1Melayu, 1Bumi: Pemimpin Pakatan mahu Najib tindak ke atas Utusan Posted: 20 Apr 2011 05:19 AM PDT Oleh Shazwan Mustafa Kamal
KUALA LUMPUR – Wakil rakyat-wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia yang cuba mewujudkan ketegangan kaum dengan mencabar gagasan 1 Malaysia yang bersifat inklusif. Hari ini, Utusan Maaysia meminta pemilik akhbar itu supaya mengadakan gerakan yang boleh dikenali sebagai "1Melayu, 1Bumi" melibatkan kesemua parti Melayu sambil mendakwa DAP mahu menggulingkan kerajaan pimpinan Melayu. Penasihat DAP Lim Kit Siang (gambar) berkata, tulisan terbaru Utusan Malaysia yang bersifat "antinasional" membuktikan yang gagasan 1 Malaysia bukan satu kempen yang bertujuan bina negara yang serius, tetapi hanya bertujuan memancing undi melibatkan "Kemeja 1 Malaysia, Tupperware 1 Malaysia, Air Galian 1 Malaysia, Burger 1 Malaysia, akaun e-mel 1M dan lain-lain yang memburu keuntungan menggunakan 1M." Kata beliau, dalam membuat gesaan antikebangsaan yang tidak bertanggungjawab, Utusan Malaysia sebenarnya meletakkan Najib dalam ujian sama ada beliau bersedia untuk mengambil tindakan ke atas Utusan dan mereka secara terbuka mencabar dasar 1 Malaysia. "... atau beliau seorang Presiden Umno yang tiada kawalan sepenuhnya ke atas Umno," kata Lim dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini. Dalam tulisan ruangan Cuit hari ini, Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan berkata, DAP telah berjaya menjadi parti Cina yang telah menyatupadukan orang Cina. Katanya, hanya kuasa mutlak politik yang belum dikuasai sepenuhnya oleh orang Cina tetapi yang lain "semua sudah." "Kini DAP membawa slogan yang cukup hebat di kalangan masyarakat mereka iaitu Undi untuk Ubah, Enough is Enough (Cukuplah) dan Selamatkan Malaysia," katanya. Dia berkata slogan itu sebenarnya bukan ditujukan kepada orang lain, tapi khususnya kepada orang Cina. "Terpapar megah di dada baju penyokong dan calon DAP dalam pilihan raya Sarawak supaya diubah kepimpinan Melayu Malaysia ini," katanya lagi. Katanya, pilihan raya umum ke-13 akan digunakan sepenuhnya untuk menyatukan kuasa mereka. Kata Zaini, "sebaliknya apa yang orang Melayu buat? Tiada apa-apa. Mereka ialah satu bangsa yang cukup selesa, komplesen, alpa dan tidak peduli. Malah pemikiran mereka cukup bercelaru." Dia seterusnya berkata, pada pandangannya Umno harus melancarkan gelombang perpaduan bangsa "1Melayu, 1Bumi." "Lancarkan segera 1Melayu, 1Bumi dalam lingkungan UMNO dan parti-parti Melayu yang lain," katanya lagi. Dalam ulasannya kata Lim, ruangan yang dibawa Utusan Malaysia adalah sesuatu yang tidak bertanggungawajab, yang hanya mahu memecahbelahkan rakyat pelbagai kaum dengan "pembohongan, fitnah dan kepalsuan." "Ini adalah politik lama perkauman yang mesti memberi laluan kepada politik Malaysia, yang bersifat multirasialisme (sekarang)," kata ahli Parlimen ini. Kata beliau, DAP tidak pernah bertindak sebagai sebuah parti politik bagi kaum Cina, sebaliknya ia adalah bagi semua rakyat Malaysia. Malah kata beliau, ia juga merupakan parti politik Pan-Malaysia yang meluaskan sayapnya bukan sahaja di Semenanjung, tetapi juga di Sabah dan Sarawak. Kata Lim, kejayaan DAP pada pilihan raya negeri Sarawak minggu lalu merupakan hasil kerja keras politik selama 33 tahun bagi rakyat Malaysia dan juga Sarawak, yang percaya pada keadilan dan masyarakat yang saksama. Sehubungan itu, beliau juga mencabar parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) menyatakan pandangan mereka dalam isu terbaru ini. Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat, Khalid Samad sealiran dengan pandangan Lim sambil berkata, editor Utusan Malaysia itu seharusnya dicaj di bawah Akta Hasutan. "Mereka harus dikenakan tuduhan di bawah perkara-perkara berkaitan hasutan, mencetuskan ketegangan kaum," katanya lagi. "Hakikatnya, apa yang dikatakan oleh mereka adalah salah belaka. DAP berjuang bukan hanya untuk satu kaum sahaja, mereka berjuang untuk sebuah kerajaan yang adil dan telus," kata Ahli Parlimen Shah Alam ini kepada The Malaysian Insider. Yang Dipertua PAS Shah Alam itu juga mendakwa Utusan Malaysia dihantui dengan isu-isu bertunjangkan kaum dan kebimbangan bahawa masyarakat Cina akan menggulingkan kerajaan didominasi Melayu adalah sebahagian daripada "propaganda" Umno untuk kekal berkuasa. Naib Presiden PKR Chua Tian Chang pula memberitahu, tulisan Utusan Malaysia hari ini sekali lagi menunjukkan bahawa ia tidak boleh menyesuaikan diri dengan fenomena masyarakat "pelbagai kaum." "Ini cara bagaimana mereka hendak menggambarkan setiap perkara... setiap satu adalah konspirasi besar menentang Umno. "Ia hanya helah untuk kekal berkuasa," kata Ahli Parlimen Batu ini. |
Soi Lek Pembohong Dan Hipokrit, Kata Tee Keat Posted: 20 Apr 2011 05:17 AM PDT TVS NEWS
SHAH ALAM : Bekas Presiden MCA Ong Tee Keat menyifatkan Dr Chua Soi Lek sebagai "pembohong dan hipokrit yang menjijikan" bersabit keputusan MCA menerima jawatan dalam Kabinet meskipun parti itu kalah teruk pada PRU 2008.
Soi Lek yang kini menerajui MCA mendakwa bahawa Tee Keat dan bukan beliau, bertanggungjawab membenarkan MCA menerima pelantikan jawatan Kabinet dan kedudukan lain dalam kerajaan BN walaupun parti itu kalah teruk pada pilihanraya lalu, khususnya pada DAP.
Dalam satu kenyataan, Tee Keat berkata tuduhan Soi Lek itu mengandungi kesilapan fakta memandangkan beliau(Tee Keat ) hanya menjadi Presiden MCA pada 18 Oktober 2010.
Presiden parti ketika PRU lalu adalah Ong Ka Ting.
Tee Keat berkata setelah dipilih menjadi Timbalan Presiden MCA pada tahun lalu, Soi Lek sendiri tidak pernah mengumumkan hasrat untuk menolak sebarang perlantikan menganggotai kerajaan.
"Majlis Presiden yang turut dianggotai oleh beliau, memberikan mandat kepada saya untuk menguruskan perkara itu dengan Perdana Menteri baru (Datuk Seri Najib Tun Razak)," kata Tee Keat.
Tee Keat berkata tindakan Soi Lek untuk bingkas menuduhnya menunjukkan Presiden MCA itu masih mempunyai "prejudis politik" terhadap beliau.
Beliau turut menyifatkan Soi Lek sebagai hipokrit kerana menerima pelbagai jawatan dalam kerajaan sebaik sahaja diangkat menjadi Presiden MCA tahun lalu iaitu pada Mac.
Ini termasuk Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan Majlis Ekonomi Kerajaan yang ditubuhkan oleh Najib.
Selain itu, Soi Lek tidak membantah, malah "menguruskan' perlantikan anaknya Chua Tee Yong sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dalam Kabinet Najib, kata Ong,
Isnin lalu, Soi Lek menunding jari kepada Tee Keat apabila dibidas kerana mencadangkan SUPP menolak sebarang jawatan dalam kerajaan negeri Sarawak ekoran kekalahan terbesar parti itu pada pilihanraya negeri yang lalu.
DAP yang menumbangkan SUPP berkata, Soi Lek terlebih dahulu harus mengambil langkah itu dengan menolak jawatan kabinet kerana parti itu sendiri kalah teruk pada PRU 2008.
Atas faktor sama, Soi Lek juga patut menolak jawatan yang diberikan kepada MCA dalam kerajaan negeri Perak," kata Tee Keat. Soi Lek adalah Pengerusi MCA Perak. |
6 produk kosmetik dikesan mengandungi racun berjadual Posted: 20 Apr 2011 04:20 AM PDT BERNAMA
KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan supaya mengelak daripada membeli dan mengguna enam produk kosmetik jenama terkenal berikutan pengesanan Racun Berjadual seperti dexamethasone, hydroquinone dan tretinoin yang boleh memberi pelbagai kesan sampingan kepada pengguna.
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Datuk Eisah A Rahman, berkata enam produk tersebut ialah BML HB Lotion, Krim Malam Shana, Natasya Gold Krim Herba, Biotox Whitening Hydro Cream, Yoko Whitening Cream dan Sue Beauty Night Treatment Cream.
"Penggunaan dexamethasone, hydroquinone dan tretinoin dalam produk kosmetik adalah tidak dibenarkan dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, tretinoin boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, kulit mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari manakala hydroquinone pula boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini dan kulit menjadi hipersensitif di samping menghalang proses pigmentasi (depigmentasi).
"Proses depigmentasi mengurangkan perlindungan ke atas kulit daripada pancaran ultra ungu dan sinaran matahari berlebihan yang boleh memberi risiko kanser kulit.
"Depigmentasi berlebihan berbahaya kepada penduduk yang tinggal di kawasan iklim tropika," katanya.
Eisah berkata, dexamethasone pula adalah sejenis steroid, apabila digunakan secara topikal boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan antaranya iritasi kulit, kulit kering, jerawat, kulit menjadi nipis dan meningkatkan risiko jangkitan kuman.
Sehubungan itu, katanya, sesiapa yang mempunyai stok produk terbabit dinasihatkan menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaan produk berkenaan dengan serta-merta. |
Benjy sakit, bicara ditangguh esok Posted: 20 Apr 2011 04:18 AM PDT BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Benjy, yang menghadapi dua pertuduhan memiliki dadah pada Mac tahun lalu, ditangguh sehingga esok selepas pelakon itu tidak hadir ke mahkamah kerana mengalami masalah kesihatan.
Majistret Hafizza Sauni menangguhkan perbicaraan itu selepas peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Benjy memberitahu mahkamah, anak guamnya itu dimasukkan ke Hospital Pakar Damansara petang semalam.
Bagaimanapun, Amer berkata, pihaknya tiada masalah sekiranya pihak pendakwaan masih ingin meneruskan prosiding tanpa mengemukakan saksi-saksi utama dalam kes itu. Amer turut merayu kepada mahkamah agar dapat memberi pengecualian kepada anak guamnya untuk tidak hadir ke mahkamah pada prosiding akan datang.
"Saya dimaklumkan oleh Benjy yang mengesahkan bahawa dia dimasukkan ke hospital berkenaan berikutan mengalami masalah pernafasan dan tidak boleh hadir ke mahkamah," katanya.
Mahkamah yang sebelum ini menetapkan perbicaraan selama lima hari bermula semalam kemudian menangguhkannya sehingga esok bagi melihat perkembangan kesihatan tertuduh.
Benjy, 33, yang dibebaskan daripada Pusat Pemulihan Akhlak, Muar, Johor pada 25 Mac tahun lalu, didakwa memiliki dadah jenis syabu seberat 0.24 gram di sebuah rumah di Menara Duta 2, Jalan 1/38B Off Jalan Segambut di sini, pada jam 4 petang 11 Mac tahun lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki 0.14 gram dadah di Vista Mutiara Off Jalan Ambong Kiri, Kepong Baru di sini, pada jam 3 petang hari yang sama.
Pelakon itu didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman sehingga penjara lima tahun, atau denda RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. |
Pegawai bank didakwa pecah amanah RM14 juta Posted: 20 Apr 2011 01:46 AM PDT BERNAMA Bekas ketua pusat khidmat pelanggan Bank Muamalat Berhad, Aishah Mohamed Rose, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Georgetown terhadap lima tuduhan pecah amanah jenayah wang milik bank itu berjumlah RM14.2 juta enam tahun lalu. Suami Aishah, Johari Ahmad, 54, bersama seorang Pegawai Logistik Motorola Technology Sdn Bhd, Azman Abdul Aziz, 49, pula dihadapkan ke mahkamah yang sama dan mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersubahat dengan Aishah melakukan jenayah itu. Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz menetapkan 23 Mei ini untuk sebutan semula dan membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin sebanyak RM300,000 setiap seorang dan dokumen perjalanan masing-masing diserahkan kepada mahkamah. Aishah, 50, dituduh melakukan kelima-lima kesalahan itu di Bank Muamalat Berhad, Universiti Sains Malaysia di Jalan Minden, antara 27 Januari 2005 dan 16 Julai 2009. Bagi kesalahan pertama, dia dituduh melakukan pecah amanah jenayah wang milik bank itu sebanyak RM3,363,936.94 antara 27 Januari dan 3 Januari 2005. Bagi kesalahan kedua Aishah dituduh melakukan pecah amanah jenayah membabitkan sejumlah wang RM3,679,939.54 antara 20 Januari dan 3 Januari 2006, kesalahan ketiga pula didakwa dilakukan antara 5 Januari 2007 dan 2 Januari 2008 membabitkan RM2,889,878.99. Untuk kesalahan keempat, dia dituduh melakukan kesalahan antara 2 Januari dan 24 Disember 2008 melibatkan RM2,490,758.40 dan kesalahan kelima pula didakwa dilakukan antara 5 Jan dan 16 Julai 2009 membabitkan RM1,780,852.64. Pertuduhan terhadap Aishah adalah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dengan sebatan dan denda, manakala Johari dan Azman didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seskyen 109 kanun yang sama dan memperuntukkan hukuman serupa. Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya S Devanandan. Aishah dan Johari diwakili peguam bela Jagdeep Singh Deo manakala Azman tidak diwakili peguam. Azman turut mengaku tidak bersalah terhadap 10 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM988,464.38 antara 17 April dan 14 Julai 2009 di Motorola Technology Sdn Bhd, Plot 2, Bayan Lepas, Technoplex Industrial Park. Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan memindahkan 10 keping cek milik Citibank yang merupakan hasil daripada aktiviti haram. Bagi pertuduhan itu Azman dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM70,000. Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Pang Chuin Keat.
|
P'raya negeri: Wartawan S'wak dakwa layanan buruk Posted: 20 Apr 2011 01:34 AM PDT Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA) akan membuat laporan kepada pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berhubung layanan buruk daripada sesetengah pegawai SPR terhadap wartawan semasa pilihan raya negeri ke-10 baru-baru ini. Presidennya Roger TL Liong berkata beliau menerima beberapa aduan daripada ahli FSJA di Kuching, Miri dan Bintulu. Katanya faktor yang amat dikesali apabila pas yang dikeluarkan oleh SPR untuk wartawan membuat liputan pilihan raya itu tidak diterima oleh pegawai-pegawai berkenaan. "Hanya dua hari sebelum penamaan calon iaitu pada 6 April wartawan dimaklumkan pas warna merah jambu dan dokumen lain yang mereka terima tidak boleh digunakan. "Mereka diberitahu supaya mendapatkan tiga pas berlainan untuk memasuki pusat penamaan calon, pengundian dan pengiraan undi," katanya. Liong berkata wartawan diarah untuk menguruskan sendiri pas itu di pejabat Pegawai Daerah yang berkenaan yang mana menyukarkan mereka kerana masa yang semakin suntuk. "Untuk menjadikan lebih buruk, 'peraturan baru' ditetapkan bagi setiap akhbar di mana hanya boleh menghantar dua wartawan ke sebuah pusat dan nama mereka harus diletakkan di dalam surat rasmi daripada syarikat. "Keadaan itu menyebabkan rakan-rakan wartawan dari luar negeri itu tidak dapat membuat liputan," katanya. Liong berkata pada hari penamaan calon, pegawai-pegawai SPR hanya membenarkan mereka mengambil gambar calon dari jarak 30.5 meter. "Pada hari pengiraan undi pada sebelah petang juga, hanya pekerja-pekerja SPR dan parti yang mengiringi calon mereka, boleh bergerak bebas untuk mengambil gambar. "Lagi sekali wartawan diarahkan berada pada jarak 30.5 meter. Mereka juga tidak menyediakan kerusi tetapi sebaliknya kerusi disediakan untuk mereka yang hanya datang untuk memerhati. Bagaimanapun, sebahagian pegawai SPR di kawasan lain memberi kerjasama yang baik, kata Liong. Sehubungan itu beliau berharap SPR dapat menetapkan peraturan dan prosedurnya untuk membantu media menjalankan tugas.
|
Mohon ganti MyKad secara online Posted: 20 Apr 2011 01:32 AM PDT BERNAMA Orang ramai yang ingin memohon gantian MyKad kini boleh melakukannya secara dalam talian melalui portal rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop. Menurutnya perkhidmatan itu memberi alternatif kepada orang ramai untuk mendapatkan gantian MyKad tanpa perlu ke kaunter sekaligus mengurangkan kesesakan di ibu pejabat JPN atau cawangannya. "Tiga jenis permohonan gantian MyKad yang boleh dilakukan ialah gantian MyKad disebabkan cip dan kad rosak, gantian MyKad biasa dan gantian MyKad hilang yang tidak melebihi lima kali," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 kepada 341 kakitangan JPN di Putrajaya hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah JPN Datuk Alwi Ibrahim. Abu Seman berkata bayaran permohonan secara dalam talian boleh dilakukan dengan menggunakan kad kredit Visa dan Master Card, manakala pembayaran melalui e-Banking akan dilaksanakan pada masa akan datang. Beliau berkata pemohon boleh memohon gantian MyKad melalui portal JPN pada 8 pagi hingga 11 malam pada Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 2 petang (Sabtu) dan 8 pagi hingga 9 malam pada Ahad. Pemohon boleh menyemak status permohonan MyKad melalui portal JPN dan memilih pusat kutipan MyKad mengikut pilihan masing-masing, katanya. Beliau berkata sehingga kini JPN menerima sebanyak 15 permohonan sejak diujicuba pada 15 April lepas termasuk satu permohonan daripada rakyat Malaysia di Australia. Tempoh siap MyKad yang dipohon melalui talian adalah sama seperti permohonan biasa di kaunter iaitu 24 jam bagi pemohon yang memilih untuk menuntut MyKadnya di JPN Putrajaya, 10 hari bekerja bagi mana-mana pejabat cawangan JPN di Semenanjung serta 30 hari bekerja bagi mana-mana pejabat cawangan JPN di Sabah, Sarawak atau Labuan.
|
Melaka naikkan tarif air 5 hingga 25 sen Posted: 20 Apr 2011 01:27 AM PDT Tindakan kerajaan negeri Melaka menaikkan tarif air tanpa mengambil kira bebanan kewangan yang dipikul oleh rakyat negeri itu amat dikesali. Antara mereka yang lantang membantah tindakan itu, termasuk Ketua Dewan Pemuda Pas Melaka, Kamaruddin Sidik ( kiri). Katanya, tindakan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) yang menaikkan tarif air secara tegesa-gesa dan tidak memaklumkannya terlebih dahulu kepada rakyat seolah-olah satu cubaan untuk mengelakkan protes rakyat. Menurutnya ia suatu yang tidak konsisten sedangkan kerajaan negeri Melaka sendiri pernah mengkritik kenaikan harga air di Selangor dan Kedah tidak lama dulu. "Apabila kerajaan Selangor dan Kedah buat tindakan sebegitu sebelum ini yakni menaikkan tarif air mereka bising. Tapi kini mereka naikkan tanpa sebarang pengumuman. "Saya yakin ini ada hubung kaitnya dengan pembaziran dana kerajaan yang berleluasa dan tindakan ini adalah untuk menampung kekurangan dana ini," katanya. Sejak awal bulan ini, tarif baru air bagi pengguna di kawasan kediaman adalah 60 sen selepas penggunaan 20 meter padu. Tarif lama adalah 55 sen selepas 15 meter padu pertama. Tarif baru bagi perniagaan pula adalah RM1.80 bagi penggunaan melebihi 100 meter padu. Susahkan rakyat Sementara itu, ADUN kawasan Ayer Keroh dari DAP, Khoo Poay Tiong, turut mempertikaikan tindakan kerajaan negeri yang dianggapnya sebagai menyusahkan rakyat.
Menurutnya, beliau difahamkan kuasa menentukan kenaikan harga air berada di dalam tangan pusat.
"Bagaimanapun, itu bukan isunya. Isu di sini adalah bagaimana harga air boleh dinaikkan sedangkan rakyat tidak dimaklumkan.
"Ramai yang tidak puas hati kerana tindakan menaikkan harga air ini telah dijalankan secara senyap, seolah-olah untuk mengelak sebarang protes," kata Khoo (kiri).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Bhd (SAMB), Mohd Khalid Nasir, ketika dihubungi bagi mendapatkan maklum balas mengesahkan memang terdapat 'penyelarasan' terhadap tarif air.
Bagaimanapun menurutnya, tindakan sedemikian adalah berdasarkan arahan yang dikeluarkan pusat. |
Pelajar dipukul: Sekolah didakwa tak ambil peduli Posted: 20 Apr 2011 01:23 AM PDT Seorang ibu hari ini mendakwa pihak sekolah tidak mengambil tindakan ke atas aduan berhubung insiden anaknya dipukul oleh sekumpulan rakan sekolah. Kia Ooi Meng mendakwa, beliau telah mengadu kepada pengetua Sekolah Menengah Sri Muda, Shah Alam, berhubung kejadian yang berlaku pada Rabu lalu. "(Pengetua berkenaan) beritahu saya, memandangkan saya sudah buat laporan polis, saya perlu rujuk kepada polis. "Dia sepatutnya prihatin kerana kejadian itu berlaku dalam sekolah dia, sehingga hari ini pun dia tidak mahu ambil tahu berkenaan anak saya. "Sekarang anak saya takut hendak ke sekolah, tapi dia terpaksa pergi juga sebab tahun ini dia perlu mengambil peperiksaan PMR," kata Kia ketika dihubungi Malaysiakini hari ini. Kia mendakwa, anaknya itu dipukul oleh sekurang-kurangnya lapan orang pelajar di satu ruang di dalam sekolah berkenaan dalam kejadian berkenaan. Katanya lagi, anak lelakinya itu mengalami kecederaan di bahagian kepala serta lebam di bahagian anggota badannya akibat dipukul dengan kerusi. "Kelas dia tak cukup kerusi, jadi (anak saya) masuk ke satu kelas untuk ambil kerusi. Tetapi (sekumpulan) pelajar lelaki dalam kelas itu berkenaan tidak suka (anak saya) ambil kerusi dan memukul (anak saya)," katanya. Kia berkata, beliau telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada hari yang sama. Beliau turut mendakwa, insiden berkenaan bukanlah kali pertama berlaku di sekolah tersebut. "Sudah banyak kes pergaduhan berlaku sebelum ini," katanya lagi. Malaysiakini cuba menghubungi pengetua sekolah berkenaan beberapa kali untuk mendapatkan reaksi tetapi hanya mendapat jawapan "pengetua sibuk." |
Menjawab pandangan Abdul Aziz Bari Posted: 20 Apr 2011 01:12 AM PDT Nik Abdul Aziz Nik Mat
| Saya diminta oleh pihak media untuk memberikan respon terhadap kenyataan seorang pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari agar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang ditukar ekoran kekalahan PAS di Terengganu pada tahun 2004 dan juga kekalahan PAS di dalam siri beberapa pilihanraya kecil kebelakangan ini termasuk juga kegagalan PAS merebut sebarang kerusi di dalam pilihanraya negeri Sarawak yang lalu.
Pertama saya ingin menyatakan bahawa Dr Abdul Aziz Bari selaku seorang warganegara Malaysia yang layak untuk mengundi berhak untuk mengeluarkan pandangan beliau terhadap PAS.
Ini kerana PAS selaku parti yang bertanding di dalam pilihanraya memerlukan undi daripada rakyat dan bukan hanya sekadar undi ahli-ahlinya sahaja untuk menang di dalam pilihanraya.
Justeru, ini merupakan hak Dr Abdul Aziz Bari untuk mengeluarkan pandangan beliau. Selebihnya, terserahlah kepada ahli-ahli PAS untuk membuat penilaian dan keputusan yang terbaik.
Namun, perlu saya ingatkan, PAS mempunyai kaedah-kaedahnya yang tersendiri untuk memilih pemimpin. Menukar pemimpin semata-mata kerana kalah dalam pilihanraya adalah satu langkah yang kurang tepat. Ini kerana belum tentu jika individu lain dipilih, PAS boleh menang pilihanraya.
Sememangnya memenangi pilihanraya ialah satu perkara yang dikehendaki, namun kegagalan untuk menang dalam pilihanraya bukan sahaja berlaku hari ini, bahkan ia telah berlaku semenjak PAS ditubuhkan lagi.
Hakikatnya, kekalahan dan kemenangan sentiasa silih berganti dalam perjuangan PAS.
Jika hanya kerana mengalami kekalahan, PAS mahu menukar pemimpin, apa kata jika PAS terus kalah apabila pemimpin ditukar? Adakah pada masa itu sekali lagi pemimpin akan ditukar?
Pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah SWT.
Sekian, wassalam.
YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Al-Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan Darul Naim. |
|
Adun PR difitnah tidak hadir keputeraan Sultan Posted: 20 Apr 2011 01:10 AM PDT Hazayani Zakaria
| KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim kesal dengan fitnah yang disebarkan puak Umno yang mendakwa tiada seorang pun Adun Pakatan Rakyat Perak menghadiri Majlis Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Sultan Perak Yang Ke-83 Tahun hari ini. Fitnah itu disebarkan dalam blog Umno ruangbicarafaisal.blogspot.com jam 9.58 pagi tadi namun artikel bertajuk "DAP, PAS dan PKR Boikot Hari Keputeraan Sultan Perak" itu kemudiannya dibuang dari blog tersebut. Khalil berkata, beliau dan Adun-Adun PKR, DAP dan PAS yang lain tidak menerima sebarang jemputan untuk menghadiri majlis itu. "Bagi mengesahkan perkara yang sama sebentar tadi saya telah menghatar khidmat sistem pesanan ringkas (sms) kepada semua adun PR. "Sehingga sekarang saya menerima respons segera dari hampir 20 Adun PR yang memaklumkan mereka tidak menerima apa-apa jemputan ke istana pada hari ini," jelas Khalil yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat negeri melalui twitternya. Khalil ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi juga mempersoalkan tindakan menarik balik artikel tersebut jika dakwaan tersebut benar. "Setelah periksa blog tersebut, saya artikel tersebut telah dibuang. Kenapa buang kalau betul dakwaan kami boikot majlis ini? Mungkin mereka takut lalu membuang artikel itu," katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Perak. Tegasnya juga, dakwaan itu tidak berasas sama sekali kerana beliau sendiri menutup pejabat khidmat masyarakatnya dan semua pekerja bercuti. "Dakwaan ini tidak berasas sama sekali sedangkan pada hari ini pejabat saya ditutup dan semua kakitangan saya bercuti. Selain itu saya juga mengibarkan bendera Perak," tegasnya. Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai perbuatan yang boleh menimbulkan pandangan yang salah kepada Adun Pakatan Rakyat. Dalam pada itu, beliau merafak sembah tahniah kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sempena hari keputeraan baginda hari ini. |
|
Wan Ahmad hanya celik kempen pembangkang Posted: 20 Apr 2011 01:09 AM PDT Harakahdaily
| KUALA LUMPUR: PAS kesal terhadap kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang mendakwa kempen pembangkang agresif ketika pilihan raya negeri Sarawak, baru-baru ini. Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berkata, kenyataan Wan Ahmad menunjukkan, mata beliau celik hanya melihat kempen pembangkang, tetapi matanya buta ketika melihat kempen BN. Katanya, Wan Ahmad istiqamah menjadi pegawai yang tidak menunjukkan sikap profesional dalam mengendalikan pilihan raya. "Apakah beliau tidak melihat bagaimana pihak BN menggunakan segala kemudahan kerajaan terutama media untuk menyerang bertubi-tubi terhadap PR daripada penamaan calon sampai pada hari pembuangan undi," soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily. Beliau turut mempersoalkan adakah Wan Ahmad buta maklumat bagaimana media yang dikuasai oleh BN melemparkan fitnah terhadap Pakatan Rakyat dan memutar belitkan dan melaga-lagakan kenyataan dalam media perdana. "Kenapa beliau membisu seribu bahasa terhadap perkara ini?" tanya beliau lagi.
Menurutnya, PAS tidak pernah mendengar kenyataan yang keluar daripada beliau menegur pihak BN yang banyak melanggar tatasusila pilihan raya.
Tambahnya, Wan Ahmad hanya bersuara ketika parti anutannya dibelasah oleh PR. "Orang seperti Wan Ahmad inilah yang paling takut menghadapi pilihan raya kerana bimbang talian hayat beliau akan tamat jika BN kecundang," ujarnya. |
|
GSTT: Mana janji Muhyiddin Posted: 20 Apr 2011 01:07 AM PDT Harakahdaily
| KUALA LUMPUR: Seramai 13,000 orang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) seluruh negara masih belum menerima sebarang surat lantikan semula seperti yang telah dijanjikan. Seorang daripada mereka meminta ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali supaya membangkitkan keluhan nasib mereka di Dewan Rakyat dengan kadar segera. Dalam emel kepada Dr Lo' Lo' semalam, beliau memberitahu pada 3 Mac yang lepas, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin telah mengumumkan tentang penarikan balik surat penamatan perkhidmatan guru GSTT. "Dalam pengumuman tersebut menyatakan kami dikehendaki berkhidmat semula dan akan diserapkan menjadi guru tetap melalui Kursus Dalam Cuti (KDC) dan kursus lanjutan," tulisnya. Namun sehingga emel ini ditulis,mereka masih belum menerima sebarang surat lantikan semula seperti yang telah dijanjikan oleh Muhyiddin itu. "Kami berharap suara hati kami ini dapat diketengahkan oleh Yang Berhormat di Dewan Rakyat dan dapat dilaksanakan dengan segera tanpa melalui proses yang panjang," tulisnya lagi. |
|
Jangan layan isu murahan tepi jalan Posted: 20 Apr 2011 01:06 AM PDT Aziz Muda
| KUALA LUMPUR: Isu akuan bersumpah blogger Raja Petra Kamarudin penuh putar belit yang ditimbulkan kembali oleh para pemimpin Umno BN, disifatkan oleh PAS sebagai isu murahan di tepi jalan yang tidak perlu dilayan.
Untuk memahami isu itu, kesemua pihak perlu menyedari kedudukan Raja Petra itu sendiri yang hanya sebagai rakyat biasa, bukan pemimpin negara dan bukan juga pemimpin parti politik penting di tanah air.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, oleh itu sebarang isu yang timbul berkait dengan Raja Petra, apatah lagi jika jelas berputar belit seperti berkaitan akuan bersumpahnya berhubung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak mempunyai sebarang makna jika dilayan oleh PAS.
Menurut beliau, sebaliknya jika dilayan, ia hanya membuang masa dan tidak memberikan sebarang erti bagi mewarnai politik negara yang kini semakin menarik setelah diberikan nafas segar oleh Pakatan Rakyat.
Katanya, jika dikaitkan dengan situasi sedang memandu kereta di tengah jalan, melayani isu-isu murahan di tepi jalan seperti itu hanya akan mengganggu pemanduan seseorang sehingga akan menyebabkab 'lari stereng', sekali gus akan merbahayakan individu itu sendiri.
"Apatah lagi jika berkait pula dengan pentadbiran organisasi penting seperti PAS yang jika dilayan akan menyebabkan kita hanya membuang masa atau melakukan pekerjaan sia-sia sahaja," tegas beliau yang juga ahli Parlimen Marang ketika ditemui di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan setiap pemimpin, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS agar bijak menilai isu yang ditimbulkan oleh pihak lawan untuk diulas bagi membolehkan ia memberikan kesan baik bagi perjuangan parti.
Kebijaksaan itu lebih diperlukan lagi apabila ia ditimbulkan sempena pilihanraya kerana jika tidak, isu-isu penting yang patut ditimbulkan terutama berkaitan dasar pasti akan tenggelam hanya dalam masa lima minit sahaja ditimbus isu remeh temeh seperti itu.
Daripada melayan isu seperti itu, beliau lebih tertarik untuk mengulas isu yang mengatakan PAS berada dalam keadaan sakit kini, ekoran dakwaan kegagalannya menarik sokongan orang Melayu di Semenanjung dan di Sarawak seperti yang berlaku dalam PRN Sarawak Ke-10 pada 16 April lalu.
"Ini jelas merupakan fakta yang diputarbelit. Sebenarnya bukan PAS yang sakit, tetapi orang Melayu itu sendiri yang sakit sehingga menyebabkan di dalam jiwanya tidak langsung mempunyai kesedaran tentang kewajipannya menyokong perjuangan Islam, sehingga mereka sanggup memberikan sokongan kepada parti sekular untuk memimpin mereka," katanya.
Lebih menghairankan, apabila orang bukan Islam pula yang sedar dan faham mengenai kepentingan mereka menyokong PAS untuk membolehkan mereka turut berada di bawah pemerintahan Islam, sejajar dengan kelebihan parti Islam itu sendiri berbanding parti-parti lain.
"Jadi ini jelas menunjukkan bukan PAS yang sakit, tetapi orang-orang Melayu terbabit itu sendiri yang sakit dan mereka perlu terus dibantu untuk diubati oleh kita supaya mereka juga turut sedar tentang kedudukan dan peranan mereka yang sebenar terhadap perjuangan Islam," ujarnya.
Kegagalan orang Melayu memahami malah sesetengahnya mengenali PAS sebagai organisasi penting dalam gerakan Islam di tanah air, menurut beliau, sememangnya direncanakan sendiri oleh Umno BN sejak sekian lama memerintah negara, bagi kepentingan politik dan perut para pemimpin mereka sendiri.
"Pada hal yang ditentang oleh mereka adalah perjuangan Islam. Mereka sendiri sebagai orang Islam tidak sepatutnya menentang perjuangan Islam, tetapi mereka sanggup berbuat demikian kerana di dalam hati mereka itu juga turut mempunyai penyakit yang perlu diubati," katanya kesal.
Antara cara yang dilakukan oleh para pemimpin Umno BN bagi menyekat perkembangan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS, termasuklah dengan mengenakan sekatan yang ketat terhadap PAS untuk menyebarkan risalah perjuangan Islam kepada seluruh rakyat negara ini di segenap peringkat.
Selain itu, mereka juga turut mengenakan pelbagai tekanan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya terus berada di bawah penguasaan mereka, bagi mengekang SPR dari melaksanakan peranannya dengan betul dan adil selaras dengan amalan demokrasi di negara ini.
"Ini tentunya menuntut kita semua bangun membetulkan kepincangan yang ada untuk membolehkan kebangkitan rakyat turut berlaku di tanah air kita, bagi menukar kerajaan BN yang ada kepada kerajaan Pakatan Rakyat yang pastinya jauh lebih baik dari segala sudut untuk perjuangan Islam dan seluruh rakyat Malaysia dalam pelbagai aspek," ujar beliau.
Menyedari hakikat itu, beliau turut menjelaskan akan turut memfokuskan ucapan dasarnya pada muktamar agung PAS Jun ini ke arah rangsangan kepada jentera PAS di segenap peringkat agar berusaha lebih gigih, berbekalkan keikhlasan, bagi membolehkan PAS dan Pakatan Rakyat mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.
"Ikhlas itu amat penting. Kalau berusaha gigih sahaja tetapi tanpa keikhlasan tak guna. Dengan keikhlasan itulah yang akan membolehkan kita diberikan pertolongan oleh Allah dalam segenap segi. Jadi dengan keikhlasanlah PAS akan menang," tegas beliau. |
|
Cabaran getir PAS Selangor pertahan kerajaan Posted: 20 Apr 2011 01:05 AM PDT Ismail Hashim
| SHAH ALAMl: PAS Selangor bersedia menghadapi cabaran berhadapan dengan hasrat semua pihak untuk mengambil semula pentadbiran kerajaan negeri paling maju di Malaysia ini. Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menyifatkan pilihan raya depan sebagai sangat getir dengan segala cubaan musuh untuk berkuasa semula. Dr Hasan yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor berkata demikian ketika berucap melancarkan Skim Waqaf Bangunan PAS tiga tingkat bernilai RM1.3 juta, di sini malam tadi. (Gambar: Haji Shafie dari Serdang berjaya membeli jualan awal dengan harga RM10 ribu untuk seperenam kaki yang asalnya berharga RM50 daripada Dr Hasan.) Menurutnya, bangunan yang bakal menjadi pemangkin utama pusat gerak kerja seluruh petugas semua peringkat itu amat perlu disegerakan. "Harapan besar kita agar segala impian ini akan dapat menjadi realiti dalam masa terdekat. "Syukur kerana bayaran 10 peratus daripada bayaran itu telah disumbangkan oleh sahabat kita, Datuk Kapten (B) Abu Zahar Hashim. "Moga sumbangan permulaan sangat hebat ini menjadi perangsang kepada semua pihak untuk tingkatkan usaha mencari sumber kewangan berkaitan," tegasnya. Untuk rekod, Abu Zahar adalah bekas Ketua Bahagian Umno Petaling Jaya Selatan yang mendedahkan isu pembelian helikopter Eurocopter, menyertai PAS pada 24 Disember 2008. Abu Zahar digantung jawatan ketua Umno bahagian itu kerana mengkritik pemimpin utama Umno, termasuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak (ketika itu) menyalahgunakan kuasa dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Manakala bangunan PAS pula terletak di Alam-I berhampiran Kompleks Perniagaan World Wide, dekat sini. Menerusi sesi bidaan pertama yang dijalankan oleh Dr Hasan sendiri bagi mencari pembeli paling mahal untuk tanah seluas satu perenam yang asalnya berharga RM50 akhir berjaya mencapai RM10 ribu. Pembida yang bernasib baik itu adalah Haji Shafie dari kawasan Serdang. Sementara itu, kehadiran pimpinan semua PAS kawasan seluruh negeri termasuk Ahli Parlimen, Adun-adun termasuk kalangan korporat serta semua individu prihatin membangkitkan semangat penganjur. Pengerusi Jawatankuasa Bangunan PAS negeri, Ir Iskandar Abdul Samad merangkap Exco Perumahan Kerajaan Negeri Selangor kelihatan ceria dan bersalaman dengan hadirin walau kakinya sedang sakit. (Kanan: Turut hadir adalah pimpinan DHPP Selangor.) Turut kelihatan adalah Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Ahmad Sabki Yusof, Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor era 1980-an, Haji Mohsinon Tahir, bekas Ketua Dewan Ulamak negeri sezaman, Ustaz Omar Hashim, Exco, Dr Hajah Halimah Ali dan pimpinan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) mewakili kaum Cina dan India. Ketika hadirin enak menikmati hidangan makan malam, mereka dihiburkan dengan hiburan mendidik jiwa dari Kumpulan Nasyid Wildan yang turut dendangkan lagu Tamil yang bakal dilancarkan di Chennai, India. Dalam pada itu, Hasan berkata, meskipun bayaran bulanan sebanyak RM37 ribu atau RM1,200 sehari namun akan berusaha untuk segera selesaikan. "Kita tidak mahu terikat dengan isu bayar lama ini kerana banyak lagi usaha dan program yang perlu dilakukan," jelasnya. Kerjasama semua pihak mencari sumber kewangan bakal menyelesaikan hal berkaitan, tegasnya. Di akhir majlis, Iskandar menyampaikan sijil dan buku resit kepada dewan-dewan dan semua wakil PAS kawasan untuk mereka sampaikan hasrat besar ini ke seluruh peringkat. Beliau juga memaklumkan satu lagi majlis makan malam besar-besaran akan diadakan dalam masa terdekat bakal dihadiri oleh Presiden dan Mursyidul Am PAS. |
|
Pengguna Facebook bantah projek emel 1Malaysia Posted: 20 Apr 2011 01:03 AM PDT Nazri Abdullah
| KUALA LUMPURl: Belum pun sampai 24 jam Perdana Menteri melancarkan projek e-mel 1Malaysia, sudah muncul satu laman di Facebook menyeru rakyat menolak projek 'pembaziran' tersebut. Didaftar atas nama '1M Malaysians who don't want Najib's 1 Malaysia email', sehingga berita ini ditulis ianya telah mempunyai 21,913 pengguna Facebook yang meminatinya.
Menurut maklumat tertera, laman tersebut dibuat bagi membantah projek emel 1Malaysia yang didakwa hanya akan membazirkan RM50 juta wang rakyat selaku pembayat cukai.
Dalam posting awalnya, pengendali laman ini meletakkan beberapa pilihan jawapan berhubung tujuan projek ini diwujudkan untuk diundi oleh rakan-rakan mereka.
Majoriti peminat laman ini bersetuju bahawa projek emel 1Malaysia adalah projek untuk membantu kroni.
Semalam, Datuk Seri Najib Razak merasmikan projek untuk menyediakan akaun e-mel kepada semua warga Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas.
Dengan nilai kontrak bernilai RM50 juta, projek itu dianugerahkan kepada Syarikat Tricubes Bhd.
Bagaimanapun, syarikat tersbut dikatan sebuah syarikat bermasalah.
Bukan sahaja namanya tidak berapa dikenali, ianya juga merupakan antara 12 buah syarikat yang disenaraikan Bursa Malaysia sebagai syarikat GN3 kerana keadaan kewangannya dalam keadaan "lemah" atau "buruk."
Menurut garis panduan yang ditetapkan Bursa Malaysia, pengkelasan status GN3 itu akan membolehkan syarikat berkenaan mendapatkan bantuan daripada satu jawatankuasa untuk menstruktur semula hutangnya.
Penyenaraian Tricubes di Bursa Saham mungkin ditarik balik sekiranya syarikat itu gagal meyakinkan bursa berhubung pelan untuk melunaskan kesemua hutangnya.
Kontrak bernilai RM50 juta itu dijangka sudah pasti akan memberi nafas baru kepada Tricubes. |
|
Sumpah: PAS hanya ikut peraturan Allah Posted: 20 Apr 2011 01:01 AM PDT Harakahdaily
| TEMERLOH: Setahu para ulama, tiada sumpah dalam urusan yang melibatkan zina, rogol liwat (melainkan isteri yang mengadu kepada hakim bahawa dia diliwat oleh suami dibenarkan bersumpah), tuduhan seseorang itu melakukan zina tanpa mengemukakan saksi (qazaf) berpandukan tindakan yang tidak memanggil Safwan atau Aisyah bersumpah dalam peristiwa fitnah ke atasnya. Demikian penerangan yang diberikan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) mengenai cabaran bersumpah dari bekas bendahari agung Perkasa, Datuk Shuib Lazim kepada dua pemimpin kanan PAS, Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bagi membuktikan kebenaran dakwaan rakaman video seks yang dikaitkan dengan Anwar. "Sumpah hanya ada dalam urusan yang bukan jenayah di atas, yang pembuktian hanya dilakukan melalui penyaksian atau pengakuan. "Andainya dibenarkan sumpah dalam urusan qazaf, nescaya akan binasalah masyarakat, apabila seseorang wanita atau lelaki yang khianat atau berniat jahat kepada seorang imam, sanggup bersumpah dengan nama Allah: "Wallahi, wabillahi, watallahi, imam itu telah merogol saya, nescaya akan punah keyakinan masyarakat pada imam, demikian seterusnya," terang Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini. Lantaran itu, katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, Rasulullah s.a.w mengkategorikan qazaf sebagai dosa membinasakan - yakni ia akan membinasakan diri yang dituduh, keluarganya mungkin bercerai-berai, masyarakat hilang kepercayaan padanya dan institusi atau syarikat akan membawa hilang kredibiliti kepada majikannya. "Bayangkan kalau sumpah dibenarkan dalam tuduhan zina, rogol dan liwat, sudah tentu akan ada golongan yang akan mengambil kesempatan sanggup bersumpah demi menjatuhkan maruah seseorang," tambahnya. Disebabkan itu, katanya, Islam menyeru umatnya agar berpegang pada panduan ilmu yang disampaikan oleh para ulamak yang muktabar. "Apabila Dr Yusuf al-Qardhawi menjelaskan tiadanya sumpah dalam urusan qazaf, bermakna inilah panduan syarak yang perlu dipatuhi oleh umat Islam. "Semoga Allah menjauhi kita dari membuat tuduhan yang berupa qazaf kerana ia termasuk dalam tujuh dosa besar yang membinasakan umat manusia," kata Tuan Ibrahim. Oleh itu, beliau berkata, Shuib harus mendalami peraturan syarak sebelum mencabar pemimpin PAS untuk bersumpah. "Yang minta saksi ini bukan PAS, tapi Allah dan Rasul-Nya. Jangan kita anggap Allah jahil dalam membuat peraturan-Nya - Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Hakim dalam menetapkan hukuman-Nya. "Kita mesti ikut peraturan Allah, bukan membuat peraturan baru yang bercanggah dengan peraturan Allah. PAS tidak berhasrat membela sesiapa tetapi kita perlu ikut peraturan Allah," tegas Tuan Ibrahim. Kalau Shuib merasakan klip video seks itu satu kes penting, kata Tuan Ibrahim dia perlu menayangkannya pada hakim yang bakal memutuskan sesuatu kes dan bukannya kepada orang ramai untuk minta penghakiman awam. "Dia perlu mengadu kepada polis bukan tayang pada wartawan untuk jadi bahan menjatuh seseorang, kalau ianya benar sekalipun, apa lagi ianya penuh dengan pertikaian kesahihannya," bidas Tuan Ibrahim, yang turut melahirkan rasa kesal ke atas kelambatan polis untuk mengambil tindakan terhadap trio Datuk T yang diketuai bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik yang melakukan jenayah secara terang dengan menyiarkan video lucah kepada orang awam. |
|
Keluarga PM kuasai Masjid Kampung Baru? Posted: 20 Apr 2011 01:00 AM PDT Nazri Abdullah
| KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali mendakwa jawatankuasa Masjid Kampung Baru tidak pernah dibuat pemilihan dan hanya dikuasai ahli keluarga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas pembantunya. Tambahnya lagi, orang Kampung Baru sendiri tidak mempunyai akses kepada pengurusan masjid khususnya dalam aspek kewangan. Beliau mendedahkan demikian sebagai mengulas kenapa projek naik taraf Masjid Kampung Baru, melibatkan firma arkitek milik adik perdana menteri, Datuk Nazim Razak. Semalam, syarikat tersebut mendakwa perkhidmatan mereka menyediakan rekabentuk untuk projek naik taraf Masjid Kampung Baru disediakan secara sukarela. Penjelasan itu dibuat susulan tuntutan sebuah NGO, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang menuntut Najib menerangkan isu berhubung pembabitan firma NRY Architects dalam projek naik taraf dengan nilai RM20 juta itu. Dr. Lo' Lo' yang juga AJK PAS Pusat sebelum ini pernah membangkitkan perkara itu dalam persidangan Dewan Rakyat lalu, namun menurutnya penjelasan berbeza diberi kerajaan. Katanya, jawapan yang diberikan kepadanya menyatakan projek tersebut masih dalam perbincangan dan belum ada sebarang perlantikan dibuat. Namun apa yang menghairankan katanya, tiba-tiba projek tersebut telah dimulakan dan firma arkitek adik perdana menteri pula terlibat. "Tiba-tiba saya lihat menara sudah berbalut, atau mungkin sedang dibaiki? "Saya juga minta supaya projek naik taraf bernilai RM20 juta itu dibuat secara tawaran tender terbuka bukan 'direct nego'," katanya. Dalam majlis yang berlangsung pada awal Februari itu, perdana menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi membiayai projek naik taraf masjid berkenaan. Peruntukan bagi masjid itu akan disalurkan melalui syarikat pembangunan strategik milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad, kata perdana menteri. |
|
LTAM sudah lama jadi projek gajah putih Posted: 20 Apr 2011 12:59 AM PDT Ahmad Danial
| BATU BERENDAM: Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam sudah lama menjadi projek gajah putih yang seolah-olah menjadi tugu dan perhiasan semata-mata. Sudah bertahun-tahun ianya dinaik taraf tetapi sehingga kini sunyi sepi tanpa kapal terbang. Hanya sesekali sahaja deruan enjin kapal terbang bergema, itu pun pesawat yang tidaklah besar sekadar membawa penumpang dari Riau ke Melaka. Hari ini media menyiarkan kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang kesal kerana LTAM tidak dapat digunakan sepenuhnya kerana bahagian promosi pelancong gagal menarik pelancong menggunakan LTAM. Timbalan Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka, Yusof Wahab berkata Pakatan Rakyat (PR) sudah lama membangkitkan isu kegagalan LTAM menarik syarikat penerbangan beroperasi di lapangan terbang tersebut. "Malah ianya dibangkitkan sebelum LTAM dinaiktaraf lagi. PR sememangnya tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri untuk menaiktarafkan Lapangan Terbang Batu Berendam menjadi LTAM yang kononnya mencapai spesifikasi sebagai sebuah lapangan terbang bertaraf antarabangsa. "Namun oleh kerana sikap bongkak dan degil kerajaan negeri pimpinan Ali Rustam duit rakyat berjumlah RM131 juta akhirnya beku begitu sahaja kerana lapangan terbang ini tidak ekonomik di mana tiada syarikat besar yang sudi beroperasi di LTAM," kata Yusof. Yusof berkata, MAS dan AirAsia siang-siang lagi menolak untuk beroperasi di sini atas alasan komersial di mana ia dijangkakan tidak memberi keuntungan jika mereka beroperasi di LTAM. "Jelas sekali kerajaan negeri Melaka tidak melaksanakan kajian terperinci dan tepat sebelum melaksanakan projek pembesaran lapangan terbang ini. Ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri Melaka pimpinan Ali Rustam cuai dan lemah serta lembap. Akhirnya duit rakyat berjumlah RM131 juta dibazirkan. "Sedangkan dengan duit RM131 juta itu banyak lagi projek yang memberi manfaat kepada rakyat seperti projek mengatasi masalah banjir, menaiktaraf Hospital Melaka yang tidak cukup kelengkapan dan katil serta lain-lain projek yang benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat," tambah Yusof. Yusof kesal dengan kegagalan LTAM yang akhirnya menyebabkan duit rakyat dibazirkan begitu sahaja. "Kini apa yang rakyat dapat dengan LTAM. Takkanlah ia hendak dijadikan muzium kapalterbang atau cuma jadi hiasan bagi penduduk negeri Melaka sahaja. "Malangnya Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam tidak mahu bertanggungjawab. Sebaliknya beliau menyalahkan Agensi Pelancongan Negeri Melaka yang dakwanya gagal menarik syarikat-syarikat penerbangan beroperasi di sini," katanya Malaysiakini dan Sinar Harian hari ini melaporkan Ali Rustam mengakui mengakui operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) tidak mendapat sambutan. Malangnya Ali tidak mahu bertanggungjawab di atas kelemahan dan kegagalan kerajaan Melaka yang gagal menarik syarikat penerbangan beroperasi di LTAM. Sebaliknya menyalahkan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP). Beliau dilaporkan berkata bahawa kesal dan kecewa terhadap agensi pelancongan terbabit kerana tidak menjalankan promosi terhadap LTAM sehingga lapangan terbang ini tidak mendapat sambutan. Menurut Ali BPP tidak boleh menunggu kerajaan negeri sahaja berusaha menjalankan promosi dan kegiatan lain bagi menarik pengguna untuk menggunakan kemudahan di LTAM. Sehubungan dengan isu itu, Yusof hairan mengapa pula BPP yang dipersalahkan sedangkan BPP kerjanya bukan untuk menarik syarikat penerbangan beroperasi di LTAM tetapi kerja asasnya ialah menarik pelancong datang ke Melaka. "Janganlah salahkan orang lain kalau kegagalan itu adalah kegagalan Ali dan kerajaan negeri yang tersilap percaturan membangunkan LTAM yang sememangnya dari awal tidak mempunyai nilai komersil untuk dinaiktaraf kerana lokasinya yang berdekatan dengan Kuala Lumpur dan Singapura. "Pelancong lebih suka menggunakan jalan darat untuk ke Melaka berbanding dengan menaiki kapalterbang yang kosnya mungkin lebih mahal," tambah Yusof. Menurut Yusof isu LTAM pernah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Jasin dalam sidang Parlimen. Menteri Pengangkutan pada masa itu, Ong Tee Keat memberitahu Parlimen bahawa syarikat penerbangan Malaysia seperti MAS dan AirAsia sememangnya tidak berminat untuk beroperasi di LTAM kerana ianya tidak menguntungkan mereka. "Jadi apa langkah Ali dan kerajaan negeri sekarang, adakah mereka hendak lelong LTAM ini atau mereka hendak jadikan ia Muzium Penerbangan?" tanya Yusof. |
|
Orang Ramai Sifatkan E-mel 1 Malaysia Suatu Pembaziran Posted: 20 Apr 2011 12:45 AM PDT TVS NEWS
SHAH ALAM : Pelaburan RM50 juta oleh kerajaan Malaysia bagi menyediakan akaun e-mel kepada semua warga Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas, dianggap sebagai tidak munasabah dan merupakan satu pembaziran paling nyata yang dilakukan oleh kerajaan.
Rata-rata masyarakat yang ditemui Tv Selangor meluahkan pandangan mereka berhubung tindakan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung penyediaan akaun e-mel berkenaan.
Malah ramai juga yang berpandangan mereka lebih selesa dengan akses e-mel sedia ada yang dinikmati secara percuma seperti e-mel Yahoo, Gmail malah laman sosial peribadi seperti Facebook dan Twitter.
Menurut pelajar International Education College (INTEC) UiTM, kerajaan sepatutnya menggunakan wang tersebut untuk mempertingkatkan lagi taraf pendidikan di Malaysia, dan bukannya untuk tujuan yang tidak menguntungkan rakyat.
"Wang RM50 juta itu boleh digunakan untuk membantu golongan miskin ataupun untuk meningkatkan pendidikan di negara kita berbanding digunakan untuk mewujudkan projek e-mel tersebut,"katanya.
Sementara itu, menurut salah seorang rakan beliau, Khairul Akmal yang juga pelajar Universiti Teknologi MARA berpendapat, pelbagai cara boleh dilakukan oleh Perdana Menteri untuk mendekatkan beliau dengan rakyat selain daripada mewujudkan akaun e-mel dan dengan kos yang tinggi.
"RM50 juta itu tak berbaloi untuk e-mel 1Malaysia sebab tak masuk akal RM50 juta, kalau kerajaan mahu dekati rakyat boleh dilakukan dengan pelbagai cara seperti penganjuran karnival tapi untuk projek e-mel itu sangat tidak munasabah," ujar beliau. Sementara itu bagi suri rumah, Rohaidah pula, jumlah yang dilaburkan untuk tujuan menubuhkan akaun e-mel adalah suatu yang pelik dan dianggap sebagai tidak masuk akal, sedangkan rakyat masih lagi tidak mempunyai pendapatan yang selesa untuk menampung kos hidup. "Saya rasa lebih baik kerajaan Malaysia memperuntukkan perbelanjaan itu kepada perkara-perkara yang lebih berfaedah dan tidak membuat peruntukkan untuk projek yang bukan-bukan sekaligus mendatangkan pembaziran,"katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merasmikan projek berkenaan yang membolehkan komunikasi secara langsung dan selamat di antara rakyat dan kerajaan.
Portal web itu akan dibangunkan oleh Tricubes Berhad, antara lain menyediakan perkhidmatan seperti rangkaian sosial dan pembayaran bil atas talian.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang ketika diminta mengulas hal ini semalam berkata, ia satu lagi projek BN untuk memperkayakan kroni tertentu Najib dan membazirkan wang rakyat. |
Syed Husin : Malaysia Pandang Ringan Risiko Nuklear Posted: 20 Apr 2011 12:44 AM PDT TVS NEWS
KUALA LUMPUR : Senator Dr Syed Husin Ali berkata masyarakat di negara ini semakin terdedah kepada risiko tenaga nuklear sedangkan kerajaan pula memandang ringan akan hal berkenaan dan kesannya kepada alam sekitar.
Katanya percubaan untuk mendirikan kilang nadir bumi di Gebeng, Kuantan akan memberi kesan ke atas persekitaran dan manusia.
Malah menurut Dr Syed, bahaya pemprosesan tanah jarang di Gebeng telah dialami beberapa tahun dulu di Bukit Merah, Perak.
Justeru adalah tidak wajar katanya jika kita tidak belajar dari sejarah lampau apabila kita mengetahui akan kesan buruknya kepada rakyat di negara ini.
" (Jadi) mengapa kini mahu dibuka di Gebeng pula," kata Dr Syed Husin.
Syed Husin menyatakan demikian dalam ucapan di Dewan Negara dalam sidang bulan April semalam.
"Saya berasa sangat kecewa kerana dalam dua-dua kes membina pusat tenaga nuklear dan kilang 'rare earth' itu nampaknya kepentingan dan keuntungan perdagangan menjadi perkiraan utama. Kebajikan dan keselamatan manusia serta alam sekitarnya seolah-olah tidak diambil berat sedikitpun," katanya.
Tambahnya, pada 4 Mei tahun lalu Menteri Teknologi Hijau, Tenaga dan Air dipetik sebagai berkata, bahawa Malaysia merancang hendak membina pusat tenaga nuklear yang akan beroperasi menjelang tahun 2021.
"Saya tidak mengetahui sedalam mana kajian telah dijalankan untuk rancangan ini. Akan tetapi saya mengetahui bahawa pandangan awam tidak diminta sama sekali berhubungnya," katanya.
Menurut Dr Syed Husin , negara tidak perlu menubuhkan pusat tenaga nuklear kerana Negara masih mempunyai sumer tenaga elektrik yang mencukupi, malah menurut Tenaga Nasional Bhd ia memiliki margin simpanan bekalan elektrik sebanyak 66 peratus. "Apakah sebenarnya jaminan keselamatan yang betul-betul ketat di negara kita ini untuk menjamin keselamatan bagi pusat reaktor nuklear?," katanya. |
Tak Ada Istilah Demokrasi Dalam Umno-Chua Jui Meng Posted: 20 Apr 2011 12:43 AM PDT TVS NEWS
SHAH ALAM : Umno-Barisan Nasional sejak dahulu lagi tidak mempercayai akan prinsip demokrasi, dan oleh itu, menjadi satu kesukaran kepada mereka untuk menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat pada satu-satu pilihanraya.
Demikian pandangan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Chua Jui Meng berhubung gesaan akhbar Kumpulan Utusan agar Barisan Nasional 'menghukum' pengundi Cina yang tidak menyokong perikatan itu.
Katanya, jika Utusan yang dikenali sebagai 'lidah rasmi' Umno dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan komentar sedemikian rupa, tidak mustahil falsafah sama digunakan oleh pucuk pimpinan Umno dalam menilai keputusan rakyat di Sarawak.
"Rakyat Cina sudah tolak mereka di Sarawak, oleh kerana tidak puas dengan dasar-dasar Umno yang menindaskan mereka dan mereka buat bantahan cara yang demokratik. Mereka gunakan saluran undi bukan berperang dengan Barisan Nasional,"jelas Jui Meng. "Kita hendak bezakan antara kerajaaan dan parti, kalau mereka tolak parti itulah sahaja. Kerja kuat, ubah polisi lebih prihatin terhadap masyarakat Tiong Hua yang anggap mereka dipinggirkan di dalam aspek-aspek polisi kerajaan Barisan Nasional.
Mingguan Malaysia pada Ahad menggesa perikatan tidak terlalu "pemurah" dengan melayan kedudukan masyarakat Cina dalam kabinet negeri yang bakal dibentuk ekoran keputusan pilihan raya negeri Sarawak kali ini.
Mingguan Malaysia berkata majoriti pengundi Cina memihak kepada kempen Pakatan Rakyat yang membawa seruan "mengubah kerajaan negeri" sedangkan masyarakat Bumiputera tetap teguh bersama BN.
BN Sarawak pimpinan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud memperoleh 55 kerusi manakala Pakatan Rakyat pula 15 dan Bebas satu.
Satu lagi akhbar milik Umno, Berita Harian dalam ruangan editorial berkata "sudah tiba masa BN meneliti senario kenapa pengundi Cina menolak BN, bukan saja di Sarawak, malah di kebanyakan pilihan raya kecil lalu".
Melihat kepada keadaan ini, menurut Jui Meng, media milikan Umno kini semakin berani menyiarkan berita-berita berunsur hasutan kerana dilindungi oleh tuan mereka.
Bagaimanapun katanya, Pakatan Rakyat tidak akan membiarkan senario sama berlaku andai gagasan itu mentadbir negara kelak |
Utusan Cabar Najib Tubuhkan Gerakan 1 Melayu, 1 Bumi Posted: 20 Apr 2011 12:39 AM PDT TVS NEWS
SHAH ALAM : Gentar dengan kemenangan besar DAP di Sarawak, akhbar Utusan Malaysia hari ini mencadangkan Umno melancarkan gerakan 1Melayu, 1Bumi untuk mempertahankan kuasa politik orang Melayu.
Dalam membuat cadangan berkenaan yang memperlekehkan gagasan 1Malaysia Datuk Seri Najib Razak, akhbar kawalan Umno itu berkata kemenangan DAP di 12 daripada 15 kerusi di Sarawak membuktikan "orang Cina telah bersatu, malah orang Cina telah pun bersatu sejak dulu lagi".
"Apa yang Umno harus lakukan sekarang, di masa yang amat terdesak sekarang, ialah melancarkan gelombang perpaduan bangsa – 1 Melayu, 1 Bumi," kata Timbalan Ketua Pengarang Utusan, Zaini Hassan.
"Tiada makna adanya 1 Malaysia, jika orang Melayu sendiri pun berpecah," kata Zaini.
Zaini membuat saranan itu sehari selepas Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein mempertahankan tindakan Utusan menggesa Barisan Nasional mengabaikan pengundi Cina berikutan keputusan PRN Sarawak yang memihak DAP.
Walaupun Utusan dibidas oleh pelbagai pihak kerana mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman itu, Hishamuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata cadangan akhbar itu tidak keterlaluan.
Dalam serangan terbaru terhadap keputusan pengundi Sarawak memilih DAP dan bukannya SUPP sebagai wakil rakyat mereka, Utusan berkata masa sudah sampai untuk orang Melayu mempertahankan kuasa politik mereka.
"Hanya kuasa mutlak politik yang belum dikuasai sepenuh oleh orang Cina, yang lain semua sudah. Kini DAP membawa slogan yang cukup hebat di kalangan masyarakat mereka iaitu Undi untuk Ubah, Enough is Enough (Cukuplah) dan Selamatkan Malaysia," kata Zaini.
"Sebaliknya apa yang orang Melayu buat? Tiada apa-apa. Mereka ialah satu bangsa yang cukup selesa, komplesen, alpa dan tidak peduli. Malah pemikiran mereka cukup bercelaru," kata Zaini dalam cubaan untuk membakar sentiment perkauman orang Melayu.
"Orang Cina sebenarnya amat beruntung sekali berada di bumi Malaysia ini. Mereka telah menguasai segala-galanya. Sepuluh teratas orang mereka adalah bilionaire Malaysia. Sebahagian besar kedai yang ada di atas muka bumi Malaysia ini milik mereka. Hampir semua pelajar yang belajar di universiti swasta dan IPTS ternama dan mahal-mahal di negara ini rata-ratanya orang mereka." tambah beliau
"DAP telah berjaya menjadi parti Cina yang telah menyatupadukan orang Cina. MCA gagal dan SUPP pun gagal. Itu hakikat atas kertas,' Pilihan Raya Umum Ke-13 akan digunakan sepenuhnya untuk menyatukan kuasa mereka (pengundi Cina)," tambah beliau.
Zaini berkata Umno perlu melancarkan gerakan 1Melayu, IBumi dan bergabung dengan puluhan NGO-NGO Melayu yang kini tumbuh bagaikan cendawan di atas bumi Malaysia ini.
"Perlu diingat NGO-NGO itu wujud kerana mereka dahagakan wadah perjuangan untung nasib bangsa semakin ditinggalkan. Umno harus tarik pertubuhan sukarela ini ke hadapan dan menjadi juara semula dalam soal ini," kata beliau.
Akhbar itu berkata gerakan 1Melayu harus diwujudkan sekali pun jika tidak disokong oleh PAS.
Menurut Utusan, keperluan menubuhkan gerakan 1Melayu harus menjadi keutamaan berbanding 1Malaysia yang lebih merupakan dasar jangka panjang negara.
Zaini mendakwa parti komponen Cina dalam BN pun tidak akan marah jika Umno melancarkan gagasan 1 Melayu, 1 Bumi kerana bagi mereka "orang Cina telah pun bersatu" (dengan DAP).
Menurut beliau Umno harus meniupkan gagasan 1 Melayu, 1 Bumi ini segera bagi memastikan kaum Melayu "menguasai semula politik yang semakin terhakis daripada tangan mereka."
"Oleh itu menjadi kewajipan Umno…lancarkan segera slogan 1 Melayu, 1 Bumi bagi menggerakkan semula gelombang kebangsaan bangsa itu." kata Zaini.
Susulan keputusan pilihanraya negeri Sarawak, Zaini berkata "kini terletak dalam tangan Umno untuk menentukan hidup atau mati bangsa (Melayu) ini," tambah beliau. |
E-mel 1 Malaysia: Putrajaya kata sukarela, tapi KPI rakyat guna 100 peratus Posted: 20 Apr 2011 12:37 AM PDT Oleh Jahabar Sadiq Najib Razak KUALA LUMPUR — Beberapa firma telah dijemput untuk mengambil bahagian dalam bidaan projek e-mel 1 Malaysia November lalu dan mendemonstrasi persekitaran seratus peratus penyertaan - sekali gus bertentangan dengan kenyataan pentadbiran Najib bahawa penerimaan akaun itu bukan sesuatu yang wajib. The Malaysian Insider difahamkan indeks petunjuk prestasi utama (KPI) bagi projek itu ialah 50 peratus bagi mereka yang mencapai usia 18 tahun dan ke atas pada 2012 dan ia akan meningkat sehingga seratus peratus menjelang 2015. Firma yang memperoleh bidaan juga perlu menunjukkan bagaimana pihaknya boleh mencapai 50 peratus pemegang akaun e-mel menggunakan Perkhidmatan Nilai Tambah seperti pembayaran bil atas talian dan pencapaian rekod awam menjelang 2020, demikian menurut satu dokumen diperoleh The Malaysian Insider. Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang semalam mengumumkan projek itu awal pagi ini menjelaskan bahawa akaun itu hanya akan dilaksanakan atas dasar sukarela. "Sebelum saya tidur, biar saya jelaskan bahawa E-mel 1 Malaysia adalah projek sektor swasta. Tiada wang awam akan terlibat dan keseluruhannya adalah sukarela," tulis perdana menteri dalam mesej Twitter sekitar 12.31pagi tadi. Penjelasan ringkas beliau muncul beberapa jam selepas kenyataan Pemandu, yang turut disebarkan menerusi Twitter untuk meredakan rasa tidak puas hati pelbagai pihak mengenai perkhidmatan terbaru ini. Petang semalam, kerajaan menjelaskan bahawa ia tidak membiaya projek akaun e-mel 1 Malaysia bagi mereka yang berusia 18 tahun dan ke atas, malah ia juga bukan sesuatu yang diwajibkan kepada rakyat negara ini. "Alamat e-mel 1Msia bukan wajib bagi kesemua rakyat Malaysia. E-mel 1 Msia adalah inisiatif diterajui swasta, oleh Tricubes (Berhad), dengan pelaburan daripada syarikat dan bukannya kerajaan," kata Pemandu menerusi mesej Twitter etp_roadmap. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, Pengarah Kandungan Komunikasi dan Infrastruktur, Perkhidmatan Bisnes NKEA berkata, akaun e-mel, sebahagian daripada penyelesaian digital RM50 juta bagi perkhidmatan-perkhidmatan kerajaan akan membolehkan mereka yang berminat memiliki satu alamat yang boleh divalidasi bagi memastikan transaksi yang selamat dengan agensi-agensi kerajaan. Penjelasan Pemandu juga menimbulkan persoalan mengenai aliran hasil Tricubes dan sama ada rakyat Malaysia akan merasakan perlu untuk menandatangani alamat e-mel 1 Malaysia. Pembangkang dan ramai rakyat Malaysia memperlekehkan usaha itu atas alasan dana bagi tujuan itu seharusnya digunakan bagi perkara-perkara membantu mereka yang sangat memerlukan sokongan. Perkhidmatan e-mel 1 Malaysia adalah sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi Najib untuk mencapai status negara maju menjelang 2020. Kedua-dua penjelasan itu bercanggah dengan kenyataan Tricubes kepada Bursa Malaysia pada 4 April lalu di mana syarikat teknologi maklumat itu memaklumkan bahawa ia telah dianugerahkan projek berkenaan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu). "Lembaga Pengarah Tricubes ingin memaklumkan bahawa Syarikat (ini) pada 4 April 2011 telah menerima pelantikan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) menerusi surat bertarikh 29 Mac 2011 untuk melaksanakan Projek E-mel 1 Malaysia. "Tricubes akan menyertai perjanjian tetap dengan kerajaan Malaysia untuk memuktamadkan terma-terma dan syarat-syarat pelantikan. Pengumuman ini bertarikh 4 April 2011," katanya kepada Bursa Malaysia awal bulan ini. Bagaimanapun kenyataan itu tidak menjelaskan butiran pembiayaan atau bayaran bagi projek tersebut. Garis panduan dikeluarkan oleh Mampu dan ditunjukkan kepada The Malaysian Insider menunjukkan projek e-mel 1 Malaysia di bawah inisiatif e-kerajaan "adalah bagi rakyat (Malaysia) berusia 18 tahun ke atas, akan dibekalkan akaun e-mel rasmi yang unik dan ID." "Ia akan menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan nilai tambah seperti pembayaran bil atas talian, carian rekod awam dan lain-lain," katanya lagi. Mampu dikatakan telah meminta supaya kesemua lima syarikat yang membida supaya menunjukkan model bisnes menyediakan akaun e-mel kepada 16 juta penduduk yang berusia 18 tahun dan ke atas, membabitkan transaksi atas talian yang jumlahlah mencecah beberapa trilion. Malah Mampu juga mahu syarikat-syarikat terbabit memastikan penggunaan Perkhidmatan Nilai Tambah adalah 15 peratus bagi kesemua pengguna berdaftar pada 2012, 30 peratus tiga tahun kemudian dan 50 peratus menjelang 2020. Dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi, Ketua Eksekutif Tricubes, Khairun Zainal Mokhtar mengulangi bahawa "projek e-mel 1 Malaysia adalah inisiatif pembiayaan swasta dan oleh itu, ia digerakkan oleh sektor swasta." Katanya, projek itu akan menawarkan "perkhidmatan-perkhidmatan e-kerajaan yang berpusat seperti pemakluman atas talian dan penyata bil digital daripada agensi-agensi kerajaan." "Sementara buat masa sekarang, kami tidak dapat mendedahkan kesemua butiran model bisnes kami bagi projek e-mel 1 Malaysia sekarang memandangkan syarikat ini disenaraikan di Bursa Malaysia, Tricubes telah menggariskan strategi-strategi utama untuk memastikan daya maju komersial termasuk pengiklanan dan transaksi e-perkhidmatan masa depan. "Ujian persendirian sedang dilaksanakan sementara kami bersedia ke arah persediaan sistem (keseluruhannya)," kata Khairun. Bagaimanapun kenyataan beliau tidak menyentuh soal status syarikat itu, yang berhadapan masalah pematuhan peraturan kewangan dan kemungkinan dibatalkan penyenaraian, yang menjadi perhatian Bursa Malaysia. |
PRU Singapura: PAP umum calon, Kuan Yew tanding lagi Posted: 20 Apr 2011 12:14 AM PDT THE MALAYSIAN INSIDER
SINGAPURA — Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah Singapura menyenaraikan kesemua calon mereka bagi 12 kawasan Pilihan Raya Keanggotaan Tunggal (SMC) dan 15 Kawasan Pilihan Raya Kumpulan (GRC) malam tadi. Sebelum ini PAP tidak pernah mengumumkan senarai nama calon sebelum hari penamaan calon, walaupun anggota jawatankuasa eksekutif pusat parti menegaskan perubahan sebelum hari penamaan calon mungkin berlaku, lapor Channel News Asia. Bernama Online melaporkan, Saluran televisyen tempatan itu yang memetik laman web itu berkata berkata Perdana Menteri Lee Hsien Loong akan menerajui calon PAP di GRC Ang Mo Kio, yang akan turut disertai oleh Yeo Guat Kwang, Inderjit Singh, Seng Han Thong dan muka baru Dr Intan Azura serta Ang Hin Kee. Enam anggota GRC lain ialah di Pasir Ris Punggol, diketuai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Teo Chee Hean dan termasuk Setiausaha Parlimen Kanan Teo Ser Luck, Penny Low, dan tiga muka baru — Dr Janil Puthucheary, Gan Thiam Poh dan Zainal Sapari. Lima anggota GRC lain ialah di GRC Marine Parade, diketuai Menteri Kanan Goh Chok Tong dengan pasukannya yang terdiri daripada Dr Fatimah Lateef, Seah Kian Peng dan calon baru Brigadier Jeneral Tan Chuan Jin dan Tin Pei Ling, calon PAP termuda berusia 27 tahun. Menteri Mentor Lee Kuan Yew mengesahkan akan mengetuai PAP di GRC Tanjong Pagar dan beliau akan disertai oleh Indranee Rajah, Baey Yam Keng, Dr Lily Neo dan muka baru, Mejar Jeneral Chan Chun Sing. Di GRC Bishan-Toa Payoh, Timbalan Perdana Menteri Wong Kan Seng bersama pasukannya terdiri daripada Menteri Pelajaran Ng Eng Hen dan penyandang jawatan Josephine Teo, Zainudin Nordin dan Hari Kumar. Sementara itu, GRC West Coast akan diketuai Menteri Perdagangan dan Perindustrian Lim Hng Kiang dan turut disertai Menteri Negara Kanan S. Iswaran, Arthur Fong dan pendatang baru Foo Mee Har dan Lawrence Wong. Di GRC Jurong, diterajui oleh Menteri Kewangan Tharman Shanmugaratnam bersama-sama penyokong kesatuan sekerja Halimah Yacob dan tiga muka baru — Desmond Lee, Ang Wei Neng dan David Ong. Di GRC Aljunied, pasukan itu akan mempunyai dua Menteri — Menteri Luar Singapura George Yeo dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Lim Hwee Hua — bersama-sama dengan Menteri Negara Kanan, Zainul Abidin Rasheed, penyandang jawatan Cynthia Phua dan muka baru penyokong kesatuan sekerja Ong Ye Kung. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan