Kerabu Bersuara ® |
- Keputusan Dan Kedudukan Terkini Liga Super Malaysia
- Raja Petra beri keterangan di Kedutaan Malaysia di Bangkok
- Emel percuma untuk rakyat Malaysia, berbaloikah?
Keputusan Dan Kedudukan Terkini Liga Super Malaysia Posted: 23 Apr 2011 08:24 AM PDT |
Raja Petra beri keterangan di Kedutaan Malaysia di Bangkok Posted: 23 Apr 2011 08:00 AM PDT KUALA LUMPUR, 23 April – Raja Petra Kamarudin memberi keterangan di Kedutaan Malaysia di Bangkok malam ini, dipercayai berhubung akuan bersumpah (SD) beliau menyentuh kes wanita Mongolia Altantuya Sharibuu pada Jun 2008 dan pendedahan terbaru menerusi temu bual televisyen dua minggu lalu. Blogger kontroversial itu (gambar) kini berada di Bangkok sempena majlis pelancaran Pergerakan Bebas Sivil Malaysia (MCLM) cabang Thailand. "Raja Petra Kamarudin, yang berada di Bangkok sekarang, telah diminta oleh pegawai-pegawai Kedutaan Malaysia di sana bahawa beliau perlu ke pejabat misi di ibu negara Thai untuk kenyataannya diambil kira-kira 8 malam waktu Thai (9 malam waktu Malaysia)," kata kenyataan MCLM dikeluarkan di sini sekitar 8 malam waktu Malaysia. Kenyataan itu menambah, pegawai-pegawai Kedutaan Malaysia menyampaikan permintaan itu sebelum majlis dihadiri Raja Petra di Florida Hotel bermula. "Mereka minta beliau (Raja Petra) pergi ke Kedutaan Malaysia dengan segera sebaik sahaja ceramahnya selesai," kata kenyataan itu lagi. Kenyataan itu menambah, Raja Petra yang sebelum ini dilaporkan berada dalam buangan kendiri di London dan baru-baru ini di Australia dan Bali, Indonesia tidak ditahan. Turut bersama Raja Petra, yang juga Pengerusi MCLM ialah presidennya Haris Ibrahim. Kenyataan itu tidak menyebut sebab keterangan diambil dan siapa yang menemu bual Raja Petra. Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar berkata Raja Petra memberikan keterangan secara sukarela kepada pegawai-pegawai PDRM dari Bukit Aman di Kedutaan Malaysia malam ini ekoran permintaan kepada blogger itu. Khalid mendedahkan perkara ini selepas MCLM mengumumkan Raja Petra diminta memberi kenyataan. Bagaimanapun Khalid tidak memberi sebarang butiran lanjut mengenai pertemuan Raja Petra dan polis itu. Dalam satu temu bual bersama TV3 yang disiarkan 13 April lalu, Raja Petra mendakwa beliau tidak pernah menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atau isterinya terbabit dalam kes pembunuhan Altantuya lima tahun lalu. Sebaliknya, pengendali portal Malaysia Today itu berkata, beliau didesak dan dipengaruhi untuk berbuat demikian oleh beberapa individu yang tidak mahu Najib mengambil alih jawatan perdana menteri. Sehubungan itu kata Raja Petra, SD yang dibuat beliau pada 18 Jun 2008 hanya bersandarkan maklumat diperoleh daripada beberapa individu. Menurut Raja Petra, seorang pegawai perisik angkatan tentera dikenali sebagai Leftenan Kolonel Azmi juga memberi maklumat yang sama. "Saya tidak terima lagi cerita itu. Sebab saya rasa mungkin mustahil," katanya. Beliau berkata, kesemua individu ini berjanji akan menjadi saksi sekiranya beliau didakwa di mahkamah. Raja Petra turut menamakan blogger Din Merican. Yang lain ialah Nik Azmi Nik Daud dan John Pang, kedua-duanya pernah bekerja di pejabat veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah. Dalam SDnya, Raja Petra berkata, beliau menerima maklumat daripada beberapa individu kononnya isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berada di tempat kejadian ketika Altantuya dibunuh. Sebelum ini Raja Petra berkata beliau pernah memberikan keterangan kepada polis mengenai SD itu ketika ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Tiga hari selepas siaran temu bual itu, Kementerian Pertahanan menafikan pernah wujudnya "maklumat" berkaitan Altantuya — dirujuk sebagai laporan risikan, yang didakwa Raja Petra Raja diperoleh daripada sumber-sumber boleh dipercayai, untuk digunakan dalam SD tiga tahun lalu. Panglima ATM Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin berkata, "pihak ATM ingin menegaskan bahawa maklumat disampaikan oleh Kolonel Azmi kepada Raja Petra Kamarudin adalah palsu." Azizan juga berkata siasatan terhadap dakwaan yang dilaporkan akan dilaksanakan dengan secepat mungkin dengan satu Lembaga Siasatan akan ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan tersebut. "Hasil siasatan akan dijadikan asas terhadap tindakan yang akan diambil oleh ATM," katanya lagi. |
Emel percuma untuk rakyat Malaysia, berbaloikah? Posted: 23 Apr 2011 05:45 AM PDT PendapatOleh Muhammad Safwan Anang Satu lagi siri keputusan terburu-buru yang dibuat oleh kerajaan walaupun Perdana Menteri dengan tegasnya menyebut bahawa dana yang digunakan bagi membangun projek ini tidak sama sekali menggunakan duit rakyat. Nah, kalau bukan duit rakyat soalnya duit siapa? Kerajaan mana yang sediakan peruntukan tersebut? Perkara ini sebenarnya mengelirukan banyak pihak termasuk kakitangan kerajaan sendiri yang belum tentu mampu mengendalikan projek ini dengan jayanya. Bagi saya bukan emel percuma sebagai pilihan utama kepada rakyat sekarang. Setahu saya banyak lagi pilihan untuk rakyat untuk menggunakan perkhidmatan emel percuma. Sebagai contoh mudah di bank-bank dan perkhidmatan emel daripada universiti pun percuma. Jadi, tidak perlulah kerajaan mewar-warkan inisiatif tersebut yang bagi saya mempunyai kepentingan lain. Nama emel sahaja pun sudah cukup menggambarkan ianya berkepentingan. Apa yang lebih utama diusahakan pihak kerajaan adalah memperuntukkan Internet ke seluruh negara kalau benar-benar ingin jadikan Malaysia sebagai negara maju. Belum pun Internet, nak disediakan emel percuma. Saya sebutkan Internet yang lebih utama dek kerana sumber maklumat yang sangat terhad sekarang menyebabkan rakyat terdedah kepada maklumat-maklumat asas yang boleh jadi benar dan boleh jadi salah. Justeru, saya mencadangkan sediakan Internet terlebih dahulu. Sebagai contoh,apa yang sedang diusahakan oleh kerajaan negeri Selangor yang sedang menggiat usaha meluaskan jalur Internet ke seluruh negeri Selangor. Bahkan pelaburan untuk projek ini sehingga mencecah RM50 juta! Seperti yang dipetik dari sebuah laporan akhbar mengenai ucapan Perdana Menteri: "He said that the RM50 million investment would have a GNI impact of RM39 million up to 2015 Further the 1 Malaysia email initiative will allow direct and secure communications between Malaysian citizens and government as well as enhance delivery of public services." Soalnya, adakah projek ini adil untuk semua rakyat Malaysia walaupun namanya emel 1 Malaysia? Bagaimana para penduduk di kawasan pedalaman yang kawasannya pun belum tentu mempunyai sumber asas seperti bekalan air bersih dan elektrik! Hak asasi ini yang perlu pihak kerajaan lebih peka dan prihatin. Cuma baru-baru ini saya juga dimaklumkan projek pemberian mini komputer riba secara percuma apabila membuat penyambungan Internet pun telah dihentikan oleh pihak kerajaan dengan alasan tidak cukup dana dan kehabisan peruntukan sedangkan projek ini sangat besar manfaatnya untuk rakyat. Janganlah terlalu ghairah mengejar impian sehingga hak asasi rakyat diabaikan. Ibarat kata Karam Singh Walia, kera dihutan disusukan anak dirumah mati kelaparan! Bagi saya juga, pendidikan percuma lebih utama diusaha dan diharmonikan oleh kerajaan berbanding sekadar emel percuma yang katanya bakal mengganti surat-surat rasmi kerajaan kepada rakyat Malaysia dalam usaha berjimat cermat. Bagaimana pula masa depan para posmen di Malaysia? Agaknya mereka pula hilang kerja gara-gara surat sudah bertukar dalam bentuk emel! Sekadar pandangan! * Muhammad Safwan bin Anang @ Talib adalah Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya sesi 2011/2012 |
You are subscribed to email updates from Kerabu Bersuara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan