Sabtu, 23 April 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Qazaf: JAWI Wajar Panggil Trio Datuk T Beri Keterengan

Posted: 23 Apr 2011 01:00 AM PDT

Qazaf: Dua lagi pemimpin PKR beri keterangan

Dua pemimpin pemuda PKR semalam memberi keterangan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) berhubung laporan qazaf yang dibuat oleh Ketua AMK Shamsul Iskandar Md Akin awal bulan ini.

Laporan qazaf itu dibuat ekoran pendedahan video seks yang dikaitkan seorang pemimpin pembangkang yang didakwa mirip dengan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dua pemimpin tersebut - Ketua AMK Wilayah Persekutan Mohd Hamdi Mohd Said dan Ketua AMK cabang Batu Rozan Azen Md Rasip - memberi keterangan secara berasingan di jabatan berkenaan kira-kira jam 3 petang semalam.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Mohd Hamdi berkata beliau bersama Rozan memberi keterangan sebagai saksi setelah mengiringi Shamsul Iskandar sewaktu membuat laporan pada 4 April lalu.

Sewaktu memberi keterangan kepada seorang pegawai penyiasat JAWI, Mohd Hamdi berkata antara soalan yang ditanya mengenai latar belakang peribadi dan penglibatannya dalam parti.

Selain itu, Mohd Hamdi berkata, beliau juga ditanya berkisar mengenai tempoh video seks yang disiarkan dalam internet termasuk tempoh beliau mengenali Anwar yang juga ketua pembangkang.

Menjawab soalan pegawai penyiasat berhubung dari mana beliau mendapat bukti video seks tersebut, Mohd Hamdi berkata:

"Saya memberitahu bahawa mendapat bukti video lucah itu melalui internet, blog dan laporan berita termasuk kenyataan daripada (ahli parlimen Sungai Petani) Datuk Johari Abdul," katanya.

Menurut Mohd Hamdi, beliau juga turut bertanyakan kepada pegawai penyiasat berhubung tindakan JAWI untuk memanggil trio 'Datuk T' - iaitu Tan Sri Rahim Thamby Chik, Datuk Syazril Eskay Abdullah dan Datuk Shuib Lazim.

Mohd Hamdi mendakwa pegawai penyiasat akan memanggil Datuk 'T' "selepas menyiasat" laporan yang dikemukakan oleh mereka.

"Saya minta JAWI memanggil ketiga-tiga trio itu untuk memberikan keterangan... Orang yang mendakwa orang lain berzina perlu mengemukakan empat orang saksi," katanya dengan nada kecewa.

Mohd Hamdi yang juga ketua AMK Wangsa Maju berkata Rozan turut diajukan soalan yang sama sewaktu memberi ketrangan kepada pegawai penyiasat JAWI dalam bilik yang berasingan.

Mereka memberi keterangan selama kira-kira satu jam setengah.

Mereka akan dipanggil untuk memberi keterangan semula jika diperlukan oleh JAWI, tambah Mohd Hamdi.

Pada 23 Mac lalu, trio 'Datuk T' itu mengakui bertanggungjawab menyimpan dan menayangkan video seks yang dikaitkan dengan Anwar kepada sebahagian wakil media di Carcosa Seri Negara, dua hari sebelumnya.

Susulan itu, Shamsul Iskandar membuat laporan qazaf (tuduhan zina) kepada Jawi dan memberi keterangan kepada agensi kerajaan itu pada Isnin lalu. -mk

Tanah Jerlus: Kenapa Tak Protes DBKL & JPS?

Posted: 23 Apr 2011 12:20 AM PDT

PAS Titiwangsa bidas sepanduk burukkan imej Dr Lo' Lo'

Masalah tanah jerlus di Kampung Baru sengaja ditimbulkan bagi meracuni pemikiran rakyat di sekitar Titiwangsa.

PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa hari ini membidas pihak yang tidak bertanggungjawab memasang kain rentang dan sepanduk memburukkan imej Ahli Parlimen Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali.

Kain rentang dan sepanduk itu yang dipasang di sekitar Kuala Lumpur membawa mesej menyalahkan ahli parlimen dari PAS itu berhubung masalah tanah jerlus di Jalan Syed Mahadi, Kampung Baru.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa, Mohd Shahir Abu Hassan berkata, "tuduhan kononnya Dr Lo' Lo tidak mengambil sebarang tindakan berkenaan masalah tanah jerlus itu adalah fitnah semata-mata.

"Masalah ini sengaja ditimbulkan bagi memburuk-burukkan peribadi beliau dan berusaha untuk meracuni pemikiran para penduduk di sekitar parlimen Titiwangsa," katanya.

Menurutnya, Dr Lo'lo' sendiri telah mengambil tindakan yang proaktif berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mengatasi kejadian itu.

"Selain itu, Dr Lo'lo' dan pegawai Pusat Khidmat Titiwangsa sendiri membantu menyediakan tempat tinggal dan berusaha menggunakan sumber yang ada bagi menyediakan makanan kepada mangsa bencana tersebut.

"Usaha ini dijalankan meskipun Pusat Khidmat PAS di Titiwangsa tidak menerima sebarang peruntukan tahunan yang sepatutnya, ujar Shahir.

Shahir membidas sikap Umno dalam hal ini dengan menyoal apa pula tindakan Umno dan Menteri Wilayah Persekutuan? Umno hanya tahu mengkritik dan menabur fitnah tetapi tidak mengambil apa-apa tindakan.

"Slogan Umno "Juara Rakyat" dan slogan Perdana Menteri "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" hanya slogan kosong yang penuh dengan janji-janji manis yang cuba memperbodohkan rakyat.

"Mereka hanya tahu mengumpan rakyat untuk meraih undi menjelang pilihan raya umum yang semakin hampir," tegas beliau. -FMT

Berita Harian Dengan Usaha Terdesaknya Selamatkan Isu Video Seks Yang Sudah Hanyir

Posted: 22 Apr 2011 10:00 PM PDT

Video seks: PKR dakwa media diperalat, kredibiliti PDRM terjejas

Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa akhbar Berita Harian milik Umno diperalat pihak tertentu untuk mengadakan 'perbicaraan melalui media' terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan rakaman video seks.

"Kami turut kesal apabila Berita Harian diperalat pihak tertentu dengan menggunakan 'perbicaraan melalui media', yang cukup jelas bernada politik dalam percubaan terus-menerus untuk mengaib dan menganiaya Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution Ismail hari ini.

Malah kata Saifuddin, harus diingat syarikat Korea Selatan, yang dinamakan oleh akhbar itu, telah dipilih dan diberi maklumat khusus oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang mana ketua-ketua mereka masih menuruti kehendak barisan ahli politik yang mempunyai dendam kesumat terhadap Anwar dan berusaha menamatkan perjuangan reformasi politik beliaunya.

Justeru kata beliau, pihaknya menolak sekeras-kerasnya laporan Berita Harian semalam yang mendakwa lelaki dalam rakaman video seks yang didedahkan "Datuk T" sepadan dengan Anwar.

Semalam, Berita Harian menyiarkan sebuah agensi penyiaran terkemuka Korea Selatan yang menganalisis rakaman videk seks itu mendapati pelaku dalam rakaman itu sepadan dengan Anwar yang juga Ketua Umum PKR berdasarkan perincian saiz tubuh beliau dalam rekod polis.

Kata Saifuddin, pihaknya kesal dengan laporan Berita Harian itu yang sengaja mensensasikan isu rakaman video seks itu ketika sisatan masih dijalankan.

"Kami membantah dan menolak sekeras-kerasnya laporan muka hadapan Berita Harian semalam bertarikh 21hb April 2011.

"Kami kesal kerana Berita Harian dengan sengaja mensensasikan isu video seks itu walaupun penyiasatan polis masih diteruskan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Saifuddin, kesal dengan tindakan Berita Harian yang menyiarkan laporan berniat jahat dengan tujuan menjatuhkan imej dan kredibiliti Anwar.

Tambah Ahli Parlimen Machang itu, pihaknya tetap berpendirian teguh menafikan pelaku dalam rakaman video seks itu adalah Anwar.

"Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menafi sekeras-kerasnya penglibatan beliau dalam video ini.

"Kami juga ingin menyatakan dengan tegas bahawa individu di dalam video itu bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

"Datuk T" — terdiri daripada bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah telah menggemparkan negara apabila mempertontonkan rakaman video seks itu kepada wakil media pada 21 Mac lalu di hotel Carcosa Seri Negara.

Malah ketiga-tiga individu itu telah membuat pengakuan secara terbuka dan akan mengambil tanggungjawab selain bersedia menerima sebarang tindakan undang-undang.

Sehari selepas pendedahan video seks itu, Anwar membuat laporan polis dan menafikan beliau adalah pelaku aksi seks yang didakwa "Datuk T".

Sebelum ini, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata siasatan rakaman video aksi seks itu mengikut Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah telah siap.

Acryl berkata laporan lengkap siasatan itu akan diserah kepada Pejabat Peguam Negara pada bila-bila masa dari sekarang untuk tindakan selanjutnya.

Menurut Saifuddin, kredibiliti PDRM sekali lagi terjejas dan dipersoalkan ekoran pendedahan yang dibuat bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala lumpur Datuk Mat Zin Ibrahim semalam.

Mat Zain mendakwa Anwar pernah dikaitkan dengan pengedaran rakaman aksi seks pada November 1999 dan meminta pihak berkuasa menyiasat sama ada ia ada kaitan dengan pendedahan yang dibuat "Datuk T".

Beliau berkata rakaman video yang pertama diedarkan beberapa hari sebelum pilihan raya umum 1999.

Oleh itu, dalam surat terbukanya kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, Zain meminta pihak polis meneliti kaitan kedua-dua pendedahan berkenaan. -TMI


Menolak sekeras-kerasnya laporan mengenai video seks

Kami membantah dan menolak sekeras-kerasnya laporan muka hadapan sebuah akhbar semalam bertarikh 21hb April 2011.

Kami kesal kerana mereka dengan sengaja mensensasikan isu video seks itu walaupun penyiasatan polis masih diteruskan. Kami turut kesal apabila akhbar tersebut diperalat pihak tertentu demi merekayasa "perbicaraan melalui media" (trial-by-media), yang cukup jelas bernada politik dalam percubaan terus-menerus untuk mengaib dan menganiaya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Harus diingat bahawa syarikat Korea Selatan tersebut telah dipilih dan diberi maklumat khusus oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), yang mana ketua-ketua mereka masih menuruti kehendak barisan ahli politik yang mempunyai dendam kesumat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berusaha menamatkan perjuangan reformasi politik beliau.

Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menafi sekeras-kerasnya penglibatan beliau dalam video ini. Kami juga ingin menyatakan dengan tegas bahawa individu di dalam video itu bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru kredibiliti PDRM sekali lagi terjejas dan dipersoalkan selepas pendedahan oleh bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah KL, Datuk Mat Zain Ibrahim, dalam beberapa surat terbuka beliau:

1) mengenai empat laporan polis yang dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim antara 9 Julai 1999 dan 20 Ogos 1999 mengenai salah guna kuasa dan menghalang proses undang-undang oleh sebilangan individu tersohor, termasuk Tun Dr Mahathir dan Dato Abdul Gani Patail. Mengapakah tiada tindakan lanjut dari pihak polis mengenai laporan-laporan polis ini?

2) mengenai persamaan yang cukup rapat antara "video seks" ini dengan "video seks" yang disebarkan beberapa hari sebelum PRU tahun 1999.

Kami mengajak Rakyat Malaysia bersama-sama menolak "politik lucah", dan marilah bersatu menggesa pemulihan semula institusi-institusi terpenting negara, terutamanya PDRM, SPRM, SPR, dan badan kehakiman.

YB Saifuddin Nasution
Setiausaha Agung
Parti Keadilan Rakyat


Ulasan GB

Apa nama agensi penyiaran terkemuka Korea Selatan yang menganalisis rakaman video seks yang kononnya mendapati pelaku dalam rakaman itu sepadan dengan Anwar yang juga Ketua Umum PKR berdasarkan perincian saiz tubuh beliau dalam rekod polis?

Berita Harian tak sebut sebab ia hanya satu kelentong untuk menipu rakyat Malaysia supaya membuat rumusan bahawa pelaku itu ialah Anwar Ibrahim.

Dikatakan juga kononnya ia berdasarkan kepada biometrik - sesuatu penyelewengan fakta dan pencabulan integriti kewartawanan dimana pendustaan dilakukan untuk menupu pembaca dengan istilah bombastik sedangkan wartawannya sendriti tidak tahu apa itu biometrik.

Dah habis upaya mereka mengenai isu video seks apabila satu demi satu kebenaran terbongkar bahawa ia adalah konspirasi jahat. Kini macam cacing kepanasan, terpaksa gunakan penipuan supaya video seks itu diterima rakyat.

Rakan pun bertanya GB, "ambil jam tangan kat hotel siap ada kad pendaftaran? Katanya rakaman kat hotel, kini kat kondo pula, kata pelacur Cina, rupanya pelajar kolej swasta." Besar sangat penipu UMNO ini.


Banjir Kilat Cacatkan Status "Negeri Maju" Melaka

Posted: 22 Apr 2011 09:20 PM PDT


Banjir kilat cacatkan negeri 'maju'


AYER KEROH, 22 April: Beberapa pihak mempertikaikan status negeri maju yang diisytiharkan kepada Melaka pada 20 Oktober 2010 ekoran banjir kilat yang berlaku di kawasan pentadbiran kerajaan negeri dan komersial di Melaka International Trade Centre (MITC).

Pengarah Nisa' Negeri Melaka, Mahani Osman, 41, berkata kejadian banjir kilat yang berlaku 2 hari lepas benar-benar memalukan negeri yang dikatakan berstatus negeri maju.

"Sebelum ini kejadian banjir kilat seringkali berlaku di kawasan lain, tetapi kali ini ia berlaku di kawasan yang dikatakan sangat maju dan menjadi pusat pentadbiran dan komersil iaitu di MITC.

"Terbukti mereka hanya pandai mendakwa sebagai negeri maju tetapi hakikatnya ianya tidaklah sebagaimana yang mereka dakwa, ianya cukup memalukan kita semua," ujar Mahani yang juga merupakan AJK Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka.

Timbalan Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka, Yusof Wahab pula berkata kejadian banjir kilat yang memalukan itu membuktikan kelekaan dan kelemahan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan yang gagal menguruskan saliran dan longkang di kawasan tersebut sehingga menyebabkan air bertakung akibat longkang tersumbat.

"Takkanlah sudah banjir baru hendak ambil tindakan membersihkan longkang tersumbat, baru terkial-kial mencari punca kepada banjir kilat tersebut.

"Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya dan kerajaan negeri mesti bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kejadian ini yang membuktikan mereka hanya pandai mendakwa negeri maju tetapi gagal menunjukkan imej sebuah negeri maju.

"Benarlah apa yang didakwa oleh banyak pihak sebelum ini bahawa status negeri maju ini hanyalah syok sendiri, orang lain dan badan yang berautoriti pun tidak mengiktirafnya," jelas Yusof.

Ahmad Alang, 43, berkata sebagai penduduk Ayer Keroh beliau berasa malu kerana kejadian banjir kilat ini berlaku di kawasan yang dikatakan paling maju dan menjadi kebanggaan kerajaan negeri.

"MITC menjadi kebanggaan orang ramai kerana disitu ada pejabat-pejabat kerajaan, gedung perniagaan, hotel dan sebagainya, kejadian ini amat memalukan semua orang.

"Saya yakin banjir kilat ini berlaku disebabkan kegagalan pihak berwajib menjalankan penyelenggaraan kepada longkang dan sistem perparitan," katanya.

Menurut beliau selain itu ianya mungkin juga berlaku kerana projek pembangunan di sekitar kawasan itu yang tidak terkawal menyebabkan sistem perparitan menjadi tidak terurus yang akhirnya menyebabkan longkang tersumbat.

Ahmad mencadangkan pihak berwajib memeriksa sistem perparitan dan mengambil tindakan serta merta selain dari menyediakan jadual penyelenggaran yang sistematik dan berkesan.

Rakan beliau, Amar Fauzan, 21, dari Durian Tunggal pula berpendapat kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) mestilah memantau projek-projek disekitar MITC bagi memastikan ianya tidak menjejaskan sistem perparitan di kawasan tersebut.

"Sekarang ini banyak projek mereka buat di sini yang menyebabkan tanah banyak masuk ke dalam longkang dan ini menjadikan longkang tersumbat.

"Longkang pula tidak selalu dicuci dan diperiksa, jadi bila hujan lebat banjir kilat berlaku," kata Ammar.

Dua hari lepas Melaka dikejutkan apabila beberapa kawasan khususnya jalan di kawasan MITC dekat Ayer keroh digenangi air selepas hujan turun dengan lebatnya selama 4 jam. -HD

Utusan Huru-harakan UMNO Dengan 1Melayu 1Bumi

Posted: 22 Apr 2011 07:05 PM PDT

1Melayu, 1Bumi tidak baik untuk negara, kata Dr M

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, idea gerakan "1Melayu, 1Bumi" yang dicadangkan oleh Utusan Malaysia dan disokong Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dan adalah tidak baik untuk negara.

"Saya harap ia tidak berlaku.... Jika kita laksanakan juga, akan terdapat sistem dua parti dalam politik... jika satu dikuasai oleh Melayu dan satu lagi oleh Cina, ia akan membawa mala petaka kepada negara," katanya dipetik Bernama selepas melancarkan Perdana Global Peace Foundation dan Jelajah Keamanan 2011 di Kuala Lumpur hari ini.

Utusan Malaysia Rabu lalu menerusi Timbalan Ketua Pengarangnya, Datuk Zaini Hassan mencabar kerajaan supaya melancarkan gagasan 1Melayu 1Bumi untuk menyelamatkan masyarakat Melayu daripada ditindas masyarakat Cina.

"Apa yang Umno harus lakukan sekarang, di masa yang amat terdesak sekarang, ialah melancarkan gelombang perpaduan bangsa – 1 Melayu, 1 Bumi.

NONE"Tiada makna adanya 1 Malaysia, jika orang Melayu sendiri pun berpecah," tulis Zaini.

Kemelut itu bertambah kusut apabila PERKASA semalam mengumumkan gerakan "1Melayu, 1Bumi" akan menjadi sebahagian daripada "Perhimpunan Melayu" yang akan diadakan pada 30 April ini di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar.

PERKASA cawangan Sarawak juga pada Rabu lalu mendesak kerajaan BN supaya jangan keterlaluan melayan tuntutan kaum Cina yang didakwanya sanggup "membalas susu dengan tuba".

Dr Mahathir turut menasihatkan rakyat untuk memikirkannya secara mendalam mengenai sistem politik perkauman dan menegaskan bahawa ia akan menjadi mala petaka kepada negara jika berlaku. -mk

Ulasan GB

UMNO berantakan sendiri dengan idea yang dilontar Utusan dan disokong PERKASA.

TDM sendiri menganggap idea 1Melayu 1Bumi sebagai idea yang merosakkan sekaligus bakal membawa malapetaka kepada negara.

Najib menjauhkan diri dari diasosiasikan dengan idea sedemikian.

Apa lagi, tutup sajalah Utusan itu kerana memang selama ini ia akhbar yang membawa bencana kepada negara dengan fahaman perkauman sempitnya.


[Bergambar] 4 Maut Dalam Kemalangan Ngeri, Myvi Rempuh Lori

Posted: 22 Apr 2011 06:00 PM PDT

Empat Sekeluarga Dalam Perjalanan Rai Hari Lahir Datuk Maut Kemalangan

PEKAN: Empat sekeluarga yang sedang dalam perjalanan untuk meraikan hari lahir datuk mereka yang ke-81 berakhir tragedi apabila kesemua mereka maut selepas kenderaan mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori treler di KM63 Jalan Kuantan-Segamat dekat Paloh Hinai, awal pagi tadi.

Kesemua mangsa dikenali sebagai Diong Kah Keng, 24 serta isterinya, Koh Kiah Hui, 23; adiknya Diong Kah How, 21 dan seorang saudara mereka, Choi Kok Sin, 23.

Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Yahaya Othman berkata ketika kejadian pada 4.50 pagi tadi, kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu Kah Keng sedang berkonvoi bersama dua lagi kereta ke Kuantan untuk meraikan hari lahir datuk Kah Keng.

Bagaimanapun, katanya setiba di tempat kejadian, kenderaan tersebut melanggar bahagian kanan lori treler yang dipercayai terkeluar daripada laluannya.

"Ini menyebabkan kereta tersebut berpusing sebelum terperosok ke bawah lori terbabit," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya bomba mengambil masa hampir dua jam bagi mengeluarkan mayat kesemua mangsa yang tersepit di dalam kereta berkenaan sebelum dibawa ke Hospital Pekan untuk dibedah siasat.

Yahaya berkata setakat ini, pemandu lori terbabit masih belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Sementara itu, ibu mangsa, Ong Yuet Lian, 43, berkata, mereka bertolak dari Johor Baharu kira-kira 1 pagi.

Katanya dia yang berada berada di hadapan sekali dalam konvoi berkenaan hanya menyedari kemalangan itu selepas dihubungi seorang lagi anaknya, Diong Kah Sian, 15, yang menaiki sebuah lagi kenderaan. - BERNAMA

Hantu UMNO Masih Berkeliaran Di Yayasan Selangor

Posted: 22 Apr 2011 03:50 PM PDT

Masih ada agen Umno dalam Yayasan Selangor'

Macam kerajaan negeri, walaupun menteri besar sudah bertukar, orang Umno masih ada, kata Ilham Marzuki.

PETALING JAYA: Yayasan Selangor mendakwa agen Umno masih berusaha menganggu pentadbiran Yayasan itu walaupun sudah dibuang sebelum ini.

Pengurus Besarnya, Ilham Marzuki mendakwa agen Umno terbabit merupakan orang upahan (Datuk Seri) Noh Omar (Timbalan Pengerusi Umno Selangor).

"Walaupun sudah dibuang tetapi masih ada lagi. Macam kerajaan negeri, walaupun menteri besar sudah bertukar, orang Umno masih ada," katanya ketika ditemui selepas satu majlis yayasan itu di sini hari ini.

Menurut beliau, kontrak beliau sebagai pengurus besar Yayasan Selangor akan berakhir pada 31 Disember depan.

Mengulas perkara itu, beliau menyerahkan kepada pengurusan untuk menentukannya.

Beliau juga menjelaskan, selama lima bulan mulai November lalu beliau tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada kerja kerana terbabit dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Yayasan Selangor didakwa mengalami kerugian hampir RM8 juta akibat salah urus tadbir.

Bagaimanapun, Ilham mendakwa Yayasan telah membelanjakan wang yang banyak untuk membaiki sekolah dan menaik taraf pusat latihan kem bina semangat.

"Defisit Yayasan hanya RM4 juta tetapi sehingga bulan lalu kita telah mencatat keuntungan sebanyak RM1.7 juta," jelasnya.

Berikutan kerugian tersebut, beberapa pihak sama ada parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan SPRM supaya menyiasat Yayasan Selangor.

Mereka juga meminta Ilham meletakkan jawatan sebagai pengurus besar Yayasan Selangor.

Dalam perkembangan berkaitan Ilham berkata, beliau tidak akan membenarkan Yayasan diperalatkan oleh parti politik.

"Ada parti politik menggunakan NGO memohon kemudahan Yayasan untuk aktiviti mereka. Jika untuk pendidikan dan akademik kita akan benarkan," katanya.

Beliau menafikan desas desus kononnya Yayasan memberi wang kepada kerajaan negeri Selangor berikutan dakwaan Yayasan memberi sumbangan membiayai beberapa aktiviti kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat.-FMT

Fukushima Tutup, Lynas Gebeng Sambut Bencananya

Posted: 22 Apr 2011 08:10 AM PDT

Logi Nuklear Fukushima Diarah Tutup Untuk Selama-lamanya

Fukushima – Gabenor Wilayah Fukushima, Yuhei Sato mengatakan, Logi Nuklear Fukushima tidak boleh beroperasi lagi untuk selama-lamanya.

Kenyataan tersebut dinyatakan oleh Sato ketika Presiden Perusahaan Elektrik Tokyo (Tepco), Masataka Shimizu menemuinya untuk meminta maaf atas krisis di logi nukelar Fukushima. Ini merupakan pertemuan pertama mereka sejak insiden tersebut terjadi.

Dalam kunjungannya, Shimizu mengungkapkan penyesalannya yang mendalam atas insiden serius di logi nuklear yang telah menyebabkan bertambahnya beban mental dan fizikal kepada mereka yang sudah menderita akibat bencana alam. Demikian seperti diberitakan NHK, Jumaat (22/4/2011).

Sementara itu Sato menyatakan, hampir 6.000 anak-anak terpaksa dievakuasi dari Fukushima dan tinggal secara terpisah di beberapa tempat penampungan di seluruh Jepun. Sato mengatakan, mereka ingin kembali sesegera mungkin dan meminta Shimizu mengendalikan keadaan logi nukelar secepatnya.

Berkaitan dengan rencana pembukaan kembali logi berkenaan Sato mengatakan, logi tersebut seharusnya tidak boleh beroperasi kembali selama-lamanya.


Radiasi sifar dari loji nadir bumi, kata Lynas

Syarikat perlombongan gergasi Australia, Lynas Corporation Ltd tetap dengan keyakinannya bahawa orang awam akan berdepan dengan pendedahan radiasi "sifar" apabila loji nadir bumi miliknya beroperasi di Gebeng, Pahang.

Dalam dokumen bertarikh 23 Mac tahun ini - yang diberikan kepada Malaysiakini oleh wakil perhubungan awam Lynas, Ogilvy Worldwide - syarikat itu mendakwa, walau apa pun radiasi tambahan dari operasi loji tersebut, hanya akan dialami oleh pekerjanya, dan itupun pada tahap yang rendah sekali.

Memetik hasil Penilaian Impak Radiologi (RIA) yang dijalan dan dibentangkan oleh agensi nasional Nuklear Malaysia pada 2009, Lynas berkata simpanan bahan "sisa" atau produk sampingan operasi mereka ialah "selamat dan tidak menimbulkan risiko kepada orang awam".

"Bagaimanapun, Lynas telah mengambil langkah keselamatan tambahan dengan menempatkan sisa tersebut dalam sel simpanan kejuruteraan yang selamat, yang direka supaya tiada kemungkinan untuk berlaku kebocoran bahan ke persekitarannya," kata syarikat itu dalam satu daripada tiga dokumen untuk menjelaskan mengenai projek tersebut.

Merujuk kepada laporan Nuklear Malaysia, syarikat itu berkata setiap orang menerima purata 2.4 millisieverts (mSv) radiasi dari persekitaran semula jadi mereka setiap tahun.

Lynas juga menyatakan bahawa "had pendedahan tambahan boleh diterima" ke atas orang awam adalah pada 1 mSv setahun dan 50 mSv setahun untuk pekerja - termasuk radiasi latar atau radiasi yang berlaku secara semulajadi dalam persekitaran. -mk


Pemilihan PAS Ditangguh Jika Pilihanraya Diadakan

Posted: 22 Apr 2011 06:50 AM PDT

Pemilihan PAS Akan Ditangguh Jika PRU-13 Diadakan

KUALA LUMPUR: Pemilihan pada Muktamar Agung parti pembangkang itu Jun ini akan ditangguhkan jika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 diadakan pada bulan yang sama.

Pemilihan pucuk pimpinan PAS akan diadakan pada Jun ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali bagaimanapun berkata, buat masa masa ini, pemilihan parti itu akan kekal seperti yang dirancang.

"Saya agak parti-parti lain tangguh pemilihan kerana ia akan memecahbelahkan parti mereka kerana kempen yang terlalu hebat, tapi PAS yakin PAS ada budayanya sendiri.

"Saya juga tak fikir pilihan raya umum diadakan pada Jun," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau mengulas mengenai tindakan beberapa parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk Umno yang menangguhkan pemilihan parti masing-masing sehingga tahun depan ekoran desas-desus bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 akan diadakan tahun ini kemungkinan Jun ataupun akhir tahun.

PAS akan mengadakan pemilihan parti itu pada Muktamar Agung Tahunan ke-57 di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di Taman Melewar, Gombak pada 3 hingga 5 Jun ini.

Kira-kira 1,100 perwakilan dari 179 kawasan akan menghadiri muktamar itu.

Sayap-sayap parti akan bermuktamar pada 1 dan 2 Jun di Shah Alam dekat sini.

Dalam pada itu, Mustafa memberitahu, sebarang persaingan dalam parti tidak akan merosakkan perpaduan dalam PAS.

Malah katanya, pencalonan bagi semua jawatan termasuk presiden, timbalan presiden, naib presiden dan ahli jawatankuasa PAS pusat sudah bermula.

"Tarikh akhir bagi mengemukakan pencalonan adalah 15 Mei," jelasnya.

Katanya, kesemua pencalonan akan dimasukkan dalam peti simpanan manakala calon akan diberitahu berapa pencalonan yang diperoleh sebaik sahaja peti itu dibuka pada tarikh berkenaan.

Tambahnya, Jawatankuasa Pemilih akan menghantar surat tawaran bertanding kepada calon-calon dan mereka perlu menjawabnya dalam tempoh 11 hari iaitu dari 15 hingga 26 Mei.

"Jawatankuasa Pemilih memutuskan bahawa calon yang berhasrat menawarkan diri untuk bertanding mesti menjawab surat tawaran itu, yang tidak dijawab kita anggap mereka tidak ada kesungguhan untuk bertanding.

"Calon-calon akan menilai sama ada mereka hendak terima pencalonan atau menolak pencalonan itu," katanya.

Beliau berkata calon yang berhasrat untuk bertanding pada pemilihan itu masih mempunyai peluang untuk menarik diri sebelum kertas undi dicetak pada 26 Mei.

Menyentuh mengenai muktamar kali ini, Mustafa yang tidak berhasrat bertanding sebarang jawatan berkata, isu PRU ke-13 barangkali akan menjadi antara intipati ucapan dasar Presiden pada muktamar tiga hari itu. -HD


PAS teliti proses siasatan video seks, kata Mustafa

Jika ikut proses undang-undang dan perlembagaan sedia ada, orang yang menyebarkan video sebenarnya melakukan kesalahan - Setiausaha Agung PAS.

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS Dato' Mustafa Ali berkata parti sedang mengikuti proses penyiasatan dengan teliti terhadap isu video seks yang kononnya membabitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"PAS nyatakan sebelum ini agar buat siasatan kerana proses yang dibuat kerajaan berdasarkan undang-undang dan perlembagaan…… dan bukannya mengikut kaedah Islam," katanya.

Beliau berkata, "jika ikut proses undang-undang dan perlembagaan sedia ada, orang yang menyebarkan video sebenarnya melakukan kesalahan.

"Pelaku dari segi moralnya tidak salah, tetapi undang-undang Islam ada. Kita lihat komposisi (isu video seks) jika kerajaan putuskan ikut cara Islam…..tapi kes liwat juga mereka tolak (cara Islam).

"Jika kerajaan kata kes ikut hukum syariah misalnya, maka kita ada pendirian kita," katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat PAS di sini hari ini ketika diajukan persoalan mengenai pendirian PAS berhubung isu video seks itu yang kononnya membabitkan pemimpin pembangkang itu.

Sebelum ini, PAS berpendirian bahawa rakaman video seks itu suatu permainan (politik) yang kotor untuk menjatuhkan karier politik Anwar malah menafikan pelaku merupakan pemimpin kanan pembangkang tersebut.

Walau bagaimanapun menurut Mustafa sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas hasil siasatan terhadap rakaman video itu siap.

Beliau berkata melalui undang-undang Islam, empat saksi yang bakal memberi keterangan perlu mempunyai kelayakan.

'Dalam Islam orang yang jadi saksi ada kriteria. Kita perlu lihat layak atau tidak Datuk Trio ini untuk jadi saksi. Kita kenal personaliti mereka," katanya.

Ketika diasak pertanyaan sekiranya pelaku seks itu adalah Anwar, Mustafa menolak sebarang andaian tersebut.

"Saya tidak jawab andaian…andaian tidak boleh dijawab, jika bukan dia (Anwar) bagaimana? Penyiasatan sedang berjalan dan tiada keputusan," katanya.

Kelmarin bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainal Abidin meminta Anwar melakukan sumpah 'mubahalah' di hadapan masyarakat bagi menjelaskan tuduhan "Datuk T" terhadapnya.

Ini menurut Mohd Asri seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa menafikan beliau terlibat dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu di sebuah masjid di Bukit Mertajam, Pulau Pinang beberapa tahun lalu..

Datuk T terdiri daripada bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuaib

Lazim dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah telah menggemparkan negara apabila mempertontonkan rakaman video seks itu kepada wakil media pada 21 Mac lalu di hotel Carcosa Seri Negara.

'Saya tidak berhasrat untuk bertanding'

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pemilihan muktamar kali ini, beliau juga berpendirian untuk tidak bertanding mana -mana jawatan.

"Walaupun ada pencalonan saya tidak berhasrat untuk bertanding. Jika parti rasa nak teruskan khidmat dan lantik saya sebagai setiausaha, itu terpulang kepada parti dan pimpinan baru yang dipilih," katanya ringkas.

Jawatan setiausaha agung PAS merupakan lantikan daripada parti dan Mustafa memegang jawatan tersebut sejak 2009 bagi menggantikan Datuk Kamaruddin Jaafar yang kini merupakan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.

Muktamar PAS kali ke-57 ini bakal menyaksikan pemilihan dengan 179 kawasan bakal mencalonkan pemimpin yang dianggap sesuai bagi membarisi kepimpinan terbaru parti.

Muktamar tersebut akan diadakan pada 3 sehingga 5 Jun depan dengan Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat akan mengadakan muktamar mereka masing-masing di tempat yang berasingan. -FMT


Integriti SPR Tercabar, Dakwaan Kotak Undi 'Diusik'

Posted: 22 Apr 2011 05:40 AM PDT

Calon PKR bagi kerusi dewan undangan negeri Senadin Dr Micheal Teo dan agen pilihan rayanya semalam membuat laporan polis bahawa peti undi 'diusik' ketika pertarungan sengit pada pilihan raya Sarawak, Sabtu lalu.

Dalam laporannya di balai polis Miri pada jam 5 petang, Teo mendakwa sebahagian besar daripada 44 kotak undi dari Senadin, di mana beliau tewas kepada calon BN dengan hanya 58 undi didapati tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.

Katanya, agennya Peter Abong, diminta bersama agen BN bagi memeriksa kotak-kotak undi oleh pegawai pengurus pilihan raya Chai Ko Het pada 18 April, dua hari selapas tarikh pengundian.

"Kami tidak memohon tetapi dipanggil untuk memeriksa. Apa (Peter) didapati ialah kertas undi telah dipindahkan ke sebuah bekas yang lebih besar yang tidak disita.

"Lebih kurang 10 kota undi yang tidak mempunyai sebarang tandatangan, lapan cop mohornya telah diusik dan dua lagi cop mohornya di tempat yang salah," kata Teoh ketika dihubungi.

Mengikut Seksyen 25A (2) (a) Peraturan Pilihan Raya 1981 di bawah Akta Pilihan Raya 1958, semua kertas undi mesti dimasukkan kembali ke dalam kotak undi selepas pengiraan.

Seksyen 26E (d) akta yang sama pula memnyatakan semua kotak undi dan kandungannya mesti disimpan di tempat yang selamat bagi tempoh enam bulan selepas pilihan raya di mana kemudiannya, ia akan dimusnahkan kecuali diarahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

"Kami rakamkan 47 gambar kota undi dan kertas undi dan melampirkannya bersama laporan polis," kata Teo. -mk

Najib Tersepit, Nafi "Email 1Malaysia" & "1Melayu 1Bumi" Sebagai Pandangan Kerajaan

Posted: 22 Apr 2011 04:20 AM PDT


PM: Tricubes perlu pertahan e-mel 1 Malaysia, bukan kerja kerajaan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan tidak perlu mempertahankan kewajaran projek e-mel 1 Malaysia sebab ia adalah inisiatif swasta sambil menegaskan, Tricubes Berhad yang seharusnya menjual idea tersebut kepada publik.

Dilihat sebagai usaha untuk menjauhkan pentadbirannya daripada reaksi tidak menyenangkan daripada kalangan orang ramai, Najib berkata, Tricubes seharusnya mengambil inisiatif untuk menjelaskan projek e-mel 1 Malaysia kepada orang ramai.

"Biar mereka berikan penjelasan. Bukan segala-galanya (diletakkan) pada saya. Sebab ini adalah cadangan mereka, jadi mereka perlu menjualnya kepada orang ramai.

"Ia adalah inisiatif sektor swasta dan tidak melibatkan wang rakyat, jadi biar mereka ambil inisiatif untuk menjelaskannya," kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Selasa lalu, Najib yang juga Menteri Kewangan memberitahu bahawa rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas akan diberikan akaun e-mel 1 Malaysia bagi tujuan-tujuan rasmi.

Kata beliau, Tricubes Berhad akan membangunkan projek dengan kos awal RM50 juta, portal sepusat yang baru bagi perkhidmatan kerajaan dengan akaun e-mel membolehkan komunikasi langsung dan terjamin antara rakyat dan kerajaan. -TMI


Najib: 1Melayu, 1Bumi bukan pandangan k'jaan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata gerakan '1Melayu, 1Bumi' yang disaran Utusan Malaysia merupakan pendapat peribadi penulis akhbar berkenaan dan bukan pandangan kerajaan.

"Itu pendapat peribadi penulis yang berkenaan tetapi daripada segi kerajaan kita sudah ada gagasan yang cukup jelas dan kita akan teruskan usaha kita.

"Dan, bagi orang Melayu, yang penting sekali mereka sokong Umno kalau hendak bersatu daripada segi politik," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat pada Hari Perhimpunan Petani, Penternak dan Nelayan di Serdang, hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Zaini Hassan dalam ruangan Cuit dua hari lepas, berkata DAP telah berjaya menjadi parti Cina yang telah menyatupadukan orang Cina.

Zaini berkata pada pandangannya Umno harus melancarkan gelombang perpaduan bangsa "1Melayu, 1Bumi".

Ditanya saranan Penasihat DAP, Lim Kit Siang agar DAP bergabung dengan Parti Kebangsaan Sarawak (Snap), Najib berkata: "Itu pembangkang (punya hal)...saya tidak mahu komen tetapi saya tidak nampak macam mana Snap boleh terima DAP kerana ideologi mereka berbeza".

Dua hari lalu, Lim mencadangkan DAP dan Snap bergabung pada pilihan raya umum akan datang dalam usaha memberi khimat yang lebih baik kepada masyarakat Iban-Dayak.

Ditanya mengenai gesaan beberapa pihak agar Tan Sri Abdul Taib Mahmud berundur sebagai Ketua Menteri Sarawak, Perdana Menteri berkata; "Saya telah memberikan komen saya... beri saya masa".

Mengenai rasa tidak puas hati orang ramai berhubung web portal E-mel 1Malaysia, Najib berkata memandangkan projek itu dibangunkan pihak swasta, biarlah pihak berkenaan yang menjelaskannya.

"Biarlah mereka yang membuat penjelasan... ia adalah cadangan mereka. Ia adalah inisiatif sektor swasta dan tidak melibatkan wang rakyat. Biarlah mereka ambil inisiatif untuk menjelaskannya (kepada rakyat)". - Bernama



Di sini mencela, di sana merayu

KUALA LUMPUR, 22 April: Itulah kiasan yang menggambarkan karenah kerajaan Umno Barisan Nasional terhadap kaum Tionghua sekiranya seseorang itu mengikuti berita-berita media tradisional Umno Barisan Nasional kebelakangan ini.

Semenjak menerima tamparan hebat di Sarawak ekoran kehilangan 15 kerusi, 12 di tangan DAP akibat kejatuhan undi popular sebanyak 8 peratus, Umno Barisan Nasional melalui lidahnya, Utusan Malaysia telah melancarkan serangan bertubi-tubi kepada kaum Tionghua dengan label-label seperti 'tidak mengenang jasa' dan menuduh kononnya komuniti Cina mahukan kuasa politik muktamad.

Utusan turut menyeru kerajaan BN Sarawak tidak lagi boleh bersikap terlalu pemurah untuk memberikan tempat kepada perwakilan kaum Tionghua di dalam kabinetnya.

Bahkan, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed turut serta memainkan sentimen yang sama dengan menuduh DAP telah berjaya memisahkan kaum Tionghua daripada kerajaan ekoran kemenangan bergaya parti itu di Sarawak.

Bukan itu sahaja, dalam satu tindakan yang dilihat merobek koyak slogan 1Malaysia ciptaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan telah menyeru pemiliknya, Umno untuk melancarkan gelombang perpaduan bangsa "1Melayu, 1Bumi" untuk menyatukan orang Melayu sebagai reaksi kepada dakwaan bahawa kaum Tionghua sudah bersatu-padu di bawah DAP.

Cadangan Zaini itu ditolak oleh Mahathir hari ini dengan mengatakan bahawa beliau berharap benda itu tidak berlaku kerana itu satu tindakan yang akan membinasakan negara, meskipun NGO kegemarannya, Perkasa sudahpun menawarkan diri untuk mengelapai pergerakan tersebut.

"Saya harap ia tidak akan berlaku. Ia amat tidak baik... orang ramai harus fikir mengenai ini, kita menuju malapetaka jika ia berlaku," kata beliau yang dipetik The Malaysian Insider.

Dalam pada itu, Najib turut menjauhkan pentadbirannya daripada seruan Zaini – dengan mengatakan bahawa cadangan 1Melayu, 1Bumi cumalah satu pandangan peribadi, namun beliau tidak mengatakan secara jelas samada Umno menerima atau menolak idea tersebut.

"Ia pandangan peribadi penulis. Di sudut kerajaan, kami sudah pun ada satu konsep yang jelas dan kami akan meneruskan usaha-usaha kami," beliau berkata.

Namun, situasi suram antara kerajaan Umno Barisan Nasional dengan kaum Tionghua dalam negeri kelihatan jauh lebih positif di peringkat antarabangsa, apabila kerajaan persekutuan tengah berusaha keras untuk berinteraksi dengan para pelabur kaum Tionghua daripada negara China untuk melabur di dalam negara.

Delegasi yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang kini berada di Shanghai sedang merayu syarikat-syarikat China untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia.

"Malaysia mengalu-alukan pelaburan China di dalam sektor pengeluaran dan perkhidmatan, khususnya di dalam aktiviti teknologi tinggi, bernilai tambah dan berasaskan pengetahuan.

"Sebagai respons terhadap peningkatan minat pelabur China, Perbadanan Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kini sedang berunding secara aktif dengan syarikat China yang berminat di dalam sektor logam, kimia, pengangkutan, elektronik dan elektrik, automotif dan makanan," katanya yang dipetik akhbar Berita Harian.

Tambahnya, sehingga kini terdapat lebih 120 syarikat berkepentingan China beroperasi di Malaysia dengan pelaburan modal lebih AS$250 juta (RM754 juta). -HD


Interlok: Muhyiddin Ialah Ancaman Kepada Negara - NIAT

Posted: 22 Apr 2011 02:40 AM PDT

Interlok: TPM bohongi rakyat, dakwa Pengerusi Niat

Pengerusi Badan Bertindak Interlok Kebangsaan (Niat), Haji Thasleem Mohamed Ibrahim mendakwa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membohongi rakyat Malaysia berhubung isu buku kontroversi, Interlok edisi murid.

"Muhyiddin di dalam sesi Parlimen pada 24 Mac menyatakan bahawa Jemaah Menteri bersetuju agar Interlok terus diguna pakai tetapi tiada seorang pun yang menjelaskan pendirian mereka."

"Seterusnya Muhyiddin berkata keputusan penggunaan Interlok berterusan adalah muktamad namun akhbar Sinar Harian melaporkan Muhyiddin sebagai berkata bahawa Interlok hanya akan digunakan selepas pindaan dilaksanakan."

Thasleem turut berkata bahawa Niat tidak akan teragak-agak untuk mengheret Muhyiddin untuk membuktikan penipuan yang dibuat pemimpin kedua tertinggi negara itu.

Justeru itu, Thasleem mencabar Muhyiddin menjalankan pungutan suara untuk memperoleh pandangan rakyat Malaysia kerana pandangan yang diterima beliau dari peringkat akar umbi jelas menunjukkan rakyat menentang penggunaan buku tersebut.

Thasleem turut membidas kenyataan Muhyiddin yang mengatakan bahawa pihak yang membangkitkan isu Interlok merupakan ancaman kepada keselamatan negara.

"Siapa yang jadikan buku ini satu isu? Muhyiddin ialah puncanya. Muhyiddin ialah ancaman kepada negara," tegas beliau.

Mengapa politikus India, mufti berdiam diri?

Beliau turut menjelaskan bahawa pemimpin politik keturunan India masih belum memberi sebarang reaksi kepada pengumuman tersebut.

Sehubungan itu, Thasleem bertegas mahu mengetahui pendirian Presiden MIC, Dato' G Palanivel yang mahukan Interlok dihentikan penggunaannya tetapi menikus seribu bahasa.

"Bagi MIC, isu mereka hanya perkataan 'paria' tapi bagi kita seluruh buku ini salah," ujar beliau.

Beliau menambah bahawa sekiranya Palanivel gagal bersuara mereka akan membangkitkan isu yang mengejutkan dalam beberapa minggu.

Thasleem juga memberitahu sidang media bahawa beliau menunggu reaksi mufti negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan berhubung isu ini.

"Saya beranggapan mereka tidak memberi reaksi kepada surat-surat yang saya tulis kerana mereka bersetuju dengan pandangan saya bahawa Interlok bertentangan dengan agama Islam."

Kepada Gabungan Penulis Nasional (Gapena) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang menyokong penggunaan Interlok, Thasleem menggesa agar mereka mengkaji perkara ini dari perspektif Islam.

Sementara itu, ahli jawatankuasa Niat, A Rajaretinam berkata bahawa kerajaan pimpinan Barisan Nasional akan menghadapi natijah besar sekiranya memperlekehkan permintaan masyarakat India agar Interlok digugurkan.

Niat bercadang untuk menghadap Sultan Selangor, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan Yang Dipertuan Agong sebagai salah satu jalan untuk menghentikan penggunaan Interlok di sekolah.

Mereka juga bercadang menghantar memorandum kepada Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan dalam tempoh terdekat.

Isu kontroversi Interlok timbul pada Disember tahun lalu hingga membawa kepada penubuhan panel bebas dalam bulan Januari.

Seterusnya lebih dari 100 saranan telah diterima untuk dibuat pindaan dalam buku tersebut namun Niat tetap membantah atas pelbagai sebab. -FMT

IGP Pengsan Dan Dimasukkan Ke Hospital

Posted: 22 Apr 2011 02:00 AM PDT

IGP pengsan pagi ini, dimasuk hospital

KUALA LUMPUR, 22 April — Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dimasukkan ke hospital pagi ini selepas pengsan ketika perhimpunan bulanan di ibu pejabat PDRM di Bukit Aman.

Beliau yang dilantik mengetuai PDRM September lalu dimasukkan ke Pusat Perubatan Pantai, Bangsar.

Sehingga berita ini ditulis punca beliau pengsan belum diketahui.

Dalam pada itu, Bernama Online menyebut bahawa Ismail dimasukkan ke hospital selepas mengadu tidak sihat ketika menghadiri perhimpunan bulanan hari ini.

Ismail dibawa ke hospital itu sejurus majlis itu berakhir kira-kira pukul 10.30 pagi.

Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Robiah Abd Ghani berkata pemeriksaan doktor mendapati Ismail hanya kepenatan dan berada dalam keadaan stabil.

"Pada penghujung majlis itu, Tan Sri mengadu pening, tidak sedap badan dan rasa mahu pitam sebelum beliau dikejarkan ke sini.

"Pemeriksaan doktor mendapati beliau tidak sakit dan tiada apa yang tidak kena cuma kepenatan, malah beliau boleh bercakap seperti biasa," katanya kepada pemberita di pekarangan pusat perubatan itu.

Beliau berkata doktor juga meminta Ismail untuk berehat di dalam wad buat beberapa hari bagi pemantauan lanjut.

Dalam pada itu, isteri Ismail Puan Sri Suriati Md Sobri yang enggan ditemu ramah pemberita hanya memberitahu yang suaminya sedang berehat. -TMI

Ulasan GB

Setiap sesuatu yang menimpa kita, ada hal yang perlu dimuhasabahkan.

Lewat kebelakangan ini Ketua Polis Negara kerap mengeluarkan kenyataan-kenyataan terhadap isu-isu yang menggemparkan negara. Misalnya isu video seks.

Sebagai "ketua" sebuah agensi yang sepatutnya "menegakkan undang-undang secara adil dan saksama" tentulah beban amanah yang dipikul itu, besar impaknya kepada diri sendiri.

Apabila kita tidak melaksanakan amanah dengan jujur dan adil maka kita akan diberikan peringatan dari langit dan kemudian terpulang kepada kita untuk mengambil iktibar daripadanya atau pun tidak.

Apabila kita melakukan kerja tidak betul secara terang-terangan, maka Allah pun menurunkan ujianNya secara terang-terangan juga.

Tun Mahathir selepas menghadiri satu perhimpunan PERKASA yang begitu bersemarak membangkitkan semangat assabiyah Melayu di kota Baharu, jatuh sakit selepas itu.

Najib pernah "dikurniakan" demam campak dan Muhyiddin pula pernah diberikan peringatan helikopter terhempas dua kali.

Samada mereka ambil iktibar daripadanya, terpulang kepada mereka.

GB pernah mengulas sebelum ini mengenai zon umur subsidi.


Seseorang insan apabila disayangi Allah, Allah akan mengurniakan sedikit masa di zon umur subsidi. Pengalaman ramai yang menghidapi penyakit samada kronik atau pun tidak sehingga sudah terlantar di ICU pun, kemudian tiba-tiba seperti muncul satu keajaiban di dalam hidup, mendapati diri disegarkan semula oleh s.w.t. untuk satu jangkawaktu yang ditentukan olehNya.

Ia adalah satu zon waktu yang amat singkat, pemberian Allah s.w.t. kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan di waktu inilah sepatutnya dipergunakan untuk membersihkan diri serta memuhasabah diri agar kita dapat diterima kembali ke sisiNya.

Seandainya kita lalai untuk melakukan penghisaban diri sendiri sewaktu di zon berkenaan, alangkah ruginya kita, kerana selepas itu, kita kembali ke rahmatNya dan tidak akan datang-datang lagi ke dunia fana ini.

Naluri manusia cenderung ingin hidup selama-lamanya. Al-Quran melukiskan keinginan sekelompok manusia untuk hidup selama mungkin dengan firman Allah yang bermaksud:

"Dan sesungguhnya kamu akan mendapati mereka seloba-loba manusia kepada kehidupan (di dunia), bahkan (lebih loba lagi) daripada orang- orang musyrik. Masing-masing ingin agar diberi umur seribu tahun, padahal umur panjang itu sekali-kali tidak akan menjauhkannya daripada seksa. Dan Allah mengetahui apa yang mereka kerjakan." (Surah Al Baqarah: Ayat 96).

Maka itu Allah memperingatkan kita dengan pelbagai ujian berupa kekurangan, kesakitan dan sebagainya sebelum kita dibawa pulang selama-lamanya supaya nanti kita dapat melakukan penilaian diri disamping memohon ampun terhadap apa jua kesalahan dan dosa yang pernah dilakukan.

Andainya zon singkat itu diabaikan, tiada lagi peluang selepas itu. FirmanNya:

"Sehingga apabila maut mendatangi seseorang daripada mereka, dia berkata: "Rabbi (wahai Tuhanku), kembalikanlah aku (ke dunia). Agar aku kerjakan amal yang salih, terhadap yang aku tinggalkan dahulu. (Jawapan Tuhan)Sekali-kali tidak! Sesungguhnya itu cuma perkataan yang diucapkannya sahaja. Dan ke belakang (iaitu di hadapan) mereka ada barzakh (sempadan pembatas), sampai hari mereka dibangkitkan." (Al-Mukminun 99-100)



Tiada ulasan: