Rabu, 13 April 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Peniaga Masakan Ikan Patin Dakwa Difitnah Kenakan Bayaran RM13,000

Posted: 13 Apr 2011 01:00 AM PDT

Temerloh – Pemilik kedai makan berasaskan ikan patin di bandar ini meminta pelanggan yang mendakwa terpaksa membayar sehingga RM13,000 untuk hidangan ikan jenis itu supaya tampil menunjukkan resit bayaran sebagai bukti kenyataan mereka yang disiarkan akhbar daripada laporan sebuah agensi berita, semalam.

Ini kerana menurut mereka, dakwaan itu telah menyebabkan reputasi perniagaan mereka terjejas apabila pelanggan takut dikenakan harga yang melampau dan tidak munasabah jika meminta hidangan ikan patin.

"Dakwaan harga sampai RM13,000 hidangan ikan patin untuk dimakan 52 orang itu benar-benar boleh merosakkan bisnes kami dan industri ikan patin di Temerloh. Kalau betul, tunjukkan bukti. Jika tidak ada bukti, kami anggap ini fitnah," kata seorang peniaga yang meminta namanya tidak disiarkan.

Menurutnya, dalam isu seperti ini, bukan peniaga sahaja perlu ada timbang rasa, malah pelanggan juga perlu ada sifat tanggungjawab.

"Jangan lempar batu sembunyi tangan. Jangan buat kenyataan yang umum tapi sertakan bukti, sebutkan kedai yang mana satu. Ikan patin Temerloh terkenal di seluruh negara, kenyataan yang seperti ini ibarat masukkan pasir dalam periuk nasi kami selain menghalang orang luar untuk datang makan ikan patin yang memang sedap dan berkualiti," katanya.

Menurut peniaga itu lagi, di kedainya - antara kedai ikan patin yang tersohor di bandar ini - bayaran tertinggi pernah dikenakan hanya sekitar RM6,000 sahaja.

"Itu pun tengok pada hidangan. Pelanggan seramai lebih 130 orang itu minta macam-macam, ada masakan ikan patin, jelawat, udang galah malah rokok saja berkarton. Ada yang ambil rokok sampai tiga kotak seorang," katanya.

Katanya lagi, bilangan pelanggan yang ramai dan permintaan yang boleh disifatkan 'melampau' seperti itu berlaku pada musim Pilihan Raya Kecil (PRK) Kerdau baru-baru ini.

"Ini perkara biasa pada musim pilihan raya. Mungkin ada orang besar politik yang turun nak belanja anak buah, penyokong atau jentera parti. Mereka boleh berbelanja besar kerana mereka mampu tapi tidaklah sampai RM13,000," katanya.

Menurut peniaga itu lagi, kedainya memang jadi tumpuan penggemar ikan patin malah ada orang kaya dari luar termasuk ahli politik yang jadi pelanggan tetap.

"Mereka ini bukan datang sekali dua malah dengan saya sendiri pun bukan setakat kenal tapi sudah jadi kawan baik. Mereka tahu harga ikan patin dan hidangan ikan sungai lain yang memang agak mahal tapi itu bukan alasan untuk saya kenakan harga yang tinggi bagi orang biasa. Kita hidang ikut pilihan dan permintaan pelanggan tapi tidaklah semahal itu," katanya.:

Menurutnya, jika benar dia meletakkan harga yang 'gila-gila' tanpa mengambil kira kesan terhadap pelanggan pada musim pilihan raya lalu, mana mungkin kedainya terus menerima pelanggan yang ramai selepas musim itu.

"Ada juga pelanggan yang datang pertama kali pada musim pilihan raya, sampai sekarang pun terus datang lagi," katanya.

Seorang lagi peniaga yang hanya mahu dikenali Amran berkata, ada juga pelanggan yang selepas bayar, minta bil kosong dengan pelbagai alasan.

"Biasanya kalau ada yang minta begitu, kami beri sebab mahu jaga hati pelanggan kerana kami tak jangka akan memudaratkan kami. Mungkin mereka sendiri mahu buat tuntutan tinggi kepada bos mereka sama ada ahli politik ataupun syarikat masing-masing. Sekarang, selepas ada dakwaan seperti ini, kami perlu lebih berhati-hati," katanya.

Amran berkata, dia menjual harga ikan patin muncung liar antara RM80 hingga RM100 sepotong bergantung pada saiz, manakala ikan patin buah liar RM16 hingga RM28 sepotong dan ikan patin sangkar RM8 hingga RM10.

Manakala ikan jelawat dijual antara harga RM30 hingga RM40 sepotong, udang galah antara RM20 hingga RM30 juga bergantung pada saiz. -SH

Hidangan ikan patin RM13,000?

KUALA LUMPUR, 11 April – Sekumpulan 50 pelanggan yang makan hidangan masakan kampung termasuk ikan patin di sebuah restoran di Temerloh, Pahang terkejut apabila mereka dikenakan bayaran RM13,000.

Seorang daripada kumpulan itu, yang dipetik Bernama Online dan enggan namanya disiarkan berkata, dia membawa rakan-rakannya menikmati makan tengah hari di restoran berkenaan baru-baru ini yang menyediakan ikan-ikan sungai, ulaman dan sayur-sayuran kampung.

"Selesai makan, pemilik restoran berkenan mengenakan bil berjumlah RM13,000 dan saya terpaksa membayar," katanya.

Beliau berkata, jika dikira, setiap seorang daripada 50 orang itu, dikenakan bayaran RM260.

"Ini melebihi makan di restoran enam bintang di Kuala Lumpur," katanya.

Kejadian itu kini menjadi bualan peniaga serta penduduk di daerah Temerloh.

Difahamkan ikan patin buah atau patin muncung dijual pada harga antara RM90 dan RM120 sekilogram, dan apabila dimasak, ia dijual dengan harga RM25 hingga RM35 seketul mengikut saiznya.

Ikan patin sangkar pula berharga RM15 sekilogram, dan jika dimasak, dijual antara RM5 dan RM7 seketul.

Ikan patin sungai berwarna kelabu manakala patin sangkar berwarna cerah dan putih di bahagian sisik atas dan bawahnya pula berwarna kemerahan serta banyak lemak.

Ketua Pegawai Bahagian Penguat Kuasa Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan cawangan Temerloh, Othman Din, meminta restoran dan kedai makan di Temerloh supaya mempamerkan tanda harga atau menyediakan harga pada menu jualan bagi kemudahan pelanggan dan orang ramai.


Krisis Nuklear Jepun Sudah Menyamai Chernobyl

Posted: 13 Apr 2011 12:00 AM PDT

Tokyo - Jepun meletakkan krisis nuklear Fukushima Daiichi di timur laut negara itu menyamai tragedi nuklear terburuk dunia di Chernobyl, Ukraine pada tahun 1986 selepas data baru menunjukkan lebih banyak radiasi merebak semasa krisis itu tercetus berbanding jangkaan sebelum ini.

Beberapa pegawai berkata, mereka mengambil masa agak lama untuk menyukat kadar radiasi dari loji Fukushima yang rosak dalam gempa bumi pada 11 Mac lalu dan peningkatan tahap krisis nuklear tersebut pada tahap tertinggi tidak bermakna bahawa situasi kini bertambah buruk.

"Persediaan kami adalah bagaimana untuk mengukur kebocoran radiasi apabila berlakunya tsunami dan gempa bumi adalah tidak cukup dan hasilnya kita lambat dalam menyebarkan maklumat di peringkat antarabangsa," kata pegawai kanan di Pejabat Perdana Menteri Jepun Naoto Kan.

Justeru, Timbalan Ketua Pengarah Agensi Keselamatan Nuklear dan Industri (NISA) Jepun, Hidehiko Nishiyama, berkata, keputusan menaikkan tahap bahaya krisis nuklear daripada tahap lima kepada tahap tujuh seperti yang dilaksanakan ketika bencana Chernobyl adalah berdasarkan jumlah radiasi yang dibebaskan.

"Sebelum ini pun, kami pernah mempertimbangkan keadaan ini sebagai insiden serius. Tidak akan berlaku perubahan besar dalam cara kami mengendalikan masalah ini," katanya.

Satu lagi gempa bumi melanda timur Jepun semalam menyebabkan kebakaran berlaku di loji nuklear yang bocor itu tetapi jurutera-jurutera yang bertugas di loji terbabit berjaya memadamkan api tersebut.

Tahap tujuh bermakna jumlah radiasi yang dibebaskan adalah besar dengan memberi kesan buruk keatas kesihatan manusia dan alam sekitar sehingga melibatkan kematianmanakala tahap 5 pula hanya membabitkan pengeluaran radiasi dalam jumlah yang terhad.

Tragedi di Chernobyl berlaku pada 26 April 1986 yang melibatkan 350,400 penduduk dipindahkan dari kawasan tersebut.

Letupan tersebut menyebabkan kadar radiasi yang tinggi tersebar di ruang udara di sekitar bandar tersebut. - Agensi

PRN Sarawak: Meledaknya Angin Perubahan Sehingga Maskot "Ubah" Habis Dijual

Posted: 12 Apr 2011 10:59 PM PDT

Patung mainan burung kenyalang yang dihasilkan oleh DAP Sarawak bagi kempen pilihan raya negeri hampir habis dijual.

Menurut setiausaha publisiti DAP, Tony Pua, patung yang diberi nama "Ubah" dan dihasilkan sebanyak 30,000 itu dijual pada harga RM10 sebuah. Ia kini dilaporkan kehabisan di kebanyakan tempat di seluruh Sarawak.

Katanya, parti itu juga menghasilkan 30,000 patung yang lebih besar dan dijual pada harga RM60 sebuah.

"Kami baru bawa bekalan terakhir iaitu sebanyak 300 'Ubah' besar dari Kuala Lumpur. Apabila habis dijual, kita tidak akan hasilkan lagi," katanya.

Beliau juga berkata terdapat banyak rungutan daripada penyokong DAP yang kecewa kerana tidak dapat membeli patung berkenaan.

"Kami langsung tidak menjangkakan ia begitu laris, jadi kami tidak menghasilkannya dalam jumlah yang besar," kata Pua (kanan).

Jualan 'Ubah' sebegitu laris khususnya ketika DAP mengadakan ceramah-ceramahnya. Penyokong tidak melepaskan kesempatan meminta pemimpin DAP menurunkan tandatangan mereka di paruh maskot itu

Antara yang sering menjadi buruan penyokong adalah tandatangan setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng yang juga ketua menteri Pulau Pinang.

Pada perhimpunan di Kuching, Ahad lalu, ribuan cuba mendapatkan tandatangan Lim sehingga juruacara majlis meminta kerjasama orang ramai membenarkan Lim beredar kerana terpaksa menghadiri majlis lain.

Pegawai SPRM Berambut Panjang Ini Hanya Mengandaikan Teoh Yang Berbaring Di Sofa

Posted: 12 Apr 2011 09:00 PM PDT

Raymond: Saya jangka beliau adalah Teoh

Rambut panjang yang dimiliki penolong penguasa kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Sarawak, Raymond Nion Anak John Timban menjadi perhatian Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock, hari ini.

Raymond dikatakan adalah orang terakhir yang melihat pembantu politik DAP itu masih hidup sekitar jam 6 pagi, 16 Julai 2009.

Pesuruhjaya Dr Mohd Hatta Shahrom, seorang pakar psykiatri bertanya kepada Raymond sejak bila rambut itu disimpan dan jawabnya selama "setahun setengah yang lalu".

Mohd Hatta: Adakah awak selasu ikat rambut?

Raymond: Tak, bukan selalu. Ada kala saya lepaskannya, Tetapi bila...

Mohd Hatta: Bila awak ikat rambut?

Raymond: Ada kala ketika merakamkan kenyataan daripada saksi. Atau berada di luar pejabat. Saya ikat rambut bagi elakkan panas.

Mohd Hatta: Kenapa awak simpan rambut panjang?

Raymond: Untuk elakkan orang mengecam atau mengenali saya. Ada kalanya ketika operasi, apabila mereka tahu dan mengenali kita, mereka akan berjaga-jaga.

Mohd Hatta: Adakah rambut awak panjang sebelum bekerja di SPRM?

Raymond: Ya, ini perkara biasa bagi kami di Sarawak, ia budaya kami.

Penolong Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Sarawak, Raymond Nion Anak John Timban hari ini menafikan dakwaan yang kononnya beliau sengaja mereka-reka cerita ketika ternampak Teoh Beng Hock pada awal pagi, 16 Julai 2009 di pejabat SPRM Selangor.

Raymond turut tidak bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh peguam Choew Wee dari Majlis Peguam kerana pada waktu itu (6 pagi), beliau memang ternampak kelibat seorang lelaki Cina yang berbaring di sofa berhadapan bilik Pegawai Perakam SPRM Mohd Nazri Ibrahim.

Bagaimanapun, Raymond tidak dapat mengenal pasti sama ada lelaki Cina yang berbaring di sofa itu adalah Teoh kerana keadaan pada ketika itu gelap dan samar-samar.

"Saya tidak nampak dengan jelas siapa lelaki itu, tetapi saya tahu dia adalah lelaki Cina, dan mungkin dia adalah Teoh," katanya.

Raymond juga turut bersetuju dengan Choew bahawa beliau tidak pasti sama ada 'lembaga' yang dilihatnya berbaring di atas sofa dalam keadaan hidup atau tidak.

Ketika disoal Choew bagaimana Raymond mengetahui lelaki Cina itu adalah Teoh sedangkan beliau tidak mengenali Teoh sebelum ini, Raymond berkata: "Saya hanya mendapat tahu lelaki Cina yang berbaring di sofa itu adalah Teoh apabila diberitahu mengenai perkara itu oleh Hairul Ilham ketika berjumpa dengan Pemangku Penolong Pesuruhjaya SPRM itu di tempat letak kereta di Putrajaya, lebih kurang 4.30 petang, 16 Julai 2009".

Raymond, yang juga saksi ke-30 suruhanjaya itu, turut bersetuju dengan Choew bahawa lelaki Cina yang berbaring di sofa pada pagi, 16 Julai 2009 adalah Teoh selepas berbincang bersama dengan pegawai SPRM yang lain ketika kembali ke pejabat.

Beliau menjelaskan berdasarkan perbincangan bersama dengan pegawai-pegawai SPRM yang lain, beliau merupakan orang yang terakhir melihat Teoh pada pagi, 16 Julai 2009, selain pernah melihat Teoh untuk kali pertama di ruang tamu Penmas (Bilik Pendidikan Masyarakat SPRM, Selangor) pada pukul 12 tengah malam, 15 Julai 2009.

Raymond turut memberitahu prosiding, beliau dapat mengecam Teoh selepas pegawai penyiasat, Mohd Anuar Ismail menunjukkan gambar beliau (Mohd Anuar) bersama dengan Teoh yang juga setiausaha politik exco Selangor itu.

Sementara itu, ketika ditanya peguam Datuk Seri Muhammed Shafee Abdullah yang mewakili SPRM bagaimana beliau (Raymond) mengetahui bahawa lelaki itu adalah berbangsa Cina, Raymond berkata: "Saya lihat berdasarkan warna kulit yang cerah, dan saya menganggap lelaki Cina yang berbaring di sofa adalah sama dengan lelaki Cina di dalam gambar bersama Hairul Ilham".

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Suruhanjaya itu dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat 'keputusan terbuka'. - Bernama

Ulasan GB

Pelik. Pertama, beliau menyatakan "tidak dapat mengenal pasti sama ada lelaki Cina yang berbaring di sofa itu adalah Teoh kerana keadaan pada ketika itu gelap dan samar-samar"

tetapi kemudianbeliau menyatakan:

"Saya lihat berdasarkan warna kulit yang cerah, dan saya menganggap lelaki Cina yang berbaring di sofa adalah sama dengan lelaki Cina di dalam gambar bersama Hairul Ilham

Keadaan ketika itu gelap dan samar-samar, tetapi beliau boleh menyatakan ia lelaki Cina dan kulitnya cerah!

Ini bererti samada cerita Teoh berbaring di atas sofa itu samada rekaan, atau hanyalah anggapan (andaian) semata-mata - sepertimana yang diakuinya sendiri.

Sekadar untuk rekod,


Raymond Nion berasal dari Betong, Sarawak. Beliau adalah salah seorang yang didapati menonton bahan lucah menerusi komputer di pejabatnya sebelum Teoh Beng Hock ditemui mati Julai 2009.

Sekretariat suruhanjaya pernah mengeluarkan laporan analisis penyiasat khas berhubung kandungan komputer yang digunakan oleh Raymond Nion, pegawai dari pejabat SPRM Selangor.

Sebelum ini, Suruhanjaya Siasatan Diraja mendedahkan bahawa Asisten Superintenden Mohd Ashraf Mohd Yunus juga menonton pornografi menggunakan komputernya awal pagi 16 Julai 2009 selepas menyoal siasat Teoh.

"Raymond Nion... akses laman pornografi, filem, muzik," kata pegawai penyiasat khas suruhanjaya Michael Leslie Squires dalam laporannya.


Selebih baca di SINI.

Sementara nama Hairul Ilham dikaitkan dengan kes deraan Sivanesan di pejabat SPRM Selangor, Plaza Masalah, iaitu lokasi dimana mayat Teoh dijumpai.

Selain Ashraf, beliau juga menamakan Khairul Nizam, Zulkifli, dan Hairul Ilham Hamzah sebagai pegawai yang memukulnya itu.


Selebihnya baca di SINI

Muga kebenaran akan terserlah.

Itulah pentingnya untuk kita berdoa dan mengharap kepadaNya seperti yang pernah GB tuliskan di dalam tulisan-tulisan yang lalu:

1) Allahumma arinal haqqa, haqqa, warzuqnattiba'ah,
wa arinal bathila bathila, warzuqnajtinabah


Ya Allah, tunjukkanlah yang haq itu sebagai haq, dan kurniakanlah kami kekuatan utk mengikutinya, dan tunjukkanlah yg batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya.

2) Rabbi adkhilni mudkhala sidqin wa akhrijni mukhraja sidqin waj'alli min ladunka sulthanan nashiran wa qul ja alhaqqu wa zawaqal bathilu innal bathila kana zahuqan

Ya Allah, masukkanlah aku secara masuk yang benar dan keluarkanlah(pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang menolong. Dan katakanlah yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.

Kebenaran tetap akan menang mengalahkan kebatilan sepertimana janjiNya:

Firman Allah bermaksud ,

Katakanlah : Telah datang yang haq (kebenaran) dan telah lenyap yang batil atau yang palsu. Sesungguhnya yang batil itu pasti lenyap. (Al Israa' 81)

Kes Sarbaini: Keluarga Tertekan Dan Mahu Nama Sarbaini Dibersihkan Dari Tuduhan Membunuh Diri

Posted: 12 Apr 2011 07:34 PM PDT

Kes Sarbaini: Keluarga tertekan, percaya Allahyarham bukan bunuh diri

Keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed masih percaya penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) itu, yang ditemui mati di premis SPRM Rabu lalu, bukannya membunuh diri dan oleh itu, mahu individu menyebabkan kematian bapa kepada lima anak itu dibawa ke muka pengadilan.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, sepupu Allahyarham yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail berkata, pihaknya masih percaya tidak mungkin pegawai kastam itu sanggup "membunuh diri" seperti yang didakwa pihak tertentu termasuk media.

"Kami cukup tertekan, kenapa boleh kata macam itu? Saya nak pegawai yang bunuh abang saya didakwa, siapa yang panggil dia (ke pejabat SPRM)? Siapa yang buat mesti bertanggungjawab dan mengaku, biar mahkamah yang buat keputusan nanti.

"Kami juga mahukan siasatan terperinci yang dibuat, kami tidak mahu keputusan yang akhirnya kata bukan bunuh diri atau dibunuh, kami mahukan keputusan tepat," katanya ketika dihubungi semalam.

Ahmad Sarbaini ditemui mati di aras satu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Wilayah Persekutuan di sini, Rabu lalu.

Dia merupakan salah seorang daripada 62 pegawai kastam yang menjadi tumpuan Operasi 3B kendalian SPRM dan beberapa agensi kerajaan yang lain.

Ia kejadian kedua dalam dua tahun ini. Kes kematian Teoh Beng Hock, yang ditemui jatuh dari Plaza Masalam. yang menempatkan pejabat SPRM Selangor, pada Julai 2009, masih disiasat oleh suruhanjaya diraja.

Tambah Ismail, tuduhan mengatakan Ahmad Sarbaini "membunuh diri" telah menyebabkan keluarga Allahyarham tertekan dan tidak boleh menerimanya.

Malah menurut Ismail, keluarga mereka juga menafikan dengan keras Ahmad Sarbaini telah "membunuh diri".

"Saya nak beritahu, keluarga tertekan bila kata dia bunuh diri, saya nafikan dia bunuh diri, malah sehingga hari ini keluarga masih tidak boleh terima dakwaan yang mengatakan dia bunuh diri . . . keluarga kami tidak boleh terima.

"Jadi jangan buat andaian yang bukan-bukan, jangan buat tuduhan tidak berasas . . . tuduhan kata bunuh diri itu saya dan keluarga tidak boleh terima, saya rasa macam nak pukul siapa yang buat," katanya.

Seolah-olah kesal dengan cara siasatan SPRM, Ismail membangkitkan pelbagai persoalan berhubung tragedi itu.

"Saya nak tanya, abang saya jumpa dengan siapa di sana? Dia pergi ke sana awal pagi, jadi siapa yang dia jumpa? Siapa yang bawa dia masuk (dalam pejabat SPRM)? Siapa yang sahkan kematian dia?

"Bila sudah mati, siapa yang ambil pakaian dia? Polis atau pegawai SPRM? Ini satu kemusykilan, siapa yang ambil? Siapa yang sampai di sana dulu? Polis atau ambulans? Kami mahu semua ini diperjelaskan, kami mahu nama keluarga kami dibersihkan . . . kami mahu siapa yang bertanggungjawab dalam hal ini didakwa.

"Kami mahu individu yang sebabkan kematian Ahmad Sarbaini didakwa, siasatan perlu diadakan segera. Saya juga tidak bersetuju dengan cara siasatan SPRM, kami tidak boleh terima semua ini," katanya.

Ahmad Sarbaini meninggalkan balu Maziah Manap, 50 dan lima orang anak.

The Malaysian Insider yang turut mengunjungi rumah Ahmad Sarbaini di kawasan kuarters Kastam, Kelana Jaya juga mendapati ramai ahli keluarga masih menemani keluarga Allahyarham.

Bagaimanapun, Maziah enggan memberikan sebarang komen berhubung tragedi yang menimpa suaminya. -TMI

Pengakuan Mangsa Deraan SPRM

Posted: 12 Apr 2011 06:00 PM PDT

Pegawai SPRM belasah saya dengan batang besi'

Seorang pegawai pemasaran berkata beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membelasahnya selepas menahannya dua tahun lalu atas dakwaan menerima rasuah.

Beng Hock berkata seorang daripada pegawai itu juga menggunakan sebatang besi yang dibungkus dengan surat khabar bagi membelasahnya.


Pukul di kemaluan, letak ais

"Seorang lagi yang dikenali sebagai Mohd Ashraf Mohd Yusof menggunakan rotan bagi memukul di bahagian kemaluan saya. Seorang lagi meletakkan ais di tempat sulit saya.

"Semua ini berlaku ketika saya ditahan oleh SPRM Selangor dan tangan saya digari. Saya juga dibogelkan dan hanya dibenarkan memakai seluar dalam dan semua ini berlaku di Plaza Masalam," dakwanya.

Selain Ashraf, beliau juga menamakan Khairul Nizam, Zulkifli, dan Hairul Ilham Hamzah sebagai pegawai yang memukulnya itu.

Menyambung keterangannya, Sivanesan berkata pada permulaannya, dia ditampar dan ditendang berulang kali oleh lima hingga enam anggota suruhanjaya berkenaan.

Lelaki itu juga berkata seorang pegawai yang dinamakannya sebagai Mogan memaklumkannya bahawa tempat tahanan itu akan menjadi neraka sekiranya beliau tidak berkerjasama.

"Mereka mahu saya tandatangan mengaku bahawa saya setuju ditahan SPRM tetapi saya tak setuju," katanya.

Sivanesan berkata beliau kemudiannya dibawa kepada seorang majistret yang kemudiannya mengeluarkan arahan tahanan reman selama empat hari.

Menurutnya, SPRM menuduhnya menerima rasuah sebanyak RM30,000 dan malah menggelidah rumahnya tetapi tidak menjumpai apa-apa.

"Berikutan tahanan reman itu, mereka terus pukul saya selama 15 hingga 20 minit apabila saya pergi ke Plaza Masalam," katanya. -mk


Keluarga Ahmad Sarbani Serah Bukti Petunjuk Punca Kematian

Posted: 12 Apr 2011 04:20 PM PDT

Keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed telah menyerahkan bukti kepada polis, yang dipercayai akan membantu menentukan bagaimana penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) itu ditemui mati di premis SPRM, minggu lalu.

Ketika mendedahkan perkara itu di sini hari ini, peguam-peguam keluarga itu enggan berkongsi maklumat apa yang dimaksudkan dengan bukti baru tersebut.

"Kami berharap mereka (polis) akan menyiasat perkara ini," kata peguam Ghazali Mohd Ramli pada sidang media di sini hari ini.

"Kami tidak boleh mendedahkannya kepada media sebab kami tidak mahu menjejaskan siasatan," kata beliau lagi.

Bagaimanapun kata beliau, pihaknya percaya ia akan menentukan sama ada Ahmad Sarbaini membunuh diri ataupun sebaliknya. Justeru, beliau mempersoalkan mengapa Ahmad Sarbaini perlu pergi ke pejabat SPRM jika mahu membunuh diri.

Menurut Ghazali, hidup Ahmad Sarbaini dan keluarganya adalah serba kecil dan biasa sahaja.

Setakat ini polis telah mengambil keterangan daripada 20 orang termasuk ahli keluarga Ahmad Sarbaini, SPRM dan kakitangan KDRM.

Polis juga telah menganalisis sistem kamera litar tertutup (CCTV) dari pejabat SPRM di Cheras termasuk telefon bimbit milik Allahyarham Ahmad Sarbaini.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali pada hari kematian Ahmad Sarbaini berkata, pegawai itu telah datang ke bangunan SPRM kira-kira pukul 8.26 pagi tanpa sebarang temu janji dengan pegawai siasatan.

Ahmad Sarbaini ditemui mati di gelanggang badminton kira-kira 10 pagi Rabu lalu, tetapi rakan-rakan rapatnya berkata adalah satu perkara yang mustahil bapa lima anak itu akan membunuh diri.

Seorang lagi peguam keluarga Ahmad Sarbaini, Awtar Singh Gill berkata, dakwaan dalam laporan media kononnya Allahyarham mempunyai kekayaan luar biasa adalah tidak benar.

Katanya, keluarganya juga meminta media tidak membuat spekulasi bukan-bukan.


Awal petang tadi, The Malaysian Insider melaporkan bahawa di sebalik kematian mengejut itu, keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini mahu individu yang menyebabkan kematiannya didakwa dan dibawa ke muka pengadilan.

Sepupu Allahyarham yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail berkata, tidak mungkin penolong pengarah KDRM itu akan "membunuh diri" seperti mana yang didakwa pihak tertentu termasuk laporan media.

"Kami juga mahukan siasatan terperinci yang dibuat, kami tidak mahu keputusan yang akhirnya kata bukan bunuh diri atau dibunuh, kami mahukan keputusan tepat," katanya.

Dia merupakan salah seorang daripada 62 pegawai kastam yang menjadi tumpuan Operasi 3B.

Kematiannya adalah kejadian kedua dalam dua tahun ini. Kes kematian Teoh Beng Hock, yang ditemui jatuh dari Plaza Masalam, yang menempatkan pejabat SPRM Selangor, pada Julai 2009 masih disiasat oleh suruhanjaya diraja.

Tambah Ismail, tuduhan mengatakan Ahmad Sarbaini "membunuh diri" telah menyebabkan keluarga Allahyarham tertekan dan tidak boleh menerimanya.

Malah menurut Ismail, keluarga mereka juga menafikan dengan keras Ahmad Sarbaini telah "membunuh diri". - TMI

Ameng Dipenjara 8 Tahun Dan 10 Sebatan

Posted: 12 Apr 2011 09:20 AM PDT

Penyanyi kumpulan Spring, Wan Aminuddin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Ameng, dihukum penjara lapan tahun dan dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana kesalahan dadah.

PENYANYI Wan Aminuddin Wan Ismail atau Ameng Springs berbual dengan isterinya, Sabariah Zakariah, di Mahkamah Sesyen Melaka selepas dijatuhi hukuman lapan tahun penjara dan sepuluh sebatan atas tuduhan memiliki dadah hari ini.

Hakim Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman itu selepas Ameng, 42, mengaku bersalah terhadap kesemua tiga pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Ameng, didakwa bersama-sama isterinya Sabariah Zakaria, 41, bagi pertuduhan pindaan pertama dan kedua.

Sabariah yang mengaku tidak bersalah kemudiannya dibebaskan selepas pihak pendakwaan menarik balik kedua-dua pertuduhan terhadapnya.

Bagi pertuduhan pindaan pertama, Ameng dihukum penjara lapan tahun dan 10 sebatan selepas mengaku bersalah memiliki kanabis seberat 105.90 gram dalam sebuah bilik hotel di Jalan Melaka Raya 3, Taman Melaka Raya, Bandar Hilir di sini pada 5.20 petang 1 Februari lepas.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Ameng dihukum penjara dua tahun setelah mengaku bersalah pada waktu, tempat dan tarikh yang sama, memiliki dadah methamphetamin seberat 0.22 gram.

Bagi satu lagi pertuduhan, Ameng dihukum penjara satu tahun dengan dua tahun pengawasan polis selepas dia mengaku bersalah melakukan pemberian diri sendiri dadah jenis methamphetamin, di pejabat siasatan jenayah narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah di sini, pada 6 petang 1 Februari lepas. – Bernama

Rakyat Juga Bijak Menilai Siapa Rais!

Posted: 12 Apr 2011 07:30 AM PDT

Rakyat Harus Bijak Menilai Siapa Anwar Ibrahim - Rais

BINTULU: Insiden Datuk Seri Anwar Ibrahim melenting terhadap wartawan menjadi barometer bahawa sahsiah beliau sebenarnya sahsiah yang dilakonkan pada masa-masa tertentu, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

"Anwar Ibrahim sebenarnya mempunyai pelbagai facet ataupun permukaan... yang karismatik pun ada, satu lagi yang tidak dikenali kita pun ada, kebengisannya pun jarang kita akui, tapi nyata telah dilahirkan terhadap media.

"Dengan cara itu, media sendiri dapat menghayati siapa Anwar sebenarnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan stesen radio Bintulu FM di Studio RTM di sini, Selasa.

Pada sidang media yang diadakan di Kuching Ahad lepas, Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu melenting terhadap wartawan ketika diajukan soalan berkaitan jam tangan Omega yang dikaitkan dengan isu video seks yang didakwa melibatkan seorang pemimpin kanan pembangkang.

Rais, yang diminta mengulas insiden itu, berharap agar rakyat sendiri boleh menilai parti pembangkang selepas insiden berkenaan.

Beliau berkata seseorang pemimpin tidak perlu menghalau orang ataupun menggunakan kata-kata kesat terhadap wartawan biar apapun laporan yang dibuat oleh media.

"Saya pun mempunyai saham dalam hal ini dan pengalaman saya adalah tidak perlu menggunakan kata-kata yang di luar dugaan ataupun di luar yang perlu kita nyatakan kepada umum," katanya.

Ditanya sama ada insiden berkenaan akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri 16 April ini, beliau berkata ia terserah kepada rakyat.

"Sepatutnya rakyat terasa bahawa ini adalah sesuatu yang sebenarnya Anwar Ibrahim dan mereka harus tahu siapa beliau," kata Rais yang yakin BN akan dapat memenangi majoriti dua pertiga dalam pilihan raya ini.-BERNAMA

Ulasan GB

Cuba selepas ini wartawan bertanya kepada Rais mengenai isu siapa menteri yang merogol amah dulu? Cuba buka kisah Robengah di depannya dan cuba minta pandangannya tentang sikap Migrant Care yang berkeras mempertahankan tuduhannya bahawa seorang menteri itu telah merogol seorang amah dari Indonesia yang pernah berkhidmat dengannya? Bagaimanakan agaknya sikap Rais ketika itu?

Perhatikan juga perwatakannya yang mempunyai pelbagai facet (mengguna istilahnya sendiri) bila berdepan dengan orangramai.

Baru sharpshooter cut & paste artikel dari harakahdaily, dah kelam-kabut mohon injunksi mahkamah supaya beliau keluarkan artikel itu dari blognya.

Justeru, rakyat seperti GB berkata: Rais perlu mencerminkan dirinya terlebih dahulu dan tidak perlu menuding kepada Anwar jika ekornya sendiri bergelumang najis. Rakyat juga bijak menilai siapa Rais yang hendak menilai Anwar!


NGO Serah Memo Pertikai Perbelanjaan Ketenteraan RM23 Billion

Posted: 12 Apr 2011 05:22 AM PDT

NGO serah memo bantah perbelanjaan ketenteraan

Sekumpulan lebih 10 orang aktivis hari ini berhimpun di hadapan Markas Angkatan Tentera, Kuala Lumpur bagi menyerahkan satu memorandum berhubung peruntukan ketenteraan negara yang didakwa semakin meningkat setiap tahun.

Memorandum berkenaan antara lainnya mempertikaikan peningkatan perbelanjaan ketenteraan sehingga RM23 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK).

"(Sedangkan), menteri pelajaran pada masa yang sama mengumumkan terdapat 600 buah sekolah di negara ini berada dalam keadaan kritikal," memorandum itu dipetik.

Memorandum itu juga menyebut, peruntukan perbelanjaan pertahanan mencecah 15.9 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan kerajaan dalam tempoh RMK-3 dan 15 peratus dalam tempoh RMK-6.

"Sementara itu, peruntukan kesihatan hanya sekadar 1.6 peratus dan 1 peratus bagi tempoh RMK-4 dan RMK-5.

"Ini secara jelas menggambarkan bahawa kerajaan BN telah menunjukkan komitmen dan fokus luar biasa terhadap ketenteraan dan peruntukan pertahanan pada beberapa dekad lepas,
" menurut memorandum itu lagi.

Memorandum berkenaan ditandatangani oleh 26 NGO dan parti politik, antaranya Suaram, Food Not Bombs Kuala Lumpur dan Parti Sosialis Malaysia.

Turut hadir dalam perhimpunan itu ialah ADUN Kota Damansara Dr Mohd Nasir Hashim dan juga pengarah Suaram Kua Kia Soong.

Ketika bercakap kepada media, Kua berkata jumlah perbelanjaan sebanyak RM6 bilion untuk pembelian kapal peronda tentera oleh kerajaan sepatutnya boleh digunakan untuk membina 6000 buah sekolah.

"Apa yang kita perlukan ialah hospital dan bukan pesawat Hornet, sekolah dan bukannya kapal selam.

"Jika ditanya, (kerajaan) cuma akan kata (sebab) keselamatan negara," kata Kua lagi yang mendakwa, kerajaan tidak bertindak secara telus dalam memberi penjelasan berhubung perbelanjaan ketenteraan
.

Memorandum berkenaan diterima oleh setiausaha bahagian kewangan kementerian pertahanan Mohd Shahbudin Ibrahim yang menemui pemimpin aktivis berkenaan di luar kompleks kementerian tersebut.

Penyerahan memorandum berkenaan dibuat sempena hari tindakan sedunia bagi menentang perbelanjaan ketenteraan (GDAMS) yang disambut pada hari ini. -mk

Bangunan Retak Tiada Kelulusan Majlis Tapi Masih Terus Dibina

Posted: 12 Apr 2011 03:57 AM PDT

Melaka: Agak membimbangkan apabila sebuah bangunan sembilan tingkat yang pembinaan terpaksa dihentikan kerana tidak mendapat kelulusan di Kampung Semabok Luar dekat sini, retak di beberapa struktur binaannya.

Ia termasuk keretakan pada dinding, kerangka dan tiang hingga menyebabkan serpihan batu mula menimpa kediaman penduduk yang terletak hanya kira-kira 15 meter daripada tapak projek terbabit.

Bangunan yang dibina pada pertengahan tahun lalu itu juga mulai condong berikutan dakwaan penduduk bahawa ia dibangunkan di atas tanah berstatus pertanian dan kediaman, selain tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dakwa mereka lagi, pemaju gagal mempamerkan papan pemberitahuan projek, selain tidak langsung berbincang dengan penduduk kampung sebelum melaksanakan kerja pembinaan.

Wakil penduduk, Muhamad Nuh Sani, 32, berkata cadangan asal pemaju projek itu adalah membina bangunan hotel setinggi lima tingkat, tetapi terpaksa dihentikan atas arahan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kerana kegagalan mendapatkan kelulusan pelan bangunan.

"Bagaimanapun, pemaju meneruskan juga kerja pembinaan hingga ketinggian bangunan itu melebihi daripada apa yang dinyatakan sebelumnya, iaitu dari lima menjadi sembilan tingkat.

"Keselamatan penduduk kini semakin terancam. Pemaju dan syarikat terbabit seolah-olah langsung tidak memikirkan nasib buruk yang mungkin menimpa penduduk di sini," katanya kepada Sentral di sini.

Beliau berkata, penduduk sudah lima kali membuat laporan polis di Balai Polis Kandang, di sini sejak tahun lalu.

Seorang lagi penduduk, Abdullah Ab Samad, 50, meminta PBT supaya menghantar segera jurutera untuk menilai tahap kekuatan bangunan berkenaan demi menjamin keselamatan penduduk kampung terbabit.

Beliau berkata, pada masa sama, penduduk juga akan menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam supaya mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah itu, selain meminta pemimpin negeri itu supaya tidak membenarkan mana-mana pihak membina hotel di kampung terbabit.

"Tindakan tegas perlu diambil terhadap pemaju, kontraktor, arkitek dan juru perunding yang terbabit secara langsung mendirikan bangunan tanpa kelulusan mahkamah dan MBMB," katanya. -hm

Ulasan GB

Aneh, bangunan itu didirikan tanpa kelulusan. Tetapi dibiarkan oleh MBMB sehigga ia telah dibina dan kini mendatangkan masalah kepada penduduk setempat.

ia dibangunkan di atas tanah berstatus pertanian dan kediaman, selain tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dakwa mereka lagi, pemaju gagal mempamerkan papan pemberitahuan projek, selain tidak langsung berbincang dengan penduduk kampung sebelum melaksanakan kerja pembinaan.

Wakil penduduk, Muhamad Nuh Sani, 32, berkata cadangan asal pemaju projek itu adalah membina bangunan hotel setinggi lima tingkat, tetapi terpaksa dihentikan atas arahan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kerana kegagalan mendapatkan kelulusan pelan bangunan.

"Bagaimanapun, pemaju meneruskan juga kerja pembinaan hingga ketinggian bangunan itu melebihi daripada apa yang dinyatakan sebelumnya, iaitu dari lima menjadi sembilan tingkat.


Pemilik, pemaju, kontraktor, arkitek dan juru perunding yang terbabit perlu dikenakan tindakan paling keras di atas kesalahan-kesalahan di atas SEBELUM orang berpersepsi MBMB terlibat sama kerana projek berjalan lancar sehingga dah terpacak bangunan tersebut.

Pemuda Bakar Rumah Keluarga Kerana Tak Dapat Kahwin

Posted: 12 Apr 2011 02:45 AM PDT


Alor Setar: Seorang pemuda nekad membakar rumah keluarga sendiri hingga musnah dipercayai selepas permintaannya untuk berkahwin dengan gadis pilihan tidak diendahkan keluarganya sejak sebulan lalu.

MOHD NOOR mencari sisa barang di rumah keluarganya yang terbakar di Kampung Alor Madi, malam kelmarin. - Foto Rizal Braim

Dalam kejadian jam 12.15 malam kelmarin, lelaki terbabit, Mohd Khairi Mahmud, 28, dikatakan mencabut kepala tabung gas memasak di dalam rumahnya sebelum naik ke atas bumbung rumah dua tingkat dan mencucuh dengan api hingga menyebabkan kebakaran.

Difahamkan suspek pernah berkelakuan pelik apabila membakar semua pakaian kerjanya kira-kira dua hari sebelum pertunangannya.

Abangnya, Mohd Noor, 33, berkata, berikutan itu keluarganya terpaksa meminta pertunangan yang dijadualkan pada awal bulan lalu ditangguhkan kerana kelakuan pelik adiknya itu.

Beliau berkata, sejak itu adiknya yang bekerja di sebuah jabatan kerajaan beberapa kali meminta berkahwin tetapi keluarga mereka tidak mengendahkannya kerana kelakuan adiknya yang mengalami banyak perubahan.

Bagaimanapun, katanya, petang kelmarin Mohd Khairi meminta wang RM200 daripada ibu mereka, tetapi tidak dilayan menyebabkan adiknya itu berkurung dalam bilik.

"Dia kelihatan murung dan hanya berkurung dalam bilik serta tidak mengendahkan orang lain. Ini menyebabkan saya terpaksa membawa ibu keluar dari rumah kerana khuatir berlaku kejadian tidak diingini.

"Saya kemudian melaporkan kejadian itu kepada polis pada kira-kira jam 9 malam dan tidak lama selepas itu, anggota polis datang dan memujuk adik saya untuk keluar tetapi dia memberitahu tidak mahu berunding dengan sesiapa," katanya di sini, semalam.

Mohd Noor berkata, ketika anggota polis sedang memujuk adiknya, dia cuba memasuki rumah tetapi terpaksa keluar semula selepas terhidu bau gas yang kuat.

"Adik pernah menyatakan hasrat membakar rumah beberapa bulan lalu dan akhirnya menjadi kenyataan apabila dia berlari naik ke bumbung rumah selepas membakar rumah kami dan kemudian melompat turun sebelum menghilangkan diri," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Azaman Mohd Jan berkata, polis cuba menahan pemuda berkenaan kira-kira jam 11 malam kelmarin, tetapi tidak berjaya kerana dia enggan berunding dengan sesiapa.

Katanya, berdasarkan maklumat awal polis percaya lelaki berkenaan mengalami tekanan jiwa tetapi tidak dikenal pasti puncanya.

"Kita masih mencari lelaki berkenaan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana mencetuskan bencana dengan api," katanya.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, dua jentera dan 12 anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat pada jam 12.15 tengah malam. -BH

Tiada ulasan: