Selasa, 26 April 2011

SETIAWANGSA@KL

SETIAWANGSA@KL


MELAYU BERSATU

Posted: 26 Apr 2011 10:23 AM PDT


Oleh KHALID SAMAD

Semenjak selesai Pilihan Raya Sarawak di mana DAP telah menang di 12 kerusi DUN, DAP telah menjadi sasaran pencacai UMNO khususnya Utusan Malaysia dengan slogan 'Bersatulah Melayu' mereka.

Ini dilakukan walaupun diketahui umum bahawa semua parti-parti komponen PR juga turut menunjukkan prestasi yang semakin meningkat. DAP dijadikan sasaran kerana mereka telah berjaya memperolehi kebanyakan undi dari masyarakat Cina dan dengan itu dikatakan bahawa Cina telah bersatu bawah DAP!

Dengan gaya pemikiran perkauman sempit yang menguasai minda UMNO, maka tidak pelik bagi kita apabila kejayaan DAP untuk meraih undi Cina ditafsirkan sebagai penyatuan Cina untuk 'menentang Melayu'.

Pemikiran perkauman yang menguasai minda UMNO, yang diluahkan melalui lidah tidak rasmi mereka, iaitu Utusan Malaysia, tidak berkemampuan memikirkan sebab dan alasan yang lain mengapa masyarakat Cina secara padu menyokong DAP.

Mata mereka dikaburi perkauman dan telinga mereka didendangkan dengan sorakan-sorakan perkauman. Tiada yang mereka mampu lihat dan tiada yang mereka mahu dengar melainkan perkauman.

Hakikatnya, masyarakat Cina telah menyokong calon DAP dan menolak calon SUPP. Kedua-duanya adalah berbangsa Cina. Persoalannya, mengapa masyarakat Cina menyokong seorang calon Cina dan menolak calon Cina yang satu lagi?

Ianya tidak boleh dijawab dengan alasan perkauman kerana pada hakikatnya dua-dua calon adalah berbangsa Cina. Yang berbeza adalah seorang calon (SUPP) berdiri bersama BN dan seorang lagi (DAP) berdiri bersam PR. BN melambangkan kerajaan yang tenggelam dengan rausah dan kronisma sambil PR pula melambangkan kerajaan yang bebas rasuah, telus dan berkebajikan.

Keadaan Taib Mahmood sebagai pemimpin yang kaya raya hasil rasuah jelas terukir dipemikiran masyarakat Sarawak dan oleh itu masyarakat Cina menolak BN dan sekutu-sekutunya!

Kita seharusnya mengucapkan tahniah kepada DAP dan kumpulan NGO Cina yang telah berjaya mendidik masyarakat Cina untuk menolak pemimpin Cina yang rasuah ataupun yang bersubahat dengan kerajaan yang mengamalkan rasuah.
Penolakan menyeluruh oleh masyarakat Cina terhadap amalan rasuah adalah berdasarkan kefahaman yang telah dibina bertahun-tahun melalui proses pendidikan formal dan tidak formal yang menyakinkan mereka bahawa rasuah ini akan memusnahkan Negara.

Oleh itu, saya sememangnya bersetuju bahawa masyarakat Cina telah bersatu, tetapi bukan untuk menentang Melayu, mereka bersatu untuk menentang rasuah dan penyelewengan. Mereka telah berjaya membuktikan di Sarawak bahawa mereka akan menolak mana pemimpin Cina, walau 'BESAR' mana sekalipun, walaupun Presiden pada sebuah parti, sekiranya pemimpin itu mengamal atau bersubahat dengan rasuah.

Sememangnya, orang Melayu juga wajib bersatu seperti mereka! Tetapi bukan bersatu di atas dasar perkauman seperti seruan Utusan Malaysia dan PERKASA. Orang Melayu harus bersatu di atas prinsip menolak pemimpin yang rasuah. Lebih-lebih lagi apabila diambil kira bahawa orang Melayu beragama Islam dan Rasulullah (SAW) telah menyatakan dengan jelas bahawa "pemberi dan penerima rasuah berada di dalam api neraka".

Sepatutnya, kita yang menunjukkan penolakan dan penentangan terhadap rasuah dan pemerintahan yang menyeleweng ini jauh lebih awal dari masyarakat lain. Sepatutnya kita yang berada di depan mendahalui yang lain, menjadi ummat yang boleh dicontohi, tetapi malangnya kita tetap berada ditahap lama, ditinggalkan masyarakat lain, khususnya masyarakat Cina pada ketika ini.

Ini berlaku kerana malangnya, orang Melayu Islam di bawah pengaruh UMNO; dan UMNO di atas sebab kejahilan mereka, telah mengharuskan rasuah di dalam alam politik dengan menganggap pengampunan Allah akan terjamin apabila dilakukan umrah sekali sekala!

UMNO yang menakut-nakutkan masyarakat Melayu sehingga terus menyokong perasuah dan perompak rakyat dari UMNO kerana sekiranya tidak, maka Cina akan mengambil-alih kuasa. UMNO yang memperbodohkan masyarakat Melayu sehingga mereka terus tidak sedar bahawa pada hakikatnya bila UMNO kalah yang menang bukan DAP; tetapi PAS atau calon Melayu dari PKR.

Dalam suasana kejahilan, ketakutan dan kebodohan ini UMNO meraih kemenangan demi kemenangan dengan sokongan Melayu. Oleh itu, UMNO ingin suasana sebegini terus kekal di kalangan masyarakat Melayu, supaya mereka akan terus berkuasa. Dan inilah cabaran yang perlu diharungi PAS, khususnya. Untuk membebaskan masyarakat Melayu yang beragama Islam dari belenggu kejahilan, ketakutan dan kebodohan yang dipasang oleh UMNO ke atas mereka.

Sehingga, satu hari kelak, masyarakat Melayu Islam akan bersatu, bukan untuk menentang Cina, tetapi untuk menentang rasuah dan menolak pemimpin yang rasuah dan parti yang membudayakan rasuah.

Kalau DAP boleh berjaya dengan masyarakat Cina, mengapa tidak kita, masyarakat Melayu yang beragama Islam? Sekiranya tidak maka kita akan ketinggalan dan masyarakat lain akan menjadi jauh lebih maju dari kita. Bukan sekadar lebih maju dari sudut material, tetapi lebih maju dari sudut nilai ketamadunan juga.

Maka akhirnya apa yang akan ada dengan masyarakat Melayu Islam? Seperti yang dikatakan TGNA, "sudahlah tiada wang, tiada ilmu, tiada akhlak pula!". Naudzubillah-himin dzalik.

Pada hakikatnya, UMNO mahu menutup kelemahan dan kegagalan mereka dengan melaungkan kembali laungan zaman jahiliyyah. Korupnya mereka, tidak cekapnya mereka, menyelewengnya mereka, semua ini ingin mereka tutupi dengan laungan jahiliyyah perkauman. Supaya Melayu terus sokong mereka walaupun mereka telah gagal dalam semua aspek. Semoga kita tidak tertipu dengan laungan ini dan kita ingat kembali saranan Rasulullah (SAW);

"Tidak dariku, mereka yang menyeru atas dasar assobiyyah, tidak dariku mereka yang berperang atas dasar assobiyyah, tidak dariku mereka yang mati atas dasar assobiyyah".

Maka apabila ditanya oleh sahabat Baginda apa itu assobiyyah, maka dijawabnya "menyokong kaummu atas dasar yang zalim". Rasuah itu zalim, penyelewengan itu zalim, pemborosan wang rakyat itu zalim dan perkauman itu zalim. Yang dizalimi adalah rakyat yang akhirnya dinafikan hak mereka dan diadu-domba atas dasar perkauman sehingga persoalan kebenaran dan keadilan menjadi kabur dan tidak diutamakan.

Semoga kita dibebaskan dari belenggu UMNO dan masyarakat Melayu juga akan turut bersatu menolak calon dari UMNO dan BN yang merupakan lambang pemerintahan rasuah dan penyelewengan.

WaLlahu 'Alam

AKHBAR MELAYU MEMPERBODOHKAN MELAYU

Posted: 25 Apr 2011 09:55 PM PDT

Oleh Suhaizan Bin Kayat

Hari ini selasa 26hb April 2011, tajuk utama media cetak berbahasa Inggeris, New Straits Times memaparkan berita "Nasi lemak twice a week". Akhbar The Star pula memaparkan berita "Deadly illegal – Growing trade in illicit cigaretts costing Govt billion". Akhbar bebahasa Manderin seperti China Press dan Sin Chew pula memaparkan berita risiko suntikan menguruskan badan. Akhbar berbahasa tamil pula menceritakan tokoh agama yang cukup berpengaruh meninggal dunia.

Malangnya tajuk berita utama media cetak berbahasa Melayu, Utusan Malaysia memaparkan tajuk utama "Anwar Lelaki Y", Berita Harian "Lelaki Y Anwar" dan Sinar Harian "Anwar Lelaki Y". Akhbar bahasa Melayu mejoritinya mengambil kes liwat 2 Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai tajuk utama. Apakah yang menjadi keutamaan kepada berita ini? Bukankah ia menceritakan keaiban orang Islam yang cukup meloyakan? Bukankah cerita seumpama itu sangat tidak sesuai dengan anak-anak sekolah? Bukankah cerita tersebut belum lagi diputuskan oleh mahkamah tetapi hanya dakwaan pihak pendakwa sahaja? Soalnya mengapa ia menjadi tajuk utama? Apakah agenda disebalik isu tersebut ?

Tiada halangan jika berita aib dan meloyakan ini dimasukkan dalam berita kecil dalam akhbar seperti New Strait Time yang memuatkan dalam muka surat 6 dan The Star dalam muka surat 10. Tetapi apabila tajuk liwat diletakkan berkali-kali sebagai tajuk utama maka sebenarnya media berbahasa Melayu seolah-olah mendoktrinisasi minda orang-orang Melayu dengan isu seks. Sebahagian besar pembaca media Utusan Melayu, Berita Harian dan Sinar Harian adalah kelompok orang Melayu berpendidikan rendah dan tinggal di pinggir dan luar bandar. Sesetengah daripada mereka tidak berpeluang mendapat pendedahan terhadap media baru.

Saya fikir lebih wajar media arus perdana berbahasa melayu meletakan tajuk utama mengenai dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang akan menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris(PPSMI). Orang Melayu sudah berdepan dengan masalah sosial khususnya anak muda yang terlibat dengan masalah seks bebas, dadah, arak, anak luar nikah, sumbang mahram, VCD lucah dan lain-lain lagi. Akhbar berbahasa Melayu seolah-olah kurang sensitif terhadap isu sosial yang sedang dihadapi oleh orang Melayu sekarang.

Secara umumnya media berbahasa Inggeris, Manderin dan Tamil yang pembacanya terdiri daripada kelompok Melayu kelas menengah ke atas, masyarakat Cina dan masyarakat India tidak dihidangkan dengan cerita aib dan meloyakan seperti media berbahasa Melayu. Secara perbandingannya seolah-olah mereka dihidangkan dengan isu-isu yang lebih bertamadun daripada kelompok masyarakat Melayu berpendidikan rendah. Saya memohon agar media arus perdana berbahasa Melayu menghentikan agenda membodohkan minda orang-orang Melayu ini. Sudah cukuplah penjajah membodohkan orang Melayu lebih 400 tahun. Hidangkanlah minda semua rakyat Malaysia dengan perkara yang segar dan bermanfaat untuk agama, bangsa dan negara.

Suhaizan Bin Kayat, Ketua Penerangan

Dewan Pemuda PAS Pusat

POLIS TIDAK MENYOROK LAGI

Posted: 25 Apr 2011 09:48 PM PDT

Kenyataan Media JK Kempen Anti Saman Ekor

Timbalan Ketua Polis Negara (TKPN) yang baru Datuk Khalid Abu Bakar mengumumkan bahawa PDRM tidak lagi menggunakan kaedah menyorok di belakang tiang dan belukar dalam mengendalikan operasi perangkap laju di jalanraya. Sebaliknya ujar beliau, PDRM akan tampil secara terbuka dalam proses penguatkuasaan undang-undang termasuk peraturan lalulintas. Beliau seterusnya memberikan peringatan bahawa dengan pendekatan baru ini jika pengguna jalanraya disaman, mereka perlu menjelaskannya.

Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) mengalu-alukan pengumuman tersebut kerana secara tidak langsung ia mengesahkan perjuangan KASE selama ini bahawa tindakan menyorok di belakang tiang, menyorok di dalam belukar dan di atas jejantas dalam operasi perangkap laju yang disusuli dengan Saman Ekor adalah bukan suatu cara pendidikan undang-undang yang baik. KASE menyambut baik tindakan ini kerana ia bukan sahaja lebih efisyen dan telus malah boleh menyelesaikan masalah-masalah lain seperti penggunaan nombor pendaftaran palsu dan secara tidak langsung mendidik pengguna jalanraya supaya memandu dengan berhemah.

Walaubagaimana pun pengumuman TKPN tersebut juga telah membuka pekung mereka kerana jelas selama ini mereka melakukan tindakan secara tidak wajar. Undang-undang dan peraturan bukan untuk mengenakan mana-mana pihak tetapi adalah bertujuan mengawal keharmonian dan keselamatan masyarakat. Tindakan menyorok di belakang tiang dan sebagainya yang dilakukan PDRM sejak lebih dua dekad sudah terbukti bukan pendekatan yang baik dan wajar. Pengumuman TKPN ini adalah suatu permulaan yang baik tetapi ia telah membuka beberapa persoalan lain yang perlu diperjelaskan oleh pihak berkuasa seperti PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Persoalannya, kenapa setelah lebih dua dekad baru PDRM menyedari bahawa tindakan tersebut tidak cekap, tidak efisyen malah telah menimbulkan pelbagai masalah kepada pengguna jalanraya. Kita merasakan amat malang mempunyai agensi penguatkuasa yang lembab dalam mengenalpasti cara perlaksanaan undang-undang dan peraturan. Setelah berapa banyak rakyat disusahkan dan dipaksa membayar kompaun tanpa sebarang bukti kesalahan, barulah PDRM sedar tindakan tersebut tidak efisyen dan mengumumkan tidak akan digunakan lagi. Kenapa baru sekarang mereka sedar?

Notis Pol 170A atau lebih popular dikenali sebagai "Saman Ekor" dikeluarkan ekoran perlaksanaan perangkap laju secara menyorok oleh PDRM. Apabila TKPN mengumumkan teknik menyorok tidak lagi akan digunakan, apakah status "Saman Ekor" yang dikeluarkan dahulu? Apakah status "Saman-saman Ekor" yang sudah dibayar ekoran paksaan PDRM dengan ugutan menyenarai hitam pemilik kenderaan? KASE berpendapat bahawa "Saman-saman Ekor" yang dikeluarkan dan terdapat di dalam sistem PDRM sebelum pengumuman TKPN dibuat hendaklah dihapuskira. Ini kerana "Saman-saman Ekor" tersebut dikeluarkan secara tidak telus malah lebih kepada penyalahgunaan peraturan oleh pihak PDRM. Adalah lebih baik melupuskan sahaja daripada membuang masa dan tenaga untuk menguatkuasakan sesuatu yang tidak betul.

KASE seterusnya ingin mendapatkan penjelasan lanjut daripada PDRM dan JPJ berkaitan proses penguatkuasaan perangkap hadlaju. Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 (APJ 2010) mula berkuatkuasa pada 1/2/2011. Melalui APJ 2010 Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dilaksanakan di mana ia merangkumi kesalahan-kesalahan seperti memandu melebihi hadlaju, tidak mematuhi lampu isyarat dan memandu kenderaan selain bas di lorong bas. Sistem ini akan dikendalikan oleh dua syarikat swasta iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan Commercial Circle (M) Sdn Bhd. Pengenalan AES melalui APJ 2010 ini menggambarkan bahawa semua perangkap hadlaju akan dikendalikan hanya oleh dua syarikat swasta ini. Apakah status saman-saman yang dikeluarkan oleh PDRM sejak 1/2/2011 ini? Tidakkah ianya bertindih dengan AES? Penjelasan perlu diberikan supaya tidak ada penguatkuasaan bertindih dilakukan di mana pengguna akan terbeban dan dizalimi. Adakah dengan pengenalan dan perlaksanaan AES ini bermaksud PDRM tidak lagi menjalankan operasi perangkap hadlaju?

Rakyat Malaysia juga secara keseluruhannya perlu faham bahawa APJ 2010 yang mula berkuatkuasa pada 1/2/2011 telah memperakui "Saman Ekor" malah penguatkuasaan "Saman Ekor" pada masa depan tidak lagi bermusim malah secara 24 jam tanpa henti. Perlu diambil perhatian bahawa "Saman Ekor" di bawah APJ 1987 ialah Notis meminta maklumat di bawah Seksyen 115 APJ 1987 tetapi di bawah APJ 2010, Saman Ekor adalah saman yang sah bukan lagi notis. Walau pun PDRM mengumumkan bahawa mereka tidak lagi menyorok tetapi apa yang lebih teruk ialah penguatkuasaan peraturan dan undang-undang jalanraya selepas ini sudah diswastakan.

Akhirnya KASE mendesak kerajaan menghapuskira Saman-saman ekor yang lama dan seterusnya memperbanyakkan kempen penerangan berkaitan AES dan juga kesan Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 kepada rakyat keseluruhannya. KASE berpendapat APJ 2010 yang diperkenalkan masih tidak difahami oleh rakyat. Bagaimana hendak kuatkuasakan undang-undang jika rakyat tidak pernah diberikan pemahaman dan maklumat.

DATO' HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Naib Presiden PAS
Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE)

Tiada ulasan: