Rabu, 25 Mei 2011

bumiperak

bumiperak


PAS Perlu Banyak 'Panglima Perang' Jika Mahu Ganti Umno

Posted: 25 May 2011 10:34 PM PDT

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- PAS memerlukan lebih banyak 'panglima perang' dan bukannya pemimpin agama sekiranya mahu menggantikan UMNO dalam pilihan raya umum ke-13. Penganalisis politik Prof Dr A Aziz Bari berkata PAS yang diterajui presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu melakukan lebih banyak transformasi dalam parti dengan menampilkan lebih banyak 'panglima perang'.

"Yang nak dicari bukan tok imam tapi panglima ataupun pejuang. Dia tak boleh syok sendiri, perlu kemukakan alternatif kepada rakyat. Kalau PAS masih nak bincang berapa ramai pemimpin ulama yang perlu diletakkan di atas (kepimpinan tertinggi PAS) buat apa?.

"Kalau masih terus macam ini, PAS masih belum layak untuk menggantikan Umno," katanya pada forum 'Melakar Masa Depan PAS' anjuran Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS) yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur di sini Selasa malam. Turut serta ialah tiga pemimpin PAS yang juga merupakan penceramah di forum itu -- Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad serta dua anggota Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad dan Datuk Kamarudin Jaafar.

Aziz berkata walaupun PAS mendakwa mempunyai keanggotaan lebih sejuta orang, parti itu perlu mengikis pandangan bahawa pimpinan tertingginya perlu daripada golongan ulama, perlu bersikap lebih terbuka untuk menerima perubahan walaupun terdapat pihak yang tidak selesa dengan perubahan itu.

"Ada antara mereka nak kekal dengan apa yang ada, ada pula kumpulan yang gabrah dengan perkembangan baru ini. Ada juga yang rasa gelisah bila parti ini buka pintu kepada orang bukan Melayu," katanya.

Bagaimanapun, Khalid berkata itu bukan isu utama memandangkan konsep kepimpinan ulama daripada sudut perlembagaan parti merujuk kepada Majlis Syura dan menegaskan tidak ada dalam perlembagaan parti bahawa barisan kepimpinan harus terdiri daripada golongan ulama.

"Cuma kadang-kadang terpengaruh dengan peranan media dan golongan yang berkepentingan dalam parti yang menyatakan presiden dan timbalan presiden harus daripada kalangan ulama," katanya. Pandangan beliau disokong Kamaruddin yang menjelaskan tiada pemimpin dalam parti itu yang mentakrifkan kepimpinan parti kepada dua kumpulan iaitu satu pro-ulama dan satu lagi pro-professional atau lebih dikenali sebagai kumpulan Erdogan.

PAS yang ditubuhkan pada 1951 akan mengadakan pemilihannya bulan depan bagi barisan kepimpinan parti itu untuk tempoh 2011-2013. Setakat ini, hanya Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan jawatannya tanpa bertanding.

Tiada ulasan: