ALHUSSEYN |
- Aziz Bari berhak mengeluarkan pandangan beliau - Nik Aziz
- Jika Presiden Umno boleh dikritik, mengapa tidak Presiden PAS?
- Dun 43 Sungai Rapat Milik PAS!
Aziz Bari berhak mengeluarkan pandangan beliau - Nik Aziz Posted: 20 Apr 2011 01:14 PM PDT Saya diminta oleh pihak media untuk memberikan respon terhadap kenyataan seorang pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari agar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang ditukar ekoran kekalahan PAS di Terengganu pada tahun 2004 dan juga kekalahan PAS di dalam siri beberapa pilihanraya kecil kebelakangan ini termasuk juga kegagalan PAS merebut sebarang kerusi di dalam pilihanraya negeri Sarawak yang lalu. Pertama saya ingin menyatakan bahawa Dr Abdul Aziz Bari selaku seorang warganegara Malaysia yang layak untuk mengundi berhak untuk mengeluarkan pandangan beliau terhadap PAS. Ini kerana PAS selaku parti yang bertanding di dalam pilihanraya memerlukan undi daripada rakyat dan bukan hanya sekadar undi ahli-ahlinya sahaja untuk menang di dalam pilihanraya. Justeru, ini merupakan hak Dr Abdul Aziz Bari untuk mengeluarkan pandangan beliau. Selebihnya, terserahlah kepada ahli-ahli PAS untuk membuat penilaian dan keputusan yang terbaik. Namun, perlu saya ingatkan, PAS mempunyai kaedah-kaedahnya yang tersendiri untuk memilih pemimpin. Menukar pemimpin semata-mata kerana kalah dalam pilihanraya adalah satu langkah yang kurang tepat. Ini kerana belum tentu jika individu lain dipilih, PAS boleh menang pilihanraya. Sememangnya memenangi pilihanraya ialah satu perkara yang dikehendaki, namun kegagalan untuk menang dalam pilihanraya bukan sahaja berlaku hari ini, bahkan ia telah berlaku semenjak PAS ditubuhkan lagi. Hakikatnya, kekalahan dan kemenangan sentiasa silih berganti dalam perjuangan PAS. Jika hanya kerana mengalami kekalahan, PAS mahu menukar pemimpin, apa kata jika PAS terus kalah apabila pemimpin ditukar? Adakah pada masa itu sekali lagi pemimpin akan ditukar? Pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah SWT. Sekian, wassalam. YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Al-Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan Darul Naim. |
Jika Presiden Umno boleh dikritik, mengapa tidak Presiden PAS? Posted: 20 Apr 2011 04:19 AM PDT Professor Aziz Bari mempersoalkan mengapa ada yang naik minyak bila Presiden PAS dikritik sedangkan PAS sudah mendakwa yang ia bersedia mengganti Umno dan mendakwa 'PAS Untuk Semua', termasuk orang bukan Islam. "Dengan itu PAS perlu inklusif, bukan eksklusif. Mengamuk dan naik minyak bila dikritik bukan ciri parti politik," katanya. Dalam kenyataannya hari ini, Aziz juga berkata, ramai yang akur bahawa ruang yang ditinggalkan oleh Fadhil (Ust Fadhil Nor) tidak dapat diisi oleh Hadi. "Fadhil hebat kerana beliau meninggalkan landasan yang hari ini menjadi asas Pakatan Rakyat. Sebaliknya, Hadi mempunyai imej yang berbeza. Walaupun belum ke tahap meninggalkan Pakatan golongan ini sudah pernah mengungkit kedudukan mereka dalam Pakatan," kata beliau. Oleh itu kata beliau, mereka yang mahu perubahan dalam negara perlu menyokong perubahan dalam PAS. Katanya, perubahan dalam negara sukar untuk berlaku tanpa sistem dua parti yang mantap. PAS di bawah Hadi tidak peduli konsep ini. "Meskipun Hadi dan kumpulannya menjerit-jerit untuk menggantikan Umno mereka tidak bekerja untuk membina sebuah sistem yang perlu ke arah itu. Sebab itu Umno senang dengan mereka," katanya lagi. Aziz berkata, sesiapa yang berjawatan dalam politik perlu akur bahawa prestasi mereka sentiasa dinilai dan dikritik. "Siapa raja, baik putera raja, ulama, cendekiawan dan lain-lain, perlu akur bahawa mereka tidak lagi kebal dari penilaian dan kritikan," katanya lagi. Aziz menambah, "komen saya mungkin keterlaluan bagi mereka" tetapi bagi mereka yang prihatin tentang perlunya perubahan, komen itu boleh dipertimbangkan. "Komen saya berdasarkan pemerhatian dan suara yang dizahirkan oleh pemimpin dan ahli parti. Saya tak perlu dedahkan siapa mereka. Itu kerja parti, termasuk Dewan Pemuda Wilayah, untuk menyiasatnya," katanya lagi. Soal Aziz, jika Presiden Umno boleh dikritik, mengapa tidak Presiden PAS. "Lagipun PAS sudah mendakwa yang ia bersedia mengganti Umno. PAS juga mendakwa ia parti untuk semua, termasuk orang bukan Islam. "Dengan itu PAS perlu inklusif, bukan eksklusif. Mengamuk dan naik minyak bila dikritik bukan ciri parti politik," katanya. Aziz juga berkata, beliau tidak mengkritik Hadi atas dasar peribadi, sebaliknya mengkritik prestasnya kerana ingin melihat PAS parti penting. "Ia bukan sahaja parti utama Pakatan Rakyat tetapi ia parti yang senior dan mempunyai banyak ahli, khabarnya sejuta. Ertinya PAS parti terbesar dalam Pakatan Rakyat," katanya. Sebab itu katanya, Umno sentiasa gelisah dengan PAS dan cuba mencari jalan untuk menggoncang kesetiaannya dalam Pakatan Rakyat. "Sikap dolak dalik Presiden PAS dalam isu 16 September semua orang tahu. Begitu juga dengan gagasan kerajaan perpaduan," katanya. Aziz juga mengaitkan kritikan terbaru ini dengan prestasi parti-parti komponen Pakatan Rakyat dalam pilihan raya negeri Sarawak, Sabtu lalu. "Cuba bandingkan perancangan DAP di Sarawak. Mereka bekerja sejak tahun yang lalu. Saya rasa PAS tidak berbuat begitu. "Mereka sepatut menang di Beting Maro. Dalam soal ini, siapa yang patut menanggungnya?" katanya. Beliau seterusnya memberikan analogi "jika pemain gagal bermain dengan baik pasti ada yang tidak kena dengan sistem permainan dan taktik yang dipakai." "Dan, siapa yang hendak dipersalahkan? Jawabnya jurulatih atau pengurus pasukan. Kita akur bahawa menukar ketua tidak semestinya menghasilkan keputusan yang positif. "Tetapi kita mesti mencuba. Kita tidak boleh mengekalkan pengurusan yang prestasinya hambar," katanya lagi. sumber |
Dun 43 Sungai Rapat Milik PAS! Posted: 19 Apr 2011 09:28 PM PDT Ipoh 19 April 2011: Dengan bertemakan 'Sungai Rapat Milik Kita', PAS Kawasan Gopeng telah mengadakan mesyuarat agungnya bagi kali ke-23 pada hari Selasa, 19 April 2011 di Markaz Tarbiahnya ,Taman Indah Jaya di sini. Yang DiPertuanya, Tn Hj Rahim Md Ariff dalam ucapan aluannya menyuntikkan semangat dengan katanya, " Dengan tema 'Sungai Rapat Milik Kita' para pendukung PAS Kawasan mestilah menggandakan usaha bagi merealisasikan tema tersebut, kalau tidak nanti DUN 43 terlepas ke tangan orang lain dan kita hanya dapat sungai sahaja!" Beliau turut mendedahkan lantaran kegiatan PAS melalui aktiviti kemasyarakatannya yang semakin menggalakan dan mendapat sambutan masyarakat setempat, Hamidah Osman telah merasakan kedudukannya di DUN 43 Sungai Rapat kini sudah tidak selamat lagi.Hamidah, kata Rahim, kini sedang berkira-kira mencari tempat lain yang lebih selamat untuk survivalnya. "Dan ada juga sumber yang mengatakan bahawa Hamidah adalah besar berkemungkinan tidak akan diterima untuk bertanding sebagai adun kerana dipercayai sedang disiasat oleh SPRM berhubung isu rasuah yang heboh diperkatakan rakyat Perak , melibatkan seorang exco kanan Perak," katanya lagi. Majlis perasmian telah dilakukan oleh Pengarah Pilihanraya PAS Perak, Tuan Hj Asmuni Awi.Turut hadir bersama ialah rakan-rakan dari Pakatan Rakyat , Ahli Parlimen Gopeng, YB Dr Lee Boon Chye, Adun Teja , YB Chang Lih Kang dan Adun Simpang Pulai, YB Chan Ming Kai. Dalam ucapannya, Asmuni telah mengajak para ahli PAS supaya dapat menjuruskan segala aktiviti kearah PRU ke-13 yang tidak berapa lama lagi. Selain itu, beliau juga berharap penambahan ahli dan cawangan dapat dilakukan kerana ianya merupakan kekuatan asas, disamping corak organisasi yang mantap. Sambil mengimbas kembali pilihanraya negeri Sarawak yang baru berlalu, beliau berkata gambaran yang berlaku di situ adalah tidak banyak berbeza dengan di Semenanjung. "Sokongan kaum Cina kepada Pakatan Rakyat begitu mendadak dan amat ketara," jelas Asmuni. "Namun kejahilan para pengundi Melayu tidak jauh bezanya seperti mana di tempat kita ini," tambahnya. Menurutnya lagi, Sarawak dibawah BN, tidak mempunyai program yang kemas dan jitu bagi mengatasi masalah kemiskinan rakyatnya.Ini menyebabkan rakyat terus hidup dalam serba kekurangan dan terus tetap bergantung harap terhadap ehsan pemerintah. Lantaran itu, masyarakat luar bandar, khususnya orang Melayu tidak berani untuk membuat perubahan kerana mereka merasa lebih selesa dengan cara hidup yang telah 40 tahun lebih mereka harungi. Mereka lebih selesa meratah seekor ikan untuk seminggu yang diberikan oleh BN, daripada mendesak mendapat bekalan joran dan umpan yang boleh digunakan bagi membantu mereka mendapatkan lebih banyak ikan! Asmuni menyeru masyarakat PAS supaya sama-sama mengolah kemenangan Pakatan Rakyat di Sarawak dapat dimenfaatkan di DUN 43, Sungai Rapat. Mesyuarat telah berjalan lancar dengan mengekalkan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan yang sedia ada bagi sesi seterusnya. Mesyuarat telah menerima cadangan dengan sebulat suara bahawa pencalonan jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Tiga (3) Naib Presiden dan lapan belas (18) AJK PAS Pusat bagi sesi 2011-2012 diserahkan kepada AJK PAS Kawasan untuk memutuskannya. Lihat gambar di sini |
You are subscribed to email updates from ALHUSSEYN To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan