Khamis, 21 April 2011

MANDOR.BLOGSPOT.COM

MANDOR.BLOGSPOT.COM


TIMB PRESIDEN PAS - MAT SABU BAKAL PENCETUS `REVOLUSI'?

Posted: 21 Apr 2011 01:14 AM PDT

Oleh: WFAUZDIN NS

SEBELUM ini saya ada menulis tentang perlunya Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dikekalkan sebagai Presiden PAS di dalam pemilihan parti Jun nanti. Memang ada beberapa kelemahan yang terdapat di dalam kepimpinan beliau tetapi pada saya ianya boleh diatasi sekiranya beliau mempunyai Pembantu yang lebih `vokal' di dalam merealisasikan hasrat PR untuk ke Putrajaya.

Pembantu yang saya maksudkan itu adalah Timbalan Presiden dan juga Naib Presiden yang lebih serius, bijak dan mudah bekerjasama di dalam satu Pakatan. Saya masih mengharapkan agar Husam Musa berada di sisi Presiden PAS, namun Husam Musa awal-awal lagi sudah tarik `hand brake' untuk bertanding jawatan nombor dua itu. Justeru itu, saya berfikiran bahawa tiada pilihan lain untuk mengantikan Husam Musa yang boleh diharapkan membantu Presiden kecuali Mohamad Sabu.

Dalam pemilihan parti dua tahun lalu, Mohamad Sabu tewas kepada penyandangnya Us Nasharuddin Mat Isa, dalam pertandingan tiga penjuru. Seorang lagi calon ialah Husam Musa.
husam musa mat sabu nasharuddin mat isa 220409Us Nasha mendapat 480 undi, Husam (281) dan Mat Sabu pula memperolehi 261 undi. Tokoh aktivis yang popular sebagai 'Abang Mat' itu kini layak untuk bertanding jawatan tersebut selepas mendapat tiga pencalonan dari Kubang Kerian, Bukit Bintang dan Muar.

Sekiranya di dalam pemilihan yang lalu hanya berlaku pertandingan dua penjuru samada Husam Musa atau Mat Sabu sahaja yang berdepan dengan Us Nasha, saya meramalkan agak sukar untuk Us Nasha berada di kerusi nombor dua seperti sekarang. Apabila berlaku pertandingan 3 penjuru, maka pecahan undi berlaku dan keputusan berpihak kepada Us Nasha.

Penggal Us Nasha telah pun hampir berakhir dan ahli-ahli PAS terutamanya boleh menilai adakah Us Nasha berjaya membantu Presiden PAS di dalam meningkatkan sokongan rakyat kepada PAS serta memberi impak yang besar kepada kesatuan dan kekuatan Pakatan Rakyat. Jika majoriti ahli PAS menganggap bahawa Us Nasha masih berupaya membantu Presiden, maka tidak mustahil Us Nasha masih menjadi pilihan.

Kehebatan Mat Sabu bukan sahaja kepada keberanian dan kekuatan pidatonya, tetapi beliau dilihat begitu rapat dengan kepimpinan DAP terutamanya Lim Guan Eng. Sememangnya DAP sering `bercakaran' dengan PAS di dalam isu yang melibatkan hukum Islam yang mahu diperjuangkan oleh PAS. Walaupun begitu, tentangan dari DAP terhadap PAS tidak begitu serius sehingga boleh mengakibatkan perpecahan DAP - PAS. Oleh kerana itu, kehadiran Mat Sabu yang dilihat intim dengan beberapa kepimpinan utama DAP amat diperlukan agar `percakaran' di dalam beberapa isu boleh dikurangkan.

Keperibadian Mat Sabu juga amat disenangi oleh berbagai golongan tua dan muda terutamanya di luar bandar. Cara pidatonya yang lantang, berfakta dan mudah difahami serta diisi dengan jenaka begitu menusuk hati yang mendengarnya. Beliau bukan seorang ustaz, jauh sekali Ulamak tetapi beliau tetap tegas di dalam memperjuangkan dasar PAS. Kehebatan Mat Sabu tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan Ketua Umum PKR DS Anwar. Tidak menghairankan jika Mat Sabu kerap kali dijadikan mangsa, ditahan, dilokap, dipukul dan beliau juga pernah difitnah dengan isu khalwat suatu ketika dahulu.

Memang tepat jika Mat Sabu diberi peluang untuk berada di kerusi nombor dua di dalam PAS memandangkan PAS kini berdepan dengan politik yang lebih mencabar. Cabaran terbesar PAS adalah menghadapi `musuh dalam selimut' yang sentiasa berusaha agar PAS berjuang bersendirian tanpa rakannya DAP dan PKR. Musuh-musuh ini akan terus berusaha untuk meretakkan hubungan di antara PAS dengan DAP dan PKR, di dalam masa yang sama cuba untuk membawa PAS kembali ke dalam `selimut Umno'.

Cabaran ini lah yang saya rasa boleh diatasi sekiranya Mat Sabu digandingkan dengan Presiden PAS nanti. Mana tahu, sekiranya demokrasi di negara ini tidak lagi terpakai atau disalahgunakan, maka stail kepimpinan seperti Mat Sabu boleh mencetuskan `revolusi' untuk kebangkitan rakyat. Maka, apa salahnya?/wfauzdin.blogspot.com

E-Mel 1Malaysia: Projek kerajaan atau projek swasta?

Posted: 20 Apr 2011 12:44 PM PDT

Neo Chee Hua | Apr 20, 2011

"Sebelum saya tidur, biar saya jelaskan bahawa Email 1Malaysia adalah projek sektor swasta. Ia tidak melibatkan dana awam terlibat, dan keseluruhannya adalah sukarela," demikianlah mesej tweeter Perdana Menteri Najib Razak semalam.

Malah sebelum Najib, PEMANDU juga menyatakan bahawa Email 1Malaysia tidak diwajibkan kepada semua warga Malaysia. Ia adalah satu projek yang diterajui Tricubes Berhad dari sektor swasta, dan Tricubes Bhd yang bertanggungjawab terhadap pelaburannya, bukan kerajaan.

Penjelasan ini diumumkan setelah projek bernilai RM50 juta ini mencungkil pertikaian dari pelbagai pihak. Malah, seperti bantahan terhadap pembinaan Menara 100 tingkat sebelum ini, satu laman telah direka di facebook bernama "1M Malaysians who don't want Najib's 1 Malaysia email" , menarik penyertaan puluhan ribu dalam masa 24 jam.

Sungguhpun demikian, maklumat yang diperolehi menunjukkan kata-kata Najib adalah saling bertentangan. Menurut media internet The Malaysian Insider, unit kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk memantau projek ini, MAMPU - telah mengeluarkan satu panduan pembidaan. KPI untuk projek ini adalah, menjadikan 100% warga Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas sebagai pengguna Email 1Malaysia menjelang tahun 2015.

Dokumen yang berkenaan juga menunjukkan bahawa syarikat yang berjaya untuk membida projek ini perlu mengemukakan kepada kerajaan, bagaimana untuk menjadikan 50% pengguna Email 1Malaysia menggunakan perkhidmatan tambahan, seperti e-bayar dan sebagainya, menjelang tahun 2020.

Petanda-petanda ia sebagai projek kerajaan

Selain itu, penjelasan Najib dan PEMANDU bahawa projek ini adalah pelaburan sektor swasta dan tidak melibatkan dana awam juga memperlihatkan kontradiksi. Pertama, sila rujuk laporan Bernama pada 19 April.

"Najib berkata kerajaan telah mula meninjau inisiatif tanpa kertas dan e-kerajaan dalam usaha untuk menjadi lebih mesra alam dan moden, inisiatif berikutnya, yang termasuk dalam CCI (Communications Content and Infrastructure) NKEA, merupakan kajian asas terhadap perkhidmatan kaunter dan kerajaan tanpa kertas.

Projek tersebut bertujuan mewujudkan pengukuran asas terhadap inisiatif kerajaan untuk menambah baik perkhidmatan, khususnya dalam transformasi ke arah kerajaan elektronik (EG) dan ke arah tanpa kertas.

Diuruskan oleh Unit Permodenan, Pentadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Rangkaian Telekomunikasi Bersepadu Kerajaan (GITN), projek itu melibatkan kutipan data dan analisis perkhidmatan e-kaunter, transaksi elektronik dan inisiatif kerajaan tanpa kertas dalam sektor awam, penilaian pusat data agensi kerajaan serta perkhidmatan dan infrastruktur rangkaian.

Apabila siap kelak, ia akan memastikan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan lebih telus, sesuai bagi tujuan, berkesan kepada rakyat.

Kerajaan akan melabur RM3.261 juta dalam projek itu yang akan menyaksikan pewujudan 155 pekerjaan.

Beliau berkata CCI NKEA juga memulakan inisiatif kerajaan untuk menyediakan akaun e-mel rasmi dan unik serta pengenalan bagi warganegara Malaysia.

Perdana Menteri berkata dengan kesan PNK sebanyak RM39 juta sehingga 2015, inisiatif e-mel 1MY ini akan membolehkan komunikasi langsung dan terjamin antara warga Malaysia dan kerajaan serta meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada pelanggan dan perniagaan."

Dengan kata lain, projek e-mel 1MY ini adalah sebahagian daripada pelaburan kerajaan di bawah CCI NKEA. Pada masa yang sama, Najib mengumumkan bahawa "Tricubes Bhd akan menerajui pelaburan berjumlah RM50 juta ini yang turut termasuk pembangunan portal web, akaun e-mel semua warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas, pusat setempat bagi perkhidmatan kerajaan, peruntukan untuk perkhidmatan nilai tambah seperti perangkaian sosial, semakan bil dalam talian serta pembayaran, tambahan kepada perkakasan pembangunan web untuk warga dan entiti perniagaan untuk aplikasi membangunkan kreatif."

Bagaimana syarikat bermasalah melabur?

Di samping itu, Tricubes Bhd telah mengeluarkan kenyataan kepada Bursa Malaysia pada 4 April 2011 bahawa syarikatnya memperolehi satu projek e-mel daripada MAMPU. MAMPU mengeluarkan surat rasmi kepada Tricubes berhubung kontrak projek e-mel 1MY pada 29 Mac 2011, dan Tricubes akan berbincang dengan kerajaan dalam projek ini. Tiada maklumat terperinci dilampirkan, tidak dinyatakan sama ada ia Public Private Partnerships (PPP) atau Private Finance Initiative (PFI). Dalam keadaan biasa, ia menunjukkan pada dasarnya, ia adalah procurement.

Pada masa yang sama, menurut laporan The Malaysian Insider, sejumlah lima buah syarikat terlibat dalam pembidaan projek ini. Seandainya projek ini adalah pelaburan swasta, mengapa MAMPU tidak memilih syarikat yang lebih kukuh keadaan kewangannya, sebaliknya memilih sebuah syarikat yang bermasalah kewangan?

Menurut maklumat Bursa Malaysia, Tricubes telah disenaraikan sebagai status BN3 dan perlu mengetengahkan program penstrukturan kewangan, atau berdepan dengan nasib "delist". Selain itu, menurut laporan kewangan 2010 Tricubes, syarikat ini telah mengalami kerugian bersih sebanyak RM3.35 juta (RM3,346,752).

Melihat kepada Tricubes yang sudah dibeban dengan masalah kewangan sendiri, persoalan yang timbul adalah, bagaimana syarikat ini mampu untuk mendapatkan modal yang secukupnya untuk memastikan kestabilan dan kelangsungan projek ini? Tiada jawapan untuk soalan ini daripada Najib, PEMANDU malah Tricubes Bhd sendiri sehingga sekarang.

Baca: 1Malaysia email: Tricubes Berhad dimiliki secara tidak langsung adik Najib

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview. Disedut, diterjemah dan disunting dari teks asal.

Tiada ulasan: