Kerabu Bersuara ® |
- Najib temui pemimpin gereja sebalik kontroversi Islam-Kristian
- Royalti: T’ganu dapat, kenapa nafi hak Kelantan
- Najib tetapkan agenda mingguan Utusan - Hata Wahiri
- Papa Gomo Sepak Anjing Besar
- KDN nafi beri kerakyatan daftar warga asing pengundi sokong BN
- Lupus subsidi gula RM116 juta, tapi Permata dapat RM111 juta
- Pulau Pinang mahu KDN ambil tindakan terhadap Utusan
- Perlantikan PM mesti diperkenan oleh Agong
- Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan Kali Ke 52
- Johor bukan lagi ‘kubu’ BN, KEADILAN rancang program gempur berterusan
Najib temui pemimpin gereja sebalik kontroversi Islam-Kristian Posted: 11 May 2011 02:30 AM PDT Oleh Debra Chong KUALA LUMPUR, 11Mei — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan pertemuan dengan sekumpulan pemimpin-pemimpin gereja sempena majlis makan tengah hari di Putrajaya esok di sebalik kontroversi ekoran laporan media bahawa komuniti Kristian mahu menggantikan Islam sebagai agama rasmi. Biskop Ng Moon Hing yang mengetuai Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) mengesahkan beliau menerima jemputan daripada Jabatan Perdana Menteri minggu lalu dan akan hadir majlis makan tengah hari bersama wakil-wakil Roman Catholic Church, Council of Churches Malaysia (CCM) dan National Evangelical Christian Fellowship (NECF). |
Royalti: T’ganu dapat, kenapa nafi hak Kelantan Posted: 11 May 2011 02:00 AM PDT Harakahdaily KUALA LUMPUR, 11 Mei: Pembayaran royalti petroleum kepada Terengganu dengan menafikan hak Kelantan sedangkan kedua-dua negeri bersempadan dan telaga minyak Kelantan adalah berhampiran menjelaskan hasrat menganaktirikan Kelantan atas faktor politik. "Keadaan ini menunjukkan Barisan Nasional mempunyai dasar yang berubah-ubah dalam isu yang sama," kata Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa . Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Tuntutan Royalti Petroleum menyatakan demikian sebagai mengulas pembayaran royalti petroleum kepada Terengganu berjumlah RM938 juta secara berperingkat sehingga Jun 2011. Baginya, perkara itu yang disahkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said pada sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu (Dun) ke-12 semalam membuktikan bahawa isu 3 batu nautika adalah isu yang sengaja diada-adakan untuk menafikan hak Royalti Petroleum Kelantan. Katanya, pembayaran semula royalti minyak Terengganu itu juga menunjukkan Perdana Menteri mempunyai dua polisi berlainan bagi isu yang sama dan ia memberi petanda aras bahawa slogan 1Malaysia yang dilaung-laungkan adalah slogan kosong tidak bermakna. Menurutnya, pembayaran royalti itu, sebagaimana kenyataan Menteri Besar Terengganu adalah berasaskan perjanjian 1975. Justeru, katanya Kelantan dan Terengganu menandatangani perjanjian yang sama 36 tahun yang lalu. "Secara jelas asas undang-undang adalah sama. Jika pembayaran terpaksa dibuat kepada Terengganu kerana kehendak perjanjian 1975, jelas tidak ada sebab hak Kelantan dalam hal yang sama dinafikan," ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily. Beliau berkata, bagi berlaku adil dan merealisasikan kebajikan secara saksama serta pengembalian hak rakyat Kelantan, Perdana Menteri seharusnya menjelaskan segera pembayaran royalti minyak Kelantan sama sebagaimana yang dilakukan kepada Terengganu. |
Najib tetapkan agenda mingguan Utusan - Hata Wahiri Posted: 11 May 2011 01:31 AM PDT Harakahdaily KUALA LUMPUR, 11 Mei: Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Mohamad Hata Wahiri berkata, agenda mingguan akhbar Utusan Malaysia ditetapkan oleh Biro Politik Umno yang dipimpin oleh Presidennya, Datuk Seri Najib Razak. Hatta dalam wawancaranya dengan laman web, Free Malaysia Today (FMT) (gambar) berkata, Ketua Pengarang Utusan yang ada sekarang akan menerima arahan dari mesyuarat Biro Politik Umno yang bersidang setiap hari Isnin malam. Yang hadir dalam mesyuarat itu adalah Najib, timbalannya, Tan Sri Muhyidin Yasin, naib presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamudin Husein dan Datuk Seri Safie Apdal serta Setiausaha Agung, Datuk Tengku Adnan Mansor dan Ketua Penerangan, Datuk Ahmad Maslan. Agenda mingguan yang diputuskan dalam mesyuarat ini akan disampaikan kepada Ketua Pengarang Utusan melalui pejabat Perdana Menteri. Hata telah dipecat oleh Utusan 1 Mei lalu, dua hari sebelum Hari Kebebasan Akhbar sedunia yang disambut pada setiap 3 Mei. Alasan Utusan adalah kerana Hata memalukan Utusan dalam kenyataan-kenyataan medianya. "Utusan akan melaksanakan isu yang diarahkan selama tiga hari sebelum menghentikan sepenuhnya kecuali menerima sokongan kuat dari pemimpin utama BN," laporan laman web itu. Utusan mendapat serangan dari pelbagai pihak sejak kebelakangan ini ekoran tindakannya mensensasikan pelbagai isu yang dianggap tidak wajar. Yang terbaru isu "Kristian menjadi agama rasmi" sehingga MCA, rakan kongsi Umno dalam Barisan Nasional (BN) juga tidak percaya lagi kepada akhbar itu. Selepas mendapat reaksi negatif, Najib sendiri seolah-olah tidak bersetuju dengan laporan itu dan meminta isu itu dihentikan. Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat ketika menjawab soalan wartawan tentang isu ini berkata, "Takkan saya nak percaya Utusan kalau MCA pun tidak percaya." Utusan juga menjadikan agenda menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila mendakwa Anwar menggelarkan Perdana Menteri Najib sebagai 'pundi kutty' satu kenyataan mencarut dari bahasa Tamil. Namun begitu, Anwar menafikan dakwaan itu kerana beliau menggelarkan pundi kutty kepada tindakan bejat BN bukannya kepada Najib. Menurut FMT lagi, Hatta berkata, semasa Utusan dipimpin oleh Datuk Khalid Mohamad, perkara yang berlaku dalam Utusan sekarang tidak berlaku. Ia hanya mula berubah selepas kekalahan teruk BN dalam pilihan raya umum 2008 dan Khalid telah digantikan oleh Datuk Aziz Ishak sebagai Ketua Pengarang. "Menurut Hata, Aziz tidak mempersoalkan arahan editorial yang ditetapkan oleh Biro Politik Umno yang bermesyuarat setiap Isnin malam bagi membincangkan agenda mingguan akhbar itu," lapor FMT. Namun begitu, strategi ini telah memberikan kesan buruk kepada Utusan apabila jualannya jatuh merudum dan akhbar ini dilaporkan mengalami kerugian RM20 juta sejak 2009. "Data dari Audit Bureau of Circulation (ABC) menunjukkan jualan harian akhbar ini jatuh 20 peratus antara Jun 2006 hingga Jun 2010," lapor FMT. |
Posted: 11 May 2011 12:56 AM PDT Kristian-Islam: Blogger pro-Umno telagah, gesa Bigdog ditahan ISA Oleh Syed Mu'az Syed Putra KUALA LUMPUR, 11 Mei — Sebuah blog pro-Umno mengecam pendedahan provokasi yang dibawa blogger "Bigdog" berhubung dakwaan wujudnya konspirasi untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara sekali gus melantik perdana menteri dalam kalangan penganut itu. Ekoran pendedahan penulis blog Bigdog itu, Utusan Malaysia telah memetik laporan tersebut dan disiarkan pada Sabtu lalu dengan tajuk "Kristian Agama Rasmi? yang mendapat bantahan dan dikritik banyak pihak termasuk daripada pemimpin Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN). Laporan muka depan akbar Utusan Malaysia itu turut disiarkan dalam beberapa blog pro-Umno. Blog "Bigdog" atau nama sebenar penulisnya, Zakir Mohammed menerusi entri bertajuk "Making Christianity the official religion? mendakwa paderi-paderi Kristian mahu perdana menteri dilantik daripada kalangan penganut agama itu. Selain itu, nama Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi dari DAP juga diheret dalam tulisan blog berkenaan kerana beliau dilaporkan hadir bersama. Blogger "Papa Gomo" menerusi entri "Negara Kristian - Tangkap Sumbat Dalam ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) Si Bigdog Ini" mengecam tindakan yang dilakukan"Bigdog" atas alasan mengeluarkan laporan berunsur fitnah dan tidak benar. "Dalam isu gereja dan negara Kristian ini memang dari awal saya merasakan sangsi berhubung laporan yang ditulis Bigdog ini sebab dalam laporan itu tiada asas yang kukuh untuk mengatakan perjumpaan paderi itu adalah untuk membentuk jemaah yang sebulat suara menyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian. "Secara logik mustahil pihak Kristian dalam Malaysia boleh berikrar secara terbuka dalam hal ini, mereka tahu kewajaran dalam nak menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian tidak dapat dilaksanakan. "Jadi bagaimana pula Bigdog ini boleh mengeluarkan satu perkara yang tidak pasti yang mana sekarang kerajaan Barisan Nasional (BN) menjadi mangsa akibat dari kebodohan Bigdog ini," katanya. Justeru kata "Papa Gomo", kerajaan harus peka dan memandang serius terhadap laporan palsu yang dikeluarkan blog "Bigdog" kerana ia boleh menimbulkan ketegangan antara agama. Selain itu, penulis itu juga mahu "Bigdog" ditahan di bawah ISA jika terbukti laporan yang dikeluarkan itu berunsur fitnah. "Jika blog Bigdog terbukti menyebarkan fitnah sehingga menggugat keselamatan negara adalah satu kewajaran untuk Bigdog ditahan di bawah ISA bagi mengelakkan kekacauan dan ketenteraman awam tergugat. "Kerajaan harus memandang serius isu yang dimomokkan blog Bigdog kerana yang menanggung beban dalam hal ini adalah kerajaan BN dan bukannya Pakatan Rakyat. Bagaimana hendak kita bela blogger yang merosakkan keharmonian kaum di Malaysia?" katanya. Tegasnya, konsep 1 Malaysia yang diperjuangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak akan dapat direalisasikan jika kerajaan tidak dapat mengambil sebarang tindakan terhadap "Bigdog". "Apa guna 1 Malaysia jika hal begini tidak dapat dibendung oleh kerajaan Malaysia. Saya yakin dan amat pasti pembangkang (Pakatan Rakyat) juga akan turut sama bersetuju agar ISA dikenakan ke atas blogger Bigdog jika terbukti dia salah menyebarkan laporan. "Sudah sampai masa KDN (Kementerian Dalam Negeri) bertindak tegas dalam hal ini bagi menjamin ketenteraman awam, bagi saya berbaloi jika Bigdog ditahan di bawah ISA kerana dapat menyelamatkan Malaysia," katanya. Blog Bigdog juga menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan rahsia antara DAP dan pastor-pastor di sebuah hotel di Pulau Pinang minggu lalu. Bagaimanapun pemimpin-pemimpin DAP telah menafikan perkara tersebut sambil mengulangi pendirian mempertahankan Islam sebagai agama rasmi negara ini. Penganjur program itu — Pertubuhan National Evangelical Christian Fellowship (NECF) bersama Global Day of Prayer, Marketplace Penang dan Penang Pastors Fellowship menegaskan dakwaan terhadap komuniti adalah pembohongan dan telah pun menafikan dakwaan blogger berkenaan. |
KDN nafi beri kerakyatan daftar warga asing pengundi sokong BN Posted: 11 May 2011 12:45 AM PDT PUTRAJAYA, 11 Mei — Kementerian Dalam Negeri menafikan pihaknya memberi taraf kewarganegaraan penuh kepada rakyat asing termasuk 2,000 pemastautin tetap di kawasan Parlimen Hulu Selangor bagu menyokong BN sebagaimana didedahkan PKR semalam. Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Liong berkata, kementeriannya tidak akan memberi langsung kelulusan ke atas permohonan kerakyatan penuh kepada warga asing jikapun ia dipohon Umno. "Hal ini tidak akan berlaku. Satu kelulusan pun saya tidak akan bagi apatah lagi 2,000 kelulusan kepada warga Indonesia," kata beliau kepada pemberita selepas taklimat media di kementerian itu di sini, hari ini. Semalam, ada kenyataan daripada PKR yang mendedahkan senjata kotor kononnya Umno mahu mengukuhkan undi dengan memberikan kerakyatan kepada 2,000 pemegang status pemastautin tetap, sekali gus dijadikan pengundi baru. Dalam suratnya kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Ketua Umno Hulu Selangor Datuk Mohamed Idris Abu Bakar didakwa memohon kelulusan untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia bagi penduduk pemastautin tetap di kawasan Parlimen Hulu Selangor. Berdasarkan senarai nama yang disertakan dalam surat itu seramai 2,000 orang telah dipilih, kata Zuraida semalam. Zuraida turut menyifatkan Umno khususnya di Selangor sudah terdesak untuk merampas semula negeri itu daripada Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum ke-13 dengan menggunakan cara itu. Menurut beliau, nama-nama yang sudah dikenal pasti jelas dinyatakan dalam surat tersebut sebagai bakal pengundi yang boleh membantu kemenangan BN dalam pilihan raya umum. Selain itu, Lee menambah, untuk mendapatkan kerakyatan bukan senang. "Warga asing perlu menjalani prosedur-prosedur yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan. "Mereka (yang ingin mendapatkan kerakyatan Malaysia) perlu ada dokumen-dokumen sah dan memenuhi syarat, baru kami akan proses kerakyatan yang dipohon. Tetapi itu juga mengambil masa yang lama," ujarnya lagi. Beliau juga menegaskan, bukan setiap warga asing ada hak memohon kerakyatan. "Hanya orang tertentu sahaja layak mendapatnya. "Jika warga asing itu berkahwin dengan pasangan dari warganegara Malaysia, barulah mereka layak memohon kerakyatan itupun tertakluk kepada Perlembagaan dan bukan dalam tempoh masa terdekat," katanya lagi. "Saya juga tidak akan sembarangan memberi kerakyatan kepada warga asing dalam meraih undi pada pilihan raya umum ke-13," katanya. |
Lupus subsidi gula RM116 juta, tapi Permata dapat RM111 juta Posted: 11 May 2011 12:21 AM PDT KUALA LUMPUR: Pas mempersoalkan kewajaran kerajaan Umno pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang melupuskan subsidi harga gula RM116 juta, sedangkan dalam masa yang sama memberikan peruntukan sebanyak RM111 juta kepada Permata yang dinaungi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansur. "Apa lebih Permata, hanya setaraf dengan pasukan kompang sahaja, tetapi memperolehi peruntukan begitu banyak hampir dengan pelupusan subsidi gula RM116.6 juta. "Sedangkan peruntukan untuk Sekolah Agama Rakyat hanya RM95 juta sahaja," kata Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad. Menurut Idris, tindakan kerajaan menaikkan harga gula sebanyak 20 sen kepada RM2.30 sekilogram berkuatkuasa semalam, sebagai lambang kegagalan Barisan Nasional (BN). "Kenaikan harga gula kali ini adalah yang keempat selepas kerajaan berbuat demikian sebanyak tiga kali pada tahun lalu iaitu pada Januari (20 sen), Julai (25 sen) dan Disember (20 sen)," kata Idris dalam satu kenyataan hari ini. Tambah beliau, keputusan kerajaan menaikkan harga gula kononnya untuk menjimatkan wang negara sebanyak RM116.6 juta setahun, dengan membandingkan harga gula di Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina merupakan alasan dangkal. "Apakah kerajaan BN tidak ada jalan lain untuk menguruskan kewangan negara. "Nampaknya pemimpin negara jika tidak ada wang, jalan keluarnya dengan menyusahkan rakyat seperti saman ekor, menaikan minyak petrol, naik harga gula, naik harga tol," tegas Idris. |
Pulau Pinang mahu KDN ambil tindakan terhadap Utusan Posted: 11 May 2011 12:15 AM PDT Oleh Clara Chooi GEORGE TOWN, 11 Mei — Kerajaan negeri Pulau Pinang telah memfailkan satu aduan rasmi mendesak Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia ekoran laporan yang mengaitkan DAP dengan konspirasi Kristian. Ketua Menterinya Lim Guan Eng berkata keputusan itu dibuat selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebulat suara menyokong usul itu termasuk dua wakil rakyat Umno yang tidak mempercayai laporan tersebut. Kata Lim, dua wakil rakyat Umno yang turut menyokong usul itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Bahang, Datuk Hilmi Yahya dan Adun Pulau Betong Muhammad Faris Saad ketika sidang DUN semalam. "Kerajaan negeri Pulau Pinang secara rasmi meminta YB Menteri untuk mengambil tindakan tegas dan membantah laporan palsu serta fitnah seperti yang dilaporkan di muka depan Utusan Malaysia pada 7 Mei 2011 yang melaporkan wujud konspirasi antara DAP dan paderi Kristian di Pulau Pinang untuk membentuk negara Kristian dan melantik perdana menteri Kristian," kata beliau dalam surat rasmi yang diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri. Tambah Lim, tindakan yang diambil Hilmi dan Muhammad Faris membuktikan secara jelas bahawa akhbar milik Umno itu mengeluarkan laporan yang tidak benar dan bersifat hasutan. Beliau juga menggesa Putrajaya menuntut Utusan Malaysia membuat permohonan maaf secara terbuka kerana menyiarkan laporan "palsu dan berniat jahat" serta mengambil tindakan kepada semua individu yang terlibat. "Kerajaan negeri Pulau Pinang percaya akan kebebasan maklumat dan kebebasan akhbar sebagai asas dalam hak-hak asasi dan demokrasi. "Bagaimanapun kebebasan ini tidak membenarkan anda mencetak sebarang bentuk laporan tidak benar. Laporan palsu ini dibuat dengan niat jahat dan boleh membangkitkan sensitiviti melalui sentimen yang sempit dan melampau," katanya. Laporan Utusan Malaysia bertajuk "Kristian Agama Rasmi?" itu mendakwa wujudnya perbincangan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, sekali gus melantik perdana menteri dari kalangan penganut itu. Akhbar itu juga mendakwa ada konspirasi mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi, usaha didakwa disokong oleh pemimpin-pemimpin DAP. Utusan Malaysia melaporkan perkara itu selepas memetik laporan sebuah blog yang menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan rahsia antara DAP dan pastor-pastor di sebuah hotel di Pulau Pinang minggu lalu. Bagaimanapun kumpulan Kristian dan DAP menafikan dengan keras dakwaan itu sambil menyifatkan laporan Utusan Malaysia itu "pembohongan yang bahaya." Lim juga mempersoalkan tindakan Utusan Malaysia yang tidak mahu menarik balik laporan itu secara sukarela. "Dengan tidak menarik balik dan meminta maaf, Utusan Malaysia terus memainkan isu itu. "Sekarang laporan palsu ini telah tersebar dan ia akan menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan," katanya. Sebagai contoh, Lim merujuk kepada demontrasi yang dilakukan Pemuda Umno yang membantah tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang yang mencadangkan laluan bebas tol dari Jalan Bagan 29 hingga Jalan Siram. Ketika demonstrasi itu, Lim berkata "bahasa kasar" telah digunakan dengan menuduh beliau terlibat dengan konspirasi tersebut. Beliau menegaskan kerajaan negeri tidak membuat sebarang laporan polis terhadap peserta demonstrasi itu kerana ia merupakan kebebasan bersuara. "Bagaimanapun ia salah apabila Pemuda Umno Pulau Pinang mengadakan demonstrasi mengkritik dengan menggunakan bahasa kasar dengan menuduh ketua menteri terlibat dalam konspirasi Kristian itu, ia tidak berasas. "Demonstrasi itu diadakan atas alasan yang tidak benar dan tidak demokratik tapi ia bahaya dan boleh jejaskan kestabilan negara," katanya. |
Perlantikan PM mesti diperkenan oleh Agong Posted: 10 May 2011 07:00 PM PDT Oleh Syed Imran Saya pada mulanya tidak ingin ikut sama dalam perbahasan mengenai laporan yang belum tentu benar dan betul mengenai isu kononnya ada usaha untuk menjadikan agama Nasrani atau Kristian sebagai agama rasmi Malaysia. Ianya kerana saya tidak yakin akan kebenaran laporan yang dikutip oleh Utusan Malaysia daripada tulisan dua orang blogger. Walaupun saya sedar bahawa apa yang dilakukan oleh Utusan Malaysia, iaitu mengutip berita yang amat sensitif itu daripada laman blog tanpa usul periksa akan sumbernya dan menyemak dan menyemak sama ada ianya benar atau hanya satu penulisan yang belum tentu benar, adalah sesuatu yang tidak mematuhi etika kewartawanan, iaitu memastikan kebenaran sesuatu maklumat atau cerita yang hendak disiarkan untuk bacaan umum. Tetapi, apabila Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok mengulas mengenai jawatan Perdana Menteri, saya rasa bertanggungjawab untuk membuat sedikit ulasan. Benar, Perlembagaan Malaysia tidak menyebut mengenai pegangan agama seseorang itu untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, tetapi ada perkara lain yang mesti dilalui sebelum seseorang itu boleh dilantik dan mengangkat sumpah pegang jawatan. Perkara ini yang tidak disebut oleh Bernard Dompok, seorang Bumiputera Kristian dari Sabah. Saya akur dengan apa yang dijelaskan oleh Bernard Dompok kerana dia mengutip apa yang termaktub dalam Perlembagaan dan mantan PM Tun Dr Mahathir pun pernah berkata bahawa bukan mustahil bagi seorang bukan Melayu menjadi PM satu hari kelak, walaupun ia hanya satu kemungkinan yang belum tentu boleh menjadi kenyataan. Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri, iaitu Kabinet, untuk menasihat Baginda dalam hal menjalankan tugas-tugas Baginda. Perkara 43 juga menyebut bahawa terlebih dahulu, Baginda hendaklah melantik sebagai Perdana Menteri untuk mengetuai Jemaah Menteri yang pada pendapat Baginda akan mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan Rakyat. Dua perkara yang jelas adalah kuasa perlantikan berada di tangan Yang di-Pertuan Agong dan orang yang bakal dilantik itu mesti mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli Dewan Rakyat. Jika kedua-dua perkara ini tidak berlaku, maka tidak akan ada Perdana Menteri atau tidak akan terlantik mana-mana pihak yang ingin menjadi PM sama ada dia beragama Islam, Kristian, Hindu atau Buddha. Begitu juga dengan kedudukan agama rasmi Persekutuan Malaysia, iaitu Islam. Ianya termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan seperti berikut - ''Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.'' Selain Perlembagaan, Majlis Raja-Raja adalah pelindung dan bertanggungjawab untuk mempertahan kedudukan Islam sebagai agama rasmi dan apa-apa usaha atau tindakan yang boleh menjejas kedudukan itu mesti melalui Majlis Raja-Raja untuk kelulusan. Perkara 38 Perlembagaan dengan jelas menyatakan bahawa Majlis Raja-Raja hendaklah mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara meliputi seluruh Persekutuan; mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang dan membut atau memberi nasihat mengenai apa-apa perlantikan yang, menurut Perlembagaan, memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. Berbalik kepada perlantikan Perdana Menteri, kita yakin dan percaya Majlis Raja-Raja tidak akan melakukan kesilapan dengan memperkenankan seseorang yang bukan beragama Islam. Saya percaya semua pihak yang waras dan berpendidikan tahu dan sedar akan hakikat itu dan mereka tidak akan mengusulkan untuk menjadikan mana-mana agama lain sebagai agama rasmi Malaysia. Sebab itu saya tidak percaya akan kebenaran bertita yang disiarkan tanpa sumber rasmi dan sahih itu. Utusan Malaysia telah melakukan kesilapan dengan menyiarkan berita sedemikian di muka hadapan tanpa terlebih dahulu menyemak kesahihan dan kebenarannya |
Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan Kali Ke 52 Posted: 10 May 2011 06:00 PM PDT Selamat bermuktamar buat semua pemuda. kami menyokong anda dari belakang! Takbir! |
Johor bukan lagi ‘kubu’ BN, KEADILAN rancang program gempur berterusan Posted: 10 May 2011 04:07 PM PDT KUALA LUMPUR: Berdasarkan tinjauan yang dilakukan KEADILAN, rata-rata penduduk di negeri Johor yang terkenal dengan gelaran 'kubu Barisan Nasional' bertekad untuk melakukan perubahan pada pilihan raya umum ke-13 kelak. Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Ezaddin Abdul Rahman berkata, sepanjang tempoh dua bulan melakukan tinjauan termasuk di kawasan bandar dan separa-bandar, isu utama yang dibangkitkan adalah peningkatan kos kehidupan mendadak selain isu sosial dan kebajikan. "Kepada golongan muda, isu pemilikan aset seperti rumah dan kereta menjadi permasalahan utama. Begitu juga dengan beban hutang pinjaman pendidikan yang besar. "Kepada kelompok yang hanya mempunyai taraf pendidikan sederhana dan rendah, isu mereka ialah peluang pekerjaan yang dimonopoli oleh warga asing. Jika mereka bekerja di sektor yang sama, pendapatan mereka sangat rendah, tak sesuai dengan kos kehidupan semasa," kata Ezaddin kepada Keadilandaily. Beliau menjelaskan demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman yang kononnya mendakwa isu yang dibangkitkan Pakatan Rakyat adalah semata-mata kepada kredibilti calon Umno. Ghani dilaporkan merayu kepada orang Melayu di negeri itu termasuk ahli Pas untuk bersatu kerana kononnya perkembangan itu adalah satu cabaran besar yang boleh menggugat masa depan orang Melayu. "Orang Melayu di kawasan luar bandar yang paling banyak terkesan daripada peningkatan kos kehidupan akibat polisi kerajaan. Ini termasuk dasar kerajaan negeri yang pincang. Sebagai contoh, kadar tarif air yang paling tinggi di Malaysia adalah di negeri Johor," ujarnya. Justeru, AMK Johor merancang untuk meneruskan program serupa ke seluruh pelusuk negeri. Ketua Cabang Batu Pahat, Syed Hamid Ali bertemu mangsa kebakaran di Pekan Senggarang Terbaru, pada 7 hingga 9 Mei lalu, Cabang KEADILAN Batu Pahat dengan kerjasama Srikandi KEADILAN Pusat mengadakan tinjauan langsung dan program edaran risalah di sekitar kawasan Dun Penggaram, Senggarang dan Rengit. Turut hadir menjayakan program ialah Ketua Cabang Batu Pahat, Syed Hamid Ali dan Ketua Srikandi KEADILAN Malaysia, Siti Aishah Shaik Ismail. Mereka turut singgah membantu mangsa kebakaran yang melibatkan 7 rumah kedai di pekan Senggarang. "Persepsi orang ramai terhadap Umno dan Barisan Nasional semakin buruk. Namun, pendekatan kita lebih menekankan kepada kesan positif yang berlaku sepanjang pentadbiran Pakatan Rakyat seperti di Selangor dan Pulau Pinang," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Kerabu Bersuara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan