Ku Li: Dedah video seks bukan budaya Melayu, Islam Posted: 02 Apr 2011 05:51 AM PDT MALAYSIA KINI
Pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini membidas pihak yang mendalangi video lucah untuk menjatuhkan pemimpin pembangkang. Katanya, rakyat akan menolak "politik kotor' sebegitu untuk mengalihkan tumpuan mereka daripada isu-isu nasional yang jauh lebih penting. "Ini orang panggil gutter politics, politik longkang (dan digunakan) bila sudah tidak ada modal lagi. Ia timbul sebab polisi dan dasar yang diperjuangkan sudah tidak laku dan rakyat nampak tidak menerimanya. "Oleh kerana itu (mereka) main politik kotor menyerang seseorang dengan harapan rakyat ketepikan hal seumpama itu. Ini bukan politik," kata mantan menteri kewangan dan bekas naib presiden Umno itu. Dalam wawancaranya di TV Selangor, Tengku Razaeligh yang juga dikenali 'Ku Li' menegaskan rakyat, khususnya masyarakat Melayu, menolak cubaan mana-mana pihak menyerang keperibadian pihak lain semata-mata untuk mencari kelebihan politik. "Saya tak fikir rakyat terima hal (video seks) ini. Kalau tengok kes Anwar yang pertama tahun 1998, rakyat tidak terima. Usung tilam, bantal semua, tak ada orang terima. Saya masih ingat semasa saya adakan majlis dialog di Gua Musang. Orang cakap. Ni Melayu ke ni? Malulah. "Perkara ini tak patut didedah kepada orang ramai. Jadi itu tunjukkan orang tak faham politik pun menolak benda macam ni. Saya rasa (video seks) ini salah langkah," katanya. Menurut Razaleigh biarpun pihak yang mendalangi video seks itu berjaya menjatuhkan Anwar dan mencapai kemenangan politik, ia tidak bermakna dalam konteks kemuliaan tamadun negara itu sendiri. "Kenapa kita nak amalkan ini semua kerana politik? Jika berpolitik sebegini, kalau kita menang pun, tidak ada maruah, tidak ada nilai, jadi tidak guna kita menang pun kalau kita guna cara buruk dan keji untuk mendapat tempat. Saya rasa rakyat pun tak dapat terima dengan baik," katanya. Bukan budaya Melayu, Islam
Tiga individu - bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay mengaku mendalangi penayangan video itu kepada wartawan terplih pada 21 Mac lalu.
Mereka mendakwa rakaman itu menunjukkkan seorang pemimpin kanan pembangkang yang mirip Anwar sedang mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 21 Februari.
Anwar kemudiannya membuat laporan polis bagi membolehkan polis menyiasat siapa pelaku dalam rakaman itu.
Pada sidang mediannya, ketua umum PKR itu menjelaskan pada malam adengan rakaman itu, beliau di rumah bersama ahli keluarga dan kakitangannya serta berinteraksi dengan kenalan menerusi Twitternya.
Razaleigh berkata perbuatan mencantas ahli politik dengan taktik-taktik keji seperti menayangkan video seks "bukan budaya" Melayu mahupun Islam kerana ia amat keji.
"Saya tak tahu di mana kita belajar perkara ini. Di Amerika pun orang kata politiknya kotor. Saya rasa ia bergantung pada kita. Rakyat Malaysia punya tamadun dan budaya yang baik, kenapa kita hendak ikut budaya tak baik.
"Apatah lagi bagi orang Melayu Islam, tak patut kita lakukan benda yang jijik yang dipandang rendah oleh orang. (Apa guna) kita buat perkara yang hina di sisi masyarakat," tegas beliau.
Semalam, Ketua Polis Negara Ismail Omar membuat pengumuman bahawa video itu adalah tulen namun tidak mengulas sama ada pelakunya dikenal pasti.
Kenyataan Ketua Polis Negara itu menimbulkan pelbagai kecurigaan kerana adalah difahamkan polis tidak mengambil keterangan daripada pihak-pihak yang relevan untuk memperakukan keterangan Anwar sebelum ini. |
Dua bukan satu anggota SPRM muat turun bahan lucah Posted: 02 Apr 2011 05:48 AM PDT Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock hari ini mendedahkan bukan satu tetapi dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didapati memuat turun video lucah pada malam pembantu politik itu dijumpai mati.Perkara itu didedahkan dalam laporan awal yang dikemukakan oleh penyiasat persendirian, Michael Leslie Squires, yang diupah oleh suruhanjaya berkenaan selepas menganalisis lima daripada enam komputer milik SPRM. Pemeriksaan mendedahkan dua pegawai, Raymond Nion dan Mohd Ashraf Mohd Yunus pada malam 16 Julai, 2008 sedang memuat turun bahan lucah ke komputer mereka. Semakan Squires ke atas komputer Ashraf mendapati beliau juga memuat turun wayang gambar, muzik dan melayari beberapa laman lucah antara tengah malam hingga jam 1.20 pagi ketika Teoh disoal siasat di premis SPRM Shah Alam. Beliau juga menjumpai perkara yang sama di komputer Nion.
|
Posted: 02 Apr 2011 05:46 AM PDT MALAYSIA KINI
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala hari ini mendedahkan penyelesaian 10 perkara berhubung kontroversi kitab Injil. Antaranya, kumpulan Kristian di negara ini, kini dibenarkan mengimport kitab Injil dalam sebarang bahasa, termasuk bahasa Melayu/Indonesia tanpa sebarang halangan."Kitab Injil juga kini boleh dicetak di Semenanjung, Sabah dan Sarawak," katanya. Bagi, kitab Injil di Sabah dan Sarawak, tiada cap mohor atau nombor siri perlu dikenakan tetapi bagi kitab seumpama itu di Semenanjung, ia mesti tertera perkataan "Penerbitan Agama Kristian" dan lambang salib dicetak di kulit depan. "Saya berharap penyelesaian 10 perkara ini akan disambut positif oleh kumpulan Kristian kerana ia adil dan berpatutan. Kita mesti mencari penyelesaian bagi menangani isu Injil dan juga masalah lain yang ditimbulkan oleh kumpulan Kristian," kata Idris. Beliau mengakui kerajaan dan kakitangan awam bukan sempurna kerana semua manusia adalah "menarik tetapi tidak sempurna pada mata Tuhan". "Dan atas segala kekurangan kami dalam menangani isu Injil ini, saya berharap penganut agama Kristian akan memaafkan kami," katanya.
|
Jangan benarkan isu video seks lupakan kita kepada isu pokok Posted: 02 Apr 2011 05:42 AM PDT Ahmad Lutfi Othman
| SUKAR sekali untuk saya menulis kolum kali ini. Selepas hampir dua jam terpaku di depan komputer, melayari pelbagai laman, kaki semakin lenguh menyengat dan pinggang sakit, namun idea belum juga muncul. Apa lagi yang menyiksakan bagi mana-mana penulis selain kebuntuan mencari ilham sedangkan masa bergerak pantas.
Juru fisioterapi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sering mengingatkan saya agar jangan terlalu "berlama-lamaan" menaip. Harus mengadakan senaman ringan atau paling tidak, menggerak-gerakkan anggota badan setiap 15 minit. Tetapi, adatlah, apabila asyik menulis atau ligat mencari bahan mengejar dead-line, tiga empat jam berlari pantas, segala nasihat terabai. Sedar-sedar, kaki tidak dapat dibengkok dan terasa kebas.
Kalau boleh memang saya mahu menghindari topik yang hangat dibicarakan, iaitu kes video seks-lucah yang didakwa membabitkan Anwar Ibrahim. Menyebutnya pun sudah meloyakan, apatah lagi dikaitkan dengan pelacur China. Ia terpampang di dada akhbar, memenuhi muka depan, hinggakan anak bongsu saya, berusia lapan tahun bertanyakan ibunya, "seks itu apa, bu?"
Isteri sekadar menjeling tajam ke arah saya, mungkin menagih jawapan yang beradab. Kemusykilan si anak tidak dapat dirongkai. Kebetulan Harakah juga menjadikannya berita utama dan turut dibaca anak kecil. Ya, sukar juga untuk kami menyorot isu lain dalam keadaan negara hiruk-pikuk tertumpu kepada kontroversi berkenaan. Lebih penting, pembaca menuntut penjelasan dan fitnah mesti disanggah.
Saya kira ramai lagi yang mempunyai pengalaman hampir serupa. Misalnya, apa yang mahu dijelaskan kepada anak-anak yang bertanyakan soal liwat ketika keluarga menonton berita TV jam lapan malam, yang seakan-akan memperincikan perlakuan songsang terkutuk itu apabila melaporkan perbicaraan mahkamah.
Bayangkan, insiden 12 tahun lalu masih segar di ingatan, sehingga mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat. Tragedi mata lebam makin menghangatkan iklim politik. Tilam diusung ke mahkamah, bersama cebisan lendir dan bulu. Siapa sebenarnya yang dibicarakan di mahkamah ketika itu? Anwar atau maruah-kehormatan orang Melayu sendiri yang dipertaruhkan? Permainan politik yang sepatutnya beroperasi dalam kerangka akhlak dan adab menjadi cukup kotor dan hina.
Ekoran daripada itu, Anwar merengkok di penjara selama enam tahun. Tidak lama selepas pembebasannya, pilihan raya umum 2004 menyusul. Mungkin personaliti Abdullah Ahmad Badawi menyebabkan tiada isu-isu kontroversi membabitkan soal dalam kelambu dan keaiban peribadi.
Tsunami politik, Mac 2008 menyentak. PRU12 dikatakan membawa elemen politik baru yang lebih segar. Politik yang tidak lagi terkepung dengan sentimen perkauman atau bermodalkan fitnah-tohmah, sebaliknya bercirikan idealisme luhur, membahaskan isu-isu ketelusan, keadilan, tata kelola pemerintahan yang baik, serta memartabatkan hak asasi manusia.
Ekoran itu, peralihan kuasa dalam Umno dan kerajaan dipercepatkan. Malangnya, isu skandal peribadi muncul semula, juga membabitkan Anwar. Sekali lagi rakyat Malaysia terpaksa menyaksikan episod yang begitu mengaibkan. Istilah-istilah "geli-geleman" diperdengarkan kembali. Dalam kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh, pada pertengahan Ogos 2008, isu sumpah Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat heboh diperkatakan.
Tunas politik baru yang mula berputik seperti terbantut. Di Perak, politik ugut bercampur-aduk dengan tawaran rasuah bagi membeli Adun Pakatan Rakyat. Akhir Ogos 2008, kita juga mendengar kes-kes pelik seperti "habuan sedekah seks" yang dibawa ke mahkamah oleh pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR, sekarang SPRM). Tidak lama selepas itu, Februari 2009, kerajaan PAS-DAP-KeADILan yang diterajui Mohammad Nizar Jamaluddin tumbang.
Rupanya budaya politik kuno masih dominan dan akar tunjangnya masih menjalar kukuh.
Belum selesai kes liwat II, negara gempar lagi. Keaiban dipamerkan secara terbuka. Bagai mengulangi babak sebelum ini, perebutan "kuasa politik" juga menjadi paksinya. Dato' T tidak menunggu lama untuk tampil bangga membuat pengakuan. Lebih malang, menteri yang "menjaga polis dan undang-undang", Hishammuddin Hussein dan Nazri Aziz, berkokok dengan nada politik yang tebal.
Jelas mereka membela Dato' T, yang ketika itu belum dikenali. Tanpa mengetahui hujung-pangkalnya, Anwar dibelasah cukup-cukup. Sah, ia satu permainan politik tahap murahan. Ketua Pembangkang itu mahu diperosok sedalam-dalamnya -- dengan apa jua cara.
Tiada kelihatan langsung fokus Hishammuddin untuk menegakkan undang-undang. Hanya atas alasan tiada laporan polis dibuat, acara menonton video lucah di hotel mewah Carcosa Seri Negara itu seolah-olah bukan suatu kesalahan. Kecekapan, kebebasan dan tahap profesionalisme pihak polis diperjudikan. Sehinggalah Anwar sendiri membuat aduan rasmi di Balai Polis Dang Wangi baru siasatan dibuka.
Cuba kita gambarkan, sekiranya video lucah yang dipertontonkan kepada para wartawan itu menjadikan Perdana Menteri, Najib Razak atau timbalannya Muhyiddin, atau anggota kabinet yang lain sebagai sasaran, apakah pihak polis dan Hishammuddin sendiri selaku Menteri Dalam Negeri akan sabar menunggu laporan polis sebelum dapat bertindak?
Saya yakin, jika targetnya adalah Najib, seluruh kekuatan polis dan perisikan akan dikerah untuk menangkap Dato' T belumpun sempat tayangan adegan ranjang itu berakhir. Ia bukti amalan double-standard atau talam dua muka yang hanya merendahkan lagi kredibiliti pihak polis pada pandangan publik.
Mulut celupar Nazri memang sukar dikawal. Mengulas tayangan aksi seks melampau di Carcosa, Nazri bertegas bahawa tidak salah bagi penganjur di sebalik tayangan itu berbuat demikian. "Awak bagi tau apa yang salah. Semua orang kata ia melanggar undang-undang, tetapi bagi tahu saya, undang-undang mana? Sesiapa yang tahu, perlu tampil dan maklumakan kepada kami," katanya.
Menurutnya, jika tayangan yang diaturkan Dato' T dibuat untuk mencari keuntungan, maka ia satu kesalahan. "Ada pepatah menyebut, jangan bunuh pembawa berita," kata Nazri mempertahankan Dato' T daripada kesan undang-undang terutama Seksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
Apabila bekas Ketua Menteri Melaka, Abd Rahim Tamby Chik muncul membuat pengakuan bersama ahli perniagaan, Shazryl Eskay Abdullah (sambil mendakwa Bendahari Perkasa, Shuib Lazim turut terlibat) bahawa mereka bertiga adalah Dato' T, misteri video lucah itu mula tersingkap.
Sekali lagi, yang timbul adalah persoalan "kuasa dan dendam kesumat", bukannya isu akhlak atau kebenaran yang mahu ditegakkan. Siapa tidak kenal Rahim dan sejarah hitam politiknya? Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang pernah disumbat ke penjara Kajang selama 18 bulan pada 1998 tentu masih menyimpan cerita menarik Rahim.
Saya sendiri pernah menulis dua buku politik tentang Rahim. Pertama, sebelum beliau bertanding sebagai Ketua Pemuda Umno pada 1993, dalam regu Anwar, Team Wawasan. Tajuk buku itu, Anwar Salah Pilih, jelas menggambarkan peringatan saya bahawa Anwar melakukan kesilapan besar memasukkan Rahim ke dalam pasukannya.
Buku kedua, Siapa Dalang?, diterbitkan selepas Rahim dipaksa meletakkan jawatan atas alasan kepincangan moral. Anwar dilihat berperanan penting dalam kes penyingkiran Rahim.
Saya difahamkan ramai penyokong Anwar lega apabila mengetahui Rahim menjadi dalang pengedaran video lucah itu. Malah, ahli-ahli Umno sendiri "terkejut" dengan pembabitan Rahim, yang dijangka akan membawa lebih banyak masalah kepada Najib dan BN sendiri. "Silap jalan, jika terbukti ia fitnah semata-mata, isu ini boleh menguburkan Umno dalam PRU13 nanti," kata seorang aktivis Umno. "Kalaupun Umno mahu berkonspirasi, Rahim adalah orang yang terakhir menjadi pilihan Umno," tambahnya.
Namun begitu, episod ini baru saja bermula, penamatnya masih sukar untuk ditelah. Pengakuan Rahim tidak bermakna segalanya nampak mudah. Kita belum lagi mendengar reaksi Najib. Percaturan sedang berjalan. Seorang pemerhati politik berkata: "Pihak yang tidak banyak melakukan kesalahan akan lebih selamat."
Petang tadi (Jumaat) seorang rakan sempat berpesan kepada saya, jika kita tidak dapat menerima fitnah dilemparkan kepada Anwar, maka kita juga usah terjerat dalam perangkap sama apabila secara terbuka membuat tuduhan-tuduhan berkaitan perlakuan seks kepada Rahim. Begitu juga dengan dakwaan berterusan kepada Najib, berkaitan Altantuya.
Beliau meminta saya membaca tulisan terbaru Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Bekas Mufti Perlis itu menegaskan tindakan mendedahkan keaiban peribadi sebagai senjata politik dilarang agama. "Sama ada PAS, Umno dan KeADILan; ramai individu dalam parti-parti itu telah terbabit dalam perkara yang diharamkan oleh syarak ini. Tuduhan seks, arak, kaki judi dan seumpamanya sudah menjadi ringan di lidah mereka," tulisannya dipetik.
Artikelnya yang bertajuk Video Lucah dan Dosa Politik itu diakhiri dengan rumusan: "Marilah kita bermufaraqah atau meninggal segala pelakon atau watak yang selekeh dan rela menghalalkan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka. Tanpa mengira parti! Mereka mesti diusir dari pemainan bodoh ini. Kita tentang semua pelakon politik yang suka menyelak kain orang. Tak kira kerajaan atau pembangkang. Kita dijadikan 'penonton bodoh' yang seakan merelakan apa sahaja watak yang mereka lakonkan. Politik kita memerlukan nafas baru dan dibersihkan dari golongan yang jijik dan kotor ini! Kita perlukan politik idea, bagaimana dan cara membangunkan umat dan rakyat agar hidup berdisiplin, bermaruah dan bertamadun. Bukan cerita-cerita bodoh seperti ini!"
Bagaimanapun, ingatan Anwar di majlis solat hajat di kediamannya, malam 24 Mac lalu patut menjadi renungan penggerak Pakatan. Seperti dilaporkan Harakahdaily, Anwar menekankan: "Saya masih mempertahankan bahawa fokus masih program Buku Jingga. Saya memohon agar rakan-rakan terus membaca. Jangan benarkan isu (fitnah liwat, video seks) mengheret kita jauh daripada isu pokok kerana ia akan merugikan kita.
"Jangan lupa menumpukan isu pokok dalam kerangka untuk mengangkat martabat umat dengan akhlak dan ilmu. Buku Jingga adalah dasar ekonomi alternatif. Ini menunjukkan ia ada ruang untuk dikembangkan sekiranya kita menguasai Putrajaya."
Yang pasti, medan tempur di Sarawak yang nampak sedikit terabai dengan isu ini perlu diberikan perhatian serius. Fokus harus disasarkan ke sana.
Artikel ini disiapkan pada 25 Mac 2011 |
|
Ahli PKR OKU ditahan ISA Posted: 02 Apr 2011 05:36 AM PDT Harakahdaily | KUALA LUMPUR: Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) ditahan polis mengikut Seksyen 73 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kampung Kerinchi di sini, petang semalam. Kadir Hashim, 42, adalah seorang ahli PKR ditahan dalam serbuan melibatkan 20 anggota polis berpakaian preman di rumahnya kira-kira pada jam 6.50 petang, lapor KeadilanDaily. Perkara itu disahkan Mohamad Izhar, Ketua Angkatan Muda Keadilan Lembah Pantai kepada KeadilanDaily. Beliau menganggap penahanan itu tidak masuk akal kerana Kadir adalah seorang peniaga tomyam OKU yang memiliki sebelah tangan dan mustahil untuk terlibat dalam 'gerakan subversif' seperti didakwa polis ketika membuat tangkapan. "Kami (ahli PKR dan keluarga Kadir) tidak tahu sebab sebenar beliau ditahan polis," kata Izhar. Beliau berkata, PKR Wilayah Persekutuan akan membawa perkara itu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) pada Isnin ini. Dalam pada itu, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) kecewa dan mengutuk sekeras-kerasnya penahanan berkenaan. Dalam kenyataan media hari ini, kedua-dua badan bukan kerajaan (NGO) itu mahu mengetahui sebab sebenar penahanan Kadir dan mendesak supaya peguam dan ahli keluarga dibenar melawat Kadir secepat mungkin. Mereka juga menganggap penggunaan ISA terhadap Kadir bertentangan dengan prinsip hak asasi, keadilan dan piawasai hak asasi antarabangsa, selain terdedah kepada bahaya penyalahgunaan kuasa dan penganiayaan. Mengakui nilai keselamatan negara penting, GMI dan Suaram tetapi setiap invidu berhak memperoleh perbicaraan yang adil. Mereka juga kecewa kerana kerajaan dari satu segi mahu mengkaji semula penggunaan ISA tetapi pada masa masa membuat tangkapan melulu mengikut akta zalim itu. |
|
Ku Li : Cabaran Getir Namun Pakatan Mampu Buat Kejutan Di Sarawak Posted: 02 Apr 2011 05:34 AM PDT TVS NEWS
KUALA LUMPUR : Kekangan logistik dan sumber kewangan akan menjadi halangan terbesar kepada Pakatan Rakyat untuk menawan Sarawak. Namun gagasan itu mampu menafikan Barisan Nasional majoriti dua pertiga pada pilihanraya negeri bulan ini, kata Tengku Razaleigh Hamzah.
Tokoh Umno itu yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, apa yang jelas adalah Sarawak tidak lagi boleh dianggap sebagai "simpanan tetap" Barisan Nasional untuk mengekalkan kuasanya di Putrajaya.
Pilihanraya Sarawak akan diadakan pada 16 April dengan hari penamaan calon pada 6 April. Adalah dijangkakan sebilangan besar daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri akan menyaksikan pertembungan satu dengan satu antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.
Ku Li berkata aliran politik semasa menunjukkan BN akan mengekalkan kuasa di Sarawak, namun kemenangan selesa seperti pilihanraya negeri yang lalu tidak akan berulang.
"Kalaulah dalam keadaan biasa, kemungkinan BN akan mengekalkan kuasa tapi bukan dengan majoriti dua pertiga sepertimana sebelum dibubarkan Dewan Undangan Negeri. Sekiranya keadaan kempen dan pergerakan dijalankan seperti biasa, kemungkinan BN akan mendapat majoriti mudah untuk terus berkuasa di Sarawak," kata bekas Menteri Kewangan dan Naib Presiden Umno itu.
Namun tokoh politik veteran itu memberi amaran bahawa Pakatan Rakyat akan menghadapi pelbagai rintangan dalam usaha untuk menamatkan pemerintahan 30 tahun BN di bawah pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Ku Li berkata BN, seperti di masa-masa lalu akan mencari kemenangan mutlak dengan "menggunakan banyak wang dan dengan logistik" untuk meraih sokongan pengundi yang bertaburan merentasi sebuah negeri yang saiznya hampir sama dengan Semenajung Malaysia.
Mantan Menteri Kewangan itu berkata BN dijangka membolot segala kemudahan pengangkutan yang ada di Sarawak untuk memberi tekanan kepada Pakatan Rakyat.
"Kalau nak kemana-mana di Sarawak kena ada bot dan kapal terbang. Kalau semua orang dah sewa bot dan kapal terbang, macam mana nak berkempen. Dan kalau semua minyak sudah dipajak atau dibeli di stesen minyak, nak bergerak pun susah. Saya rasa kalau keadaan seperti ini berlaku, sukar bagi mereka menghadapi BN di Sarawak," kata Ku Li.
Pakatan Rakyat mengharapkan sentimen pengundi yang menolak kepemimpinan Taib yang diselubungi dengan dakwaan-dakwaan rasuah dan salah guna kuasa, tuduhan pemimpin BN merampas Tanah Adat Orang Asal dan kemiskinan luar bandar sebagai pemangkin untuk membuat kejutan pada pilihanraya negeri kali ini.
Ku Li berkata jika Pakatan berjaya menafikan majoriti dua pertiga kepada BN di Dewan Undangan Negeri Sarawak, ia membawa implikasi tersendiri kepada kelangsungan gabungan itu sendiri di peringkat kerusi Parlimen.
'Sudah tentu (ia mempunyai impak) kerana keadaan di bawah tentukan keadaan di atas. Oleh sebab itu, keadaan ini akan tentukan kedudukan Parlimen dan Kerajaan Pusat,' tambah beliau.
BN kini menguasai 62 daripada 71 kerusi DUN Sarawak dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) pimpinan Taib memegang 35 kerusi, manakala Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mempunyai 12 kerusi dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) masing-masing memegang lapan kerusi.
Pakatan Rakyat memenangi tujuh kerusi pada pilihanraya negeri lalu dengan DAP merangkul enam kerusi dan PKR satu.
Ku Li menjangka jika Pakatan Rakyat berjaya menafikan BN majoriti dua pertiga di Sarawak, ia akan memberi kesan kepada sentimen pengundi di Sabah.
Negeri jiran Sarawak itu juga menghadapi masalah kemiskinan kronik, di samping pimpinan kerajaan negeri diselubungi dakwaan-dakwaan membolot kekayaan balak dan sumber asli negeri. "Apa juga yang berlaku di Sarawak akan mempengaruhi keadaan di Sabah. Kalau keadaan BN tak baik di Sarawak ia juga akan pengaruhi keadaan tak baik di Sabah. Itu yang lazimnya,' kata Ku Li. |
'Tour Jingga' Bukti Politik PR Lebih Matang Posted: 02 Apr 2011 05:30 AM PDT TVS NEWS
KUALA LUMPUR : Pakatan Rakyat menerusi Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggerakkan 'Tour Jingga' dalam usaha menyebarkan maklumat kepada rakyat berhubung program 100 hari gagasan itu sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada pilihanraya umum akan datang.
Menurut Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin, pendekatan yang digunakan Pakatan Rakyat lebih dinamik berbanding amalan tradisi Umno Barisan Nasional yang menggunakan pendekatan fitnah lucah misalnya untuk menarik perhatian rakyat.
'Tour Jingga' yang dilancarkan semalam menyaksikan kira-kira 20,000 risalah berkaitan Buku Jingga Pakatan Rakyat diedar menggunakan pengangkutan awam PUTRA LRT dan akan berlangsung sepanjang April ini.
Shamsul ketika ditemui pemberita menjelaskan, pendekatan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga lebih bertepatan dengan aliran politik semasa di negara ini.
"Tentunya pendekatan ini berbeza dengan pendekatan Umno-Barisan Nasional yang menggunakan politik fitnah, mengedarkan filem lucah dan sebagainya, tetapi kita lebih sesuai dan relevan untuk menunjukkan cara politik yang lebih baru dan dinamik iaitu menyebarkan maklumat yang betul dan fakta supaya rakyat Malaysia kita ajak untuk berfikir memilih parti berdasarkan dasar yang diperjuangkan ataupun program yang kita cadangkan kepada rakyat.
"Kita lakukan ini kerana kita ingin menyebarkan maklumat dan risalah jingga ini yang mengandungi program 100 hari Pakatan Rakyat yang kita rasakan penting untuk rakyat Malaysia terutamanya orang muda untuk mengetahui pendirian atau program kita sekiranya kita memenangi kerajaan persekutuan pada pilihanraya akan datang," katanya.
Buku Jingga menggariskan demokrasi yang telus dan tulen untuk memperkasakan ketuanan rakyat, memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mampan untuk menjana kemakmuran dan kebajikan secara adil, keadilan sosial bagi menjamin pembangunan insan secara menyeluruh dan hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara yang adil- setara.
Menurut Shamsul lagi, 'Tour Jingga' merupakan sebahagian daripada perlaksanaan kempen yang dilakukan lebih awal bagi menghadapi pilihanraya umum yang bakal berlangsung bila-bila masa.
" Ya, ia sebahagian daripada program kita. Pakatan tidak percaya kepada kempen dalam tempoh singkat. Jadi kita lakukannya lebih awal dan akan melakukan yang sama di Sarawak,"tambah beliau.
Risalah yang diedarkan semalam turut memuatkan alamat laman sesawang, Twitter dan Facebook Buku Jingga.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat Buku Jingga boleh melayari :-
www.bukujingga.com
Twitter : @bukujingga dan
Facebook : Buku Jingga |
Peguam Timbulkan 'Dua Taktik' Soal Siasat SPRM Posted: 02 Apr 2011 05:27 AM PDT MALAYSIA KINI
KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kematian pembantu politik DAP, Teoh Beng Hock hari ini diberitahu mengenai dua kemungkinan cara yang diguna pakai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam soal siasat mereka.
Walaupun timbalan pengarah SPRM Selangor, Hishamuddin Hashim menafikan kedua-dua kaedah yang dicadangkan oleh Edmund Bon, yang mewakili Majlis Peguam, peguam itu berkata terpulang kepada imaginasi mereka untuk berfikir sama ada ia digunakan.
Kaedah yang dicadangkan oleh Bon itu adalah kemungkinan yang mata Beng Hock ditutup dan pembantu politik itu dibawa ke suatu tempat yang tinggi dan kemudiannya diugut.
Selain itu, katanya Beng Hock juga mungkin ditempatkan di tepi tingkap ketika disoal untuk memberikan maklumat.
Namun Hishamuddin menafikan perkara itu dan berkata "semua ini fitnah dan tak benar sama sekali". Beliau juga menafikan terbabit dalam soal siasat ke atas Beng Hock apabila Bon mencadangkan pegawai SPRM itu menipu dalam keterangannya bahawa beliau sedang tidur di pejabat.
Bon juga bertanya mengenai kemungkinan teknik yang digunakan oleh Hishamuddin termasuk merentap tali pinggang Teoh sambil mengoyangkan mangsa bagi mendapatkan maklumat. Bekas timbalan pengarah itu menafikan perkara tersebut.
Ketika ini, pakar patologi Thai, Dr Pornthip Rojanasunand sedang memberi keterangan sambil dibantu oleh peguam Malik Imtiaz Sarwar yang dibawa oleh kerajaan negeri Selangor bagi membantunya.
Ketua panel pesuruhjaya lima anggota ini, hakim Tan Sri James Foong mengalu-alukan kedatangan Pornthip di sebalik jadualnya yang ketat. Pornthip, 56, sekarang ini sedang disoal oleh wakil pejabat peguam negara, Amarjeet Singh |
Pornthip : 'Teoh Beng Hock Dicekik Sebelum Jatuh' Posted: 02 Apr 2011 05:24 AM PDT MALAYSIA KINI
KUALA LUMPUR : Pakar patologi Thai, Dr Pornthip Rojanasunand bersependapat dengan pakar forensik Britain Prof Dr Peter Vanezis bahawa Teoh Beng Hock masih bernyawa. Namun katanya, beliau tetap mempertahankan hujahnya bahawa kesan tanda merah di sekeliling leher mangsa pembantu politik itu adalah akibat dicekik. Menurut beliau, kesan merah itu amat ketara pada bahagian kiri leher Teoh pada bedah siasat pertama meskipun tubuh mangsa telah dijahit semula.
Pakar patologi dari Thai itu tidak menjalankan bedah siasat pertama tetapi hadir sebagai pemerhati pada bedah siasat kedua.
Pornthip, 56, yang tiba hari ini dan diberi kawalan ketat berkatakontusi pada sebelah kiri leher Teoh menunjukkan mangsa dicekik.
Tegasnya, terdapat tiga senario di mana kontusi boleh berlaku.
* dicekik dengan menggunakan tangan,
* leher mangsa dipukul dengan objek tumpul,
* ataupun leher mangsa ditekan kepada objek atau kedua-duanya sekali.
Katanya, tanda seperti bentuk syiling di leher Teoh adalah akibat tekanan jari atau objek bulat dan kejelasan tanda itu mengikut Pornthip bergantung kepada tekanan yang digunakan.
"Teoh berkulit cerah jadi kesan tanda lebam ini boleh dilihat dengan jelas," kata saksi itu.
Beliau juga memberikan beberapa contoh tentang bagaimana kecederaan di leher akibat dicekik yang mempunyai tanda-tanda lebam yang sama. |
Lelaki Lahir Tahun 1880 Masih Dalam Daftar Pengundi SPR Posted: 02 Apr 2011 05:15 AM PDT TVS NEWS SIBU : Walaupun dilahirkan pada tahun 1880 dan sudah lama meninggal dunia, Mohamad Mahli Sulong masih dalam senarai daftar pengundi untuk pilihanraya negeri Sarawak bulan ini, menurut sebuah pertubuhan bukan kerajaan. Sibu Election Watchers (SEW) berkata kes Mohamad Mahli adalah contoh terbaru untuk membuktikan senarai pengundi Suruhanjaya Pilihanraya masih belum dikemaskini.
Jurucakap SEW, Wong Meng Chuo berkata Mohamad Mahli disenaraikan sebagai pengundi untuk N49 Nangka dan tempat mengundi beliau adalah SK Perbandaran Sibu No. 3 at Jalan Bandong.
Pada pilihanraya kecil Sibu tahun lalu, SEW mengesan 208 pengundi yang dilahirkan lebih seratus tahun lalu namun masih dalam daftar pengundi SPR, akhbar The Star melaporkan.
Justeru, SEW menolak jaminan Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang mendakwa daftar pengundi SPR sudah "dibersihkan."
"Kita kesal kerana SPR masih belum melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik. Kami percaya daftar pengundi yang bersih amat penting untuk memastikan pilihanraya berjalan secara adil dan bebas," tambah beliau. |
Video Seks Tulen : KPN Cuba Alih Perhatian Rakyat, Kata MB Selangor Posted: 02 Apr 2011 05:08 AM PDT TVS NEWS
SHAH ALAM : Kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengatakan video lucah yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tulen, berniat memesongkan perhatian umum, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Khalid pada satu sidang media semalam berkata, isu ketulenan klip video 21 minit yang merakamkan imej seorang lelaki didakwa Ketua Pembangkang itu sedang melakukan hubungan seks dengan pelacur Cina, tidak pernah dipersoalkan.
"Kalau tulen, tulenlah. Saya tak ada masalah kalau betul tapi jangan buat cakap sahaja, ini satu kenyataan yang mengatakan sumbernya tulen, maksudnya apa, orangnya betul atau videonya betul?" soal beliau.
Negara semalam sekali lagi dikejutkan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh polis apabila mengesahkan bahawa video lucah yang didedahkan oleh tiga individu yang menggelarkan diri mereka sebagai "Datuk T" adalah tulen.
Kenyataan Ismail itu kemudiannya dikritik keras oleh pimpinan Pakatan Rakyat termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang mendesak mahukan polis mendedahkan siapa pelaku sebenar dalam rakaman berkenaan.
Pada 21 Mac lalu, trio "Datuk T" yang terdiri daripada bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, ahli perniagaan, Shazryl Eskay Abdullah dan berdahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim bertanggungjawab membuat tayangan video lucah secara terbuka di sebuah hotel terkemuka di Ibu Negara.
Walaupun Ismail semalam mendedahkan bahawa siasatan polis terhadap kes ini berada di peringkat akhir, namun individu penting termasuk Anwar masih belum dipanggil untuk direkodkan keterangan.
Sebaliknya Ismail mendakwa akan menyerahkan kertas siasatan itu ke Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.
Mengulas hal itu, Khalid menggesa rakyat untuk mengimbau kembali insiden membabitkan Presiden MCA, Chua Soi Lek dan mahu rakyat menilai sendiri apa yang berlaku terhadap Anwar.
Jika dilihat katanya, kes DVD lucah Soi Lek bukan sahaja dibuktikan tulen malahan Soi Lek juga telah mengaku terlibat dalam DVD tersebut namun tiada tindakan diambil ke atas Soi Lek. "Kalaupun tulen, anda kena tahu akibatnya. Tapi boleh jadi juga video itu betul tetapi sama ada pelakon itu benar? Chua Soi Lek telah mengaku, dan Anwar menyatakan individu dalam video tersebut bukan beliau. Ada perbezaannya," kata beliau lagi.
Anwar sehari selepas pendedahan video seks yang didakwa adalah dirinya telah menafikan dakwaan itu sekeras-kerasnya dan membuat laporan polis bahawa dirinya telah difitnah.
Ironinya penyiasatan yang dilakukan polis bukanlah bersandarkan laporan polis Anwar, sebaliknya memeriksa ketulenan video lucah berkenaan. |
DUN Sarawak: BN umum nama 71 calon esok Posted: 02 Apr 2011 05:07 AM PDT THE MALAYSIAN INSIDER
KUALA LUMPUR— Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan mengumumkan senarai penuh 71 calon Barisan Nasional (BN) pilihan raya negeri ke-10 di Kuching esok. Taib yang juga Pengerusi BN Sarawak dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bersama tiga pemimpin parti komponen BN dari negeri ini bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya petang semalam bagi membincangkan senarai penuh calon berkenaan. Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Seri James Jemut Masing berkata, senarai penuh nama calon BN Sarawak sudah diserahkan kepada Najib selaku Pengerusi BN Pusat bagi diputuskan. "Kita akan menerima apa saja keputusan yang dibuat di antara Ketua Menteri dan Perdana Menteri demi kepentingan BN Sarawak dan penyokongnya. Ketua Menteri akan mengumumkan senarai penuh itu Ahad ini (esok) di Kuching," katanya dipetik Berita Harian hari ini. Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Tan Sri Dr George Chan Hong Nam berkata, pada pertemuan semalam Najib secara asas sudah bersetuju dengan semua calon dikemukakan partinya selain mencadangkan agar SUPP menampilkan calon boleh menang bagi memastikan peluang cerah pada pilihan raya negeri nanti. "Saya amat gembira kerana pada pertemuan (semalam), Perdana Menteri sedia membantu kita selepas melihat senarai lengkap," katanya. Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Datuk Seri William Mawan Ikom pula berkata, Najib memberi sokongan penuh kepada senarai calon yang diserahkan parti itu serta memberi jaminan akan memilih calon terbaik yang ditampilkan SPDP. "Ketua Menteri dan Perdana Menteri sudah menilai keadaan di Sarawak secara keseluruhan dan keputusan mereka adalah hanya calon yang boleh menang akan ditampilkan," katanya. Sementara itu, Ketua Pemuda BN Sarawak, Datuk Fadillah Yusof mengumumkan 25 peratus daripada calon yang diserahkan kepada Najib adalah golongan muda. "Kita percaya Ketua Menteri dan Perdana Menteri akan memberi peluang kepada calon muda berkredibiliti pada pilihan raya kali ini," katanya pada sidang media di Kuching, semalam. |
Bantah Jones bakar al-Quran, rakyat Afghan serbu PBB 20 maut Posted: 02 Apr 2011 05:03 AM PDT THE MALAYSIAN INSIDER
Pastor Terry Jones pada satu sidang media di Florida ketika bercadang mahu membakar al-Quran. — Foto Reuters
MIAMI — Pastor Terry Jones dari Florida, yang mencetuskan kegemparan antarabangsa tahun lalu dengan ugutan mahu membakar al-Quran, kembali menjadi fokus selepas membakar kitab suci Islam itu — kali ini membawa kesan balas yang sangat berat — 20 maut di Afghanistan. Reuters melaporkan, beribu-ribu penunjuk perasaan di utara Afghanistan marah dengan tindakan Jones mengetuai kerja membakar al-Quran menyerbu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan membunuh sekurang-kurangnya 20 orang, sebahagian besarnya kakitangan asing. Ada mangsa yang dipenggal kepala. Protes berdarah itu diadakan selepas solat Jumaat semalam di bandar Mazar-i-Sharif. Jones, 58, seorang pastor fundamentalis dan ketua gereja kecil di Gainesville, Florida, mengundang kecaman antarabangsa pada September lalu ekoran rancangannya untuk membakar al-Quran sempena ulang tahun kesembilan peristiwa 11 September 2001. Tujuh orang terbunuh dalam protes di Afgahanistan dan beberapa negara Islam lain ketika itu. Ekoran protes itu, Jones kemudian membatalkan rancangannya untuk membakar al-Quran termasuk selepas campur tangan White House. Penunjuk perasaan berarak ke pejabat PBB di Mazar-i-Sharif, Afghanistan semalam. — Foto ihsan Los Angeles Times
Bagaimanapun beliau kekal mengkritik Islam sambil mendakwa bahagian-bahagian dalam kitab al-Quran boleh membawa kepada elemen keganasan. Pada 20 Mac lalu, Jones mengetuai Hari Antarabangsa Keadilan Al-Quran dan kemudian menyelia pembakaran kita suci itu yang dihadiri sekitar 50 orang. Program itu berlangsung kira-kira enam jam. Video yang menunjukkan naskhah-naskhah yang direndam dalam minyak tanah dan kemudian dibakar disiarkan menerusi laman web Dove World Outreach Center. Dalam pada itu, John King CNN memutuskan untuk tidak menyiarkan temu bual dengan Jones ekoran tindakannya membakar al-Quran. King berkata Jones ada memberitahunya bahawa beliau tidak akan "sama sekali membakar al-Quran" tetapi telah mengubah fikiran. Jones telah diingatkan kesan ke atas Amerika Syarikat dan pasukan tentera antarabangsa di rantau Timur Tengah jika terus mahu membakar al-Quran. Sementara itu, akhbar Los Angeles Times pula melaporkan dalam e-mel yang dihantar semalam, Jones tidak memberikan alasan beliau berubah fikiran sekali lagi. Bagaimanapun beliau mengecam keganasan di Afghanistan sambil menyifatkannya sebagai "sangat tragis dan satu tindakan jenayah." Justeru beliau menggesa kerajaan Amerika Syarikat dan PBB membawa mereka yang melakukannya ke muka pengadilan. Jones mendakwa Islam bukan agama yang membawa "keamanan." |
Greater Penang: Kerajaan negeri sedia ganding dengan Putrajaya, kata Lim Posted: 02 Apr 2011 05:02 AM PDT THE MALAYSIAN INSIDER
KUALA LUMPUR — Kerajaan negeri Pulau Pinang Pakatan Rakyat (PR) menyatakan kesediaannya untuk berganding dengan Putrajaya bagi membangunkan Pelan Induk Greater Penang, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng hari ini. Sehubungan itu Lim berkata, kerajaan negeri sanggup untuk mengetepikan rangka tindakan Pulau Pinang dan Pelan Induk Perindustrian 2011-2015 yang telah pun dirangka bagi membolehkan Pelan Induk Greater Penang dilaksanakan bersama. "Pulau Pinang mengalu-alukan inisiatif kerajaan pusat pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk membangunkan bersama Pelan induk Greater Penang, yang akhirnya akan membawa kepada satu bandar gabungan utama yang selari dengan wawasan kerajaan negeri Pulau Pinang yang mahu melahirkan bandar raya bestari dan antarabangsa," kata Lim (gambar) dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini. "Kami mengalu-alukan kerjasama usaha sama. Sebagai respons dan untuk membuktikan keikhlasan dan komitmen kepada tawaran Perdana Menteri, kerajaan negeri bersedia untuk mengetepikan rangka tindakan Pulau Pinang dan Pelan Induk Perindustrian 2011-2015 yang telah pun dirangka agar memihak kepada Pelan Induk Greater Penang," kata Lim lagi. Semalam, Najib berkata, kerajaan persekutuan berhasrat membangunkan Program Transformasi Greater Pulau Pinang melalui satu makmal empat hingga enam minggu yang diperantarakan secara bersama oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan dan Khazanah Nasional dengan penyertaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Makmal itu akan disertai peserta dari kedua-dua sektor awam dan swasta pada peringkat persekutuan dan negeri. "Pulau Pinang adalah penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar kawasan perbandaran utama ketiga terbesar, selepas Kuala Lumpur dan Johor Baru, di Malaysia di bawah Pelan Fizikal Negara dan Rancangan Malaysia Ke-10," katanya. "Makmal Greater Pulau Pinang adalah tanggungjawab yang diwujudkan bagi mewujudkan butiran pelaksanaan program itu bagi membuka peluang pembangunan di wilayah itu serta bagi mengenal pasti dan menyelesaikan potensi halangan semasa pelaksanaannya," katanya. |
Putrajaya tawar 10 formula selesaikan isu Alkitab Posted: 02 Apr 2011 05:01 AM PDT THE MALAYSIAN INSIDER
KUALA LUMPUR – Kerajaan pusat mengumumkan 10 langkah – perkembangan terbaru bagi menyelesaikan isu Alkitab yang masih berlarutan - antaranya kitab Injil dalam semua bahasa, termasuk Bahasa Malaysia atau Indonesia boleh diimpot ke Malaysia. Selain itu, sebagaimana diumumkan minggu lalu, Putrajaya juga memutuskan Alkitab juga boleh dicetak di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. "Ini adalah perkembangan baru yang seharusnya diterima dengan senang oleh kumpulan Kristian," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala (gambar) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang ini. Keputusan 10 formula ini diumumkan ketika tinggal empat hari sebelum penamaan calon pilihan raya negeri Sarawak. Formula penyelesaian lain ialah: * Kitab Injil dalam bahasa etnik laik di Sabah dan Sarawak seperti Iban, Kadazan-Dusun dan Lun Bawang boleh dicetak dalam negeri dan diimpot masuk * Bagi Sabah dan Sarawak yang mempunyai komuniti Kristian besar, tidak terdapat syarat kepada pengimpotan dan percetakan kitab Injil dalam Bahasa Malaysia/Indonesia dan bahasa asli lain. Syarat untuk cap "Penerbitan Kristian" dan juga nombor siri turut terkecuali dan tidak perlukan. * Bagaimanapun, bagi menghormati komuniti Islam yang besar di Semenanjung Malaysia, Bible dalam Bahasa Malaysia/Indonesia mesti tertera dengan "Penerbitan Kristian" ("Christian Publication") dan tanda Salib pada kulit hadapan. * Demi semangat 1 Malaysia dan akuan bahawa ramai yang berhijrah antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia, tidak terdapat larangan bagi mereka yang membawa kitab Injil dan bahan bacaan Kristian semasa melawati negeri-negeri tersebut. * Arahan telah dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri untuk memastikan isu kitab Injil ini diimplementasi dengan cara berkesan mengikut keputusan ahli kabinet. Tindakan disiplin akan diambil terhadap pegawai yang gagal mematuhi peraturan mengikut Perintah-perintah Am. Taklimat akan diberikan oleh pegawai tertinggi kerajaan termasuk Peguam Negara, kepada penjawat awam yang releven untuk memastikan pemahaman yang menyeluruh dan pelaksanaan yang mengikut perintah. * Bagi kitab Injil dalam Bahasa Malaysia/Indonesia yang disita di Kuching, Gideon, para pengimpot boleh memungut 30,000 kitab Injil tersebut tanpa sebarang kos. Ini adalah berikutan tawaran daripada kumpulan penderma Kristian untuk membiayai kos yang terlibat. Tawaran sama juga telah dibuat untuk pengimpot 5,100 kitab Injil dalam Bahasa Malaysia/Indonesia di Pelabuhan Kelang yang telah dipungut oleh Bible Society Malaysia minggu lepas. * Lebih daripada isu Alkitab dalam Bahasa Malaysia/Indonesia ini, kerajaan mengekalkan komitmen untuk terus bekerja dengan kumpulan Kristian dan juga kumpulan penganut agama lain untuk mencari jalan penyelesaian bagi isu-isu agama demi mengekalkan persefaham antara agama dan penyelesai mengikut Perlembagaan negara dan Undang Undang di Malaysia. Bagi mempercepatkan penyelesaian terhadap isu ini, Perdana Menteri Malaysia akan bertemu dengan wakil daripada Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) * Anggota Kbinet yang beragama Kristian turut akan bertemu dengan wakil daripada kumpulan-kumpulan Kristian untuk membincangkan isu-isu agama dan mencari jalan penyelesaian bersama lementerian yang relevan dan Perdana Menteri. Idris berkata, "adalah harapan saya agar jalan penyelesaian yang berdasarkan 10 aspek yang telah dikemukakan diterima oleh kumpulan Kristian secara positif, adil dan munasabah." |
SPRM: Operasi 3b tahan 62 pegawai Kastam, isteri Posted: 02 Apr 2011 04:57 AM PDT TERKINI
Oleh Debra Chong
Sebahagian wang tunai dirampas daripada pegawai-pegawai kastam yang ditahan oleh SPRM. – Foto ihsan SPRM
PUTRAJAYA — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengadakan Operasi 3b awal minggu ini telah menahan seramai 62 pegawai Kastam Diraja Malaysia di seluruh negara termasuk seorang pegawai kanan dari Pahang dan isterinya. Operasi itu diadakan untuk menyelamatkan agensi di bawah Kementerian Kewangan itu yang kehilangan hasil negara dianggarkan RM3 bilion. Isteri yang ditahan itu juga merupakan pegawai kastam yang bekerja di pejabat yang sama. Daripada 62 orang itu, seramai 53 adalah lelaki manakala sembilan wanita – kesemuanya pegawai Kastam pelbagai pangkat. Mereka ditangkap dalam dalam satu pasukan petugas yang diketuai SPRM, dan disertai Bank Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Peguam Negara. Kenyataan dikeluarkan SPRM menyebut, tangkapan dalam operasi bersepadu dengan beberapa agensi tersebut bermula Isnin lepas adalah bagi kesalahan-kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Akta Kastam 1967 dan Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganasan 2001. Operasi itu, menurut SPRM, dijalankan berikutan tohmahan terhadap pegawai-pegawai kastam di pelabuhan-pelabuhan seluruh Malaysia yang dikatakan telah meminta dan menerima wang rasuah daripada syarikat penghantaran dan ejen-ejen bagi mengurangkan duti kastam serta mempercepatkan pemprosesan borang pengisytiharan Kastam. Operasi yang dijalankan seluruh negara dengan tumpuan di lima pelabuhan utama negara iaitu Pelabuhan Klang, Pelabuhan Kuantan, Pelabuhan Pulau Pinang, Pelabuhan Tg Pelepas dan Pasir Gudang menunjukkan ada di antara pegawai kastam menerima antara RM100 hingga RM500 bagi setiap Borang K1 yang diproses. "Dalam operasi yang dijalankan ini, SPRM juga telah menyita akaun seorang pegawai yang mempunyai simpanan sebanyak RM850,000, seorang lagi memiliki hampir setengah juta serta mempunyai kereta mewah dan seorang lain pula didapati memiliki RM70,000 dalam akaunnya yang diterima melalui tujuh transaksi setiap satunya RM10,000. "SPRM juga berjaya merampas wang tunai daripada beberapa orang pegawai kastam setelah mendapati mereka memiliki wang tunai dalam jumlah besar, antara yang dijumpai ialah RM625,250 dalam bentuk tunai dalam tiga beg berasingan, dan juga simpanan Amanah Saham Baru (ASB) berjumlah RM200,000 dan jam tangan mewah berjenama diperbuat dari emas," kata kenyataan itu. Selain itu, seorang pegawai kastam juga turut memiliki dua unit pistol tiruan beserta 241 butir peluru. |
Muhyiddin: Sebelum Sarawak selesai dulu lambakan guru Posted: 01 Apr 2011 11:30 PM PDT Harakahdaily
| KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yasin dinasihatkan menyelesaikan dahulu masalah lambakan guru opsyen Sains dan Matematik yang didakwa lebih 26,000 orang sebelum membuat apa-apa janji manis kepada rakyat Sarawak.
Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad berkata, Menteri Pelajaran itu tidak perlu untuk menjadi 'raja temberang' dalam kempen Pilihan Raya Sarawak nanti seolah-olah beliau seorang menteri yang bertaraf dunia.
"Persoalannya bagaimana boleh terjadi? Kalau dengar ucapan Tan Seri Muhyiddin seolah-olah mutu dan pentadbiran Kementerian Pelajaran semacam bertaraf dunia. Sekarang beliau sibuk janji bermacam-macam projek di Sarawak sehingga sanggup mengatakan mereka yang menentang BN di Sarawak hantu dan jembalang.
"Beliau juga jangan jadi raja temberang pula sepanjang kempen di Sarawak. Kita akan tengok sekolah di Sarawak yang cukup dhaif dan tidak mempunyai kemudahan asas yang cukup menyedihkan," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.
Menurutnya, lambakan serius membabitkan 14,000 guru subjek Sains dan 12,000 guru Matematik itu menyebabkan mereka yang diarah mengajar opsyen lain tidak dapat menjayakan tugas dengan penuh semangat.
Mereka didakwa terpaksa mengajar pelbagai subjek lain, termasuk Pendidikan Jasmani dan Pengetahuan Agama Islam berikutan lebihan guru di sekolah di seluruh negara.
"Apa kerja Tan Sri Muhyiddin yang menjaga Kementerian Pelajaran? Kenapa beliau tidak arahkan buat unjuran setiap keperluan guru, sehingga berlaku lambakan guru Sains dan Metematik?
"Mungkin beliau tidak sempat memantau Kementerian Pelajaran kerana sibuk berpolitik dan menziarahi surau dan solat berjamaah di dalam negeri Selangor, sebagai operasi tawan Selangor," tambah beliau lagi.
Katanya lagi, ada antara mereka hilang motivasi diri dan begitu emosi untuk meneruskan kerjaya murni itu.
Guru terbabit juga katanya mengakui, pada peringkat awal bersemangat mendidik pelajar untuk lulus cemerlang Sains dan Matematik, namun, selepas lima tahun mengajar subjek lain, mereka lemah semangat dan terpaksa melupakan cita-cita untuk bergelar guru Sains dan Matematik berwibawa. |
|
Adun Lenggeng dipenjara tiga tahun Posted: 01 Apr 2011 11:26 PM PDT Harakahdaily
| SEREMBAN: Adun Lenggeng, Negeri Sembilan, Mustafa Salim telah dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana kesalahan rasuah.
Beliau didapati bersalah menerima rasuah sebanyak RM2,000 dari seorang kontraktor untuk menyelesaikan isu perlombongan pasir lebih dua tahun lalu.
Selain itu, hakim Amran Jantan juga memerintahkan Mustafa membayar denda sebanyak RM20,000 atas kesalahan itu.
Mahkamah sebelum ini, iaitu 3 Mac lalu telah mendapati Mustafa, 51, bersalah atas dakwaan itu.
Peguam beliau telah memohon untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sehinggalah rayuan dibuat.
Hakim mengarahkan agar jaminan RM10,000 dikenakan ke atas Adun Umno itu. Mustafa didakwa dibawah Seksyen 10(a)(aa) apabila pada 30 Ogos 2008 secara rasuah meminta suapan sebanyak RM2,000 daripada individu yang sama (Manimaran a/l Marumuthu) sebagai dorongan untuk mengeluarkan surat sokongan bagi mendapatkan permit menjual pasir dan tidak akan mengambil tindakan sekiranya menjual pasir tanpa permit. Bayar imam Pada 24 Februari lalu, Mahkamah Sesyen Seremban mengarahkan Adun Lenggeng, Mustafa Salim membayar sebanyak RM18,000 kepada seorang imam masjid ekoran tindakannya mengeluarkan satu surat yang dikira bersifat fitnah.
Dalam perbicaraan yang ditetapkan hari itu, Adun Lenggeng tersebut dengan tanpa pengakuan liabiliti bersetuju membayar imam tersebut.
Pada 12 September 2008 imam tersebut Sungai Machang Hilir, Haji Baharudin Jalu memfailkan saman fitnah ke atas Adun berkenaan atas dakwaan memfitnah beliau melalui surat Adun tersebut kepada pegawai agama Islam, pejabat Agama Islam daerah Seremban bertarikh 16 Juali 2007.
Surat itu juga disalinkan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, mantan Adun lenggeng dan Setiausaha JKKK Kampung Sungai Machang.
Dalam surat tersebut antara lain Adun lenggeng tersebut menulis:
"Saya difahamkan bahawa Haji Baharudin bin Jalu yang merupakan imam (ketua pakatan pemecah masyarakat kampung)...
"Di kesempatan ini Haji Baharudin Jalu sebagai manusia rakus dan bodoh sombong bertindak melulu untuk mencapai matlamat nafsu dia terutama kewangan." |
|
Rakyat Sarawak perlu tolak politik ‘jembalang’ BN Posted: 01 Apr 2011 11:24 PM PDT Harakahdaily
| KUALA LUMPUR: Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Pusat menyifatkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melabelkan parti selain Barisan Nasional sebagai 'jembalang dan hantu yang bermulut manis' adalah kenyataan paling bodoh daripada seorang pemimpin negara. Pengarahnya, Mohd Firdaus Jaafar melahirkan rasa hairan bagaimana kenyataan itu boleh timbul daripada pemimpin tertinggi negara. Beliau mengingatkan, tidakkah Muhyiddin tahu bahawa Barisan Nasional adalah 'jembalang dan hantu' yang dia sendiri maksudkan. "Bukankah BN yang menawarkan pelbagai janji manis yang bertujuan mengelabui mata pengundi Sarawak, dan setelah menang pilihanraya mereka sekali lagi hilang umpama hantu dan jembalang tanah?" soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily. Tambahnya, sifat jembalang dan hantu yang suka menghisap darah rakyat adalah sifat BN sejak dulu hingga kini. Baginya, Muhyiddin cuba mengajar rakyat Sarawak erti demokrasi ala BN iaitu hanya BN sahaja layak memerintah negeri Sarawak. Katanya lagi, BN perlu ditolak dan tidak layak memerintah negeri dan negara. "Inilah mentaliti 'budak sekolah rendah' yang ada dalam pemikiran pemimpin BN sedangkan demokrasi sebenar mengajar rakyat erti kebebasan memilih parti dan kepimpinannya," katanya yang juga ahli Parlimen Jerai. Menurutnya, menyekat kebebasan rakyat dari berfikir dan memilih parti yang mereka sukai adalah suatu tindakan yang tidak bertamaddun. Sepatutnya, kata beliau Muhyiddin berkempen menerangkan jasa dan sumbangan BN ataupun memberikan janji BN kepada rakyat Sarawak untuk kesekian kalinya. Pakatan Rakyat, ujarnya telah memberikan janji 100 hari memerintah dalam Buku Jingga. "Soalnya, apakah janji seterusnya BN kepada rakyat Sarawak?" tanya beliau lagi. Beliau menambah, sudah 50 tahun negara diperintah BN, dan sudah acap kali rakyat dijanjikan dengan pelbagai janji 'melangit' menjelang pilihanraya. Beliau berkata, BN sebenarnya masih mengamalkan cara demokrasi lapuk serta ketinggalan zaman. Sebab itu, katanya mereka sering kali mengeluarkan kenyataan yang cuba mengelirukan rakyat ketika berkempen dan bercakap seolah-olah rakyat buta dan bodoh. "Kali ini, biarlah rakyat menjadi hakim dan menentukan masa depan mereka sendiri. Jangan dimomokkan dengan politik ugut seperti ini. "Politik 'jembalang' dan 'hantu' sudah tidak laku dalam pilihanraya Dun Sarawak kali ini," ujarnya. |
|
Terima kasih polis bantu rakyat benci Umno BN Posted: 01 Apr 2011 11:23 PM PDT Harakahdaily
| KUALA LUMPUR: "Terima kasih PDRM bantu rakyat benci Umno BN," kata Datuk Mahfuz Omar. Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar semalam yang mengesahkan rakaman video seks yang didakwa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didedahkan tiga manusia baru-baru ini adalah tulen. Menurut Ismail, pengesahan itu dibuat oleh pakar profesional yang dilantik pihaknya minggu lalu untuk membuat kajian terperinci. Katanya, hasil siasatan rakaman video itu yang kini di peringkat akhir akan diserahkan kepada Peguam Negara dalam masa terdekat. Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, kemungkinan selepas ini pihak polis akan mengesahkan bahawa 'pelakon' lelaki di dalam video berkenaan adalah Anwar. Baginya, itulah 'skrip' sejak dari awal lagi di mana semua media yang pro Umno BN cuba mengaitkan video lucah itu dengan Ketua Umum PKR. Secara sinis, beliau berkata, walaupun video lucah itu dimaklumkan pihak polis adalah tulin tetapi gagal mengesahkan pelakonnya kemungkinan disebabkan mata penyiasat rabun. "Mungkin penyiasat mata rabun atau yang siasat ni 'polis malaikat' yang tak tengok adegan atas katil, jadi dia siasat video saja," ujarnya lagi. |
|
Pejuang mangsa JE Bukit Pelanduk meninggal Posted: 01 Apr 2011 11:21 PM PDT Harakahdaily
| PORT DICKSON: Pejuang mangsa JE Bukit Pelanduk yang juga bekas Adun Jimah, Yap Ah Peng, 69, (gambar) meninggal dunia malam tadi. Yap tiba-tiba pengsan di rumahnya di Pekan Bukit Pelanduk di bawa ke Hospital Port Dickson dan disahkan meninggal. Semasa menjadi Adun Jimah MCA, Yap pernah menjadi pengerusi jawatankuasa pembangunan semula ternakan babi Negeri Sembilan yang menghasilkan satu enakmen. Namun kerana tabiat buruk Umno, pelaksanaannya gagal menyebabkan penduduk dan penternak enggan berpindah. Selepas itulah berlaku JE di Bukit Pelanduk. Selepas itulah Yap berjuang untuk membela nasib mereka sehingga mengumpulkan tandatangan untuk satu memo kepada PAS. Yap telah menyerahkan memo itu kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyokong pelaksanaan hudud. Tujuannya agar pencuri tanah rakyat di Bukit Pelanduk ini dapat dipotong tangannya. Kini beliau pergi untuk selama-lamanya sebelum sempat melihat pencuri tanah rakyat yang beliau wakili sempat dihukum. |
|
Ku Li yakin rakyat tolak tuduhan video seks Anwar Posted: 01 Apr 2011 11:20 PM PDT Harakahdaily
| KUALA LUMPUR: Vateran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah turut menyelar pihak yang menggunakan video lucah sebagai senjata politik menyerang pihak lawan.
Mengulas isu yang sedang memangsakan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tengku Razaeligh yang lebih dikenali 'Ku Li' berkata, tindakan tersebut bukan sahaja keji dan jijik malah ianya bukan budaya Melayu apatah lagi ianya bercanggah dengan ajaran Islam.
"Rakyat Malaysia punya tamadun dan budaya yang baik, kenapa kita hendak ikut budaya tak baik' kata Ku Li.
"Apatah lagi bagi orang Melayu Islam, tak patut kita lakukan benda yang jijik yang dipandang rendah oleh orang. (Apa guna) kita buat perkara yang hina di sisi masyarakat," tegas beliau dalam temubual dengan TV Selangor.
Bagaimanapun, beliau yang juga mantan Naib Presiden Umno, yakin cubaan untuk memburukkan Anwar dengan taktik itu tidak akan berhasil memandangkan kaedah hampir sama diguna terhadap Ketua Umum PKR itu pada tahun 1998, namun gagal.
Pihak yang bertanggungjawab terhadap video itu juga katanya sebenarnya mengamalkan 'politik longkang' dan telah tersalah langkah kerana orang Melayu Islam tidak boleh menerima tuduhan sebegitu apatah lagi ianya didedahkan dengan penuh persoalan yang tidak dijawab.
"Saya tak fikir rakyat terima hal (video seks) ini. Kalau tengok kes Anwar yang pertama tahun 1998, rakyat tidak terima. Usung tilam, bantal semua, tak ada orang terima. Saya masih ingat semasa saya adakan majlis dialog di Gua Musang. Orang cakap. Ni Melayu ke ni? Malulah," kata beliau.
"Saya rasa (video seks) ini salah langkah. Jika berpolitik sebegini, kalau kita menang pun, tidak ada maruah, tidak ada nilai, jadi tidak guna kita menang pun kalau kita guna cara buruk dan keji untuk mendapat tempat. Saya rasa rakyat pun tak dapat terima dengan baik," tegas beliau.
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar membuat pengumuman mengejutkan apabila mengisytiharkan video itu adalah tulen namun tidak mengulas sama ada pelakunya dikenal pasti.
Beliau berkata hasil siasatan sudah di fasa terakhir dan akan diserahkan kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam tempoh terdekat |
|
DUN Selangor lulus usul mansuh ISA Posted: 01 Apr 2011 11:18 PM PDT Harakahdaily
| SHAH ALAM: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor semalam meluluskan usul 'Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)' yang dibentangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang, Shaari Sungib.
Turut diluluskan usul mewujudkan sekretariat khas bagi menggerakkan program-program kesedaran seluruh Selangor untuk menerangkan berkenaan kezaliman akta tersebut.
Dewan juga meluluskan untuk memberikan peruntukkan bagi memasang papan-papan tanda (billboard) di setiap DUN dengan tema 'Selamatkan Malaysia : Mansuhkan ISA'.
Timbalan Speaker Haniza Talha berkata, melalui usul ini, kerajaan negeri akan menubuhkan sekretariat khas untuk melaksanakan program penerangan termasuk kempen mansuhkan ISA di seluruh negeri Selangor.
Shaari ketika membentangkan usul tersebut berkata, ISA hanya senjata politik kerajaan untuk menakutkan rakyat namun lebih zalim apabila rakyat yang menjadi mangsa ditahan tanpa dibicarakan di mahkamah.
"Negara Israel yang zalim pun ada undang-undang seperti ISA, tetapi mereka menahan rakyat dibawah kuasa Perintah Tentera 1500, selama 15 hari yang sekarang sudah dipendekkan ke lapan hari, dan apabila ditahan boleh membela di mahkamah tentera. Dan apabila mahkamah tentera yang memang tidak adil ini jika berpuashati disambung enam bulan sahaja," katanya.
Tambahnya lagi, ISA pula boleh menahan seseorang individu sehingga 60 hari dan boleh disambung ke dua tahun, serta tahanannya pula dikenakan penyeksaan tanpa alasan munasabah.
"Penggunaan ISA ini adalah kuasa kerajaan untuk menerapkan budaya ugut, ancam dan menakutkan rakyat dan kesan daripada itu berlakulah pembolotan dan pemusatan kuasa yang cukup luarbiasa dalam amalan sistem demokrasi negara," tegas beliau lagi.
Menurut Shaari, usul mansuhkan ISA itu juga terdapat dalam program 100 hari Pakatan Rakyat yang diedarkan menerusi Buku Jingga.
"Apa yang kita perlu lakukan hari ini adalah untuk melonjakkan lagi usaha memberi penerangan kepada rakyat kerana hari ini kita ada kelebihan, untuk melaksanakan program dengan segera," tambahnya. |
|
Pemimpin utama PAS iringi calon 6 April Posted: 01 Apr 2011 11:17 PM PDT Harakahdaily
| KUALA LUMPUR: Semua pemimpin utama PAS akan turun ke Sarawak bagi mengetuai perarakan calon pada hari penamaan calon 6 April ini. Pengarah Pilihan raya Negeri Sarawak, Ustaz Nasharudin Mat Isa berkata, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan akan mengiringi calon PAS di Beting Maro. Beliau yang juga Timbalan Presiden PAS akan mengiringi calon PAS di Sebuyau, Naib-naib Presiden pula iaitu Salahuddin Ayub di Sadong Jaya, Datuk Mahfuz Omar di Muara Tuang sementara Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh di Tanjong Datu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi bagi pilihan raya negeri pada 16 April ini. Sarawak mempunyai 71 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) di mana BN memenangi 62 kerusi pada pilihan raya negeri kesembilan pada 2006 lalu, SNAP (11), DAP (6), PKR (1) dan Bebas (1). |
|
Mangsa banjir di Perlis berkurangan Posted: 01 Apr 2011 11:16 PM PDT BERNAMA
KANGAR: Sebanyak 3,604 mangsa banjir di Perlis masih berada di pusat pemindahan sehingga pagi ini berbanding lebih 4,000 orang malam tadi.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir berkata, kebanyakan mangsa adalah daripada kawasan Kangar membabitkan 2,955 orang yang ditempatkan di 21 pusat pemindahan.
Sebanyak 590 mangsa adalah daripada kawasan Arau yang ditempatkan di lima pusat pemindahan manakala di kawasan Padang Besar jumlah mangsa hanya 59 orang yang ditempatkan di satu pusat pemindahan.
Setakat ini lebih 1,000 mangsa telah dibenarkan pulang dan hampir 20 pusat pemindahan telah ditutup. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan