeri Kelantan: Seperti mana yang saya katakan di awal wawancara tadi, tidak ada bandar di dunia ini dapat bangun tanpa ada infrastruktur asas seperti jalan, hospital, lapangan terbang. Saya bukannya hendak campur politik tetapi apa yang saya maksudkan di sini ialah kalau hendak bangunkan sesuatu kita perlu buat kajian fisibiliti terlebih dahulu. Contohnya macam saya balik (dari sesuatu majlis) dengan kereta saya dapat lihat sendiri kesesakan lalu lintas yang teruk kearah pusat bandar (Kota Baru) bila ada cuti am. Mengapa sesak? Kerana jalan tidak luas atau tidak cukup tetapi kereta banyak. Mengapa kereta banyak? Sebab pada waktu cuti umum orang Kelantan di luar Kelantan balik bercuti ke Kelantan. Jadi kalau kita buat lebuh raya dan buat tol sudah pastinya kita akan dapat menjana pendapatan kerana ramai yang balik ke Kelantan menggunakan kereta. Akhirnya hasil (wang) akan berpusing dan ini akan merancakkan ekonomi termasuk hasil pendapatan rakyat. Bila ini berlaku ia akan menyenangkan hati rakyat – tidak kiralah sama ada ekonominya ke, kesejahteraan dia ke, atau kesihatan dia ke, asalkan rakyat senang. Dan apa sahaja yang akan menyenangkan rakyat kita sokong. Jadi kita tidak hendak menyalahkan mana-mana pihak. Cuma bila kita buat perbandingan contoh Kelantan dengan Terengganu, Kelantan dengan Pahang, Kelantan dengan Johor atau Selangor, Wilayah Persekutuan, kita akan tahu jawapannya kedudukan kita di mana.

> Mengenai impak aktiviti politik kepada perpaduan rakyat: Sistem politik ini, bagi saya selagi ia tidak bercanggah dengan agama dan kita tidak memburuk-burukkan orang lain dalam ceramah tidak mengapa. Bagaimanapun ia bergantung atas diri masing-masing. Misalnya atas pentas ceramah, kalau sesetengah orang itu mulutnya laser, akan keluar perkataan-perkataan yang tidak elok tetapi kalau orang itu jenis orang baik, tak akan keluar kata-kata buruk ke atas orang lain. Jadi kita sendiri kena tahu bila hendak tekan brek (had). Kalau saya sendiri nak cakap apa-apa pun siapa boleh halang saya cakap tapi kita sendiri kena tahu bila hendak brek. Sebagai manusia kita kena tahu had kita di mana. Jika tidak, kita akan menjadi seperti sebuah kereta api yang out of control yang akhirnya akan terbalik.

Ulasan GB

Mana nak cari lagi sultan macam ni, sanggup gugurkan "Daulat Tuanku" kepada "Allahu Akbar" semata-mata kerana mahu rakyatnya memperolehi pahala sewaktu melafaznya....

Sabda Baginda bermaksud: Barang siapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka dia akan mendapat satu kebaikan dan satu kebaikan digandakan sepuluh, aku tidak katakan bahawa 'alif lam mim' satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf. (Riwayat Tirmizi)

Sebut sahaja seruan الله اكبر dah berpahala berlipat-lipat kali ganda. Sungguh mulia hati Tuanku yang seorang nih.

Singapura perlu ramaikan menteri Islam

Posted: 11 May 2011 02:26 AM PDT


KENYATAAN MEDIA

LAJNAH ANTARABANGSA

DEWAN PEMUDA PAS PUSAT


7 JAMADIL AKHIR 1432/11 MEI 2011


SINGAPURA PERLU RAMAIKAN MENTERI ISLAM


Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat (LA DPPP) ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong diatas kejayaan partinya mempertahankan kerusinya pada pilihanraya negaranya tempohari. Walaupun peratus undi yang diperolehi partinya PAP hanya 60 peratus, yakni merosot teruk sejak Singapura merdeka, namun mereka masih dapat mengekalkan majoriti kerusi mereka iaitu 81 daripada 87 yang dipertandingkan.


Pilihanraya Singapura baru-baru ini telah memperlihatkan kebangkitan rakyat Singapura yang mahukan perubahan dan berani menyuarakan isihati mereka dengan menghadiri majlis-majlis kempen pembangkang sehingga Berjaya menumpangkan beberapa menteri kanan.


Bagi pihak LA DPPP, harapan yang dianjurkan ialah agar Perdana Menteri Lee akan menunaikan permohonan maafnya secara terbuka kepada rakyat Singapura 3 hari sebelum hari mengundi atas segala permasalahan dan kelemahan kerajaan pimpinannya. Satu tindakan yang perlu dipuji kerana berani bertanggungjawap dan mengakui kelemahan dan kesilapan kerajaan dibawah pimpinannya.


LA DPPP juga berharap Perdana Menteri Lee mengotai janjinya kepada umat Islam Singapura untuk memperbaiki taraf hidup dan kebajikan umat Islam di Singapura. Lantaran itu LA DPPP berharap Perdana Menteri Lee akan melantik lebih ramai Menteri-menteri dari kalangan umat Islam berbanding sesi yang lalu di mana beliau hanya mempunyai seorang menteri penuh Islam iaitu Dr Ibrahim Yaacob. LA DPPP yakin dengan perlantikan lebih ramai menteri Islam, nasib dan kebajikan umat melayu dan Islam di Singapura akan lebih terbela dan terjaga. Disamping itu juga, ianya akan meningkatkan lagi tahap keprihatinan politik dikalangan orang Melayu dan Islam yang dilihat kurang prihatin terhadap isu semasa dan politik di Singapura. LA DPPP yakin dengan kebolehan dan pencapaian umat Islam di Singapura mampu untuk memenuhi kabinet Singapura hatta sebagai menteri kanan seperti Menteri Luar Negara yang dilihat tiada calon yang dilihat sesuai.


RAJA AHMAD ISKANDAR RAJA YAACOB

Pengerusi

Lajnah Antarabangsa

Dewan Pemuda PAS Pusat

Takziah buat Kartika, Tahniah buat Unit Amal

Posted: 10 May 2011 05:01 PM PDT

Arif Sha'arani - Pengarah Jabatan Amal Perak



Kenyataan Media (10 Mei 2011)

ANAK KARTIKA: TAHNIAH JABATAN AMAL PERAK

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) merakamkan ucapan takziah kepada Kartika Sari Dewi Sukarno di atas kembalinya kerahmatullah anak sulungnya Muhammad Azfar Mohamad Afandi, 9 tahun yang berjaya ditemui terapung di Sungai Perak dekat pengenapan inap desa milik keluarga mereka di Kampung Jawang, Karai, Sungai Siput awal pagi semalam.


DPPN Pk juga merakamkan ucapan tahniah kepada semua anggota Jabatan Amal Negeri Perak yang telah berjaya menemui mayat anak sulung Kartika sekitar jam 2.33 pagi, 1 kilometer dari tempat kejadian. DPPN Pk juga mengucapkan terima kasih kepada Pasukan Penyelamat yang terdiri daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Polis DiRaja Malaysia, Pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan penduduk kampung berhampiran.


Bagi DPPN Pk, usaha dan kejayaan Jabatan Amal membantu sehingga berjayanya menjumpai jenazah Allahyarham pagi kelmarin adalah satu usaha dan gerakerja yang perlu dicontohi dan diazami bersama. Aadalah diharapkan semoga Jabatan Amal akan meneruskan usaha bakti dan kebajikan kepada umum.






DR RAJA AHMAD AL-HISS

Timbalan Ketua,

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.



ajijoi ~ Sebuah lagi episod yang tidak disiarkan media utama. Namun begitu, bukanlah matlamat Unit Amal ditubuhkan untuk mendapat pengiktirafan mahupun puji-pujian daripada orang ramai. Khidmat dan amal mereka hanyalah ikhlas kerana Allah.


Himpunan Kebangkitan Rakyat 'Pas Ganti Umno' Peringkat Negeri Perak

Posted: 10 May 2011 04:33 PM PDT

IPOH – Setiausaha PAS Perak, Ustaz Misbahul Munir menyatakan kini gelombang kebangkitan rakyat untuk memastikan PAS menggantikan UMNO selaku kuasa politik utama orang melayu di negara ini bagaikan angin yang sedang bertiup kencang.


Justeru PAS Perak akan membawa program besar-besaran yang dinamakan sebagai himpunan kebangkitan rakyat 'PAS Ganti Umno' di negeri Perak pada 14-15 Mei 2011 di zon utara Perak iaitu di Padang Rengas dan 28-29 Mei 2011 di zon Selatan Perak iaitu di Pasir Salak, jelas beliau.

Menurut beliau lagi, PAS Perak akan menggerakkan Himpunan Kebangkitan Rakyat PAS ganti UMNO ini dengan bersungguh dan penuh komitmen agar program yang dirancang ini dapat berlangsung dengan jayanya..

Beliau juga menyatakan, program besar- besaran PAS ganti UMNO ini adalah antara usaha PAS Perak untuk kembali memerintah negeri Perak sejak ia dirampas oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam kes rampasan kuasa secara zalim oleh UMNO BN ketika Pakatan Rakyat memerintah Perak selepas PRU 12 selama 11 bulan.

Setiausaha PAS Perak itu juga menyatakan, PAS Perak akan terus berusaha dan merancang serta melaksanakan pelbagai program untuk menawan hati rakyat.


Memetik ucapan beliau,

''Kita berhasrat dan memang berniat untuk mengambil semula pemerintahan negeri Perak, jadi beberapa perancangan dan program yang telah dan sedang rancak dijalankan untuk menghadapi Pilihanraya Umum 13 yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

" Oleh itu kita memikirkan sesuatu yang boleh menggerak dan menawan hati rakyat, kita mendokong penuh program yang disarankan diperingkat PAS Pusat iaitu program "PAS Ganti Umno", dan kita akan jayakannya di peringkat negeri Perak.

Menurutnya lagi, kejayaan Himpunan PAS ganti UMNO di pantai timur tanah air menyebabkan pemimpin Umno akur melihat kekuatan rakyat yang begitu ramai berhimpun untuk menyatakan aspirasi mereka menyokong perjuangan PAS.

Justeru Ijtima' PAS Ganti UMNO adalah manifestasi perjuangan yang sekian lama dilaungkan oleh PAS dalam usaha menggantikan UMNO dalam penguasaan politik negara, ia juga merupakan matlamat utama parti mewujudkan sebuah pemerintahan yang adil mengikut lunas-lunas Islam. Rakyat pasti akan lebih terbela masa depannya, manakala negara akan lebih stabil dalam semua aspek pembangunan sekiranya PAS berpeluang menggantikan UMNO yang sudah lama pincang dengan amalan rasuah, kronisme, salah guna kuasa, menzalimi hak rakyat, budaya fitnah dan beribu penyelewengan lagi.

Tiada ulasan: