Ahad, 20 Mac 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Penduduk Kampung Cekup Pelajar IPT Berkhalwat

Posted: 20 Mar 2011 12:54 AM PDT

Taman Permint - Seorang gadis penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) tidak mampu meluahkan kata-kata, sebaliknya air mata yang gugur di kelopak matanya sudah cukup menggambarkan penyesalan atas perbuatan dilakukan sebaik dia dibawa ke balai polis setelah dicekup penduduk kampung atas kesalahan khalwat.

Berikutan perbuatan sumbangnya mengunjungi rumah sewa selain berada dalam keadaan mencurigakan bersama teman lelaki di sebuah rumah sewa di taman perumahan, dekat sini, lewat senja kelmarin, gadis itu juga mungkin berdepan tindakan tatatertib termasuk disingkirkan dari IPT tersebut jika dia didapati bersalah oleh mahkamah.

Menceritakan detik hitam yang dialami itu, gadis terbabit yang difahamkan sedang mengikuti latihan amali berkata, dia sebenarnya dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu dan hanya singgah di rumah teman lelakinya itu untuk menukar pakaian.

Bagaimanapun, dia sama sekali tidak menyangka kunjungannya ke rumah sewa yang didiami beberapa penuntut lelaki yang juga rakan sekuliah itu membawa padah apabila tindak-tanduknya diperhatikan jiran tetangga sebelum memaklumkannya kepada pihak berkuasa.

"Tidak sangka pula gerak-geri diperhatikan penduduk kampung yang akhirnya menyebabkan saya boleh ditangkap khalwat," katanya.

Pasangan terbabit, masing-masing penuntut IPT berdekatan dicekup penduduk kampung di sebuah rumah sewa di Taman Permint kerana berada dalam keadaan mencurigakan sebelum menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

Pasangan remaja berusia belasan tahun itu ketika ditemui mengakui tidak berniat melakukan perbuatan sumbang, bagaimanapun keadaan mereka yang tidak mempunyai sebarang hubungan muhrim apatah lagi berada di rumah itu telah menimbulkan syak wasangka yang boleh menyebabkan mereka ditangkap khalwat.

Perempuan yang berasal dari Manir bersama teman lelakinya dari Marang itu dibawa ke Pejabat Agama Daerah Dungun untuk diambil keterangan sebelum disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 31 (a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir negeri Terengganu, jika didapati bersalah boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali. -SH

Adenovirus: Empat Pelatih PULAPOL Masih Di ICU

Posted: 20 Mar 2011 12:00 AM PDT

Kuala Lumpur: Empat pelatih inspektor dan konstabel Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol KL) yang terkena jangkitan Adenovirus masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 21 lagi di wad biasa Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Sungai Buloh sehingga petang, semalam.

Seramai 12 pelatih dirawat di HKL manakala 13 di Hospital Sungai Buloh.
Mereka yang dirawat di ICU adalah seorang pelatih konstabel, seorang pelatih inspektor lelaki dan dua lagi pelatih inspektor wanita.

Komandan Pulapol KL, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Mohamed berkata, jumlah pelatih yang menjalani pengasingan pula 336 berbanding 389 kelmarin.

Daripada jumlah pengasingan terbabit, 117 pelatih inspektor wanita, 180 pelatih inspektor lelaki dan 33 konstabel selain enam kakitangan Pulapol.

Akhbar ini melaporkan dua pelatih Pulapol maut akibat jangkitan terbabit.

Mangsa, Mohd Riduan Ishak, 26, meninggal dunia kira-kira jam 4.20 pagi, 17 Mac lalu dan seorang lagi pelatih konstabel, Mohd Azizan Azirid, 25, meninggal dunia 8 Mac lalu.

Berikut adalah pelatih yang ditempatkan di HKL dan Hospital Sungai Buloh:

Pelatih inspektor lelaki (seorang di ICU) - Mohd Muharram Mohd Ariffin, G Gopinath A/L Govindran, Noor Azlan Zaidi, Zarul Shahrin Mohd Mustafa, Izsrole Al Halmy Mohd Ismail, Simon A/L Vadelu, Muhammad Azizi A Rahman, Kalidasan A/L Rajakumar, Mohd Izat Ab Rahaman.

Pelatih inspektor wanita (dua di ICU) - Nor Hafizah Ilias, Nur Asyikin Othman, Saidatul Akmar Shariffuddin, Shanthanamary A/P Shunmigan, Nadhrah Hazwani Taufik, Nadia Mohd Husin, Nurul Shazrina Nazri, Nor Amanina Mohd Yusob, Nurol Akmal Abdullah, Parameswary A/P Sinasamy, Shazrin Irda Ezanee, Roshila Harun.

Pelatih konstabel lelaki (seorang di ICU) - Mohammad Siman, Ahmad Taufiq Abd Halim, Wan Azman Wan Ismail, Muhamad Najihin Musa.

Ahli keluarga pelatih boleh menghubungi talian 03-2688 2009 atau 03-2688 2062 di Bilik Gerakan Khas, Pulapol KL untuk maklumat lanjut.

Libya Diserang - Rakyat Amerika Kutuk Campurtangan Amerika Ke Atas Libya

Posted: 19 Mar 2011 10:55 PM PDT

Setelah 8 tahun berlalunya peristiwa serangan ke atas Iraq, beratus-ratus rakyat Amerika, yang kebanyakannya adalah terdiri dari veteran perang Amerika dahulu dan sekarang, berkumpul di depan Rumah Putih melahirkan rasa tidak puashati mereka dengan tindakan campurtangan Amerika di dalam urusan negara-negara luar seperti Afghanistan, Pakistan dan juga Libya.

Semalam, tentera Amerika Syarikat dan Britain telah menembak sekurang-kurangnya 110 roket jenis Tomahawk ke arah Libya bagi melumpuhkan pertahanan udara rejim Presiden Muammar Gaddafi.

Naib Panglima Angkatan Tentera Amerika, William Gortney memberitahu pemberita roket Tomahawk itu dilancarkan oleh kedua-dua kapal perang dan kapal selam milik Amerika dan Britain ke arah 20 sistem penyelarasan pertahanan udara bersama dan kemudahan pertahanan pesisir Libya.

"Roket pertama ditembak jam 1900 GMT diikuti serangan udara yang dilancarkan pesawat pejuang tentera Peranchis," kata Gortney, yang juga pengarah staf bersama tentera Amerika Syarikat.

"Ia adalah fasa pertama daripada pelbagai peringkat operasi serangan," katanya.

"Oleh kerana ketika itu waktu malam di sana (Libya), ia mengambil masa untuk kita mengetahui lebih lengkap kejayaan serangan ini," katanya.

Di Chicago ribuan rakyat keluar berdemonstrasi mengutuk campurtangan Amerika di dalam perang di Libya.

"Kita sepatunya hentikan peperangan bersenjata ini, kami di jalanraya untuk memberitahu kepada semua, sepatutnya tiada lagi peperangan," jerit seorang pemprotes dengan sepanduk "No War" di tangannya.

"Selamatkan wang untuk kesihatan, pekerjaan, sekolah dan bukan untuk peperangan," kata para penunjuk perasaan yang membahagikan risalah di jalan-jalanraya.


Kesatuan Afrika tuntut serangan ke atas Libya dihentikan segera

NOUAKCHOTT: Kesatuan Negara-Negara Afrika hari ini menuntut agar serangan yang dilakukan tentera bersekutu membabitkan Amerika Syarikat (AS), Britain dan Peranchis ke atas Libya, awal pagi ini dihentikan serta merta.

Selepas lebih empat jam mesyuarat diadakan kesatuan itu di ibu negara Mauritania, di sini, mereka juga menuntut agar pihak berkuasa Libya memastikan orang awam diberi perlindungan dan bantuan.

Kesatuan itu juga mahu agar rakyat asing dilindungi dan usaha mengeluarkan mereka dari Libya juga perlu dilakukan segera. - AFP






Kisah Khairun Yang Baru Tiba Dari Fukushima

Posted: 19 Mar 2011 10:02 PM PDT

Kuala Lumpur: "Kalau diberi pilihan, saya serik ke Fukushima lagi selepas melalui pengalaman ngeri berada di bilik bergoncang. Sebelum ini banyak gegaran tetapi tidak sebesar ini dan ia tidak akan dilupakan sepanjang hidup saya," kata Khairun Khadijah Isa, 23, pelajar Malaysia yang terselamat dalam kejadian gempa bumi yang mencetuskan tsunami, 11 Mac lalu.

Kejadian itu juga menyebabkan dia tidak pasti sama ada berpeluang bergelar graduan kerana segala persiapan musnah biarpun berjaya menamatkan pengajian beberapa hari sebelum malapetaka itu berlaku.

Menceritakan semula detik kejadian itu, Khairun berkata, dia ketika itu mengemas barang kerana mahu berpindah dari asramanya selepas tamat pengajian baru-baru ini, namun tidak menyangka terpaksa 'menangguhkan' hasrat itu buat sementara selepas kawasan itu digegarkan dengan gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter.

Lulusan diploma kejuruteraan elektrik Kolej Teknologi Fukushima itu berkata, pada awalnya dia dan rakan hanya mendengar amaran gempa dikeluarkan pihak berkuasa, namun tidak menyangka beberapa minit kemudian seluruh bilik asramanya bergegar dengan kuat.

"Saya sempat berlari ke pintu bilik untuk mencari tempat selamat. Ketika itu seluruh bilik bergegar dengan kuat menyebabkan semua barang di atas rak jatuh.

"Dalam fikiran saya waktu itu hanya menyelamatkan diri, mujur ada rakan di bilik sebelah, jadi kurang sedikit rasa takut," katanya ketika dihubungi semalam.

Khairun yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi kelmarin mendakwa terpaksa merasai keperitan hidup tanpa bekalan asas seperti air dan makanan selepas dua hari berlaku gempa serta mengetahui keadaan di sana hanya menerusi televisyen.

"Sehari selepas dilanda bencana itu, keadaan menjadi kelam kabut dengan tiada bekalan air di asrama. Kami terpaksa mengangkut air dari sekolah berhampiran untuk kegunaan harian.

"Hampir seminggu kami tidak mandi kerana bekalan terhad," katanya.

Menurutnya, dia akan pergi semula ke negara berkenaan pada 29 Mac ini untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Toyohashi di Nagoya.

"Saya bercadang menyambung pengajian di sana (Jepun), namun terpulang juga pada keadaan disebabkan ancaman radioaktif Fukushima Daiici," katanya. -hm

Kes Hanief: SKMM Tidak Profesyenal Dan Tidak Patuhi Undang-undang

Posted: 19 Mar 2011 09:04 PM PDT

Sakit hati' boleh lapor pada SKMM

Penulis blog Mohd Nur Hanief Abdul Jalil mendakwa beliau disiasat tiga jam oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana ada yang "sakit hati" tentang kandungan blognya.

"Mereka (SKMM) kata ada orang yang laporkan saya sebab 'sakit hati'.

"Kalau orang ada sakit hati tentang gambar atau kandungan blog mereka kata boleh laporkan pada SKMM untuk disiasat," kata Hanief.

Dalam soal-siasat pagi jam 10 pagi tadi di ibu pejabat SKMM di Cyberjaya, Hanief hadir berseorangan kerana peguamnya N Surendran tidak dapat hadir.

Katanya, walaupun bapanya dibenarkan hadir sama tetapi beliau memilih menjalani sesi itu berseorangan.

SKMM meolak permohonan Surendran supaya siasatan itu ditunda ke masa lain supaya beliau dapat turut serta.

Hanief, 27, bagaimanapun berpendapat cara SKMM menangani kes itu seperti mahu menakut-nakutkan penulis blog.


Hanief, Bloger Yang 'Ditahan' T/Malam... -Tian Chua

KL 19 Mac 11: Seorang penulis blog dibawa ke balai polis Sentul tengah malam tadi dan pihak berkuasa didakwa tidak mempunyai waran bagi menahannya, dakwa naib presiden PKR.

Tian Chua berkata, beliau mendapat penulis blog yang dikenali sebagai Hanief disiasat oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) selepas tiba di balai berkenaan tengah malam tadi."Di tengah-tengah siasatan SKMM, saya bertanya apa hak mereka menahan orang di tengah-tengah malam sebegini. (Dan) Tiada sesiapa menunjukkan waran (terhadap Hanief) pada saya," tulisnya di laman Twitter kira-kira jam 2.30 pagi tadi.

"Pegawai SKMM mengaku mereka tidak mengeluarkan waran, justeru saya minta soal siasat itu dihentikan. (Tetapi) mereka berita Hanief secara sukarela datang ke situ," tambah anggota parlimen Batu itu.

Tian juga mendedahkah bahawa SKMM memerintah Hanief hadir di ibu pejabat suruhanjaya itu di Cyberjaya pada jam 10.30 pagi ini bagi membantu memberi maklumat berhubung satu siasatan bawah Bab 3, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurut dokumen perintah yang gambarkan dimuatkan kembali Tian di internet, sekiranya gagal atau enggan berbuat demikian, Hanief boleh dibawa kepada majistret dan diberikan waran tangkap.

Masih belum jelas Hanief akan disiasat berhubung perkara apa. Setakat ini belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung 'penahahan' dan siasatan pada penulis blog itu. -mk


Ulasan GB

Sungguh aneh, SKMM bertindak kerana ada orang sakit hati kepada blogger bernama "hanief". Hanya lantaran itu, Hanief ditahan dan disoalsiasat?

Siapa yang sakit hati dan sejak bila undang-undang memperuntukkan SKMM bertindak hanya di atas dasar "sakit hati" pihak tertentu, tanpa memperdulikan etika kerja dan sikap berkecuali?

Lebih aneh lagi pegawai SKMM bertindak di luar batas undang-undang - mengaku mereka tidak mengeluarkan waran.

Jika SKMM tidak patuh undang-undang di dalam menjalankan tugas dan mengendalikan kes, bagaimana rakyat mahu menghormati badan itu?

Tindakan mereka itu jelas boleh dikenakan tindakan.

Masa Terbaik Rakyat Sarawak Hukum BN Kerana Biarkan Taib Berkuasa 30 Tahun

Posted: 19 Mar 2011 07:57 PM PDT

Akhirnya DUN Sarawak Dibubarkan

KUCHING: Selepas pelbagai spekulasi sejak akhir tahun lalu, akhirnya Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengumumkan pada petang Sabtu bahawa Dewan Undangan Negeri akan dibubar Isnin ini bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Taib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata beliau telah mengunjungi Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng pada Khamis lepas bagi mendapatkan persetujuannya untuk membubarkan dewan.

"Notis pewartaannya akan dibuat pada 21 Mac," katanya pada sidang akhbar bersama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada akhir lawatan dua pemimpin tertinggi pusat itu ke Sarawak di bawah program turun padang ke seluruh negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memutuskan tarikh penamaan calon dan pengundian, katanya menamatkan teka teki sejak berbulan-bulan mengenai tarikh pilihan raya negeri.

Dewan Undangan Negeri Sarawak dengan 71 anggota sedia ada akan tamat pada 23 Julai ini.

Pilihan raya negeri yang lepas diadakan pada 20 Mei, 2006.

Pada Jumaat, Taib memberitahu pemberita supaya tunggu sehari lagi untuk beliau membuat pengumuman berkaitan pilihan raya negeri selepas spekulasi mengenai pembubaran dewan undangan negeri semakin memuncak berikutan pertemuan beliau dengan Yang Dipertua Negeri.

Ketika ini, BN negeri menguasai 63 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri selepas Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Engkilili, Dr Jonical Rayong Ngipa, yang bertanding atas tiket parti pembangkang Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), menyertai BN tahun lepas.

DAP menguasai enam kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Cinta Malaysia (PCM), menerusi wakil rakyat Bebas, masing-masing menguasai satu kerusi.- BERNAMA



Taib ketuai BN Sarawak

KUCHING: Spekulasi berhubung tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-10 akhirnya terungkai apabila secara rasmi dibubarkan, Isnin ini.

Pengumuman itu dibuat Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yasin di Bilik Orang Kenamaan di Lapang Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, petang semalam.

Beliau berkata, notis mengenai pembubaran itu kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng sudah diserahkan, baru-baru ini.

Bagaimanapun, khabar angin mengatakan beliau bakal berundur sebaik DUN dibubarkan adalah sebaliknya apabila menjelaskan tetap bertanding dan mempertahankan di kerusi Balingian dalam Parlimen Mukah yang dimenangi sejak 2001.

Abdul Taib tidak menyatakan alasan sebab beliau mahu terus kekal menerajui Sarawak sejak menjadi Ketua Menteri pada 1981.

Beliau adalah Ketua Menteri paling lama selain ahli parlimen kedua terpanjang berkhidmat di Malaysia selepas Tengku Razaleigh Hamzah dengan menjadi Ahli Parlimen selama 38 tahun.

"Saya tetap bertanding dan mengetuai PRN kali ini. Saya pernah menyatakan hasrat meletakkan jawatan (sebagai Ketua Menteri) iaitu pada 2006, namun terpaksa membatalkan hasrat berkenaan.

"Belum tiba masanya tetapi tidak menolak kemungkinan perkara itu (peralihan kuasa) berlaku kira-kira setahun atau lebih selepas tamat pilihan raya negeri." katanya.

Sebelum itu, Perdana Menteri memberi bayangan bahawa Abdul Taib tetap bertanding selepas mengamanahkan beliau mengetuai PRN kali ini.

Dengan pengumuman itu, pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari, namun beliau menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian.

Pun begitu, cakap-cakap mula kedengaran apabila hari penamaan calon dikatakan jatuh pada 6 April manakala pengundian berlangsung 10 hari kemudian.

PRN 2006 memberi tamparan hebat selepas Barisan Nasional (BN) melalui Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) kalah teruk apabila memenangi 11 daripada 19 kerusi dipertandingkan. Malah, SUPP turut kehilangan kerusi Parlimen Sibu pada pilihan raya kecil Mei tahun lalu.

Bagaimanapun, SUPP berjaya menambah satu kerusi iaitu DUN Engkelili apabila calon Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Johnichal Rayong Ngipa lompat menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas sebelum menyertai SUPP.

Pada PRN berkenaan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menang bersih 35 ditandingi, begitu juga Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang menang semua lapan kerusi ditandingi.

Parti komponen BN lain adalah Parti Rakyat Sarawak (PRS) menang lapan daripada sembilan kerusi ditandingi. Pembangkang pula menyaksikan DAP meraih enam kerusi manakala PKR dan Parti Cinta Malaysia (PCM) masing-masing dengan satu kerusi.


Ulasan GB

Pilihanraya Negeri Sarawak kali ini merupakan masa terbaik untuk rakyat Sarawak "menghukum" BN kerana membiarkan Abdul Taib terlalu lama menjadi Ketua Menteri - hampir 30 tahun (1981 - 2011), menjadikan rakyat Sarawak sebagai golongan yang terus dibelenggu dengan kemiskinan sekian lama dan sehingga Abdul Taib telah dapat melakukan pelbagai jenis korupsi tanpa sebarang tindakan.

Ayuh, rakyat Sarawak, lakukan perubahan itu.


Lagi Bas Terbalik Di Tol Simpang Ampat

Posted: 19 Mar 2011 05:30 PM PDT

Alor Gajah: "Saya dengar bunyi pelik di luar tapi tidak syak apa-apa sebelum terasa bas bergegar dan terhoyong-hayang lalu merempuh penghadang tengah lebuh raya dan terus melencong ke kiri jalan."

Gambar: TERBALIK... bas pesiaran yang terbalik dalam kemalangan berhampiran Tol Simpang Ampat, awal pagi semalam.

Begitu kata penumpang bas pesiaran, Shibli Sabtu, 26, selepas bas dinaiki bersama lapan penumpang lain terbalik di Kilometer 214.4, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah Selatan, kira-kira jam 2.30 pagi, semalam.

Dalam kejadian itu, semua penumpang yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru itu berdepan detik mencemaskan apabila bas dipandu lelaki berusia awal 30-an hilang kawalan sebelum terbabit dalam kemalangan.

"Ketika leka bermain telefon bimbit, tiba-tiba bas merempuh sesuatu dengan kuat sebelum senget ke kanan. Rakan saya pula tercampak ke lantai bahagian depan.

"Saya dengar penumpang menjerit dan meraung ketakutan selepas bas terbabas ke kiri sebelum terbalik ke kanan dan terseret, mengakibatkan sembilan penumpang lain tercampak dari tempat duduk," kata penuntut pusat pengajian tinggi awam itu.

Katanya, dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena apabila perjalanan yang dijadualkan jam 12.40 tengah malam dari Perhentian Bas Bukit Jalil ditangguhkan ke jam 1 pagi akibat hal yang tidak dapat dielakkan. Malah bas juga dirasakan tidak stabil kerana halajunya berubah-ubah.

Seorang lagi penumpang, Azlan Abdullah, 46, berkata pemandu lewat memulakan perjalanan kira-kira 30 minit daripada masa dinyatakan dan berhenti di Hentian Sebelah Nilai.

"Selepas memandu 30 minit, sekali lagi pemandu berhenti di Hentian Sebelah Senawang untuk menghilangkan mengantuk dan meneruskan perjalanan 10 minit kemudian sebelum terbabit kemalangan," katanya.

Katanya, ketika kejadian kebanyakan mereka terlelap dan dia tersedar apabila bas dirasakan senget sebelum terbalik dan terseret sejauh 50 meter.

"Saya cuba pegang tempat duduk depan dengan kuat tapi tetap tercampak. Keadaan huru hara kerana ramai penumpang tercampak dari tempat duduk.

"Saya cuba tendang cermin depan dengan harapan kami semua tidak terperangkap di dalam bas tapi tidak berjaya.

"Kemudian saya cuba membuka pintu kecemasan di atas bumbung bas dan dari situl kami semua merangkak keluar dari bas yang terbalik itu.

"Saya bersyukur kami semua, termasuk pemandu, terselamat dan tidak mengalami kecederaan serius," katanya.

Sementara itu, sumber Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah (IPD) berkata, hasil siasatan awal, pihaknya percaya bas pesiaran dari arah Kuala Lumpur ke Johor Bharu hilang kawalan selepas terlanggar penghadang jalan dan melencong ke kiri lalu melanggar tebing dan terbalik ke kanan.

Bagaimanapun, bas itu hanya membawa sembilan penumpang dan mereka menyambung perjalanan ke Johor Bahru menggunakan bas pesiaran lain. -hm

Ulasan GB

Terdapat beberapa kemalangan di lokasi yang hampir sama berlaku yang melibatkan kenderaan berat seperti lori dan bas di lebuhraya PLUS berhampiran tol Simpang Ampat, Alor Gajah.

Jika kita masih ingat pada 12 Oktober tahun lalu di Km 223, dua bas, tiga kereta dan sebuah van terlibat dengan nahas yang meragut 12 nyawa dan 40 yang lain cedera.

Pada 13 Mac 2011, sebuah kontena melanggar sebuah kereta diikuti dengan perlanggaran 5 buah kenderaan lain di Km 196 lokasi yang berhampiran.

Dan kini sebuah bas pula terbalik di Km 214.4 Km yang terletak di pertengahan di antara dua kemalangan di atas.

Sesuatu yang patut disiasat mengenai keadaan di kawasan lebuhraya berkenaan sehingga ia menjadi lokasi berbahaya dan mendatangkan banyak kemalangan.


Dia Ditumbuk, Dirompak & Diculik

Posted: 19 Mar 2011 05:00 PM PDT

Johor Bharu: "Saya hanya ingat mati apabila diculik. Penculik itu bukan saja menutup mata saya tetapi turut mencekik leher, menumbuk muka bertubi-tubi dan mengikat tangan selepas saya dihumban ke tempat duduk belakang kereta keluarga," kata mangsa culik, Yuen Mei Kien, 49, semalam.

LEBAM...Yuen menunjukkan kesan lebam di wajahnya gara-gara ditumbuk sekumpulan penjenayah.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu terpaksa menempuhi detik mencemaskan apabila diculik kumpulan penjenayah hampir dua hari, termasuk dirompak dan dikurung di sebuah rumah, sebelum dibebaskan awal pagi semalam.

Yuen berkata, kejadian berlaku jam 6 pagi Khamis lalu ketika dia meletakkan kereta berhampiran sebuah restoran makanan segera di Taman Bukit Indah, di sini, kerana mahu menaiki kenderaan rakan untuk menuju ke tempat kerja di Singapura.

Yuen yang bekerja sebagai ketua pentadbir di sebuah syarikat swasta di negara republik itu berkata, ketika turun dari kereta, tiba-tiba dua lelaki menghampirinya dan merampas kunci kereta sebelum dia dihumban ke kereta milik keluarganya.

"Lebih kuat saya meronta, kedua-dua lelaki berusia dalam lingkungan 30-an bertindak lebih ganas dan mencekik saya hingga saya terpaksa akur dengan arahan mereka demi menyelamatkan nyawa.

"Setiap kali bertanya termasuk nombor pin kad mesin juruwang automatik (ATM), mereka menumbuk muka saya, mengakibatkan hampir keseluruhan wajah menjadi lebam, terutama di mata.

"Kemudian mereka mengurung saya di dalam kereta hampir 10 jam sementara mengeluarkan wang saya bernilai RM10,000 daripada ATM," katanya.

Yuen berkata, sepanjang perjalanan dalam kereta, dia mendengar kumpulan penjenayah berkomunikasi dalam Bahasa Tamil sebelum dia dikurung di bilik gelap di sebuah rumah bagi mengelakkannya melarikan diri.

Bagaimanapun kira-kira jam 2.30 pagi semalam, penjenayah menghantarnya ke Jalan 1/3, Taman Bukit Indah, di sini, menggunakan kereta sebelum menghilangkan diri.

"Keadaan saya lebih buruk daripada banduan penjara. Saya bukan saja kelaparan kerana tidak diberikan makan minum hampir dua hari, malah cedera hampir seluruh badan.

"Melihat keadaan saya yang tidak bermaya, mereka mengambil keputusan meninggalkan saya di tepi jalan biar pun pada awalnya mengugut menghumban saya ke dalam longkang," katanya yang kemudian dibantu beberapa pengguna jalan raya.

Yuen yang masih trauma dengan kejadian itu meminta bantuan orang ramai yang ada maklumat berkaitan kereta keluarga Toyota Vios dengan nombor pendaftaran JMA 8711 yang dilarikan penjenayah itu supaya menghubungi polis secepat mungkin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superitendan Abdul Aziz Ahmad mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian berkenaan.

Beliau berkata, dalam kejadian itu mangsa turut kehilangan wang tunai RM500, S1,000 (mata wang Singapura), telefon bimbit dan kereta jenis Toyota Vios.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan dan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menculik.

"Polis akan mengambil keterangan daripada mangsa secepat mungkin selain menjalankan usaha bagi menangkap penjenayah terbabit," katanya ketika dihubungi semalam. -hm

[Video] Robin Padilla Aktor Filipina, Dari Dunia Gemerlap Menuju Islam

Posted: 19 Mar 2011 03:56 PM PDT

Siapa yang tak kenal Robinhood? Seorang sosok kesatria pembela kaum miskin dari tanah Inggeris. Ia senantiasa membela kaum lemah dengan membawa panah sebagai senjata utamanya. Tak jauh berbeza dengan Robin Padilla, aktor asal Filipina ini juga pernah membintangi filem serupa di negeri asalnya.

Nama lengkapnya adalah Robinhood Fernando Carino Padilla. Namun, ia lebih popular dengan panggilan Robin Padilla. Ia adalah aktor Filipina yang pernah berjaya di era tahun 1990-an. Filem-filem yang dibintanginya selalu masuk dalam jajaran box office di negaranya. Tak hairan bila namanya masuk dalam daftar teratas aktor dan aktris Filipina terlaris.

Nama tersohor kelahiran Kota Manila, 23 November 1967 ini makin memuncak setelah membintangi sejumlah filem action di negaranya. Bahkan kerana peranan yang dimainkannya sebagai seorang gangster berdarah dingin dalam sejumlah filem, ia mendapat julukan The Bad Boy of Philippine Action Movies.

Bakat berlakon memang sudah mendarah daging dalam keluarga besar Robin Padilla, yang merupakan pemeluk Kristen Protestan. Ketiga orang abang Robin, yakni Rustom Padilla, Royette Padilla dan Rommel Padilla, juga dikenal masyarakat Filipina sebagai aktor. Kehidupan sebagai bintang besar (megastar) membawa Robin dekat dengan dunia malam dan ubat-ubatan terlarang.

Ia pun akhirnya menjadi pecandu dunia malam. Kariernya sebagai superstar pun menurun. Ia terlibat dalam kehidupan preman jalanan. Akibat sikap dan perilakunya itu, pada tanggal 21 Julai 1994, polis Filipina mengeluarkan surat penangkapan terhadap dirinya. Ia dinyatakan bersalah atas memiliki senjata api tidak sah dan dijatuhi hukuman selama 21 tahun penjara. Namun, ia dibebaskan pada awal tahun 1998.

Saat menjalani kehidupan dari balik jeriji besi, Robin berkenalan dengan seorang Muslim bernama Gene Gallopin. Gallopin adalah aktivis pejuang HAM bagi masyarakat Minoriti Muslim di Filipina. Dari Gallopin yang juga merupakan seorang mualaf, Robin mulai mengenal Islam. Keduanya kerap bertukar fikiran. Apa yang disampaikan Gallopin ternyata membekas dalam diri sang aktor.

Setelah melakukan diskusi panjang dengan Gallopin mengenai agama, Robin mantap untuk memeluk Islam. Tak hanya memeluk Islam, ayah lima orang anak ini pun kemudian mengganti namanya dengan Abdul Aziz. Meski dalam keseharian ia masih menggunakan nama Robin Padilla. Tak lama berselang, Liezl, sang isteri pun mengikuti jejaknya untuk menjadi seorang Muslimah.

Perihal keislaman Robin, membuat rakyat Filipina tersentak. Terutama para peminat utama pemeran besar dalam filem Bad Boy 2 ini, kerana tidak banyak berita yang mengulas mengenai proses dirinya menjadi seorang Muslim.

Bagi Robin, menjadi seorang Muslim memberikan tantangan tersendiri. Berkali-kali ia diberitakan miring terkait aktiviti keagamaannya. Ia kerap dikaitkan dengan Kelompok Abu Sayyaf, sebuah kelompok Muslim yang kerap dicap sebagai kelompok radikal di Filipina. Salah satunya adalah berita mengenai penangkapan terhadap seorang petinggi Abu Sayyaf oleh pihak berkuasa Filipina.

Kebelakangan diketahui jika orang yang ditangkap tersebut merupakan salah seorang pengawal peribadinya. Langkah Robin untuk membantu saudara-saudaranya sesama Muslim pun begitu mengesankan. Pada tahun 2004, ia membentuk sebuah lembaga advokasi yang difokuskan untuk penentangan wabak malaria. Melalui lembaga advokasi bentukannya ini, Robin memberikan bantuan secara percuma kepada masyarakat Muslim Filipina. Atas dedikasinya ini, Jabatan Keiehatan Filipina menunjuknya sebagai juru kempen Gerakan Pemberantasan Malaria.

Robin juga dikenal aktif dalam kegiatan sosial dan pendidikan. Dalam suatu waktu ia berhasil melakukan penggalangan dana sebesar satu juta peso Filipina untuk membangun area pemakaman Muslim di kota Norzagaray, Provinsi Bulacan. Ia juga mendermakan wang sebesar 2,5 juta peso Filipina kepada sebuah lembaga kemanusiaan di Filipina, Muay Association of the Philippines.

Sementara dalam bidang pendidikan, melalui Yayasan Dindang Kapayapaan yang dibentuknya, ia mendirikan sebuah lembaga pendidikan prasekolah bagi anak-anak Muslim di atas lahan miliknya di Fairview Park, Quezon City. Lembaga pendidikan tersebut telah beroperasi sejak tahun 2007 hingga saat ini.

Robin menjelaskan, para murid yang belajar di sekolah tersebut, nantinya akan mendapatkan bimbingan membaca Al-Quran dari para tenaga pengajar terpilih. Selama menimba ilmu di sekolah tersebut, tambahnya, para peserta didik akan tinggal di rumah peribadinya yang berada dalam satu lokasi dengan bangunan sekolah. "Para murid kita kecualikan dari yuran sekolah, biaya pembelian buku, papan tulis dan biaya asrama," paparnya sebagaimana dikutip dari lamanweb Manila Bulletin.

Meski menyandang status sebagai mantan narapidana, namun hal tersebut tidak membuat kareer Robin di dunia lakonan menurun. Berbagai tawaran untuk tampil di layar lebar datang kepadanya. Namun berbeza dengan sebelum masuk penjara, selepas menghirup udara kebebasan ia memutuskan untuk beralih ke filem-filem bergenre drama dan komedi.

Penampilan pertama di muka umum di dunia lakonan selepas keluar dari penjara adalah membintangi filem bergenre drama berjudul Tulak ng Bibig, Kabig ng Dibdib. Setelah debut perdananya kembali ke dunia perfileman Filipina, sejumlah tawaran untuk bermain dalam filem menghampirinya.

Beberapa filem yang pernah dibintanginya setelah dibebaskan yaitu Bakit Ngayon Ka Lang, Hari ng Selda: Anak ni Baby Ama 2, Tunay na Tunay: Gets Mo? Gets Ko, Ooops…, Teka Lang Diskarte Ko To, Kailangan Ko'y Ikaw, You and Me Against The World, Videoke King, dan Pagdating Ng Panahon. Dalam filem-filem tersebut, ia selalu dipasangkan dengan aktris-aktris ternama Filipina. Sebut saja di antaranya Judy Ann Santos, Angelika dela Cruz, Jolina Magdangal, Claudine Barretto, dan Kris Aquino.

Langkah ayah dari Ted Matthew (tidtid), Queenie, Kylie, Zhelireen (zhen-zhen), dan Robin Jr (Ali Padilla) dalam dunia lakonan tidak hanya sebatas di layar lebar, namun juga menembusi ke layar televisyen. Di antaranya ia pernah membintangi serial TV Asian Treasures produksi GMA Network. Siri televisyen yang dibintanginya ini selalu menempati peringkat atas acara televisyen yang selalu ditonton ramai.




Jepun Kesan Radioaktif Dalam Susu, Bayam

Posted: 19 Mar 2011 08:19 AM PDT

Osaka – Pihak berkuasa Jepun mengesan tahap luar biasa radioaktif dalam susu dan bayam di kawasan berhampiran loji nuklear yang terjejas tetapi menyatakan bahan makanan berkenaan tidak memberi ancaman segera kepada manusia.

Menurut Setiausaha Kabinet Yukio Edano, susu yang tercemar tersebut ditemukan di Fukushima, dimana loji reaktor berada. Sementara bayam yang terkena radiasi terdapat di wilayah Ibaraki.

"Radiasi yang dikesani telah melebihi batas yang ditetapkan di bawah undang-undang Jepun," ujar Edano seperti dikutip AFP, hari ini.

Edano mengatakan, Kementerian Kesehatan telah memerintahkan pihak bertanggungjawab di kedua wilayah tersebut untuk melakukan siasatan dari mana produk tersebut berasal, bagaimana produk tersebut dibahagikan, dan berdasarkan hasil temuan, penjualan produk tersebut perlu dihentikan.

Edano meminta para pengguna untuk tetap tenang. Dia mencatat walaupun pengguna terlanjur meminum susu yang tercemar, tingkat radiasinya akan sebanding dengan satu kali CT scan.



ADUN Pembangkang Kesal Tidak Dibenarkan Berucap

Posted: 19 Mar 2011 06:15 AM PDT

Nusajaya – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Dr Boo Cheng Hau merangkap Presiden DAP Johor meminta Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Mohd Ali Hassan dan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan menyiasat dalam proses penyerahan ucapan penangguhan.

Menurutnya, kemungkinan berlaku penyelewengan di Pejabat Jurutulis sewaktu penghantaran ucapan penangguhan kerana tiada seorang daripada parti pembangkang diberikan peluang untuk berucap.

"Pihak kami rasa kecewa apabila terdapat kekurangan konsistensi bilangan ucapan daripada pihak kami sewaktu sesi penangguhan dewan yang dijalankan bagi Mesyuarat Persidangan Penggal ketiga dewan ke-12.

"Keadaan tersebut seolah-olah membiarkan pihak pembangkang terpinggir dengan secara sengaja dan ditolak hak walaupun isu yang mahu dibangkitkan melibatkan kebajikan rakyat," katanya sewaktu menemui media, semalam.

Terdahulu, Cheng Hau berkata, pada 11 Mac lalu kira-kira jam 11.23 pagi menerusi sistem pesanan ringkas (SMS), pihaknya telah dimaklumkan Pejabat Jurutulis terdapat enam ahli undangan yang menghantar ucapan tangguhan termasuk tiga daripada DAP.

"Jumlah tersebut melebihi kuota yang ditetapkan iaitu lima orang seperti yang termaktub dalam Peratusan Tetap Fasal 119(4) untuk memberikan ucapan penangguhan tanpa dipilih melalui undi.

"Ini bermakna, sekurang-kurangnya dua orang ahli DAP akan dapat berucap pada sidang DUN semalam, namun pada jam 2.13 petang saya dimaklumkan, ada lapan orang ahli dewan yang menyerahkan ucapan tangguhan," katanya.

Menurutnya, jumlah yang meningkat itu disebabkan terdapat peningkatan bilangan ahli dari Barisan Nasional (BN) dan keadaan itu membuatkan ahli pembangkang tidak terpilih memberikan ucapan tangguhan.

Cheng Hau berharap, isu itu diberikan perhatian dan disiasat sewajarnya dalam mempertahankan sistem demokrasi di negeri Johor. -SH

Seorang Warga Tua Dibunuh Dan Dibiarkan Rentung Dijilat Api

Posted: 19 Mar 2011 05:30 AM PDT

Ipoh: Seorang warga tua dipercayai dibunuh sebelum mayatnya dibiarkan dijilat api dalam kebakaran yang memusnahkan rumah mangsa di Ampang Baru, di sini, semalam.

Mayat Ho Choong Fah, 84, yang turut mempunyai kesan kelar di leher, ditemui di atas katilnya jam 1.50 pagi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata mayat mangsa ditemui selepas sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyela-mat Ipoh membuat pemeriksaan dan memadam kebakaran di rumah itu sebaik mendapat laporan jam 12 tengah malam.

"Sebaik kebakaran dipadamkan, anggota bomba menemui satu mayat di atas katil dengan kesan terbakar. Pemeriksaan lanjut mendapati ada kesan kelar pada leher mangsa," katanya selepas menghadiri majlis suai kenal bersama Persatuan Peniaga dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Mes Pegawai Kanan Polis di sini, semalam.

Mohd Shukri berkata, polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh berdasarkan kesan kelar di leher yang menggunakan senjata tajam dipercayai pisau sebelum suspek membakar rumah mangsa.

"Ketika kejadian, mangsa dikatakan tinggal sendirian. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis masih menunggu keputusan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian. -BH

UMNO Tersepit Lidah Pula Bercabang

Posted: 19 Mar 2011 04:16 AM PDT

Keputusan Kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) melepaskan 35,000 naskhah kitab Injil dalam Bahasa Malaysia yang ditahan oleh Kementerian Dalam Negeri di Pelabuhan Kuching dan Pelabuhan Klang telah menimbulkan polemik di kalangan masyarakat Islam.

Sebelum ini, pemimpin-pemimpin UMNO dengan lantang menentang penggunaan kalimah ALLAH di kalangan bukan Islam kononnya bagi memelihara kesucian agama Islam yang didakwa akan tercemar jika kalimah suci itu turut digunakan oleh masyarakat bukan Islam khususnya penganut Kristian.

Hasutan dan adu domba yang mereka lakukan hampir menimbulkan ketegangan kaum dan agama. Beberapa gereja diserang termasuk Gereja Metro Tabernacle yang musnah dalam kebakaran. Beberapa surau dan masjid di Petaling Jaya dan Kerinchi dirosakkan. Kepala babi pula dilempar ke kawasan masjid; semuanya dikatakan akibat rasa tak puas hati isu penggunaan kalimah Allah.

Hari ini, demi pilihan raya Sarawak yang dikatakan akan diadakan bulan depan tiba-tiba UMNO-BN membuat satu kejutan hingga pimpinan UMNO di peringkat akar umbi tercengang-cengang. Tidak kurang juga pakcik makcik di kampung yang ternganga kehairanan. Mana mungkin UMNO yang begitu garang mempertahankan kalimah Allah dari turut diguna agama lain tiba-tiba meloloskan pengedaran Kitab Injil dalam bahasa Malaysia? Apakah sebenarnya pendirian UMNO? Berbagai persoalan timbul akibat keputusan cepu emas di ambang pilihan raya Sarawak ini.

Jawapan saya mudah. UMNO terdesak. Dalam keadaan terdesak manusia golongan ini akan tega menggadaikan apa sahaja walau maruah dan jati diri. Inikan pula satu pandangan dangkal yang hanya bermatlamatkan politik seperti penggunaan kalimah Allah secara eksklusif.

Justeru, kita tidak hairan apabila melihat sikap flip-flop pemimpin UMNO ini. Jelas menunjukkan UMNO sanggup melakukan apa sahaja demi pilihan raya dan bukannya atas dasar dan kepercayaan tulus.

Ke mana hilangnya pemimpin-pemimpin dan ulama UMNO yang sebelum ini begitu lancang membantah penggunaan kalimah ALLAH? Mengapa mereka tidak pula bangkit menentang tindakan Kementerian Dalam Negeri yang membenarkan kitab itu diedarkan di negara ini? GAPS dan PERKASA turut tersentap umpama tertelan biji salak.

Hari ini rakyat khususnya masyarakat Melayu-Islam sekali lagi dapat menilai wajah sebenar pemimpin UMNO yang mempunyai pendirian berubah-ubah mengikut kepentingan diri dan politik; bukannya memperjuangkan hak rakyat secara keseluruhannya. Sebaliknya, pemimpin PAS dan KEADILAN telah menyatakan pendirian yang hampir sama dengan isu penggunaan kalimah ALLAH.

*Kenyataan media oleh Faekah Husin selaku Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor.

Jumlah Mangsa Korban Dan Hilang Tsunami Jepun Cecah 18 Ribu Orang

Posted: 19 Mar 2011 03:00 AM PDT

Tokyo - Jumlah orang yang disahkan terkorban atau tercatat sebagai orang hilang oleh pihak Polis Nasional Jepang mencapai 18,000 hari ini, lapan hari setelah gempa dahsyat dan hentaman tsunami di negara berkenaan.

Gambar: DUA warga Jepun ini memeriksa senarai nama, alamat dan nombor telefon untuk dihubungi yang ditampal pada papan kenyataan di Dewan Majlis Perbandaran Natori sebagai usaha mencari ahli keluarga yang hilang dalam kejadian gempa bumi dan tsunami, baru-baru ini. - Foto Sairien Nafis

Ada kekhuwatiran angka jumlah korban jauh lebih tinggi dari bencana yang menyapu daerah permukiman yang luas sepanjang pantai Pasifik utara pulau Honshu itu.

Pihak Polis Nasional Jepun mengatakan, 7,197 orang telah sahkan terkorban dan 10,905 rasmi terdaftar sebagai hilang - jumlahnya 18,102 - hingga pukul 09.00 waktu tempatan hari Sabtu, sebagai akibat dari bencana 11 Mac itu.

Harapan untuk menemukan lebih banyak korban di tengah puing-puing telah berkurang di tengah musim dingin yang melanda timur laut Jepun, meliputi sebahagian besar wilayah bencana dengan salji pada awal minggu ini.

Mangsa korban telah melampaui angka korban gempa 7.2 SR yang melanda kota pelabuhan Jepun barat Kobe pada tahun 1995, yang menewaskan 6,434 orang. Gempa 11 Mac adalah bencana alam paling buruk Jepun saat ini sejak gempa bumi besar Kanto pada 1923, yang mengorbankan lebih dari 142 ribu orang.

Angka-angka terbaru polis untuk orang hilang itu tidak mencakupi laporan tempatan dari sepanjang pantai yang terkena tsunami terbesar yang sebahagian besar orang belum ditemui.

[Bergambar & Video] Ajaib! Selamat Setelah 8 Hari Tertimbus

Posted: 19 Mar 2011 01:51 AM PDT

Lelaki Jepun ditemui selamat selepas 8 hari gempa, tsunami

TOKYO: Seorang lelaki dikeluarkan dari runtuhan bangunan selepas lapan hari gempa bumi kuat dan tsunami melanda Jepun.

Lelaki berusia 20an itu dalam keadaan terkejut dan tidak dapat bercakap apabila ditemui di Kesennuma, Miyagi, satu daripada wilayah yang teruk dilanda gempa bumi bermagnitud 9.0 itu.

Mangsa ditemui sehari selepas pihak berkuasa berkata mereka menamatkan fasa operasi selepas gempa bumi dan akan memberi tumpuan kepada pembersihan runtuhan.

Tidak diketahui bagaimana lelaki terbabit dapat terus hidup di kawasan yang mengalami penurunan suhu sehingga di bawah paras beku semalam.

Kira-kira 7,000 orang sudah disahkan terbunuh manakala 10,700 yang lain dilaporkan hilang dalam bencana itu. - Reuters





Tiada ulasan: