Jumaat, 13 Mei 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Fitnah: Pimpinan Umno langgar Waadat Melayu

Posted: 12 May 2011 04:29 AM PDT

Afiq Hizami, Pelatih UKM


Dakwaan fitnah ke atas pemimpin politik Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui penyebaran rakaman video seks, mengaibkan, dan menjijikan tidak sepatutnya dilakukan kerana ia bertentangan dengan prinsip Islam dan juga melanggar Waadat Melayu yang telah dimenterai sekian lama.

Dalam prinsip Waadat Melayu yang terkandung dalam buku sastera sejarah Sulalatus Salatin, perjanjian yang berlaku antara Demang Lebar Daun dan Sri Tri Buana mencerminkan politik orang Melayu tradisional sangat menitik beratkan agar pihak pemerintah atau raja-rajanya tidak sesekali mengaibkan rakyatnya.

Namun, pekara ini dilihat berlaku sebaliknya, Umno telah melanggar perinsip pertama muafakat antara kerajaan dengan rakyat ini.

Hal ini jelas terkandung dalam teks sejarah Melayu hasil karya Tun Sri Lanang, seperti dalam petikan dibawah:

  • "Seperkara lagi. Perjanjian patik mohonkan anugerah ke bawah Duli Yang Maha Mulia, segala hamba Melayu itu jikalau ada dosanya ke bawah duli, patik pohonkan janganlah ia difadihatkan. Dinista yang keji-keji, jikalau patut pada hukum syarak bunuh, tuanku; jangan tuanku aibi".
  • Maka titah Seri Teri Buana, "Kabullah hamba akan janji paman itu: tetapi hamba pun hendak minta janji juga pada paman."
  • Maka sembah Demang Lebar Daun," Janji yang mana itu, patik pohonkan titah duli Yang Maha Mulia.
  • Maka titah Seri Teri Buana, "Hendaklah oleh segala anak cucu hamba, jikalau ada salahnya sekalipun, atau zalim jahat pekertinya, jangan segala hamba Melayu itu derhaka dan menitikkan darahnya ke bumi, jikalau mereka itu akan cedera, berundur hingga takluk negerinya juga."
  • Maka sembah Demang Lebar Daun,"Baiklah tuanku, tetapi jikalau anak cucu duli tuanku dahulu mengubahkan, anak cucu patik pun berubahlah tuanku."
  • Maka titah Seri Teri Buana " Baiklah paman, kabullah hamba akan waad itu."


Gambaran yang tedapat dalam teks tersebut adalah kontrak sosial antara pemerintah dan rakyat yang boleh juga dipandang sebagai dialog tentang
demokrasi dan pendemokrasian dalam masyarakat feudal Melayu masa silam.

Gambaran dalam dialog ini penting kerana mempunyai banyak implikasi kepada sistem pengurusan negara, masa dahulu dan zaman pemerintahan pimpinan Umno sekarang ini.

Pekara ini tidak mungkin ada tanpa kepercayaan satu pihak dengan yang lain tidak seperti kolonialisasi yang diamalkan oleh pimpinan Umno yang hanya mempercayai dan berkomplot dengan pihaknya sahaja tetapi perlu adanya satu pihak lain seperti Pakatan Rakyat.

Justeru itu, pekara lain yang terdapat dalam dialog itu adalah sudah mempunyai jaminan kebebasan bersuara dalam masyarakat itu dan bukannya dikawal seperti Umno mengawal "suara" akhbar Utusan untuk menabur fitnah kepada rakyat.

Moralnya dalam dialog itu adalah pihak pimpinan Umno seharusnya mematuhi waadat tersebut dan sekiranya melanggari waadat tersebut pihak pimpinan Umno boleh melihat kepada kejatuhan kerajaan Melayu di Melaka.

Ia bukan sahaja kerana serangan Portugis pada 1511, tetapi yang memberi tamparan maut kepada kerajaan Melayu itu sebenarnya adalah yang sudah reput dari dalam kerana rebutan kuasa, fitnah-memfitnah, perbuatan curang dan lain-lain yang memecahkan perpaduan dan kharmonian dalam masyarakatnya sendiri.

Sebagai pihak pemerintah dan juga pihak yang diperintah, perlulah saling mengawal agar tidak melampaui batasan yang dipersetujui.

Kawalan semacam itu diperlukan memandangkan kedua-dua pihak mempunyai kelemahan selain kekuatan yang mungkin tidak dipunyai pihak yang lain.

Daripada pelbagai episod yang diceritakan dalam Sejarah Melayu, pimpinan Umno harus mengambil nasihat dan saranan dalam buku tersebut.

Hal ini kerana fitnah, hasutan, penyelewengan kuasa, pilih kasih, kezaliman pemerintahan, perbuatan rasuah, perjanjian longgar yang dilakukan oleh pimpinan Umno telah menimbulkan banyak konflik dan perbuatan ini yang sudah mereputkan barisan pimpinan Umno itu sendiri.

Sehubungan itu, jelas betapa pentingnya falsafah dan kepercayaan dalam sastera Melayu lama dalam kehidupan masyarakat dewasa ini seterusnya penghayatannya dapat memberi keadilan dan faedahnya dinikmati sesama insan.

Karya kesusasteraan Melayu tradisional bukan hanya sekadar khazanah atau warisan bangsa tatapi merupakan titik permulaan peradaban kepada tamadun bangsa.

Segala pemikiran di dalamnya terkandung nilai sejagat yang harus dicerapkan ke dalam masyarakat kini.

Suruhanjaya Diraja siasat skandal kad pengenalan

Posted: 12 May 2011 04:26 AM PDT

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud (gambar) hari ini mencadangkan agar Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat skandal pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing untuk mengundi.

Beliau juga mengakui ada menerima maklumat mengenai penduduk Sabah yang dibawa ke pejabat Umno di beberapa kawasan untuk menukar alamat ke kawasan parlimen beliau.

Beliau membuat dakwaan ini ekoran kekecohan yang berlaku sekarang berikutan pelbagai bukti ditunjukkan adanya sindiket untuk mengeluarkan kad pengenalan kepada warga asing untuk digunakan dalam pilihan raya nanti.

Menurutnya, suruhanjaya bebas itu sangat perlu kerana perkara ini sudah pasti dipersoal rakyat malah ada ahli Parlimen BN dari Sabah sendiri membangkitkan mengenai perkara ini.

"Wujudkan Suruhanjaya Diraja sebab ini melibatkan kredibiliti KDN dan JPN itu sendiri. Badan kerajaan ini dipersoal rakyat bukan Pakatan Rakyat sahaja.

"Malah ahli Parlimen BN Sabah sendiri pernah membangkitkan mengenai pemberian 'kada pengenalan palsu ini' dan Timbalan Speaker (Datuk) Ronald Kiandee mencelah dengan berkata 'bukan kad pengenalan palsu'. Ini bermakna BN di Sabah juga tahu mengenai perkara ini," katanya.

Beliau juga mempersoal penahanan beberapa orang yang disyaki terlibat dengan pemalsuan kad pengenalan di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) tanpa dibicara di mahkamah.

"Sebelum ini kita ada dengar beberapa orang ditahan di bawah ISA kerana didakwa memalsukan kad pengenalan. Kenapa tak dakwa dan bicarakan mereka di mahkamah? Adakah kerana kerajaan takut lebih banyak lagi maklumat sensitif mengenai KDN dan JPN terbongkar jika mereka dibicarakan?" soalnya.

Pengundi Sabah pindah

Menurut Siti Mariah, beliau diberitahu bahawa mereka yang tinggal dalam parlimen Kota Raja memang mahu menukar alamat daripada Sabah ke Selangor dan tidak hairanlah jika mereka dibantu Umno untuk melakukan urusan itu.

Malah dimaklumkan borang sudah disediakan lengkap dengan alamat yang ditetapkan dan mereka hanya perlu mengisi nama masing-masing.

Apabila pihaknya membuat semakan ke atas senarai pengundi-pengundi dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDTP) yang dikeluarkan 28 April lalu, didapati banyak nama yang mempunyai kad pengenalan Sabah iaitu menggunakan kod 12 di tengah-tengahnya.

Bagaimanapun, apabila pihaknya mencari nama-nama tersebut di kawasan seperti yang tertera dalam RDTP, ianya tiada di kawasan tersebut.

Ini menunjukkan mereka bukan bermastautin di kawasan seperti yang tertera dalam RDTP tetapi sengaja dimasukkan ke dalam daftar pemilih.

"Penduduk Sabah di Sri Andalas dan Sri Muda (Parlimen Kota Raja) ini, kita kenal mereka dan bagi kami ini usaha pihak tertentu menambah pengundi mereka di sesuatu kawasan.

"Mereka ini sudah bekerja beberapa tahun di sini dan setiap kali mengundi mereka tak boleh balik ke Sabah, jadi tak hairan mereka dibantu pihak-pihak tertentu untuk menukar alamat dan seterusnya mengundi di sini.

"Sesetengah mereka tak tahu mereka diperguna untuk membantu pihak-pihak tertentu menambahkan pengundi mereka cuma mereka diberitahu, mereka dibantu untuk tukar alamat.

"Ada sesetengah mereka memberitahu mereka nak mengundi di sesuatu tempat tapi diarahkan mengundi di tempat lain dan mereka pun tak nak mengundi di tempat itu," kata Siti Mariah ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Semalam Pemuda PAS Selangor mempersoal kebanyakan individu yang bertukar alamat ke akwasan Parlimen dan Dun adalah penduduk Sabah yang ramai ditukarkan ke Parlimen Kota Raja.

Bantah kepada SPR

Siti Mariah berkata, pihaknya telah membuat bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan menyerahkan kepada badan itu untuk membuat siasatan.

"Saya sempat semak dalam seratus lebih yang berkad pengenalan Sabah.

"Parlimen Kota Raja memang buat bantahan 3 dan 4 Mei lepas dan saya sendiri membantah 10 nama. SPR tengah siasat mungkin dalam sebulan baru selesai dan mereka kena turun padanglah," katanya yang juga ahli jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat.

Sementara itu, mengulas pendedahan PKR mengenai tindakan Umno Hulu Selangor memohon Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan kerakyatan kepada 2,000 warga Indonesia, beliau berkata perkara itu sudah lama berlaku namun pihak yang terlibat takut untuk membuat laporan polis.

"Saya juga mengenali seorang warga indonesia yang bekerja di sini tapi mereka tak berani tampil menjadi saksi.

"Ada agen-agen tertentu yang masuk dalam komuniti mereka dan menanyakan siapa yang nak jadi warga negara Malaysia akan diberi kad pengenalan," cerita beliau.

Media hari ini menyiarkan kenyataan Kementeria Dalam Negeri (KDN) yang menafikan laporan itu.

Umno Hulu Selangor juga menafikan mereka membuat surat kepada KDN untuk membantu mengeluarkan kad pengenalan kepada warga asing untuk menjadi pengundi kawasan mereka.

Siti Mariah mempersoal prosedur yang dilakukan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam proses pemberian kad pengenalan kepada warga asing.

"Saya tak faham KDN sendiri jawab di Parlimen memang ada unit-unit khas dalam JPN untuk memudahkan urusan pemberian kad pengenalan.

"Sekiranya pemberian kad pengenalan kepada warga asing itu berlaku ia mesti dilakukan secara rasmi yang diketahui jabatan dan gerak kerjanya telus dan bukan sembunyi-sembunyi," katanya.

Berhubung kes pemalsuan kad pengenalan ini juga, Ahli Dewan undangan Negeri (Adun) Hulu Klang, Saari Sungib yang merupakan bekas tahanan ISA menceritakan dalam bukunya 'Sengsara di Kem Kamunting' mengenai individu yang disumbat ke kem tersebut atas kesalahan itu.

Menurutnya, tahanan itu yang terlibat dalam perniagaan percetakan, langsung tidak tahu menahu mengenai kes pemalsuan kad pengenalan sebaliknya hanya menerima tempahan alatan menyediakan kad pengenalan seperti kertas dan sebagainya daripada pihak tertentu.

Bagaimanapun dia ditahan di bawah ISA tanpa berpeluang membela diri.

Pada 2001 lalu, pendatang tanpa izin (Pati) di Sabah diberikan kad pengenalan secara tidak sah yang dikenalai sebagai Skandal Projek (IC) Mahathir.

Pemuda PAS minta SPRM siasat jambatan kedua

Posted: 12 May 2011 04:24 AM PDT

M Faqih Foto M Yarisman


KOTA BHARU: Mengapa Umno Kelantan begitu beriya-iya benar mahu kerajaan negeri membentang kerta putih berkaitan program Ladang Rakyat, mungkinkah ada isu lain yang mahu disembunyikan.

Apa yang tidak kena dengan pembangunan ladang sawit dibangun Ladang Rakyat, sedangkan lebih 4,300 penduduk miskin mendapat manfaat sebanyak RM200 sebulan.

Malah dakwaan pihak tertentu melalui media massa kononnya kerajaan negeri merampas tanah rakyat bagi pembangunan Ladang Rakyat ternyata tersasar jauh kerana tiada tanah dirampas sehingga kini.

Sepatutnya kertas putih kelewatan jambatan kedua Sultan Yahya (gambar kanan) dan laluan bertingkat melibatkan kos RM157 juta dibentang. Ini kerana ia sudah jauh melepasi tarikh ditetapkan sebelum ini.

Perletakan batu asasnya pada 2 Ogos 2007 dilakukan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sempena lawatan kerja ke Kelantan.

Jambatan terbabit sepanjang 811 meter dan laluan bertingkat dicadang sehingga ke Langgar melalui Jalan Hamzah. Ia sepatutnya siap dalam tempoh 30 bulan iaitu Januari 2010.

Sekarang Mei 2011, bermakna sudah lebih setahun lima bulan terlewat.

Namun pembinaannya tidak sampai 50 peratus biar pun Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed baru-baru ini mendakwa sudah siap 63 peratus.

Prihatin dengan masalah tersebut Dewan Pemuda PAS Kelantan mendesak kerajaan pusat atau Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK) menyediakan kertas putih bagi menjelaskan masalah sebenar di sebalik kelewatan projek berkenaan.

Ketuanya, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, berdasar kepada jumlah peruntukan begitu besar dilulus kerajaan sebelum ini, sepatutnya projek tersebut sudah lama disiapkan.

"Namun sehingga ke hari ini projek terbabit seperti hidup segan mati tak mahu. Di mana tidak kenanya sehingga menyusahkan ribuan pengguna yang melalui jambatan setiap hari.

"Ini isu yang sepatutnya dijelaskan kepada rakyat kerana ratusan juta duit rakyat diluluskan sebelum pilihan raya umum 2008 bagi membina jambatan itu.

"Mungkinkah peruntukan RM157 sudah tidak ada lagi sekarang kerana kerja-kerja pembinaan tidak nampak dilakukan secara serius," katanya di sini.

Harakah cetak edisi terbaru menyiarkan gambar projek berkenaan yang masih jauh untuk disiapkan, berbanding jalan bertingkat (kiri) di bawah kerajaan negeri di Pasir Mas hanya bernilai RM15.5 juta, kini hampir siap sepenuhnya.

Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang berkata, tentunya ada sesuatu tidak kena dengan projek berkenaan memandangkan projek pembinaan laluan bertingkat di bawah kerajaan negeri hampir siap dibina di Pasir Mas.

"Sebelum ini ramai orang bercakap projek jambatan kedua dan laluan bertingkat tersebut mahal berbanding kos sebenar," ujarnya.

Sebelum ini ramai pihak termasuk anggota parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali mendakwa projek pembinaan Jambatan Sultan Yahya kedua mahal dan tidak sepadan dengan kos sebenarnya.

Oleh itu Pemuda PAS Kelantan mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat projek terbabit kerana dibimbangi ada sesuatu yang tidak kena berlaku.

Tender projek berkenaan dilapor diberi kepada Konsortium IS (M) Sdn Bhd/RIS Capital (M) Sdn Bhd, milik seorang pemuda Umno di Kelantan.

Manakala Redland Sdn Bhd pula difahamkan diberi subkontrak membina jambatan terbabit. Namun sekarang Redland milik pemimpin Umno Tanah Merah tidak lagi kelihatan.

Menjelang pilihan raya umum lalu ada pihak mendakwa pemimpin Umno di Kota Bharu mempamerkan kehidupan mewah.

Bawa PKR dan DAP bersama - Nik Aziz

Posted: 12 May 2011 04:22 AM PDT

Rizal Tahir


KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) hari ini memberikan syarat kepada Umno untuk membawa DAP dan PKR sekali jika benar-benar parti itu ingin menarik PAS bersama mereka.

Menurutnya lagi, PAS hanya akan menyertai Umno dan Barisan Nasional jika DAP dan PKR juga bersama-sama. Itu pun jika kedua-dua parti itu setuju berbuat demikian.

Tambahnya, PAS hanya akan menyertai parti itu sekiranya dua parti tersebut bersetuju berbuat demikian dan Umno pula mesti menerima kedua-duanya.

"Kalau mereka tolak, bererti PAS juga akan menolaknya sebab kita bergabung mengikut perjanjian yang telah ditetapkan. Yang paling besar sekali gabungan itu mesti berlandaskan Islam,"ujarnya.

Beliau mengulas ajakan bertalu-talu Umno agar PAS menyertai Umno dalam BN kononnya untuk kepentingan Melayu dan Islam.

Untuk tujuan itu, Umno berusaha keras memburuk-burukkan rakan PAS dalm Pakatan Rakyat termasuk menyebarkan berita kononnya DAP berusaha menjadikan agama Kristian sebagai agama rasmi negara kononnya untuk membolehkan orang Kristian menjadi Perdana Menteri.

Bagi para penganalisis, tujuan Umno bukannya mahukan DAP tetapi mereka mahu memburukkan PAS yang akan dilebelkan sebagai sanggup duduk bersama dengan parti yang mahu merosakkan Islam dan meletakkan Kristian sebagai agama rasmi.

Dalam pada itu, Nik Aziz juga turut mempertikaikan apa jaminan Umno tidak menikam PAS dari belakang sebagaimana yang dilakukan parti itu kepada PAS semasa PAS berada dalam Bn sebelum ini.

Antaranya meletakkan calon mereka dalam kawasan yang diperuntukkan kepada PAS.

Apakah jaminan Umno tidak akan meletakkan calon Bebas di setiap Dun atau Parlimen yang ditandingi calon dari PAS, PKR dan DAP sebagaimana yang pernah dilakukan sewaktu PAS bersama dalam BN sebelum ini, soal beliau.

Menurutnya, akibat tindakan itu calon PAS yang bertanding di Kelantan pada tahun 1978 jatuh tersungkur.

"Perkara ini sebenarnya yang harus dipikir oleh semua pihak, orang yang sentiasa buat dosa tidak akan pernah berdiam diri dan akan mengulanginya lagi,"ujarnya lagi.

Bagi Nik Aziz, biarpun usia Umno telah menjangkau 65 tahun, namun parti itu masih teraba-raba dan tiada hala tuju dalam perjuangan sehingga meminta bantuan PAS untuk menjadi penongkatnya.

Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika mengulas sambutan 65 tahun Umno semalam.

Katanya, sepanjang tempoh itu terutama sekarang ini, Umno tidak habis-habis memohon PAS menyertai semula parti itu.

Katanya lagi, kerana gagal mentadbir negara dengan pelbagai masaalah yang mengundang terutama gejala sosial, rasuah, menyebabkan parti itu lupa PAS adalah musuh politiknya hingga terpaksa memujuk parti itu bersama mereka.

Serah royalti pada Kelantan macam Terengganu

Posted: 12 May 2011 04:21 AM PDT

Salmah Mat Husain


KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, memohon kerajaan Pusat turut menyerahkan hasil royalti minyak kepada kerajaan Kelantan sebagaimana yang diberikan pada Terengganu.

Menurutnya, sekiranya kerajaan Terengganu memperolehinya, Kelantan juga berhak memandangkan hasil minyak juga turut diperolehi dari negeri ini.

"Hasil minyak, bukan hak kerajaan Pusat yang mutlak, hak kerajaan Kelantan sekiranya minyak disedut di negeri Kelantan, kalau diambil di Terengganu, royalti hak Terengganu, Johor tak ada minyak tentunya tak dapat royalti minyak," ujarnya.

Menurutnya, hak itu bukan sahaja diperuntukkan menurut undang-undang yang dibuat manusia, sebaliknya dalam Islam sendiri telah ditentu Allah sejak awal lagi.

Jelasnya, sekiranya kerajaan BN masih tidak akan memberikan hasil royalti kepada Kelantan, sedangkan kerajaan Terengganu diperolehi, ianya sekaligus menterjemahkan sikap kerajaan yang tidak adil.

Kelantan bagaimanapun, memberitahu kerajaan negeri akan sentiasa berusaha berunding, menghubungi kerajaan Pusat dan berbagai lagi cara yang dibenarkan syarak dan undang-undang untuk mendapatkan royalti.

"Kelantan tidak akan melanggar peraturan Islam untuk mendapatkannya," ujarnya lagi.

Beliau masih mengulangi sebagai Menteri Besar Kelantan, beliau tidak redha tindakan Kerajaan Pusat yang menafikan hak kerajaan negeri hingga akhirat.

Tuan Guru berkata demikian ketika diminta mengulas kerajaan Terengganu bakal memperolehi royalti minyak dari Kerajaan Pusat berjumlah RM938 juta secara berperingkat sehingga Jun ini.

Program Kerajaan Pakatan berfaedah untuk rakyat

Posted: 12 May 2011 04:10 AM PDT

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat tidak perlu risau dengan fitnah-fitnah tidak berasas yang dilemparkan oleh Umno BN terhadapnya kerana parti-parti yang berada dalam Pakatan Rakyat adalah parti-parti yang proaktif.

Sebaliknya, ketika Umno BN yang sedang terdesak mengasak dengan pelbagai fitnah, Pakatan Rakyat tetap akan terus bekerja keras untuk ke hadapan bagi membantu dan mempertingkatkan hidup rakyat.

Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin menegaskan, hasilnya pasti akan dapat dinilai sendiri oleh rakyat sehingga akan menyebabkan Umno BN yang akan terus tertolak dan termakan dengan fitnah-fitnah yang diciptakannya sendiri.

Menurut beliau, sebagai gabungan parti yang bertanggungjawab, Pakatan Rakyat tidak mempunyai masa untuk melayan fitnah-fitnah tidak berasas yang diciptakan oleh Umno BN kerana Pakatan Rakyat sendiri mempunyai agenda lebih jauh untuk kepentingan negara dan seluruh rakyat negara ini.

Katanya, walaupun Pakatan Rakyat mempunyai saluran amat terhad untuk menyebarkan segala perancangan kepada masyarakat, tetapi rakyat negara ini sudah semakin bijak membuat penilaian mereka sendiri dengan dibantu sumber-sumber sedia ada.

"Tindakan kita dalam Pakatan Rakyat sememangnya amat jauh berbeza dengan Umno BN kerana kita sememangnya sentiasa bekerja untuk rakyat, tetapi Umno BN pula sentiasa sibuk dengan membuat pelbagai fitnah.

"Lebih menyedihkan apabila fitnah-fitnah yang dibuat oleh mereka itu turut menjadikan politik negara ini kotor, hina dan lucah yang memang amat menjijikkan rakyat," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan jahat Umno BN yang kini semakin menjadi-jadi sehingga turut menyebarkan pelbagai fitnah dan tuduhan tidak berasas kepada Pakatan Rakyat, termasuk mengatakan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menzalimi rakyat sepanjang memegang tampuk pemerintahan sejak tahun 2008 lalu.

Pada hal dalam masa yang sama, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah melakukan pelbagai program amat berfaedah kepada rakyat berbanding semasa Selangor berada di bawah pemerintahan BN dulu.

Antara usaha yang telah dilakukan oleh Kerajaan pakatan Rakyat Selangor termasuklah memberikan air percuma kepada rakyatnya, warga emas yang meninggal dunia diberikan wang kifalah RM2,500.

Selain itu, setiap bayi yang dilahirkan mendapat RM100 sehingga apabila berumur 18 tahun wangnya yang terkumpul sebanyak RM1,500, menyediakan rumah mampu milik kepada rakyatnya, di samping pelbagai program lain lagi.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, ketika Umno BN semakin rancak menuduh Kerajaan Pakatan Rakyat sedemikian, rakyat sendiri semakin tahu yang sebenarnya menzalimi rakyat bukanlah Pakatan Rakyat, tetapi Umno dan BN sendiri sejak sekian lama.

"Terkini yang boleh dirasai sendiri oleh rakyat adalah kenaikan harga gula sebanyak 20 sen, dari RM2.10 kepada RM 2.30 sekilogram, yang tentunya amat tidak patut dan amat membebankan rakyat," katanya.

Sejak 5 Mei lalu pula, rakyat telah dibebankan dengan kenaikan harga petrol RON97 sebanyak 20 sen dari RM2.70 kepada RM2.90 seliter, tetapi harga petrol RON95 tetap tidak diturunkan.

"Patutkah Kerajaan BN bertindak sedemikian? Ini amat berbeza dengan Pakatan Rakyat yang tidak langsung hendak membebankan rakyat, sebaliknya sentiasa berusaha membantu rakyat dari segala aspek seperti yang digariskan dalam Buku Jingga," tegasnya yang juga Ketua Wanita PKR.

Sehubungan itu, beliau berharap agar rakyat Selangor terus memberikan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat untuk memerintah negeri itu pada PRU Ke-13 nanti, bagi membolehkan pelbagai program lain yang disusun dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

"Amat banyak lagi program yang hendak dibuat oleh Pakatan Rakyat untuk membantu rakyat. Jika terus diberikan amanah memerintah, rakyat sendiri boleh melihatnya dengan jelas.

"Lebih-lebih lagi jika Pakatan Rakyat diberikan peluang memerintah negara. Pasti akan lebih mudahlah jadinya untuk Kerajaan Pakatan Rakyat menyusun dan melaksanakan pelbagai program untuk membantu rakyat di seluruh negara," ujar beliau.

Harga Minyak RON 95 Bakal Naik?

Posted: 12 May 2011 04:03 AM PDT

Staff Berita Semasa

4795888475 8f84956d29 Harga Minyak RON 95 Bakal Naik?


Ada wujud khabar angin yang kuat mengenai harga minyak petrol RON 95 yang bakal naik tidak lama lagi.Baru sahaja minggu lepas, harga minyak RON 97 telah dinaikkan sebanyak 20 sen menjadikan harga RON 97 kini adalah RM 2.90.trans Harga Minyak RON 95 Bakal Naik?

Harga petrol RON95 ketika ini ialah RM1.90 sen seliter, namun harga ini dijangka tidak akan kekal lama. Menurut laporan, kemungkinan besarharga petrol RON95 akan dinaikkan sedikit masa lagi memandangkan harga pasarannya ketika ini ialah RM2.70 sen seliter. Jadi kerajaan terpaksa menanggung subsidi yang agak tinggi iaitu 80 sen bagi setiap satu liter.

Ada pula pendapat yang mengatakan kerajaan ketika ini mengambil langkah berhati-hati untuk tidak menaikkan harga petrol RON95 kerana bimbang akan reaksi rakyat, tambahan pula tarikh untuk mengadakan PRU13 kian hampir. Namun dapat difahami kerajaan kian terdesak untuk mengurangkan kebanyakan subsidi yang ditanggung, terbaru harga gula dinaikkan sebanyak 20 sen sekilo.

Jika harga petrol RON95 seperti sekarang kekal sehingga diadakan PRU13, dapat dijangkakan bahawa harganya pasti akan dinaikkan selepas itu. Bayangkan jika harga petrol RON95 dinaikkan sebanyak 20 sen atau 30 sen, rakyat kebanyakan pasti menanggung beban dalam perbelanjaan harian. Harga barang-barang juga pasti meningkat selari dengan peningkatan kos pengangkutan.

pemandu Harga Minyak RON 95 Bakal Naik?

Mengikut rancangan penyelarasan subsidi yang dicadangkan oleh Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU), harga petrol RON95 sepatutnya telah dinaikkan oleh kerajaan kepada RM2.05 seliter sekarang. Mengikut perancangan, ini seharusnya dilakukan dengan dua pelarasan – iaitu 15 sen sekitar akhir tahun lalu dan 10 sen lagi pada separuh masa pertama tahun ini.

Namun harga sekarang tetap kekal pada RM1.90 seliter. Harga RON95 dinaikkan dua kali tahun lalu – iaitu lima sen setiap kali pada 16 Julai dan 4 Disember.Tahun ini sahaja, harga petrol RON97 dinaikkan empat kali dan kini pada paras RM2.90 seliter, iaitu paras tertingginya.

Seperti biasa, menaikkan harga minyak memerlukan penjelasan kerajaan.Dan berkemungkinan alasan yang serupa juga akan diberitahu, bahawa harga minyak di Malaysia, masih lagi di antara yang termurah berbanding harga minyak negara di Asia Tenggara yang lain.Walau apapun, ini berita mengenai kenaikan harga minyak ini masih belum muktamad.

Apa pandangan anda mengenai ura-ura kenaikan harga minyak RON 95 ini?

Kristian-Islam: DAP gesa Najib arah Utusan tarik balik laporan, mohon maaf

Posted: 12 May 2011 03:58 AM PDT


KUALA LUMPUR — DAP menggesa Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Utusan Malaysia menarik balik dan memohon maaf secara terbuka ekoran laporan berunsur fitnah yang mengaitkan parti itu dengan konspirasi menjadikan Kristian sebagai agama rasmi dan melantik perdana menteri daripada kalangan penganut agama itu.

Selain itu, menurut Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pihaknya juga mahu Utusan Malaysia menggantikan editor dan wartawan akbar itu yang terlibat dengan penyiaran laporan bersifat fitnah dan boleh merosakkan gagasan 1 Malaysia yang diperjuangkan Najib.

Kata beliau, hanya dengan cara itu Najib boleh membuktikan bahawa Utusan Malaysia tidak mendapat imuniti apabila mengeluarkan laporan salah dan fitnah.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hanya boleh meyakinkan rakyat Malaysia bahawa Utusan Malaysia bebas dari imuniti dengan mengarahkan Utusan Malaysia menarik balik dan memohon maaf kerana menyiarkan laporan palsu.

"Selain itu, beliau juga harus menukar editor dan wartawan yang terlibat dengan laporan yang bahaya ini dan boleh membakar gagasan 1 Malaysia," kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Laporan Utusan Malaysia bertajuk "Kristian Agama Rasmi?", Sabtu lalu mendakwa wujudnya perbincangan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, sekali gus melantik perdana menteri dari kalangan penganut itu.

Akhbar berbahasa Malaysia milik Umno itu juga mendakwa ada konspirasi mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi, usaha didakwa disokong oleh pemimpin-pemimpin DAP.

Utusan Malaysia melaporkan perkara itu selepas memetik laporan sebuah blog yang menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan rahsia antara DAP dan paderi-paderi di sebuah hotel di Pulau Pinang minggu lalu.

Bagaimanapun kumpulan Kristian dan DAP menafikan dengan keras dakwaan itu sambil menyifatkan laporan Utusan Malaysia itu "pembohongan yang bahaya."

Kata Lim, Utusan Malaysia berani bertindak mengeluarkan laporan yang tidak benar kerana akhbar itu didokong sepenuhnya oleh Umno malah agenda mingguan akhbar tersebut ditetapkan oleh Biro Politik Umno yang dipimpin oleh diketuai Najib.

"Presiden Kesatuan Wartawan Nasional (NUJ), Hata Wahari, mendedahkan agenda-agenda dalam Utusan Malaysia ditetapkan Biro Politik Umno yang mengadakan perbincangan setiap Isnin untuk menentukan agenda mingguan akhbar itu.

"Mereka yang berada dalam biro itu adalah Najib, timbalannya (Tan Sri) Muhyiddin Yassin, tiga naib presiden (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi, (Datuk Seri) Hishammuddin Hussein dan (Datuk Seri) Shafie Afdal termasuk Setiausaha Agung Umno (Datuk Seri) Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Penerangan Umno (Datuk) Ahmad Maslan," katanya.

Tambah Lim, beliau juga mencabar parti komponen BN untuk membantah tindakan Utusan Malaysia dalam mesyuarat Kabinet.

"DAP mencabar menteri MCA, Gerakan dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) mengemukakan bantahan tegas terhadap Utusan Malaysia dalam Kabinet.

"Sekiranya mereka gagal berbuat demikian bermakna mereka adalah talam dua muka seperti Umno," katanya.

Kristian-Islam: Blogger pro-Umno terus kecam ‘Bigdog’, gesa minta maaf

Posted: 12 May 2011 03:54 AM PDT


KUALA LUMPUR – Ekoran pendedahan provokasi yang didedahkan melalui blog "Bigdog", penulis blog itu terus dikecam hebat oleh beberapa blog pro-Umno yang tidak bersetuju dengan laporan yang dikeluarkan itu.

Malah blog-blog pro-Umno ini juga menyifatkan penulis blogger "Bigdog" sebagai bongkak kerana enggan mengakui kesalahan dan meminta maaf.

Penulis blog "Bigdog" melalui entri bertajuk "Making Christianity the official religion?" mendakwa wujudnya konspirasi untuk menjadikan Kristian agama rasmi negara.

Selain menjadikan Kristian agama rasmi negara, penulis blog itu juga mendakwa ia akan melantik perdana menteri dalam kalangan penganut agama itu.

Ekoran pendedahan penulis blog "Bigdog" itu, Utusan Malaysia telah memetik laporan tersebut dan disiarkan Sabtu lalu dengan tajuk "Kristian Agama Rasmi?" yang mendapat bantahan dan dikritik banyak pihak termasuk daripada pemimpin Pakatan Rakyat, Barisan Nasional (BN) dan kumpulan Kristian.

Selain itu, nama Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi dari DAP juga diheret dalam tulisan blog berkenaan kerana beliau dilaporkan hadir bersama.

Laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia itu turut disiarkan dalam beberapa blog pro-Umno.

"Untuk kontroversi terbaru ini bukan orang Melayu, Cina dan India sahaja, malah semua rakyat Malaysia mesti bangun mendesak dia menarik semula kenyataan 'Kristian Sebagai Agama Rasmi Negara?, yang kononnya didesak oleh sekumpulan paderi dan pemimpin DAP agar Kristian dijadikan agama rami negara.

"Pandangan blogger ini telah dikeluarkan di muka hadapan Utusan Malaysia, tiada bukti, tiada fakta... hanya sekeping gambar dikeluarkan. Mungkin ramai yang keliru dengan status blogger ini," kata kata blogger "Gelombang-Rakyat".

Tambah penulis blog itu, tindakan "Bigdog" itu akan menjatuhkan imej dan kepimpinan negara.

"Kenapa perlu nyatakan yang palsu? Tindakan Bigdog ini bukan sahaja menjatuhkan imej kepimpinan negara, malah boleh mencetuskan perpecahan perpaduan yang dipupuk sejak sekian lama.

"Lebih pelik, ia hanya sekadar rekaan semata-mata. Sebenarnya ini yang dinamakan mainan politik dan tidak mustahil Bigdog akan terus melaksanakan strategi-strategi begini," katanya.

Sementara itu blogger "Gelombangwangsamaju" bersetuju blogger "Bigdog" ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mencetuskan provokasi yang menggugat ketenteraman dan keharmonian negara.

"Saya memang bersetuju, ISA sahaja, blogger pro-kerajaan yang memalukan BN dengan membangkitkan isu sehingga menggugat ketenteraman awam dan bakal menyebabkan perbalahan antara agama," katanya.

Sementara itu blogger "Papa Gomo", menyifatkan tuduhan palsu yang dilemparkan "Bigdog" bukan sahaja menjatuhkan imej negara tetapi kesannya turut diterima blogger pro-Umno yang lain.

"Kalau sudah salah mengaku sahaja, tidak perlu nak bongkak sangat... akibat dari tindakan anda ini telah mengakibatkan Malaysia jadi kecoh dan ketenteraman awam tergugat malah kesannya turut mencalar imej kami blogger pro-Umno yang lain.

"Kenapa nak bongkak sangat? Kerana dia, semua blogger terima tempias, isu yang dibawa Bigdog ini kesan kecelakaannya amat besar dan tidak ada guna nak simpan blogger macam ini.

"Bukan sekali dia merosakkan kerajaan malah sudah berpuluh-puluh kali... cukup-cukuplah elok anda duduk diam dan keluarkan permohonan maaf, tidak perlu keluarkan kenyataan yang bongkak dan angkuh," katanya.

Awal pagi tadi The Malaysian Insider melaporkan blogger "Bigdog" mempertahankan tulisannya dan enggan membuat permohonan maaf atas laporan yang disifatkan sebagai fitnah.

"Tidak (akan minta maaf), atas alasan apa saya perlu minta maaf? Kenapa saya perlu minta maaf? Kepada siapa saya harus minta maaf?

"Saya tidak akan minta maaf, saya tidak tahu sebab apa (perlu minta maaf), mereka perlu baca balik laporan saya itu, kalau tidak faham saya boleh jelaskan," kata penulis blog "Bigdog" kepada The Malaysian Insider.

Pelabuhan Klang catat kualiti udara tak sihat

Posted: 12 May 2011 12:03 AM PDT

BERNAMA


Kualiti udara di kebanyakan tempat di seluruh negara sehingga pukul 11 pagi ini adalah di tahap sederhana kecuali Pelabuhan Klang yang mencatatkan kualiti udara tidak sihat.

Menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi lamanwebnya, Pelabuhan Klang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 104, berbanding 97 pukul 5 petang semalam.

Bacaan IPU antara 0-50 menggambarkan kualiti udara yang baik, manakala 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak bersih) dan 300 ke atas (berbahaya).

Keadaan berjerebu dalam negara dikatakan berpunca daripada pembakaran terbuka, termasuk di Sumatera.

Sementara itu 28 kawasan mencatatkan IPU sederhana - Banting (96), Kuala Selangor (85), Petaling Jaya (82), Shah Alam (86), Nilai (88), Batu Muda, Kuala Lumpur (84), Cheras (76), Putrajaya (71), Port Dickson (82), Seremban (74), Bandaraya Melaka (81) dan Bukit Rambai (85).

Kawasan lain yang turut merekodkan IPU sederhana ialah Muar (78), Larkin Lama (54), Pasir Gudang (52), Balok Baru (61), Indera Mahkota (54), Jerantut (57), Tanjung Malim (66), Keningau (54), Kota Kinabalu (57), Labuan (55), Bintulu (72), Limbang (53), Miri (52), Samarahan (56), Sibu (61) dan Tanah Merah (52).

Sementara itu antara kawasan yang merekodkan IPU bersih ialah Kota Tinggi (46), Jalan Tasek, Ipoh (35), Seri Manjung (37), Kangar (33), Perai (37), Universiti Sains Malaysia (USM) (25), Sandakan (35), Alor Setar (34), Tawau (42), Kuching (43) dan Kemaman (40).


RCI pita Lingam tidak langkau bidangkuasanya

Posted: 12 May 2011 12:02 AM PDT

Hafiz Yatim


Hakim tunggal Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan semakan kehakiman bagi kes pita Lingam berkata, panel lima anggota suruhanjaya diraja (RCI) yang mendengar inkuiri tersebut, tidak melangkaui bidangkuasanya dalam mengesyorkan tindakan diambil terhadap peguam kanan berkenaan dan dua bekas ketua hakim negara.

NONEHakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, dalam penghakiman bertulisnya bertarikh 4 Mei, menyatakan bahawa syor-syor RCI tidak termasuk dalam makna "keputusan", dan memutuskannya sebagai "hasil penemuan" yang tidak boleh disemak semula.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, hakim Mahkamah Tinggi betul di segi undang-undang dalam menolak memberi kebenaran yang dipohon oleh perayu mengikut Perintah 53 aturan 3 (1) Peraturan Mahkamah Tinggi.

Dalam penghakiman setebal 32 halaman itu, beliau berpandangan bahawa Hakim Datuk Abdul Kadir Musa betul dalam keputusannya bahawa penemuan RCI tidak tertakluk kepada semakan semula kehakiman, kerana penemuan tersebut bukan 'keputusan' untuk tujuan Perintah 53 aturan 3(4) Peraturan Mahkamah Tinggi.

azlanPada 24 Ogos tahun lepas, Mahkamah Rayuan dalam
penghakiman 2-1, memberi kebenaran kepada peguam Datuk VK Lingam dan bekas hakim negara - Tun Eusoff Chin dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim - untuk menyemak semula penemuan RCI itu.

Hakim Datuk Tengku Baharudin Shah Tengku Mahmud, yang mengetuai panel tiga hakim itu yang turut dianggotai Hakim Datuk Zaharah Ibrahim, juga mengarahkan Mahkamah Tinggi mendengar alasan permohonan semakan tersebut, manakala Hishamudin menolaknya.

Tiada alasan diberikan bagi penghakiman mereka sehinggalah Hishamudin menulis penghakimannya bulan ini. Dua orang lagi hakim belum membuat penghakiman bertulis berhubung alasan bagi keputusan majoriti tersebut.

Mahkamah Persekutuan - mahkamah tertinggi di negara ini - telah sebulat suara memberi kebenaran kepada RCI merayu keputusan Mahkamah Rayuan tersebut.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Md Sheriff bersama dengan Hakim, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Datuk Abdull Hamid Embong, membenarkan permohonan RCI, yang diwakili peguam kanan persekutuan Datuk Azizah Nawawi.

Panel itu juga membenarkan satu persoalan undang-undang, sama ada penemuan RCI, di bawah Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Inkuiri 1950, boleh disemak semula di bawah Perintah 53 Peraturan Mahkamah Tinggi 1980'.

Bagaimanapun, tarikhnya masih belum ditetapkan untuk mendengar rayuan tentang keputusan penting ini di Mahkamah Persekutuan.

Kebebalan Utusan dan pengakhiran sebuah regim

Posted: 11 May 2011 11:56 PM PDT

Ahmad Lutfi Othman


Memang kebal sungguh Utusan Malaysia. Akhbar yang dianggap lidah rasmi Umno itu -- tetapi tidak tertakluk dengan syarat-syarat ketat Kementerian Dalam Negeri sepertimana sekatan kepada semua organ parti, termasuk Harakah -- boleh berbuat apa sahaja. Ya, apa sahaja yang terfikir dalam lintasan fikiran dan benak editornya, tanpa perlu risau kemungkinan direntap permitnya atau dipenjarakan wartawannya.

Mungkin segala peraturan yang membelenggu dan menganggu tidur para editor lain, seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak terpakai untuk Utusan. Ya, betullah! Utusan itu akhbar keramat untuk Umno, mempunyai imuniti tersendiri, tidak dapat disentuh oleh undang-undang.

Oops ... sebenarnya, sebagai seorang pengamal media, apatah lagi diamanahkan menjadi ketua pengarang sebuah akhbar, saya sentiasa cuba mengelak daripada menyinggung media lain. Menerajui akhbar memang terdedah kepada pelbagai risiko, terutama kesilapan yang tidak disengajakan. Ia memerlukan keputusan segera dan bijaksana dalam waktu singkat. Harakah juga pernah silap lapor.

Bagaimanapun, merujuk laporan Utusan, terutama yang dipaparkan di muka depannya, pada Sabtu 7 Mei lalu, ternyata ia bukan lagi "kesilapan" biasa. Malah, pemilihan tajuk atau tema besarnya dirancang teliti, secara berniat jahat. Soal kestabilan politik, keharmonian kaum dan ketenteraman awam yang selama ini menjadi mentera palsu Umno dipertaruhkan dengan sewenang-wenang.

Justeru, saya dengan berat hati terpaksa menegur Utusan, yang semakin keterlaluan "bermain api", dengan motif untuk "membakar" seteru politik Umno, sedangkan yang bakal binasa adalah negara keseluruhannya. Slogan 1Malaysia pun tidak perlu menunggu masa lama untuk hangus. Kalau berita itu benar sekalipun, adalah amat tidak wajar diperbesarkan, apatah lagi ia hanya imiginasi kotor editornya.

Rasukan Utusan bukan bermula dengan "Kristian agama rasmi". Tentunya ramai pembaca (maafkan saya jika anda sudah lama tidak membelek Utusan, sekadar terbaca jika dijadikan kertas membungkus nasi lemak) masih ingat bagaimana Utusan mula meracau selepas keputusan pilihan raya umum 2008. BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen dan kalah lima negeri, termasuk negeri-negeri termaju seperti Selangor dan Pulau Pinang, selain Perak, Kedah dan Kelantan.

Ingat lagi kes ternakan babi di Selangor? Isu doa untuk Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat di Pulau Pinang? Dan rentetan polemik tidak menjadi yang cuba diketengahkan Utusan, atas satu mauduk besar, iaitu kepentingan Melayu tergugat teruk selepas PRU12. Melayu Tanjong seolah-olah baru teraniaya selepas BN kehilangan kuasa. Di Perak, persepakatan luar biasa Pakatan Rakyat yang memberi kepercayaan kepada Adun PAS untuk menjadi menteri besar dipersepsikan dengan wajah yang cukup hodoh, juga atas sentimen perkauman.

Sejarah persuratkhabaran negara kita, yang bermula dengan akhbar Jawi Peranakan (1876), sebenarnya sudah menempuh tempoh masa yang cukup lama dan matang, iaitu selama 135 tahun. Begitu juga dengan latar belakang Utusan, yang dilahirkan pada 29 Mei 1939. Utusan diasaskan dengan modal RM12,290 yang dikumpulkan daripada lebih 500 orang Melayu Singapura dan Tanah Melayu, yang terdiri daripada golongan guru, petani, peniaga dan keluarga diraja.

Perjuangan Utusan, yang memang pada mulanya mewakili aspirasi orang Melayu, telah dikhianati pemimpin Umno demi kuasa. Dan kini, bagi merebut kembali kuasa yang hampir terlepas daripada Umno (bukan daripada orang Melayu), Utusan meracau lagi. Lebih teruk, ia merencanakan siri pembohongan. Semata-mata berbohong dan berdusta tentulah tidak sedahsyat merancang pertelagahan agama dan persengketaan kaum seperti tertonjol pada 7 Mei itu, tetapi ia tetap satu jenayah serius.

Tanpa segan-silu Utusan cuba mempamerkan ia juga merujuk sumber berita. Tetapi, aduh ... berdasarkan blog yang popular dengan berita palsu dan adu-domba! Dalam etika kewartawanan, kaedah Utusan itu hampas dan langsung tidak bertanggungjawab. Kata Presiden PAS, "sangat tidak beramanah".

Tanpa menunggu kesahihan berita Utusan itu, pihak polis terus melompat memberi amaran, dan disiarkan Mingguan Malaysia di muka depan, lagi. Menteri yang sepatutnya menjaga ketenteraman awam, Hishammuddin Hussein bingkas menyerang "penganjur" persidangan paderi-paderi itu, sambil melahirkan rasa sedih "kerana ada pihak pembangkang yang mempolitikkan agama". Alahai.

Selepas pemimpin Kristian yang dituduh itu menyanggah dakwaan Utusan, penjelasan mereka hanya disiarkan di muka dalam, tersorok kecil. Dan blogger yang melaporkan berita palsu itu tidak pula diambil tindakan. Rasanya polis pun belum memanggil mereka; mengulangi kes penayangan video lucah oleh trio Dato' T. Dan menjadi beban pula kepada yang mangsa yang dituduh untuk membersihkan diri, bukannya tanggungjawab orang yang menuduh untuk membuktikan dakwaannya.

Teringat saya nasib malang Suara Keadilan yang diharamkan KDN hanya kerana mendakwa Felda mungkin bankrap, dan hingga kini belum dipulihkan permit penerbitannya. Begitu juga dua majalah yang pernah saya kendalikan, Detik dan Wasilah, turut dikuburkan tanpa diketahui sebab "kematiannya".

Biarlah Utusan terus kebal dalam penjagaan Umno walaupun sarat dengan pembohongan dan manipulasi. Rakyat, termasuk orang Melayu, tidak sebodoh itu untuk terus terperangkap dalam jerat Utusan. Begitulah ... mana-mana regim yang melalui tahap akhir hayatnya selalu tersilap membaca realiti dan lebih kerap mengulangi kesalahan.

PAS bersama PR, Umno rugi Melayu untung

Posted: 11 May 2011 11:52 PM PDT

Ustaz Idris Ahmad


Sejak PAS bersama dengan Pakatan Rakyat, maka terdapat suara sumbang supaya PAS jangan bersama PR, barulah kami akan sokong PAS. Persoalannya ketika PAS bersendirian pun puak ini tidak menyokong PAS juga.

Ini hanya golongan mencari alasan sahaja. Sebenarnya mereka ialah orang yang diperalatkan oleh Umno termasuk melalui doktrin yang dibawa melalui Biro Tatanegara. Berbagai alasan supaya PAS keluar daripada PR, barulah dapat melaksanakan agenda Islam yang lebih terancang, sehingga pipi tersorong-sorong untuk menyuruh PAS berpakat dengan umno.

Sengaja saya meletakkan tajuk ini supaya menjelaskan bahawa melayu tidak rugi kalau menjauhkan diri daripada umno. Selama ini pemimpin umno, mengangap Umno sahaja boleh menjaga melayu. Sebenarnya yang rugi bila Pas bersama PR ialah Umno.

Umno rugi kerana tidak dapat memfaraid harta rakyat dengan rakus. Terutama negeri-negeri yang kaya seperti Selangor. Memerintah Selangor seperti memerintah Malaysia kerana di sini ialah lubuk emas. Pemimpin umno teringin untuk mendapat Selangor sehingga meleleh air liur apabila mengenangkan banyak projek yang selama ini diperolehi oleh suku sakat meraka sudah tidak ada lagi. Selangor ialah sebuah negeri industri, pelabuhan, lapangan terbang dan pusat pengajian tinggi. Jika PAS tidak bersama dengan PR sudah tentu pemimpin Umno menjadi koperat, melayu merempat.

Umno rugi tidak boleh mematikan majlis ilmu yang diimarahkan di seluruh masjid negeri Pakatan Rakyat. Mereka mengetahui apabila rakyat berilmu dan beragama maka tidak ada harapanlah untuk bersama dengan Umno.

Apabila rakyat memahami Islam yang syumul maka rakyat akan mengetahui bahawa Islam yang dihayati oleh Umno tidak menepati dengan kehendak agama yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.

Melayu untung bila bersama dengan Pakatan Rakyat kerana dapat mendampingi ulamak yang muttaqin yang sering menyampaikan risalah Islam di masjid dan surau. Samaada melalui ceramah, forum, kuliah, wacana ilmu. Selama ini orang Melayu dijauhi dengan ulamak yang muttaqin. Ulamak diburu seperti komunis bintang tiga. Rakyat Selangor tidak akan lupa bagaimana Dr Harun Din, almarhum Datuk Ishak Baharom bekas mufti kerajaan Selangor diburu dan hendak ditangkap semata-mata kerana hendak menyampaikan risalah agama.

Sebenarnya Umno yang rugi kerana gagal menjauhkan rakyat dengan ulamak yang muttaqin. Walaupun mereka cuba mempopularkan ulamak mereka melalui media namun selera rakyat tetap tidak beralih kepada ulamak yang umno taja. Umno rugi kerana ulamak yang muttaqin ini tidak bersama dengan umno dan tidak sealiran dengan perjuangan Umno, sebaliknya ia lebih selari dengan perjuangan PAS.

Melayu untung kerana dapat menikmati limpahan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT di negara ini kerana Pakatan memerintah negeri mereka. Selama ini rakyat tidak pernah terfikir mendapat air percuma setiap bulan. Apabila mati waris mendapat wang RM2500. Malahan rakyat yang diperintah oleh Umno begitu cemburu dengan apa yang diperolehi oleh rakyat di negeri PR.

Pemimpin umno tidak pernah terfikir untuk memberi kembali kepada rakyat, yang paling menyedihkan rakyat, apa sahaja program yang dibuat oleh negeri Pakatan Rakyat maka mereka menuduh negeri tersebut akan bankrap. Umno merasa rugi kerana lebihan wang negeri di kembalikan kepada rakyat. Selama ini wang ini akan masuk ke dalam kantong mereka sendiri, dengan membiarkan rakyat hidup susah. Kesusahan rakyat akan menjadi simpanan tetap umno setiap kali pilihanraya. Melayu yang senang tidak bersama dengan Umno. Sekarang melayu senang, pemimpin umno yang susah.

Melayu untung dapat menyampai dakwah Islam secara bebas menepati dengan manhaj Rasulullah SAW tanpa sekatan. Lebih daripada itu Islam dapat dilihat oleh orang bukan Islam secara praktikal, bukan sahaja teori. Bagaimana rakan-rakan PR yang bukan Islam begitu berminat untuk mengetahui ajaran Islam, fenomena ini berbeza dengan MCA rakan karib Umno walaupun sudah bersahabat hampir 54 tahun tetapi tidak memahami Islam dan sensitiviti orang Islam.

Keceluparan mulut Dr Chua Soi Lek adalah bukti gagalnya umno mendidik rakan politik mereka. Ucapan beliau yang mengguris perasaan orang Melayu seperti memperlekeh cikgu Normala Sudirman yang tidak mahu bersalam dengan lelaki yang bukan mahram. Ketika isu ini dibangkitkan maka rakan-rakan bukan Islam dalam PR tolong menjelaskan kepada orang bukan Islam.

Inilah manfaat yang cukup berharga diperolehi oleh orang Melayu apabila berjaya menyampaikan Islam kepada bukan Islam. Suasana ini tentulah merugikan Umno, kerana mereka berusaha untuk memastikan supaya orang bukan Islam tidak nampak kebaikan Islam, dengan ini mudah untuk mereka mengekalkan kuasa mereka.

Melayu untung kerana mereka boleh berniaga berdasarkan merit dan kebolehan bukan berdasarkan di mana kamu menjadi ahli cawangan Umno. Trend perniagaan ini telah ditamatkan di bawah Pakatan Rakyat. Keadaan ini merugikan Umno, selama ini mereka hanya bertindak sebagai broker dengan memakan persen sahaja bukan kerana kebolehan mereka. Akhirnya projek kepentingan negara hangus dan hancur kerana diberi kepada bukan ahlinya. Buat stadium runtuh, kapal selam tidak boleh menyelam, jambatan MRR2 retak, semuanya angkara kroni Umno.

Melayu untung kerana dapat melihat orang agama mentadbir negeri dengan baik dan teratur. Selama ini Umno ajar orang Melayu, bahawa ustaz atau Tuan Guru hanya boleh membaca kitab di dalam masjid. Kemampuan Tuan Guru Nik Aziz yang memerintah Kelantan lebih 20 tahun walaupun mempunyai kekangan kewangan namun lebih berjaya daripada negeri yang diperintah oleh Umno.

Begitu juga kemampuan Datuk Seri Ustaz Azizan Razak yang telah menunjukkan rekod cemerlang menguruskan Kedah walaupun terpaksa memikul bebanan hutang peninggalan BN RM2.3 bilion. Apa yang mengejutkan Kedah telah menunjukkan prestasi kewangan dengan lebihan RM19 juta untuk kewangan 2010. Malahan negeri yang diperintah oleh Umno, pengurusan kewangan mereka boleh diletakkan di dalam Wad "ICU". Jika sekiranya tanpa bantuan pusat mungkin rakyatnya akan dilelong.

Melayu untung apabila PAS bersama dengan PR, kerana taraf hidup rakyat berjaya ditingkatkan. Kebetulan rakyat miskin di negara ini majoriti rakyatnya ialah orang Melayu. Kelantan sewaktu tahun 1990, negeri ini nombor dua termiskin, sekarang berada di tangga keenam.

Ini menunjukkan PAS akan berusaha untuk memastikan kualiti hidup rakyat lebih terbela. Ia berlainan daripada tindakan umno yang mengkhianat orang susah kebetulannya orang Melayu. Rakyat miskin akan menjadi simpanan tetap Umno setiap kali pilihanraya. Tidak hairanlah kepada kita bagaimana miskin memang dirancang supaya rakyat sentiasa di tahap miskin. Buktinya wang untuk Projek Perumahan Rakyat Termiskin sebanyak RM32 juta lesap. Dana untuk saham bumiputera sebanyak RM52 bilion telah lesap. Dana sebanyak ini membolehkan bumiputera memiliki ekuiti saham lebih 45 peratus.

Undian tajuk Batu Api Perkauman

Posted: 11 May 2011 11:50 PM PDT

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Mulai semalam, undian sedang dilakukan terhadap tajuk muka depan Harakah, wajarkah perkataan "BATU API PERKAUMAN" digunakan sebagai tajuk berita utama dan pembaca boleh setuju atau tidak setuju atau tidak pasti dengan pilihan tajuk berkenaan.

Untuk membuat undian tinjauan@harakah, boleh terus kepada link http://myharakah.net.

Sementara itu seramai 213 undian telah dilakukan terhadap edisi sebelum ini, Wajarkah perkataan "BERTARUNG SECARA ANAK JANTAN" digunakan sebagai tajuk berita utama.

Keputusannya adalah 81.69 % atau 174 undian bersetuju berbanding dengan 13.62% atau 29 pengundi sahaja yang tidak bersetuju dengan tajuk tersebut.

Hanya 10 undian atau 4.69 % pula yang memilih tidak pasti.

Keputusan yang bersetuju dengan tajuk tersebut dijadikan tajuk utama telah menurun 10% berbanding dengan tajuk sebelum ini "BUBAR UMNO MASUK PAS" digunakan sebagai tajuk berita utama di mana 92% yang bersetuju dengan tajuk tersebut.

Setakat undian ini dilaksanakan, tajuk tersebut yang paling popular dan paling tinggi dipersetujui oleh pembaca.

Untuk melihat keputusan terperinci, boleh terus kepada link http://myharakah.net/polls.php

Selepas jadi akhbar porno, Utusan main api pula

Posted: 11 May 2011 11:48 PM PDT

Harakahdaily


PARIT BUNTAR: Selepas bertukar menjadi 'akhbar porno' dan gagal dalam projek video lucah bersama Umno, Utusan Malaysia bermain api pula dalam soal agama dan perkauman demi untuk menarik sokongan Melayu.

"Kerana itu saya beranggapan dan beri nasihat kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa musuh utama negara sekarang bukannya dadah dan lain-lain tetapi ia adalah fitnah dari pemimpin Umno dan akhbar Utusan," kata Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan seluruh rakyat Malaysia agar jangan mengikuti pemberitaan jijik dan kotor Utusan sebagai media Umno.

Sebelum ini, Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Mohamad Hata Wahiri berkata, agenda mingguan akhbar Utusan Malaysia ditetapkan oleh Biro Politik Umno yang dipimpin oleh Presidennya, Datuk Seri Najib Razak.

Hatta dalam wawancaranya dengan laman web, Free Malaysia Today (FMT) (gambar) berkata, Ketua Pengarang Utusan yang ada sekarang akan menerima arahan dari mesyuarat Biro Politik Umno yang bersidang setiap hari Isnin malam.

Yang hadir dalam mesyuarat itu adalah Najib, timbalannya, Tan Sri Muhyidin Yasin, naib presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamudin Husein dan Datuk Seri Safie Apdal serta Setiausaha Agung, Datuk Tengku Adnan Mansor dan Ketua Penerangan, Datuk Ahmad Maslan.

Bagi Khalid Idham (gambar bawah), apa yang berlaku kini menunjukkan Umno semakin tidak beretika dalam berpolitik dengan segala cara dihalalkan demi untuk kekal berkuasa termasuk menggunakan media.

Menurutnya, kebiadaban dan pembohongan Utusan Malaysia dalam laporannya kononnya pemimpin Kristian berkonspirasi dengan DAP untuk mengambil alih Putrajaya dan menggugurkan status Islam sebagai agama rasmi negara langsung tiada logik dan tidak berasas.

"Kerana itu rakyat perlu tolak pemimpin yang tidak bermoral dan etika ini pada PRU 13 nanti," katanya yang juga Adun Titi Serong.

Katanya, pemimpin Umno menggunakan fitnah, seks dan perkauman melalui Utusan kerana mahu menutup isu sebenar negara iaitu rasuah, pembunuhan warga Mongolia yang dikaitkan dengan pimpinan tertinggi parti itu dan isu yang lebih besar lagi.

"Saya kira ini taktik lama yang diulang-ulang untuk mencetus rasa benci rakyat terhadap Pakatan Rakyat dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di samping menutup isu yang lebih besar itu," katanya.

Tambahnya, ekoran itu menyebabkan rakyat sekarang rasa meluat dan benci terhadap Umno BN.

Buktinya, kata beliau dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak di mana rakyatnya telah membuktikan pada 16 April lalu betapa BN mula tidak diterima dengan peratusan undi yang merosot dan mereka malah hilang 8 kerusi.

Menurutnya yang juga Pengerusi Idham Care , peratusan undi kepada PR meningkat walaupun BN menghalang PR dari berkempen secara bebas di samping dinafikan hak menggunakan media arus perdana seperti mana yang BN lakukan semasa berkempen.

"Kalau dulu Najib kata Anwar boleh demam kalau berdebat dengannya tetapi realitinya sekarang Najib yang tidak nyenyak tidur," katanya.

Cermin diri Umno dulu sebelum buat tuduhan

Posted: 11 May 2011 11:47 PM PDT

Harakahdaily


GEORGETOWN: Umno Selangor khususnya Exco Pemuda Umno, Datuk Sohaimi Shahdan tidak layak menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim biadab, sebaliknya wajar cermin diri dahulu, tegas Naib Presiden PKR, Datuk Mansor Othman.

Mansor berkata demikian kerana Sohaimi sebelum ini dipercayai terbabit dalam aksi ekstrem mengarak 'kepala lembu berdarah' di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 28 Ogos dua tahun lalu.

Bahkan kata Mansor yang juga Timbalan Ketua Menteri (1) Pulau Pinang lagi, Sohaimi dikatakan antara dalang yang mencetuskan demonstrasi rasis kononnya mewakili penduduk tempat ekoran cadangan kerajaan negeri Selangor memindahkan kuil Hindu ke Seksyen 23 di Shah Alam ketika itu.

"Baik dia (Suhaimi) atau Umno sendiri cermin diri sebelum tuduh dan fitnah Anwar biadap kononnya mengatakan 'pandikutti' (anak babi) kepada perdana menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) di Klang Sabtu lalu," tegasnya pada satu kenyataan media di pejabatnya, Komtar, di sini.

Penegasan Mansor itu sebagai merujuk pada tuduhan Sohaimi di akhbar Sinar Harian, hari ini.

"Saya sendiri tidak sanggup menyebut kembali perkataan yang diluahkan Anwar itu kerana ia sangat kurang ajar, apatah lagi ditujukan kepada pemimpin negara. Bagi saya, perbuatan Anwar itu sangat keterlaluan," dipetik dari Sinar Harian.

Mansor yang juga Ketua Perhubungan PKR Negeri berkata, tindakan Umno mengamalkan politik adu domba dan fitnah ke atas pemimpin Melayu seperti Anwar menyerlahkan bahawa perjuangan Umno sekarang menyimpang dari matlamat asal penubuhan, iaitu menyatupadu Melayu.

"Kalau Umno ini (memperjuangankan kepentingan Melayu), dia tak akan fitnah pemimpin Melayu (seperti Anwar) seperti yang dibuat Suhaimi ini.

"Melayu, orangnya sopan, amanah dan toleransi dengan kaum-kaum lain di tanah air. Umno, orangnya rasis, cuba perbodoh Melayu dengan pelbagai fitnah seperti arak kepala lembu di Shah Alam dua tahun lalu dan sanggup fitnah orang tertentu (Anwar) dengan buat klip video seks.

"Semua ini (aksi tidak beradab) bukan orang Cina atau India lakukan. YAB Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP) sendiri pertahan peribadi Anwar waktu Umno mengfitnah pemimpin Melayu itu. Sebab itu, saya kata Umno sudah tersasar dari matlamat menjaga Melayu," ujar beliau.

TV Selangor semalam melaporkan Anwar sendiri mendakwa Umno memfitnah dirinya lagi.

Rakaman sebenar ucapan Anwar antara lain berbunyi, "Maknanya kalau kita lawan dengan parti yang terdesak, mereka menjurus ke arah perbuatan terdesak termasuk video. Azizah kata sekarang jangan makan banyak sebab nanti sama dengan dalam video. Ini betul-betul pandi kutti."

"Ada orang kata Anwar cakap kasar. Macam mana tidak kasar. Ini kerja gila. Anda tahu sejarah India, Cina, Melayu, Arab, adakah anda lawan politik begitu kotor macam Datuk Najib buat? Tidak ada."

Sehubungan itu, Mansor menasihatkan Suhaimi agar mengajar adab kewartawanan pada Utusan Malaysia terlebih dahulu supaya akhbar pro Umno itu tidak lagi memfitnah mana-mana pemimpin Melayu yang lain pula selepas ini.

Penganalisis: Umno kena buang agenda lama jika mahu kekal kuasa

Posted: 11 May 2011 11:44 PM PDT




KUALA LUMPUR— Umno, parti teras Barisan Nasional (BN) walaupun sumbangannya sepanjang lebih enam dekad lalu tidak boleh dipertikaikan, tetapi ia kelihatan terus berdepan dengan proses penolakan di mana parti Melayu itu gagal untuk menangani pelbagai isu berbangkit.

Dalam ulasannya sempena sambutan 65 tahun Umno, pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, persaingan daripada Pakatan Rakyat akan menjejaskan kedudukan Umno sebagai kuasa pemerintah sekiranya masalah-masalah dibangkitkan itu tidak dapat ditangani.

"Pada masa sama Umno mengalami proses penolakan . . . bila banyak masalah, isu-isu yang tidak ditangani ia akan menjejaskan sokongan kepada Umno.

"Justeru Umno perlu fikirkan bagaimana untuk terus bertahan, Umno perlu mengikut kehendak dan permintaan rakyat, malah Umno juga perlu menggunakan pelbagai keadah baru untuk terus mendapat sokongan rakyat yang mana kini Umno terpaksa bersaing dengan parti alternatif," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Dalam ucapan pada majlis sambutan 65 tahun malam tadi, Datuk Seri Najib Razak menggesa kepimpinan parti itu agar bersatu dan membuang politik berpuak-puak bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Presiden Umno itu berkata, sebagai sebuah parti keramat di Malaysia, Umno harus melakukan perubahan lebih besar untuk terus mendapat sokongan rakyat terutamanya orang Melayu.

"Kalau kita bersatu, tiada politik puak-puak dalam Umno, kita merupakan parti yang lebih kuat daripada parti-parti lain. Apakah semua (perjuangan) kita sudah selesai? Belum . . . kenapa masih ada cakap-cakap, masih ada lagi politik puak-puak, apa guna kita sambut ulang tahun 65 tahun kalau kita tidak bersatu?

"Apakah kita sudah berkhidmat bersungguh-sungguh untuk rakyat? Apakah kita rajin turun padang? Dampingi rakyat? Adakah kita dekat di hati rakyat? Belum . . . belum lagi, jadi sambutan ulang tahun 65 ini kita mesti berikrar untuk dekatkan diri dengan rakyat sebagai pemimpin Umno," katanya,

Dalam ulasannya, Azizuddin menambah, Umno juga perlu memulakan agenda baru agar rakyat terutamanya orang Melayu akan terus menyokong parti tersebut.

"Umno perlu berubah ikut perkembangan semasa dan ikut kehendak rakyat, kalau Umno mahu kekal agenda lama perlu ditinggalkan, jika tidak Umno yang akan kena.

"Banyakkan agenda baru . . . banyakkan kaedah baru," katanya.

Jelas Azizuddin, sepanjang tempoh 65 tahun Umno telah melakukan banyak perubahan kepada negara dan sumbangan itu tidak boleh dipertikaikan.

"Pencapaian memang banyak dan kalau kita lihat dari segi pembangunan negara selama ini, Umno yang banyak menyumbang kepada perubahan-perubahan ini termasuk bagaimana Umno membebaskan negara daripada penjajah, bagaimana Umno mengisi kemerdekaan negara, pembangunan yang telah kita capai selama ini adalah sumbangan Umno.

"Malah, kalau kita lihat rakyat kita lebih maju walaupun dalam tempoh yang singkat, semua yang telah kita capai dan kita kecapi ini adalah jasa Umno dan kita tidak boleh menafikan perkara ini," katanya.

Dalam pada itu, Senator Ezam Mohd Nor yang menyertai semula Umno pada 2008 selepas keluar PKR berkata, dalam usia 65 tahun tidak banyak parti di dunia yang mampu kekal relevan dan berkuasa.

Katanya, Umno kekal relevan kerana tidak ada satupun parti di negara ini yang mampu mengambil tempat Umno menjadi parti yang mampu menjadi tunggak sebuah koalisi yang imbangi kepentingan semua agama dan kaum.

"Najib dilihat mampu pertahankan kedudukan ini, malah saya percaya akan lakukan bayak lagi perubahan selepas ini untuk memastikan Umno kekal relevan bukan sahaja sabagai sebuah parti, tetapi institusi penting negara," kata bekas ketua pergerakan pemuda PKR ini.

Mengulas mengenai kedudukan Umno pada masa sekarang ketika bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula menyifatkan parti itu masih lemah, penganalisis politik Prof Madya Sivamurugan Pandian berpendapat, berbanding tahun pertama memimpin Umno, kini Najib mahu memantapkan parti selepas mendapat mandat sokongan 2009.

Katanya, dalam proses ini sudah pasti kepimpinan akar umbi Umno akan menentukan jatuh bangun Umno ketika pilihan raya umum ke-13, dan kepimpinan ini melihat kejujuran Najib untuk menaikkan motivasi mereka dalam mempertahankan parti dan BN.

"Umno di bawah Najib menampakkan perubahan ketara berbanding di bawah kepimpinan sebelum ini. Keazaman Najib jelas mahu memulihkan sokongan terutama ahli yang melakukan undi protes dengan mengundi pembangkang pada pilihan raya umum ke-12.

"Kemenangan bersiri dalam pilihan raya kecil menunjukkan sokongan orang Melayu khususnya sudah jauh meningkat," katanya.

Jelas beliau, peningkatan sokongan ke atas Umno turut bergantung pada pasukan kepimpinan yang cuba mencari keserasian tetapi aura Najib yang turut diakui oleh pembangkang boleh mengubah suasana pola pilihan raya berbanding pilihan raya umum ke-12.

Kata Sivamurugan, walaupun sokongan orang Melayu berpecah kepada tiga iaitu Umno, PAS dan PKR, Umno dilihat sedang melalui transformasi seiring dengan transformasi nasional.

"Percakaran dalam parti tidak begitu dominan jika dibanding dengan PAS dan PKR walaupun ada bahagian masih bermasalah. "Di bawah Najib, apa yang dilakukan oleh beliau mirip usaha bapanya untuk merapatkan barisan dan menggariskan dasar parti dan waktu yang sama di peringkat kebangsaan tidak tergugat," katanya.

Salih Yaacob kahwin isteri ke-4 selepas Aidilfitri

Posted: 11 May 2011 11:39 PM PDT

KUALA LUMPUR — Pelakon dan pelawak terkenal Salih Yaacob bakal melangsungkan perkahwinan buat kali keempat dengan seorang gadis yang hanya mahu kenali sebagai Emi, 24 tahun.

Menurut Harian Metro, gadis manis dari Johor itu bakal disunting Salih, 50, sebagai suri hidupnya, sekali gus melengkapkan kuota poligami penyampai radio Sinar FM yang sudah diamalkan sejak puluhan tahun lalu.

Majlis perkahwinan pasangan berkenaan dijangka berlangsung selepas Aidilfitri ini berikutan kesibukan Salih menguruskan kerjayanya ketika ini selain mahu menyelesaikan beberapa urusan mahkamah berkaitan urusan kebenaran berpoligami.

Dalam poligami aman dengan tiga isteri, Salih telah dikurniakan 11 zuriat.

Menurut Emi, dia tertarik dengan hidung Salih selain memenuhi kriteria lelaki pilihannya.

"Abang (Salih) comel, saya paling suka hidung dia yang mancung kerana itu juga kriteria lelaki idaman saya," katanya.

Menurut Emi, walaupun hidung Salih menjadi antara tarikan padanya, namun dia tidak menetapkan kelebihan fizikal sebagai teras utama memilih suami sebaliknya keikhlasan dan sifat dalaman seseorang lelaki yang sentiasa diberi keutamaan dalam melayari bahtera rumah tangga.

"Rupa paras perkara kedua, bagi saya yang lebih penting sifat dalaman yang ada pada diri bakal suami dan saya nampak ciri-ciri itu pada abang, malah dia banyak mengajar dan membentuk saya menjadi insan baik dalam mendepani perjalanan hidup.

"Saya sukakan dia yang menitik berat ajaran agama, cara dia membimbing 11 anak dan tiga isteri, sebab saya terfikir macam mana dia boleh mengurus keluarga besar dengan masing-masing hidup aman damai . . . dia ceritakan semuanya dan dari situ saya tertarik.

"Faktor itu yang buat saya mahu tahu lebih mendalam lagi. Saya akui perkara itu membuatkan abang berbeza daripada lelaki lain. Kalau lelaki lain mulut saja manis, tapi kosong, abang tidak begitu, dia ada isu," katanya.

Menceritakan detik perkenalan mereka, Emi memberitahu dari awalnya dia tidak berminat untuk mengenali Salih secara rapat memandangkan pertemuan mereka atas dasar antara peminat dengan artis di satu pementasan di Pulau Pangkor, Perak, November lalu.

"Ketika itu saya tidak rasa apa-apa, cuma mahu bergambar dengannya saja apatah lagi semua orang tahu abang sudah berkeluarga dan mengamalkan poligami.

"Bermula dari keinginan untuk tahu bagaimana dia menguruskan isteri-isterinya membuatkan hubungan kami rapat dan saling berbalas SMS dan panggilan telefon. Abang pandai mengambil hati dan layanannya membuatkan saya terpaut," katanya.

Penuntut sarjana bidang pengangkutan di sebuah institusi pengajian tinggi itu turut mengakui bukan mudah untuk dia menyakinkan keluarganya bagi menerima Salih memandangkan poligami tidak dijadikan amalan dalam keluarga termasuk di kalangan sanak saudara.

Katanya, selepas empat bulan perkenalannya dengan Salih, baru dia memberanikan diri untuk berterus terang di hadapan ahli keluarga dan kakak sulung menjadi orang pertama diberitahunya sebelum kakaknya berjumpa sendiri dengan Salih.

"Sebelum itu saya kerap solat hajat, istiqarah memohon petunjuk dan akhirnya selepas dijelaskan mengapa saya memilih abang, ibu dan ayah menerimanya. Malah ibu sempat berpesan supaya saya menjaga diri sebab tahu perkara ini bukan mudah.

"Apapun saya masih belajar mendalami ilmu terutamanya aspek rumah tangga dan 'bekalan' yang diberi abang akan saya pegang dan amalkan serta paling penting menjadikan al-Quran sebagai teras membentuk perjalanan hidup ini.

"Saya sudah bersedia menempuh alam rumah tangga bersama dia dan isteri serta anak-anaknya . . . insya-Allah," katanya yang kini menjadi pembantu peribadi Salih.

Sementara itu, Salih berkata dia tidka mengambil Emi sebagai isteri secara suka-suka sebaliknya anak bongsu daripada lima beradik itu sudah dititipkan dengan bekalan ilmu agama dan rohani yang membolehkannya menjadi isteri taat dan umat Islam sejati.

"Sebelum menyuntingnya saya sudah asuh dia, bimbing dan sediakan dia dengan bekalan yang diperlukan. Kalau tidak dia tak boleh 'follow'. Bukan mudah kerana dia muda tapi sebab saya penyampai amanah dan perkahwinan satu ibadat.

"Setiap hari saya akan memperingatkan dia, memberikan nasihat dan panduan tidak mahu tersasar. Alhamdulillah dia seorang yang patuh dan mengenal arah tuju hidup ke jalan Allah. Apapun proses pembelajaran itu tidak pernah habis dan ia masih berterusan," katanya.

Kristian-Islam: Usul bantah tindakan Hishamuddin, Rais dibawa ke Parlimen

Posted: 11 May 2011 11:36 PM PDT

KUALA LUMPUR — Kesal dengan tindakan dua anggota Kabinet, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan M. Kulasegaran mencadangkan usul membantah tindakan kedua-dua menteri itu kerana tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Utusan Malaysia.

Sidang Parlimen akan berlangsung bulan depan Julai.

Tegas Kulasegaran, sikap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim yang tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Utusan Malaysia walaupun laporan yang dikeluarkan salah dan berunsur fitnah disifatkan beliau sebagai tidak bertanggungjawab.

"Hishammuddin dan Rais telah menerima laporan itu tanpa mempersoalkan kesahihan, malah telah memberi amaran kepada rakyat agar tidak mempersoalkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

"Sepatutnya mereka harus menyiasat segera kesahihan laporan yang berniat jahat dan tidak berasas itu bukannya melakukan siasatan terhadap dakwaan itu, nampaknya mereka bermain politik," katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu juga menyifatkan tindakan Hishammuddin dan Rais mempercayai laporan Utusan Malaysia sebagai tidak rasional.

"Sebagai ahli politik, mereka patut tahu laporan Utusan Malaysia itu berniat jahat dan mengancam keharmonian negara selain bersifat perkauman.

"Oleh itu tiada alasan untuk menerima laporan Utusan Malaysia itu, malah saya percaya mana-mana ahli politik yang rasional mereka sudah pasti tidak akan mempercayai laporan Utusan Malaysia itu.

"Hishammuddin dan Rais harus meminta maaf kerana menerima kesahihan laporan Utusan Malaysia, yang mana usul ini akan dibawa pada pembentangan belanjawan 2012," katanya.

Laporan Utusan Malaysia bertajuk "Kristian Agama Rasmi?", yang diterbitkan Sabtu lalu mendakwa wujudnya perbincangan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, sekali gus melantik perdana menteri dari kalangan penganut itu.

Akhbar milik Umno itu juga mendakwa ada konspirasi mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi, usaha didakwa disokong oleh pemimpin-pemimpin DAP.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin DAP telah menafikan perkara tersebut sambil mengulangi pendirian mempertahankan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Kelmarin Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menuntut Hishammuddin dan Rais memohon maaf secara terbuka kerana bersikap lepas tangan terhadap Utusan Malaysia.

Beliau berkata sikap yang diambil Hishammuddin dan Rais dilihat cuba melindungi Utusan Malaysia walaupun akhbar itu mengeluarkan laporan yang berunsur fitnah dan salah.

Selepas pendedahan yang dibuat Utusan Malaysia, Rais berkata perkara itu akan diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasatan.

Rais berkata, penelitian perlu dibuat terlebih dahulu sama ada bahasa yang digunakan itu adalah bahasa yang memecahbelahkan masyarakat atau pun yang menyentuh soal hasutan.

Sementara itu, Hishammuddin pula menyifatkan penganjuran majlis pertemuan paderi dari seluruh negara yang didakwa turut membincangkan agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan, jika benar, adalah sesuatu yang serius.

Katanya, apa juga tindakan dari satu agama akan mengundang reaksi dari penganut agama lain.

Semalam kerajaan negeri Pulau Pinang telah memfailkan satu aduan rasmi mendesak Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia ekoran laporan yang mengaitkan DAP dengan konspirasi Kristian.

Ketua Menterinya Lim Guan Eng berkata keputusan itu dibuat selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebulat suara menyokong usul itu termasuk dua wakil rakyat Umno yang tidak mempercayai laporan tersebut.

Kata Lim, dua wakil rakyat Umno yang turut menyokong usul itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Bahang, Datuk Hilmi Yahya dan Adun Pulau Betong Muhammad Faris Saad ketika sidang DUN kelmarin.

No 2 PAS: Ulama penentu kemenangan, kata penganalisis

Posted: 11 May 2011 11:33 PM PDT

KUALA LUMPUR— Walaupun ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mohamad Sabu mendahului senarai pencalonan bagi jawatan nombor dua parti itu, namun ia bukan petanda pemimpin itu boleh "merampas" kedudukan tersebut.

Ini kerana jelas beberapa penganalisis politik, faktor ulama dan golongan profesional adalah penentu kepada kemenangan mana-mana pemimpin PAS yang bertanding bagi jawatan dalam parti Islam itu.

Malahan mereka juga tidak menolak kemungkinan penyandang Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa akan terus mempertahankan jawatan itu pada pemilihan Jun ini.

Setakat hujung minggu lalu The Malaysian Insider difahamkan Mohamad yang turut dikenali sebagai "Mat Sabu" sudah memperoleh 70 pencalonan manakala Nasharudin hampir 40 pencalonan daripada lebih 130 kawasan sudah bermesyuarat.

PAS mempunyai 179 kawasan di seluruh negara dan hampir 80 peratus kawasan atau bahagian sudah pun mengadakan mesyuarat dan membuat pencalonan masing-masing.

Ada kawasan yang tidak mencalonkan sesiapa pun.

Menurut pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian, jumlah pencalonan yang diterima Mohamad tidak boleh dijadikan ukuran bekas naib presiden PAS itu boleh merampas jawatan itu daripada Nasharudin.

Ini kerana jelas beliau, selama ini jawatan presiden dan timbalan presiden PAS dipegang golongan ulama dan agar sukar golongan profesional untuk memecah tradisi itu.

Justeru kata Sivamurugan, faktor itu harus diambil perhatian di samping perwakilan juga tidak harus mengetepikan sumbangan golongan profesional.

"Pencalonan tidak boleh menggambarkan kemenangan kerana ia akan bergantung kepada kompromi di saat-saat akhir dan dalam PAS lazimnya golongan ulama mampu menandingi kumpulan profesional.

"Saya setuju penentuan yang sama masih berterusan kepada sebilangan besar masih berpihak kepada kumpulan ulama berbanding golongan profesional.

"Tetapi ini tidak bermakna PAS harus meminggirkan golongan profesional kerana sumbangan golongan profesional semakin berkembang terutama dalam peningkatan ahli dari kelompok ini dan jika ruang berjawatan dan bersuara tidak diberikan, ia boleh memberi kesan kepada PAS dalam jangka panjang," katanya.

Selain itu tambah Sivamurugan, sudah tentu Hadi memerlukan seorang timbalan yang berkelayakan serta membantu beliau dalam melakukan perubahan dalam parti.

"Saya percaya presiden mahu seseorang yang boleh bekerja dengan beliau malahan strategi PAS juga mahukan seorang pemimpin yang boleh bergandingan dengan presiden.

"Ini bermakna, walaupun pencalonan Nasharudin masih kurang, peluang beliau masih ada," katanya.

Tambah beliau, pencapaian dan prestasi kedua-dua pemimpin PAS itu juga akan menjadi penentu siapa yang layak untuk memegang jawatan itu.

"Saya percaya sumbangan dan percapaian akan turut menjadi percaturan tetapi lebih daripada itu, siapakah yang mampu bergandingan dengan presiden akan menjadi faktor dominan kerana sudah pasti PAS tidak mahu melihat wujudnya kepuakan yang ketara pasca-pemilihan nanti yang boleh memberi kesan kepada struktur kepimpinan PAS," katanya.

Pandangan Sivamurugan itu dikongsi bersama Profesor Madya Dr Samsul Adabi Mamat yang mengatakan ciri-ciri ulama dan profesional ada pada Nasharudin yang mana ia boleh menyumbang kepada perubahan PAS.

"Dari segi pencalonan saya tidak lihat ia mencerminkan kemenangan Mohamad Sabu kerana pencalonan hanya untuk lihat siapa yang layak bertanding.

"Dan, kalau kita lihat ciri-ciri yang ada pada Nasharudin, beliau masih mempunyai peluang kerana ciri-ciri itu memenuhi semangat yang diperlukan dalam kepimpinan parti," katanya.

Tambah beliau, walaupun Mohamad merupakan pemimpin lama dalam PAS, namun dari aspek kepimpinan dan latar belakang pendidikan Nasharudin mengatasi bekas ahli Parlimen Kuala Kedah itu.

"Saya tidak kata Mohamad Sabu ini bukan ulama, beliau ada ciri-ciri itu tapi ciri-ciri yang ada pada Nasharudin lebih banyak, selain berlatar belakang agama, pendidikan yang tinggi, masih muda dan Nasharudin mempunyai nilai-nilai kepimpinan yang diperlukan dalam parti.

"Selain itu, kalau kita lihat asas perjuangan PAS selama ini adalah Islam dan ulama menerajui PAS, kalau perwakilan mahu melakukan perubahan itu saya tidak pasti tapi yang saya pasti ulama adalah pilihan utama manakala profesional hanya cita rasa baru dalam PAS," katanya.

Pada pemilihan kali ini selain Mohamad dan Nasharudin, empat lagi pemimpin utama PAS turut dicalonkan bagi jawatan itu.

Ketiga-tiga pemimpin itu adalah Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang memperoleh 17 pencalonan, Menteri Besar Kedah dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak (lima pencalonan), seorang lagi Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (empat pencalonan) dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat dan bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dengan satu pencalonan.

Bagaimanapun hanya Mohamad dan Nasharudin sudah mengesahkan untuk bertanding bagi jawatan tersebut.

Bagi Prof Abdul Aziz Bari, Mohamad berpeluang untuk merampas jawatan timbalan presiden ekoran kegagalan Nasharudin melakukan perubahan dalam parti.

Bagaimanapun penganalisis politik itu tidak menolak banyak faktor lain yang boleh menentukan siapa yang layak untuk memegang jawatan tersebut yang mana ia bakal menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara Mohamad dan Nasharudin.

Selain itu, jelas Aziz, penentu bagi kemenangan kedua-dua calon itu juga bergantung kepada fakor ulama atau golongan profesional yang bakal dipilih perwakilan pada pemilihan parti Jun ini.

Menurut beliau, kelemahan dan kegagalan Nasharudin sepanjang menyandang jawatan itu kemungkinan akan dinilai dan diambil kira oleh perwakilan.

"Ya, kemungkinan itu ada, lagipun Mohamad Sabu masih belum mendapat pencalonan dari Terengganu yang dikira kawasan Nasharudin . . . ertinya pencalonan itu menggambarkan mood dalam parti.

"Faktor ini memang penting tetapi kita belum tahu sama ada kali ini penentu, dari segi prestasi Mohamad lebih ke depan dan begitu juga jemputan ceramah Mohamad Sabu ke depan.

"Selama ini Nasharudin kelihatan gagal membantu Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang), mungkin perwakilan akan melihat itu yakni presiden sudah ulama apa perlunya timbalan juga ulama," katanya kepada The Malaysian Insider.

Tambah Aziz, prestasi Nasharudin yang tidak menyerlah juga akan memberikan kesan kepada Ahli Parlimen Bachok untuk mempertahankan jawatan itu.

"Apatah lagi apabila Nasharudin tidak begitu menyerlah, khususnya di Parlimen dan beliau hanya kelihatan apabila pemilihan hendak berlangsung.

"Sebelum ini Nasharudin tenggelam, ini menandakan prestasi yang kurang baik. Selain itu kita juga kena ambil kira prestasi sebagai ahli Parlimen yang sama teruk dengan ketika beliau jadi ahli Parlimen Yan dulu," katanya.

Ditanya peluang Mohamad yang bertanding buat kali kedua selepas tewas pada pemilihan dua tahun lalu, Aziz yang juga pensyarah UIA berkata, "peluang itu ada kerana tiada faktor lain yang boleh membantu kemenangan Nasharudin."

"Melihat kepada jumlah pencalonan saya fikir itu satu kemungkinan (kemenangan Mohamad kerana dalam dua pertandingan (pemilihan) sebelum ini ada faktor lain yang memenangkan Nasharudin.

"Kali ini faktor itu tiada lagi yang mana pada kali pertama Nasharudin disokong oleh golongan profesional yang mahukan Allahyarham Hassan Shukri digantikan dan pada pertandingan selepas itu pula Nasharudin menang kerana pecah undi antara Mohamad Sabu dengan Datuk Husam Musa (ahli jawatankuasa kerja PAS pusat).

"Dalam pertandingan kali ini Mohamad Sabu lebih bersedia dari awal dan momentum menyebelahi beliau, selain itu Mohamad Sabu adalah seorang yang terbukti veteran dalam politik dan ini saya fikir memberi kelebihan kepada beliau dan apa yang penting sekarang beliau perlu mengekalkan momentum supaya terus bersamanya," katanya.

Pada pemilihan 2009, kerusi timbalan presiden menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohamad, Nasharudin dan Husam yang mana keputusannya memihak kepada Nasharudin yang menghimpunkan 480 undi.

Husam memperoleh 281 undi sementara Mohamad hanya mendapat 261 undi.

K'jaan makin tertekan untuk naikkan harga RON95

Posted: 11 May 2011 04:49 PM PDT

Wong Teck Chi


Peningkatan harga gula yang berkuatkuasa semalam, kini menimbulkan spekulasi sama ada harga petrol RON95 akan menyusul selepas ini - ataupun kenaikkannya akan ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya umum.

azlanMengikut rancangan penyelarasan subsidi yang dicadangkan oleh Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU), harga petrol RON95 sepatutnya telah dinaikkan oleh kerajaan kepada RM2.05 seliter sekarang. Mengikut perancangan, ini seharusnya dilakukan dengan dua pelarasan - iaitu 15 sen sekitar akhir tahun lalu dan 10 sen lagi pada separuh masa pertama tahun ini.

Namun harga sekarang tetap kekal pada RM1.90 seliter. Harga RON95 dinaikkan dua kali tahun lalu - iaitu lima sen setiap kali pada 16 Julai dan 4 Disember.

Tahun ini sahaja, harga petrol RON97 dinaikkan empat kali dan kini pada paras RM2.90 seliter, iaitu paras tertingginya.

Menghadapi pilihan raya

Menurut akhbar China Press, harga petrol RON95 sekarang adalah 80 sen lebih murah berbanding harga pasaran - bermaksud harga sepatutnya adalah RM2.70 seliter jika diselaraskan mengikut harga pasaran.

petrol price hike before increase panic consumers 040608 01Bagi mengekalkan kadar harga sekarang, pembayar cukai terpaksa menanggung kos subsidi petrol sebanyak RM14 bilion. Ini merupakan 40 peratus lebih tinggi daripada bajet RM10 bilion yang diperuntukkan oleh kerajaan.

Walaupun jumlah yang ditanggung itu besar, ketua penyelidik Jupiter Securities Pong Teng Siew berkata beliau menjangkakan kerajaan akan menangguhkan sebarang kenaikkan harga petrol RON95 sehingga pilihan raya umum selesai kerana petrol mempunyai kesan yang lebih besar berbanding gula.

azlan"Bagi sekarang, kerajaan cuba mewujudkan persekitaran yang sesuai menjelang pilihan raya."

Spekulasi tersebar luas bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak akan membubarkan parlimen akhir tahun ini ataupun pada tahun depan kerana ekonomi dikatakan semakin merudum sejak kebelakangan ini.

Jika rasionalisasi harga petrol ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya umum, rakyat berkemungkinan akan menghadapi kenaikan agak ketara sehingga boleh menyebabkan inflasi petrol.

Setakat ini, hanya sasaran rasionalisasi subsidi untuk gula yang disaran dinaikkan 20 sen sekilo bagi setiap setengah tahun berjaya dipatuhi.

azlanBarangan kawalan lain seperti tepung, minyak masak dan gas asli juga termasuk dalam rancangan pengurangan subsidi tetapi kerajaan belum mengumumkan sebarang kenaikan barangan itu bagi tahun ini.

Najib pada 1 April lalu mengumumkan kerajaan akan memperlahankan pelaksanaan skim rasionalisasi subsidi dengan alasan bagi membantu rakyat mengurangkan bebanan mereka.

Kabinet bincang kemungkinan kenaikkan

Sementara itu, Nanyang Siang Pau melaporkan harga petrol RON95 mungkin dinaikkan 10 sen dalam masa terdekat ini bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung kerajaan.

petrol price hike before increase panic consumers 040608 02Seorang menteri yang tidak mahu dikenali memberitahu akhbar Cina itu bahawa jemaah menteri telah membincangkan subsidi petrol hari ini tetapi tidak ada keputusan muktmad dibuat.

Jemaah menteri bagaimanapun mengarahkan Kementerian Kewangan untuk menyediakan laporan terperinci mengenai perkara berkenaan.

Seorang lagi menteri memberitahu jemaah menteri juga bersetuju tiada keperluan bagi kerajaan untuk menaikkan harga minyak bagi mengurangkan beban kewangannya.

Katanya, buat masa ini kerajaan membayar RM11 bilion setiap tahun untuk subsidi petrol RON95 dan kos itu mungkin naik menjadi RM18 bilion jika harga tidak diselaraskan tidak lama lagi.

Ulama Umno: Tak patut aibkan Anwar

Posted: 11 May 2011 04:45 PM PDT


Salhan K Ahmad

Dakwaan fitnah ke atas pemimpin politik melalui penyebaran rakaman video seks tidak sepatutnya dilakukan kerana ia bertentangan dengan prinsip Islam, kata ulama muda Umno Fathul Bari Mat Jahya dalam satu forum hari ini.

NONEFathul Bari berkata, hukum mengaibkan seseorang seperti itu merupakan salah satu daripada dosa besar di sisi Islam dan dan tidak sepatutnya dilakukan oleh Umno.

"Kita sepatutnya menutup keaiban manusia dan bukan membukanya," katanya dalam satu forum yang diadakan sempena ulangtahun Umno ke-65 di ibu pejabat parti itu hari ini.

Jelasnya, sekalipun pihak pembangkang pernah bertindak mengaibkan pemimpin parti itu, Umno tidak sepatutnya mengambil tindakan serupa.

Katanya lagi, kesahihan berhubung pelaku di dalam video seks berkenaan juga sepatutnya diserahkan kepada siasatan pihak berkuasa.

"Saya tidak tahu video itu benar atau tidak. Saya tidak tengok, kita serahkan kepada pihak berwajib," katanya lagi dalam sesi soal jawab di forum anjuran satu gabungan NGO Melayu itu.

Pandangannya itu disambut oleh seorang lagi anggota panel, Datuk Ahmad Maslan yang berkata isu rakaman video seks itu tidak melibatkan presiden Umno Datuk Seri Najib Razak, parti BN ataupun Umno sendiri.

NONEKatanya, Umno adalah "dua kali bodoh" jika menggunakan kaedah sama dengan mengaibkan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi, memandangkan Umno telah menghadapi kesannya dalam pilihan raya umum 1999.

Hinggakan, sesetengah pemimpin Umno "tinggal seluar dalam sahaja" kerana undi yang tidak memihak kepada mereka di kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Melayu yang besar.

Jelasnya, pengundi Melayu pada masa itu memilih pembangkang kerana marah dengan tuduhan liwat yang dikenakan ke atas Anwar.

Namun, isu sebenar berhubung dakwaan melibatkan Anwar sumpah laknat yang dilakukan Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang mendakwa turut berada di lokasi rakaman video aksi seks tersebut, kata Ahmad.

NONETuduhan melibatkan Anwar juga melibatkan sumpah laknat yang dilakukan oleh Saiful Bukhari Azlan berhubung kes Liwat II yang kini sedang dibicarakan, tambahnya.

Maka, cara terbaik bagi Anwar untuk menepis dakwaan tersebut adalah dengan turut membuat sumpah laknat bagi menafikannya, kata Ahmad lagi.

Seorang lagi ahli panel dalam forum yang dihadiri kira-kira 100 orang itu ialah seorang wakil NGO dariapda Majlis Perundingan Melayu, Hasan Mad.

P'raya umum agenda utama BN Jumaat ini

Posted: 11 May 2011 04:34 PM PDT

MALAYSIA KINI


Persediaan pilihan raya umum ke-13 akan menjadi perkara utama yang akan dibincang pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN Jumaat ini memandangkan ia akan mengendalikan pilihan raya 'percubaan' tidak lama lagi.

azlanSetiausaha agung BN, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kertas kerja mengenai pilihan raya 'percubaan' itu akan dibentang dalam mesyuarat berkenaan memandangkan BN dijadual mengadakannya Julai ini.

"Kemungkinan besar kami akan menyentuh mengenai prestasi dan analisis pilihan raya Sarawak, pendaftaran pengundi dan saya sendiri akan membentangkan kertas kerja 'dry run' itu. Semua ini berkait dengan persediaan pilihan raya umum kerana kita perlu bersedia untuk menghadapinya," katanya kepada Bernama hari ini.

Tengku Adnan berkata BN perlu membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum dengan mengambil iktibar daripada beberapa pilihan raya kecil sebelum ini dan pilihan raya negeri Sarawak.

Parti komponen BN di Sarawak juga dijangka membentangkan laporan mengenai pilihan raya negeri itu pada mesyuarat berkenaan untuk digunakan sebagai input dalam merangka strategi pilihan raya umum akan datang.

"Kami akan melihat pelbagai aspek dalam usaha memperkuatkan persediaan kami untuk pilihan raya akan datang," katanya.

NONEDalam pilihan raya negeri Sarawak 16 April lepas, BN menang 54 daripada 71 kerusi, sekaligus mengekalkan majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri.

Presiden Parti Liberal Demokratik Sabah Datuk V.K Liew berkata kajian semula pilihan raya Sarawak penting untuk BN kerana mereka perlu melihat kelemahan mereka dalam usaha mempersiapkan diri untuk pilihan raya akan datang.

"Biasanya, apabila kita melalui sesuatu pilihan raya, kita boleh melihat sejauh mana keberkesanan jentera kita. Ia adalah pengajaran untuk membolehkan kita memperbaiki diri bagi menghadapi pertandingan yang lebih besar," katanya.


DPMM mahu keseluruhan projet MRT

Posted: 11 May 2011 04:29 PM PDT

MALAYSIA KINI


Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mahu kerajaan menyerahkan keseluruhan projek Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) yang bernilai berbilion ringgit kepada mereka dengan alasan syarikat bumiputera gagal mendapatkan sebarang tender berhubung projek berkenaan.

NONEMenurut laporan Bernama, presiden DPMM Syed Ali Alatas berkata beberapa syarat yang ditetapkan oleh yarikat Prasarana Negara Bhd (SPNB) kepada syarikat yang ingin membida
projek itu menyukarkan kontraktor Bumiputera untuk terlibat sama.

"Kami mohon untuk menjalankan keseluruhan projek MRT bersama persatuan kontraktor lain secara usaha sama atau pembelian syarikat-syarikat yang terlibat," kata nya pada sidang media mengenai cadangan balas anggota DPMM mengenai projek pembangunan infrastruktur terbesar
negara itu, di Kuala Lumpur, semalam.

NONEAntara syarat yang didakwa menyekat peluang Bumiputera ialah larangan untuk menjalinkan usaha sama dengan mana-mana syarikat pada komponen tertentu, dan mempunyai modal berbayar sekurang-kurangnya RM10 juta.

Syed Ali berkata berdasarkan syarat SPNB itu, DPMM menganggarkan hanya 37 syarikat atau kontraktor Bumiputera yang layak memohon untuk projek itu.

Turut hadir pada sidang media ialah Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Datuk Mokhtar Samad. Persatuan Kontraktor Melayu mempunyai 16,000 anggota.

NONEMokhtar berkata persatuan itu menggesa kerajaan supaya menimbang semula syarat yang ditetapkan bagi membolehkan lebih ramai kontraktor Melayu atau Bumiputera terlibat sama dalam projek MRT.

"Kita harap kerajaan akan membenarkan usaha sama atau penubuhan konsortium supaya kontraktor Bumiputera turut layak menjalankan projek ini," katanya.

Menurutnya persatuan itu kini menagih jaminan yang diberi oleh Pengarah Urusan SPNB, Shahril Mokhtar bahawa mereka tidak akan mengetepikan kontraktor Bumiputera dalam projek pembangunan itu.

Pemimpin Umno perlu rujuk Tajus Salatin

Posted: 11 May 2011 04:25 PM PDT

Afiq Hizami, Pelatih UKM


KITAB TAJUS SALATIN membawa suatu penganjuran konsep kepimpinan yang berteraskan Islam bagi menegakkan keadilan untuk dinikmati faedahnya sesama insan.

Peranan dan fungsinya mampu dimanfaatkan dalam era globalisasi untuk melahirkan individu yang berketerampilan baik, positif dan peka terhadap kebajikan bersama.

Penghayatan teks ini akan menghasilkan para pemimpin yang adil dan keadilan itu akan dimanfaati oleh segenap lapisan masyarakat di bawah pimpinannya.

Pada era kini, kepincangan ini dilihat dengan timbulnya agenda kolonialisasi, penyelewengan, rasuah dan fitnah yang menular dalam masyarakat khususnya dalam kepimpinan Umno yang dilihat lebih bersifat rakus, angkuh, mementingkan diri dan tidak bertanggungjawab.

Sikap negatif ini akan membawa kepada kehancuran dalam masyarakat khususnya memberi impak kepada pembangunan spiritual yang negatif.

Seterusnya kepincangan-kepincangan ini akan menjatuhkan nilai martabat sesebuah bangsa itu sendiri.

Dari perspektif Islam, manusia dianggap sebagai khalifah Allah di muka bumi yang dikurniakan akal dan tanggungjawab terhadapnya.

Sehubungan itu, adalah wajar bagi setiap individu yang dianggap sebagai pemimpin untuk memenuhi tuntutan dan peranannya kepada penciptanya.

Justeru itu, karya kesusasteraan Melayu tradisional kitab Tajus al-Salatin adalah signifikan dalam menangani arus kepimpinan jelek ini.

Berteraskan Islam dan pemikiran serta konsep-konsep yang disarankan kepada pemimpin mahupun individu akan membentuk acuan sendiri dalam kalangan masyarakat dewasa ini.

Seterusnya penghayatannya dapat memberi keadilan dan faedahnya dinikmati sesama insan.

Karya kesusasteraan Melayu tradisional bukan hanya sekadar khazanah atau warisan bangsa tatapi merupakan titik permulaan peradaban kepada tamadun bangsa.

Segala pemikiran di dalamnya terkandung nilai sejagat yang harus dicerapkan ke dalam masyarakat kini.

Sehubungan itu, pemimpin-pemimpin Umno haruslah merujuk kepada kitab ini segala hal ehwal kepimpinan dan politik pada zaman nabi dan zaman sahabat nabi telah terakam dalam kitab ini.

Jadilah kitab ini sebagai pedoman dan rujukan sebagai cerminan dalam menjadi pemimpin.

*Tajus Salatin atau 'Mahkota Raja-raja', tulisan Bukhari al-Jauhari diselesaikan pada tahun 1603M dan dipersembahkan kepada Sultan Alauddin Riayat Syah, yang juga digelar Sayyid al-Mukammil (1590-1604M) sebagai sumbangan pemikiran seorang cendekiawan untuk membantu sultan menjalankan arah pemerintahan dengan baik.

Tiada ulasan: