Khamis, 3 Mac 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Kempen hangat dua PRK – faktor calon penentu kemenangan

Posted: 03 Mar 2011 06:29 AM PST

Pilihan raya kecil (PRK) Dun Merlimau dan Dun Kerdau pada 6 Mac nanti sudah melalui suasana kempen hangat. Kehangatannya cukup terasa apabila isu calon mula diperdebatkan oleh pihak yang bertanding, pengundi dan penganalisis politik. Lantaran faktor calon sudah mendapat penarafan utama di dalam menilai peluang dan harapan menang parti bertanding. Turut menghangatkan lagi, apabila perjalanan kempen calon menjadi sentuhan media massa yang dikaitkan pula dengan ulasan pimpinan masing-masing parti yang bertanding.

Berbeza dengan pilihan raya umum, faktor calon bukanlah penentu yang kuat mempengaruhi kemenangan. Sedangkan dalam PRK, isu calon sering dikaitkan dengan motivational factor kepada pengundi, lebih-lebih lagi kepada pengundi atas pagar yang berupaya mencorakkan pola sokongan terapung sehingga mempopularkan seseorang calon mencapai kemenangan.

Calon popular

Pengalaman PAS dalam dua pilihan raya kecil terakhir di Kelantan, iaitu di Manek Urai dan Galas, calonnya dilihat bersaing rapat dengan calon Umno. Calon PAS menang di Manek Urai kerana popularitinya lebih tinggi di kalangan pengundi atas pagar. Berbeza di Galas, calon PAS ketinggalan berbanding calon Umno. Calon PAS di Menak Urai mendapat sokongan pengundi atas pagar mencecah 18 peratus daripada 30 peratus. Sementara di Galas, PAS hanya mampu meraih 5 peratus daripada 20 peratus pengundi atas pagar.

Dalam konteks Dun Merlimau, persaingan calon tertumpu kepada kohort umur yang berbeza selain daripada latar belakang parti dan pendekatan kempen calon. Dari segi umur, calon PAS, Haji Yuhaizad 38 tahun, enam tahun lebih muda berbanding calon Umno, Roslan 44 tahun. Yuhaizad adalah pimpinan muda bertaraf kanan dalam parti selaku timbalan yang dipertua kawasan. Sementara Roslan sudah melepasi usia muda dan hanya ahli jawatankuasa biasa bahagian. Justeru, calon PAS mempunyai potensi tinggi memenangi hati pengundi muda yang berjumlah 3,926 (36.76 peratus).

Apa pun dari segi pendekataan kempen, kedua-duanya memakai pendekatan yang seimbang. Namun kelebihan kempen calon Umno kerana kuat disokong oleh jentera kerajaan seperti Jabatan Penerangan, media perdana, jentera Kemas dan bahagian perisikan khas. Sedangkan kempen calon PAS seratus peratus dijayakan oleh jentera parti-parti Pakatan Rakyat.

Sementara di Dun Kerdau, calon PAS dan Umno nampaknya agak seimbang dari segi umur. Calon PAS, Hassanuddin 43 tahun dan calon Umno, Syed Ibrahim 44 tahun yang sudah terkeluar daripada kohort umur muda. Sementara dari segi kedudukan jawatan parti, calon PAS mempunyai kelebihan selaku ketua penerangan PAS negeri, sedangkan calon Umno adalah bertaraf pimpinan bahagian berjawatan naib ketua bahagian, namun lebih popular kerana berjawatan di Pejabat Menteri Besar Pahang.

Kempen calon

Apa pun dari segi pendekatan kempen calon di Kerdau, kedua-duanya bukan popular di kalangan pengundi muda yang berjumlah 3,491 (38.79 peratus). Justeru persaingan sebenar adalah kalangan pengundi atas pagar yang berjumlah kira-kira 1,600 orang. Berdasarkan sejarah PRK, jumlah pengundi atas pagar sering menjadi sasaran kempen. Maka keupayaan calon yang bertanding boleh merapati seramai mungkin pengundi atas pagar akan memastikan kemenangan. Dalam konteks ini, kempen calon Umno lebih berpotensi menang kerana prasarananya yang lengkap dan bersifat supportive ekoran penggunaan jentera kerajaan secara sepadu.

Dari situ, perjalanan kempen calon sudah berlaku di atas padang yang tidak sama rata (unlevel playing field), kerana jentera kempen calon PAS tidak disokong oleh sebarang jentera kerajaan. Realitinya, calon PAS dilihat menghadapi serba kekurangan dari segi menguasai pemikiran pengundi atas pagar. Tambahan pula latar sosiopolitik pengundi sering kali dipolakan oleh pengaruh media perdana, terutamanya televisyen dan surat khabar.

Walau pun demikian, berdasar kekuatan calon masing-masing, PAS dan Umno di Merlimau dan Kerdau masih bergantung kepada sejauh mana calon masing-masing dapat menguasai pengundi muda. Ini disebabkan sikap pengundi muda agak terbuka dan bermaklumat serta berkepentingan.

Pengundi muda

Pada pilihan raya umum 2008, di Dun Merlimau PAS mempunyai sokongan teras pengundi sekitar 36 peratus, tetapi calon PAS seorang yang lebih muda sudah tentu peluangnya lebih cerah berbanding calon Umno. Terutama di daerah mengundi campuran kaum seperti Pengkalan Samak dan Ayer Merbau, kerana pengundi mudanya lebih terbuka.

Keadaan seakan sama berlaku di Kerdau, pengundi muda di daerah mengundi perkampungan Melayu tradisi dan kawasan campuran kaum dilihat terbuka kepada calon PAS berbanding di kawasan Felda. Pada pilihan raya umum 2008, PAS meraih sekitar 38 peratus di Felda Jengka 23, berbanding 48 peratus di Desa Murni. Namun peluang PAS masih bergantung kepada kredibiliti calonnya yang dikatakan lebih berketrampilan berbanding calon Umno dalam konteks budaya politik pengundi muda.

Rumusannya, faktor calon adalah rangking tertinggi ke arah mencetuskan peluang dan potensi kemenangan kepada PAS-Pakatan Rakyat atau pun Umno-BN di Merlimau dan Kerdau. Jika PAS mengharapkan kemenangan, maka kempen calonnya perlulah merapati dan merayu seramai mungkin pengundi di Merlimau dan Kerdau.

http://greencresent-wanibrah.blogspot.com/2011/03/kempen-hangat-dua-prk-faktor-calon.html

Program Lawatan Kerja Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Pulau Pinang

Posted: 03 Mar 2011 06:08 AM PST

5 Mac 2011 (Sabtu)

Program 1
3.00 ptg – Penyampaian Cek Kepada Warga Emas dan Guru KAFA SPT

Lokasi : Dewan Serbaguna Chai Leng Park, Prai

Turut Bersama:
1. YB Dato' Seri Anwar Ibrahim
2. YAB Lim Guan Eng
3. YB Dato' Mansor Othman
4. YB Prof. Dr. Ramasamy

Program 2
5.00 ptg – Kenduri Rakyat dan Ceramah

Lokasi: Masjid Titi Teras, Balik Pulau, Pulau Pinang

Program 3
7.30 – 8.30 malam – Solat dan Tazkirah Maghrib

Lokasi: Masjid Batu Maung

Program 4
8.00 – 11.00 malam – Jamuan Makan Malam

Lokasi: Chinese Town Hall, Pulau Pinang

Penceramah:
1. YB Dato' Seri Anwar Ibrahim
2. YB Dato' Mansor othman
3. YB Dato' Seri Chua Jui Meng
4. YB Tian Chua
5. YBhg Dr Tan Kee Kwong

Program 5
9.00 – 12.00 mlm – Ceramah dan Konsert Otai Bersama Ust Haslin Bollywood

Lokasi: Dewan Mellinium, Kepala Batas

Program 6
9.00 – 12.00 Malam – Ceramah – Ubah Sekarang / Selamatkan Malaysia

Lokasi: Galeri Perdana Tok Kun, Bukit Mertajam

Penceramah:
1. YB Dato' Seri Anwar Ibrahim
2. YB Dato' Mansor Othman
3. YB Tian Chua
4. YBhg Dato' Seri Chua Jui Meng
5. Sdri Siti Aisyah Shaik Ismail

Selangor lancar skim mikro kredit MiMBAR bantu miskin bandar

Posted: 03 Mar 2011 05:42 AM PST

PELABUHAN KLANG, 3 Mac — Kerajaan Negeri Selangor hari ini melancarkan sistem mikro kredit miskin bandar (MiMBAR) bagi membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan mereka.

MiMBAR adalah terbuka kepada penduduk kawasan bandar di Selangor yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM1,500 sebulan, di mana pemohon layak mendapat pinjaman maksimum RM5,000.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam ucapan pelancaran MiMBAR di sini hari ini berkata buat permulaan sejumlah RM20 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi tabung itu yang antaranya bertujuan membantu usahawan kecil.

"Ini penting bagi memastikan miskin bandar di Selangor diberi persediaan untuk keluar daripada garis kemiskinan negeri iaitu memiliki pendapatan isi rumah bulanan melebihi RM1,500."

Beliau berkata menjelang 2020, 90 peratus daripada Selangor akan menjadi kawasan bandar di mana barangan keperluan harian kebanyakannya perlu dibeli dan ini memerlukan ekonomi isi rumah yang kukuh.

Abdul Khalid berkata kejayaan skim ini bergantung kepada kepatuhan peminjam untuk membayar balik pinjaman yang diterima mereka. — Bernama

Pengangguran, Bekalan Makanan Dan Inflasi Punca Rusuhan

Posted: 03 Mar 2011 05:00 AM PST

KEKURANGAN bahan makanan, kenaikan harga (inflasi) dan pengangguran adalah antara penyebab utama kebangkitan jelata Dunia Arab dan Afrika Utara selain ketidakpuasan mengenai hak asasi dan kebebasan.

Isu serupa juga menyebabkan tunjuk perasaan besar-besaran berlaku di India, negara demokrasi terbesar di dunia. Walaupun ekonomi India berkembang pesat, kehidupan rakyat semakin tertekan akibat kenaikan harga bahan makanan.

Inflasi makanan naik kepada 11.49 peratus pada minggu berakhir 12 Feb lalu. Kadar inflasi tahunan berasaskan harga borong adalah 8.23 peratus dan pengangguran berada di sekitar 10.7 peratus.

Di negeri China, sebuah negara diktator Komunis, kerajaan mengakui wujudnya masalah bekalan dan harga bahan makanan. Ia mengambil langkah menambah stok makanan dan mengawal kenaikan harga. Kadar inflasi naik kepada 4.9 peratus pada bulan Januari dan pengangguran 4.1 peratus.

Pertumbuhan ekonomi yang pantas di China (10.3 peratus) dan India (9.1 peratus) menyebabkan permintaan dalam negara meningkat pada saat cuaca buruk mengurangkan pengeluaran makanan.

Malaysia Tidak Terkecuali

Memandangkan kesan negatif kekurangan bahan makanan, kenaikan harga dan pengangguran kepada keselamatan dan kesejahteraan sesebuah negara, saya mengambil peluang membangkitkannya dalam pertemuan pendek dengan Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, di pejabatnya di Putrajaya pada 1 Mac.

Saya dan tiga kakitangan Berita Publishing menemui beliau kerana majalah Malaysian Business sedang menyiarkan beberapa siri laporan mengenai Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Saya menekankan kepada Perdana Menteri dalam pertemuan keemasan itu mengenai peri pentingnya kita memandang berat dan melakukan yang terbaik bagi menjana guna tenaga tempatan, menjamin bekalan makanan yang mencukupi dan mengawal inflasi.

Mengenai guna tenaga, saya tidak menafikan ketepatan hujah Perdana Menteri bahawa rakyat Malaysia semakin memilih pekerjaan. Kecenderungan memilih kerja adalah biasa di mana-mana negara pun yang mengalami pertumbuhan ekonomi yang pesat dan kadar pengangguran yang rendah. Ekonomi kita berkembang pada kadar 7.2 peratus tahun lalu.

Walaupun inflasi kita rendah – sekitar dua peratus – tetapi Perdana Menteri sendiri mengakui bahawa beliau mendengar rungutan orang kampung mengenai kenaikan harga barang pengguna.

Kembali kepada isu guna tenaga dan pengangguran, kita tidaklah boleh mengambil jalan mudah dengan mengherdik dan menyisihkan pekerja tempatan apatah lagi dengan sewenang-wenangnya mengimport pekerja asing.

Manfaatkan Tenaga Kerja Tempatan

Saya menyebut kepada Perdana Menteri peluang menjana semula penggunaan tenaga kerja tempatan melalui projek-projek raksasa seperti Sistem Pengangkutan Laju Massa (Mass Rapid Transport) dan projek-projek inisiatif swasta.

Memanglah susah hendak memaksa pekerja tempatan membuat kerja-kerja perburuhan seperti pembancuh semen, mengecat bangunan dan penyaring besi cerucuk. Kita pun tidak mahu pekerja kita membuat kerja-kerja perburuhan yang tidak memerlukan kepakaran dan tidak ada ciri tokok nilai.

Tetapi banyak lagi kerja sektor pembinaan yang memerlukan kepakaran seperti reka bentuk, kejuruteraan, ukur bahan, hiasan dalaman dan landskap di mana latihan di tempat kerja dan pentauliahan boleh dibuat. Program vendor dan persumbaran luar (outsourcing) juga boleh disyaratkan kepada kontraktor.

Saya faham reaksi Perdana Menteri apabila beliau berkata pekerja tempatan tidak berminat dengan kerja pembinaan manakala yang ada kemahiran lebih suka bekerja di luar negara.

Saya tidak mengatakan semua jawatan dan kekosongan wajib diisi oleh pekerja tempatan. Saya pun tahu memang ramai pekerja Malaysia memilih kerja dan tidak berminat dengan kerja berat.

Tetapi kita wajib cuba dan kita wajib faham mengapa pekerja tempatan menolak pekerjaan dan kemahiran tertentu. Yang pasti adalah gaji atau upah wajiblah setanding dengan kemahiran dan kos sara hidup.

Kita tidak boleh bandingkan pekerja asing dengan pekerja rakyat jelata kita sendiri dan daripadanya kita buat kesimpulan rambang yang pekerja kita malas dan memilih kerja.

Bagi pekerja asing -- amah misalnya – upah RM500 sebulan sudah mencukupi kerana makan percuma dan tempat tinggal ditanggung majikan. Yang bernasib baik pakaian dan tambang kapal terbang pun diberi oleh majikan.

Kita pun tidak menggalakkan rakyat kita menjadi pembantu rumah dan kerja bergaji rendah. Dengan pelajaran minimum yang kita berikan kepada mereka, gaji RM500 atau RM800 sebulan tentulah tidak memadai apatah lagi jika mereka ada tanggungan dan tinggal di bandar.

Pekerja pembinaan dan perkhidmatan asing pun macan itu juga. Ada yang disediakan tempat tinggal percuma dan makan di tempat kerja. Tetapi rakyat kita kena sewa rumah, kena membeli makanan, kena bayar tambang dan kena bayar pelbagai jenis cukai dan yuran. Jadi gaji yang dibayar kepada pekerja asing tentulah tidak cukup dan tidak menarik bagi mereka.

Ini telah pun diakui oleh kerajaan apabila melalui Model Baru Ekonomi dan Program Transformasi Ekonomi ia menjadikan pendapatan tinggi sebagai matlamat pokok.

Utamakan Pengeluaran Makanan

Pengurangan berperingkat subsidi kepenggunaan akan menyebabkan harga barang pengguna naik. Ini akan menjadi lebih buruk jika produktiviti tidak bertambah.

Dalam konteks ini dan selaras dengan usaha menjamin bekalan makanan yang mencukupi dan harga yang berpatutan, saya menyarankan kepada Perdana Menteri agar keutamaan diberi kepada pengeluaran makanan.

Beliau bersetuju dan spontan menyebut mengenai Projek Pengairan Muda di Kedah dan Perlis yang katanya memerlukan belanja RM2 bilion untuk menaikkan taraf untuk menjadi sistem pengairan yang lengkap.

Alhamdulillah Perdana Menteri nampaknya tahu apa yang sedang berlaku dan tahu apa yang perlu dilakukan untuk mengatasi masalah yang dihadapi negara. Harap-harap Perdana Menteri mempunyai keazaman politik (political will) yang kental untuk melakukan yang terbaik demi negara dan rakyat jelata.

Dalam keghairahan melaksanakan projek-projek raksasa, pembangunan semula bandar dan pembangunan bandar baru, kerajaan hendaknya tidak mengabaikan pembangunan di luar bandar.

Kita takut kalau isu pengangguran, bekalan makanan dan inflasi tidak ditangani dengan cepat dan berhemat, kemungkinan berlaku kebangkitan seperti yang sedang melanda dunia Arab sekarang mungkin menjadi masalah kita satu hari nanti. Barang dijauhkan Allah.

http://kadirjasin.blogspot.com/2011/03/pengangguran-bekalan-makanan-dan.html

Mengaku terbit Selangor Terkini, Selangor mahu Shukor didakwa

Posted: 03 Mar 2011 04:15 AM PST

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menggesa Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan perundangan dikenakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuang, Abdul Shukor Idrus yang secara terbuka mengaku memiliki dan mengedar akhbar haram, Selangor Terkini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada kenyataan media hari ini, berkata pihaknya sudah mengirim surat kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail untuk berbuat demikian

"Perbuatan Shukor menyalahi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana mengedar kalendar beliau bersama-sama Selangor Terkini yang didapati mengguna logo rasmi kerajaan Selangor tanpa kebenaran.

"Peguam Negara mesti mengambil tindakan terhadap Abdul Shukor kerana bersubahat mengedarkan akhbar haram," katanya.

Pengakuan terbuka Abdul Shukor selaku Ketua Penerangan Umno Selangor itu disiar Malaysiakini dan beberapa akhbar utama lain pada 23 Februari lalu.

Khalid sudah mengarahkan pegawainya menghantar bukti kepada polis bagi membantu siasatan susulan berdasarkan laporan dibuat pada 17 Januari lalu.

"Saya berharap Peguam Negara akan bertindak "tanpa rasa takut atau memihak (without fear or favour) dalam hal ini sepertimana yang dituntut rakyat dan undang-undang Malaysia," katanya.

Anggota Ops Fajar bakal terima penganugerah dari Sultan Selangor

Posted: 03 Mar 2011 03:49 AM PST

PELABUHAN KLANG, 3 Mac – Anggota Ops Fajar Kelapan yang berjaya menyelamatkan kapal dagang MT Bunga Laurel, daripada dirampas lanun Somalia di perairan Teluk Aden Januari lepas, bakal menerima ganjaran berupa penganugerahan negeri daripada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh baginda yang berkenan mencemar duli untuk bertemu dengan 40 anggota Ops Fajar terbabit di sini hari ini, lapor Bernama.

"Penganugerahan ini adalah inisiatif baginda untuk beri pengiktirafan kepada anggota yang terlibat secara langsung dalam operasi menyelamat itu.

"Baginda akan kurniakan penganugerahan negeri secara berperingkat dan ia akan dikurniakan dalam tahun ini, insyaAllah," katanya pada sidang media selepas majlis perjumpaan anggota Ops Fajar Kelapan bersama Sultan Selangor di KD Sultan Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Panglima Armada Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Badaruddin dan para pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Anggota Ops Fajar Kelapan merupakan kumpulan yang baru sahaja selesai menjalani tugasan di Kapal Auxiliary TLDM Bunga Mas 5 (BM 5) berjaya menyelamatkan Kapal MT Bunga Laurel bersama 23 krew yang dirampas lanun Somalia di Perairan Teluk Aden pada 21 Jan lepas.

Kapal MT Bunga Laurel merupakan kapal jenis kargo kimia yang disewa khas MISC, membawa muatan minyak pelincir dan ethylene dichloride dari Timur Tengah ke Singapura.

Ops Fajar menggabungkan kekuatan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu Grup Gerak Khas (GGK), Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan Pasukan Khas Udara (PASKAU) serta krew MISC Berhad yang diserapkan ke dalam Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM).

Mengenai penghargaan yang diberikan TLDM kepada anggota terbabit, Abdul Aziz berkata pihaknya telah mengeluarkan pujian Panglima Tentera Laut kepada semua anggota BM 5 dan pengiktirafan khusus kepada anggota yang terlibat secara langsung dalam operasi itu.

Pada majlis itu, baginda Sultan turut berkenan meluangkan masa mendengar taklimat dan penerangan berhubung kronologi kejadian rampasan lanun itu serta melihat tayangan rakaman video yang dibuat semasa kejadian.

Sultan Sharafuddin, turut berkenan mencemar duli menyertai majlis makan tengah hari bersama anggota operasi terbabit dan semasa bertitah pada majlis itu, baginda menyampaikan ucapan tahniah dan terima kasih atas kejayaan mereka.

Media sebelum ini melaporkan kejadian rampasan kapal MT Bunga Laurel itu berlaku kira-kira 300 batu nautika timur negara Oman pada pukul 11.40 malam, dua jam selepas ia dipisahkan di kawasan 'selamat' setelah diiringi kapal BM 5 melalui perairan Teluk Aden.

Pada 11 Feb lepas, tujuh rakyat Somalia yang ditahan semasa kejadian itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan melepaskan tembakan ke arah pasukan ATM di atas MT Bunga Laurel ketika merompak kapal dagang itu.

Ghaddafi Sedia Berperang dengan Barat

Posted: 03 Mar 2011 02:30 AM PST

Muammar Gaddafi pada Rabu (2/3) memperingatkan bahawa akan ada ribuan orang yang mati jika Barat melakukan intervensi ke Libya.

Gaddafi memprediksi tentang akan adanya pertumpahan darah dalam ucapannya yang selama dua setengah jam pada sebuah acara di Tripoli untuk menandai 34 tahun sejak dia mengumumkan "republik kerakyatan".

Berbicara langsung di televisyen negara, Gaddafi memperingatkan bahawa "pertempuran akan sangat, sangat panjang jika ada intervensi oleh kekuatan asing ke Libya.

"Jika Amerika atau Barat ingin masuk ke Libya mereka harus tahu hal itu hanya akan menjadi neraka dan pertumpahan darah yang lebih buruk dari Iraq."

Dalam pidato berapi-apinya di televisyen negara kemarin, Gaddafi sekali lagi menyalahkan Al-Qaidah.

"Ada konspirasi untuk menguasai minyak Libya dan untuk menguasai tanah Libya, untuk menjajah Libya sekali lagi. Ini tidak mungkin, mustahil," katanya, dengan penampilan mengenakan serban ciri khasnya dan jubah putih menjuntai.

"Kami akan melawan sampai orang terakhir dan wanita terakhir untuk mempertahankan Libya dari timur ke barat, utara ke selatan dengan bantuan Allah," katanya menegaskan.

Pidatonya yang sepanjang hampir tiga jam itu terputus secara teratur oleh tepuk tangan riuh para pendukungnya. Beberapa delegasi mengenakan topi baseball dengan gambar Gaddafi.

Dia sempat membuat jeda panjang untuk mendengarkan tepuk tangan para pendukungnya. Kadang-kadang ia mengetuk mikrofon untuk memberikan isyarat agar sedikit tenang.

Seorang wanita berteriak dari barisan audiens: "Anda tidak akan pergi dan anda tidak akan pernah turun. Semua yang anda lakukan adalah kebaikan ... Anda adalah pedang yang tidak bengkok!"

Sebahagian lainnya meneriakkan "Kami akan mati untuk Gaddafi." (fq/afp/reu)

Anwar Diaibkan

Posted: 03 Mar 2011 02:00 AM PST

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendedahkan penahanan beliau yang dilakukan polis pada 16 Julai 2008 seolah-oleh beliau seorang pengganas antarabangsa, selain diaibkan ketika dalam tahanan.

Memberi keterangan sebagai saksi pertama peguam bela di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Anwar berkata, kereta yang dinaikinya pada hari berkenaan, dihentikan empat kereta peronda polis sewaktu dalam perjalanan ke rumahnya di Segambut untuk solat Zuhur.

Beliau berkata, kira-kira 10 ke 15 anggota Unit Tindakan Khas (UTK) lengkap bersenjatakan sub mesingan mengacukan senjata mereka ke arahnya.

"Kami terpaksa berhenti serta-merta," katanya sambil menjelaskan, beliau berada di bahagian belakang kereta manakala peguam belanya, Sankara Nair di bahagian depan.

"Sankara keluar (kereta) dan seorang anggota menghampiri. Saya diminta terus berada dalam kereta. Seorang anggota kedengaran berkata: Arahan untuk menangkap Datuk Seri Anwar."

"Saya diperlakukan seperti saya ini Botak Chin. Saya ditahan secara paksa seolah-olah saya ini anggota pengganas Al-Qaeda," kata Anwar.

Menjawab soalan DPP Yusoff sama ada beliau dimaklumkan kesalahan yang didakwa dilakukannya hingga membawa penahanan itu. Anwar berkata, beliau tidak pernah dimaklumkan secara spesifik.

Katanya, beliau juga sukar meneka atas kesalahan apa kerana terlalu banyak 'tuduhan' dilempar terhadapnya dalam akhbar tempatan, daripada agen Yahudi sehinggalah kepada pengkhianat negara hanya kerana tidak memakai 'baju batik'.

Zabidin mahupun hadirin di galeri awam tidak dapat menahan ketawa mereka mendengar jawapan Anwar.

Anwar berkata, sewaktu ditahan beliau hanya diberitahu keperluan memberi keterangan berdasarkan Seksyen 112 Kanun Keseksaan Jenayah.

Anwar diaib

Ini pertama kali Anwar memberi keterangan dalam kes Fitnah II bagi perbicaraan dalam bicara untuk menolak bukti yang diperolehi secara tidak sah dan melalui paksaan.

Bukti itu ialah botol mineral 'Cactus', tuala muka 'Good Morning', serta berus gigi yang semuanya digunakan Anwar sewaktu ditahan secara tidak sah pada hari berkenaan.

Meneruskan keterangannya, Anwar berkata, polis kemudian membawanya ke Hospital Kuala Lumpur kira-kira jam 8 malam dan beliau diminta menanggalkan pakaiannya sehingga memakai cuma singlet dan seluar dalam, sebelum z***r dan d***r beliau diperiksa dua doktor.

Menceritakan keadaan lokap pula, Anwar berkata, tandas tempat beliau ditahan terlalu kotor dan lantai simen lokap juga terlalu sejuk untuk seseorang yang sakit belakang seperti beliau.

Polis macam robot

Anwar dibawa anggota UTK yang bertopeng dan lengkap bersenjata api

Saksi kedua, Sankara Nair dalam keterangannya pula menyifatkan polis yang menahan Anwar, bertindak tidak ubah seperti robot.

Beliau berkata demikian ketika ditanya DPP, Yusoff Zainal Abiden yang mencadangkan bahawa pegawai polis yang mengetuai penahanan Anwar pada hari berkenaan, tidak banyak bercakap dan menjalankan tugasnya sahaja.

Sankara berkata beliau tidak banyak bercakap tetapi menganggap polis bercakap seperti robot kerana mereka mengulangi jawapan sama apabila ditanya alasan penahanan Anwar.

"Dia robotik," kata Sankara.

"Beliau hanya menjawab 'arahan', dan saya mesti bawa Datuk Seri Anwar ke IPKKL dengan kenderaan saya' berulang kali," kata Sankara.

Sankara yang juga peguam Anwar, hari ini bertindak sebagai saksi kedua peguambela dalam bicara mini untuk menolak bukti yang diambil secara tidak sah dari Anwar sewaktu beliau ditahan secara haram pada 16 Julai 2008.

Esok, Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah akan dipanggil sebagai saksi ketiga peguam bela.

Pendakwa raya pula dijangka memanggil dua saksi di pihak mereka esok termasuk pegawai penyiasat DSP Jude Pereira akan memberi keterangan bagi pihak pendakwa esok.

Badrul Katak Nak Bawa Hasrat Rakyat?

Posted: 03 Mar 2011 01:35 AM PST

Badrul mahu hadir sidang DUN Selangor hujung Mac


PELABUHAN KLANG, 3 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah berkata beliau akan menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang dijadualkan hujung Mac ini.

Beliau berkata sebanyak 10 soalan telah dikemukakannya untuk dijawab pada persidangan DUN itu nanti.

Pada 24 Januari lepas, Badrul Hisham dihalang menyertai persidangan khas DUN Selangor berikutan keputusan Speaker Datuk Teng Chang Kim mengisytiharkan kerusi DUN itu kosong pada 16 Januari lepas dengan alasan ADUN itu gagal menghadiri persidangan DUN selama enam bulan tanpa alasan munasabah.

Namun, pada 18 Februari lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan Badrul Hisham kekal sebagai ADUN dan kerusi Pelabuhan Klang tidak kosong.

"Apa yang penting saya membawa hasrat rakyat di Pelabuhan Klang terutamanya dalam bidang pertanian dan saya harap kerajaan negeri akan membantu, jangan ada sekatan," katanya selepas merasmikan majlis penyerahan jentera membajak kepada Persatuan Pengusaha Sayur-sayuran dan Buah-buahan Pulau Indah (PPSBPI) di sini hari ini. – Bernama

Anwar gesa Umno Dan Utusan Hentikan Budaya Fitnah

Posted: 03 Mar 2011 12:00 AM PST

Anwar Ibrahim


Dari TVSelangor

Budaya memfitnah dan mengaibkan orang yang disebarkan oleh Umno dan akhbar kawalannya Utusan Malaysia hanya memakan diri dan gagal mempengaruhi rakyat.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perbicaraan fitnah ke atas dirinya mendedahkan kepada orang ramai angkara jahat politik Umno untuk memanjangkan jangka hayat parti itu.

"Kalau Utusan itu akhbar Melayu, kemudian orang tak dibenarkan berfikir, siapa yang khianat Melayu? Nak ikut Rais Yatim (bahawa kononya) 'kita mestilah jaga budi pekerti dan budaya bangsa kita, maka orang-orang seperti pembangkang yang rendah akhlaknya tidak boleh disokong'. " Tiga hari kemudian Wikileaks dedahkan kes rogol…. jadi jangan fitnah orang," kata Anwar.

"Sekejap saja, terbalik. Kena pada dia (Rais). Saya kesal, apakah budaya kita memfitnah? Tak terfikirkah bagaimana perasaan saya? Dihina dan diaibkan? Aku kena 12 tahun…hentikanlah fitnah khianat ini," katanya.

Berucap pada ceramah di Merlimau, Anwar berkata perbicaraannya atas tuduhan fitnah liwat sekali lagi membongkar kezaliman pemerintah dan polis.

"Hari ini keluar gambar lokap. apa dia cerita? Lokap Anwar ada televisyen, ya televisyen apa? CCTV. Ada katil, khas. Tadi Ketua Polis IDP Bukit Aman sahkan tak ada. Karpal Singh tanya, bukankah Datuk Seri Anwar kata ada sakit pinggang? Dia jawab ada. Kamu tak bagi tilam, bantal? Tak ada. dia tidur atas lantai simen? ya," katanya.

Anwar berkata beliau menyedari layanan polis dan pejabat Peguam Negara di bawah telunjuk Umno adalah untuk mengaibkan beliau semata-mata demi meluntur semangat dan perjuangan politiknya.

"Telanjang saya dan ukur, sebab nak aibkan, kamu tangkap kamu telanjang ukur, hina. nak lawan lagi? Bukan kamu tentukan. Kalau Allah takdirkan ujian ini, saya terima dengan sabar dan doa "Ya Allah janganlah beri beban sehingga aku tak mampu menanggungnya" maksudnya sekarang ini, saya masih mampu tanggung tapi percayalah kekuasaan Tuhan," tegas Anwar.

Anwar berkata meskipun media massa seperti Utusan dan TV3 cuba memesongkan keterangan-keterangan pada perbicaraan beliau, hakikat ialah bukti-bukti terhadapnya direka cipta dan fitnah semata-mata.

"Sekarang terbongkar satu persatu dalam mahkamah. Spesimen doktor periksa 28hb, periksa-periksa, 5 jantan dalam tu , bila ambil spesimen, 28hb, berapa doktor, 4 doktor. bawa spesimen ke jabatan kimia, berapa haribulan, 28 haribulan.

"Tetapi salah satu spesimen terpenting yang melibatkan DNA saya tarikh, 26 haribulan, Peguam tanya jabatan kimia, berapa haribulan, 26, periksa bila 28. Jadi macamana kamu terima, saya terima. Siapa yang periksa, 26hb, tak tau siapa periksa, Najib ka Rosmah saya tak tau. tapi terima" ujar Anwar.

Siri 03: Kerdau Bakal Terus Tersudut Setelah 53 Tahun Terpinggir Dalam Arus Pembangunan!

Posted: 02 Mar 2011 11:15 PM PST

Dr. Dzul

Memasukki hari ke-6 berkempen, MB Pahang tentunya menyesal tak sudah-sudah mencabar PAS kononnya ketandusan modal untuk berkempen. Beliau kini semacam terpaksa dikenakan 'rawatannya sendiri' atau bak pepatah Inggeris "a taste of his own medicine". Dalam bahasa pasarnya, padan muka dia.

Setelah 53 tahun merdeka, bandar 'cowboy' Kerdau dalam kawasan Kuala Krau, baru disedari wujud dalam Persekutuan Malaysia ini. Pimpinan Umno/BN sewajarnya malu dan kesal betapa sebuah DUN yang bernama Kerdau bahkan seluruh Kawasan Parlimen Kuala Krau tersudut dan terpinggir dalam arus pembangunan negara. Kini Kerdau diancam nasib yang sama untuk beberapa dekad lagi.

Pelik tetapi benar, bagaimana segala pendedahan pengurusan bobrok Adnan Yaakob, masih boleh dia nafikan mentah-mentah, meskipun yang mengkritik dan mendedahkan kepincangan pengurusan beliau bukanlah akhbar Harakah, Rocket atau Suara Keadilan.

Yang mendedahkan kebobrokan dan kebejatan pengurusan tempang beliau adalah Laporan Ketua Audit Negara di bawah kepimpinan Tan Sri Amrin Buang. Setiap tahun telah beliau nyatakan bahawa bagaimana pun yang didedahkan, tetap akan berulang segala ketirisan dan kebocoran akibat pelbagai pengkhianatan wang rakyat dalam 'sistem 'penghantaran' pemerintahan negara ini.

Meskipun ia adalah kesalahan golongan birokrat, ramai yang berdaleh begitu, tetapi kesemua kementerian adalah dipimpin oleh pimpinan orang politik. Tidakkah bagai dek kata pepatah Cina, "Ikan busuk dari kepalanya?".

Adnan tidak segan-segan menyatakan negeri Pahang tidak akan bankrap kerana Pahang boleh pinjam dari kerajaan Pusat. Dengan sikap dan mentaliti itulah MB Pahang ini terus-terusan telah meningkatkan hutang dari tahun 2005- RM1.59 bilion, tahun 2006- RM1.72 bilion, tahun 2007- RM1.91 bilion, tahun 2008- RM2.07 bilion dan tahun 2009- RM2.17 bilion.

Meneliti Laporan Ketua Audit Negara akan menyelak pelbagai kebejatan pengurusan pentadbiran beliau sepertimana telah didedahkan oleh Siri 01 dan Siri 02 penulisan ini termasuk syarikat-syarikat yang menyaman kerajaan negeri atas isu Pembalakan, hasil mahsul yang sepatutnya mengkayakan kerajaan negeri tetapi telah benar-benar menjadi "Bala" , iaitu Spag'n Plantation Sdn. Bhd [ RM 209 juta ] dan Upayapada (M) Sdn Bhd [ RM 24 juta ] . Rakyat bakal menganggung serta membayar saman ini, bukan duit Adnan Yaakob!

Begitu juga disamping pembalakan, kebejatan akibat pencerobohan perlombongan, pencerobohan hutan dan sungai (pasir) mengakibatkan kerugian pendapatan dan kemusnahan alam sekitarnya. Bayangkan kalau ia berlaku di negeri-negeri Pakatan Rakyat tentunya telah dimuat dimuka depan akhbar perdana BN.

Mungkin rakyat Pahang wajar tahu bahawa Adnan mudah-mudah menepis kritikan bahawa MB Pahang pada tahun 2007 membeli beli plat kereta CCC 9 dengan harga RM48,000. Mungkin ada yangmenyanggah apa sangat kalau dibanding dengan harga sebuah bilik hotel 7 bintang semalam isteri PM yang mencecah lebih RM100,000. Semua itu telah menjadi mangli kepada segelintir pemimpin tertinggi negara ini, justeru kerana rakyat tidak peduli kerana terus menyokong beliau. Sebab itu apabila Ketua Audit Negara mendedahkan bahawa sebuah 'Armchair Nyatoh Timber Leg' yang hanya berharga RM990 di pasaran, dibeli dengan harga kontrak RM3,530. Begitu juga perolehan sebuah 'spiral pendant light' yang berharga maksima di pasaran RM9,200 di beli dengan harga RM38,700.

Kesemua kebejatan yangditakrifkan sebaagi 'tidak memuaskan' oleh Laporan Audit ini telah menjadi 'mangli dan 'biasa-biasa' sahaja bagi seorang MB yang tahu bahawa beliau akan di'bail-out' oleh Kerajaan Pusat akhirnya. Ke begitu?

Malang segala-segala ini akan berulang sehinggalah rakyat akan bangkit untuk menyatakan "Cukupdah Kebejatan Ini", sementara golongan muda yang lebih cerdik akan melaungkan "Enuf is Enuf" seperti mana rakyat di negeri-negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat lakukan dalam PRU ke-12 lalu.

Sehingga itu berlaku, Presiden Umno dan Menteri Besar Pahang tahu dan 'yakin' bahawa rakyat dan pengundi Melayu khususnya di Felda akan tetap setia dengan Umno. Justeru itu, mereka mesti digula-gulakan dan didodoikan sampai bila-bila. Mereka mesti kepong dari mendapat maklumat alternatif dari media baru kerana akan berlaku 'tsunami besar' pada PRU ke-13 andainya "pencerahan minda dan kemerdekaan jiwa" berlaku.

Andainya golongan peneroka memahami bahawa tidak boleh selama-lamanya menjadi 'Peneroka', maka akan berlaku 'kebangkitan besar'. Mereka wajar digerakkan dan dikejutkan bahawa kini mereka mesti bergelar "Pemilik dan Tuan". Kerajaan perlu kikis dan ubah mindset ini. Sebab itu mereka sentiasa dimangsakan. Dah 50 tahun masih lagi meneroka! Tuan dan pemilik ini perlu disedarkan bagaimana Felda Plantation menjadi sebuah korporat besar sementara mereka masih terperangkap dengan kepompong regim pendapatan RM1,500.

Maklumat akan menerangkan kepada mereka baahwa ada kawan-kawan seangkatan dengan mereka sudah merdeka dan memenangi kes-kes di Mahkamah. Mereka baru sahaja diberitahu ANAK bahawa kewujudan Felda Plantation sebagai entiti korporat menyanggahi dan berlawanan dengan peruntukan Akta Penempatan Berkelomppok , 1960 (GSA).

Adnan hanya akan berada di ambang bahaya, apabila rakyat dan pengundi di Kerdau dan Pahang celek! Beliau tahu beliau akan menang sekali lagi. Tetapi sampai bila mahu begini?

Selagi itu Adnan masih boleh hidup dalam penafian dan terus berbohong!

Dr Dzulkefly Ahmad, AJK PAS Pusat.

Selangor carum skim perlindungan takaful untuk ketua kampung

Posted: 02 Mar 2011 11:12 PM PST

SHAH ALAM: Seluruh ketua kampung di Selangor akan mendapat caruman takaful dengan nilai pampasan RM30,000 daripada kerajaan negeri bermula hari ini.

Exco Selangor, Dr Yaakob Sapari, berkata sumbangan itu turut melibatkan ketua kampung tradisi dan ketua kampung Baru.

Beliau berkata, setiap ketua kampung wajar diberi perlindungan takaful secara berkelompok, mengambil kira tugas mereka yang semakin mencabar ekoran skop tugasannya semakin luas.

"Caruman ini tanda keprihatinan kerajaan negeri dalam mengenang jasa dan pengorbanan yang mereka berikan. Dasar ini adalah baik untuk menjaga kebajikan ketua kampung," katanya pada kenyataan media, hari ini.

Melalui skim perlindungan itu, Yaacob berkata, ketua kampung akan menerima pampasan jika berlaku kematian atau kematian disebabkan kemalangan, hilang upaya kekal atau disebabkan kemalangan dan penyakit kritikal.

"Skim ini juga menjaga kebajikan ahli keluarga ketua kampung dengan menanggung kos pengebumian ahli keluarga," katanya.

Beliau berkata, kemudahan itu tidak diperoleh ketua kampung ketika Barisan Nasional (BN) berkuasa.

"Tiada kelebihan yang diberi kepada ketua kampung semasa pemerintahan BN dalam menghargai peranan mereka," katanya.

Tiada ulasan: