MANDOR.BLOGSPOT.COM |
- Shamsul beri keterangan qazaf terhadap Datuk T
- SILAP LETAK CALON KM SARAWAK, MAKA KITA TEWAS?
- `PENYAKIT' SPR WAJIB DIPULIHKAN
Shamsul beri keterangan qazaf terhadap Datuk T Posted: 18 Apr 2011 07:00 PM PDT KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Md Akin dipanggil untuk disoal siasat selama hampir dua jam di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini, berhubung laporan qazaf yang difailkan terhadap Trio Datuk T. Ia merupakan susulan laporan yang dibuatnya kepada JAWI awal bulan ini terhadap individu berkenaan, yang menyebar dan menayangkan rakaman video seks palsu di sebuah hotel di ibu negara, 21 Mac lalu. Sehubungan itu, Shamsul akan dipanggil sekali lagi oleh Jawi 4 April depan bagi memberi keterangan tambahan terhadap dakwaan Qazaf berkenaan, yang dibuat mengikut seksyen 41 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan. Shamsul ketika ditemui selepas keterangan itu dibuat berkata, pegawai penyiasat Jawi menyoal beberapa soalan berhubung rakaman video fitnah berkenaan. "Mereka bertanya adakah kes ini wujud agenda politik pihak tertentu dan apakah pandangan saya mengenai desakan Kumpulan Datuk T berkaitan Jam Omega. "Saya jawab, dari segi kaedah syarak, oleh kerana yang memfitnah dalam kes ini dilakukan Kumpulan Datuk T, maka merekalah yang patut mengemukakan bukti. "Mengapa pula Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku mangsa fitnah diasak dan didesak untuk membuktikan fitnah yang dilemparkan terhadap beliau," ujarnya yang juga seorang peguam. Shamsul yang hadir di pejabat Jawi jam 10.45 pagi turut ditemani Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff, Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Rozan Azen Mat Rasip serta dua peguamnya, Mohammad Amir Nazli Hussin dan Fahda Nur Ahmad Kamar. Shamsul dalam pada itu berkata, beliau yakin pihak JAWI akan turut memanggil Trio Datuk T untuk disoal siasat. "Saya yakin JAWI ada komitmen dan nampak bersungguh untuk siasat kes ini. Saya tidak mahu buat andaian awal, tetapi (kes Qazaf) perlu dibawa ke mahkamah syariah untuk dibuat pendakwaan. "Lagipun, saya ada melihat bussines Card, Datuk T di atas meja pejabat JAWI tadi," katanya. Pada 23 Mac lalu, tiga individu termasuk bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mengakui mereka merupakan kumpulan 'Datuk T' yang bertanggungjawab menyimpan dan menayangkan video berkenaan kepada sebahagian wakil media di Carcosa Seri Negara, dua hari sebelumnya. Dua lagi individu terlibat ialah ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah serta bekas bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Shuib Lazim./KeadilanDaily |
SILAP LETAK CALON KM SARAWAK, MAKA KITA TEWAS? Posted: 18 Apr 2011 12:15 PM PDT BENARKAH dakwaan yang menyatakan keputusan PR meletakkan Baru Bian, Pengerusi PKR Sarawak sebagai calon KM Sarawak jika PR memenangi PRN Sarawak baru-baru ini adalah satu keputusan yang baik buat DAP dan PKR, tetapi tidak baik buat PAS? Secara lojik dan faktanya, dakwaan tersebut amat tidak masuk akal samasekali melainkan untuk mencari alasan mengapa PAS tewas kesemua kerusi yang dipertandingkan di Sarawak. Jika benar dakwaan tersebut, saya mahu bertanya apakah yang baik dilakukan oleh PR di dalam menentukan bakal KM Sarawak yang boleh memuaskan hati DAP, PKR dan PAS sekaligus? Adakah jika diletakkan calon PAS sebagai bakal KM Sarawak, maka kita mempunyai harapan cerah untuk mengambil alih kerajaan negeri Sarawak? Perlawanan di Sarawak bukanlah untuk menentukan siapa KM Sarawak samada Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan serta yang lain mahu pun ugama Islam, Kristian, Budha, Hindu atau yang lainnya. Di Sarawak, kemenangan DAP yang calonnya dari kaum Cina di beberapa buah bandar besar di Sarawak bukan melihat kepada Baru Bian sebagai KM Sarawak. Kekalahan 5 kerusi PAS di Sarawak juga bukan kerana Baru Bian dinamakan sebagai calon KM Sarawak. Semenjak bila PAS di Sarawak berusaha untuk mendominasikan seluruh rakyat Sarawak agar PAS dapat memerintah Sarawak? Tidak diragui sekarang memang PAS semakin meningkat sokongan dari rakyat di Sarawak berbanding 2006, tetapi masih terlalu jauh untuk kita menyebut PAS boleh menerajui kerajaan negeri Sarawak. Selain dari itu, DAP juga dilihat tidak berminat untuk menerajui Sarawak, sebab itulah DAP redha dengan 15 kerusi yang diberi kepadanya untuk bertanding. Sekiranya diletakkan juga calon DAP sebagai bakal KM Sarawak, akan timbul juga dakwaan yang sama. Lojiknya, tiada yang lebih baik diletakkan sebagai bakal KM Sarawak melainkan dari PKR. Selaku Pengerusi PKR Negeri, selain dari berbangsa Iban iaitu satu kaum terbesar juga di Sarawak maka lojik lah Baru Bian dinamakan sebagai bakal KM Sarawak jika PR mengambil alih kerajaan negeri di dalam PRN yang lalu. Mungkin ada yang berfikir lebih bijak jika PKR meletakkan calon dari parti tersebut sebagai bakal KM Sarawak adalah dari kaum Melayu berugama Islam. Pandangan ini boleh diterima dan realistik, tetapi PKR hendaklah terlebih dahulu menentukan siapakah tokoh calon Melayu Islam yang lebih baik dan berketrampilan dari Baru Bian. Rengkasnya, kekalahan PAS di 5 kerusi di Sarawak bukan kerana langkah PR menamakan Baru Bian sebagai bakal KM Sarawak seperti juga kemenangan besar beberapa calon DAP di Sarawak bukan kerana faktor Baru Bian ini. Mungkin ada faktor yang lebih besar yang sentiasa menghantui kita setiap kali pilihanraya yang menyebabkan bukan sahaja PAS tewas di Sarawak tetapi juga PKR yang hanya menambah dua kerusi di negeri tersebut. Faktor paling asas adalah faktor sistem pilihanraya di negara ini yang terlalu kuno. faktor lain adalah dari gerak kerja kita sendiri yang mungkin ada juga kelemahan, tetapi jika kita sehebat ,mana pun jika sistem kuno ini tidak diubah, jangan pelik jika Kelantan nanti mereka rampas sekelip mata sahaja. Sila baca tulisan saya sebelum ini./wfauzdin.blogspot.com |
`PENYAKIT' SPR WAJIB DIPULIHKAN Posted: 18 Apr 2011 03:00 AM PDT Oleh: WFAUZDIN NS KEPUTUSAN Pilihanraya Negeri Sarawak sudah cukup memadai untuk menggambarkan bahawa Pakatan Rakyat perlu lebih berani dan tegas di dalam merealisasikan cita-cita mewujudkan ketelusan demokrasi di negara ini. Banyak kali disuarakan tentang betapa pincangnya demokrasi di negara ini yang diterajui oleh SPR, namun kita terus mengharapkan keajaiban berlaku terhadap negara ini. Mahu tidak mahu kita mesti menerima keputusan di Sarawak yang menunjukkan bahawa walaupun majoriti rakyat Sarawak mahu kepada perubahan, tetapi kerana ketidaktegasan kita terhadap kepincangan demokrasi terutamanya oleh SPR maka sekali lagi harapan rakyat Sarawak tidak tercapai. Adakah kita menyalahkan 100% kepada SPR terhadap kegagalan kita untuk menjadi kerajaan di Sarawak? Atau, kita akur bahawa SPR sememangnya berlaku adil dan telus memandangkan kita berjaya menjadi kerajaan di Kelantan, P.Pinang, Selangor, Kedah, dan Perak (sebelum dirampas secara jijik) seterusnya kita berjaya merampas 8 kerusi Dun di Sarawak? SPR tetap akan mengaku pihaknya berlaku adil dan amat telus dengan memberi alasan atau dalil mereka di atas pencapaian kita itu. Pada SPR, tiada berlaku `pengundi hantu', tiada berlaku rasuah politik dan projek segera, tiada berlaku kesalahan salahguna jentera kerajaan seperti PDRM, Jabatan Penerangan termasuk media cetak dan elektronik, tiada berlaku penyelewengan undi pos, tiada berlaku perlanggaran peraturan pilihanraya dan sebagainya. Bagi PR, kita sebenarnya tahu apa yang didakwa oleh SPR itu bohong dan menipu tetapi kita dengan sengaja memasuki perangkap mereka. Sampai bilakah PR akan terus menyertai pilihanraya dalam situasi begini? Apabila kita tewas, tidak kurang sesama kita akan menyalahkan di antara satu sama lain. Sikap tuding menuding jari ini akan membutakan mata kita terhadap masalah pokok iaitu SPR. Mungkin ramai di antara kita tidak sanggup untuk melihat parti yang kita sayangi ini dibuli sesuka hati setiap kali menyertai pilihanraya. SPR semakin berani menunjukkan bahawa suruhanjaya ini adalah merupakan salah satu komponen Bn. Mustahil SPR tidak nampak bagaimana pemimpin Bn berkempen melalui media sebelum hari penamaan calon sehinggalah selesai hari mengundi mereka ini terus membuli kita. Tidak lojik SPR tidak tahu wujudnya rasuah politik dengan limpahan projek segera yang kununnya memang telah dirancang oleh kerajaan? SPR tidak dengarkah ada pemimpin politik yang berkata, 'I help U, U help Me'? Adakah SPR tidak tahu wujudnya peraturan bahawa setiap ejen calon di peti undi mesti diberikan `borang pengesahan' perjumlahan undi (Borang 14) sebelum dibawa ke Pusat Perjumlahan Undi? Banyak lagi tindakan oleh SPR yang didakwa oleh PR melanggar peraturan pilihanraya, tetapi segala dakwaan ini terhenti begitu sahaja selepas pilihanraya. PR mesti melakukan sesuatu sebelum rakyat di negara ini menganggap bahawa segala yang didakwa terhadap SPR itu adalah satu dakwaan kosong tanpa bukti akibat pemimpin kita memandang remeh perkara ini. Samada kita menang atau kalah, kita harus terus menentang kemungkaran SPR ini secara serius. Walau bagaimanapun, secara peribadi saya mengucapkan syabas kepada PR yang berjaya merampas 8 kerusi Bn di sarawak di dalam keadaan kita dibuli semahunya. Kita patut mengucapkan tahniah dan syabas juga kepada seluruh jentera PR yang bekerja begitu kuat sehingga kita berjaya meningkatkan undi kita di Bumi Kenyalang itu. Paling mengembirakan adalah PKR telah berjaya bertapak di Sarawak dari 1 kerusi kepada 3 kerusi. Begitu juga dengan PAS yang telah berjaya meningkatkan jumlah undi terhadap parti ini terutamanya undi dari Kaum Iban. Kita berjaya menjejakkan kaki ke Sarawak lebih awal dari Umno dan ini satu pertanda bahawa PR bakal menjadi kerajaan di Sarawak suatu masa nanti. Sebelum kita berangan ke situ atau lebih jauh lagi berangan ke Putrajaya, SPR wajib dipulihkan dari penyakit yang semakin kritikal itu./wfauzdin.blogspot.com |
You are subscribed to email updates from MANDOR.BLOGSPOT.COM To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan