Isnin, 4 April 2011

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Seks, etika dan berita

Posted: 04 Apr 2011 09:18 PM PDT


Mustafa K Anuar |


Seks, seperti yang kita semua sedia maklum, adalah sesuatu yang menarik perhatian dan minat orang ramai kerana ianya menjanjikan "keseronokan" dan melayani kehendak ingin tahu (atau, dalam bahasa nakal, "kepo"). Dan minat khalayak ramai ini memuncak bila seks - lebih-lebih lagi jika aktiviti insani ini dilakukan di luar nikah - dikaitkan dengan orang ternama dan selebriti.

Itulah sebabnya seks menjadi salah satu kriteria yang digunakan oleh pemberita untuk mengenalpasti insiden atau isu yang boleh dijadikan berita. Malah dalam keadaan di mana terdapat persaingan sengit antara organisasi media yang berpaksikan falsafah ekonomi kapitalis, seks telah dijadikan satu komoditi untuk diperdagangkan di dada akhbar khususnya, antara media lain, dalam usaha melonjakkan sirkulasi dan kadar periklanan akhbar berkenaan.

Bukan itu sahaja, sensasi seks juga boleh menjadi mainan politik. Dan ini juga bermakna media boleh, dan telah, menjadi alat manipulasi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan, khususnya parti yang memerintah (yang ada kaitan rapat dengan media arus perdana dari segi pemilikan dan kawalan). Ini terbukti lebih-lebih lagi dalam kes liwat pertama yang melibatkan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Dan dalam masyarakat yang dikatakan berpegang kuat kepada ajaran agama seperti Malaysia, seks rambang, "songsang" dan luar nikah menjadi kebimbangan dan juga cemuhan orang ramai. Dan pelaporan media tentang kegiatan seks sedemikian rupa sudah tentunya meningkatkan lagi minat, kemarahan serta cemuhan umum itu.

Elak dipergunakan

Inilah konteks sosial yang luas yang harus kita ambil kira apabila kita memperkatakan perihal video seks yang didedahkan baru-baru ini oleh kumpulan trio yang menamakan dirinya "Datuk T". (Akhirnya kita ketahui siapa mereka yang cuba sembunyi di belakang tabir yang bernama "Datuk T" itu.)

"Dedahan" ini dianggarkan bukan sahaja dapat menarik perhatian dan minat umum, malah bertujuan "menggegarkan" dunia politik tanah air serta mengundang cemuhan dan kemarahan orang ramai - ketika masyarakat sedang menyaksi ulangan kes rasuah dan pilihanraya negeri Sarawak, antara lain isu yang penting.

Dan dalam masa yang sama, watak-watak yang berkaitan dengan kegiatan seks dalam video itu juga dianggarkan mengundang kebimbangan dan kemarahan orang ramai. Bersandarkan latar belakang sosial dan politik negara kita ini, wartawan yang melaporkan hal video seks ini sepatutnya secara prinsip bersikap berhati-hati dan akur kepada kod profesionalisme kerjaya wartawan yang sedia ada supaya dapat bersikap adil dan saksama dalam pemberitaannya - dan tidak terjerumus dalam kancah politik fitnah dan keji.

Panduan profesion ini adalah bertujuan untuk mengelakkan diri wartawan dari dipergunakan oleh pihak tertentu untuk agenda sempit mereka dengan semata-mata melaporkan apa yang diingini oleh pihak "Datuk T" itu tanpa wartawan menimbulkan persoalan mendalam dan kritis yang boleh menjawab kekeliruan dan kemusykilan yang mungkin ada dalam kalangan orang ramai tentang penayangan video seks itu.

Misalnya, wartawan sepatutnya bertanyakan dengan lebih kritis keadaan di mana video berkenaan diperolehi; kenapa pihak yang menayangkan video mahu bersikap lempar batu sorok tangan dengan menyorok identitinya (pada hari penayangan berlangsung); adakah secara kebetulan pendedahan video seks ini berhampiran dengan waktu pilihanraya Sarawak; kenapa wartawan yang diundang ke tayangan video itu tidak dibenarkan membawa laptop, telefon bimbit, pen dan lain-lain lagi; tidakkah melanggar undang-undang perbuatan menyebar dan menayangkan video lucah di ruang publik di Malaysia?

Dan jika "penganjur" tayangan video seks ini enggan menjawab sedemikian rupa, media harus menyatakan keengganannya untuk membolehkan audiens tahu keadaan sebenar ketika itu dan juga cuba membuat kesimpulan masing-masing.

Soalan-soalan seperti ini juga bermaksud untuk menentukan pemberitaan yang bakal dilakukan pada akhir insiden video seks ini bukanlah menjadi semata-mata satu penulisan berita yang berdasarkan satu PR exercise yang dikendalikan pihak yang berkenaan.

Sebut nama atau tidak?

"Datuk T" dalam kenyataan medianya terang-terang melempar tuduhan bahawa "aktor" dalam video seks itu adalah Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim - walaupun ada dalam kalangan wartawan yang merasakan video itu tidak begitu jelas untuk menentukan yang lelaki itu adalah Anwar sendiri. Dalam hal ini, media perlu melaporkan sepertimana yang diperkatakan oleh "Datuk T", kerana ia tidak memberi makna dengan menyelindung namanya di sebalik frasa "ketua pembangkang utama", tetapi pada masa yang sama memberi isyarat tersirat seperti "ahli politik yang sakit belakang" dan sebagainya.

Namun begitu, ada eloknya bagi media menggunakan ungkapan seperti "Anwar Ibrahim yang didakwa" sebagai orang terlibat dalam video seks tersebut. Ini memberi gambaran bahawa beban membuktikan kesahihan dakwaan itu masih jatuh di bahu "Datuk T" atau pihak lain yang mewakili kepentingan "Datuk T". Kuncinya, laporan wartawan harus membayangkan realiti itu selengkap mungkin - termasuk kemusykilan yang timbul sepanjang kejadian berkenaan berlangsung - agar audiensnya mampu membuat pertimbangan sama ada untuk mempercayai atau tidak tuduhan yang dilemparkan.

Dan seterusnya, sepertimana yang telah dilakukan kebanyakan wartawan, media harus mendapatkan respons dari orang yang didakwa terlibat dalam adegan seks itu, iaitu Anwar sendiri, atau sekurang-kurangnya pihak yang mewakili beliau. Dan jika isterinya, Wan Azizah, dibabitkan pula, beliau juga perlu diberi peluang untuk respons. Prinsipnya ialah media harus bersikap adil kepada pihak tertuduh dengan memberi ruang jawab secukupnya. Perlu diingatkan, ketangkasan dan sikap pihak tertuduh memberi maklum balas, turut menjadi salah satu kayu ukur kepada audiens untuk menilai sendiri - sejauh manakah benarnya tuduhan tersebut.

Dalam hal ini, pihak akhbar online perlu bersikap berhati-hati jika status bebas atau independence serta taraf kredibilitinya mahu dijaga dan dihargai. Ia tidak boleh terikut- ikut dengan rentak tarian media arus perdana yang tidak begitu bebas dari segi ruang kewartawanannya.

Lagipun, akhbar online harus prihatin terhadap kemungkinan suatu usaha untuk memalingkan perhatian umum daripada isu yang lebih mencabar, seperti rasuah yang merebak, kenaikan harga barang, jurang antara si kaya dan si miskin, hubungan etnik dan agama yang meruncing, dan kekurangan kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan. Ini bukanlah bermakna wartawan tidak perlu ambil peduli isu video seks ini, tetapi tidaklah perlu diheretkan perhatian media kepadanya pada jangkamasa yang panjang hingga mengabaikan keprihatinan umum terhadap isu serius yang dinyatakan di atas.

Sesungguhnya, membantu memalit maruah seseorang insan atau kelompok manusia secara sedar adalah sama beratnya seperti pihak media menyapu arang di mukanya hingga mengorbankan kredibilitinya di mata umum.

Kebebasan dan tanggungjawab akhbar di Malaysia semestinya melibatkan pemberitaan yang menjangkau isu atau elemen sensasi seperti video seks ini.

*Mustafa K Anuar ialah pembaca MerdekaReview dan pengkaji media tanah air.

Azizah Sahkan 'Itu Bukan Anwar', Sosok Badan Jauh Berbeza

Posted: 04 Apr 2011 09:11 PM PDT

KUALA LUMPUR 5 APRIL: "Itu bukan Anwar," merupakan ungkapan pertama yang dikeluarkan isteri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail hari ini selepas menyaksikan sedutan video seks yang tersebar secara meluas melalui laman YouTube semalam.

Wan azizah menegaskan, beliau sekeluarga amat mengenali susuk tubuh Anwar dan ternyata ia berbeza dengan individu didalam video berkenaan.

"Jelas susuk tubuh pelaku dalam video amat berlainan daripada Anwar. Hal ini diperkukuhkan memandangkan sejak lebih setahun lalu, anak-anak beliau sering menemaninya setiap kali beliau pergi melakukan aktiviti senaman dan fisioterapi," jelas Wan Azizah pada sidang media di kediamannya hari ini.

Beliau menyifatkan tuduhan tersebut tidak masuk akal seraya berpendirian bahawa video tersebut contoh taktik politik lucah yang dijulang Umno-Barisan Nasional (BN).

Wan Azizah berkata ketulenan video tersebut bukan isunya namun jelas individu tersebut bukan suaminya.

Justeru Presiden PKR itu mengajak rakyat Malaysia menolak politik durjana dan mengembalikan agenda perjuangan menuntut reformasi sistem politik menyeluruh.

Selain itu, Wan Azizah tidak menolak pendedahan video lucah semalam bermotifkan politik kerana ianya didedahkan bersempena ulangtahun ke 12 PKR pada 4 April.

Malah ia bertujuan melunturkan kempen PKR pimpinan Anwar pada pilihanraya negeri Sarawak pada 16 April.

Dalam pada itu ayah Anwar, Datuk Ibrahim Abdul Rahman yang hadir sama pada sidang media itu menyifatkan penggunaan video lucah fitnah sebagai tindakan terdesak Umno-BN untuk menjatuhkan maruah anaknya.

"Tuduhan (video lucah) ini tidak bermoral dan tiada asas. Pihak yang membuatnya adalah orang 'desperado' atau terdesak," ujar bapa Anwar.


Tayangan Video Lucah Di KEMAS, BTN Tindakan Jijik Umno-BN

Posted: 04 Apr 2011 09:09 PM PDT





KUALA LUMPUR 4 APRIL: Tindakan pihak tertentu menayangkan video lucah yang dihebahkan oleh tiga individu dikenali sebagai 'Datuk T' di pejabat Kemas, Penanti dan semasa kursus Biro Tata Negara di Pangkor baru-baru ini amat jijik dan tidak boleh diterima sama sekali.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad yang ditemui di luar Dewan Rakyat berkata kerajaan sepatutnya sudah lama mengambil tindakan terhadap 'Datuk T' atas kesalahan memiliki video lucah seperti yang diperuntukkan dalam Akta Penapisan Filem 2002.

"Tindakan menayangkan video lucah adalah tindakan paling tidak bertanggungjawab kerana video seks yang dihasilkan oleh 'Datuk Trio' itu jelas berlawanan serta bertentangan dengan peruntukkan daripada Akta Penapisan Filem 2002, kalau kita merujuk kepada Seksyen 5(1), diingatkan 'tiada seorangpun boleh ada atau menyebabkan dirinya ada dalam jagaan atau kawalan atau pemunyaan, dan itu sudah jelas merupakan satu kesalahan," tegas beliau.

Tambah beliau, sudah jelas tindakan menayangkan video seks ini merupakan tindakan terdesak Umno-BN yang kehilangan modal untuk menumbangkan pengaruh PR di Sarawak yang dikatakan semakin meningkat serta mampu memberikan satu persaingan sengit kepada Umno-BN.

"Kalaulah ketahap ini yang mereka sanggup lakukan maka Umno-BN sudah tidak ada lagi maruah sebagai kerajaan yang sepatutnya telah memerintah lebih 50 tahun, ini tidak wajar, menggunakan cara-cara yang jelek dan hodoh seperti ini," kata beliau lagi.

Beliau seterusnya berkata, Umno-BN sememangnya telah membudayakan 'politik longkang' yang keji dan jelek sepertimana yang dikatakan oleh Ahli Parlimen Gua Musang serta verteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah baru-baru ini.

"Kita ingin tanya apakah sudah begini parah Umno dan BN berdepan dengan PR? apa yang begitu takut sangat?" soal beliau lagi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata tindakan menayangkan video kepada peserta kursus tersebut amat menjijikan dan tidak boleh diterima.

"sekiranya betullah apa yang dikarakan oleh datuk Mansor... menjijikkanlah,"

Zuraida menambah, tindakan ini hanya membuktikan ketakutan BN terhadap pengaruh PR di Sarawak semakin memuncak hinggakan terpaksa berbuat sedemikian.

59 IPTS Dibatalkan Penubuhan, 28 Dibatalkan Pendaftaran

Posted: 04 Apr 2011 09:07 PM PDT




KUALA LUMPUR 5 APRIL : Kementerian Pengajian Tinggi membatalkan penubuhan 59 Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) manakala 28 lagi dikenakan tindakan pembatalan kelulusan pendaftaran dalam tempoh 2009 hingga 2010.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, tindakan pembatalan itu diambil berikutan IPTS berkenaan tidak mampu menyediakan perkhidmatan berkualiti dalam aspek kawalan seperti kualiti program, premis, pengurusan serta pentadbiran, tenaga pengajar, kemudahan pengajaran dan pembelajaran.

"Namun, tindakan yang dikenakan ini adalah kepada kolej-kolej bukannya yang berstatus universiti swasta, kolej universiti swasta atau universiti cawangan luar negara," katanya menjawab soalan Mohd Nasir Zakaria (PAS-Padang Terap)mengenai bilangan universiti dan kolej universiti swasta dalam negara selain peruntukan geran kepada IPTS pada persidangan Dewan Rakyat ,semalam.

Saifuddin berkata sebanyak 485 IPTS termasuk 49 bertaraf universiti dan kolej universiti serta kampus cawangan universiti luar negara dengan 541,629 penuntut berdaftar dengan kementerian sehingga 31 Januari lepas.

Datuk 'T' Boleh Kena Sebat - Persatuan Ulama Malaysia

Posted: 04 Apr 2011 07:25 PM PDT



KUALA LUMPUR, 5 April — "Datuk T" boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga 80 kali jika tuduhan zina terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim — yang dikaitkan dengan rakaman video seks tidak benar, kata Persatuan Ulama Malaysia (PUM).

Yang Dipertuanya Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata kepada portal The Malaysian Insider, di bawah undang-undang Islam mana-mana individu yang membuat tuduhan zina perlu mengemukakan bukti sahih selain mempunyai empat orang saksi yang menyaksikan kejadian itu berlaku.

Sekiranya gagal, kata beliau individu tersebut boleh dikenakan hukuman qazaf kerana membuat tuduhan palsu dengan tujuan untuk mengaibkan orang lain.

"Kalau dedah kepada umum tidak boleh... dedah keburukan orang lain juga tidak boleh sebab kalau nak hukum seseorang kita kena pastikan dulu, macam kita makan nasi kalau nak tahu sedap kena rasa dulu.

"Tapi dalam kes rakaman video seks ini, kalau tuduhan ini tidak benar, Datuk T boleh dikenakan hukuman sebat 80 kali kerana membuat tuduhan palsu dan fitnah dan ia kena dibuat di mahkamah syariah dan hukuman qazaf perlu dilaksanakan jika tuduhan itu tidak benar," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim dilaporkan mengakui diri mereka sebagai "Datuk T" - menggemparkan negara apabila mempertontonkan rakaman video seks kepada media pada 21 Mac lalu.

Menurut Sheikh Abdul Halim, rakaman video seks itu juga tidak boleh dijadikan bukti di mahkamah.

"Tidak boleh... tidak boleh... sebab kita kena ada empat saksi lagipun siapa yang boleh buktikan lelaki dalam video itu adalah Anwar.

"Zaman moden sekarang macam-macam boleh jadi, saya juga belum tengok video seks itu... ada yang kata muka macam Anwar tapi perut bukan Anwar... macam-macam boleh jadi sekarang, kaki, tangan semua orang boleh buat jadi lain," katanya.

Justeru, beliau mahu supaya kes tersebut dibicarakan di mahkamah syariah bukan mahkamah konvensional.

"Kena bicara di mahkamah syariah sebab ia babitkan hukuman qazaf, kalau di mahkamah majistret tiada tuduhan fitnah ini," katanya.

Ekorang tuduhan zina terhadap Anwar itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) telah memfailkan aduan qazf terhadap "Datuk T" semalam kerana menuduh Ketua Umum PKR dan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu terlibat dalam perbuatan zina melalui pendedahan rakaman video seks.

Anwar juga telah menafikan beliau tidak terlibat dalam rakaman video seks itu dan telah membuat laporan polis.

Family demands release of disabled ISA detainee

Posted: 04 Apr 2011 05:33 PM PDT

Chegu Bard : Video Lucah Disunting Untuk Perbodohkan Rakyat

Posted: 04 Apr 2011 05:23 AM PDT























SHAH ALAM 4 APRIL : Video lucah hampir dua minit yang dimuatkan di YouTube disunting sebegitu supaya ia hanya memperlihatkan adegan-adegan individu yang mirip wajah Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia Badrulhisham Shahrin.

Badrul menyaksikan keseluruhan video 21 minit itu pada 21 Mac lalu dan mengesahkan klip yang dimuat naik di Youtube diambil daripada rakaman asal. Bagaimanapun klip video di YouTube disunting untuk mempengaruhi orang ramai bahawa individu dalam rakaman itu adalah Anwar, kata beliau.

"Klip itu adalah dari sumber yang sama tetapi ia di edit (sunting) sedemikian rupa untuk meyakinkan (orang ramai). Tetapi tempat-tempat yang begitu ketara, hodoh dan tidak sama dengan Anwar tidak disiarkan. Ini memang kita sudah jangkakan berlaku" kata beliau kepada TVSelangor.

"Mereka tidak akan siarkan semua, dan kenapa mereka tidak siarkan semua contohnya dengan posisi perut yang buncit, itu mereka tidak siarkan, sebaliknya mereka hanya mengambil yang mirip (Anwar) untuk memperbodohkan rakyat," tambah beliau.

Badrul yakin Umno berperanan dalam memuatnaikkan video yang disunting itu ke Youtube, malah telah meramalkan tindakan Umno itu dalam wawancara dengan TVSelangor pada minggu lalu.

Beliau yakin tidak ada tindakan akan diambil terhadap pihak yang memuatkan rakaman itu di Youtube.

"Perdana Menteri Malaysia (dan) rejim ini terlibat dalam melindungi sindiket ini yang menyiar video ini kepada umum. Mereka tidak akan kena apa-apa," kata Badrul.

Badrul menegaskan bahawa video itu dimuat keYoutube untuk dicanang sebagai modal BN pada pilihanraya umum Sarawak.

"Ianya lebih menyerlah lagi apabila penyebaran video ini ialah terdesaknya mereka dan apabila berada diambang pertempuran di piliharaya di Sarawak ini".

Badrul dan Johari Abdul, Ahli Parlimen Sungei Petani adalah dua orang yang tampil memberi perakuan mereka diundang oleh bekas Ketua Menteri Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik untuk menyaksikan rakaman penuh video itu secara berasingan pada 21 Mac lalu.

Johari ditawarkan imbuhan untuk membawa keluar wakil rakyat PKR dengan menggunakan video itu manakala Badrul pula diminta untuk menyampaikan rakaman itu kepada isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Bagaimanapun kedua-dua mereka, secara berasingan, yakin orang dalam rakaman itu bukan Anwar walaupun akur individu berkenaan mempunyai iras hampir serupa dari sudut tertentu kamera.

Badrul dan Johari berkata bahasa badan Anwar dan susuk tubuhnya termasuk perut berlainan dengan individu dalam rakaman itu.

Anwar bertegas menolak beliau adalah individu dalam rakaman itu.

Ketua Pembangkang itu menegaskan beliau di rumah bersama ahli keluarga dan kakitangannya serta berinteraksi dengan kenalan menerusi Twitter ketika rakaman itu diambil pada 21 Februari lalu.

Penayangan video di Hotel Carcosa Kuala Lumpur didalangi oleh gadingan Datuk T yang merangkumi bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Sharzyl Eskay dan Bendahari Perkasa Shuib Lazim.

Mereka hanya menyerahkan video itu kepada pihak berkuasa setelah Anwar membuat laporan polis dan mendedahkan identiti mereka.

Ketiga-tiga Datuk T itu dilaporkan berjumpa dengan Perdana Menteri Najib Razak di Bangunan Parlimen susulan laporan polis yang dibuat oleh Anwar.

Video Seks Fitnah Ditayang Di Kursus BTN

Posted: 04 Apr 2011 04:56 AM PDT


PULAU PINANG 4 APRIL : Video seks fitnah yang dikaitkan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditayangkan di kursus Biro Tata Negara dan di pejabat Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), kata Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Mansor Othman.

Video 21 minit itu dipertontonkan kepada peserta BTN termasuk mahasiswa di Pulau Pangkor baru-baru ini, kata beliau.

Selain itu "puluhan" orang kampung di Penanti, Pulau Pinang juga dikumpul untuk menyaksikan video hitam putih itu di pejabat Kemas kawasan itu, tambah beliau.

Penayangan secara terbuka itu sekali lagi menyerlahkan tangan agensi persekutuan tertentu dalam menyebarkan video fitnah itu kepada orang ramai.

Ia juga menempelak jaminan gandingan Datuk T, termasuk bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik bahawa video itu tidak diedarkan kepada orang ramai demi memastikan keadilan untuk semua pihak.

Selain Rahim, ahli perniagaan Sharzyl Eskay dan Bendahari Perkasa Shuib Lazim mengaku mendalangi penayangan video lucah itu di Hotel Sri Carcosa Kuala Lumour pada 21 Mac lalu.

Mereka hanya menyerahkan video itu kepada pihak berkuasa setelah Anwar membuat laporan polis.

Mansor yang juga ADUN Penanti berkata, tindakan BTN dan pihak lain menayangkan rakaman lucah itu kepada orang ramai terutamanya golongan pelajar adalah dosa yang merosakkan proses domokrasi negara.

Penayangan video itu pada kursus BTN selain di pejabat Kemas bertujuan menjatuh dan memalukan Anwar walaupun pihak polis tidak dapat mengesahkan lelaki yang berada didalam rakaman video itu.

Anwar sebelum ini menafikan beliau adalah individu dalam rakaman itu. Ketua Pembangkang itu menegaskan beliau di rumah bersama ahli keluarga dan kakitangannya serta berinteraksi dengan kenalan menerusi Twitter ketika rakaman itu diambil pada 21 Februari lalu.

Mansor menggesa peserta BTN dan orang ramai yang diundang menyaksikan video itu agar tampil membuat laporan polis.

Nik Nazmi Tambah Yakin Bukan Anwar Lepas Tonton Video

Posted: 04 Apr 2011 04:43 AM PDT





Ditulis oleh Edi Suleiman



SHAH ALAM 4 APRIL : Sewaktu 'Dato' T' mula-mula menayangkan video skandal seks yang kononnya melibatkan pemimpin pembangkang di Carcosa Seri Negara dan
saya tegaskan bahawa video tersebut palsu, tukang sorak-tukang sorak UMNO bertanya bagaimana saya yakin bahawa video tersebut bukan melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila saya belum menontonnya.
Hari ini saya terpaksa menonton sedutan video tersebut. Selepas menonton video tersebut, kenyataan awal saya terbukti benar memandangkan sosok dan lenggok badan watak utama termasuk perut yang menonjol jelas sekali bukan sosok badan Anwar.
Hakikat ini mungkin tidak jelas bagi mereka yang tidak mengenali Anwar secara dekat, tetapi sebagai bekas Setiausaha Sulit beliau selama dua tahun saya tahu bahawa itu bukan Anwar.
Apatah lagi saya mengenali keperibadiannya sebagai seorang Muslim dan pemimpin keluarga yang baik.
Jelas sekali video ini dibuat untuk tujuan politik. Tarikh video ini ditayangkan kepada wartawan dan seterusnya kini didedahkan sedutannya kepada umum dibuat untuk tujuan strategik sempena Pilihan Raya Negeri Sarawak.


Enam persoalan asas masih belum terjawab:


1. Mengapa Rahim Tamby Chik, Shazril Eskay dan Shuib Lazim tidak berani mendedahkan diri mereka ketika mula-mula menayangkan video kepada
editor-editor kanan milik Barisan Nasional di Carcosa?


2. Siapakah individu ketiga dalam video tersebut? Kehadiran lelaki ketiga yang bertindak seperti pengarah video menggambarkan ini bukan rakaman
CCTV rahsia sebagaimana didakwa Dato' T.



3. Adakah mereka tidak yakin dengan kewibawaan moral mereka sendiri ataupun khuatir bahawa rakyat akan menyimpulkan video ini satu lagiusaha UMNO-Barisan Nasional untuk menyerang Anwar memandangkan ketiga-tiga mereka mempunyai hubungan dengan UMNO khususnya Tun Dr. Mahathir Mohammad dan Datuk Seri Najib Tun Razak?



4. Dato' T mendakwa video ini dirakam di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Namun tulisan di dalam video tersebut (di dalam bahasa Thai) apabila diterjemah menyebut "Phaholyothin Road Bangkok, Thailand 10400, Copyright 2011". Adakah video ini sebenarnya video lucah Thai yang tiada kaitan dengan Malaysia?



5. Mengapa UMNO diam membisu tentang pandangan tiga mufti: Dr Juanda Jaya (Perlis), Datuk Tamyes Abd Wahid (Selangor) dan Datuk Mohammad Shukri Mohammad (Kelantan) yang meminta umat Islam mengesahkan dulu sebarang maklumat yang datang daripada pihak yang fasik? Malah, Tan Sri Harussani Zakaria (Perak) juga mengeluarkan pandangan serupa tetapi menurutnya tidak dilaporkan Utusan Malaysia.


6. Mengapa pihak polis yang tegas memberi amaran kepada orang ramai jangan mengedar video Chua Soi Lek dahulu (yang diakui Soi Lek sendiri benar) tidak mengambil pendekatan sama kali ini?
Sudah sampai masanya kita menghentikan politik fitnah kotor dan keji yang merendahkan wibawa politik negara kita. Pada awal tahun ini rakyat menaruh harapan terbitnya Buku Jingga Pakatan Rakyat akan memulakan budaya baru politik mengenai idea dan polisi yang menandakan kematangan masyarakat negara kita.


Malangnya bukan sahaja Najib menolak berbahas mengenai buku jingga, tetapi dalam keadaan beliau terdesak kini nampaknya membiarkan budaya politik busuk terus bermaharajalela.


Ketika arus demokrasi berkembang pesat di seluruh dunia, politik Malaysia nampaknya masih lagi pada takat yang lama.



NIK NAZMI NIK AHMAD
Pengarah Komunikasi
Parti Keadilan Rakyat

AMK Buat Laporan Qazaf Terhadap 'Datuk T'

Posted: 04 Apr 2011 04:34 AM PDT

Angkatan Muda Keadilan (AMK) membuat laporan Qazaf ke atas 'Datuk T' berhubung tuduhan zina mereka terhadao Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

'Datuk T' dibarisi bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan, Datuk Syazril Eskay Abdullah dan bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim.

Laporan Qazaf itu dibuat di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) petang tadi.

Ketua AMK Shamsul Iskandar Md Akin berkata laporan qazaf dibuat mengikut seksyen 41 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan.

"Susulan tayangan tersebut dan kenyataan ketiga-tiga "trio lucah" ini yang melakukan pertuduhan kepada Datuk Seri Anwar dengan tuduhan zina.

"Mengikut Undang-undang Syariah, tuduhan zina kepada seseorang tanpa membawa empat orang saksi, mereka boleh dikenakan prosiding qazaf," kata Shamsul Iskandar selepas membuat laporan berkenaan.

Bercakap kepada media selepas membuat laporan tersebut Shamsul berkata laporan itu secara khusus merujuk kepada tayangan video seks kepada sekumpulan wartawan pada 21 Mac lalu di Hotel Carcosa Seri Negara.

Shamsul turut menyertakan beberapa aduan dan kenyataan media oleh Rahim Thamby Chik berhubung dakwaan tuduhan zina itu.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa JAWI membuat siasatan dan beliau akan memberi kerjasama untuk memberi keterangan kepada JAWI pada 18 April ini berhubung laporan itu.

Hasil Mahsul Sarawak Melebihi Selangor, Rakyatnya Tetap Miskin - Anwar

Posted: 04 Apr 2011 04:27 AM PDT






KUCHING 4 APRIL : Rakyat negeri Sarawak berhak untuk diberikan bekalan air percuma 20 meter padu, seperti mana yang dinikmati rakyat negeri Selangor.

Ini berikutan Sarawak mempunyai hasil mahsul bumi yang berlipat ganda daripada apa yang dimiliki Selangor.

Bahkan Selangor hampir tidak mempunyai khazanah kayu balak sepertimana Sarawak, yang sepatutnya dijadikan pemangkin kepada kemajuan dan pembangunan pesat negeri itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Sarawak mampu berdiri gah seiring dengan Selangor jika harta kekayaan negeri itu ditadbir urus oleh kerajaan negeri yang telus dan memihak kepada rakyat.

"Air percuma 20 meterpadu di Selangor, di Sarawak air percuma adalah air sungai dan air hujan. Kenapa Selangor boleh buat ? Selangor tiada balak ? Tapi sebab pemimpinnya berjiwa rakyat," kata Anwwar.

Tambahnya lagi, pelbagai kemudahan dan bantuan lain turut diberikan kepada rakyat seperti bantuan anak masuk universiti, tabung warisan anak Selangor, program mesra usia emas serta bantuan khairat kematian sebanyak RM2,500 seorang.

Anwar menyeru rakyat negeri ini agar berani menghantar mesej kepada kerajaan persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Naji Razak bahawa mereka menolak kepimpinan korup parti UMNO BN dinegeri itu.

Tahun 2011 menyaksikan Pakatan Rakyat, genap 3 tahun mentadbir 4 buah negeri iaitu Selangor, Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah.

Apa yang membanggakan, kesemua pengurusan di 4 buah negeri ini mendapat pengiktirafan audit negara berikutan pengurusan telus dan efisyen gagasan itu.

Dan senario itu tidak mustahil untuk berlaku di Sarawak jika rakyat memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbir bumi Kenyalang itu.

Pemerintah UMNO BN selama lebih 50 tahun dinegeri itu menyaksikan kemunduran melampau dan paling menyedihkan negeri itu antara yang tercorot dalam hierarki kemiskinan dinegara ini.

Anwar turut membangkitkan isu tanah adat yang sewenang- wenangnya dirampas kerajaan negeri tatkala itu, UMNO BN.

"Kita tunjuk satu persatu di mana di kawasan Sri Aman, kawasan Serian, tanah rakyat diambil sewenang- wenangnya. Semua tanah milik Ketua Menteri Tan Sri Taib Mahmud. Kita kena hentikan dan perlu berani buat perubahan," tegas Anwar.

Justeru Anwar menegaskan rakyat perlu menggunakan kuasa 'veto'nya dalam memilih kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian semasa siri lawatannya ke beberapa perkampungan masyarakat pribumi di Sarawak.

P'raya Sarawak : Terdesak Raih Undi, BN Pertaruh 20 'Muka Baru'

Posted: 04 Apr 2011 04:11 AM PDT


Tindakan UMNO BN Sarawak mengemukakan sekurang- kurangnya 20 orang calon 'muka baru' pada pilihan raya negeri itu dilihat sekadar mahu meraih undi rakyat negeri itu yang semakin jelas menolak corak pemerintahan parti perkauman itu.

Pemilihan calon 'muka baru' itu juga diberi perhatian serius UMNO BN berikutan tekanan hebat daripada anak- anak muda negeri itu yang semakin berani menentang kepemimpinan korup parti itu.

Itu pandangan dan pendapat Penganalisis Politik, Profesor Dr Hasan Hasbullah mengenai tindakan UMNO BN mempertaruhkan lebih 25 peratus 'muka baru' bagi menggalas cabaran berdepan dengan calon Pakatan Rakyat, 16 April ini.

"Kita percaya kalau melihat andaian-andaian yang dilaporkan dalam media hari ini, khususnya dari fikiran anak-anak muda yang menggunakan media baru, maka mereka sudah menentang ahli-ahli politik yang sedia ada. Sudah pasti BN sedikit gentar dengan tekanan ini."

Dr Hassan bagaimanapun berkata, faktor calon 'muka baru' yang dipertaruhkan UMNO BN ini belum tentu mampu mengadakan perubahan yang diinginkan rakyat Sarawak.

"Calon merupakan hanyalah susuk tubuh yang mewakili organisasi iaitu calon-calon tak kira baru atau lama, bukanlah faktor utama yang boleh menentukan berlakunya perubahan dari aspek sistem, bentuk, kandungan, amalan dalam cara menguruskan sesebuah negara ataupun negeri itu.

Dr Hassan tidak menolak kemungkinan UMNO BN menggugurkan kepimpinan terdahulu berikutan kegagalan mereka memerintah Sarawak hingga menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap parti itu.

"Jadi tidak ada apa-apa pun yang ganjil atau luar biasa dalam PRN Sarawak, cuma beberapa orang tokoh-tokoh baru dijelmakan untuk menggantikan pimpinan lama yang mungkin telah gagal menjalankan tugas kerana mereka tidak disambung jawatan itu atau diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan atau mereka dibebankan oleh segala macam masalah peribadi."

Dr Hasan berkata, jika rakyat Sarawak menginginkan perubahan, mereka harus berani memilih parti yang dirasakan mampu membela nasib serta masa depan mereka.

Meskipun UMNO BN yakin akan menang mudah dalam pilihan raya negeri kali ini, hakikatnya Pakatan Rakyat mempunyai peluang yang sama berdasarkan kebanyakan dari mereka kini terdedah kepada maklumat dan sumber yang sahih tentang kepincangan yang berleluasa dinegeri kelahiran mereka.

"Kebangkitan suara-suara tertentu pada hari ini khususnya di kalangan umur pada 21-45 tahun di Sarawak begitu jelas, kita mengatakan persepsi setakat ini kepercayaan politik di Sarawak telah berubah dan berkembang."

Beliau menambah daripada pengamatannya, kepercayaan rakyat Sarawak terhadap dasar yang dibawa Pakatan Rakyat berada dalam lingkungan 40 peratus dan peratusan ini tidak mustahil akan meningkat dalam masa terdekat ini.

Ini berikutan Pakatan Rakyat berjaya membuktikan kemampuan mereka mantadbir 4 buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Semalam, Barisan Nasional (BN) Sarawak mengemukakan 25 peratus atau 18 orang calon muka baru bagi menggalas cabaran parti itu pada pilihan raya negeri 16 April ini.

Mereka terdiri daripada 10 calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu PBB (PBB), tujuh calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan satu calon Parti Rakyat Sarawak (PRS).

PKR Kutuk Penahanan ISA Keatas OKU

Posted: 04 Apr 2011 04:07 AM PDT






Parti keadilan Rakyat (PKR) mengutuk penahanan seorang rakyat Malaysia, Kadir Hashim dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kadir Hashim yang juga seorang OKU (orang kurang upaya) dikatakan terlibat dengan aktiviti militan di Cambodia.

Presiden PKR, Datuk Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan medianya menegaskan, Kadir perlu dibawa ke muka pengadilan dan bukannya ditahan tanpa bicara apatah lagi mangsa adalah seorang OKU.

Azizah berkata, desakan rakyat supaya kerajaan memansuhkan akta zalim itu langsung tidak diendahkan kerajaan persekutuan bahkan parti pemerintah itu semakin angkuh menahan rakyat Malaysia dengan menafikan hak mereka untuk dibicarakan.

Desakan memansuhkan akta itu turut didokong kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang sebulat meluluskan usul Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menerusi sidang dewan undangan negeri (DUN) Selangor, Jumaat lalu.

Tambah Azizah lagi, jika terbukti Kadir bersalah dan terlibat dengan aktiviti militan itu, banyak akta dan undang- undang yang boleh digunapakai untuk menghukum Kadir umpamanya, Akta Polis, Kanun Keseksaan dan banyak lagi.

Azizah turut menyifatkan penahanan Kadir sengaja digembar gemburkan demi menenggelamkan isu- isu panas yang dibangkitkan Pakatan Rakyat pada pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak, 16 April ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 April ini sebagai tarikh penamaan calon.

Tiada ulasan: