Rabu, 6 April 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Sebar bahan lucah sah di sisi undang-undang?

Posted: 06 Apr 2011 12:10 AM PDT

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengutuk tindakan penyebaran video seks bahan lucah secara terbuka menerusi laman web video Youtube dan foto akhbar tempatan.

"Sesungguhnya perbuatan serta tindakan ini sangat keji dan menunjukkan betapa rendahnya nilai moral dalam masyarakat Malaysia," kata Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Dr Muhamad Razak Idris.

Katanya, penyiaran itu bertentangan sama sekali dengan ketetapan serta prosiding yang telah ditetapkan oleh undang-undang negara, di samping secara langsung mencabar autoriti pihak berkuasa yang berkenaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Di samping itu, tambahnya Abim juga menilai penyiaran video itu akan meninggalkan kesan yang negatif terhadap pembentukan tatasusila serta moral masyarakat di negara ini.

"Kegiatan ini jika tidak diambil tindakan akan menjadi prisidion bahawa penyebaran bahan lucah adalah suatu yang sah dan tidak melanggar undang-undang negara," katanya.

Menurutnya, perkara sedemikian rupa tidak pernah berlaku sepanjang catatan sejarah politik Malaysia.

"Ini sekaligus membangkitkan persoalan kepada kita apakah norma-norma sedemikian ingin kita tonjolkan dan hidangkan kepada generasi muda dan masyarakat dalam dan luar negara sebagai satu keperluan kepada usaha pembangunan negara ini," katanya lagi.

Beliau berkata, secara prinsipnya Abim sangat kecewa terhadap penyebaran ini kerana menambahkan satu lagi episod duka dan hitam dalam sejarah negara ini.

"Sedang masyarakat berbicara dan berbahas usaha membenteras gejala sosial di dalam masyarakat, pada masa yang sama kita membuka ruang kepada percambahan perbincangan perkara tak bermoral dari sudut penyebarannya," ujarnya.

Abim juga, kata beliau ingin meneegaskan kepentingan nilai, prinsip dan etika kewartawanan dan penyiaran yang harus dijunjung di kalangan pengamal media kerana mereka memikul tanggungjawab sosial yang sangat berat.

Tambahnya, keutuhan prinsip Rukun negara bagi menjaga "Kesopanan dan kesusilaan" perlu diterjemah di dalam tindakan segenap masyarakat malah ia berkait juga dengan "Kedaulatan undang-undang" sebagai elemen pembangunan negara.

Sehubungan dengan itu, Abim menggesa PDRM supaya mempercepatkan proses siasatan mengenai penyebaran video seks tersebut, di samping mengenal pasti individu yang terlibat untuk dibicarakan menerusi pengadilan yang telah ditetapkan dengan segera.

Beliau menambah, Abim ingin menegaskan menolak sebarang provokasi untuk mengaibkan peribadi seseorang memandangkan perbuatan tersebut adalah haram dan bertentangan sama sekali dengan ajaran Islam.

Justeru, katanya perbuatan tersebut iaitu provokasi terhadap peribadi seseorang seharusnya tidak boleh dijadikan alat bagi mencapai sesebuah tujuan dan memenuhi kepentingan tertentu.

"Dalam kesempatan ini, Abim ingin menyeru umat Islam supaya agar menjauhi perbuatan mengaibkan peribadi seseorang di samping meningkatkan doa dan menunaikan solat hajat untuk memohon kesejateraan serta perlindungan dari sebarang malapetaka dan bencana untuk umat Islam serta seluruh pelusuk masyarakat di negara ini," katanya.

Wanita disyaki bomoh kena serang

Posted: 05 Apr 2011 11:53 PM PDT

Harakahdaily

MUKAH: Pusat penamaan calon N.51 Dun Balingian hari ini kecoh apabila calon Bebas, Salleh Jaafar menyerang seorang wanita asing yang disyaki sebagai bomoh kepada Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Menurut laman web http://n51balingiankeadilan.wordpress.com/ beliau yang keluar dari dewan penamaan calon itu terus menyerang wanita tersebut dengan menyatakan wanita tersebut sebagai perosak negeri Sarawak, malah menjerit wanita tersebut sebagai bomoh yang selama ini bersama Taib untuk memusnahkan negeri Sarawak.

Dalam masa yang sama beliau juga menjelaskan kepada orang ramai jika tidak percaya boleh bertanya dengan Taib sendiri siapa sebenarnya wanita tersebut.

Wanita tersebut yang berbangsa asing itu dilihat melarikan diri dari Salleh kerana ingin mengelak dari terus diserang.

Dalam masa yang sama beberapa penyokong BN mula mengawal wanita tersebut dan membawa lari ke suatu lokasi yang tidak diketahui.

Teka-teki, teka-tekup politik Malaysia

Posted: 05 Apr 2011 11:51 PM PDT

Isu video lucah antara teka teki yang menjadi topik sembang-sembang.



Dalam mengikuti perkembangan semasa politik negara, pastinya kita tidak terlepas dengan pelbagai teka-teki politik yang kadang-kala jawapannya mudah diramalkan dan ada juga di luar jangkaan walaupun berpandukan sifir-sifir politik mahupun analisa tertentu.

Antara teka-teki politik terkini yang menjadi topik sembang-sembang di 'coffee house' atau lobi-lobi hotel lima bintang dan kedai kopi kaki lima pada masa ini tentunya banyak berkisar dengan pilihan raya dan isu video lucah yang sedang hangat diperkatakan.

Ketika sembang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak semakin hangat diperkatakan, tiba-tiba muncul pula teka-teki bonus, siapakah

Datuk Trio dibelakang penayangan video lucah yang jawapannya telah pun diketahui umum.

Setelah umum mengetahui jawapan kepada teka-teki indentiti Datuk Trio dan ketulenan video lucah yang menjadi perdebatan hangat itu, persoalan siapakah identiti lelaki dalam video lucah masih diperdebatkan

Bagaimanapun bagi sesetengah media arus perdana, mereka lebih berminat untuk menjawab teka-teki ketulenan video berbanding ketulenan pelakonnya.

Selain itu, masyarakat juga masih berteka-teki adakah Datuk Trio akan didakwa di mahkamah meskipun telah mengakui memiliki dan menayangkan video lucah yang ternyata merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang negara ini.

Ketika gelombang reformasi tercetus dengan kuat sekaligus ramai peneka meramalkan Barisan Nasional (BN) sekurang-kurangnya bakal kehilangan majoriti dua pertiga di parlimen dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 10 pada tahun 1999, ternyata gelombang tersebut tidaklah sekuat mana.

Walaupun ketika itu Barisan Alternatif (BA) berjaya menawan Terengganu dan berjaya meningkatkan sokongan pengundi secara keseluruhan, namun kekecewaan jelas di pihak BA.

Dalam PRU-11 pada 2004 pula, ketika BA mengharapkan gelombang reformasi masih lagi menderu, sekali lagi jawapan teka-teki politik negara sedikit tersasar bagi kebanyakan peramal apabila BN ketika itu memperolehi kemenangan terbesar dalam sejarah pilihan rayanya.

Teka-teki paling mengelirukan tentunya teka-teki PRU-12 lalu apabila BN kehilangan empat negeri di samping gagal merampas Kelantan dari PAS dan kehilangan majoriti dua pertiga di parlimen.

Jawapan kepada teka-teki PRU-12 ini bukan sahaja kejutan kepada pemimpin BN, malahan bagi para pemimpin Pakatan Rakyat (PR) sendiri juga tidak bersedia menghadapi kejutan yang memihak kepada mereka itu.

Teka-teki tarikh pilihan raya

Tidak seperti kebanyakan negara lain yang tarikh pilihan raya bukanlah
satu teka-teki, di negara ini tarikh pilihan raya menjadi permainan teka-teki yang jawapannya hanya di tangan seorang daripada 27 juta manusia di negara ini.

Dalam konteks ini, secara logiknya masih belum ada Perdana Menteri (PM) negara ini yang 'gentleman' dan berkeyakinan untuk mengumumkan tarikh pembubaran parlimen sekurang-kurangnya sebulan lebih awal dari tarikh pembubaran yang dipilih.

Lebih teruk lagi, ada di antara PM ini dengan wajah selamba memberitahu wartawan "saya belum ada ilham tarikh pilihan raya" atau "bukan masa terdekat" tatkala pada masa kurang sehari sahaja lagi sebelum beliau mengumumkan pembubaran parlimen – satu lakonan yang hebat!

Hanya selang sehari atau beberapa jam sahaja, di saat sidang akhbar untuk mengumumkan pembubaran parlimen, seperti terlihat kepuasan awal di raut wajah PM apabila tiada peneka yang berjaya menjawab teka-teki dengan tepat!

Di negara ini, teka-teki tarikh pilihan raya ini akan terus menjadi tradisi bagi setiap PM dan amalan yang sama juga mungkin turut diteruskan oleh pemimpin-pemimpin PR sekiranya mereka benar-benar berjaya menakluki Putrajaya nanti.

Pada masa ini, selepas kita diberikan jawapan kepada teka-teki tarik PRN Sarawak, muncul pula teka-teki siapakah calon-calon pilihan parti bertanding nanti.

Setelah parti BN yang menguasai pentadbiran Sarawak mengumumkan calon-calonnya baru-baru ini pun, kita masih lagi dibiarkan berteka-teki siapa pula bakal mengisi calon bagi kerusi Dun Ba'kelalan.

Manakala teka-teki calon-calon bertanding di pihak PR pula sekurang-kurangnya hingga ke hari ini masih belum ada jawapan yang sahih melainkan ramalan dan jawapan-jawapan yang bocor.

Pada masa ini juga, teka-teki siapakah yang bakal dinobatkan sebagai pengganti Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud selepas PRN nanti juga mula bermain-main di minda masyarakat Sarawak khususnya.

Sudah semestinya, teka-teki paling mendebarkan pada masa ini, adakah BN dapat mengekalkan prestasinya atau mampukah PR meneruskan kesinambungan tsunami politik dalam PRU-12 pada 2008 lalu.

Selesai PRN Sarawak nanti, kita kembali berteka-teki dengan tarikh PRU ke 13 dengan menjadikan keputusan PRN Sarawak sebagai klu terbaru.

Bukan itu sahaja, keputusan PRN itu nanti juga dijadikan pengukur kekuatan parti-parti yang bakal bertanding dalam PRU nanti.

Sudah tentu juga, ramai yang akan berteka-teki adakah PR berjaya menumbangkan BN dalam PRU-13 nanti atau siapakah PM selepas Datuk Seri Najib Tun Razak nanti.

Percayalah, selepas jawapan kepada teka-teki politik ini diperolehi, teka-teki yang sama ini akan diulang-ulang semula dan ia semakin bertambah dengan teka-teki bonus tetapi akan terus mengundang minat para peneka.

‘Musuh dalam selimut’ bermaharaja lela di Yayasan Selangor

Posted: 05 Apr 2011 11:37 PM PDT

Adakah Pengurus Besar Ilham Marzuki mempunyai kepentingan peribadi dalam sambutan ulang tahun ke 40 Yayasan Selangor?



PETALING JAYA: Adakah Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki menyalahguna kuasa dan mempunyai kepentingan peribadi sejak penghujung tahun 2010?

Pada 11 November 2010, Ilham telah mengarahkan semua asrama dan sekolah di bawah tajaan Yayasan Selangor untuk mengadakan solat hajat agar bala diturunkan ke atas orang yang menulis surat layang terhadap 'ketua isteri Ilham'.

Namun satu sumber yang boleh dipercayai berkata, "kita diberi arahan untuk mengadakan solat hajat agar kakitangan yang membocorkan maklumat berkaitan Yayasan Selangor diturunkan bala dan diazab."

Menurut sumber, maklumat yang bocor adalah berkaitan dengan kos perbelanjaan yang berlebihan berhubung sambutan ulangtahun ke -40 Yayasan Selangor.

Maklumat tersebut sampai kepada pengetahuan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyebabkan baginda murka dan enggan menghadirkan diri ke majlis jamuan makan Yayasan itu.

Ekoran itu, Ilham dikatakan menuduh mantan pengurus kewangan Yayasan Izana Ahmad dan bekas pengurus sumber manusia Anizan Ibrahim sebagai individu yang membocorkan maklumat kos perbelanjaan sambutan ulangtahun.

Rentetan pembocoran maklumat tersebut, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melakukan penyiasatan dan mengambil dokumen berkaitan kos sambutan pada 15 November 2010.

Pada 16 November 2010, enam kakitangan Yayasan telah dipanggil untuk memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.

Keesokan harinya, kesemua mereka menerima surat pertukaran (pindah kerja) dalam tempoh 24 jam tanpa sebab, kata sumber yang enggan mendedahkan namanya.

Penyiasatan SPRM seterusnya bertumpu kepada timbalan pengurus besar (pengurusan) Yayasan Selangor pada ketika itu, Saifulruddin Sulaiman dimana beliau telah ditahan reman pada 23 November 2010 dan disiasat selama 7 hari.

Ekoran tahanan reman tersebut, seramai seratus kakitangan Yayasan Selangor telah dihukum menggunakan Kursus Kepimpinan dan Semangat Sepasukan (KDSS) di Kem Bina Semangat, Ampang Pechah, Kuala Kubu Bharu pada 3, 4 dan 5 Disember 2010 sebagai alasan.

Kakitangan Yayasan diarah melakukan "night trackking" dan bermalam "beratapkan langit" di dalam hutan berdekatan, mulai tengah malam sehingga subuh selama dua malam berturut-turut.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifulruddin didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam.

Beliau bagaimanapun, mengaku tidak bersalah terhadap tiga tuduhan rasuah membabitkan wang sebanyak RM45,000.

Pendakwaan dilakukan oleh timbalan pendakwa raya Kevin Morais bagi pihak SPRM di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM.

Jika didapati bersalah, Saifulruddin boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun penjara dan denda lima kali nilai wang suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang mempunyai nilai lebih tinggi.

PKR Lancar Suara Sarawak

Posted: 05 Apr 2011 11:35 PM PDT

Ditulis oleh Zainulfaqar

KUCHING : Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini secara rasminya melancarkan risalah Suara Sarawak dengan mesej "Selamatkan Hak Rakyat" sempena pilihan raya negeri Sarawak ke-10, kata naib presidennya Dr Mansor Othman.

Mansor yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, risalah ala-ala manifesto Pakatan Rakyat antara lain berjanji untuk menubuhkan suruhanjaya tanah dalam masa setahun bagi mengembalikan hak milik tanah Orang Asal serta tanah adat yang dirampas pentadbiran Tan Sri Abdul Taib Mahmud selama 30 tahun memerintah Sarawak.

Katanya, Pakatan Rakyat akan menubuhkan Tabung Basmi Kemiskinan berjumlah RM1 bilion bagi membantu keluarga yang hidup di bawah paras kemiskinan rasmi.

Ujarnya, Pakatan Rakyat juga tidak akan menyeleweng sumber bumi Sarawak sebagaimana yang diamalkan pentadbiran Taib melalui polisi "Cekap, Akauntabel, Telus" atau akronimnya C.A.T jika diberi mandat menubuhkan kerajaan Sarawak yang baru kelak.

Menurut Mansor, Pakatan Rakyat berjanji mengamalkan kebebasan agama dengan menolak amalan diskriminasi sebagaimana yang diamalkan oleh pentadbiran Taib dan Barisan Nasional sebelum ini.

Jelasnya lagi, Pakatan Rakyat juga akan mewujudkan skim " Bantuan Warga Emas " kepada rakyat Sarawak yang berusia 60 tahun dan ke atas sebagai bantuan tahunan daripada kerajaan negeri jika diberi bandat kelak.

Mansor berkata, dengan lima janji itu beliau percaya Umno dengan pantasa akan mendakwa Pakatan Rakyat hanya menaburkan janji-janji palsu demi memenangkan kerusinya sahaja.

Namun tegas Mansor, dengan adanya rekod kebajikan yang dinikmati rakyat di Selangor, Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang ia sudah cukup untuk meyakinkan rakyat bahawa Pakatan Rakyat bukan sahaja menabur janji malah mampu untuk menunaikannya.

"Ada orang kata, bagaimana untuk melakukan semua ini? Tetapi di Semenanjung (Malaysia) kita (Pakatan Rakyat) sudah berjaya melaksanakan semua janji-janjinya,"katanya.

PKR meletakkan calon di 47 daripada 71 kerusi pada pilihanraya negeri Sarawak 16 April ini.

Pengumuman itu menyerlahkan kemungkinan kira-kira 20 kerusi akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional, PKR dan SNAP iaitu parti politik paling lama di Sarawak.

Said Zahari : Utusan Aibkan Anwar Untuk Politik Umno

Posted: 05 Apr 2011 11:34 PM PDT

TVS NEWS


SHAH ALAM : Bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu Said Zahari membidas laporan media arus perdana yang ghairah menyiarkan gambar dan menayangkan klip video seks semata-mata untuk mengaibkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menyifatkan tindakan Utusan Malaysia dan TV3 serta media lain sebagai tidak beretika dan melanggar prinsip asas kewartawanan semata-mata untuk memenuhi agenda politik majikan mereka.

"Cerita- cerita seperti itu, video dan gambar- gambar seperti itu langsung tidak usah dipakai. Sepatutnya pengarang tidak perlu menggunakannya, tak perlu siarkan kerana apa faedahnya kepada pembaca, apa yang dipelajari mereka," kata beliau kepada TVSelangor/

Said berkata media yang beretika tidak akan melaporkan sesuatu yang belum terbukti kesahihannya serta tidak cuba untuk mendorong pembaca agar mempercayai setiap apa yang dipaparkan mereka.

Said menjelaskan peranan akhbar adalah menyebarkan menyampaikan berita, maklumat dan mencerminkan pemikiran rakyat kearah kebaikan.

Namun mutakhir ini, surat khabar secara rasmi diangkat menjadi lidah rasmi bagi parti pemerintah.

Said berkata, hakikatnya pembaca membeli surat khabar untuk mendapatkan berita yang sahih dan memberi 1001 maklumat yang berguna bukannya fitnah politik semata- mata.

"Pembaca bukan hendak benda yang macam itu pun. Tapi oleh kerana mereka nak jual surat khabar, mereka gunakan itu sebagai penarik kepada pembaca."

Beliau menyifatkan Utusan Malaysia dengan sengaja mahu mendorong pembaca untuk mempercayai bahawa Anwar adalah individu dalam video seks yang didalangi Datuk T.

"Lebih mendukacitakan , ia (Utusan Malaysia) digunakan untuk menuduh seseorang dalam kes ini yang saya ingat dia sebutkan Anwar walaupun sudah terbukti bukan Anwar dalam video itu dan gambar itu terbukti bukan Anwar," tambah beliau.

"Namun Utusan secara tidak langsung menunjukkan bahawa orang itu adalah Anwar. disini terletaknya politik (Utusan Malaysia dan Umno)."

Said mengingatkan warga media agar kembali berpegang kepada etika kewartawanan demi memartabatkan industri ini dikata mata rakyat.

"Pengarang, pemberita, wartawan, editor surat khabar harus berhati- hati dalam soal seperti ini sebab tiada faedahnya untuk pembaca." tegas s beliau.

Media Arus Perdana Hilang Pedoman, Kata PR

Posted: 05 Apr 2011 11:32 PM PDT

Ditulis oleh Fauzan Uda Ahmad



KUALA LUMPUR : Media arus perdana milik UMNO mengamalkan kewartawanan yang jijik dengan sanggup menggadaikan maruah bangsa dan agama Islam demi menfitnah Anwar Ibrahim untuk memenuhi agenda politik Umno.

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat hari ini menyelar tindakan Utusan Malaysia dan Kosmo kawalan Umno yang menyiarkan gambar-gambar video lucah demi menfitnahkan Anwar.

Tindakan media berkenaan turut mencemarkamn nama baik bangsa Melayu dan Negara Islam di peringkat antarabangsa, kata Ahli Parlimen Baling, Taib Azamauddin.

"Kalau Kosmo surat khabar Melayu, kalau Utusan surat khabar Melayu, apakah hebat surat khabar Melayu untuk tanam saham jual maruah Melayu dan Islam.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff turut mengutuk keras Utusan Malaysia dan Kosmo kerana membelakangkan etika kewatawaan dalam keghairahan mengaibkan Anwar.

Saya mengutuk media hari ini terutama media Utusan, Kosmo yang letak gambar sebelah sebelah, ia ada agenda politik. Kita hormati kebebasan media tetapi bukan media kotor seperti ini, " tegas beliau.

PRN Sarawak : Calon Ba'kelalan PKR Diiringi Hampir 2000 Penyokong

Posted: 05 Apr 2011 11:27 PM PDT

TVS NEWS


Hampir 2,000 penyokong Parti Keadilan Rakyat bersama-sama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiringi calon kerusi Dewan Undangan Negeri N70 Ba'Kalalan hadir pusat pencalonan pagi tadi.

Suasana meriah dan penuh semangat yang sebelum tidak pernah dirasai penyokong PKR di Ba'kalalan sedikit sebanyak menyuntik semangat calon dan penyokong parti itu untuk menawan kerusi DUN tersebut.

Sejak jam 7.00 pagi lagi, penyokong PKR sudah mula berkumpul dihadapan bilik gerakan PKR Ba'kalalan dengan membawa bendera parti serta sepanduk.

Dari jauh kelihatan lautan bendera biru muda dan merah berkibar disepanjang jalan menuju ke pusat penamaan calon di Dewan Majlis Daerah Lawas.

Sedikit mengejutkan apabila, penyokong BN menunjukkan sokongan dengan melambai tangan dan menghulurkan tangan kepada penyokong PKR.

Anwar, Baru Bian serta penyokong tiba di sempadan luar pusat penamaan calon pada pukul 8:35 pagi tetapi hanya dibenarkan masuk tepat pukul 9:00 pagi.

Baru Bian tiba dipusat pencalonan dengan disambut Pegawai Pengurus Pilihan Raya N70 Ba'kalalan, Ladin Atok, serta diiringi oleh pencadang Simon Buayah, penyokong piri Abai dan saksi Charles Labong.

Baru Bian, seorang peguam terkenal bakal berdepan dengan calon BN, Willie Liau yang merupakan Ketua Pemuda Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) dan juga lulusan undang-undang.

Menantu Pohon Waran Tangkap, Anak KM Sarawak Gagal Hadir Perbicaraan

Posted: 05 Apr 2011 11:24 PM PDT

TVS NEWS


KUALA LUMPUR : Menantu kepada Ketua Menteri Sarawak, Datin Seri Shahnaz Abdul Majid memohon waran tangkap terhadap suaminya, Datuk Seri Mahmud Abu Bekri Abdul Majid berikutan kegagalannya menghadiri perbicaraan kes tuntutan fasakh dan juga harta sepencarian.

Permohonan itu dibuat peguam yang mewakili Shahnaz, Dr Mohd Rafie Shafie pagi tadi.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur menetapkan hari ini sebagai tarikh perbicaraan kes tuntutan harta sepencarian dan tuntutan ganti rugi.

Peguam yang mewakili Abu Bekir, Saadiah Din memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya tidak dapat hadir berikutan masih belum pulih daripada pembedahan bahunya di United Kingdom pada 15 Mac lalu.

Bagaimanapun, apabila peguam Rafie meminta sijil sakit, yang sepatutnya diserahkan kepada peguam plantif, Saadiah gagal berbuat demikian.

Berikutan itu, Hakim Abdul Walid Abu Hassan mengingatkan Saadiah supaya menasihati anak guamnya agar mematuhi prosedur mahkamah dan memastikan kehadiran Abu Bekir.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 11 Mei depan untuk sebutan bagi mahkamah menetapkan tarikh perbicaraannya.

Dalam pada itu, peguam Rafie memohon supaya prosiding perceraian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi yang sama.

Pada masa ini, permohonan perceraian Shahnaz didengar oleh Mahkamah Rendah Syariah.

Abu Bekir, telah memfailkan permohonan perceraian yang berasingan, juga didengar oleh Mahkamah Rendah Syariah.

Penamaan Calon : Azizah Iringi Calon PKR Di Satok

Posted: 05 Apr 2011 11:21 PM PDT

TVS NEWS

KUCHING : Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengiringi calon N.08 Satok, Ahmad Nazib Johari ke pusat penamaan calon di Sekolah Rendah Kebangsaan Merpati Jepang.

Lebih 100 Angkatan Muda Keadilan(AMK) turut menyertai perarakan calon dari bilik gerakan utama Satok bermula pada jam 8.20 pagi dan tiba di perkarangan pusat penamaan calon sekitar jam 8.35 pagi.

Sekitar jam 8.56 pagi, lebih 500 orang penyokong Barisan Nasional (BN) mengiringi calon mereka Datuk Amar Abg Johari Tun Openg di perkarangan pusat pembuangan undi.

Kedua-dua mereka menyerahkan borang penamaan kepada pegawai pengurus pusat penamaan calon Onn Abdullah sejurus tempoh menghantar borang pencalonan di buka.

AMK kemudiannya membuat bantahan berhubung masalah teknikal pada kertas pencalonan Amar Abg Johari kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bagaimanapun SPR menolak bantahan tersebut dengan dipersetujui Ahmad Nazib dan peguamnya.

Dalam perkembangan yang sama Dr Wan Azizah dilaporkan bergegas ke pusat penamaan calon N.04 Pantai Damai bagi menyokong seorang lagi calon PKR, Wan Zainal Abidin Wan Senusi.

Sementara itu, Ahmad Nazib yang ditemui selepas selesai proses pengesahan calon pada jam 11 pagi tadi menyuarakan iltizam politiknya untuk mengajak rakyat pribumi menyelamatkan Sarawak dari terus diperintah oleh ketua menterinya Abdul Taib Mahmud dan Barisan Nasional.

"Harapan saya kepada seluruh rakyat (DUN) Satok, kita akan membawa perubahan ke kawasan ini,".

"Dan saya memerlukan sokongan daripada pengundi-pengundi Satok agar memilih parti yang baru (iaitu) parti yang dinamik, bukan seperti parti yang memerintah sekarang yang sudah lapok,".

"Rakyat seharusnya sedar, celik dan matang untuk memilh sejauhmana wakil rakyat itu membawa obor dan suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri.

"Kekuatan orang muda, jiwa muda dan pemikiran muda mampu membawa suara belia di sini supaya memikirkan masa depan yang lebih jauh untuk membangunkan kawasan ini."

"Terdapat beberapa isu tanah yang menjadi keutamaan kami di kawasan ini, terutama isu tanah di kawasan Kampung Kude Baru."

"Kalau persaingan ini dianggap persaingan yang sengit, saya lihat persaingan ini antara orang tua dan orang muda,"katanya.

Mahasiswa gesa UPM batal roboh Kolej Mohamad Rashid

Posted: 05 Apr 2011 11:15 PM PDT

TERKINI


Papan tanda pintu masuk Kolej Mohamad Rashid UPM.

KUALA LUMPUR — Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Mohamad Rashid (MTMKMR) Universiti Putra Malaysia (UPM) membantah keras keputusan pusat pengajuan tinggi itu yang mahu merobohkan bangunan yang menempatkan kira-kira 460 penuntut.

Menurut Pengerusi MTMKMR, Muhd Adzrean Abdul Wahab, pihaknya menuntut agar pengurusan UPM membatalkan keputusan untuk merobohkan bangunan lima blok bangunan empat tingkat itu.

"Justeru, kami sebagai MTMKMR menuntut supaya keputusan untuk meroboh itu dibatalkan supaya kebajikan penuntut Kolej Mohamad Rashid terjaga.

"Tuntutan ini dibuat atas sebab kegagalan pihak UPM untuk menyediakan laporan bertulis mengenai tahap keselamatan kolej tersebut dan perancangan berkaitan kebajikan pelajar Kolej Mohamad Rashid selepas berpindah keluar," katanya kepada The Malaysian Insider.

Tambah beliau, penuntut yang menetap di kolej itu juga sepakat untuk tidak akan berpindah keluar serta menuntut keputusan merobohkan bangunan itu ditarik balik.

The Malaysian Insider difahamkan pengurusan UPM akan membina sebuah kompleks kawasan Kolej Mohamad Rashid itu.

Penuntut yang menetap di Kolej Mohamad Rashid diarahkan untuk mengosongkan bilik masing-masing bermula pada 9 Mei ini, namun tidak diberitahu bila bangunan itu akan dirobohkan.

"Mahasiswa tidak bersetuju untuk pindah keluar dari Kolej Mohamad Rashid. Ini berdasarkan kepada beberapa sebab antara lainnya ialah tiada jawapan konkrit yang diberikan pengurusan UPM untuk merobohkan bangunan di sini.

"Bangunan Kolej Mohamad Rashid masih kukuh dan hanya perlu proses membaikpulih sahaja, malah sehingga kini tiada perancangan terperinci yang dibuat tentang kebajikan mahasiswa sekiranya bersetuju untuk dipindahkan ke lokasi lain," kata Muhd Adzrean.

Justeru, beliau mahu pengurusan UPM dapat memberikan respon terhadap tuntutan yang dikemukakan MTMKMR dengan segera.

"Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar perlu memberikan penjelasan dalam sesi dialog bersama mahasiswa Kolej Mohamad Rashid.

"Bahagian Pembangunan perlu memberikan bukti kenapa bangunan Kolej Mohamad Rashid tidak selamat diduduki dan pihak UPM perlu menerangkan kepada mahasiswa sama ada kos meroboh dan membina kompleks baru lebih murah dari kos membaikpulih Kolej Mohamad Rashid," katanya.

Kata Muhd Adzrean, pihaknya akan mengadakan demonstrasi bantahan di pekarangan Kolej Mohamad Rashid petang ini sebagai membantah keputusan pengurusan UPM itu.

AELB: Lynas kekal operasi, hanya ditutup jika langgar had radiokatif

Posted: 05 Apr 2011 11:09 PM PDT



Raja Aziz semalam di Kuantan. — Gambar oleh Jack Ooi
KUANTAN— Lynas Corporation akan kekal di kawasan perindustrian Gebeng dekat sini melainkan loji pemprosesan RM700 juta itu gagal memenuhi keperluan keselamatan, kata Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) malam tadi.

AELB merupakan antara beberapa agensi pusat dipelawa oleh kerajaan Pahang untuk meredakan kebimbangan penduduk berhubung operasi loji itu yang akan bermula suku ketiga tahun ini.

Lojinya sedang dalam proses pembinaan.

Malam tadi, Ketua Pengarah AELB Raja Datuk Abdul Aziz Raja Adnan mengakui tiada satu keperluan keselamatan tetap berhubung aspek radiasi.

Sebaliknya kata beliau, paras torium dalam bahan mentah yang akan digunakan untuk tujuan pemprosesan akan dijadikan sebagai petunjuk.

"Perkara utama menjadi perhatian ialah sisa buangan," kata beliau merujuk kepada elemen radioaktif yang ditemui dalam semua lapisan nadir bumi.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas dialog awam dengan penduduk tempatan, kata beliau, kelulusan AELB, membabitkan lima anggota, adalah berdasarkan penilaian kes demi kes.

Bagaimanapun tegas beliau, Lynas bertanggungjawab kepada standard yang ia janjikan.

"Jika kadar torium dalam bahan mentah melebihi 0.16 peratus, kami akan menarik balik lesen," kata beliau kepada 300 orang yang menghadiri dialog semalam.

Raja Aziz juga memberitahu pemberita bahawa Lynas harus berpegang kepada 500 ppm torium dalam bahan buangan dan jika tidak akan diminta menutup operasinya.

Pertemuan malam tadi dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Negeri Pahang selepas penduduk Kuantan, pertubuhan bukan kerajaan dan wakil rakyat-wakil rakyat membantah operasi loji atas alasan bimbang dengan risiko bahaya radiasi.

Kebimbangan itu meningkat selepas krisis loji tenaga nuklear ekoran bencana berganda tsunami dan gempa bumi di Jepun bulan lalu.

Raja Aziz juga berkata sementara tiada standard radiasi yang tetap, mengurangkan kadar yang boleh diterima berbanding dengan apa yang dijanjikan oleh Lynas bermakna industri berat lain di Pahang seperti kilang kenderaan dan loji penapisan minyak juga perlu ditutup.

Bagaimanapun katanya, pengajaran dari krisis Bukit Merah di Perak dan asas kes-kes kanser yang dibangkitkan akan diambil kira.

Data-data yang diperoleh akan digunakan sebagai tanda aras, katanya.

Lynas secara berulang kali mengatakan bahawa nadir bumi yang pihaknya gunakan hanya mempunyai 1,600 ppm torium iaitu 50 kali lebih rendah berbanding bahan mentah yang digunakan di Bukit Merah.

Mufti Perak pertahan keputusan haramkan poco-poco 20 April ini

Posted: 05 Apr 2011 11:08 PM PDT


Harussani
KUALA LUMPUR — Tan Sri Harussani Zakaria sekali lagi menegaskan tidak akan menarik balik keputusan mengharamkan tarian poco-poco, sebaliknya bersedia untuk memberi penjelasan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan akhir bulan ini.

Mufti Perak berkata Jawatankuasa Fatwa negeri itu membuat keputusan mengharamkan tarian poco-poco selepas membuat kajian dan penelitian mendalam.

"Saya bersedia (buat penjelasan), kita haramkan tarian poco-poco sebab kita dah siasat... kita dah kaji... kita dah teliti sebab itu kita haramkan kerana ia menyimpang dari ajaran Islam.

"Keputusan ini bukan keputusan main-main, kita tahu dan sedar apa yang kita buat, jika ada sesiapa yang tidak faham saya sedia jelaskan dan bersedia memberikan sebab kenapa ia diharamkan termasuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan," kata Harussani yang kemungkinan akan membentangkan keputusan mengharamkan tarian poco-poco pada mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan 20 April.

Lewat petang semalam The Malaysian Insider melaporkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak telah mengambil kira sembilan asas, antaranya soal akidah dan kepercayaan umat Islam lebih penting daripada penjagaan kesihatan apabila memutuskan tarian poco-poco sebagai haram.

Justeru Harussani menegaskan, sebarang amalan dan perlakuan yang meragukan sewajarnya dibendung dan ditinggalkan.

"Adalah lebih selamat dan lebih berhati-hati dengan cara menjauhkan diri daripada menyerupai mereka, lebih-lebih lagi setelah mengetahui asal usul poco-poco yang mempunyai unsur keagamaan dan pemujaan roh, sebagai beramal dengan hadis," kata beliau.

Harussani berkata, Islam juga telah melarang tegas sebarang penyerupaan dengan golongan kafir walaupun hanya dari segi rupa dan bentuk.

Dalam kenyataannya, Harussani juga berkata, adalah lebih menyelamatkan keadaan sekiranya umat Islam menggunakan tarian atau senaman yang jelas cocok dengan agama, budaya dan warisan bangsa sendiri daripada meniru dan memperlakukan sesuatu perbuatan yang boleh menimbulkan keraguan dan kecelaruan dengan syarat kita memelihara diri dari percampuran yang diharamkan, batasan aurat dan larangan-larangan yang telah ditetapkan oleh syarak.

Angkatan Belia Islam Malaysia juga menggesa Harussani agar memberi penjelasan terperinci secara terbuka ekoran keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak mengharamkan tarian poco-poco berkuat kuasa Januari lalu.

Saingan rebut 71 kerusi DUN Sarawak bermula, penamaan calon pagi ini

Posted: 05 Apr 2011 11:07 PM PDT


KUCHING — Pertarungan merebut 71 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak bermula secara rasmi hari ini dengan Barisan Nasional (BN) mahu mempertahankan penguasaannya manakala Pakatan Rakyat (PR) pula meletakkan sasaran untuk mengulangi tsunami politik 2008 di bumi Kenyalang kali ini.

Tan Sri Abdul Taib Mahmud melangkah tahun ke-31 memimpin Sarawak dan berusaha untuk membuktikan bahawa beliau masih berbisa untuk mengulangi kemenangan selesa BN di Sarawak meskipun kepimpinannya dibayangi salah guna kuasa dan rasuah.

Ketua Menteri paling lama itu dijangka dicabar oleh bekas Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Salleh Jafaruddin, yang juga sepupunya, di Balingian.

PR perlu membuktikan bahawa jentera dan sumber-sumbernya yang terhad tidak akan menghalang matlamat mereka mencatatkan prestasi lebih baik kali di Sarawak - yang telah lama dianggap sebagai simpanan hayat BN.

Keputusan signifikan di Sarawak termasuk kejayaan menafikan majoriti dua pertiga BN di Dewan Undangan Negeri akan memberi kesan kepada keputusan membubarkan Parlimen dan tarikh pilihan raya umum ke-13 nanti.

Bagaimanapun pembangkang di Sarawak berhadapan dengan kemelut ekoran masalah dalam pembahagian kerusi, dan ini dijangka akan membawa kepada persaingan tiga penjuru di sebahagian kerusi kali ini.

PR Sarawak dianggotai PKR, PAS dan DAP, dan parti pembangkang negeri Parti Kebangsaan Sarawak (Snap).

Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengepalai misi PR, berhadapan dengan kes liwat kedua selain pendedahan rakaman video seks yang didakwa mirip Ketua Pembangkang itu dua minggu lalu.

Kempen pilihan raya Sarawak, negeri yang terdiri daripada 50 peratus masyarakat Kristian, juga diselubungi isu Alkitab.

Seramai 976,796 pengundi pemilih termasuk 18,363 pengundi pos layak untuk mengundi pada pilihan raya negeri ke-10 ini.

BN Sarawak dijangka membuktikan bahawa politik pembangunan akan mengatasi isu-isu dibawa pembangkang.

Penganalisis dan pemimpin politik mengakui bahawa isu Alkitab, yang berlarutan meskipun Putrajaya berusaha untuk meredakan rasa tidak puas hati, tidak akan memberi kesan ke atas kempen perikatan tersebut.

Malah, penganalisis juga meramalkan persaingan sengit di 29 kerusi dengan kebanyakannya terletak di kawasan bandar dan separuh bandar, di mana majoriti penduduk adalah Cina.

Kerusi-kerusi itu juga memperlihatkan kemungkinan akan dimenangi oleh calon PR.

Baki 42 kerusi dijangka dikekalkan oleh BN.

Bagi PR, untuk menafikan majoriti dua pertiga BN ia perlu menang di 24 kerusi.

BN meletakkan calonnya di kesemua 71 kerusi.

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PPB) akan bertanding di 35 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pula 19, Parti Rakyat Sarawak (PRS) sembilan dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) di lapan kawasan.

Setakat maklumat awal, PKR akan meletakkan calon di 48 kerusi, DAP pula 15 dan PAS lima.

Snap akan bertanding di 27 kerusi - sekali gus PR terpaksa berhadapan dengan saingan tiga penjuru di beberapa kawasan.

Juga diramalkan sehingga 38 calon Bebas akan bertanding kali ini, kebanyakannya dari Parti Ekonomi Rakyat Sarawak Bersatu (PERSB), yang masih belum didaftarkan lagi.

Parti lain yang dijangka bertanding ialah Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Parti Reformasi Sarawak (Star).

Proses penamaan calon bermula 9 pagi ini. Pengundian akan diadakan 16 April.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperuntukkan 10 hari untuk berkempen berbanding 11 hari pada pilihan raya negeri lalu yang diadakan pada 2006.

SPR menetapkan setiap calon perlu membayar deposit RM5,000 untuk bertanding dan RM3,000 untuk bahan kempen.

Sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri, BN menguasai 63 kerusi daripada 71 kerusi.

BN mengumumkan barisan calonnya Ahad lalu dengan mengekalkan 52 penyandang dan memperkenalkan 19 muka baru.

Calon terakhirnya iaitu seorang peguam, Willie Liau diumumkan semalam untuk bertanding di Ba'Kelalan.

Klip seks: ‘Negara dah jadi negara tak berakhlak’, kata ulama

Posted: 05 Apr 2011 11:04 PM PDT

KUALA LUMPUR — Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata Malaysia kini seolah-olah sudah menjadi negara yang "tidak berakhlak dan tidak bermora"l apabila ada pihak yang sanggup membenarkan rakaman dan gambar pelakuan aksi seks didedahkan kepada umum menerusi media.

Tegas Harussani, tindakan pihak tertentu termasuk media arus perdana menyiarkan gambar aksi seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sesuatu yang bertentangan dengan Islam.

Selain itu, tambah beliau, tindakan mengaibkan seseorang melalui pendedahan rakaman video seks adalah haram di sisi Islam.

"Buka rahsia dan aib orang adalah haram, kalau nak tuntut keadilan tuntut di mahkamah... bukan dengan dedahkannya kepada umum.

"Negara sekarang dah jadi negara yang tak berakhlak... dah jadi tidak bermoral, kenapa jadi macam ini? Kalau nak bawa ke mahkamah, tapi sekarang pun kita belum dapat pastikan lagi siapa dalam video itu," katanya kepada The Malaysian Insider.

Justeru beliau menggesa agar semua pihak berhenti daripada membangkitkan isu itu.

"Hentikan, hentikan... buat apa nak cakap benda aib orang lain ini. Buktikan di mahkamah kalau nak cakap, biar mahkamah tentukan.

"Tapi ia belum pasti boleh buktikan kerana orang yang buat pertuduhan kena bawa empat orang saksi kalau tidak dia boleh dikenakan hukuman qazaf iaitu sebat 80 kali, benda ini tidak jelas... saya dah tengok akhbar hari ini, gambar lelaki dalam video itu tidak jelas dan tiada siapa yang boleh buktikan ia adalah Anwar," katanya.

Rakaman video seks itu dipertontonkan kali pertama kepada media di hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu.

Sejak kelmarin rakaman video seks yang didedahkan "Datuk T" tersebar dimuatkan dalam YouTube dan beberapa blog pro-Umno.

Klip itu yang panjangnya 107 saat menunjukkan dua lelaki dan seorang wanita berada di sebuah bilik sebelum aksi seks dengan pelacur berkenaan, didakwa dari China.

Rakaman asal yang dipertontonkan kepada media di hotel Carcosa Seri Negara dua minggu lalu dilaporkan panjangnya 21 minit.

Klip video hitam putih itu turut membawa jalur warna putih di bahagian bawah dengan tulisan Thailand, yang tidak terdapat pada rakaman yang didedahkan kepada media sebelum ini.

Bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim dilaporkan mengakui diri mereka sebagai "Datuk T" - menggemparkan negara apabila mempertontonkan rakaman video seks itu.

Sementara itu, Mufti Selangor Datuk Tamyes Abd Wahid berkata, pendedahan dibuat "Datuk T" itu adalah satu fitnah dibuat dengan tujuan untuk menjatuhkan imej Anwar yang juga Ketua Umum PKR dan Ahli Parlimen Permatang Pauh.

"Ini adalah satu fitnah, betapa rosak moral orang Islam di Malaysia... fitnah telah berleluasa.

"Sepatutnya kita tahu bahawa fitnah dosanya lebih besar daripada membunuh, negara sudah jadi porak-peranda kerana fitnah yang dibuat ini," katanya.

Malah Persatuan Ulama Malaysia (PUM) juga menyifatkan tindakan pihak tertentu termasuk media arus perdana menyiarkan gambar aksi seks yang dikaitkan dengan Anwar bertentangan dengan norma masyarakat Melayu dan Islam.

Setiausaha Agung PUM Dr Mohd Roslan Md Nor berkata, pihaknya kesal dengan tindakan itu dan menyifatkan langkah tersebut berniat jahat dan melampaui batasan akhlak, moral dan budaya.

"Atas nama apa alasan sekalipun penyebaran ini adalah satu tindakan jahat, fitnah dan melampaui batasan akhlak, moral dan budaya malah menyalahi etika kewartawanan yang serius.

"Trend membuka aib dan menyebar fitnah bukan norma budaya Melayu Islam, malah menyalahi undang-undang dan etika mana sekalipun di dunia ini," katanya.

Pegawai Kastam disiasat mati jatuh dari bangunan SPRM

Posted: 05 Apr 2011 11:02 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Seorang pegawai Kastam yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mati selepas jatuh dari bangunan agensi itu di Jalan Cochrane di sini hari ini.

Perkara itu diumumkan oleh Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali.

Agensi itu akan mengadakan sidang media tengah hari ini.

Insiden terbaru ini berlaku ketika Suruhanjaya Diraja sedang mengadakan siasatan berhubung kematian bekas pegawai DAP Teoh Beng Hock ditemui mati selepas disiasat SPRM dua tahun lalu.

SPRM memulakan Operasi 3B minggu lalu dan telah menahan 62 pegawai Kastam di seluruh negara.

Video seks: Nazri mahu Kabinet adakan suruhanjaya diraja

Posted: 05 Apr 2011 04:44 PM PDT


Nazri
KUALA LUMPUR — Datuk Seri Nazri Aziz akan mengesyorkan kepada Kabinet agar suruhanjaya diraja dibentuk bagi 'membersihkan' isu semasa sama ada lelaki aksi seks dalam video didedahkan "Datuk T" adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata beliau merasakan perlu untuk membawa usul tersebut bagi membersihkan nama Barisan Nasional (BN) selepas Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail - isteri Anwar dan Presiden PKR telah menafikan lelaki terbabit adalah suaminya.

"Tiada soal peribadi di sini tetapi oleh kerana beliau telah menafikan, seolah-olah kerajaan yang mereka video ini," kata Nazri kepada pemberita di banguan Parlimen hari ini.

Tiada ulasan: