Selasa, 26 April 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Selaraskan fatwa agar tidak jadi bahan gurauan

Posted: 26 Apr 2011 06:06 AM PDT

Harakahdaily


KUANTAN: Sesuatu fatwa yang ingin diputuskan perlu diselaraskan terlebih dahulu untuk mengelakkannya menjadi bahan gurauan dan mainan ketawa orang ramai, nasihat Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar).

Dalam satu kenyataannya ke Harakahdaily hari ini, Tuan Ibrahim berkata walaupun terdapat sedikit kesukaran dalam menyelaraskan fatwa kerana ada yang tertakluk di dalam bidang kuasa negeri, namun perkara ini perlu diselesaikan dengan baik dan tegas kerana fatwa yang berbeza akan menyusahkan rakyat.

"Biasanya kalau asas pengharaman itu sama, maka tidak timbul fatwa berbeza antara negeri-negeri.

Akan tetapi, disebabkan tiadanya penyelarasan antara ahli-Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan, maka terjadinya perkara seperti ada negeri yang terlalu laju dalam memberi fatwa berbanding Majlis Fatwa Kebangsaan. Jadi, implikasi daripada fatwa itu menjadi sangat besar," terangnya.

Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut mengambil contoh fatwa larangan merokok di Pahang sebagai hujah betapa pentingnya proses penyelarasan fatwa yang dicadangkannya.

"Seperti Pahang yang mengharamkan merokok, sedangkan negeri lain belum mengharamkannya. Ini bermakna kalau seseorang menghisap rokok, bilamana ia melepas terowong ke Pahang mesti dipadamkan rokoknya," katanya.

Disebabkan ketidaksetaraan fatwa seperti itu, ujarnya, akan menganiaya sesuatu fatwa sehingga menjadi satu bahan gurauan dan mainan tertawa orang ramai.

"Ini akan merendah-rendahkan sesuatu fatwa itu," tambah Tuan Ibrahim.

Beliau turut berkata perkara yang sama turut berlaku dalam isu fatwa tarian poco-poco di mana, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria telah terlebih dahulu memutuskan bahawa tarian poco-poco adalah haram untuk orang Muslim di negeri Perak telah menimbulkan pelbagai pertikaian daripada pelbagai pihak.

Perkara ini menjadi lebih mengelirukan untuk umat Islam, Jumaat lalu, apabila Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin dipetik sebagai berkata bahawa umat Islam boleh mengamalkan tarian atau senaman itu selagi mematuhi panduan termasuk etika berpakaian, tiada pergaulan bebas, mistik, ritual, kebatinan, tahyul dan khurafat yang boleh jejaskan akidah.
Walaupun berbeza dengan fatwa negeri Perak, Abdul Shukor turut dipetik sebagai berkata bahawa jawatankuasa itu menghormati keputusan negeri tersebut untuk mengharamkan poco-poco sejak Januari lalu.

Namun begitu, perkara ini dinafikan Harrusani hari ini.


Harussani terkejut

"Dalam mesyuarat kita tidak bincangkan langsung pasal tarian poco-poco, apa yang berlaku saya hanya memberikan penerangan kenapa ia diharamkan . . . kita tidak bincangkan secara umum isu ini.

"Sebab itu saya terkejut apabila dalam akhbar kata Majlis Fatwa Kebangsaan benarkan tarian poco-poco di negeri lain, kita tidak bincangkan pun perkara ini... jadi bagaimana boleh kata macam itu," kata Harussani (gambar) yang dipetik The Malaysian Insider, sambil menambah bahawa beliau sudah mendapatkan penjelasan Abdul Shukor dan dimaklumkan media telah salah faham.

Dalam pandangannya terhadap perkara ini, Tuan Ibrahim mengingatkan bahawa fatwa bukan direka untuk menjaga hati mana-mana pihak dan dibuat berdasarkan garis panduan yang mengikuti peraturan syarak.

"Oleh itu, PAS menggesa seluruh umat Islam menghormati sesuatu fatwa yang telah dikeluarkan," katanya.

Bagi golongan yang tidak dibekalkan asas agama yang cukup dalam memahami kaedah syarak, beliau menasihatkan mereka untuk membuat kajian, penelitian dan memahami kaedah syarak untuk pengambilan sesuatu hukum sebelum membuat sebarang ulasan dan pertikaian terhadap fatwa yang dikeluarkan.

"Apakah mereka membuat kajian, penelitian dan memahami kaedah pengambilan sesuatu hukum terlebih dahulu sebelum mempertikaikannya?

Namun, persoalan ini timbul mungkin kerana kegagalan kerajaan melalui kementerian menjadikan mata pelajaran agama sebagai mata pelajaran teras dalam mana-mana peperiksaan, sehinggakan ada golongan yang tidak memahami agama secara mendalam sanggup mempertikaikan pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan," katanya dengan kesal.

PERSADA : Rakyat Terus Diberi Keutamaan, Kata Khalid

Posted: 26 Apr 2011 06:04 AM PDT

TVS NEWS


KUALA SELANGOR : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim memberi penerangan dan motivasi kepada wakil penduduk Kuala Selangor mengenai keperluan dan kepentingan rakyat yang menjadi agenda utama Pakatan Rakyat dalam setiap programnya.

Menurut Khalid, segala perancangan yang dibuat telah diteliti sehabisnya demi menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat di negeri ini.

"Negeri Selangor adalah negeri yang mementingkan rakyat, oleh sebab itu segala usaha pembangunan ekonomi mesti mengambilkira apakah kepentingannya kepada rakyat, itu sebab kita adakan program MES,"katanya.

Khalid berkata demikian pada Program Jelajah Pemerkasaan Desa Selangor (PERSADA) 2011, yang diteruskan ke daerah Kuala Selangor.

Dalam ucapannya, Khalid memberitahu bahawa amalan telus kerajaan negeri serta potensi yang ada di Selangor bawah pimpinan Pakatan Rakyat telah menarik ramai pelabur untuk melabur di negeri ini.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri melalui program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) adalah untuk memastikan Selangor menjadi negeri idaman dengan kemajuannya dikekalkan dan rakyat diutamakan, manakala kualiti hidup terus ditingkatkan.

Kerajaan negeri Pakatan Rakyat juga akan memastikan limpahan nikmat kekayaaan negeri diagihkan kepada rakyat.

"Dalam masa 3 tahun dengan cara pemerintahan yang terbuka dan telus ini dan tidak membezakan sesiapa telah memberi manfaat yang lebih besar daripada kerajaan terdahulu,"jelasnya lagi.

Program yang diadakan di Stadium Kuala Selangor turut dihadiri Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail dan Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr. Yaakob Sapari.

Program anjuran kerajaan negeri ini menumpukan usaha memberikan penerangan dan motivasi kepada wakil masyarakat desa mengenai usaha pembangunan dan program yang dianjurkan oleh kerajaan negeri supaya dapat dimanfaatan oleh penduduk di kawasan-masing-masing.

Program PERSADA akan diteruskan ke daerah yang terdapat di Negeri Selangor dan antara intisari program PERSADA adalah sesi motivasi dan latih tubi secara berkumpulan.

Iban Serbu Pejabat SUPP Tuntut 'Habuan'

Posted: 26 Apr 2011 05:59 AM PDT

TVS NEWS


SIBU : Lebih 100 penduduk Iban menyerbu ibu pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di Sibu semalam dan menuntut baki RM400 setiap seorang yang dijanjikan bagi menyokong seorang calon pada pilihan raya negeri yang lalu, dakwa sebuah pemantau pilihan raya.

Dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan lewat petang semalam, Pemantau Pilihan Raya Sibu (SEW) mendakwa penduduk Iban berkenaan berang kerana tidak mendapat bayaran 'baki' tersebut meskipun telah dijanjikan oleh agen pilihan raya SUPP dan tua rumah panjang sebelum pilihan raya.

Sebaik menerima berita berkenaan, SEW menghantar dua perwakilannya ke ibu pejabat SUPP bagi memanatu keadaan.

Dalam siasatannya, SEW berkata pihaknya mendapati bahawa penduduk Iban dijanjikan bayaran RM100 sebelum hari mengundi 16 April lalu dan sekiranya calon SUPP menang, setiap seorang daripada mereka akan menerima RM400 lagi selepas pilihan raya.

supp alleged money politic 250411 01SEW mendakwa sebelum ini, perwakilannya juga menyaksikan penduduk Iban daripada sekurang-kurangnya dua rumah panjang dibayar 'baki' RM400 berkenaan.

Dakwa pemanatau pilihan raya itu lagi, penduduk Iban itu daripada Rumah Chandi, Rumah Pasang dan Rumah Ujang.-Malaysiakini

Anwar : Pendakwa Mahu Hakim Terima Bukti Rekayasa Dan Tidak Logik

Posted: 26 Apr 2011 05:56 AM PDT

TVS NEWS


KUALA LUMPUR : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal dengan tindakan Umno bersekongkol dengan Peguam Negara merekayasa bukti yang menempelak fakta saintifik semata-mata untuk mensabitkan pertuduhan liwat terhadap beliau.

Ketua Pendakwaraya Yusuf Zainal Abidin hari ini menggesa mahkamah tidak menolak bukti air mani walaupun ia hanya diuji 96 jam atau empat hari selepas pengadu Saiful Bukhari Azlan membuat tuduhan fitnah itu.

Fakta saintifik yang diakui umum adalah jangka hayat sperma manusia hanya bertahan 72 jam, itupun jika disimpan dalam peti sejuk.

Dalam kes Anwar, pegawai penyiasat Jude Pereira mengesahkan beliau tidak menyimpan sampel itu di peti sejuk tetapi dalam laci di pejabatnya.

Anwar kesal dengan tindakan pendakwaraya mengenepikan fakta tersebut dan mahu hakim untuk menerima bukti yang direkayasa.

"Sementara ini, nampaknya pendakwa menjadi alat politik Umno. Memainkan isu sperma (air mani) walaupun keterangan dalam mahkamah terbukti yang dikatakan mani itu, 96 jam tidak berada dalam peti sejuk dan dalam mana-mana dokumen sains tidak boleh bertahan. Tapi semua itu dipadamkan supaya jadi isu politik murahan," jelas Anwar

Bercakap kepada pemberita selepas selesai menghadiri sesi penghujahan kes fitnah kedua hari ini, Anwar menjelaskan sperma yang ditemui pada Saiful 26 Jun 2008 hanya diserahkan kepada Jabatan Kimia Malaysia empat hari kemudian iaitu pada 30 Jun tahun yang sama.

Justeru beliau menyifatkan tindakan mengaitkan dirinya dengan "Lelaki Y" seperti yang diberitahu pendakwa semalam merupakan cara untuk Perdana Menteri Najib Razak dan Umno-Barisan Nasional (BN) mempertahankan kedudukan mereka.

Anwar seterusnya mengingatkan agar Hakim Datuk Zabidin Mohd Diah tidak tunduk kepada tekanan politik sekaligus mampu mengabaikan fakta dan undang-undang semata-mata untuk menamatkan karier politik beliau.

"Tapi perkara ini diketepikan sama sekali dan saya harap ianya tidak diketepikan oleh undang-undang dan fakta oleh hakim. Namun setakat yang saya faham Umno hanya boleh bertahan dengan menggunakan media mereka untuk memburukkan tanpa mengambil kira etika, moraliti, fakta atau undang-undang," katanya lagi.

Hakim Zabidin menetapkan 16 Mei sebagai tarikh penentuan sama ada Anwar harus dipanggil untuk membela diri atau membebaskan beliau daripada tuduhan liwat yang dikenakan terhadapnya.

Peguam Karpal Singh dalam hujahnya semalam berkata pendakwaraya gagal membuktikan wujudnya kes terhadap Anwar memandangkan terdapat banyak keraguan yang ditimbulkan berdasarkan keterangan saksi dan bahan bukti.

Posted: 26 Apr 2011 05:54 AM PDT

DPPP Gesa Akhbar Berbahasa Melayu Henti Papar Berita 'Loya'
Ditulis oleh Ayie


SHAH ALAM : Akhbar berbahasa Melayu di negara ini digesa untuk berhenti daripada menyajikan masyarakat Melayu dengan berita-berita aib dan tidak memberikan manfaat kepada rakyat.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat dalam satu kenyataan media berkata, akhbar berbahasa Melayu kebanyakannya dibaca oleh orang Melayu kelas rendah yang tinggal di kawasan pinggir bandar yang kebanyakannya tiada akses kepada kemudahan Internet.

Manakala akhbar berbahasa Inggeris dibaca oleh golongan pertengahan yang tinggal di kawasan bandar.

" Orang Melayu sudah berdepan dengan masalah sosial khususnya anak muda yang terlibat dengan masalah seks bebas, dadah, arak, anak luar nikah, sumbang mahram, VCD lucah dan lain-lain lagi. Akhbar berbahasa Melayu seolah-olah kurang sensitif terhadap isu sosial yang sedang dihadapi oleh orang Melayu
sekarang.

" Tiada halangan jika berita aib dan meloyakan ini dimasukkan dalam berita kecil dalam akhbar seperti New Strait Time yang memuatkan dalam muka surat 6 dan The Star dalam muka surat 10. Tetapi apabila tajuk liwat diletakkan berkali-kali sebagai tajuk utama maka sebenarnya media berbahasa Melayu seolah-olah mendoktrinisasi minda orang-orang Melayu dengan isu seks,"jelasnya.

Semalam tiga akhbar berbahasa Melayu di negara memilih kisah"Lelaki Y" sebagai tajuk muka hadapan masing-masing.

"Lelaki Y" merujuk kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa Peguam Cara Negara II sebagai individu sama yang meliwat bekas pembantu
peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan walaupun hujah pihak pendakwaan penuh percanggahan.

" Bukankah ia menceritakan keaiban orang Islam yang cukup meloyakan? Bukankah cerita seumpama itu sangat tidak sesuai dengan anak-anak sekolah? Bukankah
cerita tersebut belum lagi diputuskan oleh mahkamah tetapi hanya dakwaan pihak pendakwa sahaja? Soalnya mengapa ia menjadi tajuk utama? Apakah agenda disebalik isu tersebut?," soal Suhaizan.

Menurut Suhaizan lagi, di sebalik media-media berbahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil memaparkan berita-berita penuh informasi dan mendidik, media berbahasa

Melayu pula terus memaparkan kisah-kisah kurang segar namun berbaur kontroversi untuk santapan pembacanya.

" Tajuk utama media cetak berbahasa Inggeris, New Straits Times memaparkan berita "Nasi lemak twice a week". Akhbar The Star pula memaparkan berita "Deadly
illegal – Growing trade in illicit cigaretts costing Govt billion". Akhbar berbahasa Mandarin seperti China Press dan Sin Chew pula memaparkan berita risiko suntikan menguruskan badan. Akhbar berbahasa Tamil pula menceritakan tokoh agama yang cukup berpengaruh meninggal dunia.

" (Manakala) Utusan Malaysia memaparkan tajuk utama "Anwar Lelaki Y", Berita Harian "Lelaki Y Anwar" dan Sinar Harian "Anwar Lelaki Y"," tulisnya lagi.

Peralihan Undi PKR Libat Semua Kaum Di Sarawak

Posted: 26 Apr 2011 05:52 AM PDT

TVS NEWS


PETALING JAYA : Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mengumumkan peralihan undi kepada Pakatan Rakyat semasa Pilihanraya Negeri Sawarak tidak tertumpu kepada satu kaum sebaliknya melibatkan semua kaum.

Berdasarkan 24 kerusi yang ditandingi PKR, peralihan undi dari Barisan Nasional kepada PKR menunjukkan peralihan positif terutama di kawasan yang terdiri daripada pelbagai suku kaum.

Menurut Rafizi, Meluan yang ditandingi PKR menunjukkan pertambahan peralihan pengundi sebanyak 31 peratus turut disokong oleh peratusan keluar mengundi berbanding pilihan raya lalu.

"Peralihan undi tertinggi yang diperolehi oleh Pakatan Rakyat sebenarnya di kerusi yang ditandingi PKR iaitu Meluan. Meluan adalah kerusi yang majoritinya terdiri daripada Kaum Iban. Yang telah menyaksikan peralihan sebanyak 31 peratus. Ini peralihan tertinggi bagi mana-mana kerusi yang ditandingi oleh Pakatan Rakyat dalam pilihanraya baru-baru ini," katanya.

Rafizi berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat, hari ini.

Beliau menambah, situasi ini unik memandangkan ia melibatkan majoriti Kaum Iban dan terletak di kawasan luar bandar.

"Berdasarkan Meluan ini menunjukkan masyarakat luar bandar, majoriti Iban mempunyai keupayaan dan keinginan untuk menyuarakan bantahan mereka kepada kerajaan BN di peti undi," katanya.

Selain Meluan, antara kerusi yang menunjukkan peningkatan peralihan undi PKR adalah kerusi yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti Kakus (25.9%), Senadin (24.6%) dan Krian (24.05) tanpa mengira kedudukan geografi.

"Kalau ada cubaan pihak lawan yang cuba menggambarkan ini undi protes untuk suatu kaum adalah tidak benar berdasarkan analisa peralihan yang dibuat," katanya.

Sementara itu, menyentuh soal sokongan kepada Pakatan berdasarkan kaum, Rafizi memberitahu, masyarakat Iban menunjukkan pola sokongan yang berbeza apabila terdapat julat sokongan yang besar antara satu-satu DUN.

Menurut statistik, Kaum Iban memberikan sokongan kepada PKR antara 3 hingga 60 peratus di pelbagai kawasan dan secara keseluruhannya berada pada paras 32 peratus.

"Julat yang menunjukkan bahawa sesuatu kaum itu tidak mengundi semata-mata berasaskan kaum. Kalau Iban ada faktor-faktor lain yang lebih dominan seperti jentera dan Isu. Secara keseluruhan purata 32 peratus. Ini adalah perkembangan yang baik kerana dengan jentera dan kerja yang baik di bawah, ada potesi untuk PKR dan Pakatan Rakyat meningkatkan lagi sokongan masyarakat Iban," katanya.

Sementara bagi pola pengundi mengikut pecahan pula menyaksikan masyarakat Melayu/Melanau dengan julat sokongan dari 6 hingga 35 peratus (purata 19%), Cina 50-80 peratus (purata 65%), Bidayuh 20- 30 Peratus (Purata 26%) dan orang Ulu 22 hingga 56 peratus

SKMM Mula Siasat Kebocoran Video Seks

Posted: 26 Apr 2011 05:49 AM PDT

TVS NEWS

KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) kini menyiasat beberapa aduan penulis blog ekoran kebocoran video seks yang dikaitkan dengan pemimpin pembangkang.

Perkara itu didedahkan Naib Ketua Penerangan Pemuda PKR Rozan Azen Mat Rasip yang membuat laporan pada 5 April lalu apabila beberapa penulis blog memuatkan sebahagian video klip itu di internet.

Rozan memberitahu Malaysiakini, beliau turut dipanggil di ibu pejabat SKMM di Cyberjaya untuk memberikan kenyataan bagi membantu siasatan esok.

Beliau sebelum ini menamakan blog mesra BN www.papagomo.com and www.pisau.net dan pengguna YouTube thepowercam dalam laporannya.

Video hitam putih kurang dua minit itu bocor pada 4 April lalu dan dikeluarkan daripada YouTube tidak lama selepas itu.

Ia bagaimanapun masih terdapat dalam laman www.papagomo.com dan dimuatkan kembali oleh beberapa pengguna Youtube yang lain.

PKR Bawa Beban 24 Kerusi Ke Mesyuarat Pakatan

Posted: 26 Apr 2011 05:47 AM PDT

Ditulis oleh Ayie


PETALING JAYA : Bebanan yang digalas Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding di 49 kerusi termasuk di kerusi yang sukar untuk dimenangi akan dibawa ke mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat.

Menurut Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, perkara ini perlu dibincangkan di peringkat Pimpinan Pakatan Rakyat.

"Walaupun saya junior, saya rasa seseorang perlu membawa isu ini. Perkara ini akan dibawa ke Mesyuarat Pakatan Rakyat esok," katanya.

Pada pilihan raya itu, PKR yang sepatutnya bertanding di 25 DUN sahaja tetapi akhirnya terpaksa bertanding di 24 kerusi tambahan bagi mengelakkan BN menang percuma pada hari penamaan calon.

"Kalau kita bertegas bertanding 25 kerusi sahaja, BN memang 24 tanpa bertanding pada hari penamaan. Mereka hanya perlu 12 lagi untuk membentuk kerajaan. Jadi, semua slogan ubah yang kita laungkan tidak akan berguna lagi," katanya.

Pada pilihan raya negeri lalu, Pakatan menang di 15 kerusi. PKR mendapat tiga daripada 49 kerusi manakala DAP pula berjaya di 12 daripada 15 kerusi yang ditandingi.

PAS gagal di semua lima kerusi yang ditandinginya. Kesemua 71 kerusi dipertandingkan.

Menurutnya lagi, dengan menang hanya di tiga daripada 49 kerusi yang ditandingi, ia memberi konotasi seolah-oleh parti tunjang dalam Pakatan itu lemah.

"Walaupun keputusan itu memberi perspektif yang berbeza. Kalau Keadilan bertanding 25 kerusi misalnya, dan kita menumpukan kepada kerusi ini sahaja dan kita menang lima atau enam kerusi sudah tentu peratusan dan persepsi berbeza. Apabila dilihat tiga daripada 49 ia menimbulkan konotasi yang berlainan," katanya. ni berbeza kalau kita menang tiga daripada 25 (kerusi)," katanya lagi.

Sementara itu, menyentuh soal cadangan penggabungan DAP dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Rafizi berpendapat, berdasarkan realiti, ia tidak memberikan jalan pintas kepada DAP untuk meluaskan sayap kepada masyarakat Iban.

"Saya mengalukan kehadiran mereka. Kita tidak mengahadapi masalah sekiranya Pas ingin membuka cawangan di kawasan Bidayuh. Kita kena melihat kesepakatan dan faedah secara keseluruhan kepada Pakatan," katanya.

"Kita tidak dapat menerima dan memaafkan pengkhianatan yang SNAP telah buat kepada Pakatan Rakyat walaupun kerusi-kerusi tiga penjuru hanyalah terpaksa dihadapi oleh PKR," katanya.

Ujar beliau, sampai sekarang pihaknya masih belum mendapat penjelasan, antaranya berhubung dakwaan bahawa parti tertua Dayak di Sarawak itu mendapat tajaan daripada BN.

Kegagalan rundingan PKR dan SNAP sebelum ini menyebabkan Pakatan gagal bertembung satu lawan satu dengan BN.

Umno Hanya Tahu Melaga-lagakan Pakatan Rakyat

Posted: 26 Apr 2011 05:40 AM PDT

Ditulis oleh Ayie


KUALA LUMPUR : Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada media proksi Umno-Barisan Nasional (BN) supaya tidak menganggu-gugat kesepakatan yang terjalin antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Justeru katanya, tindakan melaga-lagakan kenyataan pemimpin PKR dan PAS menerusi laporan media arus perdana tiga hari lalu sebagai lumrah permainan politik Umno-BN dalam usaha untuk memecah-belahkan gagasan itu.

Anwar yang ditemui media di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini berkata, pendirian Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapha Ali berhubung siasatan rakaman video seks 22 April tidak harus dimanipulasi media.

Jelasnya, Mustapha hanya memberi pandangan dari sudut syariah selain menyerahkan siasatan kepada polis tanpa berpihak kepada mana-mana individu mahupun Ketua Pembangkang itu sendiri.

Namun kesempatan itu diambil oleh akhbar Utusan Malaysia untuk menimbulkan ketegangan di kalangan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat menerusi laporan berbaur fitnah.

" Umno cuba untuk laga-lagakan. Datuk Mustapha Ali hanya mengatakan dari segi syariah kes ini tidak dapat dipertahankan tapi kalau polis siasat tunggu sahaja itu maksud kenyataan dia," kata Anwar.

Anwar seterusnya menyifatkan Umno-BN tidak mempunyai kepentingan untuk dipertahankan sebaliknya menunggu peluang untuk mencemar imej parti perikatan itu.

" Yang Umno nak sibuk lagakan buat apa. Kerja Umno dia tidak dapat pertahankan kekuatan dia, dia hanya boleh bantu melagakan dan lucah," ujar beliau lagi.

Memetik laporan Utusan Malaysia 23 April lalu, portal itu melaporkan bahawa Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali marah selepas mendapati komen oleh Mustapha mengenai pelaku rakaman video seks itu tidak menyebelahi pendirian Pakatan Rakyat dan Anwar sendiri.

Mustapha kemudiannya menafikan kenyataan bahawa PAS bersedia untuk menilai semula kedudukan dalam pakatan pembangkang.

Putrajaya akui ada majikan belum selaras gaji pengawal keselamatan

Posted: 26 Apr 2011 05:33 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER



KUALA LUMPUR— Terdapat majikan yang belum menyelaraskan gaji minimum pengawal keselamatan mereka kerana masalah pengurusan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam.

Dalam pertemuan dengan persatuan-persatuan yang mewakili majikan pengawal keselamatan baru-baru ini, Subramaniam berkata beliau telah dimaklumkan bahawa mereka bersetuju untuk mematuhi peraturan baru supaya menyelaraskan gaji minimum pengawal keselamatan mereka.

"Mereka telah bersetuju dengan proses ini bagi menaikkan gaji pengawal keselamatan, cuma mereka mempunyai masalah dalam pengurusan dan pelaksanaan dan ia mengambil masa," katanya hari ini.

Dipetik Bernama Online, Subramaniam (gambar) berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan tentang kelewatan pelaksanaan gaji minimum tersebut tetapi ia bukan bermakna majikan boleh menjadikannya sebagai alasan untuk tidak melaksanakan penyelarasan gaji tersebut.

Beliau berkata kementerian akan memantau pelaksanaan gaji baru tersebut dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap majikan yang ingkar.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) baru-baru ini dilaporkan mendakwa kira-kira 150,000 pengawal keselamatan di Semenanjung Malaysia masih belum dibayar gaji minimum yang berkuatkuasa Februari lalu.

Subramaniam berkata penyelarasan gaji pengawal keselamatan mengikut zon adalah wajar kerana mengambil kira kos di sesetengah kawasan yang berbeza pada masa sekarang dan untuk mengelakkan para majikan menanggung perbelanjaan yang tinggi bagi membayar gaji pengawal keselamatan.

"Kos mereka akan meningkat 100 peratus malah mungkin lebih hingga 200 dan 300 peratus sekiranya kita menetapkan gaji pengawal keselamatan dibayar sama rata seluruh Semenanjung Malaysia," katanya.

Pada 15 Februari lalu, kerajaan telah menguatkuasakan peraturan baru gaji minimum bagi pengawal keselamatan Semenanjung Malaysia di antara RM500 hingga RM700 dan skala gaji baru itu dibahagikan kepada tiga zon iaitu Zon A dengan gaji pokok RM550 dan elaun RM150 yang meliputi Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Johor Baharu selatan, Kota Tinggi, Kulaijaya dan Pontian.

Zon B memperuntukkan gaji pokok RM500 dan elaun RM100 merangkumi Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Terengganu, Kluang, Batu Pahat, Mersing, Muar, Ledang dan Segamat.

Untuk Zon C, gaji pokok ditetapkan pada RM450 dan elaun RM50 bagi Kedah, Kelantan dan Perlis.

Kes Teoh: DAP mahu SPRM pikul tanggungjawab penuh

Posted: 26 Apr 2011 05:32 AM PDT


KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus memikul tanggungjawab penuh berhubung kematian Teoh Beng Hock memandangkan tiada bukti menunjukkan adanya elemen rasuah terhadap bekas majikannya Ean Yong Hian Wah, kata penasihat DAP Lim Kit Siang hari ini.

Ahli Parlimen ini juga menegaskan, badan pencegah rasuah itu tidak lagi boleh menuding jari ke arah DAP kerana tiada motif bagi Teoh untuk membunuh diri selepas disoal siasat oleh SPRM semalaman di pejabatnya di Shah Alam pada 16 Julai 2009.

"Kesemua jari menghala ke arah SPRM sekarang," kata Lim kepada The Malaysian Insider.

Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kes Teoh hari ini diberitahu bahawa SPRM telah gagal untuk mencari bukti menunjukkan Yong, Exco Kerajaan Negeri telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri dan oleh itu, pendakwa raya telah mengarahkan agar siasatan kes itu dihentikan.

"Penemuan siasatan menunjukkan tiada keterangan yang boleh mengaitkan YB Ean dengan (sebarang) salah laku di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009," kata pemangku Penguasa Kanan SPRM Ahmad Shafik Abdul Rahman pada sesi inkuiri hari ini.

Lim menambah, kekurangan bukti menunjukkan bahawa siasatan yang dikendalikan bermotifkan politik dan dijalankan dengan niat jahat.

"Dari awal lagi SPRM cuba untuk melibatkan DAP," kata beliau sambil berkata, ia bukan perkara yang sepatutnya dilakukan oleh sebuah agensi bebas.

"SPRM tidak seharusnya melakukan yang ini kerana ia satu lagi tamparan ke atas kredibiliti mereka," kata wakil rakyat Ipoh Timur ini.

Terdahulu laporan media menyebut, suruhanjaya yang menyiasat kematian Teoh diberitahu ekoran kematian Teoh, tiada bukti dapat menunjukkan Yong, yang juga Adun Seri Kembangan terlibat dalam penyalahgunaan wang peruntukan kerajaan negeri Selangor.

Ahmad Shafik berkata keterangan untuk mensabitkan Yong melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 tidak dapat diperoleh daripada Teoh kerana mendiang meninggal dunia.

"Justeru itu, pihak SPRM mendapat arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya supaya siasatan terhadap kes ini dihentikan kerana tiada keterangan menunjukkan Ean (Yong Hian Wah) telah melakukan kesalahan itu," katanya dipetik Bernama.

Beliau menyatakan demikian ketika disoal oleh pegawai pengendali Awang Armadajaya Awang Mahmud.

Teoh, 30, setiausaha politik Yong ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Ahmad Shafik turut mengesahkan empat dokumen yang dicetak daripada komputer riba Teoh sebelum ini menimbulkan keraguan telah disiasat dan hasilnya mendapati keempat-empat projek dalam empat dokumen itu telah disempurnakan dan tuntutan hanya dibuat selepas projek dilaksanakan.

Beliau berkata antara projek dilaksanakan termasuk "Malam Persembahan Kanak-kanak sempena persembahan Tang Lung dan majlis "Sokong, Simpati dan Solidariti" terhadap Exco Kanan Selangor iaitu Teresa Kok.

Ketika disoal Awang Amadajaya bagaimanakah keempat-empat dokumen ini boleh berada di dalam komputer riba mendiang Teoh, Ahmad Shafik berkata: "Melalui keterangan daripada seorang ahli perniagaan Lee Wye Wing, dokumen itu dihantar kepada Teoh melalui e-mel untuk dirujuk sebelum harga ditentukan oleh Ean."

Ahmad Shafik, yang merupakan saksi ke-50 suruhanjaya itu, menjelaskan Lee hanya berurusan dengan Teoh dan tidak pernah berurusan terus dengan Yong dan jika program yang dilaksanakan mempunyai peruntukan, Teoh akan memberi lampu hijau kepada Lee.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan pada 26 Januari lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka.

Pemuda Masjid desak haram terbit filem seram

Posted: 26 Apr 2011 05:30 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Dewan Pemuda Masjid Malaysia (Pemuda Masjid) meminta pihak berkuasa supaya mengharam dan menghentikan kebenaran bagi penyiaran filem seram dan hantu yang kini kerap diterbitkan syarikat produksi filem tempatan.

Ketua Umumnya Dr Mohammad Nawar Ariffin berkata kebanjiran filem seram dilihat menjadi-menjadi ketika ini dengan jumlahnya mengatasi jumlah filem yang diterbitkan ketika era kegemilangan filem Melayu pada 1960-an.

Menurut beliau, Pemuda Masjid bimbang fenomena penerbitan filem jenis itu hanya akan memundurkan orang Melayu yang merupakan 95 peratus daripada penggemar dan penonton filem sedemikian.

"Adalah malang filem dan drama seram serta hantu ini dijadikan sogokan kepada penggemar filem dan drama Melayu kerana ia tidak langsung boleh membantu dalam membangun jiwa dan intelek masyarakat kita.

"Orang Melayu beragama Islam kini terancam akidah mereka akibat menonton aksi tahyul dan syirik yang sering dipaparkan sehingga semakin ramai terjebak dengan aktiviti kurafat dan mungkar," katanya dalam satu kenyataan dipetik Bernama Online.

Dr Mohammad Nawar berkata aktiviti kurafat dan tahyul itu juga dilihat berkembang ke arah negatif apabila semakin banyak kes penipuan oleh bomoh, diperkosa dan dicabul oleh pengamal perubatan tradisional dilaporkan.

"Oleh itu, penerbitan filem-filem jenis ini hendaklah dihentikan atau penyiaran dan penayangannya diperketatkan kerana ia mempunyai kesan dalam mempengaruhi jiwa dan pemikiran masyarakat.

"Kerajaan perlu segera menghentikan eksploitasi penerbit filem dan drama menggunakan filem seram dan hantu untuk mengaut keuntungan tanpa mengambil kira risiko dan kerosakan terhadap anak bangsa," katanya.

Beberapa tahun kebelakangan ini penerbit filem tempatan kerap mengeluarkan filem seram untuk tontonan penggemar filem sehingga ia membibitkan kebimbangan masyarakat akan kesannya kepada pemikiran dan agama.

Filem seram yang kini ditayangkan di pawagam antaranya Senjakala terbitan Excellence Pictures Sdn Bhd arahan Ahmad Idham dan Penunggu Istana arahan Wan Hasliza terbitan Alternate Studios.

Imam Besar Masjidil Haram bawa Wahabi ke Malaysia, syaki pegawai Jakim

Posted: 26 Apr 2011 05:25 AM PDT


KUALA LUMPUR— Seorang pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengesyaki Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais, yang berada di Malaysia minggu lalu, cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini dengan menggunakan platform "kerajaan dengan kerajaan."

Zamihan Mat Zin, yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu, Teras Institut Latihan Islam Malaysia berkata, lawatan kerja lima hari Sheikh Abdul Rahman yang berakhir Ahad lalu kemungkinan membawa metodologi yang bertentangan dengan amalan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi pegangan umat Islam di Malaysia.

Kata beliau, Sheikh Abdul Rahman berpegang kepada fahaman Wahabi dan cuba menyuntik amalan itu di kalangan umat Islam melalui seminar "Berpegang kepada al-Quran dan As-Sunah" bertemakan "Dan Berpegang Kamu Semuanya Kepada Tali (Agama) Allah dan Janganlah Kamu Bercerai-berai."

Seminar dua hari berakhir Ahad lalu diadakan di Hotel Royale Chulan di sini dan dihadiri tokoh agama dari dalam dan luar negara.

"Imam ini (Sheikh Abdul Rahman) bawa amalan Wahabi dan menggunakan platform kerajaan dengan kerajaan untuk menyuntik fahaman Wahabi kepada umat Islam di Malaysia dan negara-negara Islam yang lain.

"Kalau beliau datang bercakap untuk soal umum tentang Islam, kepentingan Islam kita boleh terima, tapi ia jadi masalah kalah bercakap tentang Allah ada mata . . . ada tangan . . . ada kaki . . . itu semua kita tidak boleh terima," kata Zamihan yang pernah menjadi fokus berhubung isu Wahabi tahun lalu.

Tahun lalu Zamihan telah menimbulkan kontroversi apabila dikatakan mengaitkan beberapa tokoh agama dan politik iaitu bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mufti Perlis Dr Juanda Jaya, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai kaitan dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Zamihan bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa beliau pernah mengaitkan Presiden PAS, bekas menteri besar Perlis dan mufti Perlis dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Sebaliknya Zamihan mengakui ada "membangkitkan" nama Asri dalam taklimat itu berdasarkan tulisan beliau selama ini.

Tegas beliau, amalan dan ajaran yang dibawa Sheikh Abdul Rahman bukan metodologi Ahli Sunah Waljamaah dan ia bertentangan dengan amalan umat Islam.

"Sebab itu (ajaran Sheikh Abdul Rahman) bukan metodologi Ahli Sunah Waljamaah, sebaliknya ia merupakan metodologi sebahagian amalan al-Hanabilah al-Mujassimah dan metodologi ini bertentangan dengan amalan Ahli Sunah Waljamaah yang kita amalkan di Malaysia.

"Memandangkan metodologi ini dipopularkan ajaran Wahabi dan ulama bangkit menentangnya, maka metodologi ini tidak perlu disebarkan kepada umat Islam dalam apa jua pendekatan kerana ia bukan metodologi yang benar yang diwarisi dari Rasulullah," katanya.

Kata Zamihan, beliau menentang keras tindakan Sheikh Abdul Rahman yang cuba mewujudkan suasana tidak senang di kalangan umat Islam dengan membawa fahaman yang bertentangan dengan amalan Ahli Sunah Waljamaah.

"Jika ia (amalan Wahabi) mahu dipraktikkan di Arab Saudi terpulanglah, tapi kita di Malaysia mengamalkan metodologi Ahli Sunah Waljamaah yang jelas iaitu berpegang dengan prinsip akidah yang dirintis dari Imam Abu al-Hasan al-Ash`ari bermazhab Shafie dan berpandukan metodologi tasawuf dari kalangan ulama sufi yang muktabar.

"Imam Besar Masjidil Haram ini juga pernah membuat (mencetuskan) kontroversi apabila mengemukakan pandangan bahawa orang Islam dilarang menziarai makam Nabi, malah saya ada bukti lain yang menunjukkan beliau cuba menyuntik fahaman Wahabi.

"Malah dalam seminar yang dihadiri beliau pada Sabtu dan Ahad lalu juga, hampir keseluruhan jurucakap dan tetamu yang hadir mengamalkan metodologi Wahabi, tapi gunakan nama lain daripada diketahui dan ini mengelirukan umat Islam," katanya.

Justeru, kata beliau, pihak berkuasa terutamanya polis dan jabatan agama Islam harus menyiasat perkara tersebut agar tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam.

Selain itu, Zamihan juga mempersoalkan bagaimana penceramah-penceramah dari luar negara dibenarkan untuk bercakap soal agama tanpa permit.

"Kedatangan Imam Besar Masjidil Haram ini kalau untuk kegiatan umat Islam tiada masalah tapi kalau nak bawa metodologi ia tidak wajar . . . tindakan ini akan mengelirukan umat Islam dan wajar pihak berkuasa untuk menyiasat perkara ini.

"Kalau nak masuk Singapura pun kena ada permit tapi bila orang luar berucap pasal agama dan nak bawa metologi Wahabi tidak perlukan permitkah? Sheikh Abdul Rahman datang dengan tujuan untuk semai fahaman Wahabi dan ini tidak wajar," katanya yang turut menjadi perhatian ekoran satu seminar di Singapura awal tahun lalu.

Pada Jumaat lalu Sheikh Abdul Rahman menggesa umat Islam berpegang teguh kepada al-Quran dan As-Sunah demi memastikan mereka kekal bersatu padu.

Beliau berkata, perpecahan di kalangan umat Islam akan berlaku sekiranya mereka tidak menjadikan kedua-dua perkara itu sebagai sebahagian amalan kehidupan seharian.

"Anda semua harus berpegang pada hadis Rasulullah mengenai pentingnya berpegang teguh dengan al-Quran dan As-Sunah, jika tidak inilah (perpecahan) jadinya kepada umat kita (Islam)," katanya dalam khutbah Jumaat yang diikuti oleh lebih 3,000 jemaah di Masjid Wilayah Persekutuan.

Khutbah beliau bertajuk "Perpaduan Islam dan Cabaran Semasa" diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh Yang Dipertua Persatuan Bahasa Arab Malaysia, Datuk Mahamud Abdul.

Dolak-dalik saksi kelebihan untuk peguam saya – Anwar

Posted: 26 Apr 2011 05:18 AM PDT

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kehadiran pakar DNA bebas dari luar negara di dalam pasukan pembelaannya membantu menangkis cubaan pendakwa untuk memberikan gambaran tidak tepat terhadap dirinya.



"Apabila diminta peguam (bela) untuk ajukan (kenyataan), dia (Dr Seah Lay Hoong) cuba selindung untuk beri gambaran buruk kepada media.

"Jadi nasib baik kita bawa pakar DNA dan forensik kita sendiri. Ini akan membantu isu-isu yang agak banyak teknikaliti," kata Anwar.

Beliau menambah, kenyataan saksi pendakwa serta penyerahan barang kes yang tidak konsisten dalam perbicaraan Fitnah II merupakan satu kelebihan buat pasukan peguam pembela.

"Apabila peguam tanya, nampak dia (Dr Seah) berdolak-dalik dan ini akan memperkukuhkan kita," kata Anwar.

Semalam dan hari ini, peguam Anwar berjaya menimbulkan beberapa keraguan kes yang dibentangkan pasukan pendakwa raya.

Pertama, calitan kapas B5 yang diambil daripada kawasan dubur Saiful (Mohd Saiful Bukhari Azlan) semalam mengandungi DNA tiga lelaki termasuk DNA Saiful sendiri.

Kedua, pendakwa raya mengemukakan laporan kimia yang mengandungi sampel B12 sedangkan sebelum ini laporan kimia yang diserah kepada peguam Anwar dinomborkan B sehingga B11 sahaja.

Dan hari ini, kombinasi DNA yang diambil daripada tubuh Saiful kemungkinan datang daripada sepuluh orang lelaki, dan bukannya tiga orang lelaki sebagaimana dakwaan Dr Seah semalam.

Makin ramai berang dengan lidah tak rasmi Umno, Utusan Malaysia!

Posted: 26 Apr 2011 04:24 AM PDT

DETIK DAILY



Kemampuan Utusan Malaysia dan Kosmo menjadi sumber maklumat yang mampu mendidik masyarakat telah lama dipertikaikan. Akhbar yang menjadi suara kepada kerajaan itu sering menimbulkan kontroversi dalam cara penyampaian maklumat yang tidak seimbang di samping meniupkan semangat perkauman dalam negara.

Terbaru adalah dengan menyiarkan gambar dan berita yang berkaitan dengan fitnah video seks yang membabitkan Ketua Umum Parti keadilan Rakyat, Dato Seri Anwar Ibrahim. Tokoh agama, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin juga menegur Utusan Malaysia cara penyiaran maklumat itu dibuat.

Apa yang menjadi isu sekarang ini, Utusan Malaysia dan Kosmo diagih-agihkan secara percuma ke sekolah-sekolah kerajaan untuk tatapan pelajar sedangkan maklumatnya mutakhir ini banyak memaparkan isu seks. Maklumat ilmu yang sepatutnya diperolehi dan diberi kepada pelajar telah bertukar kepada maklumat fitnah dan seks.


Menurut Eida Burn, 42, (gambar kiri) dia mahu supaya Kementerian Pelajaran mengkaji semula pemberian akhbar itu di sekolah kerana sering memaparkan maklumat yang berunsur seks dan fitnah. Katanya, apa yang diperlukan oleh pelajar adalah ilmu atau maklumat yang mampu membuat minda mereka berfikir ke arah kemajuan negara.

"Tetapi apa yang dikesalkan adalah laporan yang memalukan hingga ada anak saya yang bertanya berhubung dengan berita yang tidak bermoral seperti video seks yang heboh sekarang ini. Pelajar tidak memerlukan maklumat seperti ini kerana ia mampu membawa kekeliruan kepada mereka," katanya.

Kata beliau lagi, jika pelajar dimomokkan dengan berita seks dan mengaibkan seperti itu, ia mungkin akan melahirkan pelajar yang tidak berakhlak dalam penyampaian maklumat.

Sementara itu, Sisom Saliman, 45, (gambar kanan) pula melahirkan rasa malu terhadap media perdana itu yang sanggup menjadikan perkakas kepada pemerintah walaupun sedar "belum tentu" kebenarannya. Katanya, walaupun belum ada kesahihan tetapi cara penyampaian media itu amat dikesali hingga ada yang mempercayainya.


Menurutnya, adalah tidak wajar media seperti ini dijadikan bahan bacaan kepada pelajar kerana ia mampu menimbulkan suasana negatif. "Saya sendiri malu nak beli akhbar terbitan Utusan Melayu itu apatah lagi untuk dibawa ke rumah untuk tatapan keluarga. Akhbar sepatutnya menjadi media yang mampu mendidik masyarakat dan bukan menjadikan berita seks sebagai tajuk utama mereka," kata beliau.

Jelasnya, pihak pengurusan sesebuah akhbar sepatutnya melihat bagaimana sesebuah media mampu membina minda masyarakat dan bukan mengejar keuntungan semata-mata. Sisom berharap agar pengurusan Utusan membuat post mertem setiap berita dan maklumat yang disampaikan dan mengambil kira impak kepada masyarakat.


Bagi Abdullah Spontan, 27, (gambar kanan) mahu media menjadi sumber maklumat yang sihat untuk melahirkan genarasi yang mampu membawa negara kearah kegemilangan. "Berita yang menjurus ke arah pelajaran wajar dilebihkan tanpa terdapat unsur yang mampu membawa mereka ke arah perkara yang tidak baik. Pelajar sekolah sepatutnya menumpukan lebih pelajaran dan pengetahuan yang berguna dan bukan laporan yang tidak beretika dan tidak berakhlak," tegasnya.

Katanya, terdapat media perdana yang tidak beretika hingga menyiarkan berita yang tidak sepatutnya hingga boleh membawa kesan yang negetif kepada pelajar. Beliau mahu pelajar tahu peranan mereka sebagai penuntut untuk kegunaan dunia dan akhirat.

Jadi, katanya, janganlah ada pula media yang cuba merosakkan mereka dengan menyalurkan berita yang tidak bermoral sebagai bahan bacaan. Tegas Abdullah, Utusan sebagai media orang Melayu dan Islam sepatutnya berusaha mendidik pelajar dan bukan memesongkan pemikiran mereka dengan maklumat fitnah.


Muhammed Kamel Abdullah, 54, (gambar kiri) kesal dengan apa yang berlaku, dan beliau mahu media sedar apakah peranan surat khabar, siapa sasaran, apakah matlamat berita yg hendak disampaikan. Katanya, peranan akhbar antaranya adalah menyampaikan berita, di dalam dan luar negara dalam bentuk maklumat, hiburan, pembelajaran, ekonomi, sukan dan lain-lain.

Dalam konteks, ini katanya, Utusan Malaysia tidak mengambarkan keikhlasan berita yang dikeluarkan kerana ianya dilihat lebih menjadi lidah parti politik Umno. Jadi, tidak hairanlah, tegasnya, jika mereka sanggup berbohong, memfitnah agar mereka dapat memesongkn fikiran org yg tidak ada sumber lain untuk dijadikan secondary opinion.

Beliau berpendapat pemberian Utusan Malaysia secara percuma ke sekolah-sekolah adalah salah satu strategi pemerintah untuk kekal berkuasa, dgn harapan ibu bapa murid akan membaca dakyah mereka dan mengundi BN. "Jadi tujuan mereka bukanlah untuk memberi maklumat berupa ilmu pengetahuan kepada pelajar tetapi lebih kepada politik dan kepentingan pemerintah semata," katanya.

Kediaman PM dan TPM tidak pernah siap

Posted: 26 Apr 2011 04:19 AM PDT

Oleh Subky Latif

KETIKA saya ke Putrajaya tersesat ke satu jalan mati. Si hujung jalan mati di tebing sungai tersergam sebuah mini istana. Ia rupanya kediaman Timbalan Perdana Menteri.

Ia bukan jalan masuk ke kediaman Tan Sri Muhyidin Yassin itu. Jalan itu sempit. Untuk pusing ke belakang pun sulit. Ia sesuai bagi penghuninya lari kalau dia diburu dari jalan masuk yang sebenar.

Mengikut orang-orang di Putrajaya, Tan Sri Muhyiddin tidak tetap bermalam di situ dan dia belum betul pindah ke situ walau pun sudah lebih dua tahun jadi Timbalan Perdana Menteri.

Saya diberitahu, mini istana itu sedang direnovasi. Mungkin itu yang menyebabkan TPM tidak menetap tetap di situ.

Kononnya sebaik sahaja dia pindah ke situ, dia mengubah suainya.

Rumah itu dibina untuk Timbalan Perdana Menteri ketika penjawatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kerana malamnya sama banyak dalam dan luar negeri dan di dalam negeri pun dia ada rumah sendiri, maka kurang sangat dia bermalam di situ.

Bila Tun Abdullah Badawi menjadi tuan baru bangunan itu, dia dikatakan membuat ubah suai. Apabila dia pindah ke kediaman Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri Najib pun menjadi penghuninya.

Cita rasa pasangan suami isteri itu biasanya lebih tinggi dari penghuni sebelumnya. Lebih banyak ubah suai dilakukan.

(Kediaman Perdana Menteri, Seri Perdana)

Tidak diketahui besar mana belanja renovasi itu.

Tiba giliran Muhyiddin Yassin menjadi penghuninya, dia mengesahkan rumah itu tidak pernah siap. Sedang direnovasi lagi.

Jika 50 tahun Barisan Nasional memerintah, jika gaya hidup demikian diteruskan, berapa puluh lagi mini istana itu akan menghadapi ubah suai. Ia mungkin kekal menjadi bangunan yang tidak pernah siap.

Abdul Khalid Samad, Anggota Parlimen Shah Alam berceramah di Taman Melewar, Gombak. Dia menyebut satu peruntukan dalam bajet negara yang dibentang Najib ialah mengubah suai kediaman Perdana Menteri, Seri Perdana sebanyak RM65 juta.

Wau! Banyaknya!

Wang sebesar itu boleh membina sebuah kediaman yang kecil sedikit dari kediaman Perdana Menteri yang ada itu. Kalau dibina di tanah di luar Putrajaya bagi banglo sejuta ringgit sebuah, boleh dapat 65 buah.

Apa lagi kurangnya kediaman Perdana Menteri yang ada itu?

Adakah ia satu contoh mendahulukan rakyat? Atau ia mendahulukan Perdana Menteri dan anak-anaknya selama menjadi Perdana Menteri?

Adalah betul ia bukan rumah Najib dan Rosmah. Ia kediaman Perdana Menteri dan bagi sesiapa saja yang menjadi Perdana Menteri selepas ini.

Orang tidak tahu akan keperluan renovasi sehingga RM65 juta itu. Tetapi yang dapat dikhayalkan itu tuntutan yang dibuat oleh Puteri Gunung Ledang apabila Raja Melaka meminangnya.

Raja Melaka pun tak sanggup menunaikannya padahal baginda adalah raja. Ertinya dalam kediaman Najib itu ada ruh dan impian Puteri Gunung Ledang. Ia satu kehidupan kayangan yang fantasi. Impian Puteri Gunung Ledang itu satu kisah dongeng. Tetapi fantasi pasangan Najib ialah satu transformasi dongeng?

Biasanya peruntukan RM65 juta itu tidak dibelanjakan mengikut nilai peruntukan itu. Ia boleh memberi komisyen hingga 30 peratus. Barisan Nasional terkenal dengan keberanian menggandakan peruntukan sesuatu projek, hingga yang sepatutnya murah menjadi mahal tang-tang-tang.

Ia satu cara untuk menghalalkan lintah darat mengaut duit negara.

Tunku Abdul Rahman Putra dulu anak Sultan. Sebagai Perdana Menteri dia tinggal di bangunan yang dinama Residensi di tengah Jabatan Perdana Menteri. Bangunan lama yang digunakan oleh Orang Putih dulu. Kerajaan ketika itu membina kediaman Perdana Menteri yang dinamakan Seri Taman di belakang Masjid Negara. Bila siapa Tunku enggan pindah. Rumah itu pun didiami oleh Timbalan Perdana Menteri Tun Razak

Tunku itu anak Raja. Tetapi agaknya kerana berjiwa rakyat, dia memilih kediaman yang sederhana. Tetapi anak rakyat yang menjadi Perdana Menteri, mungkin berjiwa raja, maka memilih gaya hidup dan impian bangsawan.

Amat tidak sedap mendengar cerita kediaman Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri yang tidak pernah siap ini. Ia cerita yang berkembang dalam masyarakat. Ia boleh memburukkan imej pimpinan negara.

Cerita yang saya dengar mungkin lagi memburukkan Perdana Menteri dan timbalannya. Maka wajar Perdana Menteri atas nama Menteri Kewangan membuat penjelasan supaya orang tidak bersangka tidak baik kepada pemimpin negara.

10 Jari Manusia Dikerat Cantik Ditemui Di Tepi Landasan Stesen Kuang

Posted: 26 Apr 2011 04:13 AM PDT


KELAB GREENBOC

Kuala Lumpur: Seorang pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang sedang memeriksa trek kereta api terkejut apabila menemui 10 jari manusia dalam sebuah beg plastik berhampiran Stesen Kuang, dekat sini hari ini.

Sharudin Manaf dilaporkan menemui jari-jari tersebut dalam sebuah beg plastik berwarna putih kira-kira pukul 10 pagi, kata Ketua Polis Daerah Gombak ACP Rahim Abdullah kepada Bernama, menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Turut ditemui dalam beg plastik itu ialah pita pelekat berwarna hijau, manakala sehelai baju berwarna hitam berbelang putih serta seluar panjang hitam ditemui berhampiran beg plastik tersebut, katanya.

"Cap jari itu akan dirujuk segera ke Sistem Cap Jari Automatik Malaysia (MAFIS) untuk mengenalpasti butir-butir mangsa," kata beliau.

Rahim berkata, perlakuan jenayah itu dipercayai dilakukan kurang dari tempoh 24 jam.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penemuan jari tersebut agar tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - BERNAMA


Misteri 10 jari dikerat 'cantik'

GOMBAK - Kejam! Perbuatan penjenayah terhadap mangsanya semakin sukar dijangka dengan kes terbaru polis menemui 10 batang jari seorang lelaki yang dikerat 'cantik' dibuang atas landasan kereta api berhampiran Taman Sri Putra Emas, Kuang di sini semalam.

Kesemua jari yang dibungkus di dalam beg plastik berwarna putih itu ditemui pada pukul 9.55 pagi oleh pejalan kaki sebelum memaklumkannya kepada kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Difahamkan, jari tersebut telah dilemparkan dari atas Jambatan Jintan tepat ke atas landasan iaitu di Kilometer 363 dari Butterworth ke pekan Kuang.

Siasatan awal polis mendapati, kesemua jari berkulit gelap tersebut diikat menggunakan pita pelekat sebelum dikerat serentak.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, ketika itu pekerja KTMB terbabit hanya menyedari lima batang jari di dalam beg plastik tersebut.

Bagaimanapun katanya, selepas diperiksa, polis mendapati terdapat lima lagi jari yang disyaki dikerat dari dua belah tangan milik seorang lelaki.

"Kita turut menemui sehelai baju T berwarna hitam berbelang putih dengan kesan darah dan sehelai seluar slack," katanya ketika dihubungi di sini semalam. -kosmo

AKHBAR MELAYU DIGESA BERHENTI ' MEMBODOHKAN ' ORANG MELAYU

Posted: 26 Apr 2011 04:10 AM PDT

http://buletinonline.net/images/stories/berita46/akhbarbodoh.jpg

BULETIN ONLINE

Hari ini selasa 26hb April 2011, tajuk utama media cetak berbahasa Inggeris, New Straits Times memaparkan berita "Nasi lemak twice a week". Akhbar The Star pula memaparkan berita "Deadly illegal – Growing trade in illicit cigaretts costing Govt billion". Akhbar berbahasa Manderin seperti China Press dan Sin Chew pula memaparkan berita risiko suntikan menguruskan badan. Akhbar berbahasa Tamil pula menceritakan tokoh agama yang cukup berpengaruh meninggal dunia.

Malangnya tajuk berita utama media cetak berbahasa Melayu, Utusan Malaysia memaparkan tajuk utama "Anwar Lelaki Y", Berita Harian "Lelaki Y Anwar" dan Sinar Harian "Anwar Lelaki Y". Akhbar bahasa Melayu mejoritinya mengambil kes liwat 2 Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai tajuk utama. Apakah yang menjadi keutamaan kepada berita ini? Bukankah ia menceritakan keaiban orang Islam yang cukup meloyakan? Bukankah cerita seumpama itu sangat tidak sesuai dengan anak-anak sekolah? Bukankah cerita tersebut belum lagi diputuskan oleh mahkamah tetapi hanya dakwaan pihak pendakwa sahaja? Soalnya mengapa ia menjadi tajuk utama? Apakah agenda disebalik isu tersebut ?

Tiada halangan jika berita aib dan meloyakan ini dimasukkan dalam berita kecil dalam akhbar seperti New Strait Time yang memuatkan dalam muka surat 6 dan The Star dalam muka surat 10. Tetapi apabila tajuk liwat diletakkan berkali-kali sebagai tajuk utama maka sebenarnya media berbahasa Melayu seolah-olah mendoktrinisasi minda orang-orang Melayu dengan isu seks. Sebahagian besar pembaca media Utusan Melayu, Berita Harian dan Sinar Harian adalah kelompok orang Melayu berpendidikan rendah dan tinggal di pinggir dan luar bandar. Sesetengah daripada mereka tidak berpeluang mendapat pendedahan terhadap media baru.

Saya fikir lebih wajar media arus perdana berbahasa melayu meletakan tajuk utama mengenai dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang akan menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris(PPSMI). Orang Melayu sudah berdepan dengan masalah sosial khususnya anak muda yang terlibat dengan masalah seks bebas, dadah, arak, anak luar nikah, sumbang mahram, VCD lucah dan lain-lain lagi. Akhbar berbahasa Melayu seolah-olah kurang sensitif terhadap isu sosial yang sedang dihadapi oleh orang Melayu sekarang.

Secara umumnya media berbahasa Inggeris, Manderin dan Tamil yang pembacanya terdiri daripada kelompok Melayu kelas menengah ke atas, masyarakat Cina dan masyarakat India tidak dihidangkan dengan cerita aib dan meloyakan seperti media berbahasa Melayu. Secara perbandingannya seolah-olah mereka dihidangkan dengan isu-isu yang lebih bertamadun daripada kelompok masyarakat Melayu berpendidikan rendah. Saya memohon agar media arus perdana berbahasa Melayu menghentikan agenda membodohkan minda orang-orang Melayu ini. Sudah cukuplah penjajah membodohkan orang Melayu lebih 400 tahun. Hidangkanlah minda semua rakyat Malaysia dengan perkara yang segar dan bermanfaat untuk agama, bangsa dan negara.

Suhaizan Bin Kayat
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Pusat.
(019 728 5174)

Tiada Bukti Ean Yong Hian Wah Salah Guna Wang Peruntukan

Posted: 26 Apr 2011 04:08 AM PDT

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock diberitahu ekoran kematian Teoh, tiada bukti dapat menunjukkan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah terlibat dalam penyalahgunaan wang peruntukan kerajaan negeri Selangor.

Pemangku Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya, Ahmad Shafik Abdul Rahman "Melalui keterangan daripada seorang ahli perniagaan Lee Wye Wing, dokumen itu dihantar kepada Teoh melalui e-mel untuk dirujuk sebelum harga ditentukan oleh Ean (Yong Hian Wah)".

Ahmad Shafik, yang merupakan saksi ke-50 suruhanjaya itu, menjelaskan Lee hanya berurusan dengan Teoh dan tidak pernah berurusan terus dengan Yong dan jika program yang dilaksanakan mempunyai peruntukan, Teoh akan memberi lampu hijau kepada Lee.

Beliau berkata setelah projek dilaksanakan, Yong akan mengeluarkan tuntutan kepada pejabat daerah dan pegawai daripada pejabat berkenaan mengesahkan sama ada projek itu dilakukan atau tidak dan jika dilaksanakan, maka bayaran akan dibuat.

Ahmad Shafik memberitahu suruhanjaya bahawa RM600,000 diperuntukkan kepada Yong selaku Exco Selangor dan beliau dipertanggungjawabkan bagi peruntukan Kuala Kubu Baru yang dipanggil sebagai ADUN angkat.

Ketika disoal Awang Armadajaya mengenai bayaran sebanyak RM3,754.76 yang dibayar kepada DAP Serdang Aman, Ahmad Shafik berkata: "Bayaran itu diberikan kepada DAP Serdang Aman sebagai pembayaran balik terhadap wang pendahuluan yang dibuat DAP".

Ketika ditanya pengerusi suruhanjaya, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen adakah terdapat dokumen sokongan yang menyatakan wang pendahuluan dibuat oleh DAP Serdang Aman, Ahmad Shafik berkata: "Lee ada menyerahkan resit-resit yang menyatakan bahawa terdapat bayaran pendahuluan dibuat oleh DAP dan resit itu diperoleh daripada ahli DAP sendiri".

Beliau menjelaskan pihak DAP perlu mendahulukan wang untuk melaksanakan projek kerana kebiasaannya bayaran tidak diperoleh secara terus dan mungkin memakan masa satu hingga dua minggu.

Selain Foong, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S. Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh, serta Pakar Perunding Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom. Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka.

Rais Yatim Akan Beri Keterangan Terhadap Blogger

Posted: 26 Apr 2011 04:05 AM PDT

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dijadualkan akan memberi keterangan selaku saksi utama dalam samannya terhadap seorang blogger, Amizudin Ahmat pada Julai depan.

Menurut peguam Azad Bashir yang mewakili Rais, Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datin Zabariah Mohd Yusof telah menetapkan supaya pendengaran kes berjalan selama tiga hari bermula 4 Julai depan.

Azad yang ditemui selepas menghadiri sebutan pengurusan kes pada Selasa juga memberitahu, mahkamah telah memerintahkan pihak-pihak yang terlibat dalam saman tersebut untuk memfailkan draf berhubung isu dan fakta yang dipersetujui serta ikatan dokumen sebelum 23 Mei depan.

Selain itu, mahkamah juga menetapkan 25 Mei ini sebagai tarikh sebutan terakhir sebelum pendengaran kes bermula.

Rais memfailkan saman tersebut pada 31 Januari lalu dan mendakwa satu makalah bertajuk 'Hei Pak Menteri... mana mau lari...' beserta dengan gambarnya telah disiarkan di laman blog Amizudin, yang merupakan anggota jawatankuasa Sayap Pemuda Parti Keadilan Rakyat.

Makalah tersebut yang didakwa mengandungi unsur fitnah disiarkan di alamat http://sharpshooterblogger.blogspot.com/ pada 28 Disember 2010.

Dalam saman yang difailkan melalui Tetuan Shafee & Co, Rais menuntut ganti rugi umum, ganti rugi khas, ganti rugi teruk, ganti rugi punitif, faedah dan injunksi terhadap defendan supaya membuang dan menghalang defendan daripada terus menyiarkan makalah berkenaan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Rais, 69, berkata, kesemua perkataan dalam makalah berbahasa Melayu itu berniat jahat dan berbaur fitnah terhadap beliau.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Jelebu, Negeri Sembilan itu juga mendakwa perkataan dalam makalah itu bermaksud dan/atau boleh difahamkan bermaksud bahawa beliau melakukan satu kesalahan serius iaitu merogol dan berkemampuan membunuh pembantu rumahnya yang berasal dari Indonesia.

Bagaimanapun, seorang wanita yang pernah bekerja sebagai pembantu rumah Rais selama lapan tahun dilaporkan sebuah portal berita Indonesia menafikan yang dia pernah dilayan secara kejam atau dirogol oleh majikannya.

Dalam pernyataan tuntutan berkenaan, Rais berkata perkataan yang berbaur fitnah itu juga bermaksud beliau seorang manusia dan/atau pemimpin yang tidak bermoral.

Dakwa Rais lagi, penyebaran artikel tersebut menyebabkan nama baik beliau secara peribadi atau secara profesional telah tercemar teruk di peringkat nasional dan antarabangsa serta diseretkan ke dalam skandal, kebencian dan kehinaan di mata umum serta mengalami keaiban, tekanan dan kerugian.

Amizudin diwakili oleh peguam Gan Chee Wei.

Guru Hilang Ketika Berjoging Ditemui Mati

Posted: 26 Apr 2011 04:03 AM PDT

BERNAMA

TAIPING: Seorang guru Sekolah Menengah King Edward Taiping yang dilapor hilang selepas keluar berjoging seorang diri di kawasan Bukit Larut, di sini dua hari lepas ditemui mati pada Selasa.

Mayat Abdullah Zubir Ismail, 29, ditemui dalam keadaan terbaring di dalam gaung sedalam 10 meter di kawasan bukit itu dengan kesan kecederaan di kepala oleh pasukan penyelamat pada pukul 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohd Yusof Diah berkata mayat guru itu dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat dan dituntut oleh keluarganya untuk dikebumikan di kampungnya di Jitra, Kedah.

Siasatan awal mendapati guru berkenaan mengalami kecederaan di kepala dan dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam gaung. Polis tidak mengesyaki perbuatan jenayah, katanya di sini, Selasa.

Polis menerima laporan mengenai kehilangan guru itu daripada rakannya petang Ahad lepas. Dia dilapor hilang selepas keluar berjoging di Bukit Larut pada pukul 10 pagi dan tidak pulang sehingga pukul 7 petang.

Sementara itu, Ahmad Din Ahmad Zuki, 50, yang membuat laporan mengenai kehilangan rakannya itu, berkata Abdullah memang suka berjoging dan mendaki bukit seorang diri di kawasan Bukit Larut dan ini adalah kali keempat dia berbuat demikian.

Abdullah telah berkahwin dan tinggal di asrama sekolah. Dia mengajar di sekolah Menengah King Edward Taiping sejak dua tahun lepas.

"Semalam (Isnin) sepatutnya dia mengajar...ramai di kalangan guru sekolah tidak mengetahui kehilangannya dan terkejut apabila mendapati dia ditemui mati di kawasan bukit itu hari ini," kata Ahmad Din yang juga seorang guru.

12,397 Pelatih Pusat Serenti Berjaya Dipulihkan Tahun Lepas - Abu Seman

Posted: 26 Apr 2011 04:01 AM PDT

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Seramai 12,397 atau 60.5 peratus daripada 20,502 penghuni yang menjalani program rawatan dan pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) berjaya dipulihkan tahun lepas.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, bagaimanapun terdapat 7,735 atau 37.7 peratus pelatih yang tidak dapat mengekalkan kepulihan atau menagih semula ketika menjalani pengawasan dalam komuniti.

"Proses pemulihan seorang penagih dadah memakan masa yang panjang dan penagihan dianggap sebagai 'penyakit berulang yang kronik'.

"Sungguhpun demikian, sepanjang tahun 2010 seramai 12,397 daripada 20,502 pelatih yang tamat tempoh pengawasan telah berjaya membebaskan diri daripada penagihan dadah, manakala 370 orang atau 1.8 peratus pula telah meninggal dunia," katanya menjawab soalan Senator Mariany Mohammad Yit pada persidangan Dewan Negara di sini, Selasa.

Mariany ingin tahu jumlah purata kos yang ditanggung kementerian bagi seorang pelatih di Pusat Serenti, jumlah keseluruhan pelatih di seluruh negara serta keberkesanan sistem di pusat-pusat tersebut.

Berhubung kos yang ditanggung kementerian bagi seorang penghuni Puspen, Abu Seman berkata sebanyak RM19.77 sehari atau RM593.10 sebulan telah dibelanjakan merangkumi perbelanjaan makan minum, emolumen kakitangan dan perkhidmatan serta bekalan.

Beliau berkata, sehingga Mac tahun ini seramai 5,441 orang pelatih sedang menjalani rawatan dan pemulihan dadah di semua pusat serenti seluruh negara.

Undang-Undang Persekutuan Yang Diwarta Boleh Diakses di Portal e-Warta

Posted: 26 Apr 2011 03:59 AM PDT

BERNAMA

PUTRAJAYA: Orang ramai kini boleh mengakses dan memuat turun undang-undang persekutuan yang sudah diwartakan menerusi e-Warta Persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata menerusi portal www.federalgazette.agc.gov.my itu, semua undang-undang persekutuan boleh diakses secara mudah dan percuma sebaik sahaja diwartakan tanpa perlu menunggu akta terbabit dicetak.

"Saya difahamkan Jabatan Peguam Negara telah mengguna pakai segala sumber dalaman yang ada untuk membangunkan sistem itu sendiri," katanya semasa melancarkan portal itu, di sini, Selasa.

Beliau yakin langkah yang diambil jabatan itu akan meningkatkan prestasi sistem penyampaiannya selain memberi manfaat kepada masyarakat dan pengamala undang-undang.

Sementara itu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam ucapannya berkata portal tersebut terhasil daripada cabaran yang dilontar Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada November lepas yang mahu jabatan berkenaan membangunkan sistem perwartaan atas talian tanpa membabitkan pihak ketiga. Selepas membuat kajian, beliau berkata jabatan itu mendapati ia berupaya daripada segi undang-undang serta teknikal untuk melaksanakannya dan seterusnya mengambil alih perwartaan atas talian daripada Percetakan Nasional Malaysia Berhad.

Katanya fasa pertama e-Warta meliputi pewartaan perundangan subsidiari yang akan dilaksanakan bermula hari ini, dan diikuti dengan fasa kedua yang merangkumi semua perundangan utama Persekutuan yang akan dilaksanakan bagi akta yang diluluskan di Parlimen tahun ini.

Abdul Gani berkata jabatan itu juga berhasrat menjadikan portal e-Warta Persekutuan sebagai pangkalan data tunggal bagi semua undang-undang Persekutuan.

Setakat ini sebanyak RM3,950 diperuntukkan untuk kos pembelian lesen perisian Nitro PDF bagi membangunkan portal itu dan selainnya hanya menggunakan perkakasan sedia ada, kata beliau.

"Bagi menampung kapasiti portal e-Warta yang akan bertambah dengan penggunaan giat e-Warta Persekutuan selepas ia dilancarkan, jabatan ini dalam proses untuk membuat perolehan bagi perkakasan yang diperlukan seperti server, penstoran data, scanner dan sebagainya," katanya.

Pada sidang akhbar kemudiannya Abdul Gani berkata para pegawainya akan sentiasa memantau portal itu bagi memastikan ciri-ciri keselamatannya terjamin.

"Ia dalam bentuk format PDF format. Jadi kalau nak ubah apa-apa pun susah. Orang kita ada memantau sistem itu sepanjang masa. Jadi kita tidak bimbang sangatlah. Kalau orang ubah pun kita (boleh) ubah balik," katanya.

Muktamar Agung PAS: Pencabar Abdul Hadi Hanya Diketahui 15 Mei

Posted: 26 Apr 2011 03:51 AM PDT

PETALING JAYA: Teka-teki sama ada Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan dicabar calon lain untuk jawatan Presiden PAS akan diketahui pada 15 Mei ini, kata Setiausaha Agung parti, Datuk Mustafa Ali.

"Setakat ini, belum dipastikan sama ada Abdul Hadi akan dicabar calon lain kerana senarai akhir calon yang bertanding akan diketahui pada 15 Mei nanti.

"Keputusan sama ada beliau akan dicabar atau mengekalkan jawatannya bergantung kepada senarai pencalonan yang diterima nanti," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Menurut Mustafa, tarikh untuk semua 179 PAS kawasan menghantar senarai pencalonan bagi pemilihan pucuk pimpinan parti sudah dilanjutkan kepada 15 Mei berbanding tarikh terdahulu iaitu 10 Mei.

"Masih ada masa lagi untuk setiap kawasan menghantar pencalonan masing-masing. Kita masih lagi menunggu senarai calon yang akan bertanding. Selepas itu barulah kita ketahui sama ada jawatan presiden mahupun jawatan tertinggi lain akan dipertandingkan," ujarnya.

Terdahulu, Anggota Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Husam Musa mempertahankan pendiriannya untuk tidak bertandi merebut jawatan presiden parti itu meskipun menerima pencalonan daripada beberapa cawangan.

Sebaliknya, Husam hanya mahu bertanding bagi peringkat anggota jawatankuasa dan menyuarakan sokongan padu terhadap Abdul Hadi untuk mempertahankan jawatan beliau.

Husam pernah bertanding bersama Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamad Sabu dua tahun lalu tetapi tewas kepada Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa dalam saingan tiga penjuru.

Muktamar Tahunan Pas ke-57 yang akan diadakan pada 3 hingga 5 Jun ini merupakan medan penting bagi parti itu bagi menentukan masa depan Pas dalam arena politik negara.

Selain tewas dalam empat pilihan raya kecil di Semenanjung, Pas turut gagal memenangi sebarang kerusi yang ditandingi pada Pilihan raya Negeri Sarawak, 16 April lalu.

PAS tawar bantuan guaman untuk keluarga Sarbani

Posted: 25 Apr 2011 11:01 PM PDT

Mohd Farhan Madzlan



KELANA JAYA: PAS melalui Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Pusat telah menziarahi keluarga allahyarham Ahmad Sarbani Bin Mohamad di kediamannya di Kelana Jaya semalam.

Kunjungan ini dimulakan dengan bacaan tahlil ringkas yang dikendalikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Ustaz Nasruddin Hassan At-tantawi bersama ahli keluarga allahyarham dan 30 orang ahli dan masyarakat setempat turut hadir sama dalam kunjungan tersebut.

Ahmad Sarbani meninggal selepas dikatakan jatuh dari tingkat empat bangunan SPRM Kuala Lumpur selepas beliau ke pejabat itu baru-baru ini. Ekoran itu pelbagai andaian dibuat bagaimana beliau jatuh dan meninggal.

Sebelum ini, para pemimpin kanan PAS turut menziarahim keluarga beliau bagi mengucapkan takziah atas kejadian itu.

Nasruddin mengucapkan takziah kepada balu allahyarham Sarbani (Puan Maziah Bt. Manap) serta keluarga dalam insiden dan memohon agar terus bersabar dalam menempuh hidup.

Nasruddin berkata, "Kita dari Dewan Pemuda dan rombongan yang hadir mengharap dan berdoa agar puan sekeluarga diberikan ketenangan dan keadilan yang sebenar.

(Gambar: Pimpinan Muslimat PAS bergambar bersama keluarga Allahyarham Sarbani)

"Kita juga telah bersetuju untuk menyediakan khidmat guaman bagi membela Allahyarham serta kos guaman tersebut akan ditanggung sepenuhnya oleh Dewan Pemuda PAS Pusat," tambah Nasruddin lagi.

Wakil keluarga yang juga merupakan adik kepada Allahyarham (Hussin bin Mohamad) turut berterima kasih atas kesudian PAS untuk datang mengujungi keluarga mereka dan bersama-sama membantu mereka untuk mencari keadilan bagi keluarga mereka.

Apabila ditanyakan apakah tindakan yang bakal dilakukan oleh pihak keluarga dalam kes tersebut, Maziah mengatakan masih menunggu hasil siasatan selesai.

"Kami masih menunggu siasatan polis sehingga selesai dan selepas itu kita akan buat tindakan hasil dari keputusan siasatan tersebut," kata Maziah yang telah berbincang dengan peguamnya yang juga merupakan abang iparnya.

Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh juga turut memberikan sokongan kepada balu Allahyarham serta keluarga agar lebih cekal dan bersabar.

Dewan Muslimat juga bersedia untuk menyalurkan kebajikan dan membantu bagi meringankan bebanan keluarga allahyarham yang telah meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak.

Tiga daripada mereka masih lagi belajar di sekolah.

Di akhir pertemuan tersebut sedikit sumbangan juga telah disampaikan kepada keluarga Allahyarham oleh Ustaz Nasruddin dan juga Ustazah Nuridah mewakili kedua-dua dewan.

Kunjungan malam tadi turut dihadiri oleh Ustaz Hasbullah Ridwan (Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor) dan Ustazah Wan Hasrina Wan Hasan (Ketua Dewan Muslimat Pas Selangor) serta exco-exco kedua-dua dewan.

Tiada ulasan: