Ahad, 6 Mac 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


England - Premier League

Posted: 06 Mar 2011 02:48 PM PST

England - Premier League
17:43March 6

FTLiverpool3 - 1Manchester U.

85'Wolverhampton W.2 - 3Tottenham H.

Teruskan perjuangan sehingga nyata benarnya janji RABBI

Posted: 06 Mar 2011 01:00 PM PST

Sebagaimana diduga PAS tewas dalam dua pilihanraya kecil yang diadakan serentak iaitu Kerdau di Pahang dan Merlimau di Melaka. Dan sebagaimana jangkaan juga majoriti calon BN dikedua-dua kerusi ini bertambah berbanding dengan PRU yang lalu.

Memang kalau mahu dikaji punca kekalahan berganda PAS ini maka berbagai analisa dapat dibuat. Apapun PAS dan Pakatan Rakyat berhadapan dengan jentera BN yang tersusun lengkap dengan bekalan wang ringgit yang teguh tidak tertanding oleh PAS walau ditahap 10 peratus. Barang diingat juga kedua-dua kerusi ini memang merupakan kubu BN dan PAS tidak ada sejarah pernah memenangi kerusi berkenaan.

Membaca komen yang diberikan oleh laman web dan portal berita berbahasa Inggeris, saya agak kurang bersetuju apabila ada yang mengulas bahawa kekalahan PAS ini adalah berpunca dari sikap parti berkenaan yang agresif mengenengahkan idea dan dasar Islam. Kononnya langkah Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BI) mengambil tindakan terhadap premis yang menjual loteri "bigsweep" baru-baru ini menyumbang kepada kekalahan PAS.

Mereka ini mungkin baru mengenali PAS. PAS bukan baru lahir 2 atau 3 tahun lalu. PAS sebagai sebuah parti Islam telah wujud dan bertarung dalam gelanggang politik Negara sejak lebih 50 tahun lalu. Islam tidak pernah berubah sejak di bawa oleh Rasulullah saw. PAS sekadar menyambung mata rantai dari rantai perjuangan Islam yang panjang lebar itu.

PAS bawa Islamlah maka PAS menang dan berkuasa kembali di Kelantan pada tahun 1990 dan bertahan sehingga kini.

Kerana Islam lah maka PAS dapat menzahirkan kepimpinan yang telus, bersih dan bertaqwa. Samada calon PAS itu menjadi MB, atau EXCO atau ADUN pegangan Islam nya membezakan ia dengan pimpinan parti lain, kerana Islam lah mereka dihormati dan disegani.

Kalau mahu PAS ikut selera mereka yang kritikal ini lebih baik PAS gugur sahaja dasar perjuangan Islamnya itu. Jadi sebagaimana parti lain, kalau perlu peluk Islam kalau tidak campak sahaja ketepi.

Saya yakin selagi iltizam ahli dan pimpinan PAS kuat pada prinsip dan dasar perjuangannya yang telah berjaya dipertahankan berdekad-dekad lamanya itu, maka selama itulah Islam akan terus dijunjung dan disanjung. PAS mungkin tewas di Merlimau dan Kerdau, tapi takkanlah kerana kekalahan itu maka Islam mahu dipersalahkan?

Bergeraklah ke gerbang jasa

Kalah menang bukan alasannya

Sucikanlah niat di hati

Hingga nyata benarnya janji Rabbi..............

Syabas para petugas PAS, syabas calon-calon PAS, walaupun kita tewas hari ini, ganjaran lebih besar menunggu kita di Akhirat nanti insyallah. Teruskan perjuangan, hingga nyata benarnya janji Rabbi. TAKBIR!

http://n32.blogspot.com/

Majoriti besar BN tanda kejatuhan PAS, dakwa Muhyiddin

Posted: 06 Mar 2011 08:36 AM PST

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

JASIN, 6 Mac — Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil DUN Merlimau dan Kerdau sebagai satu kejayaan cemerlang bagi parti perikatan itu.

Jelas Timbalan Perdana Menteri, kemenangan BN dengan majoriti besar di kedua-dua kawasan itu menunjukkan isyarat jelas pengundi kini sudah kembali kepada BN dan menolak dasar pejuangan Islam yang dibawa PAS.

"Kemenangan ini disebabkan sokongan rakyat terhadap BN tidak berbelah bahagi, faktor kecemerlangan ini dapat diteruskan dan diulang malah momentum kemenangan ini dapat ditingkatkan lagi.

"Ia juga isyarat jelas bahawa perjuangan PAS tidak diterima. Kemenangan BN di Merlimau dan Kerdau menunjukkan protes rakyat kepada perjuangan PAS," katanya pada sidang media selepas pengumuman keputusan di Dewan Platinum Politeknik Merlimau di sini.

Tambah Muhyiddin, sokongan pengundi di kawasan peti undi Melayu dan India amat menggalakkan selain undi Cina sudah kembali kepada BN.

Ketika ditanya sama ada BN akan terus meletakkan calon muda pilihan raya akan datang, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno itu berkata calon yang bersih daripada sebarang skandal akan menjadi keutamaan.

"Calon muda menjadi salah satu faktor kemenangan dan kami akan letakkan calon yang paling sesuai untuk meningkatkan sokongan pengundi.

"Kita ambil semua perkembangan dan ia menjadi pendorong untuk kita bekerja lebih keras," katanya.

Di Merlimau, calon BN Roslan Ahmad memperoleh 5,962 undi manakala calon PAS Yuhaizat Abdullah mendapat 2,319 dengan undi majoriti sebanyak 3,634 undi.

Sementara itu, di Kerdau calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan majoriti 2,724.

Syed Ibrahim mendapat 5,060 undi manakala Hassanuddin memperoleh 2,336.

Sementara itu Roslan pula berkata beliau berikrar untuk menjadi wakil rakyat yang terbaik.

"Saya berikrar akan berkhidmat sebaik mungkin selaras dengan hasrat Ketua Menteri agar Melaka negeri maju.

"Saya akan pastikan akan membantu BN untuk kejayaan yang cemerlang, saya akan berkhidmat dengan sebaik mungkin," katanya.

BN Kekalkan Kerusi DUN Kerdau

Posted: 06 Mar 2011 05:00 AM PST

TEMERLOH, 6 Mac (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) Syed Ibrahim Syed Ahmad menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dengan majoriti 2,724 undi.

Syed Ibrahim, 44, memperoleh 5,060 undi manakala Hassanuddin, 43, mendapat 2,336 undi.

Keputusan pilihan raya kecil itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Tarif Abdul Rahman kira-kira 8.20 malam.

Sebanyak 90 kertas undi ditolak.

Sejumlah 7,486 pengundi atau 83.20 peratus daripada 8,999 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil itu.

Pada pilihan raya umum 2008, kerusi berkenaan dimenangi calon BN Datuk Zaharuddin Abu Kassim, dengan majoriti 1,615 undi.

BN Kekalkan Kerusi DUN Merlimau

Posted: 06 Mar 2011 04:45 AM PST

JASIN, 6 Mac (Bernama) -- Barisan Nasional mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kawasan Merlimau apabila calonnya Roslan Ahmad mengalahkan calon PAS Yuhaizad Abdullah dengan majoriti 3,643 undi.

Roslan memperoleh 5,962 undi manakala Yuhaizad 2,319 undi.

Keputusan tak rasmi: BN kekal Kerdau, Merlimau majoriti besar

Posted: 06 Mar 2011 03:50 AM PST

KUALA LUMPUR, 6 Mac — Keputusan tidak rasmi menunjukkan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kedua-dua kerusi DUN Kerdau dan Merlimau dengan majoriti besar berbanding tiga tahun yang lalu.

Di Kerdau, BN dipercayai memperoleh majoriti 3,148 undi manakala di Merlimau pula merekodkan kelebihan 3,607 undi.

Pada 8 Mac 2008 BN menang dengan kelebihan 1,615 undi di Kerdau dan 2,154 undi di Merlimau.

Najib dan Muhyiddin mulakan sesi bertemu rakyat di Sarawak pada 19 Mac

Posted: 06 Mar 2011 02:00 AM PST

KUCHING, 6 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memulakan sesi bertemu rakyat di Sarawak pada 19 Mac ini, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Sarawak Dr Stephen Rundi hari ini.

Beliau berkata program turun padang oleh Najib dan Muhyiddin itu akan bermula di Serian, kira-kira 65km dari sini.

Katanya Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan mengikuti laluan darat untuk melawat ke Kampung Semera di Sadong Jaya, Kota Samarahan, kira-kira 100km dari sini.

Beliau memberitahu Bernama di sini hari ini, Muhyiddin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman pula akan menaiki helikopter untuk berkunjung ke Kampung Melayu di Lingga, Bahagian Sri Aman, kira-kira 300km dari sini.

"PM dan TPM akan melakukan tinjauan mesra di kampung, beramah mesra dengan penduduk setempat. Kedua-dua pemimpin akan turut makan tengah hari di sana dan menjamah sajian tempatan.

"Tinjauan mesra dan lawatan ke kampung-kampung akan menghubungkan PM dan TPM dengan rakyat," katanya.

Dr Rundi berkata lawatan Najib dan Muhyiddin adalah sebahagian daripada pusingan pertama sesi bertemu rakyat yang akan diadakan di seluruh negara.

Bulan lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Operasi dan Pelaksanaan program itu, berkata pusingan pertama sesi itu dijangka selesai September ini, disusuli pusingan berikutnya yang akan diadakan sehingga berlangsungnya pilihan raya umum. — Bernama

PRK Kerdau: Kurang Sejam, Semangat Penyokong BN, PAS Berterusan

Posted: 06 Mar 2011 12:59 AM PST

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

TEMERLOH: Ketika tempoh mengundi bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau bakal berakhir dalam tempoh satu jam, kehangatan penyokong kedua-dua parti meraih undi berterusan walaupun dalam suasana cuaca panas terik.

Tinjauan di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kerdau mendapati kira-kira seribu penyokong BN dan PAS masih bersemangat bersorak di luar pusat mengundi berkenaan.

Kehangatan suasana hari pengundian di pusat mengundi SMK Kerdau bermula sejak awal pagi tadi hingga berlakunya sedikit insiden 'perang mulut' antara penyokong PAS dan BN.

Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), menegaskan bahawa penyokong kedua-dua parti politik yang bertanding tidak dibenarkan berkempen atau meraih undi pada hari pengundian.

Bagaimanapun larangan berkenaan tidak dihiraukan dan aktiviti berkempen masih berterusan.

Proses mengundi mula berlangsung sejak pukul 8 pagi tadi dan bakal berakhir pada pukul 5 petang.

Pilihan raya kecil DUN Kerdau menyaksikan saingan satu lawan satu antara BN yang diwakili Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44 dan PAS yang diwakili Hassanuddin Salim, 43.

Kerusi DUN berkenaan kosong berikutan kematian wakil rakyatnya daripada BN, Allahyarham Datuk Zaharuddin Abu Kassim pada 12 Februari lepas.

80 peratus keluar undi di Kerdau, cecah sasaran awal

Posted: 06 Mar 2011 12:43 AM PST

KUALA LUMPUR, 6 Mac — Kerusi Dewan Undangan Negeri Kerdau di Pahang telah mencapai sasaran 80 peratus keluar mengundi berdasarkan perkembangan setakat pukul 3 petang tadi.

Menurut maklumat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 79.44 peratus atau 7,149 orang telah keluar mengundi setakat 3 petang tadi.
Pengundian ditutup 5 petang ini.

Kerusi itu disaingi oleh Syed Ibrahim Syed Syed Ahmad dari BN dan Hassanuddin Salim mewakili PAS.
Sebelum ini SPR meletakkan sasaran 80 peratus keluar mengundi pada pilihan raya kecil di kawasan itu.

Bagaimanapun di Merlimau, kira-kira 72.6 peratus daripada 10,679 pemilih berdaftar telah keluar mengundi sehingga 3 petang.
SPR juga menyasarkan lebih 80 peratus pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil ini yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Roslan Ahmad, 44, dan calon PAS Yuhaizad Abdullah, 38.

Notis Rakyat Pada Najib Razak

Posted: 05 Mar 2011 11:00 PM PST

Kronologi pilihan raya kecil N28 Kerdau

Posted: 05 Mar 2011 10:30 PM PST

KERDAU : Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kerdau bermula hari ini di mana 8,999 pengundi berdaftar di kawasan itu akan membuat pilihan bagi menentukan wakil rakyat mereka di Dun berkenaan.

Proses pengundian bermula pada jam 8 pagi apabila pusat pengundian dibuka secara rasmi. SPR menguatkuasa had sempadan sejauh 50 meter bagi memisahkan penyokong parti yang bertanding.

Calon Pas, Hassanuddin Salim membuang undi di Telok Sentang manakala lawannya Syed Ibrahim Syed Ahmad pula membuang undi di Kuala Tekal.

Selepas membuang undi, Hassanuddin dilihat melawat ke pusat-pusat pengundian bagi bertemu dengan penyokong Pakatan Rakyat, antaranya di Desa Murni, salah satu kawasan peti undi yang dilihat bakal memenangkan Pas.

Beliau bertemu kira-kira 200 penyokong Pakatan Rakyat dan turut menyapa kira-kira 100 penyokong Umno yang berkumpul di situ. Pada pilihan raya umum lalu, BN hanya menang dengan majoriti tipis di kawasan berkenaan.

Kira-kira pukul 10.30 pagi tadi, peratusan keluar mengundi dilaporkan mencecah 40 peratus.

Timbalan pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar dilapor berkata, sekiranya jumlah keluar mengundi lebih 50 peratus menjelang tengahari, beliau yakin jumlah keseluruhan keluar mengundi akan mencecah 80 peratus.

Pilihan Raya Kecil ini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Zaharuddin Abu Kassim pada 12 Febuari lalu akibat serangan jantung.

Biarpun berdepan dengan pelbagai serangan dari Umno-BN, termasuk kempen secara kotor, Pas dijangka berpeluang untuk memenangi kerusi berkenaan dengan mendapat sokongan pengundi muda.

1:56 pm : Jumlah keluar mengundi hingga jam 1 tengahari telahpun mencapai 71.86% iaitu 6,467 pengundi.

1:00 pm : Biarpun di kebanyakan kawasan lain dalam suasana rehat, namun di SMK Kerdau, keadaan masih seperti awal pagi tadi. Perayu undi dan penyokong masih setia berpanas ditepi jalan dan masih saling berbalas sorakan sejak awal pagi.

Tinjauan mendapati kawasan ini adalah paling ramai dan menjadi tumpuan perayu undi berkumpul berbanding tempat-tempat lain.

12:58 pm : Jumlah keluar mengundi hingga jam 12 tengahari ialah seramai 5,874 orang – 65.29 peratus.

12:30 pm : Kebanyakan perayu undi kini sedang berehat. Suasana tengahari kelihatn tenang. Pengundi juga dilihat berkurang namun dijangka ramai sebelah petang.

12:11pm : Di Sek Keb Kuala Kerdau suasana tenang di sini. Kedua-dua penyokong berada pada jarak lebih kurang 50m. Masing-masing sedang berehat dibawah khemah yang disediakan.

Di SK Paya Taram. Petugas dan penyokong muslimat mula berhenti rehat untuk makan tengahari.

12:06 pm : SK Paya Taram: Petugas dan penyokong muslimat mula berhenti rehat untuk makan tengahari. Petugas dari parti DAP juga turut serta di SK Paya Taram, Kerdau

12:04 pm : KERDAU Jumlah keluar mengundi hingga jam 11 pagi ialah seramai 4,890 orang – 54.34 peratus.

11:48 am : Sek Keb Paya Taram: Kekecohan hampir tercetus ketika kehadiran Menteri Kesihatan Liow Tiong Lai. Kehadiran beliau disini dicemuh penyokong DAP dengan laungan 'MCA perosak Malaysia' sebagai melawan laungan 'Satu Malaysia' penyokong BN.

Keadaan itu kemudiannya mencetuskan perang mulut antara penyokong China DAP dan MCA sehingga hampir bertumbuk, namun ditahan anggota polis.

Menteri berkenaan kemudiannya beredar.

11:42 am : KERDAU Di Sek Keb Paya Taram: Pesuruhjaya PAS Wilayah, Mohd Nor Mohamad dan kumpulannya berada di sini sejak awal pagi.

"Pengundi di pusat ini adalah majoriti kaum Cina, jika peratusan keluar mengundi di sini tinggi, tidak mustahil berlaku kejutan".

Turut berada di sini petugas dari DAP dan Keadilan membantu merayu undi.

11:41 am : Keadaan di pusat pembuangan undi SK Paya Taram tenang. Penyokong kedua-dua pihak diletakkan pada jarak 150m dari pintu pagar pusat mengundi.

Keadaan di sini tenang, dan para penyokong setengahnya berehat dan makan tengahari yang disediakan parti masing-masing.

10:59 am : Pengarah Pilihan Raya PAS bagi PRK Kerdau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yakin peluang kemenangan PAS.

"Berdasarkan usaha yang kita dah buat dan respon yang kita dapat, saya yakin kejutan boleh berlaku di sini," katanya.

"Saya harap pengundi luar akan balik mengundi khususnya di kawasan Felda,"

"Walaupun ada sedikit kekecohan di beberapa tempat, keadaan masih terkawal. Biasalah penyokong saling cabar-mencabar".

"Kita mengharapkan 85% keluar mengundi hari ini".

"Dengan cuaca agak baik, pengundi mula ramai keluar mengundi berbanding pagi tadi," jelasnya berpuas hati dengan keadaan proses mengundi setakat ini.

10:58 am : Antara warga emas yang turun menunaikan tanggungjawab di pusat pembuangan undi SMK Kerdau.

Calon Pakatan Rakyat Hasanuddin Salim

10:52 am : Trak FRU yang di bawa masuk di pusat pembuangan undi SMK Kerdau.

10:50 am : Peratus keluar mengundi setakat jam 10 pagi adalah sebanyak 36.25 peratus atau seramai 3,262 orang.

10:46 am : Polis bagaimanapun mengarahkan individu berkenaan tidak lagi mengangkat akhbar tersebut setelah mencetus kemarahan penyokong lawan.

10:45 am : Pelbagai kaedah rayu undi dibuat, termasuk menayangkan muka depan sebuah akhbar mengaitkan skandal seorang Timbalan Menteri.



10:08 am : Di SMK Kerdau Polis bertindak menjarakkan kedua-dua penyokong di kedua-dua belah jalan kerana menyekat laluan kenderaan membawa masuk pengundi.

9:54 am : Anggota FRU memperketat kawalan di SMK Kerdau.

9:53 am : SMK Kerdau: Anggota keselamatan terus mengetatkan kawalan. Kedua-dua penyokong saling berbalas sorakan dan ada yang cuba melakukan provokasi.

9:50 am : Calon PAS, Hassanuddin Salim menunjukkan isyarat bagus, tanda puas hati dengan proses pengundian setakat ini.

9:47 am : Calon PAS kini menuju ke SK Kuala kerdau.

9:46 am : "Saya yakin kita boleh mencapai kemenangan. Saya harap petugas dan pihak keselamatan dapat menjaga keadaan harmoni sepanjang proses pembuangan undi," kata Hassanuddin.

9:42 am : Hassanuddin meninjau proses pembuangan undi di SMK Kerdau.

9:38 am : Calon PAS, Hassanuddin Salim ketika tiba di SMK Kerdau.

9:32 am : Hampir 200 penyokong PAS dan BN berada di SMK Kerdau. Tempat ini menjadi tumpuan selepas kekecohan berlaku sebentar tadi. Calon

tiba di sini jam 9.28 pagi tadi dengan menaiki motosikal. Beliau bertemu pengundi dan perayu undi termasuk dari BN sebelum masuk ke pusat pengundian.

Ditanya komen proses pengundian hari ini beliau berkata "Respon sangat baik diterima dari rakyat setakat ini, dan saya harap ianya berterusan".

9:18 am : FRU mengawal keadaan di SMK Kerdau.

9:17 am : Keadaan kembali tenang, namun anggota keselamatan masih berkawal disini.

9:13 am : Semakin ramai anggota polis mengawal di sini, penyokong diarah tidak melakukan provokasi kepada penyokong lawan.

9:09 am : Kekecohan yang dilaporkan sebentar tadi berlaku di jalan Tok muda Malek, laluan menuju ke Sek Men Keb Kerdau.

9:03 am : SMK Kerdau: Keadaan hampir mencetuskan pergaduhan namun ditenangkan oleh anggota parti masing-masing. Pasukan FRU kini dikerah berkawal di sini.

9:01 am : Para perayu undi saling berbalas sorakan disamping mengajak pengundi yang melalui jalan tersebut mengundi parti masing-masing.

Berlaku sedikit kekecohan di hadapan sek ini apabila penyokong BN mendekati kumpulan penyokong PAS sambil melaungkan sesuatu.

8:59 am : Suasana penyokong yang mula memenuhi bahu jalan di pusat pembuangan undi SMK Kerdau.

8:49 am : SMK Kerdau: Perayu undi dari kedua-dua belah pihak memenuhi kedua belah jalan menuju pintu masuk.

8:19 am : Calon PAS, Hassanuddin Salim akan memulakan lawatan ke tempat mengundi jam 8.20 pg di Sek. Keb. Paya Taram

8:00 am : Pusat pembuangan undi mula dibuka.

7:55 am : Proses pembuangan undi bagi PRK Kerdau berlangsung hari ini.

Kronologi hari pengundian PRK N27 Merlimau

Posted: 05 Mar 2011 10:19 PM PST

Penyokong dan perayu undi Pakatan Rakyat di Merlimau

MERLIMAU 6 Mac: Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri N27 DUN Merlimau hari ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara PAS yang diwakili Yuhaizad Abdullah dan Barisan Nasional (BN) Roslan Ahmad.

Kawasan ini mempunyai hampir 64.69 % pengundi Melayu, 21.11 % pengundi Cina dan hampir 15 peratus pengundi India. Sejumlah 10,679 orang layak mengundi dan menurut ramalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dijangka hampir 80 peratus pengundi akan keluar mengundi hari ini.

Pilihan raya kecil ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan pada 20 Januari lepas akibat serangan jantung.

SPR dijangka akan mengumumkan keputusan pilihan raya kecil N27 Merlimau pada jam 8 malam.

1:53 pm : Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong dan sekumpulan petugas DAP bergegas ke Pasar Merlimau. Makluman awal terdapatnya sogokan rasuah undi disitu. Kesahihan berita akan dimaklumkan kemudian.

1:44 pm : Sehingga jam 1 tengahari, 61.38 % atau 6,555 daripada 10,679 pengundi di Merlimau sudah keluar mengundi

1:31 pm : Penyokong PAS ada sedang menjamu selera di markaz-markaz, di bawah pokok dan tidak kurang juga di pondok hentian bas.

1:27 pm : Calon berhenti rehat makan tengahari dan solat di UPU Pengkalan Samak.

12:56 pm : S.J.K (Cina) Merlimau – Calon PAS, Yuhaizad Abdullah sampai di sana melihat proses perjalanan membuang undi.

12:54 pm : Penyokong BN di semua UPU semakin berkurang dan ada yang tiada langsung berhenti makan tengahari. Penyokong PAS juga berhenti makan dan solat zuhur bergilir-gilir tanpa meninggalkan laluan pengundi.

12:40 pm S.K Merlimau 2 – Sebanyak 259 dari 572 orang sudah keluar mengundi. 51.2% Melayu, 45.0% Cina dan 39.1% India.

12:36 pm : Sehingga jam 11 pagi, 43% atau 4,571 sudah keluar mengundi.

12:32 pm : S.J.K (Cina) Merlimau – Seorang jurukamera bebas ditahan penyokong BN kerana mengambil gambar pengundi yang beratur di sebuah rumah penyokong BN.

12:27 pm : S.J.K (Cina) Jasin Lalang – Ketua Pemuda PAS Melaka, Kamaruddin Sidik dan Setiausaha Perhubungan PAS, Harun melihat keadaaan penyokong PAS di sini.

Penyokong dan perayu undi membawa plakad menyeru pengundi Merlimau menyokong calon Pakatan Rakyat.

12:21 pm : S.K Merlimau 1 – Kenderaan Jabatan Pertahanan Awam (JPA) yang berulang alik menimbulkan rasa pelik penyokong PAS.

12:18 pm S.K Merlimau 1 – Kereta Jabatan Penerangan memasang speaker besar melaungkan-laungkan lagu, "marilah-mari pergi mengundi…"

12:15 pm S.J.K (Cina) Merlimau – KM Melaka, Datuk Ali Rustam disambut dengan sorakan, "rasuah, rasuah…"

12:05 pm : Calon PAS, Yuhaizad Abdullah sedang menuju ke S.J.K (Cina) Merlimau, UPU Pengkalan Samak.



12:03 pm : S.J.K (Cina) Jasin Lalang – Penyokong BN sudah berkurangan, masing-masing lari mencari tempat teduh. Penyokong PAS yang berada di tempat teduh masih berada di laluan mengundi.

11:58 am : Calon PAS masih di S.K Merlimau 2, keadaan trafik masih sesak. Pemuda BN bermotor masih lagi membuat bising tanpa memakai topi kaledar.

11:56 am : Kemaskini di S.J.K (Cina) Jasin Lalang – Saluran 1, yang sudah keluar mengundi 112 orang dan 133 undi dari saluran 2.

11:49 am : S.K Chinchin – Kelihatan sebuah bas Yayasan Melaka dan Trak TNB. Dikhuatiri pembawa pengundi hantu.

11:32 am : Calon PAS, Yuhaizad Abdullah tiba di pusat mengundi S.K Merlimau 1 disambut sorakan takbir penyokong PAS.

11:31 am :S.J.K (Cina) Jasin Lalang – Beberapa orang petugas SPR dilihat sedang merayu undi bagi calon BN di pondok SPR. Petugas PAS yang membantah diugut diam. Beberapa orang penyokong BN juga dilihat berada di pondok SPR.

11:19 : S.K Merlimau 2 – Kenderaan KM Melaka, Datuk Ali Rustam yang lalu disorak suka penyokong BN dan KM turut bersorak slogan BN, penyokong PAS berteriak "BN rasuah".

11:14 am : Calon PAS, Yuhaizad Abdullah mula bergerak menuju ke S.K Merlimau 1.

11:12 am : S.J.K (Cina) Jasin Lalang – Penyokong BN bersorak membakar api perkauman/keagamaan dengan mengatakan "orang India nak masuk Islam ke sokong PAS?"

11:11 am : Calon PAS sedang dikerumuni petugas media di hadapan markaz induk PAS. Beliau menyatakan keyakinan kemenangan PAS dari sambutan pengundi di sini.

11:09 am : Peratusan keluar mengundi saluran 1 & 2 cukup tinggi. Peratusan saluran ini lebih 35% sudah keluar. Saluran 3 & 4 masih berkurangan.

11:03 am : S.J.K (Cina) Jasin Lalang – Suasana semakin hangat dengan sorakan. Penyokong PAS semakin bertambah dengan kehadiran petugas PKR membantu meraih undi.

10:59 am : Calon PAS, Yuhaizad dan isteri singgah di Bilik Gerakan sebentar melihat perjalanan tugasan petugas PAS dekat sini.

10:51 am :Hanya pondok SPR sahaja yang ada. Ini memberi kesulitan bagi para pengundi andai berlaku penyelewengan status mengundi.

10:55 : Kebanyakan peti undi tidak dapat di dirikan pondok panas. Agak sukar petugas khususnya petugas IT untuk membuat semakan pengundi.

10:40 am : S.K Merlimau – Konvoi motosikal BN membuat bising. Kumpulan ini dilaporkan berlegar di sekitar pekan Merlimau. Mereka mengebarkan bendera BN.

Sehingga jam 10.45 pagi, 30% atau 3,175 orang sudah keluar mengundi.

10:38 am : S.J.K (Cina) Jasin Lalang – Timb Pesuruhjaya PAS Melaka Adly Zahari dan pimpinan PAS lain turut meninjau petugas PAS dekat sini.

10:35 am : S.K Merlimau 1 – 2 pemuda penyokong BN yang membawa bendera BN ditahan polis selepas didesak penyokong PAS membuang bendera yang dibawa. Suasana kecoh sebentar.

10:33 am : S.K Merlimau 1 – Penyokong BN mula membuat kecoh, membawa gambar lucah Tuan Guru Nik Aziz diliwat Anwar Ibrahim. Mereka cuba membuat provokasi pasa penyokong PAS. Pihak polis cuba meredakan ketegangan di antara kedua penyokong.

10:27 am : S.K Merlimau – Penyokong BN semakin berkurang berikutan kawasan merayu undi mereka mula dibahang panas terik matahari. Penyokong PAS masih bertenaga merayu berada di kawasan redup.

Calon Pas, Yuhaizad Abdullah membacakan doa sebelum bergerak melawat UPU, pagi tadi

10:25 am : S.J.K (Tamil) Jasin Lalang – Calon PAS, Yuhaizad Abdullah sedang menuju ke S.K Merlimau 2 UPU Merlimau Utara.

10:05 am : Calon PAS, Yuhaizad Abdullah tiba di S.J.K (Tamil) Jasin Lalang.

9:59 am : S.K Merlimau 2 – Sekumpulan pemuda bermotor dan berbaju biru tua (BN) masih membuat bising seperti di pusat mengundi yang lain.

9:56 am : S.K Merlimau – Petugas PKR dan DAP turut sama merayu undi. Suasana di sana hangat dan terkawal.

9:48 am : S.J.K (Cina) Jasin Lalang – Calon PAS, Yuhaizad Abdullah mula bergerak meninggalkan pusat mengundi.

9:44 am : S.J.K (Cina) Jasin Lalang – Pihak polis cuba menghalang muslimat PAS Negeri Melaka mengiring isteri calon, Shakila Mohamad. Lagak polis kecoh bagai menahan seorang pencuri.

9:41am : Setakat jam 9 pagi, peratusan keluar undi sudah keluar, 15.55 peratus atau 1,399 orang sudah mengundi.

9:36 am : S.K Chinchin – Bekas calon PAS di Merlimau PRU 2008 sebelum ini, Mejar (B) Jasmee Tompang turut membuang undi pagi ini.

9:28 am : S.J.K (Cina) Jasin Lalang – Keadaan 200 penyokong BN dan PAS masih yang rancak merayu undi.

8.00 am: Pusat pengundian dibuka secara rasmi bagi kawasan pilihan raya ini. Pengundi dinasihatkan supaya keluar awal kerana ribut petir dijangka berlaku di sebelah petang.

8.23 am : Petugas media ramai membuat liputan di 7 pusat mengundi dekat sini, terutamanya pusat mengundi yang dilawat 2 calon bertanding.

8.07 am: Pasukan Unit Amal PAS bersedia untuk bertugas mengawal keselamatan petugas parti, bilik gerakan dan pengundi. Deretan perayu undi dari kedua-dua buah parti bertanding sudah membanjiri jalan menuju pusat mengundi. Keadaan dilaporkan masih tenang.

Hari ini juga berlangsung serentak pengundian bagi pilihan raya kecil bagi Dun Kerdau di Pahang. PAS diwakili Hassanuddin Salim dan BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad.

8.00 am : Pusat pengundian mula dibuka.

Fitnah beli tanah peneroka, Tuan Ibrahim failkan saman Utusan, TV3

Posted: 05 Mar 2011 10:14 PM PST

Naib Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berhasrat memfailkan saman terhadap akhbar Utusan Malaysia dan TV3 kerana memfitnah beliau kononnya mengambil kesempatan di atas kedaifan peneroka Felda untuk membeli tanah mereka, lapor Harakahdaily.

Utusan dan Buletin Utama TV3 semalam menyiarkan fitnah berkenaan meskipun pembeli sebenar, Ibrahim Osman, tampil menafikan perkara itu dalam satu sidang akhbar lewat petang semalam.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang dalam sidang media di markas induk Pas di Kerdau petang semalam berkata, beliau tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan isu itu dan hanya membantu meminjamkan wang kepada Ibrahim.

"Media dan Umno hanya cuba mengalih isu sebenar di Kerdau iaitu masalah hutang kerajaan negeri dengan membangkitkan perkara yang tidak benar ini," katanya.

Harakahdaily difahamkan Tuan Ibrahim akan berbincang dengan peguamnya untuk memfailkan saman tersebut serta beberapa pihak lain dalam masa terdekat.

Sementara itu, pemilik tanah berkenaan, Ibrahim Osman semalam membidas Umno kerana membuat fitnah itu, termasuk melaporkan 'tuan tanah yang asal' kini hidup dalam serba kedaifan.

"Saya sangat dukacita dengan tuduhan itu kerana hasrat beliau (Tuan Ibrahim) untuk membantu saya dan peneroka berkenaan telah bertukar menjadi satu fitnah terhadap beliau.

"Hasil dari jualan tanah Felda tersebut, peneroka berkenaan telah berjaya membangunkan 15 ekar ladang sawit dan juga ternakan kambing dan lembu, bukannya menjadi daif sebagaimana didakwa," kata Ibrahim.

Tentera Gaddafi mengganas di Zawiya

Posted: 05 Mar 2011 04:00 PM PST

http://kosmo.com.my/kosmo/pix/2011/0306/Kosmo/Dunia/du_01.1.jpg


SEORANG anggota penentang Gaddafi membidik meriam antipesawat di Zawiya kelmarin.

ZAWIYA - Pertempuran sengit tercetus antara tentera yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dan kumpulan penentang di bandar ini semalam, lapor sebuah akhbar.

Kumpulan penentang mendakwa, mereka berjaya menawan semula Dataran Jihad di pusat bandar ini selepas mematahkan serangan briged elit Gaddafi yang memasuki bandar ini dengan dibantu beberapa kereta kebal dan artileri pada pagi semalam.

"Beratus-ratus askar Gaddafi yang dibantu beberapa kereta kebal memasuki bandar ini sekitar 6 pagi. Penduduk bandar ini bangkit menentang mereka dan telah mencapai kemenangan setakat ini," kata jurucakap kumpulan penentang, Youssef Shagan.

Serangan ke atas Zawiya yang terletak sekitar 48 kilometer dari ibu negara Libya, Tripoli menyaksikan kumpulan penentang yang sebahagian besarnya cuma bersenjatakan senapang patah dan pedang, bertempur dengan briged elit Gaddafi yang dibantu beberapa kereta kebal, meriam dan mesingan berat.

"Pasukan keselamatan Gaddafi membunuh dengan sewenang-wenangnya termasuk orang awam. Situasi di bandar ini lebih dahsyat daripada Iraq," kata seorang saksi.

"Imam-imam di sini telah mengisytiharkan jihad ke atas tentera Gaddafi," tambahnya.

Saksi berkenaan memaklumkan situasi tersebut dalam satu wawancara telefon.

Dalam perkembangan berkaitan, stesen televisyen Al-Jazeera melaporkan, beberapa pegawai perubatan sebagai berkata, angka kematian orang awam di sini setakat semalam telah melebihi 40 orang.

Antara yang terbunuh termasuk komander kumpulan penentang di Zawiya, Hussein Darbouk.

Sementara itu, lebih 17 orang terbunuh selepas depot simpanan peluru yang ditawan kumpulan penentang di bandar Benghazi, selatan Libya meletup semalam dipercayai akibat perbuatan sabotaj ejen Gaddafi.

Kebangkitan rakyat menentang pemerintah Libya, Muammar Gaddafi tercetus sejak beberapa minggu lalu.

Protes tersebut didorong oleh kebangkitan rakyat Tunisia dan Mesir yang memaksa Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali dan rakan sejawatnya dari Mesir, Hosni Mubarak meletak jawatan.

Di Libya, orang ramai berang kerana Gaddafi, 68, gagal membasmi kemiskinan dan gejala rasuah selepas mentadbir negara itu selama 41 tahun. - Agensi

Tiada ulasan: