Ahad, 15 Mei 2011

Addin

Addin


Lagi Remaja Bawah Umur Mati Di Tembak Polis

Posted: 15 May 2011 05:00 PM PDT

Suaram pandang serius kes tembak mati

KUALA LUMPUR, 15 Mei: Suaram mengutuk keras dan kecewa terhadap tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menembak mati individu-individu tidak kira warga Malaysia ataupun warga asing yang kerap berlaku. Penyelaras Suaram, Yap Heng Lung berkata, pihaknya memandang serius terhadap semua kes tembak mati yang dilakukan oleh polis selama ini.


Antara remaja yang telah ditembak mati oleh polis sejak tahun lepas termasuk Aminulrasyid Amzah (14 tahun), Mohd Shamil Hafiz Shapiei(15), Hairul Nizam Tuah (20), Mohd Hanafi Omar (22). Pada 13 hari bulan Mei, sekali lagi terdapat seorang remaja yang bernama Johari Abu Bakar yang hanya berumur 17 tahun telah ditembak mati oleh polis di kawasan Dengkil, Selangor sekitar pukul 11 malam.

"Kami ingin menekankan bahawa menembak mati seseorang dengan sewenang-wenangnya tanpa memberikan peluang untuk membela diri dan dibicara bawah mahkamah adalah merupakan satu pencabulan hak asasi yang serius," ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, Suaram inginkan maklum balas segera dari pihak polis apakah perlunya pihak polis menggunakan senjata terhadap seorang remaja yang berusia 17 tahun sehingga ditembak mati.

Tambahnya, Suaram sebagai organisasi Hak Asasi Manusia berpendapat penggunaan senjata dan tidak memberikan hak untuk Johari membela diri adalah salah dari segi undang-undang Hak Asasi dan ianya melanggari kebanyakan artikel dalam Konvensyen Antarabangsa Perlindungan Kanak-Kanak (CRC) terutamanya Artikel 16 (1)&(11) dan Artikel 37 yang memberi perlindungan terhadap kanak-kanak bawah undang undang dan terlindung dari sebarang hukuman yang tidak berperikemanusiaan ataupun penangkapan tanpa bicara.

"Suaram memahami tanggjungawab pihak polis untuk mencegah kegiatan jenayah di Malaysia, namun ia tidak bermakna pihak polis boleh menjalankan apa-apa operasi atau tindakan tanpa mengikuti piawaian hak asasi sedunia termasuk menembak mati seseorang sebelum dibicarakan," katanya.

Menurutnya, mengikut kenyataan yang diberi oleh Kementerian Dalam Negeri pada tahun lepas menyatakan bahawa jumlah kes tembak mati oleh polis adalah seramai 279 orang dari tahun 2000 hingga 2009.

Katanya, pada tahun 2009, Assiten Komisioner Polis, ACP Syed Mustafa dari Bukit Aman telah menyatakan bahawa pihak polis telah bermula menggunakan senjata api berelektronik iaitu Taser X26 dalam operasi menangani kes jenayah di mana dapat mengurangkan isu suspek ditembak mati.

"Namun, apa sebabnya masih ramai termasuk suspek bawah umur yang menjadi mangsa tembakan mati oleh polis?" soalnya.

Suaram, ujarnya berpandangan isu sebegini disebabkan tiadanya mekanisme yang telus dan jelas tentang penggunaan senjata api oleh polis. Malah, katanya apa yang lebih mengecewakan adalah dokumen panduan dalam menggunakan senjata api iaitu Perintah Tetap Ketua Polis (IGSO) di Malaysia tidak dapat dirujuk oleh orang awam.

Ini, katanya dengan jelas membuktikan bahawa penggunaan senjata api oleh polis tidak diimbangi oleh pemeriksaan awam dan sekaligus menyebabkan tahap akauntabiliti yang amat rendah di dalam institusi polis.

"Suaram menggesa kerajaan untuk membawa pengawai polis yang terlibat dalam kejadian ini ke muka pengadilan dan dibicarakan di mahkamah untuk menegakkan keadilan terhadap mangsa dan keluarga mangsa," katanya.

Justeru, tambahnya Suaram menuntut agar pihak kerajaan melaksanakan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia terutamanya menubuhkan Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dengan segera.

Beliau berkata, sekiranya langkah-langkah itu tidak diambil dengan segera, maka semua rakyat Malaysia akan menjadi mangsa penyalahgunaan pihak polis dan ini sekaligus akan menunjukkan imej yang buruk terhadap Kerajaan Malaysia yang gagal memantau institusi kerajaan yang amat penting dalam sistem pentadbiran negara./Hrkh


(Terkini) Rosmah Tawar Qatar Program Permata

Posted: 15 May 2011 07:58 AM PDT

DOHA, 15 Mei - Qatar dijemput menyertai Festival Seni Antarabangsa Kanak-Kanak yang julung kali diadakan di Malaysia di bawah program Permata Seni pada Disember ini. Jemputan itu disampaikan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor kepada Menteri Pelajaran dan Pendidikan Tinggi Qatar Saad Ibrahim Al-Mahmoud pada satu majlis di sini.



"Kanak-Kanak Qatar boleh mempersembahkan bakat mereka dalam bidang seni tari, muzik dan koir," katanya kepada wartawan Malaysia.

Rosmah, yang juga penaung Program Permata Negara, berkata pihaknya menawarkan dua tempat kepada pelajar Qatar bagi menyertai kem Permata Pintar di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Beliau yang mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam lawatan rasmi dua hari ke Qatar, mempunyai acara berasingan hari ini dan melawat pameran 'The 3rd National Research Fair Programme' dengan diiringi Saad.

Pameran itu bertujuan mencungkil bakat kanak-kanak berusia lingkungan tujuh hingga 18 tahun dalam bidang penyelidikan.

Pada majlis itu, Rosmah turut diberi taklimat mengenai sistem pembangunan dan pendidikan kanak-kanak di Qatar oleh Pengarah Institut Pelajaran, Majlis Tertinggi Pelajaran Qatar Sabah Al-Haidoos./Bernama

Addin:

Najib makin takut bini.. Rosmah  makin menjadi-jadi.. subsidi gula RM11.6 juta di tarik lagi.. program Permata Rosmah  dapat RM111 juta lagi.. apa nak jadi dengan negaraku.. PRU 13 nanti pastikan laki bini ni tersungkur selama-lamanya..


Sah!! UMNO Kini Semakin Gila

Posted: 15 May 2011 07:27 AM PDT

VCD lucah yang diedarkan kepada orang ramai
Halalkan apa sahaja jadi kegilaan Umno 

SELAYANG, 15 Mei -  Pemimpin Umno dilihat dalam keadaan kegilaan sehingga menghalalkan apa sahaja cara yang patut dilakukan untuk mengekalkan kuasa mereka daripada jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.Pekara ini telah terbukti apabila Umno dengan kerja gilanya sekali lagi mengedar risalah fitnah dan video lucah yang kononnya perlakunya adalah Anwar Ibrahim sewaktu di program 'Munajat Rakyat Menolak Fitnah' anjuran Pakatan Rakyat di Stadium Selayang malam tadi.

Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Hal ini secara jelas dan keji tindakan yang dilakukan Umno untuk menjejaskan kredibiliti Anwar selaku Ketua Umum Pakatan Rakyat dan PKR.

Beliau juga turut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan Umno yang mengedarkan VCD rakaman lucah itu untuk menjatuhkan imej Anwar Ibrahim dan kerajaan Negeri Selangor.

Beliau juga menyifatkan penyebaran risalah fitnah dan video lucah itu sebagai tindakan yang bodoh dan kerja gila serta tak patut dilakukan semata-mata cara untuk menjatuhkan dan mengaibkan seseorang yang belum didapati bersalah dengan tuduhan yang dilemparkan.

Tegas beliau lagi dengan rasa kesal, "Kita nak jadikan Selangor ini negeri membangun, mewah dan dirahmati Allah tapi Umno bawa VCD tak guna ini, kalau nak tolong rakyat, selesaikan masalah rakyat.

Sebaliknya, tegas Khalid, kerajaan negeri Selangor akan bekerja kuat bagi memastikan nasib rakyat di negeri itu terbela. "Saya tidak ada masa untuk VCD buruk ini, saya akan terus bekerja keras untuk bantu rakyat.

"Rakyat pilih kita untuk buat perubahan dan ini yang akan kita buktikan," katanya di hadapan lebih lima ribu hadirin yang hadir terdiri daripada pelbagai kaum untuk memberi sokongan penuh terhadap pimpinan Pakatan Rakyat.

Pekara ini juga telah menuntut tokoh ulama dan sarjana Islam dari Syria Dr Sheikh Wahbah Az Zuhaili yang sanggup terbang untuk memberi tarbiah supaya menghentikan politik fitnah dan keji yang dilakukan oleh Umno.

Dr Sheikh Wahbah Zuhaili dalam ceramahnya selepas mengimani solat Isyak berjemaah dan solat hajat bersama untuk memberi sokongan kepada pimpinan Pakatan Rakyat itu berpesan kepada hadirin "Dengan iman yang tetap di hati dan jiwa serta istiqamah dalam berdoa dengan menetapkan keyakinan bahawa Allah akan memakbulkan doa hamba-Nya, maka usaha kita lakukan akan membuahkan hasil."

Anwar Ibrahim dalam ceramahnya turut melahirkan rasa sedih dan kecewanya dengan tindakan Umno yang tak habis-habis untuk mengenakan beliau sejak beliau keluar daripada parti tersebut.

Beliau berkata, Umno dan Barisan Nasional sudah membuktikan bahawa mereka akan menggunakan apa sahaja cara untuk menjatuhkannya dan mengekalkan kuasa mereka termasuk 'merampas' semula Selangor.

Beliau menambah lagi, konsep 'merampas' yang digunakan oleh Umno adalah dengan menghalalkankan apa saja cara samaada yang haram, cara yang gila, cara yang melanggar hukum Islam asalkan matlamat mereka tercapai.

Katanya lagi dengan nadanya yang mula bersemangat menjelaskan "Subsidi rakyat ditarik, subsidi rakyat diberikan kepada tauke judi, harga gula dan minyak naik, inilah yang dilakukan oleh penyagak Umno."

Kata-kata Anwar disambut sorakan penuh dan tepukan gemuruh hadirin yang hadir. Suasan mula berubah menjadi ceria,"Dalam pada Umno dan Barisan Nasional bercakap soal moral dan akhlak pemimpin, mereka sendiri tidak menjaga adab dan akhlak sehingga sanggup mengaibkan orang lain.

"Pemimpin Umno nak cakap soal akhlak dengan kita? Apa hukumnya sebar video lucah kepada umum? "Tidak cukup saya dipukul separuh mampus dalam penjara, dibogelkan, sekarang saya dikaitkan dengan video lucah pula," sinis beliau yang mula tampak tenang dengan ucapannya./Hrkh


Ketua IMF Di Tahan, Di Dakwa Cabul Pekerja Hotel

Posted: 15 May 2011 05:00 AM PDT

NEW YORK, 15 Mei  - Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) Dominique Strauss - Kahn ditahan di New York semalam, berhubung dakwaan serangan seksual ke atas pekerja wanita sebuah hotel, lapor akhbar The New York Times. Jurucakap Polis New York Paul Browne mengesahkan kepada Reuters, ketua IMF itu ditahan dan sedang disoal siasat berhubung dakwaan seksual. 

Akhbar itu melaporkan, Strauss-Kahn  yang disebut-sebut bakal calon parti Sosialis pemilihan presiden Perancis April depan, ditahan ketika hendak berlepas ke Paris dari Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy di sini.

Strauss-Kahn, 62, didakwa menyebabkan "mencabul" pekerja berusia 32 tahun Hotel Sofitel di West 44th Street dekat Times Square kelmarin. Beliau menerajui IMF sejak November 2007.

Sebelum itu Strauss-Kahn merupakan anggota Dewan Kebangsaan Perancis dan profesor ekonomi di Institut d'Etudes Politiques de Paris.

Pada Oktober 2008, Strauss-Kahn memohon maaf atas "kesilapan penilaian" yang berkaitan hubungannya dengan pekerja bawahan tetapi menafikan beliau telah salah guna kedudukannya.

Strauss-Kahn telah memohon maaf kepada kakitangannya, wanita yang dia adakan hubungan dan isterinya seorang personaliti televisyen, Anne Sinclair atas masalah itu./Reuters

(Video) MB Selangor Kesal UMNO Edar VCD Lucah

Posted: 15 May 2011 01:37 AM PDT

SELAYANG 15 Mei - Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan penyebaran VCD fitnah yang mengandungi video seks mirip pemimpin kanan Pakatan Rakyat di negeri ini sebagai satu pembaziran bahkan ia tidak patut berlaku. Menurutnya pihak tersebut sepatutnya berusaha membantu Selangor untuk terus maju supaya manfaatnya dapat dinikmati semua pihak. "Malam ini masyarakat macam tak ada kerja lain, mengedarkan VCD memfitnah saudara Anwar Ibrahim. 

Ini bagi saya kerja bodoh dalam negeri yang kaya. Saya tak anggap patut dilakukan. Rakyat Selangor kita nak jadikan Selangor negeri maju dan dirahmati Allah," kata Khalid di hadapan 5 ribu hadirin di Program Munajat Umat Tolak Fitnah di Stadium Selayang semalam. Khalid mengulas insiden penyebaran VCD berkenaan di beberapa kawasan di negeri itu termasuk di sebuah masjid di Kuala Langat Ahad lalu. 

Beliau juga melahirkan kehairanannya mengapa Umno-BN lebih tertarik untuk membicarakan soal video seks berbanding membincangkan masalah ekonomi dan kehidupan rakyat. Menurut Khalid hal inilah yang membezakan Pakatan Rakyat dan BN. "Ini lebih baik dari bawa VCD yang tak guna ini. Kalau nak tolong rakyat, bagi dia selesaikan masalah, bukan bagi VCD kepada orang ramai. "Ini yang BN tak boleh buat, yang dia buat hantar VCD ini,"kata beliau sambil memegang sebuah VCD. 

Khalid yang hanya berucap selama 10 minit menegaskan bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor akan tetap meneruskan dasar 'merakyatkan ekonomi' mereka yang terbukti berkesan membantu kemajuan dan kesejahteraan negeri Selangor.

"Saya bukan dari jenis yang banyak bercakap, saya buat dahulu baru saya beritahu dan saya akan kerja kuat dan tunjukkan saya tak ada masa dengan VCD ini. Kita akan tunjukkan kemajuan dan kekayaan itu disalurkan kepada rakyat," jelas beliau disambut tepukan gemuruh hadirin./Tvs


Panas!! 4 Orang Di Tahan Semasa Himpunan Anti Lynas Di Kuantan

Posted: 14 May 2011 10:44 PM PDT

KUANTAN, 15 Mei - Himpunan Bantah Lynas dihadapan Pejabat DAP Jalan Beserah dekat sini kecoh apabila empat orang orang aktivis rakyat ditangkap polis. Pihak polis berbagai unit dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan seramai lebih kurang 50 orang termasuk pegawai telah berada di lokasi terbabit sejak awal pagi lagi. 


Kelihatan beberapa orang anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) dan anggota Cawangan Khas (SB) telah bersiap sedia untuk menggempur mereka yang berada di situ. 

Peserta perhimpunan hari ini diketuai oleh Pengerusi DAP Negeri Pahang iaitu YB Leong Ngah Ngah (ADUN Triang), YB Azan Ismail (Ahli Parlimen Indera Mahkota), YB Cheong Siew Onn (ADUN Teras) dan pimpinan pusat DAP YB Anthony Loke Siew Fook (Ahli Parlimen Rasah) dan YB Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Serdang). 

Ucapan bantahan Lynas telah dimulakan oleh YB Leong Ngah Ngah selepas semua peserta mula berhimpun di kaki lima Pejabat DAP sekitar jam 11.15 pagi. 

Ucapan ringkas turu disampaikan oleh YB Anthony Loke, YB Azan Ismail dan beberapa yang lain. Sementara itu kawasan terbabit telah dikepong oleh anggota polis yang membuat benteng mengadap pejabat tersebut. Seolah-olah satu peperangan besar akan berlaku.

Anggota trafik pula dilihat mengawal lalu lintas dan beberapa orang pegawai polis dilihat mundar mandir di kawasan terbabit, seolah-olah mendapat arahan pihak tertentu supaya melakukan provokasi.

Laungan "Hidup Rakyat, Bantah Lynas" bergema dan ini menimbulkan sedikit ketengangan bila pihak polis mula mahu bertindak agreasif selepas ketibaan Ketua Polis Daerah Kuantan, OCPD Jasmani Yusoff. 

Beliau yang agak berlembut ketika himpunan 1,000 Ibu mengandung Bantah Rare Earth sempena hari ibu di Teluk Chempedak baru-baru ini tiba-tiba bersikap keras dengan mengarahkan ucapan dihentikan dan perhimpunan tersebut dibatalkan kerana tidak mempunyai permit. 

Kelihatan YB Azan berunding dan mohon kerjasama polis untuk memberi ruang mereka berhimpun secara aman kerana ia tidak perlu permit susualan diadakan di premis sendiri. Namun, OCPD bertegas mahu perhimpunan dihentikan atau polis bertindak terhadap mereka. 

Akhirnya himpunan dihentikan dan mereka memohon pihak polis untuk mengambil gambar di tempat letak kerata pejabat DAP. Kebenaran diberikan untuk seketika dan kemudia polis mengarahkan semua bersurai. Tuan OCP sendiri menggunakan pembesar suara mendesak orang ramai bersurai./PahangDailyOnline


Perkasa Ugut Jihad Jika Kristian Teruskan Agenda Rampas Status Islam

Posted: 14 May 2011 10:03 PM PDT

GOMBAK, 15 Mei - Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali malam tadi memberi komuniti Kristian amaran bahawa beliau akan melancarkan "perang jihad" jika mereka meneruskan agenda mahu merampas kedudukan Islam negara ini. Bercakap di hadapan sekitar 200 hadirin pada satu ceramah di Kampung Changkat di sini, Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas ini berkata, beliau  bersedia untuk jatuh atas kenyataannya itu demi mempertahankan maruah Islam.


Meskipun mengadu keletihan ekoran sembilan ceramah bermula dari Kelantan sejak malam kelmarin, Ibrahim juga berkata, darahnya sedang mendidih ekoran laporan terbaru kononnya wujud konspirasi antara pengikut Kristian dengan pemimpin-pemimpin agama dan ahli politik pembangkang.

"Di Kelantan sebelum ini, saya mengisytiharkan di depan polis, saya memberitahu pasukan keselamatan yang hadir bahawa jika mereka mahu menghantar mesej saya kepada (ibu pejabat polis) Bukit Aman, silakan.

"Sila rakamkan kata-kata saya, jika ada mana-mana pihak di Pulau Pinang khususnya paderi-paderi Kristian yang didokong oleh DAP Pulau Pinang, jika mereka terus dengan agenda mereka yang sudah pun diketahui sekarang, saya bersedia untuk menawarkan, jika mereka mahukan perang salib, kami boleh adakan.

"Ini selari dengan semangat Sultan Saladin Ayubi... jika mereka adakan perang salib, kami boleh," kata ketua pertubuhan bukan kerajaan ini, yang mendakwa bergerak atas platform mahu membela kepentingan dan hak kaum Melayu.

Dalam ucapannya, Ibrahim juga memberi amaran agar bukan Islam tidak memandang mudah sikap berdiam diri umat Islam sambil menegaskan, umat Islam sebenarnya mengutamakan keamanan dan keharmonian.

"Kami sudah bersedia. Berdiam diri bukan bermakna kami takut, kami telah berdiam diri sebab kami utamakan keamanan dan keharmonian.

"Tetapi orang-orang ini, jika mereka merasakan keamanan yang mereka nikmati selama ini tidak cukup atau kestabilan dan kemajuan negara tidak cukup dan mereka mahu melakukan sesuatu yang kita tidak pernah terfikir, teruskan... kami bersedia," katanya lagi.

Ibrahim mendakwa bukan Muslim kini seolah-olah berani dan tidak risau untuk bertindak sedemikian kerana mereka merasakan ada sokongan daripada ramai Muslim liberal dan pemimpin-pemimpin politik seperti Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Ini pandangan saya. Jika saya tidak tepat, ia hak saya. Jika saya kasar, saya minta maaf. Dosa saya, saya tanggung. "Tetapi mengapa ini berlaku sekarang selepas 53 tahun? Jawapannya anda tahu, punca utama ialah Anwar," katanya lagi.

Ucapan Ibrahim kali ini berkisar pada kontroversi terbaru ekoran laporan Utusan Malaysia bertajuk "Kristian agama rasmi?" pada 7 Mei lalu, mendakwa paderi-paderi Kristian dan pemimpin-pemimpin DAP berkonspirasi mahu memansuhkan Islam sebagai agama persekutuan dan melantik orang Kristian sebagai perdana menteri.

Pemimpin-pemimpin DAP dan Kristian menafikan kandungan laporan sedemikian. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Kristian Khamis lalu bagi meredakan keadaan, tetapi Ibrahim menegaskan malam tadi bahawa laporan akhbar milik Umno itu adalah betul.

Ibrahim merujuk kepada laporan polis dibuat oleh seorang anggota DAP Islam kelmarin mendakwa dia tahu cerita sebenar apa yang berlaku ketika pertemuan di sebuah hotel di Pulau Pinang baru-baru ini. "Mereka menuduh Utusan Malaysia tetapi dari awal lagi, saya mengatakan ia sahih. Ia benar.

"Mengapa? Ini kerana Ahli Parlimen yang hadir pada pertemuan itu adalah Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi. Beliau Ahli Parlimen macam saya dan saya tahu dari lagak dan pertuturan yang dia gunakan," katanya.

Ibrahim juga mengulangi dakwaannya minggu lalu bahawa anggota bekas Parti Komunis Malaya (PKM) menggunakan kumpulan lokal untuk berkonspirasi menggantikan Islam sebagai agama persekutuan negara ini.

Katanya, penyokong-penyokong PKM telah menyeludup masuk ke dalam parti-parti politik, pertubuhan bukan kerajaan, kumpulan agama dan persatuan bisnes selepas ia meletakkan senjata pada 1989 bagi meneruskan aktiviti mereka./TMI


Shamsul Iskandar Beri Keterangan Kepada Majlis Peguam

Posted: 14 May 2011 07:00 PM PDT

KUALA LUMPUR - Pejabat Peguam Negara tidak hadir pada prosiding siasatan Majlis Peguam untuk memberi keterangan setelah menuduh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Md Akin melanggar etika profesyen itu dan mahu lesen guamannya ditarik balik. Tribunal Lembaga Tatatertib yang bermesyuarat hari ini hanya mendengar keterangan Samsul dan akan memberikan keputusannya kelak. "Hari ini kita berhadapan dengan situasi di mana peguam negara telah buat satu aduan dan saya terpaksa jawab dan saya kesal mereka tidak datang. 


Saya telah sempurnakan tanggungjawab saya dan kita tunggu keputusan Jawatankuasa Tatatertib. Saya sudah berikan penjelasan dan keterangan, Peguam saya dah buat penggulungan. Dalam hal ini saya lihat dan yakin pihak jawatankuasa tatatertib akan buat penilaian yang objektif dan terbaik," tambah beliau. 

Ogos tahu lalu Shamsul diberi surat tunjuk sebab oleh Lembaga Tatatertib Majlis Peguam ekoran aduan Jabatan Peguam Negara kononnya beliau menghina sistem kehakiman ketika berkempen pada pilihan raya kecil DUN Penanti pada Mei 2009 Aduan dibuat oleh Ketua Pendakwaan Mohamed Hanafiah Zakaria di bawah Seksyen 99(a)(2) Akta Profesion Undang-undang 1976. 

Tribunal Jawatankuasa Tatatertib yang dipengerusikan oleh Suraj Singh dijangka mengambil dua bulan untuk memberi keputusan. Shamsul hadir di Pejabat Lembaga Tatatertib Peguam di Jalan Maran Kuala Lumpur pagi ini ditemani dua peguamnya Yusmadi Yusof dan Fahda Nur. Yusmadi menggesa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berlaku adil kepada Samsul dalam membezakan tanggungjawabnya sebagai seorang peguam dan pemimpin politik serta aktivis masyarakat.

Menurut Yusmadi yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau, rakan berprofesion peguam yang turut menyertai arena politik tidak perlu gusar atau takut selagi tindakan mereka tidak membelakangkan Perlembagaan Persekutuan. "Kini tibalah masanya rakan-rakan di arena politik lebih prihatin bahawa semua ucapan kita dirakam. Tapi yakinlah kalau ikut lunas undang-undang ada ruang yang cukup untuk rakyatnya dijaga. 

Dalam hal ini saya rasa Peguam Negara bukan sahaja patut menjaga kepentingan tertentu sahaja, mereka juga bertanggungjawab di bawah perlembagaan mereka patut jaga hak-hak asasi rakyat Malaysia," kata beliau./Tvsnews


Tiada ulasan: