Sabtu, 5 Mac 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Keputusan Liga Perdana Inggeris

Posted: 05 Mar 2011 02:12 PM PST

England - Premier League
22:11March 5

FTBirmingham C.1 - 3West Bromwich A.

FTArsenal0 - 0Sunderland

FTBolton W.3 - 2Aston Villa

FTFulham3 - 2Blackburn R.

FTNewcastle U.1 - 2Everton

FTWest Ham U.3 - 0Stoke C.

FTManchester C.1 - 0Wigan Athletic

Arab Saudi haramkan protes, tunjuk perasaan

Posted: 05 Mar 2011 02:07 PM PST

RIYADH, 5 Mac — Arab Saudi mengharamkan semua bentuk protes dan tunjuk perasaan, demikian menurut televisyen kerajaan hari ini yang memetik Kementerian Dalam Negeri.

Arahan itu dikeluarkan ekoran tunjuk perasaan kecil yang diadakan oleh kumpulan minoriti Syiah di wilayah timur negara itu.

Pasukan keselamatan akan menggunakan apa jua cara untuk menghalang tindakan-tindakan yang boleh menjejaskan keamanan awam, kata saluran al-Ekhbariya tanpa memberikan sebarang maklumat lanjut.

Laporan semalam menyebut negara-negara rantau Timur Tengah kini berhadapan dengan gelombang baru peringkat kedua. — Reuters

Santai bersama Ketua AMK Pusat

Posted: 05 Mar 2011 07:00 AM PST

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin menjemput para revolusioner untuk berehat dan beramah mesra bersama beliau dalam Sesi Bersama Ketua AMK bertempat di Restoran NZ KLCC pada 6 Mac ini.

Program anjuran AMK ini bertujuan untuk berkongsi idea, pendapat dan permasalahan untuk diselesaikan secara bersama, selain berbincang mengenai perkembangan politik tempatan dan dunia.

Sebarang pertanyaan dan pengesahan dipersilakan berhubung melalui amkmalaysia@gmail.com.

Cubaan Guling Kerajaan : Muhyidin Dicabar Kemukakan Bukti

Posted: 05 Mar 2011 06:30 AM PST

1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) mencabar Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin supaya mendatangkan bukti yang jelas terhadap tuduhannya yang menyatakan pembangkang sedang menghasut dan memprovokasi rakyat bagi menggulingkan kerajaan seperti yang sedang berlaku di negara Asia Barat. Kenyataan beliau ini disiarkan di muka hadapan akhbar Berita Harian, 5 Mac 2011.

2. DPPNK menyifatkan kenyataan tersebut sebagai satu tuduhan rambang dan berniat jahat serta bertujuan untuk memburuk-burukkan Pakatan Rakyat di mata rakyat Malaysia khususnya di DUN Kerdau dan Merlimau yang akan menyaksikan pilihanraya kecil pada 6 Mac 2011.

3. DPPNK ingin menyatakan bahawa Pakatan Rakyat selaku pembangkang di parlimen sentiasa menjunjung amalan demokrasi sihat yang dijamin oleh perlembagaan. Hakikatnya, yang sering mencabul demokrasi ialah Barisan Nasional yang seringkali bertindak di luar daripada lunas-lunas demokrasi.

4. Sebelum Tan Siri Muhyidin menuding jari kepada pembangkang, beliau perlu menjelaskan tindakan-tindakan Barisan Nasional yang tidak demokratik seperti menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat. Selain itu, tindakan tidak demokratik juga tercermin melalui tindakan Barisan Nasional yang menafikan royalti minyak sebelum ini kepada negeri Terengganu sewaktu diperintah oleh PAS dan sekarang Kelantan yang menerima nasib yang sama.

5. Adakah tindakan menyertai pilihanraya dan membuat penjelasan kepada rakyat agar tidak mengundi Barisan Nasional merupakan satu tindakan yang salah? Jika demikian, apa pula penjelasan Tan Sri Muhyiddin terhadap tindakan Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan yang melancarkan Gelombang Merah yang jelas ingin menggulingkan kerajaan negeri Kelantan?

6. Justeru, DPPNK menuntut agar Tan Sri Muhyiddin menyatakan secara terperinci tuduhan yang dilemparkan oleh beliau. Jika tidak, jelas sekali tuduhan tersebut hanyalah merupakan tuduhan rambang dan bertujuan untuk memfitnah Pakatan Rakyat.

Sekian.

Yang menjalankan tugas,

AHMAD FADHLI BIN SHAARI

Ketua Penerangan,

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

Bertarikh : 5 Mac 2011

Perutusan Khas buat Pengundi DUN Merlimau dan Kerdau

Posted: 05 Mar 2011 06:00 AM PST

oleh Nasrudin Hassan

1. Segala puji bagi Allah swt Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penerima Taubat. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasul saw. Nabi akhir zaman yang telah menyelamatkan manusia dari kegelapan jahiliyyah menuju cahaya hidayah Allah swt. Salam persaudaraan dan salam perjuangan jua saya hulurkan buat semua pengundi di dalam N 27 DUN Merlimau dan N 28 DUN Kerdau.

2. Tidak sampai 13 jam lagi menanti detik pembuangan undi serentak di DUN Merlimau dan Kerdau. Ia juga menjadi detik penentuan antara Pakatan Rakyat yang diwakili oleh PAS dan Barisan Nasional yang diwakili oleh UMNO.

3. Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia mengharapkan kejayaan berpihak kepada PAS yang mewakili Pakatan Rakyat di kedua - dua DUN Merlimau dan Kerdau meskipun menyedari PR menghadapi laluan sukar untuk memenangi pilihanraya kecil ini. Namun ia bukanlah misi mustahil untuk PR membuat sebarang kejutan dengan memenangi pilihanraya ini ataupun mengurangi majoriti yang telah dimiliki oleh BN melalui pilihanraya umum 2008 yang lalu.

4. Kedua - dua calon PAS, Sdr Hasanuddin di Kerdau dan Sdr Yuhaizat di Merlimau turun dengan yakin dan optimis untuk membawa pulang kemenangan dengan harapan pengundi memberi peluang kepada PAS untuk menghantar seorang lagi wakil rakyat ke DUN Pahang dan wakil tunggal PAS di DUN Melaka.

5. Saya percaya kepada kebijaksanaan pengundi dalam menilai erti pilihanraya sebagai peluang untuk memilih pemimpin yang amanah, bertanggungjawab serta mampu membawa suara rakyat yang diwakili ke DUN. Pemimpin yang mampu mendokong dasar yang baik dan berani menegur penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa jika berlaku dan dilakukan oleh pihak pemerintah.

6. Calon yang mewakili PR tentunya tidak akan menjadi "Pak Angguk" atau "Mr. Yes Man" kepada pemerintah sebaliknya tegas membawa suara rakyat dan memperjuangkan hak mereka yang diwakilinya sekaligus berperanan sebagai "check and balance" di dalam DUN.

7. Pilihanraya bukan soal jalanraya dan pilihanraya juga bukan soal projek mee segera tetapi pilihanraya adalah untuk masa depan bangsa dan negara dengan membuat pilihan yang betul, memilih pemimpin yang berwibawa.

8. Akhirnya saya mewakili seluruh warga Dewan Pemuda PAS Malaysia merayu kepada semua pengundi agar memberi satu peluang kepada PAS mewakili PR untuk memainkan peranan penting sebagai pemimpin yang diamanahkan membawa dan memperjuangkan hak dan nasib rakyat setelah rakyat telah menilai peluang yang diberikan sejak 53 trahun lalu kepada UMNO dan BN.

9. Dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS insyaallah akan menjadi sandaran penting untuk wakil rakyat kita berfungsi sebagai pemimpin harapan ummah dengan memikul segala tanggungjawab dan amanah dengan baik dan jayanya.

10. Saya ucapkan selamat mengundi buat semua pengundi yang budiman. Hadhirlah mengundi dengan tenang dan sikap yang positif tanpa memberi ruang kepada pelbagai pihak mempengaruhi pemikiran pengundi secara ugutan dan sogokan material justeru maruah dan prinsip pengundi tentunya tidak boleh ditimbang jual semurah nilai ringgit.

Siapa pilihan pengundi Kerdau

Posted: 05 Mar 2011 05:30 AM PST

Analisa oleh Hafis Baki

TEMERLOH, 5 Mac: Tinggal beberapa jam sahaja lagi sebelum tamat tempoh berkempen kepada PAS yang mewakili Pakatan Rakyat dan Umno (Barisan Nasional) yang bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau.

Menjelang hari terakhir, penyokong kedua-dua parti daripada luar kawasan mula tiba sejak semalam.

Kebetulan dengan cuti hujung minggu pengunjung semakin ramai membanjiri kawasan pilihan raya menjadikan jalan -jalan utama khususnya yang menempatkan bilik gerakan utama PAS dan BN mula sesak dengan deretan kenderaan.

Tidak ketinggalan bandar Temerloh yang terletak beberapa kilometer sahaja daripada kawasan pilihan raya telah sesak sejak tengahari ekoran pengunjung mengambil peluang merasai masakan ikan patin di situ.

Kehadiran dijangka semakin bertambah menjelang malam ini dan esok.

Sementara jentera kempen kedua-dua parti pula semakin aktif menjalankan kerja meraih undi yang hanya berbaki beberapa jam sahaja lagi sebelum tempoh berkempen ditutup secara rasmi menjelang jam 12 malam ini.

Masing-masing menambah kekuatan hampir dua kali ganda berbanding beberapa hari pertama selepas penamaan calon.

PAS dilihat memberi tumpuan saat-saat akhir ke kawasan Felda yang dikatakan kubu kuat kepada BN.

Sejak pagi, kenderaan membawa perayu undi PAS dan Pakatan Rakyat salih berganti memasuki Felda meliputi Jengka 22, Jengka 23 dan jengka 25.

Majlis makan tengahari bersama Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob di Jengka 23 hari ini dilihat salah satu sentuhan terakhir PAS mendapatkan semaksima mungkin undi para peneroka.

Malam tadi, Persatuan Anak - anak Peneroka Kebangsaan (Anak) berjaya menubuhkan cawangannya di Jengka 25 iaitu satu-satunya kawasan Felda yang paling sukar ditembusi oleh PAS lemah dalam DUN Kerdau.

"Undi dari kawasan Felda boleh dikatakan penentu, sekiranya peneroka melakukan kejutan BN akan kecundang," kata Nizam Hamid yang mengetuai jentera Parti Keadilan Rakyat membantu PAS sepanjang hari berkempen.

Bagaimanapun BN dilaporkan mengarahkan petugas-petugasnya terus berkubu di rumah peneroka untuk menghalang kemaraan PAS.

PAS sebelum ini mendakwa BN meletakkan pengurus-pengurus Felda di setiap blok rumah dalam kawasan Felda untuk memantau setiap perkembangan yang berlaku.

Dalam pilihan raya umum lepas, ketiga-tiga tanah rancangan Felda itu menjadi penyumbang utama kemenangan BN mengatasi PAS dengan mejoriti 1698 undi.

Di Jengka 22, dalam PRU 2008, BN mengatasi PAS sebanyak 105 undi, Jengka 23 (101 undi) dan di Jengka 25 BN mengatasi PAS dengan mejoriti 233 undi.

Dalam pada itu, di pihak BN pula, kempen mereka masih diteruskan dengan program kenduri meraikan pengundi dibilik-bilik gerakan utama yang telah dimulakan sejak hari pertama berkempen lagi.

Perayu-perayu undi BN juga dilihat masih agresif di kampung-kampung tradisional yang mana kekuatan mereka dengan PAS boleh dikatakan hampir setara seperti Teluk Sentang, Pulau Pasir Mandi, Batu Sawar, Kuala Kerdau dan Desa Murni.

Seorang pemerhati, Mohd Saludin Omar meramalkan PAS boleh menang kali ini berdasarkan gerak kerja dan sambutan pengundi di kampung-kampung tradisional.

Saludin yang juga bekas wakil rakyat BN dari tahun 1974 hingga 1982, berkata, beliau sendiri dapat merasakan gelombang perubahan itu setelah beberapa hari membuat kajiannya sendiri.

'Tetapi ia masih bergantung kepada sogokan wang dan ugutan, kalau terlalu ketara pengundi dari kawasan kampung tradisional juga boleh berubah (memilih BN) katanya.

Menurut bekas wakil rakyat itu, penduduk kampung mahukan perubahan setelah terkongkong lama di bawah BN

"Saya mempunyai keluarga yang ramai di sini dari Desa Murni hinggalah ke Jenderak sampai seberang sungai dan 'round' rata jumpa mereka sempena PRK Kerdau ini, jelas mereka mahu menolak BN," katanya.

Sepanjang kempen bermula 26 Febuari lalu, PAS lebih memfokoskan isu-isu setempat sebagai senjata utama memenangi hati pengundi.

Pelbagai pendedahan yang membongkar kepincangan serta kelemahan urustadbir BN menjadi topik utama dalam ceramah-ceramah kelompok atau majlis penerangan sewaktu bertemu pengundi.

Strategi membawa media melihat bukti-bukti fizikal atas setiap dakwaan yang dikemukakan terhadap BN selain mengemukakan bukti-bukti bertulis turut dilihat sebagai strategi kempen yang berkesan dalam mempengaruhi pengundi.

Antara yang didedahkan oleh PAS ialah kemunduran Kerdau, pembaziran projek kuaters polis yang terbengkalai di pekan Kerdau, rumah terbengkalai di Paya Taram dan masalah air di beberapa kampung sepanjang Sungai Pahang.

Kelemahan urus tadbir kerajaan negeri yang turut memberi kesan langsung kepada rakyat Pahang dan isu melibatkan peneroka yang merupakan sebahagian besar pengundi Kerdau turut mewarnai kempen PAS selama sembilan hari ini.

BN pula mengambil pendekatan menyerang PAS atas isu lama berbentuk propoganda seperti digunakan dalam kempen di mana-mana PRK sebelum ini.

Antaranya PAS dituduh pengkhianat, pemecah belah orang Melayu dan digambarkan sebagai berbahaya kerana bekerja sama dengan DAP.

"Undi kebenaran, selamatkan Malaysia dan "Jangan undi harapan dan pembohongan," merupakan antara slogan kempen BN yang dipamerkan di bahu-bahu jalan.

Bagaimanapun BN kurang menggunakan isu pembangunan - satu isu yang mereka tidak dapat buktikan di Kerdau.

Di seluruh Kerdau terdapat dua sahaja papan tanda BN sebagai usaha untuk cuba mengambarkan kemajuan yang telah di bawa iaitu sebuah Sekolah Menengah Integrasi dan sebuah klinik desa.

Selain itu, isu Datuk Seri Anwar Ibrahim turut digunakan oleh BN menjelang hari-hari terakhir berkempen dengan menampilkan personaliti seperti Ezam Mohd Nor dan Ummi Hafilda dalam ceremah-ceramah yang dianjurkan.

Panas Di Kelantan. MCA Mengamuk Apabila Premis Loteri Diserbu. Siapa Anti Islam?

Posted: 05 Mar 2011 04:57 AM PST

http://a5.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc6/198397_10150103301912592_358919387591_6967043_5587368_n.jpg

Umno tolong jawab! jangan jadi puak islam hanyut macam kapir jugak.

Mahkamah perlu bebas dari bayangan politik

Posted: 05 Mar 2011 03:00 AM PST

KUALA LUMPUR: Mahkamah perlu bebas dari bayangan politik ketika mengendalikan kes melibatkan ahli politik termasuk dalam kes Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno, kata peguam, Yusmadi Yusoff.

"Kita mahukan satu kaedah yang jelas tanpa bayangan politik dalam badan kehakiman kerana melambangkan tindak-tanduk sebenar badan kehakiman," kata kepada KeadilanDaily.

Yusmadi kesal kerana banyak wujud dwistandard atau berat sebelah dalam kes melibatkan individu politik dan memberi kesan keyakinan negatif terhadap masyarakat umum.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Seremban, Amran Jantan Mustafa Amran membebaskan dua dari tiga pertuduhan rasuah terhadap Adun Lenggeng, Mustafa Salim.

Adun Lenggeng, Mustafa Salim didapati bersalah menerima suapan RM2,000 daripada seorang kontraktor bertujuan mengeluarkan surat sokongan berkaitan dengan projek pasir, lebih dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Mustafa 'terlepas' dua lagi tuduhan menerima rasuah daripada M Manimaran untuk tujuan sama.

Malah, keputusan berkaitan hukuman yang dijatuhi terhadap Adun Umno petang semalam, ditangguh kepada 1 April ini, hingga menimbulkan desas desus ia adalah usaha awal bagi mengelak pilihan raya kecil (PRK).

Ia berikutan tarikh akhir untuk mengadakan PRK ialah 25 April.

Hanya mereka yang makan cili terasa pedasnya, kata Anwar

Posted: 05 Mar 2011 02:30 AM PST

KUALA LUMPUR: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbandingan yang dibuat pimpinan Pakatan Rakyat mengenai situasi di Timur Tengah dan Afrika Utara bertujuan agar kerajaan Malaysia di bawah Umno Barisan Nasional (BN) mengambil iktibar dan melakukan tuntutan perubahan.

"Sebenarnya apa yang Pakatan Rakyat lakukan sekadar mengingatkan kerajaan agar mengambil iktibar akan beberapa persoalan mendasar yang menjadi punca kemarahan penduduk di Libya, Mesir dan Tunisia misalnya.

"Apakah peringatan yang diungkapkan kita agar kekayaan jangan hanya tertumpu kepada segelintir manakala masih ramai yang terpaksa membanting tulang untuk sesuap nasi itu suatu usaha meniup kebencian?

"Apakah usaha kita mendedahkan betapa 1.36 juta (34 peratus) dari 4 juta pekerja di Malaysia dibayar kurang dari RM700 sebulan, manakala 40 peratus dari keseluruhan rakyat Malaysia hanya menikmati pendapatan isi rumah kurang dari RM1500 itu suatu usaha hasutan," kata Anwar di blognya hari ini.

Beliau mengulas demikian berikutan laporan media arus perdana hari ini berhubung amaran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin kepada Pembangkang supaya tidak bermain api dengan menghasut rakyat menggulingkan kerajaan seperti yang sedang berlaku di Timur Tengah.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan, hanya mereka yang memahami demokrasi itu sekadar pilihan raya lima tahun sekali menganggap usaha mengungkapkan kebenaran sebagai suatu hasutan.

"Nah sekarang apa bezanya propaganda diktator di sana dengan regim Umno BN di sini? Ternyata yang menghasut dan meniup kebencian adalah pimpinan Umno BN, bukannya Pakatan Rakyat.

"Hampir setiap hari tohmahan dilemparkan kepada pimpinan Pakatan Rakyat seumpama agen pengkhianat dan agen asing.

"Modus operandi yang sama digunakan oleh diktator di Mesir dan Libya terhadap penentangnya (sebelum ini)," ujar beliau.

Bezanya di Malaysia, kata Anwar regim pemerintah berusaha menghalang kemaraan perubahan dengan fitnah liwat.

"Persoalannya mengapa pimpinan Umno BN begitu gusar dengan perubahan yang melanda Timur Tengah dan Afrika Utara sekiranya negara kita tidak berhadapan dengan permasalahan tersebut.

"Oleh kerana terlalu takut, (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak, sepertimana yang dilaporkan National Review, sanggup meragui ulama terkenal, Sheikh Yusuf al Qaradawi serta menuduh gerakan Ikhwan al Muslimun masih terbabit dengan keganasan.

"Apa yang pasti, laungan mahu melaksanakan perubahan oleh pimpinan Umno hanya sekadar kosmetik politik," tegas Anwar.

Rakyat Malaysia jelas beliau kian sedar bahawa pengumuman demi pengumuman yang dibuat kerajaan hanya memberi manfaat segelintir kecil kroni elit yang rapat dengan pemimpin Umno BN.

"Justeru kepada pemimpin Umno BN yang mengeluarkan amaran itu, saya ingatkan mereka, 'Hanya mereka yang makan cili terasa pedasnya'," jelas Anwar.

Sambutan 3 Tahun Pakatan Rakyat Kedah

Posted: 05 Mar 2011 02:00 AM PST

Sempena Sambutan 3 Tahun Kedah Sejahtera Di Bawah Pemerintahan Pakatan Rakyat, satu ceramah perdanan diadakan di Kompleks PAS Batu 9, Jalan Kota Sarang Semut, Pendang pada 8 Mac ini.

Program itu dijadual bermula antara jam 9 malam hingga 12 tengah malam.

Antara penceramah yang bakal menyampaikan ucapan ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giow.

Debat Dr M – Husam, SAMM tawar diri jadi penganjur

Posted: 05 Mar 2011 01:30 AM PST

KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menawar diri untuk menjadi penganjur debat berkaitan isu pengkhianat Melayu antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Husam Musa.

Sehubungan itu, Pengerusinya, Badrul Hisham Shaharin, berkata pihaknya akan mengirim surat kepada Mahathir dan Husam pada Isnin ini, bagi merealisasikan debat berkenaan.

"Diharap kedua-dua pihak mengetepi ego demi bersama membina bangsa dan negara ini," katanya pada satu kenyataan media, hari ini.

Husam sebelum ini mengajak Mahathir berdebat secara terbuka dalam isu Melayu berikutan tuduhan melulu bekas Perdana Menteri itu terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

SAMM adalah organisasi gerakan anak muda Malaysia yang menyatukan perbagai anak muda dari perbagai latar.

Dalam kenyataannya, Badrul juga meminta semua pihak supaya tidak memandang debat sebagai pergaduhan, sebaliknya praktik yang harus dilakukan dalam mencari idea yang matang dan bernas.

"Debat adalah budaya politik sihat. Debat Mahathir – Husam mungkin boleh menjadi titik temu penting dalam mencari tapak mula melonjak pemikiran Melayu, khususnya mendepani cabaran zaman yang makin rumit," katanya.

Beliau berkata, isu itu yang berlegar dalam bentuk penulisan terbuka, tidak menguntungkan, sebaliknya meleret dan membawa kepada komentar yang penuh sentimen perkauman dan tidak membina negara.

Sehubungan itu, Badrul yang dikenali sebagai Chegubard berkata, isu pengkhianat Melayu memerlukan pencerahan dengan membawanya kepada perdebatan yang sihat.

Penoreh getah maut diserang gajah di Gua Musang

Posted: 05 Mar 2011 01:00 AM PST

GUA MUSANG, 5 Mac — Seorang penoreh getah yang cuba menghalau sekumpulan gajah menggunakan mercun bola di sini, maut apabila diserang haiwan itu yang naik minyak akibat terkejut mendengar bunyi letupan mercun tersebut.

Lee Che Hassan, 46, maut selepas seekor gajah betina yang mempunyai anak mengamuk dan melilit beliau menggunakan belalai sebelum menghempas lelaki malang itu ke sebatang pokok dalam kejadian di Kampung Serian Batu 11, semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Saiful Bahri Abdullah berkata Lee sebelum itu cuba menghalau sekumpulan enam ekor gajah liar yang memusnahkan tananam di kebun getahnya.

"Lee mati di tempat kejadian dengan berapa kesan lebam di kepala serta badan," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata kejadian itu disedari rakan Lee di kebun getah bersebelahan, yang kemudian memaklumkan kejadian kepada penduduk kampung.

"Mereka ke tempat kejadian untuk membawa keluar mayat mangsa, namun gajah betina terbabit meluru ke arah mereka menyebabkan mereka menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi membantu menghalau kumpulan gajah tersebut," katanya.

Saiful Bahri berkata mayat Lee berjaya dikeluarkan kira-kira empat jam kemudian dan dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

Ini adalah insiden ketiga membabitkan serangan gajah liar di Kelantan sepanjang empat bulan kebelakangan ini.

Pada 23 Jan lepas seorang pekerja Ladang Fokus Bonanza Sdn Bhd, Bernardus Ngongo Naru, 24, cedera parah apabila dilibas dan dipijak seekor gajah liar, manakala pada 6 Dis lepas, seorang pemuda Muhamad Adnan Iberahim maut dipijak haiwan tersebut ketika beliau bersama empat rakan memasuki Hutan Bring dekat Pos Pasik, di sini bagi mencari buah keranji. — Bernama

Kesatuan guru desak siasat 14 buku teks penuh kesalahan

Posted: 05 Mar 2011 12:30 AM PST

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan dituntut menyiasat penerbitan 14 buku teks dan aktiviti mengandungi pelbagai kesalahan, kata bekas Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Nordin Mahmud.

Beliau berkata, kes seumpama itu tidak pernah berlaku dan ia jelas memalukan kementerian yang diterajui seseorang bergelar Timbalan Perdana Menteri.

"Ini pertama kali dalam sejarah. Sungguh memalukan. Lebih malang lagi, ia berlaku ketika Kementerian Pelajaran dipimpin Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin).

"Selaku bekas guru, saya menuntut siasatan dibuat secara telus dan terbuka bagi memastikan kesilapan ini tidak berulang.

"Kalau sudah disiasat, dedahkan kepada umum hasilnya dan tindakan tegas perlu diambil," katanya yang menerajui KGMMB selama 16 tahun, kepada KeadilanDaily.

Beliau mengulas pendedahan Suara Keadilan 5 (versi cetak) mengenai 14 buku murid Tahun Satu sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah jenis kebangsaan (SJK) yang mengandungi kesalahan meliputi tata bahasa, ejaan, ilustrasi, susun atur, kosa kata dan struktur ayat.

11 buku teks ialah Bahasa Melayu untuk Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), Dunia Sains dan Teknologi, English Year SJK, Pendidikan Islam, Matematik, Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan, Pendidikan Moral, Bahasa Arab, Kemahiran Asas Individu Masalah Penglihatan dan Bahasa Tamil SK.

Tiga buku aktiviti pula meliputi Bahasa Melayu, English dan Pendidikan Islam.

Kesal kerana kementerian itu ada dua timbalan menteri iaitu Datuk Dr Wee Ka Siong dan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, Nordin berpendapat, punca masalah itu ialah ketiadaan sistem tersusun dalam mengendalikan penerbitan buku teks.

"Kerajaan mesti insaf, akibat kecuaian mereka berjuta-juta wang rakyat terpaksa dikorbankan.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga patut menyiasat hal ini jika berlakunya unsur rasuah dalam kes tersebut," katanya.

Kempen mesra rakyat PAS tarik pengundi

Posted: 04 Mar 2011 11:32 PM PST

Hazayani Zakaria

JASIN, 5 Mac: Masuk ke hari terakhir kempen pilihan raya kecil (PRK) Merlimau, PAS secara keseluruhannya berpuas hati dengan pendekatan calonnya, Yuhaizad Abdullah mendahului calon Umno BN.

Ketua Penerangannya, Idris Ahmad berkata, selain memberi tumpuan kepada kemenangan PAS di Dun ini, kejayaan besar adalah apabila PAS berjaya menyampaikan mesej perjuangan parti itu dan Pakatan Rakyat kepada pengundi-pengundi.

Menurutnya, ianya boleh disifatkan sebagai kejayaan kerana pelbagai halangan ditempuhi daripada Umno BN sepanjang berlangsungnya tempoh kempen.

"Sepanjang kempen PRK Merlimau ini, PAS berjaya menyampaikan mesej perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat walaupun terdapat beberapa kekangan dan halangan.

Beliau juga berkata, calon PAS mendahului calon BN dalam pendekatan kempen mesra rakyat apabila beberapa cara kempen yang dilakukan PAS ditiru oleh Umno BN.

"Cara kempen PAS mendahului calon Umno. Pendekatan calon PAS ditiru pula oeh Umno seperti pemberian bunga kepada wanita.

"Calon PAS membangkitkan masalah pengangkutan awam, maka terus penduduk Merlimau mendapat khidmat MARA liner. Banyak rungutan yang sudah disampaikan kepada beliau sepanjang berkempen.

"Rupa-rupanya banyak masalah di Dun Merlimau yang masih terlindung di sebalik slogan yang indah.

Idris turut menyifatkan keputusan PAS menyertai PRK ini sebagai tindakan tepat memandangkan banyak tuntutan rakyat yang sebelum ini diabaikan, segera ditunaikan BN.

"Walaupun beberapa insiden yang tidak diingini berlaku seperti cermin kereta dipecah, poster dan risalah yang berunsur fitnah, tayar kereta dan motor dipancit, gangguan ceramah oleh budak-budak upahan, keputusan PR menyertai PRK ini adalah tepat, di mana banyak tuntutan rakyat dipenuhi oleh BN yang selama ini tidak ditunaikan," katanya.

Cina dan India beri sambutan

Menurut Idris juga, pengundi di Merlimau bersifat terbuka meskipun dari segi luarannya menunjukkan sokongan kepada BN.

"Alhamdulillah pengundi di Dun Merlimau merupakan masyarakat yang terbuka dan boleh berubah walaupun di luar nampak berwajah Umno.

"Peluang ini memberi kesempatan kepada PAS untuk menerangkan dasar PAS yang berteraskan Islam kepada penduduk Dun Merlimau secara dekat. Mungkin selama ini mereka menganggap PAS adalah parti yang pelik di kalangan mereka.

Katanya juga, PAS sangat gembira dengan sambutan yang diberikan pengundi Cina dan India kepada calon PAS sehingga menimbulkan keresahan kepada Umno BN.

"Orang bukan Islam sudah tidak gerun kepada PAS, waaupun pelbagai tohmahan dan fitnah kepada PAS disampaikan," katanya.

Kerdau : Bukakan mata Umno-Bn degan undi PAS kali ini !

Posted: 04 Mar 2011 09:07 PM PST

Wawancara

Kekalahan tipis PAS di DUn Kerdau dalam PRU lalu, menyemarakkan lagi semangat petugas.Beberapa isu tempatan dijadikan sandaran.Rasa cemas Timbalan Presiden Umno tentang kekuatan PAS,patut diambil kira.Ikuti interbiu wartawan kanan Harakah bersama calon PAS bagi PRK Dun Kerdau, Hasanuddin Salim di Pusat Media Induk PAS Kerdau.

Wartawan : ini merupakan kali kedua saudara wakili dun kerdau sebelum ini 2008 berjaya krangkan jurang majoriti, kali ini sekali lagi mewakili parti di sini, apa perasaan dan komen saudara?

Hasanuddin : Saya ucapkan terima kasih diatas kepercayaan tinggi yang diberi kepimpinan parti yang memberikan peluang kepada saya untuk mewakili PAS dan Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Kecil Dun Kerdau, saya akan usahakan yang terbaik menjadikan PAS Pakatan Rakyat pilihan rakyat di Dun Kerdau.Ada suara-suara dari pimpinan BN yang menyatakan kononnya saya ini calon 'recycle' (kitar semula), saya nak tegaskan bahawa, lihat sahaja menteri-menteri BN, seperti Dato' Seri shahrizat Abdul Jalil, yang kalah tetapi diguna semula untuk menjadi menteri, ramai lagi yang diguna semula walaupun beberapa kali telah kalah dalam pilihan raya, termasuk Timbalan Menteri Kewangan Dr Awang Adek Hussin.

Soalan : Saudara adalah anak kelahiran Temerloh, di Kampung Loyang Sanggang.Saudara telah dua kali bertanding di sini termasuk kali ini, dan bagaimanakan hubungan saudara dengan masyarakat di sini?

Hasanuddin : Sebenarnya hubungan saya dengan masyarakat Kerdau telah lama bermula, sebahagian besar masyarakat di sini adalah saudara-mara saya.Banyak isu disini, pertamanya golongan muda mereka ketandusan dan tidak ada tanah untuk mereka diami, tidak ada projek pembangunan perumahan disediakan untuk generasi muda membelinya di sini.Mereka ini terpaksa menumpang di rumah ibu bapa masing-masing, yang kerja dengan kerajaan dan swasta yang boleh meminjam dengan bak, boleh beli rumah di Temerloh, tetapi ramai lagi yang kerja kampung terpaksa tinggal di rumah orang tua dengan keadaan tidak selesa.

keduanya saya mahu sebutkan, selepas saya diberi amanah bertanding dalam pilihan raya umum 2008, masyarakat Kerdau sangat rapat dengan saya, mereka ada suatu kefahaman terhadap perjuangan PAS kerana sebelum ini, minda mereka tertutup dan hanya menerima pandangan Umno sahaja. Kesan selepas pilihan raya umum 2008 yang man saya terus menyantuni mereka, kita boleh jumpa dan bincang dengan mereka termasuk ketua-ketua masyaraiat, kita boleh bersama-sama bertemu dan berukar-tukar pandan

Soalan : setiap kali adanya pilihan raya, kita dapat melihat BN melanggar undang=undang, mereka sediri tidak hormati undang-undang, apa pandangan saudara?

Hasanuddin : Antara sebab mengadapa saya terlibat dengan politik dan sehingga saya terpilih menjadi calon PAS ialah bermula dari kesedaran saya melihat asyarakat luar bandar seringkali dimanipulasi dan ditipu oleh parti pemerintah.Penipuan ini lebih-lebih lagi berlaku terutamanya setiap kali adanya pilihan raya sejak 53 tahun dahulu.Umno-BN yang menerajui negara sengaja mencorakkan pemikiran rakyat terutamanya penduduk luar bandar yang bergantung hanya kepada media arus perdana kononnya Umno itu kerajaan dana kerajaan itu Umno, ini yang saya perjuangkan di Kerdau dan di Parlimen Kuala Krau sebab ini perkara yang rakyat perlu disedarkan, bangunkan mindanya menjadikan mereka bijak politik untuk tahu menentukan masa depan mereka, mampu membezakan .Bagi saya kerajaan patut beri ruang luas kepada demokrasi untuk kebaikan pengundi luar bandar,

Soalan : Jumlah pengundi Dun Kerdau ialah hampr 9000, dan 38.4 peratus pengundi muda, adakah dasar dikemukakan PAS dan Pakatan Rakyat di Kerdau mampu membuatkan anak muda menyokong PAS?

Hasanuddin : saya melihat satu perkembangan baik di Kerdau ini kerana jentera dan saya sendiri meneruskan usaha mendidik rakyat di sini sepanjang selepas pilihan raya umum 2008, kita sentiasa mendekati masyarakat di Kerdau, anak mudanya kita bersama dan ajar mereka apa itu demokrasi dan politik yang betul agar masa depan mereka ini akan jauh lebih cerah.

Soalan : Bagaimana hendak dimatangkan minda masyarat Kerdau yang mana kini mereka berdepan dengan wang..wang..wang oleh Umno-BN?

hasanuddin : Setiap kali kita hadapi PRK ialah berdepan dengan BN yang datang dengan wang tetapi dlama prk ini saya yakin hubungan baik hentera kita dan masyarakt di kerdau, dan saya sendiri srta bekas calon Parlimen Kuala Krau, Ustaz KJamal Shaari sering turun bertemu dengan masyarakat di Kerdau ini untuk menyelami masalah mereka, bukan sahaja sekarang ini, tetapi selepas pilihan raya umum 2008 lalu.saya yakin dapaty seikit sebanyak memberi keyakinan kepada rakyat sini beri undi kepada pas, seperti yang dipesan Tok Guru Menteri Besar kelantan, beri gula kacau, beri kain pakai, bagi apa sahaja yang diberi Bn ambil tetapi undi tetap undi PAS, kita teah tanamkan isu ini do Kerdau.

kenaikan barang keperluan dan perkhidmatan mutakhir ini akan menjejaskan masyarakat terutamanya golongan luar bandar.Dalam PRK, tiba-tiba Bn datang dengan wang, apakah ia memberi kesan kepada pengundi di sini?

Hasanuddin : Berkaitan dengan isu ini masyarakat di Kerdau ini, sejurus selepas PRU-2008, kita telah memberi kefahaman yang jelas jika BN datang dengan wang, dan menyuap mereka dengan wang bantuan, kita telah tanamkan bahawa inilah bantuan yang hanya sementara sahaja, selepas pilihan raya mereka tidak akan dapat bantuan demikian.Ada kes Umno-BN datang sewa rumah dalam pilihan raya kecil Dun Sanggang pada awal tahun 2000, namun sebaik habis pilihan raya kecil itu dan Bn menang, mereka yang hanya dibayar deposit sahaja sewa rumah oleh Umno, akhirnya tidak mendapat bayaran penuh.Mereka ini telah merasakan mereka tertipu.untuk pengetahuan semua, kawasan Kerdau dulunya juga di bawah Dun Sanggang,dan mereka ini telah terkena dengan janji-janji manis Umno-BN.Formula saya mudah, mereka jangan lagi percaya dengan Umno-BN, sebaliknya memberi tekanan kepada Umno-BN dengan mengundi PAS dalam pilihan raya kecil nanti.Ianya akan membawa kepada perubahan minda pemimpin BN untuk lebih berhati-hati selepas ini.

Soalan : Dun ini meliputi kawasan pingir bandar, luar bandar dan Felda, bagaimana saudara melihat amanah untuk memenangi hati pengundi ini?

Hasanuddin : Pertamanya saya melihat kepentingan apakah PRK Dun Kerdau ini ialah, sebagai langkah permulaan PAS dan Pakatan rakyatuntuk kita berjaya dalam PRU-13.Ia juga adalah suatu kepentingan semua masyarakat di Dun ini untuk memberi undi kepada PAS supaya kerajaan Umno-BN yang ada hari ini memberikan perhatian langsung kepada masyarakiat di sini.Jika masyarakat di Kerdau ini sedar, Umno-BN akan segera bangun dari tido mereka yang sekian lama terlena, mereka akan perhatikan kepada semua segmen masyarakat.Untuk itu, PAS akan sentiasa menyelami hati nurani masyaraka di sini khasnya, dan Pahang amnya.Namun sudah pasti Umno-BN akan mempertahankan kuasa dengan mereka akan datang untuk selepas ini memperbaiki khidmat kepada masyarakat di sini.Itu adalah kesan awal jika pengundi bijak dengan memilih PAS.

Kawasan ini memiliki hanya sekitar tidak sampai 20 peratus pengundi bukan Islam, bagaimana mungkin saudara merasakan bahawa pengundi bukan Islam khasnya Cina akan terus mengundi PAS?

Hasanuddin : Sokongan pengundi bukan Islam kepada PAS semakin hari semakin baik.begitu juga di Kerdau ini, sokongan pengundi Cina dan India dapat kita rasakan tidak akan menjadi suatu maslaah besar kepada PAS untuk dikekalkan.Ini kerana kita ada hubungan rapat dengan mereka, dan di sini kita mendapat kepercayaan baik dari masyarakat India dab Cina.Namun tidak saya nafikan, sokongan orang asal mungkin ada masalah, tetapi kita akan terus berusaha memperjuangakan hak masyarakat orang asal ini, seluruh Kerdau dan pPhang tiada pewartaan kawasna orang asal sebenarnya.Mereka ini terdedah kepada penerokaan hutan yang menjadi lokasi tempat tinggal mereka oleh tangan-tangan ghaib yang mana dibelakangnya ialah pemimpin Umno-BN.Ini hanya akan menyebabkan orang asal susah, mereka perklu kesedaran ini dan beralih kepada PAS,

Soalan : Akhirnya apa mesej dan pesanan yang mahu disampaikan oleh saudara kepada pengundi di Kerdau ini?

Hasanuddin : Marilah bersama buat perubahan di Kerdau sebagai permulaan, dan ini penting bagi membuka mata kerajaan pemerintah agar mereka melihat kebajikan rakyat di Kerdau ini.Sebenarnya masyarakatdi sini perlukan khidmat kepimpinan kerajaan untuk membela, dan bukannya pimpinan perlu menjadi pujaan, tetapi khdmat bakti kepada rakuyat.Disebabkan itu PAS datang untuk menawarkan perubahan kepada masyarakat.InsyaAllah saya yakin kita boleh membuat kejutan untuk menumbangkan BN.

Identiti bangsa: NGO Melayu tolak syor Chandra Muzaffar

Posted: 04 Mar 2011 08:00 PM PST

KUALA LUMPUR, 5 Mac — Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyifatkan cadangan supaya penggunaan bangsa dalam borang tertentu digugurkan kerana didakwa menjadi penghalang kejayaan konsep 1Malaysia, sebagai mengarut dan tidak munasabah.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali berkata ia merupakan satu lagi dakyah halus yang didalangi pihak tertentu bagi menghilangkan identiti sesuatu kaum, sekaligus mencabar hak kaum tersebut yang telah termaktub dalam Perlembagaan negara.

"Kejayaan konsep 1Malaysia yang dipelopori oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak ada kena-mengena dengan penggunaan perkataan bangsa dalam borang.

"Jika kerajaan tunduk kepada cadangan mereka, lepas ini, mungkin mereka akan minta yang lain pula sehingga matlamat mereka (mahu menghapuskan identiti kaum) tercapai," katanya kepada Bernama hari.

Beliau mengulas cadangan Pengerusi Yayasan 1Malaysia Profesor Dr Chandra Muzaffar, yang memberi alasan masyarakat dilihat begitu obses dengan perkataan "bangsa" sehingga ia dianggap sebagai rintangan paling besar menjayakan konsep 1 Malaysia.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee, yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut, mengkritik sokongan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan berhubung perkara berkenaan.

Beliau berkata alasan MEF, kononnya penghapusan perkataan bangsa dalam setiap borang atau dokumen bertujuan merealisasikan matlamat 1Malaysia, adalah tidak tepat.

Syed Ali berkata gagasan 1Malaysia yang dipelopori Najib tidak bermaksud melenyapkan identiti sesuatu bangsa atau kaum di negara ini, sebaliknya untuk membawa kejayaan kepada negara dengan pembabitan semua bangsa, tanpa mengira perbezaan latar belakang dan keturunan.

"Jangan peralatkan gagasan 1Malaysia untuk mengemukakan cadangan yang tidak masuk akal sehingga sanggup membunuh identiti bangsa Melayu," katanya menerusi laman blog umnobahagiancheras.blogspot.com hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu Osman Bakar ketika dihubungi berkata, identiti bangsa wajib dikekalkan dalam sebarang borang sama ada di sektor awam atau swasta.

"Pengenalan sesuatu kaum itu penting, bagi mengetahui siapakah yang memiliki identiti si polan bin si polan itu, apa perakuannya dia sebagai seorang manusia jika bangsanya dihapuskan?" katanya.

Beliau berkata untuk merealisasikan konsep 1Malaysia, ia perlu dilihat dalam konsep yang meluas, bukan menyempitkannya dengan hanya memandang perkataan bangsa atau kaum sebagai rintangan terbesar.

"Kita menerima konsep 1Malaysia sebagai satu medium bagi memajukan dan menjaga kepentingan semua kaum di negara ini, yang mempunyai kekuatan masing-masing, jika ia dilenyapkan, apakah kekuatan yang tinggal pada kaum tersebut?" katanya. — Bernama

Merlimau: PAS dakwa BN lantik pelajar IPT jadi ‘pengundi’

Posted: 04 Mar 2011 07:37 PM PST

Oleh Syed Mu'az Syed Putra


JASIN, 5 Mac — PAS membuat dakwaan terbaru bahawa arisan Nasional (BN) menawarkan "habuan" kepada penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) untuk mengundi mewakili pengundi tertentu — bertindak sebagai "pengundi hantu" di kerusi Merlimau esok.

Pengarah Pilihan Raya PAS pusat Datuk Halim Abdul Rahman berkata, pihaknya mendapat maklumat BN telah memberi "habuan" yang besar kepada 750 pelajar untuk menjadi "pengundi hantu".

"Kita dapat maklumat ada pelajar telah dibayar oleh BN untuk mengundi pada pilihan raya kecil esok.

"Pelajar ini dari sini (Merlimau), saya terima maklumat pelajar ini telah ditawarkan habuan untuk jadi pengundi, kira-kira 750 pelajar akan mengundi mewakili pengundi Merlimau," katanya kepada The Malaysian Insider.

Selain pelajar, jelas Halim, ada juga pihak tertentu yang turut ditawarkan dengan "habuan" yang tinggi.

"Maklumat kita dah terima yang mana ia juga ditawarkan kepada orang lain juga.

"Kesemua mereka ini akan mengundi menggunakan kad pengenalan orang lain iaitu kad pengenalan pengundi Merlimau, katanya.

Beliau berkata "pengundi hantu" itu melibatkan kesemua semua daerah mengundi di Merlimau.

Kata Halim, pihaknya masih belum mengetahui jumlah "habuan" yang ditawarkan.

DUN Merlimau mempunyai tujuh daerah mengundi termasuk Ayer Merbau, Chinchin, Jasin Lalang, Merlimau Utara, Merlimau Pasir, Permatang Serai dan Pengkalan Samak.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara calon BN Roslan Ahmad dan Yuhaizat Abdullah dari PAS.

Sebelum ini PAS mendakwa BN telah menjalankan kempen ala samseng dengan mengugut pengundi di DUN Merlimau, namun dinafikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Ditanya mengenai program anjuran pertubuhan misteri 1 Malaysia, Halim menyifatkan satu bentuk rasuah terhadap pengundi di Merlimau.

"Ini adalah gejala rasuah terhadap pengundi, ini yang diamalkan BN sama ada melalui pertubuhan... tapi saya yakin itu adalah siri rasuah dan ia sepatutnya tidak berlaku.

"Malam ini mereka akan bagi duit kepada pengundi sebagai rasuah," katanya.

Jelas Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu, pihaknya berharap supaya BN mengamalkan kempen yang bersih bukan menawarkan "habuan" kepada pengundi.

Kewujudan pertubuhan misteri yang menggunakan nama 1 Malaysia ketika kempen pilihan raya kecil DUN Merlimau menimbulkan pelbagai persoalan besar mengenai motif sebenar badan itu.

Difahamkan pertubuhan itu beroperasi atas nama 1 Malaysia dan hanya muncul dalam kempen pilihan raya kecil untuk mengagihkan barangan keperluan termasuk mengedarkan kemeja-T tertera logo 1 Malaysia kepada pengunjung khususnya pengundi kawasan Merlimau yang hadir.

Pertubuhan ini dikatakan mengadakan makan tengah hari dan makan malam secara percuma kepada pengundi. Difahamkan program itu dihadiri pengundi bukan Melayu yang jumlahnya begitu ramai.

Teruskan bersahabat dengan Muzammil - Tuan Ibrahim

Posted: 04 Mar 2011 07:30 PM PST

Harakahdaily

http://harakahdaily.net/v2/images/stories/kerdau_merlimau/p3.jpg

TEMERLOH, 5 Mac: PAS meminta ahli-ahlinya di Felda Jengka 25 terus bersahabat dengan Muzammil Alif yang dilaporkan kembali menyertai Umno setelah tiga hari meninggalkan parti itu.

Sebelum ini Muzammil yang merupakan bekas Ketua Cawangan Umno Jengka 25 telah mengumumkan menyertai PAS pada 2 Mac lalu.

"Teruskan menjaga hubungan peribadi dengan beliau, malah hubungan dengan semua ahli Umno di Jengka 25 harus dipelihara kerana perjuangan kita tidak habis di dunia, bahkan akan dinilai Allah di akhirat," kata Pengarah Pilihan Raya PAS PRK Kerdau, Tuan Ibrahim Tuan Man dalam sidang akhbar lewat petang tadi (gambar).

Mengulas berita kemasukan semula Muzammil dalam Umno hari ini, Tuan Ibrahim berkata apa yang berlaku itu di luar kawalan parti yang sememangnya bergantung kepada keikhlasan setiap ahli.

Katanya, sewaktu Muzammil menyatakan hasratnya untuk menyertai PAS baru-baru ini, PAS telah berbesar hati sehingga Presiden PAS sendiri telah ke rumahnya untuk menerima borang kemasukan beliau.

Tetapi katanya, beliau tidak menyangka keberanian beliau (menyertai PAS) hanya bertahan selama tiga hari sahaja.

"Perjuangan sebagai pembangkang di negara ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana pasti akan melului kesusahan dan keperitan dan tidak semua yang mampu menghadapi tekanan sebegitu demi rakyat dan agama," kata beliau.

Sehubungan itu kata Tuan Ibrahim perjuangan PAS khususnya di Kerdau akan tetap diteruskan tanpa Muzammil.

"Perjuangan membela rakyat tertindas dan kegagalan pengurusan dalam Dun Kerdau merupakan agenda besar yang tidak akan terpadam dengan hanya seorang yang keluar semula menyertai PAS," kata beliau.

Dalam pada itu Tuan Ibrahim turut menafikan laporan media khususnya melalui blog kononnya Muzammil tidak pernah menyertai PAS tetapi cerita itu direka-reka untuk tujuan tertentu.

Justeru dalam sidang akhbar itu beliau menunjukkan borang keahlian PAS yang diisi oleh Muzammil sewaktu menyertai PAS sebelum ini.

Malahan kata Tuan Ibrahim, penyertaan itu turut disertai oleh 11 lagi ahli Umno Jengka 25, bukannya Muzammil seorang seperti digambarkan oleh penulis blog.

"Saya tidak berhasrat mendedahkan nama mereka, tetapi ini borang penyertaannya, ada di antara mereka merupakan veteran Umno," kata beliau sambil menunjukkan borang-borang keahlian PAS itu kepada media.

Ahli Umno kecewa dakwa ditipu pegawai Tekun

Posted: 04 Mar 2011 04:48 PM PST

Aziz Muda

JASIN, 5 Mac: Seramai 40 ahli Umno sekitar Sungai Rambai, di sini, amat kecewa kerana menjadi mangsa politik kotor pegawai Tekun yang juga dari kalangan pemimpin parti itu sendiri.

Setelah permohonan mereka sebanyak RM1.2 juta bagi menjayakan ternakan lembu daging berkelompak diluluskan, pinjaman yang diberikan hanya sekadar RM416,875 sahaja.

Pengerusi syarikat yang menguruskan projek terbabit, Bromo Holding (M) Sdn. Bhd (Bromo Holding), Fahruz Ridza Jaafar, 34, memberitahu, kejadian tersebut sudah berlaku sejak 2007 yang lalu dan kini menjadi bertambah rumit sehingga menjadi amat tertekan.

Menurut beliau, pada asalnya projek tersebut dicadang untuk dilaksanakan di atas tanah seluas lebih 3 ekar di Mukin Semujuk yang juga terletak di Daerah Jasin.

Katanya, tanah tersebut adalah tanah pajakan yang sebelum itu ditanami pisang oleh beliau dengan dibantu ahli-ahli Persatuan Seni Silat Bromo (PSSLB).

"Projek ternakan lembu daging feedlot itu sebenarnya dicadangkan oleh bekas Ahli Parlimen Jasin,Dato Mohd. Said yang menjadi Ahli Parlimen Jasin ketika itu.

"Oleh kerana cadangan itu baik,kami pun bersetuju untuk menjayakannya lalu berusaha untuk mendapatkan pinjaman Tekun," katanya ketika ditemui.

Beliau yang juga Pengerusi PSSLB berkata, malangnya setelah projek itu hendak dimulakan dan pinjaman Tekun diluluskan dengan hanya sebanyak RM416,875 timbul pula bangkangan dari penduduk kawasan itu dengan alasan projek tersebut mengganggu ketenteraman awam.

"Inilah alasan yang digunakan oleh pegawai Tekun terbabit untuk tidak meluluskan sepenuhnya pinjaman kami sebanyak RM1.2 juta," katanya.

Untuk membolehkan projek itu dilaksanakan, katanya, projek tersebut dicadang diusakan pula di kawasan gantian oleh Adun Sungai Rambai, Datuk Hassan Rahman di atas tanas seluas 8 ekar di Lancang, Merlimau.

"Disebabkan keluasan projek gantian itu bertambah dan di kawasan itu belum berpagar serta belum mempunyai segala keperluannya, kosnya menjadi bertambah.

"Ini menjadikan masalah kami bertambah rumit. Dah lah di kawasan asal tak dapat dijalankan,di tempat baru pula tak cukup wang," katanya.

Dalam masa yang sama, mereka pula turut ditekan oleh pegawai Tekun terbabit agar membuat bayaran balik kepada Tekun sebanyak RM14,000 seorang.

Jika tidak, nama-nama mereka disenarai hitamkan.

"Dari mana kami nk dapatkan wang untuk membayar balik pinjaman itu? Dahlah nak buat projek ternakan lembu tak boleh, projek tanaman pisang pula dah tak kami usahakan lagi," katanya.

Untuk menyelesaikan masalah itu, pihaknya telah menghantar surat kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar dan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Razak untuk campur tangan.

Namun, katanya, sehingga kini Menteri Pertanian dan Asas Tani serta Perdana Menteri belum memberikan sebarang reaksi positif.

Sehubungan itu, beliau berharap agar kedua-dua pemimpin Umno tidak membiarkan mereka terkapai-kapai sendirian untuk menyelesaikan masalah yg dihadapi mereka sekarang.

"Apa yang berlaku ke atas kami ini adalah penipuan pegawai-pegawai Tekun terbabit. Jika Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta Perdana Menteri tak campur tangan, kami dah tau nak mengadu kepada siapa lagi," ujar beliau.

Kebangkitan rakyat Timur Tengah masuk gelombang kedua

Posted: 04 Mar 2011 03:47 PM PST

TRIPOLI, 4 Mac — Sementara pergolakan politik di Libya belum Nampak ada kesudahannya, rantau Timur Tengah berhadapan dengan gelombang baru kebangkitan rakyat dan demonstrasi mencabar kerajaan masing-masing.

Pemberontak Muslim Syiah di Yemen berkata pihak tentera menyebabkan dua orang terbunuh apabila mereka melepaskan roket ke atas penunjuk-penunjuk perasaan antikerajaan hari ini.

Di Bahrain, beberapa orang tercedera dalam pergaduhan antara kumpulan Sunah dan minoriti Syaih sejak keganasan tercetus melibatkan mereka dua minggu lalu.

Beratus-ratus orang terlibat dalam protes di Baghdad, Iraq.

Dan di Mesir, penunjuk perasaan yang menggulingkan Presiden Hosni Mubarak bulan lalu berkumpul semula di Dataran Tahrir untuk terus memberi tekanan ke atas rejim tentera, lapor laman msnbc.

Akhbar The Guardian pula melaporkan Perdana Menteri Mesir yang baru dilantik Essam Sharaf, dijangka menyertai penunjuk perasaan hari ini.

Laporan itu berkata beliau mungkin mengulangi upacara mengangkat sumpah di lokasi itu.

Dengan merujuk kepada akhbar Arab Saudi Al Watan, The Guardian berkata negara itu sedang mempertimbangkan kemungkinan membenarkan wanita mengundi dalam pilihan raya kerajaan tempatan, tetapi bukannya bertanding sebagai calon.

The Guardian berkata usaha itu sebagai satu kompromi mengurangkan tekanan tunjuk perasaan yang dirancang untuk diadakan.

Presiden Yemen Ali Abdullah Saleh — sekutu Amerika Syarikat dalam menghadapi rangkaian Al-Qaeda - meningkatkan usaha untuk menangani tunjuk perasaan yang tercetus di seluruh negara itu bagi menggesa beliau melepaskan jawatannya yang disandang sejak 32 tahun lalu.

"Ketika protes aman pagi Jumaat (hari ini)... menuntut penggulingan rejim, mengakhiri amalan rasuah dan keperluan perubahan politik, pihak tentera melepaskan serangan roket ke atas tunjuk perasaan dan menyasarkan berpuluh-puluh orang," kata satu kenyataan dikeluarkan pihak pemberontak.

Seorang jurucakap puak pemberontak memberitahu Reuters, ribuan orang turun ke jalan-jalan di Harf Sufya, utara Yemen.

Katanya, sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan tujuh lagi cedera.

Kerajaan Yemen yang kaya dengan tunai bersetuju untuk mengadakan perjanjian dengan puak yang memberontak pada Februari 2009 untuk menamatkan perang yang bermula 2004.

Kumpulan pemberontak yang dikenali sebagai Houthis mendakwa diskriminasi di pihak kerajaan dan menyatakan sokongan kepada penunjuk perasaan anti.

Pertempuran di Hamad, Bahrain, tercetus beberapa jam selepas kumpulan pembangkang berkata mereka bersedia untuk berunding dengan kerajaan tanpa syarat.

Demonstrasi di Baghdad merupakan salah satu daripada beberapa kejadian yang disaksikan di seluruh Iraq hari ini - minggu kedua berturut-turut.

Kerajaan Iraq bimbang demonstrasi akan merebak ke bahagian-bahagian lain negara itu.

Tiada ulasan: