Kerabu Bersuara ® |
- Pemuda PAS: BN makin terdesak mahu musnah Anwar dan Pakatan
- Sumpah laknat Datuk T tak ikut ajaran Islam- Ustaz Shamsul
- Tahniah Buat Ketua Pemuda Pas Tumpat, Mohd Rusli Abdullah
- Hadi wajib tolak pencalonan presiden PAS
- Polis restui blogger Umno-BN
- Gambar: TG Nik Aziz Menerima Kunjungan Hormat Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia
- Anwar beri keterangan video fitnah
- MCA tak patut salahkan Perkasa kerana hilang undi Cina, kata Ibrahim
- Alahai PPSMI lagi… — Zainal Abidin Borhan
- Anwar lafazlah Wallahi, Wabillahi, Watallahi — itu bukan saya! — Zaini Hassan
- DAP mahukan pemimpin Melayu yang berintergriti memimpin negara — Aspan Alias
- Kehormatan tidak terletak di celah kangkang kaum wanita — Erna Mahyuni
- Imej Kuntilanak dekat jambatan runtuh
- Gambar: Obama dedah sijil lahir
Pemuda PAS: BN makin terdesak mahu musnah Anwar dan Pakatan Posted: 28 Apr 2011 07:00 AM PDT Oleh Syed Mu'az Syed Putra KUALA LUMPUR, 28 April — Dewan Pemuda PAS pusat menyifatkan Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan terdesak sehingga terpaksa menggunakan rakaman video seks sebagai "senjata utama" untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS pusat Mohd Firdaus Jaafar berkata pihaknya membidas stategi tersebut yang disifatkan untuk mengaibkan dan menjatuhkan kredibiliti Anwar selaku Ketua Umum PKR. "Dewan Pemuda PAS pusat membidas kerajaan Umno-BN yang menggunakan strategi politik video lucah serta mengaibkan dalam menjatuhkan kredibiliti Datuk Seri Anwar Ibrahim. "Tindakan ini jelas menunjukkan pemimpin Umno-BN berada dalam keadaan terdesak dalam menyekat arus kebangkitan Pakatan Rakyat serta pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan. Kata Mohd Firdaus, pihaknya juga mempersoalkan sikap Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengambil sikap lepas tangan kerana tidak mengambil sebarang tindakan terhadap "Datuk T", individu yang mendedahkan rakaman video seks itu. "Datuk T" terdiri daripada ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim. Ketiga-tiga indivitu itu telah menggemparkan negara apabila bertindak mempertontokan rakaman video seks itu kepada wakil media terpilih di hotel Carcosa Seri Negara, 21 Mac lalu. Sehari selepas pendedahan itu, Anwar telah membuat laporan polis dan menafikan beliau adalah lelaki dalam rakaman video seks itu. "Kami juga kecewa kerana polis yang terkenal cekap dan tangkas tidak mampu membendung video itu daripada berleluasa. "Sehingga hari ini trio Datuk T masih tidak ditangkap dan didakwa sedangkan merekalah menyebar asal video seks. Adakah PDRM juga memainkan peranan penting dalam membenarkan konspirasi politik menjatuhkan kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim?" soal beliau. "Agaknya kalaulah video itu membabitkan pemimpin utama negara hari ini, sudah tentu PDRM bertindak sepantas kilat dalam membendung penyebaran video seks tersebut. Barangkali sudah tentu penyebar video seks itu telah awal-awal lagi disumbat ke dalam ISA serta mengharamkan mana-mana akhbar memainkan isu ini," kata Mohd Firdaus. Menurut Ahli Parlimen Jerai itu, pihaknya kesal dengan tindakan pihak tertentu yang memuat naik satu lagi rakaman klip video aksi seks itu di lama "Youtube" semalam. Ekoran klip tersebut akhbar arus perdana menjadikan ia sebagai paparan utama hari ini. "Kami kesal kerana siri kedua video klip lucah dibiarkan ditayangkan untuk tatapan awam sehinggakan gambar sedutan video seks tersebut dijadikan objek utama dalam akhbar arus perdana hari ini. "Apakah motif sebenar gambar video seks dijadikan bahan utama di dada akhbar hari ini selain untuk mencemar imej pemimpin tersebut? Apakah dengan penyiaran gambar itu dapat mendidik rakyat Malaysia ke arah yang lebih positif?" katanya. Justeru Mohd Firdaus percaya ia adalah satu konsprirasi yang dilakukan untuk menjatuhkan Anwar seperti mana yang dilakukan pada 1998 sehingga Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dipenjarakan. "Kami tetap percaya bahawa isu ini adalah konspirasi politik tahap tertinggi dan mengulangi episod memalukan pada 1998 terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim. "Kami yakin rakyat turut berpandangan yang sama dengan melihat layanan serta tindakan kerajaan dan PDRM berhubung isu ini," katanya. Wakil rakyat PAS itu juga menyifatkan tuduhan yang dilemparkan terhadap Anwar itu bertentangan dengan ajaran Islam. "Kami bertegas menolak modus operandi politik lucah dan melampau seperti yang dijalankan sekarang kerana jelas ia bertentangan dengan Islam. "Islam menetapkan tuduhan terhadap pelaku zina mesti disertai dengan empat orang saksi yang menyaksikan kejadian tersebut. Sekiranya pihak pendakwa gagal mengemukakan saksi, maka tuduhan qazaf perlu dikenakan terhadap trio Datuk T," katanya lagi. |
Sumpah laknat Datuk T tak ikut ajaran Islam- Ustaz Shamsul Posted: 28 Apr 2011 05:20 AM PDT KUALA LUMPUR: Bekas Imam Masjid Saidina Omar Al Khattab, Bukit Damansara, Ustaz Shamsul Firdaus Alhafiz berkata, sumpah laknat yang dilakukan Trio Datuk T, tidak mengikut ajaran Islam yang sebenar. Beliau merujuk tindakan salah seorang individu terbabit, Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang dikatakan mahu mengangkat sumpah laknat di Masjid Amru Al-As di Sentul selepas solat Jumaat esok. "Sumpah untuk nak buktikan tuduhan zina cuma boleh dilakukan terhadap isteri sahaja. Itu dipanggil sebagai sumpah Li'an. Itu dinyatakan dalam Al Quran Surah An Nur ayat ke 6 hingga ke 10, " ujarnya kepada Keadilandaily. "Sumpah li'an ini pula adalah sumpah saling rela dilaknat, ia tak 'laku' kalau hanya sebelah pihak sahaja. Kedua, ia tidak 'laku' kalau tidak membabitkan suami dan isteri, "Sumpah yang dilakukan Datuk T ini tidak terpakai dan tak boleh pakai," tegas beliau. Katanya, sumpah mubahalah seperti yang diperkatakan ramai orang pula, hanya melibatkan persoalan akidah dan tidak ada kaitan dengan hukum syarak. "Sumpah Mubahalah cuma nak menyatakan dalam soal perdebatan akidah dan ia tidak menyangkut paut dengan hukum syarak. Ia berkenaan akidah sahaja. Misalnya perdebatan antara ahli kitab dan orang Islam, dalam tuduhan seks tidak ada sumpah muhabalah. Justeru, katanya, tindakan Datuk T yang terdiri daripada Shazryl Eskay, Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, dan bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim itu tidak diterima dalam kaedah perundangan Islam. Dalam kes fitnah membabitkan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, Shamsul berkata, di dalam Islam, ia perlu mengikut saluran yang ditetapkan hukum syarak. "Dia (Datuk T) kena ikut proses, sebab itu perlu membawa empat saksi. Kriteria saksi ini mesti lah memenuhi syarat seperti adil, tidak fasik dan tidak buat dosa-dosa besar," jelas beliau. Ketika ditanya mengenai hukum daripada tindakan individu berkenaan, Shamsul berkata sumpah yang dilakukan itu tidak memberi sebarang kesan kepada yang dituduh mahupun yang menuduh. "Ia tidak boleh dijadikan asas sebagai penerimaan bukti samada betul atau tidak," tambahnya. Sementara itu, bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Ustaz Dr Badrul Amin Bahron pula mengingatkan umat Islam supaya jangan sewenangnya mempermainkan agama dengan merujuk tindakan individu berkenaan. "Jangan sampai kita semua dilaknat Allah! Siapa ajar sumpah-sumpah ini? Agama apa? Kenapa di masjid? Sumpah bukan ajaran Islam, ikut Islam sebat je mereka ini," katanya sambil menyeru umat Islam merujuk surah An-Nur ayat 4. |
Tahniah Buat Ketua Pemuda Pas Tumpat, Mohd Rusli Abdullah Posted: 28 Apr 2011 01:45 AM PDT Saf Kepimpinan Pemuda Pas Kawasan Tumpat yang baru dilantik. Saudara Ketua Pemuda Pemuda Pas kawasan Tumpat yang berjaya memimpin Saf dengan pelbagai aktiviti-aktiviti yang mendekatkan Pemuda Pas Tumpat dengan masyarakat. Syabas dan tahniah Abe Li. Semoga dapat menjalankan amanah yang dipikul dengan baik dan berkesan. kami Team Kerabu Bersuara akan terus menyokong anda. Tahniah dari kami team Kerabu Bersuara buat Saudara Mohd Rusli Abdullah, Ketua Pemuda Pas Tumpat kerana terus diberi mandat oleh perwakilan untuk terus menerajui Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat bagi sesi 2011-2013 pada pemilihan yang terbaru. Sesungguhnya Saudara Rusli telah banyak berjasa dalam menggerakkan kerja-kerja bagi Pemuda Pas Kawasan Tumpat yang semakin aktif sehinggakan menggelamkan Puak Pemuda Umno Tumpat yang semakin hari semakin ketinggalan dan menunggu masa untuk ranap. Ramai rakyat tak kenal siapa Ketua Pemuda Umno kawasan Tumpat. Ayuh Pemuda Pas Tumpat yang diterajui oleh Saudara Rusli, kita ambil kesempatan ini untuk menghancurkan Umno Tumpat secara khususnya yang sekarang ini menggelabah dengan kebangkitan rakyat kawasan Tumpat atas sebab penipuan dan salah guna kuasa oleh pemimpin-pemimpin umno. Tahniah sekali lagi kepada Saudara Mohd Rusli, Ketua Pemuda Pas kawasan Tumpat dan rakan-rakan sekerja dalam dewan dari kami Kerabu Bersuara. |
Hadi wajib tolak pencalonan presiden PAS Posted: 28 Apr 2011 01:26 AM PDT Parti Islam Se-Malaysia (PAS) akan menjalankan Muktamar Agungnya pada bulan Jun ini. Tahun ini juga merupakan tahun pemilihan. Para perwakilan ke Muktamar Agung akan memilih saf kepimpinan PAS Pusat yang baru. Saya merasakan bahawa kali ini tidak banyak calon-calon baru yang akan bertanding. PAS Bukit Bintang membuat sedikit kejutan dengan mencalonkan Husam Musa sebagai Presiden. Tetapi itu hanyalah satu kes terpencil. Bukan norma biasa. Hadi Awang boleh dikatakan telah menjalankan amanah dengan sebaiknya sebagai Presiden PAS. Hadi mengambil alih tampuk kepimpinan setelah Almarhum Fadzil Noor pulang ke rahmatullah. Tanggungjawab yang dipikul oleh Hadi memang besar kerana beliau menggantikan seorang tokoh yang dihormati kawan dan lawan. Tetapi secara umumnya Hadi telah menjalankan amanah yang sewajarnya. Tiada sesiapa boleh menafikan bahawa Hadi telah membawa PAS ke satu tahap baru dalam sejarahnya. Sepuluh tahun dahulu, siapa yang boleh menyangka bahawa PAS akan mempunyai sebuah sayap untuk mereka yang tidak mempercayai keesaan Allah dan keRasulan Muhammad? Tetapi di bawah kepimpinan Hadi, PAS telah menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS. Memang betul masih ada unsur-unsur diskriminasi walaupun badan itu telah wujud. Ahli-ahli Dewan Himpunan masih tidak mempunyai hak yang betul-betul sama dengan ahli PAS yang beragama Islam. Tetapi kita perlu melihat isu ini dari perspektif perubahan jangka panjang. Apabila sebuah parti Islamis membuka pintunya kepada orang bukan Islam, maka ia merupakan reformasi yang amat signifikan. Sebagai perbandingan, kita tidak mendengar langsung ura-ura MCA mahu menubuhkan satu sayap rasmi untuk orang bukan Cina. Atau MIC untuk kaum bukan India. Apatah lagi Umno untuk orang bukan Melayu. Maka memang pasti Hadi telah berjaya membawa satu pembaikan yang amat besar terhadap PAS. Tanggungjawab seterusnya ialah untuk meneruskan lagi pembaikan yang dimulakan oleh Hadi agar pada suatu hari nanti golongan bukan Islam benar-benar mempunyai hak dan kuasa yang sama dengan semua ahli lain dalam menentukan dasar-dasar parti itu. PAS mengambil masa lebih 50 tahun untuk tiba ke tahap ini. Maka rasanya tidak salah jika kita menunggu beberapa ketika lagi sehingga kesaksamaan yang tulin diwujudkan dalam PAS. Yang penting usaha menghapuskan diskriminasi dalam semua parti politik di Malaysia mesti terus berjalan. Hadi juga merupakan seorang tokoh ulama yang disegani di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa. Status beliau sebagai seorang ulama amat penting bagi sebuah parti yang secara tradisinya tidak begitu kuat di kawasan bandar, dan penyokongnya pula adalah dari kalangan yang agak menitik beratkan pengamalan agama. Secara tradisinya PAS mempunyai konstituen yang tersendiri dan konstituen ini lebih selesa dengan seorang pemimpin bertaraf ulama. Saya berpeluang menyertai Hadi di beberapa pertemuan di luar Malaysia. Saya sempat melihat sendiri betapa Hadi dihormati dan dianggap sama taraf dengan ulama besar seperti Yusuf Qardhawi, Rachid Ghanoushi, Kamal Helbawy, dan ramai lagi. Malahan bekas Perdana Menteri Turki Almarhum Najmudin Erbakan juga amat menghormati Hadi. Ringkasnya ketokohan Hadi sebagai seorang ulama memang tidak boleh dipersoal. Seperti manusia lain, Hadi juga punyai kelemahan. PAS kalah di Terengganu semasa beliau menjadi Menteri Besar. Dalam pilihanraya Sarawak baru-baru ini pula PAS kalah semua kerusi yang ditandingi. Ada lagi beberapa contoh lain yang boleh diberi untuk menunjukkan kelemahan Hadi. Tetapi ini lumrah manusia dan sudah pastilah Hadi tidak boleh berlepas tangan. Tetapi, dengan pelbagai kelemahan yang ada, saya tetap merasakan bahawa Hadi telah menjalankan amanah dengan yang terbaik mungkin. Tidak perlulah dibicarakan isu kelemahan ini kerana tidak ada manusia boleh lari daripadanya. Persoalan yang yang dihadapi oleh para perwakilan ke Muktamar Agung PAS nanti bukan sama ada Hadi telah menjadi Presiden yang baik atau tidak. Ini bukan pemilihan untuk memberi anugerah perkhidmatan cemerlang. Tetapi, persoalan sebenar ialah, adakah Hadi boleh menjadi Presiden yang baik untuk memimpin PAS dalam pilihanraya akan datang dan seterusnya ke masa hadapan? Kebenaran mungkin pahit untuk ditelan. Hakikatnya Hadi bukanlah individu terbaik untuk terus menjadi Presiden PAS. Saya akan simpulkan dengan cara semudah mungkin kenapa saya berkata demikian. Hadi tidak mempunyai ketrampilan ataupun ketokohan untuk menjadi Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Hadi telah mencipta imej beliau sebagai seorang pemimpin masyarakat Melayu Islam. Tetapi beliau tidak dilihat sebagai seorang pemimpin untuk rakyat Malaysia secara keseluruhan. PAS perlu berfikir bagaimana untuk memperkukuh apa yang telah dibina oleh Hadi. Parti itu perlu mula membina imej sebuah parti yang berkemampuan memimpin seluruh rakyat Malaysia, bukan memimpin orang Melayu Islam sahaja. Dan yang nyata, Hadi bukan pembawa imej "pemimpin negara". Mungkin ada yang berhujah bahawa ini hanya masalah persepsi. Tetapi jika sebuah parti politik tidak menyedari peri pentingnya persepsi, maka parti itu berada di padang permainan yang salah. Politik ialah sebuah pertandingan persepsi. Kejujuran dan ketokohan seseorang itu hanya bernilai jika sifat-sifat ini berjaya mempengaruhi persepsi pengundi. Jika sifat-sifat itu tidak membawa persepsi positif, maka dalam bahasa kampungnya "tak payah pun tak apa". PAS memang memiliki individu-individu yang boleh membawa parti itu ke satu tahap baru. Husam Musa dan Nizar Jamaluddin hanya dua nama yang biasa disebut. Sudah pasti ada tokoh lain yang juga boleh melakukannya dan perlu dipertimbangkan. Tetapi budaya politik dalam hampir semua parti di Malaysia ini secara umumnya memberi kelebihan kepada presiden sedia ada. Jika mahu menjadi presiden sehingga mati pun biasanya boleh. Parti-parti politik kita tidak mempunyai budaya yang mana seseorang presiden mengumumkan dengan penuh bangga bahawa beliau telah membawa parti itu ke satu tahap tertentu dan telah tiba masanya untuk orang baru mengambil alih untuk membawa parti itu ke satu tahap yang lebih tinggi. Lihat sahajalah apa yang berlaku dalam perubahan pucuk pimpinan Umno, MCA dan MIC. Semuanya terpaksa melalui era transisi yang amat menyeksakan. Dan PAS tidak terkecuali dalam budaya ini. Hadi seharusnya menarik nafas panjang sambil menilai segala pencapaian besar beliau. Beliau boleh berbangga dengan apa yang beliau telah lakukan. Setelah itu, beliau perlu menerima hakikat bahawa telah tiba masanya untuk menyerahkan obor perjuangan kepada orang lain yang membawa PAS ke tahap yang lebih tinggi, sesuai dengan tuntutan rakyat agar PAS segera melahirkan pemimpin negara, bukan pemimpin bangsa atau pemimpin agama sahaja seperti selama ini. Hadi pula jangan lah bermain kata-kata, kononnya tidak mahu menjadi presiden selama-lamanya dan bersedia dicabar. Bukannya beliau tidak tahu bahawa budaya parti politik di Malaysia ialah, sekiranya presiden tidak menolak pencalonan, maka tidak ada harapan perubahan akan berlaku. Tidak ada gunanya bermain kata-kata kerana ia akan menyebabkan seorang presiden yang telah berjaya membawa pelbagai pembaikan akhirnya dilihat sebagai tunggul yang menghalang pembaharuan. Jika Hadi boleh menyedari hakikat itu, maka parti dan negara akan mengingati beliau sebagai seorang tokoh ulung yang amat ikhlas berjuang sehingga rela mengorbankan jawatan dan kepentingan diri demi membuka laluan agar PAS menjadi sebuah parti nasional yang benar-benar diyakini mampu memimpin sebuah negara berbilang kaum. Demi memastikan PAS boleh terus mara ke hadapan, Hadi wajib segera mengumumkan bahawa beliau tidak mahu mempertahankan jawatan Presiden dan menolak semua pencalonan. Hanya dengan cara itu sahaja akan berlaku pertandingan sihat yang akan membolehkan wujudnya sebuah PAS baru. |
Posted: 28 Apr 2011 12:00 AM PDT KUALA LUMPUR: KEADILAN mendesak pihak polis menahan dan menyoal siasat pemilik laman web dan penulis blog yang menyebarkan sedutan rakaman video fitnah yang mengaitkan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pengarah Strategi dan Politik, Rafizi Ramli berkata, polis dan pimpinan Umno-Barisan Nasional merestui perbuatan individu tersebut, sebagai sebahagian perancangan jahat untuk menjatuhkan Anwar dan Pakatan Rakyat. "Mengapa sehingga kini polis tidak memanggil blogger Papagomo tersebut dan lain-lain yang menyebarkannya?," "Sedangkan ketiga-tiga saksi (Datuk T) mengakui, selain dari pihak polis, hanya mereka yang mempunyai salinan video. Soalnya, bagaimana maklumat tersebut bocor kepada blogger dan disiarkan di dalam internet?," katanya kepada Keadilandaily.com Rafizi mendakwa seolah-olah wujud 'kerjasama' di antara pihak berkuasa dengan rangkaian blogger yang membocorkan video fitnah itu yang kini masih dalam siasatan pihak polis. "Bahkan kita lihat, kenyataan polis turut berbaur politik. Tidak lain tindakan ini merupakan sebahagian dari konspirasi politik bertujuan untuk mencalar kredibliti Ketua Umum KEADILAN," ujarnya. Sementara itu, Naib Presiden KEADILAN, N Surendran dalam reaksinya berkata, tindakan blogger tersebut melampau, keterlaluan dan memalukan apabila berniat jahat dengan meletakkan tajuk video yang mengaitkan nama keluarga Anwar Ibrahim. "Apakah Umno dan Barisan Nasional begitu terdesak dan tiada hujah untuk menghadapi pilhan raya umum akan datang, sehingga membawa fitnah dan mengaitkan nama keluarganya? "Saya sangat bimbang masa depan negara semakin gelap berikutan isu yang dibawa media bukan lagi berkenaan permasalahan rakyat, tetapi penyebaran fitnah politik yang dibawa secara lucah untuk menundukkan saingan. "Kerajaan hari ini seolah-olah mahu mendidik rakyat dengan mencipta persepsi politik melalui cara yang jijik, apabila secara fitnah ia disebar secara terang-terangan," kata Surendran. |
Gambar: TG Nik Aziz Menerima Kunjungan Hormat Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Posted: 27 Apr 2011 11:15 PM PDT Alhamdulillah, baru selesai mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia. Banyak perkara yang dibincangkan, isu pendidikan, senario politik di Malaysia dan lain-lain. Tidak lupa saya tegaskan pendirian saya terhadap isu Palestin dan rasa tidak puas hati dengan polisi Amerika Syarikat di Palestin. Saya katakan, sepasang selipar pun tidak ada sesiapa yang berhak merampasnya dari tuannya yang asal, apatah lagi sebuah negeri yang berdaulat. Insya-allah, harapan saya mesej ini sampai kepada dunia. |
Anwar beri keterangan video fitnah Posted: 27 Apr 2011 11:00 PM PDT KUALA LUMPUR: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi keterangan kepada polis berkenaan siasatan video fitnah di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pada jam 2.30 petang ini. Ia susulan laporan polis yang dibuat beliau pada 22 Mac lalu, berhubung video lucah tersebut yang ditayangkan kepada sekumpulan wartawan di Hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu. Semalam, KEADILAN memaklukan sepasukan penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman telah memohon untuk merakamkan kenyataan tambahan daripada Anwar berhubung video tersebut yang ditayangkan Trio Datuk T yang terdiri daripada bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, ahli perniagaan Datuk Eskay Shazryl Abdullah dan bekas Bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim. Individu-individu ini juga telah mengedarkan kenyataan bertulis kepada para wartawan dengan fitnah bahawa Anwar merupakan individu di dalam video lucah tersebut serta mengugut beliau supaya bersara dari politik. Difahamkan kenyataan tersebut akan dirakamkan oleh DSP Shanmugamoorthy dan Anwar dijangka mengadakan satu sidang media sebaik kenyataan beliau selesai dirakamkan. Semalam, blogger Pro Umno-BN menayang sedutan kedua rakaman video fitnah berkenaan di internet. Sebelum ini, terdapat percanggahan kenyataan yang dikeluarkan pihak polis dan Eskay, salah seorang trio yang menayangkan video lucah berkenaan. Eskay menyatakan wanita di dalam video itu adalah seorang pelacur warga negara China, dan kejadian seks itu dirakam di sebuah hotel di ibu negara. Manakala pihak Polis pula menyatakan video tersebut dirakam di sebuah kondominium melibatkan seorang pelajar wanita dari sebuah kolej swasta di ibu negara. |
MCA tak patut salahkan Perkasa kerana hilang undi Cina, kata Ibrahim Posted: 27 Apr 2011 10:54 PM PDT Oleh Syed Mu'az Syed Putra KUALA LUMPUR, 28 April — Datuk Ibrahim Ali menyifatkan Ketua Publisiti MCA Datuk Heng Seai Kie sebagai "buat sejarah" kerana mendakwa Perkasa dan Utusan Malaysia yang menyebabkan Barisan Nasional (BN) kehilangan sokongan masyarakat Cina sejak 2008. Sebaliknya tegas Ibrahim, BN hilang sokongan masyarakat Cina kerana MCA memilih pemimpin yang tidak bermoral untuk menerajui parti itu. "Sebab utama MCA ditolak pada pilihan raya umum ke-12 adalah kerana video seks Chua Soi Lek (Presiden MCA) didedahkan kepada umum, yang mana ketika itu Perkasa belum lagi ditubuhkan. "Jadi MCA ditolak masyarakat Cina kerana mereka malu mempunyai pemimpin yang tidak bermoral dan MCA juga ditolak kerana ramai pemimpin dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan rasuah," katanya. Kata beliau, kehilangan sokongan masyarakat Cina kepada BN bukan disebabkan Perkasa kerana pertubuhan membela hak Melayu itu ditubuhkan selepas pilihan raya umum 2008. "Nampaknya Datuk Heng Seai Kie buta sejarah kerana mendakwa Perkasa dan Utusan Malaysia penyebab MCA ditolak masyarakat Cina sejak 2008 dan pada pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini. "Saya nak ingatkan beliau (Heng), bukan Perkasa yang sebabkan MCA ditolak masyarakat Cina pada 2008 dan kerana Perkasa belum wujud pada pilihan raya umum ke-12, Perkasa diwujudkan lima bulan selepas pilihan raya umum ke-12 dan Perkasa juga bukan penyebab Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) tewas banyak kerusi di Sarawak," kata Presiden Perkasa itu dalam satu kenyataan. Kata Ibrahim, kekalahan SUPP tidak ada kaitan dengan Perkasa kerana pertubuhan bukan kerajaan itu tidak mengambil bahagian dalam kempen pilihan raya negeri Sarawak yang menyaksikan parti itu tewas banyak kerusi kepada DAP. "Perkasa tidak ambil bahagian dalam kempen pilihan raya di Sarawa, perlu ambil perhatian mengapa etnik lain di Sarawak boleh beri sokongan kepada BN di Sarawak jika tidak kerana mereka percaya kepada BN. Masyarakat Cina semuanya beri sokongan kepada BN dan BN juga tidak boleh membentuk kerajaan sekiranya etnik Bumiputera lain menolak BN. "Mana yang lebih penting, 100 peratus sokongan Bumiputera atau 100 peratus sokongan Cina?" soalnya. Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mengingatkan Heng bahawa Perkasa bukan membenci masyarakat Cina tetapi pemimpin Cina dari BN dan Pakatan Rakyat yang mendesak Putraraja agar menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, "Mereka tidak menghormati Perlembagaan negara, ramai juga pemimpin Cina yang menghina Islam dengan mempermainkan ayat-ayat suci al-Quran. "Perkasa tidak akan berpeluk tubuh, Perkasa akan terus berjuang mempertahankan hak orang Melayu dan Bumiputera serta kesucian Islam dan saya memberi amanaran kepada MCA supaya jangan sakiti orang Melayu kerana undi orang Melayu juga penting," katanya. Kelmarin Heng mendakwa Utusan Malaysia dan Perkasa yang menyebabkan Barisan Nasional (BN) kehilangan sokongan masyarakat Cina sejak 2008. Oleh itu beliau juga menggesa Kementerian Dalam Negeri agar mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia kerana mengesyorkan gelombang "1Melayu, 1Bumi" yang mana disokong Perkasa walaupun ditolak penaungnya Tun Dr Mahathir Mohamad. Heng memberitahu The Malaysian Insider bahawa akhbar milik Umno itu secara berterusan menerbitkan artikel yang bersifat perkauman dan ia akan memberi kesan kepada perpaduan negara. Utusan Malaysia meminta Umno supaya menggerakkan gelombang "1Melayu, 1Bumi" yang melibatkan semua parti Melayu, dan mendakwa DAP berniat untuk menjatuhkan kepimpinan negara. Jumaat lalu, Timbalan Ketua Publisiti MCA Loh Seng Kok mengingatkan gerakan "1Melayu, 1Bumi" yang disyorkan akhbar harian berbahasa Malaysia itu akan mewujudkan suasana kurang senang di kalangan rakyat Malaysia. |
Alahai PPSMI lagi… — Zainal Abidin Borhan Posted: 27 Apr 2011 10:00 PM PDT Bible atau Al-Kitab di dalam Bahasa Melayu telah dibenarkan untuk dibaca oleh para penganut Kristian di Sarawak dan Sabah, mungkin juga di Semenanjung. Tahap literasi Bahasa Melayu sudah meningkat sehingga memerlukan kitab berkenaan ditulis dalam Bahasa Melayu. Lazimnya terdapat Al-Kitab berbahasa Inggeris di kamar hotel-hotel berbintang di Malaysia. Parent Action Group for Education (PAGE) yang berpusat di Bukit Damansara pula menuntut supaya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dikekalkan. Satu paradoks. Satu pihak mahukan Bahasa Melayu, malah menggunakan perkataan Allah atas kepentingan penyebaran agama, yang satu berterusan mahukan bahasa Inggeris atas kepentingan kemajuan masa depan anak-anak mereka. Manakala pihak Dong Jia Zong mahu terus kekal diajar dalam bahasa ibunda. Di seluruh dunia apabila sesebuah negara mencapai kemerdekaan dan berdaulat, ada beberapa tindakan yang dilakukan iaitu pembinaan negara bangsa, perpaduan, nasional dan politik, serta pembangunan kemajuan ekonomi. Pembinaan negara bangsa dan perpaduan nasional digembleng untuk mewujudkan identiti, jati diri dan perwatakan kebangsaan. Bahasa kebudayaan hatta agama serta segala bentuk, ciri, sifat, sistem nilai dan warisan dijadikan instrumen perpaduan. Negara-negara yang mengekalkan institusi raja dan kesultanan meletakkan institusi berkenaan sebagai lambang perpaduan dan payungan berteraskan perlembagaan. Semenjak Persekutuan Malaysia merdeka segala wadah dan wahana identiti kebangsaan sudah mantap dan terkanun atau termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia serta segala dasar yang sehubungan dengannya. Isu bahasa khasnya penggunaan bahasa pengantar di sekolah nampaknya tidak kunjung selesai apabila dipolitikan dan digunakan sebagai tuntutan hak dan keistimewaan. Bahasa pengantar yang mengguna Bahasa Melayu (bahasa kebangsaan) sering dicabar oleh pihak yang mahu mengekalkan bahasa sukuan dan kauman. Pengajaran Bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan ditetapkan dan dituntut supaya guru-guru hendaklah daripada keturunan tertentu tidak dari penutur asli bahasa ibunda Bahasa Melayu. PPSMI kini mencetuskan polemik yang tidak kunjung selesai, malah menimbulkan reaksi yang pelbagai apabila Perdana Menteri menyebut di kalangan sahabat Facebook di Pulau Pinang, bahawa kemungkinan kerajaan akan mengkaji cadangan PPSMI diajar di dalam dua bahasa pengantar. PAGE dan beberapa akhbar berbahasa Inggeris mula mencanangkan isu bilingualism untuk PPSMI sebagai jalan keluar terbaik, suatu situasi menang-menang, yang tidak semestinya terbaik. Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) bersama-sama 48 pertubuhan Melayu juga Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) membantah sekeras-kerasnya akan cadangan berkenaan. Lulus jarum lulus kelindan, bermula dari PPSMI, maka akan ada pula cadangan untuk multilingualism di sekolah-sekolah. Identiti nasional yang berteraskan kepada seluruh wadah dan wahana kebangsaan akan hancur luluh, diluluh-lantakkan oleh kepentingan kelompok minoriti. Bahasa sebagai simbol perjuangan kebangsaan, perpaduan kebangsaan yang berteraskan semangat kebangsaan tidak lagi mempunyai apa-apa makna. Ia akan terakam sebagai satu sejarah yang dikalahkan oleh kepentingan praktis dan material kehidupan manusia. Para pejuang bahasa sekeras-kerasnya menolak PPSMI tetapi tidak menolak peri pentingnya Bahasa Inggeris. Mereka memikirkan kepentingan bangsa dan negara bukannya kepentingan sekelompok kecil elit dan kelas atasan. Ditimbulkan persoalan ini bukannya para pejuang bahasa anti kelas tetapi khuatir ada pihak yang akan mengguna isu ini dalam kerangka kepentingan politik. Secara khususnya pembesaran kelas menengah Melayu disebabkan oleh pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Semakin ramai kelas teknokrat, korporat dan birokrat Melayu adalah disebabkan kedua-dua dasar tersebut, walau pun dari segi jumlah kelas ini masih kecil berbanding kelas yang sepertinya di kalangan bukan Melayu. Amat dikhuatirkan Bahasa Inggeris menjadi bahasa pengucapan kelas birokrat, teknokrat dan korporat Melayu di bandar seperti Bukit Damansara dan kawasan-kawasan sepertinya, berbanding majoriti rakyat di luar bandar yang terus berbahasa Melayu. Maka Bahasa Inggeris untuk kelas atasan Melayu manakala Bahasa Melayu untuk kelas bawahan Melayu. Bahasa Melayu akan terus dipandang kampungan, penuh kekolotan dan tradisional. Satu jurang kebudayaan yang tidak molek dalam kerangka perpaduan Melayu. Bukan sahaja berlaku susun lapis dari segi sosial dan ekonomi, malah dari segi bahasa, kembali ke fenomena zaman kolonial dan pra-merdeka. Padang sosial akan terus tidak rata, akan sukar untuk mencapai keadilan sosial, walau pun sesama Melayu, apatah lagi dengan bukan Melayu. Seandainya isu PPSMI kembali dipolitikkan dan parti politik Melayu yang dominan seperti Umno sepi pula untuk memberikan reaksi, kemungkinan parti politik pembangkang Melayu lain akan mengutipnya mewadahi perjuangan politik mereka. Faktor jurang kebudayaan ini boleh dimanipulasi untuk kepentingan politik. Sekiranya agenda Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) tidak direalisasi secara konkrit, maka masalah juga akan muncul. Pengumuman membolehkan PPSMI dalam dua bahasa pengantar sedikit sebanyak merupakan kemenangan politik kepada PAGE. Apakah kepentingan rakyat terbanyak tidak merupakan kepentingan politik? Apakah kepentingan rakyat terbanyak tidak didahulukan? Sewajarnya kita belajar dari pengalaman negara-negara lain di dunia untuk memahami betapa perlunya proses pembinaan negara bangsa melalui bahasa. Orang Turki, Kurdi dan Arab memiliki bahasa yang hampir sama, tetapi lantaran kepentingan politik mereka saling berusaha untuk menidakkan antara satu sama lain, sehingga orang Kurdi bertempiaran di seluruh dunia. Begitu juga orang Serbia, Croatia, dan Bosnia yang menggunakan bahasa yang sama, lantaran perbezaan agama, Serbia Ortodoks Kristian, Croatia Katoliks dan Bosnia Islam, maka runtuhlah Yugoslavia, melahirkan negara Serbia, Croatia dan Bosnia. Bahasa Hebrew atau Ibrani telah lama pupus. Ia adalah bahasa Kitab Zabur dan Taurat. Tetapi Israel menghidupkan kembali bahasa Ibrani tersebut dengan pelbagai tindakan dan pendekatan termasuk menubuhkan Dewan Bahasa, maka bahasa Ibrani memberikan identiti, menyatu-padukan orang Israel sehingga memberi kekuatan mahu menghapuskan Arab Palestin. Daripada pengalaman tersebut bahasa boleh mencetuskan konflik dalaman sesuatu negara, tetapi adalah amat diharapkan isu PPSMI ini tidak terjerumus ke lembah konflik. Pihak pemerintah telah mengemukakan MBMMBI, maka pelaksanaannya perlu disegerakan dan tidak wajar PPSMI dikaji semula atau dilaksanakan dalam apa jua bentuk. Pendekatan dan kaedah yang ditetapkan oleh MBMMBI amat memadai untuk mempertingkatkan keterampilan berbahasa Inggeris di kalangan para pelajar sekolah. Kita tidak mahu ada kelompok yang terus mengasingkan diri dari kelompok majoriti. Pengasingan budaya melalui bahasa amat berbahaya. Janganlah isu PPSMI diulang kembali untuk memusnahkan segala harapan untuk mencapai kemajuan, kesejahteraan, keamanan, masa depan rakyat terbanyak dan negara, maka berjiwa besarlah untuk mengutamakan kepentingan rakyat terbanyak. — Utusan Malaysia * Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan adalah setiausaha Satu Gapena. |
Anwar lafazlah Wallahi, Wabillahi, Watallahi — itu bukan saya! — Zaini Hassan Posted: 27 Apr 2011 09:00 PM PDT Nasib malang Anwar Ibrahim semakin bertimpa. Di Mahkamah Tinggi kelmarin, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden mendakwa Anwar Ibrahim sebagai penyumbang utama asid deoksiribonuklek (DNA) Lelaki Y yang ditemui di dalam rektum Mohd. Saiful Bukhari Azlan. Ujian DNA tidak menipu. Ujian saintifik itu adalah 100 peratus tepat, bukan seperti mulut manusia yang sering bernista dan berdusta. Isu moral melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia — yang selama ini cukup berazam mahu menjadi Perdana Menteri Malaysia — amat sukar diketepi lagi. Video seks mirip Anwar Ibrahim, yang saya syorkan supaya diedarkan secepat mungkin bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat, adalah salah satu lagi bala yang menimpa Anwar. Hampir semua yang melihat video seminit lebih itu percaya itu adalah Anwar. Namun, Anwar menafikannya. Isterinya, Wan Azizah Ismail atau dipanggil Kak Wan serta anaknya Nurul Izzah juga menafikannya. Kita amat faham perasaan Kak Wan dan Nurul Izzah untuk mempertahankan suami dan bapa mereka itu. Bagi Anwar dia mempunyai tanggungjawab moral yang cukup tinggi dalam sejarah dirinya dan keluarganya. Beliau harus kembali ke jalan Allah SWT dan kembali ke jalan Islam. Ini bukan permainan perhubungan awam lagi, atau permainan politik dan psikologi songsang. Dia kena bersihkan namanya secara Islam. Dia kena bersumpah mubahalah. Anwar kena bersumpah laknat, di hadapan rakyat jelata dan para pengikutnya. Nik Aziz Nik Mat yang selama ini mempertahankan Anwar harus menasihati 'buah hatinya' itu supaya bersumpah laknat. Anwar hanya perlu lafaz Wallahi, Wabillahi, Watallahi sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Saiful dulu. Anwar kena bersumpah bagi menjelaskan tuduhan trio Datuk T ke atasnya berhubung rakaman video seks yang didedahkan itu adalah tidak betul. Jika tidak betul, biar Allah yang menentukannya. Datuk Shazryl Eskay Abdullah atau dikenali sebagai Datuk Eskay, orang yang dikatakan turut kelihatan dalam video itu, perlu juga melakukan sumpah laknat. Ia bagi membuktikan bahawa memang benar orang yang berada dalam video itu adalah dia dan Anwar, dan itu bukan pembohongan. Eskay mungkin akan didakwa di mahkamah kerana mengedar dan memiliki video itu yang dikatakan sebagai bahan lucah. Tapi tindakan Eskay itu, sama seperti sahabat-sahabat Anwar yang telah berpaling tadah, ialah kerana mereka sudah tidak tertahan dengan perangai dan tabiat luar biasa Anwar itu. Sesiapa sahaja yang waras akan mengambil tindakan yang sama seperti Eskay. Eskay merasakan perbuatan Anwar perlu dihentikan. Mungkin kerana itulah beliau membuat pendedahan mengenai video itu. Dalam upacara sumpah laknat itu, kedua-dua Anwar dan Eskay perlu ada. Saya rasa itu lebih afdal. Masa yang paling baik ialah selepas solat Jumaat. Apa kata minggu ini? Kita berharap kedua-duanya dapat mengadakan upacara itu bagi membersihkan diri masing-masing. Saya berharap jika upacara itu jadi dibuat. Semua alim-alim ulama negara harus dijemput hadir sama. Ia bagi membolehkan fitnah-fitnah yang ditimbulkan hasil daripada isu video lucah itu dapat dihentikan. Kita bimbang dengan fenomena masyarakat Melayu Islam di negara kita sekarang. Mimbar masjid telah digunakan untuk mempolitikkan isu ini. Sebelum fitnah memfitnah menjadi lebih besar, para ulama harus menyaksikan upacara itu. Dalam peristiwa Islam hasil daripada sumpah laknat itu akan Allah tunjukkan sejak di dunia lagi. Dalam tradisi Hindu, ia disebut Hukum Karma atau the Law of Karma yang membawa maksud hukum pembalasan di dunia. Buat Anwar dan Eskay, anda tidak perlu bimbang. Jika anda tidak bersalah, apa yang dibimbangkan? Hanya Allah Yang Maha Mengetahui, Allahu A'lam. — Utusan Malaysia |
DAP mahukan pemimpin Melayu yang berintergriti memimpin negara — Aspan Alias Posted: 27 Apr 2011 08:00 PM PDT Saya ditanya oleh beberapa orang adakah DAP benar-benar ingin mengambil alih negara ini dan pemimpinnya akan menjadi PM jika DAP berkuasa? Jawapan saya kepada soalan itu ialah; jika DAP berjaya menguasai Parlimen pemimpinnya akan menjadi PM dan mengetuai eksekutif negara. Tetapi adakah itu akan terjadi? Jawapannya adalah TIDAK kerana DAP tidak pernah menurunkan jumlah calun yang cukup untuk mengambil alih negara jika semua calunnya menang di dalam pilihanraya umum. Di Sarawak baru-baru ini DAP hanya bertanding di lima belas kerusi dari jumlah 71 di dalam DUN Sarawak. Di Pulau Pinang sendiri DAP hanya bertanding di 19 kerusi sedangkan untuk mendapat majoriti yang "simple" parti itu memerlukan 21 kerusi setidak-tidaknya. DAP menurunkan 19 calun dan memenangi kesemua kerusi yang ditandinginya. Seperti juga MCA kehadzirannya di dalam politik negara bukan untuk mengetuai kerajaan dan menjadi PM kepada negara ini. Di Perak PAS hanya memenangi kerusi yang kecil bilangannya tetapi DAP yang telah memenangi kerusi yang banyak tidak mengambil kerusi MB kerana undang-undang tubuh negari itu hanya memperuntukan jawatan MB itu untuk orang Melayu. Maka diberikan kerusi itu kepada Nizar Jamaludin dari PAS. Tetapi UMNO telah merampas kuasa melalui permainan politik kotor dan mengambil alih pentadbiran negeri Perak itu. Hanya UMNO sahaja memilih seorang MB yang tidak berapa Melayu sebagai MB negeri itu. Itu bukan salah DAP. Dalam pilihanraya dahulu DAP telah bertanding kurang dari 50 kerusi Parlimen dan jumlah itu tidak sampai pun 25 peratus dari keseluruhan jumlah kerusi di Dewan Parlimen kita. Masing-masing bilanglah jumlah kerusi yang dipertandingkan oleh DAP di negeri-negeri lain. Jumlah calun mereka jika menang sekali pun tidak akan membolehkan DAP menjadi tunjang pemerintahan negara. Hanya mereka bersatu dengan parti-parti yang mereka bersama di dalam "coalition" alternatif untuk memerintah di Pulalu Pinang seperti juga yang berlaku semasa Gerakan memerintah dahulu. Bezanya dulu Gerakan yang di dominasi oleh bangsa Cina dan sekarang di perintah oleh DAP parti "multiracial" yang di dominasi oleh kaum Cina juga. Persoalannya, apa yang menjadi masalah kepada orang Melayu di Pulau Pinang misalnya . . . atau kepada orang Melayu di seluruh negara? MCA tidak akan membolehkan bangsa Melayu untuk menjadi calun sedangkan DAP jika menunjukan dengan secara "real" yang parti itu merupakan parti "multiracial". Jika DAP meletakan calun Melayu di setengah kawasan, maka parti itu wajar menjadi alternatif kepada MCA. Apa lagi yang orang Melayu hendak memberikan sokongan kepada MCA lagi sedangkan parti itu tidak memberikan apa-apa keuntungan kepada BN? Malahan MCA sudah menjadi beban yang berat untuk dikendung bersama. Calun-calun MCA terpaksa di letakan di kawasan yang di dominasi oleh orang Melayu untuk mendapatkan sedikit peluang untuk menang, sedangkan DAP merupakan parti yang "reliable" yang boleh membawa sokongan orang cina jika kita bekerja sama dengannya. Tidak bolehkah BN memikirkan hal ini? Kenapa tidak di usahakan untuk bekerjasama? Mungkin DAP boleh memberikan kerjasama dengan BN tetapi yang menjadi "apprehension" kepada parti itu ialah samada mereka berkeyakinan dengan keseluruhan kepimpinan BN khususnya Umno yang ada pada hari ini. Itulah sebabnya jika pemimpin Umno mampu untuk berkorban demi parti dan bangsanya maka kerjasama itu tidak mustahil boleh di lakukan. Apabila kerjasama itu mampu dilakukan maka kita akan kembali kepada zaman negara mula mencapai kemerdekaan dahulu. Parti Cina mengambil sokongan orang Cina, parti Melayu meraih sokongan orang Melayu dan India mengambil sokongan orang India. Itulah Perikatan dahulu. Yang masih menjadi masalah ialah orang Melayu sahaja. Orang Cina sudah sepakat berteduh di bawah DAP, orang India nampaknya sudah kembali bersatu di bawah MIC dengan kompromi yang sedang di lakukan oleh parti itu dengan menyatukan kembali semua ahli-ahlinya yang telah dipecat oleh Samy Velu dahulu dengan ahli-ahli yang sedia ada. Pendeknya orang Cina telah mengambil sikap dan telah pun menunjukan pendirian mereka. Orang India pula mengambil sikap untuk terus bersama MIC. Hanya orang Melayu sebenarnya yang belum bersatu dan saya merasakan orang Melayu sedang melakukan "soul-searching" dan belum lagi menampakan "urgency" untuk menentukan sikap mereka. Orang Cina dan India sudah bersedia dan sudah pun menentukan sikap yang baik untuk mereka. In\i negara demokrasi. Orang Melayu sememangnya tunjang kepada politik negara. Tetapi orang Melayu harus menunjukan "disposition" sebagai peneraju kepada politik negara. Sebagai tunjang pemimpin Melayu mesti menunjukan kepimpinan bersih yang hakiki untuk mendapat penghormatan oleh bangsa lain yang kita pimpin sekali. DAP tidak anti Melayu. Tetapi momokan media dengan parti-parti yang berkuasa telah membuat orang Melayu mempunyai perasaan takut kepada dominasi DAP di kalangan bangsa Cina. Maka yang menggunakan sentiment rasis ini adalah Umno dan ini hakikat. Takkanlah saya keliru kerana saya juga pernah bergiat aktif dalam Umno dan itu perkara yang di antara sesama Melayu memahaminya. Jika DAP menunjukan kepada rakyat yang parti itu adalah parti untuk semua kaum maka DAP sepatutnya meletakan beberapa calun Melayu dan jika ini dilakukan oleh DAP maka yang pasti akan terjadi parti itu akan mendapat sokongan dari sebahagian pengundi Melayu di dalam pilihanraya yang akan datang. Saban hari rakyat bertambah terbuka dan berfikir dan tidak lagi menerima bulat-bulat apa yang diperkatakan oleh media perdana dan aktivis pro BN yang giat melalu alam cyber dan sebagainya. Zaman berubah dan siasah pun berubah. Sedangkan sungai kan berubah apatah lagi pemikiran manusia yang begitu sofiskated di hari ini. Yang menjadi "apprehension" yang terbesar bagi DAP untuk bekerjasama pada pendapat ramai yang saya bertanya ialah DAP tidak berkeyakinan kepimpinan pada hari ini boleh melaksanakan tugas kenegaraan dengan penuh tanggungjawab dan telus. Maka itu masalah UMNO. Tidak tahulah kita samada parti ini boleh melakukan perubahan kerana ianya memerlukan pengorbanan barisan kepimpinan untuk mempastikan UMNO ini relevan lagi kepada keperluan dan kehendak ramai. Tetapi mahu tidak mahu UMNO mesti berubah untuk tidak menjdi parti yang dipinggirkan oleh rakyat di masa yang akan datang. Kehendak rakyat lagi berperanan dari kehendak pemimpin, kerana tanpa rakyat tiada pemimpin. Persepsi yang buruk yang ada pada UMNO harus dikikis dan ianya hanya boleh dilakukan dengan pertukaran barisan kepimpinan. — aspanasliasnet.blogspot.com |
Kehormatan tidak terletak di celah kangkang kaum wanita — Erna Mahyuni Posted: 27 Apr 2011 07:00 PM PDT Baru-baru ini saya dikecam keras ekoran gurauan saya yang merujuk kepada seorang ibu sebagai seorang pelacur (rujuk sini). Saya akui ia menyinggung hati dan ia satu percubaan secara sengaja untuk memprovokasi. Tetapi sejujurnya, saya tidak memandang rendah terhadap golongan pelacur atau pelacuran. Lagipun, ia sering disebut sebagai 'kerjaya yang paling tua di dunia'. Hakikatnya permintaan merangsang bekalan dan bukan sebaliknya. Pada pendapat saya adalah tidak adil sekiranya kehormatan seorang wanita ditakrif berdasarkan organ yang tersarang di celah kakinya. Apabila seorang lelaki "membela kehormatan seorang wanita", bererti dia sebenarnya mempertahankan bahagian tubuh tersebut juga. Carut-marut yang paling teruk sekali di dalam bahasa Cina dan bahasa Melayu pun bukan lain dari nama-nama kesat untuk kelamin wanita. Segalanya berkisar pada dara, kemurnian dan sucinya anu kaum hawa. Kita dihantui dengan pembelaan faraj wanita hingga masyarakat kita dari segi itu boleh diumpamakan sebagai cawat besi yang mutakhir. Kehormatan seorang lelaki manakala tidak pula bergayut pada kelangkangnya. Ini jelas tidak adil. Kalau, misalan kata, saya mengurat seorang teruna dan kami bersetubuh, kehormatan dia tidak tercabul. Tetapi songsangkanlah jantina dan lain pula kesimpulannya. Mengapakah ukuran kehormatan dan nama baik seorang wanita tidak mengambil kira seluruh aspek dirinya, dan bukan sahaja bertumpu pada liang peranakannya? Mengapa janji seorang wanita tidak boleh dikira sebagai jaminan buat dirinya? Kenapakah watak, akal dan pencapaian seorang wanita tidak dinilai dengan lebih tinggi daripada soal sama ada seorang wanita mengizinkan atau tidak seorang lelaki untuk mengisi 'jurang sulitnya'? Saya terharu semasa membaca ulasan-ulasan mengenai 'kes pikat' Daphne Iking. Suami Iking tergamak untuk membalas dendam terhadap pesaing untuk kasihnya dengan menggunakan undang-undang yang berkenaan. Ini satu persendaan. Undang-undang tersebut menyifatkan wanita tidak lebih daripada barang milik peribadi. Di bawah taklukan undang-undang tersebut, Iking tidak lain daripada seekor haiwan beban. "Kamu menggoda kaldai saya supaya masuk ke ladang kamu maka kamu bayarlah ganti ruginya!" Adakah para pembaca mengambil kisah tentang perkara itu? Tidak. Ulasan-ulasan yang ditinggalkan pada rencana itu menjijikan. Para moralis dengan senang-wenang menghakimi Iking, menggelarnya jalang, wanita yang tidak bermoral, pisau cukur. Mereka hairan mengapa majikan Iking tetap menggajinya walaupun tahu tentang masa lampaunya yang tidak menyenangkan itu. Saya tidak mengenali Daphne Iking secara peribadi tetapi saya rasa dia tidak patut difitnah sebegitu rupa kerana tersilap langkah dalam cinta. Tidak pelik jika kita terjatuh hati dengan orang yang salah pada waktu yang salah di situasi-situasi yang paling rumit sekali — itulah hakikat hidup manusia. Mereka yang berdesas-desus tentang siapakah ayah sebenar kepada anak perempuan Iking patut berasa malu. Buat apa menjaga tepi kain orang? Lagipun, apa yang dibuat oleh seorang wanita dengan anu di antara kakinya ialah urusan dia dan bukan urusan siapa-siapa selain darinya. Siapa yang kamu tiduri, tidak tiduri atau mahu tiduri itu sebenarnya urusan peribadi anda. Kita sering bergembar-gembur tentang seks dan moraliti kononnya dan lupa apa ertinya menjadi seorang insan yang baik, berbudi, yang mengambil berat; insan yang tidak menghakimi orang lain dan yang melayan orang lain sepertimana kita sendiri mahu dilayani. Buat kaum hawa, ingatlah: Kini sudahpun abad yang ke-21. Sanjungi diri anda dan naluri cita anda serta berbanggalah dengan hakikat bahawa anda tidak dinilai harga diri berdasarkan alat kelamin anda semata-mata. — english.cpiasia.net * Terjemahan rencana yang bertajuk 'Honour is not found between a woman's legs'; The Malaysian Insider, Mac 9, 2011. * This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified. |
Imej Kuntilanak dekat jambatan runtuh Posted: 27 Apr 2011 06:00 PM PDT HANTU kuntilanak (dalam bulatan) dirakamkan oleh Pego Guntoro dekat sebuah jambatan di Tanjong Anom, Indonesia pada Isnin lalu. TANJUNG ANOM - Seorang lelaki, Pego Guntoro berjaya merakamkan gambar hantu kuntilanak di celah sebatang pokok di sebuah jambatan yang runtuh di sini, lapor sebuah akhbar semalam. Gambar itu dirakamkan oleh Guntoro menerusi telefon bimbit berkamera pada petang Isnin lalu. Dalam imej tersebut, hantu kuntilanak itu memakai baju labuh berwarna putih, rambut panjang mengurai manakala tangannya tidak kelihatan. "Jika diperhatikan, ia seperti kuntilanak," kata seorang rakan Guntoro yang hanya mahu dikenali sebagai Ratno. Menurutnya, semasa gambar itu dirakamkan, Guntoro kelihatan ketakutan dan menghantar imej tersebut kepadanya. Penduduk di sekitar lokasi jambatan itu mengaku kuntilanak pernah dilihat di kawasan tersebut. Seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai Agus menyatakan bahawa dia pernah melihat kuntilanak dengan wajahnya yang cukup cantik semasa melintas di atas jambatan itu. Kuntilanak merupakan hantu yang dipercayai berasal dari ibu hamil yang mati. - Agensi |
Gambar: Obama dedah sijil lahir Posted: 27 Apr 2011 05:00 PM PDT SIJIL kelahiran Barack Obama yang didedahkan semalam. WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama semalam mendedahkan sijil kelahirannya bagi menamatkan isu bahawa beliau bukan warga AS. "Kami tidak mempunyai masa untuk kebodohan ini," kata Obama menerusi ucapan yang disiarkan menerusi televisyen dari White House di sini. Sebelum ini terdapat desas-desus bahawa beliau tidak dilahirkan di AS sehingga menyebabkan bilionair terkenal, Donald Trump menghantar para penyiasat ke Hawaii untuk mengesahkan kedudukan sebenar Obama. Desas-desus itu juga menyebabkan ahli-ahli perwakilan di negeri Arizona mengundi rang undang-undang yang mahukan calon presiden menunjukkan bukti mereka lahir di AS. Dalam sijil kelahiran yang didedahkan semalam, Obama dinyatakan dilahirkan oleh bapa keturunan Kenya dan ibu warga AS di Hawaii. Tempat lahir Obama di Hawaii itu sekali gus menyebabkan beliau layak untuk memegang jawatan presiden AS berdasarkan perlembagaan negara ini. Dokumen kelahiran Obama itu ditandatangani oleh seorang doktor yang menyambut kelahirannya di Hanolulu, Hawaii pada 4 Ogos 1961. "Saya yakin, bahawa rakyat Amerika dan pemimpin politik Amerika boleh bersatu dalam apa jua cara dan menyelesaikan masalah ini," kata Obama. – Agensi |
You are subscribed to email updates from Kerabu Bersuara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan