Selasa, 12 April 2011

Addin

Addin


PRN Sarawak : Jutaan Ringgit Lagi Untuk Baki 4 Hari

Posted: 12 Apr 2011 10:00 AM PDT

SATOK - Barisan Nasional dijangka akan menabur jutaan ringgit bukan sahaja kepada pengundi, malah kepada calon-calon KEADILAN yang bertanding pada 4 hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak. Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli mengulas laporan mengenai calon KEADILAN bagi kerusi DUN Baleh, Bendindang Manja yang ditawarkan sejumlah wang supaya menarik diri daripada bertanding dalam pilihan raya itu, 16 April ini.


"Kita menjangkakan wang akan digandakan dan ia diluar kawalan kami. Pihak lawan sememangnya menggunakan taktik ini, bahkan hanya satu hari selepas penamaan pun ada diantara calon KEADILAN yang ditawarkan untuk menarik diri.

"Tapi, syukurlah setakat pemantauan kita, calon-calon masih bersama dengan rakyat. KEADILAN akan mengawal supaya tiada anasir Barisan Nasional yang akan mendekati untuk membeli calon kita," kata Rafizi pada sidang media di Bilik Gerakan Utama KEADILAN, dekat Satok hari ini.

Beliau menjelaskan, sehingga kini tidak ada tanda yang menunjukkan calon-calon KEADILAN akan goyah walaupun tahu bahawa tawaran tersebut akan datang dari pelbagai pihak. "Agak sukar sekarang ini bagi mereka menarik diri dan mengkhianati melihatkan kepada gelombang sokongan rakyat," kata Rafizi.

Dalam pada itu, Rafizi mengingatkan kepada pengundi di Sarawak bahawa jumlah ribuan ringgit yang ditawarkan adalah terlalu sedikit jika dibandingkan dengan 30 tahun penderitaan rakyat Sarawak. "Mereka beri seribu kita minta dua ribu. Mereka beri dua ribu, kita minta tiga ribu.

"Justeru saya ulang kepada para calon untuk turun bertemu dengan rakyat dan beritahu mereka untuk ambil wang itu, sebab ia memang wang anda. "Tetapi undi adalah rahsia. Jangan lepaskan peluang, kerana hanya masa inilah sahaja kita mampu buat perubahan. Jika mahukan perubahan, undilah Pakatan Rakyat," ujarnya./KD


Malaysiakini Di Godam, Kini Beroperasi Melalui Facebook

Posted: 12 Apr 2011 08:58 AM PDT

KUALA LUMPUR - Portal berita dalam talian Malaysiakini sekarang tidak boleh diakses kerana 'diserang' pihak tertentu bermula jam 11 pagi tadi. Namun demikian, mereka akan tetap menerbitkan berita seperti biasa menerusi platform laman sosial Facebook. Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Premesh Chandran melalui laman Facebook beliau. "Kami sekarang mengesahkan Malaysiakini.com diserang pihak luar bermula 11 pagi tadi. Kami akan menerbitkan berita menerusi platform lain seperti Facebook sementara kami menyelesaikan masalah ini," kata Premesh.

Menurut Premesh lagi, kesemua versi bahasa Melayu, Inggeris, dan Cina Malaysiakini masih lagi tidak dapat diakses sehingga ke petang ini. "Sehingga jam 5.30 petang tadi, Malaysiakini masih tidak dapat diakses semenjak jam 11 pagi tadi. Pembaca-pembaca tidak dapat mengakses laman web tersebut, yang dihoskan pada pelayan (server) kami di Telekom Malaysia Brickfields dan Jaring.

"Kami mohon maaf dengan perkara ini dan akan memaklumkan pembaca dari masa ke semasa menerusi Facebook dan Twitter," kata Premesh. Berita Malaysiakini buat masa ini boleh diperolehi menerusi laman Facebook mereka seperti berikut:



Video Seks Fitnah : Siasat Jam Omega Bukti Konspirasi

Posted: 12 Apr 2011 06:00 AM PDT

PETALING JAYA - Pengumuman polis bahawa mereka kini sedang menyiasat pemilik jam tangan Omega, yang dikaitkan dengan pelaku video seks palsu baru-baru ini, merupakan bukti bahawa ia merupakan satu konspirasi politik peringkat tertinggi. Ini kerana, siasatan ke atas pemilik jam tangan tersebut langsung tidak bersangkut-paut dengan laporan polis ke atas penyebar video itu yang diklasifikasikan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki dan menayangkan bahan lucah.


"Kenyataan terkini polis adalah bukti kepada perkara ini. Ternyata mereka berat sebelah dan rela menjadi perkakas kepada plot politik BN," kata Naib Presiden KEADILAN, N. Surendran. "Siapa pemilik jam itu tiada kena-mengena dengan siasatan polis. Kita perlu ingat bahawa siasatan polis terhadap laporan yang dibuat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah berdasarkan Seksyen 292 Kanun Keseksaan, dan kesalahannya adalah kerana memiliki dan menayangkan bahan-bahan lucah," tambah beliau.

Menurutnya, bukan satu kebetulan yang tidak sengaja apabila Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Acryll Sani Abdullah membuat pengumuman akan mendedahkan pemilik jam tangan berkenaan, sehari selepas wartawan media perdana bertanya kepada Anwar mengenainya. "Sehari sebelum pengumuman itu, satu soalan berkenaan jam Omega itu yang sudah dirancang sejak awal lagi ditanya kepada Anwar (sewaktu sidang media pilihan raya negeri Sarawak) di Kuching.

"Soalan itu tiada kaitan sama sekali dengan pilihan raya Sarawak atau siasatan ke atas video itu," kata Surendran. Surendran juga kesal kerana sejak awal kes video itu disiasat, polis berulang kali membuat kenyataan yang tiada kena mengena dengan siasatan. Keadaan itu katanya, menimbulkan persepsi bahawa polis seolah menyokong strategi politik kotor BN- untuk menjatuh dan mengaibkan Anwar.

Justeru itu, beliau mengingatkan polis bahawa tugas mereka adalah mengawal keselamatan rakyat negara ini dan bukannya bertugas untuk Umno-Barisan Nasional. Video seks palsu yang cuba mengaitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditayangkan kepada sekumpulan wartawan dan editor kanan pada 21 Mac 2011 di Carcosa Seri Negara, pada hari yang sama Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak dibubarkan.

Anwar sendiri sejak awal lagi menafikan sekeras-kerasnya penglibatan beliau dalam video tersebut. Satu sedutan daripada video itu dibocorkan ke Internet pada 4 April 2011, tarikh yang sama KEADILAN menyambut ulang tahun ke-12 penubuhannya.

Namun sehingga kini, trio 'Datuk T' yang menayangkan video itu , masih lagi belum ditangkap polis walau pun mereka mengaku sebagai dalang tayangannya. Identiti Datuk T dikenalpasti sebagai bekas Ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, Ahli Perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bekas senator, Datuk Shuib Lazim./KD


Panas!! Cawangan UMNO Di Bubar Lagi..

Posted: 12 Apr 2011 04:30 AM PDT

KUALA LUMPUR - Umno cawangan Linear City 2 dibubar berikutan timbalan ketuanya, Mahadi Mohd Nor bersama hampir 20 penyokong beliau meninggalkan parti itu dan menyertai KEADILAN. Pembubaran cawangan itu diganti dengan penubuhan Ranting baru KEADILAN yang ke-16 dalam Parlimen Lembah Pantai. Borang penyertaan diserahkan kepada Ketua Cabang KEADILAN Lembah Pantai yang juga Ahli Parlimen, Nurul Izzah Anwar.


Bercakap kepada KeadilanDaily, Mahadi berkata, beliau menyertai KEADILAN kerana yakin dengan komitmen parti itu bersama Pakatan Rakyat dalam menjaga kebajikan rakyat. Katanya, komitmen itu jelas apabila Selangor yang diterajui pimpinan KEADILAN, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berjaya merakyatkan ekonomi Selangor melalui pelbagai dasar kebajikan.

"Di peringkat persekutuan, KEADILAN bersama Pakatan Rakyat menawarkan dasar kebajikan yang jelas melalui agenda Buku Jingga. "Antara yang menarik perhatian ialah tekad untuk menurunkan harga minyak dan menghapus tol secara berperingkat-peringkat," katanya pada 3 April lalu.

Mahadi juga mengakui Umno walaupun giat mencerca Buku Jingga dengan pelbagai tohmahan tetapi sebenarnya cuba meniru dasar itu secara diam-diam. Pada masa ini, katanya, Umno hanya mampu meredakan kemarahan rakyat yang terbeban dengan kenaikan harga barang melalui gimik politik.

Mengucapkan syabas dan tahniah kepada mereka, Nurul Izzah menegaskan, KEADILAN sedia menerima individu yang komited bagi menjayakan perubahan besar di negara ini. Turut hadir majlis itu ialah puluhan pimpinan KEADILAN Cabang Lembah Pantai dan masyarakat setempat./KD


PRN Sarawak : Untuk Undi, Muhyiddin Sanggup Ugut Guru

Posted: 12 Apr 2011 12:00 AM PDT

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melanggar etika perguruan apabila secara terbuka memberi amaran kepada guru-guru agar memangkah Barisan Nasional pada pilihan raya umum negeri Sarawak yang akan datang. Demikian dinyatakan Ketua Biro Pendidikan KEADILAN, Abas Awang sewaktu mengulas 'permintaan' Muhyiddin agar guru-guru di Sarawak mengundi Barisan Nasional.

Muhyiddin membuat 'permintaan' itu pada satu pertemuan "pemantapan profesion perguruan' di Sibu petang tadi. Bercakap lebih lanjut, Abas berkata Muhyiddin sanggup mendahulukan kepentingan politik kepartian yang sempit dan menghina profesion perguruan yang mulia demi memastikan BN terus berkuasa di Sarawak.

Ia juga ironi kerana Muhyiddin sendiri memimpin Kementerian Pelajaran tetapi pada masa yang sama tidak menghormati golongan pendidik. "Muhyiddin memalukan dan merendahkan martabat profesion perguruan (dengan berkempen secara terbuka kepada guru-guru). "Namun, beliau tergamak berbuat demikian kepentingan sempit politik kepartian," kata Abas.

Tindakan Muhyiddin itu juga, kata Abas, bertentangan sama sekali dengan cakap-cakap Muhyiddin tentang hasrat untuk memperbaiki institusi pendidikan. "Tindakannya itu bercanggah dengan dasar-dasar beliau sendiri. Katanya mahu mewujudkan sekolah berprestasi tinggi, tetapi masa guru dibazirkan dengar cermah politik.

"Bilakah masanya guru-guru mahu berusaha lebih untuk memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Muhyiddin jikalau mereka ditarik ke sana ke sini diwajibkan mendengar kempen politik, " kata Abas.

Mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa Pakatan Rakyat ibarat 'tikus membaiki labu' jika diberi peluang mentadbir negara, Abas berkata sebenarnya di bawah pentadbiran BN sendiri, 'labu sudah rosak' dan tiada apa lagi untuk diperbaiki.

"Sekarang kita cuma ada KEADILAN dan Pakatan Rakyat sahaja sebagai landasan untuk memperbaiki sektor pendidikan dan negara yang terlalu dipolitikkan," kata Abas.

Abas yang dilantik mengetuai Biro Pendidikan KEADILAN adalah bekas Pengarah Pelajaran Kuala Lumpur. Sebelum itu, beliau adalah Timbalan Pengarah Bahagian Sekolah Kementerian Pelajaran./KD


PRN Sarawak : 48 Tahun Memerintah, Masih Gagal Sediakan Kemudahan Asas

Posted: 11 Apr 2011 10:00 PM PDT

TEBUAN - Selepas 48 tahun mentadbir, kerajaan Barisan Nasional (BN) masih gagal menyediakan prasarana dan infrastruktur yang sempurna di Sarawak, menyebabkan penduduk di Kampung Sorak Melayu dalam DUN Tebedu, hidup dalam risiko dan bahaya. Mereka terpaksa merentasi jambatan gantung sepanjang kira-kira 50 meter untuk ke pekan Serian yang terletak kira-kira lima kilometer dari kampung tersebut.


Bahkan, setiap hari anak-anak di kampung tersebut berhadapan dengan risiko jatuh ke dalam sungai kerana keadaan jambatan gantung yang uzur dan usianya yang sudah menjangkau 20 tahun. "Kalau saya jadi orang kampung ini, satu undi pun saya tak beri kepada Barisan Nasional.

"Anak-anak muda kampung ini kena sedar. Selagi mana kita tak lawan, selagi itulah mereka memperkecilkan kita," kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada lawatannya ke kampung tersebut, petang tadi.

Dalam pada itu, seorang penduduk yang ditemui KeadilanDaily berkata, sehingga kini kerajaan negeri masih gagal membekalkan bekalan air bersih ke kawasan itu. Mereka terpaksa menggunakan air sungai atau menadah air gunung yang terletak agak jauh dari kampung mereka bagi meneruskan kehidupan sehari-hari.

Terdahulu sebelum itu, Anwar dalam program ceramah kelompok dan ramah mesra bersama pengundi di Kampung Sorak Sumpung. Turut hadir ialah calon bagi kawasan DUN N 18 Tebedu, Dr Christopher Anak Kiyui./KD


PRN Sarawak : Taib Mahmud Kencing Najib..

Posted: 11 Apr 2011 08:00 PM PDT

KUCHING - Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud membayangkan beliau hanya akan bersara dalam "beberapa tahun lagi" - pendirian yang ditegaskan selepas 24 jam Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peralihan kepimpinan di Sarawak boleh disaksikan dalam waktu terdekat selepas pilihan raya negeri. Pengundian pilihan raya negeri akan diadakan Sabtu ini. Apabila masa itu tiba nanti, kata Taib , beliau mahu generasi muda Sarawak meneruskan sokongan kepada pemimpin yang akan mengambil alih kepimpinan negeri daripadanya.


Taib yang menerajui kerajaan negeri sejak 30 tahun lalu merupakan Ketua Menteri paling lama memegang tampuk kepimpinan Sarawak. Kata Taib, sokongan mereka penting bagi memastikan segala usaha pembangunan dan kemakmuran yang ditempa untuk Sarawak dapat dilaksanakan.

"Apabila saya berhenti nanti dalam beberapa tahun (lagi), saya ingin hendak melihat generasi awaklah yang akan menyokong orang yang akan menyambut kuasa daripada saya memelihara Sarawak terus benar-benar maju dan benar-benar mewah sekali," kata beliau ketika berucap pada konsert 1 Malaysia yang diadakan di Padang Merdeka di sini malam ini.

Najib juga hadir sama pada majlis malam ini. Kenyataan Taib itu adalah bayangan pertama peralihan kuasa sejak isu itu timbul dalam pilihan raya negeri 2011. Selepas mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 21 Mac lalu, Taib berkata, beliau akan melepaskan jawatannya selepas pilihan raya negeri ke-10 ini.

Malam tadi, dilihat seolah-olah sudah merasai rasa tidak puas hati di kalangan penduduk Sarawak terhadap Taib, Najib dalam mesej pertama sempena kempen enam hari menjelang hari penentuan Sabtu ini menegaskan perubahan kepimpinan akan dilaksanakan secepat mungkin selepas pilihan raya.

Bagaimanapun kepimpinan Pakatan Rakyat termasuk Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak percaya jaminan Najib itu akan menjadi kenyataan memandangkan Taib pernah membuat janji untuk berundur tetapi tidak ditunaikan.

Berucap pada perhimpunan 1 Malaysia di stadium tertutup Majlis Bandaraya Kuching Selatan di sini semalam, Najib yang juga Perdana Menteri dan Pengerusi BN menggesa orang ramai tidak risau mengenai kedudukan Taib yang telah pun bersetuju untuk meletakkan jawatan apabila tiba masa yang sesuai.

"Percayalah saya, percayalah saya, apabila tiba masa yang sesuai, kami akan laksanakan yang ini (peralihan kepimpinan). Jangan cepat dan percaya dengan pembohongan pembangkang," kata Najib.

Najib berjanji bahawa perubahan dalam kepimpinan tertinggi sudah pun disusun dan "perubahan secara tiba-tiba" akan menyebabkan ketidaktentuan di negeri bumi Kenyalang itu.

"Tuan-tuan dan puan-puan, jangan risau. Kami telah mengadakan perancangan agar perubahan akan berlaku dalam kepimpinan tinggi Sarawak, sebagaimana telah dirancang dan perubahan yang telah disusun," katanya lagi.

Najib memberi jaminan itu ketika kempen pilihan raya terus dibayangi dakwaan mengenai rasuah dan salah guna kuasa Taib, yang merupakan ketua menteri paling lama berkuasa itu. Kepimpinan Taib genap 30 tahun pada 26 Mac lalu.

Taib turut menyeru generasi muda agar mempertahankan semangat 1 Malaysia yang subur di Sarawak. Beliau juga mahu hubungan antara Sarawak dengan Semenanjung terus diperkukuhkan dengan sikap politik yang matang./TMI


Tiada ulasan: