Khamis, 10 Mac 2011

pemuda cheh

pemuda cheh


Rakyat Tak Perlu Bayar Saman Apabila JPJ & Polis Sendiri Tak Patuh Undang-undang

Posted: 10 Mar 2011 04:55 AM PST

Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) menasihatkan mangsa saman ekor agar tidak membayar kompaun yang dikenakan biarpun tempoh promosi pembayaran berakhir hari ini,.
Harakahdaily memetik pengerusi Kase, Datuk Mahfuz Omar yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata, sekiranya selepas ini mereka disenarai hitam, Kase akan membantu untuk berdepan masalah berkenaan di mahkamah.

"Rakyat tidak perlu bayar, yang penting ambil insurans bawa ke JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) untuk perbaharui cukai jalan, kalau JPJ tak benar, wajib pengarah JPJ kena bagi jawapan bertulis, kenapa.

"Kemudian bawa insurans dan surat itu, kalau polis tahan, biar dia saman, kita lawan di mahkamah," katanya ketika ditemui selepas membangkitkan perkara itu di parlimen semalam.

Tambahnya, keputusan sama ada seseorang itu bersalah dan perlu membayar kompaun hanya ditentukan mahkamah, dan bukan oleh notis saman yang dikeluarkan.

Menurutnya lagi, tindakan JPJ menyenarai hitam pesalah saman ekor adalah salah mengikut keputusan Mahkamah Kucing dalam kes Leonad Lim Yaw Chiang melawan Pengarah JPJ negeri Sarawak pada 2007.

Dalam kes itu hakim memutuskan bahawa tindakan JPJ menyenarai hitam mengikut Seksyen 17(1)(d) adalah tidak betul dan bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

"Kita minta Peguam Negara nasihat JPJ supaya akur keputusan mahkamah iaitu tak boleh blacklist.

"Rakyat tidak boleh dipaksa membayar kompaun yang ditawarkan," katanya.

2 Mac lalu kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh pemberian diskaun 50 peratus bagi pembayaran saman trafik bermula 1 Mac sehingga 10 Mac ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendakwa keputusan itu dibuat selepas mengambil kira rintihan orang ramai yang ingin menjelaskan saman itu tetapi tidak dapat berbuat demikian berikutan masalah sistem tergendala serta kesesakan di kaunter untuk membuat pembayaran.

Namun mengikut perangkaan, hanya kira-kira empat peratus atau 700,000 daripada kira-kira 17.3 juta saman telah dibayar.

Kita perlu hentikan salahlaku pihak polis dan JPJ yang menyenaraihitam pemandu kerana mahkamah telah membuat keputusan di dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak & Anor [2009] 6 CLJ 280 yang telah memutuskan bahawa tindakan JPJ menghalang pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan di bawah Seksyen 17(1)(d) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987) tanpa siasatan dan alasan yang wajar adalah salah di sisi undang-undang dan bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan Malaysia.

Kemenangan Sebenar Di Sisi Allah

Posted: 09 Mar 2011 03:15 PM PST

Oleh Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Apa sahaja perlawanan yang berlaku pastinya ada yang kalah dan ada yang menang. Di dalam pilihanraya kecil DUN Merlimau dan Kerdau 6 Mac yang lepas, PAS telah gagal untuk merebut kedua-dua kerusi tersebut daripada UMNO. Saya akur dengan kekalahan tersebut. Di mana-mana perlawanan sekalipun, pihak yang menang berhak untuk gembira dan pihak yang kalah berhak untuk kecewa dan bersedih. Tinggal lagi, berapa lamakah kegembiraan dan kekecewaan itu akan bertahan?

Sesiapa sahaja akan gembira jika menang. Seorang pelajar akan gembira jika mendapat keputusan yang cemerlang begitu juga seorang pencuri akan gembira jika berjaya melakukan jenayah mencuri harta benda orang lain hatta jika dapat membunuh mangsanya, itu lebih menggembirakan. Bahkan Allah SWT merakamkan bagaimana gembiranya orang-orang musyrikin yang memusuhi agamaNya ketika berada di dunia. Firman Allah SWT :
وَإِذَا انقَلَبُواْ إِلَى أَهْلِهِمُ انقَلَبُواْ فَكِهِينَ
Yang bermaksud : Dan apabila orang-orang yang berdosa itu kembali kepada pengikutnya, mereka kembali dengan gembira. – Surah al-Muthaffifin, ayat 31.
Demikianlah kegembiraan yang dinikmati oleh orang-orang yang berdosa ketika berada di dunia. Dan dukacita kegembiraan itu tidak sedikitpun menyelamatkan mereka apabila berada di akhirat kelak. Bahkan kegembiraan itu akan ditukar menjadi kehinaan yang amat dahsyat di hadapan Allah SWT.
Salahkah bergembira? Jawabnya tidak salah. Sesiapa yang diberikan nikmat oleh Allah SWT berhak untuk bergembira dan begitu juga sebaliknya. Namun kegembiraan dan kesedihan di dunia bukanlah suatu yang hakiki di sisi Allah SWT. Bahkan beleklah sejarah perjuangan Rasulullah SAW, di Mekah baginda ditolak selama 13 tahun sekalipun sebelum dilantik menjadi nabi, baginda diiktiraf sebagai seorang yang jujur (al-Amin). Sedih pilu perjuangan yang dilalui oleh baginda tercermin melalui doanya sewaktu kembali dari Thaif :
اللهم انى اشكو اليك ضعف قوتى و قلة حيلتى و هوانى على الناس انت رب المستضعفين
Yang bermaksud : Ya Allah, aku mengadu kepadaMu betapa lemahnya kekuatan aku, dan betapa kurangnya kepandaian aku berhujah, dan betapa hinanya aku pada pandangan mata manusia, Engkaulah Tuhan golongan yang ditindas.
Doa ini tidak akan diungkapkan oleh lidah suci baginda kecuali dalam keadaan baginda dirundung kesedihan dan kekecewaan. Jika sedih dan kecewa pun pernah melanda Rasulullah SAW, apatah lagi pendokong Islam pada hari ini. Sesungguhnya pada kekalahan, kesedihan dan kekecewaan inilah tersimpannya ganjaran yang besar yang disediakan oleh Allah SWT.
Apa yang penting, asas hidup ialah Islam. Menang atau kalah tidak menjadi ukuran. Lihatlah penulis buku The Satanic Verse, Salman Rushdie yang diberikan gelaran terhormat oleh Barat sebagai Sir, sedangkan penghormatan itu diberikan kerana tindakannya mengina Islam. Adakah bernilai gelaran itu di sisi Allah? Jawabnya tidak. Demikian juga kemenangan, jika diperolehi dengan cara khianat, langsung tidak bernilai di sisi Allah SWT.
Di Kerdau dan Merlimau, PAS telah kalah. Ia perlu diakui. Namun, penipuan dan fitnah serta penggunaan jentera kerajaan secara besar-besaran juga perlu diakui telah dilakukan oleh UMNO. Saya diserang bertubi-tubi tanpa diberikan peluang yang sama untuk membela diri. Kalau di dalam akhbar, serangan ke atas saya diletakkan di muka hadapan manakala jawapan saya disudutkan di hujung muka surat dalam. Pengarah pilihanraya kami di Kerdau, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man dituduh membeli tanah dari peneroka Felda sedangkan tuduhan itu merupakan satu fitnah, dan ia ternafi sebelumpun tenggelamnya matahari pada hari yang sama. Adakah penafian itu disiarkan sebagaimana fitnah itu disiarkan? Jawabnya tidak. Atas nama kebebasan demokrasi pincang, itulah senjata yang ada pada UMNO pada hari ini.
Utusan Malaysia (8 Mac 2011) melalui Senyum Kambingnya melabelkan saya tidak dapat menerima kekalahan. Sebagaimana namanya, demikianlah tahap pemikirannya. Saya hanya mahu menyatakan ayat yang telah diungkapkan oleh tukang-tukang sihir Firaun yang beriman kepada Nabi Musa tatkala diancam bunuh oleh Firaun :
فَاقْضِ مَا أَنتَ قَاضٍ إِنَّمَا تَقْضِي هَذِهِ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا
Yang bermaksud : Maka buatlah keputusan apa yang hendak kamu putuskan. Sesungguhnya kamu hanya akan dapat memutuskan pada kehidupan di dunia ini saja. – Surah Thaha, 72.

Tiada ulasan: